Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Muzium Porsche pamerkan 911 paling tua, tahun 1964

    Muzium Porsche pamerkan 911 paling tua, tahun 1964

    Kereta klasik yang anda tengok di atas ini mungkin nampak cantik sekarang, tapi sebelum ini ia hampir ‘ditamatkan riwayatnya’. Ia adalah 911 paling tua yang berada dalam koleksi Muzium Porsche dan baru selesai di baik pulih selama tiga tahun.

    Model ini dibuat pada tahun 1964 sebagai antara model kereta sports siri produksi yang dikenali sebagai 901. Walaupun begitu, beberapa minggu selepas produksi bermula, namanya terpaksa ditukar kepada 911 kerana masalah tanda nama perdagangan (trademark).

    Porsche sendiri tidak mempunyai model yang sikar didapati ini di dalam muzium sebelum ini, dan hanya bertemu dengannya selepas sepasukan kru penggambaraan tv Jerman menemuinya di dalam satu garaj pada tahun 2014. Kru itu merujuk kepada Porsche berkenaannya, dan Porsche bersetuju untuk membeli dua model yang ditemui tersebut.

    Muzium Porsche pamerkan 911 paling tua, tahun 1964

    Antara faktor penting yang menyebabkan Porsche bersetuju membeli kereta yang sudah dilupakan ini adalah kerana ia didapati tidak pernah dibaik pulih sebelum ini dan masih dalam keadaan asal. Ini seterusnya dapat memberikan peluang kepada pakar di muzium mereka untuk membaik pulih kereta tersebut se-asli yang boleh, dan menggunakan barang asal daripada kereta lain.

    Enjin, tranmsisi, elektrik dan bahagian dalam semuanya dibaik pulih mengikut prinsip yang sama, dengan peraturan asasnya mengekalkan alat ganti dan bahagian asal di mana yang boleh, berbanding menggantikannya terus. Ini adalah langkah biasa yang dilakukan oleh Muzium Porsche sewaktu membaik pulih kenderaan mereka dan tidak hairanlah ia mengambil masa yang lama untuk selesai.

     
     
  • Nissan uji sampel cat dengan car wash bersaiz kecil

    Bagaimana pengeluar kenderaan menguji kualiti untuk cat yang bakal digunakan pada kereta keluaran mereka? Bagi Nissan, mereka menggunakan sebuah mesin pembasuh kereta layan diri (automatic car wash) yang hanya bersaiz mesin pembuat pop corn.

    Mesin ini digunakan di Pusat Teknikal Nissan Amerika Utara yang terletak di Farmington Hills, Michigan, Amerika Syarikat. Ia digunakan untuk memastikan cat yang bakal digunakan untuk kereta-kereta baharu mereka benar-benar berkualiti dan tidak terjejas ketika dibasuh pada mesin cucian kereta automatik moden – yang selalunya akan menyebabkan lapisan jernih akan calar dan juga kadang kala boleh menanggalkan terus cat.

    Binaan mesin penguji ini agak mudah, ia dilengkapi dengan penyembur air berkuasa tinggi bersama berus bristles yang mampu berputar dengan kelajuan 180 rpm.

    Untuk ujian biasa, Nissan hanya menggunakan sekeping plat besi yang disembur dengan cat yang ingin diuji. Namun bagi mendemonstrasikan keberkesanan mesin ujian ini, Nissan menggunakan sebuah model berskala 1/16 Fairlady 370Z yang dikotorkan dengan “kotoran Arizona” kemudian dicuci dengan berkesan oleh mesin penguji berkenaan.

     
     
  • Honda PCX Hybrid bakal tiba di M’sia tahun hadapan?

    Honda PCX Hybrid bakal tiba di M’sia tahun hadapan?

    Dunia motosikal turut tidak lari daripada peralihan kepada kuasa elektrik, sama ada sebagai bantuan kepada enjin petrol ataupun elektrik penuh. Dalam perkembangan terbaru di negara kita, Boon Siew Honda Malaysia memberitahu ketibaan PCX Hybrid akan berlaku sekitar suku terakhir tahun 2018. Ini juga bakal menandakan penglibatan pertama BSH di dalam pasaran kenderaan dua roda hibrid di Malaysia.

