Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Beberapa jalan utama di Pulau Pinang ditutup esok

    Beberapa jalan utama di Pulau Pinang ditutup esok

    Untuk anda yang berada di Pulau Pinang, atau bakal berkunjung ke negeri berkenaan esok, ada pengumuman khas buat anda. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang Supt Roslan Ali, beberapa jalan utama di sekitar Timur Laut dan Barat Daya akan ditutup dan dilencongkan Sabtu ini sempena Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komuniti Fun Run yang diadakan di perkarangan pusat beli-belah Queensbay.

    Katanya, jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat bermula 8 hingga 11 malam Sabtu, laporan Bernama.

    Penutupan jalan ini melibatkan daerah Timur Laut iaitu susur dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke pintasan Bayan Indah. Di mana kenderaan dari pusat bandar George Town yang ingin menghala ke pintasan Bayan Indah akan dilencongkan ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke bulatan Bayan Baru untuk ke Jalan Sultan Azlan Shah.

    “Manakala susur keluar pengkalan polis marin menghala ke Pantai Jerejak juga ditutup dan kenderaan yang datang dari pengkalan marin akan dilencongkan ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu arah ke bulatan Bayan Baru,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, di Barat Daya, terdapat empat jalan dan persimpangan yang akan ditutup iaitu dari bulatan Bayan Baru menghala ke Queensbay dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Jawa, persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Kampung Jawa dan Persiaran Bayan Indah menghala ke bulatan Gold Coast.

    Sepanjang penutupan jalan sempena program itu, dijangka berlaku sedikit kesesakan lalu lintas dan pengguna jalan raya dinasihat mematuhi arahan anggota trafik yang ditugaskan mengawal lalu lintas serta menggunakan laluan alternatif lain bagi mengelak kesesakan.

     
     
  • Kemalangan di lebuhraya bukan disebabkan jalan rosak, tetapi atas faktor sikap pemandu sendiri – LLM

    Kemalangan di lebuhraya bukan disebabkan jalan rosak, tetapi atas faktor sikap pemandu sendiri – LLM

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menolak dakwaan kemalangan yang berlaku di semua lebuh raya seluruh negara terutama pada musim cuti persekolahan disebabkan faktor jalan rosak, namun ia disebabkan sikap pemanduan yang tidak berdisiplin dan berhemah.

    Menurut pengerusinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, pihaknya telah melakukan pelbagai perkara bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kesesakan pada kemuncak cuti persekolahan antaranya menutup lorong tunai dan tidak mengizinkan kenderaan berat menggunakan lebuh raya, laporan Bernama.

    “Namun kemalangan tetap berlaku disebabkan sikap pemandu yang tidak berdisiplin dan berhemah serta ada pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah yang menjadi faktor utama kejadian kemalangan maut sejak kebelakangan ini, “katanya bagi mengulas mengenai insiden bas ekspres dengan sebuah treler dan lori kontena di KM294.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Kampar semalam menyebabkan seorang wanita maut manakala pemandu bas serta 12 penumpang lain cedera ringan

     
     
  • Perodua Myvi 2018 – kini 20,000 tempahan, 4,500 telah dihantar; capai jualan 184,707 unit dari Jan-Nov 2017

    Perodua Myvi 2018 – kini 20,000 tempahan, 4,500 telah dihantar; capai jualan 184,707 unit dari Jan-Nov 2017

    Seminggu yang lalu, Perodua telah memaklumkan tempahan Myvi serba baharu telah mencecah sebanyak 15,500 unit. Namun dalam masa beberapa hari ini sahaja, terkini, dimaklumkan sekali lagi, Myvi 2018 yang dilancarkan pada 16 November lalu, telah mencecah 20,000 unit tempahan!

    Dalam masa tak sampai sebulan, tempahan yang diterima oleh Perodua kian memberangsangkan. Ternyata populariti Myvi sukar goyah biarpun dengan lambakan model kenderaan baharu di pasaran tempatan. Malah menurut Perodua, setakat ini, sebanyak 4,500 unit Myvi baharu telah pun dihantar kepada para pelanggan.

    “Tumpuan sekarang adalah untuk memastikan penghantaran Perodua Myvi serba baharu ini dapat dilakukan dalam tempoh masa yang boleh diterima. Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana memilih Myvi sebagai kereta pilihan, “ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr. Zahari Husin.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, Perodua kini telah berjaya menjual sejumlah 184,707 unit kenderaan dalam 11 bulan pertama 2017, iaitu meningkat sebanyak 1.2% berbanding 182,485 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu.

    Tambahnya lagi, untuk bulan Disember ini, Perodua turut memberikan rebat eksklusif sehingga RM2,000 untuk model terpilih Axia, Bezza dan Alza serta memganjurkan kempen “Jom Singgah” pada hujung minggu ini dengan pelbagai promosi dan tawaran menarik di kesemua bilik pameran dan pusat servis di seluruh negara. Sehingga kini, Perodua telah memiliki 181 pusat jualan dan 214 pusat servis di seluruh negara.

    Untuk mengetahui selanjutnya berkenaan Myvi 2018, anda boleh baca perbandingan antara spesifikasi DI SINI, ulasan pandu ujinya, dan juga spesifikasi penuh di laman Carbase.my.

