Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ducati Monster 1200 25° Anniversario – terhad 500 unit

    Ducati Monster 1200 25° Anniversario – terhad 500 unit

    Monster adalah satu model penting bagi Ducati. Ia mencatat jualan antara yang terbanyak bagi model keluarannya dan model pertama dikeluarkan pada tahun 1992. Kini, selepas 25 tahun Monster berada dalam pasaran, pengeluar motosikal dari Itali itu mengeluarkan Monster edisi khas sambutan ulang tahun yang terhad hanya sebanyak 500 unit dan dinamakan sebagai Monster 1200 25° Anniversario.

    Asas motosikal ini masih sama seperti Monster 1200 yang diperkenalkan sebelum ini, iaitu menggunakan enjin Testastretta 11° DS dua silinder V 1,198 cc yang berkuasa 147 hp pada 9,250 rpm dan 124 Nm tork pada 7,750 rpm, tetapi diberikan ubah suai khas.

    Paling mudah dilihat adalah badan yang menampilkan tiga warna bendera Itali pada bahagian fairing hadapan, tangki dan penutup tempat duduk belakang yang mendapat inspirasi daripada Monster S4RS Testastretta Tricolore tahun 2008. Di tempat duduk pula, terdapat sulaman logo ulang tahun ke-25.

    Kemudiannya, bahagian kerangka trellis serta rim Marchesini yang diguna dicat dengan warna emas. Untuk tuil brek dan klac, Monster 1200 25° Anniversario ini menggunakan unit yang dibuat daripada aluminium, manakala penghadang lumpur, kemasan di tempat kunci serta lapik haba ekzos dibuat daripada gentian karbon. Turut diberi adalah kain penutup motosikal yang mempunyai logo serta nombor keluaran khas untuk motosikal ini.

    Untuk bahagian casis, Monster keluaran terhad ini menawarkan yang terbaik di mana lengan ayun tunggal aluminiumnya dipadankan bersama suspensi Ohlins yang boleh dilaras sepenuhnya manakala di hadapan juga terdapat fork Ohlins 48 mm dan steering damper Ohlins. Tugas membrek dijalankan oleh angkup Brembo M50 serta cakera berkembar 330 mm di hadapan, dan cakera 245 mm di belakang.

    Monster 1200 25° Anniversario akan mula dipasarkan di Eropah pada bulan September ini, diikuti bulan Oktober untuk Jepun, November untuk Amerika Syarikat dan Disember untuk Australia. Walaupun begitu, ia sudah boleh ditempah awal.

     
     
  • Perkhidmatan ride-hailing tidak akan dimansuhkan, sebaliknya perlu adil terhadap pemandu teksi – Loke

    Perkhidmatan <em>ride-hailing</em> tidak akan dimansuhkan, sebaliknya perlu adil terhadap pemandu teksi – Loke

    AppleMark

    Walaupun ada pihak-pihak seperti persatuan teksi yang menggesa agar perkhidmatan ride-hailing seperti Grab dimansuhkan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah menjelaskan bahawa perkara itu tidak akan berlaku. Sebaliknya beliau akan melihat bagaimana cara untuk mengawal selia perkhidmatan itu agar menjadi lebih adil terhadap pemandu teksi.

    Dalam satu laporan The Star, Loke menegaskan bahawa kerajaan komited untuk mewujudkan persaingan yang sama rata antara perkhidmatan teksi dan e-hailing. Untuk itu, undang-undang khusus berkaitannya akan diperkenalkan.

    “Dalam mesyuarat kabinet hari ini, Perdana Menteri meminta Kementerian Pengangkutan untuk memastikan bawa persaingan antara teksi dan perkhidmatan e-hailing adalah saksama. Saya akan bertemu dengan SPAD dan meminta mereka mengemukakan cadangan berkaitan hal ini,” tambah beliau.

    Loke turut menambah, pengumuman seterusnya berkaitan hal ini dapat dilakukan pertengahan Julai nanti. “Saya berharap pertubuhan teksi yang telah menyuarakan keresahan mereka terhadap perkhidmatan e-hailing ini dapat bersabar dan memberi ruang untuk pihak berkuasa menangani isu ini sebaik mungkin,” ujar beliau.

