Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nombor plat UN keluaran USIM dibuka untuk bidaan dari esok hingga 25 Jun – harga bermula dari RM1,500

    Nombor plat UN keluaran USIM dibuka untuk bidaan dari esok hingga 25 Jun – harga bermula dari RM1,500

    Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menjadi satu lagi universiti tempatan yang melancarkan nombor pendaftaran (plat) khas kenderaan untuk dijual kepada orang ramai secara bidaan. Walaupun dikenali dengan nama singkatan USIM, plat yang dikeluarkan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pengangkutan Jalan ini adalah bermula dengan huruf UN.

    Kelulusan penggunaan nombor plat UN ini telah diberikan kepada USIM pada Mac 2023 dan kini dilancar pada bulan Jun sambil menyambut ulang tahun pusat pembelajaran tersebut yang ke-23. Ia sekaligus memberi kenangan manis bagi USIM dan warganya.

    Satu perjanjian persefahaman juga telah ditandatangani antara USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd (anak syarikat USIM) dengan Syarikat Aquatwo, yang akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pemasaran, penjualan/bidaan, pengurusan kewangan, lantikan enjin pemasaran, promosi serta sistem jualan nombor plat UN ini.

    Mereka yang berminat untuk memiliki plat UN ini boleh membuat bidaan melalui laman www.unplat.com.my bermula esok sehingga 25 Jun 2023. Menurut ketua pegawai eksekutif USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd, Ahmad Shukri Zulkifli, harga permulaan untuk nombor plat UN ini dibahagikan kepada beberapa kategori, dengan bermula daripada RM1,500 sehingga RM800,000 (UN1).

     
     
  • TT Komuniti “Apa Khabar Proton Lama Hari Ini” di Ibu Pejabat Proton Shah Alam; model rare keluar sarang!

    TT Komuniti “Apa Khabar Proton Lama Hari Ini” di Ibu Pejabat Proton Shah Alam; model <em>rare</em> keluar sarang!

    Komuniti “Apa Khabar Proton Lama Hari Ini?” atau (AKPLHI) yang bertapak di Facebook Group bukanlah seperti kelab-kelab permotoran yang lain. Anda tidak perlu ada kereta dengan jenama Proton untuk menyertai komuniti ini, cukup sekadar dengan minat yang mendalam pada model-model lama Proton.

    Jadi jika anda melayari FB Group AKPLHI, anda tidak akan jumpa sebarang iklan jualan komponen kenderaan atau kereta terpakai. Tetapi laman berkenaan penuh dengan perkongsian sejarah kereta-kereta Proton yang mungkin anda tidak pernah jumpa di laman-laman lain.

    Sekian lama kesemua ahli hanya berpeluang berbual secara maya di laman FB Group tersebut, akhirnya pada hari Sabtu, 10 Jun lalu, AKPLHI mengadakan sesi “Teh Tarik” atau TT pertamanya dan memilih lokasi paling sesuai untuk acara tersebut iaitu di Pusat Kecermelangan (CoE) Proton, Ibu Pejabat jenama automotif nasional itu yang terletak di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS), berhampiran susur masuk Hicom Shah Alam.

    Perjumpaan ini bermula pada pukul 9 pagi di tempat letak kereta CoE. Ia dihadiri bukan sahaja Proton-Proton lama, tetapi beberapa model lebih baharu juga turut menyertai. Antara yang menjadi tumpuan adalah model-model C99 Proton, iaitu model-model prestasi dengan enjin 1.8 liter seperti Satria GTi dan Putra.

    Model-model sentuhan R3 juga memunculkan diri dalam sesi kali ini, antaranya beberapa buah Satria Neo R3, sebuah Satria Neo Clubsport dan juga sebuah Gen2 MME.

    Sudah tentu tak lengkap jika perhimpunan kereta Proton tanpa model generasi pertama Saga bukan? Beberapa Saga unik telah hadir Sabtu lalu, termasuk replika kereta rali Saga PERT Group S 2WD Karamjit Singh milik pengasas AKPLHI Allan Cham, Saga restorasi penuh dari Saga Pekak dan sebuah Saga Aeroback dalam spesifikasi asli edisi Knight 1.5S.

    Yang paling mencuri perhatian adalah sekumpulan Saga dari Bukit Kapar, Selangor yang bukan sahaja hadir dengan beberapa Saga sedan dalam kondisi yang cukup terjaga, malah mereka hadir dengan ‘segerombolan’ Saga Executive dan juga Limosine!

    Beberapa model Proton yang tidak berapa popular dari segi jumlah jualan juga boleh dijumpai dalam perhimpunan ini, antaranya Proton Tiara, Proton Savvy dan juga van Proton Juara.

    Dengan sambutan yang begitu menggalakkan dari perjumpaan pertama ini, komuniti AKPLHI merancang untuk membuat satu lagi perjumpaan selepas ini. Mungkin lebih banyak lagi model-model rare Proton akan keluar selepas ini?

