Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Jaecoo J7 2025 telah mula dihantar di seluruh negara

    Jaecoo J7 2025 telah mula dihantar di seluruh negara

    Jaecoo Malaysia telah memulakan penghantaran bagi model SUV J7 PHEV ke seluruh negara selepas tiga minggu ia dilancarkan. Syarikat berkenaan berkata, penghantaran seperti yang dijadualkan untuk suku pertama 2025.

    “Ketibaan unit pertama J7 PHEV di wakil pengedaran di seluruh negara menandakan peristiwa penting bagi Jaecoo Malaysia dan menunjukkan komitmen kami kepada pelanggan. Kami teruja untuk rakyat Malaysia merasai sendiri inovasi dan kecanggihan J7 PHEV.

    Super Hybrid System (SHS) dengan teknologi canggih dan prestasi luar biasa, mentakrifkan semula inovasi pemacu landskap kenderaan hibrid Malaysia, membuka jalan kepada pertumbuhan dinamik dan kompetitif,” kata Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    Jaecoo J7 2025 telah mula dihantar di seluruh negara

    J7 PHEV ini ditawarkan dengan satu varian sahaja, berharga atas jalan RM158,800 tanpa insurans. Seperti J7 janaan enjin pembakaran dalaman (ICE), versi PHEV ini juga merupakan model pemasangan tempatan yang dipasang di kilang Chery di Shah Alam.

    Berbanding model petrol penuh yang dibekalkan dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, model dengan bantuan elektrikfikasi ini menampilkan unit rangkaian kuasa yang digelar sebagai Super Hybrid System (SHS), menggandingkan enjin petrol 1.5 Turbo GDi kitaran Deep Miller yang menghasilkan kuasa 143 PS dan tork maksima 215 Nm, transmisi khusus hibrid (DHT) satu kelajuan, dan motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm pada gandar roda hadapan.

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 347 PS dan tork maksima 525 Nm. Dengan kuasa tork gergasi, SUV seberat 1,795 kg ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat.

    Jaecoo J7 2025 telah mula dihantar di seluruh negara

    Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri Blade litium logam fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh BYD berkapasiti 18.3 kWj, dengan kemampuan menerima pengecas AC 6.6 kW (0-100% dalam masa 4 jam) dan juga pengecas pantas DC sehingga 40 kW (30%-80% dalam masa 20 minit).

    Ini membolehkan SUV ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 88 km dalam kitaran ujian WLTP, serta membekalkan kuasa untuk kegunaan lain menggunakan sistem V2L dengan menyediakan kapasiti sehingga 3.3 kW.

    J7 PHEV ini ditawarkan dalam tiga warna iaitu Carbon Crystal Black (Hitam Kristal Karbon), Moonlight Silver (Perak Cahaya Bulan) dan juga warna istimewa yang hanya akan ditawarkan sebanyak 100 unit di Malaysia iaitu Khaki White (Putih Khaki). Selepas itu SUV ini turut akan ditawarkan warna Olive Grey (Kelabu Zaitun). Butiran penuh mengenai model ini boleh dibaca menerusi artikel pelancarannya.

     
     
  • Denza D9 — 200 unit terawal MPV elektrik premium diserah kepada pelanggan hujung minggu lalu

    Denza D9 — 200 unit terawal MPV elektrik premium diserah kepada pelanggan hujung minggu lalu

    Denza setakat ini telah menyerahkan 200 unit terawal model D9 ketika berlangsungnya acara ‘Denza and BYD Electrifying Experience’ hujung minggu lalu, bertempat di Plaza Arkadia, Desa Parkcity. Serahan berkenaan menyaksikan pembeli MPV elektrik berkenaan ketika fasa pelancarannya bulan lalu menjadi yang terawal menerima D9 di sini.

    Maklumbalas ke atas jenama premium BYD itu sangat menggalakkan. Dilancarkan pada 20 Februari lalu, MPV berkenaan menerima lebih daripada 800 tempahan seminggu, yang menurut pengedarnya merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

    “Maklumbalas ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik premium dan mengukuhkan dedikasi kami terhadap inovasi, ketelitian dan pengalaman pelanggan. Kami komited untuk membentuk masa depan EV premium dan akan membawakan kenderaan yang lebih canggih untuk pelanggan di Malaysia,” jelas Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao.

    Denza D9 — 200 unit terawal MPV elektrik premium diserah kepada pelanggan hujung minggu lalu

    Pesaing bagi Toyota Alphard/Vellfire/Zeekr 009/MIFA 9/GAC M8 (akan datang)/Wey 80 (akan datang) ini dijual dalam dua varian di sini, dengan harga masing-masing RM259k bagi versi motor tunggal Advanced FWD dan RM309k bagi versi dua motor Premium AWD.

    Versi FWD menghasilkan kuasa sebanyak 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat dengan jarak maksimum 520 km (WLTP).

    Versi Premium AWD pula menerima tambahan motor di belakang dengan janaan 61 PS (60 hp atau 45 kW) dan 110 Nm, menjadikan janaan keseluruhannya 374 PS (369 hp atau 275 kW) dan 470 Nm. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, dengan jarak yang kurang sedikit, 480 km WLTP.

    Denza D9 — 200 unit terawal MPV elektrik premium diserah kepada pelanggan hujung minggu lalu

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 103 kWh, dan MPV ini boleh menerima kapasiti pengecasan pantas DC sehinga 166 kW, sementara pengecasan AC 11 kW. Bateri ini boleh mencapai tahap dari 30%-80% dalam masa 30 minit menerusi pengecasan pantas, dan pengecasan selama 10 minit boleh memberikan jarak 150 km.

    800 pelanggan terawal D9 turut menikmati kelebihan pelancaran, yang terdiri daripada wallbox 22 kW percuma termasuk pemasangan dan pakej servis percuma enam-tahun/120,000 km serta cenderahati terpilih Denza seperti bantal leher dan pinggang dan beg pakaian Denza.

     
     
  • Volvo EX90 EV & XC90 facelift 2025 – tempahan dibuka; SUV 6-tempat duduk, bermula RM450k

    Volvo EX90 EV & XC90 <em>facelift</em> 2025 – tempahan dibuka; SUV 6-tempat duduk, bermula RM450k

    Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan bahawa dua SUV Flagship tujuh tempat duduknya iaitu EV EX90 dan juga XC90 facelift kini sudah boleh ditempah. Belum ada harga sebenar diumumkan, namun VCM mengesahkan bahawa kedua-duanya akan dijual pada harga sekitar RM450,000.

