Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jualan tiket MotoGP lembab kerana cukai hiburan 25%: KBS bakal runding dengan MB Selangor

    Jualan tiket MotoGP lembab kerana cukai hiburan 25%: KBS bakal runding dengan MB Selangor

    Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) bakal kembali ke Malaysia bermula 21 hingga 23 Oktober ini selepas dua tahun ia tidak diadakan kerana pandemik Covid-19. Walaupun acara berkenaan dijangka sangat dinantikan oleh peminat sukan dua roda dalam negara, jualan tiket masuk ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk perlumbaan berkenaan dilihat lembab kerana cukai hiburan berjumlah 25% yang dikenakan oleh kerajaan negeri Selangor.

    Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan bahawa beliau bakal mengadakan rundingan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, minggu depan bagi membincangkan isu kenaikan harga tiket berkenaan, lapor Bernama. Ahmad Faizal berkata, kenaikan harga tiket itu dilihat menjadi antara faktor yang menyebabkan penjualan tiket MotoGP, bermula April lalu, masih belum mencecah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan.

    “Saya amat yakin kerajaan negeri Selangor juga akan memberi perhatian serius kepada perkara ini kerana ia juga melibatkan penjanaan ekonomi daripada aspek pelancongan masuk ke dalam negeri tersebut.

    “Jadi, tentunya mereka akan memberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan lebih ramai pengunjung akan datang menyaksikan kejohanan MotoGP pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia (RNB) di Ipoh, Sabtu lalu.

    Perkara ini telah pun disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif pada 13 Ogos lalu. Beliau menjelaskan bahawa kelembapan penjualan tiket MotoGP pada tahun ini adalah disebabkan caj 25 peratus cukai hiburan yang dikenakan, menyebabkan tiket yang hanya berharga RM40 sebelum ini meningkat kepada RM90.

    Walau bagaimanapun, Ahmad Faizal optimis sasaran 170,000 penonton ditetapkan SIC akan dapat direalisasikan berdasarkan komitmen dan pengalaman luas selaku penganjur utama kejohanan tersebut.

    “Kalau sebelum ini kita dapat tarik sambutan sehingga 120,000 penonton, saya percaya SIC akan berusaha dengan lebih kuat untuk kejohanan kali ini. Kalau tak dapat melepasi sasaran pun tidak mengapa, asalkan kita dapat kekalkan rekod sedia ada juga sudah dikira baik,” katanya.

     
     
  • Yamaha E-01 dipamer di Karnival GenBlu Teluk Batik – skuter elektrik berkuasa 10.9 hp, jarak gerak 80 km

    Yamaha E-01 dipamer di Karnival GenBlu Teluk Batik – skuter elektrik berkuasa 10.9 hp, jarak gerak 80 km

    Skuter elektrik konsep Yamaha Genesis E-01 yang ditunjukkan di Tokyo Motor Show 2019 kini sudah hampir menjadi produk sebenar untuk pasaran dan sekarang ia dipanggil lebih ringkas sebagai Yamaha E-01. Sebelum memasuki pasaran, ia masih lagi perlu diuji dan Malaysia adalah antara negara yang terpilih untuk dijadikan tempat mengumpul data penting berkenaan skuter elektrik ini.

    Masa ketibaannya dalam pasaran masih belum diketahui, dan mungkin mengambil masa yang lama lagi, tetapi hari ini kami berpeluang untuk mendekati E-01 semasa Karnival GenBlu yang diadakan di Teluk Batik, Lumut, Perak.

    Menurut wakil Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) yang berada di kawasan pameran, E-01 menggunakan asas daripada NMax, yang merupakan antara model skuter terlaris Yamaha di seluruh dunia, tetapi telah dibentukkan semula untuk menempatkan penggerak elektrik dan mempunyai rupa yang lebih unik.

    Punca kuasa skuter elektrik ini datang daripada bateri lithium ion 4.9 kWh (tidak boleh dibawa keluar), dan disalurkan kepada Interior Permanent Magnet Synchronous Motor (IPMSM), untuk menghasilkan 8.1 kW (10.9 hp) secara maksimum pada 5,000 rpm dan 30.2 Nm tork pada 1,950 rpm kepada roda belakang melalui sistem tali sawat. Kuasa ini boleh dikatakan hampir kepada skuter yang menggunakan enjin pembakaran dalaman 125 cc.

    Semasa bergerak, penunggang boleh memilih tiga mod secara mudah dengan menekan butang di bahagian kanan pemegang, iaitu sama ada Eco, Standard ataupun Power. Dalam mod Eco, ia boleh menyediakan laju maksimum sehingga 65 km/j, Standard 100 km/j dan Power 105 km/j. Penyampaian kuasa dalam setiap mod juga adalah berbeza.

    Bagi mengecas skuter ini, pemilik boleh menggunakan pengecas AC mudah alih 110-240V yang diberikan secara standard bersama skuter ini dan diletakkan di bawah tempat duduknya (boleh dibawa keluar untuk menggunakan ruang tersebut sebagai tempat simpanan barang), dan ia akan mengambil masa antara 13 ke 15 jam.

    Yamaha E-01 dipamer di Karnival GenBlu Teluk Batik – skuter elektrik berkuasa 10.9 hp, jarak gerak 80 km

    Apabila menggunakan pengecas dinding AC arus domestik, ia akan mengambil masa sekitar enam jam untuk penuh, sementara apabila menggunakan pengecas pantas DC pula, ia hanya akan mengambil masa hanya satu jam untuk penuh. Soket tempat mengecasnya pula berada di bahagian hadapan skuter manakala jarak gerak yang disediakan dalam mod Standard adalah sekitar 80 km.

    Yamaha tidak menjadikan E-01 sebagai sebuah skuter elektrik yang ringkas, sebaliknya meletakkan pelbagai teknologi terkini seperti panel instrumen LCD yang boleh dimasukkan dengan kad SIM dan memaparkan peta navigasi (bersama pelbagai informasi penting lain), sistem kunci pintar, lampu LED, sistem kawalan cengkaman, ABS two-channel serta mod undur.