     
     
  • Sistem ‘Smart Selangor Parking’ bakal dilaksanakan oleh kesemua 12 PBT di bawah negeri ini mulai 2019

    Sistem ‘Smart Selangor Parking’ bakal dilaksanakan oleh kesemua 12 PBT di bawah negeri ini mulai 2019

    Mulai tahun 2019, kesemua 12 kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) selangor dijangka akan melaksanakan sistem ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) yang membolehkan orang ramai membuat bayaran parkir dan kompaun kenderaan atas talian menerusi aplikasi telefon pintar, laporan Bernama.

    Menurut Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) yang membangunkan sistem itu, Dr Fahmi Ngah, sebagai permulaan, SSP akan dilaksanakan di lima PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mulai 1 Julai ini.

    Katanya sistem itu memudahkan pembayaran caj dan kompaun parkir dengan mudah tanpa perlu mencari ejen jualan kupon parkir seiring dengan hasrat kerajaan negeri mahu menjadikan Selangor sebuah negeri ‘Smart State’.

    Sistem ‘Smart Selangor Parking’ bakal dilaksanakan oleh kesemua 12 PBT di bawah negeri ini mulai 2019

    Mulai tahun depan, sistem parkir berkupon sebegini dapat dikurangkan penggunaannya

    “Melalui sistem SSP, pengguna boleh tambah nilai ke dalam satu akaun atas talian menerusi aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan untuk membayar caj letak kenderaan dan kompaun di petak letak kenderaan ‘on street’ di PBT terlibat. Pengguna boleh menambah kredit SSP mereka menggunakan kaedah perbankan atas talian seperti Maybank2u, CIMB Clicks, Ambank Online dan e-wallet ‘Boost’,” katanya.

    Beliau turut berkata, SSDU dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya menjalankan satu projek perintis bagi memastikan kelancaran operasi SSP terhadap pengguna dan PBT dari 1 Mei hingga 30 Jun ini di Dataran Sunway, PJU 5, Kota Damansara melibatkan 1,522 petak letak kenderaan ‘on-street’.

    Katanya kadar caj letak kenderaan dan kompaun yang dikenakan menerusi SSP adalah mengikut kadar sedia ada yang digunapakai PBT yang menyertai pelaksanaan sistem ini.

     
     
  • Bentley Bentayga catat rekod baru untuk SUV di Pikes Peak – versi istimewa akan ditawarkan kepada pasaran

    Bentley Bentayga catat rekod baru untuk SUV di Pikes Peak – versi istimewa akan ditawarkan kepada pasaran

    Tahun ini bermacam kereta mencatat rekod sewaktu perlumbaan mendaki bukit Pikes Peak dan tidak terlepas adalah daripada Bentley, apabila Bentayga mereka berjaya memecahkan rekod lama bagi SUV produksi dengan catatan masa 10 minit 49.9 saat.

    Semasa perlumbaan itu, Bentayga yang dipandu oleh Rhys Millen mencatat kelajuan purata 107 km/j sepanjang ia melalui 156 selekoh dan mendaki sehingga 4,720 kaki. Kata Millen, masa bawah 11 minit yang dapat dicatat dengan menggunakan SUV mewah yang diubah suai sedikit sahaja membuktikan Bentayga sememangnya berprestasi dan mempunyai tahap kejuruteraan yang tinggi.

    Antara modifikasi yang dibuat pada Bentayga ini adalah roll-cage, sistem pemadam kebakaran, tempat duduk lumba dan tayar Pirelli. SUV ini juga mendapat manfaat daripada pengurangan 300 kg berat daripada bahagian kemasan dalamnya, dan menggunakan sistem ekzos Akrapovic yang menjadikan bunyi daripada enjin 6.0 liter twin turbo (600 hp/900 Nm) padanya lebih garang.

    Bentley Bentayga catat rekod baru untuk SUV di Pikes Peak – versi istimewa akan ditawarkan kepada pasaran

    Kereta ini juga dicat dengan warna Radium Satin, dan dipasang dengan kit penggayaan Bentley Styling Specification yang menambah splitter hadapan, diffuser, side skirt dan spoiler belakang gentian karbon.

