Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kastam sita barisan kenderaan paling menarik? Ford GT40, Mustang klasik, VW Kombi, Mazda RX-7

    Kastam sita barisan kenderaan paling menarik? Ford GT40, Mustang klasik, VW Kombi, Mazda RX-7

    Sitaan kenderaan oleh Kastam DiRaja Malaysia memang bukan perkara baru. Tetapi, dalam perkembangan terbaru seperti dilaporkan oleh Bernama ini, kelihatan barisan kenderaan yang unik dan bersejarah berada dalam senarai berkenaan.

    Daripada tiga gambar yang ada ini, kita boleh lihat sebuah Ford GT40, sebuah Ford Mustang klasik generasi pertama, sebuah Volkswagen Kombi dan sebuah Mazda RX-7 FD. Turut kelihatan adalah dua buah motosikal kembara — sebuah Honda CRF1100L Africa Twin dan sebuah KTM 1290 Adventure.

    Menurut Kastam, pihaknya menyita 41 buah kereta dan motosikal berkuasa besar bernilai lebih RM11 juta, yang dibawa masuk ke Malaysia tanpa dokumen import yang sah. Selain kenderaan yang dinyatakan itu, terdapat beberapa lagi model lain yang turut ditahan, seperti Ford Mustang moden, sebuah Mini Clubman dan SUV/MPV kegemaran ramai dari Toyota — Harrier dan Vellfire.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata semua kenderaan itu disita berikutan sebuah operasi khas yang dijalankan, Ops Bearing, yang bermula pada 15 Ogos untuk mengesan kenderaan yang di bawa masuk tanpa dokumen yang sah. Semua kenderaan itu tiba di Pelabuhan Klang dari Jepun, US dan UK.

    “Berdasarkan siasatan kami, sebahagian daripada kenderaan ini dibawa masuk oleh pelajar. Mereka mungkin tidak mengetahui bahawa mereka memerlukan permit kelulusan (AP) sebelum membawa masuk kenderaan,” ujarnya, seperti dilaporkan The Star.

    Jabatan itu telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 135 di bawah Akta Kastam bagi percubaan mengimport barangant terlarang. Duti tidak berbayar bagi semua kenderaan terbabit adalah sekurang-kurangnya RM7.12 juta.

     
     
  • Oyika bakal sedia khidmat tukar bateri motosikal EV di Malaysia? Bayar ikut guna, mingguan atau bulanan

    Oyika bakal sedia khidmat tukar bateri motosikal EV di Malaysia? Bayar ikut guna, mingguan atau bulanan

    Satu syarikat baru dari Singapura, iaitu Oyika, dilihat mempunyai hasrat untuk menyediakan khidmat penukaran bateri motosikal elektrik di Malaysia. Satu muat naik di laman sosial telah dilihat, menunjukkan gambar dua skuter elektrik di hadapan pengecas Oyika, dan bersamanya terdapat ayat “teknologi penukaran bateri pertama sedang dipersiap di Malaysia.”

    Di dalam laman web rasmi Oyika, syarikat Singapura itu meletakkan mereka sebagai satu syarikat perkhidmatan dan teknologi penukaran bateri, dengan menawarkan khidmat Battery-as-a-Service (BaaS) kepada pengguna, sama seperti Gogoro di Taiwan.

    Model perniagaan yang akan digunakan di Malaysia masih belum diketahui, tetapi di pasaran Kemboja dan Indonesia, Oyika antaranya menawarkan tiga cara penggunaan termasuk bayar setiap kali guna (RM0.22 sen seminit), bayaran mingguan (RM18 seminggu) ataupun bayaran bulanan (RM323 sebulan).

    Untuk pengecasan AC, Oyika meletakkan beberapa jumlah kuasa dalam senarai, dari 7.0 kW ke 84 kW, bersama kemampuan untuk menggunakan soket three-phase dan dual charging. Untuk jenis penyambung pula, terdapat tiga pilihan dalam senarai iaitu AC Type 1, Type 2 and GB/T.

    Pergi pula kepada pengecas DS, stesen pengecas Oyika mempunyai julat kapasiti dari 30 kW ke 1,280 kW, dan boleh digunakan dengan penyambung CCS 1, CCS 2, CHAdeMO dan GB/T. Pengecas Oyika juga boleh menerima pembayaran melalui NFC serta kad kredit dan debit, sekaligus menjadikan ia sesuai untuk diletakkan di kawasan awam.

     
     
  • Reka bentuk jajaran jalan menghubungkan kompleks imigresen Malaysia dan Thai dijangka siap Nov ini

    Reka bentuk jajaran jalan menghubungkan kompleks imigresen Malaysia dan Thai dijangka siap Nov ini

    Menurut laporan Bernama, reka bentuk awal jajaran jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dijangka siap pada November ini.

    Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan kerja-kerja awalan di tapak yang merangkami kerja ukur, kerja penyiasatan tapak dan kajian trafik.

    “Mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Malaysia-Thailand yang seterusnya dijangka diadakan pada Disember bagi pengesahan reka bentuk pada titik sempadan kedua-dua buah negara,” katanya.

