Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tata Motors sudah hasilkan 50,000 unit EV di India!

    Tata Motors sudah hasilkan 50,000 unit EV di India!

    Jika menyebut tentang Tata, pasti ramai daripada kita masih terbayang kenderaan-kenderaan berat seperti bas dan lori buatan India yang nampak seperti klon dari Mercedes-Benz bukan? Hakikatnya, Tata di India sudah jauh maju ke hadapan, dan semalam ia sudahpun meraikan produksi EV unit yang ke-50,000 di kilang Pune terletak di Pimpri-Chinchwad, India!

    Unit EV yang ke-50,000 berkenaan adalah dari model SUV kompak Nexon EV, salah satu dari tiga model EV yang ditawarkan Tata termasuk hatchback kompak Tiago EV dan sedan kompak Tigor EV. Menurut Tata, pencapaian ini adalah hasil dari dasar tempatan yang menggalakkan, pendapat positif dari pelanggan sedia ada, pilihan produk yang praktikal, pengendalian dan pemanduan yang lebih baik serta kos pemilikan yang menarik.

    “Sebagai perintis EV di negara ini, tanggungjawab memastikan kejayaan adaptasinya berada di atas kami. Dengan pelbagai produk yang ditentukur dengan baik, inisiatif yang kukuh untuk berhadapan dengan pengguna, kami telah dapat menangani halangan kepada penggunaan EV. Kami mencipta keseluruhan ekosistem EV bersama syarikat-syarikat Kumpulan Tata untuk menyediakan penyelesaian yang mudah dan kos efektif untuk pelanggan kami,” kata pengarah urusan Tata Motors Passenger Vehicles Ltd. dan Tata Passenger Electric Mobility Ltd, Shailesh Chandra.

    Tata Motors sudah hasilkan 50,000 unit EV di India!

    “Meraikan EV ke-50,000 di India adalah bukti kukuh bagaimana portfolio kami bergema kepada orang ramai di seluruh negara. EV menawarkan penyelesaian praktikal kepada masalah kenaikan harga bahan api dan pencemaran yang semakin teruk. Pelanggan kini bersedia untuk mengalu-alukan EV dan kami sangat teruja untuk menyaksikan peralihan daripada pengguna awal EV kini menjadi pilihan arus perdana untuk pelanggan India,” tambahnya lagi.

    Ketiga-tiga model EV Tata berkenaan diasaskan dari teknologi voltan tinggi Ziptron, yang didakwa telah terbukti bertahan dipandu sejauh 450 juta km merentasi permukaan bumi di India. Tata turut menawarkan kemaskini perisian untuk model-model yang telah dijual bagi “memperbaharui pengalaman pemanduan dan pemilikan” dari semasa ke semasa.

    Untuk Tata Nexon EV ini, ia digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 129 PS/245 Nm yang menerima kuasa dari bateri lithium-ion 320-volt dan 30.2 kWh yang didakwa Tata kalis air dan kalis debu dengan standard IP67. Tidak seperti kenderaan elektrik lain yang tidak mempunyai transmisi, Nexon EV diberikan kotak gear satu-kelajuan dengan nisbah akhir 9.1 yang akan mengalirkan kuasa putaran dari motor ke roda hadapan.

    Tata Motors sudah hasilkan 50,000 unit EV di India!

    Ini membolehkan SUV tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat, manakala jarak geraknya pula adalah 300 km dengan satu cas bateri penuh. Dengan teknologi Ziptron, membolehkan fungsi cas cepat turut ditawarkan. Menurut Tata, ia hanya memerlukan masa 60 minit untuk menegcas bateri dari kosong sepenuhnya sehingga 80% menerusi sambungan IEC 62196 Type 2 dengan teknologi berkenaan.

    Ia turut boleh dicas menggunakan soket domestik 15A, tetapi perlu mengambil masa sehingga lapan jam bagi mengecas dari kadar 20% hingga 100% (sekitar 10% sejam). Pengecas AC onboard 3.3 kW pula dibekalkan secara standard.

    Tata Nexon EV ditawarkan di India dalam tiga varian iaitu XM, XZ dan Lux, dijual pada harga bermula 15 Lakhs (1.5 juta rupee atau RM87k) hingga 17 Lakhs (1.7 juta rupee atau RM99k). Selepas ini Tata menyatakan bahawa ia akan fokus terhadap teknologi tiga-fasa untuk EV, dan merancang untuk melancarkan sebanyak 10 model EV dalam masa 5 tahun.

     
     
  • Yamaha Tracer 9 GT+ diperkenal – dapat Adaptive Cruise Control dengan sistem radar, skrin TFT 7.0 inci

    Yamaha Tracer 9 GT+ diperkenal – dapat Adaptive Cruise Control dengan sistem radar, skrin TFT 7.0 inci

    Yamaha telah memperbaharui barisan motosikal sport touring mereka, yang termasuk Niken GT, Tracer 7, Tracer 7 GT serta Tracer 9 bagi model keluaran tahun 2023. Walaubagaimanapun, satu yang lebih istimewa adalah pengenalan Tracer 9 GT+, yang diangkat sendiri oleh Yamaha sebagai motosikal paling maju pernah mereka hasilkan.

