Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW 8 Series dilancarkan di Thailand – varian tunggal M850i xDrive Coupe berharga 12,999,000 baht

    BMW 8 Series dilancarkan di Thailand – varian tunggal M850i xDrive Coupe berharga 12,999,000 baht

    BMW 8 Series telah pun dilancarkan secara rasmi di Thailand, ditawarkan dalam varian tunggal M850i xDrive Coupe. Sport coupe ini ditawarkan pada harga 12,999,000 baht, atau pun RM1,652,108.

    Dengan tanda harga setinggi itu, model ini datang dengan enjin 4.4 liter turbo-berkembar petrol V8 dengan kuasa 530 PS dan tork 750 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan, dengan sistem pacuan semua-roda xDrive dan M sport yang menyalurkan kuasa ke semua roda.

    Dengan hamburan kuasa tersebut, M850i xDrive Coupe mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 3.7 saat, dan boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Pakej yang didatangkan bersama varian ini termasuklah brek M Sport dan Adaptive M Suspension Professional, yang menyalurkan kestabilan olengan aktif dan Integral Active Steering iaitu untuk stereng gandar belakang.

    Mengenai cirinya, M805i spesifikasi Thailand ini didatangkan dengan roda aloi M ringan 20-inci dan tayar berprofil 245/35 di hadapan dan 275/30 di belakang, BMW Laserlight (dengan bantuan lampu tinggi, pakej M Aerodynamic, BMW Individual high-gloss Shadow Line, M rear spoiler, dan pakej Driving Assistant.

    Manakala untuk bahagian dalamnya, ia menampilkan tempat duduk berkuasa, haba dengan kemasan kulit BMW Individual ‘Merino’ yang boleh didapati dengan tiga skema warna bergantung pada pilihan kemasan luaran. Malah ia turut menawarkan pilihan BMW Individual headliner dalam kemasan Alcantara, kaca ‘CraftedClarity’, roda stereng kulit M Sport, Live Cockpit Professional, BMW Connected Drive, sistem bunyi Harmon Kardon dan unit paparan HUD.

    GALERI: BMW 8 Series

     
     
  • Honda Air Blade 125 baru muncul di Vietnam – RM6.8k

    Honda Air Blade 125 baru muncul di Vietnam – RM6.8k

    Vietnam adalah antara pasaran paling besar bagi skuter di Asia Tenggara, dan tidak pelik jika banyak pengeluar yang memperkenalkan model baru di sana. Terkini, Honda telah melancarkan Air Blade 125 versi baru di sana, dan ia dijual dalam beberapa versi dengan harga antara 37,990,000 Dong (RM6,794) hingga 41,590,000 (RM7,437).

    Model ini masih lagi menggunakan enjin satu silinder OHC berpenyejukan cecair 124 cc yang sama, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 11.2 hp pada 8,500 rpm dan 11.2 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini juga disambung dengan sistem Idling Stop (enjin akan mati sendiri apabila berhenti dan hidup apabila pendikit dipulas), sekaligus membantu penjimatan bahan api.

    Walaubagaimanapun, penampilannya telah diubah, menjadi lebih dinamik dengan lampu hadapan LED yang berbentuk tajam, serta pilihan grafik dan warna yang lebih menarik. Selain daripada itu, model baru ini juga boleh didapati dengan sistem kunci pintar di mana dengannya, pengguna boleh menghidupkan atau mengunci kenderaan dengan kunci masih disimpan dalam poket atau beg, dan ia dilengkapi dengan fungsi penggera panggilan balik.

    Reka bentuk Air Blade baru ini memang berbeza dengan Air Blade yang dipasarkan di Malaysia, di mana jika diikutkan, model di Malaysia itu adalah bersamaan dengan model yang diperkenalkan di sana sejak tahun 2014 lagi. Mula pada tahun 2016, Air Blade di Vietnam sudah mempunyai rekaan yang berlainan dengan di pasaran Malaysia.

    Kelengkapan lain pada Air Blade baru di Vietnam ini masih sama seperti sebelumnya, termasuk tangki bahan api 4.4 liter, meter gabungan analog dan LCD, brek cakera di depan dan dram di belakang, sistem brek Combi Brake (brek hadapan juga akan mencengkam apabila tuil brek belakang ditarik kuat) dan rim 14 inci (tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang).

     
     
  • Harga model kereta baharu lambat diluluskan – MAA

    Harga model kereta baharu lambat diluluskan – MAA

    Kebelakangan ini, syarikat pengeluar kereta tidak dapat mengumumkan harga rasmi bagi beberapa model baharu disebabkan kelewatan badan yang ditubuhkan kerajaan untuk meluluskan cadangan harganya.

