Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Acura Integra Type S 2024 sah akan muncul pada 2023 – 2.0L VTEC Turbo, lebih 300 hp, 6 MT dan LSD!

    Acura Integra Type S 2024 sah akan muncul pada 2023 – 2.0L VTEC Turbo, lebih 300 hp, 6 MT dan LSD!

    Selepas pengenalan Acura Integra generasi baharu Mac lalu, divisi mewah Honda berkenaan mengumumkan bahawa versi lebih berkuasa untuk coupe lima-pintu berkenaan bakal muncul dalam versi lebih berkuasa iaitu Integra Type S dan bakal didedahkan sepenuhnya pada musim panas tahun hadapan.

    Tidak banyak perincian yang diumumkan buat masa sekarang, di mana Acura mengesahkan bahawa Integra Type S 2024 berkenaan bakal dijana oleh enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang menghasilkan lebih dari 300 hp, digandingkan hanya dengan kotak gear enam kelajuan manual yang disertakan dengan unit LSD.

    Seperti yang diketahui, Acura Integra generasi baharu ini merupakan kembar kembar kepada Honda Civic generasi ke-11, dan versi asasnya berkongsi enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan Honda Civic SI pasaran Amerika Syarikat, menghasilkan kuasa 200 hp/260 Nm. Jadi dengan perincian yang didedahkan ini, sudah tentu Type S berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Honda Civic Type R FL5.

    Acura Integra Type S 2024 sah akan muncul pada 2023 – 2.0L VTEC Turbo, lebih 300 hp, 6 MT dan LSD!

    Pada Civic Type R, enjin K20C berkenaan ditala bagi menghasilkan 330 PS dan tork maksima 420 Nm, atau 10 PS/20 Nm lebih berkuasa dari model generasi FK8 sebelum itu. Namun angka berkenaan adalah untuk versi pasaran Jepun, manakala bagi model Type R FL5 pasaran Amerika Syarikat pula adalah 320 PS (316 hp atau 235 kW) dan tork 420 Nm.

    Angka kuasa yang lebih rendah tersebut adalah kerana undang-undang emisi di AS yang lebih ketat, namun ia masih 9 PS/20 Nm lebih berkuasa dari FK8 pasaran AS sebelum itu.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Acura turut mendedahkan satu set foto Integra Type S 2024 berkenaan yang masih lagi dibalut dengan pelekat penyamaran. Walaupun rupa sebenarnya masih diselindungkan, ia jelas tampil dengan rupa yang jauh lebih garang berbanding Integra biasa.

    Acura Integra Type S 2024 sah akan muncul pada 2023 – 2.0L VTEC Turbo, lebih 300 hp, 6 MT dan LSD!

    Lampu hadapan LED JewelEye dan belakang pada Integra Type S ini masih nampak sama dengan versi standard. Namun pada bahagian muka, ia diberikan bampar yang direka dengan apron lebih agresif menampilkan kemasan kemasukan liang udara sisi lebih besar. ‘Pipi’ model Type S ini juga nampak lebih ‘tembam’ berkemungkinan diberikan fender yang lebih lebar dan menampilkan jarak trek yang lebih kurang sama lebar dengan Civic Type R FL5.

    Di belakang, ia turut menerima bampar dengan rekaan diffuser yang lebih agresif, dan turut menempatkan tiga-tip ekzos di tengah sama seperti Civic Type R FL5, membayangkan kedua-dua kembar tersebut menggunakan enjin yang sama.

    Turut kelihatan, Integra Type S ini dipadankan dengan rim lima jejari berkembar 19-inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S. Brek hadapannya menampilkan angkup besar berwarna merah dengan pita pelekat ditampal di tengah, berkemungkinan menggunakan set brek Brembo yang sama seperti Civic Type R.

    Acura menyatakan bahawa lebih banyak maklumat akan diumumkan sebelum model ini didedahkan sepenuhnya kelak. Ia juga belum disahkan sama ada dihasilkan hanya untuk pasaran Amerika Syarikat, atau turut akan dibawa ke pasaran lain.

    GALERI: Acura Integra 2023 (versi standard) pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Projek MRT3, ECRL dan LRT3 diteruskan – Loke

    Projek MRT3, ECRL dan LRT3 diteruskan – Loke

    Walau pun kerajaan telah bertukar selepas PRU15, namun beberapa projek mega dan berskala besar yang dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) tetap diteruskan. Projek terbabit termasuklah Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

    Perkara ini disahkan sendiri oleh Anthony Loke yang kembali menjawat posisi sebagai Menteri MOT. Beliau berkata, pendekatan kerajaan sekarang ialah apa sahaja projek yang sedang dilaksanakan akan diteruskan, laporan Berita Harian.

