Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lexus IS facelift bakal dipamerkan di Auto China 2016

    Lexus-IS-Facelift-Teaser

    Lexus telah mengumumkan akan memperkenalkan model facelift bagi Lexus IS di Auto China 2016 yang bakal berlangsung di Beijing minggu hadapan.

    “Model baharu akan datang ini pastinya akan membawakan sesuatu yang lebih menarik termasuk rekaan signatur Lexus. Malah rekaan yang penuh evolusi dengan impak visual yang mempersona, pasti mampu menambat perhatian ramai,” ujar Lexus dengan penuh keyakinan.

    Dari imej pengenalan yang disebarkan ini, nampak bagai tiada perubahan besar yang dilakukan pada gril yang menjadi singnatur Lexus ini kerana ia masih mendominasi imej hadapan model ini. Malah ia turut menampilkan jaluran lampu nyalaan siang yang dijarakkan dengan perumah lampu utama.

    Walau bagaimana pun, lampu utamanya hadir dengan rekaan baharu termasuk menampilkan rasuk utama dengan tiga sluster kecil pada bahagian sudutnya, tidak seperti Lexus LC. Malah bentuk bampar hadapanya juga diberikan suntikan yang lebih segar.

    Imej luaran dan dalaman serta penjana kuasanya akan didedahkan minggu hadapan, jadi kena tunggu apa lagi perubahan atau pembaharuan yang dibawakan untuk model IS facelift ini.

    Baca ulasan pandu uji Lexus IS 200t F di sini.

    GALERI: Lexus IS 200t F Sport

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga, Perdana 2016 dikesan lagi

    20160417_180715-e1461061865241

    Proton Saga 2016 dan abangnya, Perdana 2016 dikesan lagi sedang diuji, terima kasih kepada pembaca Rezwa666 dan Rulf Federico, yang menghantar foto-foto ini. Pastinya detik pelancaran kedua-dua model ini kian menghampiri terutamanya Perdana 2016 yang dikatakan akan diperkenalkan dalam masa terdekat ini.

    Jika dilihat pada Saga 2016, telah banyak juga sudut yang kita sudah lihat berdasarkan foto-foto spyshot sebelum ini. Ini termasuklah lampu belakang dengan bentuk trapezoidal tiga-dimensi berbanding bentuk segitiga pada Saga sedia ada. Tidak seperti FLX, ia mungkin menggunakan lampu jenis-mentol konvensional berbanding LED.

    Selain itu, cermin belakang juga lebih kontras berbanding model Saga sedia ada, bersama tiang-C. Menjadikan garisannya nampak lebih landai ke belakang, selain pemegang pintu seperti yang digunakan pada Iriz, turut kelihatan. Malah spyshot sebelum ini juga turut menampakkan bahagian hadapan yang turut mengalami perubahan, termasuk lampu utama yang dibentuk semula serta rekaan diubah untuk gril dan bampar.

    13059287_1245291878816705_768331234_n

    Buat setakat ini, masih tiada perkhabaran rasmi mengenai perincian teknikal, namun Saga mungkin akan menggunakan enjin Iriz iaitu 1.3 liter VVT dan pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan atau CVT. Malah Proton telah mengumumkan enjin 1.0 liter dan 1.2 liter tiga-silinder mungkin ditampilkan bagi model akan datang iaitu menjelang akhir 2017. Malah enjin 1.0 liter pengecas turbo juga mungkin ditampilkan.

    Bagi Perdana 2016 pula, memang banyak perubahan yang dilakukan. Ini termasuklah menampilkan lampu nyalaan siang LED, lampu isyarat yang diletakkan pada sudut kluster lampu utama. Cermin sisi juga diletakkan pada perumah indikator. Selain itu, Perdana baharu ini juga kelihatan turut menampilkan lampu belakang LED.

    Perdana 2016 ini bakal diproduksikan di Kilang Pengeluaran Sederhana Proton di Shah Alam. Walau pun cuba ‘lari sedikit’ dari terus dibayangi imej Honda Accord, namun Perdana 2016 ini masih mengekalkan enjin Honda 2.0 liter i-VTEC (154 hp/189 Nm) dan 2.4 liter i-VTEC (177 hp/222 Nm) dengan transmisi automatik lima-kelajuan.

