Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz E-Class W214 dapat sistem MBUX Superscreen – TikTok, Zoom, kamera selfie tersedia

    Mercedes-Benz E-Class W214 dapat sistem MBUX Superscreen – TikTok, Zoom, kamera selfie tersedia

    Tahun ini Mercedes-Benz akan memperkenalkan E-Class baru generasi keenam, namun waktu sebenarnya masih belum diketahui. Sebelum itu berlaku, mereka mendedahkan terlebih dahulu rupa bahagian dalamnya, yang menyaksikan penggunaan papan pemuka seakan mendapat inspirasi daripada model elektrik EQS.

    Paling menyerlah sudah tentu adalah jalur lampu suasana pada papan pemuka ini, dan ia bersambung sehingga ke tepi pintu. Selain bertukar warna, lampu yang dipanggil sebagai Active Ambient Light ini juga boleh berkelip dan bertukar mengikut rentak lagu.

    Di hadapan pemandu masih terdapat skrin digital yang berasingan, sementara di tengah dan di hadapan penumpang hadapan, E-Class baru ini boleh datang dengan skrin sesentuh MBUX Superscreen yang sama rata dengan permukaan papan pemuka.

    Mercedes-Benz E-Class W214 dapat sistem MBUX Superscreen – TikTok, Zoom, kamera selfie tersedia

    MBUX versi ini dikawal oleh satu komputer bersepadu dengan satu pemproses, dan dikatakan boleh memberi aliran data lebih pantas dan kemudiannya boleh dimasukkan dengan aplikasi lain. Semasa pelancaran nanti, Mercedes-Benz memberitahu, E-Class baru akan terus dimasukkan dengan TikTok, permainan Angry Birds, Vivaldi, Webex dan Zoom.

    Jika anda perasan di atas papan pemuka (bahagian tengah), terdapat bonjolan yang sebenarnya adalah kamera menghadap ke dalam kereta. Ia boleh digunakan bukan sahaja untuk mengambil gambar dan video semasa kereta berhenti, tetapi juga apabila pemandu/penumpang mahu membuat panggilan video atau menghadiri pertemuan dalam talian.

    E-Class ini juga boleh hadir dengan skrin bertentangan penumpang hadapan yang boleh digunakan untuk pelbagai fungsi termasuk menonton video. Demi mengurangkan gangguan kepada pemandu, Mercedes-Benz telah memasang “penghadang digital” supaya pemandu tidak boleh melihat skrin tersebut dengan mudah. Melengkapkan sistem infotainmen ini adalah sistem bunyi Burmester 4D dengan 17 pembesar suara.

    Dengan hampir semua sistem kawalan kenderaan boleh dibuat melalui skrin di tengah, E-Class baru ini masih mempunyai beberapa butang kawalan di tengah papan pemuka, dan ini adalah untuk mod pemanduan, sistem bantuan pemandu, tahap bunyi media serta kawalan pendingin hawa.

    Konsol tengah adalah ringkas, dengan terdapat tempat letak cawan di bahagian hadapan, dan perehat tangan yang di dalamnya, selain ruang simpanan, juga terdapat soket pengecas USB. Seperti biasa, kereta ini datang dengan pelbagai pilihan kemasan dan balutan.

     
     
  • Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasi pada 4 Mac hingga 1 pagi sempena dua konsert mega

    Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasi pada 4 Mac hingga 1 pagi  sempena dua konsert mega

    Rapid KL telah mengumumkan waktu operasi bagi stesen LRT Bukit Jalil pada 4 Mac 2023 akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi (5 Mac). Malah stesen sambungan juga akan dibuka untuk membawa penumpang ke destinasi akhir mereka.

    Walau pun Rapid KL tidak memaklumkan alasan untuk waktu operasi LRT ini dilanjutkan, namun difahamkan bahawa ada dua konsert mega bakal berlangsung jam 8 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil dan di Axiata Arena Bukit Jalil pada tarikh tersebut.

    Di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia melibatkan kumpulan penyanyi wanita popular dari Korea Selatan iaitu Blackpink sempena konsert jelajah dunia mereka, ‘Born Pink’. Manakala di Axiata Arena Bukit Jalil pula bakal berlangsungnya konsert Malam Bulan Bintang yang dibarisi artis tempatan termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir.