    “Saya rasa kesemua projek berkenaan telah dimulakan dan tiada masalah untuk kita diteruskan.
    Mengenai ECRL, projek ini sudah melalui banyak proses rundingan dan kajian semula termasuk perubahan laluan dan stesen. Kita tidak mahu sebarang bentuk penangguhan lagi ke atas projek mega ini. Walaupun ada ketikanya kita tidak berapa setuju dalam beberapa perkara dan keputusan yang dibuat,” katanya.

    Setakat ini, kemajuan keseluruhan projek ECRL berada pada sekitar 35.9%. Projek itu dijangka beroperasi pada Januari 2027 dan ia boleh menampung 5.6 juta penumpang setahun, dengan memuatkan 440 penumpang bagi satu perjalanan membabitkan enam gerabak.

    Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu dianggarkan menelan belanja mencecah RM50.27 bilion membabitkan jajaran empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

     
     
  • Polis sita motosikal & kereta ubahsuai dalam operasi di KL – akan dipulang selepas di’standard’kan semula

    Polis sita motosikal & kereta ubahsuai dalam operasi di KL – akan dipulang selepas di’standard’kan semula

    Sebanyak 35 buah kereta dan 10 buah motosikal telah disita oleh pihak polis dalam Operasi Halangan dan Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan don Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) bermula 3 hingga 4 Disember lalu.

    Operasi-operasi tersebut dijalankan oleh sekumpulan 114 Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur, Bukit Bintang, Jalan Changkat, Jalan Alur, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya DUKE.

    Untuk Operasi Halangan, ia telah dibuat di sekitar Bukit Bintang, Jalan Alur, Jalan Changat dan Jalan Raja Laut. Kesemua motosikal dan kereta yang dikesan melakukan ubahsuai menerusi operasi ini telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubahsuai struktur kenderaan (ekzos).

    Kesemua kenderaan yang disita tersebut akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta diarahkan untuk mengubah ke struktur asal sebelum dikembalikan kepada pemilik masing-masing. Operasi yang bermula dari pukul 2 pagi hingga 4 pagi ini juga menyaksikan sebanyak 397 saman telah dikeluarkan.

    Bagi Operasi Samseng Jalanan pula, ia telah dibuat di Lebuhraya DUKE. Sebanyak 3 tangkapan telah dibuat terhadap penunggang motosikal berumur dalam lingkungan 15 hingga 19 tahun yang dikesan menunggang dalam keadaan merbahaya dengan melakukan aksi zig-zag, ‘roket’, ‘superman’ serta bersaing.

    Kesemua yang ditangkap telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

    Dalam operasi ini juga satu tangkapan telah dibuat terhadap penunggang motosikal berumur 18 tahun yang dikesan memalsukan nombor pendaftaran. Dia di dakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) AKK 1955 dan akan dituduh di bawah Seksyen l08(3)(e) APJ 1987 kerana kesalahan tersebut.

    Menurut JSPT KL, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah don membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya. Jabatan berkenaan turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT), Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT KL di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

     
     
  • JPJ eBid: PQQ dan SWG bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang dan Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PQQ, bakal dibuka bidaan bermula, 9 Disember, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 13 Disember 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 14 Disember. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah pula, SWG, bidaannya bakal dibuka bermula 14 Disember dan akan berakhir jam 10 malam pada 19 Disember 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 20 Disember ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • UMWT catat jualan 10,442 unit bagi November 2022, naik 23% berbanding tempoh sama tahun lalu

    UMWT catat jualan 10,442 unit bagi November 2022, naik 23% berbanding tempoh sama tahun lalu

    Setakat November 2022, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 90,595 unit (Toyota & Lexus). Angka itu mewakili peningkatan 44% bagi tempoh sama tahun lalu, dan dijangka akan membolehkan Toyota mengekalkan kedudukan teratas bagi jenama kenderaan bukan nasional untuk pasaran tempatan.

    Selain angka jualan semasa tersebut, November 2022 menyaksikan Toyota berjaya menjual sebanyak 10,442 unit kenderaan (Toyota & Lexus) berbanding hanya 8,487 unit bagi tempoh sama tahun lalu — ini bersamaan dengan peningkatan 23%.