    Menurut Presiden Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, kebanyakan syarikat dan pengedar kenderaan masih tidak mempamerkan harga kenderaan yang ingin dilancarkan adalah disebabkan menunggu kelulusan dari kerajaan.

    Ini termasuklah Proton X70 dan Honda HR-V RS yang sehingga kini masih belum memperoleh kelulusan harga oleh badan yang dianggotai kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Kastam DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Kelulusan dari kementerian agak perlahan sedikit dan ini adalah fakta. Antara faktornya disebabkan peralihan kerajaan serta pengenalan peraturan baharu. Dulu, MOF sendiri boleh luluskan, tetapi sekarang banyak proses membabitkan kerajaan seperti perlu melalui MITI, MOF, Jabatan Kastam dan JPJ.

    “Justeru, banyak kereta yang hendak dilancarkan belum dapat kelulusan harga daripada kerajaan berhubung pelarasan dana industri,” katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.

    Harga model kereta baharu lambat diluluskan – MAA

    Bagaimanapun, Aishah berkata, penetapan harga kenderaan masih ditentukan oleh pengeluar kenderaan mengikut kesesuaian produk mereka.

    “Jika hendak jual mahal pun boleh, tetapi keadaan pasaran yang menentukan harga paling sesuai. Sebab itu pengguna akan terus melihat saingan dari syarikat automotif untuk mendapatkan produk yang menepati kemahuan mereka. Dalam pada itu, pakar industri dan pemerhati pasaran skeptikal terhadap kelulusan harga kereta baharu yang tertangguh, dan percaya industri itu mungkin akan menghadapi masalah pada masa akan datang.

    “Sumber industri berkata, industri automotif perlu mengamalkan pasaran terbuka dengan membenarkan lebih banyak saingan di samping menawarkan peluang sama rata. Masih terdapat elemen perlindungan di pasaran automotif tempatan untuk kelebihan peserta industri tertentu. Kita perlu membenarkan lebih banyak saingan supaya pengguna diberi pilihan harga kereta yang lebih baik,” tambahnya lagi.

    Selain itu, menurut beliau, elemen persaingan antara pengeluar kereta dan pesaingnya mungkin mempunyai peranan dalam penangguhan harga kereta baharu.

    “Pengeluar kereta selalunya lebih suka mengumumkan harga produk baharu mereka selepas pesaing mendedahkan harga produk baharu mereka. Justeru, mereka boleh bersaing dari segi ciri fungsi yang ditawarkan serta harga,” katanya sambil menambah terdapat juga elemen ketidaktentuan berhubung mekanisme cukai dan insentif khas yang diberikan, khususnya kenderaan cekap tenaga (EEV), model import sepenuhnya (CBU) dan model pemasangan tempatan (CKD).

     
     
  • Lambretta V125 dan V200 masuk pasaran Thailand

    Lambretta V125 dan V200 masuk pasaran Thailand

    Di Thailand sekarang sedang berlangsung salah satu acara permotoran terbesar di negara itu iaitu Bangkok Motor Expo. Banyak pengeluar yang memperkenalkan model baru di sana, dan antara yang menjadi perhatian adalah kembalinya jenama Lambretta di negara itu dengan pelancaran dua model baru iaitu V125 dan V200.

    Dua model ini tampil buat pertama kali di pentas dunia bulan Jun tahun lalu di Itali, dan sekarang dibawa ke Thailand oleh sebuah syarikat bernama Dynamic Motors (Thailand) Co. Ltd. Harganya pula adalah 86,900 baht (RM11,055) untuk V125 dan 99,500 baht (RM12,658) untuk V200.

    Seperti yang anda boleh lihat pada nama model tersebut, bezanya cuma pada kapasiti enjin, di mana V125 menggunakan enjin 124.7 cc manakala V200 pula 169 cc. Kedua-duanya adalah enjin satu silinder empat strok suntikan bahan api penyejukan udara yang masing-masing boleh menghasilkan kuasa 10 hp/9.2 Nm dan 11.8 hp/12.2 Nm. Ia dipadankan bersama transmisi CVT.

    Lambretta V125 dan V200 masuk pasaran Thailand

    Kelengkapan lain yang terdapat pada dua model baru Lambretta ini adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang, rim 12 inci, tayar 110/70 di hadapan dan 120/70 di belakang, pemula enjin elektronik, semua lampu LED, pengecas USB, tangki bahan api 6.0 liter dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk.

    Satu lagi perbezaan yang terdapat antara dua model ini adalah V200 dilengkapi dengan sistem ABS untuk breknya manakala V125 pula tiada dan hanya diberi dengan Combined Brake System (CBS) yang berfungsi mengaktifkan kedua-dua brek hadapan dan belakang sekiranya tuil brek belakang ditarik dengan kuat.