    Bagi yang merancang untuk menonton konsert berkenaan, memang pilihan yang tepat untuk menaiki LRT. Walau bagaimana pun, para penumpang diminta menggunakan kad Touch ‘n Go, dan memastikan baki kad anda mencukupi untuk kelancaran perjalanan. Dan pemakaian pelitup muka atau face mask masih diwajibkan bagi sistem pengangkutan awam.

     
     
  • Pemandu wanita disamun di stesen minyak Jalan Cheras — perlu lebih peka terhadap persekitaran

    Pemandu wanita disamun di stesen minyak Jalan Cheras — perlu lebih peka terhadap persekitaran

    Sedetik sahaja kita lalai dan tidak peka terhadap persekitaran semasa, situasi itu boleh mendatangkan kerugian atau malapetaka. Itulah yang terjadi kepada seorang pemandu di sebuah stesen minyak, yang mana rakaman dari kereta belakang dikongsi oleh pengguna di Twitter.

    Kejadian didakwa berlaku di sebuah stesen minyak Shell di Jalan Cheras pagi semalam, menyaksikan seorang wanita pemandu Toyota Yaris di samun dalam cara yang paling mudah. Video berkenaan menunjukkan wanita berkenaan yang sudah selesai mengisi minyak keretanya sedang bergerak ke bahagian pemandu sambil melihat telefon di tangan.

    Dalam masa yang sama, seorang lelaki lengkap dengan jaket dan helmet sudah cuba membuka pintu di sebelah penumpang, tetapi gagal kerana kereta masih berkunci. Namun, wanita berkenaan yang masih sibuk dengan telefon di tangan membuka kunci dari sebelah pemandu, dan tidak perasan langsung yang penyamun itu masih berada di sebelah penumpang dan terlebih dahulu membuka pintu kiri, tanpa disedari wanita terbabit.

    Aksi dalam video yang dirakam ini mencadangkan lelaki terbabit berjaya melarikan barang berharga yang diletak di kerusi penumpang kiri di depan — kemungkinan beg duit saiz kecil — sebelum berlari ke motosikalnya yang ada di depan. Selepas sedikit terlewat, barulah wanita tadi perasan yang penyamun telah melarikan barangannya, dan cuba mengejar.

    Walaupun dapat menahan motosikal terbabit, wanita berkenaan malangnya terjatuh ke tanah, dan kelihatan seperti kepalanya juga terhantuk di permukaan jalan. Ini keadaan yang sangat bahaya, dan mungkin boleh dielak sekiranya kita memberi lebih perhatian terhadap persekitaran.

    Terutama bagi yang kerap mengisi minyak seorang diri, perhatikan sekeliling, dan peka dengan pergerakan yang ada. Situasi terbuka seperti itu, tambahan di siang hari, memungkinkan orang-ramai yang ada datang memberikan bantuan sekiranya tindakan penyamun yang mencurigakan itu dapat dikesan awal.

    Dan, jika barangan berharga sudah diambil, ada eloknya kita tidak mencuba menahan atau mendekati penyamun berkenaan seorang diri, dikhuatiri akan berlaku pula kecederaan atau kemalangan lain sekiranya mereka bertindak kasar. Menjerit dan minta bantuan merupakan pilihan terbaik dan selamat.

    Semoga kejadian seperti ini dapat dielakkan, dan pemandu terutamanya wanita yang selalu bersendirian, perlu lebih peka dengan persekitaran.

     
     
  • WSBK 2023: Petronas taja MIE Racing – Hafizh Syahrin dalam WorldSBK, Adam Norrodin dalam WorldSSP

    WSBK 2023: Petronas taja MIE Racing  – Hafizh Syahrin dalam WorldSBK, Adam Norrodin dalam WorldSSP

    Perlumbaan World Superbike Championship (WSBK) 2023 yang akan bermula di Australia hujung minggu ini bakal menyaksikan Petronas menjadi penaja utama untuk pasukan MIE Racing, yang bersaing dalam kelas Superbike dan juga Supersport (SSP).

