Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford Focus RS Heritage Edition – terhad 50 unit sebelum pengeluaran dihentikan, selepas tiga tahun

    Ford Focus RS Heritage Edition – terhad 50 unit sebelum pengeluaran dihentikan, selepas tiga tahun

    Ford telah mengumumkan akan menghentikan pengeluaran Focus RS generasi ketiga 6 April ini, selepas tiga tahun ia dikeluarkan. Bagi mengingati peristiwa tersebut, 50 unit terakhir yang dikeluarkan di kilang Ford di Saarlouis Jerman akan mempunyai kelengkapan istimewa, dan dinamakan sebagai varian Focus RS Heritage Edition, eksklusif untuk pasaran UK.

    Model keluaran terhad ini antaranya menggunakan warna luar Tief Orange istimewa untuk menandakan ulang tahun ke-50 nama Escort di Britain. Kelengkapan lain yang didatangkan pada model ini adalah angkup brek warna kelabu, serta rim aloi, cermin sisi dan spoiler belakang hitam berkilat. Barangan standard lain adalah tempat duduk Recaro separa kulit, bumbung suria serta roda stereng dengan ciri pemanas.

    Turut dinaik taraf adalah enjin 2.3 liter EcoBoost padanya, di mana kuasanya dipertingkat hasil penggunaan kit Mountune FPM375 yang diluluskan oleh Ford – sebelum ini ia adalah satu kit pilihan tambahan. Salur pemasukan udara pada kit ini lebih baik, seterusnya menjadikan kitaran turbo lebih lancar. Ditambah dengan talaan semula ECU, kuasanya meningkat 25 PS menjadi 375 PS dan tambahan 40 Nm tork menjadi 510 Nm.

    Ford Focus RS Heritage Edition – terhad 50 unit sebelum pengeluaran dihentikan, selepas tiga tahun

    Catatan prestasi sebenar Focus RS Heritage Edition ini tidak disiarkan, tetapi ia sepatutnya menghasilkan kuasa sama seperti Focus RS biasa yang menggunakan kit Mountune ini, iaitu 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan laju maksimum 266 km/j.

    Model edisi terhad ini juga mendapat sistem limited-slip differential (LSD) mekanikal Quaife, yang dapat membahagikan tork kepada tayar lebih efektif, dan ia disepadukan dengan teknologi pemanduan lain yang ada pada Focus RS ini seperti dynamic torque vectoring dan torque vectoring control.

     
     
  • Kerajaan nafi kempen keselamatan jalan raya gagal

    Kerajaan nafi kempen keselamatan jalan raya gagal

    Biarpun ada pihak yang menuduh Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan saban tahun tidak menunjukkan keberhasilan atau pun dalam makna lain, gagal, namun perkara ini dinafikan oleh Kementerian Pengangkutan.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, kempen tersebut telah mencatatkan kejayaan apabila jumlah kematian yang direkodkan menurun 412 kes pada tahun lepas.

    Katanya lagi, sebanyak 6,740 kes kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang tahun lalu berbanding 7,152 pada 2016, laporan Bernama.

    “Jumlah kematian pada 2016 adalah 7,152 iaitu meningkat 419 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 6,706 kes. Jadi, penurunan jumlah kematian tahun lepas (412 kes) menunjukkan perkembangan yang baik. Saya berharap pemandu akan memandu dengan lebih berkhemah terutamanya pada musim perayaan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan akan mengambil pendekatan penguatkuasaan jalan raya termasuk penggunaan Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di semua jalan terpilih untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi had laju yang ditetapkan.

    “Kita faham dengan situasi trafik sesak pada musim perayaan, tetapi kita meminta orang ramai untuk memandu secara berhemah dan patuhi keselamatan serta peraturan jalan raya,” tambahnya.

