Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford F-150 Raptor dilancar secara rasmi di M’sia – CKD RHD, 3.5L V6 bi-turbo, 450 hp/691 Nm, RM781k

    Ford F-150 Raptor dilancar secara rasmi di M’sia – CKD RHD, 3.5L V6 bi-turbo, 450 hp/691 Nm, RM781k

    Kami telah mendedahkan bahawa Hamawangsa Kredit telah membawa Ford F-150 Raptor sebenar ke Malaysia, dan hari ini trak pikap gergasi berprestasi tinggi tersebut telah dilancarkan secara rasmi. Model ini dijenamakan semula sebagai Sutton CS 3500 untuk pasaran tempatan, dan jangan risau kerana ia sememangnya sebuah F-150 Raptor asli. Harga? RM780,000 atas jalan tanpa insuran.

    Raptor F-150 merupakan model yang direka khas untuk pasaran Amerika Syarikat, sebab itulah saiznya jauh lebih besar dari trak pikap biasa di Malaysia. Untuk unit yang dijual di sini, kami difahamkan ia dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Gurun, Kedah dan proses transformasi dari pemanduan sebelah kiri (LHD) kepada versi pemanduan sebelah kanan (RHD) telah dilakukan oleh Sutton Bespoke dari UK.

    Buat masa sekarang, Hamawangsa hanya menawarkan Raptor F-150 dengan versi badan SuperCrew Cab, yang dijana enjin 3.5 liter V6 EcoBoost dengan dua pengecas turbo. Enjin berkenaan mampu untuk menjana 450 hp dengan tork maksima 691 Nm, digandingkan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik, manakala pacuan empat roda pula menggunakan sistem dengan dua kelajuan.

    Hamawangsa turut menawarkan opsyen untuk kuasa lebih besar menerusi pakej Monster Intercooler. Dengan pakej ini, Raptor anda akan beraksi lebih agresif dengan bekalan kuasa 520 hp dan tork maksima 827 Nm!

    Selain itu, Raptor ini datang dengan ciri standard lain seperti locking differential pada gandar belakang yang beroperasi secara elektronik dan LSD jenis Torsen. Manakala untuk sistem suspensi, ia didatangkan bersama penyerap hentak berdiameter tiga-inci FOX Racing Shox, dengan strok setinggi 13-inci di hadapan dan 14-inci dibelakang. Tayar All Terrain BFGoodrich T/A KO2 315/70R17 diberikan, membaluti rim aloi bersaiz 17-inci.

    Trak pikap ini juga menampilkan kelengkapan standard lain yang terdiri dari skrin paparan instrumen 4.2 inci, cruise control, sistem masuk tanpa kunci dan butang penghidup enjin, soket kuasa 12V di depan dan belakang, roda stereng dibalut kulit dengan pedal penukar gear dan butang kawalan, penderia undur, tempat duduk larasan berkuasa dan upholsteri kulit, penghawa dingin manual dua-zon, sunroof, Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang dan juga Terrain Management System.

    Bagi menyesuaikan kegunaannya pada suasana off-road, ia turut menampilkan lampu bar LED penuh pada bumbung, lampu LED pada gril hadapan, penutup tonneau kawalan eletronik, pakej tundaan treler serta karpet kaki jenis all-weather.

    F-150 Raptor atau Sutton CS 3500 ini hanya akan dibina setelah anda melakukan tempahan, dan ia akan siap dalam masa enam bulan selepas itu. Pembeli juga ditawarkan pelbagai opsyen seperti pakej kuasa tambahan seperti yang dinyatakan tadi serta ciri lain seperti pilihan rim aloi dan juga penutup bed. Setiap pembelian trak rasaksa ini akan diberikan perlindungan waranti selama tiga tahun/60,000 km, disediakan oleh Nazamax.

    Hamawangsa merupakan pemegang franchise dan pengedar utama untuk model-model Clive Sutton di rantau ASEAN, dan CS 3500 ini turut akan dieksport ke Indonesia, Laos, Myanmar, Vietnam, Singapore dan Brunei, serta versi pemanduan sebelah kiri untuk pasaran Filipina. Syarikat berkenaan turut akan membawa model F-150 dengan kuasa diesel digelar CS 3000 pada suku keempat tahun ini, dijana enjin 3.0 liter V6 turbodiesel Power Stroke berkuasa sekitar 250 hp/596 Nm.

     
     
  • Audi Q8 dipamer di Euromobil Glenmarie – RM728k!

    Audi Q8 dipamer di Euromobil Glenmarie – RM728k!

    Dalam diam-diam Audi Q8 memasuki negara kita dan ia sedang dipamerkan di Euromobil Glenmarie. Dianggap pesaing rapat dengn BMW X6 dan Mercedes-Benz GLE, SUV coupe ini dilaporkan berharga RM727,900 tanpa insurans.

    Buat setakat ini, hanya satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu 3.0 TFSI quattro. Ia dijanakan oleh enjin 3.0 liter pengecas turbo V6 petrol dengan hamburan kuasa sehingga 340 hp pada 5,200 hingga 6,400 rpm dan tork 500 Nm pada 1,370 hingga 4,500 rpm, dan dipadankan bersama transmisi automatik tiptronic lapan-kelajuan.