    Untuk pasaran Malaysia, sebelum ini juga pernah dilaporkan terdapat khabar yang menyatakan Lambretta ini juga masuk ke pasaran, namun masih belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

     
     
  • Cycle & Carriage Bintang akan jual kesemua 49% saham dalam Mercedes-Benz M’sia kepada Daimler AG

    Cycle & Carriage Bintang akan jual kesemua 49% saham dalam Mercedes-Benz M’sia kepada Daimler AG

    Cycle & Carriage Bintang (CCB) akan menjual kesemua 49% kepentingannya dalam Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kepada syarikat pemilik jenama berkenaan, Daimler AG. Pengumuman ini dibuat dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, dan langkah tersebut diambil berikutan tawaran Daimler terhadap 66,003,000 saham CCB dalam MBM dengan harga RM66,003,000.

    Proses pengalihan saham ini akan dibuat dalam masa 12 bulan bermula 30 November 2018. Setelah ianya lengkap sepenuhnya, CCB tidak lagi berhak untuk menerima pendapatan berjumlah RM11.2 juta dari MBM, dan tidak akan memegang lagi sebarang kepentingan dalam MBM.

    Walau bagaimanapun, CCB menyatakan bahawa langkah ini tidak akan menjejaskan operasi 13-pengedar Mercedes-Benz miliknya di seluruh negara. Hubungan antara CCB dan jenama Mercedes-Benz itu sendiri sudah terjalin selama lebih 50-tahun, dan mendapat pegangan saham bernilai 49% tersebut pada tahun 2003.

    “Cycle & Carriage Bintang ingin memberikan jaminan kepada semua pelanggan bahawa keputusan terbaharu Daimler AG untuk menawarkan pengambilalihan saham syarikat dalam Mercedes-Benz Malaysia tidak akan menjejaskan komitmen atau kemampuan kami bagi memberikan pengalaman yang menakjubkan kepada pelanggan kami di semua pengedar seluruh negara,” kata CEO CCB, Willfrid Foo.

    “Kesemua pengedar akan terus memberikan anda jualan dan servis selepas jualan yang berkualiti mengikut standard Mercedes-Benz yang ketat disokong oleh Mercedes-Benz Malaysia,” katanya lagi.

     
     
  • Pemandu bagi perkhidmatan e-hailing yang enggan mendaftar untuk PSV akan dikenakan tindakan tegas

    Pemandu bagi perkhidmatan <em>e-hailing</em> yang enggan mendaftar untuk PSV akan dikenakan tindakan tegas

    Pemandu perkhidmatan e-hailing yang enggan mendafar untuk mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) menjelang 12 Julai 2019 akan dikenakan dikenakan tindakan. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi amaran itu, seperti dilaporkan oleh akhbar The Star.

    Kementerian Pengangkutan sudah memaklumkan perkara ini dengan jelas kepada syarikat perkhidmatan itu yang terlibat, terutamanya Grab, bahawa tidak akan ada lanjutan tempoh lagi selepas itu.

    “Setakat yang saya sedia maklum ketika ini, sebaik sahaja 12 Julai tahun depan, kami akan menguatkuasakan perkara ini. Jangan beri alasan bahawa ia sukar dilakukan kerana kami sedaya-upaya memudahkan proses berkenaan. Semua perniagaan yang ingin diceburi ada prosedur yang perlu dipatuhi,” jelas beliau.

    “Jika anda boleh memperoleh beberapa ribu ringgit (sebagai pemandu e-hailing), adakah anda tidak sanggup untuk menghadiri beberapa jam kelas lesen PSV yang hanya memerlukan yuran RM200? Tidak boleh ada alasan lagi,” ujar Loke.

    Kenyataan Loke ini adalah sebagai maklum balas kepada laporan yang menyatakan bahawa sebahagian pemandu perkhidmatan e-hailing merungut lesen PSV ini diperlu, dan akan mengadakan protes dengan menarik diri sebulan sebelum tarikh kuatkuasa yang dinyatakan itu.

    “Kami ingin menjadikannya sama adil kepad asemua. Apa yang pemandu teksi perlu lalui, pemandu e-hailing juga perlu lalui dengan peraturan yang sama. Kerajaan ingin jadikannya adil dan saksama untuk semua orang. Kita terbuka untuk menjadikan perkhidmatan e-hailing sah beroperasi secara undang-undang. Jadi, adakah dengan keperluan PSV yang sama ini keterlaluan untuk dikenakan dan dipatuhi oleh semua?” soal Loke.

    Langkah ini adalah sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan e-hailing sah untuk beroperasi di Malasysia, dan dengan itu perlu menyamaratakan persaingan dan keperluan antara teksi dan perkhidmatan tersebut. Apa pula pandangan anda tentang perkara ini?