    Jajaran jalan yang menghubungkan kedua-dua kompleks berkenaan merupakan salah satu daripada beberapa projek infrastruktur di sempadan Malaysia-Thailand yang dipersetujui oleh Perdana Menteri kedua-dua negara untuk mempercepatkan rundingan bagi pelaksanaannya.

    Reka bentuk jajaran jalan menghubungkan kompleks imigresen Malaysia dan Thai dijangka siap Nov ini

    Pembangunan infrastruktur di sempadan Malaysia-Thailand dilihat dapat merancakkan perdagangan memandangkan hampir 50 peratus perdagangan dua hala Malaysia-Thailand tertumpu di kawasan sempadan. Malaysia dan Thailand menyasar perdagangan dua hala sebanyak AS$ 30 bilion (RM132 billion) menjelang 2025.

    Fadillah turut berkata, bagi Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok yang diluluskan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Pengurusan Nilai (VA) bagi projek itu telah dilaksanakan dari 18 hingga 22 Julai di Kota Bharu, Kelantan.

    “Mesyuarat Tenikal Bersama Malaysia-Thailand bagi projek ini telah diadakan sebanyak dua kali iaitu pada 13 Disember tahun lepas dan 26 Mei tahun ini secara atas talian untuk berbincang mengenai reka bentuk jambatan yang disediakan oleh Malaysia. Setelah dua kali bermesyuarat, pihak Thailand memaklumkan mereka bersetuju dengan rekabentuk konsep jambatan yang disediakan oleh Malaysia,” jelasnya.

    Sementara itu, Fadillah berkata, cadangan pembinaan Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai akan dikemukakan kepada kabinet bagi mendapatkan halatuju memandangkan pihak Thailand telah mengemukakan reka bentuk bagi projek itu kepada Malaysia pada tahun 2016.

     
     
  • DRB-Hicom menerusi EON bekerjasama dengan Petromin Arab Saudi urus bisnes servis kenderaan

    DRB-Hicom menerusi EON bekerjasama dengan Petromin Arab Saudi urus bisnes servis kenderaan

    DRB-HICOM Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) akan meluaskan kehadirannya dalam pasaran perkhidmatan selepas jualan melalui usaha sama dengan jenama servis pantas kelima terbesar di dunia, Petromin Express, anak syarikat Petromin Corporation (Petromin). Menerusi kerjasama terbabit, Petromin bakal memegang saham sebanyak 51%.

    Usahasama ini bertujuan untuk mengabungkan keupayaan dan penglibatan EON dan DRB-HICOM dalam rantaian nilai automotif dengan kepakaran operasi dan rekod prestasi Petromin dalam model francais selepas jualan pantas bagi merebut peluang segmen selepas jualan yang pesat berkembang sejajar dengan objektif strategik kedua-dua pihak.

    Perkhidmatan ini akan ditawarkan untuk semua kenderaan, namun syarikat menyasarkan kenderaan selepas waranti yang berusian antara lima dan 10 tahun, serta kenderaan di bawah waranti yang biasanya diservis oleh OEM. Kerjasama ini juga menyasarkan untuk mempunyai sebahagian daripada pasaran selepas jualan automotif yang besar dan berkembang di Malaysia, yang telah menjana pendapatan kira-kira RM42 bilion pada tahun 2021.

    Selain itu, kerjasama ini turut mensasarkan operasi perintis bermula pada Januari 2023, dengan empat cawangan dalam tempoh 18 bulan projek perintis dilaksanakan. Berpandukan kepada model cawangan Petromin Ekspres, yang sangat berjaya di Arab Saudi, syarikat usaha sama ini akan menawarkan pengalaman unik perkhidmatan selepas jualan pantas dengan masa membaik pulih yang cepat.

    DRB-Hicom menerusi EON bekerjasama dengan Petromin Arab Saudi urus bisnes servis kenderaan

    Cawangan Petromin Express di Jeddah, Arab Saudi

    “Kerjasama Petromin dengan DRB-HICOM akan membolehkan ia memasuki pasaran perkhidmatan selepas jualan Malaysia yang menguntungkan hasil dari kerjasama dengan jenama korporat yang terkenal dan dipercayai dalam sektor automotif.”

    “Pengetahuan dan pengalaman mereka yang luas ditambah pula dengan data pasaran dan jangkauan pelanggan yang luas DRB-HICOM akan mewujudkan sinergi ideal yang mendorong perkongsian ini ke tahap yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, kami sangat teruja untuk menawarkan perkhidmatan baharu, berpatutan dan mudah kepada rakyat Malaysia,” kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

    CEO Kumpulan Petromin, Kalyana Sivagnanam pula berkata, “Petromin secara aktif berusaha untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin industri yang mempunyai visi yang sama di seluruh dunia dan menjadi rakan niaga DRB-HICOM adalah penting dalam menjalin kepakaran, rangkaian, produk dan perkhidmatan ke pasaran tempatan. Oleh itu, kebarangkalian untuk berjaya adalah besar.”

    DRB-Hicom menerusi EON bekerjasama dengan Petromin Arab Saudi urus bisnes servis kenderaan

    Beliau menambah bahawa pengalaman mereka dalam pasaran sedia ada akan memberi manfaat kepada kedua pihak.