    Kuasanya disalurkan ke empat roda menerusi sistem pacuan semua-roda quattro (dengan stereng semua-roda), yang membantu ia mampu dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 5.9 saat. Kelajuan maksimumnya dicatatkan pada 250 km/j, dan penggunaan bahan api kombinasinya dianggarkan pada kadar 8.9 liter per 100 km. Ciri suspensi udara adaptif, brek parkir elektromekanikal dan stereng progresif didatangkan secara standard.

    Untuk luaran, Q8 dipadankan dengan lampu utama LED matrix dengan rekaan lampu dinamik dan isyarat membelok dinamik, lampu belakang LED dengan lampu isyarat dinamik, bantuan barkir dengan kamera pandangan sekeliling 360-darjah, bumbung matahari berkaca panoramik, dan roda aloi 20-inci dengan dibaluti tayar 275/50 Continental PremiumContact6.

    Di dalamnya, kelihatan kokpit Audi seperti biasa, dengan kawalan suhu automatik empat-zon, tempat duduk kulit Valcona (Q8 yang kita dapat adalah lima-tempat duduk, tempat duduk barisan ketiga adalah pilihan untuk pasaran lain), fungsi haba dan aliran untuk tempat duduk hadapan, kemasan dalaman Oak Grey, perehat tangan tengah dengan balutan kulit dan pakej pencahayaan ambien. Turut hadir dengan sistem bunyi Olufsen 3D, navigasi MMI dengan respon sesentuh MMI, paparan utama berwarna dan paparan telefon pintar Audi.

    Dalam fesyen terkini Audi, pemuka tengah menampilkan larasan dwi-skrin, dengan skrin sesentuh atas berukuran 10.1-inci (infotainmen MMI dan navigasi) dan unit bawah berukuran 8.6-inci.

    Untuk keselamatan, ia menawarkan cici keselamatan aktif dan pasif, termasuk pra pengesan hadapan Audi yang didatangkan dengan bantuan membelok dan bantuan elak kemalangan dan juga pengesan isyarat trafik berdasarkan kamera. Ciri keselesaan lain termasuk tirai suria elektrik untuk cermin belakang, dan tirai suria manual untuk kedua-dua tingkap sisi belakang.

     
     
  • Geely FY11 – gambar rekaan kabin SUV coupe didedah

    Geely FY11 – gambar rekaan kabin SUV coupe didedah

    Kita dah pernah tengok gambar luaran model “Sports Coupe SUV” akan datang, dikenali dengan kod nama FY11. Susulan daripada itu, sekarang ada pula set gambar ruang dalaman SUV berkenaan yang didedahkan. Nampak kemas?

    Geely kata, FY11 ini merupakan model yang memberi tumpuan kepada pemandu; seperti yang dapat dilihat, rekaan dalaman pun turut sama memberi keutamaan ini. Papan pemuka dengan rekaan asymetric dan panel infotainmen yang besar dihalakan sudutnya khusus untuk pemandu.

    Papan pemuka sahaja ada dua lapisan, dengan jalur krom pada panel infotainmen, bersekali dengan kemasan sama di bawah permukaan hitam kesat yang digunakan. Kontras antara kedua warna krom dan hitam itu memberikan kesan 3D yang unik. Corong pendingin hawa pula sedikit terkeluar, berada pada lapisan berbeza pada papan pemuka.

    Roda stereng pula bersaiz kecil, dengan bahagian bawahnya rata dengan ciri pelbagai fungsi. Rekaan pada bahagian panel pintu pula diilhamkan daripada seni lipatan origami tradisional. Pada konsol tengah pula, sekali pandang ia nampak seperti mengambil sentuhan dari rekaan tataletak kokpit kapal terbang.

    Ciri utama semua rekaan ini ialah, semua tombol atau suis dicondongkan lebih sedikit ke arah pemandu. Ini termasuk paparan skrin yang ada. Menurut Geely juga, rekaan kerusinya meminjam rekaan dari tempat duduk bucket, tetapi dengan lebih keselesaan. Bahagian perehat kepalanya sekali lagi mengambil asas dari kabin kapal terbang, dakwa Geely.

    Model pertama Geely yang menggunakan platform Compact Modular Architecture ini akan dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo dengan janaan 235 hp dan 350 Nm. SUV coupe ini, yang direka dengan penggayaan model-model seperti Mercedes-Benz GLC dan BMW X4, akan ditawarkan dalam versi pacuan depan dan AWD.

     
     
  • JKJR mahu tingkatkan kualiti laluan khas motosikal

    JKJR mahu tingkatkan kualiti laluan khas motosikal

    Laluan khas untuk penunggang motosikal perlu dipertingkatkan kualitinya agar ia lebih selamat dan selesa digunakan, itulah hasrat yang disuarakan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

    Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Rosli Isa, pihaknya akan berbincang denga beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan kemudahan itu memberi manfaat kepada golongan itu.