    Pasangan EX90 dan XC90 ini dikenali sebagai 90/90 Flagship oleh VCM. Ia bakal dilancarkan serentak bagi membolehkan semua pelanggan membuat pilihan – sekiranya anda belum bersedia untuk memiliki sebuah EV penuh seperti EX90, anda masih boleh memilih model ‘separa EV’ Volvo XC90 T8 plug-in hybrid (PHEV).

    Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, kami diberi peluang dahulu untuk melihat secara lebih dekat Volvo EX90 tersebut, namun unit untuk XC90 facelift masih belum didedahkan.

    “Dengan pelancaran Volvo EX90 dan XC90 baharu dalam masa tedekat ini, kami akan terus maju ke arah sasaran global untuk mencapai 90 hingga 100 peratus jualan kenderaan elektrifikasi sebelum akhir dekad ini. Tahun lalu, model BEV dan PHEV kami sudah pun mewakili lebih 80 peratus daripada jumlah jualan,” kata pengarah urusan VCM Chris Wailes.

    Volvo XC90 facelift, unit sebenar belum dipertonton di Malaysia

    “EX90 merupakan tambahan menarik dalam portfolio BEV kami, khusus buat pemilik yang memerlukan lebih ruang, kemewahan, keselesaan dan teknologi dalam sebuah SUV elektrik sepenuhnya. Pada masa yang sama, EX90 melengkapkan XC90 baharu yang telah diberi nafas baharu sebagai model terbaik Volvo – dengan komitmen keselamatan tanpa kompromi bagi memberikan kebebasan bergerak,” tambah Wailes.

    Dengan lebih fokus terhadap elektrifikasi, XC90 facelift 2025 pasaran Malaysia tidak lagi menampilkan varian asas B5 dengan sistem hibrid ringkas 48V, tetapi ia kini hanya ditawarkan dalam varian PHEV di mana bateri sistem hibrid tersebut boleh dicas seperti EV sebenar.

    Jadi XC90 hanya ditawarkan dalam varian T8 AWD, dengan unit rangkaian kuasa menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder yang disuap pengecas turbo dan supercharger bagi menghasilkan kuasa 310 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan. Tidak cukup dengan itu, gandar belakang pula dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 145 PS/309 Nm, yang bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda, malah menjadikan kuasa keseluruhan SUV ini berjumlah 455 PS.

    Walau bagaimanapun, kuasa tersebut sebenarnya berkurangan dari versi sebelumnya yang dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 462 PS/709 Nm. Oleh itu pecutan 0-100 km/j juga sedikit lambat dengan catatan 5.4 saat berbanding 5.3 saat sebelum ini.

    Volvo EX90 EV & XC90 <em>facelift</em> 2025 – tempahan dibuka; SUV 6-tempat duduk, bermula RM450k

    Untuk motor elektrik pada gandar belakang, ia dibekalkan kuasa menerusi bateri berkapasiti 18.8 kWj, membolehkan ia bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak antara 63 hingga 71 km. Ia juga boleh dicas semula seperti model EV sebenar – dengan pengecas AC 6.4 kW, cas penuh mengambil masa sehingga tiga jam.

    Begitu juga dengan EX90, pasaran Malaysia hanya menerima satu varian iaitu versi paling berkuasa Twin Motor Performance, tidak seperti pasaran Thailand yang turut menerima varian lebih asas Twin Motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan 408 PS (300 kW)/770 Nm.

    Bagi varian Twin Motor Performance yang ditawarkan di Malaysia ini, ia dibekalkan dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, yang menghasilkan kuasa keseluruhan 517 PS (380 kW) dan tork maksima 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.

    Varian tunggal pasaran Malaysia ini (malah sebenarnya untuk semua varian EX90) dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan SUV tersebut bergerak sejauh 590 km berdasarkan ujian WLTP satu cas bateri penuh.

    Volvo EX90 EV & XC90 <em>facelift</em> 2025 – tempahan dibuka; SUV 6-tempat duduk, bermula RM450k

    Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit.

    Volvo EX90 ini dihasilkan dengan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding XC90 dengan ukuran 4,950 mm panjang dan 1,923 mm lebar. Walaupun EX90 ini boleh dianggap sebagai penawaran versi EV untuk XC90, ia sebenarnya dibangunkan menerusi platform evolusi SPA2 Volvo yang khas untuk dijadikan asas sebuah EV, berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman yang menggunakan plaftorm SPA.

    Jadi rupa muka EX90 ini adalah lebih mirip dengan EX30 tetapi dalam skala lebih besar – menampilkan lampu hadapan LED piksel berdefinasi tinggi yang direka dengan bentuk signatur ‘Tukul Thor’, logo dan palang ‘iron mark’ tanpa gril utama, serta diberikan ruang frunk pada bonet hadapan dengan kapasiti simpanan 37 liter.

    Ia juga menampilkan bahagian sisi yang nampak lebih ‘bersih’ kerana diberikan pembuka pintu yang disorokkan. Namun imej ‘kembar’ XC90 ditampilkan pada bentuk cermin-cermin tingkat sisi yang nampak seiras seperti model PHEV berkenaan. Manakala di belakang, EX90 turut tampil dengan bahasa rekaan EV Volvo iaitu diberikan lampu belakang berbentuk-C sama seperti EX30.

    EX90 varian tunggal untuk pasaran Malaysia ini menampilkan kelengkapan yang hampir sama dengan EX90 varian tertinggi di Thailand. Ia termasuk bumbung kaca panaromik, lampu tinggi aktif, serta set rim aloi 21-inci, lebih besar dari versi pasaran Thai yang hanya datang dengan rim 20-inci (ada pasaran yang diberikan pilihan sehingga 22-inci).

