Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Plaza tol Batu Tiga, Sungai Rasau dijangka akan siap dirobohkan menjelang hujung Mac ini – PLUS

    Plaza tol Batu Tiga, Sungai Rasau dijangka akan siap dirobohkan menjelang hujung Mac ini – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan semua kerja-kerja perobohan struktur bangunan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau akan selesai pada Mac ini.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, “Proses melantik kontraktor-kontraktor yang berkelayakan telah bermula sejak Disember lalu dan pada ketika ini, PLUS sedang memuktamadkan pemilihan kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja perobohan tersebut.”

    “Setelah dilantik, kontraktor tersebut akan memulakan kerja-kerja merobohkan struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau selepas perayaan Tahun Baharu Cina. Berdasarkan jadual, semua kerja-kerja perobohan dijangka akan selesai pada penghujung Mac akan datang.”

    Ini berikutan semua kerja-kerja tersebut perlu dilakukan secara berperingkat memandangkan ia dilaksanakan di dalam persekitaran lalulintas yang sentiasa bergerak. Justeru, PLUS tidak berkompromi terhadap aspek keselamatan ketika kerja-kerja tersebut dijalankan.

    Jelas Azman, kerja-kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta aset-aset lain akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja perobohan struktur fizikal bermula.

    Sehubungan dengan itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melalui kedua-dua plaza tol berkenaan pada ketika ini dan mengurangkan kelajuan kenderaan ketika menghampiri bangunan plaza.

     
     
  • Datsun Cross tujuh-tempat duduk diperkenalkan di Indonesia – enjin 1.2L , VDC, harga bermula RM51k

    Datsun Cross tujuh-tempat duduk diperkenalkan di Indonesia – enjin 1.2L , VDC, harga bermula RM51k

    Datsun Cross – crossover tujuh-tempat duduk baharu yang menjadi model kompak ketiga bagi jenama ini yang akan berada di pasaran Indonesia, selepas GO hatchback dan GO+ MPV. Cross dipertontonkan buat pertamanya sebagai model konsep GO-Cross di Tokyo Motor Show 2015.

    Rekaan Cross masih dikekalkan seperti mana gaya model konsep, termasuklah lampu kabus yang menyerlah, terletak di bawah lampu utama projektor “mata helang” dengan lampu nyalaan siang LED. Selain itu, ia turut menampilkan gril berbentuk haksagon, kekemasan perak pada bahagian bawah bampar, pelindung bahagian bawah badan dan pelekap pelindungan badan.

    Ia turut dilengkapi dengan roda aloi 15-inci dengan tayar yang disifatkan Datsun sebagai “pembuatan istimewa dari sebatian getah untuk prestasi dan ekonomi yang lebih baik.” Rel bumbung krom juga hadir sebagai elemen standard dan ia boleh menampung berat sehingga 30 kg.

    Datsun Cross tujuh-tempat duduk diperkenalkan di Indonesia – enjin 1.2L , VDC, harga bermula RM51k

    Warna luaran bagi Cross ini hadir dengan tujuh tona termasuk dua warna metalik – amber dan tembaga. Lain-lain warna termasuklah dua tona solid – putih dan hitam 0 dan tiga tona metalik tradisional – kelabu, merah dan perak.

    Bagi dimensinya pula, Cross berukuran 3,995 mm panjang, 1,670 mm lebar, 1,560 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,450 mm. Ia memiliki jarak kelegaan tanah pada 200 mm, dengan jejari pusingan sehingga 4.6 meter.

    Warna hitam menjadi bentangan utama di dalam kabinnya, ia juga menampilkan tempat duduk balutan fabrik dan mampu memuatkan kapasiti tujuh penumpang. Bentangan papan pemukanya agak ringkas, termasuk menampilkan roda stereng tiga-jejari, kluster instrumen analog, sistem pendingin hawa manual dan sistem infotainmen skrin sesentuh 6.75-inci.

    Datsun Cross tujuh-tempat duduk diperkenalkan di Indonesia – enjin 1.2L , VDC, harga bermula RM51k

    Datsun mendakwa Cross adalah satu-satunya kenderaan di dalam kelasnya yang dilengkapi dengan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) secara standard untuk semua varian. Di bawah sistem VDC, terdapat ABS, EBD dengan bantuan bek, kawalan cengkaman dan brake-limited slip differential (B-LSD). Elemen keselamatan lain yang turut ditawarkan termasuklah dua beg udara di hadapan, lampu amaran pemakaian tali pinggang keledar dan lampu utama automatik.

    Seperti yang dijangka, Datsun Cross merupakan Indonesian Low Cost Green Car (LCGC), yang ditampilkan dengan enjin HR12DE 1.2 liter dengan janaan kuasa 68 atau 78 hp, bersama tork 104 Nm. Selain pilihan transmisi manual lima-kelajuan, ia juga ditawarkan dengan X-Tronic CVT.

    Cross bakal diproduksi di kilang Nissan/Datsun di Purwakarta, Jawa Barat, dengan penghantaran pertamanya dijangka bermula Mac ini. Perincian penuh dan varian yang ditawarkan akan dimaklumkan nanti, tetapi ia telah dibuka tempahan dengan harga bermula 163 juta rupiah (RM51,318).

     
     
  • Perodua buka pusat 3S baharu di Sungai Buloh

    Perodua buka pusat 3S baharu di Sungai Buloh

    Perodua telah membuka pusat 3S terbaharunya dan kali ini memilih Saujana Utama, Sungai Buloh, sebagai lokasinya. Pusat ini menyediakan keperluan jualan, perkhidmatan dan alat ganti kepada para pelanggan dan penduduk sekitarnya.