    Malah Proton turut mengesahkan model penambah baik Perdana ini dijangka diperkenalkan pada akhir 2017 di mana ia bakal menerima enjin baharu iaitu NE01 2.0 liter empat-silinder, berdasarkan model enjin Petronas E01 yang dibeli oleh pengeluar kereta nasional ini pada tahun 2012. Dan mungkin juga akan mempertimbangkan pemilihan enjin baharu 1.5 liter pengecas turbo, suntikan-terus TGDI, yang dikatakan mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 hp dan tork 250 Nm.

    GALERI: Prebiu Proton Perdana 2016

    GALERI: IMej imaginasi Proton Perdana 2016

     
     
  • Karnival Mania Harley-Davidson pada 23-24 April ini

    2016 Harley-Davidson Iron 883 and Forty-Eight -6

    Bagi para peminat Harley-Davidson, inilah peluang terbaik untuk anda melihat, memilih dan mungkin membeli mana-mana model motosikal yang digemari. Mungkin juga Harley-Davidson Iron 883 dan Forty-Eight Dark Customs 2016 mampu menarik perhatian anda.

    Semua model Harley-Davidson masa kini akan dipamerkan di Karnival Mania 2016 yang bakal berlangsung di Harley-Davidson Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 23 dan 24 April ini dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

    Semua model Harley-Davidson masa kini akan dipamerkan di Karnival Mania 2016 yang bakal berlangsung di Harley-Davidson Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 23 dan 24 April ini dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Selain melihat model masa kini Harley-Davidson, pelbagai barangan cendehati dan aksesori motosikal turut akan ditawarkan dengan potongan harga istimewa.

    Semua model Harley-Davidson masa kini akan dipamerkan di Karnival Mania 2016 yang bakal berlangsung di Harley-Davidson Kuala Lumpur, Petaling Jaya pada 23 dan 24 April ini dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Bukan itu sahaja, Harley-Davidson juga akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai oleh para pengunjung termasuklah kanak-kanak.

     
     
  • Chana Era Star II varian pikap dan van dilancarkan untuk pasaran Malaysia – harga bermula RM49k

    Chana-Era-Star-II-van-08_BM

    Berjaya China Motors telah melancarkan trak pikap dan van Chana Era Star II. Untuk versi pikap, ia didatangkan dengan pilihan cab tunggal dan cab berkembar dan boleh dipilih dalam enam varian iaitu badan kayu, badan besi, luton, van pasar malam dan kafe bergerak. Untuk Chana Era Star II versi van pula ia boleh dipilih dalam varian van panel penuh atau van semi-panel.

    Untuk model pikap cab tunggal, ia diukur dengan panjang 4,560 mm, manakala untuk model cab berkembar pula ia diukur lebih panjang dengan ukuran 4,660 mm. Ukuran dimensi lain adalah sama untuk kedua-dua varian cab iaitu lebar 1,620 mm, tinggi 1,890 mm dan jarak roda 2,900 mm. Dek pada cab tunggal pula diukur dengan dimensi panjang 2,750 mm dan dan lebar 1,520 mm, manakala lebar dek pada model cab berkembar adalah sama tetapi ia diukur sedikit pendek dengan ukuran 2,060 mm.

    Berat bersih varian cab tunggal ditimbang dengan 2,150 kg berkeupayaan membawa beban berkapasiti 950 kg. Manakala untuk varian cab berkembar pula, ia mempunyai berat bersih 2,135 kg dengan keupayaan membawa beban berkapasiti 650 kg.

    Untuk model van pula, kedua-dua varian Era Star II diukur dengan panjang 3,980 mm, lebar 1,620 mm dan tinggi 1,890 mm. Varian van panel penuh mempunyai ruang kargo dengan panjang keseluruhan 2,010 mm dan tinggi 1,370 mm serta dilengkapi dengan dua tempat duduk. Manakala untuk van semi-panel pula, ia dilengkapi dengan lima tempat duduk, dengan ruang kargo diukur mempunyai panjang 1,110 mm dan lebar 1,250 mm. Kedua-dua varian mempunyai jarak lebar keseluruhan 2,560 mm dan berat ditimbang pada 1,730 kg.

    Kesemua model Era Star II dilengkapkan dengan sistem suspensi bebas jenis topang McPherson di hadapan, dan untuk tujuan kerja berat, suspensi belakang dibekalkan dengan sistem suspensi jenis spring dedaun. Kesemua model juga dilengkapi dengan sistem brek konvensional cakera di hadapan dan dram di belakang dibantu unit servo brek jenis vakum.