     
     
  • Zaqhwan Zaidi akan berlumba untuk pasukan Honda Asia-Dream Racing guna CBR1000RR SP2 di Jepun

    Zaqhwan Zaidi akan berlumba untuk pasukan Honda Asia-Dream Racing guna CBR1000RR SP2 di Jepun

    Kumpulan syarikat Honda Asia dan Oceania telah mengumumkan penubuhan pasukan baru ‘Honda Asia-Dream Racing’, dengan ahli pasukannya terdiri daripada mereka yang diambil daripada pasukan lumba dan syarikat Honda dalam benua Asia dan Oceania.

    Pasukan ini terdiri daripada lapan ahli, diuruskan oleh Makoto Tamada manakala pelumbanya adalah Zaqhwan Zaidi, dari Malaysia. Untuk tahun ini, Zaqhwan akan berlumba menggunakan jentera CBR1000RR SP2 dalam kategori Superbike, Motorcycle Federation of Japan (MFJ) All-Japan Road Race Championship.

    Pada tahun depan pula, Zaqhwan akan dinaikkan kepada kelas ASB1000, iaitu satu kelas baru yang diwujudkan dalam siri perlumbaan Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM) Asia Road Racing Championship. Selain daripada itu, pasukan ini juga akan berlumba dalam beberapa siri Suzuka 8-Hour Endurance Race.

    Siri perlumbaan MFJ All-Japan Road Race Championship akan bermula 7 April ini di Litar Motegi, dan ia akan berlangsung sebanyak 9 perlumbaan di litar berbeza, tetapi semuanya di dalam Jepun. Pusingan terakhir adalah di Litar Suzuka, pada bulan November.

     
     
  • Sediakan alat pemadam api dalam kenderaan – Bomba

    Sediakan alat pemadam api dalam kenderaan – Bomba

    Mungkin disebabkan semakin banyak kes-kes kebarakan kenderaan yang berlaku, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Terengganu, Khir Amir Ahmad menyarankan agar pemilik kenderaan menyediakan alat pemadam api di dalam kenderaan mereka pada setiap masa.

    Memetik laporan Bernama, alat berkenaan bahkan sepatutnya menjadi sesuatu yang sangat penting dan wajib ada pada semua kenderaan. “Orang ramai sanggup berbelanja besar untuk membeli aksesori tambahan untuk kenderaan mereka, tetapi tidak sanggup untuk membeli pemadam api yang kosnya sekitar RM60 sahaja untuk setiap kilogram,” ujar beliau.

    “Sekiranya berlaku kebakaran pada kenderaan anda, cara paling mudah dan pantas untuk mengatasinya adalah dengan alat pemadam api (fire extinguisher) sebelum menunggu bantuan Bomba tiba,” jelas beliau lagi di dalam satu acara pencegahan kebakaran sempena Tahun Baru China 2018 di sana.

    Khir turut menyatakan, api pada sesebuah kenderaan akan merebak dengan sangat pantas – iaitu dalam masa lima ke enam saat sahaja – dan sekiranya ada alat berkenaan di dalam kereta, kebakaran dapat dibendung dengan pantas sekaligus mengelakkan kerugian yang lebih besar terhadap pemilik.

     
     
  • Vinfast – jenama automotif dari Vietnam bakal hasilkan model sedan dan SUV rekaan firma Itali, Pininfarina

    Vinfast – jenama automotif dari Vietnam bakal hasilkan model sedan dan SUV rekaan firma Itali, Pininfarina

    Vinfast, pengeluar automotif dari Vietnam telah melantik firma rekaan Pininfarina (popular kerana menghasilkan sebahagian rekaan-rekaan Ferrari) untuk menghasilkan model-model SUV dan sedan nasional pertama negara berkenaan. Keputusan tersebut diambil berdasarkan 20 konsep rekaan yang telah dihantar dari syarikat rekaan tersebut yang memenangi hati sebahagian besar rakyat Vietnam.

