Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • ACE 2024: Perodua Aruz Black Edition dipamerkan, ditemani Ativa dan Axia – ganjaran hebat ditawarkan

    ACE 2024: Perodua Aruz Black Edition dipamerkan, ditemani Ativa dan Axia – ganjaran hebat ditawarkan

    Antara yang turut mencuri tumpuan dalam penganjuran acara paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2024 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre, Setia Alam ialah Perodua Aruz Black Edition ini. Mungkin sebelum ini, ramai yang beranggapan SUV tujuh-tempat duduk keluaran Perodua ini ‘biasa-biasa’ saja. Namun dengan balutan warna badan luaran Elegant Black baharu ini membuatkan Aruz ini berubah menjadi ‘wow’.

    Walau pun diperkenalkan warna baharu bagi menggantikan warna Passion Red sebelumnya, namun ia tidak melibatkan sebarang kenaikan harga. Aruz ini akan terus dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM72,900 untuk varian 1.5 X dan juga RM77,900 untuk varian tertinggi 1.5 AV. Walau bagaimana pun, pembeli bakal menerima rebat tunai bernilai RM3,000 sekiranya menempah menerusi ACE 2024.

    Spesifikasi Aruz ini juga masih dikekalkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS pada 6,000 rpm dan 133 Nm tork pada 4,200 rpm dengan sistem Eco Idle, digandingkan bersama transmisi automatik empat-kelajuan bagi memacu roda belakang.

    Selain Aruz, Perodua turut mempamerkan model Ativa dan Axia, dan menariknya, semuanya ditampilkan dengan rona hitam menawan. SUV segmen-B Ativa yang boleh dikatakan ‘laku keras ini’ menawarkan tiga varian dengan harga bermula RM62,500. Dengan enjin 1.0 liter turbo dan transmisi D-CVT tujuh-kelajuan, anda bakal memperoleh prestasi dan juga penjimatan bahan api yang ekonomi dengan anggaran 18.9 km/l dengan Eco Idle.

    Manakala bagi Axia pula, yang ditawarkan dengan harga bermula RM38,600, dibangunkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan ditampilkan transmisi D-CVT yang memang banyak memberikan penjimatan bahan api iaitu sekitar 27.4 km/l (dengan Eco Idle).

    Malahan di ACE 2024, Perodua juga menganjurkan ‘1-Day Challenge’ iaitu tempah mana-mana model yang dipamerkan ini dan pendaftarannya akan dilakukan serta merta. Tak perlu menantikan waktu menunggu yang lama untuk kenderaan yang ditempah sampai ke rumah anda. Melainkan anda menempah model yang tidak dipamerkan di ACE 2024 ini iaitu Alza, Myvi dan Bezza. Ops! Kalau anda tempah Axia menerusi kempen ‘What’s Up Graduate?’, rebat tunai RM1,000 menanti anda>, selain menerima e-baucar RM300 dari Perodua.

    ACE 2024: Perodua Aruz Black Edition dipamerkan, ditemani Ativa dan Axia – ganjaran hebat ditawarkan

    Selain Perodua, ACE 2024 turut disertai Toyota, Proton, MG, Ford, Mitsubishi, Volkswagen dan sub jenama Proton, Pro-Net yang menampilkan eMas 7. Selain itu, jenama premium yang turut mengambil bahagian ialah BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria), Mercedes-Benz (dibawakan oleh Hap Seng Star) dan Volvo (oleh Sime Darby Swedish Auto dan Sisma Auto).

    Bukan itu sahaja, pengedar pelbagai jenama seperti EON (yang menampilkan smart dan Audi) serta Cycle & Carriage (yang mempamerkan Peugeot dan Leapmotor) juga memeriahkan lagi acara ini. Manakala BMW Motorrad turut mempamerkan model dua rodanya, sementara Trapo pula membawakan rangkaian produk Exosystem.

    Menerusi ACE 2024 ini juga, paultan.org bakal memberikan gabungan baucer bernilai RM3,000 untuk 200 pembeli pertama yang membuat tempatan dalam acara ini. Baucer berkenaan merangkumi RM500 untuk cermin gelap V-Kool/auto coating, DodoMat (RM500), solusi pembersih udara Blueair (RM500), personalisasi kulit dalaman kenderaan DK Schweizer (RM500), Kuzig Glanz Detailing untuk auto coating (RM500) dan juga The Carage bagi servis filem perlindungan self-healing (RM500).

    Perodua Aruz Black Edition

     
     
  • Porsche RWB Malaysia nombor 9 dan 10 iaitu Hanabi dan Kagayaki kini dipamerkan di ACE 2024

    Porsche RWB Malaysia nombor 9 dan 10 iaitu Hanabi dan Kagayaki kini dipamerkan di ACE 2024

    Nama Akira Nakai mungkin tidak sebesar penala Jepun lain seperti Top Secret, HKS, JUN dan lain-lain yang sudah bertaraf industri. Nakai yang popular dengan jenama Rauh-Welt Begriff (RWB) hanya beroperasi di sebuah bengkel kecil di Chiba, dan perniagaan utamanya adalah menyediakan dan memasang kit badan lebar tidak masuk akal untuk pelbagai model Porsche 911.

    Namun apa yang dilakukan oleh Nakai ini mengundang kontroversi. Setiap kit badan yang dijual perlulah dipasang olehnya sendiri. Ini untuk memastikan kit tersebut dipasang dengan betul, dan Nakai sendiri akan membuat talaan suspensi dan menyesuaikan rim yang dipadankan bagi memastikan tayar tidak ‘sagat’ dengan fender lebar yang dipasang serta tidak menggangu pemanduan.

    Akira Nakai bukan hanya menawarkan kit badan ini pada pelanggannya di Jepun. Beliau turut menerima tempahan dari luar, menyebabkannya ‘terpaksa’ menjelajah ke seluruh dunia untuk memasang kit-kit tersebut. Tempahan berkenaan juga bukan sedikit dan ada pelanggan yang menempah perlu menunggu sehingga bertahun-tahun sebelum Akira Nakai datang untuk memasang kit tersebut pada Porsche masing-masing.

    Satu lagi yang unik tentang Akira Nakai, pemasangan kit badan tersebut biasanya dibuat secara langsung dan seolah-olah beliau sedang membuat persembahan di atas pentas. Ini yang menyebabkan perbalahan dalam komuniti budaya ubahsuai kereta kerana cara pemasangan yang dibuat oleh Nakai-San ini agak kasar dan kebanyakkan ‘kiraan’ dibuat hanya menggunakan mata berbanding pembina-pembina kit badan lebar yang lain yang membuat ubahsuai yang jauh lebih sempurna.

    Porsche RWB Malaysia nombor 9 dan 10 iaitu Hanabi dan Kagayaki kini dipamerkan di ACE 2024

    Namun untuk mereka yang mahukan kit badan ini kebiasaannya tahu asal-usul Akira Nakai dan ‘falsafah’ disebaliknya. Nakai tidak sama dengan ‘pemain’ Porsche lain yang kebiasaannya dari golongan ‘berduit’. Beliau sebenarnya merupakan antara drifter generasi pertama Jepun yang mula membentuk ‘cerita’ dunia JDM sekarang, bermula dengan memandu Toyota AE86 di jalan-jalan bukit.