    Kelengkapan standard yang dipadankan pada van Era Star II adalah termasuk bampar berwarna hitam, gril hadapan berwarna perak, lampu kabus hadapan, cermin sisi dengan warna badan, lampu brek ketiga dan lampu kombinasi belakang. Pada bahagian dalaman pula, van ini dilengkapi dengan tingkap kuasa di bahagian hadapan, penghawa dingin, unit radio dengan sambungan AUX dihubungkan kepada dua pembesar suara, lampu membaca (bahagian hadapan), kluster instrumen elektronik dan pelbagai lagi ciri lain.

    Ciri yang dinyatakan pada van tadi turut dilengkapi pada varian trak pikap. Ciri lain yang turut ditawarkan pada varian pikap adalah termasuk tayar gantian, pemanas, pelapik kaki kotak kargo (bahagian tepi dan belakang), cangkuk kotak kargo, kerangka portal, karpet PVC, pengunci stereng dan pelbagai lagi.

    Kedua-dua varian van dan pikap dijana oleh enjin petrol Euro 4 1.2 liter empat-silinder pancitan bahan-api pelbagai titik yang menghasilkan kuasa sejumlah 96 hp dan tork 120 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan. Kedua-duanya juga mempunyai tangki bahan api berkapasiti 40 liter, dan penggunaan bahan apinya pula dicatatkan pada kadar 6.5 liter untuk setiap 100 km perjalanan.

    Untuk van Chana Era Star II ia dijual pada harga bermula RM49,142.81 untuk van panel penuh dan RM50,801.71 untuk varian van semi-panel. Chana Era Star II varian pikap pula dijual pada harga bermula RM53,407.96 (badan kayu) hingga RM58,890.81 untuk kafe bergerak. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran termasuk GST. Setiap pembelian Chana Era Star II disertakan sekali dengan perlindungan waranti selama tiga tahun/60,000 km (yang mana tiba dahulu).

    GALERI: Van Chana Era Star II

    GALERI: Trak Pikap Chana Era Star II

     
     
  • JPJ ada kepakaran kesan kenderaan klon – KP

    Clone-cars-03

    Sebelum ini dilaporkan sebanyak 1,290 kenderaan klon bernilai lebih RM40 juta telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi di seluruh negara sejak Januari tahun lepas.

    Beberapa hari lalu, JPJ Selangor telah mengesahkan bahawa pihaknya berjaya mengesan dan menyita 164 buah kereta klon pelbagai model dengan nilai anggaran lebih RM2.5 juta sejak Januari lepas.

    Semakin banyak kenderaan klon yang berjaya dikesan dan disita, menampakkan keberkesanan usaha yang dilakukan oleh pihak JPJ yang makin aktif membanteras aktiviti ini.

    Hari ini, kenyataan mengenainya dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Sri Ismail Ahmad yang berkata JPJ mempunyai kepakaran untuk mengesan kereta klon, laporan Bernama.

    Kebanyakan kereta klon yang disita ialah kereta yang dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran termasuk Singapura dan sejak November 2014 hingga Mac 2016, JPJ menyita dan mengambil tindakan terhadap 1,535 buah kereta klon di seluruh negara.

    “Ia ditawar dengan harga berbeza mengikut jenis kenderaan daripada sekitar RM12,000 (sebuah) berbanding harga pasaran sebenar sekitar RM100,000. Antara kereta mewah yang menjadi pilihan pembeli ialah Toyota Wish, Honda, Subaru, BMW dan Mercedes Benz,” katanya.

    Beliau turut berkata sindiket menjual kereta klon biasanya akan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan jenis sama yang sah digunakan di negara ini tetapi menggunakan cukai jalan tidak sah.

    “Apabila maklumat dalam sistem JPJ berbeza dengan maklumat yang terdapat pada kenderaan itu, kami akan menyita kenderaan itu di bawah Seksyen 64 (1) dan seterusnya mengeluarkan saman di bawah seksyen 108 (3) (e) dan 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau.

    Ismail menasihatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan penjual kereta klon dan perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk langkah keselamatan.

     
     
  • Haval H7 yang diproduksi untuk pasaran domestik dipertontonkan pula di Beijing pada minggu hadapan

    haval-h7

    Ini merupakan Haval H7, SUV yang diproduksi untuk pasaran domestik, akan diperkenalkan di Auto China 2016 yang bakal berlangsung di Beijing minggu hadapan. Ia turut pernah dipertontonkan buat pertama kalinya di Shanghai setahun yang lalu, sepatutnya telah mula memasuki produksi.