    Manakala dalam kabin, ia diberikan paparan instrumen digital 9-inci, skrin infotainmen potret 14.5-inci (beroperasi dengan OS Android Automotive tetapi dengan sambungan Apple CarPlay tanpa wayar), sistem pendingin hawa empat-zon dan suspensi udara dengan penyerap hentap adaptif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan serta sistem bunyi 3D Bower & Wilkins dengan 25-pembesar suara,

    VCM memberikan EX90 pasaran Malaysia ini dengan upholsteri kabin menggunakan material kulit sebenar berwarna hitam, kemasan-kemasan kayu (didakwa kayu sebenar dari sumber yang dibenarkan) dalam kemasan perang cerah yang tidak digilap serta menampilkan pencahayaan bagi memberikan perasaan yang selesa.

    Menerusi EX90 ini juga Volvo buat pertama kali menawarkan sistem pintu yang ditutup secara ‘lembut’. Ia juga turut diberikan cermin hadapan jenis double glazing, manakala larasan posisi roda stereng boleh dibuat secara elektronik pada skrin utama.

    Volvo EX90 EV & XC90 <em>facelift</em> 2025 – tempahan dibuka; SUV 6-tempat duduk, bermula RM450k

    Beberapa konsep rekaan minalis dari EX30 turut dibawa ke EX90 ini. Antaranya papan pemuka dengan panel instrumen tanpa perumah, hanya dua suis tingkap kuasa pada sebelah pemandu (perlu menekan butang belakang terlebih dahulu untuk mengoperasikan cermin belakang).

    Namun walaupun papan pemuka dan juga konsol tengah EX90 nampak ‘bersih’ dari sebarang suis fizikal, ia masih mempunyai tuil gear ‘PRND’ dan kawalan pengelap cermin serta lampu pada konsol stereng, dan juga tombol putar kawalan audio di sebelah pemegang cawan bagi memastikan kawalan-kawalan penting masih dapat dibuat dengan mudah tanpa bergantung pada skrin.

    SUV tujuh-tempat duduk ini menyediakan ruang kargo pada but dengan kapasiti 310 liter. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat (dengan nisbah 50:50) atau dibangunkan semula hanya dengan menekan butang pada panel sisi bagi memberikan ruang kargo tambahan lebih besar. Sekiranya ada barang besar dan berat mahu diletakkan pada ruang tersebut, juga terdapat suis pada panel sisi berkenaan untuk merendahkan suspensi udara EX90 ini bagi memudahkan kerja.

    Jika anda ragu-ragu sama ada barang yang anda mahu masukkan ke dalam SUV ini muat atau tidak, tidak perlu rujuk pada buku manual kerana ukuran dan anggaran barang apa yang boleh muat (Will it fit) telah ‘dicetak’ terus pada panel plastik kemasan but belakang tersebut. Dan seperti biasa, tempat duduk barisan tengah EX90 ini telah dibekalkan dengan tempat duduk ‘booster’ bina dalam bagi membolehkan tali pinggang keledar memberikan ‘ikatan’ sesuai dan lebih selamat untuk kanak-kanak.

    Untuk keselamatan pula, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Volvo EX90 ini beroperasi menggunakan lima radar, lapan kamera, dua kamera dalam kabin, dan 16-penderia ultrasonic. Manakala satu ‘benjolan’ yang boleh dilihat pada bahagian hadapan bumbung SUV ini pula sebenarnya adalah penderia LIDAR, yang buat masa sekarang masih lagi belum digunakan.

    Kedua-dua Volvo XC90 PHEV facelift dan EX90 EV 2025 ini dijangka akan dilancarkan di Malaysia bulan depan, dan harga sebenarnya akan diumumkan ketika itu. Kami difahamkan EX90 akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, dan kemudian akan hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD) selepas itu yang akan dihasilkan oleh kilang Volvo di Shah Alam.

    GALERI: Volvo EX90 Malaysia

     
     
  • Jetour Dashing 2025 dilancar di Malaysia pada April ini

    Jetour Dashing 2025 dilancar di Malaysia pada April ini

    Dipertontonkan buat pertama kalinya pada Mei tahun lalu, Jetour Dashing dikhabarkan bakal dilancarkan di Malaysia pada awal bulan April ini seperti mana yang dicanangkan menerusi laman Facebook Jetour Auto Malaysia.

    Seperti yang kami pernah kongsikan sebelum ini, Dashing merupakan SUV lima-tempat yang dibangunkan dengan senibina Kunlun, dengan saiz antara Honda CR-V (4,691 mm panjang) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm panjang), iaitu berukuran 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm.

    Dua varian ditawarkan, iaitu Prime dan Signature, kedua-duanya dijanakan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu memghamburkan kuasa 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm adan tork 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm.

    Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac enam-kelajuan dan pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan (Economy, Comfort, Sport) untuk kesesuaian pemanduan. Bagi varian asas Prime, ia diberikan roda 18-inci (tayar profil 235/60), sementara model spesifikasi tertinggi ditampilkan dengan unit 19-inci (tayar profil 235/55).

    Jetour Dashing 2025 dilancar di Malaysia pada April ini

    Bagi ciri kelengkapan standard yang lain, Prime menerima lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, tailgate kuasa, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, remote engine start, upholstery tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, kluster instrumen digital 25-inci, skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pad pengecas tanpa wayar 50W, empat pembesar suara dan pendingin hawa automatik dengan corong di belakang dan penapis CN95.

    Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, varian asas menerima kawalan kelajuan pasif, kamera undur, ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak ISOFIX, amaran terlebih kelajuan dan empat penderia undur.

    Manakala varian Signature diberikan ciri kelengkapan tambahan termasuk bumbung suria panoramik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-cara, pencahayaan ambien, bantuan tukar lorong, pemantauan titik buta, amaran tukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan pemantau pendangan sekeliling 360-darjah.

    Terdapat lima warna luaran yang ditawarkan iaitu Vanilla Blue, Khaki White, Star Black, Phantom Grey dan Tech Grey. Kami akan berkongsikan perincian penuh termasuk harganya apabila ia dilancarkan di sini tidak lama lagi.

    GALERI: Jetour Dashing dipertonton di Malaysia

     
     
  • Langgar lampu isyarat merah – pentingkan nyawa atau sanggup disaman RM300 jika sabit kesalahan?

    Adegan melanggar lampu isyarat merah seperti yang dikongsikan menerusi pemilik akaun faiz.aziz di laman media sosial Instagram ini sebenarnya ‘adalah perkara biasa’ yang sering berlaku di persimpangan utama. Walau pun banyak menyebabkan kemalangan jalan raya termasuk melibatkan kecederaan parah mahu pun kehilangan nyawa, namun ia seakan tidak mendatangkan keinsafan buat segelitir pengguna jalan raya yang masih enggan mematuhi undang-undang lalu lintas.