    Proses perlantikan Pininfarina ini agak telus setelah Vinfast mendedahkan sendiri rekaan-rekaan berkenaan untuk diundi oleh pelanggan – rekaan mana “yang seiring dengan trend dunia” dan turut menerapkan “citarasa dan permintaan rakyat Vietnam”. Hampir 62,000 orang yang telah mengambil bahagian dalam undian ini, dan rekaan-rekaan SUV serta sedan dari Pininfarina menerima undian terbanyak.

    “Penglibatan terus Pininfarina, salah sebuah jenama rekaan terbesar dunia, dijangka akan membawa kecantikan moden dalam masa yang sama mengekalkan identiti Vietnam untuk dua model pertama kereta Vinfast,” kata Quang Viet Nguyen, naib presiden Vingroup – syarikat peneraju pembangunan hartanah di negara berkenaan.

    Vinfast – jenama automotif dari Vietnam bakal hasilkan model sedan dan SUV rekaan firma Itali, Pininfarina

    Vinfast berharap mereka akan menjadi pengeluar kereta terulung di ASEAN, dengan penghasilan 500,000 buah kenderaan setahun menjelang tahun 2025. Syarikat berkenaan juga menjangkakan mereka akan menghasilkan 100,000 hingga 200,000 kenderaan setahun pada fasa pertama, dengan barisan model termasuk sedan, SUV tujuh-tempat duduk, dan motorsikal elektrik. Vinfast juga mensasarkan untuk melancarkan kereta pertama mereka pada September 2019.

    Bagi mempercepatkan pertumbuhan mereka, Vinfast bercadang untuk membeli blueprint enjin dan sistem mekanikal utama dari pereka-pereka utama Eropah dan Amerika. Vingroup turut melantik James B. DeLuca, bekas naib presiden eksekutif General Motors, sebagai pengurus besarnya. Deluca bakal mengetuai pembinaan, operasi dan juga pembangunan model-model sedan dan SUV jenama dari Vietnam ini.

     
     
  • Parkir terbuka bakal lenyap dalam 20 tahun – laporan

    Parkir terbuka bakal lenyap dalam 20 tahun – laporan

    Mungkin ini suatu perkara yang sedikit mnegejutkan tetapi tidak mustahil ia mungkin bakal terjadi. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, ruang parkir terbuka dijangka akan lenyap dan akan bertukar sebagai kawasan hijau yang menjadi tapak untuk perumahan mikro dan ‘Pocket Park’ atau lebih dikenali sebagai hutan bandar.

    Menurut Pengarah Knowledge Management and Advisory of Urban Wellbeing Centre of Excellence (Urbanice) Malaysia Dr Azmizam Abdul Rashid, rancangan inovasi hijau itu sekali gus akan membuatkan bandar raya ini diliputi kira-kira 30% kawasan hijau pada waktu itu, laporan Bernama.

    “Sebagai usaha merealisasikan hasrat tersebut, kami akan mengenakan caj parkir yang tinggi sebagai langkah menggalakkan warga kota beralih menggunakan kemudahan pengangkutan awam. Dan bagi mengelak ruang parkir itu dibiarkan kosong kelak, pembangunan rumah mikro ini amat bertepatan kerana penduduk Kuala Lumpur dijangka akan meningkat kira-kira 70%, hal ini kerana kita tak nak lot parking ini menjadi kawasan pembangunan bangunan bertingkat,” katanya.

    Sambungnya lagi, pembangunan rumah mikro di parkir lot masih dalam perancangan dan pihak pemaju masih mengenal pasti lokasinya dan kawasan itu mungkin akan tertumpu kepada kawasan parkir yang besar.