    Tracer 9 GT+ adalah motosikal produksi pertama Yamaha yang mendapat ciri Adaptive Cruise Control (ACC), membolehkan motosikal meluncur sendiri mengikut kelajuan yang ditetapkan dan mengawal jarak dengan kereta hadapan (beberapa tetapan jarak disediakan). Sistem ini menggunakan teknologi radar dan disambung kepada Inertia Measurement Unit (IMU).

    Menurut Yamaha, ACC pada Tracer 9 GT+ ini adalah antara yang termaju di dalam industri dan dapat mengurangkan risiko perlanggaran kerana ia turut dihubungkan kepada sistem brek melalui ciri Brake Control (boleh on/off), Unified Brake System (pembahagian kuasa brek antara depan dan belakang) dan Engine Braking.

    Selain daripada itu, ACC pada Tracer 9 GT+ ini juga dihubungkan kepada suspensi elektronik Kayaba motosikal untuk mengawal stabiliti serta quickshifter, sekaligus membolehkan penunggang melakukan tukaran gear tanpa menarik klac semasa ACC sedang berfungsi.

    Panel paparan pada Tracer 9 GT+ turut diubah, dengan sekarang ia menggunakan unit TFT warna penuh tujuh inci, yang juga boleh disambungkan kepada telefon pintar dan navigasi Garmin (memerlukan yuran langganan). Tracer 9 GT 2023 pula masih menggunakan panel paparan TFT 3.5 inci yang terpisah.

    Beberapa bahagian lain pada 9 GT+ turut dinaik taraf berbanding 9 GT biasa, termasuk cakera brek belakang lebih besar (267 mm berbanding 245 mm), soket USB-A, suis baru pada pemegang, takung minyak brek lutsinar/smoked, serta balutan tempat duduk baru.

    Yamaha Tracer 9 GT+ diperkenal – dapat Adaptive Cruise Control dengan sistem radar, skrin TFT 7.0 inci

    Bagi 9 GT biasa, tidak banyak peningkatan yang dibuat selain penampilan. Walaupun tidak mempunyai ACC, ia masih mendapat ciri canggih lain yang sama seperti 9 GT+ seperti Traction Control, Slide Control, Lift Control, Brake Control, suspensi semi aktif, quickshifter, keseluruhan lampu LED termasuk lampu membelok dan pemanas tangan.

    Pakej penggerak 9 GT masih sama seperti sebelum ini dan turut digunakan pada 9 GT+, iaitu unit tiga silinder sebaris 890 cc bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan 119 PS pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm. Tangki bahan api 9 GT berkapasiti 18 liter, manakala 9 GT+ mendapat ekstra satu liter menjadi 19 liter.

    GALERI: Yamaha Tracer 9 GT 2023

    GALERI: Yamaha Tracer 9 GT+ 2023

     
     
  • Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2023 facelift kini di M’sia — jarak 438 km, gaya dan kelengkapan baru

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2023 <em>facelift</em> kini di M’sia — jarak 438 km, gaya dan kelengkapan baru

    Volvo Car Malaysia (VCM) kini telah mula mengambil tempahan bagi model XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2023 yang dijual pada harga RM287,888 atas jalan tidak termasuk insurans dan ditawarkan dengan tingkat kemasan Ultimate. Ini akan menyertai model mild-hybrid B5 Ultimate dan plug-in hybrid Recharge T8 Ultimate — dua-dua dijual RM268,888 — dalam barisan model XC40 di Malaysia.

    XC40 EV terbaru ini menerima perubahan kecil dari segi rupa, dengan penampilan seperti lampu LED yang lebih tirus, bampar depan yang lebih sporty dengan perumah lampu kabus tiga segi serta gril rata untuk EV. Selain perubahan kosmetik, XC40 EV kekal sama seperti sebelumnya, walaupun kelengkapan ada melibatkan pembaharuan.

    Antaranya, rim 19-inci lima-jejari yang digunakan telah diberi sentuhan baru, dan ruang dalaman warna Charcoal kini menerima balutan material Charcoal Connect Suede dan bukannya gandingan kulit/Nubuck seperti sebelum ini — untuk digandingan bersama tombol gear tanpa balutan kulit yang ada. Turut ada hiasan Topography disertakan, penapis udara PM2.5 dengan fungsi pra-pembersih jarak jauh dan modul pengesan pergerakan kaki yang dikemaskini bagi ciri pintu belakang pintarnya.

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2023 <em>facelift</em> kini di M’sia — jarak 438 km, gaya dan kelengkapan baru

    Bagi warna yang tersedia, XC40 EV ini menerima warna baru Fjord Blue yang turut ditawarkan untuk varian bukan EV, dan disertai juga oleh Black Stone, Thunder Grey, Crystal White dan warna eksklusif Sage Green (Silver Dawn warna eksklusif untuk varian bukan EV). Versi ini juga telah beralih kepada Dynamic Chassis pasif daripada Touring Chassis sebelumnya.

    Selain itu, semua kelengkapan adalah sama. Ia masih menggunakan sistem infotainmen Andorid Automotive OS dengan skrin sentuh sembilan-inci dengan Google Services, kluster instrumen digital 12-inci, sistem audio Harman Kardon 600-watt dengan 13-pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi, kawalan pendingin dwi-zon dengan corong belakang dan kerusi depan larasan kuasa elektrik.