    Untuk memperluas dan memperkukuhkan kedudukannya, Toyota juga mengumumkan arah tuju baru yang dinamakan “Move Your World” yang bakal menetapkan dan mengalih perjalanan syarikat daripada sebuah syarikat automobil kepada sebuah syarikat mobiliti. “Pemilikan kenderaan akan jadi lebih mudah dan menyenangkan, dengan serahan ke rumah pelanggan, bantuan servis kenderaan yang holistik, pengursan kos pemilikan yang lebih ringkas dan banyak lagi,” ujar Presiden UMWT, Ravindran K.

    UMWT catat jualan 10,442 unit bagi November 2022, naik 23% berbanding tempoh sama tahun lalu

    Selari dengan arah tuju baru itu, Toyota juga telah menaiktaraf laman webnya di Malaysia untuk menampilkan antaramuka yang lebih moden dan memudahkan pelanggan melayarinya. Beliau juga memaklumkan strategi hijau Toyota yang menjadi sebahagian daripada portfolio itu, dalam usaha untuk mencapai tahap nuetral karbon melalui pelbagai langkah yang digariskan. “Kami percaya tidak ada hanya satu penyelesaian untuk semua, dan ketika ini, hibrid-elektrik adalah jalan yang paling wajar untuk mencapai perkara itu,” ujarnya.

    Semalam, Toyota turut mengesahkan akan ada beberapa model baru — termasuk model hibrid — yang akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan tahun depan. Antaranya ialah GR Corolla, GR Supra dan GR 86. Bagi model hibrid, selain Corolla Cross Hybrid yang ada ketika ini, sebuah lagi model SUV EV terbaru, Toyota bZ4X turut bakal diperkenalkan tahun depan.

    Selain itu, sempena musim perayaan dan hujung tahun yang bakal tiba, UMWT akan mengadakan promosi hebat dengan ansuran bulanan rendah bermula dari RM498 bagi Toyota Yaris dan RM598 bagi Toyota Vios. Bagi varian terpilih model berkenaan, ada juga tawaran tambahan RM4,000 untuk dinikmati.

     
     
  • Proton Saga bakal dijadikan kereta mainan Hot Wheels skala 1/64 sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia

    Proton Saga bakal dijadikan kereta mainan Hot Wheels skala 1/64 sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia

    Sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia (anak syarikat Mattel Inc), syarikat mainan berkenaan bakal menghasilkan model istimewa dengan kolobrasi bersama jenama automotif tempatan iaitu Proton.

    Ini merupakan kerjasama pertama antara kedua-dua pihak, dan produk pertama yang akan dihasilkan adalah kereta pertama keluaran Proton iaitu Saga 1985 yang akan dijelmakan sebagai kereta model diecast skala 1/64 Hot Wheels yang dijangka mula dijual di seluruh dunia menjelang akhir 2023.

    Menerusi unit praproduksi yang ditunjukkan, Saga yang akan ditransformasikan kepada model skala Hot Wheels berkenaan adalah berasaskan model versi pertama 1985, juga dikenali sebagai Saga Orion (menggunakan enjin 4G13 1.3L Orion) yang dilancarkan pada 9 Julai 1985 oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4 (juga sebagai pengasas Proton) Tun Dr. Mahathir Mohammed.

    “Ini adalah perkongsian pelesenan yang menarik kerana kami bergabung untuk membangunkan kereta Hot Wheels, mengikut model Proton Saga asal iaitu model pertama keluaran Proton, yang kini akan menjadi sebahagian daripada koleksi peribadi Hot Wheels,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Mattel Inc Steve Totzke.

    “Perkongsian ini bertujuan mempertahankan warisan kebanggaan Mattel dan Proton untuk terus menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada peminat semua peringkat umur di seluruh dunia,” tambahnya lagi ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 Mattel di kilang Mattel Malaysia yang terletak di Pulau Pinang.

    Totzke turut menyatakan bahawa Proton Saga merupakan kereta pertama daripada jenama automotif Malaysia dan sehubungan itu memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia yang membolehkan rakyat Malaysia memiliki kereta.

    Proton Saga bakal dijadikan kereta mainan Hot Wheels skala 1/64 sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia

    Buat masa sekarang, kilang Mattel Malaysia tersebut sememangnya kilang Hot Wheels terbesar di dunia dan memproduksi model-model “mainline” Hotwheels untuk pasaran global. Ia mampu menghasilkan sekitar 900,000 unit kereta mainan Hot Wheels seminggu, dengan tenaga kerja seramai 3,900 orang.