    “Selain itu, pihak kami akan bekerjasama dengan DBKL untuk memperluas ‘Pocket Park’ yang diterapkan dengan elemen rangkaian pejalan kaki di sekitar ibu negara agar dapat memberi kesegaran atau menjadi tempat rehat untuk pejalan kaki yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

     
     
  • Mazda dakwa majoriti pemandu Eropah masih suka enjin tradisional dan tidak gemar pemanduan sendiri

    Mazda dakwa majoriti pemandu Eropah masih suka enjin tradisional dan tidak gemar pemanduan sendiri

    Walaupun trend global menunjukkan pengeluar kenderaan kini secara aktif sedang membina kenderaan-kenderaan dengan teknologi janaan elektrik serta teknologi pemanduan sendiri, kita di Malaysia sememangnya mempunyai masyarakat yang masih lagi rela memilih kereta dengan enjin pembakaran dalaman konvensional – rata-rata masih lagi ragu-ragu berkenaan ketahanan teknologi terkini, bimbang akan kos penyelenggaraan dikemudian hari, serta gusar dijadikan sebagai ‘tikus makmal’.

    Namun adakah stigma tersebut hanya berlaku di Malaysia? Bagaimana pula penerimaan masyarakat di negara lain? Menurut satu kajian baharu yang dijalankan oleh Mazda, hampir 60% pemandu di Eropah melihat perkembangan yang positif terhadap enjin petrol dan diesel. Berdasarkan kajian tersebut juga mendedahkan konsumer di benua berkenaan berpendapat bahawa enjin-enjin pembakaran dalaman ini tidak semestinya tiada peranan pada kereta-kereta masa hadapan – pendapat yang sama oleh kebanyakkan organisasi.

    Penyelidikan yang dinamakan sebagai Mazda Driver Project tersebut merupakan projek bersama Ipsos MORI (firma penyelidikan pasaran berpengkalan di UK), dan ia dijalankan antara 7 hingga 22 Septemer tahun lalu. Dengan jumlah undian 11,008 yang diterima dari seluruh Eropah, secara purata 58% dari mereka percaya “banyak lagi inovasi dan penambahbaikkan akan ditampilkan pada enjin petrol dan diesel.” Pendapat ini menerima undian setinggi 65% di Poland dan lebih 60% di Jerman, Sepanyol dan Sweden.

    Sehingga kini, pengeluar-pengeluar kenderaan mula memperlahankan produksi-produksi kereta berkuasa diesel, tetapi pada penyelidikan ini menunjukkan 31% dari pemandu Eropah dan 58% hanya untuk di Poland “berharap kereta diesel akan terus wujud”. Projek ini turut mendedahkan 33% pemandu Eropah “memilih kereta petrol dan diesel” sekiranya kos untuk menggunakan kedua-dua jenis enjin ini adalah sama dengan kereta elektrik – di Itali, 54% bersetuju dengan sentimen ini.

    Untuk teknologi pemanduan sendiri pula, hanya 33% pemandu Eropah “mengalu-alukan kedatangan kereta dengan sistem pemanduan automatik” – jumlah tersebut jatuh hingga 25% di Perancis dan Belanda. Apa yang lebih mengejutkan, hasil kajian ini menunjukkan tiada langsung bukti sokongan yang kuat untuk teknologi pemanduan sendiri dari kumpulan umur lebih muda di seluruh Eropah.

    Dengan hasil input yang didapati dari kajian yang dilakukan ini, Mazda akan meneruskan visi Sustainable Zoom-Zoom 2030 yang bakal menggabungkan enjin pembakaran dalaman terbaik bersama teknologi elektrik. Visi ini akan melibatkan penggunaan enjin SkyActiv-X iaitu enjin petrol komersial pertama di dunia yang menggunakan mampatan untuk menghasilkan pembakaran. Bagaimana ia berfungsi? Baca artikel khas enjin tersebut DI SINI.

    Mazda dakwa majoriti pemandu Eropah masih suka enjin tradisional dan tidak gemar pemanduan sendiri

    Mazda juga percaya bahawa kemahiran memandu merupakan sesuatu yang ingin disimpan oleh kebanyakkan orang. Memandu adalah sesuatu yang seronok serta bermanfaat, dan menurut jenama berkenaan, masih lagi ramai orang yang mahukan kemahiran ini kekal untuk generasi akan datang.