     
     
  • UMW Toyota Motor jual 8,004 unit kenderaan untuk Mei 2023 — naik 18.3% dari April; YTD naik 8%, 39,990 unit

    UMW Toyota Motor jual 8,004 unit kenderaan untuk Mei 2023 — naik 18.3% dari April; YTD naik 8%, 39,990 unit

    Bagi bulan Mei 2023, UMW Toyota Motor mencatatkan jualan sebanyak 8,004 unit kenderaan — terdiri daripada 7,875 unit untuk jenama Toyota, dan 129 unit untuk model Lexus. Ini meneruskan lagi corak peningkatan jualan bagi syarikat ini, dengan kenaikan 18.3% berbanding April 2023, yang menyaksikan sejumlah 6,767 unit terjual.

    Bagi jualan semasa bagi tahun ini pula (YTD), UMWT telah menyerahkan sebanyak 39,990 unit kenderaan setakat lima bulan pertama 2023, mencatatkan kenaikan 8% berbanding tempoh sama tahun lalu. Mei lalu juga merupakan tempoh sibuk untuk UMWT, yang baru saja membentangkan strategi untuk mencapai neutral karbon serta turut mempertontonkan model elektrik bZ4X.

    “Toyota mempunyai strategi pelbagai jalur ke arah mencapai nuetral karbon dan ini boleh dilihat melalui sistem janaan kenderaan yang mesra alam kami, setiap satunya dibangunkan untuk memenuhi keperluan unik pelanggan di bahagian berbeza seluruh dunia,” ujar Presiden UMWT, Datuk Ravindran Kurusamy.

    UMW Toyota Motor jual 8,004 unit kenderaan untuk Mei 2023 — naik 18.3% dari April; YTD naik 8%, 39,990 unit

    “Untuk Malaysia, kami percaya HEV merupakan pilihan paling sesuai ketika ini, mengambil kira sumber bahan api bagi penjanaan elektrik dan ketersediaan prasarana mengecas di luar bandar utama di Pantai Barat Semenanjung. Kami akan menambah lagi pengenalan model HEV untuk 2023 ini,” tambah beliau.

    Lexus juga menyaksikan pengenalan model generasi kelima RX pada Mei, yang ditawarkan untuk pasaran tempatan dalam satu varian tunggal RX 350 Luxury pada harga RM468,888 atas jalan tidak termasuk insuran. Hujung Mei, sebuah bilik pameran baru Lexus di Klang juga dibuka secara rasmi, dikenalikan oleh PCM Klang Motor.

     
     
  • TASKL 2023: 14 kereta ubahsuai dari Jepun dibawa – GT-R Top Secret terjual; lebih 91,000 pengunjung!

    TASKL 2023: 14 kereta ubahsuai dari Jepun dibawa – GT-R Top Secret terjual; lebih 91,000 pengunjung!

    Selepas diumumkan Mac lalu, akhirnya acara Tokyo Auto Salon (TAS) yang julung kalinya di bawa ke Malaysia dengan nama Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur telah berjaya dilangsungkan di di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 9 hingga 11 Jun lalu.

    Acara ini dibuka secara rasmi oleh menteri perdagangan dan industri Senator Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz pada hari Jumaat malam, dan menurut penganjur TASKL telah berjaya menarik lebih dari 91,000 pengunjung selama tiga hari penganjurannya.

    TASKL ini berlangsung dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi, iaitu melibatkan penggunaan Dewan 2,3 dan 4 di MITEC. Ia juga telah menarik minat sekurang-kurangnya 14 penala dari Jepun untuk menghantar kereta ubahsuai masing-masing ke Malaysia, dan ada juga yang membuka reruai di TASKL 2023.

    Antara jentera yang paling menarik perhatian adalah sebuah Nissan Skyline GT-R R32 binaan Garage Active dengan keselurahan panel badannya menggunakan gentian karbon, serta dipacu oleh enjin RB30 dari HKS bersama pengecas turbo sebesar pasu bunga membolehkan ia bernafas dengan kuasa 1,000 hp. Lebih perincian berkenaan R32 yang diberi nama Carbon-R ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Selain itu, Nissan GT-R R35 binaan penala ‘otai’ Jepun, Top Secret turut dibawa untuk dipamerkan. Apa yang menarik, jentera yang diberi nama sebagai Nissan GT-R TS R35GTR Gold berkuasa 815 PS itu dikhabarkan berjaya dijual oleh pengasas Top Secret iaitu Smokey Nagata kepada seorang rakyat Malaysia ketika TASKL ini berlangsung.

    Ada khabar angin yang menyatakan bahawa kereta tersebut dibeli oleh Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ). Namun menerusi gurauan yang dibuat oleh putera berkenaan di laman Instagramnya menunjukkan pembelinya mungkin adalah individu lain.

    Antara jentera-jentera dari Jepun lain yang turut dibawa adalah termasuk Driving Performer GR86 Type R, HKS GR Supra Aero, MARS1 (diasaskan dari Toyota RAV4), Kuhl Racing Subaru Levorg, Sphere Racing Mitsuoka Orochi, Spoon Honda NSX dan GReddy Stance RZ34 iaitu Nissan Z baharu dengan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny.

