Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • LRT Johor Bahru – Nylex tandatangan LOI dengan CRRC Changchun; LRT akan dihubung dengan RTS

    LRT Johor Bahru – Nylex tandatangan LOI dengan CRRC Changchun; LRT akan dihubung dengan RTS

    Nylex Malaysia telah bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan CRRC Changchun Railway Vehicles dari China bagi pembinaan sistem LRT di Johor Bahru, lapor The Edge Markets.

    Projek tersebut kini tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan yang sedang dilengkapkan dan pemberian anugerah konsesi oleh kerajaan Johor. Ia dirancang sebagai pembangunan hartanah bersepadu yang dikategorikan sebagai pembangunan berorientasikan transit. Menurut laporan itu lagi, Nylex telah menyatakan dalam pemfailan bursa semalam bahawa ia telah menandatangani surat niat (LOI) dengan CRRC Changchun untuk bagi melengkapkan kajian kebolehlaksanaan tersebut.

    Projek LRT ini akan berhubung terus dengan Rapid Transit System (RTS) Link yang sedang dibina antara Johor Bahru dan Singapura dengan kontrak yang dimenangi oleh Ekovest Construction. Menerusi LOI itu, CRRC Changchun bersetuju untuk mengambil projek berkenaan sebagai kontraktor turnkey, dan mengesyorkan penggunaan sistem monorel jenis straddle untuk projek LRT di Johor Bahru itu.

    LRT Johor Bahru – Nylex tandatangan LOI dengan CRRC Changchun; LRT akan dihubung dengan RTS

    Bagi projek RTS, ia merupakan perkhidmatan rel antara Malaysia dan Singapura menerusi stesen Bukit Chagar di Johor Bahru hingga stesen Woodlands North. RTS menawarkan kapasiti 10,000 penumpang sejam di setiap arah dengan masa perjalanan sekitar lima minit antara dua stesen. Perkhidmatan ini dijangka akan bermula pada 2026.

    Walaupun projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) KL-Singapura telah ditamatkan pada awal tahun 2021, RTS Link masih diteruskan sebagai projek rel rentas sempadan antara kedua-dua negara, berbeza daripada projek HSR asal yang menghubungkan Johor dengan Laluan MRT Thomson-East Coast (TEL) di Singapura.

     
     
  • Polis Selangor beri diskaun saman 50% di semua kaunter trafik daerah di negeri ini pada 20-21 Dis 2022

    Polis Selangor beri diskaun saman 50% di semua kaunter trafik daerah di negeri ini pada 20-21 Dis 2022

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor telah mengumumkan penawaran diskaun saman sehingga 50% untuk kesalahan trafik terpilih pada 20 hingga 21 Disember 2022.

    Tawaran diskaun saman ini akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 4 petang di semua kaunter trafik daerah kontijen Selangor.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa

     
     
  • GWM Ora Good Cat – kumpulan pertama tiba di M’sia

    GWM Ora Good Cat – kumpulan pertama tiba di M’sia

    GWM Ora Good Cat telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada akhir bulan lalu, dan ditawarkan dengan dua varian. 400 Pro dijual pada harga RM139,800 dan 500 Ultra pula berharga RM169,800. Ia meliputi waranti lima-tahun/150,000 km dengan waranti pek bateri lapan-tahun/180,000 km.

    Untuk yang membeli Ora Good Cat yang dijana elektrik sepenuhnya ini, Great Wall Motors (GWM) telah mengumumkan kumpulan pertama EV ini telah pun tiba di Malaysia. Pengumuman ini disusuli dengan perkongsian imej yang menunjukkan EV comel ini sedia untuk dihantar kepada pelanggan.

    Kedua-dua varian 400 Pro dan 500 Ultra menampilkan motor elektrik tunggal dengan 143 PS dan tork 210 Nm yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Untuk pecutan 0-100 km/j, kedua-duanya mengambil masa sekitar 7.9 saat, dengan kelajuan tertinggi cecah 152 km/j.

    GWM Ora Good Cat – kumpulan pertama tiba di M’sia

    400 Pro dilengkapi oleh bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang mampu memberikan jarak perjalanan 400 km, manakala varian 500 Ultra pula menggunakan bateri dengan kapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km.