    Kajian ini juga menunjukkan bahawa hubungan emosi antara pemandu dan kereta adalah signifikan – secara purata dari 69% pemandu “berharap generasi akan datang akan terus mempunyai pilihan untuk memandu kereta.” Angka ini meningkat kepada 74% di Poland dan 70% atau lebih tinggi di UK, Jerman, Perancis dan Sweden.

    Walaupun kereta dengan teknologi pemanduan sendiri bukanlah sesuatu yang mendapat permintaan tinggi dari pengguna, Mazda akan terus membangunkan sistem konsep pemanduan sendiri yang digelar Mzda Co-Pilot. Sistem tersebut menampilkan ciri-ciri keselamatan termaju bagi memberikan ketenangan minda kepada pemandu.

     
     
  • Subaru Viziv Tourer Concept – diprebiu sebagai wagon

    Subaru Viziv Tourer Concept – diprebiu sebagai wagon

    Sejak beberapa tahun ini, Subaru makin agresif memperkenalkan model konsepnya di kebanyakan pertunujkan automotif besar. Bulan hadapan bakal berlangsungnya Geneva Motor Show, Subaru juga tidak ketinggalan untuk memprebiu Subaru Viziv Tourer Concept, dan sebelum itu imej rasminya telah pun ditunjukkan di sini.

    Selalunya nama bagi model konsep Subaru Viziv ini memberikan bayangan bagi jenis kereta yang bakal dipertontonkan. Bagi Viziv Performance Concept, ia adalah asas penggayaan bagi model akan datang WRX, sementara Viziv-7 Concept yang dipertontonkan pada 2016 pula mirip dengan Subaru Ascent SUV yang diperkenalkan pada tahun selepasnya.

    Ada ‘Tourer’ pada nama Viziv Tourer Concept, dan imej yang ditunjukkan ini memungkinkan ia wagon, jadi secara tidak langsung ia memberikan gambaran awal bagi Subaru Levorg generasi akan datang. Walau bagaimana pun, perincian mengenai model konsep tersebut masih belum didedahkan. Jadi kenalah nantikan perkembangan selanjutnya dari Subaru.

    GALERI: Subaru Levorg 1.6 GT-S

     
     
  • Zulfahmi Khairuddin sedia beri cabaran dalam Moto2

    Zulfahmi Khairuddin sedia beri cabaran dalam Moto2

    Seperti yang diumum sebelum ini, pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin akan berlumba dalam kategori Moto2 tahun ini, mengisi tempat yang telah dikosongkan oleh Hafizh Syahrin. Walaupun ini adalah kali pertama Zulfahmi akan menggunakan jentera Kalex Moto2, selepas ujian di Valencia, beliau kini sudah bersedia.

    Walapun sesi di Valencia dipendekkan kerana cuaca buruk, Zulfahmi sekura-kurangnya masih dapat merasa motosikal tersebut secara keseluruhannya selama 70 minit, dan minggu ini, satu lagi ujian akan dilakukan di Litar Antarabangsa Sepang.

    “Ujian pertama sudah selesai, dan kami berjaya melakukan pelarasan motosikal untuk Zulfahmi. Dia juga gembira dengan posisi serta cara motosikal ini, jadi ia adalah sesuatu yang baik. Kami ada banyak lagi tugas; dia perlu berusaha lebih keras; kamu pula perlu menyesuaikan diri dengan cara beliau,” kata pengurus pasukan Johan Stigefelt.

    “Tanggapan pertama saya tentang jentera Moto2 ini adalah ia sangat ringan dan mempunyai kuasa enjin yang bagus. Perkara paling sukar pula adalah untuk menyesuaikan diri dengan tayar; kami sedang melaras engine braking supaya dapat rasa selesa apabila membrek kuat dan masuk ke selekoh dengan rasa yang bagus,” kata Zulfahmi.

