
Selepas tiga tahun berada dalam pasaran, kini model elektrik penuh (EV) pertama keluaran divisi mewah Toyota, Lexus RZ diperkenalkan dalam versi kemaskini 2025. Dari segi rupa mungkin tidak banyak yang berubah, namun model yang disegarkan ini menerima unit rangkaian kuasa yang ditingkat taraf serta penambahan beberapa teknologi baharu.
Bagi model 2025 ini, Lexus sudah tidak lagi menawarkan varian RZ 300e dan RZ 450e. Ia digantikan dengan varian RZ 350e dan RZ 500e, serta ditambah dengan satu lagi varian prestasi tinggi dengan lencana F Sport iaitu RZ 550e F Sport. Ketiga-tiga varian ini juga menerima bateri dengan sel lebih banyak, menjadikan kapasitinya kini adalah 77 kWj berbanding hanya 71.4 kWj sebelum ini.
Varian asas RZ 350e diberikan motor elektrik tunggal berkuasa 227 PS (165 kW) dan tork 269 Nm yang hanya memacu roda hadapan, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat serta jarak gerak sejauh 575 km dalam kitaran ujian WLTP.

Untuk RZ 500e pula, ia merupakan model AWD dengan diberikan satu lagi motor elektrik berkuasa 227 PS/269 Nm yang memacu gandar belakang, memberikan kuasa keseluruhan 381 PS (280 kW) memacu keempat-empat roda. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat, tetapi dengan jarak gerak lebih pendek iaitu 500 km WLTP.
Sebagai perbandingan, model varian asas RZ 300e sebelum ini hanya menghasilkan 204 PS/266 Nm membolehkan ia memecut dari 1-100 km/j dalam masa 8 saat, bersama jarak gerak 480 km WLTP, sementara varian RZ 450e pula menghasilkan 313 PS dengan dua motor elektrik, membolehkan pecutan sama dibuat dalam masa 5.3 saat dan jarak gerak 440 km WLTP.
Manakala bagi Lexus RZ 550e F Sport pula, ia masih dibekalkan dengan motor elektrik hadapan dan belakang yang sama di mana masing-masing menghasilkan 227 PS/269 Nm, tetapi kuasa keseluruhan yang dicatatkan adalah 408 PS. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 kmj dalam masa 4.4 saat, bersama jarak gerak yang lebih pendek iaitu hanya 450 km WLTP.

Untuk mengecas, dengan sistem AC onboard SUV ini kini dapat menyokong sehingga 22 kW (sebelum ini hanya 11 kW), dan ia sudahpun diberikan fungsi pra-penyesuaian membolehkan masa mengecas 30 minit lebih pantas. Namun angka sebenar prestasi sistem pengecas AC dan DC Lexus RZ 2025 ini masih belum didedahkan.
Bagi varian 550e F Sport, selain dari kuasa yang lebih besar, keseronokan memandu model ini turut ditambah menerusi fungsi Interactive Manual Drive, iaitu fungsi yang memberikan bunyi enjin dan tukaran gear palsu seperti memandu kereta dengan enjin pembakaran dalaman.
Walau bagaimanapun ini bukanlah sistem dengan pedal klac dan tuil penukar gear H-Pattern seperti yang ditunjukkkan sedang dibangunkan oleh Lexus sebelum ini, sebaliknya ia memberikan rasa seakan kotak gear konvensional dengan lapan-gear maya yang boleh ditukar menerusi pedal penukar gear.

Sistem tersebut berfungsi seakan tukaran gear palsu pada Hyundai Ioniq 5 N, di mana pemandu akan merasai pecutan dan nyah pecut seiring dengan bunyi yang dihasilkan. Tork dari punca kuasa maya berkenaan akan dikira menerusi posisi pedal pendikit dan juga kelajuan kenderaan, kemudian digandakan dengan nisbah gear yang dipilih.
Lexus turut memberikan bunyi seakan enjin sudah mencecah rev-limiter dan juga panduan tukaran gear pada paparan instrumen untuk pengalaman yang benar-benar seperti menggunakan enjin pembakaran dalaman dengan kotak gear 8AT.
RZ 2025 ini juga merupakan model Lexus yang menggunakan sistem stereng steer-by-wire. Sistem ini menampilkan roda stereng yang tidak dihubungkan secara mekanikal kepada rak stereng, dan ia memberikan nisbah stereng bervariasi kawalan elektronik.
Menurut Lexus, sistem ini beroperasi sekitar 200 darjah dari neutral sehingga putaran terakhir sama ada kiri atau kanan, membolehkan roda stereng berbentuk yok digunakan berbanding bulat biasa. Lexus turut mendakwa sistem stereng ini memberikan kelebihan dari semua segi, menampilkan pengendalian kelajuan rendah yang mudah, lincah dan lancar dalam laluan berliku, dan kestabilan tinggi pada kelajuan tinggi di lebuh raya.

Dan walaupun tiada sebarang hubungan fizikal dari roda stereng ke hab roda hadapan, pemandu masih akan dapat merasakan tindak balas menerusi sebuah motor istimewa yang mebuat tapisan terhadap “getaran yang tidak menyenangkan”.
Lexus juga membuat kemaskini terhadap sistem pacuan semua roda Direct4 pada Lexus RZ 2025 ini, di mana agihan kuasa antara hadapan dan belakang kini dikawal antara 60:40 kepada 0:100 ketika mula memecut dari pegun dan pecutan garis lurus bagi menghentikan pitching. Manakala ketika sedang mengambil selekoh, nisbah agihan kuasa menjadi antara 80:20 dan 0:100 berdasarkan kelajuan kereta dan sudut putaran stereng bagi diselarikan dengan keadaan pemanduan.
RZ baharu ini juga menerima struktur badan yang diperkuatkan dengan penambahbaikkan dibuat pada penyokong radiator dan penambahan pendakap-pendakap. Manakala talaan pada penyerap hentak dan spring dibuat bagi memberikan prestasi dinamik pemanduan lebih baik dan keselesaan.

Seperti yang disebut tadi, tiada perubahan besar dapat dilihat pada bahagian luaran Lexus RZ 2025. Hanya RZ 550e F Sport nampak berbeza dari varian lain kerana datang dengan perapi bawah bampar hadapan, pengalir udara pada sistem brek, spoiler hadapan dan belakang serta set rim 20-inci rekaan aero. Pembeli turut ditawarkan dengan warna badan Neutrino Grey yang digandingkan dengan serlahan-serlahan hitam.
Untuk kabin, tidak banyak perubahan diberikan pada RZ 2025, di mana perkara yang benar-benar nampak berbeza adalah pada roda stereng. Namun banyak perkara sebenarnya telah dibuat untuk memberikan kadar NVH lebih baik pada kabin SUV ini antaranya penambahan penyenyap di bawah tempat duduk belakang, serta penambahan penebat pada kawasan seperti pelindung tonneau, kemasan pintu belakang dan juga bahagian kargo.
Perubahan-perubahan lain yang dibuat termasuk upholsteri ultrasued yang diberikan grafik yang dihasilkan menerusi laser, lampu suasana yang diberikan kesan seperti bayang, serta fungsi anti silau pada bumbung panaromik bagi mengurangkan pantulan cahaya.