    Ciri kelengkapan standard yang ditampilkan untuk luaran dan dalaman Ora Good Cat termasuklah bumbung matahari panoramik, skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kluster instrumen digital sepenuhnya tujuh-inci, dan sistem bantuan pemandu komprehensif merangkumi kawalan kelajuan adaptif, AEB, amaran pelanggaran hadapan dan bantuan pemusatan lorong. Bagi 500 Ultra, ia juga diberikan fungsi mengurut untuk tempat duduk pemandu.

    Dengan setiap pembelian Ora Good Cat, pelanggan bakal menerima pengecas mudah alih secara percuma dan pengecas rumah, serta lima kali penyelenggaran percuma yang merupakan sebahagian daripada pakej 4-in-1 Purr-fect.

     
     
  • ACO Tech adakan sesi maklumbalas dengan pengguna berkaitan perisian GKUI dan Atlas — 3.30pm hari ini

    ACO Tech adakan sesi maklumbalas dengan pengguna berkaitan perisian GKUI dan Atlas — 3.30pm hari ini

    Kepada pemilik kenderaan Proton, jika anda pernah menghadapai masalah dengan head unit Atlas dan GKUI kereta anda, itu bukanlah masalah terpencil. Ramai pemilik yang berdepan situasi sama. Dan untuk itu, ACO Tech, syarikat yang bertanggungjawab terhadap sistem berkenaan, akan mengadakan sesi bersama pengguna.

    “Kami ambil maklum ramai pengguna Atlas dan GKUI sedang berdepan dengan masalah dengan IHU mereka. Kami mohon maaf atas perkara itu. Dalam usaha kami untuk memperbaiki pengalaman pengguna, kami ingin menjemput semua pengguna untuk bersama dalam sesi perbincangan di Discord, dan anda boleh berkongsi maklum balas secara langsung dengan kami,” jelas satu hantaran ACO Tech di laman Facebooknya semalam.

    Sesi berkenaan akan berlangsung pada 3.30 pm hari ini (15 Disember 2022) di platform Discord dan anda boleh ikut serta melalui pautan ini. “Maklum balas anda sangat bernilai, dalam usaha kami untuk memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik,” jelas syarikat itu.

    Jika anda tak dapat ikut serta hari ini, anda boleh berhubung dengan ACO Tech melalui Facebook atau isi borang di laman rasmi syarikat itu untuk menyatakan pengalaman penggunaan anda.

    Julai lalu, kemaskini over-the-air (OTA) bagi Proton X50 untuk beralih daripada Geely Smart Ecosystem (GKUI) kepada Atlas (ACO Tech Local Automotive Services) mula diperkenalkan. Pertama kali diumum pada September 2021, OS infotainmen yang dibangunkan di Malaysia itu menampilkan wajah baru dan didakwa memberikan lebih banyak penambahbaikan berbanding versi GKUI.

     
     
  • Volvo EX90 bakal ke pasaran Malaysia tak lama lagi?

    Volvo EX90 bakal ke pasaran Malaysia tak lama lagi?

    Ketika pelancaran SUV EV Coupe Volvo C40 Recharge Pure Electric semalam, Volvo Car Malaysia (VCM) sempat menyiarkan video teaser untuk SUV EV Volvo EX90, membayangkan ia bakal masuk ke pasaran tempatan pada masa akan datang.

    VCM masih belum memberikan sebarang garis masa bila SUV EV berkenaan akan dilancarkan di sini, namun pengarah urusan VCM Charles Frump menyatakan bahawa Volvo biasanya akan membawa model yang telah diperkenalkan diperingkat global ke Malaysia lebih cepat dari jenama premium lain di sini.

    Volvo EX90 merupakan SUV yang hanya hadir dengan pilihan rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya, dan diberikan tujuh-tempat duduk bagi menggantikan XC90 dalam segmen EV. Model ini baru sahaja didedahkan pada bulan lalu, dan produksinya bakal bermula kilang Volvo di South Carolina, Amerika Syarikat tahun hadapan, diikuti kilang Volvo di Daqing, China pada 2024.

