Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Singapura turunkan kadar ERP sempena cuti sekolah

    johor causeway jam bernama pix

    Pastinya ada ibu bapa yang merancang membawa anak-anak pergi bercuti ke Singapura sempena cuti sekolah pertengahan tahun yang bermula hujung minggu ini. Sehubungan itu, pihak kerajaan Singapura telah membuat keputusan untuk menurunkan kadar Bayaran Jalan Raya Elektronik (ERP) bagi jalan dan lebuh raya terpilih, laporan Bernama

    Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura berkata kadar disemak semula itu terpakai dari 28 Mei hingga 26 Jun dan akan kembali kepada kadar pracuti sekolah mulai 27 Jun.

    Orang ramai boleh menyemak kadar ERP melalui laman sesawang LTA.

    Dalam tempoh tertentu, kadar itu diturunkan antara 50 sen hingga satu dolar dan sesetengahnya akan menyaksikan kadar ERP antara sifar hingga dua dolar.

    Cuti sekolah di Malaysia dari 28 Mei hingga 12 Jun adalah lebih pendek daripada di Singapura, yang bermula pada tarikh sama tetapi berakhir pada 26 Jun.

    Dalam masa yang sama, LTA juga mengumumkan waktu operasi Permit Masuk Kenderaan (VEP) dipendekkan sepanjang cuti sekolah Jun ini dan akan berakhir pada tengah hari pada hari biasa mulai 28 Mei hingga 26 Jun.

    LTA berkata pemandu kereta dan penunggang motosikal dengan nombor pendaftaran asing tidak perlu membayar sebarang bayaran VEP pada sesuatu hari sekiranya mereka masuk ke Singapura selepas tengah hari dan meninggalkan republik ini menjelang 2 pagi hari berikutnya pada hari biasa dalam tempoh itu.

    Bayaran VEP terus tidak dikenakan pada Sabtu, Ahad dan cuti umum di Singapura, katanya.

    Skim VEP diperkenalkan bagi mengawal selia kemasukan kereta dan motosikal yang didaftarkan di luar negara ke Singapura.

     
     
  • 200,260 EEV dijual pada tahun 2015 – Mustapa

    Perodua-GearUp-Axia-Live-22

    Sebanyak 200,260 unit kenderaan cekap tenaga (EEV) atau 34% telah terjual iaitu daripada jumlah keseluruhan 591,298 unit kenderaan penumpang pada tahun lalu, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed,jumlah itu meningkat sebanyak 19% berbanding tahun sebelumnya.

    “Dakwaan mengenai kenderaan EEV dan hibrid tidak mendapat sambutan yang menggalakkan adalah tidak benar,” ujarnya pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Ia adalah bagi menjawab pertanyaan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Teluk Kemang) mengenai galakan yang diberikan kerajaan terhadap orang ramai untuk membeli kenderaan EEV dan Hibrid selain punca kenderaan itu tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.

    Mustapa berkata inisiatif kerajaan memberi pengecualian duti import dan duti eksais telah menggalakkan semakin banyak syarikat yang memperkenalkan model hibrid masing-masing untuk pasaran tempatan.

    Menurutnya setakat ini kenderaan yang diiktiraf sebagai EEV termasuk model di bawah jenama Perodua, Honda, Toyota, Mercedes, BMW, Nissan dan Renault.

     
     
  • Honda Malaysia lanjutkan panggilan semula terhadap 58,140 lagi kenderaan keluaran mereka berhubung masalah inflator beg udara bahagian pemandu Takata

    Honda-May-24-Recall_BM

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengeluarkan kenyataan panggilan semula terhadap 58,140 lagi kenderaan-kenderaan keluaran mereka berhubung masalah inflator beg udara.

    Jumlah kenderaan, jenis kenderaan dan tahun dibuat yang terlibat dalam sesi panggilan semula kali ini adalah seperti seperti jadual diatas.

    Unit inflator beg udara bahagian pemandu pada kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam panggilan semula ini akan ditukar dengan unit yang baharu. Langkah proaktif ini dilakukan adalah untuk memastikan keselamatan pelanggan.

    Kesemua pemilik kenderaan yang terlibat akan diberitahu melalui surat pemberitahuan yang turut mengandungi butiran panggilan semula ini. Pelanggan yang menerima surat tersebut adalah dinasihatkan untuk menghantar kenderaan anda ke pusat servis Honda yang sah untuk diperiksa. Penukaran alat ganti yang terlibat akan dilakukan sejurus selepas alat ganti tersebut diterima. Segala kos alat ganti dan kos buruh juga ditanggung sepenuhnya oleh pihak HM.