    Ada juga jentera-jentera buatan Amerika Syarikat tetapi menerima sentuhan dari penala Jepun di bawa ke TASKL ini iaitu sebuah Chevrolet Corvette dengan kit badan lebar, Ford Mustang dari Rohan Izawa Art Design dan juga Jeep Wrangler dari Rinei.

    Tidak ketinggalan, wakil dari benua Eropah iaitu sebuah Alpine A110 yang diubahsuai oleh Cars Hatano, diberi nama Ravage A110. Kereta ini menampilkan panel-panel badan gentian karbon yang dipadankan pada bahagian hadapan dan belakang, serta diberikan set rim unik yang dihasilkan bersama OZ.

    TASKL 2023: 14 kereta ubahsuai dari Jepun dibawa – GT-R Top Secret terjual; lebih 91,000 pengunjung!

    Turut menarik perhatian adalah Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor yang turut dipamerkan di TASKL ini. R34 berkenaan dibina khas hanya sebuah oleh sayap perlumbaan rasmi Nissan iaitu Nismo di fasilit Omori Factory mereka di Jepun. Lebih perincian berkenaan GT-R J-Tune ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Selain dari barisan-barisan kereta yang dibawa dari Jepun ini, TASKL 2023 turut menampilkan kereta-kereta ubahsuai tempatan yang bertarung dalam pertandingan Auto Styling. Tiga juri dilantik untuk mencari pemenang dalam pertandingan ini iaitu Smokey Nagata, Takemoto Yuki iaitu Ketua Editor Option Magazine, dan Hirofumi Nozaki iaitu Ketua Editor Auto Salon Online.

    Acara ini juga menyaksikan beberapa ikon sukan permotoran Jepun sanggup turun ke Malaysia untuk bertemu peminat masing-masing, antaranya Takuya Kai dan Daisuke Jomoto dari Spoon Sports dan juga Takahiro Ueno iaitu pemandu drift dan juga pengasas Vertex.

    Selain dari syarikat-syarikat penala, TASKL kali ini turut disertai oleh dua pengeluar Jepun yang bertapak di Malaysia iaitu Nissan dan Mitsubishi. Nissan menghasilkan empat model edisi khas TASKL yang masing-masing dibina hanya sebuah dan dijual hanya dalam acara ini, manakala Mitsubishi pula mempamerkan beberapa unit trak pikap Triton dan MPV Xpander yang telah diubahsuai.

    GALERI: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R di TASKL 2023

    GALERI: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor di TASKL 2023

    GALERI: Koleksi replika kereta watak-watak Initial D di TASKL 2023

    GALERI: Van-van dan MPV yang diubahsuai di TASKL 2023

     
     
  • Harley-Davidson X440 – lagi gambar awal didedah

    Harley-Davidson X440 – lagi gambar awal didedah

    Harley-Davidson India nampaknya telah menyiarkan beberapa lagi gambar untuk motosikal kapasiti rendah terbaru mereka yang dipanggil sebagai X440 di dalam media sosial, sebelum ia didedahkan sepenuhnya 3 Julai nanti.

    Model ini dihasilkan dengan kerjasama pengeluar motosikal antara yang terbesar di India, iaitu Hero Motorcorp, namun masih belum diberitahu sama ada cuma akan dijual di dalam negara itu ataupun juga dieksport ke negara lain.

    Siri gambar terbaru ini cuma menunjukkan motosikal tersebut berada di jalan sebenar dan bukannya setakat di dalam studio, sekaligus memberikan petunjuk kepada orang ramai bagaimana rupanya apabila digunakan, dengan terdapat penunggang di atas.

    Sama seperti gambar yang didedahkan sebelum ini, kita sekali lagi dapat melihat perincian X440, yang termasuk rim aluminium, brek cakera tunggal di hadapan dan belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, semua lampu jenis LED, ekzos di sebelah kanan serta klac yang menggunakan kabel. Bahagian meter pula menggunakan unit TFT.

    Spesifikasi teknikal motosikal ini masih belum didedahkan secara rasmi tetapi media dari India menjangkakan ia bakal tiba dengan enjin satu silinder 440 cc oil-cooled, dengan sistem suntikan bahan api dan kuasa sekitar 38 PS dan tork 30 Nm.

     
     
  • 2,138 jalan berlubang telah ditampal – rekod hingga April 2023, babitkan jalan persekutuan Semenanjung

    2,138 jalan berlubang telah ditampal – rekod hingga April 2023, babitkan jalan persekutuan Semenanjung

    Sebanyak 2,138 jalan berlubang atau ‘potholes’ membabitkan jalan persekutuan Semenanjung Malaysia, setakat April 2023. Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut beliau, untuk tahun 2022, sebanyak 8,519 jalan berlubang di jalan persekutuan Semenanjung Malaysia ditampal, laporan Harian Metro.

    Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga membangunkan satu sistem aduan dikenali Sistem Aplikasi Pemantauan Potholes (ASaPP) pada 2021 bagi memantau jalan berlubang melalui penggunaan telefon bimbit, tablet dan komputer.

