Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Setel perkenalkan ciri bantuan auto baharu – jump-start, penukaran bateri, servis tunda kenderaan

    Setel perkenalkan ciri bantuan auto baharu – jump-start, penukaran bateri, servis tunda kenderaan

    Pengguna Setel kini boleh mengakses ciri bantuan auto baharu yang menyediakan perkhidmatan atas permintaan sekiranya berlaku kecemasan terhadap kenderaan yang dipandu. Ditawarkan menerusi aplikasi Setel, perkhidmatan terbabit termasuk penggantian bateri kenderaan, jump-start, penukaran tayar, bantuan mengisi minyak (sekiranya kenderaan anda kehabisan minyak), nyah-kunci kenderaan (sekiranya kenderaan anda terkunci sendiri sedangkan anda tidak berada di dalamnya) dan tunda kenderaan.

    Perkhidmatan ini disokong oleh Bateriku.com, yang merupakan rakan kerjasama pertama Setel untuk ciri bantuan auto, Sama seperti pengisian minyak di stesen Petronas, setiap transaksi yang diselesaikan menerusi ciri baharu ini turut membolehkan pengguna Setel menerima mata ganjaran Mesra yang boleh ditebus dalam bentuk pengisian minyak atau pun ganjaran lain.

    Ciri bantuan auto ini dipaparkan di muka utama pada aplikasi Setel, dan apabila butang pada skrin ditekan, senarai perkhidmatan akan terpapar.Selepas memilih perkhidmatan yang diperlukan, anda akan diminta untuk nyatakan lokasi kenderaan, dengan pilihan informasi tambahan termasuk warna kenderaan anda dan sebagainya.

    Selain itu, anda juga diminta untuk memasukkan nombor pendaftaran kenderaan dan selepas memperoleh pengesahan, juruteknik akan segera ditugaskan ke lokasi anda. Jika memilih penukaran bateri, anda juga dikehendaki memasukkan data mengenai model dan tahun buatan kenderaan anda untuk sistem menyediakan senarai bateri yang bersesuaian.

    “Setel menyasarkan untuk menjadi teman kepada pemandu dengan menawarkan ekosistem perkhidmatan mobiliti untuk menyelesaikan keperluan mereka. Ciri bantuan kenderaan melengkapkan perjalanan pemandu dengan akses kepada keperluan keselamatan di hujung jari mereka. Perkongsian dengan Bateriku.com mempercepatkan bantuan yang diperlukan apabila pengguna Setel terkandas, meminimumkan kesan daripada situasi yang boleh menimbulkan tekanan,” kata Mazlin Erawati Ab Manan, CEO Setel.

    “Dengan peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya, adalah penting bagi Bateriku.com untuk menjadikan perkhidmatan bantuan di tepi jalan mudah diakses oleh pemandu di seluruh negara melalui penyepaduan API dengan platform seperti aplikasi Setel,” kata Azarol Faizi Zakaria Ansari, CEO Bateriku.com.

    Tambahnya lagi, “Bateriku.com telah memberi perkhidmatan kepada hampir satu juta pelanggan di seluruh negara dan kejayaan ini dicapai melalui ekosistem inklusif juruteknik gig (BHero), usahawan (BPpreneur), rakan kongsi (BBuddy) dan kehadiran di lebih 130 cawangan fizikal. Kami berbesar hati untuk menawarkan penyelesaian bantuan tepi jalan kami di seluruh negara terus kepada pengguna Setel dan kami komited untuk memberikan pengalaman pelanggan yang hebat pada setiap masa.”

    Jika anda masih belum memuat turun Setel, kami akan lebih menghargai sekiranya anda menggunakan kod rujukan kami “5h9f3”.

     
     
  • BMW X7 xDrive40i M Sport dilancar untuk Malaysia – penampilan lebih sporty, CKD, harga dari RM700,840

    BMW X7 xDrive40i M Sport dilancar untuk Malaysia – penampilan lebih sporty, CKD, harga dari RM700,840

    Satu lagi varian baru diperkenalkan untuk BMW X7 pasaran Malaysia, iaitu xDrive40i M Sport. Varian ini menyertai varian xDrive40i Design Pure Excellence sedia ada, dan menjadikan sekarang ada dua varian untuk model yang dipasang dalam negara tersebut (CKD).

    X7 xDrive40i M Sport dijual pada harga RM728,800 tidak termasuk insurans, dan ini menjadikannya RM20,000 lebih tinggi berbanding X7 xDrive40i Design Pure Excellence yang dijual pada harga RM708,800. Harga yang dinyatakan ini adalah termasuk jaminan tambahan lima tahun tanpa had batuan, serta servis percuma lima tahun.

    Jika memilih jaminan standard selama dua tahun tanpa had batuan, harganya menjadi RM700,840, dan bezanya masih juga RM2,000 berbanding X7 xDrive40i Design Pure Excellence dengan pakej waranti yang sama. Warna luaran yang ditawarkan adalah Black Sapphire, Mineral White, Manhattan Metallic dan Arctic Grey Brilliant Effect (khas untuk varian M Sport ini).

    BMW X7 xDrive40i M Sport dilancar untuk Malaysia – penampilan lebih sporty, CKD, harga dari RM700,840

    Dengan harga yang lebih tinggi ini, X7 tersebut dijadikan lebih agresif dengan penggunaan pakej aerodinamik M yang termasuk bampar khas dengan bukaan udara yang lebih besar. Bampar belakang pula mempunyai muncung ekzos yang lebih menonjol, berserta kemasan krom, sementara pemantul cahaya pula diletakkan lebih tinggi.

    Varian M Sport ini juga datang dengan kemasan aluminium Individual yang menggantikan kemasan krom, serta rim 22 inci Style 758 M. Rim ini satu inci lebih besar berbanding rim 21 inci Style 753 pada X7 xDrive40i Design Pure Excellence, dan disertai lagi dengan brek M Sport yang mempunyai angkup berwarna biru.

