Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GST-Sifar: Harga model Nissan turun sehingga RM9.4k

    GST-Sifar: Harga model Nissan turun sehingga RM9.4k

    Sempena Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dikadarkan pada sifar peratus bermula 1 Jun ini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengumumkan harga baharu bagi kenderaan-kenderaan jenama Nissan. Harga baharu ini sudah tentu, akan berkuatkuasa bermula 1 Jun sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diumumkan mula dikenakan semula kelak yang dijangka dalam 2,3 bulan dari sekarang, menurut ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

    Harga baharu yang diumumkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Penjimatan bermula serendah RM3,860 jika anda membeli Almera 1.5E manual sehingga RM9,419 untuk X-Trail 2.5L Premium Impul. Nissan Almera 1.5E manual berkenaan akan dijual pada harga hanya RM64,639 setelah GST dikenakan pada kadar sifar (RM68,500 pada harga semasa), manakala X-Trail 2.5L Premium Impul pula dijual pada harga RM158,180 bermula bulan hadapan, berbanding RM167,600 sekarang.

    GST-Sifar: Harga model Nissan turun sehingga RM9.4k

    Klik untuk besarkan

    Jika anda membuat perkiraan berdasarkan jadual diatas, pengurangan harga tersebut tidaklah tepat sehingga 6%. Ini kerana GST hanya melibatkan harga jualan, dan tidak termasuk bayaran proses lain seperti bayaran pemeriksaan Puspakom untuk model CBU, bayaran pendaftaran dan pelbagai lagi.

    Sebelum ini juga, ETCM telah mengumumkan pelan perlindungan harga yang akan diperkenalkan sama seperti yang diumumkan oleh Motor Image bagi kenderaan-kenderaan jenama Subaru. Program tersebut akan melindungi perbezaan harga sekiranya harga kenderaan mula naik kerana peralihan dari GST ke SST dengan memberikan jaminan pulangan wang berdasarkan perbezaan harga tersebut.

     
     
  • KTMB umum jadual waktu baharu komuter mulai 3 Jun

    Klik untuk besarkan

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan, mulai 3 Jun ini, jadual waktu dan tempoh operasi pekhidmatan KTM Komuter akan mengalami perubahan berikutan Projek Menaiktaraf Infrastruktur dan Sistem Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang akan memasuki pelaksanaan fasa baharu.

    Justeru, rombakan terhadap jadual waktu bagi KTM Komuter perlu disusun semula demi kelancaran operasi dan kemudahan para penggunanya. Walau bagaimana pun, KTMB tidak memaklumkan sampai bilakah perubahan jadual tersebut dilaksanakan.

    Sebarang makluman atau pertanyaan, sila layari www.ktmb.com.my atau hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.

     
     
  • MV Agusta sertai perlumbaan Moto2 tahun hadapan?

    MV Agusta sertai perlumbaan Moto2 tahun hadapan?

    Kali terakhir MV Agusta menyertai perlumbaan MotoGP adalah 42 tahun yang lepas, dengan mencatat 275 kemenangan GP dari kategori 125 hinggalah 500. Tapi nampaknya seperti jenama pengeluar motosikal dari Itali tersebut berpeluang menambah koleksi gelaran yang dimiliki kerana menurut laporan sebuah laman web terkemuka, GPOne.com, mereka akan menyertai kategori Moto2 tahun hadapan.

    Dalam laporan tersebut, MV Agusta dinyatakan akan bekerjasama dengan Team Forward, dan perkara ini disahkan sendiri oleh pengetua Team Forward iaitu Cuzari Giovanni kepada GPOne.com. Perjanjian yang dibuat antara Team Forward dengan MV Agusta ini adalah untuk tempoh empat tahun dan mereka boleh menyambungnya selepas itu jika mahu.

    MV Agusta sertai perlumbaan Moto2 tahun hadapan?

    Antara sebab yang dikatakan dapat menarik perhatian MV Agusta untuk kembali menyertai kejuaraan berprestij ini adalah pada tahun hadapan, kesemua jentera Moto2 akan menggunakan enjin tiga silinder dari Triumph. Walaupun ini bukan enjin mereka sendiri, MV Agusta mempunyai banyak pengetahuan tentang enjin tiga silinder kerana kebanyakan motosikal mereka menggunakan tetapan itu.