    Seperti dalam video yang dikongsikan ini, ia dirakamkan di persimpangan utama dari Jalan Sungai Buloh/Lebuhrara DASH menghala ke Subang Skypark berdekatan dengan Subang Perdana, dan dalam tempoh berkenaan, kami kira sebanyak 34 buah motosikal melanggar lampu isyarat merah dengan menggunakan lorong kecemasan. Memang semuanya ‘terlepas dengan selamat’ namun… tahukah anda tentang kewujudan peribahasa yang menyebut ‘Malang tidak berbau’ yang ditakrifkan oleh Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai ‘kecelakaan yang terjadi dengan tiba-tiba’.

    Kejadian terbaru yang mendapat perhatian netizen berlaku pada 7 Mac lalu apabila tiga maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal yang dirempuh sebuah Honda Jazz di Jalan Persiaran Senawang 1, Negeri Sembilan. Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda Jazz yang dipandu remaja berusia 18 tahun itu gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal di sebelah kiri.

    Langgar lampu isyarat merah – pentingkan nyawa atau sanggup disaman RM300 jika sabit kesalahan?

    Tahun lalu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan sebanyak 95,298 saman atas kesalahan langgar lampu isyarat dari Januari hingga November 2024 yang direkodkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 39,468 saman melibatkan motosikal, kereta (44,889 saman), lori (3,937 saman), dan lain-lain kenderaan (7,004 saman), kata Pengarah JSPT Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

    Menurut Mohd Yusri, kesalahan melanggar lampu isyarat merah adalah satu pelanggaran undang-undang jalan raya yang serius dan berpotensi menyebabkan kemalangan yang boleh membawa maut.

    Dalam masa yang sama, pihaknya juga akan sentiasa berkolaborasi dengan agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kesalahan melanggar lampu isyarat merah diambil tindakan penalti di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas iaitu disabitkan dengan denda tidak kurang RM300 atau tidak melebihi RM2,000.

     
     
  • Peugeot 408 kini ditawarkan dengan kadar faedah 0.83% sehingga 30 April, enjin 1.6 liter turbo 218 PS

    Peugeot 408 kini ditawarkan dengan kadar faedah 0.83% sehingga 30 April, enjin 1.6 liter turbo 218 PS

    Stellantis Malaysia kini sedang mengadakan promosi dengan kolaborasi Public Bank, yang akan memberikan kadar faedah serendah 0.83% setahun apabila anda membeli Peugeot 408, sehingga 30 April 2025.

    Kadar yang sangat rendah ini ditawarkan untuk 408 varian Premium, dengan kadar pinjaman 90% dan tempoh bayaran semula 60 bulan (lima tahun). Untuk varian GT yang paling tinggi pula, kadarnya sedikit lebih tinggi, iaitu 1.01%, dengan syarat pembiayaan yang sama.

    Dilancarkan April lalu, 408 adalah sebuah crossover “coupé” yang ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan GT, dengan harga masing-masing RM166,055 dan RM196,055. Rekaannya unik, dengan lampu LED yang nampak seperti cakar singa dan bumbung yang menjunam di belakang. Selain rim yang lebih besar (20 inci), varian GT juga diberikan lampu hadapan matriks serta gril yang sama warna dengan badan.

    Rekaan dalam kenderaan ini juga agak dramatik, dengan tetapan i-Cockpit bersama panel instrumen digital 10 inci di hadapan pemandu dan skrin sesentuh 10 inci di tengah papan pemuka. Varian GT dipertingkat dengan satu lagi skrin untuk kawalan pendingin hawa, balutan kulit Nappa, sistem kamera 360 darjah dan sistem bunyi Focal Premium 10 pembesar suara. Sistem Autonomous Emergency Braking dan Adaptive Cruise Control diberikan secara standard untuk kedua-dua varian.

    Menggerakkan 408 adalah enjin 1.6 liter turbo empat-silinder petrol yang menjana sebanyak 218 PS dan 300 Nm tork yang disalurkan ke roda depan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan. Mahukan pengalaman memandunya sendiri? Peugeot kini mengadakan sesi pandu uji panjang, sehingga tiga hari melalui program Peugeot Weekender Experience.

     
     
  • Pemandu Proton Saga yang pandu lawan arus di Lebuhraya Linkedua disahkan sebagai warga emas

    Pemandu Proton Saga yang pandu lawan arus di Lebuhraya Linkedua disahkan sebagai warga emas

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan pemandu Proton Saga yang memandu melawan arus di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) kelmarin adalah warga emas berusia 85 tahun.

    Katanya, warga emas berkenaan itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri semalam untuk membantu siasatan.

    “Hasil siasatan mendapati lelaki warga emas itu memandu secara melawan arus, merbahaya dan melulu di KM 14.3 (arah Utara) Linkedua kelmarin, kerana tersilap memasuki laluan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tampoi.

    “Warga emas itu kemudian dipercayai keluar melalui susur Gelang Patah dan memandu ke arah Mutiara Rini, sebelum kereta yang dipandunya kehabisan minyak. Dia kemudian dibantu oleh orang awam dan pulang ke rumah menggunakan perkhidmatan e-hailing,” katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Semalam, Polis Johor giat mengesan pemandu kereta Proton Saga yang dipandu melawan arus di Linkedua yang dipercayai berlaku kelmarin. Siasatan dibuat susulan tular rakaman dashcam berdurasi 28 saat yang memaparkan kereta itu dipandu melawan arus di lorong kanan lebuhraya berkenaan.

     
     
  • BYD Atto 3 Ultra 2025 di Malaysia, RM124k — RM26k lagi murah, kini sama eMas 7, servis percuma 8-tahun!

    BYD Atto 3 Ultra 2025 di Malaysia, RM124k — RM26k lagi murah, kini sama eMas 7, servis percuma 8-tahun!

    BYD kini telah memperkenalkan Atto 3 model tahun 2025 di Malaysia, yang dikenali sebagai Atto 3 Ultra. Penawaran terbaru ini tidak melibatkan begitu banyak peningkatan berbanding model tahun lalu, tetapi ia datang dengan pengurangan harga banyak.