    “Selepas berdekad-dekad mengubah landskap penyelesaian mobiliti di rantau Timur Tengah & Afrika Utara (MENA), Petromin berharap dapat membantu mengubah, merintis pengalaman perkhidmatan selepas jualan untuk pelanggan di Malaysia dan di seluruh dunia. Kami optimis bahawa hubungan ini akan menghasilkan impak yang ketara kepada pasaran dalam menghadapi trend teknologi, ekonomi dan masyarakat yang berubah-ubah.”

    Perkongsian dengan Petromin memberikan peluang yang sangat cerah untuk DRB-HICOM memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan yang luas dari Petromin Arab Saudi. Jenama pelincir Petromin mengawal pasaran Saudi dengan 40% syer, dan mengeksport ke lebih 35 negara di teluk, timur tengah, Afrika dan juga Asia. Petromin juga mengendalikan stesen minyak di bawah jenama yang sama dan mengedarkan kenderaan Nissan di kerajaan itu.

     
     
  • Litar MT3 kendalian MIROS di Sepang siap hujung 2022; untuk ujian sistem keselamatan kenderaan

    Litar MT3 kendalian MIROS di Sepang siap hujung 2022; untuk ujian sistem keselamatan kenderaan

    Kementerian Pengangkutan menerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bakal membangunkan Litar Ujian Berteknologi MIROS (MT3) yang terletak di Sepang, dijadualkan siap pada penghujung tahun ini.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, MT3 ini bakal menjadi perintis kepada pelbagai ujian sistem keselamatan kenderaan di negara ini serta rantau Asia Tenggara.

    “Saya berharap agar pembangunan litar sepanjang satu kilometer ini dapat menarik pihak swasta dan agensi-agensi yang lain untuk bekerjasama dengan MIROS bagi memastikan kenderaan yang dihasilkan dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan agar kenderaan yang berada di pasaran adalah kenderaan yang bertaraf lima bintang dan selamat untuk digunakan.

    “Selain itu, dengan adanya MT3 ini, agensi-agensi yang berkaitan terutamanya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dapat melaksanakan pengujian kepada kenderaan bagi proses kajian, penyelidikan dan juga bagi tujuan penilaian. Contohnya, bagi Proses Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dan penilaian kenderaan yang mengikut Standard Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Regulations) di peringkat antarabangsa,” katanya dalam majlis pecah tanah bagi projek MT3 ini yang berlangsung pagi tadi.

    Bukan itu saja, jelas beliau lagi, dengan adanya MT3 ini, ia diharap dapat menyumbang dan mempromosikan pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan negara anggota ASEAN, termasuk dalam pengurusan data, pembangunan piawaian, pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya, laporan Berita Harian.

    “Selain itu, makmal MT3 yang diwujudkan di sini juga berpotensi menjadi pemangkin ke arah pencapaian yang lebih cemerlang, disokong oleh program sedia ada seperti Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN (NCAP) dan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP),” katanya lagi,

    Pembinaan MT3 selari dengan usaha kerajaan di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030, melalui bidang keutamaan yang memfokuskan kepada penggunaan kenderaan lebih selamat merangkumi isu kebolehjalanan membabitkan kenderaan sedia ada dan persediaan ke arah penggunaan kenderaan generasi baharu.

    Litar MT3 dibahagikan kepada empat kumpulan seperti ujian berkaitan bantuan keselamatan kepada kawalan kestabilan elektronik (ESC), penjejakan titik buta (BSD), brek kecemasan autonomi (AEB) dan sistem brek antikunci (ABS).

     
     
  • Trak kontena langgar Proton Exora di LPT, 4 terkorban

    Trak kontena langgar Proton Exora di LPT, 4 terkorban

    Lagi berita yang menyayat hati: empat orang terkorban selepas sebuah trak muatan kontena merempuh sebuah Proton Exora rosak yang sedang dipersiapkan untuk ditunda di KM 135.7 Lebuhraya Pantai Timur arah Kuantan.

    Kejadian yang berlaku pada Sabtu itu menyaksikan Exora berkenaan terhumban ke dalam gaung dengan kedalaman 13 meter tepi laluan berkenaan akibat rempuhan berkenaan. Sebuah Proton Waja, yang berhenti di tempat kejadian, turut mengalami kerosakan akibat perlanggaran itu. Dua warga emas dan seorang remaja lelaki dalam MPV berkenaan, serta seorang petugas LPT yang mengendalikan trak tunda mati di tempat kejadian, lapor Berita Harian.

    Pegawai media Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Zulfadli Zakaria berkata, lapan orang lagi di dalam Exora ketika itu mengalami cedera parah dalam kemalangan berkenaan. Selain itu, seorang lagi individu dari lori tunda serta empat individu lain dalam Waja berkenaan turut cedera. Sementara itu, pemandu lori kontena itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Tidak diketahui apa yang menyebabkan pemandu lori kontena terbabit merempuh tiga kenderaan lain itu. Awal bulan ini, 11 kenderaan rosak apabila dilanggar oleh lori trailer yang merempuh lalu lintas di perismpangan lampu isyarat di Shah Alam.

    Dalam kes terbaru ini, adakah ia disebabkan oleh kesilapan pemandu, atau kerosakan pada kenderaan terbabit? Apa pun puncanya, empat nyawa telah terkorban dan ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Berapa banyak lagi kehilangan nyawa yang perlu kita hadapi sebelum situasi seperti ini tidak berulang?