    Menjamin stabiliti skuter ini adalah suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak yang terletak rendah di belakang, lengan ayun aluminium serta rim 13 inci yang dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    Seperti yang dinyatakan di atas, keputusan untuk melancarkan E-01 ini untuk jualan umum masih belum dibuat (termasuk bila dan di negara mana terlebih dahulu), dan sekiranya masuk ke dalam pasaran, harganya dianggarkan berada dalam lingkungan yang hampir kepada skuter 250 cc XMax.

    Anda sebagai pengguna rasanya adakah E-01 patut diperkenalkan untuk pasaran Malaysia? Bolehkah jarak gerak seperti yang disediakan diterima oleh penunggang yang sudah biasa dengan motosikal atau skuter enjin pembakaran dalaman? Cuba berikan komen di bawah.

     
     
  • Proton Exora 2023 – RM63k-RM70k, masih 1.6 Turbo CFE, OCH baharu, dua varian; Executive dan Premium

    Proton Exora 2023 – RM63k-RM70k, masih 1.6 Turbo CFE, OCH baharu, dua varian; Executive dan Premium

    Proton Exora 2023 secara rasminya telah dilancarkan pagi tadi. Tetapi memandangkan model kemaskini ini hanya melibatkan perubahan kecil, tiada sebarang majlis pelancaran bersama media dibuat (kami hanya menerima beberapa keping gambar rasmi bersama kenyataan media menerusi email) dan Proton hanya membuat pelancaran kecil-kecilan di salah sebuah pengedar mereka yang terletak di Kajang, Selangor.

    Namun untuk mendapatkan gambaran sebenar model kemaskini 2023, jurugambar kami, Sherman Sim bergegas ke bilik pameran berkenaan untuk mendapatkan galeri penuh Proton Exora 2023 tersebut. Seperti yang diumumkan pagi tadi, Exora masih ditawarkan dalam dua varian berbeza, bermula dengan varian Executive dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM62,800, manakala varian tertinggi Premium pula berharga RM69,800.

    Jika dibandingkan dengan model kemaskini terakhir MPV segmen-C ini iaitu Exora RC 2019, model 2023 ini adalah RM3,000 lebih mahal bagi kedua-dua varian. Jadi apa yang berbeza antara kedua-duanya? Proton Exora 2022 ini masih menerima enjin 1.6 liter Campro Turbo berkuasa 140 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 205 Nm bermula 2,000 hingga 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik. Namun ia kini menerima hos penyejuk minyak (OCH) yang telah dipertingkat.

    Proton Exora 2023 – RM63k-RM70k, masih 1.6 Turbo CFE, OCH baharu, dua varian; Executive dan Premium

    Pada bahagian luar, kesemua perincian Exora 2023 ini masih nampak sama dengan dengan model 2019, kecuali gril hadapan yang kini telah menerima logo baharu Proton berbentuk bulat, begitu juga logo pada pintu tailgate belakang serta pada kesemua penutup tengah rim. Model Executive datang dengan perincian standard seperti lampu halogen, rim 16 inci dengan kemasan perak dan rekaan sama seperti sebelum ini serta cermin sisi lipat secara manual.

    Bagi membezakannya dengan varian Executive, Exora Premium diberikan penggayaan luaran lebih sporty dengan menampilkan lampu nyalaan siang LED, rim 16-inci kemasan dua-tona, kemasan berwarna hitam pada bumbung dan perapi tambahan pada pintu tailgate, serta kit badan yang terdiri dari skirt sisi dan spoiler belakang.

    Pada bahagian dalaman pula Exora 2023 turut menerima logo baharu Proton pada roda stereng. Manakala perincian lain dalam kabin masih sama seperti sebelum ini, termasuk susunan tempat duduk 2-3-2 tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat 60:40 dan baris ketiga 50:50.

    Proton Exora 2023 – RM63k-RM70k, masih 1.6 Turbo CFE, OCH baharu, dua varian; Executive dan Premium

    Bagi model Executive, ia menerima kelengkapan standard seperti roda stereng urethane, balutan fabrik, pendingin hawa manual dengan corong di belakang dan penapis kabin N95, serta pemain audio biasa dengan sambungan Bluetooth disambungkan kepada empat pembesar suara.

    Manakala bagi varian Premium, ia kini menerima upholsteri leatherette penuh, berbanding semi-leatherette pada model 2019. Selain itu, varian paling tinggi ini turut diberikan roda stereng kulit dengan butang kawalan pelbagai fungsi, perehat tangan pada tempat duduk baris pertama dan kedua serta penghadang cahaya matahari (sun visor) untuk pemandu dan penumpang hadapan.

    Exora Premium 2023 ini juga dilengkapkan dengan sistem infotainmen menampilkan skrin sesentuh tujuh inci dengan sistem Global Key User Interface (GKUI) yang mempunyai kawalan suara “Hi Proton” dan sambungan internet 4G melalui kad eSIM. Sistem ini turut menyediakan fungsi lain termasuk stream muzik, navigasi langsung, sambungan kepada telefon pintar, mirroring untuk Android serta Wi-Fi hotspot.

    Bagi sistem keselamatan, Exora 2023 ini diberikan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC) secara standard untuk kedua-dua varian. Sistem lain tidak berubah di mana kedua-dua varian berkenaan diberikan dua beg udara, sistem brek ABS bersama EBD, dua penderia undur serta lampu isyarat berhenti kecemasan. Varian Premium diberikan tambahan kamera undur.

    Lima warna ditawarkan untuk Exora baharu ini iaitu Snow White, Indiana Grey, Rosewood Maroon, Ruby Red dan Cocoa Grey. Setiap pembelian datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km, pakej servis dengan kos upah percuma tiga kali serta pakej data selama lima tahun (1 GB setiap bulan).