    ‘Persona’ Akira Nakai mula terbina sejak itu – beliau dengan AE86 miliknya yang nampak ‘asal boleh’ bersama pelekat pasukannya iaitu ‘Rough-World’ bukan hanya menjadi buah mulut pelumba-pelumba jalanan kerana mempamerkan aksi drift yang agresif dengan kereta diberi suspensi dan enjin yang ditala secara kasar, malah kelibatnya turut selalu muncul dalam majalah-majalah serta rancangan-rancangan ubahsuai kenderaan dalam bentuk pita video ketika itu.

    Pada 1997, Nakai mula membuka perniagaannya sendiri iaitu bengkel membaiki badan kenderaan. ‘Jodoh’ Akira Nakai dengan Porsche datang apabila satu hari seorang pelanggan membawa sebuah Porsche 911 930 dalam keadaan teruk ke bengkelnya, dan kemudiaannya beliau bersetuju untuk membeli kereta berkenaan dengan harga agak murah.

    Ini menjadi permulaan RWB di mana nama Rough World tersebut diterjemah kepada bahasa Jerman menjadi Rauh-Welt, manakala ‘Bergriff’ pula bermaksud “gaya,” “konsep” atau “ekspresi” ditambah di hujungnya. Nakai mula memperbaiki Porsche berkenaan dengan sasaran untuk menjadikan ia sebuah kereta lumba.

    Badan 911 930 tersebut direstorasi tetapi bukanlah secara sempurna. Ia masih kekal dengan imej seperti jentera drift AE86 miliknya terdahulu, diberikan cat badan hitam matte pada sebelah luar. Dan apa yang menyebabkan Akira Nakai menjadi perhatian di litar, Porsche pertama miliknya yang diberi nama Stella Artois (sempena nama bir kegemarannya) itu menampilkan kit badan yang sangat lebar rekaannya sendiri.

    Akira Nakai aktif berlumba di litar pula selepas itu terutamanya dalam siri perlumbaan Idlers Games. Enjin dan suspensi Stella Artois menerima talaannya sendiri, dan kit badan gentian kaca yang dipadankan secara ribet terdedah tersebut sedikit pun tidak menyusahkan pemanduan, sebaliknya ia memberikan kesan aerodinamik serta cengkaman roda lebih baik kerana tayar yang digunakan adalah jauh lebih lebar dari asal.

    Ini yang menyebabkan Akira Nakai mula menerima ramai pelanggan. Rata-rata pelanggan Akira Nakai tahu hasil kerja yang agak ‘kasar’ dibuat olehnya, tetapi dalam masa yang sama tahu apa konsep dan kegunaan kit badan tersebut. Sebab itulah mereka tidak kisah Nakai-san memotong fender asal pada Porsche masing-masing secara free-hand dan menggunakan gam Sika-Flex bagi menutup ruang antara kit tersebut dengan badan kenderaan.

    Sekarang Akira Nakai mungkin agak kurang di lihat berada di litar kerana perlu menyiapkan tempahan pelanggan yang tidak berkesudahan. Kit badan yang ditawarkan kini bukan hanya untuk 911 generasi 930, tetapi lebih luas merangkumi model generasi 964, 993 dan 997.

    Kit yang dijual ini bukan murah – harga untuk kit asas tidak termasuk perincian-perincian opsyen, kos penghantaran, cat dan lain-lain sudah mencecah puluhan ribu dolar Amerika. Kalau anda perasan, setiap kali Akira Nakai memasang kit ini beliau disediakan dengan bekalan rokok yang tidak putus, kerusi lounge kulit dan lain-lain yang begitu bergaya.

    Namun semua ini sebenarnya bukan permintaan Akira Nakai, sebalik disediakan sendiri oleh pelanggan-pelanggannya bagi menjadikan ‘persembahan’ tersebut lebih menarik. Akira Nakai masih lagi kekal dengan identiti asalnya ketika memandu AE86, iaitu seorang yang sangat ringkas.

    Malaysia tidak terkecuali menjadi destinasinya untuk memasang kit badan yang ditempah. Seperti yang anda boleh lihat pada gambar ini adalah dua buah Porsche yang menerima sentuhan Akira Nakai, iaitu unit nombor 9 dan nombor 10 Porsche RWB di Malaysia. Sehingga kini Akira Nakai sudahpun menyiapkan sebanyak 14-unit Porsche RWB dalam negara.

    Seperti kebanyakkan kereta-kereta yang disiapkan, Akira Nakai turut memberikan nama untuk kedua-dua kereta yang disiapkan ini. Hanabi adalah nama untuk 911 993 berwarna hijau gelap di mana pemiliknya sudah berada dalam senarai menunggu sejak 2019, dan gilirannya hanya tiba pada tahun ini disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

    Untuk Hanabi, ia bukan hanya dipadankan dengan kit fender asas, malah pemiliknya juga mahukan spoiler GT-belakang yang jauh lebih besar dan juga bumbung gentian karbon serta set rim yang ditempah khas untuk kit badan ini.

    Manakala untuk 911 Turbo Cabriolet di sebelahnya diberi nama Kagayaki oleh Nakai-san. Apa yang menarik, Kagayaki merupakan Porsche RWB 911 Turbo Cabriolet generasi 997 pertama di Malaysia, dan merupakan yang kedua dalam Asia Tenggara. Kagayaki turut dipadankan dengan rim yang ditempah sekali dengan kit badan tersebut.

    Kedua-dua Hanabi dan Kagayaki ini disiapkan oleh Akira Nakai di studio Kuzig Glanz Detailing yang terletak di Ara Damansara, dimana kedua-dua kereta ini disiapkan dalam masa dua minggu. Dan apa yang lebih unik, kedua-dua buah kereta ini merupakan Porsche RWB pertama dalam dunia yang menerima lampu hadapan yang direka semula oleh CSB Pro.

    Dalam video-video yang tular di internet, hasil kerja Nakai-san ini mungkin nampak kasar. Tapi apa kata anda lihat sendiri hasil kerja tersebut depan mata untuk membuat penilaian. Kedua-dua Hanabi dan Kagayaki kini sedang dipamerkan di Auto Car Expo (ACE) yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) bermula hari ini, 26 Oktober sehingga esok, 27 Oktober 2024. Masuk adalah percuma!

     
     
  • Proton eMas 7 – tempahan dibuka, harga anggaran RM120,000, kabin sudah didedahkan di ACE 2024

    Proton eMas 7 – tempahan dibuka, harga anggaran RM120,000, kabin sudah didedahkan di ACE 2024

    Sempena penampilannya di paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2024 di Setia City Convention Centre hari ini, Proton telahpun mengumumkan bahawa model EV pertama jenama automotif nasional itu iaitu Proton eMas7 secara rasminya telah pun dibuka! Belum ada harga rasmi diumumkan, namun Proton mengesahkan bahawa eMas 7 akan dijual pada harga bermula RM120,000. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas Prime varian tertinggi Premium. Hari ini juga buat pertama kali Proton telah mendedahkan bahagian dalaman eMas 7 ini untuk tontonan orang awam.

    Seperti yang diketuhui, eMas 7 merupakan model hasil usahasama antara Proton dan Geely, di mana pembangunan awalan EV ini bersama kembarnya untuk pasaran China iaitu Geely Galaxy E5 telah dibuat bersama di China. Menurut Proton kerja-kerja pembangunan berkenaan telah melibatkan 230 orang tenaga kerjanya, serta perkongsian modal.

