Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW R nineT 100 Years Edition tiba di Malaysia – 10 unit sahaja, kemasan istimewa, harga RM129,500

    BMW R nineT 100 Years Edition tiba di Malaysia – 10 unit sahaja, kemasan istimewa, harga RM129,500

    Disember tahun lalu kita telah menyaksikan BMW mengeluarkan dua model istimewa untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-100 iaitu R nineT 100 Years dan R18 100 Years. Sekarang, salah satu daripadanya, iaitu R nineT 100 Years sudah tiba di Malaysia dalam jumlah terhad 10 unit, dan dijual pada harga RM129,500.

    Membezakannya dengan model biasa, banyak kemasan krom yang digunakan pada R nineT 100 Years Edition, dan ia digabungkan bersama pakej barangan Option 719 yang termasuk rim spoke hitam 719 Classic. Tangki menggunakan gabungan warna hitam, krom serta jalur pinstripe putih, dengan di tepinya terdapat getah pelapik kaki dan di atas terdapat lencana “100 Years.”

    Penutup tempat duduk belakang juga mendapat kemasan krom, sementara tempat duduk utama dibalut dengan kulit berwarna hitam/oxblood. Fender hadapan dicat warna hitam, dan turut mendapat jalur pinstripe warna putih. Ia kemudiannya ditambah lagi dengan pakej Option 719 Shadow yang memberikan barangan milled termasuk penutup head, penutup tepi enjin, pemegang tempat duduk serta tempat mengisi minyak enjin.

    Turut diberikan terus pada R nineT 100 Years ini adalah pakej Option 719 Shadow II, iaitu barangan milled untuk tuil serta peletak kaki boleh laras, peletak kaki penumpang, penutup tangki air serta cermin sisi bar end. Melengkapkan senarai barangannya adalah lampu membelok adaptif, serta Comfort Package yang memberikan pemanas tangan, cruise control serta Driving Modes Pro.

    Enjin boxer-twin ikonik BMW digunakan R nineT 100 Years, mampu menghasilkan 109 hp pada 7,250 rpm dan tork 116 Nm pada 6,000 rpm daripada enjin yang berkapasiti 1,170 cc, sementara R18 pula menggunakan unit 1,802 cc berkemampuan 91 hp pada 4,750 rpm dan tork 158 Nm pada 3,000 rpm.

    GALERI: BMW R nineT 100 Years Anniversary Edition

     
     
  • Proton X90 – bahagian kabin dan luaran unit prototaip dilihat lebih terperinci; sedikit berbeza dari Haoyue

    Proton X90 – bahagian kabin dan luaran unit prototaip dilihat lebih terperinci; sedikit berbeza dari Haoyue

    Sudah banyak kali SUV tuju-tempat duduk Proton iaitu X90 dilihat diuji di atas jalan raya awam, namun untuk set gambar yang dikirim oleh pembaca paultan.org, Kamweng Woon kali ini agak istimewa kerana dai turut berjaya mendapatkan sebahagian gambar kabin model berkenaan.

    Nampaknya X90 menerima bahagian dalaman termasuk papan pemuka yang seiras dengan kembarnya di China (Geely Haoyue) dan di Filipina (Geely Okavango) tetapi dalam versi pemandu sebelah kanan. Ia menampilkan skrin infotaimen berdiri sendiri bersaiz besar pada bahagian tengah, bersama liang penghawa dingin empat segi dihubungkan dengan panel kemasan yang merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut.

    Panel instrument SUV ini tidak dapat dilihat, namun ia dijangka menggunakan panel digital yang sama seperti Haotue/Okavango. Konsol terowong juga dilihat sama, hadir dengan tombol gear segi empat yang kelihatan seiras dengan Geely Haoyue versi kemaskini untuk tahun 2020.

    Turut dapat dilihat butang pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold, serta butang-butang untuk sistem bantuan turun bukit dan penderia parkir hadapan pada konsol terowong tersebut.

    Disebabkan unit ujian ini sedang diparkir, kini gril hadapannya dapat dilihat lebih jelas – direka dengan elemen pin krom seperti Mercedes-Benz, berbanding kembarnya dari Geely yang menerima gril dengan rekaan jail bar. Anda juga boleh lihat trade plate hadapan pada unit ujian ini ditebuk dengan bentuk empat segi, dipercayai untuk penderia yang membolehkan sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan hadapan dan cruise control adaptif berfungsi.

    Perincian ini tidak diberikan pada Okavango di Filipina, tetapi hadir pada Geely Haoyue di China namun dengan penderia yang diletakkan pada bahagian lebih rendah iaitu pada gril bawah pada bahagian bampar. Selain itu X90 ini disahkan menerima lampu hadapan LED dan juga rim aloi 18-inci dengan tayar 225/55R18.

    Dalam laporan sebelum ini ada disebut bahawa X90 sah akan menerima enjin petrol 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan sistem hibrid ringkas (MHEV) 48-volt yang akan menghasilkan kuasa lebih besar dari X50 dan X70 iaitu 190 PS dengan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan 7DCT.

    Proton menamakan unit rangkaian kuasa hibrid pertama dalam sejarahnya berkenaan sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG), dan ia telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang.

    Ia adalah unit rangkaian kuasa yang sama digunakan oleh Geely Okavango di Filipina, berbeza dengan penawaran Geely Haoyue di China yang menerima enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 MC2 varian paling tinggi.