    Ini tentunya respon terhadap Proton eMas 7: BYD kini telah mengurangkan harga bagi model Extended Range sebanyak RM26,000 untuk menjadikannya setara dengan model Proton itu. Kereta ini sekarang dijual dengan harga RM123,800, menjadikannya RM44,000 lebih murah berbanding harga ketika pelancaran sulungnya pada 2023 (tahun lalu juga telah diberikan pengurangan harga sebanyak RM18,000).

    Ia juga bahkan lebih murah berbanding model peringkat kemasukan Dolphin Premium Extended Range (RM124,900) — adakah Dolphin juga akan mengikut jejak yang sama?

    BYD Atto 3 Ultra 2025 di Malaysia, RM124k — RM26k lagi murah, kini sama eMas 7, servis percuma 8-tahun!

    Harga bersih oleh BYD ini belum termasuk kos atas jalan seperti pendaftaran — dengan kos tersebut, ia akan menjadi RM124,500. Bagaimanapun itu sudah termasuk jaminan enam-tahun/150,000 km dan jaminan lapan-tahun/150,000 km untuk unit pacuannya (160,000 km untuk bateri).

    Lebih menarik, BYD menawarkan rebat tambahan bernilai RM5,000 bagi 1,000 pelanggan terawal, menjadikan harganya RM118,800. Mereka juga akan menikmati pakej servis percuma selama lapan-tahun bernilai RM4,888, memberikan penjimatan keseluruhan sehingga RM9,888. Turut disertakan dengan percuma ialah pengecas wallbox AC bernilai RM3,699, adapter vehicle-to-load (V2L) bernilai RM988 dan kabel pengecas Type 2 bernilai RM1,796.

    Atto 3 Ultra masih menggunakan sebuah motor di depan yang menghasilkan 204 PS (150 kW) dan 310 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. SUV ini juga kekal didatangkan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 60.48 kWh dengan jarak 420 km WLTP. Kereta ini menyokong pengecasan pantas DC 88 kW, membolehkan bateri dicas dari 10%-80% dalam masa 40 minit. Bagi pengecasan AC, input maksimum sama seperti sebelum ini dengan 7 kW yang memerlukan sembilan jam 42 minit untuk cas penuh.

    BYD Atto 3 Ultra 2025 di Malaysia, RM124k — RM26k lagi murah, kini sama eMas 7, servis percuma 8-tahun!

    Selain pengurangan harga yang diberikan, tidak banyak perbezaan bagi model 2025 ini. Sama seperti versi terakhir sebelum ini, Atto 3 Ultra menerima rim aloi 18-inci bagi varian tertinggi, dengan pilihan warna yang tinggal hanya Ski White, Harbour Grey dan Cosmos Black – tiada lagi warna Surf Blue.

    Di dalam, kabin Atto 3 kini dalam warna hitam sepenuhnya, tiada lagi skim warna biru/putih. Kemasan merah dulu telah diganti dengan warna hijau cerah, manakala “tali gitar” di panel pintu kini dalam warna hitam. Kerusi depan kini juga berliang, yang tidak ditawarkan untuk model semasa.

    Kelengkapan standard lain kekal sama. Ini termasuklah lampu utama LED adaptif, landasan bumbung, sistem tanpa kunci dengan kad kunci NFC, butang Push Start, pendingin zon tunggal automatik, kerusi depan larasan enam-arah untuk pemandu dan empat-arah untuk penumpang depan, balutan kemasan kulit buatan, sunroof kaca panoramik, cermin sisi dengan pemanas, sistem tunjuk arah, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem kamera 360-darjah.

    Aspek keselamatan melibatkan tujuh beg udara, kawalan kestabilan, serta sistem bantuan pemandu yang sama seperti model tahun lalu. Ini termasuklah ciri AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perlanggaran belakang dan amaran buka pintu.

     
     
  • Chery buka empat bilik pameran baharu di Sabah dan Sarawak; dua pusat 3S, 1 dalam pusat membeli belah

    Chery buka empat bilik pameran baharu di Sabah dan Sarawak; dua pusat 3S, 1 dalam pusat membeli belah

    Chery Malaysia mengumumkan bahawa empat buah bilik pameran baharunya telah dibuka di Sabah dan Sarawak, di mana dua daripadanya adalah berstatus 3S. Menurut syarikat itu, pembukaan jaringan pengedaran baharu yang agresif ini menunjukkan komitmennya bagi menawarkan akses yang lebih luas dan perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada pelanggannya yang semakin meningkat di Malaysia Timur.

    “Chery secara beransur-ansur mengembangkan penampilannya di Borneo dan kami berharap dapat meliputi lebih banyak lokasi di kedua-dua negeri. Kami tidak sabar-sabar untuk mengembangkan lagi rangkaian kami di seluruh Malaysia, memberikan lebih ramai rakyat Malaysia peluang untuk memiliki rangkaian kenderaan Chery,

    “Dengan cawangan baharu di Sabah dan Sarawak, kami yakin pelanggan Chery kami di rantau ini akan terus menerima yang terbaik dalam jualan, perkhidmatan dan sokongan selepas jualan,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.

    Tiga daripada bilik pameran berkenaan terletak di Sabah iaitu di Chery Sandakan, Chery Tawau dan Chery Imago Mall Kota Kinabalu, di mana ketiga-tiga dioperasikan oleh Universal Chery Sdn Bhd. Manakala satu lagi fasilti berkenaan terletak di Miri Sarawak dioperasikan oleh MP Advanced Automotive Sdn. Bhd.

    Chery Tawau merupakan pusat 3S dengan keluasan 682 meter persegi yang turut menawarkan alat ganti dan servis selepas jualan, serta menyediakan empat ruang servis. Fasiliti ini terletak di TB4005, Taman Berkeley, Batu 1, Jalan Apas, Tawau, Sabah.

    Bilik pameran Chery Tawau ini dibuka setiap hari dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang (Isnin hingga Jumaat), 8 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti am). Manakala pusat servis pula dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat), 8 pagi hingga 3 petang (Sabtu), dan tutup pada hari Ahad dan cuti am.

    Chery Sandakan pula merupakan bilik pameran bertaraf 1S terletak di aras lantai, Lot No 1, Taman Wemin, Batu 5, Jalan Labuk, Sandakan, Sabah. Ia dibuka bermula pada 8 pagi hingga 6 petang (Isnin hingga Jumaat), 8 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti am).

