Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton eMas 7 — SUV EV dalam versi R3 lebih sporty

    Proton eMas 7 — SUV EV dalam versi R3 lebih sporty

    Bagaimana agaknya jika kereta elektrik Proton eMas 7 ditampilkan dalam versi lebih sporty? Dengan penampilan R3 misalnya. Mengambil inspirasi daripada model R3 yang pernah ada unutk Saga R3 dan Iriz R3 sebelum ini, Theophilus Chin membayangkan bagaimana pula penampilan eMas 7 ini dalam gaya yang sama.

    Gandingan tema hitam-kuning digunakan di sini. Wajah depan bagaimanapun tiada jalur kuning di tengah dan bawah seperti varian Saga dan Iriz berkenaan. Namun, perincian kuning ada ditambah di bahagian sudut bampar depannya.

    Di bahagian sisi, Theo mengikuti tema R3 sedia ada dengan menerapkan warna kontras kuning yang diletakkan di bahagian bawah pintu, serta untuk perumah cermin sisi. Rim aloi pula kekal dengan penyedah dua-tona warna.

    Di belakang, kemasannya turut dihadirkan dengan warna kontras kuning R3 di seksyen bawah bamparnya, dengan lencana R3 dilekatkan di bawah lencana eMas 7. Nama Proton kekal di tengah-tengah.

    Proton eMas 7 — SUV EV dalam versi R3 lebih sporty

    Bagi SUV EV Proton eMas 7 yang akan dilancarkan nanti, ia berkongsi banyak persamaan dengan model Geely Galaxy E5 — motor tunggal yang menjana sebanyak 218 PS dan 320 Nm. Ini membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Kelebihan eMas 7 berbanding Galaxy E5 ialah ia hadir dengan kemampuan meredah air sedalam 400 mm untuk berhadapan dengan kemungkinan banjir.

    Proton eMas 7 juga akan diberikan tetapan suspensi yang lain berbanding E5. Pengalaman memandu Galaxy E5 di jalan tempatan sebelum ini menunjukkan yang ia terlalu lembut. Maka untuk Proton, suspensi lebih keras akan diberikan.

    Anda juga akan berpeluang meninjau Proton eMas 7 dari dekat hujung minggu ini di acara Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org pada 26-27 Oktober 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Masuk adalah percuma.

     
     
  • Zeekr Mix dilancarkan di China – MPV EV lima tempat duduk dengan tiga pintu lungsur, jarak gerak 702 km

    Zeekr Mix dilancarkan di China – MPV EV lima tempat duduk dengan tiga pintu lungsur, jarak gerak 702 km

    Selepas didedahkan April lalu, Zeekr Mix akhirnya dilancarkan untuk pasaran China, dengan membawa keunikan yang tersendiri. MPV ini ini cuma boleh menempatkan lima orang, tetapi menampilkan pelbagai tetapan dan kegunaan di bahagian dalam.

    Dengan ukuran panjang 4,688 mm, Mix ini sebenarnya 100 mm lebih pendek berbanding Nissan Serena C28, tetapi jarak rodanya lebih panjang (3,008 mm) dan mencatat lebar 1,995 mm serta tinggi 1,775 mm. Ia juga adalah kenderaan produksi pertama yang dibina atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely versi SEA-M, yang disediakan untuk MPV, robotaxi serta kenderaan logistik.

    Bentuk Mix ini ternyata unik dengan permukaan badan serba licin dan di hadapan terdapat lampu Stargate yang terdiri daripada 1,960 unit LED. Pemandu bukan sahaja boleh menetapkan nyalaan sendiri, malah juga memaparkan mesej pada lampu ini untuk dilihat oleh orang lain. Bahagian belakang seperti biasa menggunakan jalur lampu penuh dari kiri ke kanan.

    Zeekr Mix dilancarkan di China – MPV EV lima tempat duduk dengan tiga pintu lungsur, jarak gerak 702 km

    Apabila pintunya dibuka bertambahlah lagi keunikannya. Pada bahagian pemandu ia terbuka seperti biasa, tetapi bagi tiga pintu lagi, ia dibuka secara lungsuran. Bagi dua pintu belakang, itu mungkin biasa, tetapi pintu hadapan sebelah penumpang juga dibuka secara lungsur, tetapi ke hadapan. Anda juga boleh melihat tiada rel pada badan untuk pintu lungsur ini kerana ia menggunakan cantilever besar.

    Selain daripada itu, Mix juga tidak mempunyai b-pillar, sekaligus memberikan ruang lebih besar untuk penumpang keluar dan masuk. Bagi memastikan badannya kekal kuat, kerangka bumbung dibuat menggunakan besi berkekuatan tinggi yang melalui proses penebalan unik.

    Di dalam, Mix menggunakan papan pemuka berbentuk rata, dengan di hadapan pemandu terdapat panel instrumen 13 inci dan skrin sesentuh untuk infotainmen di tengah bersaiz 15 inci. Skrin ini juga boleh dipusing sehingga 12 darjah ke arah pemandu dan 47 darjah ke arah penumpang hadapan.

    Zeekr Mix dilancarkan di China – MPV EV lima tempat duduk dengan tiga pintu lungsur, jarak gerak 702 km

    Di antara penumpang hadapan dan belakang terdapat konsol tengah petak dengan perehat tangan dan peti sejuk untuk penumpang belakang. Ia boleh dilungsur 790 mm ke hadapan atau belakang dan datang dengan beberapa tapak untuk menempatkan meja, peletak cawan atau tilam angin (apabila tempat duduk hadapan dilipat rata).