    Sementara sudah ada beberapa jenama motosikal elektrik dalam pasaran, kemudahan mengecas pula masih lagi terhad di negara kita. Perkara sama juga memberi kesan kepada motosikal elektrik, yang mana biasanya mempunyai ruang terhad untuk membawa kabel pengecas yang panjang sepanjang masa.

    Bagi PCX Hybrid, Honda telah menggabungkan enjin petrol dengan tambahan kuasa elektrik. Perincian berkenaan motosikal ini masih lagi tidak banyak tetapi ia sudah pernah dipamerkan di Tokyo Motor Show Oktober lalu. Honda cuma memberitahu “sistem hibrid kompak pada PCX menggunakan bateri kuasa tinggi dan starter ACG untuk membantu enjin biasa.”

    Maklumat lain juga tidak banyak didedahkan oleh Honda, tetapi syarikat itu ada menyatakan bahawa PCX Hybrid dan PCX Electric hanya akan dijual di pasaran Asia pada tahun 2018. Di Malaysia, model PCX semasa yang ada sekarang menggunakan enjin satu silinder 149 cc, berkuasa 12.5 hp dan dijual pada harga RM11,568.

    Selain PCX Hybrid, BSH turut mengumumkan akan berusaha lebih keras untuk mencapai tahap jualan yang lebih tinggi pada tahun hadapan, dan merebut tempat pertama dalam pasaran motosikal. Antara langkah yang akan diambil adalah pengenalan 10 model baru, yang kami lihat bayangnya seperti model termasuk X-ADV, Africa Twin, CB1100RS, SuperCub, Grom/Monkey, CB150R dan beberapa kapcai.

     
     
  • Lamborghini Urus kini ditampilkan pula di Singapura

    Lamborghini Urus kini ditampilkan pula di Singapura

    Baru saja kurang lebih seminggu Lamborghini Urus membuat penampilan sulung peringkat global di ibupejabat syarikat itu di Sant’Agata Bolognese, model super sport utility vehicle (SSUV) itu kini diperkenalkan pula di Singapura.

    Pelanggan di sana kini sudah boleh membuat tempahan bagi model berkenaan – walaupun harga belum didedahkan – dengan penyerahan pertama dijangka akan dilakukan pada tahun depan. Penampilan di Singapura itu merupakan kemunculan sulung Urus di luar Itali – acara berkenaan berlangsung di ArtScience Museum, Marina Bay Sands.

    Bagi meraikan acara berkenaan juga, sebanyak 122 kereta Lamborghini dihimpunkan untuk memecah rekod di Asia bagi konvoi terbesar Lamborghini setakat ini. Lamborghini Urus menggunakan enjin 4.0 liter turbo berkembar V8, dengan janaan kuasa 650 PS dan 850 Nm. Ini dipadankan dengan kotak geark automatik lapan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda.

    Lamborghini Urus kini ditampilkan pula di Singapura

    Dari segi prestasi, SUV prestasi mewah ini yang hadir dengan berat 2,200 kg itu berupaya mencapai kelajuan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat, manakala kelajuan 100 km/j berikutnya dalam masa 9.2 saat selepas itu. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 305 km/j, dan hanya memerlukan 33.7 meter untuk ia membrek sepenuhnya dari kelajuan 100 km/j.

    Menerima jolokan sebagai “SSUV pertama dunia”, reka bentuk Urus hadir dengan sentuhan yang diharapkan dari Lamborghini – menyerlah, tajam dan garang, membawa bersama unsur dari model konsepnya yang diperkenalkan lima tahun dulu.

    Reka bentuk bersegi dibahagian luar turut diteruskan di bahagian dalam. Ia dilengkapkan dengan penggunaan material kulit jenis Alcantara, aluminium, gentian karbon dan kayu. Pelanggan juga boleh membuat kepelbagaian pilihan tersendiri untuk menjadikan Urus mereka unik dan personal.

    Pengenalan sulung Lamborghini Urus di Itali

     
     
  • Honda CBR250RR – kenapa masih belum tiba di M’sia?

    Honda CBR250RR – kenapa masih belum tiba di M’sia?

    Model sports permulaan Honda CBR250R dengan enjin satu silindernya sekarang sudah agak lama dalam pasaran Malaysia, dan ramai yang sudah tertanya kenapa versi baru yang lebih sporty iaitu CBR250RR masih lagi tidak sampai ke Malaysia sedangkan ia sudah dilancarkan di negara jiran sekian lama.