    Masuk ke dalam, anda akan melihat roda stereng kulit M Sport, serta kemasan kayu Fineline hitam menggantikan kemasan berwarna coklat pada X7 xDrive40i Design Pure Excellence. Bahagian lain masih lagi sama, termasuk tombol gear kristal, pelitup bumbung Alcantara, sistem BMW Live Cockpit Professional, lampu suasana, sistem bunyi Harman Kardon serta kawalan pendingin hawa lima zon.

    BMW X7 xDrive40i M Sport dilancar untuk Malaysia – penampilan lebih sporty, CKD, harga dari RM700,840

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti lampu utama LaserLight, bumbung panoramik berlampu Sky Lounge, head-up display, BMW Display Key, suspensi udara dengan penyerap adaptif, Executive Drive Pro Active Roll Stabilisation, Rear-Wheel Steering, sistem Driving Assistant (Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist dan Blind Spot Monitoring), Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop-and-go, Parking Assistant Plus serta kamera 360 darjah.

    Secara mekanikalnya, varian M Sport ini masih digerakkan oleh enjin sama, iaitu unit petrol enam silinder turbo 3.0 liter B58 bersama padanan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, serta sistem pacuan semua roda. Kuasa yang mampu dihasilkan juga tidak berubah, masih lagi 340 PS antara 5,500 hingga 6,500 rpm, dan tork 450 Nm antara 1,500 hingga 5,200 rpm.

     
     
  • PRU15: Persiapkan kereta anda untuk balik mengundi — jalankan tanggungjawab 19 November 2022 nanti!

    PRU15: Persiapkan kereta anda untuk balik mengundi — jalankan tanggungjawab 19 November 2022 nanti!

    Akhirnya, kita bakal tiba lagi di kitaran Pilihanraya Umum ke-15 yang akan datang, susulan pembubaran parlimen yang diumumkan sebelum ini. Terbaru, Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah pun mengumumkan tarikh Pilihanraya Umum ke-15 bakal berlangsung pada 19 November 2022.

    Tempoh ini tidaklah terlalu lama dari sekarang, dan tentunya ramai yang merancang untuk pulang mengundi ke tempat masing-masing. Sebahagian akan gunakan pengangkutan awam, dan sebahagian lagi tentulah akan memandu, seperti selalu. Memang sangat disarankan semua daripada kita pulang untuk mengundi dan membuat pilihan terbaik yang dirasakan ada. Tetapi, ada satu lagi hal yang tak kalah penting juga — keadaan kereta bagi yang akan memandu sendiri nanti.

    Oleh kerana hari mengundi bagi PRU hanya sehari dan jatuh pada hari yang sama untuk semua yang terlihat, makan boleh dijangkakan keadaan trafik atas jalan akan jadi sangat banyak. Jadi, jika anda perlu menempuh perjalanan jauh untuk tujuan ini, makan tidak boleh tidak, kereta anda juga perlu dipersiap dan dipersedia untuk keadaan itu.

    PRU15: Persiapkan kereta anda untuk balik mengundi — jalankan tanggungjawab 19 November 2022 nanti!

    Sekiranya kereta anda sudah mendekati tempoh servis berikutnya, maka segeralah berbuat demikian sebelum balik mengundi. Ini untuk memastikan semuanya diperiksa — minyak enjin ditukar, pad brek dinilai, radiator dan coolant dipastikan berada pada tahap yang baik dan sebagainya. Kalau ada sebarang masalah yang dapat dikenal pasti, maka perbaiki semuanya. Tahap kesihatan bateri juga jangan dilupakan, itu sangat penting.

    Ramai juga pemilik kenderaan yang kerap mengabaikan keadaan tayar kereta mereka. Tak kira kereta anda semahal apa pun, bahagian yang bersentuhan dengan permukaan jalan hanyalah tayar. Jadi, kalau keadaan kereta selalu dipastikan baik, tayar lebih-lebih lagi perlu diberi yang paling baik mengikut kemampuan. Jangan kedekut untuk tukar tayar yang bagus.

    Mengapa perlu memastikan semua aspek ini? Sebab, kereta yang diselenggara dengan baik mengurangkan risiko rosak di tengah jalan. Tambahan untuk urusan terhadap negara sepenting untuk mengundi ini, pastilah kita inginkan semua urusan kita juga berjalan lancar. Untuk tidak dapat mengundi kerana terpaksa bersidai di tepi jalan pada hari mengundi kerana kereta rosak adalah satu perkara yang sia-sia. Jadi, buat persiapan awal untuk kereta anda, dan selamat mengundi!

     
     
  • Jalan Raja tutup hingga 22 Okt sempena Fiesta Penjaja, Peniaga & Usahawan di Dataran Merdeka

    Jalan Raja tutup hingga 22 Okt sempena Fiesta Penjaja, Peniaga & Usahawan di Dataran Merdeka

    Polis Daerah Dang Wangi telah mengumumkan penutupan Jalan Raja di ibu kota KL yang dilaksanakan sehingga jam 4 pagi pada 22 Oktober bagi kelancaran acara Fiesta Mega Penjaja, Peniaga & Usahawan Kecil 2022 yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya, penutupan Jalan Raja bermula dari persimpangan Jalan Tun Perak/Jalan Tuanku Abd Rahman (Jalan TAR), ke persimpangan Jalan Raja/Jalan Leboh Pasar Besar.

    “Sehubungan itu, bagi pengguna jalan raya dari arah Jalan TAR menuju ke Jalan Kinabalu boleh membelok ke kanan melalui Bulatan Dato Onn untuk ke Jalan Kinabalu semula.

    Jalan Raja tutup hingga 22 Okt sempena Fiesta Penjaja, Peniaga & Usahawan di Dataran Merdeka

    “Manakala pengguna jalan raya dari Jalan Sultan Hishamuddin boleh membelok ke kanan di Jalan Leboh Pasar Besar untuk ke Jalan TAR dan seterusnya ke Jalan Raja Laut semula,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau lagi, bagi orang ramai yang ingin berkunjung ke fiesta berkenaan, agar tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan di sekitar Dataran Merdeka hingga menyebabkan gangguan lalu lintas.

    Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihati mengikut arahan pegawai polis yang bertugas di lokasi bagi memastikan kelancaran aliran trafik sewaktu acara berlangsung.

     
     
  • Kadar tol Lebuhraya AKLEH, Guthrie, LKSA dan SILK turun antara 8%-15% mulai 20 Okt 2022 – PROLINTAS

    Kadar tol Lebuhraya AKLEH, Guthrie, LKSA dan SILK turun antara 8%-15% mulai 20 Okt 2022 – PROLINTAS

    Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) selaku pengendali bagi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) baru saja mengumumkan kadar baharu bagi tol utuk keempat-empat lebuhraya berkenaan.

    Menurut PROLINTAS, kadar tol bagi semua lebuhraya berkenaan akan diturunkan antara 8% dan 15% bermula 12.01 tengahmalam ini, 20 Oktober 2022.

    “Pengurangan kadar tol ini membabitkan kenderaan Kelas Satu (kenderaan yang mempunyai dua gandar contohnya kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas), Kelas Empat (teksi) dan Kelas Lima (bas) di empat lebuh raya terlibat.

    Klik untuk besarkan

    “Bagi kenderaan Kelas Dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda, kecuali bas) dan Kelas Tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas), kadar tol adalah tidak berubah,” kata PROLINTAS dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Untuk Kelas Satu, kadar tol baharu bagi AKLEH bakal menjadi RM2.13 berbanding RM2.50 iaitu melibatkan penurunan yang paling sebanyak mencecah 15%. Manakala penurunan sebanyak 8% pula bagi Guthrie yang menjadi RM1.75 (sebelum ini RM1.90), LKSA (Plaza Tol Seri Muda) pula RM1.56 (sebelum ini RM1.70), dan RM0.83 bagi LKSA (Plaza Tol Alam Impian) yang sebelum ini RM0.90. Manakala di Lebuhraya Silk pula, kadarnya bakal menjadi RM1.66, berbanding RM1.80 sebelum ini

    Manakala untuk teksi pula, kadar baharu yang diumumkan ialah RM1.53 untuk AKLEH (juga turun 15%), dan RM0.83 bagi setiap Lebuhraya Guthrie, LKSA (Seri Muda & Alam Impian) dan SILK.

    Kadar tol Lebuhraya AKLEH, Guthrie, LKSA dan SILK turun antara 8%-15% mulai 20 Okt 2022 – PROLINTAS

    Bagi bas pula, kadar tol baharu bagi AKLEH ialah RM1.28, Guthrie (RM1.29), LKSA – Sri Muda (RM1.10), LKSA – Alam Impian (RM0.55), dan SILK (RM0.92).

    Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu, penurunan kadar tol ini menandakan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup.

    Ismail Sabri turut mengumumkan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di bawah kumpulan IJM Corporation Berhad juga akan terbabit dengan pengurangan kadar tol berkuatkuasa 1 Januari 2023.

     
     
  • Lapan stesen LRT, MRT dipilih sebagai projek perintis Rapid KL Safety Point dengan kerjasama PDRM

    Lapan stesen LRT, MRT dipilih sebagai projek perintis Rapid KL Safety Point dengan kerjasama PDRM

    Sebanyak lapan buah stesen transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) terpilih sebagai pusat respons asas kecemasan awal menerusi Rapid KL Safety Point (RSP). Program RSP ini adalah kesinambungan daripada inisiatif Go To Safety Point (GTSP) yang diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2013 yang sebelum ini menjadikan stesen-stesen minyak dan kedai serbaneka sebagai rakan kerjasama.

    Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, inisiatif ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna pengangkutan awam serta membantu mengurangkan kejadian jenayah di premis pengangkutan awam.

    Sebagai permulaan, sebanyak lapan stesen rel terbabit akan dipaparkan dengan pelekat khas menandakan ia menawarkan bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan.

    Lapan stesen LRT, MRT dipilih sebagai projek perintis Rapid KL Safety Point dengan kerjasama PDRM

    Di mana PDRM (Kontinjen Kuala Lumpur) akan menyelia program terbabit yang melibatkan stesen MRT Kampung Batu, Stesen LRT dan MRT Pasar Seni, Stesen LRT Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang), Stesen LRT KL Sentral, Stesen LRT KLCC dan Stesen MRT Bukit Bintang. Stesen-stesen perintis ini dipilih berdasarkan jumlah penumpang yang tinggi dan tumpuan awam seperti pelancong.

    “Mengendalikan jumlah penumpang yang besar merupakan tanggungjawab petugas barisan hadapan Rapid KL bagi memastikan keselesaan mereka senantiasa berada pada tahap yang terbaik.

    “Semua anggota barisan hadapan kami mempunyai kemahiran mengendalikan situasi cemas dan bersedia memberikan pertolongan kecemasan kepada penumpang yang memerlukan bantuan. Latihan ini adalah sebahagian daripada silibus asas petugas operasi kami,” katanya dalam majlis pelancaran RSP di stesen MRT Kampung Batu pagi tadi.

    Lapan stesen LRT, MRT dipilih sebagai projek perintis Rapid KL Safety Point dengan kerjasama PDRM

    Peranan dan tanggungjawab Rapid KL menerusi program ini adalah memberi kemudahan seperti rawatan kecemasan kepada pengguna yang memerlukan bantuan, menyediakan tempat untuk mangsa berehat, menghubungi pihak polis dan hospital untuk mendapatkan ambulan sekiranya mangsa mengalami kecederaan

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, “Kami amat berterima kasih kepada Prasarana Malaysia Berhad dan Rapid Rail Sdn Bhd di atas jalinan kerjasama ini bagi bersama pihak berkuasa membanteras jenayah sejajar hasrat kerajaan mahu menjadikan pusat bandar selamat dan selesa.”