    Begitu juga dengan ciri keselamatan dan bantuan pemandu, yang terdiri daripada City Safety (penghindaran perlanggaran dengan sokongan persimpangan; pengesan pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan besar), amaran perlanggaran depan dan belakang, Driver Alert Control, bantuan mengekalkan lorong, Run-Off Road Mitigation dengan Road Edge Detection, Oncoming Lane Mitigation, Blind Spot Information System (BLIS) dengan Steer Assist dan Cross Traffic Alert (CTA) dengan Autobrake.

    Sistem janaan kuasa menampilkan dua motor elektrik — satu di setiap gandar — dengan output keseluruhan sistem 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 660 Nm tork. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan laju maksimum 180 km/j. Motor elektrik mendapat tenaga daripada bateri lithium-ion 78 kW, dan mampu pergi sejauh 438 km dalam satu cas penuh dengan kitaran WLTP, naik dari 418 km sebelum ini.

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2023 <em>facelift</em> kini di M’sia — jarak 438 km, gaya dan kelengkapan baru

    Untuk pengecasan, XC40 EV menyokong pengecasan AC pada kadar 11 kW dengan sambungan Type 2, yang mengambil masa 7.5 jam untuk cas penuh. Selain itu, pengecasan pantas DC hingga 150 kW dengan sambungan CCS2 juga boleh, dengan kadar 0-80% boleh dicapai dalam masa 33 minit.

    XC40 EV ini telah menerima sambutan hangat sejak pertama kali dilancarkan di sini pada Mac lalu, dengan VCM memaklumkan peruntukkan untuk model 2022 habis sepenuhnya, dan pelanggan yang berminat akan menerima model 2023. Unit tahun 2022 diserahkan pada Jun, dengan harga jualan RM262,460 — harga ini nampak lebih rendah kerana ketika itu SST dikecualikan.

    XC40 EV baru ini pula akan terus menikmati insentif EV oleh kerajaan hingga 31 Disember 2025, memandangkan ia model CKD — insentif sama bagi model CBU akan ditamatkan pada penghujung 2024.

     
     
  • Kemalangan maut babitkan kenderaan berat, kenderaan berhenti di lorong kecemasan meningkat

    Kemalangan maut babitkan kenderaan berat, kenderaan berhenti di lorong kecemasan meningkat

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan pihaknya telah merekodkan peningkatan kes kemalangan maut membabitkan kenderaan berat dan kenderaan berhenti di lorong kecemasan pada tahun ini.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, statistik menunjukkan kemalangan kenderaan berat meningkat 2% berbanding tahun 2019.

    “Kemalangan di lorong kecemasan membabitkan kenderaan rosak pula meningkat sebanyak 5% berbanding tahun 2019.

    “Kajian turut menunjukkan bahawa kenderaan berat adalah penyumbang utama kepada masalah pengurusan trafik apabila berlakunya kemalangan selain isu halangan membabitkan cebisan tayar kenderaan berat,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Koordinasi PLUS bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diketuai Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan di Akademi JPJ semalam.

    Dalam mesyuarat berkenaa, kedua-dua pihak bersetuju bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut akibat kenderaan berat dan kemalangan membabitkan penunggang motosikal pada tahun hadapan.

    “PLUS dan JPJ akan mengambil beberapa pendekatan baharu dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan termasuk penguatkuasaan secara digital menggunakan kamera ANPR dan teknologi Weight-In-Motion untuk mengenalpasti kenderaan berat melebihi had muatan.

    Kemalangan maut babitkan kenderaan berat, kenderaan berhenti di lorong kecemasan meningkat

    “Kenderaan yang membawa lebih muatan berpotensi menyebabkan kemalangan akibat hilang kawalan, rosak dan tayar pecah selain daripada merosakkan permukaan jalan,” tambahnya.

    Selain itu, tambahnya lagi, statistik PLUS turut menunjukkan kawasan lebuh raya berhampiran kawasan perindustrian adalah lokasi kemalangan membabitkan penunggang motosikal.

    “Sehingga September lalu, PLUS merekodkan 333 kehilangan nyawa akibat kemalangan dan daripada jumlah itu, 216 membabitkan penunggang motosikal. Justeru, mesyuarat koordinasi PLUS dan JPJ ini turut menggariskan kolaborasi komunikasi strategik bagi advokasi terhadap pemandu kenderaan berat serta penunggang motosikal,” katanya.

    Kolaborasi PLUS dan JPJ telah terjalin sejak sekian lama dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di lebuhraya. Sejak 2017, sebanyak 317 Ops Halangan telah dilaksanakan di lebuhraya. Malah, PLUS juga turut menyumbang 3 buah Stesen Penguatkuasaan JPJ, sebuah Pusat Unit Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) dan kenderaan rondaan JPJ.

    Mesyuarat koordinasi PLUS-JPJ turut menggariskan kolaborasi komunikasi strategik bagi advokasi terhadap pemandu kenderaan berat serta penunggang motosikal.

