Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai N Vision 74 – ‘semangat’ Pony Coupe dihidupkan semula; FCEV berkuasa 671 hp/900 Nm!

    Hyundai N Vision 74 – ‘semangat’ Pony Coupe dihidupkan semula; FCEV berkuasa 671 hp/900 Nm!

    Sekali tengok, macam kereta rali Audi Quattro S1 Group B pun ada, macam Mitsubishi Starion pun ada. Apa benda sebenarnya ni? Tuan-tuan dan puan-puan, ini adalah kereta konsep prestasi sel bahan api hidrogen (FCEV) terbaharu dari divisi perlumbaan Hyundai iaitu Hyundai N, diberi nama N Vision 74!

    Bentuk retro pada kereta konsep ini sebenarnya diilhamkan dari model konsep Hyundai Pony Coupe yang didedahkan pada 1974 direka oleh pereka lagenda Itali, Giorgetto Giurgaro. Menurut Hyundai, kereta konsep Pony Coupe 1974 berkenaan selepas itu telah dijelmakan dalam bentuk prototaip sebagai kereta prestasi pertama jenama dari Korea Selatan tersebut, namun ia tidak berjaya di bawa sehingga ke peringkat produksi.

    Walaupun projek kereta prestasi pertama tersebut tidak dapat direalisasikan pada 1974, Hyundai menyatakan bahawa ‘semangat’ seluruh syarikat untuk menghasilkan model sedemikian telah tercetus sejak dari itu, sehinggalah mereka berjaya mewujudkan Hyundai N dan menghasilkan pelbagai model prestasi sebenar dengan lencana tersebut sejak akhir-akhir ini.

    Jadi, N Vision 74 ini merupakan model konsep yang dibangunkan bagi memperingati semula Hyundai Pony Coupe, dan ia diadun dengan teknologi elektrifikasi untuk model prestasi yang ada pada Hyundai buat masa sekarang. Ia dihasilkan dengan saiz 4,952 mm panjang, 1,995 mm lebar, 1,331 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,905 mm.

    Hyundai N Vision 74 – ‘semangat’ Pony Coupe dihidupkan semula; FCEV berkuasa 671 hp/900 Nm!

    Hyundai menyatakan bahawa bentuk profil dinamik, permukaan dan tiang-B yang unik pada N Vision 74 ini ditiru terus dari Pony Coupe Concept 1974. Ia kemudiannya diberikan kit aerodinamik seakan kereta rali Group B era 80’an, menampilkan kesemua fender yang direka lebar dan berpetak, spoiler ‘sodok’ di hadapan, diffuser yang agresif pada bampar belakang serta spoiler belakang dengan sayap gergasi.

    Manakala lampu hadapan dan belakang dibentuk menyerupai lampu Pony Coupe Concept menggunakan susunan lampu Parametric Pixel seperti pada model EV produksi Hyundai Ioniq 5 dan Ioniq 6. Gril hadapan N Vision 74 ini juga menggunakan mesh seiras Pony Coupe. Manakala untuk roda, ia diberikan rim seakan rim kereta lumba jenis aerodisc era 80’an yang bersaiz besar, sesuai dengan rekaan kit aero retro yang diberikan.

    Tiada imej bahagian dalaman N Vision 74 ini didedahkan, namun Hyundai menyatakan bahawa kabin kereta ini direka bagi memberikan “ruang yang menghiburkan tanpa kehilangan seni bina asli Pony Coupe Concept”. Ia diberikan kokpit yang direka fokus kepada pemandu dengan menggandingkan elemen warisan sejarah dan rekaan moden, seperti kluster paparan instrumen digital dan butang-butang analog.