     
     
  • Tragedi drag BOTK 2022 : penganjur tak patuh SOP pohon permit, tiada kelulusan MAM – Gabungan Kelab

    Tragedi drag BOTK 2022 : penganjur tak patuh SOP pohon permit, tiada kelulusan MAM – Gabungan Kelab

    Susulan kemalangan ketika perlumbaan drag Battle of The Kings (BOTK) 2022 di Litar Drag Antarabangsa Gong Badak, Terengganu Sabtu lalu yang mengorbankan seorang pelumba, hari ini Gabungan kelab-kelab berdaftar MAM telahpun mengeluarkan satu kenyataan rasmi.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, gabungan kelab sukan permotoran berkenaan terlebih dahulu meluahkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga pelumba terbabit, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin (lebih mesra dengan panggilan Apeh Jamal).

    Gabungan kelab-kelab sukan permotoran berkenaan menyatakan bahawa insiden tersebut mungkin tidak akan bertukar tragedi sekiranya acara itu dijalankan mengikut peraturan keselamatan yang diperlukan yang ditetapkan oleh Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang merupakan badan induk rasmi sukan permotoran di Malaysia.

    Ini kerana di bawah peraturan keselamatan yang ketat dan juga kawal selia yang betul untuk sukan permotoran, ia boleh mengurangkan risiko kemalangan teruk. Peraturan-peraturan dan juga kawal selia berkenaan meliputi pelbagai aspek termasuk reka bentuk dan keselamatan litar, perancangan kakitangan perubatan dan keselamatan, perancangan tindak balas kecemasan, peralatan keselamatan kenderaan dan pemandu, serta pemeriksaan dan prosedur keselamatan.

    Tragedi drag BOTK 2022 : penganjur tak patuh SOP pohon permit, tiada kelulusan MAM – Gabungan Kelab

    Gabungan berkenaan menyatakan bahawa pihak penganjur perlumbaan drag BOTK 2022 sepatutnya mematuhi prosedur permohonan permit am agar acara tersebut berlangsung dengan selamat dan teratur.

    “Walaupun tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) rasmi untuk memohon dan menerima permit acara sukan permotoran di negara ini, modus operandi dan keperluan keseluruhan untuk menganjurkan acara perlumbaan yang dibenarkan secara rasmi di Malaysia meletakkan Permit Acara MAM sebagai dokumen keutamaan sebelum Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengeluarkan dokumen pengesahan mereka; dengan adanya dua permit ini pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengeluarkan kelulusan acara yang akan dilangsungkan.

    “Acara perlumbaan yang diluluskan oleh MAM hanya boleh dianjurkan dan diuruskan oleh kelab penganjur yang bergabung secara rasmi dan dibenarkan untuk berbuat demikian oleh MAM – penganjur yang tidak bergabung dengan MAM perlu melibatkan diri dengan kelab-kelab yang berdaftar dengan MAM dengan keperluan keselamatan ini untuk menjalankan sebarang acara sukan permotoran berskala besar di negara ini,” tulis kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah gabungan itu lagi, badan dan organisasi yang membina dan membangunkan kemudahan sukan permotoran harus berhubung dengan MAM untuk memastikan tempat/lokasi yang digunakan tersebut dibina dan dibangunkan mengikut piawaian minimum yang diperlukan bagi menjalankan acara perlumbaan yang selamat.

    Tragedi drag BOTK 2022 : penganjur tak patuh SOP pohon permit, tiada kelulusan MAM – Gabungan Kelab

    “Piawaian ini tidak semestinya menelan kos tetapi boleh mengurangkan risiko kecederaan yang teruk. Penganjur acara juga boleh bekerjasama dengan MAM untuk melaksanakan acara dan keselamatan litar yang lebih baik sekiranya pengendali litar mungkin tidak dapat menaik taraf kemudahan mereka untuk memenuhi keperluan minimum – contohnya apabila penganjur Cub Prix memasang pagar keselamatan dan penghadang beg udara untuk menaik taraf tempat hanya untuk memastikan perjalanan acara perlumbaan dengan selamat di seluruh negara,” jelas gabungan kelab itu lagi.

    Gabungan Kelab Sukan Permotoran tersebut turut memohon agar peraturan sukan permotoran terutamanya keselamatan dipandang serius oleh semua pihak, dan berharap insiden ini akan menjadi pembuka mata kepada semua badan yang terlibat. Ia turut meminta agar kriteria dan prosedur kelulusan standard dibangunkan secara rasmi dan dikuatkuasakan untuk melindungi anggota dan nyawa peserta sukan permotoran dalam acara-acara lain selepas ini.

    “Janganlah kita menerima dan redah nyawa arwah Muhamad Hafez hilang sia-sia, tetapi sepatutnya menjadi pemangkin kepada perubahan dan peningkatan dalam bidang sukan permotoran Malaysia.

    “Kami berharap badan kerajaan, penganjur acara dan peserta sukan permotoran dapat memahami bahawa peraturan dan regulasi yang dibuat oleh MAM adalah untuk keselamatan semua peserta dan kakitangan yang terlibat dalam acara sukan permotoran di negara ini. Pematuhan kepada peraturan ini adalah untuk memastikan hobi dan industri kita selamat dan mampu berkembang untuk masa hadapan,” tegas kenyataan berkenaan.

    Tragedi drag BOTK 2022 : penganjur tak patuh SOP pohon permit, tiada kelulusan MAM – Gabungan Kelab

    Gabungan kelab-kelab berdaftar MAM ini dianggotai oleh Kelab Sukan Bermotor MSF (Adian Yein Khalid sebagai presiden), Kelab Sukan Bermotor Integrasi (Dato Sayed Alfeizal Sayed Ahmad sebagai presiden), Kelab Sukan Bermotor Mines (Matahari Lee Thai Young sebagai presiden), Pocket Bike Association of Malaysia (Akhtar Ayub Bin Mohd Aslam sebagai presiden), Millennium Motorsports & Adventure Club (Hj. Sutan Mustaffa Salihin sebagai presiden), Kelab Sukan Bermotor BRAAAP (Azuan Izadee sebagai presiden) dan Kelab Sukan Bermotor Maju (Ahmad Nadzrie Bin Ahmad Shuhaimi sebagai presiden).