    Penumpang belakang pula disediakan dengan fungsi keselesaan seperti sebuah limosin, dengan tempat duduk yang mempunyai ciri pemanas, liang udara, larasan kuasa, perehat kaki serta fungsi mengurut. Walaupun dengan ciri seperti ini, ia masih menyediakan ruang barangan 568 liter di belakang dan boleh menjadi 2,000 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Tempat duduk hadapan juga mempunyai fungsi uniknya sendiri. Ia boleh dipusing sama ada terus menghadap ke belakang atau ke bahagian tepi untuk melihat ke bahagian luar. Menurut Zeekr, ini membolehkan aktiviti seperti memancing sambil duduk di dalam kereta. Selain itu, ia juga boleh ditolak rapat ke papan pemuka untuk memberi lebih ruang.

    Zeekr Mix dilancarkan di China – MPV EV lima tempat duduk dengan tiga pintu lungsur, jarak gerak 702 km

    Semua model Mix dipacu oleh satu motor elektrik di belakang, yang mampu menghasilkan kuasa 421 PS (310 KW) dan tork 440 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat. Dengan tidak banyak komponen di bahagian hadapan, radius pusingan tayarnya dapat dijadikan lebih kecil hingga menjadi bawah lima meter.

    Pilihan bateri yang disediakan adalah termasuk pek lithium iron phosphate (LFP) 76 kWh atau nickel manganese cobalt (NMC) 102 kWh, yang masing-masing memberikan jarak gerak 550 km dan 702 km. Melalui binaan elektrikal 800 volt, Mix dapat menerima pengecasan sehingga 420 kW.

    Disebabkan itu, untuk mengecas bateri dari 10 ke 80% ia cuma mengambil masa 10.5 minit bagi pek bateri yang lebih kecil dan 15 minit untuk pek yang besar. Mix juga boleh menyediakan kuasa mengecas DC sehingga 60 kW untuk disalurkan kepada kenderaan lain. Fungsi V2L pula masih di kadar 3.3 kW.

    Zeekr Mix dilancarkan di China – MPV EV lima tempat duduk dengan tiga pintu lungsur, jarak gerak 702 km

    Dalam keadaan standard Mix datang dengan sensor lidar di atas cermin hadapan, dan apabila digabung dengan pemproses Nvidia Drive Orin-X, ia dapat memberikan pelbagai sistem bantuan termasuk Navigation Zeekr Pilot (NZP, pilihan tambahan).

    Harga Mix bermula 279,900 yuan (RM171,200) untuk yang datang dengan pek bateri kecil, dan meningkat sehingga 299,900 yuan (RM183,800) untuk model jarak gerak lebih jauh. Memandangkan Zeekr akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi, adakah anda ingin melihat model ini juga ditawarkan kepada pengguna kita?

     
     
  • Dua Nissan GT-R R35 dari Top Secret, sebuah dari HKS sah akan dipamer di Tokyo Auto Salon KL 2024

    Dua Nissan GT-R R35 dari Top Secret, sebuah dari HKS sah akan dipamer di Tokyo Auto Salon KL 2024

    Tokyo Auto Salon KL (TASKL) untuk edisi kedua sudah diumum akan berlangsung Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 9 hingga 11 Jun lalu. Dan antara kereta ubahsuai dari Jepun yang sudahpun disahkan akan berada di acara tersebut adalah dua buah Nissan GT-R R35 dari Top Secret, dan sebuah lagi R35 yang ditala oleh HKS.

    Bagi GT-R milik Top Secret, ia akan diwakili oleh jentera yang dikenali sebagai R35 Gold M24 SPL. Ini merupakan jentera terbaharu yang dibangunkan oleh Top Secret dan baru sahaja dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2024 di Jepun Januari lalu, bukan TS R35GTR Gold yang dibawa ke sini pada TASKL 2023.

    Kereta yang masih sah digunakan di atas jalan raya ini menghasilkan kuasa 815 PS dengan set ekzos titanium sepenuhnya dari Top Secret, serta dipadankan dengan kit badan terkini Top Secret untuk tahun 2024 yang merangkumi bampar hadapan dan belakang, sayap GT gergasi di belakang, disudahkan dengan warna badan Candy Gold signatur Top Secret.

    Dua Nissan GT-R R35 dari Top Secret, sebuah dari HKS sah akan dipamer di Tokyo Auto Salon KL 2024

    Ia juga menerima set rim OZ Futura custom khas dibuat untuk Top Secret bersaiz 20-inci dan lebar 11J (offset 15), dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE71RS 285/35R20. Pengedaliannya juga dipertingkat menerusi pemadanan kit suspensi Dumptronic, lengan atas suspensi hadapan juga dari kit tingkat taraf brek semuanya dari Top Secret.

    Manakala GT-R R35 kedua dari Top Secret merupakan kereta harian yang digunakan oleh pengasas Top Secret sendiri iaitu Smokey Nagata. Asas kereta ini sendiri bukannya dari versi GT-R biasa, sebaliknya ia adalah model edisi terhad Nissan GT-R T-Spec Track Edition.

    Nagata memilih GT-R T-Spec dengan warna istimewa Millenium Jade yang sebelum ini dipadankan pada model istimewa Skyline GT-R R34 V-Spec II Nür. Antara perincian standard T-Spec Track Edition yang masih boleh dilihat pada kereta ini termasuk set brek seramik dan dan juga penutup kepala silinder enjin rekaan eksklusif berwarna emas.

    Selain dari itu, model edisi terhad ini telah menerima peningkatan seperti kit aero dari Top Secret termasuk bonet hadapan dan fender hadapan kedua-duanya diperbuat dari gentian karbon, manakala set rim aloi forged Rays Engineering yang datang secara standard dari kilang telah diganti dengan rim 20-inci OZ Futura yang dihasilkan khas untuk Top Secret.