     
     
  • VIDEO: Volvo tunjukkan teaser bagi wagon V60 2019

    Dalam satu video yang mula beredar diinternet semalam, Volvo menampilkan teaser pertama bagi model terbaru yang dijangka akan diperkenalkan minggu hadapan – wagon V60 2019. Melalui sebuah video yang dinamakan “Designed For Generations” itu, Volvo antara lain menyorot kembali sejarah kenderaan jenis wagon yang pernah dihasilkan oleh jenama itu sejak dulu, bermula dari model ikonik P1800 ES.

    Model berkenaan, yang sebelum ini pernah dilihat sedang diuji dan menggunakan pelekat samaran, dijangka akan diperkenalkan secara rasmi buat pertama kali kepada dunia pada 21 Februari ini. Wagon ini, yang hadir selepas pengenalan model-model lain seperti XC90, XC60 serta wagon V90 yang lebih besar akan mewarisi pendekatan rekaan yang sama, di dalam pakej kenderaan yang bersaiz lebih kecil.

    Selain daripada panel badan dan sebahagian profil tepi kenderaan yang boleh dilihat, rekaan bagi gril terbaru juga ditampilkan dengan agak jelas. Tidak ketinggalan juga sedikit gambaran terhadap rekaan dalam ruang kabinnya – bahagian papan pemuka serta kemasan kulit hitam dengan perincian warna beige antara yang digunakan.

    Volvo V60 ini kemungkinan besar akan menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) oleh Volvo, yang sebelum ini turut digunakan pada model XC60 dan model siri 90 yang lain. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang model yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini, ikuti perkembangannya bersama kami.

     
     
  • Diskaun tol 10% di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena Tahun Baharu Cina

    Diskaun tol 10% di  Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena Tahun Baharu Cina

    Bagi yang merancang mahu bercuti ke Pulau Pinang atau pun memang kampung halaman di sana, sempena dengan Tahun Baharu Cina, diskaun sebanyak 10% akan diberikan kepada sesiapa yang melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).

    Menurut Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), kadar diskaun itu bermula dari pukul 12.01 tengah malam pada 16 Februari hingga pukul 11.59 malam pada 17 Februari di Plaza Tol JSAHMS dan plaza B di Plaza Tol Bandar Cassia.

    Pemberian diskaun itu merupakan sebahagian initiatif berterusan tanggungjawab sosial korporat JKSB dan juga untuk menghargai sokongan pengguna JSAHMS sejak ia mula dibuka sehingga sekarang. JKSB turut menjangka sebanyak 20,000 hingga 25,000 kenderaan akan menggunakan JSAHMS sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti hujung minggu yang panjang itu.

     
     
  • Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki akan berlumba dalam Moto3 dengan pasukan Petronas Sprinta Racing

    Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki akan berlumba dalam Moto3 dengan pasukan Petronas Sprinta Racing

    SIC Racing Team dengan rasmi mengumumkan kerjasama baru dengan Petronas Sprinta sebagai penaja nama pasukan lumba Moto3 dan ia telah dipersetujui untuk selama tiga tahun. Pasukan baru ini dinamakan sebagai Petronas Sprinta Racing dan akan menggunakan khidmat Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki sebagai pelumba.

    Menurut pengurus pasukan lumba tersebut, Johan Stigefelt, beliau berasa senang hati dengan pengumuman ini, dan ia memberi makna yang besar kerana Petronas adalah satu jenama yang besar dan bernilai tinggi, dan mempunyai pencapaian yang tinggi dalam Formula One.

    “Ini adalah musim ketiga saya dalam kejuaraan Moto3 dan tahun ini adalah tahun yang sangat penting bagi saya. Saya mahu menjadi pelumba yang terbaik seboleh mungkin. Saya mempunyai lebih keyakinan dan pengalaman sekarang, jadi saya rasa bersedia untuk memberi segala yang saya ada,” kata Adam.