    Kami tanyakan soalan ini kepada ketua pegawai eksekutif Boon Siew Honda (BSH), Nobuhide Nagata semasa satu majlis bersama media di Litar Sepang semalam, dan beliau memberitahu bahawa motosikal tersebut dalam keadaan sekarang tidak menepati tahap Euro 4. CBR250RR ini hanya boleh masuk ke Malaysia selepas ia melepasi tahap pemeriksaan tersebut.

    “Peraturan pensijilan di Malaysia agak hampir dengan Euro 4, dan untuk kami melakukan pelarasan semata-mata untuk dibawa ke Malaysia akan memakan belanja yang sangat tinggi,” kata Nagata. “Jadi, lebih baik kita menunggu sehingga CBR250RR ini melepasi tahap Eropah ini, dan selepas itu barulah boleh dibawa ke Malaysia,” tambah beliau.

    Apabila ditanya pula sama ada pasti atau tidak CBR250RR ini akan masuk ke Malaysia, Nagata memberitahu peluangnya agak baik, tetapi macam mana pun, ia bergantung banyak kepada harga akhirnya. “Jika motosikal ini terlalu mahal, kami akan menghadapi kesukaran untuk menjualnya, dan kalau ada pun, dalam jumlah yang sikit,” kata Nagata.

    Jadi sekarang, soalan anda sudah terjawab. Itulah sebabnya kenapa CBR250RR masih lagi tidak dijual di Malaysia sekarang, dan daripada bunyi jawapan ini, penghujung tahun hadapan juga masih belum pasti. Model CBR250R yang dijual di Malaysia cuma diberikan pembaharuan warna tahun ini, dengan harga jualannya RM21,940 (Hitam) dan RM22,258 (bagi dua lagi pilihan warna lain ).

    GALERI: Honda CBR250RR di GIIAS 2016

     
     
  • Honda Freed Modulo X telah dilancarkan di Jepun

    Honda Freed Modulo X telah dilancarkan di Jepun

    Honda Freed kini boleh didapati dengan varian Modulo X baharu, selepas setahun model generasi kedua ini diperkenalkan di Jepun. Seperti kebanyakan model Modulo X yang lain, yang ini juga menerima kelengkapan luaran dan dalaman yang sama.

    Untuk bahagian luarnya, Freed Modulo X ini menerima kit badan penuh, termasuk bampar hadapan dan belakang baharu, skirt sisi dan spoiler belakang. Ia melengkapkan lagi elemen sedia ada iaitu gril dan perumah cermin sisi hitam, lampu kabus LED dan lampu nyalaan siang. MPV yang nampak sporty ini juga dilengkapi dengan suspensi yang dilaras sedikit rendah dan juga roda aloi 15-inci.

    Honda Freed Modulo X telah dilancarkan di Jepun

    Di dalamnya pula, ia menampilkan tempat duduk Modulo X yang unik, roda stereng balutan kulit dan alas lantas khas. Sistem infotainmen sembilan-inci dengan fungsi navigasi juga boleh didapati, termasuk perakam video pemanduan dan juga Electronic Toll Collection transceiver.

    Modulo X boleh ditempah sama ada dengan versi enam- atau tujuh-tempat duduk, bersama penjana kuasa Sport Hybrid i-DCD atau 1.5 liter DOHC i-VTEC power. Sistem Honda Sensing juga didatangkan secara standard bagi model pilihan, dan harganya pula dari 2,830,680 yen (RM103,067) hingga 3,152,520 yen (RM114,785).

     
     
  • MotoGP akan ada kategori baru untuk motosikal elektrik pada tahun 2019 – guna model Energica Ego

    MotoGP akan ada kategori baru untuk motosikal elektrik pada tahun 2019 – guna model Energica Ego

    Nampaknya kini kita tidak boleh menafikan lagi tenaga elektrik bakal menguasai kenderaan di masa hadapan. Bukan sekadar untuk kegunaan ramai, malah dalam dunia permotoran juga kenderaan seperti ini sudah mula menunjukkan potensi. Terbaru, MotoGP telah mengumumkan pembukaan kategori baru khas untuk motor elektrik bermula tahun 2019 dan perlumbaan tersebut akan dikenali sebagai FIM Moto-e World Cup.