    Kemudian ia muncul pula di Guangzhou pada November lepas, dan dikatakan memasuki proses terakhir produksi. Dan ada laporan mengatakan, ia bakal memulakan jualannya pada awal tahun ini, tetapi masih menjadi tanda tanya.

    Spesifikasi bagi model produksi sepatutnya tidaklah jauh berbeza dengan yang dipertontonkan di Guangzhou. Dengan ukuran sepanjang 4.7 meter, H7 ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 227 hp dan tork 350 Nm. Ia juga bakal dipadankan dengan transmisi klac-berkembar enam-kelajuan.

    Menurut Great Wall Motor, bagi aspek keselamatan, H7 bakal dilengkapi dengan kawalan kelajuan adaptif, brek kecemasan sendiri, pandangan sudut 360 darjah, paparan titik buta, amaran penukaran lorong dan amaran pelanggaran hadapan serta banyak lagi.

     
     
  • VIDEO: Teaser SUV Renault baharu yang mungkin dibina untuk menggantikan Renault Koleos

    Renault telah menyiarkan video teser pertama berkenaan model SUV baharu mereka, yang sebelum ini dijangka akan digelar sebagai Maxthon. Model yang dikatakan sebagai pengganti model Koleos sedia ada ini, pada asasnya adalah versi lebih besar Renault Kadjar yang turut mensasarkan pasaran SUV bersaiz lebih besar seperti Mitsubishi Outlander, Hyundai Santa Fe, Kia Sorento, dan juga Nissan X-Trail di mana ia dibina dengan asas yang sama dengan SUV terbaharu keluaran Renault ini.

    Video berkenaan dilihat sebagai episod pertama dari siri video yang bakal ditayangkan kelak oleh pihak Renault dan memberikan sedikit perincian tentang model baharu tersebut. Pada video yang disiarkan kali ini, Renault memaparkan sebahagian lampu hadapannya dan membayangkan SUV ini akan dilengkapi dengan lampu hadapan LED dengan rekaan berbentuk-C seperti rekaan pada sedan Talisman dan hatchback Megane IV, berbeza dengan rekaan berbentuk trapezoid pada Kadjar.

    Seperti disebutkan tadi, SUV baharu ini dibina berasaskan platform Common Module Family (CMF-CD) sama seperti Nissan X-Trail. Platform tersebut diukur dengan panjang 4,700 mm, dan akan mempunyai saiz yang hampir dengan pesaingnya yang lain, lebih besar sedikit daripada Honda CR-V serta Mazda CX-5 yang sedang disaingi oleh Kadjar sekarang.

    Walau bagaimanapun, tidak seperti pesaingnya yang lain, SUV Renault baharu ini tidak akan ditawarkan dalam varian tujuh-tempat duduk, sekurang-kurangnya pada peringkat awal pengenalannya. CEO Renault Thierry Bollore berkata kepada Auto Express: “Ia tidak bermaksud yang ianya tidak akan berlaku, tetapi buat masa sekarang ia tidak akan dilengkapi dengan tujuh tempat duduk.” Tambah beliau, SUV tersebut dibina dengan idea untuk menempatkan tujuh tempat duduk, jadi bentangan tempat duduk sedemikian mungkin akan wujud pada peringkat seterusnya.

    Ketua pereka bentuk Laurens van den Acker turut meredakan khabar angin yang SUV tersebut akan disediakan dalam varian tujuh-tempat duduk. “Saya tidak fikir ada ramai keluarga yang mempunyai empat orang kanak-kanak semata-mata untuk menghasilkan sebuah lagi model tujuh-tempat duduk,” kata beliau kepada Automotive News. Setakat ini mereka yang mahukan Renault dengan tempat duduk tambahan akan cenderung untuk memilih Espace dan Kangoo.

    SPYSHOT: SUV Renault baharu

     
     
  • Kahn Design akhiri produksi 68 tahun Land Rover Defender dengan edisi khas Kahn End Edition

    kahn-end-edition-LR-defender-2.2-TDCI-01_BM

    Kahn Design telah menghasilkan edisi penutup Land Rover Defender, yang telah dihentikan produksinya awal tahun ini selepas 68 tahun dalam pasaran. Edisi khas yang digelar The End Edition ini dihasilkan hanya 25 unit berasaskan model 2.2 TDCI XS 90 oleh divisi Chelsea Truck Company.