    Tambah pengarah teknikal bahagian penyelidikan dan pembangunan MV Agusta, Brian Gillen, beliau sendiri akan mengetuai projek ini, termasuk untuk rekaan kerangka, manakala syarikat Sutter pula akan bekerjasama untuk menghasilkan lengan ayun.

     
     
  • Hafizh Syahrin dapat tempat ke-12 MotoGP Perancis, Khairul Idham Pawi berjaya pungut mata pertama

    Hafizh Syahrin dapat tempat ke-12 MotoGP Perancis, Khairul Idham Pawi berjaya pungut mata pertama

    Pusingan kelima perlumbaan MotoGP yang berlangsung di Perancis hujung minggu lalu menyaksikan pelumba negara, Hafizh Syahrin memungut lagi empat mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-12. Keseluruhannya kini Hafizh berada di tempat ke-17 dengan mata terkumpul 13.

    Untuk perlumbaan di Perancis ini, Hafizh memulakan perlumbaan di petak ke-14 namun turun sehingga ke kedudukan ke-18 di awal perlumbaan. Walaubagaimanapun, beliau berjaya memotong beberapa pelumba dan ada juga pelumba yang berada di kelompok hadapan yang terjatuh.

    Antaranya termasuk rakan sepasukan Hafizh iaitu Johann Zarco, Andrea Dovizioso, Andrea Iannone dan Tito Rabat. Turut gagal menamatkan perlumbaan di Perancis ini adalah Scott Redding dan Alvaro Bautista.

    Hafizh Syahrin dapat tempat ke-12 MotoGP Perancis, Khairul Idham Pawi berjaya pungut mata pertama

    Sementara itu, melihat kepada kategori Moto2 pula, seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi turut menunjukkan prestasi baik apabila berjaya memungut mata pertama beliau musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-15. Secara keseluruhannya, Khairul berada di kedudukan ke-25 setakat pusingan kelima ini.

    Pengganti Zulfahmi Khairuddin yang berlumba untuk pasukan SIC Racing Team, iaitu Niki Tuuli sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-22, manakala Adam Norrodin yang berlumba dalam kategori Moto3 pula gagal menamatkan perlumbaan.

     
     
  • SST bakal kembali dalam masa 2-3 bulan – Tun Daim

    SST bakal kembali dalam masa 2-3 bulan – Tun Daim

    Kami telah memberikan senarai harga yang dikeluarkan oleh jenama-jenama automotif seperti Toyota, Volkswagen, Subaru dan BMW sempena kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang ditetapkan pada kadar sifar bermula 1 Jun ini. Namun harga tersebut tidak akan kekal lama kerana Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan kembali selepas ini.

    Menurut laporan The Edge, salah seorang Ahli Majlis Penasihat kerajaan, Tun Daim Zainuddin menyatakan cukai tersebut akan dikenakan kembali tidak lama lagi. “SST akan diperkenalkan semula dalam masa dua, tiga bulan lagi,” katanya ketika sidang media yang diadakan baru-baru ini.

    Tun Daim masih lagi belum menyatakan tempoh yang spesifik, namun sementara ia dirangka semula, rakyat akan menikmati cukai GST pada kadar sifar peratus dan bukan lagi 6% bermula 1 Jun ini.

    Menurutnya lagi, pengenalan SST ini dijangka akan mengembalikan kutipan RM30 bilion, menggantikan pendapatan dari kutipan GST. Walau bagaimanapun, jumlah kadar untuk SST baharu berkenaan belum lagi dinyatakan (sebelum ini SST dikenakan pada kadar 10%).

    Jadi, sebelum SST ini dikenakan semula, ini adalah masa yang paling sesuai sekiranya anda mahu membeli kereta baharu. Adakah SST akan menyebabkan harga kereta naik dari harga yang dikenakan semasa ‘zaman GST’? Itu hanya diketahui setelah mekanisma baharu cukai SST tersebut diumumkan kerajaan kelak.