    Honda Malaysia kesal dengan kesulitan yang dihadapi oleh kesemua pelanggan yang terlibat. Mereka juga turut sekali lagi menyatakan kesemua model yang dijual buat masa sekarang adalah sama sekali tidak terlibat dengan panggilan semula yang dijalankan ini. Mereka juga turut sedang berusaha untuk menggesa semua pemilik kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula melibatkan beg udara bahagian pemandu ini agar datang segera ke pusat servis Honda bertauliah untuk diperiksa.

    Panggilan semula terhadap unit inflator beg udara Takata ini berlaku di peringkat global. Inflator tersebut dilaporkan pecah dahulu sebelum ia meletupkan beg udara atas beberapa faktor.

    Bagi mereka yang mempunyai kenderaan Honda terutamanya yang telah lama tidak berhubung dengan Honda Malaysia, anda digalakkan untuk menyemak kenderaan anda sama ada terlibat atau tidak dengan panggilan semula yang diumumkan di laman web Honda Malaysia atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020. Anda juga boleh kunjungi mana-mana pusat servis bertauliah Honda untuk menyemak status tersebut.

    Screen Shot 2016-05-04 at 9.50.41 PM

     
     
  • MIROS mencadangkan had umur minima pemegang lesen motosikal diturunkan dari 16 ke 15 tahun

    saigon-motorbike

    Dengan lebih 90,000 pelajar menunggang motosikal ke sekolah setiap hari tanpa lesen yang sah, satu cadangan dibuat untuk menurunkan had umur permulaan pemegang lesen motosikal dari 16 tahun ke 15 tahun bagi membenarkan golongan muda memiliki lesen yang sah, lapor New Starits Times.

    Cadangan tersebut dibuat oleh pengerusi Institut Keselamtan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Tan Sri Lee Lam Thye, yang mengatakan jika ia dilakukan, bakal meningkatkan keselamatan jalan raya.

    Ia sebagai respon beliau terhadap laporan yang mengatakan 80% dari sekitar 117,000 pelajar sekolah di Malaysia yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen. Mereka-mereka yang melakukan kesalahan berkenaan adalah terdiri daripada pelajar berumur antara 11 hingga 20 tahun di kawasan luar bandar.

    “Dengan menurunkan had umur permulaan yang dibenarkan, ia akan menggalakkan golongan muda untuk memohon lesen memandu yang sah dan melalui latihan yang betul sebelum menunggang di jalan raya. Saya berharap kerajaan dan JPJ boleh mengimplementasi had umur baharu ini untuk membolehkan golongan remaja memohon lesen menunggang motosikal. Mereka perlu diberikan lesen ‘L’ yang sah, dengan syarat mereka tidak dibenarkan untuk membonceng individu lain bersama mereka,” kata beliau.

    driving riding licence categories

    Lee turut menambah kerajaan perlu juga menimbangkan untuk menyediakan insentif kepada remaja bagi menggalakkan mereka memohon lesen memandu yang sah, dan ibu bapa perlu berusaha untuk mendidik anak-anak mereka tentang kepentingan keselamatan jalan raya.

    Walau bagaimanapun cadangan beliau tidak dipersetujui oleh pihak lain. Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sistem di mana penguatkuasaan, pendidikan, dan hukuman yang tegas perlu digunakan. “Peraturan yang lebih baik dalam undang-undang adalah lebih penting daripada merombak semula had umur. Secara am, pelajar belum lagi bersedia untuk menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab pada umur 15 tahun dan ini merupakan sebab utama mengapa had umur minima yang ditetapkan sekarang ialah 16 tahun,” jelas beliau.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut menentang cadangan tersebut. Beliau berkata ibu bapa perlu bertanggungjawab kerana membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen.

    “Kami mahu ibu bapa dibimbing melalui pendidikan. Mereka boleh ditegur, jika tidak mustahil, dan mereka perlu memahami yang kita ada undang-undang dan peraturan khas semasa menggunakan jalan raya. Kami akan mengeluarkan saman kepada mereka yang ditangkap menunggang tanpa lesen. Ada pihak yang perlu bertanggungjawab kerana melakukan kesalahan jalan trafik,” jelas Liow.

