Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Agya 2023 mula dijual di Indonesia – RM49k-RM74k, 1.2L, ada GR-Sport; 2-beg udara, tiada ASA 3.0

    Toyota Agya 2023 mula dijual di Indonesia – RM49k-RM74k, 1.2L, ada GR-Sport; 2-beg udara, tiada ASA 3.0

    Selepas didedahkan bulan lalu, kini kembar Perodua Axia D74A di Indonesia iaitu Toyota Agya 2023 secara rasmi telahpun mula dijual di Indonesia dan Toyota Astra Motor (TAM) mula mengumumkan perincian harga dan spesfikasi untuk hatchback segmen-A ini.

    Di Indonesia, Agya 2023 ditawarkan dalam lima varian berbeza iaitu Agya E MT dijual pada harga bermula 167.9 juta rupiah (RM49k), Agya G MT berharga Rp 175.4 juta (RM51k), Agya G CVT berharga Rp 191.4 juta (RM56k), serta dua varian paling sporty iaitu Agya GR-Sport MT berharga Rp 237.5 juta (RM69k) dan Agya GR-Sport CVT berharga Rp 253.5 juta (RM74k).

    Agya diberikan rekaan muka lebih tersendiri berbanding Axia dan juga satu lagi kembarnya di sana iaitu Daihatsu Ayla. Kesemua varian Agya diberikan lampu hadapan LED dengan kluster lampu yang direka lebih nipis dari Axia, serta menampilkan jalur LED lampu panduan dengan kedudukan kontra – Agya di atas, dan Axia pula di bawah.

    Toyota Agya 2023 mula dijual di Indonesia – RM49k-RM74k, 1.2L, ada GR-Sport; 2-beg udara, tiada ASA 3.0

    Model denga logo Toyota ini menerima gril seakan Toyota Yaris pasaran Jepun. Pada bahagian ‘pipi’ bampar berkenaan diberikan lekuk seakan liang ambilan udara, dan apa yang menarik ia turut disertakan dengan lampu nyalaan siang yang disusun menegak ala-Perodua Myvi facelift.

    Bagi model GR Sport, bamparnya direka seakan mengambil inspirasi dari hot-hatch GR Yaris, dengan apron agesif menampilkan liang udara sisi bersegi dan besar, bersama rekaan spoiler pada bahagian bawah. Logo GR ditampal pada bar tengah yang memisahkan gril atas dan juga bawah.

    Agya GR Sport juga menerima skirt sisi, spoiler belakang lebih besar berwarna hitam, bumbung berwarna hitam dan juga serlahan-serlahan hitam berkilat pada cermin sisi dan juga gril hadapan bagi memberikan rupa yang lebih garang.

    Bahagian sisi Agya ini menampilkan bayang badan dan juga garis-garis sisi yang sama seperti Axia. Model standard menerima rim kemasan perak yang mungkin bersaiz 14-inci seperti Axia, manakala model GR Sport diberikan rim aloi lebih besar lima-jejari berkembar dua-tona yang dibalut dengan tayar profil lebih rendah.

    Pada sebelah belakang, Agya dan Axia dilihat menampilkan rupa yang hampir sama seluruhnya, dibezakan hanya dengan logo-logo jenama masing-masing.

    Untuk Agya biasa ia ditawarkan dengan tujuh warna badan iaitu merah, hitam, kuning, perak, kelabu dan oren. Manakala untuk Agya GR-Sport pula ia boleh dipilih dalam empat warna tunggal iaitu putih, merah, hitam dan kuning serta dua pilihan dwi-tona iaitu merah-bumbung hitam dan putih-bumbung hitam.

    Pada bahagian dalaman, Agya turut berkongsi papan pemuka yang sama dengan Axia, dibezakan dengan beberapa perincian kecil termasuk panel kawalan pendingin hawa. Panel pada Agya ini tampil dengan rekaan berbeza, serta tidak diberikan dua slot memori seperti Axia.

    Bagi model E dan G, Agya menerima meter kelajuan analog di tengah bersama bersama skrin pelbagai info TFT pada sebelah kanan. Manakala varian GR-Sport pula diberikan skrin instrumen TFT 7-inci yang nampak sama seperti pada Axia AV, Ativa, Alza malah turut sama dengan komponen pada Toyota Vios generasi baharu.

    Model paling asas E tidak menerima butang mod ‘Power’ pada roda stereng. Manakala bagi model yang menerima kotak gear CVT, Agya diberikan pedal penukar gear di mana perincian ini tidak diberikan pada mana-mana varian Axia di Malaysia.

    Tiada varian yang menerima upholsteri kulit untuk Agya di Indonesia. Namun bagi Agya GR-Sport, ia diberikan sarung tuil gear dan juga roda stereng dengan logo GR balutan kulit, tempat duduk semi-bucket dengan upholsteri gabungan fabrik sued bersama sulaman logo GR, kemasan bendul sisi aluminium GR dan juga serlahan-serlahan jahitan benang merah.