    GALERI: Proton Exora Premium 2023

    GALERI: Proton Exora Executive 2023

     
     
  • PANDU UJI: Peugeot 3008 & 5008 ibarat kembar seiras – imej, prestasi sama; pengendalian sedikit berbeza

    PANDU UJI: Peugeot 3008 & 5008 ibarat kembar seiras – imej, prestasi sama; pengendalian sedikit berbeza

    Jenama Perancis ini di pasaran Malaysia bukanlah begitu popular, berbanding jenama pengeluar dari Jepun mahu pun Korea. Walau bagaimana pun, ia masih ada tempatnya dalam kalangan penggemarnya. Itu sebab ia masih bertahan di pasaran tempatan sehingga sekarang walau pun bersilih ganti pihak yang mengendalikannya.

    Selepas mengambil alih pengedaran jenama Peugeot daripada Naza, pada November lalu, Bermaz Auto Alliance (BAuto) telah melancarkan dua SUV baharu, yang pertama di bawah edarannya di Malaysia. Kehadiran Peugeot 3008 dan 5008 memberikan lebih variasi bagi mereka yang mencari SUV lima- atau tujuh-tempat duduk.

    Kedua-dua model SUV ini merupakan versi pemasangan tempatan (CKD) oleh Stellantis yang telah mengambil alih sepenuhnya kilang Naza di Gurun, Kedah (sebelum ini dikendalikan oleh Naza Automotive Manufacturing).

    PANDU UJI: Peugeot 3008 & 5008 ibarat kembar seiras – imej, prestasi sama; pengendalian sedikit berbeza

    Hampir lapan bulan berada di pasaran, barulah kami diberikan kesempatan untuk memandu uji kedua-dua model ini. Jika tengok dari pandangan luaran, 3008 dan 5008 ini memang ibarat kembar seiras, perbezaannya cuma melibatkan ukuran dimensinya memandangkan kedua-duanya menawarkan kapasiti tempat duduk yang berbeza. 3008 dengan lima-tempat duduk dan 5008 pula menampilkan tiga barisan tujuh-tempat duduk, menjadikan ia lebih besar berbanding ‘adik kembarnya’ itu.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Zeekr 001 pecah rekod drift EV Guinness terpantas di dunia; 208 km/j, slalom 50 kon dalam masa 49.05 saat!

    Zeekr 001 pecah rekod drift EV Guinness terpantas di dunia; 208 km/j, slalom 50 kon dalam masa 49.05 saat!

    Zeekr 001, produk pertama jenama premium elektrik sepenuhnya dari Geely iaitu Zeekr ini telah pun didedahkan buat pertama kali pada bukan April tahun lalu, dan dua bulan selepas itu semua stok yang dirancang untuk diproduksi sepanjang 2021 diumumkan habis dijual.

    Bagi menunjukkan kemampuan model yang didakwa sebagai Shooting Brake EV pertama di dunia ini, Zeekr 001 telah membuat dua percubaan bagi memecah Rekod Dunia Guinness iaitu untuk menjadi kereta elektrik yang melakukan aksi drift terpantas di dunia dan kereta elektrik yang melalui laluan slalom terpantas di dunia; kedua-dua rekod berkenaan berjaya dipecahkan!

    Untuk rekod kereta elektrik yang membuat aksi drift terpantas di dunia, Zeekr 001 pada asalnya perlu melakukan pergerakan mengelangsar berkenaan pada kelajuan 160 km/j. Namun ia berjaya melakukan aksi tersebut dengan kelajuan jauh lebih pantas iaitu 207.996 km/j.

    Manakala untuk rekod slalom terpantas di dunia, Zeekr 001 ini berjaya mengharungi laluan slalom dengan 50 kon yang diatur pada jarak yang sama dalam masa hanya 49.05 saat.

    Zeekr 001 pecah rekod drift EV Guinness terpantas di dunia; 208 km/j, slalom 50 kon dalam masa 49.05 saat!

    Sama seperti model-model EV lain di bawah payung Geely Auto seperti SUV prestasi Lotus Eletre, crossover kompak smart #1, trak pikap elektrik Radar RD6 dan MPV mewah Zeekr 009, Zeekr 001 ini diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang direka khas untuk digunakan oleh model-model elektrik penuh.

    Bagi Zeekr 001 ini ia diberikan dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda, dengan bekalan kuasa keseluruhan 544 PS dan tork maksima 768 Nm. Selain dari mampu memberikan pecutan sepantas 3.8 saat, dinamik dari casis serta konfigurasi AWD yang diberikan tersebut turut menjadi faktor utama kedua-dua rekod dunia ini dapat dipegang.

    Percubaan untuk memecah dua rekod dunia ini turut memperlihatkan visi Zeekr untuk tidak menjadi “kereta elektrik yang bosan”. Rekod-rekod tersebut dipecahkan pada bulan ini, dibuat di litar ujian CATARC di China dengan diselia oleh pegawai pengadil dari Guinness World Records sendiri.

    Selain dari versi AWD, Zeekr 001 juga ditawarkan dalam versi motor tunggal memacu roda belakang. Untuk versi ini ia hanya dibekalkan dengan kuasa 272 PS dan tork maksima 384 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.8 saat.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor LH sedia untuk dibida

    JPJ eBid: Siri plat nombor LH sedia untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang dibuka untuk bidaan. Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Labuan, LH, telah mula dibuka bidaan sejak semalam. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 22 Ogos ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 23 Ogos 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

    Untuk pengetahuan anda, kini tiada lagi larangan untuk menggunakan plat Sabah dan Sarawak di Semenanjung Malaysia. Walau bagaimana pun, untuk plat Labuan seperti ini, perlu didaftarkan di JPJ cawangan Labuan di pulau bebas cukai itu. Tapi bidaannya masih boleh dilakukan menerusi JPJ eBid.