    Ia dimiliki dan dikendalikan oleh wakil jualan sah, Yusmanida Auto Sdn Bhd, terletak di kawasan seluas 45,000 kaki persegi, dikendalikan oleh sejumlah 65 pekerja termasuk 30 penasihat jualan dan 12 penasihat servis.

    Cawangan tersebut dibuka secara rasmi petang semalam oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Haji Ahmad Maslan. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Dato’ Madani Sahari, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Dato’ Haji Amiruddin Setro dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

    Perodua buka pusat 3S baharu di Sungai Buloh

    “Yusmanida Auto telah menjadi wakil jualan sah Perodua sejak 2003 yang mana sebelum ini ianya mengendalikan cawangan jualan yang terletak di Jalan Meru, Klang,” kata Perodua Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Pengarah Urusan Yusmanida Auto Sdn Bhd, Sarizal Yusman Yusoff berkata, pembinaan cawangan ini bermula pada Ogos 2016 dan ianya siap pada April 2017 seterusnya mula beroperasi pada September 2017.

    “Kami amat gembira dan berbangga kerana dapat bekerjasama dengan pengeluar kereta paling laris negara.Kami berharap dengan meluaskan skop perniagaan kami dengan memasukkan servis dan alat ganti di lokasi baru ini, kami dapat menawarkan Pengalaman Perodua (Perodua Experience) yang terbaik kepada para pelanggan kami, selari dengan inisiatif Transformasi 2.0 Perodua” kata Sarizal.

    Sambungnya lagi, “Keselesaan, kemudahan dan kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami. Pusat servis kami mampu menyelenggara enam buah kereta pada satu-satu masa dan ini meminimumkan tempoh menunggu. Para pelanggan boleh beristirehat di kawasan menunggu yang luas dan menarik yang mana terdapat tiga buah TV set, sebuah perpustakaan mini, tempat permainan kanak-kanak, mesin layan diri dan kemudahan membuat minuman.”

    Pusat 3S Perodua baharu Yusmanida Auto terletak di Wisma Yusmanida, Lot 28808, Persiaran E1/1, Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh.

    Perodua kini mempunyai 186 cawangan jualan dan 183 cawangan servis serta 24 cawangan ‘Body & Paint’ di seluruh Malaysia.

     
     
  • Perodua Myvi terima 36,000 unit tempahan setakat ini

    Perodua Myvi terima 36,000 unit tempahan setakat ini

    Sejak dibuka untuk tempahan pada November tahun lalu, Perodua Myvi generasi ketiga telah menerima sejumlah 36,000 unit tempahan setakat ini. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 11,000 unit sudah diserahkan kepada pelanggan.

    Dalam tempoh hanya beberapa minggu sahaja, angka yang dinyatakan ini menyaksikan pertambahan sebanyak 8,000 unit berbanding ketika membuat pengumuman yang sama awal Januari lalu.

    Bagaimanapun, nisbah pelanggan yang memilih antara model 1.5 liter dan 1.3 liter masih kekal seperti yang diumumkan sebelum ini, iaitu 85% berbanding 15% masing-masing. Perancangan awal Perodua mensasarkan nisbah berkenaan pada pecahan 55% berbanding 45%.

    “Kami sedang melakukan yang terbaik untuk memenuhi permintaan berkenaan, yang sebenarnya melangkaui jangkaan awal kami,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

    “Perodua Manufacturing Sdn Bhd (PMSB) kini sedang bekerja lebih masa untuk memastikan serahan kepada pelanggan dapat dilakukan dalam tempoh waktu yang munasabah,” jelas beliau, sambil menambah Perodua akan memberi tumpuan untuk memaksimumkan potensi jualan semua model kenderaan syarikat itu untuk mencapai sasaran 209,000 unit jualan tahun ini.

    Perodua berkongsi perkara ini dalam satu sidang media berkaitan prestasi keseluruhan syarikat sepanjang tahun 2017 serta sasaran dan jangkaan bagi tahun ini.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018

     
     
  • UMW Toyota mula penghantaran Toyota Harrier 2018

    UMW Toyota mula penghantaran Toyota Harrier 2018

    UMW Toyota Motor telah mengumumkan perhantaran unit pertama Toyota Harrier 2018 kepada pelanggannya telah pun bermula, selepas ia dipertontonkan buat pertama kali pada November tahun lalu. Di Malaysia, Harrier ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.0T Premium pada harga RM238,000 dan 2.0T Luxury yang berharga RM259,900 (harga atas jalan tanpa insurans).

    “Kami berbesar hati dengan sambutan yang menggalakkan terhadap pengenalan Toyota Harrier baharu ini di Malaysia. Oleh kerana generasi awalnya hanya untuk pasaran domestik Jepun, jadi kami tidak dapat menjualnya secara rasmi. Walau bagaimana pun, Toyota Motor Corporation telah memutuskan untuk menawarkan pasaran di luar Jepun dan kita menjadi negara pertama yang menjualnya secara rasmi,” ujar Ravindran Kurusamy, presiden UMW Toyota Motor.

    Kedua-dua varian Harrier dilengkapi enjin 8AR-FTS 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 231 PS dan tork 350 Nm. Semua kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Toyota mendakwa penggunaan bahan apinya sekitar 13 km per liter berdasarkan kitaran Japanese JC08, dan ia juga memiliki peredam “prestasi” yang mampu mengurangkan olengan dan menambah kestabilan ketika dipandu laju.