    Buat masa sekarang kilang Volvo Car Manufacturing Malaysia di Shah Alam sudah pun memasang dua model EV Volvo iaitu XC40 Recharge Pure Electric dan juga C40 Recharge Pure Electric. Kedua-dua model ini diproduksi bukan hanya untuk pasaran Malaysia, malah turut dieksport ke beberapa pasaran negara ASEAN yang lain. Mungkin EX90 juga akan menggunakan strategi yang sama?

    Volvo EX90 bakal ke pasaran Malaysia tak lama lagi?

    Ketika didedahkan sebelum ini, EX90 diumum menampilkan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak roda sejauh 2,985 mm. Oleh itu, EX90 ini adalah lebih panjang dan lebar berbanding XC90 yang menampilkan dimensi 4,950 mm panjang, 1,923 mm lebar. Namun EX90 adalah 29 mm lebih rendah dengan jarak roda hanya 1 mm lebih jauh berbanding XC90.

    Volvo mengumumkan bahawa EX90 akan ditawarkan dengan dua konfigurasi rangkaian kuasa; kedua-duanya dilengkapi dengan dua motor elektrik, masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda.

    Versi pertama merupakan varian yang digelar Twin Motor, dilengkapi modul Electric Front Axle Drive (EFAD) yang menghasilkan 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork maksima 350 Nm bersama Electric Rear Axle Drive (ERAD) menghasilkan 245 PS (241 hp atau 180 kW) dan 420 Nm. Secara keseluruhan, ia menghasilkan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 770 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat.

    Volvo EX90 bakal ke pasaran Malaysia tak lama lagi?

    Versi kedua pula adalah varian Twin Motor Performance yang menawarkan EFAD berkuasa 272 PS (288 hp atau 200 kW) dan tork maksima 490 Nm, dan serta ERAD berkuasa 245 PS (241 hp atau 180 kW) dan tork maksima 420 Nm. Ini menjadikan kuasa keseluruhan EX90 Twin Motor Performance ini mencapai 517 PS (510 hp atau 380 kW) dan tork maksima 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

    Kelajuan maksima kedua-dua model ini dihadkan hanya 180 km/j mengikut polisi Volvo, dan kedua-duanya mempunyai kapasiti menunda sehingga 2,200 kg.

    Hanya satu bateri ditawarkan untuk kedua-dua model iaitu bateri lithium-ion dari CATL berkapasiti 107 kWh (111 kWh kasar). Ini membolehkan model Twin Motor bergerak sejauh 600 km dan Twin Motor Performance bergerak sejauh 590 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran WLTP.

    Untuk mengecas pula, EX90 boleh menampung input DC (sambungan CCS2) pada kadar maksimum 250 kW, dengan tahap cas 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit; 180 km boleh ditambah dengan pengecasan hanya 10 minit. Ada juga pengecasan biasa AC (sambungan Type 2) pada 11 kW, dengan cas penuh mengambil masa 11 jam. SUV ini juga boleh digunakan sebagai pembekal kuasa elektrik vehicle-to-grid (V2G).

    Manakala untuk keselamatan, EX90 hadir dengan kit canggih meliputi sensor Iris LiDAR dari Luminar di atas bumbung, lima radar, lapan kamera, dua kamera dalaman dan 16 sensor ultrasonic.

    Volvo menyifatkan SUV ini bersedia dari segi peranti untuk pemanduan autonomous di masa hadapan, tetapi buat masa sekarang, pemandu akan ada pelbagai akses bagi ciri semi-autonomous Tahap 2 seperti kawalan melayar adaptif, bantuan ke tengah lorong dan banyak lagi — senarai ciri termaju yang standard untuk kenderaan Volvo semasa.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Dis – RON97 turun 20 sen

    Harga minyak 15-21 Dis – RON97 turun 20 sen

    Bagi minggu bertarikh 15 hingga 21 Disember 2022, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan
    harga runcit bagi petrol RON 97 bakal turun sebanyak 20 sen, dari RM3.75 seliter menjadi RM3.55 seliter. Ia merupakan minggu kedua harga RON 97 diturunkan untuk bulan ini.

    Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Bagi diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat VKE dan JVW dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bidaan bagi siri nombor pendaftaran terkini WPKL, VKE, telah pun dibuka sejak 11 Disemember lalu. Tempoh bidaannya bakal ditutup esok, 15 Disember, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 16 Disember. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JVW, bidaannya bakal dibuka bermula 17 Disember 2022 dan akan berakhir jam 10 malam pada 21 Disember 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Disember ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Volvo Car Malaysia komited dengan sasaran jual 75% EV dari keseluruhan modelnya menjelang 2025

    Volvo Car Malaysia komited dengan sasaran jual 75% EV dari keseluruhan modelnya menjelang 2025

    Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini sekali lagi menegaskan sasarannya untuk memastikan 75% dari keseluruhan model jualannya adalah model elektrik penuh (EV) menjelang 2025 . Ia disebut oleh pengarah urusan syarikat itu, Charles Frump ketika melancarkan SUV EV Coupe Volvo C40 Recharge Pure Electric di Ibu Negara tengah hari tadi. Ini merupakan kali kedua sasaran itu diulang selepas ia diumumkan ketika melancarkan SUV EV XC40 Recharge Pure Electric pada Mac lalu.

    Sasaran berkenaan adalah selari dengan rancangan global Volvo Cars untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya pada 2023 serta halatuju VCM sendiri yang mahu menjadi jenama EV mewah nombor satu di Malaysia. Malah apa yang disasarkan oleh VCM ini adalah lebih agresif dari rancangan global Volvo Cars yang hanya mensasarkan untuk mencapai angka jualan EV 50% dari keseluruhan jualan globalnya pada 2025.

    Selepas melancarkan Volvo C40 Recharge Pure Electric hari ini, VCM kini mempunyai dua model EV penuh yang boleh dipilih oleh pelanggan di Malaysia, dan kedua-dua C40 dan XC40 Recharge Pure Electric berkenaan merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang Volvo Car Manufacturing Malaysia yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam.

    Volvo Car Malaysia komited dengan sasaran jual 75% EV dari keseluruhan modelnya menjelang 2025

    Selain untuk pasaran tempatan, kedua-dua model EV berkenaan turut akan dieksport ke beberapa pasaran lain dalam rantau ASEAN. Langkah untuk memasang model-model EV ini di sini turut akan memberikan kelebihan kepada VCM untuk menjual kenderaan elektrik penuh tanpa duti dan eksais sehingga 31 Disember 2025, berbanding model CBU yang menerima insentif tersebut sehingga 31 Disember 2024.

    Selari dengan sasaran-sasaran yang ditetapkan ini, Frump turut mengumumkan bahawa platform jualan atas talian Volvo di Malaysia akan boleh digunakan pelanggan di Malaysia bermula pukul 8 malam ini. Platform tersebut bukan sahaja membolehkan membuat tempahan dan pembelian, malah turut membuat bayaran secara atas talian dengan selamat.

    Frump menegaskan bahawa penawaran platform jualan atas talian ini adalah sejajar dengan halatuju VCM yang mahu mengambil kesempatan atas perkembangan pesat pendigitalan dan kecenderungan para pengguna mewah untuk membeli belah secara dalam talian di Malaysia. Jika anda lawati laman sesawang rasmi VCM, anda akan nampak tag ‘Available Online’ pada pilihan model EV Volvo XC40 dan C40 untuk anda buat pembelian sepenuhnya secara dalam talian.

    “Perjalanan pelanggan kami dalam memiliki sebuah Volvo akan menjadi lancar bermula dari sekarang, seiring dengan inisiatif kami untuk memperkenalkan harga selaras tanpa kerumitan. Bersama-sama dengan para pengedar sah kami, platform ‘Online Sales’ tersebut akan meningkatkan lagi pengalaman membeli setiap pelanggan,” kata Frump.

     
     
  • Kereta elektrik bawah RM100k akan diperkenalkan di Malaysia, bolehkan capaian penggunaan lebih meluas

    Kereta elektrik bawah RM100k akan diperkenalkan di Malaysia, bolehkan capaian penggunaan lebih meluas

    Ini mungkin satu lagi berita yang menarik untuk memperluaskan lagi penggunaan kereta elektrik (EV) di negara ini. Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan EV dengan harga jualan di bawah RM100,000 dengan matlamat untuk memastikan bukan hanya golongan berpendapatan tinggi yang mampu menggunakan EV.