    Ia dianggap sebagai satu era baru dalam dunia permotoran dua roda, dan Dorna, iaitu pemegang hak eksklusif komersial MotoGP telah mengumumkan pemilihan Energica sebagai pembekal untuk perlumbaan kategori motosikal elektrik ini. Model yang akan digunakan oleh semua pasukan adalah Energica Evo yang ditala secara khas untuk perlumbaan.

    “FIM sangat berbesar hati untuk memberi sokongan kepada pembangunan teknologi baru, dengan FIM Moto-e World Cup ini boleh diambil sebagai contoh. Energica pula telah membuktikan syarikat mereka boleh diharap dan menjadi peneraju pakar dalam sektor ini. Dengan sokongan Dorna, kami percaya langkah ini boleh memberikan kejayaan,” kata presiden FIM, Vito Ippolito.

    MotoGP akan ada kategori baru untuk motosikal elektrik pada tahun 2019 – guna model Energica Ego

    Energica adalah sebuah syarikat yang berpusat di Modena, Itali dan merupakan pengeluar motosikal elektrik berjiwa perlumbaan yang pertama di dunia. Latar belakang syarikat ini sentiasa berkait dengan dunia perlumbaan, dan walaupun kini menghasilkan motosikal elektrik ia tetap tidak pudar dan akan diteruskan.

    Dalam keadaan asal untuk produksi, Energica Evo mampu menghasilkan 107 kW (145 hp) pada antara 4,900 hingga 10,500 rpm, dan 200 Nm tork bermula dari 0 hingga 4,700 rpm. Untuk kegunaan jalan biasa, kelajuan maksimum motosikal elektrik ini dihadkan kepada 240 km/j dan disediakan dengan empat mod tunggangan.

    Untuk tayar pula, Dorna telah mengumumkan penggunaan khidmat Michelin untuk FIM Moto-e World Cup. “Perlumbaan motosikal elektrik ini bakal memberikan makna yang baik untuk mobiliti. Untuk Michelin, ia akan memberikan kami input yang berharga untuk pembangunan inovasi baru yang akan digunakan pada tayar jalan biasa nanti,” kata pengarah permotoran Michelin, Pascal Couasnon.

    GALERI: Energica Evo

     
     
  • Nissan Terra – SUV ladder frame 7 tempat duduk berasaskan trak pikap Navara NP300 dijumpai di China

    Nissan Terra – SUV <em>ladder frame</em> 7 tempat duduk berasaskan trak pikap Navara NP300 dijumpai di China

    Bulan lalu telah tersebar imej SUV 7 tempat duduk Nissan yang dikhabarkan akan diberi nama Xterra, namun menerusi foto terbaharu yang menunjukkan model berkenaan di jumpai di China, SUV yang ladder frame berasaskan trak pikap Navara NP300 nampaknya hanya akan dikenali sebagai Terra.

    Muka Terra diberikan gril utama signatur V-Motion Nissan bersaiz besar, diagndingkan bersama lampu hadapan yang lebih tajam berbanding Navara. Manakala pada bahagian belakang pula, rekaan diberikan agak ringkas dengan DNA Nissan, meliputi lampu dengan rekaan ‘two-piece’ serta jalur krom yang merentangi pintu tailgate.

    Nissan Terra – SUV <em>ladder frame</em> 7 tempat duduk berasaskan trak pikap Navara NP300 dijumpai di China

    Pada bahagian sisi, jelas SUV ini masih dibayangi imej Navara. Namum bentuk keseluruhan Terra tidaklah kelihatan pelik untuk bersaing dengan SUV berasaskan trak pikap lain seperti Toyota Fortuner, Isuzu MU-X dan Mitsubishi Pajero Sport.

    Menurut berberapa khabar, Terra akan membuat kemunculan sulung pada Beijing Auto Show 2018 yang dijadualkan pada April tahun hadapan. SUV ini dijangka bakal dijana enjin 2.3 liter turbodiesel berkuasa 190 hp/450 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan manual atau tujuh-kelajuan automatik. Ia juga berkemungkinan besar akan ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang dan pacuan empat roda.