     
     
  • GST-Sifar: Proton tawar pilihan rebat, baucar servis

    GST-Sifar: Proton tawar pilihan rebat, baucar servis

    Sebelum ini Proton mengumumkan mereka hanya memberikan baucar servis kepada pelanggan yang mendaftar kereta baharu mereka bermula 16 Mei hingga 31 Mei ini sebagai respon terhadap langkah kementerian kewangan yang menetapkan kadar GST kepada 0%. Namun hari ini, pengeluar automotif nasional tersebut mengumumkan bahawa inisiatif tersebut turut akan memberikan pilihan rebat tunai kepada pelanggan.

    “Semalam, Proton mengumumkan satu inisiatif yang menawarkan faedah kepada pembeli kereta Malaysia untuk membayar pada harga kadar sifar GST sebelum ianya berkuatkuasa. Hari ini, syarikat memberikan pelanggan pilihan untuk mereka menerima faedah ini, sama ada dalam bentuk baucar perkhidmatan atau rebat tunai. Tidak ada sebab untuk menunggu hingga 1 Jun 2018 untuk membeli Proton baharu kerana kami telah memberikan penjimatan yang lebih awal,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan & Pemasaran Proton.

    Menerusi tawaran ini, nilai rebat tunai yang ditawarkan adalah sama dengan perbezaan harga antara harga kereta semasa dengan harga setelah GST dikadarkan pada sifar peratus.

    Selain itu, Proton turut menawarkan diskaun 6% menerusi program servis berkala Proton Customer Care (kos buruh dan alat ganti servis berkala sahaja) kepada semua pemilik Proton yang membawa kereta mereka untuk diservis di pusat servis bertauliah Proton. Inisiatif servis ini akan bermula dari 19 Mei hingga 31 Mei.

     
     
  • GST-Sifar: Harga motosikal BMW turun RM1.5k-RM29k

    GST-Sifar: Harga motosikal BMW turun RM1.5k-RM29k

    Selain harga bagi kenderaan empat roda, BMW Malaysia juga telah mengumumkan harga motosikal jenamanya tanpa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang akan mula diguna dari 1 Jun 2018 hingga satu tempoh yang ditetapkan nanti.

    Dengan kadar GST pada 0%, harga motosikal BMW menjadi lebih menarik bagi unit baru, dan sebagai contoh, model terkenal mereka iaitu R1200 GS asas kini dijual pada harga RM97,100. Ini adalah pengurangan sebanyak RM5,800 daripada harga sebelum ini RM102,900.

    GST-Sifar: Harga motosikal BMW turun RM1.5k-RM29k

    R1200GS Adventure yang lebih lengkap pula dijual pada harga RM108,421, turun RM6,479 dari RM114,900. Sudah tentu, kadar pengurangan ini adalah lebih rendah bagi model yang lebih murah. Sebagai contoh, G310 GS turun hanya RM1,677, menjadi RM28,223.

    Pengurangan paling banyak adalah untuk model yang paling mahal dijual oleh jenama itu, iaitu HP4 Race. Harga asalnya adalah RM520,900, tapi kini sudah menjadi RM491,420, iaitu pengurangan sebanyak RM29,480. Harga model sports lain adalah S1000RR RM102,761 (-RM6,139) dan RM82,006 untuk S1000R 2018 (-RM4,893).

     
     
  • GST-sifar: Perodua beri pulangan balik GST secara tunai untuk jualan, servis dan alat ganti dari 18-31 Mei

    GST-sifar: Perodua beri pulangan balik GST secara tunai untuk jualan, servis dan alat ganti dari 18-31 Mei

    Bermula hari ini, hingga 31 Mei 2018, Perodua telah mengumumkan bakal memberi pulangan balik secara tunai jumlah Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebanyak 6% pada harga jualan kenderaan, servis serta alat gantinya. Langkah ini diambil sebagai persediaan awal sebelum GST dimansuhkan sepenuhnya pada 1 Jun 2018.

    Menurut pengarah urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, pemberian pulangan balik tunai ini adalah satu inisiatif sendiri Perodua untuk menghargai pelanggannya, dan mereka diharap dapat mengambil peluang ini untuk berbelanja sama ada di bahagian jualan ataupun servis.