    Penala gergasi Jepun, HKS pula akan membawa Nissan GT-R R35 yang digelar sebagai HKS R35 NEO GT1000+ Concept. Sekali lagi, ini bukan jentera yang diasaskan dari model GT-R biasa, sebaliknya dibangunkan menggunakan model terbaharu Nissan GT-R R35 Nismo 2024, dan ia merupakan versi jalan raya untuk jentera ‘Time Attack’ HKS R35 GT1000+ yang digunakan di litar.

    Enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar dalam perut GT-R Nismo 2024 berkenaan sudahpun menghasilkan 570 PS dan tork maksima 637 Nm. Namun dengan pengubahsuaian seperti kapasiti enjin yang ditingkatkan kepada 4,255cc, pemadanan pengecas turbo ball bearing HKS GT5565 yang baru dibangunkan, sistem ekzos HKS dan pelbagai lagi, HKS R35 NEO GT1000+ Concept ini mampu menghasilkan kuasa lebih dari 1,000 PS.

    Bukan itu sahaja, jentera ini turut dipadankan dengan transmisi HKS GR6 yang diperkuat, set suspensi prototaip HKS Hipermax. Ia turut menerima set rim Advan Racing GT Beyond bersaiz 20-inci dengan lebar 10.5J di hadapan, dan 20-inci lebar 11J di belakang. Kesemua rim tersebut dibalut dengan tayar perlumbaan Advan A052 bersaiz 285/30R20.

    TASKL 2024 akan menampilkan ruang acara seluas iaitu 170,000 kaki persegi berbanding 130,000 kaki persegi tahun lalu. Selain dari Top Secret dan HKS, Veilside dan Trust/Greddy juga telah mengesahkan kehadiran mereka. Jenama seperti Option, Tomica dan juga San Ei Corporation turut dibawa bagi memberikan suasana seperti benar-benar di Makuhari Messe.

    Tiga unit GT-R R35 ini adalah sebahagian dari 15 unit kereta ubahsuai dari Jepun yang akan dibawa ke TASKL 2024. Sebanyak 300 kereta ubahsuai akan dipamerkan pada acara ini, dan antara aktiviti yang akan berlangsung termasuk pertandingan autoshow yang akan diadili oleh juri dari kalangan penala-penala Jepun, perhimpunan kelab-kelab kereta, jualan baran-barang kenderaan, demonstrasi drift, cabaran perlumbaan simulator, pertandingan audio kenderaan, pertandingan pop & bang dan juga persembahan-persembahan secara langsung.

    Tiket untuk TASKL 2024 kini sudahpun mula dijual atas talian menerusi laman web rasmi acara ini. Tiket biasa untuk acara itu dijual pada harga RM60 untuk sehari, manakala pas untuk tiga hari turut ditawarkan dengan harga RM120. Tiket untuk kanak-kanak berumur antara 6 dan 12 tahun pula dijual pada harga RM30 sehari dan RM60 untuk pas 3 hari. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun pula boleh masuk secara percuma, manakala untuk pemegang kad OKU (termasuk 1 penjaga jika diperlukan) pula berhak mendapat potongan 50% daripada harga tiket.

    GALERI: Nissan GT-R R35 Gold M24 SPL dan T-Spec Track Edition Smokey Nagata

    GALERI: Nissan HKS R35 NEO GT1000+ Concept

     
     
  • JPJePlate versi tulisan kecil akan diguna untuk 9-13 huruf dan nombor, plet akan datang tidak akan lebih 13

    JPJePlate versi tulisan kecil akan diguna untuk 9-13 huruf dan nombor, plet akan datang tidak akan lebih 13

    Semasa lawatan kami ke kilang pengeluaran Handal Ceria di Cyberjaya hari ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mendedahkan bahawa mereka akan memperkenalkan JPJePlate versi tulisan lebih kecil yang boleh memuatkan sehingga 13 karekter (huruf + nombor).

    Saiz tulisan yang digunakan untuk JPJePlate sekarang hanya boleh memuatkan sehingga lapan karekter sahaja dalam satu papan. Ini bermakna, nombor plet dengan 9-13 karekter akan menggunakan versi tulisan lebih kecil (contohnya siri CHANCELLOR, XXVIASEAN, PUTRAJAYA dan MALAYSIA).

    Menurut sumber kami, JPJ sudah bersetuju bahawa nombor plet istimewa akan datang tidak akan melebihi 13 karekter secara keseluruhan. Jadi mengikut cara ini, adakah contoh MADANI 11 (lapan karekter) akan menggunakan versi biasa manakala MADANI 111 (sembilan karekter) akan menggunakan versi tulisan lebih kecil? Bersama kita lihat nanti.

    Buat masa sekarang, JPJePlate cuma dikeluarkan untuk kenderaan elektrik (EV) sahaja, namun nanti ia juga akan diperkenalkan untuk kenderaan lain.

     
     
  • MIROS laksana tinjauan kerusi keselamatan kanak-kanak – 300 penyertaan pertama dapat kredit TnG

    MIROS laksana tinjauan kerusi keselamatan kanak-kanak – 300 penyertaan pertama dapat kredit TnG

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengeluarkan satu tinjauan baharu untuk menilai penggunaan kerusi kereta kanak-kanak di kalangan pemandu Malaysia. Agensi itu berkata ia berhasrat untuk menilai kesediaan orang ramai terhadap penguatkuasaan undang-undang kerusi kanak-kank.

    Secara tidak langsung, maklum balas itu juga dapat membantunya memahami faktor yang mempengaruhi penggunaan kerusi kanak-kanak serta cara meningkatkan keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan.