     
     
  • Bukit Aman: 455,458 saman tertunggak dan waran tangkap dikeluarkan kepada warga asing sejak 2010

    operation-ops-police-overdue-summons-foreigner-pdrm

    Bahagian Trafik Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan, sebanyak 455,458 saman tertunggak dan waran tangkap terhadap warga asing direkodkan sejak 2010, laporan Bernama.

    Menurut Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus, daripada jumlah itu, sebanyak 364,473 melibatkan saman pelbagai kesalahan dan 90,985 pula melibatkan waran tangkap.

    “Daripada jumlah itu, warga Singapura telah mencatatkan jumlah saman tertunggak paling tinggi iaitu 173,667 saman dan waran tangkap tertinggi melibatkan warga Brunei dengan 77,857 waran.

    “Ops Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) yang dilaksanakan sejak empat hari lepas, merekodkan 2,735 saman dan 165 waran tangkap berjaya dikeluarkan selepas melakukan pemeriksaan terhadap 6,776 kenderaan,” ujarnya.

    Katanya lagi, polis menggunakan peranti Sistem Bayaran Kompaun Dalam Talian (MCOPS) dan juga alat pengimbas nombor plat kenderaan (ANPR) untuk kesan pemilik kenderaan yang memiliki waran tangkap dan saman trafik tertunggak.

    Beliau berkata menerusi operasi itu, seramai 166 anggota dan pegawai polis ditugaskan melaksanakan operasi tersebut melibatkan tiga negeri bersempadan dengan negara jiran iaitu Kedah, Perak dan Perlis.

    Mahamad Akhir berkata bagi pesalah trafik tempatan, mereka perlu menyelesaikan hampir sejuta saman tertunggak dan waran tangkap.

     
     
  • Isuzu D-Max Beast edisi terhad dilancar – hanya 360 unit, 2.5L dan 3.0L, harga bermula RM120k – RM128k

    Isuzu-D-Max-Beast-8

    Isuzu Malaysia baharu sahaja melancarkan trak pikap edisi terhad Isuzu D-Max Beast sebentar tadi. Trak pikap edisi terhad ini hanya dihasilkan sebanyak 360 unit, menjadikannya ia sebuah jentera yang eksklusif.

    D-Max Beast masih lagi mengekalkan ciri-ciri asas D-Max varian tertinggi tetapi dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri tambahan dan aksesori ‘edisi-terhad’ bagi meletakkannya pada tahap tersendiri.

    Pada bahagian luaran, boleh dilihat D-Max Beast tampil dengan rupa keseluruhan yang lebih garang dan agresif. Trak pikap ini ditawarkan dengan hanya warna Magnum White dan Titan Silver sahaja, digabungkan dengan kemasan hitam berkilat pada pelindung bampar hadapan. Keseluruhan trim krom pada D-Max biasa diganti dengan dengan kemasan hitam berkilat pada model Beast ini.

    Isuzu-D-Max-Beast-38

    Kemasan lain yang turut diwarnakan dengan warna hitam termasuk rel bumbung, gril hadapan, penutup cermin sisi, kemasan ruang roda dan juga bampar belakang. Kemasan berwarna hitam yang unik juga dilengkapkan pada kedua-dua belah lampu hadapan.

    Trak pikap edisi terhad ini juga turut dilengkapi dengan pelekat ‘BEAST’ pada bahagian sisi dan pintu tailgate belakang serta pemegang nombor pendaftaran ’Beast’ edisi terhad.

    Antara ciri lain yang masih kekal sama seperti D-Max varian tertinggi adalah lampu hadapan sistem Elipsoid, lampu nyalaan siang LED, dan lampu belakang LED.

    Bahagian dek belakang Beast menerima ‘bar kuku’ pada bahagian sisi, penutup dan juga spoiler dek sama seperti yang terdapat pada D-Max Diablo edisi terhad.

    D-Max Beast dilengkapi dengan roda aloi istimewa ‘Ravenous’ berdiameter 17-inci pelbagai jejari dengan kemasan hitam. Roda-roda aloi ini dibaluti dengan tayar bersaiz 255/65R17.

    Bahagian dalaman, Beast diberi dominasi kemasan berwarna kelabu gelap. Kesemua tempat duduk menerima balutan kulit premium itali dua ton, manakala bahagian upholstery lain seperti roda stereng tiga jejari dan perehat tangan tengah hadapan turut menerima balutan kulit. Beast juga menerima set karpet edisi terhad istimewa.