    Anda boleh melihat harga pulangan balik GST bagi setiap model yang dijual oleh Perodua melalui jadual di bawah, dan ini diambil daripada harga bersih kenderaan, tidak termasuk aksesori GearUp, insurans dan lain-lain kos jualan. Bagi mereka yang telah berbelanja hari ini, sebelum pengumuman dibuat, mereka akan diberi e-baucar yang boleh digunakan selepas 1 Jun 2018.

    GST-sifar: Perodua beri pulangan balik GST secara tunai untuk jualan, servis dan alat ganti dari 18-31 Mei

     
     
  • GST-Sifar: Subaru turunkan harga sehingga RM17k, Skim Perlindungan Harga diteruskan hingga Ogos

    GST-Sifar: Subaru turunkan harga sehingga RM17k, Skim Perlindungan Harga diteruskan hingga Ogos

    TC Subaru telah mengeluarkan senarai harga baharu yang efektif mulai 1 Jun ini, apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi 0% berbanding 6% sebelum ini. Pemansuhan GST ini diumumkan oleh kerajaan baharu dua hari lalu sebagai memenuhi janji menerusi manifesto yang dicanangkan sebelum ini.

    Harga baharu tersebut adalah harga atas jalan tanpa insurans tetapi merangkumi diskaun standard – akan kekal sehingga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali mengambil alih GST. Walau bagaimana pun pengembalian SST tidak disebutkan dalam pengumuman mengenai GST-sifar pada dua hari lalu, namun difahamkan kementerian kewangan mengesahkan ia akan dikembalikan, tanpa memaklumkan jangkaan masa yang sebenarnya.

    Tanpa GST, penjimatan dari RM6,681 bagi unit pemasangan tempatan untuk model XV 2.0i dan mencecah sehingga RM17,460 bagi model WRX STI CBU buatan Jepun.Terdapat sedikit variasi di dalam peratusan pengurangan, di mana ia adalah sedikit kurang daripada 6%. Ini adalah kerana GST sebanyak 6% ini hanyalah diaplikasi untuk harga jualan bagi sesebuah kereta (dan jika ia melibatkan model CBU, yuran pemeriksaan Puspakom juga diambil kira), sebelum kos pendaftaran (termasuk cukai jalan, yuran pendaftaran, yuran pemilikan) ditambah.

    GST-Sifar: Subaru turunkan harga sehingga RM17k, Skim Perlindungan Harga diteruskan hingga Ogos

    Klik untuk besarkan

    Subaru merupakan syarikat pertama yang memberikan maklumbalas mengenai impak potensi terhadap perubahan harga ini selepas Pakatan Harapan menang besar dalam pilihanraya baru-baru ini. Malahan Subaru turut memperkenalkan Skim Perlindungan Harga untuk memberikan jaminan kepada semua pelanggan terhadap pergerakan harga semua tempahan kenderaan Subaru.

    Menerusi skim ini, tempahan bagi semua model Subaru akan dilindungi harganya mula sekarang sehingga 18 Ogos 2018. Sekiranya pergerakan harga menaik sebelum pendaftaran bagi mana-mana model yang ditempah disebabkan oleh perubahan dalam regimen cukai, TC Subaru akan mengikut harga asal iaitu pada kadar yang lebih rendah.

    Kini, kita semua sedia maklum bahawa harga tersebut akan mulai turun pada 1 Jun ini, jasi sudah pasti kebanyakan pelanggan akan menunggu sehingga bulan hadapan untuk membuat pembelian. Walau bagaimana pun, bagi pelanggan yang telah menempah dan membeli mana-mana model pada bulan ini, GST sebanyak 6% tetap akan dikenakan tetapi TC Subaru membuat keputusan akan memberikan baucar perkhidmatan dengan perbezaan nilai harga (sehingga had RM3,000).

    TC Subaru juga memaklumkan Skim Perlindungan Harga ini akan diteruskan sehingga Ogos 2018. Umum mengetahui, sekiranya SST dikembalikan, harganya mungkin akan lebih tinggi daripada senarai harga bulan Jun. Jadi, bulan hadapan adalah masa terbaik untuk membeli mana-mana model Subaru yang anda berkenan.