     
     
  • RON 95 dapat dijual pada harga lebih murah dengan kaedah pelarasan mingguan ketika ini – KPDNKK

    RON 95 dapat dijual pada harga lebih murah dengan kaedah pelarasan mingguan ketika ini – KPDNKK

    Kerajaan menyatakan bahawa mekanisme pelarasan harga mingguan bahan api ketika ini telah menjadikan harganya lebih rendah untuk pengguna dan industri, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Timbalan menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agong memaklumkan Dewan Negara bahawa sejak pelaksaan sistem berkenaan yang dilaksanakan bermula hujung Mac lalu, harga petrol RON 95 misalnya telah turun sebanyak lima sen bagi setiap liter, kini dijual pada harga RM2.25 seliter.

    Setakat ini, harga bagi RON 95 telah naik sebanyak 20 kali kepada jumlah keseluruhan 82 sen dan turun sebanyak 15 kali dengan jumlah 87 sen. Kenyataan ini bagaimanapun tidak menyebut tentang harga RON 95 yang jadi paling tinggi setakat ini pada harga RM2.38 seliter pada minggu ketiga November sebelum turun ke tahap yang ada sekarang.

    RON 95 dapat dijual pada harga lebih murah dengan kaedah pelarasan mingguan ketika ini – KPDNKK

    “Penentuan harga minyak mingguan melibatkan perubahan harga dalam tempoh yang lebih singkat iaitu tujuh hari, dan harga yang ditetapkan lebih hampir kepada harga kos bagi petroleum,” jelas Henry dalam jawapan kepada pertanyaan dari Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin terhadap keberkesanan kaedah yang digunakan sekarang ini – memandangkan lebih banyak kenaikan harga berbanding harga turun.

    Henry menambah, cadangan untuk memberikan subsidi petrol dan diesel perlu diperhalusi agar ia benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang sepatutnya. “Rakyat Malaysia menggunakan hampir dua bilion liter petrol dan diesel setiap bulan. Jika subsidi 50 sen diberikan untuk setiap liter, kerajaan terpaksa menanggung kos RM1 bilion sebulan, atau RM12 bilion setahun.

    “Bagaimanapun, perlu diingat bahawa penggunaan bahan api berbeza-beza bagi setiap orang. Sebagai contoh, mereka yang memandu kereta besar akan menggunakan lebih banyak petrol, misalnya 30 liter bagi setiap isian dengan subsidi RM15, manakala penunggang motosikal mungkin hanya menggunakan 30 liter sahaja sepanjang bulan,” tambahnya.

     
     
  • Toyota C-HR masuk pasaran Thai pada suku pertama 2018, sudah boleh ditempah; 1.8 NA dan Hybrid

    Toyota C-HR masuk pasaran Thai pada suku pertama 2018, sudah boleh ditempah; 1.8 NA dan Hybrid

    Pelanggan di Malaysia mungkin merungut mengapa Toyota C-HR begitu lambat masuk ke pasaran tempatan. Namun tahukah anda C-HR juga sebenarnya belum lagi dilancarkan di Thailand walaupun negara berkenaan merupakan hab produksi crossover segmen-B ini untuk rantau ASEAN?

    Di Thailand, model ini akan mula dijual bermula suku pertama tahun hadapan dan tempahannya sudahpun mula dibuka. Pelanggan di negara tersebut akan menerima dua pilihan janakuasa iaitu 1.8 liter NA dan juga versi hibrid yang juga digandingkan dengan enjin petrol 1.8 liter.

    Untuk model 1.8 liter Dual VVT-i, ia dibekalkan dengan 141 hp/177 Nm dan kuasa berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT. Seperti juga model lain di Thailand, enjin berkenaan turut boleh beroperasi dengan bahan api ‘flex fuel’ ethanol E85.

    Bagi model hibrid pula, ia menggabungkan enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter berkuasa 98 hp/142 Nm bersama motor elektrik berkuasa 72 hp/163 Nm – menurut Toyota, kuasa gabungan untuk unit janakuasa ini adalah 122 hp. Motor elektrik versi hibrid ini dijana oleh bateri Ni-MH, manakala penggunaan bahan api nya pula di dakwa pada 24.4 km/l serta emisi CO2 pula berada pada 95 g/km.

    Walaupun teknologi hibrid Toyota ini berada pada tahap matang, jenama berkenaan masih lagi memberikan waranti 5-tahun untuk sistem berkenaan serta 10-tahun waranti untuk bateri hibrid bagi memberikan ketenangan minda pada pemiliknya.