    “Kajian sebelum ini mendapati antara punca pengguna motosikal enggan menggunakan laluan khas itu adalah jalan yang berlubang atau pecah, laluan sempit, terlalu gelap pada waktu malam dan ancaman berlaku jenayah disamun terutama di dalam terowong. Faktor jalan itu ditutup akibat projek berhampiran laluan juga menyebabkan pengguna motosikal memilih untuk menggunakan jalan biasa,” katanya ketika menjadi tetamu program temu bual ‘Ruang Bicara’ terbitan Bernama News Channel (BNC).

    JKJR mahu tingkatkan kualiti laluan khas motosikal

    Katanya lagi, perkara itu menjadi fokus jabatannya kerana infrastuktur sudah tersedia dan ia sepatutnya memberi manfaat kepada pengguna motosikal yang berperanan membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu. Mengikut statistik kemalangan jalan raya bagi tahun 2017, sebanyak 6,740 jumlah kemalangan yang melibatkan kematian di jalan raya direkodkan dengan lebih 60 peratus atau 3,991 daripadanya adalah membabitkan pengguna motosikal.

    Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang yang turut menjadi tetamu dalam program itu mencadangkan penunggang motosikal hanya dibenarkan menggunakan lorong paling kiri di jalan raya.

    “Kita hadkan pengguna motosikal untuk menggunakan lorong paling kiri, jika tiada laluan khas motosikal. Cadangan lain termasuklah mengurangkan had kelajuan motosikal kepada 70 km sejam dan ke bawah, supaya mereka tidak memecut dan bersaing serta mencelah-celah dengan kenderaan lain,” katanya.

    Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup berkesan kerana pendidikan dan kesedaran juga perlu diterapkan agar masyarakat lebih menghargai nyawa dan mematuhi peraturan.

     
     
  • Lynk & Co bakal masuk pasaran Eropah pada 2020

    Lynk & Co bakal masuk pasaran Eropah pada 2020

    Divisi mewah dari Geely, Lynk & Co kini diiktiraf sebagai jenama paling cepat berkembang di dunia setelah berjaya menjual sebanyak 120,414 kenderaan di China pada tahun 2018, dan ia bakal menembusi pasaran Eropah menjelang 2020.

    Jenama ini hanya bermula tiga tahun lalu, dan sehingga kini ia telah membuka sebanyak 221 pusat jualan di pasaran domestik negara tersebut. “Tiga tahun lalu, Lynk & Co hanyalah idea yang diasaskan dari prinsipal yang tidak pernah didengari dalam industri. Angka jualan untuk jenama baharu sepenunhya ini adalah penerimaan dan bukti bahawa fokus kepada pengalaman yang sedikit dari mula hingga akhir untuk golongan muda di bandar-bandar moden adalah berhasil,” kata CEO Lynk & Co, Alain Visser.

    Lynk & Co akan menerjah masuk pasaran Eropah bermula dengan membuka pusat jualannya di Amsterdam, Berlin, Brussels, Stockholm, London dan Barcelona bermula tahun hadapan. Buat masa sekarang, produksi untuk model-model jenama ini dibuat di China, dan untuk masa hadapan ia dirancang untuk dikembangkan ke Ghent di Belgium dan Carolina Selatan, Amerika Syarikat.

    Kesemua model Lynk & Co iaitu 01, 02, 03 diasaskan dari platform Compact Modular Architecture (CMA) iaitu asas yang sama dengan Volvo XC40. Ia dijana dengan pilihan enjin petrol 1.5 liter tiga-silinder dan juga 2.0 empat silinder, kedua-duanya menerima pengecas turbo.

    Apa yang menarik, Lynk & Co 01, 02 dan 03 ini juga telah dilihat diuji di Malaysia baru-baru ini. Kesemua kereta ujian tersebut adalah dalam versi pemanduan sebelah kiri, dan mungkin mereka sedang membangunkan versi pemanduan sebelah kanan. Namun masih lagi belum jelas adakah Lynk & Co akan dijual disini pada masa akan datang, atau mungkin hanya akan dieksport ke luar negara.

    GALERI: Spyshot Lynk & Co 01, 02 dan 03 di Malaysia

     
     
  • McLaren 600LT dipertonton di Malaysia – 3.8L bi-turbo V8, 600 PS, 0-100 km/j dalam 2.9 saat, dari RM998k

    McLaren 600LT dipertonton di Malaysia – 3.8L bi-turbo V8, 600 PS, 0-100 km/j dalam 2.9 saat, dari RM998k

    Sabtu lalu, McLaren Kuala Lumpur telah menganjurkan satu acara rasmi pengenalan sebuah model terbaru, setelah sekian lama sepi. Kini dengan pengurusan baru (bukan lagi di bawah Sime Darby) dan tetap menyambung operasi jualan modelnya di sini, jenama berkenaan kembali dengan majlis pra-tonton McLaren 600LT Coupe.

    Dengan harga bermula dari RM998,000 belum termasuk cukai dan pilihan lain, 600LT ini merupakan model yang sama dengan 570S, tetapi dengan segenap penampilan dan penawaran yang telah dipertingkatkan – dengan tumpuan untuk mencatatkan kelajuan terpantas.