     
     
  • Honda BR-V 2022 diperkenalkan di Thailand — MPV 7-tempat duduk, 1.5L NA, CVT, Sensing; dari RM115k

    Honda BR-V 2022 diperkenalkan di Thailand — MPV 7-tempat duduk, 1.5L NA, CVT, Sensing; dari RM115k

    Honda Thailand akhirnya mendedahkan harga rasmi bagi model SUV tujuh-tempat duduk BR-V generasi kedua, yang sedikit lebih rendah berbanding harga anggaran awal sebelum ini. Semuanya ada dua varian, iaitu E dan yang paling lengkap, EL dengan masing-masing dijual pada harga 915,000 baht (RM114,575) dan 973,000 baht (RM121,861).

    Kedua-dua varian BR-V terbaru untuk pasaran Thailand ini dikuasai enjin sama berkapasiti 1.5 liter NA DOHC i-VTEC empat-silinder petrol dengan janaan kuasa 121 PS dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Kuasa dihantar ke roda hadapan melalui kotak gear CVT.

    Pertama kali dipertontonkan sebagai N7X Concept, model generasi kedua ini mempunyai ukuran dimensi 4,490 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,685 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,695 mm. Jika dibandingkan, BR-V di pasaran tempatan mempunyai ukuran 4,457 mm panjang, 1,735 mm lebar, 1,677 mm tinggi dan jarak antara roda pula 2,662 mm.

    Dari segi kelengkapan, varian E menerima roda 16-inci (dengan tayar 215/60), stereng berkuasa, brek cakera hadapan berliang dan brek dram belakang, lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, pemegang pintu luar kemasan krom, serta cermin sisi larasan kuasa dengan lampu membelok.

    Honda BR-V 2022 diperkenalkan di Thailand — MPV 7-tempat duduk, 1.5L NA, CVT, Sensing; dari RM115k

    Di ruang dalam, model asas diberikan paparan kluster instrumen pelbagai info 4.2-inci, kerusi balutan kulit kombinasi dua-tona (Hitam dan Mocha Grey), pendingin automatik (dengan corong di belakang), sistem tanpa kunci dan butang penghidup enjin (dengan Honda Smart Key dan kawalan jauh penghidup enjin), skrin sentuh tujuh-inci (dengan Android Auto dan Apple CarPlay), stereng balutan kulit dan empat-pembesar suara.

    Sementara varian EL diberikan ciri tambahan lain, termasuk roda lebih besar bersaiz 17-inci (dengan tayar 215/55), gril hadapan piano black, lampu kabus hadapan LED cermin sisi boleh dilipat secara automatik, pedal penukar gear, kerusi balutan kulit kombinasi serba hitam, tambahan dua lagi unit pembesar suara (keseluruhan enam unit) dan juga beberapa ciri lain termasuk lebih banyak soket kuasa, poket belakang tempat duduk hadapan dan sebagainya.

    Harga model baru yang diumumkan ini juga sebenarnya lebih tinggi berbanding model generasi pertama yang dijual di Thailand, yang juga datang dalam dua varian dengan harga masing-masing antara 765,000 dan 835,000 baht (RM95,809 dan RM104,576).

    Ini adalah disebabkan kedua-dua varian BR-V terbaru ini dilengkapi dengan Honda Sensing secara standard. Untuk aspek keselamatan, ia diberikan ciri standard termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM with LDW), Auto High-Beam (AHB), Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lead Car Departure Notification System (LCDN).

    Honda BR-V 2022 diperkenalkan di Thailand — MPV 7-tempat duduk, 1.5L NA, CVT, Sensing; dari RM115k

    Ini termasuklah juga ciri Honda LaneWatch, sistem peringatan tali keledar baru, kamera pandangan belakang dan sistem pasif sedia ada yang biasa (VSA, ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mendaki bukit, kunci automatik). Yang berbeza adalah jumlah beg udara, dengan E menerima empat buah sementara enam untuk EL.

    Pilihan warna pula terdiri daripada Taffeta White yang khusus untuk E, dengan Crystal Black Pearl menjadi pilihan dengan tambahan 6,000-baht (RM752). EL pula dengan harga standard dengan warna sama Crystal Black Pearl berkenaan, dan melibatkan tambahan 4,000 baht (RM501) untuk pilihan warna Premium Sunlight White Pearl.

    BR-V juga selalu diura-urakan bakal menjadi model seterusnya yang akan diperkenalkan di Malaysia dan versi generasi kedua ini. Jadi, kenaikan harga antara model lama dan model terbaru ini juga boleh dijangka berlaku untuk pasaran tempatan kelak. Ketika ini, BR-V generasi pertama versi facelift dijual pada harga RM90,700 atas jalan tidak termasuk insurans bagi varian E dan RM97,700 bagi varian V. Jadi, berapa harga dijangka untuk BR-V baru bila tiba di sini nanti?

     
     
  • Dodge Charger Daytona SRT EV Concept – kereta elektrik dengan ekzos, AWD, lebih pantas dari Hellcat!

    Dodge Charger Daytona SRT EV Concept – kereta elektrik dengan ekzos, AWD, lebih pantas dari Hellcat!

    Peralihan kepada teknologi jelas telah ‘membunuh’ pelbagai teknologi-teknologi yang ikonik. Satu masa nanti, kesemua kereta bakal hanya dijana oleh motor elektrik yang secara asasnya mempunyai prinsip asas operasi yang sama; tidak seperti enjin-enjin pembakaran dalaman yang mempunyai jumlah dan susunan omboh yang berbeza, secara tidak langsung memberikan karekter unik tersendiri antara satu sama lain.

    Secara logiknya, muscle car Amerika dengan enjin V8 sudah pasti hanya tinggal sejarah sekiranya peralihan EV berlaku secara total. Menyedari hakikat ini, jenama yang sinonim dengan muscle car iaitu Dodge telahpun mendedahkan kereta konsep elektrik digelar Dodge Charger Daytona SRT Concept EV, yang didakwa “nampak seperti sebuah Dodge, bunyi seperti sebuah Dodge dan dipandu seperti sebuah Dodge”.