    C-HR pasaran Thailand juga diberikan pakej keselamatan Toyota Safety Sense yang terdiri dari Sistem Pra-Pelanggaran (amaran dan brek kecemasan automatik, Amaran Keluar Lorong dengan bantuan stereng, Dynamic Radar Cruise Control dan juga Lampu Tinggi Automatik.

    Pelanggan di negara berkenaan juga menerima sistem telematik T-Connect yang memberikan fungsi seperti WiFi, pengesan kenderaan, bantuan SOS 24-jam bersama servis operator serta navigasi. Perincian berkenaan teknologi hibrid, kelebihan platform TNGA serta operasi Toyota Safety Sense dan T-Connect boleh anda tonton pada video di bawah.

    Model 1.8L akan dikelaskan sebagai varian asas dan pertengahan, manakala model hibrid pula akan dihasilkan dalam varian pertengahan dan varian tertinggi. Model asas 1.8L akan dijual bermula 9XX,XXX baht dan dilengkapi ciri seperti lampu hadapan halogen projektor automatik, lampu belakang LED, rim aloi 17-inci, tempat duduk fabrik hitam, audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci (USB, AUX, Bluetooth) dan juga tujuh-beg udara (hadapan, sisi, tirai, dan lutut pemandu).

    Toyota C-HR masuk pasaran Thai pada suku pertama 2018, sudah boleh ditempah; 1.8 NA dan Hybrid

    Untuk model 1.8L varian pertengahan pula, kesemua ciri tadi turut diberikan bersama tambahan lampu kabus, upholsteri kulit dan juga sistem kunci pintar lengkap dengan butang penghidup enjin – dijual pada harga 1,0XX,000 baht. Bagi model pertengahan hibrid pula, ia masih seperti model 1.8L pertengahan, namun diberikan tambahan lampu hadapan LED penuh serta sistem T-Connect, dijual pada harga 1,0XX,000 baht.

    Manakala untuk varian tertinggi hibrid, ia akan dijual pada harga 1,1XX,000 baht, diberikan kesemua ciri serta ditambah dengan sistem navigasi serta pakej Toyota Safety Sense.

    Pembeli C-HR untuk pasaran Thai juga tidak perlu untuk kedai aksesori untuk mendapatkan emblem nama custom seperti “AZARUDDIN & SHAFARINA” kerana Toyota Thailand menyediakan plat nama tersebut secara percuma dari sekarang hingga akhir Februari 2018, dan ia pastinya aksesori asli dari Toyota sendiri.

    Enam warna badan disediakan di dalam brosur, dan tiga daripadanya (biru, merah dan hijau) merupakan warna cerah yang gabungkan bersama kontras hitam pada bumbung.

    Toyota C-HR masuk pasaran Thai pada suku pertama 2018, sudah boleh ditempah; 1.8 NA dan Hybrid

    Malaysia juga bakal menerima Toyota CH-R pada tahun hadapan, dan kemunculan umum terakhir crossover tersebut dibuat oleh UMW Toyota pada bulan lalu. Kita turut akan menerima CH-R yang dipasang di Thailand, dengan model yang dijana enjin 1.8L 2ZR-FE berkuasa 137 PS/170 Nm, tanpa pilihan sistem hibrid.

    Selain itu, CH-R pasaran Malaysia juga turut akan diberikan lampu projektor halogen, lampu nyalaan siang LED, rim aloi 17-inci, lampu kabus hadapan dan belakang, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu puddle, upholsteri kulit, tempat duduk manual bersama larasan lumbar berkuasa, lampu dan pengelap cermin automatik, paparan pelbagai info berwarna 4.2-inci, pendingin hawa dua-zon, cermin pandang belakang anti-silau dan juga kemera undur – kesemua ini mirip model 1.8L pertengahan di Thai.

    Oleh itu, pasaran Malaysia tidak akan diberikan pilihan sistem Toyota Safety Sense, tetapi ia tetap diberikan fungsi keselamatan aktif lain seperti Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang. Ciri keselamatan lain termasuk tujuh beg-udara dan VSC. Model pasaran Malaysia ini dijangka akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM145,500.