    Antara soalan yang ditanya dalam tinjauan itu ialah sama ada peserta memiliki kerusi kanak-kanak, berapa kerap mereka menggunakannya dan apakah langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk menjadikan mereka lebih kerap menggunakannya. Bagi 300 penyertaan pertama akan menerima baucar eWallet Touch ‘n Go bernilai RM8.

    MIROS telah lama menganjurkan kempen penggunaan kerusi kanak-kanak untuk memastikan kanak-kanak selamat di dalam kereta. Antaranya, MIROS telah bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dalam program subsidi MyCRS pada 2022. Penggunaan kerusi kanak-kanak di Malaysia masih kekal rendah, yang disebabkan penguatkuasaan tidak begitu dijalankan. Walaupun penggunaan produk menyelamatkan nyawa ini diwajibkan sejak 2020, namun penguatkuasaan undang-undang tersebut telah ditangguhkan dan masih dalam kajian kementerian.

    Untuk menyertai tinjauan ini, hanya perlu mengmbas kod QR menerusi imej di atas atau klik PADA PAUTAN INI.

     
     
  • Jadikan stesen pengecas EV aset grid nasional – Yeo

    Jadikan stesen pengecas EV aset grid nasional – Yeo

    Kerajaan sepatutnya membuat pertimbangan untuk memasukkan sekali stesen pengecas dalam aset grid nasional demi memberi sokongan kepada percambahan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia – kata ahli parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dalam laporan Bernama.

    Beliau turut menambah bahawa jika tidak ada banyak stesen pengecas, orang tidak akan membeli EV, dan sebaliknya, jika tidak banyak EV atas jalan, tidak banyak syarikat yang ingin memasang stesen pengecas.

    Dalam perbahasan Supply Bill di parlimen semalam, Yeo memberi cadangan supaya kos pemasangan stesen pengecas ditanggung oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggunakan Perbelanjaan Modal (capex) daripada Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh kawal selia (RP) seterusnya iaitu RP4 bagi tempoh 2025-2027.

    “Dengan memasukkan pemasangan stesen pengecasan di bawah IBR, TNB akan menjadi pelaksana utama dan ia boleh merancang dan memasang stesen pengecasan dengan cepat dan efisien. Selain itu, kos per unit stesen pengecasan akan menjadi lebih rendah dengan adanya ekonomi bidangan,” kata Yeo.

    Jadikan stesen pengecas EV aset grid nasional – Yeo

    Tambah beliau lagi, semua capex untuk infrastruktur grid kebangsaan adalah termasuk di bawah IBR dan ia adalah antara komponen digunakan untuk menentukan tarif asas di Semenanjung.

    Menurut Yeo, jika capex untuk RP4 adalah sama seperti RP3 iaitu RM20 bilion, perbelanjaan pembinaan stesen pengecasan hanya 2.9% daripada jumlah perbelanjaan modal yang akan diperuntuk oleh TNB untuk tempoh 2025-2027.

    “Berdasarkan kiraan kasar saya, untuk mencapai sasaran 10,000 stesen pengecasan kita perlu membina kira-kira 7,500 stesen lagi. Andai kata 20% daripada ini adalah pengecas DC, yang mana kos sekitar RM250,000 dan 80% pengecas AC yang mana kos sekitar RM35,000, maka jumlah kos ialah RM585 juta. Persoalannya sekarang, adakah berbaloi untuk membuat pelaburan? Saya rasa ya. Ini kerana kesannya sangat besar dan positif,” kata Yeo.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman pada 25-27 Okt dalam Karnival Jualan Agro Madani Mega di Dataran Bentong

    Polis beri 50% diskaun saman pada 25-27 Okt dalam Karnival Jualan Agro Madani Mega di Dataran Bentong

    Sempena dengan Karnival Jualan Agro Madani Mega 2024 yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 Oktober ini, bertempat di Dataran Bentong, Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Bentong atau daerah sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Lesen memandu, cukai jalan digital terus kekal – Loke

    Lesen memandu, cukai jalan digital terus kekal – Loke

    Cukai jalan kenderaan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital yang dilaksanakan sejak Februari tahun lalu akan terus dikekalkan sejajar dengan dasar digitalisasi negara, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Katanya, kementeriannya tidak akan mengkaji semula pelaksanaan cukai jalan dan LMM walaupun terdapat permintaan beberapa pihak terutama pengguna, laporan New Strait Times.

    “Kita kena progresif kerana ketika ini, sudah banyak perkhidmatan dinaik taraf kepada digital termasuk cukai jalan dan lesen memandu,” katanya.

    Walau bagaimana pun, Beliau berkata, pengguna hanya perlu mencetak cukai jalan dan lesen memandu digital jika mereka memasuki negara jiran.

    “Sekiranya hendak ke luar negara, boleh cetak sahaja cukai jalan atau lesen memandu. Tidak menjadi masalah dan tidak perlu dikaji balik. Pendigitalan ini akan terus dikekalkan tetapi tidak bermaksud cukai jalan dan lesen memandu digital tidak boleh dicetak kerana ia boleh dicetak sendiri.

    “Jika hendak masuk negara jiran termasuk Thailand yang tetapkan syarat perlu cukai jalan atau lesen memandu fizikal, cetak sahajalah, tak susah pun,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

     
     
  • Mazda BT-50 facelift 2025 didedah – rupa lebih segar, skrin infotainmen baharu, Android Auto tanpa wayar

    Mazda BT-50 facelift 2025 didedah – rupa lebih segar, skrin infotainmen baharu, Android Auto tanpa wayar

    Mazda BT-50 kini diberikan satu lagi fasa facelift baharu yang memberikan rupa lebih segar bersama beberapa perincian baharu yang dipertingkat. Ia bakal dilancarkan dan didedahkan sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan, namun Mazda telah pun menyiarkan beberapa foto dan spesifikasi awalan versi facelift baharu bagi model generasi ketiga yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2020 ini.