    Model paling sporty ini juga diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, skrin infotaimen lapan-inci dengan logo pemula GR serta sokongan hubungan Mirrolink dan memberikan visual untuk kamera undur. Sementara model G pula hanya menerima skrin tujuh-inci yang turut menerima hubungan Mirrorlink.

    Sama seperti model generasi sebelumnya, Agya di Indonesia menerima enjin 1.2 liter – 200 cc lebih besar berbanding Axia di Malaysia yang hanya menerima enjin 1.0 liter. Namun untuk model generasi baharu ini, ia datang dengan enjin baharu WA-VE 1.2L tiga-silinder bagi menggantikan enjin 3NR-VE empat-silinder sebelumnya.

    Toyota Agya 2023 mula dijual di Indonesia – RM49k-RM74k, 1.2L, ada GR-Sport; 2-beg udara, tiada ASA 3.0

    Enjin berkenaan merupakan unit yang sama pada perut varian lebih rendah kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Ia menghasilkan kuasa 88 PS yang sama seperti enjin 3NR, tetapi dengan tork lebih besar iaitu 113 Nm berbanding 108 Nm sebelum ini.

    Versi-versi CVT menerima kotak gear D-CVT sama seperti Axia di Malaysia menggantikan kotak gear automatik konvensional 4AT sebelum ini, manakala model-model MT pula diberikan kotak gear manual lima-kelajuan. Bagi model Agya GR-Sport, ia turut menerima talaan semula pada sistem stereng dan juga suspensi untuk memberikan pemanduan yang lebih sporty.

    Walaupun dari segi prestasi Agya dilihat lebih baik, ia nampaknya menerima sistem keselamatan yang kurang berbanding Axia. Kesemua varian Agya di Indonesia hanya diberikan dua beg udara, sistem brek ABS dan EBD, VSC dan Bantuan Mula Mendaki dan hanya varian GR-Sport diberikan kamera undur.

    Tiada satu pun varian Agya yang menerima sistem bantuan pemanduan – di Malaysia, Axia AV menerima enam-beg udara, lampu tinggi automatik, sistem pemantau titik buta dan lintasan trafik belakang serta sistem ASA 3.0 yang memberikan fungsi termasuk brek kecemasan automatik dan lain-lain.

    Walau bagaimanapun, Agya ditawarkan dengan sistem terhubung T intouch yang memberikan sistem Geofencing dan Find My Car, serta hubungan terus dengan servis selepas jualan seperti bantuan tepi jalan, bantuan tunda, servis berkala dan lain-lain.

    TAM juga menawarkan beberapa aksesori seperti kit badan GR Parts untuk Agya biasa, kamera perakan digital hadapan dan juga hon premium.



     
     
  • Honda Vario 125 dilancar untuk pasaran M’sia – RM7k

    Honda Vario 125 dilancar untuk pasaran M’sia – RM7k

    Teaser yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda (BSH) beberapa hari lalu kini terjawab apabila syarikat itu melancarkan Vario 125 untuk pasaran Malaysia. Skuter ini ditawarkan dalam tiga warna, iaitu Kuning, Biru dan Merah, dan dijual pada harga RM7,080 tidak termasuk insurans.

    Vario 125 menggunakan badan sama dengan Vario 150 yang berada dalam pasaran sebelum ini, tetapi ia dipasang dengan enjin yang lebih kecil, iaitu unit satu silinder SOHC, suntikan bahan api, penyejukan cecair berkapasiti 124.9 cc, mampu menghasilkan kuasa 11.5 hp pada 8,500 rpm dan 11.74 Nm pada 5,000 rpm.

    Walaupun cuma merupakan skuter 125 cc, Vario 125 didatangkan dengan ciri berteknologi termasuk semua lampu jenis LED, sistem kunci pintar, pengecas USB di dalam poket barangan serta sistem penggera anti kecurian.

    Kedua-dua rim skuter ini datang dalam saiz 14 inci, dengan dibalut tayar 90/80 di hadapan dan 100/80 di belakang. Brek pula tidak mempunyai sistem ABS, sebaliknya sekadar menggunakan sistem CBS, dan terdiri daripada unit cakera di hadapan dan dram di belakang.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Vario 125 adalah termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter, mampu memuatkan topi keledar dan muatan lain, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang dan panel meter digital.

     
     
  • Honda WR-V 2023 diperkenal di Thailand — SV/RS; 1.5L NA, CVT; Honda Sensing/ACC; dari RM103k

    Honda WR-V 2023 diperkenal di Thailand — SV/RS; 1.5L NA, CVT; Honda Sensing/ACC; dari RM103k

    Honda WR-V generasi kedua telah dilancarkan di Thailand, beberapa bulan selepas ia membuat penampilan global di Indonesia, November lalu. Dipertontonkan pertama kali sebagai SUV RS Concept yang muncul pada November 2021, nama singkatan bagi “Winsome Runabout Vehicle” ini bersaing dalam segmen SUV kompak dan diposisikan di bawah HR-V.