    GALERI: Toyota C-HR spesifikasi Malaysia

     
     
  • Zulfahmi Khairuddin akan urus pasukan sendiri dalam perlumbaan ARRC tahun hadapan, masih berlumba

    Zulfahmi Khairuddin akan urus pasukan sendiri dalam perlumbaan ARRC tahun hadapan, masih berlumba

    Perlumbaan siri World Superbike Championship 2017 sudah pun berakhir 4 November lalu, dan pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin yang berlumba di bawah pasukan Orelac Racing dalam kategori Supersport (WorldSSP) sekadar menamatkan musim di tempat ke-35 dengan catatan 6 mata.

    Ini bukanlah satu pencapaian yang memberangsangkan, dan menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia, Zulfahmi tidak akan berlumba lagi dalam siri WSBK tahun hadapan, dan akan beralih kepada perlumbaan Asia Road Racing Championship (ARRC), kategori Supersports 600.

    Walaupun ARRC hanya melibatkan saingan dalam Asia, dan bukannya bertaraf dunia, Zulfahmi berhadapan cabaran baru apabila diberitahu akan menguruskan pasukan sendiri, dan menggunakan kepakaran teknikal daripada kenalan beliau sendiri.

    Zulfahmi Khairuddin akan urus pasukan sendiri dalam perlumbaan ARRC tahun hadapan, masih berlumba

    Tambah Zulfahmi lagi, beliau akan menjadikan pasukan Aki Ajo yang dulunya pernah menggunakan khidmat beliau untuk berlumba dalam Moto3 sebagai contoh, dan menyifatkan pasukan itu sebagai sebuah pasukan yang cukup sistematik dan profesional.

    Selain tugas sebagai pelumba dan pengurus pasukan dalam ARRC ini, Zulfahmi juga diberikan tugas oleh SIC untuk melakukan pencarian bakat pelumba baru Januari nanti, di mana lima daripada mereka akan diserap dalam program pembangunan SIC. Dua daripada lima pelumba itu pula akan dihantar bersaing dalam Kejohanan Motosikal Sepanyol, serta juga terlibat dalam ARRC.

     
     
  • Volvo XC60 2018 – tempahan mula dibuka, unit terhad

    Menurut laman Facebook Sisma Auto, XC60 serba baharu bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi, dan bagi yang berminat, sudah boleh mendaftarkan hasrat anda itu. Syarikat berkenaan juga memaklumkan, hanya unit terhad sahaja ditawarkan ketika pelancaran, bagaimana pun harganya belum didedahkan lagi.

    Pada November lalu, XC60 generasi kedua ini telah dikesan sedang diuji di Glenmarie, dengan pakej kemasan R-Design, termasuk apron bawah yang lebih menyerlah, penutup cermin sisi berlainan warna, serta bampar belakang berbeza yang menampilkan serlahan elemen hitam disekeliling perumah hujung ekzos. Penampilan XC60 R-Design ini juga turut menyerlahkan rim aloi 19-inci lima jejari berkembar dengan kemasan matte black diamond cut.

    XC60 ini dipadankan dengan unit petrol termasuk enjin T5 dan T6, atau sistem plug-in hybrid bagi T8 Twin Engine. Di Thailand, model asas D4 diesel turut ditawarkan, selain dua lagi varian bagi T8 Twin Engine. XC60 turut diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA) yang sama seperti model siri 90 (XC90, S90, V90) yang lebih besar.

    Buat masa ini, tidak dinyatakan adakan XC60 didatangkan dengan unit import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan tempatan (CKD). Kami menjangkakan ia mungkin bakal mengikut jejak langkah S90 dan XC90, iaitu beberapa unit pertama adalah CBU, dan diikuti dengan CKD bagi produksi seterusnya.

    Baru-baru ini, XC60 telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Jepun 2017-2018, menewaskan pencabar terdekatnya iaitu G30 BMW 5 Series dan Toyota Camry.

    GALERI: Volvo XC60 2018

     
     
  • Litrak umum pemberian diskaun tol di LDP, Sprint, LSA dan Smart sempena sambutan perayaan Krismas ini

    Litrak umum pemberian diskaun tol di LDP, Sprint, LSA dan Smart sempena sambutan perayaan Krismas ini

    Sempena dengan sambutan Krismas ini, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) pemegang konsesi bagi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint, Lebuhraya Shah Alam (LSA) dan Lebuhraya Smart telah mengumumkan pemberian diskaun bagi kesemua lebuhraya berkenaan.