     
     
  • Nissan Leaf Nismo RC – kereta lumba elektrik 322 hp

    Nissan Leaf Nismo RC – kereta lumba elektrik 322 hp

    Jarang kita membayangkan sebuah kereta elektrik biasa untuk mempunyai prestasi, atau direka untuk tujuan di litar. Tetapi Nissan ada pandangan yang berbeza tentang ini; syarikat itu menghasilkan sebuah jentera dengan semangat litar Leaf Nismo RC, yang diambil asasnya daripada model elektrik sepenuhnya jenama itu, Leaf.

    Bagi penampilan Leaf generasi kedua yang ada ketika ini, versi jentera lumba RC model berkenaan – dari generasi kedua ini – turut diperkenalkan, dengan janaan kuasa dua kali ganda. Bagaimanapun, jentera ini lebih kepada maksud pemasaran dan bukannya untuk memberikan puncak prestasi yang sebenar di dalam perlumbaan. Apa pun, enam unit kereta ini akan dikeluarkan untuk diperagakan di seluruh dunia.

    Dari satu sisi lain, Nissan Leaf Nismo RC terbaru ini juga bukanlah sekadar memanfaatkan perbezaan penampilan luaran semata-mata; ia sebenarnya ada sesuatu yang lebih untuk ditawarkan daripada sekadar sebuah jentera pameran.

    Nissan Leaf Nismo RC – kereta lumba elektrik 322 hp

    Yang dimaksudkan ialah penggunaan sepasang motor elektrik pada roda depan dan belakangnya, dengan kuasa 120 kW (161 hp). Digabungkan, janaan kuasa keseluruhannya ialah 240 kW (322 hp) dengan jumlah tork sebanyak 640 Nm. Ini dua kali lebih banyak kuasa dari RC yang lama.

    Selain itu, untuk pertama kali juga sistem pacuan semua roda diperkenalkan bagi versi ini, dengan torque vectoring yang sebenarnya disalurkan untuk mendapatkan jumlah tork optimum bagi semua roda. Bateri lithium-ion, yang sama dari model Leaf biasa, ditempatkan di bawah bahagian tengah kenderaan untuk mendapatkan keseimbangan beban yang baik.

    Komponen ringan dan kerangka monocoque dari gentian karbon sepenuhnya membolehkan versi RC ini tampil dengan berat hanya 1,220 kg. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dicapai dalam masa hanya 3.4 saat – separuh daripada masa yang diambil oleh versi terdahulu.

    Rekaan luarnya masih lagi sebuah Leaf, tetapi dengan beberapa perubahan lain untuk mengubah penampilannya supaya lebih garang. Kedudukannya lebih rendah, bahagian bonet yang lebih panjang serta fender yang lebih lebar, splitter depan yang lebih besar, diffuser belakang yang lebih ketara dan tiada pintu belakang serta wing belakang yang besar merupakan antara perubahan yang dimaksudkan.

    Antara kiraan dimensi yang wajar dinyatakan ialah model ini 300 mm lebih rendah berbanding Leaf biasa, dengan ketinggian RC baru ini ialah 1,212 mm. Versi ini juga lebih panjang, dengan ukuran 4,546 mm dan jarak antara roda 2,750 mm.

    Nissan Leaf Nismo RC terbaru ini akan membuat penampilan pertama di Nismo Festival di Fuji Speedway. Ia bakal menyaksikan pemandu profesional menguji jentera ini dalam litar. Ia juga akan dipemarkan ketika perlumbaan Formula E dan acara-acara besar seluruh dunia.

     
     
  • Sabah bakal terima litar lumba baharu – bertaraf antarabangsa, bakal pacu lanskap sukan bermotor

    Sabah bakal terima litar lumba baharu – bertaraf antarabangsa, bakal pacu lanskap sukan bermotor

    Sabah antara negeri yang mempunyai budaya permotoran yang agak kuat dalam Malaysia. Dari scene autoshow, stance, JDM old school sehinggalah kepada penghasilan jentera-jentera drag, kereta-kereta dari Sabah sentiasa hadir dengan elemen ‘wow’ yang memberi impak besar. Namun sehingga kini, negeri di bawah bayu tersebut masih lagi belum mempunyai litar lumba yang sah.

    Ini berita baik untuk ‘bussku-bussku’ di Sabah, menurut laporan Bernama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau berkata sebuah litar lumba bertaraf antarabangsa yang dijangka dibina tahun depan dengan kos RM132 juta. Litar tersebut akan dibina oleh syarikat milik kerajaan negeri KKIP Autocity Sdn Bhd sebagai sebahagian fasa kedua Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan ia diyakini dapat memacu pembangunan sukan permotoran negeri tersebut.