    GALERI: Geely Haoyue 2023

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic RS e:HEV 2023 — lagi power dari versi turbo petrol, bagi lebih penjimatan dan jarak

    PANDU UJI: Honda Civic RS e:HEV 2023 — lagi power dari versi turbo petrol, bagi lebih penjimatan dan jarak

    Honda Civic generasi ke-11 yang dijual di pasaran tempatan ketika ini memang meletakkan semula Civic sebagai sebuah kenderaan dalam segmen C yang penting dan tidak boleh diabaikan. Berbanding Civic “ketam” generasi ke-10 sebelum ini, banyak pembaharuan yang dilakukan, menjadikan kehadiran Civic generasi ke-11 itu lebih matang dan lengkap dengan teknologi keselamatan yang canggih.

    Perkara ini saya yakin akan dipersetujui oleh ramai daripada mereka yang pernah duduk dan memandu Civic terbaru tersebut. Dengan kesempatan meluangkan masa untuk duduk di kerusi pemandu dan penumpang bagi dua versi Civic RS terbaru ini — versi RS 1.5 Turbo dan juga RS e:HEV hibrid — setiap kali itu juga saya bertambah yakin bahawa Civic generasi ini memang ada sesuatu yang penting yang ingin ditawarkan, dan kita perlu beri perhatian terhadapnya.

    Sepertinya ada banyak perkara yang Honda lakukan terhadap binaan dan rekaan keseluruhan Civic. Saya rujuk secara ringkas apa yang dimaksudkan di sini: jurutera Honda telah berusaha dengan baik sekali untuk menjadikan semula Civic ini sebagai sebuah jentera yang lebih tertumpu kepada pemanduan, sebagai sebuah kereta untuk pemandu, sama sepertimana ia juga sebuah kereta untuk penumpang — tumpuan, keutamaan dan keprihatinan di antara kedua-dua sisi berkenaan diberikan keseimbangan baru, dan menjadi. Dan, kalau ada yang merujuknya sebagai sebuah penawaran yang lebih “premium”, ada kebenarannya juga untuk itu.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya dibuka mulai 3 petang pada 16 Mac – 57.7km dari Kwasa Damansara-Putrajaya Sentral

    MRT Laluan Putrajaya dibuka mulai 3 petang pada 16 Mac – 57.7km dari Kwasa Damansara-Putrajaya Sentral

    Selepas memulakan operasi bagi Fasa Satu dengan 12 stesen sejak Jun 2022, kini pembukaan laluan penuh bagi MRT Laluan Putrajaya akhirnya akan bermula jam 3 petang pada 16 Mac 2023.

    Jajaran penuh MRT Laluan Putrajaya ini adalah sepanjang 57.7 km iaitu dari stesen Kwasa Damandara hingga ke stesen Putrajaya Sentral, dengan memiliki 36 stesen di antaranya. Terdapat lima lagi stesen yang sedang direncanakan pada akan datang iaitu melibatkan RRI, Bandar Malaysia Utara, Bandar Malaysia Selatan, Taman Teknologi dan Taman Universiti. Daripada jumlah keseluruhan 57.7 km itu, 44.2 km adalah laluan bertingkat dan 13.5 km adalah laluan bawah tanah.

    MRT Laluan Putrajaya dibuka mulai 3 petang pada 16 Mac – 57.7km dari Kwasa Damansara-Putrajaya Sentral

    Terdapat juga beberapa stesen pertukaran di sepanjang laluan tersebut. Sebagai contoh, anda boleh bertukar dengan MRT Laluan Kajang di Kwasa Damansara dan stesen TRX. Selain itu, stesen pertukaran lain pula melibatkan stesen Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur dengan KTM Komuter. Dari Putrajaya Sentral, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan ERL (KLIA Express) untuk ke KLIA/KLIA2.

    Setiap set tren bagi MRT Laluan Putrajaya dilengkapi dengan empat gerabak, dan kekerapan bagi setiap tren adalah lebih kurang 4 minit ketika waktu puncak dan 6 minit untuk luar waktu puncak.

    Di bawah ini adalah peta transit berintegrasi bagi perkhidmatan tren di Lembah Klang sebagai rujukan anda.

    MRT Laluan Putrajaya dibuka mulai 3 petang pada 16 Mac – 57.7km dari Kwasa Damansara-Putrajaya Sentral

     
     
  • Kia Sorento 2023 kini di M’sia – 2.5L petrol, 2.2L diesel AWD, 6- atau 7-tempat duduk, CKD; RM211k-RM255k

    Kia Sorento 2023 kini di M’sia – 2.5L petrol, 2.2L diesel AWD, 6- atau 7-tempat duduk, CKD; RM211k-RM255k

    Malam ini, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Kia bagi pasaran Malaysia telah pun melancarkan SUV Kia Sorento 2023. Walau pun sepatutnya SUV ini dilancarkan di pasaran tempatan pada hujung tahun lalu, namun rancangan itu tertunda ekoran disebabkan faktor yang tidak dapat dielakkan.

    Merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang pemasangan milik Inokom di Kulim, Kedah, Sorento generasi ke-empat ini ditawarkan dengan dua jenis bentangan tempat duduk iaitu konfigurasi tujuh-tempat-duduk (bentangan 2-3-2) bagi varian asas Smartstream 2.5L MPI 2WD.

    Manakala bagi konfigurasi enam-tempat duduk (2-2-2) pula diberikan dua pilihan varian iaitu Smartstream 2.5L MPI 4WD dan Smartstream 2.2L Turbo CRDi 4WD. Telah pun dibuka tempahannya sejak pertengahan Januari lalu, ia ditawarkan pada harga antara RM211,498 hingga RM255,228.