    Peraturan yang mengawal selia kenderaan komersial, melibatkan pemeriksaan wajib, penyelenggaraan dan penguatkuasaan semuanya ada, tetapi mengapa kejadian seperti ini masih berlaku? Apa yang anda rasa perlu dilakukan oleh kita semua untuk menghindari kejadian seperti ini?

     
     
  • VIDEO: Fujiwara Bunta muncul dalam iklan Toyota GR86, sekali lagi tewaskan Takumi dan AE86

    VIDEO: Fujiwara Bunta muncul dalam iklan Toyota GR86, sekali lagi tewaskan Takumi dan AE86

    Watak mana yang paling laju dalam anime popular Jepun, Initial D? Ketua pasukan Project D dan Akagi Redsun Takahashi Ryosuke? Atau hero anime tersebut sendiri iaitu Fujiwara Takumi? Yang mengikuti anime ini tentu tahu bahawa Takumi telah berjaya mengalahkan semua lawannya, kecuali seorang; guru dan juga ayahnya sendiri iaitu Fujiwara Bunta.

    Babak Takumi dikalahkan oleh Bunta dipaparkan dalam anime berkenaan pada musim keempat (Fourth Stage) episod ketujuh, manakala dalam manga (komik) pula muncul pada jilid ke-22 bab 258 hingga bab 260. Dalam babak berkenaan, Bunta secara senyap mahu membeli kereta baru iaitu Subaru Impreza WRC GC8 STI Version V Type R dan mengejar Takumi dari belakang untuk menilai kereta tersebut, ketika anaknya menuruni Bukit Akina selepas selesai rutin menghantar tauhu di atas bukit berkenaan setiap pagi.

    Takumi yang memandu AE86 dengan enjin 4A-GE 20V 240 PS berkenaan tidak berjaya menjarakkan diri dari WRX GC8 misteri yang mengejarnya itu. Malah semua teknik yang digunakan termasuk “gutter run” juga dapat ditiru dengan sempurna, dan akhirnya dia dipotong oleh jentera rali jalan raya dengan enjin boxer 2.0 liter turbo bersama sistem AWD tersebut. Namun dia hanya mengetahui dia dikalahkan oleh ayahnya sendiri hanya beberapa hari selepas itu selepas Bunta membawa balik dan menunjukkan Impreza berkenaan serta menyuruhnya memandu kereta tersebut berselang-seli dengan AE86 setiap pagi sebagai satu rejim latihan baru.

    Dengan mengambil inspirasi babak tersebut, Toyota telah menghasilkan iklan baharu untuk model generasi terkini GR86. Video tersebut memaparkan Takumi yang masih memandu Toyota AE86 menuruni Bukit Akina terserempak dengan lawannya yang terakhir dan paling sukar untuk dikalahkan dalam siri anime berkenaan iaitu Shinji Inui.

    Kali ini Shinji tidak memandu AE86 Coupe, sebaliknya menggunakan Toyota 86 ZN6. Kedua-duanya selepas itu terus berlumba dan Takumi berjaya memintas Shinji dengan teknik yang pernah digunakan sebelum ini iaitu menutup semua lampu bagi mengaburi mata pihak lawan bagi mengelakkan sebarang pergerakan defensif.

    Namun sebaik sahaja Shinji Inui dipintas, sebuah model terbaharu Toyota GR86 muncul dari belakang mengejar Takumi. Bermula dari sini, jalan ceritanya hampir sama dengan babak sebenar Bunta menewaskan Takumi dengan Subaru Impreza dalam siri anime/manga berkenaan.

    Apa yang menghairankan, video ini tidak disiarkan menerusi laman media sosial rasmi Toyota atau Toyota Gazoo Racing. Namun menerusi laporan dari portal berita UDN dari Taiwan, video iklan ini sebenarnya dihasilkan untuk pasaran China dan disiarkan di laman web rasmi Toyota untuk negara berkenaan dalam masa yang singkat.

    Ini bukan pertama kali Toyota menggunakan Initial D sebagai untuk mempromosikan GR86. Sebelum ini Toyota USA ada menghasilkan siri video GR86 FasterClass yang memaparkan aksi Takumi bersama “Drift King” Keiichi Tsuchiya dalam bentuk anime. Keiichi Tsuchiya juga sebenarnya merupakan penasihat teknikal untuk kesemua episod Initial D, dan pernah muncul dalam musim pertama anime berkenaan sebagai sahabat kepada Fujiwara Bunta.

    GALERI: Toyota GR86

     
     
  • MBJB tubuhkan kawalan Warden Lalu Lintas untuk kelancaran trafik di JB – miliki 145 warden trafik

    MBJB tubuhkan kawalan Warden Lalu Lintas untuk kelancaran trafik di JB – miliki 145 warden trafik

    Demi mastikan aliran trafik di bandar raya Johor Bahru (JB) lancar, Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB) mengambil inisiatif untuk menubuhkan pasukan kawalan Warden Lalu Lintas.