    Di mana bagi LDP, diskaun tol sebanyak 60 sen bakal diberikan, manakala pengurangan 20 sen pula kepada pengguna Lebuhraya Sprint. Manakala diskaun sebanyak 20 sen pengguna kenderaan kelas 1 di Lebuhraya Shah Alam (LSA) dan diskaun 30 sen bagi pengguna kenderaan kelas 1 dan kelas 4 Lebuhraya Smart.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Litrak, Sazally Saidi berkata, diskaun tersebut akan bermula pada jam 12.01 pagi hingga 11.59 tengah malam, 25 Disember ini. Namun diskaun di Lebuhraya Smart akan bermula dari jam 6 pagi 25 Disember hingga 6 pagi 26 Disember ini.

    Dijangkakan seramai 795,000 pengguna akan menerima manfaat daripada pemberian diskaun membabitkan jumlah subsidi keseluruhan sebanyak RM312,000.

     
     
  • Perodua Tweckbot bakal berada di Kota Damansara pada 15-17 Disember ini untuk pemeriksaan kenderaan

    Perodua Tweckbot bakal berada di Kota Damansara pada 15-17 Disember ini untuk pemeriksaan kenderaan

    Sempena dengan perayaan Krismas dan musim cuti persekolahan, Perodua Tweckbot kini kembali dengan servis dan pemeriksaan percuma bagi semua kenderaan Perodua. Bertempat di pasaraya Giant, Kota Damansara, Perodua Tweckbot bakal berada di sana mula 15 Disember ini selama tiga hari, dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

    Perodua turut menawarkan 50-mata percuma untuk program Tweckbot ini, di mana ia membabitkan pemeriksaan bagi bahagian enjin termasuk transmisi, tahap sistem penyejukan (termasuk tahap cecair penyejuk, kipas dan suhu), brek (termasuk cecair brek dan pad brek), stereng berkuasa, tayar, klac, suspensi, sistem elektrikal (termasuk air, lampu dan bateri) dan diagnosis enjin. Setiap pemeriksaan kenderaan dianggarkan hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit sahaja.

    Selain itu, Perodua turut menawarkan diskaun sehingga 20% bagi alat ganti tulen dan aksesori terpilih sekiranya kenderaan yang sudah diperiksa itu ke pusat servis Perodua untuk pemeriksaan lanjut dan sebagainya (tertakluk pada terma dan syarat).

     
     
  • Perodua Kembara – imej render dari Daihatsu Terios

    Perodua Kembara – imej <em>render</em> dari Daihatsu Terios

    Awal tahun ini, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh menyatakan syarikat itu dalam pertimbangan serius untuk memperkenalkan sebuah SUV kompak – satu segmen yang semakin berkembang di Malaysia.

    Maksudnya, Perodua bakal membangunkan sebuah model seperti itu yang boleh saja akan menggantikan Perodua Kembara yang ditawarkan dahulu. Dan, sebelum ini, Theophilus Chin sudah menunjukkan rekaan bayangan kenderaan itu.

    Terbaru, giliran pereka tempatan Idiyaz Baharuddin pula menghasilkan imej render bagi model SUV itu juga, yang diasaskan daripada rekaan Daihatsu Terios. Bahagian depan, gril nipisnya dalam bentuk U (seperti ada Myvi) diapit oleh lampu utama, sementara bahagian gril yang lebih lebih besar terletak di bawah.

    Perodua Kembara – imej <em>render</em> dari Daihatsu Terios

    Perincian lain dengan sentuhan lebih bergaya termasuklah bumbung hitam dan rim rekaan turbin dwi-tona aloi yang dipadankan. Di belakang, lampu brek yang lebar dan disambungkan dengan satu jalur merah ditengah. Untuk memberikan imej off-road, kemasan hitam digunakan pada bahagian kit badan, roda dan bampar.

    Jika benar Kembara akan diperkenalkan nanti, ia mungkin akan hadir dengan saiz yang sedikit lebih kecil berbanding Terios dengan tujuh-tempat duduk ini. Enjin pula mungkin akan menggunakan unit sama dengan Myvi; 1.5 liter Dual VVT-i dengan kotak gear automatik empat kelajuan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025