    Di Indonesia, model ini bersaing dengan Toyota Raize dan Daihatsu Rocky, yang merupakan model bersaudara bagi Perodua Ativa di sini. Bagaimanapun, Thailand belum menerima semua SUV DNGA tersebut, dan WR-V tidak mempunyai pesaing di sana ketika ini.

    Dari segi dimensi, WR-V berukuran 4,060 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,608 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,485 mm. Sebagai perbandingan, Ativa mempunyai ukuran 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak antara rodanya 2,525 mm. Jarak kelegaan tanah WR-V pula ialah 220 mm.

    Honda WR-V 2023 diperkenal di Thailand — SV/RS; 1.5L NA, CVT; Honda Sensing/ACC; dari RM103k

    Di Thailand, WR-V ditawarkan dalam dua varian: SV dengan harga 799,000 baht (RM103,072) dan RS yang paling tinggi dengan 869,000 baht (RM112,102). Empat pilihan warna disediakan, terdiri daripada Taffeta White, Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl dan Stellar Diamond Pearl dengan dua warna terakhir itu melibatkan tambahan 6,000 baht (RM774).

    RS juga datang dengan warna dua-tona eksklusif terdiri daripada warna utama Ignite Red Metallic dan bumbung hitam. Pelbagai aksesori dari katalog Modulo juga boleh dipilih oleh pelanggan.

    Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.5 liter NA empat-silinder DOHC dengan i-VTEC yang menghasilkan 121 PS pada 6,g00 rpm dan 145 Nm pada 4,300 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui kotak gear CVT, dengan tetapan yang sama dengan WR-V yang ada di Indonesia.

    Honda WR-V 2023 diperkenal di Thailand — SV/RS; 1.5L NA, CVT; Honda Sensing/ACC; dari RM103k

    SV dibezakan daripada RS dengan rekaan perincian gril dengan garis melintang, sementara RS dengan kemasan krom. Varian paling asas pula menggunakan rim 16-inci lima jejari berbanding RS dengan rim 17-inci dua-tona. Di dalam, warna yang digunakan untuk RS pada umumnya adalah hitam dengan kemasan merah. SV pula hadir dengan kemasan perak di pintu dan papan pemuka.

    Bagi kelengkapan, SV datang standard dengan lampu LED, DRL LED, lampu belakang LED dengan lampu isyarat sequential, cermin sisi kuasa elektrik, kerusi balutan gabungan kulit buatan/fabrik dengan benang biru, stereng balutan kulit dengan benang biru, pendingin automatik, sistem tanpa kunci, penghidup enjin jarak jauh, Honda Smart Key Card, paparan multi-into TFT 4.2-inci, kamera undur pelbagai sudut dan perehat lengan depan.

    Turut ada skrin sentuh tujuh-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, dengan empat pembesar suara. Sistem keselamatan pasif termasuklah bantuan kestabilan, bantuan mula mendaki, empat beg udara, ABS dan EBD.

    RS pula datang dengan tambahan lampu kabus LED, paddle shifter, ruang dalaman dengan jahitan merah, perehat lengan belakang, sistem dengan enam-pembesar suara, Honda Connect telematik serta enam beg udara.

    Pakej Honda Sensing juga standard untuk kedua-dua varian, termasuk ciri Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM dengan LDW), Auto High-Beam (AHB), Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lead Car Departure Notification System (LCDN). RS diberikan tambahan LaneWatch.

    Dengan WR-V masuk pasaran Thailand, Malaysia dijangka akan menjadi pasaran seterusnya untuk model ini. SUV kompak ini sudah dilihat di jalan raya kita untuk ujian, walaupun Honda Malaysia belum mengesahkan apa-apa berkaitan model ini di sini.

     
     
  • Toyota jual 9,297 kenderaan Februari 2023, naik 45%

    Toyota jual 9,297 kenderaan Februari 2023, naik 45%

    Sepanjang Februari 2023, UMW Toyota Motor (UMWT) mencatatkan jualan sebanyak 9,297 unit, termasuk 64 unit kenderaan Lexus. Berbanding Januari lalu yang mencatatkan jualan 6,786 unit kenderaan, ini melibatkan peningkatan 37%, sekaligus menjadi peningkatan jualan bulanan paling tinggi setakat ini. Berbanding tempoh sama tahun lalu, Februari 2023 memperlihatkan 45% lebih jualan.

    Aku angka semasa tahunan untuk dua bulan pertama 2023, UMWT mencatatkan 16,083 unit (termasuk 79 unit Lexus), iaitu 15% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Corak ini dijangka akan berterusan, memandangkan Toyota baru saja melancarkan lima model dengan lencana GR (GR Corolla, GR86, latest GR Supra with manual option, Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport), dan telah juga membuka tempahan bagi Toyota Vios 2023 serba baru.