    Untuk meraikan perkara ini, Bentley telah memperkenalkan Pikes Peak Bentayga edisi terhad yang akan dikeluarkan cuma sepuluh unit sahaja. Ia akan dibuat oleh cabang ubah suai khas Bentley iaitu Mulliner dan boleh didapati dalam warna hitam Beluga atau Radium dengan rim 22 inci dua tona.

    Turut disediakan adalah Black Specification, di mana semua bahagian krom di luarnya diganti dengan warna hitam dan splitter, side skirt, diffuser serta spoiler belakang gentian karbon. Di fender pula terdapat grafik Pikes Peak. Pada bahagian dalam, banyak bahagian yang dibalut dengan kulit Alcantara dan terdapat plak nombor khas edisi Pikes Peak.

     
     
  • 2.5 juta saman trafik masih belum dijelaskan – DBKL

    2.5 juta saman trafik masih belum dijelaskan – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 2.5 juta notis kompaun kesalahan trafik masih belum dijelaskan orang awam.

    Menurut Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Fadzilah Abd. Rashid berkata, bagi mengelakkan pesalah dibawa ke mahkamah dan disenarai hitam, mereka dinasihatkan membuat bayaran sebelum 30 Jun ini, laporan Bernama.

    “Urusan pembayaran boleh dilakukan melalui kaunter bayaran DBKL, kaunter pejabat cawangan DBKL, kiosk pembayaran di Menara DBKL 1 Jalan Raja Laut, Menara DBKL 3 (Wawasan), Pejabat Cawangan Seputeh dan Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang,” katanya.

    Selain itu, pembayaran juga boleh dilakukan di semua kaunter pejabat Pos Malaysia atau secara dalam talian di laman web, www.myeg.com.my atau aplikasi Mobis yang boleh dimuat turun melalui Play Store (android) atau App Store (iOS).

    Tambahnya, orang ramai diminta mengambil peluang untuk membuat bayaran sebelum tempoh kadar khas kompaun berakhir.

    Pada Februari lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz mengumumkan, DBKL melanjutkan tempoh diskaun bayaran kompaun kepada pesalah trafik sehingga 30 Jun ini.

    Katanya, diskaun kompaun lalu lintas yang diberikan adalah RM20 bagi motosikal, RM30 (kereta) dan RM50 untuk kenderaan berat.

     
     
  • Siri nombor plat ‘Malaysia’ – bidaan dibuka 1 Ogos

    Siri nombor plat ‘Malaysia’ – bidaan dibuka 1 Ogos

    Menteri pengangkutan telah mengumumkan siri plat nombor istimewa ‘Malaysia’ akan mula dibuka bidaannya di semua cawangan JPJ pada 1 Ogos ini. Pada mulanya bidaan dijadualkan bermula dari 2 hingga 16 Julai seperti yang diumumkan awal bulan ini, walau bagaimana pun tarikhnya telah ditukarkan ke 1-16 Ogos. Walau bagaimana pun tidak disebut adakah tarikh keputusan bidaan akan diubah dari tarikh asal iaitu 23 Ogos.

    Menurut Loke sebelum ini, siri plat nombor khas ini turut berobjektif bagi memupuk semangat kecintaan kepada negara selaras dengan tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu ‘ Sayangi Malaysiaku’ seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tawaran bidaan nombor pendaftaran khas ini melibatkan 10,000 siri bermula dari Malaysia 1 sehingga Malaysia 9999. Loke turut menjangkakan siri plat nombor khas ini mampu menjana keuntungan melebihi RM22 juta bagi mengisi tabung kerajaan.

    Dalam masa yang sama, projek perintis bagi sistem e-bidaan juga akan diperkenalkan, laporan New Straits Times. Menurut Anthony, syarikat tempatan telah menawarkan diri untuk membangunkan sistem e-bidaan untuk kegunaan kementerian tanpa kos.

    Siri nombor plat ‘Malaysia’ – bidaan dibuka 1 Ogos

    “Kami telah bersetuju (untuk sistem tersebut), namun masih menanti kelulusan daripada kementerian,” ujarnya, sambil menambah jika ia berjaya, kementerian juga akan menggunakan sistem e-bidaan tersebut untuk plat nombor pendaftaran kenderaan biasa. Katanya lagi, kerajaan mensasarkan untuk memulakan sistem e-bidaan itu pada Januari tahun hadapan.