    “Semua aduan berkaitan dengan tampalan jalan berlubang akan didaftarkan di dalam aplikasi ini. Jalan berlubang yang ditemui akan terus ditampal dan direkodkan dalam sistem ASaPP yang boleh dicapai oleh semua pihak terlibat iaitu ibu pejabat JKR Malaysia, JKR daerah dan syarikat konsesi penyelenggaran jalan persekutuan Semenanjung Malaysia,” katanya.

    Tambah beliau, di bawah program sifar jalan berlubang, kerja-kerja tampalan akan dilaksana dalam tempoh masa 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan.

    Selain itu kerja-kerja itu perlu dipastikan kualiti tampalannya dengan merujuk kepada spesifikasi yang ditetapkan iaitu menggunakan rujukan Standard Specification for Roadwordks JKR/SPJ/2008.

    “Pihak JKR sentiasa memantau pelaksanaan kerja penampakan jalan berlubang bermula dari pemilihan bahan turapan yang diperolehi dari kuari yang telah diluluskan bagi menjamin hasil penampalan yang berkualiti dan dapat bertahan lama,” katanya.

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) yang ingin tahu sejauh mana KKR memastikan dasar sifar jalan berlubang dilaksana segera dan memastikan setiap kerja penampalan jalan yang dibuat mengikut spesifikasi ditetapkan.

     
     
  • Tempahan Honda WR-V sudah dibuka – pencabar Ativa akan dilancar suku ke-3 2023, 1.5L NA, CVT

    Tempahan Honda WR-V sudah dibuka – pencabar Ativa akan dilancar suku ke-3 2023, 1.5L NA, CVT

    Berita baik untuk anda yang menunggu alternatif kepada Perodua Ativa, hari ini Honda Malaysia mengumumkan bahawa tempahan untuk SUV kompak segmen-B, iaitu Honda WR-V sudahpun dibuka secara rasmi! Model ini diumumkan akan mula dijual di pasaran tempatan bermula suku ketiga tahun ini (Julai hingga September), namun senarai harga dan varian untuk pasaran tempatan masih belum dinyatakan.

    Walau bagaimanapun, Honda Malaysia megesahkan bahawa WR-V akan ditawarkan dalam versi paling sporty iaitu WR-V RS di sini. Model berkenaan menerima perincian yang disahkan seperti gril hadapan unik bersama emblem RS, rim dua tona 17-inci dan lain-lain.

    WR-V pasaran Malaysia ini juga akan ditawarkan dengan perincian seperti cermin sisi auto-lipat, lampu hadapan LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED dan juga lampu isyarat membelok LED jenis sequential.

    Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga turut ditawarkan yang memberikan fungsi termasuk sistem pemberitahu kereta hadapan bergerak (LCDN), cruise control adaptif (ACC), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS) bersama Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB)

    Tempahan Honda WR-V sudah dibuka – pencabar Ativa akan dilancar suku ke-3 2023, 1.5L NA, CVT

    “Kami sangat teruja untuk menjadi pengeluar pasaran besar Jepun pertama yang memperkenalkan SUV kecil serba baharu dalam segmen bukan nasional kepada rakyat Malaysia, yang akan dilancarkan pada suku ketiga 2023. WR-V serba baharu ini memberikan pengalaman unik kepada pelanggan kami dengan ciri tersendiri SUV Honda dengan menggabungkan gaya sporty, teknologi canggih, ciri keselamatan, prestasi terbaik dan jarak kelegaan tanah yang tinggi,” kata Hironobu Yoshimura, pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia.

    “WR-V serba baharu ialah teman yang ideal untuk golongan dewasa muda dan keluarga yang mencari SUV Kecil yang menyerlahkan personaliti yang bertenaga dan berani untuk melengkapkan gaya hidup aktif mereka,” tambahnya lagi.

    Honda WR-V membuat kemunculan sulung globalnya di Indonesia pada November tahun lalu. Buat masa sekarang ia hanya diproduksi di fasliliti Honda di Karawang, Indonesia dan telah pun diimport ke Thailand dan dilancarkan di negara berkenaan awal bulan ini. Untuk Malaysia, WR-V ini dijangka akan diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di Pegoh, Melaka bagi memastikan ia dapat dijual pada harga lebih kompetitif.

    Di Indonesia Honda WR-V dihasilkan bagi berhadapan terus dengan pasangan kembar Toyota Raize dan Daihatsu Rocky. Dan di sini, WR-V sudah tentu perlu bersaing dengan satu lagi kembar Raize dan Rocky iaitu Perodua Ativa.

    SUV Honda yang lebih kecil dari HR-V ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,060 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,608 mm dan jarak roda sejauh 2,485 mm. Jadi berbanding Ativa, WR-V adalah 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 27 mm lebih rendah serta jarak roda 40 mm lebih dekat.

    Jarak kelegaan tanah WR-V ini adalah lebih tinggi dari Ativa iaitu 220 mm berbanding 200 mm sekaligus memberikan ia rupa lebih lasak. Ruang but SUV kompak Honda ini juga lebih besar dengan kapasiti 380 liter berbanding 369 liter pada saingannya dari Perodua.