    GALERI: Perodua Myvi 2018 1.5 Advance

    Perodua Myvi 2018 1.3 Premium X

     
     
  • Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

    Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

    Dalam dunia motosikal kustom di Malaysia, nama Omar Jumiran, dan jenamanya, Eastern Bobber bukanlah lagi satu nama asing. Individu yang dulunya cuma tukang kimpal pagar di bawah rumah ini mula berjinak dengan dunia motosikal kustom selepas merasakan beliau perlu meluahkan daya kreativiti dan imaginasi melalui kepakaran besi yang ada pada tahun 2009.

    Antara hasil kerja beliau yang mendapat perhatian ramai sebelum ini ialah motosikal Batman yang menelan kos belanja puluhan ribu ringgit, yang walaupun mahal, memberi kepuasan yang tiada tanding bagi Omar dalam menempuhi cabaran untuk memastikannya berfungsi dan kelihatan elok. Tahun demi tahun, hasil kerja Omar semakin baik dan beliau dapat dikenali dengan keunikan yang tersendiri.

    Baru-baru ini sekali lagi Omar membuat kejutan apabila menjuarai pertandingan motosikal binaan khas di Malaysia mengalahkan tujuh lagi pembina lain, dan sebagai hadiah, beliau terpilih mengikuti satu perjalanan yang dibiayai sepenuhnya untuk bertanding di AMD World Championship of Custom Bike Building. Juri yang memilih Omar sebagai pemenang menghargai nilai kejuruteraan yang ada pada motosikal buatan beliau yang dinamakan sebagai Bone X ini.

    Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

    Bagi yang belum mengetahui, AMD World Championship merupakan pertandingan tertinggi dalam dunia motosikal kustom peringkat global, dan peluang ini sudah menjadi idaman Omar sejak dulu lagi. Sehinggakan apabila dikenang kembali, pada tahun 2012, Omar berhijrah ke Amerika Syarikat, dan memulakan bengkel di sana; semuanya adalah untuk tujuan itu. Walaupun pada waktu itu beliau kurang berjaya, tetapi kini hasratnya tercapai, dengan bermula dari kemenangan di negara sendiri juga.

    Menurut Omar, hampir 90% bahagian motosikal ini dibuat dengan tangan, dan selebihnya melibatkan bahagian enjin dan bahagian-bahagian kecil lain seperti tayar dan pam brek. Inspirasi motosikal ini datang daripada seorang pembina dari Jepun, iaitu Chicara Nagata, namun Omar mempunyai cara tersendiri untuk meningkatkan kualiti serta nilai kejuruteraan pada motosikalnya.

    Sememangnya, hasil kerja Omar bukanlah sesuatu yang mudah difahami orang biasa. Tapi, itu sudah jadi tanda unik Omar. Beliau bukan seorang yang mementingkan grafik meriah, panel badan berbentuk-bentuk ataupun ubah suai mudah dengan mengganti beberapa bahagian motosikal sahaja, tetapi lebih gemarkan cabaran kejuruteraan dan rekaan yang luar daripada kebiasaan.

    Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

    Anda tengoklah sendiri Bone X ini, sekali pandang, mungkin ada yang tidak dapat menangkap mana bahagian depan dan mana bahagian belakang. Memang itu tujuan Omar; kedua-dua bahagian menggunakan rim 21 inci, dan ibarat terdapat cermin di bahagian tengah yang membahagikan dua bahagian motosikal ini.

    Selain warna krom yang berkilat, tumpuan utama pada motosikal ini adalah dua spring yang terletak di bahagian paling atas, yang sebenarnya berfungsi sebagai penyerap hentak, satu untuk tayar hadapan dan satu untuk tayar belakang. Bagaimana pula ia boleh jadi begitu? Inilah sebenarnya satu rekaan yang Omar dakwa sebagai yang pertama di dunia dan dibangunkan sendiri oleh beliau.

    Untuk menyampaikan hentakan daripada setiap roda kepada spring tersebut, beliau menggunakan penyambung dan lengan ayun yang tegak ke atas, manakala di bawah pula terdapat satu lagi lengan ayun untuk memegang tayar tersebut. Untuk mendapatkan kadar spring yang betul, hampir empat kali Omar menukar spring tersebut dan perkara yang lebih mencabar adalah untuk tayar hadapan kerana ia perlu berpusing ke kiri dan kanan, serta perlu mempunyai sedikit kecondongan (rake). Semua lengan ayun ini juga dibuat sendiri oleh Omar menggunakan tangan, dan bukannya mesin CNC.

    Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

    Malah menurut Omar lagi, lengan ayun inilah bahagian pertama yang beliau miliki untuk memulakan projek Bone X dan ia sudah berada dalam simpanan Omar sejak tiga tahun yang lepas. Lukisan kasar projek ini pula sudah bermula sejak tahun 2012, sewaktu Omar bekerja di Abu Dhabi dan mempunyai banyak masa lapang di waktu malam.

    Melihat kepada bahagian enjin pula, unit yang digunakan oleh Omar adalah enjin klasik AJS Motorcycle satu silinder berkapasiti 350 cc dari tahun 1967, dan keistimewaan enjin ini, ia mempunyai silinder yang panjang dan memberikan bunyi unik tersendiri. Kotak gear pula adalah unit tiga kelajuan dengan klac jenis kering (dry clutch).

    Keistimewaan lain enjin ini adalah ia mempunyai kedudukan gear dan brek kaki yang terbalik berbanding kebanyakan motosikal masa kini, dan Omar mahu mengekalkan keadaan itu. Jadi, apabila anda lihat tuil kaki di setiap sisi Bone X, yang berada di sebelah kanan adalah untuk menukar gear, manakala yang di sebelah kiri adalah untuk brek belakang.