    Hyundai menyifatkan N Vision 74 ini sebagai “makmal bergerak prestasi tinggi” pertama mereka yang dibangunkan menggunakan sistem sel bahan api hidrogen termaju pernah dihasilkan oleh Hyundai N. Hyundai telah memulakan pembangunan teknologi sel bahan api hidrogen ini bermula dengan kereta konsep Hyundai N 2025 Vision Gran Turismo yang didedahkan pada 2015, yang turut menjadi inspirasi kepada pembangunan N Vision 74 ini.

    Hyundai N Vision 74 – ‘semangat’ Pony Coupe dihidupkan semula; FCEV berkuasa 671 hp/900 Nm!

    Kereta konsep ini dibekalkan dengan dua motor elektrik untuk memacu gandar belakang yang berkuasa lebih dari 671 hp (500 kW) dan tork maksima melebihi 900 Nm. Tiada sebarang perincian prestasi dinyatakan, namun ia didakwa boleh mencapai kelajuan melebihi 250 km/j.

    Motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri berkapasiti 62.4 kWh bersama kebolehan mengecas cepat 800-volt. Manakala untuk sistem sel bahan api hidrogen yang digunakan untuk menghasilkan kuasa untuk disimpan pada bateri, ia menerima tangki berkapasiti 4.2 kg yang boleh dipenuhkan dalam masa 5 minit, dengan stack sel bahan api 85 kW (maksimum 95 kW). Ini membolehkan N Vision 74 tersebut bergerak dalam jarak lebih 600 km.

    Hyundai menyatakan bahawa dengan jarak gerak yang jauh serta kebolehan untuk mengisi semula sel bahan api hidrogen dengan pantas, N Vision 74 menjanjikan keseronokan memandu bersama sumber kuasa yang mampan menerusi teknologi yang canggih.

    Jurutera Hyundai membangungkan struktur hibrid elektrik-bateri digabungkan dengan sistem FCEV yang diatur dalam konfigurasi baharu. Menurut Hyundai, dengan sistem sel bahan api dan elektrik bateri yang berfungsi bersama pada N Vision 74 ini membolehkan keberkesanan sistem penyejukkan ditambah baik. Hyundai turut meneroka sistem penyejukan tiga-saluran menerusi N Vision N 74 ini, bagi mengimbangi antara prestasi dan penyejukkan.

    Hyundai N Vision 74 – ‘semangat’ Pony Coupe dihidupkan semula; FCEV berkuasa 671 hp/900 Nm!

    Teknologi prestasi tinggi tersebut diintegrasikan sepenuhnya kepada rekaan bagi memenuhi keperluan pengurusan haba sistem FCEV. Malah dengan dua punca kuasa berbeza, ia boleh digunakan bergantung situasi pemanduan yang berbeza.

    Agihan tork antara dua motor pada gandar belakang kereta ini telah ditala dan diperhalusi melalui sistem torque vectoring yang diberikan. Ini membolehkan pemandu menikmati pengalaman mengambil selekoh yang jitu dan juga responsif, dakwa Hyundai.

    Tiada sebarang petunjuk dari Hyundai yang menyatakan bahawa kereta konsep ini akan dijelmakan dalam bentuk produksi. Namun naib presiden Hyundai Motor Company, Till Wartenberg menyatakan bahawa “projek-projek makmal bergerak ini merupakan aset yang baik bagi menyediakan visi elektrifikasi Hyundai N menjadi realiti, iaitu Ioniq 5 N tahun depan.”

    Ya, secara tidak langsung versi produksi kereta elektrik prestasi tinggi Hyundai Ioniq 5 N disahkan akan muncul pada tahun depan menerusi kenyataan ini!

     
     
  • SUV baru Perodua dalam rekaan bayangan terkini — lebih besar dan bakal beri saingan kepada Proton X50?

    SUV baru Perodua dalam rekaan bayangan terkini — lebih besar dan bakal beri saingan kepada Proton X50?

    Sebelum ini, ada cakap-cakap yang menyebut bahawa Perodua sedang membangunkan sebuah SUV segmen B yang akan diletakkan di atas Ativa dalam barisan penawarannya. Mac tahun ini, syarikat itu juga ada menjalankan kaji selidik pasaran untuk mengumpul pandangan berkaitan model berkenaan.