    Pasukan ini akan terus menggunakan khidmat Hafizh Syahrin dan Eric Granado sebagai pelumba dalam kelas Superbike menggunakan jentera CBR1000RR-R, sementara dalam kelas Supersport – pertama kali disertai bagi pasukan ini – Tarran Mackenzie dan Adam Norrodin dipilih untuk mengendalikan jentera CBR600RR.

    Melalui tajaan daripada Petronas ini, MIE Racing dapat memberikan fokus kepada lebih banyak projek jangka masa panjang termasuk ‘program akademi’ untuk menjadikan WorldSBK dan WorldSSP sebagai platform dan pemangkin untuk pembangunan bakat Malaysia.

    WSBK 2023: Petronas taja MIE Racing  – Hafizh Syahrin dalam WorldSBK, Adam Norrodin dalam WorldSSP

    “Kami tidak sabar untuk menyaksikan semua penunggang ini beraksi, dalam kedua-dua WorldSBK dan WorldSSP. Kita juga akan mendapat peluang untuk membangunkan kemahiran bakat dari malaysia dalam segmen dua roda, sesuatu yang kita mahu sangat lihat,” kata pengurus besar kanan komunikasi strategik kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

    “Saya sangat gembira memasuki musim kedua WorldSBK dengan pasukan Petronas MIE Racing. Pakej kami telah dipertingkat dan terdapat beberapa perubahan dengan pekerja teknikal. Saya juga sudah lebih biasa dengan sistem elektronik dan tayar, yang mana pada tahun sebelum ini ia adalah baru bagi saya. Jadi berkenaan perkara itu, saya sudah bersedia untuk memasuki musim 2023,” kata Hafizh.

     
     
  • PLUS Malaysia memperkenalkan Menu Rahmah RM5 di beberapa R&R terpilih di Lebuhraya Utara-Selatan

    PLUS Malaysia memperkenalkan Menu Rahmah RM5 di beberapa R&R terpilih di Lebuhraya Utara-Selatan

    PLUS Malaysia, pengendali Lebuhraya Utara-Selatan telah pun mengikut saranan Kementerian Kerja Raya untuk memperkenalkan program Menu Rahmah di beberapa Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lebuhraya berkenaan.

    Menurut PLUS, ini merupakan fasa pertama pelancaran Menu Rahmah di Lebuhraya Utara-Selatan yang dilaksanakan mulai hari ini, 23 Februari 2023. Untuk fasa pertama, sebanyak sembilan lokasi terpilih iaitu R&R Ulu Bernam (Arah Selatan), R&R Tapah (Arah Utara & Selatan), Restoran Jejantas Sg Buloh (Arah Utara & Selatan) dan R&R Seremban (Arah Utara).

    Ia turut melibatkan R&R Dengkil (Arah Selatan & Utara), Hentian Sebelah Nilai (Arah Utara & Selatan), Hentian Sebelah Serdang (Arah Utara & Selatan), R&R Rawang (Arah Utara) dan Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Utara & Selatan).

    “Dengan harga serendah RM5 untuk satu set makanan, Menu Rahmah ini tersedia untuk waktu makan tengahari dari 12 tengahari hingga 2 petang dan waktu makan malam dari jam 7 malam hingga 9 malam atau selagi stok masih ada di lokasi dan gerai-gerai terpilih,” kata PLUS sambil menambah pihaknya juga akan mengadakan program yang sama di lokasi lain pada masa terdekat ini.

    Anda boleh melihat senarai gerai yang terpilih untuk program Menu Rahmah fasa pertama bersama menu pilihannya menerusi perkongsian foto di bawah.

     
     
  • Kerajaan mempertimbangkan lanjutan tempoh baharui lesen memandu maksimum 10 tahun – Loke

    Kerajaan mempertimbangkan lanjutan tempoh baharui lesen memandu maksimum 10 tahun – Loke

    Mungkin ada di kalangan anda merasakan alangkah bagusnya jika tempoh pembaharuan lesen memandu dilanjutkan berbanding maksimum lima tahun seperti sekarang. Dan mungkin perkara ini dapat direalisasikan, pada masa akan datang, ini kerana Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pihak kerajaan sedang melihat keperluan untuk melanjutkan tempoh pembaharuan lesen memandu maksimum hingga 10 tahun, laporan New Straits Times.

