Jika tahun lalu SUV Jaguar F-Pace dinobatkan sebagai ‘World Car of the Year’ menewaskan dua lagi SUV iaitu Audi Q5 dan Volkswagen Tiguan, tahun ini WCOTY sekali lagi didominasi segmen SUV apablia Mazda CX-5, Range Rover Velar dan Volvo XC60 diumumkan sebagai finalis akhir untuk merebut gelaran berkenaan bagi tahun 2018.

Ketiga-tiga calon ini mara ke pusingan terakhir setelah menerima markah yang tinggi dari lebih 80 orang juri, manakala pemenangnya bakal diumumkan ketika New York International Auto Show yang akan berlangsung pada 28 Mac nanti. Selain dari calon untuk pemenang keseluruhan, Volvo XC60 dan Range Rover Velar juga dicalonkan sebagai finalis World Car Design of the Year, bersama satu lagi model iaitu Lexus LC 500.

Untuk World Performance Car pula, finalis anugerah ini terdiri dari Lexus LC 500, BMW M5 F90, dan Honda Civic Type R FK8. Manakala bagi kategori World Luxury Car, dua model dari Porsche – Cayenne dan Panamera – berjaya dicalonkan sebagai finalis, diikuti oleh Audi A8. Untuk kategori lebih maerhaen World Urban Car, finalisnya terdiri dari Volkswagen Polo Mk6, Suzuki Swift dan juga Ford Fiesta.

Sementara itu untuk kategori terakhir iaitu World Green Car, tiga model mesra alam akan bertarung diperingkat akhir iaitu Nissan Leaf, Chrysler Pacifica Hybrid dan BMW 530e G30 iPerformance. Finalis untuk kesemua kategori telah diumumkan, jadi anda rasa model mana yang akan memenangi setiap kategori berkenaan?