    Panel instrument pula dilengkapi dengan skrin paparan pelbagai informasi TFT e-Lumax. Manakala untuk sistem infotaimen, trak pikap ini dilengkapi dengan skrin sesentuh Kenwood dengan sistem DVD beserta sistem audio BONGIOVI Acoustic.

    Isuzu-D-Max-Beast-34

    Ciri lain yang turut terdapat pada bahagian dalaman termasuk sistem kunci pintu berpusat automatik dengan penderia kelajuan, tingkap berkuasa dengan sistem anti-sekatan pada bahagian pemandu dan juga bendul sisi dengan lampu berlogo Isuzu.

    Hanya varian 3.0L ditawarkan dengan sistem penghawa dingin automatik manakala untuk varian 2.5L, ia hanya dilengkapi dengan sistem penghawa dingin manual.

    Trak pikap edisi terhad ini masih dikuasakan dengan dua varian enjin yang sama seperti D-Max biasa. Enjin turbodisel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksima 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm menjana varian 2.5L. Manakala varian 3.0L, ia dijana dengan enjin turbo diesel 3.0 liter 4JJ1-TCX VGS berkuasa 177 PS dengan tork maksima 380 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm.

    Isuzu-D-Max-Beast-9

    Kedua-dua varian enjin hanya dilengkapi dengan pilhan transmisi automatik lima-kelajuan automatik dengan mod manual, tetapi tanpa penukar gear di roda stereng. Sistem pacuan empat roda juga tidak berubah dengan suis pemilih jenis putaran kekal diletakkan pada bahagian belakang tuil gear.

    Untuk ciri keselamatan, Isuzu D-Max Beast dilengkapi dengan dua beg udara, brek ABS dengan sistem EBD dan BA, kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan juga Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

    Isuzu D-Max Beast varian 2.5L di jual pada harga RM119,559.44 manakala untuk varian 3.0L dijual pada harga RM127,547.56. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Trak pikap ini juga dilindungi dengan waranti pengeluar tiga tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dahulu).

     
     
  • Proton panggil semula Inspira dan Exora CPS 1.6

    Proton-Exora-Inspira-Recall

    Berikutan panggilan semula global yang dilakukan oleh Mitsubishi Motors Corporation (MMC) berhubung suis indikator sebelah kanan yang tidak berfungsi pada Mitsubishi Lancer, Proton turut memanggil semula Proton Inspira yang diasaskan dari sedan segmen-C yang sama untuk memperbaiki kerosakan yang serupa.

    Panggilan semula tersebut melibatkan sejumlah 20,330 unit Proton Inspira yang diproduksi antara 2010 hingga 2014.

    Dalam masa yang sama, Proton turut memanggil semula sekitar 90,000 unit Exora CPS 1.6 yang diproduksi dari 2009 hingga 2015. Proton memanggil semula unit-unit Exora tersebut untuk dilakukan pemeriksaan pada bahagian sistem penghantaran bahan api.

    Pelanggan dinasihatkan untuk membuat temu janji terlebih dahulu untuk memperbaiki kerosakan-kerosakan yang dinyatakan di pusat servis Proton bertauliah. Kesemua kos alat-ganti dan kos buruh adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak Proton. Untuk info lanjut, pelanggan boleh menghubungi Proton di talian bebas tol 1800-888-398 atau email kepada [email protected].

     
     
  • Kerajaan Johor akan pastikan lubang pada jalan raya di negeri tersebut diperbaiki dalam masa 24 jam

    Bad-road-2

    Kerajaan Johor kini menetapkan lubang pada jalan raya perlu diperbaiki dalam masa 24 jam di negeri tersebut. Syarikat konsesi di negeri itu juga perlu menyediakan talian pusat khas untuk menangani aduan orang ramai menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Johor Datuk Ir. Haji Hasni Bin Haji Mohammad, lapor The Star.

    Sejumlah RM390 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Johor untuk menyelenggara jalan raya dengan jarak keseluruhan 1,942 km dalam negeri tersebut untuk tiga tahun akan datang. “Kesemua syarikat konsesi ini perlu memperbaiki jalan yang berlubang dalam masa 24 jam,” kata Hasni, kemudian mencadangkan kesemua syarikat konsesi menubuhkan pasukan bergerak sendiri untuk memantau jalan raya dalam kawasan mereka.