    Untuk varian pasaran tempatan, ia turut ditampilkan dengan lampu utama LED projektor berkembar, lampu kabus LED, roda aloi dwi-tona 18-inci dengan rekaan turbin lima-jejari, upholstery kulit Nappa, tailgate berkuasa dengan larasan ketinggian, bumbung matahari panoramik dan pengaliran, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori.

    Bagi elemen keselamatannya pula, ia dilengkapi tujuh beg udara, VSC dengan Toyota Safety Sense termasuk Sistem Pra-Pelanggaran (brek kecemasan sendiri), kawalan kelajuan aktif dan lampu tinggi automatik. Untuk mengetahui perincian dan spesifikasi penuh Toyota Harrier, sila layari Carbase.my

     
     
  • Terengganu jadi negeri pertama guna myBAS elektrik

    Terengganu jadi negeri pertama guna myBAS elektrik

    Perkhidmatan myBAS menerusi skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) telah pun beroperasi di beberapa lokasi, termasuk di Kangar, Ipoh dan Seremban. Ia bertujuan untuk menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar dengan lebih efisyen melalui jadual masa yang telah ditetapkan agar dapat membantu penduduk setempat supaya lebih mudah berulang-alik ke tempat kerja, sekolah dan pelbagai lokasi lain.

    Walau bagaimana pun, mulai semalam Terengganu telah menjadi negeri pertama di Malaysia menggunakan perkhidmatan myBAS pacuan elektrik. Operasi bas di Kuala Terengganu itu dijangka bermula April, merangkumi tujuh laluan utama dan satu laluan pengantara dengan jumlah keseluruhan jarak 235.9 kilometer.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, langkah ini seiring dengan komitmen Malaysia untuk menurunkan kadar pelepasan karbon ke alam sekitar hingga 45 peratus pada 2030, dengan inisiatif penggunaan kenderaan cekap tenaga, laporan Bernama.

    Sewaktu ditemui dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kontrak Pengendali Perkhidmatan dan Pra-Pelancaran myBas Kuala Terengganu antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan MARA Liner Sdn Bhd, Nancy turut menjelaskan program myBAS Kuala Terengganu melibatkan keseluruhan 30 bas, namun sebagai permulaan sebanyak 11 bas akan disediakan termasuk empat bas elektrik.

    “Atas inisiatif kerajaan, rakyat Terengganu bukan sahaja dapat menikmati kadar tambang yang berpatutan iaitu serendah 90 sen hingga RM2.50, malah pada masa sama turut menikmati perkhidmatan bas selesa, bercirikan moden serta mesra alam. Diskaun sebanyak 50% juga diberikan kepada pelajar sekolah, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas,” katanya.

    Pada Oktober lalu, syarikat Go Auto mengumumkan turut merancang untuk membekalkan bas elektrik kepada kerajaan negeri Melaka, walau bagaimana pun ia masih belum ada perkembangan mengenainya. Manakala mulai suku kedua 2018, lima buah bas elektrik akan beroperasi di sekitar Putrajaya. Ia dikendalikan oleh Gets Global.

    Walau bagaimana pun, Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam terlebih dahulu melancarkan perkhidmatan dua bas elektrik yang telah pun beroperasi di sekitar Shah Alam sejak April tahun lalu.

    Sebelum ini, pada pertengahan tahun 2016, Elektrik Bas Inovasi Malaysia (EBIM) telah diuar-uarkan akan mula beroperasi pada 2017. Bas elektrik pertama ciptaan 30 jurutera universiti tempatan ini mampu menjimatkan kos operasi pengusaha bas di negara ini antara 60% hingga 70% iaitu penjimatan lebih RM300 juta setahun berbanding penggunaan tenaga diesel. Namun sehingga kini, perkembangannya juga masih kurang jelas.

     
     
  • Industri automotif dijangka berkembang pada 2018 – EEV akan meningkat 60%, lebih peluang pekerjaan

    Industri automotif dijangka berkembang pada 2018 – EEV akan meningkat 60%, lebih peluang pekerjaan

    Selain dari membentangkan laporan prestasi industri automotif Malaysia untuk tahun 2017 hari ini, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (MITI) turut membayangkan situasi sektor berkenaan untuk tahun 2018.

    Bagi tahun 2018, pertumbuhan akan dijangka pada semua cabang. Jumlah produksi keseluruhan (TPV) dijangka akan meningkat sekitar 4% kepada 530,000 hingga 535,000 unit, manakala jumlah industri keseluruhan (TIV) pula diramalkan berada pada sekitar 586,000-591,000 unit, secara efektifnya meningkat 2% dari 2017.

    Untuk jumlah kenderaan baharu yang diiktiraf sebagai cekap tenaga (EEV) pula, ia turut dijangka akan meningkat pada tahun 2018. Tahun lalu, sejumlah 52% model baharu dari pasaran diiktiraf sebagai EEV, manakala angka berkenaan dijangka akan meningkat kepada 60% untuk tahun ini, dengan produksi yang akan meningkat sekitar 350,000 unit berbanding 308,807 pada 2017.

    Industri automotif dijangka berkembang pada 2018 – EEV akan meningkat 60%, lebih peluang pekerjaan

    Menterinya, Dato Seri Mustapa Mohamed menyatakan, kerajaan menjangkakan prestasi yang lebih tinggi akan dapat dicapai pada 2018, terutamanya dengan mengambil kira tren global dalam sektor tersebut, termasuk pertumbuhan dalam penghasilan kereta elektrik dan hibrid.