    Menurut Loke, kementerian sedang berusaha untuk melanjutkan tempoh sah lesen memandu melebihi had lima tahun semasa, dan beliau telah meminta kementeriannya untuk melihat ke arah membenarkan pemandu boleh memperbaharui lesen mereka sehingga 10 tahun.

    Tambahnya, langkah membenarkan orang ramai memperbaharui lesen mereka sehingga 10 tahun juga akan menambah wang kerajaan. “Ada keperluan untuk menyemak lanjutan kepada 10 tahun untuk tempoh sah lesen. Apabila lesen memandu diperbaharui, ia menjana pendapatan kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya di Dewan Rakyat.

    Buat masa ini, kos sebanyak RM30 setahun dikenakan untuk memperbaharui lesen memandu Kelas D, dengan tempoh minimum pembaharuan adalah setahun dan maksimum lima tahun, jadi jika kerajaan membenarkan lanjutan tempoh, bayaran yang dikenakan untuk 10 tahun mencecah RM300. Walaupun tidak semua orang berkemungkinan memilih tempoh sah yang begitu lama, namun masih mempunyai pilihan jika hendak berbuat demikian.

     
     
  • MITI sedang berbincang dengan Proton dan Perodua bagi percepatkan EV mampu milik untuk rakyat

    MITI sedang berbincang dengan Proton dan Perodua bagi percepatkan EV mampu milik untuk rakyat

    Dalam sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan kementeriannya (MITI) kini sedang berbincang dengan dua jenama automotif nasional iaitu Proton dan Perodua untuk mempercepatkan pengeluaran kenderaan elektrik nasional dan menawarkan pilihan kenderaan elektrik (EV) mampu milik, lapor Bernama.

    Walau bagaimanapun, Tengku Zafrul masih belum memberikan perincian lanjut berkenaan perbincangan tersebut, tetapi menjelaskan bagi memberikan lebih pilihan EV dalam pasaran tempatan, MITI kini menambahbaik garis panduan semasa permit import (AP) dengan memberikan fleksibiliti ke atas kuantiti maksimum pengimportan kenderaan secara yang dipasang sepenuhnya (CBU).

    Langkah tersebut dibuat adalah untuk kajian pasaran pra-pemasangan (Market Research Pre-Assembly – MRA) untuk EV supaya syarikat-syarikat pemasangan tempatan lebih berpeluang menilai keperluan pasaran baharu untuk segmen EV sebelum memulakan pengeluaran.

    MITI sedang berbincang dengan Proton dan Perodua bagi percepatkan EV mampu milik untuk rakyat

    Sebelum ini Proton dan Perodua sudah pun mengumumkan halatuju EV masing-masing. Bagi Proton, model EV pertamanya dijangka bakal muncul di pasaran pada 2027 kerana syarikat berkenaan perlu menentukan teknologi yang paling boleh diterima, mudah diselenggara, dan mampu dimiliki oleh penggunanya.

    Proton kini telah memulakan usahanya kearah itu dengan menghantar pasukan pertama ke Hangzhou, China pada Disember lalu untuk ditempatkan di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo bagi dilatih dalam pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan, dan jualan serta perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu termasuk EV yang bakal diperkenalkan secara beransur-ansur oleh Proton selepas ini.

    Sebelum memperkenalkan EV dalam pasaran, Proton terlebih dahulu bakal menawarkan pelanggan di Malaysia dengan model-model yang dilengkapi teknologi hibrid ringkas dan juga plug-in hybrid (PHEV) terlebih dahulu, dan kemudian mensasarkan akan menjadi hab penghasilan EV bagi pasaran pemanduan sebelah kanan yang menyaksikan model-model EV Proton akan dieksport keluar.

    Dalam usaha menyediakan syarikat sebelum masuk sepenuhnya dalam segmen EV, Proton juga bakal menjadi pengedar di Malaysia dan Thailand untuk jenama smart dari Mercedes-Benz yang kini turut berada di bawah payung Geely. Model pertama usahasama berkenaan iaitu crossover EV smart #1 dijadualkan akan mula dijual di Malaysia pada suku keempat tahun ini dan di Thailand menjelang separa kedua tahun hadapan.