    Eastern Bobber Bone X akan jadi wakil M’sia pertama bertanding di Intermot AMD Championship di Jerman

    Kemudiannya, dari kotak gear, untuk menyampaikan kuasa ke tayar belakang, ia menggunakan sistem pacuan rantai yang berada di sebelah kiri. Tetapi, Omar tidak begitu menggemari keadaan itu, kerana beliau mahukan pandangan sisi untuk bahagian hadapan dan belakang adalah sama. Bermaksud, beliau tidak mahu rantai yang berada di sebelah kiri ‘mengganggu’ penampilan rim. Oleh itu, rantai ke tayar belakang dialih ke sebelah kanan.

    Ubah suai bahagian itu sahaja bukanlah sesuatu yang mudah. Omar perlu memikirkan kekuatan syaf yang berpadanan supaya dapat bertahan dengan daya kilas yang kuat, serta mekanisme pelarasan rantai. Pastinya, semua itu sudah berada dalam kira-kira Omar, dan jika anda mempunyai mata yang tajam, anda akan dapat melihat pelaras itu terdapat di lengan ayun belakang serta pemegang syaf yang menyampaikan kuasa dari sebelah kiri ke sebelah kanan.

    Melihat kepada bahagian atas motosikal ini, berhampiran dua spring tersebut, anda boleh melihat ada dua skru besar, yang sebenarnya apabila dibuka, adalah tempat untuk mengisi minyak. Satu adalah untuk minyak enjin, dan satu lagi adalah minyak petrol. Untuk petrol, kapasitinya cumalah 0.9 liter. Ia tidak memerlukan tangki yang besar kerana sekadar sebuah motosikal pameran.

    Untuk minyak hitam, enjin ini menggunakan sistem perjalanan minyak hitam di luar enjin, dan ia disuntik di bahagian yang perlu sahaja, dan takungnya juga berada di luar motosikal. Sistem ini sebenarnya juga masih digunakan untuk beberapa motosikal baru, dan takungnya dipanggil sebagai ‘oil bag’. Cuma, Omar telah mengubah suai untuk menjadikan rangka itu sendiri adalah oil bag bagi minyak enjin.

    Satu lagi rekaan yang dihasilkan oleh Omar sendiri adalah tongkat tengah yang boleh ditarik dengan tangan. Omar pertama kali melihat mekanisme ini semasa di Abu Dhabi, tetapi itu adalah untuk tongkat tepi, dan beliau memperbaiki rekaan tersebut untuk digunakan sebagai tongkat tengah. Lagipun, menurut beliau, motosikal ini nampak lebih selari apabila duduk di atas tongkat tengah. Perkara itu memang betul, tapi saya lebih kagum dengan betapa banyaknya perkara yang perlu difikir hanya untuk menghasilkan tongkat tengah.

    Omar juga ada meletakkan tanda unik Malaysia pada motosikal ini. Sebagai contoh, tempat duduk serta pemegang motosikal ini mungkin nampak seperti rekaan berpetak biasa bagi sesetengah orang. Tapi sebenarnya, ia adalah besi yang dianyam, dan kemudiannya dibentuk. “Besi yang dianyam”… bunyinya sahaja sudah luar biasa, dan bayangkan pula betapa susahnya Omar membuat bahagian itu, terutamanya yang digunakan untuk bahagian pemegang.

    Rasa-rasa anda berapa lama yang diambil oleh Omar untuk menyiapkan Bone X ini? Satu tahun? Dua tahun? Tiga tahun? Jawapan sebenarnya adalah cuma sekitar enam bulan sahaja. Omar memulakan projek ini lepas Hari Raya Aidilfitri lalu, dan akhirnya berjaya disiapkan penghujung bulan November 2017. Beliau berusaha sehabis boleh kerana tahu ini adalah peluang terbaik untuk memenangi tempat ke AMD Championship. Dan ya, Omar berjaya.

    Tetapi, beliau masih belum berpuas hati dengan motosikal yang ada sekarang, terutamanya kemasan akhir dan perincian. Demi memastikan beliau ke sana dengan harapan untuk menang, dan bukannya sekadar membuat penampilan, beliau akan membuka semula motosikal ini untuk diperelok. Beliau juga sedang mencari penaja kerana kos dijangka akan bertambah.

    Antara bahagian yang akan diperbaiki oleh Omar adalah termasuk rim, serta seperti yang dikatakan tadi, perincian akhir permukaan besi motosikal ini. Namun apa yang pasti, Omar akan mengekalkan penggunaan warna krom ataupun warna asal besi dengan lapisan cat jernih. Beliau tidak mahu juri terganggu dengan cat yang meriah dan mahukan mereka lebih melihat kepada aspek kejuruteraan motosikal ini.

    Begitulah kisah Omar dan Bone X, yang akan menjadi pembina motosikal pertama dari Malaysia yang akan menjadi wakil kita ke pertandingan tertinggi motosikal kustom dunia di Jerman tahun depan. Harapannya nanti, Omar akan berjaya membuktikan Malaysia juga mempunyai pembina motosikal yang berkualiti dan boleh disegani di mata dunia. Saksikan juga video di bawah yang menunjukkan bunyi Bone X serta sebagai bukti motosikal ini memang boleh beroperasi.