    Kilang pertama Mattel di Malaysia mula dibuka pada tahun 1981, dan sempena ulangtahun ke-40 Mattel bercadang untuk membesarkan lagi fasiliti tersebut. Selepas pembesarannya nanti, dijangka jumlah pekerjanya akan naik 10% kepada hampir 4,300 orang.

    Pembesaran tersebut turut akan memanfaatkan Mattel Development and Tooling Sdn. Bhd. (MDT), iaitu kilang kedua Mattel di sini yang dibuka pada 1985, yang juga merupakan fasiliti untuk pembangunan produk, penghasilan model digital, rekaan acuan dan juga pengilangan.

    Diharapkan ini bukan kerjasama terakhir antara Hot Wheels dan Proton, kerana peminat dua jenama ini di Malaysia tentu mengharapkan kehadiran jentera-jentera lagenda lain seperti jentera rali Satria Neo S2000, Satria Neo R3 Lotus Racing, Satria GTI dan Proton Iriz R5!

     
     
  • Toyota Prius PHEV 2023 – lebih lagi perincian didedah

    Toyota Prius PHEV 2023 – lebih lagi perincian didedah

    Bulan lalu kita sudah menyaksikan Toyota mendedahkan Prius generasi kelima baru dan sekarang, perincian lanjut untuk versi PHEV disiarkan. Model ini akan mula diperkenalkan di Eropah pada pertengahan tahun 2023.

    Berkenaan unit penggerak, Prius PHEV dipacu oleh enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter empat silinder, pek bateri lithium-ion dan juga motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS (220 hp atau 164 kW). Kuasa yang lebih tinggi ini dapat membantu ia membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat (sebelum ini 11.1 saat) sementara penggunaan bahan api pula, walaupun dengan enjin lebih besar adalah sama cekap seperti versi 1.8 liter sebelum ini.

    Pek bateri yang digunakan pada Prius PHEV ini diberitahu adalah unit lithium ion baru berkapasiti 13.6 kWh. Ia menampilkan sel tenaga tumpat yang lebih tinggi demi mendapatkan pakej yang optima dan mempunyai saiz cukup kompak sehingga boleh diletakkan di bawah tempat duduk penumpang.

    Selain membantu merendahkan titik graviti, pek bateri lithium ion baru ini juga dapat memberikan Prius ini jarak gerak elektrik sehingga 69 km, iaitu peningkatan sebanyak 50% berbanding model generasi sebelum ini (40-50 km). Bumbung solar juga membantu mengumpul kuasa elektrik sewaktu ia bergerak.

    Selain daripada itu, Toyota juga memberitahu bahawa bumbung ini dapat memberikan kuasa elektrik untuk bergerak sebanyak lapan kilometer setiap hari dan boleh mengecas penuh baterinya apabila diletakkan tidak bergerak selama beberapa hari. Turut didedahkan adalah dimensi, di mana ia sekarang 50 mm lebih rendah, 22 mm lebih lebar, 46 mm lebih pendek dan jarak roda 50 mm lebih panjang.

    Pada bahagian kabin, Prius 2023 ini dilihat diberikan roda stereng dan paparan instrumen yang diletak tinggi seperti SUV elektrik Toyota bZ4X. Menurut Toyota, paparan instrumen tersebut diletakkan sedemikian bagi membolehkan ia memberi amaran bernyala di mana sistem berkenaan akan memberikan kerlipan lampu apabila sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense mengesan halangan sebelum memberikan amaran secara audio.

    Toyota Prius PHEV 2023 – lebih lagi perincian didedah

    Untuk keselamatan, Prius 2023 ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang beroperasi menggunakan kamera monukular di hadapan, kamera menghadap ke belakang untuk cermin pandang belakang digital, dan perekod video dalam kenderaan yang menyimpan data pada ECU bagi mengelakkan masalah data korup.

    Semua varian akan menerima kelengkapan keselamatan ini secara standard, dengan penambahbaikan dibuat pada jarak mengesan objek serta sistem bantuan parkir Advanced Park yang kini boleh dikendalikan secara jarak jauh dari luar kenderaan melalui aplikasi telefon pintar.

    GALERI: Toyota Prius 2023

     
     
  • Individu berkerusi roda kena saman letak kereta di petak khas – pelekat tidak seragam jadi punca

    Individu berkerusi roda kena saman letak kereta di petak khas – pelekat tidak seragam jadi punca

    Semalam tular satu video menunjukkan seorang lelaki berkerusi roda mendakwa beliau dikenakan saman akibat meletakkan kenderaan di dalam petak khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU). Dapat dilihat juga, kenderaan beliau mempunyai pelekat OKU di bahagian tengah cermin hadapan.