    “Jualan bulan Februari 2023 kami adalah bukti terhadap kerja keras dan dedikasi pasukan kami di UMW Toyota Motor. Dengan mendengar maklum balas daripada pelanggan dan berusaha memenuhi keperluan mereka, kami mampu untuk mengekalkan kedudukan sebagai jenama dengan prestasi terbaik dalam industri automotif,” ujar Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    “Dengan pengenalan model GR dan GR Sport dan Toyota Vios serba baru, kami teruja untuk terus memenuhi jangkaan pelanggan kami dengan barisan kenderaan dan servis yang ditawarkan,” tambah beliau.

     
     
  • Beberapa jalan utama di KL ditutup berperingkat 6-10 pagi pada 12 Mac sempena OCBC Cycle KL 2023

    Beberapa jalan utama di KL ditutup berperingkat 6-10 pagi pada 12 Mac sempena OCBC Cycle KL 2023

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah memaklumkan terdapat beberapa jalan utama di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bakal ditutup pada pagi Ahad ini, 12 Mac 2023. Ia adalah bagi kelancaran acara berbasikal OCBC Cycle Kuala Lumpur 2023 yang bakal berlangsung pada hari yang sama.

    Menurut JSPT KL, penutupan jalan utama tersebut akan dilakukan secara berperingkat bermula sekitar 6.30 pagi sehingga tamat acara kayuhan pada 10 pagi. Laluan yang terbabit adalah Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Jalan Perak, Jalan Dang Wangi, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Conlay.

    Selain itu, ia turut melibatkan Jalan Stonor, Jalan Kia Peng, Jalan P Ramlee, Jalan Ampang Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishamuddin Jalan Raja dan berakhir di Dataran Merdeka.

    Justeru, JSPT KL menasihati orang ramai yang ingin ke pusat bandar agar menaiki pengangkutan awam dan mematuhi arahan dan tanda arah oleh pihak trafik yang bertugas.

    OCBC Cycle Kuala Lumpur 2023 bakal disertai lebih 2,500 peserta yang membabitkan dua kategori iaitu kayuhan sejauh 21 km dan acara dua pusingan sejauh 42 km. Selain itu, kategori baharu korporat turut diperkenalkan iaitu The KL’s Mayor Ride sejauh 42 km untuk pasukan yang terdiri daripada 10 peserta setiap kumpulan.

     
     
  • TNB Electron sedia enam lagi pengecas DC tahun ini

    TNB Electron sedia enam lagi pengecas DC tahun ini

    Bulan lalu, susulan daripada pengenalan rangkaian pengecas pantas DC-nya, Tenaga Nasional (TNB) mengumumkan pihaknya akan memperluas capaian rangkaian tersebut dengan tambahan enam lagi pengecas pantas DC di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan tahun ini.

    Dalam satu hantaran Instagram, syarikat itu mendedahkan rancangan pelaksanaan tersebut, dengan menunjukkan peta lokasi umum yang memberi cadangan terhadap bagaimana capaian rangkaian itu akan disediakan.

    Enam lagi lokasi pengecas TNB Electron yang sedang dibangunkan ketika ini akan ditempatkan di R&R Machap (arah Selatan), Rawang (arah Utara), Gunung Semanggol (arah Selatan), Gurun (arah Utara dan Selatan) dan Paka (arah Selatan), dengan semua ini dijangka siap dalam tahun ini. Syarikat itu juga memaklumkan telah memperuntukkan RM90 juta dalam masa dua tahun untuk tujuan ini.

    TNB Electron sedia enam lagi pengecas DC tahun ini

    Setakat ini, kemudahan pengecasan TNB Electron ada tersedia di tiga R&R, iaitu Ayer Keroh (arah Utara) dan Tapah (arah Utara) di Lebuhraya Utara Selatan serta Paka (arah Utara) di Lebuhraya Pantai Timur 2.

    Kedua-dua kemudahan di Ayer Keroh dan Paka menempatkan pengecas 90 kW (RM2.20 seminit), sementara di Tapah dengan 80 kW dan 100 kW, dengan harga masing-masing RM2.05 dan RM2.35 seminit.

     
     
  • Stesen Kereta Api Kajang 2 mula beroperasi 13 Mac ini

    Stesen Kereta Api Kajang 2 mula beroperasi 13 Mac ini

    Perbadanan Aset Keretapi (RAC) telah mengumumkan Stesen Kereta Api Kajang 2 akan mula beroperasi Isnin ini, 13 Mac 2023. Pembukaan stesen berkenaan bakal memberikan pilihan kepada penduduk di Kajang dan Bangi untuk menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih selamat dan kondusif.

    Menurut RAC, Stesen Kereta Api Kajang 2 ini melibatkan 46 perkhidmatan tren beroperasi pada hari bekerja dan 33 perkhidmatan pada hari minggu dan hari kelepasan am. Perkhidmatan tren pertama adalah pada 6.15 pagi dari Stesen Kajang 2 menuju stesen KL Sentral dan tren terakhir dari KL Sentral ke Kajang 2 pada 10.45 malam hari bekerja.