    Usaha sama ini juga membolehkan Galaxy E5 terus diperkenalkan dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) – pertama kali untuk sebuah model dengan lencana Geely. Secara keseluruhan sejumlah 700,000 jam kerja telah digunakan untuk pembangunan model ini dengan ujian sejauh 10 juta km.

    Proton eMas 7 – tempahan dibuka, harga anggaran RM120,000, kabin sudah didedahkan di ACE 2024

    Geely Galaxy E5 telahpun dilancarkan di China awal Ogos lalu, namun untuk eMas 7 pembangunannya diteruskan di Malaysia bagi disesuaikan untuk pasaran tempatan. Empat ujian jalan raya dibuat dalam program pembangunan tempatan ini termasuk Ujian Adaptasi Ketahanan (DAT), Ujian Elektrikal Jalan Raya (ERT), ujian untuk Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT). Selain itu Proton turut membuat penyesuaian pada sistem infotainmen, sistem navigasi bina-dalam dan juga servis telematik eMas 7 ini.

    Ujian tempatan ini melibatkan perjalanan sejauh 100,000 km. Proton menegesahkan bahawa ia telah membuat talaan suspensi tersendiri untuk eMas 7 yang lebih sesuai untuk keadaan jalan raya tempatan, dan ia juga boleh meredah air pada paras kedalaman maksimum 400 mm – lebih dalam dari spesifikasi pada Geely Galaxy E5 – bagi memastikan ia diberikan perlindungan tambahan sekiranya berhadapan dengan situasi banjir.

    eMas 7 dan Galaxy E5 merupakan model yang diasaskan dari platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), atau untuk Proton ia dikenali sebagai platform Global Modular Architecture (GMA). Platform ini juga sebenarnya adalah evolusi yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely untuk digunakan oleh jenama-jenama dibawah naungannya yang lain.

    Proton eMas 7 – tempahan dibuka, harga anggaran RM120,000, kabin sudah didedahkan di ACE 2024

    Kedua-dua varian berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, menjadikan ia model produksi Proton paling pantas setakat ini. Kelajuan maksima yang boleh dicapai adalah 175 km/j.

    Untuk bateri, eMas 7 diberikan bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km atau kapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.

    Proton eMas 7 diberikan sistem pengecas pantas DC 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium, membolehkan cas dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa 20 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan dengan kadar maksimum 11 kW, membolehkan kadar cas 30% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

    Sistem Vehicle-to-load (V2L) bagi membolehkan bateri pada EV ini digunakan untuk peralatan elektrik lain. Bagi suspensi pula, bahagian hadapan SUV ini menerima tetapan topang McPherson manakala di belakang diberikan sistem multilink.

    Proton eMas 7 – tempahan dibuka, harga anggaran RM120,000, kabin sudah didedahkan di ACE 2024

    Seperti yang didedahkan hari ini, dapat dilihat eMas 7 turut berkongsi rekaan dalaman yang sama dengan Galaxy E5, tetapi dalam versi RHD. Ia diberikan papan pemuka dengan skrin tengah gergasi bersaiz 15.5-inci, paparan instrumen pemandu dengan skrin 10.2-inci, roda stereng berbentuk oblong dengan fungsi anti-bakteria dan juga konsol tengah yang direka berorientasikan pemandu.

    Apa yang berbeza, eMas 7 tujuh menerima kemasan-kemasan dalaman berwarna Indigo Blue yang lebih sesuai dengan Malaysia, berbanding warna light cream pada Galaxy E5. Juga dapat dilihat corak kemasan pada konsol tengah dibuat seperti mengalir ke upholsteri tempat duduk.

    Sebelum ini Proton telah mengumumkan bahawa skrin utama di tengah papan pemuka tersebut menampilkan paparan resolusi 2.5k yang beroperasi dengan Flyme OS. Ia turut menerima sistem bunyi Wanos 16-pembesar suara termasuk yang terletak pada kepala tempat duduk dari Flyme Sound, di mana sistem audio premium tersebut didakwa menawarkan ‘bunyi yang sangat jelas’. Sistem ini diberikan untuk kedua-dua varian Prime dan Premium.

    Komponen-komponen dari jenama Flyme Auto dibekalkan oleh pembuat telefon pintar Geely iaitu Meizu. Geely mendakwa sistem ini akan menawarkan operasi antaramuka yang intuitif seperti menggunakan sebuah telefon pintar. Skrin utama berkenaan turut menjadi pusat pelbagai kawalan lain termasuk sistem pendingin hawa, mod pemanduan, tetapan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan juga kawalan untuk bumbung panaromik serta pelindung matahari. Fungsi Android Auto dan Apple CarPlay tidak diumumkan, namun kami difahamkan ia mungkin akan mula ditawarkan bermula tahun hadapan.

    Namun masih ada beberapa fungsi yang boleh dikawal menggunakan suis-suis, tuil serta tombol fizikal yang lebih mudah dan pantas untuk digunakan. Antaranya tuil gear ala-Mercedes Benz pada sebelah kanan konsol stering, tuil kawalan lampu isyarat membelok, lampu hadapan dan pengelap cermin pada sebelah kiri, suis putar bersaiz besar pada konsol tengah untuk kawalan bunyi audio, dan empat butang fizikal untuk kawalan pendingin hawa.

    Turut diletakkan pada konsol terowong adalah dua pemegang cawan dengan penutup, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga perehat tangan. Dengan lantai yang rata, konsol berkenaan turut mempunyai ruang storan bersaiz besar pada bahagian bawah, yang turut menempatkan port 12V, USB-A dan USB-C. Juga terdapat storan tersorok diletakkan pada bahagian bawah tempat duduk belakang dan juga satu lagi ruang storan tambahan pada bahagian bawah liang pendingin hawa belakang.

    Kedua-dua varian menerima sistem pendingin hawa automatik dengan penapis N95, balutan leatherette untuk upholsteri tempat duduk, serta larasan elektrik enam-hala untuk pemandu. Namun hanya varian Premium diberikan fungsi memori untuk larasan tempat duduk tersebut, serta diberikan larasan elektrik untuk tempat duduk penumpang hadapan dan juga liang pengudaraan tempat duduk dan juga lampu suasana kabin 256-warna.

    Tidak seperti kebanyakkan EV yang mempunyai ruang storan pada bahagian bonet hadapan yang dikenali sebagai frunk, bahagian tersebut tidak ada pada eMas 7. Namun pada but belakang, ia menerima satu lagi ruang tambahan tersorok dibawah lantai. Secara keseluruhan Proton menyatakan bahawa SUV ini mempunyai sebanyak 33 ruang storan.

    Bahagian luaran emas 7 ini masih lagi dibalut dengan pelekat penyamaran. Namun agak jelas dilihat bahawa ia menampilkan rupa yang sama dengan Galaxy E5, tetapi menerima emblem Proton pada gril hadapan. Sekali imbas varian Prime boleh dikenali dengan pemadanan rim aloi 18-inci dengan tayar Giti 255/55R18, manakala varian Premium pula datang dengan rim aloi 19-inci dengan tayar 235/50R19.

    Kedua-dua varian menerima perincian standard termasuk lampu hadapan LED automatii dengan fungsi Follow-me-home dan lampu tinggi aktif, lampu belakang LED 3D, rel bumbung, pengelap cermin automatik, serta cermin pandang belakang auto-lipat dengan fungsi pemanas.

    Varian Premium pula menerima tambahan perincian seperti bumbung suria panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa dan juga penutup gril hadapan aktif.