    Defender edisi terhad ini telah ‘disolek’ untuk penampilan terakhirnya. Pada bahagian luaran, ia dilengkapkan dengan kit badan yang lebih lebar pada bahagian fender hadapan dan panel badan belakang beserta liang udara bersepadu, dilekatkan menggunakan bol yang kelihatan. Dengan badan yang lebih lebar, ia turut dipadankan dengan roda Modial kemasan Volcanic Black berdiameter 20-inci dan dibalut dengan tayar bersaiz 275/55R20.

    Kenderaan 4×4 lagenda ini juga dilengkapi dengan mud-flap keras, jaring mesh pada liang hud, gril hadapan X-Lander dan juga bampar hadapan baharu dengan lampu bina-dalam serta pelindung takungan minyak. Bahagian mekanikalnya pula menyaksikan sistem suspensi Defender ini diinjak naik dan sistem ekzos asal digantikan dengan sistem ekzos twin cross-hair. Sistem pengurusan enjin juga dipertingkat menerusi penggunaan kotak komputer Kahn Power Upgrade bagi mendapatkan kuasa enjin yang lebih tinggi.

    Bahagian dalaman Kahn End Edition ini pula dilengkapi dengan tempat duduk GTB yang dibalut dengan kulit dan fabrik Harris Tweed pada bahagian hadapan dan belakang. Tema yang sama turut mendominasi kemasan pada glove box konsol tengah, papan pemuka, panel dan pemegang pintu, instrumen binnacle dan juga balutan bumbung. Kemasan pada bahagian dalaman ini dilengkapkan menerusi pemasangan jam Churchill, roda stereng balutan kulit Kahn, pemegang tuil gear billet dan juga pedal kaki aluminium.

    Versi edisi khas terakhir Land Rover Defender ini dijual pada harga £49,999 (RM277,000), hampir sekali ganda dari harga Defender Projet Kahn LR 110 XS versi hard top yang diperkenalkan akhir Disember lalu. Kereta ini juga turut disediakan dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri dan pemanduan sebelah kanan.

     
     
  • JPJ Selangor sita 164 kenderaan klon bernilai RM2.5j

    Clone-cars-03

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berjaya mengesan dan menyita 164 buah kereta klon pelbagai model dengan nilai anggaran lebih RM2.5 juta sejak Januari lepas.

    Menurut Pengarah JPJ negeri terbabit Nazli Md Talib, Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan, antaranya memiliki cukai jalan dan nombor plat palsu, laporan Bernama.

    Antara model kereta yang disita ialah kereta mewah jenis Mini Cooper, Lexus, BMW, Mercedes Benz dan termasuk juga Honda dan Toyota.

    Katanya lagi, individu yang gagal mendapat pinjaman bank akibat disenarai hitam merupakan antara pembeli kereta klon yang mampu membayar secara tunai memandangkan harga kereta pilihan mereka itu jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

    Selain itu, golongan pembeli kereta klon adalah berusia 30 tahun ke atas dan nama mereka disenarai hitam oleh pihak bank.

    Memandangkan kesukaran mendapatkan pinjaman, maka mereka sanggup berdepan dengan risiko tindakan undang-undang apabila kereta klon ditawarkan dengan harga serendah RM4,000 untuk model Toyota Vios, katanya.

    Nazli turut berkata, keghairahan orang ramai yang mahu memiliki kereta mewah dengan harga murah turut menjadi penyebab sindiket kenderaan klon masih bergiat aktif di negara ini.

    Katanya, kebanyakan pembeli sanggup menanggung risiko untuk membeli kereta mewah klon dari Singapura dan Thailand kerana beranggapan itu adalah peluang mereka untuk memiliki kenderaan tersebut.

    “Pembeli dalam kalangan penjawat awam dan golongan kurang berkemampuan mengakui sanggup membelinya sebab nak bergaya dan teringin memiliki kereta mewah walaupun mengetahui memiliki kenderaan itu adalah salah,” katanya.

     
     
  • Daya maju projek HSR KL-Singapura dipersoal

    Hitachi Super Express

    Walaupun draf penjajaran Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura sudah sampai ke peringkat akhir dan perjanjian persefahaman (MoU) projek ini bakal ditandatangani pertengahan tahun ini, persoalan ditimbulkan berkenaan kadar tambang yang dijangkakan serta daya maju projek berkenaan. Pada persidangan dewan undangan negeri Johor semalam, isu Jumlah Aliran Penumpang (PFV) projek tersebut dan harga tiket telah diketengahkan, lapor The Sun.