     
     
  • GST-Sifar: Honda serap GST 6% bagi model terpilih bersama rebat tunai – City 1.5 S kini hanya RM68,648

    GST-Sifar: Honda serap GST 6% bagi model terpilih bersama rebat tunai – City 1.5 S kini hanya RM68,648

    Selari dengan pengumuman berkaitan kadar GST 0% oleh kerajaan bermula 1 Jun, Honda Malaysia akan menyerap sepenuhnya GST 6%, bagi tempoh bermula 18 Mei 2018 hingga 31 Mei 2018. Bonus GST berkenaan bagaimanapun hanya ditawarkan bagi beberapa model tertentu, iaitu Honda City (petrol), Civic, CR-V dan HR-V.

    Sementara itu, dalam masa yang sama, model-model lain seperti Jazz, BR-V, Accord, Odyssey, Civic Type-R, Jazz Hybrid dan City Hybrid pula tidak ditawarkan untuk Bonus GST berkenaan, tetapi tetap tertakluk di bawah satu lagi promosi, “Welcome Ramadan Rewards”.

    Honda Malaysia akan mengumumkan senarai harga baru bagi model-modelnya selari dengan pelaksanaan kadar GST 0% yang akan bermula dari 1 Jun 2018 nanti dalam masa terdekat ini.

    GST-Sifar: Honda serap GST 6% bagi model terpilih bersama rebat tunai – City 1.5 S kini hanya RM68,648

    Klik untuk besarkan

     
     
  • GST-Sifar: Harga BMW jimat dari RM10k hingga RM70k

    GST-Sifar: Harga BMW jimat dari RM10k hingga RM70k

    Selepas Toyota dan Volkswagen, kami menerima pula jadual harga bagi kereta-kereta yang dijual oleh BMW Malaysia berhubung kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan pada kadar 0% bermula 1 Jun ini.

    Harga-harga baharu yang dikeluarkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran dan ia berkuatkuasa bermula 1 jun sehingga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikenakan oleh kerajaan bagi menggantikan GST yang telah pun disahkan sebelum ini (tarikh sebenar masih lagi belum diumumkan).

    Tanpa GST, anda bakal menerima penjimatan bermula RM9,991 jika membeli sebuah BMW 118i Sport, sehingga RM69,881 untuk BMW X6 M dan RM69,887 untuk kereta sport plug-in Hybird BMW i8. Harga-harga lama dan baharu adalah seperti berikut.

    GST-Sifar: Harga BMW jimat dari RM10k hingga RM70k

    Klik untuk besarkan

    “Sementara kami menunggu pengumuman dan pengesahan seterusnya dari kementerian kewangan Malaysia, kami berharap dapat terus berkhidmat kepada pelanggan kami dengan lancar. Percayalah, BMW Group Malaysia akan terus menawarkan pengalaman lengkap Pemilikan Premium,” kata pengarah urusan dan CEO BMW Group Malaysia Harald Hoetzl.

    Kesemua pembelian model BMW turut disertakan dengan waranti tanpa had dan program servis berkala percuma selama lima tahun, program waranti selama 24-bulan untuk tayar run-flat, bantuan tepi jalan dan hotline kemalangan, aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+, BMW White Card dan program keahlian BMW Excellence Club serta BMW Service Online.

     
     
  • Ford Ranger facelift 2019 – enjin sama dengan Raptor

    Ford Ranger facelift 2019 – enjin sama dengan Raptor

    Ford Australia akhirnya mendedahkan Ranger T6 facelift, yang kini dilengkapi dengan lebih teknologi, penampilan lebih segar dan enjin baru. Ini adalah kali kedua Ranger T6 diberikan faceliftfacelift pertama tiba di negara kita pada Oktober 2015.

    Berita paling utama pada model facelift ini adalah pengenalan enjin diesel EcoBlue 2.0 liter Bi-turbo baru, yang turut digunakan pada Ranger Raptor. Kuasa enjin ini adalah 213 PS dan 500 Nm tork – sama seperti Raptor – dan dipadankan bersama kotak gear automatik 10 kelajuan baru.

    Enjin ini menampilkan sistem suntikan bahan api terus, intake manifold bersepadu dan pemacu utama dengan tali sawat dalam minyak, yang menjadikan enjin ini lebih kompak dan ringan. Ia juga masih mengekalkan kemampuan mengangkat barang dan menarik berat 3,500 kg. Enjin ini hanya boleh didapati sebagai pilihan tambahan untuk varian XLT dan Wildtrak sahaja.