    Satu lagi pengilang pemasangan kenderaan akan beroperasi di Malaysia untuk tahun 2018, menjadikan jumlah keseluruhan 28 pengeluar automotif kini bertapak dalam negara. Manakala untuk pengeluar komponen dan alat ganti (vendor) pula akan bertambah sebanyak sembilan buah lagi

    Oleh itu, peluang pekerjaan untuk sektor automotif di Malaysia juga dijangka akan bertambah. MITI menganggarkan sebanyak 29,000 lagi peluang pekerjaan akan wujud dalam industri tahun ini, dan ia akan menjadikan keseluruhan lebih dari 755,000 orang akan memacu sektor automotif tempatan.

    Kerajaan mensasarkan sejumlah RM12.5 bilion akan dijana menerusi alat ganti dan komponen yang dihasilkan di Malaysia dan kemudian dieksport ke luar, atau setengah bilion lebih tinggi dari sasaran yang ditetapkan pada 2017. Begitu juga dengan alat ganti yang dikilangkan semula (recond), eksportnya turut dijangka naik sehingga RM800 juta tahun ini (RM516.4 juta dicatatkan pada 2017).

    Industri automotif dijangka berkembang pada 2018 – EEV akan meningkat 60%, lebih peluang pekerjaan

    MITI juga mensasarkan kenderaan-kenderaan yang dipasang di Malaysia untuk dieksport ke luar negara akan meningkat sebanyak 34,000 unit. Untuk sektor ini sebenarnya, Datuk Seri Mustapa Mohamad menyatakan “kekecewaan” kerana tahun lalu (sehingga November 2017) hanya 18,887 unit kenderaan yang dapat dieksport keluar, dengan nilai sekitar RM1 bilion.

    “Eksport kenderaan CBU agak mengecewakan, tetapi eksport alat ganti dan komponen telah menunjukkan kemajuan yang bagus, jadi bermula NAP 2018 lebih fokus akan diberikan pada eksport untuk alat ganti dan komponen,” kata menteri berkenaan.

    Rancangan kerajaan untuk industri automotif dijangka akan diperincikan lagi ketika pembentangan pelan baharu Dasar Automotif Negara 2018 yang akan diumumkan pada pertengahan tahun ini.

     
     
  • BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

    BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

    Kurang daripada setahun model G30 BMW 5 Series tiba di pasaran Malaysia, kali ini giliran versi plug-in hybrid – BMW 530e iPerformance pula dilancarkan di sini.

    Hanya ditawarkan dengan varian tunggal Sport Line, 530e berharga RM338,888 atas jalan tanpa insurans. Ternyata ia adalah RM50,000 lebih murah berbanding 530i (RM389k), yang turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa terhad serta penyelenggaran berjadual percuma lima-tahun dan waranti dua-tahun bagi tayar.

    530e ini dijanakan oleh enjin B48 2.0 liter petrol pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 184 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 290 Nm dari 1,350 hingga 4,250 rpm. Ia dipadankan dengan motor elektrik 113 hp/250 Nm yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 252 hp dan tork 420 Nm – hampir menyamai kuasa 530i tetapi dengan dan peningkatan tork sebanyak 70 Nm berbanding varian petrol tersebut.

    BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

    Motor elektrik ini juga disambungkan ke transmisi automatik lapan-kelajuan ZF, yang membolehkan nisbah digunakan dalam mod semua-elektrik dan mengetepikan keperluan penukar tork. Ini membantu mengimbangi berat tambahan yang dibawa oleh motor dan bateri.

    Ini bermakna 530e berkeupayaan dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.2 saat (hampir sama dengan 530i) sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 235 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi mengikut kitaran European NEDC pula dianggarkan sekitar 2.0 liter bagi setiap 100 km, dengan emisi karbon dioksida pada 46 gram per kilometer.

    Di bawah tempat duduk belakang terletaknya bateri lithium-ion 9.2 kWh, yang membolehkan 530e dipacu dengan mod elektrik pada kelajuan sehingga 140 km/j, dengan pacuan semua elektrik secara keseluruhan 48 km- lebih 13 km berbanding model yang lebih kecil 330e. BMW berkata, pengecasan bateri mengambil masa di bawah lima jam dengan penggunaan soket domestik, atau kurang dari tiga jam jika menggunakan BMW i Wallbox 3.7 kW.

    BMW 530e iPerformance plug-in hybrid dilancarkan di Malaysia – 252 hp, 0-100 km/j dalam 6.2 saat, RM344k

    Bagi kit standard, apa yang disenaraikan untuk 530e adalah kurang berbanding 530i. Selain tidak didatangkan dengan pakej luaran M Sport, ia juga tidak ditampilkan lampu utama LED adaptif (lampu utama LED sepenuhnya masih kekal), bumbung matahari, Display Key, Head-up Display, Gesture Control dan sistem bunyi Harmon Kardon dan 16-pembesar suara, 600 watt. Malahan kawalan kelajuan adaptif yang juga digugurkan dari model pemasangan tempatan 530i turut tiada pada 530e ini.

    Namun begitu, elemen lain yang masih dikekalkan, termasuklah lampu kabus LED, roda aloi 19-inci (dengan rekaan pelbagai-jejari yang berbeza), kekemasan luaran aluminium satin BMW Individual, kemasukan tanpa kunci Comfort Access, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa bersama fungsi memori bagi tempat duduk pemandu, kawalan suhu automatik empat-zon, bumbung matahari berkaca, tirai matahari untuk tingkap sisi belakang (manual) dan cermin belakang (elektrik) dan pencahayaan ambien 11-warna. Elemen eksklusif bagi 530e ini hanyalah roda stereng balutan kulit BMW Sport dan sistem pembesar suara HiFi (dengan 12-pembesar suara).