    Menurut Datuk Bandar Mohd Noorazam Osman, seramai 145 pegawai dan anggota dilantik sebagai warden trafik itu di bawah Subseksyen 3 (4B) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dengan nama mereka diwartakan pada 23 Disember 2021.

    “Pelantikan warden trafik ini merupakan inisiatif baharu sebagai nilai tambah dalam memastikan aliran lalu lintas bandar raya Johor Bahru berada dalam keadaan lancar dan terkawal. Antara aspek dan elemen yang dititikberatkan kepada warden trafik semasa menjalankan tugasan ialah penggunaan teknologi secara menyeluruh iaitu ‘Smart Warden Traffic’,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambah beliau, kesemua warden trafik itu menjalani Kursus Asas Trafik Warden Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor pada 15 sehingga 17 Ogos lalu, selain latihan di lapangan.

    Katanya, mereka akan membantu polis mengawal aliran trafik bermula 7 pagi hingga 10 malam, dengan masing-masing dibekal kamera badan bagi merekod kesalahan pengguna jalan raya dan sebagai bukti sekiranya terdapat provokasi dan ancaman keselamatan.

    “Warden Lalu Lintas ini turut dibekalkan kamera badan bagi merekod kesalahan pengguna jalan raya, selain menjadi bukti jika terdapat provokasi dan ancaman keselamatan.

    “Selain itu, peranti ‘handheld’ bagi pengeluaran kompaun juga diintegrasikan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengesahkan maklumat berkaitan pemilik kenderaan di lapangan dengan dilengkapi sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) bagi memperkasa tugas Warden Lalu Lintas MBJB,” katanya.

     
     
  • Haval akan henti jual model enjin biasa menjelang 2030, NEV akan sumbang 80% jualan pada 2025

    Haval akan henti jual model enjin biasa menjelang 2030, NEV akan sumbang 80% jualan pada 2025

    Jenama pengeluar kenderaan dari China, Haval akan berhenti menjual kenderaan yang dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman biasa bermula tahun 2030, menurut syarikat induknya, Great Wall. Ini susulan daripada sebuah lagi pengeluar China, BYD telah berhenti mengeluarkan kenderaan enjin biasa berkenaan pada separuh pertama tahun ini dan memberi tumpuan kepada elektrikfikasi.

    Dan, dengan strategi berkenaan, kenderaan tenaga baru (NEV) akan melibatkan 80% jualan kenderaan Haval menjelang 2025. Perkara ini diumumkan oleh pengurus jenama Haval, Li Xiaorui ketika persidangan strategi tenaga baru jenama itu di Beijing.

    Bagi perancangan yang lebih luas kumpulan pengeluar itu pula, Great Wall sedang mempercepatkan peralihannya untuk menjadi syarikat teknologi mobiliti global, seperti yang dilaporkan oleh Gasgoo. Great Wall Motor telah melaburkan 10 bilion yuan (RM6.5 bilion) untuk R&D pada 2021, dengan pelaburan terkumpul yang mencecah 100 bilion yuan (RM65 bilion) menjelang 2025, menurut laporan itu.

    Haval akan henti jual model enjin biasa menjelang 2030, NEV akan sumbang 80% jualan pada 2025

    Great Wall Motors kembali ke pasaran Malaysia bulan lalu, dengan Haval H6 dijangka dijual di pasaran tempatan tahun ini. SUV berkenaan dijual di Thailand sebagai model plug-in hybrid, menampilkan enjin 1.5 liter turbocas, dengan output sistem berkenaan sebanyak 326 hp dan 530 Nm tork.

    Turut dirancang jualannya di Malaysia adalah Ora Good Cat dan Haval Jolion, yang direncanakan masuk pasaran di sini pada suku keempat tahun ini.

    Ora Good Cat EV dengan pemanduan sebelah kanan pertama kali dilihat di Vision Motorsport pada Mei tahun ini, diikuti kemunculan beberapa unit di ibupejabat Go Auto di Glenmarie, Shah Alam. Bagi Haval Jolion pula, SUV segmen C itu mungkin akan tiba di sini dalam penawaran enjin pembakaran dalaman biasa terlebih dahulu, dengan unit 1.5 liter turbocas petrol, digandingkan bersama transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.

     
     
  • Indonesia mungkin bakal naikkan harga bahan api hingga 30%, subsidi sedia ada dikurangkan

    Indonesia mungkin bakal naikkan harga bahan api hingga 30%, subsidi sedia ada dikurangkan

    Malaysia bukanlah satu-satunya negara di rantau ini yang sering kali berhadapan dengan dilema dalam menentukan subsidi bahan api. Indonesia juga berhadapan dengan perkara yang sama. Negara tersebut telah pun menetapkan peruntukan sebanyak tiga kali ganda berbanding peruntukan subsidi tenaga 2022 asal, kepada 502 trilion rupiah (RM151.4 bilion) berikutan peningkatan harga bahan api dan juga nilai rupiah yang kian susut. Baru-baru ini, Reuters melaporkan, Indonesia sedang mengkaji untuk menaikkan harga bahan api bersubsidi dalam usaha untuk mengurangkan tekanan fiskal.