    Kia Sorento 2023 kini di M’sia – 2.5L petrol, 2.2L diesel AWD, 6- atau 7-tempat duduk, CKD; RM211k-RM255k

    Bagi kedua-dua varian enjin 2.5L Smartstream petrol, ia dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang mampu memberikan kuasa hingga 177 hp pada 6,000 rpm dan tork 232 Nm pada 4,000 rpm. Ia boleh mencapai kelajuan maksimum hingga 195 km/j.

    Manakala untuk enjin Smartstream 2.2L turbo CRDi diesel, ia ditampilkan dengan unit baharu bagi transmisi dwi-klac basah dengan lapan-kelajuan (8DCT) yang direkabentuk bagi menawarkan penukaran gear yang lebih lancar dan mampu memberikan penjimatan bahan api. Enjin ini mampu menghasilkan hingga 199 hp pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Padanan penjana kuasa ini mampu memberikan kelajuan maksimum hingga 205 km/j.

    Sorento 2023 ini dibangunkan dengan platform crossover saiz pertengahan N3 baharu dari Hyundai dan diberikan rekaan yang lebih moden serta menyerlah berbanding model sebelumnya. Ia memiliki ukuran dimensi 4,810 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,695 mm tinggi (+5 mm bagi varian diesel) dan jarak roda cecah 2,815 mm. Ia juga mempunyai jarak kelegaan tanah (ground clearance) hingga 176 mm.

    Dengan konsep ‘refined boldness’, Sorento 2023 menampilkan imej estetika, elegan dan sporty. Bahagian hadapan Sorento 2023 kini tampil bersama gril ‘tiger nose’ interpretasi gaya baharu Kia dengan bentuk yang lebih lebar. Ia turut disepadukan bersama lampu utama yang lebih nipis yang turut menampilkan lampu nyalaan siang LED ‘tiger eyeline’ baharu. Bahagian apron bawah pula menampilkan corong pengambilan yang lebih besar disambungkan ke corong udara berbentuk-L pada sudut bampar.

    Melihat bahagian sisinya, scuttles krom pula menyerlahkan lagi penampilannya dan disambungkan dengan “shark fin” krom. Manakala untuk bahagian belakangnya, turut mengalami perubahan yang signifikan, dengan empat palang lampu belakang. Selain itu, ia turut ditambahkan dengan kemasan bampar hitam yang besar dan corong tiruan yang disepadukan dengan pencahayaan dan reflektor.

    Untuk ruang kabinnya, Kia berkata, ia diberikan kualiti material yang dipertingkatkan bagi menambah elemen sofistikated dengan gabungan kemasan metalik, upholstery kulit dan sulaman efek kayuan pada permukaan. Pandangan yang cukup menyerlah pada papan pemuka dengan dwi corong pendingin hawa, dengan bahagian tengahnya tersambung pada panel kawalan untuk sistem suhu dwi-zon, dengan skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci yang terletak di bawahnya.

    Sorento untuk pasaran Malaysia juga didatangkan dengan tuil gear tradisional berbanding rotary dial, dan anda lebih mudah untuk membezakan antara model 2WD dan AWD dengan kehadiran butang kawalan pada konsol tengah. Bagi model AWD, ia turut memiliki lebih banyak mod pemanduan serta penahan brek auto.

    Varian tertinggi pula menerima roda 19-inci (berbanding unit 18-inci), kluster instrumen digital 12.3-inci (versi 7-tempat duduk menerima paparan pelbagai-info dan dail analog), sistem bunyi BOSE®, upholstery kulit (berbanding fabrik) serta tirai belakang.

    Kesemua varian diberikan tempat duduk larasan elektronik (tempat duduk penumpang hadapan bagi versi 6-tempat duduk pula memiliki kawalan pada sisinya), kemasukan dengan hanya satu-sentuhan untuk ke barisan ketiga, corong udara untuk barisan kedua dan ketiga, tailgate kuasa, dan tempat duduk barisan kedua yang boleh dilipat, pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar yang ditempatkan di konsol tengah, ketersambungan Apple Carplay dan Android Auto.

    Bagi aspek keselamatan, kesemua varian Sorento 2023 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Brek Pelbagai-Pelanggaran (MCB), Kawalan Bantuan Naik Bukit (HAC) dan cagak Isofix.

    Sekali lagi, harga atas jalan tanpa insurans bagi Kia Sorento 2023 ialah RM211,498.40 untuk 2.5 2WD 7-tempat duduk, RM235,498.40 bagi 2.5 AWD 6-tempat duduk dan RM255,228.80 untuk 2.2D AWD 6-tempat duduk. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km dan pakej servis (termasuk kos buruh, alat ganti dan minyak pelincir).

    GALERI: Kia Sorento Smartstream 2.5L MPI 4WD 2023


    GALERI: Kia Sorento Smartstream 2.2L Turbo CRDi 4WD 2023


     
     
  • Beli Volvo XC90 yang raih anugerah Top Safety Pick+ IIHS sebelum 31 Mac 2023; lima-tahun servis percuma!

    Beli Volvo XC90 yang raih anugerah Top Safety Pick+ IIHS sebelum 31 Mac 2023; lima-tahun servis percuma!

    XC90 Recharge T8 AWD, Denim Blue

    Volvo memang dikenali kerana teknologi keselamatan kenderaannya, jadi tidak hairanlah pengeluar kenderaan dari Sweden ini kerap meraih anugerah berkaitan keselamatan.

    Jenama itu melakukannya sekali lagi dengan XC90, yang memenangi anugerah Top Safety Pick+ 2023 daripada Insurance Institute of Highway Safety (IIHS) dari Amerika Utara. Pencapaian ini menjadi lebih bermakna, kerana diperoleh selepas IIHS meletakkan piawaian yang lebih ketat untuk dicapai semua calon kenderaan bagi anugerah Top Safety Pick (TSP) dan Top Safety Pick+ (TSP+).