    Laporan sebelum ini ada menyatakan PFV untuk projek HSR ini adalah dijangka akan mencecah 18 juta penumpang setahun. ADUN Stulang dari DAP, Andrew Chen Kah Eng berkata, angka tersebut adalah sangat rendah dan mempersoalkan berapa kadar tiket yang akan dikenakan untuk setiap perjalanan dengan jumlah yang agak rendah sedemikian.

    Beliau memberikan contoh harga tiket untuk projek HSR di negara lain yang juga berjarak lebih kurang 300 km. Untuk laluan HSR dari Shanghai ke Nanjing yang mempunyai PFV tahunan lebih kurang 105 juta penumpang, tiketnya dijual pada harga RM150 setiap perjalanan. Untuk HSR laluan Taipei ke Tainan yang mempunyai PFV tahunan 50 juta penumpang pula tiketnya dijual pada harga RM180 untuk setiap perjalanan.

    MyHSR

    Chen berkata harga tiket untuk HSR KL-Singapura adalah parameter penting untuk menentukan kejayaannya. “Jika kita mengenakan bayaran terlalu rendah, pengendali projek ini akan menghadapi masalah. Jika kita mengenakan bayaran terlalu tinggi pula, kita akan menghadapi masalah penumpang,” kata beliau.

    Tahun lalu, tiket sehala antara KL dan Singapura dilaporkan akan berharga kurang dari RM200, dan tiket pergi-balik pula dijangka dibawah RM400, untuk menampung semua segmen pasaran, termasuk perniagaan dan percutian.

    “Kami meramalkan harga purata yang lebih rendah untuk menjadikan projek HSR ini boleh dilaksanakan. Walaupun pulangan pelaburannya akan mengambil masa yang lama, pengedali akan mempunyai beberapa pilihan untuk mendapatkan semula pulangan pelaburan mereka di dalam projek ini,” kata CEO MyHSR Mohd Nur Ismail Kamal. Struktur harga yang dicadangkan juga dijangkakan akan menyamai sistem pengangkutan udara, di mana kenaikan/penurunan harga tiket adalah berubah-ubah setiap hari berdasarkan permintaan.

    HSR-stations-proposed

    Malaysia akan memuktamadkan draf penjajaran projek ini tidak lama lagi, dan ini akan dilakukan sebelum MoU projek tersebut ditandatangani oleh pihak Malaysia dan Singapura pada selewat-lewatnya Julai tahun ini. Pusat transit yang dicadangkan di dalam draf penjajaran tersebut termasuklah Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

    China, Jepun dan Korea utara dilihat sedang bersaing dalam mendapatkan hak untuk membina landasan sistem tersebut dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Apabila projek HSR ini siap kelak, ia dijangka dapat memendekkan masa perjalanan antara KL dan Singapura kepada hanya 90 minit, dengan kelajuan purata keretapi tersebut dianggarkan pada sekitar 350-450 km/j.

    Ia juga turut mempunyai hubungan terus antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Changi di Singapura dan juga Transit Landasan Pan ASEAN ke Bangkok yang telah dicadangkan.

     
     
  • Perodua sebarkan lakaran model semasa Myvi

    Screen Shot 2016-04-19 at 1.48.09 PM

    Okay, ini bukan imej lakaran untuk Perodua Myvi generasi akan datang. Tetapi ia adalah lakaran model semasa Myvi iaitu yang sedang berada di pasaran. Ia sengaja disebarkan oleh Perodua menerusi laman media sosial Facebook mereka.

    Bahagian hadapannya, memang banyak dipengaruhi oleh model asalnya. Malah lampu utama yang melunjur ke belakang dan juga permukaan bonet yang turut dipengaruhi model generasi pertama, walau pun masih menerapkan pelbagai elemen yang lebih moden.

    Selain itu, gerbang roda yang besar dan garisan sisi badan yang mendalam menyerlahkan lagi karakteristik Myvi generasi kedua. Malah gril lima-poin yang diubah ke dalam haksagon turut ditampilkan pada Myvi facelift.

    07_01_04-e1460444609730

    Daihatsu Boon 2016

    Rasa macam tak sabar hendak menantikan kehadiran Myvi baharu. Setelah model facelift dilancarkan pada awal tahun lalu, denngar cerita Myvi generasi baharu akan diperkenalkan dalam setahun akan datang, berdasarkan model generasi ketiga Daihatsu Boon dan Toyota Passo.