    LT dalam namanya membawa maksud “Longtail”, siri nama yang berasal awalnya dari satu versi kereta lumba F1 GTR – yang mana gelarnya itu diperkenalkan semula baru-baru ini pada model yang sama agresif, 675LT. 600LT ini walaupun tidak memiliki kepanjangan yang sama seperti GTR, bagaimanapun tetap tampil dengan 74 mm lebih panjang berbanding 570S.

    McLaren 600LT dipertonton di Malaysia – 3.8L bi-turbo V8, 600 PS, 0-100 km/j dalam 2.9 saat, dari RM998k

    Ini antaranya disumbangkan oleh spoiler belakang, serta diffuser dapan dan belakang yang semuanya diperbuat daripada gentian karbon dan memberikan sehingga 100 kg downforce pada kelajuan 250 km/j. Penggunaan keseluruhan bahagian gentian karbon itu juga membolehkan beratnya dikurangkan sebanyak 100 kg berbanding model 570S.

    600LT ini menggunakan enjin versi baru McLaren 3.8 liter turbo berkembar V8. Dengan ECU yang ditala semula serta sistem ekzos yang diperkemas, ia mampu menghasilkan 600 PS pada 7,500 rpm (yang menjadi tanda nama model ini) dan 620 Nm dari 5,500 rpm hingga 6,500 rpm – menjadikan nisbah kuasa-kepada-berat pada kadar 481 PS bagi satu tan.

    Lagi angka-angka prestasi jentera ini; 0-100 km/j dalam masa hanya 2.9 saat. Untuk capai kelajuan 200 km/j pula, hanya 8.2 saat diperlukan. Laju maksimum pula mencecah 328 km/j. Unit ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan pacuan belakang.

    Selain itu, aspek kendaliannya juga lebih baik. Dengan kedudukan 8 mm lebih dekat dengan permukaan tanah serta 10 mm lebih lebar di bahagian depan, 600LT ini memanfaatkan sistem suspensi double wishbones dengan aluminium yang diperkukuh – memberikan 10.2 kg jimat bagi beratnya.

    Breknya pula menggunakan cakera gentian seramik dengan kaliper aluminium yang juga lebih ringan – ini memberikan jarak memberhentikan kenderaan dari kelajuan 200 km/j hanya dalam 117 meter. Aspek pengurangan berat ini dibawa sampai ke dalam kabin; 600LT tidak mempunyai karpet dan menggunakan kemasa Alcantara (jimat lagi 5.7 kg). Ini ditambah pula penggunaan kerusi gentian karbon dari hypercar McLaren P1, yang membolehkan 21 kg lagi di”buang”.

    Setakat ini, McLaren Kuala Lumpur telah menjual semua sembilan unit yang diperuntukan untuk mereka, dan bercadang untuk menambah stok lagi; hanya tinggal tempoh sembilan bulan sebelum jentera ini dihentikan pengeluarannya. Ada siapa-siapa yang berminat?

     
     
  • TAS2019: HKS Zero-R BNR32 terjual pada RM627k!

    TAS2019: HKS Zero-R BNR32 terjual pada RM627k!

    Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2019, acara lelongan anjuran BH Auction turut diadakan di dewan persembahan Makuhari Messe. Dan antara kereta lelongan yang paling ditunggu-tunggu adalah Nissan Skyline GT-R R32 istimewa yang dihasilkan oleh HKS iaitu HKS Zero-R BNR32 – salah satu dari hanya empat unit yang wujud dalam dunia.

    Kereta ini dihasilkan badan penala Jepun, Hasegawa-Kitagawa-Sigma atau HKS pada tahun 1993. Ketika itu, HKS berhasrat untuk menghasilkan model penuh mereka sendiri seperti apa yang dilakukan oleh RUF di Jerman – membeli Porsche 911 terus dari Porsche, kemudian dileraikan, diubahsuai dengan pelbagai tingkat taraf dari segi rupa, pengedalian dan prestasi enjin, kemudian dijual semula di bilik pameran sebagai RUF CTR.

    Pembinaan HKS Zero-R R32 ini bermula seawal tahun 1991. Setelah menerima unit baharu dari Nissan, enjin RB26DETT asli dari perut R32 berkenaan diolah semula. Kapasiti 2,600 cc asal telah dipertingkatkan kepada 2,688 cc. Kemudian sistem pengecas turbo berkembar standard dari kilang digantikan dengan sebuah pengecas turbo tunggal lebih besar TA 45S.

    TAS2019: HKS Zero-R BNR32 terjual pada RM627k!

    Ia kemudian ditala bagi membolehkan enjin tersebut beroperasi seperti sebuah kereta berprestasi tinggi yang keluar standard dari kilang dengan bekalan kuasa 450 PS dan tork maksima 490 Nm, berbanding kuasa asal 280 PS/353 Nm.

    Bukan setakat enjin, kereta ini turut menerima tingkat taraf lain seperti sistem suspensi lengkap dari HKS dan juga set brek lebih besar dari AP Racing, manakala tangki petrol juga telah dialihkan ke belakang tempat duduk pemandu bagi mendapatkan nisbah agihan berat yang lebih baik – kesemuanya ditala bukan semata-mata untuk prestasi, tetapi juga mengambil kira keselesaan untuk digunakan setiap hari.