    Dalam keadaan standard, Ranger XLT dan Wildtrak datang dengan enjin 2.2 liter empat silinder dan 3.2 liter Duratorq lima silinder sama seperti sebelum ini, dengan kuasa masing-masing 160 PS/385 Nm dan 200 PS/470 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan.

    Ford Ranger facelift 2019 – enjin sama dengan Raptor

    Peningkatan lain yang diberi pada Ranger facelift ini adalah suspensi ditala semula yang dapat mengurangkan olengan badan dan meningkatkan rasa pemanduan apabila muatan penuh atau menarik sesuatu. Bahagian pintu ruang simpanan barang belakang juga lebih ringan, sekaligus dapat ditutup dan dibuka 70% lebih mudah.

    Untuk penampilan, ia kini mempunyai gril hadapan baru, bampar yang direka semula dan lampu utama HID (standard bagi XLT dan Wildtrak) dengan lampu siang LED. Kini, perbezaan di antara semua varian juga menjadi lebih jelas kerana menggunakan bampar atau warna badan yang berbeza – Wildtrak menggunakan warna oren Sabre dan lebih ranggi.

    Perubahan pada bahagian dalam adalah minimal. Sistem Ford Sync 3 kini boleh didapati untuk semua varian (pilihan tambahan bagi XLS), manakala sistem infotainmen lapan inci padanya kini dapat menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem peta dalam Ranger ini juga dapat menyokong sistem ‘breadcrumbs’, di mana ia dapat membantu pemandug mengikut kembali jejak mereka apabila masuk ke jalan offroad.

    Ford Ranger facelift 2019 – enjin sama dengan Raptor

    Untuk aspek keselamatan, Ranger facelift terbaru ini dilengkapi dengan Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan kenderaan dan pejalan kaki. Sistem ini mampu memberhentikan kenderaan sepenuhnya dan berfungsi pada kelajuan atas daripada 3.6 km/j. Ia datang standard pada Wildtrak, tapi disediakan sebagai pilihan untuk XLT.

    Selain AEB, terdapat juga sistem Traffic Sign Recognition yang dapat mengesan pelbagai tanda trafik. Ikon tanda kelajuan yang dikesan kemudiannya akan dipapar di panel instrumen dan bertukar apabila had yang baru dikesan. Turut diberi dalam Tech Pack adalah Lane Keeping Aid, Lane Departure Warning serta Adaptive Cruise Control dengan Forward Collision Warning.

    Untuk pertama kali juga, Ranger akan dilengkapi secara standard dengan Active Park Assist, tetapi ia bukanlah sistem autonomous sepenuhnya. Sistem ini masih memerlukan input pemandu untuk menekan pedal minyak dan brek.

     
     
  • Ford Everest 2019 guna enjin diesel 2.0 biturbo 213 PS

    Ford Everest 2019 guna enjin diesel 2.0 biturbo 213 PS

    Selain Ranger facelift, Ford juga telah memperkenalkan Everest yang diperbaharui di Australia. SUV body-on-frame ini membawa sedikit perubahan pada penampilannya dan beberapa kelengkapan tambahan. Perkara yang lebih menarik adalah penggunaan enjin diesel empat silinder 2.0 liter twin turbo sama seperti Ranger Raptor.

    Enjin EcoBlue ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 213 PS dan 500 Nm tork daripada tahap 1,750 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik Getrag 10R80 10 kelajuan, bersama nisbah gear yang lebih lebar untuk meningkatkan keselesaan dan prestasi, dalam kedua-dua jalan biasa dan offroad. Kemampuan menarik juga meningkat sedikit, menjadi 3,100 kg daripada 3,000 kg.

    Padanan enjin dan transmisi ini datang standard pada varian Titanium yang paling tinggi, dan disediakan sebagai pilihan bagi varian Trend yang terletak di pertengahan. Bagi varian lain seperti Ambiente (permulaan) dan Trend, ia masih lagi menggunakan enjin diesel turbo lima silinder 3.2 liter TDCi Duratorq yang dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan. Pasaran lain mungkin mendapat pilihan enjin 2.2 liter.