    Waktu itu, Theophilus Chin telah menghasilkan beberapa rekaan bayangan bagaimana SUV itu akan kelihatan, menggunakan asas dari Suzuki Vitara. Kini, dia kembali dengan set rekaan yang baru menggunakan asas dari Toyota Yaris Cross.

    Dengan ukuran 4,180 mm panjang, 1,765 mm lebar dan 1,560 mm tinggi, Yaris Cross memang lebih besar daripada Ativa, yang berukuran 4,065 mm panjang dan 1,710 mm lebar, walaupun lebih tinggi dengan 1,635 mm. Bagi jarak antara roda, model Toyota itu lebih panjang dengan 2,560 mm berbanding Ativa 2,525 mm.

    Pesaing paling hampir SUV segmen B Perodua ini tentulah Proton X50, yang lebih besar ukurannya; 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,600 mm.

    SUV baru Perodua dalam rekaan bayangan terkini — lebih besar dan bakal beri saingan kepada Proton X50?

    Theo mengubah Yaris Cross kepada model Perodua dengan menggantikan wajah depan yang lebih bulat dengan rekaan tema-X yang lebih agresif seperti yang ada pada Ativa dan Myvi. Bampar baru, dengan gril dan bukaan bawah lebih bersegi disertai oleh rekaan ala skid plate hiasa dengan lampu utama lebih tajam serta garis bonet yang disepadankan.

    Dari sisi, garis yang ada jelas kelihatan, menyambungkan bahagian lampu depan dan belakang. Rekaan pelindung badan pada Yaris Cross juga diberi sentuhan lain untuk menepati rekaan lebih tajam keseluruhannya, sementara bahagian lengkungnya dikurangkan sedikit.

    Tiang D juga diubah untuk meninggikan sedikit bahagian bumbungnya, memberikan lebih banyak ruang kepala untuk penumpang. Rekaan lampu belakang dengan kelebaran penuhnya pula ditiruskan sedikit dan tidak bersentuhan dengan cermin belakang.

    Lampu belakang dua-bahagian ala Harrier itu dilanjutkan hingga ke bahagian fender. Ini juga telah disesuaikan untuk meletakkan lampu belakangnya pada kedudukan lebih rendah, serta kemasan hitam berkilat di bahagian bawah bampar juga lebih kecil.

    Bagi perincian teknikal pula, tiada apa yang boleh disahkan ketika ini. Ada yang menyebut SUV segmen B Perodua itu dibangun menggunakan Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang juga ada pada Ativa, Daihatsu Xenia, Avanza, Veloz dan Alza akan datang. Ia juga khabarnya akan menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-VE Dual VVT-i yang sama dengan Myvi, diganding bersama D-CVT.

    Perkara lain berkaitan kenderaan yang dijangka diperkenalkan pada 2023 ini adalah harga permulaannya dianggarkan dari RM73,000, hampir sama dengan Ativa 1.0 AV yang paling tinggi dan sedikit di bawah X50 yang dijual bermula RM79,200. Tapi semua ini hanya khabar angin, sehinggalah disahkan nanti.

    Bagaimana dengan rekaan ini? Cukup menarik? Ada rasa nak beli?

     
     
  • JPJ eBid: Nombor plat VJJ sedia untuk dibida

    JPJ eBid: Nombor plat VJJ sedia untuk dibida

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor dari Kuala Lumpur, VJJ, bersedia untuk dibida menerusi platform bidaan dalam talian, JPJ eBid.