    Semalam MAM telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi mereka yang menyatakan bahawa penganjuran perlumbaan BOTK 2022 tersebut sebenarnya tidak mendapat kelulusan dan dikawal-selia oleh pihaknya, dan menyatakan bahawa fasiliti di Litar Gong Badak hanya selamat digunakan untuk perlumbaan motosikal.

    Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu, Apeh Jamal meninggal dunia setelah Mitsubishi Lancer Evolution IX berkuasa lebih dari 1,000 hp yang dipandunya dalam perlumbaan drag BOTK 2022 itu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok berhampiran litar berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 20-26 Oktober – Tiada perubahan

    Harga minyak 20-26 Oktober – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan untuk minggu bertarikh 20 hingga 26 Oktober 2022, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara masih dikekalkan seperti minggu sebelum ini. Ini bermakna dua minggu berturut-turut tiada perubahan bagi harga runcit bagi petrol dan diesel.

    Di mana harga runcit bagi petrol RON 97 dikekalkan pada harga RM3.95 seliter. Untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bagi diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Harga yang diumumkan ini dilaksanakan mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan, 26 Oktober 2022.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Audi RS3 Performance Edition diperkenal – kuasa 407 PS, 500 Nm, laju maksimum 300 km/j, terhad 300 unit

    Audi RS3 Performance Edition diperkenal – kuasa 407 PS, 500 Nm, laju maksimum 300 km/j, terhad 300 unit

    Satu tahun selepas RS3 yang berada dalam pasaran sekarang diperkenalkan, Audi kini mendedahkan pula RS3 Performance Edition untuk kedua-dua model berbadan hatchback dan sedan. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, versi ini dinaik taraf dengan pelbagai barangan prestasi.

    Enjin petrol lima silinder turbo pada model ini sekarang dapat menghasilkan 407 PS (naik 7 PS berbanding model biasa) pada antara 5,700 hingga 7,000 rpm (naik 100 rpm), manakala tork pula masih sama iaitu 500 Nm pada antara 2,250 hingga 5,700 rpm (naik 100 rpm).

    Peningkatan ini diperoleh melalui tekanan turbo (boost) 0.1 bar lebih tinggi, menjadi 1.6 bar, dan kuasa tersebut disampaikan kepada semua roda melalui transmisi automatik klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan.

    Audi RS3 Performance Edition diperkenal – kuasa 407 PS, 500 Nm, laju maksimum 300 km/j, terhad 300 unit

    Waktu pecutan untuk RS3 Performance Edition ini masih lagi sama, iaitu 3.8 saat, tetapi kelajuan maksimumnya sekarang boleh mencapai 300 km/j, iaitu 10 km/j lebih tinggi berbanding RS3 biasa dengan pakej RS Dynamics.

    Model ini juga datang dengan angkup brek enam piston serta cakera seramik berdiameter 380 mm di hadapan, sementara di belakang menggunakan cakera 310 mm. Secara keseluruhannya, pakej brek ini mencatat berat 10 kg lebih ringan berbanding brek RS3 biasa, dan booster brek juga telah dipertingkat.

    Dalam keadaan asal, RS3 Performance Edition datang dengan rim 19 inci, yang lebih lebar di hadapan, dengan tayar semi slick Pirelli P Zero Trofeo R 265/35 sementara di belakang menggunakan tayar 245/35. Suspensi adaptif juga datang secara standard, dan menurut Audi, tetapan mampatan serta lantunannya telah dilaras kembali untuk menghasilkan pengendalian yang lebih mantap.

    Di bahagian dalam, RS3 Performance Edition diberi dengan tempat duduk bucket yang dibalut microfibre Dinamica serta jahitan benang biru, dan bahagian tepi yang dibalut kulit Nappa. Bahagian belakang tempat duduk ini juga menggunakan gentian karbon, sementara jahitan benang biru turut digunakan pada beberapa bahagian lain seperti stereng, konsol tengah serta perehat tangan.

    Sistem RS Monitor pada model ini dapat memaparkan pelbagai informasi seperti tahap sistem penyejukan, suhu minyak enjin dan transmisi, tekanan G serta tekanan angin tayar. Selain daripada itu, ia juga boleh membantu pemanduan dengan memaparkan catatan masa pusingan dalam litar, serta pecutan 0-100 km/j, 0-200 km/j, 400 meter dan 200 meter.

    Di Eropah, RS3 Performance Edition dijual pada harga bermula 75,000 euro (RM348,781) untuk versi Sportback dan dari 77,000 euro (RM358,017) untuk versi Sedan. Ia ditawarkan dalam warna Nogaro Blue, Arrow Grey dan Daytona Grey, Sebring Black Crystal Effect serta Glacier White Metallic.

     
     
  • Mitsubishi XFC Concept didedah – prebiu SUV segmen-B untuk ASEAN, akan dijual bermula 2023

    Mitsubishi XFC Concept didedah – prebiu SUV segmen-B untuk ASEAN, akan dijual bermula 2023

    Mitsubishi baru sahaja mendedahkan model konsep baharunya yang diberi nama XFC Concept, prebiu untuk SUV kompak yang bakal diproduksi untuk pasaran ASEAN dan akan mula dijual pada tahun hadapan. Model konsep tersebut akan membuat kemunculan sulungnya di Vietnam Motor Show 2022 yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Oktober nanti.

    Menurut Mitsubishi, model konsep ini disifatkan sebagai “rakan yang paling sesuai untuk kehidupan yang mengujakan” dan “ia menawarkan rekaan yang berkuasa dan mengkagumkan untuk sebuah SUV, utiliti seperti kemudahan untuk dikendali dan ruang kargo yang cukup, keselesaan termasuk ruang dalaman paling baik dalam kelasnya, serta pengendalian di atas jalan raya yang selamat walaupun pada permukaan lasak atau jalan yang ditenggelami banjir akibat hujan lebat.”