    “Tanah untuk membina litar lumba ini sudah dikenal pasti dan kini dalam proses pengambilan tanah,” katanya ketika merasmikan KKIP Sabah Drag Battle 2018 hujung minggu lalu, yang turut menarik peryertaan kelab sukan permotoran dari Sarawak, Semenanjung serta Brunei dan Thailand.

    Menurut Madius lagi, pembinaan litar lumba itu juga dilihat mampu menjadi platform mencungkil bakat-bakat muda sebagai pelumba profesional untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

    “Ini sekali gus mengurangkan penglibatan anak muda dalam aktiviti lumba haram seterusnya menggalakkan mereka mengamalkan aktiviti lebih lebih sihat dan berkualiti,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah melihat pembinaan litar lumba itu bakal menyumbang kepada pembangunan industri sukan pelancongan serta rekreasi sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan kecil dan sederhana untuk terbabit dalam bidang berkaitan automotif seperti perkhidmatan bengkel dan perniagaan alat ganti kenderaan.

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga tidak akan menerima pelaburan daripada kerajaan – Lim Guan Eng

    Projek kereta nasional ketiga tidak akan menerima pelaburan daripada kerajaan – Lim Guan Eng

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan kerajaan tidak ada sebarang keputusan untuk membuat pelaburan dalam projek kereta nasional ketiga. Ia disebabkan projek terbabit memerlukan perbelanjaan kewangan yang besar dan disebabkan itu memerlukan penglibatan pelaburan swasta, laporan Bernama.

    Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan peruntukan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    “Sehingga sekarang pihak kerajaan dalam Belanjawan 2019 pun tidak ada peruntukan sedemikian (melabur wang untuk membina kereta nasional ketiga), tapi ini hanya untuk R&D. Apa salahnya kita buat R&D, sekiranya ia berhasil boleh guna untuk Proton ataupun DRB-Hicom, tak semestinya untuk kereta ketiga. Melainkan bila ada pelaburan swasta itu kita boleh guna (untuk projek kereta nasional ketiga).

    “Nak bina kereta nasional ketiga pelaburannya ialah berbilion-bilion USD bukanlah RM10 juta atau RM20 juta. Ini kita harus ambil peringatan, untuk mereka, pihak yang cuba kaitkan yang bukan-bukan kita harap jangan buat andaian berdasarkan maklumat yang tidak tepat dan tidak berasas,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

    Projek kereta nasional ketiga tidak akan menerima pelaburan daripada kerajaan – Lim Guan Eng

    Lim berkata demikian bagi membidas kenyataan beberapa pihak termasuk pembangkang yang mendakwa kerajaan akan melabur dalam projek kereta nasional ketiga itu.

    Tambahnya lagi, R&D adalah sesuatu yang harus digalakkan dan kerajaan amat menggalakkan mana-mana pihak untuk menjalankan R&D dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berinovasi.

    “Sebagai contoh, kalau kita buat R&D dalam bahan-bahan berkaitan dengan ‘aerospace’ adakah ini bermakna kita nak bina kapal terbang sendiri. Ini kerana teknologi sekarang bukanlah ‘stand alone’ ia pun ada berkaitan, ada hubungan dengan yang lain-lain. Itulah sesuatu bidang inovasi.

    “Sekiranya kementerian nak labur menggunakan peruntukan mereka dalam R&D, saya rasa itu tidak ada masalah. Tapi janganlah pula kaitkan ini adalah menunjukkan kita nak bina kereta nasional ketiga,” katanya.

     
     
  • Pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 dilancarkan

    Pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 dilancarkan

    Hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat.

    Menurut Dr Mahathir, kemudahan itu yang akan bermula di Lembah Klang pada 1 Jan 2019, turut akan diperluaskan ke negeri lain pada masa akan datang, laporan Bernama.

    “Sebagai percubaan kita akan mula di Kuala Lumpur supaya kita dapat tahu sekiranya ada kelemahan untuk diperbetulkan. Ini yang menjadi pemikiran Pakatan Harapan untuk mengurangkan beban rakyat agar mereka boleh menikmati kehidupan lebih sempurna,” katanya pada majlis pelancaran pas My100 dan My50 di KL Sentral, hari ini.

    Tambah beliau lagi, pengenalan pas perjalanan itu juga sebagai inisiatif kerajaan ke arah mengalakkan budaya sistem transaksi tanpa wang (cashless society) yang antara lain dapat mengekang gejala rasuah.

    Pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 dilancarkan

    Cash ni selalunya rasuah tapi cashless susah kita nak sogok rasuah kerana setiap perjalanan akan direkod supaya kita dapat tahu siapa yang menerima dan memberi. Kalau rasuah berleluasa di negara kita, apa juga kerja akan jadi mahal sebab perlu bayar kepada pihak-pihak tertentu untuk meluluskan sesuatu permintaan,” katanya.

    Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata seperti janji manifestonya Pakatan Harapan sentiasa berusaha mengurangkan kos sara hidup rakyat dan kerajaan terbuka menerima pandangan daripada mana-mana pihak untuk penambahbaikan atau cadangan.

    Langganan boleh dibuat menggunakan MyKad, MyKid dan MyTentera di kiosk dan fungsi Touch and Go bagi memastikan perkhidmatan itu hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja. Menerusi pas My100, pelanggan boleh menikmati semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL termasuk Transit Aliran Massa ( MRT), LRT, Monorel, transit aliran bas BRT Sunway, bas RapidKL dan bas pengantara MRT tanpa had dalam tempoh 30 hari dengan hanya RM100.

    Bagi pas My50 pula, penumpang boleh menaiki semua bas RapidKL dan bas pengantara MRT (tidak termasuk BRT) tanpa had sepanjang 30 hari dengan bayaran RM50.

    Pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 dilancarkan

    Pada majlis pelancaran itu, 10 atlet dilantik sebagai duta untuk mempromosi penggunaan pas perjalanan itu. Mereka ialah Datuk Nicol Ann David (skuasy), Cheong Jun Hoong (terjun), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (atlet paralimpik), Goh Liu Ying (badminton), Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (boling), Leong Mun Yee (terjun), Syakilla Salni Jefry Krisnan (karate), Welson Sim Wee Sheng (renang), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan Julian Yee Zhi-Jie (figure skating).

    Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pas perjalanan tanpa had itu dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 45% pengguna perkhidmatan Rapid Rail dan hampir 100% pengguna Rapid Bus di Lembah Klang.

    “Pengenalan pas perjalanan ini juga dijangka berupaya menarik sebahagian daripada pemandu kenderaan persendirian untuk berpindah ke pengangkutan awam, seterusnya membantu mengurangkan kesesakan terutama di pusat bandar Kuala Lumpur,” ujarnya.

     
     
  • WMoto Cub Classic dilancar di M’sia – 110 cc, RM4,588

    WMoto Cub Classic dilancar di M’sia – 110 cc, RM4,588

    Satu lagi jenama motosikal baru iaitu WMoto tiba dalam pasaran Malaysia, dan model pertamanya bernama Cub Classic dilancarkan dengan harga pasaran RM4,588 tidak termasuk insurans. Ini adalah sebuah kapcai bergaya klasik namun dipasang dengan kelengkapan moden.

    WMoto Cub Classic dikuasakan oleh enjin empat strok satu silinder SOHC penyejukan udara 109.2 cc yang dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 8.0 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini masih menggunakan karburetor untuk sistem penyampaian bahan api tetapi melepasi tahap Euro 3.

    Walaupun mempunyai gaya klasik, motosikal ini diperlengkap dengan barangan moden seperti LED untuk semua lampu, soket USB untuk mengecas peranti elektronik, panel meter dengan lampu berwarna, fork USD di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dan pemula enjin elektronik (penendang kaki juga disediakan).

    Selain daripada itu, ia juga disiapkan dengan beberapa ciri lain yang boleh memudahkan pengguna seperti tapak meletak barang di atas penghadang lumpur depan, penyangkut dan tempat meletak barangan kecil di bawah bahagian pemegang dan satu yang istimewa, tempat duduk belakangnya boleh ditanggalkan dengan mudah dan digunakan sebagai tempat meletak barang (ada tapak khas di bawahnya).

    Perincian lain tentang motosikal ini adalah termasuk brek dram depan dan belakang, rim 17 inci, tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, berat 100 kg, tangki bahan api 4.0 liter (bawah tempat duduk utama) dan rantai yang tertutup sepenuhnya.

    Jenama WMoto ini dibawakan ke Malaysia oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd, yang juga adalah pengedar rasmi untuk beberapa jenama motosikal lain termasuk Benelli dan SYM. Untuk WMoto Cub Classic ini ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah, hijau dan hitam (kesemuanya matte), dan didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • RON 97 turun 31 sen untuk Dis 2018 – RM2.50

    RON 97 turun 31 sen untuk Dis 2018 – RM2.50

    Untuk Disember 2018, Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menetapkan harga petrol RON 97 pada RM2.50 bagi setiap liter. Di mana ia melibatkan penurunan harga sebanyak 31 sen berbanding bulan November yang berharga RM2.81 per liter.

    Harga baharu untuk petrol RON 97 ini akan mula berkuat kuasa tengah malam ini hinggalah 31 Disember nanti, di mana harga baharu untuk Januari 2019 akan diumumkan.