    Rancangan tersebut dikemukakan dalam mesyuarat parlimen secara tertutup dengan syarikat minyak dan gas negara Pertamina, pada minggu lalu, menurut Eddy Soeparno, ahli Parti Amanat Nasional dan Timbalan Ketua Jawatankuasa Tenaga Parlimen.

    Menurut beliau, terdapat beberapa pilihan. Yang menjadi pilihan Pertamina ialah menaikkan harga petrol RON 90 daripada 7,650 rupiah (RM2.31) seliter kepada 10,000 rupiah (RM3.02) seliter, petrol RON 92 daripada 12,500 rupiah (RM3.77) kepada 16,000 rupiah ( RM4.83) seliter, daripada 5,150 rupiah (RM1.55) kepada 7,200 rupiah (RM2.17) seliter.

    Beliau berkata pilihan lain yang dipertimbangkan untuk kenaikan harga termasuk menetapkan petrol RON 90, yang merupakan bahan api paling banyak digunakan di negara ini, pada 9,500 rupiah (RM2.87) seliter, dengan bahan api lain juga ditetapkan di bawah harga pilihan Pertamina.

    Indonesia mungkin bakal naikkan harga bahan api hingga 30%, subsidi sedia ada dikurangkan

    Tambahnya, Pertamina turut menyokong memperkenalkan beberapa sekatan jualan seperti melarang kenderaan berkapasiti enjin lebih besar daripada membeli bahan api bersubsidi. “Kami melihat perkara ini (menaikkan harga dan menyekat jualan) lebih mempunyai kesan paling tidak memudaratkan rakyat,” katanya.

    Di mana kerajaan Indonesia mempunyai banyak wang yang diperlukan untuk subsidi tahun ini sekiranya harga bahan api tidak dinaikkan, malah beberapa bentuk semakan juga dijangka akan dilakukan. Laporan itu turut menambah, Ketua Menteri Ekonomi Negara, Airlangga Hartarto bakal membentangkan semua pilihan dasar kepada Presiden Joko Widodo.

    Sugeng Suparwoto, Pengerusi Jawatankuasa Tenaga Parlimen, mengesahkan butiran daripada mesyuarat Pertamina kepada agensi berita itu. “Kami berusaha untuk mengekalkan inflasi pada 7% sehingga akhir tahun,” katanya, sambil menambah bahawa pemberian tunai akan disediakan untuk mengurangkan kesan sebarang kenaikan harga bahan api ke atas kuasa beli golongan miskin Indonesia.

    Sementara itu, Irto Ginting, Setiausaha Korporat unit pengedaran runcit Pertamina, enggan mengulas mengenai cadangan kenaikan harga itu, tetapi berkata keputusan penetapan harga dibuat oleh kerajaan.

     
     
  • Royal Enfield beri petunjuk ketibaan model Himalayan baru – dapat enjin 450 cc, transmisi enam kelajuan?

    Royal Enfield beri petunjuk ketibaan model Himalayan baru – dapat enjin 450 cc, transmisi enam kelajuan?

    Berita tentang Royal Enfield akan mengeluarkan versi baru bagi model kembara Himalayan kini bukan lagi sekadar satu khabar angin apabila syarikat itu sendiri sudah mula mengeluarkan satu video yang seakan memberi petunjuk kepada kewujudannya.

    Memang, video tersebut cuma datang dengan ayat “Testing 1, 2, 3..”, dan tidak menyatakan dengan jelas nama modelnya, tetapi dengan melihat kepada bentuk sahaja, kita sudah tahu ia memang adalah Himalayan, yang sedang diuji secara berkumpulan melalui jalan lasak serta merentasi takungan air.

    Menurut laporan daripada media di India termasuk RushLane, yang sudah pernah menyiarkan spyshot motosikal ini ditemui sedang diuji di atas jalan, Himalayan baru ini akan mendapat enjin berkapasiti lebih tinggi berbanding 411 cc sekarang, dan boleh dipanggil sebagai Himalayan 450.

    Selain enjin, transmisi lima kelajuannya juga dikatakan bakal dipertingkat dengan unit enam kelajuan, selain beberapa perubahan seperti bentuk panel badan, fork USD, ABS roda belakang yang akan ditutup secara automatik apabila memilih mod Offroad serta lampu hadapan LED seperti yang boleh dilihat dalam video di atas.

    Himalayan 450 dijangka ditunjukkan secara rasmi kepada orang ramai semasa pameran EICMA di Milan, Itali, November ini, sementara pelancaran pertamanya pula dijangka berlaku pada tahun hadapan.

    Royal Enfield Himalayan 2018 pasaran Malaysia

     
     
  • Hyundai M’sia siar teaser varian baru Staria – model 10-tempat duduk yang lebih murah, ganti Starex?

    Hyundai M’sia siar teaser varian baru Staria – model 10-tempat duduk yang lebih murah, ganti Starex?

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) baru sahaja menyiarkan teaser yang membayangkan bahawa ia bakal melancarkan varian baharu untuk MPV bersaiz besar Hyundai Staria. Teaser yang yang disiarkan di laman sosial berkenaan menunjukkan jalur lampu LED hadapan Staria dengan kapsyen “sesuatu yang besar akan menyapa anda tidak lama lagi”, tanpa memberikan sebarang perincian lain.