    Perubahan paling ketara yang boleh dilihat adalah pada bahagian muka di mana ia menerima gril baharu dengan elemen pin dalam kemasan hitam berkilat, serta diberikan logo Mazda yang lebih besar. Lampu hadapan juga dirombak dengan kluster yang direka untuk disesuaikan pada gril baharu berkenaan, dan diberikan lampu nyalaan siang LED bina dalam dengan grafik berbentuk-L berkembar.

    Bampar hadapan juga dikemaskini menampilkan bahagian skid plate yang lebih menonjol bagi menyerlahkan rupa lebih lasak, sementara pada perumah lampu kabus ia turut diberikan tirai udara bagi memperbaiki keberkesanan aerodinamik yang didakwa mampu memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien.

    Mazda BT-50 facelift 2025 didedah – rupa lebih segar, skrin infotainmen baharu, Android Auto tanpa wayar

    Versi facelift 2024 ini juga tampil dengan rekaan rim baharu. Manakala di belakang ia menerima lampu dengan grafik baharu serta logo Mazda yang lebih besar diletak di bawah pembuka pintu tailgate belakang.

    Rupa asas sebelah dalam masih lagi sama seperti sebelum ini, tetapi diberikan beberapa tingkat taraf perincian. Saiz skrin infotainmen masih lagi sama iaitu sembilan-inci, tetapi unit baharu ini sudahpun menerima fungsi Android Auto tanpa wayar berbanding hanya Apple CarPlay tanpa wayar sebelum ini.

    Untuk pemandu, papan meternya juga dipertingkat dengan skrin TFT tujuh inci untuk paparan pelbagai informasi berbanding hanya 4.2-inci sebelum ini. Selain itu ia turut menerima port USB-C dan juga upholsteri baharu pada panel pintu, papan pemuka dan lain-lain bahagian.

    Mazda BT-50 facelift 2025 didedah – rupa lebih segar, skrin infotainmen baharu, Android Auto tanpa wayar

    Bagi varian tertinggi, tempat duduk trak pikap ini menerima upholsteri kulit hitam dengan Maztex dan sued sintetik dalam kemasan Terracotta, bersama sulaman ‘BT-50’ pada perehat kepala.

    Perincian keselamatan juga dipertingkat dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) menampilkan kamera hadapan stereo baharu bagi memberikan sudut pengesanan yang lebih luas. Ia juga diberikan fungsi tambahan seperti bantuan kesesakan trafik, brek lintasan trafik belakang dan cruise control adaptif pintar.

    Manakala sistem brek kecemasan automatik (AEB) dipertingkat untuk mengesan penunggang motosikal dan pejalan kaki di persimpangan, manakala pengekal lorong kecemasan kini boleh mengesan hujung bahu jalan tanpa garisan jalan.

    Bagi yang belum mengetahui, Mazda BT-50 generasi ketiga ini sebenarnya dibangunkan dengan platform dan juga unit rangkaian kuasa yang sama seperti Isuzu D-Max. Model facelift ini akan terus digerakkan dengan pilihan enjin sama ada 1.9 liter RZ4E-TC 1,898 cc empat silinder turbodiesel berkuasa 150 PS dan tork 350 Nm, atau unit 3.0 liter 4JJ3-TCX 2,999 cc empat silinder turbodiesel berkuasa 190 PS dan tork 450 Nm.

    Sebanyak tujuh warna badan ditawarkan untuk Mazda BT-50 facelift 2025 ini, termasuk Geode White Pearl dan Sailing Blue Metallic, serta warna baharu eksklusif Red Earth Metallic.

     
     
  • Harga minyak 24-30 Okt – Semuanya tiada perubahan

    Harga minyak 24-30 Okt – Semuanya tiada perubahan

    Bagi minggu bertarikh 24 hingga 30 Oktober 2024, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa harga ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel dikekalkan seperti minggu sebelum ini.

    Bermakna petrol RON 97 dikekalkan pada harga RM3.19 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Menerusi perbentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap menteri kewangan pertama Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran subsidi bagi petrol RON95 akan diumumkan pada pertengahan tahun hadapan. Buat masa ini, tiada lagi tarikh ditetapkan, dan bagaimana ia akan dilaksanakan, namun Anwar memberitahu penyasaran subsidi ini hanya akan melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.

     
     
  • Bank tarik kereta ada tunggakan bayaran, pemilik rosakkan kereta — apa cara terbaik hadapi situasi ini?

    Bank tarik kereta ada tunggakan bayaran, pemilik rosakkan kereta — apa cara terbaik hadapi situasi ini?

    Tular satu kejadian tarik kereta di media sosial, yang menyaksikan sekumpulan individu dirakam sedang merosakkan kenderaan yang ingin ditarik. Dalam hantaran di Facebook yang dikongsikan oleh akaun Rasis Jalil, difahamkan kemungkinan itu melibatkan kes sambung bayar dari pemilik asal — ansuran dibayar kepada pemilik asal, namun pemilik asal tidak menjelaskan bayaran berkenaan kepada bank, dan bank kemudiannya menghantar wakil untuk menarik kereta berkenaan.

    Jika situasi itu benar, maka ini adalah contoh nyata yang terbaru tentang risiko membeli kereta secara sambung bayar. Ia akan mengheret pembeli ke dalam situasi yang merugikan. Perbuatan sambung bayar kenderaan ini memang salah, dan pembeli dari awal lagi akan berada dalam keadaan tiada sebarang jaminan ke atas pemilikan kenderaan tersebut. Jadi, jangan pernah terfikir untuk membeli kereta secara sambung bayar, tidak kisahlah dari adik-beradik atau rakan-rakan. Kalau mahu, lakukan dengan cara yang betul — pindah milik kenderaan.