    Lebih penting, seperti dimaklumkan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, cadangan itu bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana turut dapat menyumbang kepada sasaran pengurangan karbon dioksida, lapor Astro Awani. “Sekarang kebanyakan EV yang masuk dalam pasaran kita adalah RM100,000 ke atas, jadi kita nak pergi kepada pasaran yang lebih besar iaitu RM100,000 ke bawah.

    Nik Nazmi juga menambah, kenderaan EV akan dapat dijual dengan lebih murah sekiranya ada syarikat tempatan yang memasang kenderaan itu di negara ini. “Kerajaan sedang lihat bagaimana kalau kita dapat bawa masuk kenderaan EV yang lebih mampu milik.

    “Kalau kita dapat pasang EVdi Malaysia, ia mungkin akan bantu kita untuk tawarkan kenderaan-kenderaan EV pada harga lebih rendah,” katanya lagi. Ketika ini, kerajaan memberi insentif dalam bentuk pengecualian cukai/duti import dan eksais sepenuhnya bagi EV yang dibawa masuk ke pasaran tempatan. Pemasangan tempatan EV akan memberikan kesan positif yang lebih menyeluruh kepada ekosistem dalam negara.

     
     
  • Tarif elektrik untuk pengguna domestik tidak dinaikkan

    Tarif elektrik untuk pengguna domestik tidak dinaikkan

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan yang tarif elektrik bagi pengguna domestik tidak akan dinaikkan bagi mengelakkan tambahan beban untuk rakyat, lapor Bernama. Keputusan itu turut melibatkan industri kecil dan sederhana (IKS), syarikat pertanian dan pengeluar makanan, walaupun subsidi terhadap bahan api itu memberi kesan kepada kewangan negara sebanyak hampir RM30 bilion setahun.

    Namun, kenaikan tarif elektrik berkenaan akan dikenakan terhadap syarikat-syarikat multinasional yang mengeksport produk mereka ke luar negara, kerana subsidi tidak seharusnya diberikan untuk mereka, dan kadar semasa yang dikenakan adalah rendah. Anwar juga menjelaskan, Menteri Sumber dan Tenaga Asli, Nik Nazmi Nik Ahmad akan membuat pengumuman terperinci berkaitan hal ini dalam masa terdekat.

    “Berdasarkan laporan NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) semalam, kita memutuskan supaya cadangan awal untuk naikkan tarif elektrik itu tidak diteruskan, kerana kita akui ia akan membebankan rakyat, walaupun kita akui jika tidak ada apa apa dilakukan, ia akan memberi kesan kepada kewangan negara agak tinggi, iaitu RM30 bilion,” jelas Anwar memetik laporan Astro Awani.

    Tarif elektrik untuk pengguna domestik tidak dinaikkan

    Beliau juga menjelaskan, mesyuarat NACCOL semalam mengambil maklum tentang keperluan untuk menaikkan tarif tersebut, selepas mengambil kira beban kewangan kerajaan yang kian meninggi. “Tetapi keputusan jelas, kita tidak akan membebankan rakyat. Jadi, keputusan kita ialah tidak menaikkan tarif elektrik, kecuali untuk mereka yang benar-benar kaya.

    “Masalah dengan pemberian subsidi ini ialah ia dilihat tidak dilakukan dengan telus, sebaliknya dilihat hanya memberi keuntungan kepada golongan kaya. Maka saya berpandangan kita akan meningkatkan tarif secara berfasa untuk syarikat multinasional,” tambahnya.

    Perkembangan ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pertumbuhan penggunaan serta melegakan pengguna kenderaan elektrik di Malaysia, terutamanya dengan pengecas domestik di rumah kerana akan terus menikmati tarif elektrik seperti sedia ada.

     
     
  • Didi Automotive ambil alih jenama Triumph di Malaysia

    Didi Automotive ambil alih jenama Triumph di Malaysia

    Bermula 15 Januari 2023 nanti, semua urusan berkenaan Triumph Motorcycles di Malaysia akan diambil alih oleh pengedar baru iaitu Didi Automotive. Ini termasuklah pengurusan import, jualan, pengedaran serta pembangunan jenama dari United Kingdom itu.