    Manakala pada hari minggu dan kelepasan am, tren pertama dari Kajang 2 ialah 7.11 pagi dan tren terakhir dari KL Sentral pada 10.43 malam manakala kekerapan tren adalah 30 minit pada waktu puncak dan 60 minit di luar waktu puncak.

    Stesen Kereta Api Kajang 2 mula beroperasi 13 Mac ini

    “Para pengguna digalakkan untuk menggunakan kad Komuter Link atau Touch ’n Go sebagai mod bayaran sebagai kelancaran pergerakan ke destinasi dan mengurangkan kesesakan di stesen.

    “Stesen Kajang 2 ini juga memiliki 500 petak parkir, fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU), lapan kios dan jejantas pejalan kaki dengan lif serta mampu mengendalikan 400 penumpang pada satu-satu masa,” menurut RAC dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah RAC, dua stesen kereta api berhampiran iaitu Stesen Kajang dan Bangi masing-masing mencatatkan jumlah pengguna seramai 1,328 sehari atau 484,688 orang setahun dan 624 orang atau 227,611 orang setahun pada tahun lepas.

     
     
  • MIROS dan UTAC bangunkan kriteria ujian motosikal OASIM demi tingkatkan keselamatan atas jalan raya

    MIROS dan UTAC bangunkan kriteria ujian motosikal OASIM demi tingkatkan keselamatan atas jalan raya

    Dengan motosikal kini menyumbang 43% kepada kematian atas jalan raya di Asia Tenggara, ASEAN NCAP (Program Penilaian Kenderaan Baru ASEAN) berhasrat menyediakan pengeluar dan pengilang kenderaan dengan kelengkapan penilaian serta pembangunan keselamatan yang bersesuaian.

    Dipanggil sebagai OASIM Project, atau Peningkatan Keselamatan Motosikal Menyeluruh Pasaran ASEAN, ia melibatkan kerjasama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan UTAC, iaitu satu kumpulan antarabangsa yang terlibat dengan pengangkutan digital dan mapan serta penyelesaian sistem dan ujian boleh ubah.

    Sebagai langkah pertama, OASIM telah membuat kajian terhadap keadaan perlanggaran utama yang melibatkan motosikal dengan kereta menggunakan data yang diperoleh dari Thailand dan Malaysia. Ini seterusnya akan membawa kepada pengenalan sistem yang berkemungkinan dapat membantu mengelak atau mencegah perlanggaran sebegini, atau mengurangkan kesan perlanggaran sama ada kepada pemandu/penunggang, ataupun penumpang kedua-dua kenderaan.

    MIROS dan UTAC bangunkan kriteria ujian motosikal OASIM demi tingkatkan keselamatan atas jalan raya

    Projek ini juga telah mengenalpasti senario ujian yang akan dimasukkan ke dalam protokol penilaian ASEAN NCAP 2026, di mana ia akan membawa kepada lebih kesejahteraan dan keselamatan kepada motosikal dan juga kereta.

    Berkenaan kriteria pula, antara yang dikenal pasti adalah aspek visual, daya pemantulan radar dan karekter pengesan LIDAR. Selain daripada itu, sasaran juga sepatutnya boleh bertahan dengan impak dan kekal tahan tanpa merosakkan kenderaan ujian.

     
     
  • Kawasaki Vulcan S kembali ke Malaysia – RM36,500

    Kawasaki Vulcan S kembali ke Malaysia – RM36,500

    Kawasaki Vulcan S kini tiba kembali ke dalam pasaran Malaysia, dengan dijual dalam dua pilihan warna iaitu Metallic Flat Spark Black pada harga RM36,500 dan Pearl Matte Saga Green berharga RM37,200. Ia akan mula berada di wakil pengedar EMOS penghujung bulan Mac ini.

    Vulcan S adalah sebuah motosikal cruiser kelas pertengahan, yang dipacu oleh enjin dua silinder selari, penyejukan cecair 649 cc DOHC, berkuasa 59.9 hp pada 7,500 rpm dan tork 62.4 Nm pada 6,600 rpm, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan sistem rantai ke roda belakang.

    Tinggi tempat duduk Vulcan S cuma 705 mm, menjadikan ia mudah ditunggang pelbagai golongan, dan mencatat berat 229 kg. Motosikal ini juga datang dengan sistem Ergo Fit, yang membolehkan penunggang melaras kedudukan pemegang, tempat duduk dan peletak kaki untuk menjadikannya selesa mengikut kesesuaian sendiri.

    Kawasaki Vulcan S kembali ke Malaysia – RM36,500

    Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal 272 mm yang berada pada rim 18 inci hadapan, sementara pada rim 17 inci di belakang terdapat cakera brek 217 mm. Sistem ABS diberikan secara standard dan tayar yang digunakan masing-masing bersaiz 120/70 untuk hadapan dan 160/60 untuk belakang.