    Kriteria baru yang lebih ketat itu memerlukan calon kenderaan mempamerkan perlindungan hentaman sisi yang lebih baik, begitu juga dengan sistem perlindungan perlanggaran pejalan kaki serta menolak lampu utama yang tidak menepati piawaian daripada barisan calon kenderaan yang dinilai.

    Perubahan dalam kriteria ini datang dalam bentuk ujian perlanggaran sisi IIHS yang asal, yang telah diberi kemaskini untuk melibatkan 82% lebih tenaga ketika dan memerlukan kenderaan yang diuji itu mencapai mata yang “boleh diterima” atau “bagus” untuk membolehkannya layak untuk Top Safety Pick (TSP), sementara penarafan “good” diperlukan untuk menerima anugerah Top Safety Pick+ (TSP+).

    Beli Volvo XC90 yang raih anugerah Top Safety Pick+ IIHS sebelum 31 Mac 2023; lima-tahun servis percuma!

    XC90 Recharge T8 AWD, Denim Blue

    Ini peluang anda untuk bawa pulang sebuah Volvo yang telah meraih anugerah. Volvo XC90 B5 Ultimate Mild Hybrid atau XC90 Recharge T8 Plug-in Hybrid — kedua-dua versi ini merupakan penerima anugerah TSP+ — yang didaftarkan bermula dari sekarang hingga 31 Mac 2023, dan anda akan menikmati VSA+, iaitu sebuah pakej servis percuma selama lima-tahun Volvo Service Agreement Plus.

    Pakej servis VSA5+ percuma ini merupakan sebuah pelan penyelenggaraan yang meliputi lima servis pertama, secara percuma, dan bahkan termasuk sekali dengan komponen umum yang haus dan boleh digantikan terus dalam tempoh berkenaan.

    Antara ciri keselamatan yang ada untuk XC90 adalah kebolehannya untuk mengelak perlanggaran dengan pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan besar; pertama, dengan memberi amaran kepada pemandu, dan kemudian membrek secara automatik sekiranya pemandu tidak bertindak. Ini juga terpakai untuk membantu pemandu ketika melintas di persimpangan, dan akan membrek secara automatik sekiranya ada risiko perlanggaran.

    Ini juga sama ketika mengundurkan kereta dari ruang parkir, yang mana XC90 akan turut mengesan kenderaan melintas di belakangnya dan membrek jika perlu.

    Beli Volvo XC90 yang raih anugerah Top Safety Pick+ IIHS sebelum 31 Mac 2023; lima-tahun servis percuma!

    Jika pemandu mula terkeluar dari lorong yang sepatutnya, XC90 juga akan membantu untuk memperbetulkan stereng dan melaraskan laluannya kepada yang lebih selamat di jalan. Blind Spot Information System (BLIS) juga akan melaraskan kedudukan stereng secara minimal sekiranya ada kenderaan lain berdekatan, yang mungkin tidak dilihat oleh pemandu.

    Volvo XC90 B5 Ultimate Mild Hybrid dan Recharge T8 Plug-in Hybrid tidak hanya menjadi antara kenderaan paling selamat yang boleh anda beli, versi Recharge T8 juga akan membantu anda untuk menyumbang kepada neutraliti karbon, dengan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 73 km mengikut protokol ujian WLTP.

    Sebagai tambahan, Volvo Car Malaysia juga menawarkan pakej VSA5+ bagi pendaftaran XC60, S60, S90, V60 dan XC40, sementara pendaftaran bagi XC40 Recharge Pure Electric akan disertkan dengan pengecas wallbox percuma bernilai RM7,000. Tawaran ini sah sehingga 31 Mac 2023.

    Ketahui lebih lanjut tentang Volvo XC90, di sini: anda mungkin inginkan sebuah SUV yang telah meraih anugerah dengan teknologi keselamatan termaju untuk kegunaan anda.

     
     
  • Peraturan baru di Australia saman sehingga RM6.6k jika halang pengecas EV – patut dilaksana di M’sia??

    Peraturan baru di Australia saman sehingga RM6.6k jika halang pengecas EV – patut dilaksana di M’sia??

    Di New South Wales, Australia, pemandu yang menghalang pengecas kenderaan elektrik (EV) kini boleh disaman sehingga A$2,200 (RM6,639) mengikut undang-undang baru yang diperkenalkan pada November tahun 2022. Perkara ini dilaporkan oleh The Driven.

    Undang-undang yang ditambah kepada Peraturan Jalan Raya New South Wales ini menyatakan bahawa “pemandu kenderaan yang bukan dikuasakan oleh elektrik tidak dibenarkan berhenti di kawasan letak kereta kenderaan elektrik.” Mereka yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan denda sehigga 20 unit penalti, yang bersamaan dengan A$2,200 (RM6,648). Di dalam komuniti pengguna kenderaan elektrik kesalahan ini dipanggil sebagai ‘ICEing’.

    Pengguna kenderaan plug-in hybrid yang sedang mengecas di kawasan ini tidak lagi akan disaman, dan begitu juga dengan kenderaan elektrik yang keretanya memang sedang disambung kepada pengecas. Pemilik EV yang meletakkan kereta di dalam petak mengecas, tetapi sebenarnya tidak mengecas akan dikenakan saman kerana menghalang penggunaan pengecas tersebut.

    Peraturan baru di Australia saman sehingga RM6.6k jika halang pengecas EV – patut dilaksana di M’sia??