    “Memperbaiki jalan berlubang merupakan tugas yang penting. Setakat ini, salah sebuah syarikat konsesi yang dilantik telah pun mewujudkan talian pusat mereka dan yang lain sedang dalam usaha melakukan perkara yang sama. Selain memperbaiki lubang, mereka turut bertanggungjawab dalam tugas lain termasuk memastikan papan tanda kekal bersih, memperbaiki jalan yang tidak rata dan memotong rumput,” jelas Hasni lagi.

    Beliau juga turut menjelaskan kawasan sekitar kuari perlu dipantau secara lebih dekat, terutamanya jalan yang biasa dilalui oleh kenderaan berat. “Jalan di sekitar Pasir Gudang dan kawasan bandar di mana banyak dilalui oleh kenderaan berat perlu di pantau,” tambah Hasni.

    Hasni turut memberitahu jawatankuasa kerja raya negeri akan memantau kesemua kerja-kerja pembaikkan yang dilakukan oleh syarikat konsesi. Kempen “lubang jalan raya sifar” telah dilancarkan minggu lalu oleh Menteri Besar Johor Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memastikan jalan raya dalam negeri tersebut di selenggara dengan betul. DBKL turut mensasarkan perkara yang sama untuk jalan raya sekitar Kuala Lumpur menjelang tahun 2017.

     
     
  • VIDEO: Lampu kabus belakang – bila masa yang perlu anda pasang atau matikan lampu tersebut?

    Lampu kabus belakang menrupakan ciri asing untuk rakyat Malaysia melainkan mereka yang biasa menggunakan kenderaan premium buatan Eropah di mana ciri tersebut sudah lama dilengkapkan pada kereta-kereta sedemikian. Walaubagaimana pun, lampu kabus kini merupakan ciri wajib yang perlu bekalkan untuk kereta-kereta baharu yang dilancarkan bermula tahun 2013, sebagai syarat di bawah undang-undang UN yang telahpun diguna pakai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

    Kebelakangan ini, kerap terjadi pengguna di Malaysia menyalahgunakan ciri tersebut dengan menyalakan lampu kabus pada masa yang tidak sepatutnya. Ini menyebabkan pemandu lain di belakang menjadi silau kerana lampu tersebut yang sangat cerah.

    Berikutan masalah ini, UMW Toyota telah menyiarkan satu video untuk menerangkan bila sepatutnya lampu tersebut perlu digunakan. Secara asasnya, lampu berkenaan hanya perlu dinyalakan dalam situasi kadar penglihatan yang sangat rendah contohnya seperti dalam keadaan jalan berkabus ataupun semasa hujan lebat.

    Tonton video ini, fahamkan, sebarkan, dan sentiasa memandu dengan cermat dan bersopan!

     
     
  • Kerajaan nyatakan tiada lagi keputusan dibuat untuk menaikkan kadar tol Lebuhraya PLUS

    NKVE_KM15

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan masih lagi belum membuat keputusan sama ada mahu menaikkan kadar tol untuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) atau tidak, lapor The Sun.

    “Menurut kenyataan saya sebelum ini, lapan tol lebuhraya akan dinaikkan tahun ini, tetapi masih lagi belum dilaksanakan. Jika ada apa-apa perkara lain, kami akan mengeluarkan kenyataan,” kata beliau kepada wartawan.

    Mac lalu telah dilaporkan keputusan kenaikkan kadar tol Lebuhraya PLUS hanya akan dibuat pada Jun ini. Pada Disember tahun lalu pula, kementerian tersebut telah menyatakan tiada lagi perbincangan atau keputusan dibuat berhubung perkara berkenaan pada peringkat kementerian dan tiada juga cadangan untuk menaikkan kadar tol pada lapan lebuhraya itu, tetapi kerajaan turut menyatakan jika kadar tol tidak dinaikkan, kerajaan akan menanggung kerugian sebanyak RM593 juta.

    toll booth

    Di bawah perjanjian konsesi (CA), PLUS Malaysia dibenarkan untuk menaikkan sehingga lima pertaus kadar tol setiap tiga tahun bermula dari 2016. Kenaikkan tersebut akan berterusan sehingga perjanjian konsesi tamat pada Disember 2038.

    PLUS mempunyai sejumlah lapan konsesi iaitu Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban- Port Dickson, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (NSECL), Linkedua Malaysia-Singapura (MSSL), Lebuhraya Butterwotrth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

     
     
  • Shell Malaysia lancar kempen V-Power yang melindungi enjin dari mendapan dan kakisan

    Shell-V-Power-branding-campaign-1_BM

    Shell Malaysia hari ini melancarkan kempen Shell V-Power terbaharu, disasarkan untuk memberi kesedaran kepentingan menggunakan bahan api yang menjaga bahagian dalaman enjin dari terjadinya mendapan serta kakisan.