    Sasaki yang memasuki tahun kedua dalam Moto3 tahun ini turut menyatakan perkara sama, dan beliau rasa gembira dan teruja dengan kerjasama baru bersama Petronas Sprinta Racing ini. Walaupun masih baru, beliau memberitahu akan cuba sedaya upaya untuk berada di kelompok hadapan.

     
     
  • Panjangkan tempoh peralihan 3S/4S Proton, kerajaan juga perlu pertimbang beri pinjaman mudah – Pekema

    Panjangkan tempoh peralihan 3S/4S Proton, kerajaan juga perlu pertimbang beri pinjaman mudah – Pekema

    Susulan daripada perkembangan semasa berkaitan isu pengedar Bumiputera Proton dan naik taraf kepada pusat 3S/4S, Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menyatakan ada dua perkara yang akan dibangkit pihaknya selepas ini.

    Dalam satu sidang media yang diadakan siang tadi (yang turut dihadiri oleh wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa), Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman memaklumkan dua perkara itu adalah kelonggaran untuk dilanjutkan tempoh naik taraf pengedarnya kepada pusat 3S/4S dan kedua, meminta kerajaan untuk menyediakan pinjaman mudah dari tabung dana automotif yang dikutip dari ahli-ahli Pekema (sebanyak RM10,000 bagi setiap AP) sejak sebelum ini lagi untuk tujuan naik taraf itu.

    Bagi tempoh naik taraf, Pekema menyatakan ahli-ahlinya dimaklumkan perlu berbuat demikian sebelum Oktober tahun ini, dan untuk itu, mereka ingin meminta dipanjangkan tempoh berkenaan hingga bulan Disember tahun 2020. Pekema mendakwa, notis naik taraf dan segala perubahan yang perlu dilakukan itu terlalu singkat dan pihak Proton tidak berbincang terlebih dahulu dengan pengedar-pengedarnya yang lain – termasuklah segelintir yang turut menjadi ahli Pekema, yang kemudiannya membangkitkan isu ini.

    Panjangkan tempoh peralihan 3S/4S Proton, kerajaan juga perlu pertimbang beri pinjaman mudah – Pekema

    Tetapi, dalam jawapan balas Proton semalam, tempoh naik taraf itu paling akhir memang telah dinyatakan pada tahun 2020 bagi semua pusat 1S beralih kepada pusat 3S/4S. Jangka waktu sehingga Oktober 2018 itu diberikan adalah bagi mereka yang mampu berbuat demikian, sekaligus akan diberi keutamaan untuk menjual model SUV terbaru Boyue.

    Jika ada pengedar yang tidak mampu, itu tidak menjadi masalah, cuma mereka tidak boleh menjual model Boyue yang akan dijadikan model flagship Proton selepas ini (bermula dari aspek produk sehinggalah pengalaman keseluruhan pelanggan, yang menjadi matlamat baru Proton).

    Berkaitan tabung dana automotif pula, Zainuddin mendakwa, dana terkumpul setakat ini sudah mencecah RM3 bilion, hasil kutipan sebanyak RM10,000 bagi setiap AP dari ahli-ahli Pekema setakat ini. “Daripada jumlah berkenaan, 40% memang telah diperuntukkan untuk kegunaan Pekema. Jadi kami minta agar kerajaan mempertimbangkan untuk kami gunakan dana itu bagi tujuan naik taraf ini,” ujar beliau.

    Panjangkan tempoh peralihan 3S/4S Proton, kerajaan juga perlu pertimbang beri pinjaman mudah – Pekema

    Esok, pengedar-pengedar Proton sedia ada dijangka akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada jam 3 petang untuk membincangkan perkara ini serta hal-hal berkaitan yang lain. Sementara itu, menurut Zainuddin sendiri, pihak Pekema juga akan mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar minggu hadapan.