    WR-V menerima enjin yang sama seperti Honda City iaitu unit 1.5 liter DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan. Jadi dari segi kuasa juga WR-V adalah lebih besar dari Ativa yang digerakkan oleh enjin 1.0L turbo tiga-silinder berkuasa 97 hp/140 Nm.

    Menurut Honda Malaysia, tempahan untuk WR-V ini boleh dibuat di semua 101 bilik pamerannya di seluruh negara atau secara atas talian menerusi aplikasi HondaTouch. Namun pelanggan boleh melihat sendiri dengan lebih dekat rupa sebenar SUV kecil ini dibeberapa pengedar terpilih seperti berikut:

    Tempahan Honda WR-V sudah dibuka – pencabar Ativa akan dilancar suku ke-3 2023, 1.5L NA, CVT

     
     
  • SUKE Fasa 2 akan dibuka minggu ini – Kesas/Sri Petaling/Bukit Jalil ke Cheras-Kajang, satu plaza tol

    SUKE Fasa 2 akan dibuka minggu ini – Kesas/Sri Petaling/Bukit Jalil ke Cheras-Kajang, satu plaza tol

    Dalam masa hanya beberapa hari lagi, Fasa 2 bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan dibuka kepada orang awam. Kami sendiri telah mencuba laluan ini dalam satu pra tonton awal untuk media, dan ia menyambungkan Sri Petaling dan Bukit Jalil (laluan masuk di Lebuhraya Kesas) kepada persimpangan Cheras-Kajang, berhampiran Plaza Phoenix. Dengan pembukaan laluan ini, SUKE kini 99% lengkap, dengan hanya satu lagi persimpangan akan dibuka.

    Fasa 1 SUKE dibuka kepada orang awam pada 16 September 2022 lalu dan ia bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km, 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang.

    Fasa 2 pula melibatkan laluan sejauh 7.8 km, bermula dari Sri Petaling (dipanggil sebagai persimpangan Sri Petaling), dan selain Kesas, ia juga bersambung dengan Lebuhraya KL-Seremban. Persimpangan seterusnya juga tidak jauh, iaitu persimpangan Sungai Besi, bersebelahan dengan stesen MRT laluan Putrajaya dan dihubungkan kepada Lebuhraya Besraya.

    Dari situ, SUKE mengikut laluan MRR2, tetapi berada di atas, sehinggalah Bandar Tasik Selatan dan melepasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sebelah kiri. Kemudiannya, SUKE membelok ke arah Alam Damai. Di sini, reka bentuk bertingkat bermula dengan trafik menghala ke Cheras-Kajang (KL) berada di atas dan laluan ke arah Sri Petaling berada di bawah.

    Dalam laluan Fasa 2 ini, satu lagi plaza tol, iaitu di Alam Damai akan dibuka, menjadikan keseluruhannya ada tiga tol di dalam SUKE. Setiap tingkat di laluan Alam Damai ini akan mempunyai plaza tol sendiri. Apabila Fasa 2 ini sudah dibuka, laluan utama lebuhraya SUKE akan lengkap dengan yang tinggal hanyalah persimpangan Alam Damai – akan dibuka sekitar bulan Ogos 2023.

    Bersebelahan plaza tol Alam Damai ini juga terdapat pusat kawalan utama SUKE, yang terletak dalam sebuah bangunan tinggi (jika dibandingkan dengan pusat kawalan lebuh raya lain) dan akan mempunyai kedai makan (juga akan dibuka kepada orang awam) di dalamnya.

    SUKE Fasa 2 akan dibuka minggu ini – Kesas/Sri Petaling/Bukit Jalil ke Cheras-Kajang, satu plaza tol

    Secara keseluruhannya, lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 km (57.7 km jika dikira sekali dengan laluan susur keluar) mempunyai 14 persimpangan keluar, iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.

    Laluan alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR) ini turut dihubungkan kepada Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE). Lebuhraya baru East Klang Valley Expressway (EKVE) juga akan bersambung dengan SUKE.

    Untuk bayaran tol di Alam Damai, CEO Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah memberitahu, beliau masih belum boleh mengumumkan harganya, dan ia akan dibuat oleh menteri kerja raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa majlis pelancaran Fasa 2 ini nanti. Apa yang diberitahu, ia tidak akan melebihi RM2.30 seperti di plaza tol Bukit Teratai dan Ampang.

     
     
  • Polis Klang Selatan tahan seorang bapa gara-gara benarkan anak berusia 11 tahun pandu kereta

    Polis Klang Selatan tahan seorang bapa gara-gara benarkan anak berusia 11 tahun pandu kereta

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan pihaknya telah seorang bapa berusia 49 tahun di rumahnya di Pandamaran, Klang, tengahari semalam gara-gara membenarkan anak lelaki berusia 11 tahun memandu kereta.