    Loke berkata lagi, sistem e-bidaan ini akan membuatkan proses menjadi lebih mudah untuk para pembida. “Di bawah sistem konvensional (untuk bidaan nombor plat khas) sedia ada, pemohon perlu membayar 50% melalui draf bank. Jika pembida tidak memenangi bidaan tersebit, proses untuk mengembalikan deposit akan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.”

    Sistem baharu ini akan melibatkan pengeluaran sifar sehinggalah bidaan berjaya. “Dengan sistem ini, semua urusan secara dalam talian menerusi kad kredit. Jika pembida tidak berjaya, beliau tidak perlu membayar apa-apa,” jelasnya.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

    PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

    Kenapa sejak dari dulu Mercedes-Benz menjadi pilihan ‘taukeh-taukeh’ besar sebagai kenderaan harian mereka? Ramai yang beranggapan ia adalah faktor prestij jenama itu sendiri, tetapi bagi mereka yang pernah memandu Mercedes-Benz dan terkena ‘panahan asmara’, pasti faham kenapa Merc mempunyai tempat istimewa berbanding jenama mewah lain.

    Berbanding BMW yang lebih menumpukan pada aspek sheer driving pleasure, Mercedes-Benz sentiasa unggul dalam memberikan pengalaman premium di dalam kabin. Anda bukan sahaja akan berasa mewah dengan setiap pandangan dan sentuhan pada material komponen-komponen dalam ruang dalaman, malah enjin, kotak gear dan suspensi Mercedes-Benz memberikan keselesaan dalam kelas yang cukup tinggi.

    Mungkin ramai yang beranggapan Merc telah berubah setelah rekaan model-model terbaharunya mula dilihat kearah untuk menambat hati golongan lebih muda, namun sebenarnya karekter asas setiap model-model berkenaan masih kekal dengan DNA jenama tersebut. Anda mungkin melihat model E 300 Coupe sebagai sebuah model sport, namun bagi saya sendiri, penghantaran kuasa pada model seksi dua pintu tersebut masih lagi jinak dan tidak cukup agresif, walaupun hanya dibandingkan dengan sedan keluarga empat pintu Volvo S60 T6.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Harga RON 97 bagi 28 Jun hingga 4 Julai – turun 9 sen

    Harga RON 97 bagi 28 Jun hingga 4 Julai – turun 9 sen

    Bagi minggu pertama Julai, harga petrol RON 97 yang diapungkan akan dijual pada harga RM2.50 seliter. Harga ini mencatatkan penurunan sebanyak 9 sen berbanding minggu lalu.

    Seperti yang kita sedia maklum, harga yang bagi RON 95 pula dikekalkan pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M pula adalah RM2.18 seliter (diesel Euro 5 dijual lebih 10 sen daripada diesel Euro 2M seperti biasa).

    Menurut menteri kewangan, pada kadar ini, kerajaan menggunakan subsidi sebanyak 33 sen setiap liter bagi petrol RON 95 dan diesel berkenaan.

     
     
  • MITI naikkan minimum had umur AP kereta klasik ke 35 tahun – garis panduan baharu mulai 1 Julai 2018

    MITI naikkan minimum had umur AP kereta klasik ke 35 tahun – garis panduan baharu mulai 1 Julai 2018

    Kerajaan telah mengumumkan mulai 1 Julai 2018, garis panduan baharu bagi pemohonan yang melibatkan kenderaan klasik yag diimport ke negara ini akan dilaksanakan. Kenyataan yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi laman web rasminya, garis panduan ini dilihat telah meningkatkan keperluan usia kenderaan bagi lesen import (AP, atau approved permit) kereta klasik.

    Buat masa ini, keperluan usia bagi kenderaan berkenaan adalah 25 tahun dan ke atas, tetapi ia telah ditingkatkan menjadi 35 tahun dan ke atas mulai bulan hadapan. Usia kenderaan tersebut adalah berdasarkan tahun pembuatannya, iaitu melibatkan kereta yang dibuat pada tahun 1983 dan sebelumnya.

    Garis panduan yang sedia ada untuk AP kenderaan vintaj, yang menyatakan bahawa kenderaan yang dimaksudkan harus berusia 50 tahun ke atas, tetap tidak berubah. Memandangkan sebelum ini, kenderaan mesti disahkan sebagai klasik atau vintaj oleh badan yang diiktiraf dari negara pengeksport, untuk mengelakkan penipuan.