    Untuk rekaan luaran, ia diberikan muka terbaharu Dynamic Shield, menampilkan lampu hadapan berbentuk-L bersama jalur-jalur lampu nyalaan siang LED di bawahnya yang nampak seperti liang udara – kedua-dua lampu berkenaan digabungkan menjadi bentuk-T. Kesemua ruang roda dibentuk seakan flare, manakala garis badannya direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas.

    Ia juga menerima kemasan pada tiang-C yang memberikan kesan seakan bumbung terapung, manakala di belakang ia diberikan lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka. XFC Concept turut menerima lampu brek pada spoiler bumbung yang unik kerana diletakkan pada posisi menegak, dan sepasang perumah ekzos pada bawah bampar direka dengan bentuk heksagon dan turut dikelilingi jalur LED.

    Mitsubishi XFC Concept didedah – prebiu SUV segmen-B untuk ASEAN, akan dijual bermula 2023

    Bagi rekaan kabin XFC Concept ini pula, ia disasarkan untuk memberikan sudut penglihatan sebelah hadapan. Dapat dilihat ia diberikan dua skrin paparan lebar sebagai paparan instrumen digital dan juga unit infotaimen yang menurut Mitsubishi mampu memberikan informasi seperti sistem navigasi, kondisi permukaan jalan dan lain-lain.

    Mitsubishi turut menyatakan bahawa XFC Concept ini diberikan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, di mana mod Wet adalah pertama kali diperkenalkan untuk Mitsubishi yang dihasilkan khas untuk pemanduan di rantau ASEAN – di mana hujan lebat boleh turun pada bila-bila masa.

    “Kami akan melancarkan SUV kompak baharu secara berturut-turut di pasaran ASEAN termasuk Vietnam pada tahun fiskal 2023, [dan] kami merancang untuk menambah varian elektrik kepada barisan untuk dilancarkan di kawasan luar Asean,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

    Untuk model produksi sebenar yang akan dihasilkan kelak, Mitsubishi masih belum memberikan sebarang bayangan spesifikasi teknikalnya. Namun ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander.

    Mitsubishi XFC Concept didedah – prebiu SUV segmen-B untuk ASEAN, akan dijual bermula 2023

    Model tersebut bakal berhadapan terus dengan SUV segmen-B seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Subaru XV dan sebagainya. Rekaan luaran dan dalaman versi produksi untuk SUV segmen-B ini kelak mungkin akan dipengaruhi oleh XFC Concept ini, seperti Xpander yang menerima banyak rekaan dari XM Concept yang didedahkan di Indonesia pada 2016.

    Bulan lalu Mitsubishi baru sahaja mendedahkan SUV segmen-B ASX generasi baharu di Eropah. Walau bagaimanapun model yang sebenarnya Renault Captur tetapi diberikan logo Mitsubishi berkenaan hanya akan dijual untuk pasaran Eropah. Manakala pasaran lain termasuk Australia masih akan menerima ASX facelift generasi sebelumnya.

    Jadi ada kemungkinan model konsep yang akan didedahkan ini adalah model pengganti ASX yang sudah pun berada lebih 12-tahun dalam pasaran. Ia sudah tentu berbeza dengan ASX generasi baharu pasaran Eropah kerana Mitsubishi mengesahkan bahawa SUV kompak baharu tersebut direka bagi disesuaikan untuk pemanduan di Asia Tenggara sama seperti Triton, Pajero Sport dan Xpander.

     
     
  • Starbucks Malaysia dengan kerjasama Yinson GreenTech sediakan 23 ChargEV di 17 cawangannya

    Starbucks Malaysia dengan kerjasama Yinson GreenTech sediakan 23 ChargEV di 17 cawangannya

    Starbucks Malaysia telah bekerjasama dengan Yinson GreenTech untuk menyediakan kemudahan stesen pengecasan kenderaan elektrik yang dikuasakan oleh ChargEV di cawangan pandu lalu Starbucks. Buat masa ini, ChargEV merupakan rangkaian pengecasan awam terbesar di Malaysia yang mempunyai lebih 400 pengecasan di seluruh negara.

    Pelancaran yang berlangsung di Starbucks Eco Grandeur, Puncak Alam dan setakat ini, terdapat 23 pengecas EV baharu di 17 cawangan Starbucks disediakan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Melaka dan Johor yang telah pun mula beroperasi.

    Kebanyakan 17 cawangan Starbucks terbabit hanya menyediakan pengecas AC, manakala hanya beberapa lokasi terpilih sahaja yang menyediakan pengecas pantas DC 50 kW dan AC 22 kW.

    Starbucks Malaysia dengan kerjasama Yinson GreenTech sediakan 23 ChargEV di 17 cawangannya

    Untuk menggunakan stesen pengecasan ini, pengguna perlu memuat turun aplikasi ChargEV sama ada menerusi Apple App Store atau Google Play Store, dan kadarnya adalah berbeza sama ada anda mempunyai keahlian caj aktif (kadar diskaun) atau tidak.

    Namun, sempena dengan pelancarannya, bermula semalam hingga 31 Oktober ini, pemilik EV boleh mengecas kenderaan mereka di mana-mana cawangan Starbucks terbabit secara percuma. Difahamkan, kadar pengecasan bagi DC dan AC untuk ahli dan bukan-ahli akan diumumkan selepas tempoh pengecasan percuma ini berakhir.

    Selain itu, bermula 1 November ini, pelanggan Starbucks yang telah pun menjadi ahli ChargEV dan mengecas EV mereka di mana-mana cawangan Starbucks berkenaan berpeluang menikmati diskaun sehingga 50% untuk membeli minuman Grande pertama mereka, dengan satu resit tunggal pembelian. Ahli cuma perlu menunjukkan ID keahlian ChargEV mereka menerusi aplikasi dalam talian untuk menebus diskaun berkenaan. Promosi ini sah untuk 12 bulan.