    Ford Everest 2019 guna enjin diesel 2.0 biturbo 213 PS

    Kalau tidak diperhatikan betul-betul, perubahan luarannya mungkin tidak jelas. Antara yang baru adalah gril dan rekaan skid plate. Unit lampu xenon dengan lampu siang LED, yang sebelum ini hanya boleh didapati bagi varian Titanium kini diberikan juga secara standard kepada varian Trend, manakala varian Titanium mendapat lagi tambahan rim aloi 20 inci rekaan baru.

    Pada bahagian dalam, penggunaan bahan lembut meningkatkan rasa selesa dan kualiti, manakala skema warna ebony baru menjadikan bahagian dalamnya lebih menonjol. Sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin kini diberikan standard kepada semua varian, manakala varian Trend dan Titanium mendapat pintu but belakang yang boleh dibuka tanpa sentuh.

    Turut diberikan secara standard untuk semua adalah sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh 8.0 inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem navigasi dengan ciri ‘breadcrumbs’ untuk menanda jalan di kawasan offroad. Pengesan undur dan kamera belakang masih diberikan secara standard, manakala Active Park Assist disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pada aspek keselamatan, varian Trenda dan Titanium kini dilengkapi Inter-Urban Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan kenderaan dan pejalan kaki yang boleh beroperasi bermula dari kelajuan 3.6 km/j. Sistem lain seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping System (LKS) dan Blind Spot Information System (BLIS) dengan rear cross-traffic alert juga masih ada seperti sebelum ini.

     
     
  • Kajian Google dedah rakyat Malaysia buat kajian dalam talian sepanjang proses membeli kenderaan

    Kajian Google dedah rakyat Malaysia buat kajian dalam talian sepanjang proses membeli kenderaan

    Google Malaysia telah mengeluarkan keputusan kajian berhubung tabiat tapikal pengguna di Malaysia dalam proses pembelian kenderaan. Kajian yang dilakukan oleh syarikat kaji selidik pasaran Kantar TNS, mendedahkan bagaimana pengguna di negara ini dalam membuat keputusan bagi membeli kenderaan.

    Kajian tersebut memfokuskan empat peringkat utama dalam membeli kenderaan baharu, iaitu pertimbangan pembelian, penyelidikan awal, aspek penyelidikan dan titik jualan. Responden adalah dari seluruh negara dan mereka yang membeli kereta baharu.

    Penyelidikan disenaraikan sebagai peringkat proses yang paling penting, dengan 34% pengguna mengatakan mereka memilih untuk membeli tanpa memiliki pengetahuan tentang produk yang dipilih (45% agak dimaklumkan, 21% sangat dimaklumkan). Memandangkan kenderaan adalah pembelian yang rumit dan membabitkan pelaburan yang besar, maka pengguna sangat bergantung pada penyelidikan untuk membantu mereka membuat keputusan.

    Kajian Google dedah rakyat Malaysia buat kajian dalam talian sepanjang proses membeli kenderaan

    Menurut kajian terbabit, pembeli Malaysia cukup mengambil masa sebelum membuat keputusan, di mana 96% daripada mereka akan melakukan kajian dalam talian lebih kurang dua bulan (atau 60.7 hari).

    Sementara bagi mereka yang setia pada jenama, lapan daripada 10 biasanya akan kembali memilih jenama yang sama, dengan jumlah purata jenama yang dipertimbangkan sebelum membuat pembelian sekitar 2.7. Google berkata, ia mendorong banyak ruang kepada jenama dan model baharu untuk dipertimbangkan dalam tempoh tersebut.

    Menariknya, sekitar 37% responden berkata mereka tidak kisah tentang perkara ini, sebaliknya 74% pula berkata mereka terbuka untuk mempertimbangkan jenama baharu.

    Kajian Google dedah rakyat Malaysia buat kajian dalam talian sepanjang proses membeli kenderaan

    Carian dalam talian mewakili sumber maklumat berpengaruh, dengan 93% mengatakan apa yang mereka cari amat mempengaruhi keputusan pembelian mereka. ‘Ulasan pengguna’ mendahului senarai carian, diikuti oleh ‘harga terbaik’, ‘ulasan profesional’, ‘perbandingan harga’, ‘prestasi kualiti’ dan ‘tawaran.’