    HKS Zero R ini juga diberikan rupa berbeza dari GT-R R32 standard. Ia menerima kit badan unik yang dari bampar hadapan menampilkan spotlight bersaiz penuh, skirt sisi dengan liang udara untuk brek belakang, bampar belakang dengan diffuser serta menempatkan dua muffler bersaiz besar dan juga spoiler belakang yang lebih besar dari asal .

    TAS2019: HKS Zero-R BNR32 terjual pada RM627k!

    Ukiran ‘Zero-R’ turut diberikan pada kedua-dua sisi badan dan juga pada bahagian belakang menggantikan tulisan ‘Skyline’. Anda juga boleh lihat corong untuk mengisi petrol berada pada bahagian bawah tingkap belakang sisi kanan kereta ini kerana tangki petrol yang telah dialihkan. HKS memadankan set rim Tecnomagnesio dari Itali bagi melengkapkan rupa luaran R32 Zero-R ini.

    Bahagian dalaman model istimewa ini juga diberikan perincian khas. Tempat duduk asal ditukar kepada tempat duduk bucket dengan sulaman Zero-R, roda stereng dibalut kulit, serta pelbagai gajet-gajet pemantau dan talaan HKS disorokkan dalam glove box.

    HKS bercadang mahu menghasilkan 10-unit awalan HKS Zero-R32 ini, tetapi setelah hanya empat buah dihasilkan, dengan setiap satunya memakan kos menghampiri US$150,000, badan penala berkenaan mengambil keputusan untuk menghentikan projek ini kerana pihak berkuasa Jepun mensyaratkan supaya ujian pelanggaran juga perlu dilakukan sebagai sebahagian proses homologasi bagi membolehkan kereta ini dijual sebagai model baharu di bilik pameran.

    TAS2019: HKS Zero-R BNR32 terjual pada RM627k!

    Ini membuat Zero-R berkenaan betul-betul rare kerana hanya empat buah yang wujud di dunia, satu daripadanya telah di beli oleh Sultan Brunei (kini telah dijual kepada orang awam di sana), manakala salah satu lagi ialah unit yang dilelong oleh BH Auction di Tokyo Auto Salon 2019 ini, dan berjaya dijual dengan harga 16.6 juta yen atau sekitar RM627,000. Unit istimewa ini berjaya dibida oleh penala dari Australia, V-Spec Performance dan ia akan dibawa balik ke Melbourne.

    Oleh kerana angka kuasa 450 PS dilihat agak kecil, kereta yang dilelong hari ini sebenarnya telah diolah semula HKS Tuning Factory, Tokyo. Sukar untuk kami ketahui dengan lebih terperinci apa yang telah dibuat pada kereta ini, tetapi menerusi sedikit maklumat yang kami terima, enjin pada Zero-R ini kini telah menerima sistem injap bervariasi (VVT) rekaan HKS sendiri yang digelar ‘V-Cam’, membolehkan ia kini bernafas dengan bekalan kuasa 600 PS dan menurut HKS, ia tidak mempunyai masalah untuk mencatatkan 300 km/j di atas lebuh raya!

     
     
  • Huawei patenkan sistem bolehkan kereta buat laporan terus kepada polis jika dipandu pemandu mabuk

    Huawei patenkan sistem bolehkan kereta buat laporan terus kepada polis jika dipandu pemandu mabuk

    Pembuat gajet elektronik dari China, Huawei telah mempatenkan teknologi yang membolehkan kereta pemanduan sendiri membuat laporan terus kepada polis sekiranya mengesan pemandu yang memandunya dalam keadaan mabuk, lapor AutoExpress.

    Dalam dokumen yang difailkan di Pejabat Paten Eropah tersebut mendedahkan bahawa teknologi ini juga mampu untuk memantau keadaan pemandu bagi memastikan mereka cukup sihat bagi memandu secara manual, mengambil alih kawalan dari pemanduan automatik.

    Sekiranya ia mengesan pemandu berada dalam keadaan mabuk, ia akan membuat keputusan sendiri termasuk memberikan amaran kepada penumpang lain, menyahaktifkan kawalan manual dan juga terus menghubungi polis jika perlu.

    Huawei patenkan sistem bolehkan kereta buat laporan terus kepada polis jika dipandu pemandu mabuk

    Kamera pemantau pemandu yang dihasilkan Volvo

    Menurut paten tersebut lagi, sistem ini akan beroperasi dengan “pelbagai penderia bagi mengesan imej” dan ia bukan sahaja direka untuk mengesan alkohol, malah telefon yang digunakan untuk menghantar mesej ketika memandu, dadah dan juga senjata. Ia juga boleh mengenalpasti sama ada pemandu tersebut memandu dalam keadaan terganggu, tertekan atau mengantuk.

    Tiada perincian bagaimana Huawei akan memproduksi sistem berkenaan. Sehingga kini tiada lagi laporan bahawa Huawei akan mengikut jejak langkah Apple bagi menghasilkan kereta sendiri. Jadi berkemungkinan besar teknologi berkenaan akan dijual kepada pengeluar-pengeluar automotif.