     
     
  • Pusat 3S Volkswagen di Seremban kini dilancarkan

    Pusat 3S Volkswagen di Seremban kini dilancarkan

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan HICOM Auto Sdn Bhd (HICOM Auto) hari ini melancarkan penambahan terbaharu dalam rangkaian Volkswagen iaitu Pusat 3S Volkswagen Seremban. Ia merupakan satu-satunya pusat yang diiktirafkan oleh Volkswagen di Negeri Sembilan dan Pusat 3S Volkswagen kedua oleh HICOM Auto selepas Volkswagen Semenyih.

    Memiliki keluasan lebih daripada 24,735 kaki persegi, bilik pameran Pusat 3S Volkswagen Seremban ini mampu menempatkan sehingga lapan buah kenderaan, sebuah lounge dan 13 ruang servis yang dikendalikan oleh 18 orang kakitangan selepas jualan berpengalaman dan berupaya menyelenggara sehingga 20 buah kenderaan sehari.

    Terletak di kawasan industri Oakland yang strategik dan menjadi hab automotif di Seremban, pusat 3S ini menelan kos pelaburan awal berjumlah RM1.5 juta daripada HICOM Auto untuk pembangunan, pembelian peralatan yang diluluskan oleh Volkswagen, latihan dan pemerolehan kakitangan, ia dapat memenuhi keperluan pelanggan di Seremban 2 serta Negeri Sembilan.

    Pusat 3S Volkswagen di Seremban kini dilancarkan

    Sebagai perkhidmatan nilai tambah, Pusat 3S Volkswagen Seremban juga menyediakan perkhidmatan “Pengambilan & Penghantaran” kenderaan kepada para pelanggan yang tinggal dalam lingkungan 5 km daripada pusat ini. Bagi memudahkan para pelanggan, penasihat jualan Pusat 3S ini juga boleh menghantar kereta baharu ke rumah atau pejabat di atas permintaan.

    “Kami mempunyai hubungan yang baik dengan HICOM Auto dan DRB-HICOM. Kami dapat rasakan bahawa Pusat 3S ini membuktikan komitmen Kumpulan HICOM. Tahniah kepada HICOM Auto atas pelancaran pada hari ini. Terima kasih atas komitmen anda terhadap jenama ini,” ujar Erik Winter, Pengarah Urusan VPCM.

    Menurut Ketua Automotif, Bahagian Pengedaran Automotif dan Pengilangan & Kejuruteraan DRB-HICOM Berhad, Rohime Shafie pula, “Kami yakin bahawa kolaborasi di antara Volkswagen dan DRB-HICOM yang merupakan jenama peneraju dalam industri ini akan terus merintis jalan ke arah kerjasama yang memberi manfaat bersama dalam jangka masa panjang. Pusat 3S Volkswagen Seremban akan menjadi penanda aras terhadap penambahbaikan rangkaian kami, dari segi perkhidmatan jualan dan selepas jualan.”

    Pusat 3S Volkswagen Seremban dibuka dari Isnin hingga Sabtu mulai jam 8.30 pagi hingga 7 malam. Pada hari Ahad dan cuti umum, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Perkhidmatan selepas jualan pula dibuka dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan 8.30 pagi hingga 1 tengahari pada hari Sabtu.

     
     
  • SIC terima Anugerah Grand Prix Terbaik musim 2017

    SIC terima Anugerah Grand Prix Terbaik musim 2017

    Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru sahaja menerima Anugerah Grand Prix Terbaik bagi musim 2017 dan ini adalah pengiktirafan yang sama buat kali kedua bagi SIC. Pada tahun 2012 lalu, SIC juga pernah menerima pengiktirafan yang sama.

    Anugerah Grand Prix Terbaik ini diberikan kepada SIC selepas ia dinilai oleh oleh Suruhanjaya Grand Prix yang disertai Dorna Sports SL, Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) dan IRTA, laporan Berita Harian.

    Menurut CEO SIC Datuk Razlan Razali, ia satu penghormatan untuk menerima anugerah berkenaan sekali gus membuktikan kemampuan SIC untuk menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia.

    “Ini membuktikan dedikasi dan keupayaan pasukan kami untuk menganjurkan acara antarabangsa yang diiktiraf oleh badan induk dunia seperti FIM dan Dorna (pemegang hak komersial dan televisyen untuk kejuaraan). Terdapat 18 sirkit dan penganjur musim ini dan kami dipilih. Ia satu berita gembira buat Malaysia terutamanya peminat dan sudah tentu anugerah ini akan menambahkan lagi semangat staf SIC,” katanya.

    Pengiktirafan ini diberikan atas faktor GP Malaysia 2017 yang berlangsung di SIC telah menunjukkan peningkatan dalam jumlah kehadiran penonton dan sepanjang tiga hari perlumbaan, seramai 166,486 penonton hadir ke Sepang berbanding 161,533 pengunjung pada tahun lalu.

     
     
  • Porsche 911 generasi seterusnya mungkin dapat penjana kuasa plug-in hybrid sebagai pilihan – CEO

    Porsche 911 generasi seterusnya mungkin dapat penjana kuasa plug-in hybrid sebagai pilihan – CEO

    Porsche telah memiliki beberapa barisan model 911, dan baru-baru ini CEO Porsche Oliver Blume berkata, “adalah lebih penting bagi 911 untuk menerima penjana kuasa plug-in hybrid.”