    Sementara itu, harga bagi RON 95 dan diesel masih tidak berubah sejak 30 Mei lalu, RON 95 masih berharga RM2.20 setiap liter dan diesel Euro 2M pula RM2.18 per liter, manakala diesel Euro 5 pula RM2.28 per liter.

     
     
  • Perkhidmatan LRT di Stesen Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasi esok sempena Piala AFF Suzuki

    Perkhidmatan LRT di Stesen Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasi esok sempena Piala AFF Suzuki

    Buat dua Sabtu berturut-turut, perkhidmatan LRT di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sebagai sokongan kepada para peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong-penyokong Harimau Malaya menyaksikan saingan peringkat pertama separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Suzuki antara pasukan negara dan musuh tradisi Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh RapidKL, para peminat disarankan menggunakan kemudahan pengangkutan awam khususnya LRT Laluan Sri Petaling yang akan membawa mereka terus ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

    LRT Laluan Sri Petaling berintegrasi dengan LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen LRT Putra Heights dan Masjid Jamek; serta berintegrasi dengan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang di Stesen MRT Merdeka, yang berhubung dengan Stesen LRT Plaza Rakyat. Ia juga berhubung dengan perkhidmatan KTM Komuter di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan; sekali gus menjadikan penggunan pengangkutan rel urban sebagai opsyen terbaik untuk keselesaan dan kemudahan ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

    Perkhidmatan LRT di Stesen Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasi esok sempena Piala AFF Suzuki

    Langkah terbaik untuk para peminat adalah menggunakan fasiliti parkir dan gerak (park ‘n ride) di sepanjang Laluan Sri Petaling khususnya di stesen stesen Putra Heights, Awan Besar, Muhibbah, Kinrara BK5, IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan lalu meneruskan perjalanan menggunakan LRT ke Bukit Jalil.

    “Bersempena perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, stesen LRT Bukit Jalil akan dibuka sehingga 1 pagi. Stesen-stesen LRT dan MRT lain akan ditutup seperti biasa tetapi memberi laluan untuk semua penumpang untuk keluar di stesen-stesen berkenaan dan meneruskan perjalanan masing-masing.

    Para penumpang boleh bertukar laluan di stesen-stesen integrasi sama ada di Stesen Maluri atau Stesen Plaza Rakyat/Merdeka untuk menggunakan perkhidmatan MRT atau di Masjid Jamek untuk ke Laluan Kelana Jaya. Malah pengguna juga boleh bertukar ke Laluan Kelana Jaya atau MRT di stesen integrasi Pasar Seni,” menurut RapidKL.

    Rapid Rail turut menyarankan para peminat menggunakan kad perjalanan MyRapid dan Touch ‘n Go untuk perjalanan lancar di stesen-stesen bagi menggelakkan daripada beratur panjang membeli token perjalanan di mesin-mesin penjualan tiket.

     
     
  • Nissan Maxima facelift 2019 ada lebih ciri keselamatan

    Nissan Maxima <em>facelift</em> 2019 ada lebih ciri keselamatan

    Membuat penampilan pertama di LA Auto Show 2018, perincian model sedan empat pintu sport Nissan Maxima facelift 2019 kini didedahkan secara rasmi – kini menerima lebih banyak peningkatan bagi aspek keselamatan.

    Wajah depannya didominasi rekaan gril V-motion kemasan krom, diserlahkan juga melalui rekabentuk bampar yang menonjol, dengan lampu kabus. Lampu utama kini LED sepenuhnya. Bahagian belakang pula dihiasi dengan empat hujung ekzos dengan spoiler bagi model SR.

    Pilihan rim pula diubah kepada saiz 19-inci Hyper Silver dengan pakej Platinum Reserve. Pilihan warna baru Sunset Drift juga merupakan tambahan terbaru. Selebihnya rekaan bagi Nissan Maxima ini rata-ratanya kekal seperti model terdahulu.

    Nissan Maxima <em>facelift</em> 2019 ada lebih ciri keselamatan

    Ruang dalaman pula dipertingkatkan dari aspek bahan yang digunakan serta kemasan yang ada. Papan pemuka, panel pintu, stereng antara yang tampil dengan rupa dan sentuhan lebih premium. Bagi model SR, dalamannya menerima jahitan oren, fabrik “Dynamic Diamond”, Alcantara oren dengan penyudah satin chrome. Sementara itu, pakej Platinum Reserve menerima tambahan material kulit Rakuda Tan, sama seperti model GT-R.

    Lain-lain ciri yang melengkapinya termasuk Rear Door Alert (RDA) yang akan mengingatkan anda sekiranya ada potensi tertinggal anak kecil ditempat duduk belakang serta radio satelit SiriusXM dan sistem tunjuk arah Nissan Door to Door.