    Menurut beliau, bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan telah menerima satu klip video yang ditularkan di laman media sosial berdurasi 1.21 minit berkenaan seorang kanak-kanak lelaki memandu Proton Saga bernombor pendaftaran NCJ 3233. Kejadian berlaku pada Jumaat lalu (9 Jun 2023) jam 6 petang di Jalan Banting-Pandamaran (Jalan Kampung Pendamar, Klang).

    “Bertindak di atas maklumat tersebut, kami telah membuat serbuan di sebuah rumah di Pandamaran, Klang dan menahan lelaki terbabit bersama anaknya serta kereta berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 111 APJ 1987 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika disabit kesalahan, si bapa boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu.

    Polis Klang Selatan tahan seorang bapa gara-gara benarkan anak berusia 11 tahun pandu kereta

    “Siasatan juga dijalankan di bawah Sekesyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa maksud pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi. Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu,” kata Cha Hoong Fong menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak leka dan sentiasa memgawasi gerak geri anak supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya terhadap dirinya sendiri atau orang lain.

    Nampak gayanya masih ada lagi golongan ibu bapa yang tidak mengambil pengajaran di sebalik tindakan sebegini. Pada awal Mei lalu, sebuah Toyota Vios terbabas dan didapati ia dipandu oleh sepasang adik beradik lelaki yang masing-masing baru berumur tiga dan enam tahun. Kejadian berlaku di Langkawi dan ibu bapa kanak-kanak terbabit dipanggil polis untuk siasatan lanjut.

     
     
  • TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

    TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

    Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 hujung minggu lalu, agak kecoh di media-media sosial bahawa pengasas syarikat talaan dari Jepun, Top Secret iaitu Smokey Nagata berjaya menjual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret yang dibawa untuk dipamerkan di acara tersebut kepada seorang rakyat Malaysia.

    Ketika ia berjaya dijual, identiti pembeli berkenaan tidak didedahkan. Namun khabar angin bertiup bahawa ia dibeli oleh Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ) kerana putera berkenaan dilihat meluangkan masa yang agak lama dengan Smokey sambil membelek R35 berkenaan.

    Namun semalam, Tunku Abdul Rahman membuat hantaran story di akaun rasmi instagram miliknya, menyatakan bahawa ‘GT-R R35’ tersebut “sudah berada dalam tangan” tetapi ia tidak boleh dipandu. Story berikut pula mendedahkan bahawa putera berkenaan hanya bergurau dengan menunjukkan sebuah model skala R35 GT500 kecil yang diletak di atas tapak tangan, berlatar belakangkan sebuah Bugatti Veyron.

    TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

    Jadi sehingga kini, identiti pembeli GT-R R35 Top Secret tersebut masih lagi menjadi misteri. Sekirannya jentera berkenaan benar-benar dibeli oleh TPJ, mungkin tak lama lagi kelibat R35 berwarna emas itu dapat dilihat dipandu di sekitar Istana Bukit Serene atau di Bandaraya Johor Bahru?

    Top Secret R35GTR Gold ini adalah antara unit-unit R35 terbaharu yang dibina sendir oleh Smokey Nagata. Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap demo car yang dibina oleh beliau akan dijual selepas itu, bagi membolehkannya membina jentera lain.

    TS R35GTR Gold ini masih dijana oleh enjin VR38DETT 3.8 liter V6, tetapi telah dirombak semula secara keseluruhan membolehkan kuasanya diekstrak sehingga 815 PS, berbanding hanya 570 PS untuk versi standard.

    TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

    Sistem ekzos juga dipertingkat dengan pemadanan sports catalyzer dari Trust, diadun dengan muffler titanium binaan Top Secret sendiri. Enjin tersebut masih dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan GR6 dari Borg Warner, namun ia telah ditingkat taraf dengan penggunaan set klac juga dari Top Secret.

    Bagi memastikan kereta ini kekal stabil pada kelajuan lebih dari 300 km/j, ia dipadankan dengan kit aero rekaan Top Secret, terdiri dari set fender lebih lebar, bampar hadapan dan juga komponen-komponen dari material gentian karbon termasuk spoiler hadapan, skirt sisi dan juga spoiler gergasi pada penutup but belakang.

    Untuk mengurangkan beratnya, penutup bonet hadapan dan juga but belakang turut dihasilkan menggunakan material gentian karbon. Akhir sekali badan kereta ini disudahkan dengan warna emas ikonik Top Secret Candy Gold.

    TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

    Untuk bahagian roda, GT-R TS R35GTR Gold ini dipadankan dengan set rim O.Z Futura generasi baharu dari versi khas dibuat untuk Top Secret. Set rim berkenaan menampilkan saiz 20-inci dengan lebar 11j pada kesemua bahagian, tetapi dengan offset berbeza iaitu ET33 di hadapan dan ET10 di belakang. Ia dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE71RS bersaiz 285/35R20 di hadapan dan 285/35R20 di belakang.

    Manakala untuk pengendalian, suspensi GTR ini ditingkat taraf menerusi pemadanan set coilover Top Secret Dumptronic yang menampilkan penyerap hentak Top Secret Time Attack SPL bersama spring dari Swift. Lengan-lengan suspensi asal juga tidak lagi digunakan dan diganti dengan komponen keluaran Top Secret.