    Menurut laporan Automotive News, 911 generasi seterusnya yang dirancang bakal mula dijual pada 2019, namun versi plug-in hybrid bagi kereta sport ini hanya akan menyertai barisan ini semasa proses kitaran pertengahannya yang bakal dipertingkatkan. Mungkin dalam empat tahun lagi apabila model 911 yang seterusnya diperkenalkan, tahun 2023 barangkali.

    “Kami akan tampilkan plug-in hybrid dengan generasi bateri akan datang dan langkah evolusi yang seterusnya,” ujar Blume memberitahu syarikat penerbitan berkenaan. Walau bagaimana pun, keputusan akhirnya belum dimuktamadkan, tetapi “ia pendapat saya yang kita akan mendapatkannya,” ujarnya.

    Porsche 911 generasi seterusnya mungkin dapat penjana kuasa plug-in hybrid sebagai pilihan – CEO

    Sebelum ini, jurucakap Porsche memberitahu teknologi yang bakal digunakan pada 911 seterusnya akan membolehkan integrasi bagi penjana kuasa elektrik dan syarikat berkenaan buat masaini masih tidak memperincikan semua pilihan, terutamanya berkaitan dengan spesifikasi enjin. Malah sumber dalaman syarikat juga pernah mengesahkan tentang elektrifikasi 911, dalam bentuk prototaip.

    Blume mensasarkan untuk integrasi sistem bateri 47 Ah bagi 911 plug-in hybrid ini, di mana ia boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 69 km dalam pengecasan penuh, maka jurutera di Porsche bekerja keras untuk membangunkan teknologi bateri generasi seterusnya. Seperti yang Blume katakan, “potensi lebih bagus dengan bateri generasi seterusnya ini.”

    Kalau dah mula bercerita mengenai plug-in hybrid, bagaimana pula dengan 911 EV? Mungkin dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang. Kita beri peluang untuk Porsche mengembangkan teknologinya setaraf dengan keperluan dan kehendak semasa.

     
     
  • Caltex perkenalkan siri kereta mainan Justice League

    Caltex perkenalkan siri kereta mainan Justice League

    Kalau anda memang pengumpul kereta mainan dan peminat berat DC Comics, ini ada berita baik; Caltex akan menawarkan siri model kereta Justice League bagi pemegang kad dan ahli JourneyTM. Bermula dari sekarang hingga 31 Januari 2018, anda boleh mendapatkannya dari stesen minyak Caltex terpilih.

    Sebanyak enam model kereta mainan mini berserta adiwiranya ditawarkan. Caranya juga mudah; hanya perlu belanjakan minimum RM25 untuk isian petrol atau diesel di mana-mana stesen Caltex yang terlibat, anda layak membeli model mainan berkenaan pada harga RM15. Bagi pemegang kad ahli Caltex Journey atau B Infinite, mereka juga boleh menebus menggunakan mata terkumpul yang ada.

    Caltex perkenalkan siri kereta mainan Justice League

    Tapi, ia tak habis dengan enam model kereta sahaja; model ketujuh yang menjadi kereta edisi istimewa Justice League turut beredar dalam jumlah terhad. Ini juga didatangkan sekali dengan kit eksklusif Justice League untuk melengkapkan koleksi anda. Semua ini ditawarkan sekali stok masih ada.

    Jadi, kalau berminat, bolehlah cari sendiri di stesen-stesen minyak Caltex yang ada.

     
     
  • Aria FXE – hypercar hibrid 6.2L V8 berkuasa 1,150 hp!

    Aria FXE – hypercar hibrid 6.2L V8 berkuasa 1,150 hp!

    Aria FXE mencuri tumpuan di Los Angeles Motor Show baru-baru ini kerana ia hypercar hibrid baharu yang memiliki sehingga 1,150 hp (850 kW)!

    Bakal dijual pada tahun 2019, hypercar hibrid dari Aria Group yang berpengkalan di California, Amerika Syarikat ini merupakan kenderaan produksi pertama dari syarikat berkenaan.

    Ia ditampilkan dengan enjnm 6.2 liter supercharged V8 yang dipasang di bahagian tengah, dipadankan bersama dua motor elektrik pada gandar hadapan dan pek bateri 10kWh. Aria mendakwa padanan enjin yang berprestasi tinggi ini mampu menghasilkan kombinasi kuasa sehingga 1,150 hp dengan tork puncak 1,785 Nm, bersama transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.

    Aria FXE – hypercar hibrid 6.2L V8 berkuasa 1,150 hp!

    Seberat 1,565 kg, Aria FXE ini dikatakan mampu dipacu dari 0-96 km/j dalam hanya 3.1 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 354 km/j. Sekaligus meletakkan ‘setaraf’ dengan Ferrari LaFerrari, McLaren P1 dan Porsche 918.

    Biarpun Mercedes-AMG Project One dan Aston Martin Valkyrie juga akan mula dipasarkan sekitar masa yang sama, namun FXE disasarkan mampu menjadi kenderaan yang sesuai untuk dilenjan di litar lumba dan juga jalan raya biasa.

    Aria FXE juga ditampilkan dengan rekaan yang bersifat aerodinamik, dengan banyak splitter, wings dan gril di bahagian luarannya. Bukan itu sahaja, imejnya juga diserlahkan dengan lampu utama yang lebih menonjol dengan peresap belakang yang lebih besar. Ia turut dipadankan dengan roda 20-inci di hadapan dan 21-inci di belakang dengn dibaluti tayar Pirelli P Zero Trofeo R.