    Pengumuman daripada Triumph Motorcycles ini muncul selepas pengedar Triumph di Malaysia sebelum ini, iaitu Fast Bikes mengumumkan mereka telah menamatkan perjanjian dengan Triumph dan beralih kepada jenama Honda sebagai pengedar Big Wing.

    Di bawah Didi Automotive, dua pusat pameran baru Triumph akan dibuka di Petaling Jaya dan Pulau Pinang, untuk memberikan servis terbaik kepada pelanggan termasuk dengan pekerja yang terlatih. Apabila siap nanti, barisan lengkap model Triumph akan ditawarkan dan diikuti juga oleh model baru kapasiti rendah Triumph yang dibuat dengan kerjasama Bajaj.

     
     
  • Royal Enfield Hunter 350 tiba di Indonesia dengan harga RM3.5k lebih murah berbanding Classic 350

    Royal Enfield Hunter 350 tiba di Indonesia dengan harga RM3.5k lebih murah berbanding Classic 350

    Selepas diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia Ogos lalu di Thailand, Royal Enfield Hunter 350 kini memasuki pula pasaran Indonesia. Model ini menarik untuk dilihat kerana apabila memasuki pasaran, ia akan menjadi model paling murah di dalam barisan model semasa Royal Enfield.

    Di Indonesia, Hunter 350 dijual pada harga bermula 106.4 juta rupiah (RM30,016), iaitu 12.5 juta rupiah (RM3,526) lebih murah berbanding model Classic 350 yang berharga 118.9 juta rupiah (RM33,542). Hunter 350, Classic 350 dan Meteor 350 sebenarnya berkongsi asas yang sama.

    Melihat kepada harga di negara jiran ini, kita boleh mengambilnya sebagai petunjuk untuk harga Hunter 350 apabila masuk ke pasaran Malaysia nanti. Di negara kita, Classic 350 dijual pada harga bermula RM23,500, dan melihat kepada pengurangan harga yang dibuat bagi Hunter 350, kita boleh menjangka Hunter 350 tiba dengan harga di bawah RM20k.

    Hunter 350 digerakkan oleh enjin satu silinder 349 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta penyejukan udara, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan untuk menghasilkan 20 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm. Walaupun ia adalah enjin yang sama dengan Classic 350 dan Meteor 350, pemetaannya telah diubah.

    Dibina sebagai sebuah motosikal yang serba mudah bagi pelbagai golongan, Hunter 350 turut datang dengan fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, sistem ABS two-channel (untuk varian Metro), tinggi tempat duduk 800 mm, tangki bahan api 13 liter serta pengecas USB. Jenis rim, brek serta panel meter pula bergantung kepada varian.

    GALERI: Royal Enfield Hunter 350

     
     
  • Lebih 10,000 unit EV telah didaftarkan di Malaysia kini

    Lebih 10,000 unit EV telah didaftarkan di Malaysia kini

    Setakat ini, lebih 10,000 kenderaan elektrik telah didaftarkan di Malaysia, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hj Hashim ketika berucap dalam majlis pelancaran BYD Atto 3 minggu lalu. Angka tersebut adalah daripada kira-kira 100,000 kenderaan dengan teknologi elektrifikasi yang telah didaftarkan di sini.

    Selain 10,000 kenderaan elektrik tersebut, jumlah keseluruhan itu juga terdiri daripada sekitar 80,000 kenderaan hibrid-petrol-elektrik pelbagai jenis, serta kira-kira 2,700 hibrid diesel-elektrik. Dengan pengecualian cukai yang sedang berjalan bagi EV, baik untuk model CKD atau CBU, jumlah EV di Malaysia dijangka akan terus meningkat, jelasnya lagi.

    Angka 10,000 unit EV yang didaftarkan itu mencerminkan penerimaan yang semakin baik sepanjang tempoh itu, dan ini adalah nisbah yang besar juga jika dibandingkan dengan jualan 274 unit EV yang direkodkan di Malaysia sepanjang tahun lalu. Tempoh pengecualian cukai tersebut memberikan lonjakan jualan yang ketara.