    Selain itu, ia turut mengekalkan tailgate berkuasa bebas-tangan dan Dynamic Damper Control dengan Adaptive Mode. Bukan itu sahaja, sistem navigasi Professional boleh dipertingkatkan dengan skrin sesentuh 10.25-inci dan kawalan isyarat, bersama dengan paparan instrumen pelbagai-fungsi 12.3-inci, kamera undur dan Bantuan Parkir untuk memarkir automatik secara selari.

    Untuk elemen keselamatan pula, 530e didatangkan dengan pakej Driving Assistant dengan menambah
    Approach Control Warning dan Person Warning dengan fungsi City Brake, yang beroperasi dalam kelajuan antara 10 km/j dan 60 km/j untuk pejalan kaki dan 80 km/j untuk kenderaan lain. Lain-lain elemen dalam pakej ini termasuklah Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Rear Collision Prevention dan Rear Crossing Traffic Warning.

    530e ini ditawarkan dengan empat pilihan warna luaran iaitu Bluestone Metallic, Mediterranean Blue, Alpine White, dan Black Sapphire.

    Seperti mana model BMW iPerformance yang terdapat di Malaysia seperti 330e M Sport, X5 xDrive 40e, 740Le, pembelian 530e Sport juga membolehkan pelanggan menerima akses percuma tanpa had sepanjang tahun untuk servis mobiliti ChargeNow menerusi platform ChargEV. Tawaran menarik ini juga didatangkan dengan BMW i AC Fast Charging Cable secara percuma.

    Untuk perincian dan spesifikasi penuh mengenai model 530e ini, sila layari Carbase.my.

     
     
  • Promosi pembelian cara pukal amalan biasa – Proton

    Promosi pembelian cara pukal amalan biasa – Proton

    Susulan kepada laporan akhbar Nanyang Siang Pau hari ini mengenai promosi istimewa yang diberikan kepada Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, Proton mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa polisi diskaun istimewa untuk pelanggan jualan korporat atau pembelian secara pukal (fleet) memang ada ditawarkan dan ia merupakan satu amalan biasa.

    Merujuk kepada promosi istimewa yang ditawarkan kepada persatuan berkenaan, ia merupakan sebahagian daripada jualan pukal yang dimaksudkan. Untuk itu, Proton mengamalkan pendekatan serupa kepada pelbagai lagi koperasi, persatuan dan organisasi korporat ternama lain di Malaysia setakat ini.

    Promosi sebegitu tidak hanya dinikmati oleh pertubuhan seperti Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia sahaja. Berdasarkan kepada bilangan ahli persatuan dan pekerja-pekerjanya yang ramai, pihak PROTON dapat membentuk pakej khas yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

    Selain itu, mana-mana koperasi, pertubuhan dan persatuan yang membeli kereta dalam jumlah tertentu juga berhak menikmati tawaran seperti ini, tertakluk kepada terma dan syarat di antara Proton dan pihak-pihak berkenaan.

    Proton sangat menghargai sokongan daripada syarikat-syarikat dan persatuan-persatuan dan akan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan dan kualiti terbaik kepada semua pelanggan. Mana-mana persatuan atau syarikat yang bercadang untuk menikmati peluang yang sama untuk berhubung terus dengan syarikat itu.

     
     
  • Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

    Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

    Sebelum bermulanya tahun kelima Dasar Automotif Negara (NAP) yang pertama kali dibentangkan pada 2014, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Dato’ Sri Mustapa Mohamed hari ini telah membentangkan laporan prestasi industri automotif Malaysia untuk tahun 2017 bertempat di Menara MITI, Kuala Lumpur.

    Menurutnya, secara keseluruhan industri auto di Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dengan pertumbuhan dicatatkan pada hampir setiap cabang sepanjang 2017, hasil dorongan dari dasar yang diumumkan oleh kerajaan empat tahun lalu.

    Untuk tahun 2017, industri automotif negara dipacu oleh 27 pengeluar kenderaan yang telah bertapak di Malaysia, dibantu dengan 641 vendor yang menghasilkan dan membekalkan komponen dan alat ganti, serta 53,011 buah syarikat yang terlibat dalam perniagaan servis selepas jualan. Menerusi kesemua operasi tersebut, keseluruhan tenaga kerja yang terlibat dalam industri ini dicatatkan seramai 736,632 orang.

    Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

    Apa yang menarik, tahun 2017 juga menunjukkan percambahan yang positif untuk kenderaan-kenderaan yang diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), selari dengan dasar yang diumumkan pada tahun 2014. Menurut statistik, 2017 merekodkan sebanyak 52% dari jumlah model kenderaan baharu yang dijual dalam pasaran adalah model-model yang menerima pengiktirafan EEV atau dua peratus lebih tinggi dari sasaran asal – menunjukkan peningkatan sebanyak 9.2% berbanding 2016 (42.8%).

    Tahun 2017 juga mencatatkan sejumlah 308,807 unit kenderaan yang telah dipasang secara CKD menerima pengiktirafan EEV berbanding sasaran asal 260,000 unit. Jumlah berkenaan juga dilihat lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya di mana hanya 247,912 unit kenderaan CKD dihasilkan sepanjang 2016.

    “Pertumbuhan berterusan ini merupakan isyarat bahawa industri automotif Malaysia kini semakin mengambil berat berkenaan EEV. Penerimaan dan kesedaran terhadap keberkesanan guna tenaga bukan hanya pada satu kementerian, tetapi isyarat sokongan dan penglibatan oleh semua institusi kerajaan, pengeluar komponen OEM dan vendor automotif, serta dari masyarakat secara umum”, kata Mustapa.