    Bagi Tunku Abdul Rahman pula, kedatangannya ke TASKL juga adalah untuk mendedahkan GT-R yang sangat rare miliknya, iaitu Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune yang hanya dibina sebuah sahaja oleh sayap perlumbaan Nissan iaitu Nismo di fasiliti Omori Factory di Jepun. Perincian berkenaan R34 J-Tune ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Nissan Skyline GT-R R35 J-Tune milik Tunku Panglima Johor di TASKL 2023

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANB dan TCT dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan Terengganu bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, ANB, sedang dibuka bidaan sejak 10 Jun 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 14 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 Jun 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Terengganu, TCT, bakal dibuka bidaan mulai 14 Jun 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 18 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 19 Jun 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • TASKL 2023: Van & MPV turut meriahkan suasana

    TASKL 2023: Van & MPV turut meriahkan suasana

    Jika anda berkunjung ke acara sebenar Tokyo Auto Salon (TAS) yang berlangsung di Jepun, dewan Makuhari Messe berkenaan bukan hanya dipenuhi oleh kereta-kereta sport, ia turut dimeriahkan dengan pelbagai barisan kenderaan ubahsuai lain seperti SUX, 4X4, Kei-Car, MPV, Van dan lain-lain.

    Oleh itu bagi memberikan vibe sebenar TAS ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hujung minggu lalu, penganjur acara berkenaan turut menyediakan ruang untuk mempamerkan pelbagai MPV dan Van yang diubahsuai.

    Seperti biasa, ia didominasi oleh kenderaan-kenderaan keluaran Toyota yang menguasai pasaran tempatan dalam segmen masing-masing iaitu MPV mewah Toyota Alphard dan Vellfire dari generasi AH30 dan juga van Toyota Hiace dari generasi H200.

    Untuk Alphard dan Vellfire, unit-unit yang dipamerkan tersebut rata-rata menerima kit-kit badan lebih labuh dan agresif, digandingkan dengan rim-rim gergasi serta badannya boleh direndahkan hampir ke permukaan bumi menerusi penggunaan sistem suspensi udara.

    Manakala untuk Van, hampir kesemua Hiace berkenaan diubahsuai dengan inspirasi van-van dari Thailand yang menampilkan warna-warna badan menarik, set rim yang besar, badan yang direndahkan serta bahagian dalaman yang diberikan imej lebih mewah.

    TASKL 2023 ini diadakan selama tiga hari di MITEC bermula Jumaat lalu iaitu 9 Jun, dan berakhir pada pukul 10 malam Ahad lalu, 11 Jun 2023. Menurut penganjur, acara berkenaan telah berjaya menarik lebih dari 91,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung.

     
     
  • FF1 bernilai RM1.2j dimiliki Sultan Johor – kutipan tertinggi untuk satu nombor plat kenderaan setakat ini

    FF1 bernilai RM1.2j dimiliki Sultan Johor – kutipan tertinggi untuk satu nombor plat kenderaan setakat ini

    Nombor plat kenderaan dari siri FF yang menerima sambutan amat menggalakkan sewaktu ia dibuka bidaan menerusi JPJ eBid pada Mei lalu telah berjaya memperoleh keuntungan mencecah RM35.4 juta.

    Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi Facebook rasminya tengahari tadi selepas selesai menghadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut.

    “Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut. Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan!,” kata Loke.

    FF1 bernilai RM1.2j dimiliki Sultan Johor – kutipan tertinggi untuk satu nombor plat kenderaan setakat ini

    Pada hujung Mei lalu, Loke telah mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran dari Putrajaya itu berjaya menjana hasil kutipan tertinggi dalam sejarah nombor pendaftaran JPJ dengan jumlah RM34,296,327.

    Ketika itu, menurut beliau, nombor pendaftaran FF 8 menerima nilai bidaan tertinggi mencecah RM950,000, diikuti dengan FF 9 bernilai RM911,999. Manakala nombor pendaftaran FF yang turut menerima bidaan tertinggi ialah FF 3 (RM639,000), FF 2 (RM638,000) dan FF 7 (RM633,000).

    Sebelum ini, baginda Sultan Johor juga berjaya mendapatkan siri nombor ‘F 1’ dan ‘V 1’, yang masing-masing berharga RMRM836,660 dan RM990,000. Kedua-dua nombor pendaftaran itu juga merupakan antara Top 20 nombor pendaftaran kenderaan yang termahal setakat ini. Dan nampak gayanya nombor pendaftaran ‘FF 88’ yang bernilai RM510,000 terkeluar dari kedudukan terakhir carta Top 20 tersebut selepas ‘FF 1’ yang bernilai RM1.2 juta itu berjaya memintas kedudukan Malaysia 1 (RM1,111,111) di posisi pertama pertama.