    Membeli dengan cara sambung bayar, pembeli tidak pernah mempunyai bukti untuk menyatakan yang kereta terbabit milik mereka. Ada banyak kes sama berlaku seperti itu: walaupun jadual pembayaran pembeli sangat elok kepada pemilik asal, atau bahkan sehingga langsai semua jumlah yang dipersetujui, kereta tersebut masih lagi bukan di bawah nama pembeli.

    Dan ada kes, setelah selesai bayar jumlah ansuran bank, pemilik asal mengambil semula kenderaan mereka — di atas kertas, memang pemilik asal masih lagi pemilik yang sah, dan pembeli tidak berada dalam keadaan yang menyebelahi mereka untuk membuat tuntutan. Jadi, jangan meletakkan diri anda dalam keadaan ini. Untuk berhadapan dan mengalami intimidasi sepanjang proses tarik kereta juga boleh jadi satu pengalaman yang membawa trauma kepada sesetengah orang.

    Namun, ada lagi satu sisi lain juga yang boleh dipelajari dari kes ini. Jika bank menarik semula kenderaan yang ada tunggakan bayaran, jangan rosakan kenderaan terbabit. Walaupun dalam kes di atas pembeli mungkin marah dan dengan sengaja ingin merosakan kenderaan kerana sakit hati serta ingin membalas perbuatan pemilik asal, dalam keadaan apa pun jangan rosakan kenderaan tersebut kerana ia boleh menjadi satu kes lain, vandalisme atau merosakan harta benda misalnya — dan kesalahan itu boleh didakwa.

    Bank tarik kereta ada tunggakan bayaran, pemilik rosakkan kereta — apa cara terbaik hadapi situasi ini?

    Seorang lagi pengguna Facebook, Azizul Azli Ahmad berkongsi pandangan yang lebih lanjut tentang bagaimana untuk berhadapan dengan situasi tarik kereta, terutama sekali jika kita sendiri adalah pemilik kenderaan tersebut.

    Secara ringkas, Azizul menyarankan agar pemilik yang berdepan situasi seperti itu agar kekal rasional dan mengambil langkah yang diplomatik. Hutang memang perlu dibayar, dan untungnya berususan dengan bank, semua itu boleh dibincangkan semula — mungkin dengan penalti ke atas kegagalan kita yang gagal melangsaikan ansuran bulanan. Selalu ada jalan yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah itu.

    Berkaitan merosakkan kenderaan, Azizul turut menyatakan itu adalah satu tindakan yang sama sekali tidak perlu dilakukan. Tulisnya: “8. Jangan rosakkan kenderaan: hutang kenderaan masih atas nama kita, merosakkan kenderaan hanya akan mengurangkan nilai kenderaan. Semakin rendah nilai, semakin besar hutang kita.”

    Perkara terbaik untuk dilakukan dalam situasi ini adalah pertama sekali bertenang terlebih dahulu, dan kemudian menghubungi bank untuk mencari penyelesaian yang wajar. Paling penting, jangan beli kereta dengan cara sambung bayar!

     
     
  • MITI kekalkan sasaran bina 10,000 pengecas EV menjelang 2025, kini berada pada tahap 32%

    MITI kekalkan sasaran bina 10,000 pengecas EV menjelang 2025, kini berada pada tahap 32%

    Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menegaskan bahawa ia akan terus mengekalkan sasaran untuk menyiapkan 10,000 pengecas EV di Malaysia menjelang tahun 2025. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen hari ini ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Tampin Mohd Isam Mohd Isa.

    Sasaran ini telahpun diumumkan pada 2021 dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB). Menurut Zafrul, sehingga 20 September 2024 sebanyak 813 pengecas DC dan 2,358 pengecas AC telah di pasang di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan 3,171 pengecas sudah sedia untuk digunakan berbanding hanya 2,020 unit pada Mac lalu.

    Berdasarkan jumlah BEV yang telah didaftarkan di Malaysia buat masa sekarang, setiap satu pengecas yang dipasang adalah untuk sembilan unit EV. Dijangkakan sasaran untuk melengkapkan 1,500 pengecas DC dan 8,500 pengecas AC di seluruh negara akan dapat dicapai pada akhir 2025.


    Video bermula pada 1:13:40

    Tengku Zafrul turut menyatakan untuk menyelesaikan masalah lokasi pengecas EV yang tidak seimbang antara kawasan bandar dan pedalaman, kerajaan kini sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan, pemegang konsesi lebuhraya, pasaraya hyper, serta persatuan pusat membeli-belah dan hotel bagi menerangkan kepentingan pasaran EV dan perlu pengecas EV awam.

    Beliau turut mendedahkan bahawa sebanyak 4,984 permohonan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik telahpun diluluskan.

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV di Malaysia — bateri 18.3 kWh 2WD, jarak 1,300 km, harga anggaran RM170k-RM180k

    Jaecoo J7 PHEV di Malaysia — bateri 18.3 kWh 2WD, jarak 1,300 km, harga anggaran RM170k-RM180k

    Jaecoo Malaysia hari ini mempamerkan model Jaecoo J7 PHEV (plug-in hybrid) untuk pasaran tempatan. Dua varian akan ditawarkan pada masa akan datang, dengan tumpuan utama dan penawaran awal melibatkan versi pacuan 2WD, dan setelah itu versi 4WD. Harga anggaran juga sudah didedahkan — RM170,000 hingga RM180,000. Model ini dijangka dilancarkan secara rasmi di sini sebelum hujung tahun.