    Manakala Chery Imago Mall merupakan bilik pameran ‘butik’ yang unik kerana terletak di dalam kompleks membeli belah. Terletak di Lot G-74-1 Aras Lantai Imago Mall Kota Kinabalu, bilik pameran ini berfungsi seperti bilik pameran lain seperti mempamerkan kereta, menyediakan pandu uji dan juga urusan jualan, tetapi dalam suasana berbeza.

    Chery buka empat bilik pameran baharu di Sabah dan Sarawak; dua pusat 3S, 1 dalam pusat membeli belah

    “Kami faham bahawa keluarga moden hari ini, sering menghabiskan hujung minggu mereka membeli-belah, menikmati aktiviti masa lapang, dan menghabiskan masa berkualiti bersama-sama. Dengan membawa bilik pameran kami ke Imago Mall, kami memudahkan anda meneroka kereta kami sambil menikmati segala yang ditawarkan oleh pusat membeli-belah itu,” kata Chew.

    Chery Imago Mall ini juga dibuka setiap hari, dari pukul 10 pagi hingga 8 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari pukul 10 pagi hingga 9 malam (Jumaat hingga Ahad).

    Bagi Chery Miri pula ia adalah pusat 3S yang terletak di Lot 8363-8366, Aras lantai, Blok 1 Lambir Land District, Jalan Miri By Pass, Miri, Sarawak. Dengan keluasan 892 meter persegi, pusat ini turut dilengkapi dengan empat ruang servis.

    Chery buka empat bilik pameran baharu di Sabah dan Sarawak; dua pusat 3S, 1 dalam pusat membeli belah

    Bilik pameran Chery Miri ini dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Sabtu) dan 9 pagi hingga 3 petang pada hari Ahad dan cuti am. Pusat servis pula dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang dari hari Isnin hingga Sabtu, dan ia ditutup pada hari Ahad dan cuti am.

    Dengan pembukaan jaringan pengedaran terbaharu ini, Chery Malaysia kini mempunyai empat bilik pameran dan dua pusat servis di Sabah, serta dua bilik pameran dan dua pusat servis di Sarawak yang beroperasi dengan outlet pembaikan badan dan cat untuk setiap negeri.

    Tahun lalu Chery Malaysia sudahpun memiliki 56 bilik pameran di seluruh Malaysia, dan jumlah berkenaan akan bertambah sehingga 65 outlet menjelang akhir tahun ini, kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    GALERI: Chery Tawau

    GALERI: Chery Sandakan

    GALERI: Chery Imago Mall

    GALERI: Chery Miri

     
     
  • Modenas Ninja 500 dilancar di Malaysia – dua varian, enjin dua silinder selari 451 cc, harga dari RM28k

    Modenas Ninja 500 dilancar di Malaysia – dua varian, enjin dua silinder selari 451 cc, harga dari RM28k

    Modenas secara rasminya mengumumkan, Ninja 500 kini sudah berada di pasaran Malaysia dengan ditawarkan dalam dua varian iaitu Ninja 500 dan Ninja 500 SE. Harganya masing-masing adalah RM28,100 dan RM30,100 tidak termasuk insurans, dan didatangkan dengan jaminan selama dua tahun tanpa had batuan.

    Menggerakkan Ninja 500 adalah enjin baru dua silinder selari 451 cc DOHC, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 45 hp pada 9,000 rpm dan tork 42.6 Nm pada 6,000 rpm. Berat keseluruhan motosikal adalah 171 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14 liter.

    Menurut Modenas, Ninja 500 ini menggunakan casis inspirasi daripada model 250 cc, menjadikan pengendaliannya serba mudah, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Ia memegang rim 17 inci dengan tayar bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang, manakala tugas membrek pula dilaksana tetapan cakera tunggal 310 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 220 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang. Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard.

    Bagi Ninja 500 biasa, ia ditawarkan hanya dalam satu warna iaitu hitam, sementara Ninja 500 SE datang dalam pilihan dua warna iaitu hijau dan hitam/merah. Menjadikan Ninja 500 SE lebih mahal adalah tambahan kelengkapan seperti pengecas USB Type-C, sistem kunci pintar serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon.

    GALERI: Ninja 500 pasaran luar

     
     
  • Seorang wanita disaman gara-gara guna telefon bimbit sambil memandu dan hampir terlanggar anggota JPJ

    Seorang wanita disaman gara-gara guna telefon bimbit sambil memandu dan hampir terlanggar anggota JPJ

    Seorang anggota Unit Falcon Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang hampir dilanggar sewaktu cuba memberikan isyarat berhenti terhadap seorang pemandu wanita yang didapati menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu.

    Wanita berkenaan yang memandu MPV Nissan Livina X-Gear mungkin gelabah sampaikan nyaris telanggar anggota JPJ terbabit. Malah perbuatannya itu dirakam menerusi Enforcement Action Camera (EAC) yang dipakai oleh anggota JPJ tersebut. Bagaimana pun, tidak dipastikan bila insiden ini berlaku namun video tersebut baru dimuatnaik ke akaun Tik Tok falconjpjpenang semalam.

    Menerusi video tersebut, anggota JPJ itu bertindak pantas mengelak daripada dilanggar kereta yang dipandu wanita berkenaan sambil menyebut “hah hampir nak langgaq (langgar dalam loghat utara). Dan pemandu wanita itu seakan memandu dalam keadaan yang tidak tentu arah walau berjaya mengelakkan daripada terlanggar anggota JPJ tersebut sebelum memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.