    Video ini tidak mengambil masa lama untuk sampai kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), iaitu pihak berkuasa tempatan tempat kejadian itu berlaku dan satu kenyataan rasmi dikeluarkan dengan menyatakan memang terdapat dua kenderaan disaman pada hari tersebut kerana meletakkan kenderaan di dalam petak parkir OKU dan menggunakan pelekat yang tidak diperakui.

    Turut tertulis dalam kenyatan itu, “individu yang videonya tular di media sosial tersebut juga didapati telah menampal Pelekat Kenderaan OKU yang berbeza dengan versi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga bukan versi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    @roslanjajuli Saman #saman #samanparking #morib #majlisperbandaran ? original sound – roslanjajuli

    Walaubagaimanapun dalam video terbaru yang dimuat naik oleh individu yang disaman itu melalui akaun Tiktok Roslanjajuli, perkara ini dianggap selesai apabila saman beliau dibatalkan dan beliau diberi pelekat kenderaan OKU sah tanpa sebarang bayaran.

    Kembali kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh MPKL, tindakan ke atas kenderaan yang menggunakan pelekat kenderaan OKU meragukan diambil demi memastikan layanan yang adil kepada semua golongan masyarakat dan kemudahan petak parkir OKU tersebut tidak disalah guna. Mereka juga mendapati terdapat kes individu bukan OKU membeli pelekat kenderaan OKU (tidak diperakui) di kedai biasa hanya untuk tujuan menggunakan parkir OKU.

    @roslanjajuli Batal saman #majlisperbandaran #samanparking #oku #majlisperbandarankualalangat #selangor ? original sound – roslanjajuli

     
     
  • Kerajaan perlukan lebih banyak masa buat keputusan turunkan harga runcit bahan api – Rafizi Ramli

    Kerajaan perlukan lebih banyak masa buat keputusan turunkan harga runcit bahan api – Rafizi Ramli

    Tidak kira parti politik mana yang memerintah, pastinya rakyat Malaysia terus bersuara mahukan harga runcit bahan api diturunkan. Malah sejak diumumkan kerajaan baharu yang diterajui oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, inilah antara isu yang rakyat suarakan, selain mahukan kadar tol di seluruh negara dihapuskan.

    Namun ternyata perkara ini tidak mudah untuk dilakukan oleh kerajaan yang memerintah. Menteri Ekonomi yang baru dilantik, Rafizi Ramli berkata, kerajaan perlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan bagi menurunkan harga runcit bahan api berikutan trend penurunan harga minyak mentah global semasa.

    Menurutnya, formula harga minyak yang masih diguna pakai kerajaan sehingga ke hari ini seperti dicadangkan beliau beberapa tahun lalu kekal sebagai kaedah terbaik untuk menentukan harga bekalan bahan api itu, laporan Utusan Malaysia.

    Kerajaan perlukan lebih banyak masa buat keputusan turunkan harga runcit bahan api – Rafizi Ramli

    “Formula itu perlu dikekalkan buat masa ini kerana ia mengambil kira perubahan harga minyak mentah dunia selain perlu mengambil kira berapa harga siling yang patut dikenakan. Semua ini perlukan lebih banyak masa untuk kita tengok satu persatu kerana bila kita sertai organisasi atau pengurusan baharu sama ada kerajaan atau syarikat kita bukan masuk dan buang semua.

    “Kita ada hala tuju tapi kena tengok apa yang ada, mana yang baik dan boleh diperbaiki. Fokus mana yang kita rasa tak boleh dan buang untuk perkenalkan yang baru dan sudah tentu ia memerlukan satu proses yang memakan masa,” jelasnya sambil berkata banyak faktor perlu diambil kira kerajaan termasuk keupayaan kewangan semasa negara.

    “Selain itu kita perlu mengambil kira peruntukan untuk aktiviti ekonomi negara yang akan beri kesan berganda. Kita perlu lihat kepada keadaan ekonomi sekarang. Kita juga kena tengok berapa sebenarnya pendapatan yang kita ada sekarang dan kalau kita nak ubah harga siling RM2.05 seliter berapa banyak peruntukan tambahan yang kita kena buat.

    Kerajaan perlukan lebih banyak masa buat keputusan turunkan harga runcit bahan api – Rafizi Ramli

    “Persoalannya, harga minyak mentah global semasa berlegar antara AS$83 (RM363.88) hingga AS$85 (RM372.64) setong dan ada yang mengatakan harga minyak mentah jatuh sejak empat dan lima bulan lalu selepas melepasi paras harga AS$100 (RM438.40) setong,” katanya.