    Dari segi dimensi, Jaecoo J7 PHEV ini mempunyai ukuran 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,672 mm. Kedalaman air yang mampu diredah pula ialah 450 mm. Rekaan luarannya menggunakan lampu LED depan dan belakang, lengkap dengan DRL LED. Ada juga lampu kabus depan dan belakang, serta landasan bumbung. Pintu ruang kargo dibelakang juga dengan kendalian kuasa elektrik.

    Di dalam, larasan sterengnya manual untuk atas-bawah dan jauh-dekat. Kerusi pula dibalut dengan material kulit buatan dengan kerusi depan lengkap dengan ciri liang dan pemanas. Untuk kerusi pemandu, ia boleh dilaras enam-arah, manakala untuk penumpang hanya larasan empat-arah. Tidak ketinggalan ialah ciri sunroof.

    Jaecoo J7 PHEV di Malaysia — bateri 18.3 kWh 2WD, jarak 1,300 km, harga anggaran RM170k-RM180k

    Di tengah papan pemuka ada terletak skrin sentuh 14.8-inci untuk sistem infotainmen, sementara untuk kluster instrumen ada paparan bersaiz 10.25-inci. Slot USB ada empat disediakan dalam kabin, dan satu pengecas telefon tanpa wayar di depan. Sistem audio pula daripada jenama Sony dengan lapan pembesar suara, serta ada juga perakam video digital (DVR).

    Jaecoo J7 PHEV ini, yang pertama kali diumumkan untuk pasaran Malaysia pada Mei lalu digerakkan oleh enjin petrol 1.5 TGDi yang dipadankan bersama transmisi hibrid DHT dan motor elektrik pada gandar roda hadapan. Tetapan ini menghasilkan output kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS dan tork maksimum 525 Nm.

    Bagi model 2WD, ia menggunakan bateri berkapasiti 18.3 kWh. Untuk kapasiti pengecasan pula, yang dikongsikan ketika ini ialah untuk pengecasan pantas DC, ia mampu menampung sehingga 40 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan 6.6 kW. Fungsi V2L pula menyediakan kapasiti 3.3 kW.

    Jaecoo J7 PHEV di Malaysia — bateri 18.3 kWh 2WD, jarak 1,300 km, harga anggaran RM170k-RM180k

    Model J7 PHEV ini didakwa dapat memberi jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sehingga 106 km kitaran NEDC, sementara dengan fungsi hibrid penuh, ia boleh memberi catatan penggunaan bahan api serendah 5.99 l/100 km. Dari segi prestasi, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat. Menurut Jaecoo, dengan bateri penuh dan tangki bahan api 60 liter, J7 PHEV boleh bergerak sehingga 1,300 km.

    Untuk pemanduan, ia datang juga datang dengan tiga mod: Economy, Standard dan Sport. Untuk ruang barangan pula, minimum ia boleh memuatkan 500 liter kapasiti barangan, dan jika direbahkan kerusi barisan kedua, ruang yang tersedia ialah 1,265 liter.

    Bagi aspek keselamatan, model 2WD ini akan dilengkapi antara lain dengan lapan beg udara, sistem peninjau tekanan tayar dan juga brek parkir elektronik dengan Auto Hold. Tidak ketinggalan ialah sistem ADAS yang terdiri daripada 20 fungsi berbeza termasuk Adaptive Cruise Control, Integrated Cruise Assist, AEB, Intelligent Evasion System, Emergency Lane Keeping Assist dan Rear Cross Traffic Braking.

    Untuk pasaaran Malaysia, tiga warna luaran akan ditawarkan sebagai pilihan — Carbon Crystal Black, Khaki White dan Moonlight Silver dengan bumbung hitam. Semua warna ini pula dipadankan dengan warna ruang dalaman berwarna hitam. Sama seperti model petrolnya, model PHEV ini juga akan dipasang CKD di kilang Chery di Shah Alam.

     
     
  • Triumph Tiger Sport 800 didedah – model touring dengan enjin tiga silinder serba baru, suspensi Showa

    Triumph Tiger Sport 800 didedah – model touring dengan enjin tiga silinder serba baru,  suspensi Showa

    Sekali imbas, model baru yang anda nampak di dalam gambar ini mungkin nampak sama sahaja seperti Tiger Sport 660 yang sudah sedia dalam pasaran, tetapi sebenarnya ia adalah Tiger Sport 800 baru, yang didedahkan oleh Triumph sebagai sebuah motosikal dengan prestasi lebih tinggi serta enjin serba baru.

    Perincian bagaimana enjin itu dipanggil sebagai enjin serba baru tidak dijelaskan dalam siaran akhbar Triumph, tetapi ia adalah unit tiga silinder berkapasiti 798 cc yang mampu menghasilkan 115 PS pada 10,750 rpm dan tork 84 Nm pada 8,500 rpm.

    Menyampaikan kuasa ini kepada roda belakang adalah transmisi enam kelajuan, yang didatangkan terus dengan Triumph Shift Assist (quickshifter) serta klac jenis slip & assist.

    Selain enjin yang lebih berkuasa berbanding Tiger Sport 660, kelengkapan lain Tiger Sport 800 turut dipertingkat termasuk suspensi, yang menggunakan unit Showa boleh laras dengan fork USD SFF 41 mm di hadapan dan monoshock dengan tombol pra beban di belakang. Jarak gerak kedua-duanya adalah 150 mm.