    Dengan menjadi wakil pengedar untuk smart, Proton akan banyak belajar berkenaan pasaran EV termasuk jualan, servis selepas jualan serta menyediakan rangkaian pengecasan di seluruh negara. Malah Proton juga mungkin akan memasang smart #1 ini di fasiliti mereka di Tanjung Malim membolehkan syarikat tersebut mendapat pendedahan awal berkenaan produksi EV sebelum menghasilkan EV dengan jenama sendiri.

    Untuk Perodua pula, masih belum ada garis masa jelas bila model EV pertamanya akan diperkenalkan dalam pasaran. Namun bagi Perodua, sebelum mereka menghasilkan EV adalah lebih penting untuk membangunkan vendor-vendor tempatan terlebih dahulu bagi memastikan EV dengan logo Perodua kelak mengandungi komponen tempatan yang banyak.

    MITI sedang berbincang dengan Proton dan Perodua bagi percepatkan EV mampu milik untuk rakyat

    “Ini kerana kami adalah Perodua, dan kami mahu membangunkan industri tempatan,” kata Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkenaan rancangan EV syarikatnya ketika majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur akhir bulan lalu.

    Menurutnya ada tiga komponen utama pada EV iaitu bateri, motor elektrik dan unit inverter, dan salah satu dari komponen ini haruslah dihasilkan oleh vendor tempatan sekiranya Perodua memperkenalkan EV dalam pasaran kelak.

    Dan untuk tujuan itu, Perodua kini berkerjasama dengan sekutunya di Jepun, Daihatsu Motor Co. (DMC) untuk mengenalpasti syarikat-syarikat dengan kepakaran elektrifikasi dan mempunyai akses kepada teknologi termaju bagi memacu vendor-vendornya ke arah itu.

     
     
  • JPJ eBid: Siri pendaftaran SYY dan VKN dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur dan Sabah dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah, SYY, sudah pun boleh dibida sejak semalam, 22 Februari 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 26 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 27 Februari 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini WP Kuala Lumpur, VKN, bakal dibuka bidaan mulai 24 Februari 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 28 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 29 Februari 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Harga minyak 23 Feb-1 Mac – Semuanya masih kekal

    Harga minyak 23 Feb-1 Mac – Semuanya masih kekal

    Bagi minggu bertarikh 23 Februari hingga 1 Mac 2023, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bahawa harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu kesembilan tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • KTM 890 SMT akan didedah 24 April ini – model Supermoto Touring dihidupkan kembali, enjin 899 cc?

    KTM 890 SMT akan didedah 24 April ini – model Supermoto Touring dihidupkan kembali, enjin 899 cc?

    Setelah banyak tahun ‘hilang’, model SMT keluaran KTM akan dihidupkan kembali dan akan didedahkan secara rasmi 24 April ini. Pengeluar dari Austria ini mengesahkan bahawa kemunculan semula SMT “bukanlah satu berita palsu” dan namanya dirujuk sebagai KTM 890 SMT 2023.

    Apa yang dinyatakan dalam siaran akhbar oleh KTM adalah SMT baru ini akan mempunyai karekter unik dan kuasa yang boleh membuatkan penunggang ketagih, sementara perincian lain masih lagi dirahsiakan dan kita perlu menunggu sehingga waktu ia diperkenalkan secara rasmi.

    Jika mengikut namanya yang mempunyai nombor 890, kita boleh menjangkakan penggunaan asas daripada 890 Adventure, yang menggunakan enjin dua silinder selari 899 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,000 rpm dan 100 Nm tork pada 6,500 rpm.

    KTM 890 SMT akan didedah 24 April ini – model Supermoto Touring dihidupkan kembali, enjin 899 cc?

    Walaubagaimanapun, sudah tentu, dengan namanya sebagai sebuah Supermoto Touring, 890 SMT 2023 akan mendapat kelengkapan yang disesuaikan lebih kepada penggunaan atas jalan biasa dan perjalanan jauh termasuk rim 17 inci, tempat duduk lebih selesa dan mungkin juga talaan suspensi dan tindak balas enjin yang berbeza.