     
     
  • JPJ eBid: VJY dan VKA dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan terdapat dua siri nombor plat pendaftaran baharu yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid. Kedua-duanya adalah siri nombor pendaftaran dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    Bagi siri nombor ‘VJY’, ia telah pun mula dibuka bidaan sejak 4 November lalu. Tempoh bidaan telah pun memasuki hari kelima dan bakal berakhir pada jam 10 malam ini, 8 November. Masih sempat untuk anda membidanya. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 9 November 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri ‘VKA’ pula bakal dibuka bidaannya bermula 11 November ini dan akan tamat pada jam 10 malam pada 15 November 2022. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 16 November 2022.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Manifesto PRU15 BN – AP untuk EV akan dihapus, mudahkan akses kepada kereta elektrik mampu milik

    Manifesto PRU15 BN – AP untuk EV akan dihapus, mudahkan akses kepada kereta elektrik mampu milik

    Barisan Nasional (BN) telah pun mengumumkan manifesto pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semalam, dan apa yang menarik perhatian kami, pakatan parti politik berkenaan mengumumkan bahawa ia akan menghapuskan permit import (AP) untuk semua kenderaan elektrik (EV) yang diimport dari luar sekiranya menang dalam pilihan raya nanti.

    Menurut pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, langkah ini adalah disasarkan untuk menjadikan EV lebih mudah di akses oleh rakyat Malaysia, dalam masa yang sama untuk memastikan masa depan negara agar mampan dan selamat.

    “Untuk itu, kita akan menghapuskan semua permit import atau AP untuk semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses yang lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik,” katanya malam tadi.

    Pelan untuk memansuhkan AP untuk EV pada asasnya adalah susulan daripada pengecualian bayaran AP yang digariskan dalam Bajet 2023 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 7 Okotber lalu. Dalam pembentangan tersebut telah diumumkan bahawa semua EV yang diimport ditetapkan untuk dikecualikan daripada yuran AP dari 1 Januari hingga 31 Disember 2023.

    Manifesto PRU15 BN – AP untuk EV akan dihapus, mudahkan akses kepada kereta elektrik mampu milik

    Sekiranya inisiatif untuk menghapuskan terus AP untuk EV ini dilaksanakan, pengecualian bayaran AP tersebut bukan hanya dalam garis masa yang dinyatakan dalam Bajet 2023, tetapi ia sudah tidak akan lagi dikenakan langsung serta membebaskan terus pasaran EV tanpa sekatan AP.

    Perkara ini akan memudahkan pengeluar EV untuk menyediakan saluran jualan di Malaysia – mereka tidak perlu lagi mencari rakan kongsi tempatan untuk tujuan AP francais. Manakala pengimport persendirian yang ingin membawa masuk EV juga akan diberi kemudahan untuk berbuat demikian dengan pemansuhan yuran AP ini.

    Dengan tiada lagi sekatan dari AP ini bakal membolehkan lebih banyak EV akan ditawarkan pada pasaran tempatan, serta berpotensi menjadikannya lebih murah. Ini kerana pengeluar dan pengimport tidak lagi perlu membayar kos AP, yang lazimnya kos tersebut dikenakan pada pelanggan pada harga jualan.

    Walau bagaimanapun, pemansuhan AP ini hanya melibatkan model-model EV, dan ia tidak terpakai pada model-model dengan enjin pembakaran dalaman konvensional.

     
     
  • Perkhidmatan LRT Kelana Jaya terhenti, pengguna disaran ambil bas perantara, disediakan hingga 1 pagi

    Perkhidmatan LRT Kelana Jaya terhenti, pengguna disaran ambil bas perantara, disediakan hingga 1 pagi

    Perkhidmatan LRT Kelana Jaya malam ini (7 November) terhenti, menurut kemaskini semasa yang dimaklumkan dalam rantaian hantaran melalui akaun Twitter @AskRapidKL bermula sekitar jam 10 malam sebentar tadi. Dalam makluman yang terkini ketika artikel ini ditulis, pihak Rapid KL memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, dari stesen Gombak ke stesen Kelana Jaya akan ditamatkan pada 11.15 malam.

    Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca yang menyebabkan gangguan perkhidmatan LRT berkenaan melainkan berlaku gangguan teknikal di antara stesen KLCC dan stesen Kelana Jaya. Turut dinyatakan, stesen LRT Kelana Jaya hingga stesen LRT Ampang Park juga ditutup kepada pengguna. Pengguna yang terkesan dinasihatkan untuk mengambil bas pengantara percuma atau mod pengangkutan lain.

    Dalam beberapa hantaran yang menyusul kemudian, Rapid KL memaklumkan sejumlah lapan buah bas perantara percuma telah disediakan untuk membawa penumpang dari stesen KLCC, Pasar Seni dan Kelana Jaya. Penumpang diminta untuk mendapatkan bantuan polis bantuan yang berada di lokasi.

    Perkhidmatan bas perantara percuma ini juga dimaklumkan akan dilanjutkan hingga jam 1 pagi nanti. Sementara itu, perkhidmatan LRT laluan Ampang/Sri Petaling di stesen Masjid Jamek dan MRT laluan Kajang di Stesen Pasar Seni juga akan dilanjutkan hingga 1 pagi.