    Secara asasnya, Dodge Charger Daytona SRT Concept EV ini menerima asas senibina elektrik 800-volt baharu yang digelar sebagai sistem pendorong Banshee; Dodge tidak menyatakan sebarang spesifikasi mahupun angka prestasi berkenaan model konsep ini, namun ada menyebut bahawa muscle car elektrik pacuan semua roda tersebut adalah lebih pantas dari Dodge SRT Hellcat.

    Dodge Charger Daytona SRT EV Concept – kereta elektrik dengan ekzos, AWD, lebih pantas dari Hellcat!

    Walaupun tiada lagi enjin pembakaran dalaman pada kereta ini, Dodge telah menghasilkan sistem ekzos yang digelar Fratzonic Chambered Exhaust. Menurut Dodge, sistem ekzos untuk EV yang masih menunggu kelulusan paten tersebut adalah sistem pertama seumpanya dalam industri.

    Menerusi sistem ini, satu kebuk talaan diletakkan di bahagian belakang kereta tersebut, kemudian bunyi berkenaan dikuatkan menerusi penggunaan amplifier. Menurut Dodge, ekzos Fratzonic berkenaan mampu menghasilkan bunyi yang kuat dengan tahap yang sama seperti SRT Hellcat iaitu 126 dB (bunyinya anda boleh dengar menerusi video di bawah).

    Secara asasnya, dengan tork yang kuat bermula 0 rpm pada motor elektrik, EV biasanya tidak dipadankan dengan transmisi, atau sekurang-kurangnya diberikan transmisi kelajuan tunggal. Namun untuk Charger Daytona SRT EV ini, Dodge memberikan transmisi dengan pelbagai dengan titik tukaran gear nyata, bagi memberikan rasa “melekat ke tempat duduk” setiap kali gear ditukar sama seperti muscle car V8 sebenar.

    Dodge Charger Daytona SRT EV Concept – kereta elektrik dengan ekzos, AWD, lebih pantas dari Hellcat!

    Selain itu, ia juga menerima perincian PowerShot, yang akan memberikan kenaikan kuasa kuda mendadak setiap kali butang yang diletakkan pada roda stereng tersebut ditekan.

    Selain dari bunyi dan rasa, Dodge Charger Daytona SRT Concept EV ini juga tampil dengan gaya muscle car Dodge sebenar yang sentiasa nampak cocok dipandu oleh watak seperti Dominic Toretto. Sekali tengok, muka kereta ini nampak mengenakan muncung yang sama seperti Dodge Charger klasik, namun sebenarnya ia diberikan sayap hadapan yan digelar R-Wing, yang membolehkan aliran udara melaluinya terus ke bonet hadapan bagi memberikan daya downforce lebih kuat.

    Tidak ketinggalan, pada bahagian tengah muka muscle car elektrik ini diberikan lencana Fratzog, yang sebelum ini tampil pada muscle car klasik Dodge dari 1962 hingga 1976.

    Dodge Charger Daytona SRT EV Concept – kereta elektrik dengan ekzos, AWD, lebih pantas dari Hellcat!

    Ia dipadankan dengan rim gergasi bersaiz 21-inci, dengan rekaan turbin bersama kemasan diamond-cut yang didakwa turut memberikan kesan aerodinamik. Disebalik set roda berkenaan dapat dilihat sistem brek yang juga bersaiz besar dengan angkup enam-omboh dibekalkan oleh Brembo.

    Pada bahagian kabin, papan pemuka model konsep EV ini diberikan corak parametrik pada papan pemuka serta panel dalaman pintu yang diinspirasikan dari gril hadapan Dodge Charger 1968. Corak parametrik berkenaan turut diberikan lampu yang digelar Attitude Adjustment Lighting yang memberikan pencahayaan kepada tekstur berkenaan dari sebelah bawah.

    Manakala pemandu diberikan paparan instrumen digital yang direka melengkung bersaiz 16-inci, bersama paparan head-up yang dipancar pada cermin hadapan, serta roda stereng rata di bawah yang dilengkapi pedal penukar gear, butang PowerShot dan butang mod pemanduan (boleh dipilih antara Auto, Sport, Track, dan Drag).

    Dodge Charger Daytona SRT EV Concept – kereta elektrik dengan ekzos, AWD, lebih pantas dari Hellcat!

    Tulisan “Daytona” yang menyala diberikan pada papan pemuka serta kemasan bendul pintu yang diperbuat dari gentian karbon. Manakala logo pancaran kilat kelihatan pada pedal pendikit, bagi memberikan petunjuk bahawa ia adalah sebuah kereta berkuasa elektrik. Ia juga diberikan lantai gentian karbon yang diinspirasikan dari sukan permotoran.

    Sementara untuk sistem infotainmen pula, ia diberikan satu lagi skrin yang diletak pada bahagian tengah papan pemuka bersaiz 12.3-inci, didakwa sebagai yang terbesar pernah dipadankan pasa sebuah Dodge. Ia juga menerima kemasan berwarna Ultraviolet pada konsol tengah, pintu dan juga tempat duduk.

    Tempat duduk bucket yang ringan pada kereta ini bukan hanya diberikan pada bahagian hadapan, malah turut diberikan untuk bahagian belakang, bermaksud hanya dua orang penumpang boleh duduk pada baris kedua berkenaan. Walau bagaimanapun, tempat duduk tersebut boleh dilipat rata bagi memberikan ruang kargo lebih besar.

     
     
  • Proton Exora 2023 dilancar – logo baru, tempat duduk balutan leatherette penuh, ESC standard, dari RM63k

    Proton Exora 2023 dilancar – logo baru, tempat duduk balutan leatherette penuh, ESC standard, dari RM63k

    Selepas sedikit teaser, Proton akhirnya melancarkan Exora 2023, yang menerima beberapa peningkatan kecil seperti yang dilaporkan Mei lalu. Ini adalah kali keempat MPV tujuh tempat duduk itu diberi peningkatan, sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009.