    Sebaik sahaja berhenti, pemandu wanita berkenaan sempat memohon maaf beberapa kali kepada anggota JPJ tersebut namun pembuatannya yang ternyata menyalahi peraturan lalu lintas lalu tetap disaman atas kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

    Untuk anda yang mungkin tidak tahu atau pun buat-buat tak tahu, kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu di bawah kaedah 17A, LN166/59 tersebut dikategorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan kes perlu diselesaikan di mahkamah. Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM1,000 (minimum RM300) atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan. Sekiranya ia adalah sabitan kali kedua, hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    @falconjpjpenang Antara risiko yang perlu dilalui anggota penguatkuasa…#jpjpulaupinang #jpjmalaysia #falconjpjpenang #falconjpjmalaysia #bikers #viral #fyppppppppppppppppppppppp ♬ original sound – FALCON JPJ PENANG

     
     
  • Pulau Pinang bakal ada 600 pengecas EV tahun ini

    Pulau Pinang bakal ada 600 pengecas EV tahun ini

    Pulau Pinang dijangka akan mempunyai 600 pengecas EV menjelang tahun ini, begitu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kerajaan Tempatan, Bandar dan Luar Bandar, Jason H’ng Mooi Lye ketika melancarkan kemudahan pengecasan di Gat Lebuh China, lapor Bernama.

    “Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menjalankan kajian bagi lokasi kemudahan pengecasan EV di bahagian pulau, dan disebabkan ruang yang terhad, ruang parkir sedia ada akan digunakan untuk tujuan ini, termasuklah di kompleks letak kereta MBPP, serta parkir tepi jalan untuk memberi akses kepada orang ramai,” ujar beliau dengan menambah bahawa kawasan selenggaraan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masing akan mempunyai 300 stesen pengecas EV.

    MBPP telah menjalankan proses Request for Proposal (RFP) bagi pemasangan pengecas EV, melibatkan 52 unit di 26 lokasi di bahagian pulau, termasuk di Persiaran Karpal Singh, Jalan Concordia, Precint 10, Lebuh Union, Gat Lebuh China dan Pasar Tanjung Bungah, jelasnya lagi.

    Pulau Pinang bakal ada 600 pengecas EV tahun ini

    Semua pengecas tersebut, yang dijangka akan beroperasi pada April, telah siap dipasang dan kini dalam proses disambungkan kepada bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). MBPP juga dalam proses untuk melaksanakan fasa kedua RFP bagi operasi 50 pengecas EV tambahan di 27 lokasi menjelang Disember.

    “Selain memasang pengecas EV di kawasan selenggaraan MBPP dan MBSP, pemaju pusat beli-belah dan kawasan komersial juga telah mengambil inisiatif untuk memasang pengecas EV susulan daripada corak peningkatan penggunaan EV,” tambahnya. Pulau Pinang ketika ini sudah mempunyai 261 pengecas EV yang disediakan oleh sektor swasta.

     
     
  • Proton Saga lawan arus di Link Kedua di Johor, hampir sebabkan kemalangan dengan beberapa kenderaan

    Proton Saga lawan arus di Link Kedua di Johor, hampir sebabkan kemalangan dengan beberapa kenderaan

    Seorang pemandu yang melalui Malaysia-Singapore Second Link (Link Kedua) semalam telah menyusahkan ramai pengguna lain kerana memandu melawan arah trafik dan hampir menyebabkan kemalangan beberapa kenderaan. Dalam satu video yang dikongsikan oleh akaun Facebook Roda Johor, kejadian berkenaan berlaku di laluan arah Selatan susur keluar Iskandar Puteri sekitar jam 2.40 petang semalam.

    Rakaman dashcam menunjukkan sebuah kereta berhadapan dengan sebuah lagi Proton Saga FL yang dipandu melawan arus trafik dan berada di lorong paling laju. Pemandu kereta tersebut, bersama pemandu Proton Exora di depan dan Proton Perdana di belakang, semuanya perlu mengelak Saga berkenaan dan nyaris terlibat dalam kemalangan disebabkan oleh Saga itu.

    Dan, ini bukanlah kali pertama kejadian seperti ini berlaku di Second Link. Pada 2023, sebuah lori dipandu salah arah di lebuhraya itu dan melanggar dua buah kenderaan lain dan menyebabkan kecederan ringan kepada yang terlibat. Pemandu lori tersebut didapati memandu dalam keadaan mabuk dan ditahan selepas kejadian itu.

    Bagaimana boleh ada pemandu yang melakukan perkara ini adalah sangat aneh untuk difikirkan. Ia perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan membahayakan nyawa orang lain. Apa sebenarnya yang telah terjadi dalam masyarakat kita hari ini sehingga hal-hal seperti ini makin kerap berlaku?

    Jika terlepas simpang, teruskan dahulu perjalanan. Jangan undur kenderaan, apatah lagi untuk memandu melawan arus trafik. Cari jalan lain di depan, dan itu hanya memakan masa beberapa minit sahaja masa anda berbanding untuk membahayakan orang lain dengan tindakan semberono seperti memandu melawan arus trafik.

    Menurut polis, memandu menentang arus adalah kesalahan serius terkait pemanduan merbahaya dan cuai. Mereka yang didakwa atas kesalahan ini boleh dihukun penjara tidak lebih lima tahun, dengan saman tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000. Pesalah juga boleh dibatalkan lesen memandu mereka, atau digantung daripada memandu selama lima tahun.

    Pernah terjadi sebelum ini, pemandu yang melawan arus merupakan mereka dari golongan rentan dan tua, yang menghidapi penyakit seperti dementia, yang membuatkan mereka melakukan tindakan itu. Namun, dalam kes Saga ini, belum tentu pemandunya berada dalam keadaan yang bagaimana, tetapi kejadian ini perlu diambil iktibar serius oleh semua dan perlu dihindari segera, atas alasan apa sekali pun.

     
     
  • Toyota Crown Estate 2025 dilancarkan di Jepun – 2.5L PHEV 306 PS dan hybrid 243 PS, bermula RM190k

    Toyota Crown Estate 2025 dilancarkan di Jepun – 2.5L PHEV 306 PS dan hybrid 243 PS, bermula RM190k

    Pada 2023, Toyota telah mendedahkan model generasi ke-15 untuk model Toyota Crown – apa yang mengejutkan, ia kini bukan lagi sekadar sedan besar seperti lazimnya, tetapi tampil dalam empat gaya badan iaitu Crossover, Sport, Sedan dan juga Estate. Tiga dari empat varian badan tersebut sudahpun mula dijual sebelum ini, dan sekarang tiba masa varian Estate iaitu Crown dalam versi wagon dilancarkan secara rasmi ke pasaran Jepun.