    MITI naikkan minimum had umur AP kereta klasik ke 35 tahun – garis panduan baharu mulai 1 Julai 2018

    Peraturan baharu ini akan memberikan kesan terhadap pengimport dan pengumpul kereta klasik. Mesej-mesej dari pengimport telah bersebaran iaitu mengenai penambahan had usia ini, yang akan menghapuskan keseluruhan model ikonik JDM – untuk meletakkan 10 tahun tambahan ke dalam perspektif, contohnya Mazda MX-5 generasi pertama tidak layak untuk diimport menerusi AP kereta klasik dalam tempoh enam tahun akan datang.

    29 Jun adalah tarikh terakhir bagi MITI menerima permohonan bagi garis panduan lama. Semakan ini walau bagaimana pun tidak memberikan impak terhadap AP terbuka.

     
     
  • Audi A4 B9 facelift cuma tampilkan kelainan kosmetik

    Audi A4 B9 <em>facelift</em> cuma tampilkan kelainan kosmetik

    Static photo
    Colour: misano red

    Audi A4 B9 kini diberikan kemaskini atau facelift, tiga tahun selepas membuat penampilan pertamanya. Bagaimanapun, tidak seperti BMW 3 Series F30 dan Mercedes-Benz C-Class W205 yang menerima naik taraf teknologi dan sisten janaan kuasa sebelum ini, kemaskini pada pesaing dari Audi ini hanya diberi pembaharuan dari aspek kosmetik sahaja.

    Luarannya kini diberikan rekaan bampar depan baru dengan bahagian masukan udara kemasan krom hiasan. Varian S-Line pula hadir dengan rekaan lebih sporty pada bahagian yang sama ini. Gril bingkai tunggal yang ada juga adalah rekaan baru, dengan jalur lintang tiga dimensi pada varian S-Line.

    Di belakang, varian S-Line tidak lagi menggunakan ekzos berkembar bulat; ia kini digantikan dengan bukaan trapezoid yang disekalikan pada bahagian bampar. Turut ditawarkan ialah pakej “competition” bagi S-Line yang lengkap dengan bilah bampar depan dan kemasan sisi dalam warna Selenite Grey, logo hiasan pada pintu belakang serta spoiler RS yang lebih agresif pada versi wagon Avant. Rim pula direka semula dari 16-inci kepada 19-inci.

    Audi A4 B9 <em>facelift</em> cuma tampilkan kelainan kosmetik

    Static photo
    Colour: ascari blue

    Di ruang dalam, varian S-Line Competition menerima kemasan gentian karbon, stereng tiga jejari dengan butang pelbagai fungsi dan tempat duduk kulit hitam. Tempat duduk pagi varian S Sport pula boleh dipilih warnanya, seperti Magma Red. Ciri standard lain adalah seperti rim aloi Audi Sport 19-inci, brek kaliper merah, suspensi sport dan lampu utama LED.

    Tiada perubahan lain yang dinyatakan. Untuk itu, enjin yang digunakan adalah sama seperti sebelumnya – 1.4 dan 2.0 liter turbocas petrol serta 2.0 liter turbodiesel yang digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau transmisi klac berkembar S-tronic tujuh-kelajuan. Sistem pacuan semua roda Quattro juga dijangka akan terus ditawarkan sebagai pilihan.

     
     
  • Grab digesa buat sumbangan SOCSO untuk pemandu

    Grab digesa buat sumbangan SOCSO untuk pemandu

    Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menggesa penyedia perkhidmatan Grab untuk membuat sumbangan terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO/SOCSO) bagi pemandu-pemandu yang berkhidmat dengannya. Menurut The Sun, cadangan itu timbul selepas PERKESO mendapati arwah Aiman Nasri, 27 tahun tidak mempunyai sebarang rekod dengan pertubuhan itu. Aiman ditemui mati di dalam Perodua Myvi miliknya, dilaporkan dengan kesan jerutan pada leher, baru-baru ini.