    Exora baru ini sekali lagi ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan Executive yang berharga RM62,800 tidak termasuk insurans, sementara di atasnya adalah varian Premium yang dijual pada harga RM69,800. Jika dibandingkan dengan model tahun 2019, harga ini adalah RM3,000 lebih tinggi.

    Kedua-dua varian masih lagi dipacu oleh enjin petrol empat silinder 1.6 liter Campro turbo yang sama seperti sebelum ini, meskipun pada awalnya terdapat khabar angin bahawa ia akan diganti dengan enjin X70/X50. Kuasa yang mampu dihasilkan juga masih 140 PS pada 5,000 rpm dan 205 Nm pada 2,000 hingga 4,000 rpm, dihantar ke roda hadapan melalui kotak gear CVT.

    Proton Exora 2023 dilancar – logo baru, tempat duduk balutan leatherette penuh, ESC standard, dari RM63k

    Berkenaan perubahannya, bahagian luar Exora baru ini menampakkan penggunaan logo terkini Proton pada gril hadapan serta tailgate belakang, sementara varian Premium mendapat lagi tambahan lampu DRL LED serta rim 16 inci dua tona. Sama seperti sebelum ini, varian Premium juga menjadi satu-satunya varian yang mendapat side skirt, spoiler belakang, bumbung hitam serta hiasan hitam pada tailgate belakang.

    Di dalam, varian Premium kini datang dengan balutan leatherette penuh, berbanding semi-leatherette. Sama seperti luar, logo baru Proton juga digunakan pada roda sterengnya. Selain daripada itu, bahagian lain di dalam kabin masih sama seperti sebelum ini, termasuk susunan tempat duduk 2-3-2 tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat 60:40 dan baris ketiga 50:50.

    Melihat kepada kelengkapan, varian Executive datang dengan lampu halogen, rim 16 inci (sama seperti sebelum ini), cermin sisi lipat secara manual, roda stereng urethane, balutan fabrik, pendingin hawa manual dengan corong di belakang dan penapis kabin N95, head unit biasa dengan sambungan Bluetooth serta empat pembesar suara.

    Proton Exora 2023 dilancar – logo baru, tempat duduk balutan leatherette penuh, ESC standard, dari RM63k

    Varian Premium, seperti yang dinyatakan di atas, mendapat DRL LED, rim dua tona, aksesori luaran serta balutan leatherette penuh, dan juga roda stereng kulit dengan butang kawalan pelbagai fungsi, perehat tangan pada tempat duduk baris pertama dan kedua serta penghadang cahaya matahari (sun visor) untuk pemandu dan penumpang hadapan.

    Pada varian yang lebih tinggi ini juga anda akan menerima skrin sesentuh tujuh inci dengan sistem Global Key User Interface (GKUI) yang mempunyai kawalan suara “Hi Proton” dan sambungan internet 4G melalui kad eSIM. Fungsi lain adalah termasuk stream muzik, navigasi langsung, sambungan kepada telefon pintar, mirroring untuk Android serta Wi-Fi hotspot.

    Untuk aspek keselamatan, ESC kini diberikan secara standard untuk kedua-dua varian, tetapi hanya Premium sahaja yang mendapat kamera undur. Ciri lain masih tidak diubah dari sebelum ini, termasuk dua beg udara, ABS, EBD, dua pengesan undur serta lampu kecemasan.

    Lima warna ditawarkan untuk Exora baru ini iaitu Snow White, Indiana Grey, Rosewood Maroon, Ruby Red dan Cocoa Grey, dan semuanya adalah sama seperti sebelum ini dan disediakan untuk kedua-dua varian. Setiap pembelian datang dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km, upah servis percuma tiga kali serta pakej data lima tahun (1 GB setiap bulan).

     
     
  • Jualan kereta di Malaysia untuk Julai 2022 jatuh 23%

    Jualan kereta di Malaysia untuk Julai 2022 jatuh 23%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah pun menyiarkan data jualan kenderaan untuk bulan Julai 2022, menunjukkan sejumlah 48,922 unit kenderaan telah diserahkan kepada pembeli sepanjang bulan lalu. Jumlah tersebut dilihat turun sebanyak 14,641 unit atau jatuh 23% berbanding jumlah 63,563 unit yang dicatatkan pada bulan Jun 2022.

    Menurut MAA, jumlah yang tinggi pada Jun dicatatkan kerana syarikat-syarikat pengeluar kereta berjaya menyiapkan banyak tempahan yang diterima sepanjang tempoh pengecualian cukai SST, kerana gusar insentif tersebut dihentikan sepenuhnya pada 30 Jun. Malah masalah bekalan cip semikonduktor dan komponen lain yang masih belum pulih sepenuhnya turut menyebabkan jumlah jualan pada Julai lebih rendah dari Jun.

    Berbanding bulan yang sama pada 2021, jumlah jualan yang dicatatkan pada Julai tahun ini adalah 552% lebih tinggi (atau 41,423 unit lebih banyak). Ini kerana pada Julai 2021, jumlah jualan yang dicatatkan hanyalah 7,499 unit kerana ketika itu bilik-bilik pameran terpaksa ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat penularan virus Covid-19.

    Untuk jumlah kumulatif dari Januari hingga Julai, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2022 kini mencecah 380,595 unit, naik 48.3% (atau 123,918 unit lebih banyak) berbanding hanya 256,677 unit yang dicatatkan untuk tempoh sama tahun lalu.

    MAA menjangkakan jumlah jualan untuk Ogos adalah sama tahap dengan jumlah jualan untuk Julai, kerana pengeluar-pengeluar kenderaan kini sedang berusaha untuk memenuhi tempahan-tempahan tertunggak yang dibuat ketika tempoh pengecualian cukai jualan, dan momentum berkenaan akan kekal sehingga akhir tahun.

    Sebelum ini kerajaan telah memutuskan untuk terus memberi pelepasan cukai berkenaan untuk mereka yang menempah kereta pada tarikh akhir 30 Jun 2022, dengan syarat kereta tersebut dapat didaftarkan pada atau sebelum tarikh akhir 31 Mac 2023.