    Di kawasan lain Australia, Victoria juga sudah melaksanakan saman untuk kesalahan ‘ICEing’ sejak 2020, tetapi denda maksimum yang dikenakan atas kesalahan “memberhentikan kenderaan dalam kawasan letak kereta kenderaan elektrik” adalah lebih rendah, iaitu A$330.44 (RM996.62). Di Queensland, saman untuk kesalahan sama adalah A$2,757 (RM8,315).

    Meletakkan kenderaan enjin biasa di dalam kawasan mengecas kenderaan elektrik juga kerap berlaku di Malaysia, sehingga pengendali terpaksa mengambil langkah sendiri dengan meletakkan palang dan sebagainya. Mungkinkah cara saman ini patut dilaksanakan di negara kita?

     
     
  • Jualan Proton naik 52% untuk Februari 2023; Persona, X50 kekal model terlaris segmen masing-masing

    Jualan Proton naik 52% untuk Februari 2023; Persona, X50 kekal model terlaris segmen masing-masing

    Proton telah pun membuat permulaan yang baik untuk 2023 dengan menjual sebanyak 11,681 unit kenderaan pada Januari lalu, iaitu kenaikan 162% berbanding bulan sama 2022. Momentum berkenaan nampaknya berterusan untuk Februari di mana jenama automotif nasional berkenaan mengumumkan bahawa sebanyak 14,033 unit lagi kenderaan telah berjaya dijual sepanjang bulan lalu.

    Jumlah tesebut adalah termasuk jualan domestik dan eksport. Dan dengan kenaikan 20.1% berbanding bulan sebelumnya ini bermaksud Proton telah berjaya menjual sebanyak 25,714 unit kenderaan untuk dua bulan pertama 2023, naik 88% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

    Dengan jumlah jualan tersebut Proton menganggarkan pegangannya dalam pasaran untuk Februari telah mencapai 22.7%, meningkat sebanyak 7.3% dari bulan Januari, membolehkannya terus kekal sebagai jenama automotif nombor dua paling laris dalam negara.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton, jualan kereta di Malaysia terus melonjak untuk bulan kedua berturut-turut dengan anggaran jumlah keseluruhan volum industri (TIV) sebanyak 62,300 unit kerana industri automotif kini sedang bertungkus lumus menyiapkan tempahan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan yang perlu dihantar sebelum tarikh akhir 31 Mac, bagi memastikan pelanggan menikmati harga dengan insentif tersebut.

    Tiga model Proton telah menjadi peneraju dalam segmen masing bulan lalu. Persona kekal sebagai sedan segmen-B paling laris dengan jualan sebanyak 2,313 unit, mengekalkan rekod jualan bulanan melebihi 2,000 unit untuk bulan ketiga. Sebelum ini Persona pernah dijual lebih dari 2,000 unit sebulan untuk lima bulan berturut-turut dari Jun hingga Oktober 2020, dan ini menurut Proton membuktikan “daya tarikannya berbanding pesaing lain sekiranya bekalan komponen tidak terjejas”.

    Proton X50 pula berjaya dijual sebanyak 3,247 unit sepanjang bulan Februari, meningkat 11% dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini dan membolehkan ia kekal bukan sahaja sebagai SUV segmen-B paling laris, malah menjadi SUV paling laris di Malaysia secara keseluruhan.

    Proton Exora yang tiada saingan terdekat kekal sebagai MPV segmen-C paling laris di Malaysia – ia berjaya dijual sebanyak 336 unit, menjadikan jumlah jualan kumulatif tahun ini berjumlah 668 unit, naik 216% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022.

    Saga kekal sebagai model paling laris Proton untuk Februari dengan jualan sebanyak 6,345 unit, menjadikan jumlah kumulatif 2023 mencecah 11,133 unit setakat ini. Namun dalam saingan sedan segmen-A di Malaysia, Saga masih berada di tempat kedua.

    Jualan Proton naik 52% untuk Februari 2023; Persona, X50 kekal model terlaris segmen masing-masing

    Sementara itu, Proton X70 menyamai prestasinya dari dua bulan pertama tahun 2022 dengan 981 unit diserahkan pada bulan Februari dan 1,914 unit secara keseluruhan untuk tahun ini. Manakala untuk hatchback segmen-B Proton Iriz, ia mencatatkan jualan terbaik sejak Ogos 2022 dengan 811 unit terjual, meningkat sebanyak 156% untuk dua bulan pertama tahun ini.

    “Permulaan yang kukuh bagi Proton pada tahun ini mencerminkan populariti tawaran model semasa kami. Sama seperti pesaing kami, banyak volum didorong oleh pemenuhan tempahan yang dikecualikan cukai, tetapi nombor tempahan baharu kami kekal sihat, jadi kami berharap dapat meneruskan trajektori pertumbuhan jualan kami untuk sepanjang tahun ini,” kata Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

    “Dalam beberapa bulan akan datang, Proton juga akan membuat beberapa pengumuman untuk membentuk hala tuju syarikat untuk tahun 2023 dan seterusnya. Ini merupakan tahun yang sibuk kerana kami mewujudkan kehadiran kami dalam segmen baharu, memasuki pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) dan melangkah ke depan dalam usaha EV kami apabila jualan smart #1 bermula,” tambahnya lagi.

     
     
  • Husqvarna Norden 901 Expedition 2023 diperkenal

    Husqvarna Norden 901 Expedition 2023 diperkenal

    Selepas beberapa tahun Norden 901 diperkenalkan kepada pasaran, Husqvarna kini memperkenalkan versi yang lebih ekstrem bagi motosikal adventure tersebut, dinamakan sebagai Norden 901 Expedition. Menggunakan asas daripada model Norden 901 standard, ia pertamanya dinaik taraf dengan suspensi WP boleh laras sepenuhnya yang mempunyai jarak gerak 240 mm di hadapan (+20 mm berbanding model standard).