    Eksport untuk alat ganti dan komponen juga dijangka meningkat pada tahun 2017. Sehingga Oktober tahun lalu, nilai eksport keseluruhan untuk sektor ini direkodkan sejumlah RM9.3 bilion dan Institut Automotif Malaysia (MAI) menjangkakan ia akan melangkaui angka RM12 bilion untuk keseluruhan tahun 2017. Untuk rekod, eksport untuk alat ganti dan komponen oleh industri automotif Malaysia pada tahun 2016 dicatatkan pada RM11.2 bilion.

    Eksport untuk komponen alat ganti yang dikilangkan semula (recond) pula dinilai pada RM516.4 juta pada November 2017, dan ia jelas lebih tinggi dari keseluruhan 2016 yang mencatatkan RM510 juta. Walau bagaimanapun, Mustapa agak “kecewa” dengan prestasi yang ditunjukkan oleh jumlah yang dicatatkan oleh eksport kenderaan-kenderaan CBU kerana ia dilihat menurun pada 2017.

    Pada 2016, jumlah eksport kenderaan CBU direkodkan berjumlah 33,438 unit dengan nilai RM1.05 bilion, tetapi sehingga Nov 2017, ia hanya mencatatkan 18,887 unit dengan nilai RM944.2 juta. Oleh itu, Mustapa menjelaskan kementeriannya hanya akan fokus kepada eksport komponen alat ganti untuk tempoh-tempoh mendatang.

    Dengan pertumbuhan yang ditunjukkan dalam industri, ia secara tidak langsung turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Berbanding 25,850 peluang pekerjaan yang wujud dalam sektor automotif di Malaysia pada tahun 2016, tahun berikutnya menunjukkan peningkatan kepada 27,175. Tahun 2017 juga menyaksikan seramai 23,444 tenaga kerja asing dalam industri automotif Malaysia telah digantikan dengan warga tempatan.

    “Perkembanagan dalam industri automotif telah mewujudkan peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia. Pelbagai program yang diiktiraf telah diwujudkan oleh MAI sejak 2014, bukan sahaja untuk menyerapkan tenaga mahir lebih cepat ke dalam industri, tetapi dalam masa yang sama untuk menyelesaikan masalah tenaga kerja asing di kalangan pemain industri,” jelas menteri tersebut.

    MAI juga telah menjalankan pelbagai program pembangunan vendor yang secara tidak langsung meningkatkan lagi jumlah perniagaan dalam industri automotif Malaysia pada tahun 2017. Sehingga kini, program-program berkenaan telah melahirkan 522 vendor dengan kebolehan sekurang-kurangnya berada pada tahap 3, dan 27 daripadanya telah pun mencapai tahap 5 iaitu lengkap dengan kebolehan dalam proses R&D.

    Industri Automotif Malaysia meningkat pada 2017, dipandu Dasar Automotif Negara – Mustapa Mohamed

    Dato’ Sri Mustapa Mohamed turut menjelaskan bahawa saiz industri automotif di tempatan yang kini menyumbang 4% dari GDP Malaysia memerlukan pemantauan yang holistik, kerana ia mempunyai nilai pekerjaan dan juga perniagaan yang tinggi bagi mewujudkan impak yang besar terhadap rakyat Malaysia, yang selalunya tidak diketengahkan berbanding perkara-perkara lain seperti jumlah jualan dan produksi.

    Selain dari laporan untuk prestasi 2017, pembentangan hari ini juga merupakan laporan terakhir untuk NAP 2014, dimana Dasar Automotif Negara yang baharu kini dalam peringkat akhir untuk dilengkapkan, sebelum diumumkan pada pertengahan tahun ini.

     
     
  • Menteri Kerja Raya minta PLUS robohkan pondok tol Batu Tiga dan Sungai Rasau secepat mungkin

    Menteri Kerja Raya minta PLUS robohkan pondok tol Batu Tiga dan Sungai Rasau secepat mungkin

    Demi keselamatan pengguna Lebuhraya Persekutuan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa agar PLUS Malaysia Bhd (PLUS) supaya segera merobohkan pondok tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau yang dimansuhkan kutipannya sejak 1 Januari lalu.

    “Tol berkenaan memang akan dirobohkan selepas kutipannya dimansuhkan. Bila (kerja perobohan) dimulakan itu kita minta PLUS segerakan supaya tiada lagi kekeliruan dan pengguna lebuh raya tidak akan memperlahankan kenderaan di situ. Kadang-kadang memperlahankan kenderaan boleh menyebabkan kemalangan.

    “Sebab itu memang kita minta (robohkan) secepat mungkin tetapi mereka (PLUS) pun ada prosedur yang perlu dipatuhi, dari segi proses tender ‘apapun kita harapkan mereka akan dapat segerakan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Menurutnya lagi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah memaklumkan PLUS sudah mengeluarkan tender untuk kontraktor menjalankan kerja-kerja perobohan terbabit.

    Semalam, agensi berita yang sama turut melaporkan kebimbangan pengguna lebuhraya terbabit yang mendakwa tinggalan kedua-dua pondok tol itu boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Malahan Isnin lalu, satu insiden kemalangan telah berlaku di Plaza Tol Batu Tiga apabila sebuah Perodua Kancil telah merempuh pondok tol berkenaan sehingga menyebabkan dua nyawa terkorban.

    Ini berikutan terdapat ramai pemandu kenderaan memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba apabila tiba di pondok tol berkenaan kerana laluannya yang sempit.