    Walau bagaimanapun, kira-kira dua minggu lalu ada dikesan sebuah Staria dalam versi 10-tempat duduk telah mendarat di Malaysia – ini bermungkinan besar adalah varian baharu yang bakal dilancarkan tersebut. Sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Staria hanya ditawarkan dalam varian 2.2D Premium, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM366,768.

    Varian 2.2D Premium berkenaan hanya menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk (memberikan ruang lebih luas dan selesa untuk setiap individu) serta diberikan perincian-perincian mewah seperti skrin sesentuh infotaimen 8-inci dengan sistem bunyi 12-pembesar suara dari Bose, tempat duduk balutan kulit Nappa dengan upholsteri fabrik sued dan pelbagai lagi.

    Jadi dengan penawaran model tempat duduk 10-duduk ini, ianya tentu boleh dijual dengan harga yang jauh lebih murah kerana pelbagai faktor. Pertama, dengan konfigurasi 10-tempat duduk, ia sudah boleh dikategorikan sebagai kenderaan perdagangan dan menerima struktur cukai lebih rendah. Sebagai contoh, lihat sahaja model CBU Kia Carnival dengan konfigurasi 11-tempat duduk dapat dijual pada harga RM196,340, berbanding model CKD dengan 7- dan 8-tempat duduk yang dijual pada harga bermula RM231.228 hingga RM261,228.

    Something huge will be greeting you soon.
    Stay tuned to this space.

    #HyundaiMy #Hyundai

    Posted by Hyundai Malaysia on Friday, 26 August 2022

    Tambahan pula, dalam foto yang bocor sebelum ini dapat dilihat Staria 10-tempat duduk ini tidak diberikan perincian-perincian premium. Ia hanya menerima pemain audio tanpa skrin, tombol gear biasa (jenis butang pada Staria 2.2D Premium), dan suis kawalan pendingin hawa yang nampak lebih ringkas. Walau bagaimanapun, ia masih menerima upholsteri kulit untuk tempat duduk dan paparan instrumen digital sepenuhnya.

    Berbanding model tujuh-tempat duduk yang menerima konfigurasi 2-2-3, model 10-tempat duduk ini diberikan susunan kerusi sebanyak empat baris dengan konfigurasi 2-3-2-3. Ia juga tiada pelapik bumbung sued seperti model Premium tetapi masih diberikan corong pendingin hawa bumbung untuk penumpang di kabin belakang.

    Pada bahagian luar pula, Staria 10-tempat duduk ini dilihat mengenakan gril hadapan berlainan rekaan tanpa kemasan hitam berkilat, serta hanya diberikan lampu utama jenis halogen pada bampar berbanding lampu LED ‘kiub ais’ untuk varian 2.2D Premium.

    Kami jangkakan model 10-tempat duduk ini masih akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan varian 2.2D Premium. Ia menggandingkan enjin 2.2 liter empat silinder turbodiesel berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm, bersama kotak gear lapan kelajuan automatik.

    Hyundai M’sia siar teaser varian baru Staria – model 10-tempat duduk yang lebih murah, ganti Starex?

    Staria dihasilkan dari platform generasi baharu N3 Hyundai yang sama dengan model-model SUV terbaharu jenama Korea berkenaan. Jadi tidak seperti Starex yang memacu roda belakang, unit rangkaian kuasa Staria ini terus memacu roda hadapan tanpa sebarang syaf di bawah lantai kabin belakang.

    Ada spekulasi yang menyatakan bahawa Hyundai Staria 10-tempat duduk ini bakal menggantikan model Grand Starex 11-tempat duduk yang kini dijual dengan harga yang jauh lebih murah dari Staria 2.2D Premium iaitu RM165,888 untuk varian tertinggi Executive Plus Telematics.

    Malah pada Jun lalu ketika Grand Starex diperkenalkan dalam versi kemaskini terbaharu untuk 2022, Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung ada menyebut bahawa stok Grand Starex kini “hanya berbaki unit terhad”, membayangkan penawarannya mungkin akan digugurkan tidak lama lagi.

    HSDM juga masih belum menyebut atau memberi anggaran bila varian baharu Staria ini akan dilancarkan. Tetapi dengan teaser yang sudah disiarkan, ia mungkin tidak lama dari sekarang. Agak-agak berapa harga Hyundai Staria 10-tempat duduk ini nanti? Kongsikan anggaran anda pada ruang komen di bawah atau di laman sosial kami.

    GALERI: Hyundai Starex 2.2D Premium

     
     
  • JPJ nasihati orang ramai usah percaya iklan lesen terbang di FB – serah siasatan pada PDRM dan SKMM

    Isu lesen terbang bukanlah suatu perkara yang baharu di negara kita. Ia telah lama berlaku dan masih ada lagi pihak yang mengambil kesempatan dalam mempromosikan aktiviti ini yang ternyata melanggar undang-undang negara.

    Baru-baru ini, terdapat seorang individu yang mempromosikan iklan lesen terbang melalui laman media sosial Facebook dan perkara ini mendapat perhatian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menerima laporan daripada orang ramai berhubung perkara ini.