    Gambar yang disiarkan oleh KTM sudah menampakkan bahagian sisi sebuah motosikal yang sesuai dengan nama SMT, dan ia kelihatan masih mempunyai fender hadapan tinggi, tetapi lebih pendek berbanding 890 Adventure serta tiada panel pelindung di bawah enjin.

     
     
  • JPJ akan terus sita kenderaan yang dipandu warga Rohingya; rakyat tempatan diingat jangan beri pinjam

    JPJ akan terus sita kenderaan yang dipandu warga Rohingya; rakyat tempatan diingat jangan beri pinjam

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan memberi amaran keras kepada rakyat tempatan yang membenarkan warga asing termasuk etnik Rohingya tiada lesen memandu menggunakan kenderaan milik mereka.

    Menurut Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah dalam laporan Bernama, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia jelas melanggar peraturan dan undang-undang negara.

    “Kita (JPJ) mendapati perkara ini semakin berleluasa dan berkemungkinan ia akan tidak terkawal terutamanya melibatkan etnik Rohingya yang memandu kenderaan tanpa lesen dan insuran.

    “Jika jumpa mereka (warga asing) memandu kenderaan, kita akan terus sita dan menghubungi pemilik kenderaan rakyat tempatan untuk dikenakan tindakan lebih tegas,” katanya selepas merasmikan Program Taklimat Kursus Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM), di Kota Bharu hari ini.

    Menurut Mohd Misuari lagi penggunaan kenderaan tempatan oleh etnik Rohingya dilihat serius berikutan sikap mereka lebih berani berbanding warga asing lain yang hanya menggunakan basikal untuk berulang-alik bekerja.

    “Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan lesen besar untuk mereka memandu. Perkara ini merisaukan kerana ia turut melibatkan nyawa rakyat negara ini.

    “Pihak kami telah mengenal pasti kawasan menjadi tumpuan golongan berkenaan dan akan mengatur gerak penguat kuasa untuk tindakan lanjut,” katanya dan turut mengingatkan rakyat tempatan supaya tidak bersikap pemurah dengan memberi pinjam dan menjual kenderaan kepada etnik Rohingya dan warga asing yang tiada dokumen sah.

    “Bukan kita anti dengan warga asing, namun mereka perlu mengikuti peraturan yang ada dalam negara ini,” tambahnya lagi.

     
     
  • Cukai jalan kutip hampir RM3b setahun, penurunan harga beri impak negatif pada hasil kerajaan – Loke

    Cukai jalan kutip hampir RM3b setahun, penurunan harga beri impak negatif pada hasil kerajaan – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan setakat ini kerajaan belum ada keputusan untuk menurunkan cukai jalan namun pihaknya akan mempertimbangkan supaya struktur harganya dikaji semula.

    Jelasnya, sebarang keputusan untuk menurunkan harga cukai jalan akan memberi impak negatif terhadap hasil kerajaan. Ini kerana kutipan cukai jalan sahaja mampu menyumbang hasil yang besar kepada negara iaitu hampir RM3 bilion setahun, laporan Harian Metro.

    “Memang perlu satu kajian yang menyeluruh untuk melihat struktur cukai jalan namun perlu difahami bahawa kutipan cukai jalan adalah satu hasil yang besar kepada kerajaan.

    “Hasil cukai jalan sahaja hampir RM3 bilion untuk hasil kerajaan jadi berikutan keadaan kekurangan hasil yang sedang dihadapi, sebarang keputusan untuk menurunkan cukai jalan itu memang akan memberi impak negatif,” katanya pada sesi penggulungan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau turut berkata, mengenai cukai jalan bagi kereta elektrik (EV) pula, satu kajian menyeluruh akan dilakukan bagi struktur harganya supaya ia selari dengan dasar kerajaan yang mempromosikan penggunaan EV.