    Pada bahagian suspensi, Vulcan S mendapat fork teleskopik tanpa sebarang pelarasan di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Tangki bahan api model ini adalah14 liter

     
     
  • Laluan masuk dari Lebuhraya Sprint ke Jalan Maarof, Bangsar masih ditutup hingga Disember 2023

    Laluan masuk dari Lebuhraya Sprint ke Jalan Maarof, Bangsar masih ditutup hingga Disember 2023

    Menurut laporan oleh The Star, pengguna jalan raya perlu bersabar sehingga Disember ini sekiranya ingin menggunakan Damansara Link di Lebuhraya Sprint untuk menghala ke Jalan Maarof, Bangsar.

    Ia bagi memberikan laluan kepada pembinaan laluan flyover dengan tiga lorong sepanjang 1.34 km menghala ke Jalan Semantan, yang menggantikan laluan di Jalan Johor. Damansara Link ditutup sejak akhir Oktober tahun lalu, dan penutupan yang berpanjangan berkemungkinan akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas.

    Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, projek pembinaan jalan tersebut dilanjutkan disebabkan beberapa faktor, termasuk cuaca buruk dan kelewatan dalam penghantaran material bagi projek berkenaan.

    Pengguna jalan raya yang datang dari arah Petaling Jaya menuju ke Bangsar boleh melalui Jalan Beringin-Jalan Damanlela-Jalan Damansuria. Anda juga dinasihati agar menggunakan antara empat laluan alternatif ketika waktu puncak, iaitu Penchala Link, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kerinchi Link dan juga Jalan Universiti.

     
     
  • Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Mengotakan janjinya untuk melancarkan Nissan Leaf facelift 2023 hari ini, pengedar rasminya di pasaran tempatan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan kenderaan elektrik (EV) penuh ini
    ditawarkan dengan harga atas jalan RM168,888 termasuk pengecualian cukai jualan dan cukai jalan tetapi tidak termasuk insurans.

    Malahan sempena pelancarannya juga, ETCM turut menawarkan Program Langganan LEAF demi memberikan pengalaman pemilikan tanpa kerisauan. Dengan Program Langganan, tiada bayaran terdahulu diperlukan dan pemilik hanya membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,800 untuk kontrak selama tiga tahun (tertakluk pada terma dan syarat).

    Menurut ETCM, dengan Pelan Langganan LEAF ini, pelanggan tanpa perlu dibebani dengan kereta jangka panjang kerana tempoh langganan yang pendek. “Bagi pelanggan yang ingin menaik taraf kepada model Nissan lain apabila tempoh program langganan tamat, pelanggan tidak perlu risau pelupusan kereta; pulangkan Nissan LEAF dan pilih kereta Nissan lain atau tamatkan sahaja kontrak tiga tahun,” ujar ETCM.

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Untuk pasaran Malaysia, Leaf facelift 2023 hanya ditawarkan dengan varian tunggal yang dilengkapi bateri lithium-ion 40 kWh. Seperti mana model yang dilancarkan pada tahun 2019, versi 2023 ini juga masih diberikan motor elektrik tunggal EM57 pacuan roda hadapan yang mampu mencapai sehingga 148 hp (150 PS atau 110 kW) dan tork 320 Nm, dan boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum cecah 155 km/j.

    Dengan satu cas penuh, EV ini mampu untuk bergerak sejauh 311 km dalam kitaran ujian NEDC.
    Seperti model terdahulu, Leaf direka bagi membolehkan ia dicas semula dengan dua jenis penyambung iaitu Type 1 (pengecas AC dengan kadar cas maksima 6.6 kW) dan CHAdeMO (pengecas DC pantas dengan kadar cas maksima 50 kW dalam masa sekitar 60 minit) – kedua-dua soket berkenaan terletak pada “hidung” kereta ini.

    Dengan kaedah cas biasa menerusi wallbox pada kadar 6.6 kW, bateri Leaf memerlukan lima hingga tujuh jam untuk mendapatkan kuasa penuh. Jadi jika Nissan Leaf dicas menggunakan pengecas awam 230V/16A 3.7 single-phase atau 230V/13A 3.0 kW single-phase di Malaysia, ia mungkin mengambil masa sekitar 10 hingga 12 jam.

    Leaf 2023 kini ditampilkan dengan gril hadapan aero hitam sepenuhnya, dengan padanan bampar bawah yang direka semula, sekaligus memberikan gaya yang lebih kemas. Selain itu, ia juga menampilkan lampu utama dengan kamaşan dalaman hitam baharu. Menyerlahkan lagi imejnya, ia diberikan aero spoiler yang direka semula, diffuser dengan serlahan kelabu dan set rim aloi lima-jejari 17-inci yang lebih sporty.

    Ciri lain yang dikekalkan termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED bentuk boomerang, dan lampu belakang kombinasi LED. Sama seperti model terkini Nissan yang lain, Leaf 2023 turut menggunakan lencana Nissan baharu untuk penampilan luaran dan dalaman termasuk pada bampar hadapan dan belakang serta pada roda stereng.