    17 cawangan Starbucks terbabit ialah:

    • Starbucks Kota Kemuning Drive-Thru (pengecas DC)
    • Starbucks Reserve Setia Alam (pengecas DC)
    • Starbucks Ukay Perdana Drive-Thru (pengecas DC)
    • Starbucks Eco Gradeur Drive-Thru (pengecas DC)
    • Starbucks Conezion Putrajaya Drive-Thru
    • Starbucks Rimbayu Drive-Thru
    • Starbucks Jade Hill Drive-Thru
    • Starbucks Reserve Eco Majestic Drive-Thru
    • Starbucks Eco Horizon Drive-Thru
    • Starbucks Icon City Drive-Thru
    • Starbucks Hillside Drive-Thru
    • Starbucks Juru (R&R) Drive-Thru
    • Starbucks Tanjong Tokong Drive-Thru
    • Starbucks Malim Jaya Drive-Thru
    • Starbucks Bandar Seri Alam Drive-Thru
    • Starbucks Seri Austin Drive-Thru
    • Starbucks Skudai (R&R) Drive-Thru
     
     
  • Hyundai Grandeur generasi ketujuh dapat muka seperti Staria, konsep rekaan retro, empat pilihan enjin

    Hyundai Grandeur generasi ketujuh dapat muka seperti Staria, konsep rekaan retro, empat pilihan enjin

    Hyundai telah mendedahkan siri gambar awal untuk Grandeur serba baru, yang merupakan sedan perdana jenama itu, dan juga dikenali sebagai Azera di pasaran luar daripada Korea Selatan. Model generasi ketujuh ini muncul hampir enam tahun selepas model generasi keenam diperkenalkan kali pertama pada tahun 2016.

    Muka hadapan sedan ini berubah sepenuhnya, dengan sekarang mempunyai jalur LED panjang dari kiri ke kanan, serta gril Parametric Jewel yang turut menempatkan lampu utama LED berbentuk petak di bucunya. Rupa ini mirip seperti MPV Staria.

    Bahagian tepi kereta ini juga nampak licin dan kemas kerana pemegang pintunya menggunakan jenis yang boleh tenggelam sama seperti permukaan. Sama seperti hadapan, bahagian belakang juga mempunyai jalur LED panjang dari kiri ke kanan kereta dan melengkapkan penampilannya adalah rim 20 inci.

    Grandeur baru ini juga ada menerapkan inspirasi rekaan dari model generasi pertama, dan ia boleh dilihat melalui bentuk stereng serta kombinasi warna coklat yang digunakan. Kelengkapan lain yang disediakan pula tetap moden, termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen di tengah, bersambung dengan skrin panel instrumen di sebalik stereng, serta satu lagi skrin di konsol tengah untuk kawalan pendingin hawa.

    Sebagai sedan yang terletak tinggi dalam barisan produk Hyundai, Grandeur disiapkan dengan barangan premium di bahagian kabin, termasuk kemasan kayu asli dan aluminium, balutan kulit Nappa serta kulit yang melalui proses anti bakteria. Terdapat juga lampu suasana serta butang kawalan fungsi utama pada perehat tangan belakang.

    Menurut Korean Car Blog, Grandeur dijangka ditawarkan dengan empat pilihan enjin, termasuk petrol hibrid empat silinder 1.6 liter turbo, 2.5 liter NA empat silinder GDi, dan dua enjin V6 3.5 liter (petrol atau gas petroleum).

     
     
  • Bentley Flying Spur Hybrid kini di Malaysia — 2.9L V6, 544 PS/750 Nm, jarak 800 km PHEV; dari RM2.3 juta

    Bentley Flying Spur Hybrid kini di Malaysia — 2.9L V6, 544 PS/750 Nm, jarak 800 km PHEV; dari RM2.3 juta

    Bentley Flying Spur Hybrid kini tiba di Malaysia, dan ini merupakan penawaran model plug-in hybrid buat pertama kalinya jenama itu. Diumumkan pada Julai 2021, model ini menyertai SUV Bentayga Hybrid yang hadir dilengkapi dengan motor elektrik.

    Motor elektrik berkenaan terletak di antara transmisi dan enjin, dan membekalkan sebanyak 136 PS dan 400 Nm tork, dan ia dikuasakan oleh bateri lithium ion 18 kWh. Dengan motor elektrik yang sarat janaan tork, ini membolehkan enjin dalam kapasiti lebih kecil digunakan.

    Kereta ini memanfaatkan enjin 2.9 liter V6 dengan janaan 416 PS dan 550 Nm tork. Seperti juga model V8, dua pengecas turbonya serta catalytic convertor utama ditempatkan di dalam enjin V berkenaan. Penyuntik bahan api dan palam pencucuh telah diletakkan di kedudukan tengah dalam setiap kebuk pembakaran untuk mendapatkan corak semburan yang optimal. Janaan kuasa keseluruhan limosin ini adalah 544 PS dan 750 Nm.

    Bentley Flying Spur Hybrid kini di Malaysia — 2.9L V6, 544 PS/750 Nm, jarak 800 km PHEV; dari RM2.3 juta

    Ini memberikan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat, hanya 0.2 saat lebih lambat berbanding Flying Spur V8. Laju maksimumnya adalah 285 km/j, dan mampu bergerak sejauh 805 km dengan kemampuan untuk pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 40 km mengikut kitaran WLTP.

    Sebuah butang khusus membolehkan pemandu untuk memilih antara tiga E Mode untuk pemanduan — EV Drive, Hybrid Mode dan Hold Mode. EV Drive akan digunakan sebaik sahaja kereta ini dihidupkan. Dengan tumpuan lebih kepada pengalaman pemanduan elektrik, mod berkenaan sesuai untuk pemanduan dalam bandar dan perjalanan singkat.