     
     
  • JPJ diarah selesaikan isu lambakan calon yang menunggu untuk ambil ujian memandu – menteri MOT

    JPJ diarah selesaikan isu lambakan calon yang menunggu untuk ambil ujian memandu – menteri MOT

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyelesaikan lambakan atau backlog calon-calon yang menunggu giliran untuk mengambil ujian memandu. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Wee selepas melakukan lawatan mengejut di Institut Pemanduan (IM) Berjaya di Johor Bahru semalam, seperti mana yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi beliau.

    “Sehingga Julai 2022, iaitu bagi tempoh tujuh bulan, jumlah pelajar IM Berjaya di sini adalah hampir menyamai jumlah keseluruhan pelajar bagi tempoh tahun 2018. Ini menunjukkan kenaikan 42% pelajar telah mendaftar pada tahun ini berbanding tahun 2018.

    “Sementara bilangan tenaga pengajar di IM Berjaya turut berkurangan dari 215 orang pada tahun 2020 dan hanya tinggal 185 sahaja ketika ini. Rata-rata bilangan tenaga pengajar IM telah menurun manakala calon pelajar IM pula meningkat,” katanya.

    Tambah beliau, di Johor, terdapat 1,518 orang pemegang Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) di bawah 32 IM. Manakala jumlah calon yang ingin menjalani ujian memandu adalah seramai 3,639 orang setakat ini.

    “Untuk orang awam yang berhasrat untuk mengambil ujian lesen memandu, tempoh yang diperlukan adalah lebih kurang dua hingga tiga bulan. Tempoh yang sedikit panjang ini pastinya memberi kesan kepada orang ramai khususnya calon-calon yang mahu menjalani ujian memandu dengan segera.

    “Dalam masa sama, saya juga mendapati keadaan yang lebih teruk berlaku di Lembah Klang yang memerlukan sesuatu tindakan serta-merta bagi menyelesaikan kekusutan ini. Justeru, bagi menyelesaikan isu ini, semalam semasa mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pengangkutan, saya mengarahkan JPJ supaya perkara lambakan calon atau “backlog’ diselesaikan segera,” katanya lagi.

     
     
  • Litar Lumba Sungai Petani bertaraf antarabangsa, tapi kadar bayaran dikenakan tetap ‘marhaen’ – MB Kedah

    Litar Lumba Sungai Petani bertaraf antarabangsa, tapi kadar bayaran dikenakan tetap ‘marhaen’ – MB Kedah

    Umum mengetahui bahawa Kedah bakal mempunyai litar lumba bertaraf antarabangsa yang terletak di Sungai Petani dan pembinaannya bakal bermula tidak lama lagi. Dalam pada itu, orang ramai mula ‘bercakap-cakap’ mengenai kadar harga yang bakal dikenakan sekiranya ingin ‘melenjan’ litar lumba terbabit atau pun sebagai penonton. Ramai yang menganggap kadar bayarannya juga barangkali bakal ‘bertaraf antarabangsa’, sesuai dengan fasiliti yang diberikan serta kos pembinaannya yang mencecah RM75 juta.

    Namun perkara ini disangkal oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata, walau litar lumba berkenaan bertaraf antarabangsa namun ia dibuka untuk semua peminat sukan pemotoran tempatan dengan kadar yang akan dikenakan minimum.

    Di mana beliau memberi jaminan bahawa litar berkenaan dapat memenuhi kehendak dan permintaan peminat sukan permotoran khususnya dua roda, laporan Berita Harian.

    “Ini adalah titik mula pembinaan litar lumba rakyat. Walaupun trek ini dinamakan sebagai litar antarabangsa, namun saya beri jaminan bahawa trek ini akan menawarkan harga rakyat marhaen untuk memenuhi kehendak dan permintaan peminat sukan pemotoran khususnya dua roda di seluruh Kedah dan Semenanjung Malaysia.

    Litar Lumba Sungai Petani bertaraf antarabangsa, tapi kadar bayaran dikenakan tetap ‘marhaen’ – MB Kedah

    “Kita akan pastikan litar ini boleh digunakan oleh semua dengan bayaran minimum dan saya jangkakan ia akan melonjak sukan permotoran di Kedah khususnya,” katanya.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, litar lumba berkenaan bakal dibangunkan di tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) di kawasan seluas 60 hektar.

    “Kita semua maklum bahawa pelan asal yang dirancang adalah Litar Lumba Rakyat dan pelan ini juga telah beberapa kali dipinda menyebabkannya tertangguh begitu lama dan menyebabkan kos asal meningkat. Berikutan itu, kerajaan negeri bersetuju meneruskan pelan perancangan akhir dengan meningkatkannya kepada Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang dilengkapi pusat komersial lain,” katanya sebelum ini.

    Jelasnya, Litar Lumba Rakyat dinaik taraf ke litar lumba antarabangsa kerana ia perlu dibina dengan trek dan fasiliti perlumbaan yang selamat, profesional dan diselenggara baik.

     
     
  • Proton akan melabur untuk jaringan pengecas EV di Malaysia; kini sedang berhubung dengan 8 penyedia

    Proton akan melabur untuk jaringan pengecas EV di Malaysia; kini sedang berhubung dengan 8 penyedia

    Semalam Proton telahpun memuktamadkan perjanjian dengan smart Automobile Company, menyaksikan Proton akan menjadi pengedar untuk kereta elektrik kompak smart bermula pada tahun hadapan, bukan sahaja di Malaysia malah untuk pasaran Thailand. Jadi sebagai pengedar kenderaan elektrik (EV), Proton bukan sahaja bertanggungjawab terhadap jualan dan servis selepas jualan, malah jaringan fasiliti pengecas juga perlu dipandang serius.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Proton menyatakan bahawa ia akan membuat pelaburan dalam rangkaian pengecasan EV dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, disamping menyedia dan memasang unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat mengecas kenderaan mereka di rumah.