    Shell turut menyiarkan video komersial berdurasi 60-saat yang menampilkan kesan CGI yang canggih dengan gaya blockbuster Hollywood untuk menggambarkan formulasi terbaharu petrol V-Power dan V-Power Racing mereka.

    Video berkenaan menayangkan sebuah kereta yang dilindungi oleh Shell V-Power sedang dikejar oleh makhluk gergasi (dibayangkan sebagai mendapan dan kakisan dalam enjin), yang musnah sama sekali ketika kereta tersebut tiba di stesen minyak Shell.

    Mesej yang ingin disampaikan adalah, formulasi unik dalam V-Power direka untuk melindungi enjin dari mendapan dan kakisan serta membantu enjin anda beroperasi seperti enjin baharu.

    Mendapan dalam enjin terdiri daripada deposit karbon yang terjadi dalam sistem penyampaian bahan api enjin. Manakala kakisan pula boleh terjadi pada permukaan logam dalam sistem bahan api di mana air dan oksigen wujud. Shell mendakwa formulasi mereka mampu untuk melindungi enjin menentang kedua-dua elemen negatif tersebut.

    Kempen V-Power ini sebenarnya ialah kempen turutan daripada program pelinciran Shell sebelum ini, iaitu program waranti enjin Shell Helix yang dilancarkan buat pertama kali di Malaysia, di mana ia diberikan secara percuma dengan pembelian satu botol empat liter minyak pelincir Shell Helix Ultra atau HX7. Program tersebut menawarkan perlindungan waranti kepada enjin yang rosak akibat minyak pelincir sehingga 12 tahun atau 200,000 km, yang mana sampai dahulu.

    Shell juga telah memperkukuh formulasi V-Power Racing yang kini lebih mudah diperolehi di stesen-stesen minyak Shell. V-Power Racing kini dipamerkan dengan lebih menonjol di setiap outlet yang menjualnya dan boleh didapati di lebih banyak lokasi, terutamanya sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.

    Shell mengatakan, V-Power Racing selepas ini akan diperkenalkan ke lebih banyak lokasi lagi, memandangkan ia kini mencatatkan jualan yang konsisten walaupun bukan sejenis bahan api yang dijual dengan harga kawalan. Shell kini dalam usaha untuk mengukuhkan identiti V-Power Racing di pam, dengan menggunakan unit nozel pengisi minyak yang baharu dengan rekaan menarik serta warna merah yang lebih menyerlah.

     
     
  • Hyundai Ioniq Hybrid dipamerkan di Malaysia

    Hyundai_Ioniq-2

    Seperti yang dilaporkan beberapa hari lalu, Hyundai Ioniq kini di pamerkan di My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

    Ioniq merupakan kereta mesra alam pertama di dunia yang menggunakan model dan nama yang sama untuk tiga varian janakuasa berbeza iaitu Ioniq Hybrid, Plug-In Hybrid dan juga Electric yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Kereta ini baharu sahaja membuat kemunculan sulung peringkat globalnya di Geneva Motor Show 2016 Mac lalu

    Namun, untuk pameran kali ini, Hyundai hanya mempertontonkan Ioniq varian Hybrid dengan konfigurasi pemanduan sebelah kiri. ‘Hyundai Prius’ ini dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder berkuasa 105 PS dan tork maksima 147 Nm. Ia digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork maksima 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang.

    Hyundai_Ioniq-16

    Secara keseluruhan, Ioniq Hybrid mampu menghasilkan kuasa gabungan 141 PS dan tork maksima 265 Nm dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 185 km/j. Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda hadapan melalui kotak gear klac berkembar enam-kelajuan.

    Menurut Hyundai, Ioniq Hybrid dibawa untuk dipertontonkan kepada rakyat Malaysia sebagai sebahagian usaha untuk mendapatkan reaksi orang ramai terhadap model tersebut. Adakah ia akan dijual di Malaysia? Masih lagi menjadi tanda tanya. Seperti yang diketahui, polisi pemberian diskaun cukai eksais kepada kereta hibrid oleh kerajaan Malaysia buat masa ini memerlukan model tersebut dipasang di Malaysia (CKD). Jadi, jika Hyundai membawa kereta ini sebagai unit CBU, sudah tentu harga yang ditawarkan tidak kompetitif.