    Beliau menambah, “Oleh itu, apabila harga (minyak mentah global) turun, adakah cukup untuk kita menurunkan harga runcit bahan api, sudah tentu bagi mereka yang memahami sektor minyak dan gas dia akan bertanya soalan itu.

    “Jadi bahaya juga kalau semua menteri selepas 24 jam pertama (angkat sumpah) dah umum macam-macam sebab itu ibarat resipi menghadapi musibah, jadi saya rasa kita kena ambil langkah demi langkah kerana ia tidak seperti menguruskan syarikat sendiri tetapi menguruskan ekonomi.”

     
     
  • Proton jual 11,316 buah kenderaan November 2022

    Proton jual 11,316 buah kenderaan November 2022

    Proton mengumumkan, bagi bulan November 2022, syarikat berjaya menjual 11,316 buah kenderaan, bersamaan pengurangan sebanyak 13.1% berbanding jumlah yang dicatatkan bagi bulan Oktober. Antara sebab yang dikaitkan adalah kekurangan bekalan sementara.

    Walaupun begitu, jumlah jualan keseluruhan dari bulan Januari hingga November (YTD), sebanyak 126,682 unit masih lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas, yang mencatat 114,708 unit. Perkongsian pasaran bagi bulan November pula dijangka berada pada 17.7%, sementara untuk jualan keseluruhan, syarikat itu memberitahu mereka berada di tempat kedua dengan catatan 19.7%.

    Apabila dipecahkan mengikut model, X50 adalah model segmen B dan SUV paling laris bagi bulan November dengan catatan 3,724 unit, manakala YTD adalah 36,917 unit. Sementara itu, Exora menjadi MPV segmen C paling laris dengan jualan 329 unit, dan keseluruhannya bagi tahun ini telah terjual sebanyak 3,837 unit.

    Bagi model lain, Proton berjaya menjual 4,100 unit Saga pada bulan lepas (YTD 49,965), 1,551 unit Persona (YTD 14,035 units), 402 unit Iriz (YTD 5,182 unit) dan 1,210 unit X70 (YTD 16,746 unit). Bagi semua model itu, Proton memberitahu ia telah melepasi jumlah jualan pada tahun 2021.

    “November mencatat jumlah jualan yang bermakna bagi Proton sementara kami berhadapan masalah bekalan sementara yang mengganggu potensi penuh kami. Kami yakin dapat mengatasi masalah ini pada bulan Disember dan kekal positif untuk menutup tahun ini dengan mantap,” kata timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

    “Dengan pengenalan model baru yang dirancang untuk tahun 2023, kami harap dapat meningkatkan sumbangan kepada ekonomi Malaysia dengan membuat pelaburan dalam negara, menjual lebih banyak kenderaan dan mengembangkan lagi pasaran eksport,” tambah Roslan.

     
     
  • PDRM kutip RM49.6j hasil saman trafik bagi Jan-Okt 2022 – RM10.37j dari kempen diskaun seluruh negara

    PDRM kutip RM49.6j hasil saman trafik bagi Jan-Okt 2022 – RM10.37j dari kempen diskaun seluruh negara

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah berjaya mengutip sebanyak RM49.6 juta hasil kompaun saman trafik bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022.

    Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, ia melibatkan seramai 105,260 pengguna jalan raya seluruh negara yang telah menjelaskan kompaun saman trafik pelbagai kesalahan itu, laporan Harian Metro.

    Tambah beliau, tindakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan sistem pembayaran saman secara tanpa tunai dan digital menerusi aplikasi ‘MyBayar Saman’ memudahkan orang ramai menjelaskan saman tertunggak mereka.

    “Syabas dan tahniah diucapkan kepada JSPT atas inisiatif ini yang jelas menyokong usaha pembangunan digital negara sekali gus memudahkan urusan pembayaran saman tertunggak oleh orang ramai.

    “Selain itu, mengikut rekod dari Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 37 kaunter diskaun saman 50% dibuka di seluruh negara dengan jumlah kutipan saman sebanyak RM10.37 juta,” katanya sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran JSPT di Bukit Aman pagi tadi.

     
     
  • JPJ eBid: BRF dan TCQ bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bagi siri plat nombor dari Selangor, BRF, dan TCQ dari Terengganu, kedua-duanya akan dibuka bidaannya mulai 8 Disember 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 12 Disember ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 13 Disember 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Polis buat operasi tumpu kenderaan yang parkir sesuka hati, sebabkan kesesakan di Kuala Lumpur

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur telah melakukan satu operasi yang mensasarkan kenderaan yang diparkir sesuka hati di bahu jalan sehingga menyebabkan kesesakan di sekitar ibu kota berkenaan pada malam minggu lalu.