    Kebarangkalian ia akan menggunakan enjin NR baharu dari Toyota iaitu 1.3L dan 1.5L, seperti yang digunakan pada Toyota Avanza facelift, yang turut memperkenalkan teknologi Dual VVT-i. Malah ia juga mungkin dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan yang telah pun diaplikasikan sejak 11 tahun yang lalu.

    Malah Perodua juga mensasarkan untuk melengkapkan model ini dengan pelbagai teknologi terkini menjelang tahun 2020 (bukan dalam masa terdekat ini) termasuk mungkin dengan sistem bantuan pemanduan Smart Assist II yang digunakan dalam Daihatsu Move.

     
     
  • Empat langkah segera perbaiki keselamatan jalan raya – AWAS, Kejara, penilaian LPT 2, perlaksanaan IRAP

    liow tiong lai

    Dalam situasi dalam negara yang menyaksikan angka kemalangan jalan raya dan kehilangan nyawa yang semakin meningkat, kerajaan telah mengumumkan akan mengimplementasikan empat inisiatif segera untuk memperbaiki situasi. Menurut The Star, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kesemua langkah terbabit telah dibincangkan baru-baru ini di dalam mesyuarat Jawantankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya, dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

    “Beberapa kawasan utama telah dikenal pasti dengan langkah perlaksaannya akan dilakukan dalam masa terdekat,” kata beliau. “Langkah-langkah tersebut ialah implementasi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dan Sistem Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), penyeragaman berat maksima yang dibenarkan untuk kenderaan komersial, penilaian keselamatan jalan raya dan penyiasatan kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 serta pelaksanaan Program Penilaian Jalan Antarabangsa (IRAP) di Malaysia.”

    Beliau juga menambah jawatankuasa tersebut dibuat berdasarkan semua inisiatif keselamatan jalan raya yang sedang berjalan sekarang dan dibentangkan bersama statistik semasa musim perayaan tahun lalu yang merekodkan sejumlah 489,606 kemalangan jalan raya dan 6,706 kematian yang direkodkan pada 2015.

    Karak-highway-01

    “Ini jelas menunjukkan peningkatan dari 2014 dan kerugian yang ditanggung untuk jumlah tersebut adalah melebihi RM8 billion,” Kata Liow. Beliau menambah jawatankuasa tersebut juga akan melihat semula Pelan Advokasi Jabatan Keselamatan Jalan Raya 2016 dan implementasi Pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014 – 2020.

    Liow said that he remains hopeful that the alarming statistics will be reduced with the government’s new initiatives, but said that none of this can be realised if drivers aren’t responsible and courteous on the road. “A dedicated Cabinet Task Force on Road Safety cannot achieve its goals if the rakyat and non-governmental organisations do not play their role in this matter,” he concluded.

    Liow berkata beliau masih lagi berharap statistik yang mengejutkan ini akan dikurangkan dengan langkah-langkah baharu yang diambil kerajaan, tetapi mengatakan semua ini tidak akan dapat direalisasikan jika pemandu tidak bertanggung jawab dan bersopan santun di atas jalan raya. “Jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk keselamatan jalan raya ini tidak akan mencapai sasarannya jika rakyat dan organisasi bukan kerajaan tidak memainkan peranan mereka dalam perkara ini,” simpul beliau.

     
     
  • Masih tiada respons dari syarikat konsesi berhubung kadar tol ikut waktu puncak dan bukan puncak – LLM

    LDP_Toll_EXTRA

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengemukakan cadangan kepada syarikat konsesi lebuhraya agar menetapkan kadar bayaran tol mengikut waktu puncak dan bukan puncak. Ia dipanggil ‘kadar-fleksi’, di mana kadar tol yang lebih murah pada waktu bukan puncak berbanding waktu puncak turut boleh memberikan peluang kepada para pengguna lebuhraya lebih merancang perjalanan mereka.

    Namun semalam LLM telah mengesahkan masih tiada syarikat konsesi lebuhraya yang belum memberikan respons terhadap cadangan tersebut, menurut laporan Bernama.

    Ketua Pengarah LLM Datuk Ismail Md Salleh berkata lembaga itu hanya mengemukakan cadangan itu kepada syarikat konsesi dan terpulang kepada mereka sama ada ingin melaksanakannya atau tidak.