     
     
  • Land Rover Defender Works V8 hanya dibuat 150 unit

    Land Rover Defender Works V8 hanya dibuat 150 unit

    Walaupun pengeluarannya telah ditamatkan tahun lalu, itu bukanlah penamat bagi Land Rover Defender. Sempena sambutan 70-tahun usia jenama itu tahun ini, Defender menerima “nyawa” baru; 150 unit terhad kini disediakan, dengan menggunakan enjin V8.

    Defender Works V8 – 70th Edition adalah sebagai tanda hormat kepada model-model awal berkuasa tinggi yang pernah dikeluarkan, seperti Series III Stage 1 V8 dari tahun 1979 dan seterusnya, termasuk edisi ulangtahun ke-50 – dan bakal menjadi Defender yang paling berkuasa dan pantas yang pernah dikeluarkan.

    Ia menggunakan enjin 5.0 liter petrol V8 yang menghasilkan 398 hp pada 6,000 rpm dan 515 Nm pada 5,000 rpm; jauh lebih berkuasa daripada Defender standard yang hadir dengan 120 hp dan 360 Nm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat dan laju maksimum 170 km/j. Cukup mengujakan untuk kenderaan 4×4 old-skool ini?

    Land Rover Defender Works V8 hanya dibuat 150 unit

    Kuasanya disalurkan menggunakan sistem transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dengan Sport Mode. Ditawarkan bagi kedua-dua model 90 dan 110, ia juga akan dilengkapi dengan lampu utama bi-LED, brek dan kit pengendalian (gelung, penyerap hentak dan palang anti-roll) yang dipertingkat serta rim 18-inci eksklusif dengan tayar untuk pelbagai permukaan bersaiz 265/65 R18.

    Bahagian dalaman dihiasi dengan balutan kulit Windsor pada papan pemuka, panel pintu dan bumbung. Tempat duduk pula dari Recaro, serta sistem infotainmen klasik. Adala lapan pilihan warna diberikan semuanya. Ia akan dijual di UK dan Timur Tengah/Afrika Utara kelak.

     
     
  • Bentley Mulsanne Speed tiba di M’sia – dari RM3 juta

    Bentley Mulsanne Speed tiba di M’sia – dari RM3 juta

    Walaupun mempunyai model baru Bentayga yang menerima lebih banyak perhatian, model perdana bagi Bentley masih lagi adalah Mulsanne, dan versi yang anda lihat dalam galeri ini adalah Mulsanne Speed, iaitu satu daripada tiga trim yang ada pada model ini, dengan harga bermula RM3 juta.

    Tidak seperti Bentayga dan Flying Spur, Mulsanne ini cuma boleh didapati dengan satu jenis enjin sahaja iaitu unit V8 twin-turbo 6.75 liter. Bagi model Speed ini, kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin tersebut adalah sebanyak 530 hp pada 4,000 rpm dan 1,100 Nm tork pada 1,700 rpm. Jika dibandingkan dengan Mulsanne biasa, kuasanya lebih sebanyak 25 hp dan 80 Nm.

    Menurut Bentley, Mulsanne menghasilkan tork paling tinggi di antara sedan empat pintu mewah, dan setiap enjin kenderaan disiapkan dengan tangan oleh satu individu sahaja. Bagi model yang dipamerkan ini, ia dilakukan oleh Steve Brown. Walaupun mempunyai berat 2,685 kg, ia masih boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan mencecah kelajuan maksimum 305 km/j.

    Untuk model baru ini, enjin V8 padanya telah dilengkapkan dengan teknologi terkini, termasuk penghentian operasi silinder dan pemeringkatan injap boleh ubah. Ia kemudiannya dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, yang menghantar kuasa ke roda belakang. Turut diberi adalah ekzos serta suspensi sport.

    Bagi yang tertanya berkenaan penjimatan, Bentley memberitahu, Mulsanne menggunakan 15 L/100 km dalam kitaran bercampur dan mengeluarkan 342 gram CO2 bagi setiap kilometer. Tangki minyak pula berkapasiti 96 liter, dan cukai jalannya mencecah RM19,000 (RM56,000 untuk pendaftaran syarikat atau RM6,100 di Sabah dan Sarawak).

    Kereta ini cukup panjang, dengan ukuran 5,575 mm (versi Extended Wheelbase lebih panjang iaitu 5,825 mm), 1,926 mm lebar, 1,521 mm tinggi, dan jarak roda 3,266 mm. Dari sisi mana pun, ia akan menunjukkan saiz besarnya, dan kebanyakan proses pemasangan kenderaan ini dilakukan secara manual menggunakan tangan.

    Bentley Mulsanne Speed tiba di M’sia – dari RM3 juta

    Varian Speed ini mendapat lampu utama LED penuh yang pencahayaannya boleh berubah bergantung kepada kelajuan. Disebabkan badannya yang sudah besar, penggunaan rim bersaiz 21 inci nampak padan dan tidak keterlaluan.

    Warna luaran pada kenderaan ini sebenarnya bergantung kepada anda, dengan selain ratusan warna yang ditawarkan oleh Bentley, anda juga boleh memilih tona warna sendiri atau mungkin juga meletakkan tanda unik yang dimahukan. Untuk model di dalam gambar ini, ia menggunakan warna Damson, yang merupakan pilihan berharga RM30,200.

    Di dalam, pelanggan boleh memilih 24 warna kulit gred premium (13 padanan tona dua warna), beberapa pilihan kemasan kayu (atau gentian karbon), serta lapik bumbung kulit. Datang secara standard pada Mulsanne Speed adalah Mulliner Driving Specification, yang memberikan jahitan bentuk berlian, tombol gear khas, kawalan udara organ stop dan pedal aloi sport.