    Ia juga mungkin hampir sama dengan sistem dibangunkan oleh Volvo yang akan mula diimplementasi tahun ini. Sistem dari pengeluar kereta Sweden tersebut menggunakan kamera bagi mengesan kesihatan pemandu, dan akan menghubungi hospital dan ahli kenalan terdekat sekiranya pemandu dikesan mempunyai masalah kesihatan.

     
     
  • DRB-Hicom ada sebab kukuh untuk pertahankan diri dalam kes saman Proton-Lotus-Goldstar – laporan

    DRB-Hicom ada sebab kukuh untuk pertahankan diri dalam kes  saman Proton-Lotus-Goldstar – laporan

    Ingat lagi laporan berkaitan saman bernilai RM523 juta yang dikeluarkan oleh Goldstar Heavy Industrial kepada Proton Automobiles China Ltd (PACL) minggu lepas? Dalam perkembangan terbaru seperti dilaporkan The Egde, DRB-Hicom mungkin memiliki peluang baik untuk mempertahankan dirinya terhadap saman sivil berkenaan.

    Sedikit tentang latar perkara ini; PACL dimiliki sepenuhnya oleh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), yang merupakan 100% anak syarikat Proton Holdings Berhad (PHB). Ketika ini, DRB-Hicom memiliki 50.1% kepentingan dalam PHB.

    Di dalam saman yang difailkan, DRB-Hicom sebelum ini menjelaskan dakwaan itu adalah bersabit dengan kontrak yang melibatkan PHB, Lotus Group International Limited (LGIL) dan Goldstar, bertujuan untuk mewujudkan sebuah syarikat usaha sama dengan nama Goldstar Lotus Automobile (GLAC) – bertujuan untuk mengeluarkan kereta, enjin, alatan, komponen dan aksesori lain Lotus di China.

    Bagaimanapun, selepas gagal untuk mendapatkan lesen pengilangan yang diperlukan selepas tarikh akhir tempoh lanjutan pada 31 Disember 2017, kontrak berkenaan dibatalkan pada 22 Januari tahun lalu, dan GLAC tidak dapat memulakan perniagaannya.

    Kegagalan syarikat usahasama yang ditubuhkan itu mendapat lesen pengilangan mengikut masa yang ditetapkan akan menjadi hujah pembelaan yang kukuh bagi pihak DRB-Hicom, memandangkan perkara itu menjadi syarat utama untuk membolehkan perjanjian berkenaan diteruskan.

    DRB-Hicom ada sebab kukuh untuk pertahankan diri dalam kes  saman Proton-Lotus-Goldstar – laporan

    Saman sivil itu dibuat selepas setahun daripada tarikh pembatalan berkenaan, kemungkinan besar disebabkan oleh kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kata sepakat. Menurut pengumuman awal Bursa bertarikh 27 April 2015, sekiranya berlaku pembatalan usahasama itu, pihak terlibat boleh menuntut nilai kapital yang didaftarkan oleh pihak yang satu lagi melalui penilai bebas.

    GLAC ditubuhkan pada 25 September 2015, dengan jumlah semasa yang serta modal awal dimiliki ialah RM180 juta. Pihak berkepentingan di dalam GLAC adalah seperti berikut; PHB (40%), LGIL (10%) dan Goldstar (50%).

    Sekiranya tidak berhasil diteruskan, Proton sepatutnya dibenarkan untuk memindah bahagian kapital yang didaftarkan miliknya kepada pihak ketiga. Sekiranya kedua-dua pilihan itu berjaya diteruskan, usahasama berkenaan boleh meneruskan untuk mencairkan dananya.

    Memandangkan Lotus telah dijual kepada Zhejiang Geely Holding (ZGH) Group oleh Proton pada September 2017, pilihan ketiga saja yang tinggal – disebabkan itu saman sivil dikeluarkan untuk mendapatkan semula kos yang ditanggung Goldstar.

     
     
  • VIDEO: Ford Ranger Wildtrak Eropah tarik 20-karavan

    Kita dan pasaran ASEAN lain telah pun menerima Ford Ranger 2019 dengan enjin turbodiesel 2.0 liter Ecoblue baharu tahun lalu. Namun untuk pasaran Eropah, mereka hanya akan menerima versi ini bermula sekitar pertengahan tahun ini. Sebelum trak pikap yang disegarkan dengan unit penjana baharu itu dilancarkan, Ford telah menyiarkan satu video iklan baharu bagi menunjukkan kebolehannya.

    Video berdurasi 1 minit 15 saat bertajuk “Tarik sahaja apa yang anda mahu” berkenaan memaparkan Ranger pasaran Eropah mampu untuk menarik 20-karavan serentak tanpa masalah, dengan beban menunda sekitar 20-tan, dakwa Ford. Ia secara tidak langsung membentuk satu konvoi sepanjang 100-meter dan hanya ditarik oleh sebuah trak pikap.

    Namun menurut Ford, video ini sebenarnya bukanlah dilakukan dijalan raya awam, sebaliknya dibuat di litar ujian mereka, Millbrook Proving Ground di UK. Ia juga dijayakan oleh pemandu aksi stunt, Paul Swift.