    274 unit yang direkodkan tahun lalu itu adalah bagi EV baru yang didaftarkan oleh ahli MAA, dan tidak termasuk unit yang dijual oleh pengimport persendirian. Antara model EV terbaru yang dilancarkan di sini ialah Mercedes-Benz EQE350+ semalam, yang dijual dengan harga RM419,888 atas jalan tidak termasuk insuran. Hari ini pula dilancarkan Volvo C40 dengan jarak 450 km, dengan harga bermula RM289k.

     
     
  • Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup sementara pada 17 Dis ini untuk acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022

    Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup sementara pada 17 Dis ini untuk acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022

    Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain telah mengumumkan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang akan ditutup sementara secara berperingkat pada 17 Disember ini bagi memberi laluan penganjuran acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022.

    Beliau berkata, acara yang akan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ini membabitkan kayuhan sejauh 73 kilometer menerusi beberapa laluan utama sekitarnya.

    “Penutupan dan lencongan beberapa laluan itu akan bermula jam 8 malam (17 Dis) hingga jam 6 pagi keesokan harinya. Laluan itu bermula di bulatan Queen 1 dan 2 diikuti bulatan Persiaran Indah, kesemua susur masuk dan keluar ke jambatan dari kedua-dua arah dan bulatan Batu Maung menghala ke Pusat Bandar.

    Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup sementara pada 17 Dis ini untuk acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022

    “Peringkat ketiga penutupan pada jam 11 malam membabitkan laluan di sekitar Bandar Cassia di Seberang Perai Selatan (SPS), bulatan Bayan Baru di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Tun Dr Awang dan Jalan Sultan Azlan Shah,” jelasnya.

    Tambah beliau, pengguna jalan raya disaran menggunakan laluan alternatif menerusi Jambatan Pulau Pinang, Jalan Balik Pulau, Jalan Kampung Jawa atau Sungai Keluang, Bayan Lepas. Manakala bagi SPS pula, pengguna boleh melalui laluan lebuh raya dari utara ke Bandar Cassia menerusi Tol Bukit Tambun, Lingkaran Cassia Selatan, Cassia Barat 2 dan 3 atau Jalan Batu Kawan.

    “Seramai 800 anggota dan pegawai polis akan terbabit dalam penugasan kawalan keselamatan dan lalu lintas sepanjang acara. Sehubungan itu orang ramai dinasihati supaya patuh kepada arahan petugas lalu lintas,” katanya.

     
     
  • Volvo C40 Recharge dilancarkan di Malaysia – CKD, RM289k, SUV Coupe elektrik berkuasa 408 PS/660 Nm

    Volvo C40 Recharge dilancarkan di Malaysia – CKD, RM289k, SUV Coupe elektrik berkuasa 408 PS/660 Nm

    Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini secara rasmi telahpun melancarkan SUV ‘Coupe’ elektrik penuh (EV) Volvo C40 ke pasaran tempatan. Seperti yang diumumkan sebelum ini, C40 merupakan model EV kedua Volvo yang dipasang secara tempatan (CKD) di fasilitinya di Shah Alam, dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM288,888.

    C40 merupakan kembar kepada model CKD EV pertama Volvo di Malaysia iaitu XC40 Recharge Pure Electric yang telah dilancarkan pada April lalu. XC40 sudahpun diperkenalkan dalam versi facelift pada bulan lalu, kini dijual pada harga RM287,888 dalam varian kemasan tunggal Ultimate.

    Untuk C40, ia masih berkongsi muka hadapan yang sama dengan XC40 facelift. Apa yang berbeza, C40 menampilkan garis bumbung yang lebih sporty dan landai ke belakang, bagi disesuaikan dengan imej Coupe yang dibawa. Perbezaan tersebut menjadikan C40 ini 70 mm lebih rendah (1,582 mm) berbanding XC40.

    Volvo C40 Recharge dilancarkan di Malaysia – CKD, RM289k, SUV Coupe elektrik berkuasa 408 PS/660 Nm

    Rupa garis bumbung yang berbeza juga memerlukan bahagian dari tingkap sisi belakang C40 ini direka semula. Dengan pintu hatch yang lebih landai, C40 diberikan dua spoiler – satu pada bumbung dan satu lagi pada hujung bahagian but. Lampu belakang juga sudah tentu perlu dirombak bagi disesuaikan dengan bentuk baharu ini.