    Pada model pameran ini, kemasan dalam yang digunakan adalah gabungan kulit Hot Spur merah dan Damson, berserta jahitan berlapis yang dilakukan dengan tangan. Pilihan ini sahaja sudah berharga RM24,300 dan semua tempat duduk datang dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan mengurut – ini pula tambahan RM18,900.

    Turut diperlengkap pada kereta ini adalah pakej Entertainment Specification yang berharga RM104,900. Melaluinya, pembeli akan menikmati Bentley Theatre dengan sistem bunyi Naim dan ‘meja piknik’ kayu. Di dalam bahagian belakang tempat duduk hadapan, terdapat tablet 10.4 inci berasaskan Android, dan ia juga boleh ditanggalkan serta mempunyai storan dalaman 32 GB.

    Kelengkapan istimewa lain yang terdapat pada Mulsanne Speed adalah peti sejuk dengan tempat memegang gelas champagne (tambahan RM58,000), alas kaki Wilton (RM7,700), kamera pandangan bucu (RM6,500) dan bumbung panoramik (RM17,300). Model pameran ini, dengan segala kelengkapan padanya berharga RM3.4 juta termasuk cukai.

     
     
  • Toyota sahkan tiada impak dari skandal Kobe Steel

    Toyota sahkan tiada impak dari skandal Kobe Steel

    Toyota telah mendapat keputusan akhir menerusi siasatannya berhubung dengan skandal Kobe Steel yang hangat diperkatakan sejak Oktober tahun lalu. Di mana menerusi siasatan yang dijalankan terhadap produknya, didapati tiada model Toyota mahu pun Lexus yang terjejas dengan material dari pengeluar komponen logam Jepun itu, dan kualiti serta prestasi semua kenderannya menepati standard dalamannya tersendiri.

    Pada Oktober lalu, Kobe Steel telah mengeluarkan beberapa siri kenyataan berhubung dengan pemalsuan data mengenai kualiti material aluminium, aluminium terekstrud dan tembaga yang dibekalkan kepada pelanggan, ini termasuklah melibatkan beberapa pengeluar kenderaan lain seperti Toyota. Malahan sijil pemeriksaannya juga telah diubah atau dipalsukan bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh para pelanggan. Sejumlah pekerja dan pengurus syarikat tersebut didapati turut terlibat dengan isu salah laku ini.

    Sebagai maklumbalas, Toyota telah menyemak data yang dikemukakan oleh Kobe Steel dan menilai impak potensi bahan yang dibeli, menggunakan data yang mengandungi penyimpanan terbesar dari spesifikasi Toyota atau pembekalnya.

    Toyota sahkan tiada impak dari skandal Kobe Steel

    Syarikat ini juga telah menyebarkan hasil keputusan siasatan terbabit pada 19 Oktober dan 6 November, di mana didapati penggunaan plat aluminium dan beberapa material tambahan dari Kobe Steel tiada memberikan sebarang impak berhubung dengan kualiti dan prestasi terhadap kenderaan mereka. Malah material lain yang turut diumumkan oleh Kobe Steel pada 20 dan 26 Oktober lalu tidak digunakan dalam pembuatan kenderaan mereka.

    Toyota kini telah mengesahkan bahawa aluminium terekstrud, serbuk keluli, pelekap, material sputtering target, tiub tembaga, wayar keluli dan lain-lain material adalah dibekalkan dari pembekal di luar Jepun, ini termasuk juga dengan produk tembaga yang dihasilkan di Jepun dan tempat lain, juga tidak menjejaskan kenderaan. Maka isu ini ditamatkan begitu saja.

     
     
  • Ducati Desmosedici GP 2018 ditunjuk – ujian musim sejuk bermula di Litar Sepang 28 hingga 30 Januari

    Ducati Desmosedici GP 2018 ditunjuk – ujian musim sejuk bermula di Litar Sepang 28 hingga 30 Januari

    Tahun lepas Ducati begitu hampir memenangi kejuaraan MotoGP, dan untuk tahun ini mereka telah bersedia memberikan cabaran melalui jentera Ducati Desmosedici GP baru yang didedahkan ini. Daripada aspek rekaan, motosikal musim 2018 ini menunjukkan satu evolusi dan diharap dapat membawa dua penunggangnya, Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo ke kedudukan paling atas.

    Jentera MotoGP pasukan Ducati ini kini menggunakan corak warna merah dan kelabu, dan dikata membawa lebih banyak perhubungan dengan superbike terhebat mereka yang baru dilancarkan, Panigale V4. Winglet kontroversi yang digunakan dalam dua musim sebelum ini telah diganti dengan panel aerodinamik yang bersepadu terus dengan fairing motosikal.

    “Tahun lalu adalah musim yang hebat dan sangat berjaya. Kami juga mempelajari pelbagai perkara, yang boleh dilakukan untuk tahun ini,” kata Dovizioso yang menunggang jentera #4. Tambah beliau, jentera Ducati ini masih mempunyai karekter yang menyusahkan di beberapa litar, tetapi perkara itu akan diperbaiki untuk mendapat tempat yang baik.

    Sementara itu bagi Lorenzo yang menggunakan jentera #99, dan tidak begitu menyerlah pada musim lepas, akan cuba untuk menebus kembali kedudukan beliau, dan kalau boleh menggondol terus kejuaraan. Dalam masa sama, beliau sendiri juga hampa dengan pencapaian pada musim lepas.

    Untuk MotoGP musim 2018, sesi ujian musim sejuk akan berlaku di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 28 hingga 30 Januari. Perlumbaan sebenar pula hanya akan bermula pada 8 Mac, di Qatar, manakala perlumbaan di SIC akan berlangsung pada 28 Oktober.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025