    Untuk keselamatan pula, semua varian eMas 7 ini diberikan enam beg udara dan juga kamera 360-darjah. Kedua-duanya juga diberikan sistem bantuan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, sokongan brek dinamik, amaran dan pengelak keluar lorong dan juga bantuan pengekal lorong kecemasan.

    Ia juga diberikan sokongan radar belakang yang memberikan fungsi seperti amaran pelanggaran belakang, amaran dan brek lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, pemantau titik buta dan amaran buka pintu.

    Proton eMas 7 – tempahan dibuka, harga anggaran RM120,000, kabin sudah didedahkan di ACE 2024Proton eMas 7 – tempahan dibuka, harga anggaran RM120,000, kabin sudah didedahkan di ACE 2024

    Spesifikasi penuh Proton eMas 7 dan contoh warna dari Geely Galaxy E5 (klik untuk besarkan)

    Lima warna badan ditawarkan untuk eMas 7 ini termasuk Platinum Silver, Turqouise Blue, Slate Gray, Quartz Rose, dan Lithium White.

    Hari ini juga Proton telah melancarkan aplikasi e.Mas yang boleh didapati di Apple App Store dan Google Play Store. Aplikasi ini boleh digunakan untuk membuat tempahan model-model eMas Proton secara atas talian. Sekiranya anda telah menerima kenderaan yang ditempah, aplikasi ini akan terus digunakan untuk memantau keadaan kereta, membantu mencari stesen pengecas dan membuat pengecasan dan pelbagai fungsi lagi.

    Hari ini juga Proton mengumumkan bahawa pembeli yang membuat tempahan hanya memerlukan bayaran sebanyak RM500. Pelanggan yang membuat tempahan awal juga akan menerima diskaun sebanyak RM500 dan juga pakej hadiah yang bernilai RM1,000.

    Proton eMas 7 ini akan dilancarkan secara rasmi pada hujung tahun ini. Kalau anda masih ragu-ragu untuk menempah model ini, anda boleh datang ke ACE 2024 yang berlangsung di Setia City Convention Centre bermula hari ini 26 Oktober hingga esok 27 Oktober untuk melihat depan mata, membelek dan merasa duduk dalam kabin SUV ini bagi membuat keputusan.

     
     
  • Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland ditutup sepenuhnya ekoran insiden cerun runtuh

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan bahawa Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran sempadan negeri Pahang, ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan akibat insiden cerun runtuh di KM43.4.

    Katanya, penutupan jalan bagi kedua-dua arah itu bermula jam 5 petang bagi memberi laluan kerja-kerja pembersihan jalan sehingga selesai.

    “Penutupan penuh terpaksa dilakukan ekoran masih terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian dan amat berisiko dilalui oleh semua kenderaan. Kerja pembersihan jalan dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri,” katanya menerusi kenyaraan yang dikeluarkan.

    Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland ditutup sepenuhnya ekoran insiden cerun runtuh

    Klik untuk besarkan

    Tambahnya, pengguna jalan raya disaran menggunakan laluan alternatif di Jalan Pahang dekat Tapah untuk ke Cameron Highlands.

    “Pengguna juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dilaksanakan,” katanya.

    Bagi yang bercadang ingin ke Cameron Highlands pada hujung minggu ini, anda dinasihati merancang semula perjalanan anda dan boleh melalui jalan alternatif yang disarankan. Memandangkan cuaca yang tidak menentu, pastikan anda utamakan keselamatan dan lebih berhati-hati ketika memandu.

     
     
  • MB Selangor mencadangkan agar Lebuhraya Pantai Barat (WCE) diperluaskan hingga ke KLIA

    MB Selangor mencadangkan agar Lebuhraya Pantai Barat (WCE) diperluaskan hingga ke KLIA

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mencadangkan agar Lebuhraya Pantai Barat (WCE) diperluaskan sehingga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, laporan Selangor Journal.

    Menurut Amirudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak, cadangan tersebut dilihat mampu memberi manfaat, bukan setakat di Selangor bahkan sehingga ke Port Dickson di Negeri Sembilan.

    “Pada pendapat saya, adalah bermanfaat sekiranya sambungan ini boleh sampai ke KLIA juga. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada orang lain, tetapi ia juga akan meningkatkan keseluruhan rangkaian kami, membawa kepada pengangkutan yang lebih pantas, pertumbuhan ekonomi, dan pembangunan yang lebih baik di rantau ini, terutamanya di wilayah pembangunan bersepadu di Selangor Selatan,” kata Amirudin.

    Pertama kali diumumkan pada 2014 untuk Bajet 2015, Lebuhraya Pantai Barat bersama-sama dengan Laluan Persekutuan 5 (FR5) menjangkau gabungan jarak hingga 275.8 km, dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2025.

    Lebuhraya tersebut telag menyaksikan pembukaan jajaran di Bandar Bukit Raja di Klang serta di Hutan Melintang, Lekir dan Changkat Chermin di Perak sejak Mei 2019, yang telah meningkatkan aliran trafik sebanyak 60% pada 2023.

     
     
  • Yamaha MT-07 2025 didedah – rupa baru, kini dengan mod tunggangan, TC, fork USD, pilihan gear automatik

    Yamaha MT-07 2025 didedah – rupa baru, kini dengan mod tunggangan, TC, fork USD, pilihan gear automatik

    Kali terakhir menerima peningkatan besar pada tahun 2021, Yamaha kini memperkenalkan MT-07 generasi keempat yang diberikan pelbagai peningkatan serta perubahan, yang bukan sahaja menaikkan lagi prestasinya, tetapi juga memberikan lebih fungsi kepada pengguna.

    Sebelum pergi lebih lanjut, kami ingin nyatakan terus bahawa enjin dua silinder selari CP2 689 cc yang cukup berkemampuan itu masih dikekalkan, dengan menghasilkan kuasa sama, iaitu 73.4 hp pada 8,750 rpm dan 7,750 rpm. Walaubagaimanapun, ia sekarang melekap pada casis baru yang dikatakan 12 ke 13 peratus lebih kuat berbanding sebelum ini.

    Selain transmisi manual enam kelajuan biasa, dengan klac jenis assist & slipper, MT-07 baru ini juga menerima pilihan transmisi automatik Y-AMT yang tidak mempunyai tuil klac di tangan dan tuil gear di kaki. Dengannya, penukaran gear boleh dibiarkan berlaku secara automatik atau menggunakan butang di sebelah kiri pemegang apabila berada dalam mod manual.

    Yamaha MT-07 2025 didedah – rupa baru, kini dengan mod tunggangan, TC, fork USD, pilihan gear automatik

    Dalam mod automatik, ada dua tetapan yang disediakan, dengan satu untuk penukaran yang lebih santai dan satu lagi lebih agresif (berguna untuk tunggangan bersemangat). Tiada quickshifter diberikan untuk transmisi manual, manakala transmisi automatik pula datang dengan tambahan fungsi cruise control.

    Teknologi pada MT-07 2025 ini sudah bertambah canggih dengan penggunaan pendikit ride-by-wire YCC-T (Yamaha Chip Controlled Throttle), yang membolehkan ia dilengkapi dengan dua mod tunggangan (mod custom disediakan sebagai pilihan tambahan) serta sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup). Menambahkan lagi kepuasan apabila menunggang, terdapat bukaan pada atas tangki bahan api yang dapat menyampaikan bunyi sedutan udara kepada penunggang.