    Nissan Maxima turut ditawarkan dengan bantuan Safety Shield 360, merangkumi ciri seperti Automatic Emergency Braking (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki, amaran titik buta, amaran trafik lintasan belakang, amaran pertukaran lorong, bantuan lampu tinggi dan brek automatik belakang.

    Intelligent Driver Alertness (I-DA) kini standard, sementara ciri Intelligent Cruise Control (ICC), High Beam Assist (HBA) dan Traffic Sign Recognition (TSR) turut ditawarkan pada model-model lain.

    Maxima dilengkapi enjin 3.5 liter VQ V6 seperti sebelumnya, dengan janaan kuasa 300 hp dan 353 Nm tork. Ini digandingkan dengan transmisi talaan prestasi Nissan Xtronic CVT melalui sistem pacuan roda depan.

     
     
  • Ford MS-RT Transit Custom kini mula dijual di pengedar rasmi terpilih Ford UK – tidak jejas waranti

    Ford MS-RT Transit Custom kini mula dijual di pengedar rasmi terpilih Ford UK – tidak jejas waranti

    Mei lalu, gabungan penala Van-Sport dan pasukan M-Sport (yang mengendalikan pasukan rali dunia Ford) iaitu MS-RT telah memperkenalkan Ford MS-RT Transit Custom, iaitu van komersil yang menerima talaan prestasi dan juga rupa yang diinspirasikan dari jentera rali WRC Ford. Namun dengan kualiti yang memenuhi standard, Ford UK bersetuju untuk memasarkan pakej ubahsuai ini di pengedar rasminya, menurut laporan Autocar.

    Ford telah membuat penilaian terhadap produk MS-RT berkenaan, dan setelah berpuas hati dengan kualiti pengeluarannya yang memenuhi standard, MS-RT dianugerahkan sijil Pengubahsuai Kenderaan Berkelayakan (QVM) oleh Ford. Ini bermakna, pakej berkenaan seolah-olah adalah peralatan rasmi dari Ford dan ubahsuai yang dilakukan tidak akan menjejaskan waranti dari pengeluar.

    Berbeza dengan model Transit Custom standard, van ini menampilkan rupa yang lebih agresif seakan kereta rali sebenar dengan pemadanan gril dan juga bampar hadapan baharu bersama lampu kabus bersepadu, diffuser hadapan, fender flare bagi menampakkan badannya lebih lebar, diffuser belakang dan juga spoiler belakang.

    Ford MS-RT Transit Custom kini mula dijual di pengedar rasmi terpilih Ford UK – tidak jejas waranti

    Van ini juga menerima rim aloi Anthracite berdiameter 18-inci dari OZ Racing yang dibaluti tayar Hankook Ventus S1 Evo istimewa dengan kadar bebanan 103 XL. Badan van ini juga direndahkan menerusi pemadanan spring dari Eibach, dan juga diberikan sistem ekzos sport dengan dua tip bagi melengkapkan rupanya.

    Pada bahagian kabin pula, van istimewa ini dipadankan dengan tempat duduk sport balutan kulit Nappa dan sued, roda stereng rata di bawah dengan kemasan gentian karbon dan juga karpet-karpet kaki MS-RT bersama jam pada papan pemuka yang diinspirasikan dari kereta rali.

    Ford menyediakan pelbagai versi untuk dipilih bagi van ini termasuk panel van dua-tempat duduk, panel van tiga-tempat duduk, double cab lima-tempat duduk serta double cab enam-tempat duduk. Anda turut boleh memilih sama ada dari versi jarak roda panjang atau pendek dan juga model dengan pintu tailgate tunggal atau dua.

    Namun tidak seperti Transit R-Spec Edition yang menerima talaan enjin, Ford MS-RT Transit Custom ini masih lagi digerakkan oleh enjin turbodiesel standard 2.0 liter EcoBlue TDCi berkuasa 168 hp/405 Nm dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau enam kelajuan automatik.

    Laporan portal dari UK tersebut turut menyatakan bahawa Ford turut mengiktiraf pakej talaan MS-RT untuk trak pikap Ford Ranger. Pakej tersebut menawarkan rim aloi 18-inci kemasan grafit dibalut dengan tayar lebih prestasi off-road, balutan kulit nappa pada bahagian dalaman dan juga sistem ekzos MS-RT. Pakej opsyen turut ditawarkan dengan kit suspensi untuk meninggikan lagi trak pikap berkenaan, bar lampu LED, pelindung bawah badan serta unit snorkel untuk menyelam.

    Van Ford MS-RT Transit Custom ini boleh dibeli di pengedar Ford UK terpilih dengan harga bermula £29,995 (RM161k) untuk model asas varian single-cab, hingga £35,995 (RM193k) untuk model tertinggi R-Spec. Harga bagi Ford Ranger MS-RT walau bagaimanapun masih belum diumumkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025