    Dengan menggunakan platform CMA yang sama, C40 turut berkongsi unit rangkaian kuasa P8 AWD serupa dengan XC40 Recharge Pure Electric. Sistem tersebut terdiri dari dua motor elektrik, setiap satunya diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi mewujudkan pacuan semua roda.

    Pada XC40 Recharge sistem berkenaan menghasilkan 408 PS dan tork 660 Nm bermula dari 0 rpm – angka yang sama pada Polestar 2. Ini membolehkan SUV Coupe tersebut memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.7 saat. Namun menerusi polisi terbaharu Volvo, kelajuan maksima hanya dihadkan pada 180 km/j.

    Volvo C40 Recharge dilancarkan di Malaysia – CKD, RM289k, SUV Coupe elektrik berkuasa 408 PS/660 Nm

    Ia turut berkongsi sistem bekalan elektrik yang sama seperti XC40, iaitu pek bateri lithium-ion 78 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 450 km dengan satu caj penuh mengikut kitaran WLTP.

    Volvo C40 ini boleh di caj semula menerusi pengecaj AC dengan penghubung Type 2, mengambil masa sekitar 7.5 jam menggunakan palam tiga-fasa 11 kW. Sistem pengecaj cepat turut diberikan menerusi palam 150 kW DC menggunakan penghubung CCS, membolehkan bateri diisi dari 0 hingga 80% dalam masa hanya 28 minit.

    Pada bahagian kabin, pengayaan C40 ini dilihat hampir sama seperti XC40 Recharge. Model ini merupakan model pertama Volvo tanpa sebarang bahan kulit, ditawarkan dengan material sintetik berteknologi tinggi dengan kualiti sama seperti kulit asli. Untuk model pasaran Malaysia ini C40 diberikan upholsteri teksil Charcoal Connect Suede dan Microtech dalam kemasan Charcoal.

    Sistem infotainmen pada C40 ini juga sama seperti XC40 Recharge, menampilkan skrin berasaskan Android yang memberikan akses penuh kepada pelbagai servis Google dan aplikasi dari Google Play Store, termasuk ciri bina dalam seperti Google Maps dan Google Assistant. Model ini hadir dengan bekalan data internet, serta menyokong sistem sokongan kemaskini perisian over-the-air (OTA).

    Antara perincian lain yang turut dipadankan pada Volvo C40 ini termasuk, rim 19-inci kemasan Black Diamond Cut, skrin sentuh sembilan-inci, kluster instrumen digital 12-inci, sistem audio Harman Kardon 600-watt dengan 13-pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi, kawalan pendingin dwi-zon dengan corong belakang dan kerusi depan larasan kuasa elektrik.

    Perincian keselamatan dan bantuan pemanduan yang diberikan pula termasuk sistem City Safety (penghindaran perlanggaran dengan sokongan persimpangan; pengesan pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan besar), amaran perlanggaran depan dan belakang, Driver Alert Control, bantuan mengekalkan lorong, Run-Off Road Mitigation dengan Road Edge Detection, Oncoming Lane Mitigation, Blind Spot Information System (BLIS) dengan Steer Assist dan Cross Traffic Alert (CTA) dengan Autobrake.

    Ia ditawarkan dalam lima warna badan iaitu Crystal White, Black Stone, Fjord Blue, Thunder Gray dan Sage Green. Pembelian SUV elektrik ini adalah lengkap dengan kabel pengecaj.

    Ia menerima perlindungan waranti termasuk waranti utama untuk kereta selama lima tahun tanpa had perbatuan, serta waranti khas untuk bateri lithium-ion selama 8-tahun atau 160,000 km (yang mana sampai dulu). VCM juga memberikan bantuan tepi jalan Volvo on Call selama lima-tahun, servis selepas jualan Volvo Service Included (VSI) selama 5 tahun atau 100,000 km (yang mana sampai dulu) serta Digital Service selama empat tahun.

    Selain boleh dibeli secara konvensional di bilik pameran, VCM turut melancarkan platform jualan atas talian yang yang mula boleh digunakan pada pukul 8 malam ini. Ia merupakan platform lengkap yang membolehkan pelanggan turut membuat bayaran di atas talian.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025