    Rim MT-07 ini meskipun masih merupakan unit aluminium 17 inci, sebenarnya dibuat melalui teknologi SpinForged seperti rim MT-09 dan menjadikannya lebih ringan berbanding sebelum ini (sekitar 500 gram). Melekap padanya di bahagian hadapan adalah cakera berkembar 298 mm bersama angkup empat piston radial baru seperti MT-09. Belakang masih menggunakan cakera tunggal 245 mm bersama angkup satu piston.

    Memegang rim ini adalah fork USD 41 mm serta triple clamp aluminium die-cast baru di hadapan, sementara di belakang mendapat monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan. Kedudukan menunggang MT-07 baru ini berubah sedikit dengan pemegang yang lebih rendah dan dekat dengan penunggang, manakala peletak kaki pula adalah lebih rendah. Tinggi tempat duduk adalah 805 mm.

    Sama seperti model yang dipertingkat pada tahun 2022, MT-07 baru ini menggunakan skrin TFT lima inci untuk paparan informasi dan ia boleh disambungkan kepada telefon bimbit untuk memaparkan navigasi dan notifikasi lain, dan boleh dikawal melalui butang baru di bahagian kiri pemegang.

    Sudah tentu, sebagai model generasi baru, MT-07 ini menerima reka bentuk serba baru, yang termasuk lampu hadapan, panel belakang dan juga tangkinya. Berat keseluruhan MT-07 2025 adalah 183 kg bagi versi manual dan 186 kg bagi versi Y-AMT, dan ia datang dengan tangki bahan api 14 liter.

     
     
  • Toyota Yaris Ativ Nightshade diperkenal di Thailand – Vios 1.2 liter dengan lebih kemasan hitam, RM90k

    Toyota Yaris Ativ Nightshade diperkenal di Thailand – Vios 1.2 liter dengan lebih kemasan hitam, RM90k

    Toyota Thailand telahpun memperkenalkan satu lagi varian untuk sedan Yaris Ativ (dikenali sebagai Vios di Malaysia), yang diberi nama sebagai Yaris Ativ Nightshade. Varian ini dihasilkan dengan rupa lebih garang dengan hanya memadankan lebih kemasan-kemasan hitam pada bahagian luaran dan dalaman.

    Model ini diasaskan dari varian paling tinggi untuk Yaris Ativ di Thailand iaitu Premium Luxury, dan ia masih dijual pada harga 699,000 baht (RM89,900) yang sama. Pada sebelah luar kemasan hitam berkilat berkenaan ditambah pada cermin sisi, bumbung, dan juga rim 16-inci asal.

    Ia juga menerima penambahan spoiler pada but belakang yang tidak diberikan pada varian Premium Luxury, dan turut hadir dalam kemasan hitam berkilat. Hanya dua pilihan warna badan disediakan untuk Yaris Ativ Nightshade ini iaitu Cement Grey dan Platinum White Pearl.

    Toyota Yaris Ativ Nightshade diperkenal di Thailand – Vios 1.2 liter dengan lebih kemasan hitam, RM90k

    Kemasan hitam turut mendominasi bahagian kabin Yaris Ativ Nightshade ini berbanding gandingan maroon-hitam-perak pada Premium Luxury. Ia menerima upholsteri kulit hitam pada tempat duduk dan papan pemuka dengan jahitan bercorak quilted dan juga serlahan jahitan benang putih.

    Lain-lain kelengkapan masih sama seperti Premium Luxury di mana Yaris Ativ Nightshade ini dibekalkan standard dengan lampu hadapan LED-penuh, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa zon tunggal automatik dengan liang kabin belakang, paparan instrumental digital tujuh-inci, skrin infotainmen sembilan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera 360-darjah serta enam pembesar suara.

    Ia juga masih menerima enam-beg udara dan juga sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, amaran keluar laluan, amaran pergerakan hadapan, kawalan salah pijak pedal, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, dan lampu tinggi automatik.

    Yaris Ativ tidak menerima enjin 1.5 liter seperti Vios di Malaysia. Sebaliknya ia hanya diberikan enjin petrol NA 3NR-VE 1.2 liter Dual VVT-i verkuasa 94 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 110 Nm pada 4,400 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu roda hadapan.

    Bagi pembeli yang mahukan Yaris Ativ ini dengan penampilan lebih garang, Toyota Thailand turut menawarkan kit badan Lusso berharga 16,220 baht (RM2,090), yang terdiri dari splitter hadapan, skirt sisi dan juga splitter belakang.

     
     
  • C&C buka bilik pameran pertama Peugeot di Cheras

    C&C buka bilik pameran pertama Peugeot di Cheras

    Cycle & Carriage (C&C) kembali menjual kenderaan Peugeot di Malaysia melalui perjanjian pengedaran yang ditandatangani dengan Stellantis Malaysia pada Ogos lalu. Kini, penjual kenderaan itu sudah membuka bilik pameran pertama Peugeot di Cycle & Carriage Cheras. Pelancaran bilik pameran tersebut kebetulan ketika lawatan Ketua Pegawai Eksekutif Peugeot, Linda Jackson ke Malaysia, dan sekaligus menyempurnakan pembukaan itu.

    Terletak di tingkat satu Cycle & Carriage Cheras (di Jalan Lancang, Off Jalan Cheras, Batu 5), bilik pameran itu mempamerkan model ikonik Peugeot 408 selain model lain seperti 2008, 3008 dan 5008, dan juga trak pikap Landtrek. Turut tersedia ialah ruang kafe dan konfigurator kenderaan.

    C&C buka bilik pameran pertama Peugeot di Cheras

    Cycle & Carriage juga sedang mengadakan siri jelajah Peugeot di Sunway Geo Avenue yang akan berlangsung hingga 16 November. Pelanggan juga boleh menantikan pelancaran semula Cycle & Carriage Batu Caves dan Cycle & Carriage George Town yang akan menampung keperluan pelanggan Peugeot dari aspek lepas jualan.

    Cycle & Carriage Peugeot akan menyertai ACE 2024 yang akan berlangsung hujung minggu ini di Pusat Persidangan Setia City. Pengunjung berpeluang untuk jimat sehingga RM42,000 dengan tawaran yang diberikan, dan itu belum lagi termasuk manfaat bagi pelanggan yang membeli awal.

     
     
  • ACE 2024: Perodua 1-Day Challenge – tempah, daftar dan bawa pulang kenderaan baru dalam hari sama!

    ACE 2024: Perodua 1-Day Challenge – tempah, daftar dan bawa pulang kenderaan baru dalam hari sama!

    Biasanya kalau membeli sebuah Perodua, anda akan tahu apa yang anda dapat. Selain daripada ketahana, kecekapan bahan api dan pelbagai ciri, kereta ini juga datang dengan tempoh menunggu tertentu. Sangat jarang kita dapat membuat tempahan, mendaftar dan mendapat terus kenderaan baru dari jenama ini dalam masa satu hari.

