Jika tahun lalu, Volvo XC40 dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Jepun 2018-2019, untuk 2019-2020, anugerah tersebut dimenangi oleh Toyota RAV4 generasi kelima. RAV4 berjaya mengutip sebanyak 436 mata keseluruhan, menewaskan pencabar terdekatnya, Mazda 3 yang berada di tangga kedua (328 mata) serta BMW 3 Series di tempat ketiga (290 mata).

Menurut JCOTY, pemilihan RAV4 dilihat bertepatan kerana “ia memenuhi semua keperluan di peringkat tinggi”, dan juga ditawarkan dengan tiga jenis sistem pacuan semua-roda. Lain-lain daya penariknya termasuklah pengendaliannya yang selesa dengan pemilihan platform TNGA, harganya, ruang penyimpanan barang dan modul komunikasi data eksklusif di Jepun.

RAV4 merupakan kenderaan ke-40 yang memenangi anugerah utama JCOTY. Selain Volvo XC40 yang menang pada tahun lalu, model lain yang pernah dinobatkan anugerah yang sama termasuklah XC60 (2017-2018), Subaru Impreza (2016-2017), Mazda Roadster/MX-5 (2015-2016), Mazda Demio/2 (2014-2015) dan Volkswagen Golf (2013-2014).

Turut berada dalam senarai pemilihan untuk tahun 2019-2020 ialah Toyota Corolla yang menduduki tangga ke-empat dengan 118 mata, dan diikuti dengan Jaguar I-Pace (109 mata), Jeep Wrangler (56 mata), Honda N-WGN (54 mata), Mercedes-Benz A-Class (53 mata), Nissan Days/Mitsubishi eK (35 mata) dan akhir sekali Daihatsu Tanto (21 mata).

Anugerah khas, Emotional Award, turut diberikan kepada Jeep Wrangler, kerana keupayaannya dalam pemanduan on-/off-road. Sementara Nissan Skyline pula diberikan Innovation Award disebabkan sistem pemanduan ProPilot 2.0 “hands-off” semi-autonomous.

Untuk Small Mobility Award pula dinobatkan kepada Mitsubishi eK dan Nissan Dayz, hasil sistem sokongan pemanduan dan keselamatan kebolehan bergerak yang dtambah baik. Juri juga menilai tahap keselesaan model, penggunaan ruang yang berkesan, dan gaya unik untuk setiap model kenderaan yang dipertandingkan.