     
     
  • Honda Civic generasi ke-10 membuat penampilan pertamanya di Malaysia sebelum dilancarkan

    Honda_Civic-2

    Ia bukanlah kejutan seperti Perdana 2016 dan Toyota Sienta, namun kemuculan Honda Civic generasi ke-10 yang telah diumumkan sebelum ini merupakan salah satu daya penarik untuk pengunjung yang datang ke My Auto Fest 2016.

    Model yang ditayangkan pada hari ini merupakan model tertinggi 1.5L VTEC Turbo. Dapat dilihat, untuk model pasaran Malaysia ini, sedan dengan rekaan belakang fastback ini dilengkapi dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan kombinasi lampu nyalaan siang LED, roda aloi dua ton (hitam-aloi digilap) berdiameter 17-inci serta lencana ‘VTEC Turbo’ pada bahagian penutup but belakang. Tiada varian RS seperti spsesifikasi pasaran Thailand untuk pasaran Malaysia, oleh itu model yang ditayangkan ini juga tidak dilengkapi dengan gril hadapan hitam berkilat serta spoiler bersaiz sebenar pada bahagian belakang.

    Agak sukar untuk melihat bahagian dalaman kereta ini kerana cerminnya dilengkapi dengan filem penapis haba yang sangat gelap. Namun, apa yang dapat kami lihat, sedan ini dilengkapi dengan tempat duduk dibalut dengan kulit (dengan kemasan bermotif gentian karbon pada jalur tengah), penukar gear, butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik dua zon dan sistem infotaimen Honda Display dengan skrin sesentuh tujuh-inci. Dapat diperhatikan juga, Civic ini dilengkapi dengan liang penghawa dingin bahagian belakang, yang mana ciri ini tidak terdapat pada Civic pasaran Thailand.

    Honda_Civic-15

    Sedan segmen-C yang paling ditunggu-tunggu ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 173 hp pada takat 5,500 rpm dan tork 220 Nm maksima bermula 1,700 dan 5,500 rpm. Untuk varian 1.8L pula, ia masih lagi dijana oleh enjin 1.8 liter i-VTEC empat-silinder berkuasa 141 hp pada takat 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada takat 4,300 rpm. Tiada lagi kotak gear automatik lima-kelajuan torque-converter untuk Civic pasaran Malaysia di mana kedua-dua enjin tersebut kini dipadankan dengan hanya transmisi CVT automatik.

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan banyak ciri premium, malahan untuk varian asas 1.8L, Civic turut dilengkapi dengan penghidup enjin kawalan jauh dan kunci automatik Walk Away. Penghidup enjin kawalan jauh boleh digunakan untuk menghidupkan enjin diluar kereta pada lingkungan jarak 40 meter manakala kunci automatik Walk Away pula akan mengunci kesemua pintu secara automatik setelah pemandu beredar dalam jarak 2.5 meter dari kereta. Brek parkir elektronik dengan fungsi brake hold dan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala turut dilengkapi secara standard untuk semua varian.

    Ciri keselamatan standard untuk kesemua model juga merangkumi enam-unit beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan cagak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

    Honda Civic Generasi ke-10 kini sudah boleh mula ditempah dan dijangka akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini. Sebelum itu anda boleh membaca dahuluulasan pandu uji awalan kami di Thailand baru-baru ini, dan galeri penuh Civic FB (generasi kesembilan) vs Civic FC (generasi kesepuluh).

    Honda Malaysia kini sedang mempamerkan kereta tersebut di My Auto Fest 2016 yang berlangsung bermula hari ini hingga 22 Mei di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

     
     
  • UMW Toyota prebiu Toyota Sienta di Malaysia

    Toyota_Sienta-2

    Satu lagi kejutan pada My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), UMW Toyota secara rasminya mempamerkan MPV Toyota Sienta sebagai prebiu untuk orang ramai sebelum melancarkannya di Malaysia.

    Sienta baharu sahaja diperkenalkan untuk pasaran ASEAN bulan lalu di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016. MPV ini menampilkan rupabentuk yang lebih ‘funky’ dan moden berbanding MPV yang sedia ada dijual oleh pihak UMW Toyota seperti Avanza dan Innova.

    Unit yang dipamerkan ini dikhabarkan sememangnya unit dengan spesifikasi untuk pasaran Malaysia. Ciri-ciri yang dilengkapi adalah hampir sama dengan varian tertinggi untuk pasaran Indonesia iaitu Spec Q, namun untuk pasaran Malaysia, ia diberikan lencana varian ‘V’. MPV ini turut dipadankan bersama sistem navigasi dengan skrin sesentuh DVD-AVN, tetapi tidak dilengkapi dengan kit badan seperti yang terdapat pada model pasaran Indonesia.