    “Ini merupakan stunt yang paling perlahan pernah saya buat- tetapi juga yang paling sukar. Cuba untuk memastikan karavan bergerak lurus pada laluan sempit sambil membolehkan kereta memotong merupakan cabaran yang sukar, dan ia benar-benar mendemostrasikan kebolehan Ranger,” kata Swift.

    Ranger pasaran Eropah ini akan menerima enjin baharu berkenaan dalam tiga talaan kuasa berbeza. Model asas dan pertengahan dengan pengecas turbo tunggal menghasilkan kuasa 132 PS/340 Nm dan 173 PS/420 Nm. Manakala versi tertinggi Wildtrak (yang digunakan pada video ini) diberikan dua pengecas turbo menghasilkan 213 PS/500 Nm. Kesemua varian digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan baharu.

    Berbanding pasaran Malaysia, kita masih lagi ditawarkan dengan enjin lama 2.2 liter berkuasa 160 PS/385 Nm untuk versi asas XL dan XLT. Manakala untuk Wildtrak, pasaran tempatan menerima enjin diesel baharu Ecoblue 2.0 liter Si-Turbo berkuasa 180 PS/420 Nm. Apa yang istimewa, Malaysia turut ditawarkan dengan versi berprestasi tinggi Ranger Raptor yang dilengkapi badan lebih lebar, suspensi Fox Racing dan enjin diesel 2.0 liter turbo berkembar berkuasa 213 PS/500 Nm.

    GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2019 pasaran Eropah

     
     
  • Kadar saman trafik yang ditular adalah palsu – JPJ

    Kadar saman trafik yang ditular adalah palsu – JPJ

    Sejak beberapa hari kebelakangan ini, tular di laman media sosial dan mesej berantai menerusi Whatsapp yang menyatakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal mengenakan kadar bayaran saman trafik baharu (seperti foto di atas) mulai Februari ini.

    Walau bagaimana pun, JPJ telah mengesahkan maklumat tersebut adalah tidak sahih, malah mengatakan bahawa ia tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai kadar bayaran saman dan jenis kesalahan seperti yang ditularkan.

    Menerusi mesej yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JPJ, pihak tersebut berkata, “Jabatan Pengangkutan Jalan ingin merujuk kepada mesej berkenaan Sebelum Duit Anda Melayang yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp. JPJ ingin menegaskan bahasa mesej atau kenyataan tersebut adalah TIDAK BENAR dan TIDAK PERNAH DIKELUARKAN oleh JPJ serta ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang mesej melalui aplikasi Whatsapp yang tidak mempunyai sumber sahih dan kemudian menyebarkannya sebelum pengesahan dilakukan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.”

     
     
  • PLUS akan buka lorong kecemasan di dua lokasi kritikal di Lebuhraya Utara Selatan sempena TBC ini

    PLUS akan buka lorong kecemasan di dua lokasi kritikal di Lebuhraya Utara Selatan sempena TBC ini

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan lorong kecemasan akan di buka di dua lokasi kritikal di Lebuhraya Utara Selatan sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) iaitu pada 5 Februari ini. Ia adalah untuk membolehkan orang ramai bergerak dengan lebih selesa ketika perjalanan pada waktu puncak.

    Dua lokasi itu yang terletak di negeri Perak, ialah Simpang Pulai hingga Gopeng iaitu sejauh tujuh kilometer di KM287 hingga KM295.1 dan di Slim River hingga Sungkai, juga sejauh tujuh kilometer di KM 367.6 hingga KM360.5.

    Menurut PLUS, berdasarkan kajian dan rekod pihaknya, pada musim-musim perayaan yang lepas, kesesakan trafik amat teruk di kedua-dua lokasi berkenaan. Berdasarkan rekod, perjalanan di antara Slim River dan Sungkai sejauh 19 kilometer.

    Menurut PLUS, pembukaan dua lokasi di lebuh raya itu dikhususkan pada hari jumlah trafik tinggi dan kesesakan trafik adalah amat kritikal agar laluan lebih lancar dan mengurangkan risiko kesesakan dan kemalangan. Lorong kecemasan itu dibuka apabila mendapat persetujuan daripada pihak polis dan penggunaan lorong ini juga akan dihentikan sekiranya keadaan keselamatan di lokasi tergugat pada bila-bila masa.

    Malah langkah itu juga merupakan peringkat percubaan bagi membantu PLUS menilai keberkesanannya tanpa mengabaikan keselamatan para pengguna lebuh raya.

    PLUS turut menjangkakan 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan setiap hari pada musim perayaan hari ini berbanding 1.45 juta pada hari-hari biasa, dengan peningkatan sebanyak 24%.

     
     
  • Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina – JPJ

    Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan berhubung larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina. Ia bakal dilaksanakan sepanjang tempoh lima hari iaitu 2, 3, 4, 9 dan 10 Februari ini.

    Menerusi satu kenyataan yang dihantar, kenderaan berat ini dikategorikan kepada tiga iaitu trak tunda yang muatannya melebihi 7,500 Kilogram (kg), lori kontena dan kren bergerak serta lori pembancuh simen. Bagi setiap kategori ini, ia mempunyai masa yang dihadkan penggunaannya. Bagi kategori satu iaitu lori pembawa kenderaan, trak tunda ketika tidak menunda kenderaan motor dan lori jongket (tipper) yang berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kg.