    Menjengah bahagian kabinnya, tiada perubahan yang dilakukan. Walau bagaimana pun, Nissan memberikannya skrin sesentuh infotainmen lapan-inci baharu dengan fungsi Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth dan pengesan suara, Selain itu, cermin pandangan belakang pintar baharu juga diberikan. Selain itu, ruang dalaman juga masih mengekalkan kemasan balutan kulit Alcantara, pendingin hawa automatik dengan fungsi pemasa (timer), kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Dengan tempat duduk belakang direbahkan, ruang barangan yang tersedia mencecah 1,176 liter dalam keadaan tempat duduk penumpang belakang dibaringkan dan sekitar 435 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua ditegakkan.

    EV ini juga mengekalkan ciri e-Pedal yang membolehkan pemandu menggunakan hanya satu pedal kaki – tekan untuk bergerak dan lepaskan untuk membrek – dan mengaplikasikan kaedah regenerative braking. Aspek keselamatan yang diberikan masih kekal dengan sistem Nissan Safety Shield yang kini ditambah dengan ciri Intelligent Lane Intervention dan Intelligent Lane Departure, Intelligent Rear View Mirror dan Bantuan Lampu Tinggi.

    Selain itu, ia masih mengekalkan enam beg udara SRS, amaran pertukaran lorong, brek kecemasan pintar, amaran titik buta, pengesanan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik di belakang, peninjau pintar 360-darjah serta bantuan kecemasan bagi kesilapan aplikasi pedal pemijak selain ciri standard seperti kawalan kestabilan, ABS dengan Bantuan Brek dan Bantuan Mula Mendaki.

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Model baharu ini juga telah pun menerima penarafan keselamatan lima-bintang daripada Program
    Penilaian Kereta Baharu Jepun (JNCAP). Ini merupakan penarafan tertinggi untuk penilaian
    termasuk ujian perlanggaran kenderaan serta prestasi pelbagai sistem keselamatan aktif. Selain itu, Leaf juga lulus dalam ujian perlindungan kejutan elektrik JNCAP yang mengukur aspek
    khusus EV.

    Leaf 2023 ditawarkan dengan tujuh pilihan warna luaran dengan setiap satunya digandingkan dengan warna Super Black untuk bahagian bumbung. Warna tersebut ialah Stealth Grey, Akatsuki Sunrise Copper, Opera Mauve, Vivid Blue, Midnight Black, Burgundy dan Pure White Pearl. Manakala dua pilihan warna premium untuk kabin masih kekal dengan Graphite Black dan Stone Grey.

    Nissan Leaf facelift 2023 dilancarkan di Malaysia –  dari RM169k; program langganan Leaf diperkenalkan

    Ia turut hadir dengan waranti kenderaan selama tiga tahun atau 100,000km serta waranti bateri lithium-ion selama lapan tahun atau 160,000km. Dengan selang servis berjadual 20,000 km, Leaf hanya memerlukan sekitar RM300 setahun dan kos penyelenggaraan ini boleh dianggap amat berpatutan.

    “Untuk tempoh terhad, ETCM turut menawar pemilik kereta dengan ganjaran istimewa. Di mana bagi
    pelanggan yang membeli Leaf boleh mendapatkan keahlian JomCharge selama 12 bulan secara percuma (bernilai RM600) untuk mengecaskan kenderaan elektrik di stesen pegecas awam (107 pengecas AC Type 2 dan 30 pengecas pantas DC CHAdeMO dengan 600 kredit seluruh negara) serta tinting sejuk percuma bernilai RM2,200.

    “Manakala, pelanggan yang memilih program langganan turut menikmati diskaun 50% bagi tinting sejuk dan RM300 subsidi bagi keahlian JomCharge selama 12 bulan,” kata ETCM lagi.

     
     
  • JPJ ambil tindakan terhadap pengusaha e-hailing Maxim – lebih 4,000 kenderaannya tiada permit EVP

    JPJ ambil tindakan terhadap pengusaha e-hailing Maxim – lebih 4,000 kenderaannya tiada permit EVP

    Baru-baru ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan Ops e-Hailing yang memfokuskan kepada pengoperasian Syarikat Pengendali Perniagaan Pengantaraan (EHO) yang membenarkan kenderaan tidak berdaftar atau pun tiada permit kenderaan e-Hailing (EVP) yang sah.

    “Hasil daripada pemantauan dan risikan selama 14 hari, pihak JPJ mendapati sebuah syarikat EHO yang mengendalikan aplikasi Maxim kepada orang ramai secara dalam talian dikesan telah melanggar Seksyen 12A (5) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana beroperasi tanpa EVP yang sah. Syarikat berkenaan yang beroperasi di Kuantan, menawarkan perkhidmatan e-Hailing di sekitar Putrajaya dan Pahang.