    “Dalam usaha menggalakkan penggunaan EV, pelbagai insentif perlu ada dari segi harga cukai yang kompetitif, kemudahan stesen caj dan fasiliti,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi Ralliart bakal perkenal model prestasi sebenar pada 2024; Outlander PHEV 290PS – laporan

    Mitsubishi Ralliart bakal perkenal model prestasi sebenar pada 2024; Outlander PHEV 290PS – laporan

    Sebelum ini Mitsubishi sudah beberapa kali menyatakan bahawa selepas sayap prestasinya iaitu Ralliart dihidupkan semula pada 2021, jenama berkenaan terlebih dahulu akan hadir dengan kelengkapan dan model-model edisi khas yang menampilkan tingkat taraf kosmetik semata-mata, dan bakal diikuti dengan tingkat taraf prestasi sebenar selepas itu.

    Buat masa sekarang, model-model edisi khas berkenaan sudahpun dijual di pasaran seperti Jepun dan Thailand, dan ia hanya membabitkan perubahan pada kit serta grafik badan. Manakala bagi model yang benar-benar mendapat talaan prestasi, ia mungkin akan muncul di Jepun tahun hadapan.

    Menurut laporan media Jepun, Best Car Web, Mitsubishi dijangka bakal memperkenalkan model Outlander PHEV Ralliart pada 2024, yang bukan sahaja menampilkan rupa lebih garang dari model standard, malah bakal dibekalkan dengan kuasa lebih besar.

    Mitsubishi Ralliart bakal perkenal model prestasi sebenar pada 2024; Outlander PHEV 290PS – laporan

    Outlander generasi baharu telahpun diperkenalkan pada Mac 2021, dan merupakan kembar kepada Nissan X-Trail generasi baharu. Ia diasaskan dari platform CMF-F pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, tetapi untuk Outlander PHEV ia masih digerakkan oleh sistem rangkaian kuasa Mitsubishi yang ditingkat taraf dari Outlander PHEV generasi terdahulu.

    Model PHEV berkenaan menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS. Enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi.

    Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm.

    Mitsubishi Ralliart bakal perkenal model prestasi sebenar pada 2024; Outlander PHEV 290PS – laporan

    Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm dalam keadaan standard. Dan menurut Best Car Web, Outlander PHEV yang menerima talaan Ralliart kelak bakal menampilkan kuasa gabungan sehingga 290 PS!

    Dari segi rupa, Outlander PHEV Ralliart berkenaan dijangka akan dihasilkan sebagai model produksi bagi model konsep Vision Ralliart yang didedahkan pada Tokyo Auto Salon tahun lalu. Model konsep berkenaan sememangnya diasaskan dari Outlander dan menerima kit badan serta set rim jauh lebih agresif.

    Selain rupa yang lebih garang serta kuasa yang lebih besar, Mitsubishi Outlander PHEV Ralliart tersebut turut dijangka bakal diberikan talaan semula pada suspensi yang lebih sporty.

    Mitsubishi Ralliart sekarang bukan sahaja sedang menghasilkan komponen dan model-model prestasi, malah pasukan berkenaan kini turut telah berlumba kembali. Tahun lalu pasukan Mitsubishi Ralliart yang dipimpin lagenda Rali Dakar, Hiroshi Masuoka telah menyertai rali rentas negara Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022 dari Thailand ke Kemboja menggunakan trak pikap Mitsubishi Triton T1, dan berjaya menjuarai perlumbaan tersebut hanya dalam percubaan kali pertama.

    GALERI: Mitsubishi Vision Ralliart Concept 2022

     
     
  • Indian Sport Chief 2023 dapat kelengkapan prestasi – brek Brembo, penyerap Fox Piggyback, tork 162 Nm

    Indian Sport Chief 2023 dapat kelengkapan prestasi – brek Brembo, penyerap Fox Piggyback, tork 162 Nm

    Barisan model Chief keluaran Indian Motorcycles kini ditambah dengan satu lagi model yang dikenali sebagai Sport Chief. Ia dibangunkan untuk menjadi model Chief paling agresif berbanding yang lain, iaitu Chief, Chief Dark Horse, Chief Bobber, Chief Bobber Dark Horse, Super Chief dan Super Chief Limited.