    Disebabkan itu, Perodua mengadakan ‘1-Day Challenge’ di ACE 2024, yang bermula esok di Setia City Convention Centre (SCCC). Mereka berkata, pengunjung boleh membuat tempahan sewaktu acara dan kereta mereka terus akan didaftarkan pada hari sama. Kemudiannya pada hari itu juga, pembeli dapat membawa pulang kenderaan yang dibeli. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

    Satu-satunya cara untuk membuktikan cabaran Perodua ini berjaya atau tidak adalah dengan anda sendiri hadir ke ACE dan membeli sebuah Perodua. Jika memang sudah membuat kira-kira untuk membelinya, ini adalah masa paling sesuai kerana anda bukan sahaja akan terus dapat kereta tersebut, tetapi juga menikmati tawaran lain seperti rebat tunai RM1,000 untuk Axia dalam kempen ‘What’s Up Graduate?’, serta diskaun RM3,000 untuk Aruz. Selain itu, sebarang tempahan juga akan diberi dengan e-voucher RM300 Perodua.

    Bagi yang tidak membeli kereta, Perodua ada menyediakan tawaran lain. Antara adalah diskaun 15% untuk minyak asli dan alat ganti Perodua, bersama diskaun upah RM25, baucar UFirst dan pelbagai tawaran istimewa untuk kenderaan terpakai POV seperti potongan RM3,000 untuk Myvi dan pemeriksaan kereta percuma jika mahu membuat jualan semula (trade-in).

    ACE 2024: Perodua 1-Day Challenge – tempah, daftar dan bawa pulang kenderaan baru dalam hari sama!

    Jenama lain yang akan berada di ACE 2024 termasuklah Toyota, Proton, Mitsubishi, Volkswagen, BYD, Ford serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.

    Semua jenama tersebut juga akan turut disertai juga oleh BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria), Mercedes-Benz (menerusi Hap Seng Star) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto), serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi, serta Cycle & Carriage dengan jenama Peugeot dan Leapmotor. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.

    Pengunjung ACE 2024 turut berpeluang memandu uji barisan kenderaan dari pelbagai jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan dibawa — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.

    Tidak ketinggalan, 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.

    Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC. Masuk adalah percuma!

     
     
  • Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Deepavali – 30-31 Okt, 2-3 Nov

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Deepavali – 30-31 Okt, 2-3 Nov

    Sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut pada Khamis hadapan, 31 Oktober 2024, ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya KL-Karak (KLK) & Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit.

    TTA berkenaan adalah bagi perjalanan antara 30-31 Oktober dan 2-3 November 2024, memberikan peluang kepada pengguna untuk merancang perjalanan dengan baik bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa menuju kampung halaman atau destinasi pilihan.

    Bagi yang datang dari arah KL dan Selangor, dan memulakan perjalanan antara 30 hingga 31 Oktober, anda diminta mula bergerak antara jam 10 pagi hingga 2 petang atau selepas 8 malam hingga 11 malam jika ke Pahang, antara 8 pagi hingga 10 pagi atau selepas 8 malam hingga 11 malam bagi yang ke Terengganu dan yang menuju ke Kelantan, dicadangkan mula bergerak antara 6 pagi hingga 10 pagi atau selepas 5 petang hingga 8 malam.

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Deepavali – 30-31 Okt, 2-3 Nov

    Untuk perjalanan kembali ke KL dan Selangor pada antara 2 hingga 3 November pula, anda disarankan memulakan perjalanan antara jam 10 pagi hingga 12 tengahari atau selepas jam 5 petang hingga 7 malam jika dari Pahang. Bagi yang datang dari arah Terengganu, disarankan mula bergerak selepas 11 pagi hingga 1 tengahari atau selepas 5 petang hingga 7 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan mula bergerak selepas 3 petang hingga 5 petang atau selepas 10 malam hingga 12 tengah malam.

    Waktu perjalanan bebas pula dari mana-mana destinasi adalah antara 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Untuk bas ekspres pula, untuk destinasi ke Pantai Timur, disarankan memasuki Plaza Tol Gombak antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari atau 9.30 malam hingga 12 tengahmalam. ANIH memaklumkan, kenderaan ringan tidak digalakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.

    Buat masa ini, pemberian tol percuma untuk mana-mana lebuhraya sempena perayaan Deepavali masih belum diumumkan. Kita nantikan perkembangan selanjutnya sekiranya ada.

     
     
  • Siri plat MADANI terima bidaan cecah RM2.6 juta

    Siri plat MADANI terima bidaan cecah RM2.6 juta

    Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI yang dibuka bidaan menerusi platfrom dalam talian, JPJ eBid sejak 19 Oktober lalu dan berakhir jam 10 malam pada 23 Oktober 2024 telah mencatatkan kutipan mencecah RMRM2,623,329.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, jumlah itu berdasarkan laporan awal yang diterima pihaknya, laporan Berita Harian.

    “Hasil setakat ini RM2.6 juta, nanti saya akan keluarkan kenyataan,” katanya pada sesi taklimat media mengenai operasi Rapid KL pasca belanjawan semalam.

    Terkini, menurut JPJ pula, berdasarkan kepada rekod bidaan, MADANI 6 telah dibida dengan harga paling tinggi iaitu RM68,888. Diikuti MADANI 5 dengan harga RM58,001, MADANI 4 (RM55,000), MADANI 3 (RM51,111) dan MADANI 33 (RM42,110). Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah seramai 5,632 orang dan sebanyak 3,263 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

    Lima nombor yang paling banyak dibida ialah MADANI 1118 seramai 17 pembida, MADANI 8055 (15 pembida), MADANI 998 (13 pembida), MADANI 1305 (13 pembida) dan MADANI 113 (12 pembida).

    Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan rasmi. Tambahnya, hasil penjualan NPI ini juga merupakan salah satu langkah untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah kementerian Pengangkutan (MOT) seperti Program MyLesen, Program Pertukaran topi Keledar, FlySISWA, pembayaran Perkeso kepada pemandu teksi dan juga inisiatif lain.

    Nampak gayanya, siri MADANI ini tidaklah secemerlang rekod yang pernah dicatatkan oleh beberapa NPI yang pernah dibuka bidaan sebelum ini. Termasuklah NPI GOLD yang dibuka pada Februari lalu sempena Jubli Emas Wilayah Persekutuan ke-50 yang mencatatkan keuntungan mencecah RM17 juta menerusi 23,000 bidaan, termasuklah plat GOLD 1 yang menjadi milik DYMM YDPA Sultan Ibrahim Iskandar, dengan nilaian bidaan cecah RM1.5 juta.

    Manakala plat NPI M_M yang membawa maksud ‘Malaysia Merdeka’ pad September tahun lalu pula mencatatkan keuntungan mencecah RM20 juta daripada 25,033 bidaan. Bidaan tertinggi mencecah RM622k iaitu bagi M1M.

    Pada Mei 2023, NPI FF pula meraih sejumlah RM34.2 juta, mengatasi siri GOLD. Di mana plat FF8 mengungguli siri tersebut dengan bidaan sebanyak RM950k, diikuti FF9 (RM912k).

     
     
  • Mitsubishi DST Concept didedahkan di Filipina – dibangun untuk ASEAN; XForce versi 7-tempat duduk?

    Mitsubishi DST Concept didedahkan di Filipina – dibangun untuk ASEAN; XForce versi 7-tempat duduk?

    Seperti yang diumum pada awal bulan ini, semalam Mitsubishi telahpun mendedahkan model konsep baharunya di Philippine International Motor Show, dikenali sebagai Mitsubishi DST Concept. Seperti model konsep XM yang dijelmakan sebagai Xpander dan XFC yang diproduksi sebagai XForce, DST Concept ini juga bakal muncul dalam bentuk produksi sebenar dan dibina khas untuk pasaran ASEAN.