    “Daripada 5,000 kenderaan aktif yang menggunakan aplikasi Maxim, hanya 402 kenderaan sahaja yang memiliki EVP. Dalam operasi berkenaan juga, beberapa peralatan dan dokumen syarikat seperti komputer, papan iklan, banner dan bunting telah dirampas dan disita untuk siasatan di bawah Seksyen 222 APAD 2010,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    JPJ ambil tindakan terhadap pengusaha e-hailing Maxim – lebih 4,000 kenderaannya tiada permit EVP

    Tambah JPJ lagi, jika disabit kesalahan dii bawah Seksyen 12A (9) APAD 2010, pengusaha syarikat terbabit berhadapan dengan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

    “Ekoran daripada itu, pihak JPJ ingin menasihati mana-mana syarikat yang hendak menjalankan perniagaan pengantara dan penyedia sistem EHO kepada para pemandu kenderaan e-Hailing supaya mendaftar serta dilesenkan di bawah APAD atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

    “Selain itu, orang awam yang menjadi penumpang perkhidmatan kenderaan e-Hailing turut dinasihati untuk memastikan aplikasi tersebut adalah berdaftar dan dilesenkan melalui semakan di portal APAD/LPKP terlebih dahulu. Ini supaya penumpang mendapat jaminan perlindungan insurans semasa menggunakan perkhidmatan tersebut, sekiranya berlaku kemalangan jalan raya,” kata JPJ lagi.

     
     
  • JPJ eBid: BRJ dan QTY dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRJ, telah pun dibuka bidaan sejak 8 Mac 2023 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 12 Mac. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya,13 Mac 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QTY, bidaannya bakal dibuka bermula 23 Mac 2023 selama tujuh hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 29 Mac. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 Mac ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Prius 2023 dengan GR Parts kini di Jepun

    Toyota Prius 2023 dengan GR Parts kini di Jepun

    Jika anda bukan peminat bahagian Modellista yang ditawarkan untuk Toyota Prius, mungkin GR Parts ini lebih menarik perhatian anda.

    Aksesori luaran ini merangkumi spoiler hadapan yang dijual pada harga 60,500 yen (RM2,013), tailgate spoiler berharga 44,000 yen (RM1,464), pelindung tingkap berharga 27,500 yen (RM915) dan pelindung pemegang pintu berharga 3,300 yen (RM110). Selain itu, ia juga menawarkan pemegang plat nombor karbon dengan harga 19,800 yen (RM659) untuk setiap bahagian hadapan dan belakang.

    Toyota juga menjual komponen dalam bentuk modifikasi termasuk set Performance Damper (dengan cap tanda dagang dari Yamaha) yang menyerap bunyi casis termasuk getaran dan bunyi bising lain semasa pemanduan, yang ditawarkan pada harga 99,000 yen (RM3,294).

    Selain itu, ia juga menawarkan set penstabilan pintu dengan harga 16,500 yen (RM549) untuk dua pintu atau 33,000 yen (RM1,097) bagi keempat-empat pintu. Ia dapat mengisi ruang di antara jarak pintu.

    Para pelanggan boleh membeli komponen ini secara individual atau pun bundle dengan harga 264,000 yen (RM8,776) dan termasuk spoiler hadapan, tailgate spoiler, Performance Damper, pelindung tingkap dan penstabilan pintu.

     
     
  • Royal Enfield Hunter 350 tiba di Malaysia – dari RM22k

    Royal Enfield Hunter 350 tiba di Malaysia – dari RM22k

    Didedahkan kali pertama kepada dunia Ogos tahun lalu, Royal Enfield Hunter 350 kini tiba di Malaysia dalam dua varian, iaitu Metro Rebel dan Metro Dapper, dengan harga masing-masing RM22,200 dan RM22,000 tidak termasuk insurans.

    Beza antara dua varian ini cuma pada warnanya, dengan Metro Rebel datang bersama tangki dua tona warna sementara Metro Dapper menggunakan warna yang tersendiri. Kesemuanya ada lima pilihan warna untuk dua varian Hunter 350 ini.

    Jika dilihat semasa pelancaran globalnya, dua varian yang dibawa ke Malaysia ini adalah dua varian yang tertinggi, di mana ia datang dengan rim aloi 17 inci (saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang) dengan tayar tanpa tiub, brek cakera hadapan dan belakang serta meter gabungan digital dan analog seperti Meteor 350.

    Hunter 350 dipacu oleh enjin satu silinder 349 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta penyejukan udara, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan untuk menghasilkan 20 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm. Walaupun ia adalah enjin yang sama dengan Classic 350 dan Meteor 350, pemetaannya telah diubah.

    Dibina sebagai sebuah motosikal yang serba mudah bagi pelbagai golongan, Hunter 350 turut datang dengan fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, sistem ABS two-channel, tinggi tempat duduk 800 mm, tangki bahan api 13 liter serta pengecas USB.

    Aksesori Royal Enfield Hunter 350

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025