     
     
  • TASKL 2023: Koleksi replika kereta watak Initial D dipamerkan; AE86, RX-7, Subaru WRX dan banyak lagi

    TASKL 2023: Koleksi replika kereta watak Initial D dipamerkan; AE86, RX-7, Subaru WRX dan banyak lagi

    Satu perkara yang tidak boleh dipisahkan dari scene dunia modifikasi Japan Domestic Market (JDM), sudah tentulah siri animasi yang diadaptasi dari buku komik Initial D. Siri ini sudah diperkenalkan sejak pertengahan era 90’an, dan ia adalah antara penyebab mengapa sukan drift menjadi fenomena di seluruh dunia, dan juga model-model JDM tertentu khususnya Toyota Corolla AE86 yang dipandu oleh watak utamanya, Fujiwara Takumi menjadi mahal tidak masuk akal.

    Jadi sempena berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023, pihak penganjur acara tersebut telah menyediakan satu ruangan yang mengumpulkan kereta-kereta replika dari siri animasi tersebut.

    Paling dikenali sudah tentulah AE86 dalam versi Sprinter Trueno dengan warna “Panda” (hitam-putih), lengkap dengan pelekat “Fujiwara Tofu Ten” (kedai tauhu Fujiwara) pada sebelah pintu pemandu, dan juga rim “pisang” ikonik RS Watanabe.

    Namun untuk kereta-kereta lain, “replika” yang diletakkan bukanlah kereta yang benar-benar dibuat untuk menjadi sebuah replika sebenar.

    Contohnya Subaru Impreza WRX STI Type R berwarna biru yang diletakkan di sebelah AE86 tersebut yang tentunya menggambarkan jentera milik ayah Takumi iaitu Fujiwara Bunta, ia tidak dilengkapi dengan bampar hadapan STI Sport untuk GC8 yang menyerupai bampar model edisi terhad Impreza 22B, dan ia juga tidak dipakaikan dengan rim asli WRX STI Version V/VI.

    Tetapi masih ada kereta lain yang tampil dengan rupa hampir sama dengan jentera milik watak-watak dalam animasi berkenaan seperti dua buah Mazda RX-7 FC3S berwarna putih seperti milik Takahashi Ryosuke (masing-masing mewakili rupa kereta Ryosuke pada musim 1-2-3 dan 4-5-Final), sebuah Mazda RX-7 FD3S berwarna kuning dengan kit badan RE-Amemiya seperti jentera Takahashi Keisuke dan sebuah Honda Civic EG hatchback berwarna merah seperti milik Shoji Shingo.

    TASKL 2023: Koleksi replika kereta watak Initial D dipamerkan; AE86, RX-7, Subaru WRX dan banyak lagi

    Barisan Honda Civic EK dan juga Integra DC2 yang dipamerkan juga agak menyerupai kereta-kereta yang dipandu ahli pasukan Todoo Racing School dalam animasi tersebut. Namun ada beberapa kereta yang mungkin terlalu rare tidak dapat dipamerkan disini seperti Mitsubishi Lancer Evolution IV milik Seiji Iwaki dari pasukan Emperor dan juga Nissan Sil80 Impact Blue yang dipandu oleh Sato Mako.

    Pihak penganjur turut ada menyediakan satu kadbod besar menyeraikan semua watak dalam Initial D bersama jentera mereka bagi memudahkan anda mengingati watak-watak berkenaan. Apa pun penulis sebagai peminat Initial D sendiri, agak seronok juga melihat kereta-kereta JDM yang digunakan dalam animasi tersebut ‘dilonggokkan’ dalam satu ruang.

    Jadi kalau anda nak tengok kereta replika Initial D ini, anda boleh datang sendiri ke TASKL 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini hingga 11 Jun nanti, dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang hari penganjurannya.

     
     
  • Tren tambahan Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur disediakan – tiket dijual mulai 8 malam ini

    Tren tambahan Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur disediakan – tiket dijual mulai 8 malam ini

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan bakal membuka jualan tiket tambahan bagi perkhidmatan Tren Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) ke Pantai Timur sempena dengan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut hujung bulan ini.

    Ia melibatkan penambahan dua lagi perkhidmatan ELA melibatkan 952 tiket termasuk koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax.

    “Jualan tiket tambahan berkenaan akan mula dibuka jam 8 malam ini (9 Jun 2023) bagi memberikan peluang kepada orang ramai yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket sebelum ini. Tiket akan dijual pada harga RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala.

    Tren tambahan Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur disediakan – tiket dijual mulai 8 malam ini

    “Perjalanan Tren ELA adalah pada 27 Jun yang melibatkan laluan KL Sentral ke Tumpat, dijadual berlepas pada jam 11 malam dan tiba 3.53 petang keesokan hari. Manakala laluan Tumpat ke KL Sentral bertolak pada 2 Julai 2023 jam 6 petang dan tiba jam 9.32 pagi keesokan hari,”kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan..

    Menurut KTMB lagi, tren ELA akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Kral, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

    Para pengguna disarankan membuat pembelian menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun menerusi Play Store, Apps Store atau Apps Gallery atau pun menerusi laman web www.ktmb.com.my.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025