    Ciri keselesaan penunggang ditambah baik dengan penghadang angin yang lebih tinggi, sementara aksesori katalog yang sebelum ini dijual secara berasingan diberi secara terus termasuk pemanas bahagian pemegangn tangan dan tempat duduk yang boleh dilaras beberapa tahap, serta beg barangan jenis lembut dengan kapasiti 36 liter setiap satu.

    Casis asal masih lagi sama, dan begitu juga dengan enjin, iaitu unit dua silinder selari 889 cc yang mampu menghasilkan 105 hp dan tork 100 Nm. Pelindung enjin telah direka semula, sementara tongkat tengah baru memberikan stabiliti apabila motosikal diletakkan di kawasan mencabar.

    Penunggang Norden 901 Expedition disediakan dengan pilihan empat mod tunggangan iaitu Street, Rain, Offroad dan Explorer. Sistem brek ABS datang dengan mod Offroad dan boleh ditutup sepenuhnya, sementara quickshifter Easy Shift disediakan sebagai pilihan tambahan. Sistem kawalan cengkaman motosikal ini mempunyai larasan sembilan tahap dan juga boleh ditutup sepenuhnya.

    Di bahagian kokpit terdapat panel instrumen TFT-LCD yang datang dengan sistem yang boleh disambung kepada telefon untuk memberikan pelbagai fungsi tambahan seperti kawalan muzik dan panggilan, serta paparan arah navigasi. Norden 901 Expedition datang dengan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, sementara tangki bahan api pula berkapasiti 19 liter.

     
     
  • Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya – jalan di sekitar Subang Parade ditutup pada Ahad ini, 7-11 pagi

    Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya – jalan di sekitar Subang Parade ditutup pada Ahad ini, 7-11 pagi

    Klik untuk besarkan

    Untuk warga Subang Jaya dan kawasan berhampirannya, dimaklumkan bahawa pada Ahad ini, 5 Mac 2023, iaitu Ahad pertama bagi setiap bulan, bakal diadakan Program Selamat Pagi Subang Jaya: Hari Tanpa Kenderaan MBSJ.

    Untuk itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah menguumkan sebahagian daripada Jalan Kemajuan akan ditutup untuk laluan trafik, iaitu dari persimpangan Jengka ke persimpangan Persiaran Kewajipan. Manakala Jalan SS16/1 pula akan ditutup untuk satu pusingan di sekeliling Subang Parade, Aeon Big dan barisan bangunan berdekatan Mesianiaga.

    Klik untuk besarkan

    Walau bagaimana pun, jika diteliti peta yang dikongsikan MBSJ seperti di atas, Jalan SS16/1 masih boleh dilalui oleh kenderaan. Di mana jalan terbabit akan digunakan untuk menjayakan acara terbabit dan dalam masa yang sama untuk laluan trafik. Jadi, para pengguna jalan berkenaan diminta untuk memandu perlahan dan berhati-hati.

    Ini merupakan kali ke-lapan penganjuran Program Selamat Pagi Subang Jaya: Hari Tanpa Kenderaan MBSJ, seperti mana yang dianjurkan menerusi program KL Car Free Morning (KLCFM), tetapi membabitkan laluan yang lebih pendek dan lebih banyak aktiviti. Antaranya perlawanan bola sepak jalanan, pasar karat, pemeriksaan kesihatan secara percuma, acara larian, tarian, persembahan pemuzik jalanan (busker), memanah dan food truck.

     
     
  • Toyota Prius 2023 kini dengan enjin PHEV di Jepun – 223 PS, jarak gerak EV hingga 105 km, dari RM151k

    Toyota Prius 2023 kini dengan enjin PHEV di Jepun – 223 PS, jarak gerak EV hingga 105 km, dari RM151k

    Selepas melancarkan Toyota Prius generasi kelima di Jepun dengan dua penjana kuasa hibrid pada Januari lalu, pengeluar kereta negara matahari terbit ini memperkenalkan pula varian plug-in hybrid (PHEV) dalam barisan Prius. Ditawarkan pada harga 4.6 juta yen (RM150,758), Prius PHEV ini hanya ditawarkan dengan varian tunggal gred Z dan bakal memulakan jualan pada 15 Mac 2023.

    Untuk makluman, Prius dengan Series Parallel Hybrid System (HEV) ciptaan Toyota didatangkan dengan versi 2.0 liter dan 1.8 liter. Bagi enjin 2.0 liter, ia menampilkan enjin M20A-FXS naturally-aspirated empat-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa hingga 152 PS (150 hp atau 112 kW) dan tork 188 Nm.

    Ia ditambahkan dengan motor elektrik hadapan 1VM berkadar 113 PS (111 hp atau 83 kW) dan 206 Nm, yang menyumbang keseluruhan kuasa mencecah 196 PS (193 hp atau 144 kW). Dengan pilihan sistem pacuan semua-roda E-Four, motor elektrik kedua dengan 1WM pada kadar 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan 84 Nm turut diberikan, menambah jumlah keseluruhan kuasa menjadi 199 PS (196 hp atau 146 kW).

    PHEV ini adalah lebih padu daripada hibrid standard hasil padanan motor elektrik 1VM yang menyalurkan 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 208 Nm. Ia dipadankan dengan unit M20A-FXS yang sama, tetapi dipertingkatkan sedikit dan mampu memberikan hamburan 151 PS (149 hp atau 111 kW) dan 188 Nm.