    Mod Hybrid pula memaksimumkan kecekapan dan jarak menggunakan data daripada sistem tunjuk arah. Dalam mod ini, kereta akan menggunakan anggaran E-Mode dan enjin melayar dan dalam masa sama mengikut arah dari navigasi. Masukkan tujuan dan kereta akan memilih mod pemanduan yang bersesuaian bagi setiap bahagian perlajanan itu, mengira penggunaan bateri dan pengecasan yang lebih cekap serta menyimpan tenaga elektrik untuk bahagian perjalanan yang lebih memerlukan, misalnya ketika di dalam bandar.

    Bentley Flying Spur Hybrid kini di Malaysia — 2.9L V6, 544 PS/750 Nm, jarak 800 km PHEV; dari RM2.3 juta

    Hold Mode pula mengimbangkan kuasa enjin dan elektrik untuk menyediakan voltage tinggi bagi pengecasan bateri untuk kegunaan kemudian, sekaligus menjimatkan tenaga elektrik. Ini menjadi mod tetap sekiranya pemandu memilih Sport untuk memberikan lebih lonjakan.

    Di luar, versi hibrid ini kelihatan sama sahaja dengan Flying Spur lainnya. Hanya ada tanda kecil yang membezakan, seperti lencana Hybrid di fender depan dan bukaan slot pengecas di fender kiri belakang.

    Limosin mewah Bentley Flying Spur Hybrid ini dijual dari harga RM945,000. Ini tidak termasuk duti, cukai dan pendaftaran. Dengan semua kos berkenaan, ia mungkin berada dari RM2.3 juta. Harga akhirnya mungkin juga berbeza jika pelanggan memilih untuk mendapatkan spesifikasi peribadi — pilihan tingkat kemasan berbeza, Mulliner Driving Specification, kemasan Blackline dan pilihan Mulliner lainnya.

    Audio pula kereta ini menggunakan sistem standard 650W dengan 10-pembesar suara, dengan pilihan lebih tinggi dari Bang & Olufsen (1,500W, 16 pembesar suara) dan yang paling atas, dari Naim dengan 2,200W 19-pembesar suara.

    Bentley Kuala Lumpur kini mula mengambil tempahan untuk model berkenaan, dan memaklumkan bahawa dengan kehadiran versi hibrid ini menandakan bahawa prasarana pengecasan untuk pasaran Malaysia kini semakin matang.

     
     
  • VIDEO: Toyota Veloz 2022 di Malaysia — RM95k

    VIDEO: Toyota Veloz 2022 di Malaysia — RM95k

    Semalam telah diperkenalkan secara rasmi Toyota Veloz 2022 untuk pasaran tempatan. Cuma ada satu varian yang ditawarkan, dengan harga RM95k. Seperti diketahui ramai, ini adalah model saudara kembar kepada Perodua Alza 2022 yang juga baru diperkenalkan di sini Julai lalu. Jadi, apa yang membezakan kedua model ini?

    Pertama adalah harganya: Toyota Veloz lebih mahal sekitar RM20k berbanding Alza AV yang paling lengkap. Sekali pandang, memang tidak terlalu ketara perbezaan dua model ini. Ia berkongsi reka bentuk umum yang sama, begitu juga dengan platform DNGA serta enjin dan transmisi yang sama, iaitu D-CVT.

    Tetapi, jika diperhalusi, terdapat banyak kelainan antara Veloz dan Alza sebenarnya. Dari wajah depannya misalnya, Veloz hadir dengan rekaan hud yang lain. Lampu utama pula lebih tirus dengan adanya jalur position light/lampu isyarat di dalamnya, serta tulisan Veloz di bahagian tepi lampu — ini sentuhan-sentuhan rinci yang menjadikan Veloz lain berbanding Alza yang sudah kita lihat sebelum ini. Ada juga DRL LED yang terletak di sudut bamparnya. Ini ciri yang khusus untuk Veloz pasaran Malaysia.

    Bahagian belakang juga lain, Veloz tampil dengan jalur lampu LED melintang penuh, membuatkannya nampak lagi lebar. Tulisan nama Veloz juga besar di tengah dan mudah dilihat. Veloz juga boleh dipilih dalam versi dua tona warna: warna badan dan bumbung hitam, dan pilihan ini akan memerlukan pelanggan menambah kos sebanyak RM1,300. Di bumbungnya, landasan yang kelihatan itu bukan hiasan semata-mata: ia boleh digunakan dan mampu tanggung beban sehingga 75 kg.

    Seperkara lagi, Veloz dan Alza berbeza ketinggian dari tanah — Veloz ada kelebihan 30 mm ketinggian dengan 190 mm jarak dari tanah, sementara Alza berada di kedudukan lebih rendah dengan 160 mm. Ruang dalaman juga ada melibatkan banyak perbezaan. Semua ini kami soroti dalam video yang disediakan ini. Selamat menonton, dan kalau ada sebarang pertanyaan, boleh tinggalkan komen.

     
     
  • Terowong Genting Sempah arah KL ditutup 11 malam ini hingga 4 pagi pada 20 Okt untuk latihan kecemasan

    Terowong Genting Sempah arah KL ditutup 11 malam ini hingga 4 pagi pada 20 Okt untuk latihan kecemasan

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Leburaya Pantai Timur (LPT1) telah memaklumkan Terowong Genting Sempah arah Kuala Lumpur akan ditutup sementara mulai 11 malam ini (19 Oktober 2022) hingga 4 pagi esok (20 Oktober). Penutupan terowong terbabit adalah bagi kelancaran latihan simulasi bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    Walau bagaimana pun, sepanjang penutupan terowong terbabit, laluan kontra akan diaktifkan sebagai kelancaran perjalanan para pengguna lebuhraya terbabit dari arah Pantai Timur menuju ke Kuala Lumpur.

    “Sila rancang perjalanan bagi memastikan keselesaan semua. Kerjasama anda amatlah kami hargai,” kata ANIH Berhad menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025