    Toyota_Sienta-14

    Turut dilengkapi pada model spesifikasi Malaysia ini adalah lampu hadapan bi-LED projektor, lampu kabus, lampu belakang LED dan roda dua ton (hitam dan aloi digilap) berdiameter 16-inci. Pada bahagian dalaman, ia didominasi dengan tema hitam dan perang serta dilengkapi dengan sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, pintu gelangsar elektrik belakang (kedua-dua belah), penghawa dingin automatik dengan liang penghawa dingin berasingan untuk bahagian belakang dan skrin sistem infotaimen untuk bahagian belakang.

    Untuk ciri keselamatan, Sienta pasaran Malaysia dilengkapi dengan tiga beg udara (termasuk beg udara bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta sistem ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (VSC). Namun masih lagi belum jelas kesemua ciri keselamatan ini adalah standard untuk semua varian atau untuk varian tertinggi sahaja.

    Sienta dikuaskan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Ini berbeza daripada model pasaran Jepun yang dibekalkan dengan pilihan sama ada enjin 2NR-FKE 1.5 liter VVT-iE berkuasa 109 hp/ 136 Nm, ataupun jana kuasa hibrid menggunakan enjin 1NZ-FXE 1.5 liter berkuasa 74 hp/111 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

    Setakat ini tiada khabar yang mengatakan Sienta akan dipasang secara CKD di Shah Alam, sebaliknya kesemua MPV baharu untuk pasaran Indonesia dan ASEAN ini akan dipasang di Kilang kedua PT Toyota Motor Manufacturing Indonesia di Karawang, Jawa Barat.

     
     
  • Proton pamer Proton Suprima Active buat pertama kali

    Proton_Suprima_Active-2

    Selain dari Proton Perdana 2016, Proton turut membawakan dua buah crossover konsep mereka iaitu Proton Suprima Active dan Proton Iriz Active My Auto Fest 2016 diadakan Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC).

    Iriz Active sudahpun dipamerkan sebelum ini dua tahun lalu, tetapi Suprima Active ditampilkan kepada umum buat pertama kali hari ini.

    Hatchback segmen-C Proton ini menerima kit badan dengan gaya crossover sepenuhnya, lengkap dengan cladding sepenuhnya di sekeliling badan. Keseluruhan badan kereta ini diwarnakan dengan warna kelabu, diadun dengan serlahan berwarna oren pada sebahagian kemasan iaitu pada bahagian ‘Proton Wing’ gril hadapan, kemasan sekeliling gril bawah, gegelang projektor dalam lampu hadapan, bumbung, penutup cermin sisi, skirt sisi, spoiler bumbung, kemasan nombor pendaftaran belakang serta jejari roda aloi.

    Seperti juga Iriz Active, ketinggian kereta konsep terbaharu ini turut diinjakkan lagi bagi menyerlahkan lagi imej crossover yang dibawa. Kelegaan tanah asal 155 mm dinaikkan kepada 207 mm. Apa yang lebih menarik, Proton mengatakan Suprima Active ini turut bakal ditawarkan dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan selain dari transmisi CVT sedia ada.

    Kereta ini dipadankan dengan roda aloi bermotif turbin berdiameter 17-inci dibaluti tayar 215/55R17. Rel bumbung dibalut dengan pelekat berwarna matte silver turut dipadankan untuk melengkapkan konsep yang dibawa oleh Suprima Active ini.

    Tema pada bahagian dalam turut diolah semula untuk disesuaikan dengan rupa luarannya. Bahagian dalam yang berwarna hitam kini turut diadun dengan kemasan berwarna oren pada liang penghawa dingin dan butang-butang kawalan pada konsol tengah. Bahagian-bahagian upholstery pula diadun dengan balutan kulit berwarna beige serta serlahan benang dengan warna yang sama.

    Proton mengatakan kedua-dua buah konsep Active ini “menunjukkan potensi untuk menembusi pasaran crossover yang semakin berkembang, dengan kejuteraan khas semula yang dilakukan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan kedudukan pemanduan yang lebih tinggi dan pilihan gaya hidup.” Jadi, apa pula pendapat anda? kongsikannya bersama kami pada ruangan kome dibawah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025