    Hasilnya ia memberikan keseluruhan sistem kuasa sebanyak 223 PS (220 hp atau 164 kW), walau pun PHEV menawarkan pacuan roda-hadapan. Kesemua varian Prius didatangkan secara standard dengan electronically controlled continuously variable transmission (eCVT).

    Bagi aspek pacuan elektrik, bateri Prius PHEV dengan kapasiti tenaga 13.6 kWh (51 Ah) bakal menawarkan jarak hingga 87 km dengan roda 19-inci, atau 105 km dengan roda 17-inci. Saiz roda turut memberikan kesan terhadap penggunaan bahan api, dengan set yang paling besar menawarkan 26 km/l, sementara 30.1 km/l dengan 17-inci. Dengan pengecas AC berkadar 200 voltans dan 16 amps (3.2 kW), pengecasan penuh mengambil masa sekitar 4.5 jam, menurut Toyota.

    Prius PHEV ini juga dilengkapi dengan sistem pengecas solar yang dikatakan mampu menyalurkan kuasa yang mencukupi untuk dipandu sehingga 1,250 km setiap tahun. Kuasa elektrik dijanakan menerusi panel solar yang digunakan untuk mengecas bateri apabila kenderaan diparkir, dengan sistem tersebut bukan setakat membekalkan kuasa elekrik untuk pemanduan, bahkan juga untuk pendingin hawa dan fungsi lain. Sistem ini juga membekalkan sistem bateri bantuan sewaktu pemanduan untuk mengurangkan penggunaan bateri.

    Manfaat lain bagi penjana kuasa plug-in hybrid ini termasuklah keupayaannya bertindak sebagai pembekal kuasa luaran, dengan menyalurkan sehingga 1,500 watt (1.5 kW) pada AC 100 voltan untuk aksesori. Bekalan kuasa elektrik luaran disediakan sebagai standard supaya ciri ini boleh digunakan dengan tingkap pintu ditutup untuk mengelakkan hujan dan serangga daripada masuk ke dalam kereta apabila digunakan.

    Dengan harga 4.6 juta yen (RM150,758), Prius PHEV merupakan varian yang paling mahal untuk dijual. Varian Z dengan sistem hibrid 2.0 liter dan E-Four AWD pula dijual pada harga 3.92 juta yen (RM128,605). Manakala varian paling murah pula ialah gred G dengan sistem hibrid 2.0 liter yang sama dan 2WD berharga 3.2 juta yen (RM105,013).

    Varian paling rendah bagi barisan Prius iaitu U yang didatangkan dengan sistem hibrid 1.8 liter, ditawarkan dengan perkhidmatan langganan Kinto kendalian Toyota sendiri, pada kadar 16,610 yen (RM545) sebulan untuk 2WD dan 18,480 yen (RM606) sebulan bagi E-Four AWD.

     
     
  • Honda City facelift 2023 didedahkan di India – tiada lagi versi turbodiesel, diganti dengan varian hibrid

    Honda City facelift 2023 didedahkan di India – tiada lagi versi turbodiesel, diganti dengan varian hibrid

    Setelah lebih tiga tahun dalam pasaran, Honda City sedan generasi kelima kini sudah pun hadir dalam versi facelift 2023. Jika sebelum ini ia membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada penghujung 2019, versi facelift ini pula muncul buat kali pertama menerusi pasaran India.

    Versi facelift ini diberikan sedikit penyegaran pada rupa sebelah luar. Pada bahagian muka, City masih diberikan kluster lampu utama dan juga bahagian ‘kening’ krom yang sama. Namun pada gril, panel krom kini lebih nipis manakala elemen gril sarang lebah diberikan bahagian lebih besar.

    Gril pada bampar juga nampak sedikit lebih besar dari sebelum ini, dan perumah lampu kabus pada sebelah sisi sudah dihubungkan dengan gril tengah berkenaan. Tiada perubahan pada profil sisi, tetapi ia boleh dibezakan menerusi rim aloi rekaan baharu.

    Honda City facelift 2023 didedahkan di India – tiada lagi versi turbodiesel, diganti dengan varian hibrid

    Di belakang, bampar yang kelihatan ringkas dan bersih sebelum ini telah diadun dengan kemasan seakan diffuser pada sebelah bawah. Reflektor yang sebelum ini diletakkan ‘berdiri’ juga kini telah dialih dan ‘dibaringkan’ pada diffuser tersebut. Penutup but belakang City sedan facelift ini juga diberikan lip spoiler.

    Untuk pilihan unit rangkaian kuasa, enjin 1.5 liter petrol masih ditawarkan tetapi pilihan 1.5 liter turbodiesel i-DTEC sebelum ini telah digugurkan, namun ia digantikan dengan unit rangkaian kuasa hibrid.

    Bagi versi petrol penuh, ia masih dijana dengan enjin petrol 1.5 liter i-VTEC DOHC berkuasa 121 PS dan tork maksima 245 Nm. Varian paling rendah iaitu City SV hanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, manakala varian V, VX dan ZX ditawarkan dengan pilihan kotak gear CVT.

    Manakala untuk model hibrid ia hadir dalam varian V dan ZX, menerima unit rangkaian kuasa e:HEV sama seperti City RS pasaran Malaysia. Sistem tersebut menggandingkan enjin petrol 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127 Nm, bersama dua buah motor elektrik berkuasa 109 Nm/253 Nm.

    Menerusi sistem ini, enjin petrol yang dibekalkan pada kebanyakkan masa hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala roda hadapan dipacu terus oleh motor elektrik utama. Namun pada situasi-situasi tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, enjin petrol berkenaan turut akan bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up dan transmisi e-CVT, memberikan kuasa gandingan keseluruhan 126 PS.