    Crown Estate ditawarkan dalam dua varian di sana iaitu Estate RS plug-in hybrid (PHEV) dijual pada harga bermula 8,100,000 yen (RM243,036), dan juga Estate Z hybrid dijual pada harga bermula 6,350,000 yen (RM190,544). Kedua-dua varian ini datang standard dengan sistem pacuan semua roda E-Four, dan menerima enjin petrol A25A-FXS 2.5 liter empat silinder NA.

    Untuk model RS PHEV, enjin petrol yang dibekalkan menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 219 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 182 PS dan tork 270 Nm. Ia turut dibantu dengan satu lagi motor elektrik pada gandar belakang untuk sistem E-Four berkuasa 54 PS/121 Nm, dan secara keseluruhan kuasa yang dibekalkan pada model ini adalah 306 PS.

    Toyota Crown Estate 2025 dilancarkan di Jepun – 2.5L PHEV 306 PS dan hybrid 243 PS, bermula RM190k

    Kuasa elektrik untuk motor-motor berkenaan dibekalkan oleh bateri lithium ion 51 Ah yang membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 89 km dalam kitaran ujian WLTP. Bateri berkenaan boleh dicas semula dengan sistem AC, di mana cas penuh dapat dicapai dalam lima jam setengah dengan soket 200 V/16A, tiga jam setengah menggunakan soket 200 V/30A dan 33 jam menggunakan soket 200 V/6A. Ia juga boleh menggunakan pengecas pantas DC memebolehkan cas 0-80% dipenuhkan dalam masa 38 minit.

    Sementara varian Z hybrid pula, enjin petrol dalam sistem tersebut menghasilkan kuasa 190 PS dan tork 236 Nm, digandingkan dengan motor elektrik 120 PS/202 Nm, serta motor elektrik E-Four yang sama iaitu 54 PS/121 Nm. Kesemua ini menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS, dengan kuasa elektrik dibekalkan dari bateri litium ion 5 Ah.

    Untuk suspensi, Crown Estate yang diasaskan dari platform TNGA-K ini menerima sistem topang McPherson pada sebelah hadapan dan suspensi bebas jenis multilink di belakang. Ia juga diberikan set penyerap hentak adapatif (AVS) yang boleh dilaras dengan tiga pra tetapan iaitu Normal, Sport dan Rear Comfort, serta sistem stereng dinamik pada gandar belakang (DRS).

    Kedua-dua varian datang dengan rim aloi 21-inci dengan tayar 235/45R21, namun masing-masing menerima rekaan yang tersendiri dalam kemasan gelap.

    Toyota Crown Estate 2025 dilancarkan di Jepun – 2.5L PHEV 306 PS dan hybrid 243 PS, bermula RM190k

    Wagon ini dihasilkan dengan dimensi 4,930 mm panjang, 1,880 mm lebar, 1,625 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,850 mm. Dengan bateri hibrid diletakkan di bawah lantai, Toyota mendakwa ia tidak menggangu bahagian kargo kereta ini yang menyediakan ruang berkapasiti 470 liter, serta boleh dibesarkan lagi sehingga 1,470 liter dan menyediakan lantai rata sepanjang dua meter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

    Menurut Toyota lagi, bahagian kargo berkenaan menampilkan fabrik berkualiti tinggi dengan ‘tekstur yang menyenangkan’ bagi membolehkan pemilik menyimpan barang yang penting dengan selamat dan berasa selesa di ruangan tersebut. Bahagian kargo Crown Estate ini juga dilengkapi dengan tempat duduk dek yang boleh digunakan ketika berkhemah atau melakukakn aktiviti luaran yang lain.

    Crown Estate ini JDM ini ditawarkan dengan lima pilihan warna badan biasa dan lima pilihan warna badan dua-tona yang menampilkan bumbung hitam untuk varian RS PHEV termasuk warna khas untuk varian itu iaitu Grayish Blue. Manakala varian Z hybrid pula hadir dengan lima pilihan warna biasa dan empat warna dua-tona.

    Pada bahagian dalaman pula Crown Estate ini menerima skrin infotainmen bersaiz 12.3-inci, serta diberikan upholsteri kulit asli dalam kemasan hitam atau tan, termasuk balutan pada roda stereng dan tombol penukar gear.

    Antara perincian keselamatan yang diberikan pula termasuk pengelak pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal (siang dan malam), pengesan motosikal (siang sahaja) bersama radar gelombang-milimeter dan kamera monokular.

     
     
  • KTMB sediakan servis khas Lambaian Aidilfitri Pantai Timur 2025 — 28-29 Mac, 2&4 April; dari RM90 sehala

    KTMB sediakan servis khas Lambaian Aidilfitri Pantai Timur 2025 — 28-29 Mac, 2&4 April; dari RM90 sehala

    Sempena Raya Aidilfitri 2025 nanti, Keratapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan empat perkhidmatan edisi istimewa Ekspres Lambaian Aidilfitri bagi penumpang yang menuju Pantai Timur, lapor Bernama.

    Sejumlah 312 tiket tersedia bagi setiap perkhidmatan tersebut, menjadikan keseluruhan tiket yang ada ialah sebanyak 1,248 bagi musim ini, ujar Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin. Semua tiket ini juga membolehkan penumpang memilih gerabak tidur dan juga tempat duduk premier untuk lebih keselesaan.

    “Keretapi khas ini juga menampilkan gerabak buffet yang menghidangkan pelbagai hidangan, serta gerabak ‘chillax’ yang merupakan kawasan lounge eksklusif di mana pengunjung boleh menikmati perjalanan yang lebih selesa,” jelas beliau dalam wawancara bersama Bernama TV dalam program Apa Khabar Malaysia.

    Keretapi khas ini akan tersedia pada 28 Mac dan 2 April 2025, dan akan berlepas dari KL Sentral pada pukul 11 malam dan tiba di Tumpat, Kelantan pada 3.53 petang. Pada 29 Mac dan 4 April 2025 pula, keretapi ini akan berlepas dari Tumpat pada 10.45 malam dan tiba di KL Sentral pada 3.10 petang.

    Keretapi khas ini akan berhenti di 16 stesen: Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

    Tiket dijual dengan harga antara RM90 hingga RM95 sehala, dan boleh dibeli secara atas talian menerusi aplikasi mudah alih KTM Mobile (KITS) atau dari laman web rasmi Keratapi Tanah Melayu Berhad. Untuk pembelian di lokasi, ia boleh didapati di kiosk KTMB di stesen terpilih.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025