    “Saya simpati dengan keluarga mangsa. Mereka tidak menerima apa-apa manfaat di bawah skim PERKESO walaupun beliau meninggal ketika berkerja. Malahan, dari pemeriksaan yang kami jalankan, setakat April lalu hanya 4,231 pemandu teksi termasuk yang berkhidmat dengan platform e-hailing sahaja yang ada sumbangan PERKESO, daripada jumlah keseluruhan 90,000 pemandu yang berbuat demikian,” jelas beliau.

    Kulasegaran memetik undang-undang sedia ada, yang mewajibkan majikan untuk membuat sumbangan PERKESO terhada pekerjanya bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga. Beliau juga menambah, setakat ini PERKESO telah membayar pampasan dari RM600 juta hingga RM800 juta bagi pekerja yang terlibat dalam kemalangan ketika berkerja atau ke tempat kerja.

    “Kerajaan tidak terlalu memberi penekanan terhadap pelaksanaan undang-undang terbabit oleh kerana ingin menjadi mesra perniagaan dan tidak mahu membuatkan majikan merasa terpaksa untuk melakukan hal itu. Sumbangan bagi setiap pekerja tidak banyak – hanya RM15 sebulan atau RM150 setahun. Majikan digalakkan untuk mendaftarkan pekerja mereka untuk manfaat PERKESO ini,” tambah beliau.

    CEO PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pertubuhan itu pernah cuba bertemu dengan pihak Grab untuk mendaftarkan pemandu-pemandu mereka dengan skim yang ada, tetapi masih belum menjadi kenyataan. “Perjumpaan dengan CEO Grab telah ditunda dua kali. Kami berharap dapat duduk semeja dengan mereka dalam masa terdekat ini untuk berbincang lebih lanjut tentang hal ini,” ujar beliau.

     
     
  • Renault tunjuk crossover baharu – lancar di Rusia

    Renault tunjuk crossover baharu – lancar di Rusia

    Renault akan memperkenalkan crossover baharu tahun ini di Moscow Motor Show dan telah pun menunjukkan teaser pertama bagi model tersebut. Menurut pengeluar kereta Perancis, crossover yang belum diberi nama ini akan menjadi model segmen-C global yang akan diproduksi buat pertama kalinya di kilang di Moscow bersama Kaptur.

    “Kenderaan baharu ini akan menjadi satu kejayaan sebenar bagi pasaran SUV di Rusia, mengukuhkan kedudukan Renault Rusia dalam segmen yang makin berkembang pesat ini. Pelancaran model ini di peringkat global akan membuka lembaran baharu dalam sejarah bukan sahaja Renault Rusia,” menurut kenyataan yang diedarkan oleh syarikat terbabit.

    Berdasarkan teaser yang menunjukkan bahagian hadapan crossover ini, banyak memberikan petanda ia bakal menampilkan rekaan terkini Renault termasuk lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, bentuk gril dan lampu utama yang langsing. Crossover ini dijangka akan menampilkan gaya yang lebih dinamik, dengan bentuk luaran umpama coupe seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.

    Dijangka bakal diperkenalkan pada akhir Ogos ini, pasaran lain juga dikhabarkan bakal menerima model ini, namun buat masa ini lokasi lain bagi produksinya belum didedahkan.

     
     
  • BMW 1 Series Sedan dilancar di Mexico, dari RM99k

    BMW 1 Series Sedan dilancar di Mexico, dari RM99k

    Selain China, BMW 1 Series Sedan F52 juga telah dilancarkan di Mexico. Model 1 series dilancarkan buat pertama kalinya pada Februari tahun lalu dan menggunakan platform pacuan roda-hadapan UKL yang dikongsi bersama SUV X1.

    Untuk Mexico, terdapat dua varian yang akan ditawarkan, kedua-duanya dilengkapi pakej Sport Line. Varian pertama, 118iA, ditawarkan pada harga 489,900 Mexico peso (RM98,844) dan didatangkan dengan enjin petrol 1.5 pengecas turbo tiga-silinder.

    Penjana ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 136 hp dari 4,400 hingga 6,000 rpm dan tork 220 Nm dari 1,400-4,300 rpm, yang disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik Steptronic enam-kelajuan. Menurut BMW, 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 9.4 saat dan kereta ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 212 km/j.