    Pada bahagian brek pula, Tiger Sport 800 mendapat tetapan cakera 310 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan, dan cakera 255 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang. Ia melekap pada rim 17 inci yang dibalut masing-masing tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Triumph Tiger Sport 800 didedah – model touring dengan enjin tiga silinder serba baru,  suspensi Showa

    Pada bahagian elektronik, motosikal ini menyediakan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain, sementara informasi penting pula dipaparkan pada skrin gabungan digital LCD dan TFT – juga diberikan secara standard dengan sistem sambungan kepada telefon untuk memaparkan navigasi, notifikasi serta pemain muzik.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk Cornering ABS, tangki bahan api 18.6 liter, cruise control serta penghadang angin hadapan boleh laras secara manual. Berat keseluruhan Tiger Sport 800 adalah 214 kg dan tinggi tempat duduknya dalam keadaan standard adalah 835 mm.

     
     
  • Geely Galaxy Starship 7 – akan ada versi Proton eMas 7 PHEV, enjin 1.5L T 4-silinder, jarak gerak EV 150 km

    Geely Galaxy Starship 7 – akan ada versi Proton eMas 7 PHEV, enjin 1.5L T 4-silinder, jarak gerak EV 150 km

    Nampaknya kembar Proton eMas 7 iaitu Geely Galaxy E5 bukan hanya akan dijual dalam versi elektrik penuh (EV), ia juga bakal tampil dengan versi yang dibekalkan enjin pembakaran dalaman bersama sistem hibrid plug-in (PHEV) tidak lama lagi.

    Perkara ini terdedah apabila maklumat model baharu tersebut sudahpun disiarkan di dalam laman web rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China, dan model berkenaan diberi nama sebagai Geely Galaxy Starship 7, sama seperti model konsep yang didedahkan di Beijing awal tahun ini. Malah Geely sendiri baru sahaja menaikkan beberapa imej awalan di laman Weibo mereka.

    Bentuk badan asas antara E5 dan juga Starship 7 ini nampak sama, tetapi ia dibezakan oleh beberapa perincian. Yang paling jelas adalah pada bahagian muka di mana model PHEV ini diberikan lampu hadapan dan grafik LED berbeza bersama bar LED yang merentangi sepenuhnya bahagian hadapan, serta bampar yang berlainan.

    Pada bahagian sisi, selain dari rekaan rim aloi yang berbeza, Starship 7 ini juga nampaknya menerima pembuka pintu konvensional berbanding pembuka pintu tenggelam pada E5. Di belakang, kluster lampu masih lagi nampak sama tetapi grafik LED di dalamnya yang jelas berbeza.

    Geely Galaxy Starship 7 – akan ada versi Proton eMas 7 PHEV, enjin 1.5L T 4-silinder, jarak gerak EV 150 km

    Satu lagi perbezaan adalah kedudukan perumah nombor plat pendaftaran pada E5 yang berada pada bahagian bampar telah di alih ke atas iaitu pada pintu tailgate untuk Starship 7 ini.

    Model PHEV ini menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,740 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,685 mm dan juga jarak roda sejauh 2,755 mm. Jadi berbanding E5, saiz untuk Starship 7 ini sebenarnya sedikit berbeza kerana ia 125 mm lebih panjang, 4 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan jarak rodanya juga adalah 5 mm lebih jauh.

    Tiada sebarang spesifikasi teknikal didedahkan oleh Geely buat masa sekarang, dan hanya menyatakan bahawa ia akan menerima unit rangkaian kuasa generasi baharu yang dikenali sebagai ‘Thor’. Namun laporan CarNewsChina menyebut bahawa Starship 7 ini bakal menerima enjin 1.5 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan kuasa 111 PS, bersama motor elektrik yang belum diketahui jumlah kuasanya.

    Geely Galaxy Starship 7 – akan ada versi Proton eMas 7 PHEV, enjin 1.5L T 4-silinder, jarak gerak EV 150 km

    Motor elektrik tersebut akan menerima kuasa dari pek bateri dengan pilihan kapasiti 19.09 kWj dan juga 28.94 kWj yang dibekalkan oleh Svolt, iaitu syarikat subsidiari GWM. Ini membolehkan SUV PHEV tersebut bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak masing-masing 101 km dan 150 km.

    Secara keseluruhan, Geely menyatakan bahawa unit rangkaian kuasa PHEV Thor pada Starship 7 ini boleh bergerak sejauh 2,000 km dengan hanya satu tangki bahan api, sama seperti yang didakwa ketika mendedahkan versi konsepnya sebelum ini.

    Beberapa imej awalan sebelah dalam Starship 7 ini juga telah didedahkan, menyaksikan sebahagian besar rekaan masih dikongsi bersama E5. Antaranya roda stereng rata di atas dan bawah, paparan instrumental digital dengan skrin 10.25-inci dan skrin tengah untuk infotainmen bersaiz 15.4-inci.

    Geely Galaxy Starship 7 – akan ada versi Proton eMas 7 PHEV, enjin 1.5L T 4-silinder, jarak gerak EV 150 km

    Apa yang berbeza adalah liang penghembus pendingin hawa dialihkan lebih ke bawah dan ia merentasi sepenuhnya papan pemuka tersebut. Terowong tengah juga sedikit berlainan kerana ia menampilkan dua pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, dan ia berada sekali dengan panel suis fizikal kawalan penghawa dingin dan juga suis putar penukar gear.

    Sama seperti Galaxy E5, Galaxy Starship 7 ini juga dijangka akan dihasilkan dalam versi Proton untuk dijual di Malaysia kerana Proton dikesan sudahpun memfailkan tanda dagangan eMas 7 PHEV. Malah dalam perancangan yang diumumkan Proton pada Mei lalu, model PHEV pertamanya dijangka akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

    Ini bukan sahaja akan memberikan pilihan enjin petrol untuk pelanggan yang berminat dengan eMas 7 tetapi masih tidak boleh menerima teknologi EV, malah Proton akhirnya turut menerima unit rangkaian kuasa baharu yang menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder Geely.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025