    Mula dibuka bidaannya pada hari ini, 15 Julai 2022, ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 19 Julai ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 20 Julai 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Honda HR-V 2022 – aksesori Modulo luar dan dalam

    Honda HR-V 2022 – aksesori Modulo luar dan dalam

    Seperti biasa untuk model baru, Honda Malaysia juga menawarkan pilihan aksesori Modulo untuk HR-V generasi ketiga yang dilancarkan hari ini. Ia terdiri daripada barangan untuk bahagian luar, dalam, aksesori tambahan dan juga perlindungan kenderaan. Selain mendapatkannya secara pakej, pemilik juga boleh mendapatkannya secara berasingan.

    Bagi pakej Modulo Package yang dijual pada harga RM3,780, barangan yang diberi adalah termasuk spoiler di bawah bampar hadapan dan belakang, serta kemasan tambahan di bahagian skirting tepi. Walaubagaimanapun, pakej ini hanya disediakan untuk varian 1.5 S (kecuali kemasan skirting yang boleh dibeli untuk semua varian).

    Pakej seterusnya adalah Urban Package, berharga RM2,381. Ia datang dengan visor cermin, lampu kaki, pedal bahagian pemandu sports serta kemasan tepi pintu berlampu. Barangan ini boleh dipasang pada semua varian, kecuali pedal sports yang tidak disediakan untuk varian RS.

    Pakej Smart Urban Package berharga RM3,488 boleh dipasang untuk semua varian. Melaluinya anda akan mendapat visor cermin, lampu kaki, kemasan tepi pintu berlampu, pelindung kemasan di bahagian meletak barang belakang serta pengecas telefon tanpa wayar.

    Satu lagi pakej adalah Utility Package, yang dijual pada harga RM1,106. Barangan yang diberi melalui pakej ini adalah termasuk pelapik ruang barangan belakang, pelekat pantul cahaya di tepi pintu, kain pembahagi barang, kain penutup kereta serta kemasan pelindung pada bahagian pemegang pintu.

    Aksesori lain yang disediakan adalah penapis haba cermin, coating badan Ultra Glass (RM2,716), coating cermin Ultra (RM367 untuk pakej penuh dan RM183.50 untuk cermin hadapan sahaja), serta perakam video (RM1,149).

     
     
  • Harga SST Honda CR-V 2022 di Malaysia – 2.0 2WD naik RM7k; varian VTEC Turbo naik sehingga RM8.5k

    Harga SST Honda CR-V 2022 di Malaysia – 2.0 2WD naik RM7k; varian VTEC Turbo naik sehingga RM8.5k

    Honda Malaysia telah pun mendedahkan harga bagi Honda CR-V (bukan model serba baharu) dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Sebelum ini, syarikat terbabit mengeluarkan senarai harga baharu susulan berakhirnya pengecualian SST pada 30 Jun lalu, namun tidak menyertakan harga untuk SUV ini sekali.

    Dengan senarai baharu ini, model asas 2.0 2WD kini dijual pada harga RM146,900, menyaksikan peningkatan sebanyak RM6,987.47 tanpa pengecualian SST. Manakala untuk varian pengecas turbo pula, bagi varian 1.5 TC-P 2WD dan 1.5 TC-P AWD masing-masing mengalami kenaikan harga sebanyak RM8,184.09 dan RM8,489.82.

    Harga SST Honda CR-V 2022 di Malaysia – 2.0 2WD naik RM7k; varian VTEC Turbo naik sehingga RM8.5k

    Bagu CR-V Black Edition, yang diasaskan dari model 1.5 TC-P 2WD, yang diperkenalkan pada Oktober lalu, kini dijual pada harga RM170,400, atau RM8,486.01 lebih tinggi berbanding sebelum ini. Seperti sebelum ini, CR-V yang ditempah dengan warna spesifik Platinum White Pearl akan dikenakan surcaj sebanyak RM400.

    Harga baharu CR-V didedahkan sama waktu dengan pelancaran HR-V 2022 yang berlangsung pagi tadi. Crossover itu juga mengalami kenaikan harga sehingga RM5.4k tanpa pengecualian SST. Sila semak jadual di atas untuk mengetahui harga terkini dengan SST bagi barisan model Honda di Malaysia.