    Menurut laporan, hanya kurang daripada 400 unit Aria FXE yang bakal diproduksi, dan harganya bergantung pada aplikasi, iaitu bermula US$1 million (RM4,083,466). Untuk pengetahuan, Mercedes-AMG Project One pula berharga €2.17 juta (RM10.9 juta). Mana satu yang menjadi dambaan hati anda?

     
     
  • TVS Apache RR 310 2018 dilancarkan di India – asas dari BMW Motorrad G 310, 34 hp, harga RM12,939

    TVS Apache RR 310 2018 dilancarkan di India – asas dari BMW Motorrad G 310, 34 hp, harga RM12,939

    Mungkin ramai yang sudah tahu, pengeluar motosikal dari India, TVS merupakan rakan pengeluar BMW Motorrad yang bertanggungjawab memperkenalkan model-model seperti G 310 R (RM26,900) dan G 310 GS, yang turut masuk ke pasaran Malaysia.

    Selepas banyak desas-desus yang bertiup berkaitan sama ada versi fairing penuhnya akan diperkenalkan atau tidak, TVS tidak menunggu lama untuk menjawabnya; syarikat itu hari ini melancarkan versi berkenaan – menjadi penampilan globalnya yang pertama – dengan nama TVS Apache RR 310 2018 yang dijual pada harga 2.05 lakh rupee (RM12,939).

    TVS Apache RR 310 2018 dilancarkan di India – asas dari BMW Motorrad G 310, 34 hp, harga RM12,939

    Model itu menggunakan asas yang sama dengan siri motosikal BMW Motorrad G 310; TVS Apache ini menggunakan enjin 313 cc sejukan cecair, silinder tunggal yang menghasilkan 34 hp dan 28 Nm tork dengan kerangka trellis yang digunakan. Mengikut data yang dikeluarkan oleh TVS, enjin berkenaan mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.0 saat, dengan kelajuan maksimum 160 km/j.

    Model ini pertama kalu diisyaratkan dengan nama “Akula” – jerung dalam bahasa Rusia – dua tahun lalu, Apache 310 RR direka memang untuk memenuhi prestasi jentera di litar, sesuai dengan sejarah panjang 35 tahun syarikat berkenaan.

    TVS Apache RR 310 2018 dilancarkan di India – asas dari BMW Motorrad G 310, 34 hp, harga RM12,939

    Suspensi menggunakan unit Kayaba, dengan fork terbalik warna emas 41 mm, dengan sebuah penyerap hentak monoshock dengan larasan beban. Brek pula menggunakan unit Bybre dengan kaliper empat-piston – produk mampu milik jenama Brembo – dengan cakera 300 mm. Brek belakang pula dengan cakera 240 mm kaliper tunggal. Paparan meter utama menggunakan skrin LCD.

    Lampu menggunakan jenis LED; LED projektor didepan dilengkapi juga dengan DRL LED, begitu juga dengan lampu LED di belakang. Dua warna ditawarkan sebagai pilihan, merah dan hitam kesat, dengan serahan di India jangka akan dilakukan bulan hadapan.

     
     
  • Harga minyak mingguan 7-13 Disember – semua turun

    Harga minyak mingguan 7-13 Disember – semua turun

    Minggu lalu, selepas harga mingguan bagi petrol yang diumumkan tidak berubah – melainkan harga diesel yang naik sebanyak dua sen – perkembangan minggu ini lain pula ceritanya. Semua harga runcit bahan api akan turun antara satu dan empat sen untuk tempoh seminggu ke hadapan.

    Harga petrol akan turun sebanyak satu sen, menjadikan RON 95 dijual pada harga RM2.29 seliter manakala petrol RON 97 pula pada harga RM2.57 seliter.

    Sementara itu, diesel akan menjadi lebih murah, turun empat sen berbanding minggu lepas. Diesel Euro 2 akan dijual pada harga RM2.21 seliter, manakala diesel Euro 5 – seperti biasa akan mahal 10 sen – akan dijual pada harga RM2.31 seliter.

     
     
  • BMW dedah perancangan untuk model elektrik – 25 model baru menjelang tahun 2025, platform serbaguna

    BMW dedah perancangan untuk model elektrik – 25 model baru menjelang tahun 2025, platform serbaguna

    BMW adalah antara pengeluar yang serius dengan kenderaan kuasa elektrik. Terbaru, syarikat itu mendedahkan perancangan masa hadapan berkenaan model jenis itu, yang akan menyaksikan kelahiran 25 model baru (termasuk 12 kereta elektrik sepenuhnya) menjelang tahun 2025.

    Paling dekat, pada tahun hadapan BMW akan mengeluarkan i8 Roadster, yang dilengkapi dengan e-technology generasi keempat, bersama MINI Cooper S E Countryman plug-in hybrid. Selepas itu, akan datang pula tiga kereta elektrik kuasa bateri (BEV) iaitu MINI elektrik penuh pada tahun 2019, BMW X3 elektrik penuh pada 2020 dan BMW iNEXT.

    BMW iNEXT, yang dirancang untuk tahun 2021 memberi penanda kemasukan BMW ke dalam generasi kelima e-technology. Struktur binaan kenderaan fleksibel yang sering dikatakan juga dijangka muncul pada waktu ini, di mana ia boleh diguna untuk pelbagai sistem plug-in hybrid seperti pacuan roda hadapan, belakang sahaja atau semua roda sekali. Turut dimasukkan adalah kemampuan pemanduan autonomous.