    Menurut jabatan berkenaan dalam hantaran Facebook yang dibuat, “Saya hanya parkir lima minit sahaja tuan” adalah antara alasan remeh popular yang dibuat oleh mereka yang dikesan membuat halangan tersebut.

    Operasi ini diketuai oleh DSP Mohd Fadzil Bin Mohd Yatim, Pegawai Turus Penguatkuasaan JSPT KL memberi tumpuan bukan sahaja pada kenderaan yang diparkir pada bahu jalan, malah termasuk mereka yang memarkir di laluan dilarang, parkir menghalang lalu lintas dan kenderaan yang membuat halangan, tertumpu di Jalan Raja Laut, Jalan Changkat, Jalan Alur dan sekitar Bukit Bintang.

    Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Sarifudin Bin Mohd Salleh berkata, operasi ini dilaksanakan berikutan rungutan orang awam berhubung kesesakan jalan di kawasan berkenaan yang dikatakan berpunca akibat sikap pemandu yang meletak kenderaan mereka sesuka hati.

    “Antara kesalahan dilakukan termasuk berhenti terlalu lama sehingga menimbulkan halangan dan kesesakan lalulintas serta ada pemandu meletakkan kenderaan di garisan kuning.

    “Orang ramai perlu faham jalan ini sesak dan sekiranya pemandu tetap mahu meletakkan kenderaan di bahu jalan, ianya akan memburukkan keadaan sehingga menjadi kesesakan yang teruk,” katanya.

    JSPT KL menyatakan bahawa pihaknya berharap melalui operasi yang dijalankan ini dapat mendisiplinkan pengguna di ibu kota.

     
     
  • Proton X90 2023 kelihatan diuji di Lebuhraya PLUS

    Proton X90 2023 kelihatan diuji di Lebuhraya PLUS

    SUV Proton X90 telah beberapa kali dikesan diuji di jalan raya di Malaysia, terbaharu, ia kelihatan melalui Lebuhraya PLUS pula. SUV tujuh-tempat duduk ini dikesan oleh pembaca paultan.org Azfar Hashim, dan X90 ini kelihatan berkonvoi dengan Mazda CX-8, mungkin menjadikan SUV buatan Jepun ini sebagai ujian penanda arasnya.

    Ini bukan pertama kali Proton menilai X90 dengan menggandingkannya bersama CX-8. Sebelum ini, ia juga dikesan diuji di Genting Highlands, yang ketika itu turut disertai oleh Kia Carnival generasi sebelumnya.

    Proton X90 2023 kelihatan diuji di Lebuhraya PLUS

    Berasaskan Geely Haoyue, atau turut dikenali sebagai Okavango di beberapa pasaran termasuk Filipina. Berbanding Haoyue di China, Okavango diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

    Untuk pasaran Malaysia pula, SUV besar yang bakal ditawarkan oleh Proton ini dikatakan akan diperkenalkan pada tahun hadapan. Ia dijangka akan ditawarkan dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol.

    Sepatutnya ia dilancarkan tahun ini, tetapi disebabkan situasi pandemik, termasuk China yang mengenakan perintah berkurung pada tahun lalu, membuatkan rancangan untuk melancarkan X90 di sini turut tertunda.

     
     
  • Proton sudah hasilkan 10,000 unit enjin 1.5 T-GDi di Tanjung Malim; sasar produksi 60k unit pada 2023

    Proton sudah hasilkan 10,000 unit enjin 1.5 T-GDi di Tanjung Malim; sasar produksi 60k unit pada 2023

    Hanya selepas tujuh bulan memulakan produksi pada April 2022, Proton mengumumkan bahawa kilang enjinnya di Tanjung Malim sudah pun menghasilkan unit yang ke 10-ribu enjin 1.5 T-GDI pada 1 Disember lalu. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Proton menyatakan bahawa ia menyasarkan untuk memasang sejumlah 60,000 unit enjin pada tahun hadapan, bagi dipadankan pada pelbagai model Proton yang lain.

    “Barisan enjin baharu Proton adalah bukti ketabahan dan keazaman pekerja kami untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat kami. Ia adalah salah satu barisan pemasangan enjin paling maju di Malaysia dengan tahap automasi yang tinggi, persekitaran iklim terkawal dan pelbagai gerbang ujian untuk memastikan kualiti pengeluarannya. Pada 2023 kami menyasarkan pengeluaran 60,000 enjin, yang akan digunakan merentasi beberapa model Proton,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.