     
     
  • Suzuki sah tarik diri dari MotoGP dan EWC – mahu guna perbelanjaan, kemampuan teknologi ke arah lain

    Suzuki sah tarik diri dari MotoGP dan EWC – mahu guna perbelanjaan, kemampuan teknologi ke arah lain

    Berita yang kita dapat sebelum ini, berkenaan penarikan diri Suzuki dalam MotoGP adalah melalui khabar bahawa terdapat perbincangan di antara pengeluar dari Jepun ini dengan penganjur perlumbaan tersebut. Sekarang, satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh Suzuki, dan perkara itu memang telah disahkan.

    Apa yang dinyatakan, penyertaan Suzuki sebagai pasukan factory akan dihentikan sebaik musim 2022 berakhir, dan ini bukan sahaja dalam perlumbaan MotoGP, tetapi juga World Endurance Championship (EWC). Walaubagaimanapun, sokongan masih akan diberi kepada aktiviti perlumbaan sedia ada sekarang, serta penyertaan pelanggan selepas tempoh itu.

    “Suzuki telah mengambil keputusan untuk mengakhiri penyertaan dalam MotoGP dan EWC demi memenuhi keperluan untuk menggunakan sumber ke arah inisiatif kelestarian (sustainability). Perlumbaan motosikal sentiasa menjadi tempat mencabar untuk inovasi teknologi, termasuk kelestarian dan pembangunan sumber manusia.

    Keputusan ini bermakna bahawa kami akan menyahut cabaran untuk membina operasi perniagaan motosikal baru dengan menghalakan semula kemampuan teknologi dan sumber manusia yang telah kami usahakan dalam aktiviti perlumbaan motosikal untuk menyelidiki laluan lain untuk masyarakat lestari,” kata wakil pengarah dan presiden Suzuki Motor Corporation, Toshihiro Suzuki dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan.

     
     
  • BMW Malaysia perkenal yuran langganan untuk ciri tertentu kenderaan – bayaran bermula RM40 sebulan

    BMW Malaysia perkenal yuran langganan untuk ciri tertentu kenderaan – bayaran bermula RM40 sebulan

    BMW Malaysia telah memperkenalkan beberapa servis langganan baru melalui BMW ConnectedDrive Store, yang mana dapat membenarkan pemilik untuk menghidupkan beberapa ciri pada kenderaan mereka, selagi kenderaan tersebut mempunyai perkakasan yang berkenaan dengannya. Selain daripada itu, jika kenderaan tersebut tidak mempunyai fungsi untuk langganan ini, pemilik perlu membayar yuran untuk Apple CarPlay (sekali sahaja).

    Semasa artikel ini ditulis, terdapat sembilan servis yang diletakkan dalam senarai ConnectedDrive Store pasaran Malaysia, dengan ada di antaranya tertulis “trial now“, untuk membenarkan pemilik mencuba terlebih dahulu ciri tersebut sebelum membuat keputusan untuk membayar yuran langganan atau bayaran penuh untuknya. Servis yang tidak mempunyai pilihan “trial now” ini adalah seperti suspensi Adaptive M (bayaran penuh RM1,880).

    Apple CarPlay Preparation masih lagi ada dalam senarai, dan sekarang ditawarkan pada harga RM1,299 untuk akses tanpa had, manakala IconicSounds Sport untuk kenderaan elektrik BMW yang mempunyai IconicSounds Electric ditawarkan pada harga RM640 (sekali bayar sahaja). Satu lagi servis yang tidak mempunyai tanda “trial now” adalah USB Map Update, di mana ia dijual pada harga RM269 setahun.