    Pemilik akaun bernama Farizal Bakri telah memuatnaik iklan lesen terbang ini dalam banyak kumpulan Facebook, dengan menawarkan promosi lesen kereta jenis D dengan harga RM599, serta lesen B2 dan D dengan harga RM800 iaitu untuk 20 individu terawal sahaja.

    “Pihak kami ingin memaklumkan bahawa iklan tersebut adalah palsu. Pemilik berkenaan turut meletakkan nombor telefon bimbitnya bagi memancing orang awam supaya tertipu. Kami turut memandang serius terhadap sindiket lesen terbang ini dan siasatan lanjut akan dilakukan termasuk membuat laporan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM),” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh JPJ.

    Dalam hal ini, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan disarankan agar menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih.

     
     
  • Tawaran diskaun 50% saman trafik pada 2-4 Sept di Stadium Darul Aman sempena Aspirasi Keluarga M’sia

    Tawaran diskaun 50% saman trafik pada 2-4 Sept di Stadium Darul Aman sempena Aspirasi Keluarga M’sia

    Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih selama tiga hari bermula 2 hingga 4 September 2022 yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah.

    Bayaran saman hanya boleh dilakukan di kaunter yang akan dibuka di tapak acara tersebut bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Selain itu, diskaun yang sama turut ditawarkan sekiranya anda membayarnya di kaunter trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dalam tempoh tiga hari tersebut.

    Walau bagaimana pun, menurut PDRM, pengurangan saman trafik ini tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun, kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.

     
     
  • Ford Mustang Mach-E akan dijual di Australia dan New Zealand pada 2024; mungkin akan turut ke Malaysia?

    Ford Mustang Mach-E akan dijual di Australia dan New Zealand pada 2024; mungkin akan turut ke Malaysia?

    Crossover berkuasa elektrik sepenuhnya Ford Mustang Mach-E bakal dilancarkan ke pasaran Australia dan negara jirannya, New Zealand, menurut laporan Car Expert.

    Model berkenaan disahkan akan mendarat di New Zealand pada awal tahun hadapan. Manakala untuk Australia, Mustang Mach E ini merupakan salah satu dari lima model elektrik penuh yang akan dibawa ke pasaran negara tersebut yang dirancang bermula tahun hadapan hingga 2024.

    Kehadiran Mustang Mach-E ini ke dua negara Australasia berkenaan sebelum ini sudah dijangka selepas versi pemanduan sebelah kanan crossover tersebut dilancarkan di United Kingdom tahun lalu.

    Ford Australia turut memberitahu Car Expert bahawa Mustang Mach-E lewat untuk diperkenalkan ke negara tersebut bukan kerana kurang permintaan, sebaliknya Ford sendiri kini menghadapi masalah untuk memenuhi tempahan kerana pelbagai masalah bekalan yang kini dihadapi oleh industri automotif secara global.

    Ford Mustang Mach-E akan dijual di Australia dan New Zealand pada 2024; mungkin akan turut ke Malaysia?

    Ford Mustang Mach-E ini menerima sambutan yang menggalakkan di Amerika Syarikat di mana laporan sebelum ini menyebut bahawa 50,000 unit yang diperuntukkan bagi sepanjang tahun pertama pengenalannya habis dijual hanya dalam masa empat bulan.

    Di UK, Mustang Mach-E ditawarkan dalam lima varian; versi pacuan belakang dan pacuan semua roda, ditawarkan dengan dua jenis kapasiti bateri iaitu Standard Range (75.7 kWj) dan Extended Range (98.7 kWj), serta versi paling berkuasa dengan lencana GT menghasilkan 487 PS dan tork 860 Nm yang mampu bergerak sejauh 496 km untuk satu cas penuh berdasarkan kitaran gabungan WLTP.

    Model Extended Range AWD menghasilkan kuasa 351 PS dan tork 536 km bersama jarak gerak sejauh 536 km, manakala model Extended RWD pula dibekalkan dengan kuasa 294 PS/430 Nm dan jarak gerak paling jauh antara semua varian iaitu 606 km.

    Ford Mustang Mach-E akan dijual di Australia dan New Zealand pada 2024; mungkin akan turut ke Malaysia?

    Ford announced today that Mustang Mach-E, its first global pioneering SUV built on an all-new, all-electric platform, will be manufactured in China by Changan Ford for local customers.

    Bagi model Standard Range AWD ia menerima kuasa keseluruhan 269 PS dan tork 580 Nm dengan jarak gerak 397 km, sementara model Standard Range RWD pula dibekalkan dengan kuasa 269 PS/430 Nm dan jarak gerak sejauh 437 km.

    Dengan pengenalan Mustang Mach-E dalam versi RHD ini di Australia dan New Zealand, adakah ia petanda bahawa ia akan turut dibawa ke Asia Tenggara termasuk Malaysia? Pasaran kita mungkin tidak sebesar mana, namun Ford Malaysia yang diwakili Sime Darby Auto Connexion sebelum ini sudah pun membawa model-model menarik ke pasaran tempatan seperti Focus ST, Ranger Raptor dan juga Ford Mustang.

    Tambahan pula kerajaan kini sedang memberikan insentif pengecualian cukai dan duti untuk model-model EV yang diimport sepenuhnya (CBU), mungkin ini masanya untuk Ford Malaysia turut bersaing dalam segmen tersebut?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025