    Semua kenderaan BEV BMW masa hadapan akan mendapat manfaat daripada HEAT ataupun High-integrated Electric Drive Train, iaitu tetapan di mana motor elektrik, kotak gear dan sistem elektroniknya berada dalam satu perumah aluminium serba ringan. Kuasa disampaikan kepada sistem tersebut melalui satu daripada tiga kit bateri modular, dengan kapasiti antara 60 kWh (jangkaan jarak gerak 450 km), 90 kWh (550 km) dan 120 kWh (700 km).

    BMW dedah perancangan untuk model elektrik – 25 model baru menjelang tahun 2025, platform serbaguna

    Setiap satunya juga akan menerima lencana nama sendiri iaitu 30e, 40e dan 50e. Nombor ini menggambarkan jarak pergerakannya manakala bateri berkapasiti lebih rendah akan digunakan untuk model kompat dan eksekutif, manakala bateri berkapasiti lebih tinggi untuk model yang lebih mewah.

    Model BEV pacuan roda hadapan yang disasarkan untuk penjualan besar-besaran akan mendapat motor elektrik yang terletak di hadapan, dengan kuasa sehingga 100 kW (134 hp), dan jarak penggunaan sehingga 300 km. Model pacuan roda belakang pula akan mendapat motor elektrik yang lebih berkuasa, iaitu sehingga 200 kW (268 hp).

    Sementara itu, BEV dengan orientasi prestasi pula boleh menerima sehingga tiga motor elektrik berkuasa 200 kW (268 hp), dengan satu daripadanya diletak di hadapan, manakala dua lagi di gandar belakang. Apabila digabungkan, kereta ini boleh menghasilkan sehingga 800 hp, dan ada di antara model tersebut akan dilengkapi dengan sistem Torque Vectoring. Menurut BMW, pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah tiga saat berkemungkinan boleh dicapai.

    BMW dedah perancangan untuk model elektrik – 25 model baru menjelang tahun 2025, platform serbaguna

    Seperti yang ditunjukkan dalam salah satu gambar, sistem penggerak elektrik ini akan datang dalam pelbagai “saiz”, dengan pilihan sistem 100 kW (134 hp) atau 190 kW (255 hp) untuk model BEV permulaan. Model prestasi akan mendapat sama ada sistem 250 kW (335 hp) atau 300 kW (lebih 402 hp). Terdapat juga tetapan plug-in hybrid baru dengan motor elektrik berkuasa 150 kW (201 hp).

    BMW juga memberitahu mereka tidak akan lagi mengikuti langkah yang dilakukan dengan i3 dan i8, kerana kedua-duanya dibina atas platform yang rumit. Sebaliknya, dua platform berbeza akan digunakan pada masa hadapan iaitu satu adalah bersi platform UKL pacuan roda hadapan yang diperbaharui (dilaporkan dipanggil sebagai FAAR), manakala satu lagi adalah versi baru CLAR untuk pacuan roda belakang.

    Semua ini adalah untuk model biasa, tetapi bagaimana pula dengan model prestasi BMW M? Cabang prestasi syarikat itu juga sedang melihat kemungkinan untuk menggunakan kuasa elektrik pada modelnya, tetapi ia masih tidak diberitahu dalam pelan perancangan yang didedahkan ini.

     
     
  • Volkswagen Malaysia jual Beetle Edisi Terhad secara eksklusif di Lazada – 12 unit, dua varian dan RM112k!

    Volkswagen Malaysia jual Beetle Edisi Terhad secara eksklusif di Lazada – 12 unit, dua varian dan RM112k!

    Baru-baru ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan SEA Lazada Malaysia telah mengumumkan satu kolaborasi bersejarah yang bakal menyaksikan 12 unit Volkswagen Beetle dijual secara dalam talian.

    Kerjasama itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki sebuah Volkswagen Beetle edisi terhad yang eksklusif. Ia boleh dibeli dengan mudah menerusi platform Lazada sempena kempen Online Revolution Lazada yang bermula 12 hingga 14 Disember 2017.

    Hanya 12 unit Beetle edisi terhad akan dijual secara dalam talian pada harga RM112,112 seunit (tanpa pendaftaran dan insurans). Tawaran ini hanya sah di Semenanjung Malaysia sahaja. Ia turut didatangkan dengan jaminan pengeluar dan bantuan tepi jalan selama lima-tahun.

    Volkswagen Malaysia jual Beetle Edisi Terhad secara eksklusif di Lazada – 12 unit, dua varian dan RM112k!

    Beetle edisi terhad didatangkan dalam dua rekaan iaitu “Herbie 53” dalam warna putih (Pure White) dan putih perak (White Silver) serta “Hot Bug” yang berwarna merah (Tornado Red).

    Kedua-duanya masih dijana enjin 1.2 TSI pengecas turbo empat-silinder berkuasa 105 PS dan tork 175 Nm, digandingkan bersama transmisi klac-berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan. Begitu juga ciri keselamatan, ia diberikan sistem brek ABS dengan EBD, ESC, bantuan mula mendaki, kawalan jarak parkir (hadapan/belakang), empat beg udara dan cagak Isofix.

    Ia turut ditampilkan dengan stereng multi fungsi yang dibalut kulit, skrin sentuh ‘Composition Colour’ bersaiz 5.8-inci dengan ciri USB, Bluetooth, lapan-unit pembesar suara dan fabrik ‘Pepita’ pada tempat duduknya.