    Pergi kepada servis yang mempunyai tanda “trial now“, antara yang disediakan adalah BMW Drive Recorder, di mana ia dapat menggunakan kamera sedia ada pada kenderaan untuk merekodkan keadaan sekeliling. Bayarannya adalah RM55 sebulan, RM235 setahun, RM549 tiga tahun atau RM1,239 tanpa had – tempoh cubaan satu bulan tidak memerlukan sebarang bayaran.

    Begitu juga dengan Driving Assistant Plus, di mana tempoh cubaan selama tiga bulan tidak memerlukan sebarang bayaran, dan jika yakin mahu melanggannya, pemilik boleh membayar RM170 untuk sebulan, RM1,690 untuk satu tahun, RM2,640 untuk tiga tahun dan RM3,750 untuk akses tanpa had.

    Servis lain yang ditawarkan adalah termasuk pemanas tempat duduk hadapan (tempoh cubaan percuma satu bulan, RM80 sebulan, RM780 setahun, RM1,230 tiga tahun, RM1,750 tanpa had), pembantu lampu tinggi (tempoh cubaan percuma satu bulan, RM40 sebulan, RM370 setahun, RM550 tiga tahun, RM800 tanpa had) dan pemanas roda stereng (tempoh cubaan percuma satu bulan, RM50 sebulan, RM410 setahun, RM690 tiga tahun, RM950 tanpa had).

     
     
  • Agensi berkaitan diarah teliti kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat – Wee Ka Siong

    Agensi berkaitan diarah teliti kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat – Wee Ka Siong

    Sejak kebelakangan ini, kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat seperti treler semakin menjadi-jadi. Semalam, empat sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki terbabit dengan kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Ipoh. Kemalangan tersebut membabitkan sebuah treler tanpa muatan yang dipandu dari arah Taiping menghala ke Bukit Beruntung, Selangor, telah merempuh sebuah kereta yang dinaiki empat sekeluarga dari arah belakang, sebelum merempuh lima lagi kenderaan lain.

    Pagi tadi, di Pasir Puteh, Kelantan, seorang wanita maut, manakala empat lagi termasuk bayi cedera selepas terbabit kemalangan yang turut melibatkan sebuah SUV, dua lori, tiga kereta, dua motosikal dan 21 basikal. Ia turut menyebabkan sebuah daripada lori yang membawa muatan besi terbalik dan menghempap kenderaan lain.

    Perkara menyayat hati ini turut menarik perhatian Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Menerusi entri yang dimuatnaik di Facebook rasminya, beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan agensi-agensi dan pihak yang berkaitan termasuk JPJ, MIROS serta Puspakom untuk meneliti kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat dengan lebih menyeluruh. Kaedah penyelesaian yang berkesan perlu disegerakan.

    “Selain mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah, saya juga melihat keperluan melaksanakan ujian saringan kepada para pemandu bagi mengelakkan mereka memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah atau alkohol.

    Agensi berkaitan diarah teliti kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat – Wee Ka Siong

    “Menerusi kerjasama pihak PDRM dan AADK, ujian saringan ini mungkin boleh dilakukan secara berkala, dibuat secara mengejut dan dilaksanakan di pelbagai lokasi termasuk di pejabat-pejabat syarikat pengangkutan dan logistik,” katanya.

    Jelas beliau, mana-mana syarikat juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terutama jika hasil siasatan mendapati kenderaan mereka tidak diselenggara dengan baik, tidak mematuhi peraturan dan seumpamanya.

    “Kita tidak mahu syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab ini lepas tangan dan hanya tamak mengaut keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan pekerja iaitu pemandu dan juga pengguna jalan raya yang lain.

    “Syarikat-syarikat dan para pemain industri juga perlu memandang serius perkara ini terutamanya dalam memastikan keselamatan pekerja-pekerja mereka sentiasa terjamin. Undang-undang yang digubal perlu dipatuhi dan dihormati sepenuhnya, ianya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan nyawa manusia,” tambahnya lagi.