    Dalam kabin, rupa keseluruhannya masih nampak sama kecuali sedikit perubahan pada roda stereng dibuat di mana butang tekan untuk volume radio sebelum ini digantikan dengan suis jenis putar ke bawah. Varian-varian petrol menerima tema kemasan beige dan hitam, manakala varian-varian hibrid diberikan tema kemasan ivory dan hitam.

    Bergantung kepada varian, City sedan facelift pasaran India ini menerima perincian seperti paparan instrumen digital dengan skrin TFT berwarna penuh 7-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar dan lapan pembesar suara.

    Varian-varian terpilih model pasaran India ini juga datang dengan pengecas tanpa wayar, lampu suasana kabin, pengelap cermin automatik dengan penderia, sistem pendingin hawa automatik dengan liang kabin belakang dan penuras kabin PM2.5, bumbung suria elektrik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pelindung cahaya matahari untuk cermin belakang manual serta pemantau tekanan angin tayar.

    Untuk keselamatan pula City facelift pasaran India ini hadir dengan enam beg-udara, dengan varian-varian lebih tinggi menerima sistem pemantau titik buta Honda LaneWatch, serta pakej bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik, serta dua fungsi baharu iaitu cruise control adaptif dengan low-speed follow dan amaran pergerakan kenderaan hadapan.

    Varian-varian dengan enjin petrol hanya diberikan brek dram pada roda belakang bersama tuil brek tangan manual, manakala varian-varian hibrid pula menerima brek cakera pada bahagian belakang dan turut dilengkapi brek tangan elektrik.

    Enam warna badan ditawarkan untuk pembeli Honda City facelift ini di India iaitu Radiant Red Metallic, Platinum White Pearl, Golden Brown Metallic, Meteoroid Grey Metallic dan Lunar Silver Metallic serta satu warna baharu Obsidian Blue Pearl.

    Ia dijual pada harga bermula 1.149 juta (11.49 lakh) rupee (RM62,273) untuk varian paling asas petrol manual 1.5 SV, sehingga 2.039 juta (20.39 lakh) rupee (RM110,486) bagi model tertinggi hibrid ZX.

    Honda City generasi kelima ini dilancarkan di India buat pertama kali pada Julai 2020, manakala Malaysia pula menerima model yang sama hanya tiga bulan selepas itu iaitu pada Oktober 2020. Jadi mungkin kita juga akan menerima versi facelift ini tidak lama lagi?

     
     
  • Polis Ipoh sedang kesan perakam video penumpang keluarkan badan dari sunroof MPV Toyota Alphard

    Polis Daerah Ipoh telah mengesan dua video masing-masing berdurasi 24 saat dan 9 saat yang dikongsikan menerusi laman Facebook Malaysia Automotive Shiftposting yang memaparkan tiga individu yang melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan separuh badan melalui sunroof atau bumbung suria.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

    “Untuk makluman, pihak polis telah berjaya mengesan pemandu dan penumpang MPV terbabit. Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 malam kelmarin (1 Mac) di Jalan Sultan Idris Shah. Tiga individu yang membuat aksi berkenaan adalah remaja di antara usia 13 hingga 16 tahun. Semasa kejadian ibu remaja berkenaan berada dalam MPV terbabit yang dipandu oleh saudara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, individu yang merakam dua video itu pada masa kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan (ASP) Yap Siew Cheng di talian 012-9093362 untuk membantu siasatan.

    Katanya lagi, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu kerana mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

    “Pihak polis juga ingin memberi nasihat kepada orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga supaya tidak membenarkan kanak-kanak melakukan perbuatan yang mungkin mendatangkan bahaya bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan yang tidak diingini,” katanya lagi.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor PQT bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor PQT bakal dibuka bidaan

    Anda sedang mencari siri nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu yang bakal tiba di rumah anda? Ini ada satu lagi pilihan menarik. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran, PQT, yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Pulau Pinang, PQT ini bakal dibuka bidaan pada 10 Mac 2023. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 14 Mac. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 15 Mac 2023. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau ditutup sepenuhnya kerana berlaku runtuhan dan retakan – Polis Kulai

    Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau ditutup sepenuhnya kerana berlaku runtuhan dan retakan – Polis Kulai

    Ketua Polis daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow mengesahkan Jalan negeri Sungai Tiram – Ulu Tebrau (J08) ditutup sekali lagi akibat berlaku runtuhan dan retakan pada struktur permukaan jalan terbabit petang tadi.

    Tambahnya, jalan terbabit ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan. Sebelum ini, laluan terbabit pernah ditutup selama dua bulan disebabkan tebing runtuh akibat banjir dan ia baru dibuka semula pada 22 Februari lalu.

    “Jalan Ulu Tiram- Tebrau sehingga ke Seksyen 10 (Simpang masuk ke SWM- Seelong Environment Centre) ditutup akibat tebing jalan runtuh, penutupan dijangka untuk tempoh masa yang lama.

    “Selain itu terdapat juga kejadian tebing runtuh di Jalan Impiana 20, Taman Impiana, Kelapa Sawit berhadapan Jalan Orkid 3. Tiada kemalangan jiwa membabitkan dua insiden ini. Hujan berterusan menyebabkan berlaku pergerakan tanah runtuh di bucu jalan tersebut dan menyebabkan keadaan tebing jalan mendap,”katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Katanya lagi, jalan terbabit juga ditutup sementara dan lencongan dibuat di Jalan Orkid 3. Malah pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun dihubungi untuk tindakan lanjut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025