    Bagi varian tertinggi pula, 120iA, ia dipadankan dengan enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 192 hp dari 5,000-6,000 rpm dan tork 280 Nm dari 1,350-4,600 rpm. Turut dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan (dengan fungsi launch control), membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.5 saat. Masih pacuan roda-hadapan, 120iA mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 235 km/j dan ditawarkan apda harga 569,900 pesos (RM114,984).

    Bergantung pada varian terpilih, senarai kelengkapan termasuk roda stereng balutan kulit, upholstery kulit Sensatec, paparan infotainmen 6.5-inci untuk sistem iDrive, lampu utama halogen atau LED (dengan lampu nyalaan siang LED), roda aloi 17-inci (Style 549), tempat duduk belakang yang boleh dipisah secara 40:20:40 dan bumbung berkaca panoramik.

    GALERI: BMW 1 Series, spesifikasi China

     
     
  • GALERI: Mazda CX-3 2018 facelift dipertonton di M’sia

    GALERI: Mazda CX-3 2018 <em>facelift</em> dipertonton di M’sia

    Seperti yang ramai telah sedia maklum, Mazda CX-3 2018 facelift telah pun tiba di Malaysia dan ketika ini dipertontonkan kepada umum di One Utama, bermula hari ini hingga Ahad nanti, 1 Julai 2018. Lebih menarik, harga anggaran yang diumumkan oleh Bermaz selaku pengedar rasminya ialah RM121,134 atas jalan dan tidak termasuk insurans. Tempahan juga telah dibuka.

    Pembaharuan di luar yang dilakukan termasuklah rekaan dua kepingan krom pada gril, kemasan krom pada bahagian luaran, lampu belakang yang diinspirasikan dari CX-5 baru, rim aloi 18-inci yang direka semula, bingkai tingkap hitam gelap dan lampu kabus serta pilihan warna Soul Red Crystal seperti yang ditawarkan pada model CX-5.

    Di dalam pula, antara perubahan yang terlibat ialah tambahan fungsi brek parkir elektronik (dengan Auto Hold) yang menggantikan brek tangan manual sebelum ini. Konsol di tengah juga direka untuk menempatkan bahagian tapar tombol gear yang ada, suis pemilih Sport Mode dan tombol kawalan MZD Connect turut diposisikan semula.

    GALERI: Mazda CX-3 2018 <em>facelift</em> dipertonton di M’sia

    Turut disertakan ialah perehat tangan dengan ruang simpanan barang di bawahnya, serta perehat tangan baru dibahagian tengah untuk penumpang belakang dengan tempat letak cawan padanya. Papan pemuka turut menerima beberapa kemaskini – corong pendingin hawa lebih tirus, palang krom yang lebih pendek dan kemasan ala suede. Sementara itu, panel pintu yang lebih tebal, cermin pintu ruangan barang di belakang serta kedapan pintu yang baru membantu memperbaiki kadar NVH model ini.

    Kelengkapan lain yang masih dikekalkan termasuklah lampu utama LED automatik, lampu kabus hadapan dan lampu belakang, kemasukan tanpa kunci, tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa 10-hala bersama memori, bilah pengelap cermin automatik, pendingin hawa zon-tunggal automatik, paparan head-up display berwarna, paddle shifter, kawalan cruise, sistem infotainmen MZD Connect dengan skrin sentuh tujuh-inci, enam-pembesar suara dan kamera undur. Bagaimana pun, bumbung matahari tidak lagi dikekalkan pada CX-3 facelift ini.

    Untuk elemen keselamatan, CX-3 kini menerima tambahan sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), dan Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA). Kedua-dua sistem ini menyertai ciri-ciri lain sedia ada seperti ABS dan EBD serta bantuan brek, Dynamic Stability Control (DSC) enam beg udara dan tapak ISOFIX.

    Kuasa pula disalurkan dari enjin petrol 2.0 liter SkyActive-G empat-silinder yang ditala semula untuk meningkatkan tork dan lebih menjimatkan penggunaan bahan api serta mengurangkan geseran dalaman, menjadikan tidak balas enjin lebih baik. Angka janaan kuasa tidak berubah, iaitu 151 hp pada 6,000 rpm dan tork 204 Nm pada 2,800 rpm.

    Transmisi automatik enam-kelajuan masih dikekalkan, bersama sistem G-Vectoring Control (GVC) yang diperkenalkan tahun lalu, untuk meningkatkan kawalan dinamik kenderaan. Selain itu, suspensi dan sterengnya juga telah ditala semula untuk mengoptimumkan karakteristik pemanduan.