    Menurut Mitsubishi, DST Concept merupakan SUV tiga-baris tempat duduk untuk memuatkan tujuh orang penumpang yang dibina dengan kerangka monocoque, pacuan roda hadapan, dan versi produksinya bakal membuat kemunculan sulung global di ASEAN terlebih dahulu pada tahun fiskal 2025 iaitu bermula suku kedua 2025 hingga suku pertama 2026.

    Jadi apa yang kami jangkakan sebelum ini adalah hampir pasti – DST Concept bukannya Pajero Sport generasi baharu, sebaliknya ia adalah XForce dalam versi tiga-baris tempat duduk. Ini kerana Pajero Sport merupakan kembar kepada trak pikap Triton yang menggunakan casis ladder frame, enjin, transmisi dan juga sistem pacuan empat roda yang sama.

    Mitsubishi DST Concept didedahkan di Filipina – dibangun untuk ASEAN; XForce versi 7-tempat duduk?

    Walaupun SUV ini hanya memacu roda hadapan, Mitsubishi menyatakan bahawa DST Concept datang dengan lima mod pemanduan bagi membolehkan ia meredah pelbagai bentuk jalan dan situasi yang sesuai untuk ASEAN. Mod berkenaan adalah Normal, Gravel untuk jalan batu kerikil, Mud untuk jalan berlecak, Wet untuk pemanduan jalan banjir yang disebabkan hujan lebat secara tiba-tiba dan Tarmac untuk pemanduan yang lincah pada permukaan jalan tar yang berliku.

    Menurut Mitsubishi, DST Concept direka dengan konsep rekaan “Gravitas & Dynamism”. Ia menampilkan bentuk sebuah SUV sejati dengan stance yang lebar, dipadankan dengan set roda berdiameter besar bagi memberikan jarak kelegaan tanah yang tinggi, bagi “menawarkan tahap pemanduan dan juga kebolehan sebuah SUV yang tinggi”, dakwa Mitsubishi.

    DST Concept menampilkan muka dengan rekaan signatur Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi. Ia menerima lampu hadapan dan jalur lampu nyalaan siang berbentuk-T seperti XForce, tetapi dengan gril hadapan dengan elemen sarang lebah dan seolah-olah membentuk huruf-X pada muka. Manakala pada bahagian belakang, imej Xforce lebih jelas kelihatan menerusi lampu belakang LED yang juga direka seperti huruf-T.

    Mitsubishi DST Concept didedahkan di Filipina – dibangun untuk ASEAN; XForce versi 7-tempat duduk?

    Jenama itu turut menyatakan rekaan pada fender hadapan dan belakang model konsep ini adalah seperti ‘otot-otot’ atlit, membayangkan ia sebagai sebuah SUV yang lasak serta mempunyai tahap pengendalian yang baik. Manakala rekaan skid plate hadapan dan belakang yang menonjol dan juga pelindung-pelinding sisi badan memberikan sifat melindungi dan tahan lasak pada SUV ini.

    SUV ini juga menampilkan rekaan ‘bumbung terapung’ dengan kesemua tiang diwarnakan hitam. Cermin sisi paling belakang pula direka lebih kecil berbanding cermin-cermin tingkap pintu lain bagi menyerlahkan lagi bahagian ‘otot’ pada fender belakang, serta diberikan empat baris bar pada tiang-C bagi sekali lagi menyerlahkan imej lasak.

    Pada sebelah dalam pula Mitsubishi menyatakan bahawa DST Concept menerima kabin yang direka luas dan bergaya bagi memberikan semua penumpang termasuk pada tempat duduk baris ketiga mempunyai ruang yang cukup dan selesa. Ia menerima papan pemuka yang direka seolah-olah bersambung dengan panel pintu, serta skrin berkembar untuk sistem infotainmen dan juga paparan instrumen digital untuk pemandu.

    Satu suis putar bersaiz besar diletakkan pada konsol terowong, mungkin untuk memlilih lima mod pemanduan yang dinyatakan tadi. Juga tiada tombol gear konvensional diberikan, dan ia diganti dengan tombol yang diletak pada bahagian belakang suis putar tersebut, menampilkan suis tekan untuk pilihan PRND. Model konsep ini juga turut diberikan bumbung panaromik.

    “Mitsubishi DST Concept ini membayangkan SUV tiga-baris tempat duduk serba baharu yang akan dilancarkan pada pertengahan rancangan perniagaan Challenge 2025 kami, dan produksi utama model tersebut akan berjalan pada rantau ASEAN termasuk Filipina bermula pada tahun kewangan 2025,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

    “SUV serba baharu ini akan mengikut jejak langkah MPV crossover Xpander yang lahir pada rantau ASEAN dan berkembang menjadi model yang disukai oleh pelanggan seluruh dunia, dan juga SUV kompak XForce yang telah diterima ramai sejak pengenalannya pada tahun kewangan 2023. Dengan sasaran menghasilkan ia sebagai kenderaan strategi global, kami akan terus membangunkan ia sebagai SUV Mitsubishi sebenar yang akan mengembangkan pilihan mobiliti pelanggan kami,” tambahnya.

    Buat masa sekarang Mitsubishi sudahpun mempunyai Xpander Cross, iaitu Xpander yang diberikan perincian lebih lasak menyamai sebuah SUV. Namun disebabkan Xpander masih berstatus MPV, model produksi sebenar DST Concept ini kelak bakal menjadi wakil Mitsubishi dalam kelas SUV tujuh tempat duduk sebenar bagi berhadapan dengan saingan seperti Honda BR-V dan juga Toyota Rush/Daihatsu Terios/Perodua Aruz.

    Jika ia benar-benar sebuah Xforce yang lebih panjang, model produksi DST Concept ini kelak mungkin turut akan berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 1.5 liter empat silinder DOHC MIVEC NA berkuasa 105 PS/141 Nm bersama kotak gear CVT – padanan yang sama turut digunakan oleh Xpander. Dengan ketiadaan Honda BR-V generasi kedua di Malaysia, adakah anda rasa SUV tujuh-tempat duduk baharu ini akan dibawa ke pasaran tempatan?

     
     
  • MG Cyberster dibuka tempahan, dipamerkan di ACE 2024 – hanya AWD, harga jangkaan di bawah RM350k

    MG Cyberster dibuka tempahan, dipamerkan di ACE 2024 – hanya AWD, harga jangkaan di bawah RM350k

    Dipertontonkan di Malaysia pada Ogos lalu, kini MG Cyberster dibuka tempahan menerusi penganjuran paultan.org Auto Car Expo 2024 hujung minggu ini iaitu 26-27 Oktober. Harga jangkaan bagi varian tunggal pacuan semua-roda dwi-motor ini ialah di bawah RM350,000.

    Ia dilengkapi dengan motor berkuasa 544 PS (400 kW) dan tork 725 Nm, yang membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.2 saat dan kelajuan maksimum cecah 201 km/j. Roadster dengan dua tempat duduk ini juga diberikan bateri berkapasiti 77 kWh.

    Mengikut kitaran WLTP, jarak geraknya mampu mencecah 444 km, dan dengan pengecas pantas DC berkapasiti 144 kW, ia mampu mencapai status pengecasan 10-80% dalam masa 38 minit, sementara dengan sistem pengecas on-board 7 kW memerlukan masa 10.5 jam untuk memenuhkan bateri dari 10 hingga 100%.