    “Buat masa sekarang, pihak kami tidak mendapat apa-apa respons daripada syarikat konsesi,” katanya.

    Walau bagaimana pun, menurut Ismail lagi, perkara ini tidak perlu diiimplementasikan sekiranya pihak konsesi masih punya komitmen lain, termasuk pinjaman dengan bank.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia umum jualan bulan Mac – peningkatan sebanyak 68% berbanding bulan lalu

    Outlander_Ext_04

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan angka jualan mereka untuk bulan Mac 2016, menyaksikan sebanyak 1,173 unit kenderaan berjaya dijual, peningkatan sebanyak 68% berbanding Februari 2016. Bulan lalu jenama tersebut menjual sejumlah 696 unit kenderaan.

    Dari jumlah keseluruhan, Mitsubishi Triton yang diimport sepenuhnya mendahului jumlah jualan dengan 716 unit terjual berbanding hanya 429 unit terjual pada Februari lalu, dan direkodkan sebagai trak pikap nombor dua paling laris dalam kelasnya untuk bulan Mac 2016.

    Manakala untuk SUV kompak Mitsubishi ASX CKD pula dijual sebanyak 207 unit, menyaksikan peningkatan sebanyak 22% dari 170 unit yang terjual pada bulan lalu. SUV Mitsubishi Outlander CBU yang baharu sahaja diperkenalkan juga menunjukkan prestasi yang agak memberangsangkan di mana pihak MMM sudahpun menerima tempahan sebanyak 300 unit, berbanding sasaran asal untuk menjual 100 unit model tersebut setiap bulan.

    Untuk pasaran Malaysia, MMM diwakili oleh 56 bilik pameran Mitsubishi (47 daripadanya adalah pusat 3S), dan 52 buah pusat servis. Untuk bahagian Nalaysia Timur pula, MMM diwakili oleh 13 bilik pameran di mana enam daripadanya terletak di Sarawak dan tujuh di Sabah.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic 2016 dikesan diuji di Melaka

    Honda-Civic-spyshot

    Wah! Nampaknya Honda Civic 2016 semakin menghampiri detik untuk menggegar pasaran tempatan. Terbaru, pembaca Mohd Yaszli menghantar foto Civic 2016 yang dikesan sedang diuji di sekitar Ayer Keroh, Melaka, kurang 30 km dari kilang pemasangan Honda Malaysia di Pegoh. Mungkin sedang diuji di peringkat akhir kerana dengar cerita ia dijangka akan dilancarkan pada Jun ini.

    Menerusi foto ini, kelihatannya ia daripada varian tertinggi iaitu Turbo RS (seperti gelaran di Thailand), menampilkan rim aloi dua-tona bersaiz 17-inci, tetapi seakan tidak menerima sayap belakang seperti RS di Thailand.

    Berkaitan dengan spesifikasinya, dijangkakan kita akan menerima lampu utama LED sepenuhnya, butang kawalan penghidup enjin, Walk Away Auto Lock, paparan insutrumen LCD TFT, sistem hiburan skrin sesentuh tujuh-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free serta pedal penukar gear.

    Honda-Civic-spyshot-2

    Bagi aspek keselamatannya, varian tertinggi akan menerima enam beg udara, manakala Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki ditawarkan secara standard. Sama seperti Civic sedia ada, model baharu ini juga ditampilkan dengan paparan titik buta Honda LaneWatch, seperti yang ada pada Turbo RS di Thai.

    Untuk Malaysia, Civic 2016 dijangka datang dengan dua pilihan sama ada enjin 1.8 liter i-VTEC N/A empat-silinder (141 hp/174 Nm) atau 1.5 liter VTEC Turbo (173 hp/220 Nm). Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi CVT yang menyinkirkan kotak gear automatik lima-kelajuan seperti mana model sedia ada.

    Harga yang bakal ditawarkan bagi model asas 1.8 liter dijangka di bawah RM120,000, manakala varian VTEC Turbo pula mungkin di bawah RM140,000.

    Civic 2016 telah pun dilancarkan di Thailand pada 11 Mac lalu. Manakala perkhabaran semalam pula mengatakan ia dikatakan akan dijual di Singapura dengan harga bermula RM318K untuk varian tunggal 1.6L SOHC i-VTEC.

    GALERI: Honda Civic 2016 di Bangkok Motor Show 2016

    Honda Civic Turbo RS 2016

    Honda Civic 1.8 E 2016

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025