    Kepada yang terkesan dengan perkembangan ini diharap kekal tenang, dan terus ikuti perkembangan semasa di Twitter @AskRapidKL dan berhubung dengan individu bertugas di lokasi untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Subaru BRZ 2022 di Malaysia – gambar sebenar model generasi kedua di negara kita, 2.4L NA, kuasa 237 PS

    Subaru BRZ 2022 di Malaysia – gambar sebenar model generasi kedua di negara kita, 2.4L NA, kuasa 237 PS

    Subaru BRZ 2022 mula diperkenalkan kepada dunia buat pertama kalinya pada November tahun 2020, dan dua tahun selepas itu, iaitu pada Mac lalu barulah ia mula dibuka untuk tempahan di negara kita. Meskipun sudah ada kereta yang sudah diserahkan kepada pelanggan, pelancaran model generasi kedua ini tidak pernah dibuat secara rasmi dan sekarang barulah kami berpeluang untuk mendapatkan gambarnya – diletakkan untuk pameran di pusat 3S Subaru Setia Alam.

    Model generasi baharu ini hadir dengan enjin boxer NA FA24D 2.4 liter berkuasa 237 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm. Ia sudah tentu lebih besar dari enjin boxer NA 2.0 liter model generasi sebelumnya yang hanya menghasilkan kuasa 200 PS/205 Nm.

    Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda belakang menerusi gandar yang dibekalkan dengan LSD Torsen yang dibekalkan secara standard. Model dengan kotak gear automatik boleh mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat dengan kelajuan maksima 216 km/j, manakala versi manual pula lebih pantas dengan mencatatkan hanya 6.3 saat untuk pecutan sama bersama kelajuan maksima 226 km/j.

    Melihat kepada harga terakhir yang dikemas kini Ogos lalu, model automatik dijual lebih mahal (RM259,245) kerana ia diberikan pedal penukar gear dan juga sistem bantuan pemanduan Subaru EyeSight. Sistem keselamatan tersebut merangkumi fungsi-fungsi seperti cruise control aktif, amaran mula bergerak kenderaan hadapan, brek kecemasan automatik dan sistem false stare suppression control. Model manual yang tidak mempunyai ciri ini dijual pada harga RM249,245.

    Selain rekaan yang jelas berubah di hadapan dan belakang, bahagian c-pillar model baru ini juga telah dibentuk semula. Jarak roda bertambah panjang 5 mm, menjadi 2,575 mm, sementara lebar pula masih sama seperti sebelum ini, iaitu 1.775 mm. Panjang bertambah 25 mm (4,265 mm) manakala tinggi berkurang 10 mm, menjadi 1,310 mm.

    Pada bahagian dalam, BRZ generasi kedua ini masih mengekalkan tetapan tempat duduk 2+2, tetapi datang dengan rekaan papan pemuka yang lebih ringkas. Antara kelengkapan lain adalah termasuk sistem infotainmen skrin sesentuh lapan inci, panel instrumen digital tujuh inci serta corong pendingin hawa berbentuk petak.

     
     
  • Kawasan parkir stesen KTM Rawang ditutup mulai 8 Nov – bangunan Park & Ride dibina, siap Nov 2025

    Kawasan parkir stesen KTM Rawang ditutup mulai 8 Nov – bangunan Park & Ride dibina, siap Nov 2025

    Bagi pengguna yang seringkali mengguna perkhidmatan tren KTM, ini ada makluman penting buat anda. Kawasan parkir stesen KTM Rawang dan kawasan terbuka di hadapan stesen berkenaan (berhadapan dengan jalan utama) akan ditutup sepenuhnya mulai esok (8 November). Ia bagi memberikan laluan untuk kerja pembinaan bangunan parkir empat tingkat.

    Menurut Perbadanan Aset Keretapi (RAC), bangunan tempat parkir baharu itu adalah inisiatif Park & Ride oleh Kementerian Pengangkutan untuk menambahbaik fasiliti kemudahan awam dan menggalakkan penggunakan pengangutan rel dengan memberikan kemudahan letak kereta yang lebih selesa dan selamat. RAC adalah agensi pelaksana yang ditugaskan untuk membina kemudahan itu, yang menelan belanja RM54 juta.

    Bangunan parkir empat tingkat itu akan menyediakan 494 petak parkir, termasuk empat petak untuk OKU, dan 104 petak parkir motosikal. Projek ini dijangka akan siap sepenuhnya pada November 2025, iaitu tiga tahun dari sekarang.

    Selain bangunan parkir empat tingakt itu, ia juga akan menyediakan “Drop by Zone” untuk kemudahan mengambil dan menurunkan penumpang bas, teksi dan kenderaan persendirian. Fasiliti lain yang turut diberikan termasuk tandas, lif, lampu jalan, laluan pejalan kaki dan CCTV.

    Dalam tempoh penutupan kawasan parkir stesen Komuter berkenaan, RAC mencadangkan beberapa kawasan parkir alternatif, termasuklah di terminal bas Rawang (dalam lingkungan 200 meter jaraknya dari kawasan parkir stesen KTM) dan juga lot parkir di stesen KTM di Kuang, Sungai Buloh dan Serendah.

     
     
  • MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir dari 8-11 Nov 2022 — kereta anda sudah ada insuran banjir?

    MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir dari 8-11 Nov 2022 — kereta anda sudah ada insuran banjir?

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini (7 November 2022) telah mengeluarkan ramalan hujan bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan di Sabah & Sarawak. Maklumat ini penting untuk semua agar kita dapat mengambil langkah berjaga-jaga yang sepatutnya.