    MG Cyberster dibuka tempahan, dipamerkan di ACE 2024 – hanya AWD, harga jangkaan di bawah RM350k

    Dari segi rekaan pula, Cyberster dikatakan mengambil inspirasi dari model MGB. Ia menampilkan muncung seperti ikan jerung dengan lampu LED hadapan dengan bentuk seperti badam. Manakala di belakang, ia berikan lampu yang direka seperti bendera Union Jack.

    Untuk menambah nilai estetika, MG Cyberster menerima pintu yang dibuka ke atas seperti kepak kupu-kupu. Bagi pasaran Malaysia, ia diberikan roda aloi tujuh-jejari “Jetstream” bersaiz 20-inci seperti yang anda lihat menerusi foto di sini.

    Menjengah bahagian kabin, ia diberkan skema warna sama ada hitam-merah atau kelabu-putih. Kedua-duanya juga menerima tempat duduk sport dengan enam-larasan kuasa, fungsi memori dan kulit Nappa serta Alcantara upholstery sama ada dalam rona merah atay kelabu (bergantung pada pemilihan warna luaran), roda stereng leper di bawah dengan pedal untuk pemilihan mod pemanduan dan brek regeneratif.

    MG Cyberster dibuka tempahan, dipamerkan di ACE 2024 – hanya AWD, harga jangkaan di bawah RM350k

    Walau bagaimana pun, daya tarikan utamanya ialah bahagian skrin yang terdiri daripada paparan instrumen digital 10.25-inci yang disambungkan dengan dua skrin sesentuh tujuh-inci yang mengawal infotainmen dan fungsi kenderaan. Selain itu, ada satu skrin sesentuh tujuh-inci yang menjadi perumah bagi kawalan suhu dwi-zon pada konsol tengah. Selain itu, ia juga diberikan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem bunyi Bose dengan lapan-pembesar suara.

    Cyberster kini ditawarkan dengan ciri bantuan pemandu sepenuhnya, yang merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, amaran titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto, amaran pelanggaran belakang dan amaran membuka pintu.

    Penawaran warna pula termasuk Dynamic Red, Inca Yellow, Camden Grey dan English White. Dan jika anda mahu menyaksikan sendiri Cyberster ini, jom sertai kami dalam ACE 2024 pada 26-27 Oktober ini yang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC). Masuk adalah percuma!

     
     
  • GALERI: Honda City Hatchback facelift 2024 dalam warna Phoenix Orange Pearl, tanpa tambahan kos

    GALERI: Honda City Hatchback facelift 2024 dalam warna Phoenix Orange Pearl, tanpa tambahan kos

    Honda City Hatchback facelift 2024 baru sahaja dilancarkan pada Mei lalu. Namun pada awal bulan ini, Honda Malaysia memberikan satu lagi kemaskini terhadap model berkenaan iaitu penambahan pilihan warna badan Phoenix Orange Pearl. Jika anda belum lagi melihat City Hatchback dalam pilihan warna baharu ini, nah kami belanja satu galeri penuh untuk anda tatap.

    Warna Phoenix Orange Pearl ini tidak menggantikan mana-mana sedia ada dalam katalog City Hatchback facelift, dan ia adalah satu lagi pilihan tambahan berbanding warna sedia ada iaitu Ignite Red Metallic, Lunar Silver Metallic (petrol sahaja), Meteoroid Grey dan Platinum White Pearl.

    Dan berbeza dengan warna Platinum White Pearl yang memerlukan pembeli menambah RM300 pada harga asal kereta untuk tambahan kesan ‘mutiara’ pada permukaan cat badan tersebut, Honda Malaysia nampaknya tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan pada warna Phoenix Orange Pearl ini.

    GALERI: Honda City Hatchback facelift 2024 dalam warna Phoenix Orange Pearl, tanpa tambahan kos

    Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM85,900 untuk 1.5 S, RM90,900 untuk 1.5 E, RM95,900 untuk 1.5 V, RM100,900 untuk 1.5 RS dan RM112,900 untuk e:HEV RS hybrid. Model facelift ini bukan hanya datang dengan rupa lebih segar, malah semua varian City Hatchback ini juga telah diberikan pakej keselamatan Honda Sensing secara standard.

    Bagi varian-varian petrol sepenuhnya, City Hatchback facelift ini masih dijana oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 litre DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS/145 Nm yang digandingkan dengan transmisi CVT.

    GALERI: Honda City Hatchback facelift 2024 dalam warna Phoenix Orange Pearl, tanpa tambahan kos

    Manakala bagi satu-satunya varian hibrid iaitu RS e:HEV, ia menerima enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127 Nm yang kebanyakkan masanya mengecas bateri, sementara roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 109 PS/253 Nm. Namun dalam situasi tertentu, enjin petrol berkenaan masih membantu memacu roda menerusi klac lock-up dalam transmisi e-CVT yang diberikan.

    Kami telahpun memandu uji Honda City facelift 2024 ini, dan laporan tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Honda City Hatchback E 2024 dalam warna Phoenix Orange Pearl

     
     
  • ACE 2024: Proton eMas 7 dibuka untuk tempahan pada 26 Okt — akan mula tunjuk bahagian dalaman

    ACE 2024: Proton eMas 7 dibuka untuk tempahan pada 26 Okt — akan mula tunjuk bahagian dalaman

    Sabtu ini akan berlangsung acara Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org dengan tajaan bersama Carro dan Emit Solar oleh Time Energy. Jangan ketinggalan dan jumpa anda di sana pada 26-27 Oktober 2024 di Pusat Persidagan Setia City (SCCC). Ada banyak jenama, model dan promosi yang akan diberikan.

    Proton juga telah umumkan yang SUV EV keluarannya, eMas 7 akan mula dibuka untuk tempahan Sabtu ini, 26 Oktober. Akan ada tawaran terhad bagi pelanggan terawal, jadi berkunjunglah ke ACE 2024. Bahagian dalaman SUV ini juga akan mula ditunjuk kepada umum untuk kali pertama!

    Selain itu, Proton juga akan melancarkan aplikasi e.MAS — anda boleh membuat tempahan terus melaluinya. Aplikasi ini juga akan ada ciri pengira kewangan, lokasi pengedar, lokasi pengecas dan fungsi lain untuk memudahkan pengalaman pemilikan pelanggan. Anda juga boleh membuat tempahan di 36 pengedar eMas seluruh negara.

    Menggunakan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GMA) oleh Geely sendiri, eMas 7 dilengkapi dengan motor 160 kW/320 Nm yang memanfaatkan teknologi bateri Blade yang memposisikannya di dalam kerangka kenderaan. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 6.9 saat (kereta paling laju Proton setakat ini) dengan jarak brek berhenti 35 meter serta radius pusingan 5.4 meter.

    Jenama lain yang akan berada di ACE 2024 termasuklah Toyota, Mitsubishi, Perodua, Volkswagen, BYD, Ford serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.

    ACE 2024: Proton eMas 7 dibuka untuk tempahan pada 26 Okt — akan mula tunjuk bahagian dalaman

    Selain itu, BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto) juga akan terlibat, serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi, serta Cycle & Carriage dengan jenama Peugeot dan Leapmotor. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.

    Pengunjung ACE 2024 turut berpeluang memandu uji barisan kenderaan dari pelbagai jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan dibawa — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.

    Tidak ketinggalan, 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.

    Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC. Masuk adalah percuma!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025