     
     
  • Kia XCeed 2023 akan dilancarkan 18 Julai ini; penjana kuasa PHEV, mild-hybrid, bakal dapat varian GT-Line

    Kia XCeed 2023 akan dilancarkan 18 Julai ini; penjana kuasa PHEV, mild-hybrid, bakal dapat varian GT-Line

    Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2019, Kia XCeed bakal hadir dengan model facelift pada bulan ini. Malahan jenama Korea ini telah pun menyebarkan dua lakaran imej yang menunjukkan rupa crossover segmen-C yang telah dikemaskini.

    XCeed 2023 ini bakal menampilkan lampu utama dengan trio lampu nyalaan siang LED menegak, sementara bamparnya hadapanya pula dipadankan dengan corong pengambilan sisi yang direka semula, serta masih mengekalkan gril ‘tiger nose’ dan corong kemasukan utama yang lebih rendah.

    Untuk lakaran imej kedua pula, ia memberikan gambaran belakang yang lebih dekat, dengan menampilkan unit lampu yang direka semula serta seksyen bampar bawah yang juga dikemaskini.

    Kia XCeed 2023 akan dilancarkan 18 Julai ini; penjana kuasa PHEV, mild-hybrid, bakal dapat varian GT-Line

    Menurut Kia, semua pilihan penjana kuasa bagi XCeed facelift ini akan dielektrifikasikan, ini bermakna enjin 1.0L tiga-silinder, 1.4L empat-silinder dan 2.0L yang ditawarkan pada model pre-facelift sebelum ini tidak akan diteruskan.

    Bagi varian PHEV untuk XCeed pre-facelift, enjin 1.6 liter suntikan-terus petrol yang dipadankan bersama motor elektrik 44.5 kW (60 PS) yang dipacukan dari pek bateri 8.9 kWh, mampu menghasilkan sistem kuasa kombinasi mencecah 141 PS dan tork 265 Nm, dan jarak elektrik tulen pula sekitar 58 km.

    Kemungkinan besar barisan penjana kuasa elektrifikasi yang bakal dipadankan bersama XCeed facelift ini ialah unit mild-hybrid Smartstream 1.0 liter T-GDI suntikan-terus turbo petro, yang disepadukan dengan bateri polimer ithium-ion dan mild-hybrid starter-generator (MHSG). Namun perkara ini masih belum disahkan oleh Kia.

    Walau bagaimana pun, Kia mengesahkan, kemasan GT-Line akan menyertai barisan XCeed buat pertama kalinya. Ia juga dijangka akan dilengkapi dengan beberapa ciri baharu termasuk pengecas tanpa wayar untuk telefon bimbit, serta lencana GT-Line dan kit luaran yang berbeza, juga kemasan dalaman spesifik GT-Line.

     
     
  • Honda HR-V 2022 – lebih 20,000 tempahan di Malaysia, 75% varian turbo, tempoh menunggu cecah 12 bulan

    Honda HR-V 2022 – lebih 20,000 tempahan di Malaysia, 75% varian turbo, tempoh menunggu cecah 12 bulan

    Honda HR-V generasi ketiga baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia, namun permintaan untuknya telah lama meningkat dan sehingga kini, 20,000 tempahan telah diterima. Tempoh menunggu untuk SUV segmen B ini juga sudah mencecah 12 bulan, dan antara sebabnya adalah orang yang berpusu-pusu membuat tempahan sebelum 30 Jun bagi menikmati pengecualian cukai.

    Semasa pelancarannya hari ini, Honda telah mendedahkan pecahan tempahan ini mengikut varian. Daripada keseluruhan tempahan yang diterima, 5% adalah untuk varian asas NA, diikuti 20% untuk e:HEV dan baki 75% pula untuk varian VTEC Turbo yang terdiri daripada dua varian iaitu E dan V.