    Selain itu, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, traktor, pengangkut simen, besi keluli, batu pasir, tanah dan bahan binaan lain seperti bijih timah dan arang batu turut berada dalam kategori satu yang mana tempoh larangannya ialah sepanjang lima hari berkenaan.

    Bagi kategori kedua pula, tempoh larangannya bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi membabitkan kenderaan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri sama dan sebaliknya.

    Seterusnya bagi kategori ketiga membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen, tempoh larangannya bermula jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.

     
     
  • Yamaha R25 2019 tiba di M’sia – harga diumum Mac

    Yamaha R25 2019 tiba di M’sia – harga diumum Mac

    Selain Tracer 900 GT yang dilancarkan hari ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd turut membuat pra tonton awal sebuah lagi model baru iaitu YZF-R25 facelift. Ia hanya akan berada di pasaran pada bulan Mac (harga juga akan diumumkan pada waktu itu) dan adalah model sama yang sebelum ini dilancarkan secara serentak di Indonesia, Thailand dan Amerika Syarikat Oktober tahun lalu.

    Melalui model baru ini, sudah tentu, penampilannya disegarkan lagi berbanding model sebelum ini dan kini mempunyai lebih banyak bahagian yang mirip seperti R1. Kemudiannya, ciri aerodinamik juga diperbaiki, seterusnya membantu motosikal ini untuk mendapat kelajuan maksimum yang lebih tinggi (lebih 8 km/j). Lampu depan dan belakang motosikal ini menggunakan unit LED.

    Untuk bahagian enjin R25, tiada perubahan berbanding model sebelum ini (model sekarang dijual pada harga RM19,463) dan ia masih lagi menggunakan unit dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan yang sama dengan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Perubahan yang lebih utama adalah pada bahagian suspensi, di mana sekarang R25 baru menggunakan fork USD berwarna emas di hadapan, manakala di belakang, monoshock yang digunakan ditala semula untuk memberikan lebih ciri sporty. Kedudukan pemegang motosikal ini juga lebih rendah 22 mm berbanding model sebelumnya.

    Reka bentuk tangki (kapasiti 14 liter) juga telah diubah, dan menurut Yamaha, semua perubahan ini memberikan peluang kepada pemilik untuk menikmati asas tunggangan motosikal berciri sporty. Untuk panel instrumen, model baru R25 menggunakan unit LCD digital penuh lengkap dengan lampu shift light.

    Model yang dipertonton di Malaysia ini tidak dilengkapi dengan ABS, dan mempunyai berat 166 kg, rim 17 inci, tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang dan lampu kecemasan (hazard light). Bagi yang tertanya mungkinkah akan ada versi VVA bagi R25 ini, salah seorang wakil Yamaha yang berada di majlis pelancarannya di Indonesia pernah memberitahu bahawa R25 sudah mempunyai kuasa yang cukup dan tidak akan dilengkapi dengan VVA.

     
     
  • Yamaha Tracer 900 GT dilancar di M’sia – RM58,888

    Yamaha Tracer 900 GT dilancar di M’sia – RM58,888

    Seperti yang sudah dijangka, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd hari ini telah melancarkan sebuah model baru untuk pasaran Malaysia iaitu Tracer 900 GT. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu kelabu dan juga biru, dengan harga RM58,888 termasuk SST tetapi tanpa insurans (tiada beg barangan).

    Model jelajah ini menggunakan asas daripada Tracer 900 baru yang dilancarkan buat pertama kali di dunia pada November 2017, dan ia mempunyai pelbagai peningkatan daripada Tracer generasi pertama, termasuk pada bahagian ergonomik, keselesaan serta fungsi yang memudahkan bagi pengguna.

    Kemudiannya, model yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ini adalah model GT, yang bermaksud ia dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan prestasi seperti quickshifter, cruise control, suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya, pemanas tangan serta panel instrumen TFT yang dibangunkan daripada superbike YZF-R1.

    Pada bahagian enjin, Tracer 900 GT masih menggunakan enjin tiga silinder 847 cc sama seperti MT-09, dengan padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Untuk brek, di hadapan ia menggunakan set cakera berkembar 298 mm manakala di belakang menggunakan cakera 245 mm.

    Kelengkapan lain yang datang terus dengan Tracer 900 GT adalah rim 17 inci, tangki bahan api 18.7 liter, klac jenis slip & assist, brek ABS, dua tahap kawalan cengkaman dan boleh ditutup, tiga mod tunggangan (A, B dan Standard) dan penghadang angin hadapan yang boleh dilaras secara manual.

    Semua kelengkapan Yamaha Tracer 900 GT untuk pasaran Malaysia ini datang terus dari Jepun tetapi pemasangannya dilakukan di kilang HLYM di Sungai Buloh. Untuk model ini sahaja, HLYM mensasarkan penjualan 500 ke 600 unit bagi tahun 2019, dan ia didatangkan dengan jaminan satu tahun atau 10,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025