    Dalam kenyataan tersebut, MetMalaysia memaklumkan penumpuan angin dijangka berlaku di Pantai Timur Semenanjung dan barat Sarawak. Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan yang boleh membawa hujan lebat dan angin kencang di Pantai Timur Semenanjung pada 8 hingga 11 November 2022.

    Selain itu, negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung (Perak, Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka & Johor) dan Sarawak dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir yang lebih kerap pada sebelah petang hingga malam. MetMalaysia juga telah mengemaskini Amaran Hujan Berterusan (Waspada) pada 2 pm, 7 November 2022 melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahan dan Johor bagi tempoh 8-11 November 2022.

    Jadi, elok kita beri perhatian dan bersiap sedia dengan amaran yang terbaru ini. Jika boleh, elakkan untuk bergerak ke kawasan yang mungkin berisiko tersebut jika tiada urusan penting. Dan, kepada yang berada di kawasan berkenaan, serta perlu ke kawasan-kawasan tersebut, pastikan telah membuat persediaan yang secukupnya.

    Jika bercakap tentang kenderaan, pastikan kenderaan anda ada perlindungan insurans untuk bencana alam. Ini amat penting bagi mengelakkan tanggungan besar yang perlu anda pikul sekiranya kenderaan terkesan atau rosak akibat banjir.

    Perlindungan special perils ini tidaklah terlalu mahal. Sebagai contoh, beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine memperlihatkan kadar yang dikenakan adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda.

    Jika jumlah yang diinsurankan untuk kereta anda adalah RM25,000, anda hanya perlu membayar serendah RM50 untuk perlindungan tambahan special perils ini. Selain itu, periksa dan pastikan juga keadaan tayar kenderaan anda berada dalam keadaan baik dan bunganya masih berkesan untuk digunakan dalam cuaca dan permukaan basah seperti ini. Selebihnya, ada eloknya untuk kita ekstra berhati-hati selalu ketika berada di atas jalanraya dalam keadaan seperti ini.

     
     
  • Terbalikkan Myvi – 7 lelaki termasuk 4 penghantar makanan mengaku bersalah, ikat jamin RM7,000

    Terbalikkan Myvi – 7 lelaki termasuk 4 penghantar makanan mengaku bersalah, ikat jamin RM7,000

    Susulan kejadian sebuah Perodua Myvi diterbalikkan di Taman Kota Masai, Johor Khamis lalu, hari ini tujuh lelaki, termasuk empat penghantar makanan p-hailing telah pun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan dan menterbalikkan Myvi berkenaan, lapor Harian Metro.

    Ketujuh-tujuh individu terbabit iaitu Mohamad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22; Morrisson Malvin Mada, 19; Shaikh Al Amin Idrus, 21; Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19; Daniel Haziq Syikhanna, 21; Romie Rahimi, 41 dan Muhammad Adam Abd Rahim, 18 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua lelaki berkenaan didakwa melakukan khianat dengan merosakkan semua cermin dan pintu kereta serta menterbalikkan sebuah Perodua Myvi berwarna biru milik Tan Jing Hui, 21, dengan cara menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar, membaling batu dan menterbalikkan kereta terbabit secara beramai-ramai sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM15,000.

    Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di persimpangan stesen minyak Petronas Kota Masai 2, Jalan Nenas, Taman Kota Masai, kira-kira 9.40 malam, Khamis lalu. Akhbar tersebut turut menyatakan bahawa kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, atas perbuatan yang dilakukan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan.

    Walau bagaimanapun semua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon supaya jumlah jaminan dicadangkan pendakwaan itu dikurangkan dengan alasan masing-masing hanya berpendapatan antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan – selain empat tertuduh yang bekerja sebagai penghantar makanan p-hailing, dua lagi tertuduh bekerja sebagai pekerja membaiki mesin basuh dan televisyen serta menjual topi, manakala seorang lagi sedang melanjutkan pelajaran, lapor Metro lagi.

    Namun Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tidak boleh mengganggu saksi dan mangsa selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai. Kes ini ditetapkan untuk sebutan semula bagi fakta dan hukuman pada 18 Disember depan.

    Berdasarkan laporan Kosmo Jumaat lalu, seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Akmal menyatakan bahawa kejadian bermula apabila pemandu kereta Perodua Myvi itu bertindak melanggar lampu merah ketika di simpang empat Jalan Kota Masai 2, pada masa sama seorang penunggang motosikal yang juga penghantar makanan sedang berjalan terus dengan agak laju.

    Saksi tersebut turut menyatakan bahawa orang ramai mula marah dan merosakkan Myvi tersebut selepas pemandunya yang sudah selamat berada dalam kereta peronda polis membuat provokasi terhadap orang ramai.

    Walau bagaimanapun, dalam satu lagi video yang tular, iaitu rakaman dashcam dari Myvi berkenaan membuktikan bahawa lampu masih belum bertukar kuning ketika ia tiba di persimpangan tersebut. Tetapi ia sudah berkelip memberi amaran bahawa ia hampir bertukar kuning, membuktikan bahawa penunggang penghantar makanan tersebut yang sebenarnya melanggar lampu merah.