    Dengan sasaran penegluaran yang begitu tinggi, ini bermakna untuk tahun 2023 kilang berkenaan mungkin turut akan memasang enjin 1.5L tiga silinder turbo tanpa sistem GDI untuk X50 varian premium dan ke bawah, serta mungkin juga akan menghasilkan enjin untuk model-model baharunya seperti X90 dan juga sedan S50 iaitu model gantian untuk Proton Preve.

    Barisan produksi enjin baharu ini merupakan sebahagian komitmen Proton untuk menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim dengan pelaburan sebanyak RM1.8 bilion, dan ia selaras dengan teras strategik pertama program DRB-HICOM Automotive High Technology Valley (AHTV) yang bertujuan memaksimumkan aktiviti pembuatan di rantau ini.

    Namun syarikat berkenaan terpaksa berhadapan dengan cabaran yang besar selepas keputusan pelaburan dengan jumlah yang banyak tersebut diambil pada 2019. Ini kerana sebaik sahaja rancangan untuk meningkat taraf barisan pemasangan enjin itu dibuat, pembinaan dan penghantaran komponen telah ditangguhkan berikutan permulaan pandemik Covid-19.

    Menurut Proton, projek telah dijayakan oleh sepasukan jurutera tempatan yang berpusat di Tanjung Malim untuk memulakan kerja pemasangan. Pasukan tersebut bekerjasama melalui perisian mesyuarat maya dengan pasukan daripada pembekal peralatan dan Geely di China, serta melakukan kerja dari peringkat asas termasuk membuka kotak komponen, memetakan barisan pengeluaran sehingga memulakan kerja pemasangan awal.

    Dengan memasang enjin 1.5 T-GDI (dikenali dengan kod dalaman GEP3 atau Global Engine Petrol 3) tersebut di Fasiliti Enjin dan Powertrain Proton Tanjung Malim, dengan barisan pemasangan meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi ini, secara tidak langsung membolehkan model SUV X70 kini mempunyai kandungan komponen tempatan mencecah 70%.

    Barisan produksi milik Proton ini juga merupakan fasiliti pertama diluar China yang memasang enjin 1.5L Turbo yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo tersebut. Secara keseluruhan, 30% kandungan dalam enjin 1.5L GEP3 yan dipasang di Tanjung Malim ini dibekalkan oleh vendor dari Malaysia. Secara spesifik, 72 komponen dibekalkan oleh 19 vendor Malaysia, dan turut melibatkan 4 vendor dari Rantau ASEAN.

    Proton menyatakan bahawa kelengkapan pada fasiliti ini adalah hampir sama dengan kelengkapan pemasangan enjin di Kilang Enjin Baoji Geely di China, menampilkan tahap automasi yang mencapai tahap 47% menggunakan etos IR 4.0; ia mempunyai 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual.

    Kilang ini sentiasa dalam persekitaran yang bersih dengan suhu bilik yang terkawal dan mempunyai stesen anti-statik untuk membolehkan pelepasan elektrik statik untuk melindungi komponen elektronik berteknologi tinggi. Ia juga dibina dengan sasaran untuk membangunkan bakat-bakat tenaga kerja baharu, di mana ia dioperasikan oleh 202 pekerja dengan usia purata hanya 24-tahun.

    Barisan pemasangan baharu in menggunakan sistem talian pemasangan bergerak pada sistem penghantar yang bukan sahaja lebih lancar tetapi juga lebih bersih, lebih tahan lama dan lebih murah untuk dikendalikan daripada yang menggunakan rantai.

    Apa yang menarik lagi, kawalan kualiti pada barisan pemasangan ini menggunakan teknologi Internet of Things (IOT). Dengan teknologi ini, setiap data-data bacaan kualiti yang diambil pada komponen yang telah dipasang pada setiap stesen akan dikumpulkan secara intensif dan dianalisis untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian yang diperlukan dan dikekalkan.

    Data-data berkenaan turut dikutip oleh 207 kawalan Error Mistake Proofing (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi yang dipasang pada barisan pengeluaran untuk mengelakkan kecacatan proses dan pemasangan serta mengurangkan masa henti dengan keupayaan pengesanan kecacatan dengan kadar segera.

    Semua pekerja di barisan pemasangan telah menjalani latihan yang luas dengan Geely serta pembekal mesin yang digunakan seperti ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025