    Sentiasa minta untuk dibelasah, Sport Chief dinaik taraf dengan kelengkapan prestasi termasuk fork USD Kayaba di hadapan, brek cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo empat piston di hadapan serta dua penyerap hentak Fox Piggyback dengan jarak gerak 100 mm di belakang. Penggunaan suspensi ini juga membolehkan Sport Chief condong lebih banyak, sehingga 29.5 darjah berbanding model Chief biasa.

    Membezakan Sport Chief berbanding model Chief lain adalah ia dipasang dengan Quarter Fairing gaya baru, serta pemegang jenis moto-style yang ditinggikan (riser) bersama dengan triple clamp CNC. Tempat duduk hanya ada satu sementara peletak kaki dan tuil kawalannya berada di tengah motosikal (tidak perlu melunjur ke hadapan).

    Melengkapkan penampilannya adalah rim aluminium 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, dibalut dengan tayar Pirelli Night Dragon, tangki bahan api 15.1 liter, fender belakang jenis pendek, dua ekzos yang keluar di bahagian kanan, lampu LED serta sistem tanpa kunci.

    Enjin Sport Chief ini adalah unit Thunderstroke 116 (1,890 cc) yang sama seperti Chief Dark Horse, dan ia mampu menghasilkan tork sehingga 162 Nm. Penunggang boleh memilih tiga mod tunggangan iaitu Sport, Standard dan Tour, sementara panel paparan pula menggunakan unit skrin sesentuh empat inci yang juga boleh disambungkan kepada telefon untuk memaparkan navigasi. Berat motosikal ini adalah 302 kg.


     
     
  • EV hanya untuk orang kaya? Kerajaan sedang cari cara turunkan harga supaya ramai mampu memilikinya

    EV hanya untuk orang kaya? Kerajaan sedang cari cara turunkan harga supaya ramai mampu memilikinya

    Antara kelebihan yang dibawa oleh kenderaan elektrik (EV) adalah ia mesra alam, dapat memberikan pecutan laju dan mempunyai kos pemilikan yang lebih rendah berbanding kereta berenjin pembakaran dalaman (ICE). Walaubagaimanapun, ia bukanlah murah untuk dibeli – sekurang-kurangnya pada masa sekarang – dan dianggap lebih untuk golongan berada kerana setakat ini tiada model bajet bawah RM100k yang ditawarkan.

    Disebabkan itu, kerajaan sedang mencari cara untuk membawa perubahan. Dalam satu muatan di Facebook, menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertemuan National EV Task Force (NEVTF) yang diadakan semalam turut membincangkan langkah untuk “mengurangkan harga EV di Malaysia supaya lebih ramai mampu untuk memilikinya.”

    Walaupun nampak seperti sukar untuk ditawarkan pada harga bawah RM100k (mungkin boleh diubah oleh BYD Dolphin EA1 ), usaha ke arah itu sedang diambil. Awal minggu ini, timbalan ketua setiausaha MITI, Datuk Seri Norazman Ayub berkata, model EV yang berharga serendah RM120,000 akan datang ke Malaysia pada suku kedua tahun ini.

    EV hanya untuk orang kaya? Kerajaan sedang cari cara turunkan harga supaya ramai mampu memilikinya

    “Kita sekarang sedang menggalakkan pengimportan lebih banyak EV, terutamanya dari China, sebab kita mahu lebih banyak EV mampu milik untuk rakyat,” kata Norazman. Pada masa sekarang, EV paling mampu milik yang dijual dalam negara adalah Ora Good Cat varian asas 400 Pro keluaran Great Wall Motors (GWM), yang berharga RM139,800 tidak termasuk insurans.

    Tengku Zafrul juga memberitahu bahawa pembangunan infrastruktur mengecas awam sedang diperhatikan secara dekat. “Kita juga perlu meningkatkan jumlah tempat mengecas EV di seluruh Malaysia untuk menyokong pembangunan ekosistem EV pada waktu ini,” kata beliau.

    Tahun lepas kerajaan mengumumkan bahawa 10,000 stesen mengecas kenderaan elektrik disasar untuk disiapkan di Malaysia menjelang tahun 2025 di bawah Pelan Tindakan Karbon Rendah (LCMB) 2021-2030. Insentif tambahan untuk EV juga dijangka akan dibentangkan dalam semakan semula Bajet 2023 hujung minggu ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025