    Melihat kepada perkembangan hal ini, dan kelantangan Pekema menyuarakan tuntutan mereka, pasti ada yang tertanya-tanya berapakan jumlah sebenar ahli-ahli Pekema yang juga merupakan pengedar Proton? Angka yang diperoleh daripada Zainuddin sendiri adalah seperti berikut; keseluruhannya, ada 25 syarikat ahli Pekema yang menjadi pengedar Proton, dan 11 daripadanya masih lagi pada tahap pusat 1S.

    Berapa pula jumlah keseluruhan pengedar Proton di negara ini? Anggarannya ialah sekitar 400 pengedar. Dan, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton semalam, keseluruhan pengedarnya yang masih beroperasi sebagai pusat 1S menjangkau 70% daripada jumlah berkenaan. Anda rasa, jika anda berada di dalam kedudukan Proton sekarang ini, suara atau kepentingan kelompok mana yang harus dilayan dahulu?

     
     
  • Harga bahan api 15-22 Feb 2018 – semua turun

    Harga bahan api 15-22 Feb 2018 – semua turun

    Setelah dua minggu naik, harga bahan api untuk seminggu berikut nampaknya menyaksikan penurunan berbanding minggu sebelum itu. Bermula tengah malam ini hingga 22 Februari 2018, petrol RON 95 turun 10 sen, RON 97 turun 11 sen dan diesel pula turun 12 sen.

    Oleh itu, petrol RON 95 akan dijual pada harga RM2.23 seliter dan RON 97 pula 2.50 seliter. Manakala untuk diesel pula Euro 2M akan dijual pada harga RM2.19 seliter dan gred Euro 5 yang lebih tinggi dijual pada harga RM2.29 seliter.

    Minggu lalu, RON 95 dijual pada harga RM2.33 seliter manakala RON 97 berharga RM2.61 (naik 2 dan 3 sen seliter dari minggu sebelumnya). Minggu yang sama juga, bahan bakar diesel Euro 2M dijual pada harga RM2.31 seliter dan Euro 5 pula RM2.41 seliter – kedua-duanya turun 2 sen berbanding minggu sebelum itu.

     
     
  • Toyota Yaris facelift dilancarkan di Indonesia 20 Feb ini

    Toyota akan melancarkan Yaris facelift di Indonesia pada minggu hadapan, dengan majlis pelancarannya dijangka berlangsung di Jakarta pada 20 Februari ini. Menurut laporan Kompas, hatchback yang menerima peningkatan ini diproduksi dari Toyota Motor Manufacturing Indonesia yang terletak di Karawang sejak Januari, dengan penghantaran kepada para pengedar sedang rancak berjalan.

    Spyshot bagi Yaris facelift spesifikasi Indonesia ini menunjukkan bahagian hadapan dan belakangnya yang lebih kurang sama dengan Yaris facelift pasaran Thailand, yang telah dilancarkan terlebih dahulu iaitu pada September 2017.

    Di Thailand, Yaris dan Yaris Ativ sedan merupakan kereta eko Thai yang ditawarkan dengan enjin 1.2 liter dan harga yang rendah. Walau bagaimana pun tiada pematuhan sebegitu di Indonesia, maka Yaris akan diposisikan lebih tinggi berbanding Daihatsu Ayla dan Toyota Agya, dengan enjin 1.0L dan 1.2L.

    Di Indonesia, Toyota Yaris turut akan ditawarkan dengan pilihan premium bersama enjin 1.5 liter. Iaitu sama dengan unit 2NR seperti pada Perodua Myvi dan Toyota Vios, dengan DOHC dan Dual VVT-i.

    Daihatsu Sirion baharu – model CBU rebadged Myvi dari Malaysia – telah dilancarkan semalam dengan enjin 1.3L dan gandingan antara kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    Sirion baharu ditawarkan dari Rp 182.5 juta (RM52,655) hingga Rp 193.5 juta (RM55,819), jadi sudah pasti Yaris akan diletakkan harga yang sedikit mahal darinya. Apa pendapat anda mengenai Yaris facelift berbanding Myvi baharu?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025