    Hasil kajian menambah bahawa video dalam talian adalah medium yang sangat berkesan semasa peringkat penyelidikan lanjutan. Sebanyak 87% pembeli mengikuti kajian awal mereka dengan menonton video ulasan dan testimoni dan berkata ia mempengaruhi pilihan model kereta terakhir mereka.

    Lebih penting, kedua-dua medium pencarian tersebut memang cukup mempengaruhi keputusan. Satu daripada empat pembeli akan terus ke bilik pameran selepas melakukan pencarian dalam talian dan 37% (atau kira-kira empat daripada 10) pengguna akan berkunjung ke bilik pameran selepas menonton video dalam talian, dan satu daripada empat pula akan memutuskan untuk membeli kereta terus selepas menonton video dalam talian mengenai jenama tersebut.

    Ia turut menambah, kajian menerusi dalam talian adalah antara penyebab pengguna terus ke pusat pengedaran.

    Menariknya, kajian tersebut turut menyebut tiga daripada 10 rakyat Malaysia mengharapkan agar lebih banyak memandu dalam tempoh tiga tahun akan datang kerana konsep ‘ride-sharing’ biasa dipraktikkan dan sistem pengangkutan awam di Malaysia juga telah dipertingkatkan. Di bandar khususnya, lebih ramai pengguna memilih untuk menggunakan pengangkutan awam selaras dengan unjuran pelan induk pengangkutan awam darat negara yang mensasarkan peningkatan sebanyak 40% menjelang tahun 2030.

     
     
  • GST-Sifar: Harga model-model Volkswagen Malaysia juga turun – Golf R kini RM17,102 lebih murah!

    GST-Sifar: Harga model-model Volkswagen Malaysia juga turun – Golf R kini RM17,102 lebih murah!

    Selepas Toyota, kini Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) pula mengumumkan harga baharu model-model keluarannya yang dijual tanpa 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang diumumkan ditetapkan pada kadar 0% bermula 1 Jun ini.

    Harga-harga baharu yang dikeluarkan oleh VPCM ini adalah harga atas jalan tanpa pendaftaran dan insuran dan ia berkuatkuasa bermula 1 jun sehingga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikenakan oleh kerajaan bagi menggantikan GST yang telah pun disahkan sebelum ini.

    Tanpa GST, anda bakal menerima penjimatan bermula RM4,400 jika membeli sebuah Polo, sehingga RM17,102 untuk Golf R. Namun VPCM ada membuat sedikit pelarasan harga bagi mendapatkan angka ‘8’ pada bahagian hujung. Harga-harga lama dan baharu adalah seperti berikut.

    GST-Sifar: Harga model-model Volkswagen Malaysia juga turun – Golf R kini RM17,102 lebih murah!

    Klik untuk besarkan

    Menurut VPCM lagi, stok adalah terhad dan pelanggan yang berminat perlu merebut peluang ini untuk membuat tempahan. Dalam masa yang sama, VPCM kini turut sedang dalam kempen sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    “Tempoh masa ini adalah durian runtuh untuk rakyat Malaysia, dan saya menggalakkan bagi mereka yang sedang membuat pertimbangan untuk membeli produk kami agar merebut peluang ini kerana ia merupakan masa yang paling tepat untuk memiliki sebuah Volkswagen. Ketenangan minda sentiasa menjadi keutamaan kami, dan kami mahu memberikannya semasa tempoh peralihan ini sehingga implementasi semula SST. Kami mahu pelanggan kami menerima faedah dengan harga yang disemak semula, dan menikmati promosi semasa kami,” kata pengarah urusan VPCM Erik Winter.

    Sempena hari raya tahun ini, VPCM menjalankan kempen “Fuel Up Your Gaya” yang menawarkan kadar faedah serendah 0.88% serta rebat tunai sehingga RM15,000 pada model-model terpilih. Selain itu, bagi mereka yang membeli model-model VM bermula sekarang hingga 30 Jun, kad petrol bernilai RM1,188 turut diberikan secara percuma.

    Kesemua model Volkswagen hadir dengan waranti pengeluar dan bantuan tepi jalan selama lima-tahun, serta tiga tahun servis berkala percuma.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025