     
     
  • Scalar SCR1 didedah – kereta lumba EV berasaskan Toyota GR86, bateri 65 kWh, kuasa 333 PS, 468 Nm

    Scalar SCR1 didedah – kereta lumba EV berasaskan Toyota GR86, bateri 65 kWh, kuasa 333 PS, 468 Nm

    Ini adalah Scalar SCR1, sebuah kereta lumba touring amatur elektrik penuh, yang dibangunkan oleh Scalar Performance dan diluluskan oleh National Auto Sport Association (NASA) untuk perlumbaan Super Touring Series. Menggunakan asas daripada Toyota GR86, enjin asalnya telah ditukar kepada penggerak elektrik oleh Hypercraft dan dibawa ke SEMA 2022 untuk tontonan ramai.

    Beroperasi menggunakan sistem elektrikal 800 volt, SCR1 menampilkan motor elektrik yang terletak di bahagian belakang, berkuasa 333 PS (328 hp atau 245 kW) dan tork 468 Nm. Jumlah ini adalah jauh lebih tinggi berbanding enjin boxer 2.4 liter asal yang berkausa 231 PS/249 Nm.

    Motor elektrik ini kemudiannya disambung kepada limited-slip differential Torsen, serta transmisi pengurang gear bersama gear straight-cut dan nisbah 5.19:1. Menurut Scalar, kereta ini boleh memecut 0-96 km/h (0-60 mph) dalam masa 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 267 km/j.

    Memberi kuasa kepada tetapan ini adalah pek bateri buatan khas dengan kapasiti tenaga 65 kWh, yang membolehkan ia berlumba terus selama 45 minit, bersama sistem pengurusan bateri maju yang memastikan prestasi berterusan. Apabila habis kuasa, bateri tersebut boleh dicas semula tidak sampai 20 minit menggunakan pengecas pantas Level 3 (150 kW).

    Kelengkapan lain yang terdapat pada kereta ini adalah termasuk angkup brek enam piston di hadapan dan empat piston di belakang, serta suspensi daripada Ohlins. Tambah Scalar Performance, kereta ini mempunyai pembahagian berat hampir sama seperti kereta lumba enjin di tengah, dengan baterinya diletakkan di hadapan, sementara komponen pemanduan lain di belakang pemandu.

    Untuk penampilan, SCR1 tidak mempunyai modifikasi yang begitu radikal, dengan yang menonjol cuma sayap belakang yang besar. Secara keseluruhannya, SCR1 mencatat berat 1,379 kg, menjadikan ia 100 kg lebih berbanding GR86 biasa (1,275 kg).

     
     
  • Honda e:N2 Concept muncul di China – set kedua untuk siri e:N, guna platform e:architecture F

    Honda e:N2 Concept muncul di China – set kedua untuk siri e:N, guna platform e:architecture F

    Honda telah mendedahkan model konsep kenderaan elektrik (EV) terbaharunya di China International Export Expo di Shanghai digelar e:N2 Concept, bagi memberi gambaran rekaan untuk model-model produksi EV selepas siri e:N yang sudah didedahkan sebelum ini.

    Menurut Honda, rekaan e:N2 Concept ini disasarkan untuk membawa “penggayaan baharu yang tidak termasuk dalam mana-mana kategori sedia ada” – patutlah penulis sendiri tertanya-tanya “ini sedan ke SUV?” ketika pertama kali melihat gambarnya. Ia menampilkan garis-garis tajam dan bersegi, berlainan dari dua model e:N yang hampir diproduksi iaitu e:NS1 dan e:NP1.

    Ciri-ciri penggayaan pada e:N2 Concept ini juga mengambil pelbagai perincian dari barisan model konsep siri e:N yang didedahkan pada Oktober tahun lalu, dengan bahagian muka seiras dengan e:N SUV Concept, e:N GT Concept dan the e:N Coupe, khususnya rekaan jalur LED. Manakala ruang roda nampak seiras seperti the e:N SUV Concept.

    Ruang dalaman Honda e:N2 Concept ini direka dengan sangat minimalis, hampir tidak kelihatan butang-butang fizikal, dan menampilkan roda stereng berbentuk empat segi. Menurut Honda, kabin model konsep ini direka bagi memberikan “ruang di mana penumpang boleh menikmati keseronokan intelektual”, menerusi kokpit digital, lampu suasana, bau-bauan dan juga servis-servis terhubung Honda Connect.

    Model ini turut diasaskan dari platform e:architecture F Honda yang dibangunkan khas untuk model-model EV siri e:N. Sebelum ini Honda pernah menyatakan bahawa platform tersebut bakal menyaksikan integrasi perkakasan dan perisian yang dirancang untuk diproduksi bermula separa kedua era 2020-an.

    “e:N2 Concept ini mewakili nilai siri e:N kami, yang akan mentakrifkan semula keseronokan EV yang boleh ditawarkan kepada pelanggan dengan keseronokan pemanduannya yang unik, nilai sebagai ruang mobiliti dan reka bentuk. Di China, Honda akan terus memberikan rangkaian luas produk mobiliti elektrik yang unik yang hanya ditawarkan Honda dan alami kelahiran semula kami sebagai jenama mobiliti elektrik,” kata presiden dan pengarah Honda Toshihiro Mibe

     
     
  • Toyota diangkat sebagai jenama automotif paling bernilai tahun 2022, diikuti Mercedes-Benz dan Tesla

    Toyota diangkat sebagai jenama automotif paling bernilai tahun 2022, diikuti Mercedes-Benz  dan Tesla

    Senarai jenama paling bernilai bagi tahun 2022 telah pun didedahkan oleh Interbrand, dan sekali lagi, bagi jenama automotif, Toyota duduk di tempat paling atas dengan nilai jenama US$59.757 bilion (RM283 bilion). Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10% berbanding nilai sebelum ini, dan meletakkan Toyota di tempat keenam secara keseluruhan dalam anugerah Top 100 Best Global Brand – naik satu anak tangga berbanding tahun lepas.