    “Kami telah berhubung dengan tujuh atau lapan promoter infrastruktur EV, kerana sudah ada ekosistem terperinci di dalam infrastruktur,” kata pengarah kanan strategi Proton, Yusri Yusuf ketika majlis perjanjian tersebut semalam. Proton akan melihat kepada dua aspek iaitu pengecas di rumah dan pengecas awam. Untuk pengecas awam, Proton akan bekerjasam dengan agensi kerajaan bagi memastikan status terkini rancangan berkenaan.

    Proton akan melabur untuk jaringan pengecas EV di Malaysia; kini sedang berhubung dengan 8 penyedia

    Untuk isu “kegusaran jarak” (range anxiety) dikalangan pengguna EV pula, satu pasukan dalaman Proton telah diwujudkan bagi mengkaji kemungkinan menempatkan stesen pengecas mudah alih untuk memenuhi keperluan pengguna sementara rangkaian pengecasan negara terus berkembang, jelas naib CEO Proton Roslan Abdullah.

    Roslan turut menyatakan bahawa perjanjian ini membolehkan Proton masuk ke segmen EV, dalam masa yang sama membolehkan ia menarik minat bakat-bakat muda untuk mengisi jawatan-jawatan baharu dalam tempoh peralihan teknologi ini.

    Proton akan melabur untuk jaringan pengecas EV di Malaysia; kini sedang berhubung dengan 8 penyedia

    Menerusi perjanjian berkenaan, smart #1 akan menjadi model pertama yang akan dijual oleh Proton di Malaysia, dan ia akan dilancarkan secara rasmi pada suku keempat 2023 dan diikuti pasaran Thailand pada pertengahan 2024.

    smart #1 membuat kemunculan sulung globalnya di Berlin, Jerman pada awal April lalu, dan kemudian dilancarkan pada pasaran China pada hujung bulan yang sama. Buat masa sekarang ia ditawarkan dalam versi motor elektrik tunggal berkuasa 272 PS dan tork maksima 343 Nm bagi memacu gandar belakang, disuap dengan bateri berkapasiti 66 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 440 km berdasarkan kitaran WLTP.

     
     
  • KPS taja lesen motosikal percuma untuk golongan asnaf menerusi program #RideHomeSafe MyLesen

    KPS taja lesen motosikal percuma untuk golongan asnaf menerusi program #RideHomeSafe MyLesen

    Dalam meneruskan usaha untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan belia dan komuniti, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) telah melancarkan program KPS #RideHomeSafe 2022 dan Mini Karnival Keselamatan Jalan Raya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang baru-baru ini.

    Menerusi program KPS #RideHomeSafe MyLesen, KPS terus komited untuk membantu menangani jumlah penunggang motosikal tidak berlesen di kalangan golongan belia di Selangor, khususnya di kalangan keluarga B40. Pada tahun 2021, KPS telah menaja seramai 60 orang pelajar dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dari SMK Seksyen 19 Shah Alam untuk mengambil lesen motosikal secara sah. Tahun ini pula, KPS telah menaja seramai 80 orang asnaf yang layak dari PPR Lembah Subang 2.

    Suzila Khairuddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kewangan dan Perkhidmatan Korporat) KPS, berkata, “Statistik kemalangan jalan raya amat membimbangkan dan isu keselamatan jalan raya negara yang kian berterusan ini harus dipandang serius oleh semua pihak. Kadar kematian jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal dan remaja setiap tahun adalah amat menyedihkan.

    KPS taja lesen motosikal percuma untuk golongan asnaf menerusi program #RideHomeSafe MyLesen

    “Hal ini berlaku kerana kebanyakan pelajar sekolah dan penunggang motosikal tanpa lesen yang sah adalah daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan kos lesen motosikal menjangkaui kemampuan keluarga masing-masing. Semoga penajaan lesen motosikal daripada KPS ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga-keluarga di sini (PPR Lembah Subang 2).”

    Dalam masa yang sama, menerusi Mini Karnival Keselamatan Jalan Raya, KPS dengan kerjasama PDRM dan JPJ turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik di PPR Lembah Subang 2 termasuklah taklimat keselamatan jalan raya oleh Bahagian Keselamatan Jalan Raya, pameran PDRM dan JPJ serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. Pengunjung juga berkesempatan untuk membuat semakan dan bayaran saman JPJ, serta membuat pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor menerusi kaunter bergerak JPJ Mobile di karnival tersebut.

    Modul pembelajaran secara maya program KPS #RideHomeSafe ini mengandungi dua modul video dan kuiz keselamatan jalan raya yang interaktif. Peserta yang telah menamatkan modul akan diberikan e-sijil penyertaan yang menyumbang kepada merit kokurikulum peringkat kebangsaan. Program e-pembelajaran #RideHomeSafe telah berjaya mencatat jumlah keseluruhan penyertaan seramai 103,804 pelajar dari 1,650 sekolah menengah di seluruh negara pada tahun 2021. Program e-pembelanjaran ini masih dilaksanakan sehingga 31 Ogos 2022 dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi www.kps-rhs.com.

     
     
  • Tawaran diskaun 50% saman trafik pada 19-21 Ogos di Stadium Shah Alam sempena Aspirasi Keluarga M’sia

    Tawaran diskaun 50% saman trafik pada 19-21 Ogos di Stadium Shah Alam sempena Aspirasi Keluarga M’sia

    Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Selangor, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Ogos 2022 yang berlangsung di tapak karnival perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor.

    Bayaran saman hanya boleh dilakukan di kaunter yang akan dibuka di tapak acara tersebut bermula jam 9 pagi hingga 4 petang. Selain itu, diskaun yang sama turut ditawarkan sekiranya anda membayarnya di kaunter bayaran saman trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam tempoh tiga hari ini.

    Walau bagaimana pun, menurut PDRM, pengurangan saman trafik ini tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun, kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025