    Volkswagen Malaysia jual Beetle Edisi Terhad secara eksklusif di Lazada – 12 unit, dua varian dan RM112k!

    “Pembelian kereta edisi terhad yang ikonik ini melalui platform e-dagang adalah sesuatu yang belum pernah kami lakukan. Ini memang sejarah pertama buat Volkswagen, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Lazada atas peluang untuk bekerjasama, dan tidak ketinggalan juga rakan-rakan pengedar kami untuk sokongan yang diberikan terhadap inisiatif ini,” ujar
    Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

    Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel pula berkata, “Di Lazada Malaysia, kami sentiasa berusaha untuk menawarkan perkhidmatan yang boleh memberi pengalaman kepada pelanggan dan akhirnya mampu memenuhi keperluan rakyat Malaysia dengan lebih baik. Kolaborasi ini merupakan bukti bahawa pelanggan boleh membeli apa sahaja menerusi platform kami dengan kereta dijual secara dalam talian buat pertama kalinya di Malaysia.”

    Pelanggan yang berminat untuk memiliki Beetle ini hanya perlu melayari platform Lazada dan membeli satu Welcome Kit pada harga RM5,000 yang bertindak sebagai yuran tempahan pra-pembayaran. Welcome Kit ini mengandungi satu rantai kunci Volkswagen dan kad Touch & Go edisi terhad dengan nilai RM100. Sebaik sahaja pembelian dimuktamadkan, pelanggan akan dihubungi oleh wakil Volkswagen bagi membolehkan mereka memilih pengedar serta menyempurnakan proses pembelian.

    GALERI: Volkswagen Beetle Edisi Merdeka ke-60

     
     
  • Lamborghini Urus – super SUV dapat plug-in hybrid?

    Lamborghini Urus – super SUV dapat plug-in hybrid?

    Baru saja beberapa hari ia diperkenalkan di peringkat global, Lamborghini Urus yang menggunakan enjin pengecas turbo, pertama kali dalam sejarah jenama ini, kini dikatakan bakal dielektrifikasi.

    Auto Express melaporkan versi hibrid bagi super SUV ini adalah “diperlukan” menurut sumber dalaman syarikat terbabit, dan ia mungkin akan tiba sebelum akhir dekad ini. “Kami perlu menawarkannya (hibrid) sebagai pilihan,” syarikat penerbitan itu dimaklumkan.

    Kereta elektrifikasi memang telah terbukti mampu mencapai jualan yang memberangsangkan, seperti di China dan Jepun (pasaran penting bagi syarikat Sant’Agata) dengan cukai mereka yang tinggi. Buat masa ini, Urus hanya boleh didapati dengan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 yang dipadankan bersama kotak gear auto lapan-kelajuan.

    Namun, memandangkan ia menggunakan platform yang sama seperti Porsche Panamera generasi kedua, ada kemungkinan Urus akan menerima penjana kuasa plug-in hybrid sebagaimana Panamera Turbo S E-Hybrid. Pada Porsche, sistem yang dipadankan bersama 4.0 liter biturbo V8 550 hp dan dengan motor elektrik, menjadikan keseluruhan kuasa mampu mencecah 680 hp dan tork 850 Nm, lebih berprestasi untuknya memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.4 saat.

    Angka ini agak dekat dengan penjana kuasa petrol Urus iaitu 650 hp dan 850 Nm (0-100 km/j dalam 3.6 saat), jadi dijangka versi hibrid memiliki ledakan yang lebih berkuasa, mungkin kurang setengah saat itu.

    Selain penambahan kuasa, Urus juga mungkin menjadi model produksi pertama Lamborghini yang boleh dipandu secara senyap sepenuhnya. Panamera yang memiliki kuasa elektrik mampu bergerak sejauh 50 km dalam pengecasan penuh, dan tidak mustahil untuk Lamborghini untuk ke arah yang sama.

    GALERI: Lamborghini Urus

     
     
  • Lexus LF-1 Limitless – teaser crossover konsep baru

    Lexus LF-1 Limitless – teaser crossover konsep baru

    Untuk pameran North American International Auto Show (NAIAS) tahun hadapan, Lexus akan memperkenalkan kenderaan konsep LF-1 Limitless, yang dikata akan memberi gambaran kepada crossover perdana baru bagi jenama itu.

    Untuk masa sekarang dalam barisan SUV Lexus, model paling atas adalah LX, dan kemudiannya diikuti oleh GX, RX dan NX. Memandangkan LX generasi ketiga sudah berada agak lama dalam pasaran, model konsep ini mungkin adalah gambaran bagi model penggantinya.

    Imej teaser yang disiarkan berkenaan LF-1 Limitless hanya memberikan pandangan bucu belakangnya sahaja, tetapi ia jelas menampakkan rekaan yang dramatik. Lampu belakangnya kelihatan bersambung dari kiri ke kanan, terdapat spoiler yang terbahagi dua, lencana berlampu biru dan panel paparan digital dalam kenderaan.

    Menurut Lexus lagi, model konsep ini adalah hasil kerja oleh CALTY Design Research, yang merupakan cawangan bagi pusat rekaan Toyota di Amerika Utara, terletak di Selatan California. Mereka ini juga adalah pasukan sama yang terlibat dalam pembangunan konsep Toyota FT-1.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025