    Toyota kemudiannya diikuti rapat oleh Mercedes-Benz di tempat kedua, yang mana jenama Jerman itu mencatat peningkatan nilai jenama sebanyak 10% menjadi US$56.103 bilion (RM266 bilion). Senarai jenama automotif paling bernilai ini kemudiannya diisi lagi oleh Tesla di tempat ketiga, yang mencatat peningkatan nilai jenama sebanyak 32%, iaitu jumlah peningkatan paling banyak dan paling pantas begi jenama automotif – US$48.002 bilion (RM227 bilion).

    Tahun lepas di tempat ketiga, tahun ini pula BMW turun satu anak tangga ke tempat keempat, meskipun nilai jenama meningkat 11% menjadi US$46.331 bilion (RM219 bilion). Ia kemudiannya diikuti oleh Honda US$22.837 bilion (RM108 bilion), Hyundai US$17.314 bilion (RM82 bilion), Audi US$14.976 bilion (RM71 bilion), Volkswagen US$14.819 bilion (RM70 bilion) dan Ford US$14.431 bilion (RM68 bilion).

    Toyota diangkat sebagai jenama automotif paling bernilai tahun 2022, diikuti Mercedes-Benz  dan Tesla

    Melengkapkan kedudukan 10 tempat teratas adalah Porsche dengan nilai US$13.504 bilion (RM64 bilion). Jika dibandingkan dengan senarai tahun lepas, Tesla adalah satu-satunya jenama yang dapat naik satu kedudukan – berganti dengan BMW, sementara jenama lain masih berada di kedudukan yang sama. Selain daripada itu, Ferrari juga berjaya menunjukkan peningkatan nilai jenama yang banyak, iaitu 31%.

    Secara keseluruhannya, senarai jenama paling bernilai 2022 ini ditakluki oleh Apple, dengan jumlah US$482.215 bilion (RM2.2 trilion), diikuti Microsoft US$278.288 bilion (RM1.32 trilion), Amazon US$274.819 bilion (RM1.3 trilion), Google US$251.751 bilion (RM1.1 trilion) dan Samsung US$87.689 bilion (RM416 bilion).

     
     
  • Tiket bas PRU15 – Easybook, redBus tawar diskaun

    Jika anda merancang pulang ke kampung halaman untuk mengundi dalam Pilihanraya ke-15 (PRU15), seeloknya anda merancang perjalanan anda sekarang. Sebelum ini banyak laporan akhbar menyatakan bahawa tiket bagi pengangkutan awam iaitu bas, tren dan kapal terbang dinaikkan kadar tambangnya berdasarkan permintaan yang menggalakkan. Namun apabila Kementerian Pengangkutan menggesa supaya pengendali pengangkutan awam mengenakan kadar tambang berpatutan, barulah harga tiket yang munasabah dikenakan.

    Selain itu terdapat beberapa syarikat penerbangan termasuk MAS, dan Firefly memberikan diskaun tambang, namun jika anda memilih untuk menaiki bas ekspres, ada juga syarikat yang menawarkan diskaun bagi kadar tambang, ini termasuklah Easybook dan redBus

    Bagi yang membeli tiket bas menerusi aplikasi Easybook, ia menawarkan diskaun tiket sehingga 15% dengan kod promo EB15OFF. Tempoh tempahan sudah pun bermula sehingga 22 November 2022, dan perjalanan antara 16-22 November.

    Manakala Billion Stars Express pula menawarkan diskaun sebanyak 30% juga menerusi Easybook dengan kod promo EBBS30. Syarikat bas ini menyediakan perjalanan ke Pulau Pinang, KL, Melaka, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan banyak lagi. Tempoh tempahan juga telah pun bermula sehingga 22 November, untuk perjalanan mulai sekarang hingga 30 November 2022.

    redBus juga menawarkan diskaun untuk tiket bas sehingga 50% dengan kod promo JOMUNDI dan tket bas dijual pada harga bermula RM5. Sudah tidak banyak lagi masa yang tinggal, jadi jika anda mahu pulang ke kampung untuk mengundi, sila beli tiket bas secepat mungkin. Semua diskaun yang disebutkan ini adalah menerusi platform dalam talian.

    Jika anda yang berada di sekitar Lembah Klang dan ingin menaiki bas percuma untuk pulang ke kampung, boleh juga sertai program yang dilaksanakan oleh KLSCAH Civil Rights Committee, Sayangi Kinrara dan SKLHA Youth, yang menawarkan tiket percuma dari Puchong ke Johor, Pantai Timur, Ipoh-Taiping dan Pulau Pinang-Kedah. Bas akan bergerak pada malam sebelum hari PRU15.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025