     
     
  • Toyota Crown 2018 S220 buat penampilan sulung

    Toyota Crown 2018 S220 buat penampilan sulung

    Toyota Crown 2018 hari ini sudah mula masuk pasaran domestik di Jepun. Dipertontonkan sebagai Crown Concept di Tokyo Motor Show tahun lalu, model generasi ke-5 S220 ini tampil tanpa banyak perubahan rekaan luaran berbanding model yang ditunjuk itu. Menggantikan versi S210 yang ada sejak 2012, versi terbaru 220 ini mewarisi penggayaan dari Camry 2018 – direka baru sepenuhnya, dengan imej yang lebih sporty berbanding yang sebelum ini.

    Menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), model ini ditawarkan dengan pilihan 21 varian, dengan tiga pilihan enjin serta dua sistem pacuan – pacuan roda belakang dan semua roda. Bagi pilihan warna pula, ada tujuh semuanya.

    Bagi enjin, model paling asas menggunakan unit 8AR-FTS 2.0 liter turbocaj seperti yang ada pada model generasi ke-14 sebelum ini, tetapi kini dengan peningkatan 10 PS – kini mampu menjana sebanyak 245 PS. Tork kekal sama, 350 Nm dari 1,650 hingga 4,400 rpm. Kotak gear kekal menggunakan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Dua lagi pilihan enjin terdiri daripada ialah enjin A25A-FXS 2.5 liter TNGA Dynamic Force dengan Toyota Hybrid System (THS II) dengan janaan kuasa sebanyak 184 PS pada 6,000 rpm dan 221 Nm dari 3,800 hingga 5,400 rpm. Elektrik motor dengan bateri nickel-metal hydride pula membekalkan 143 PS (atau 105 kW) dan 300 Nm. Keseluruhan sistem menumbangkan sebanyak 226 PS.

    Pilihan enjin terakhir ialah 8GR-FXS dengan Multi Stage Hybrid System seperti yang ada pada Lexus LS 500h dan LC 500h. Crown merupakan model Toyota pertama yang menggunakan enjin ini. Ia terdiri daripada enjin 3.5 liter Dual VVT-i V6 yang menjana 299 PS dan 356 Nm dan digandingkan dengan motor elektrik berkembar serta bateri lithium-ion 310 V, menghasilkan output keseluruhan 359 PS.

    Pendekatan nama bagi setiap varian juga diubah; tiada lagi Crown Royal, Crown Athlete dan sebagainya. Ia diganti dengan Crown B, diikuti dengan Crown S, Crown G dan Crown G-Executive dengan pengenalan “Four” bagi varian pacuan empat roda. Tidak ketinggalan ialah versi RS.

    Rekaan baru ini turut diterjemahkan ke bahagian kabin; kini menggunakan material dan kemasan yang lebih premium. Pilihan tujuh warna ruang dalaman ditawarkan – empat warna standard dan tiga pilihan khas. Antara kelengkapan yang tersedia ialah skrin tujuh-inci berhampiran konsol tengah, diserta dengan skrin lapan-inci terapung dikedudukan atasnya.

    Ruang kaki penumpang belakang juga lebih luas. Rekabentuk kerusi juga baru, untuk “memagang” badan penumpang dengan optimum bagi mengurangkan keletihan dalam perjalanan jauh. Bagi model G-Executive dan G-Executive Four, kemasan kayu berkualiti tinggi turut digunakan.

    Model ini juga sarat dengan teknologi kenderaan terkini, misalnya penggunaan sistem Data Communication Module (DCM), yang merangkumi pelbagai servis dengan tumpuan kepada keselamatan, keselesaan – sebagai contoh makluman penyelenggaraan berdasarkan data pemanduan masa nyata.

    Lain-lain kelengkapan keselamatan termasuk pakej Toyota Safety Sense generasi kedua. Antaranya termasuk sistem untuk mengelak perlanggaran dengan pengesanan pejalan kaki siang dan malam, radar dinamik bagi fungsi cruise control dengan kelajuan penuh, bantuan pengesanan lorong (LTA), lampu tinggi adaptif dan bantuan tanda isyarat jalan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025