    Harga untuk HR-V baru ini bermula dari RM114,800, iaitu untuk varian S yang menggunakan enjin 1.5L NA, seterusnya RM129,800 untuk Turbo E dan RM134,800 untuk Turbo V (dua varian ini menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo), dan yang paling tinggi adalah RS e:HEV (hibrid), dijual pada harga RM140,800.

    Honda HR-V 2022 – lebih 20,000 tempahan di Malaysia, 75% varian turbo, tempoh menunggu cecah 12 bulan

    Setakat ini, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang menerima tiga pilihan enjin bagi HR-V 2022 ini, dan melihat kepada kenderaan itu sendiri, ia melibatkan pelbagai peningkatan termasuk saiz luaran lebih besar, ruang dalaman lebih luas serta rekaan serba baru.

    Ada lima pilihan warna ditawarkan, iaitu Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic dan Crystal Black Pearl. Anda boleh membaca perincian HR-V 2022 dan spesifikasi setiap varian di sini.

     
     
  • Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

    Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

    Selepas beberapa laporan susulan sebelum ini, Honda HR-V terbaru akhirnya telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ada empat varian ditawarkan bagi HR-V 2022 ini, dengan tiga pilihan sistem janaan kuasa.

    Varian paling asas S menggunakan enjin 1.5L NA dan dijual pada harga RM114,800. Ini diikuti pula dengan varian Turbo E (RM129,800) dan Turbo V (RM134,800) yang dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC Turbo. Varian paling tinggi pula ialah RS e:HEV hibrid, pada harga RM140,800. Semuanya harga atas jalan dengan cukai jualan, tidak tertermasuk insurans.

    Harga sebenar ketika pelancarannya adalah sedikit rendah berbanding harga anggaran (antara RM120k-RM140k) sebelum ini. Sama seperti semua model Honda di Malaysia, HR-V juga merupakan unit pemasangan tempatan (CKD).

    Malaysia juga merupakan satu-satunya pasaran di dunia yang menerima penawaran tiga pilihan bagi sistem janaan kuasa HR-V 2022 ini. Sebagai contoh, Eropah dan Thailand hanya menyaksikan penawaran model hibrid sahaja; Indonesia dengan pilihan NA dan Turbo; manakala Australia NA dan hibrid.

    Varian paling asas S menerima enjin 1.5L petrol yang sama digunakan bagi model City. Ia unit NA DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Varian E dan V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo dengan janaan 181 PS dan 240 Nm tork antara 1,700 hingga 4,500 rpm. Ini 1 PS kurang daripada Civic FE, dan kedua-dua model NA dan Turbo ini digandingkan dengan CVT.

    Varian RS pula dikhususkan untuk sistem janaan hibrid e:HEV. Motor elektrik i-MMD yang menjadi nadi utama kini 22 PS lebih berkuasa berbanding pada City, dengan 131 PS. Tork maksimum ialah 253 Nm. Enjin NA dengan kitaran Atkinson ini, yang bertindak selaku generator dan boleh memacu kereta ini dalam kelajuan tinggi, menghasilkan 107 PS dan 131 Nm. Angka ini 9 PS/4 Nm lebih tinggi berbanding City.

    Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

    Selain itu, sistem i-MMD pada HR-V 2022 ini juga mempunyai lebih banyak sel dalam IPU-nya (intelligent power unit, atau bateri — 60 berbanding 48 sel) serta nisbah lebih rendah bagi transmisi e-CVT, bertujuan untuk mendapatkan pecutan yang lebih baik. Sistem i-MMD ini berbeza dengan sistem i-DCD generasi sebelumnya, membolehkan ia bertindak lebih cenderung sebagai range extender EV, dan bergerak dalam mod elektrik dalam tempoh yang lebih lama.

    Model generasi kedua HR-V ini juga sangat jauh berbeza berbanding model lamanya dari sudut rekaan, walaupun dengan beberapa pendekatan masih dikekalkan, seperti rekaan pemegang pintu belakang yang tersembunyi. HR-V bari ini juga hadir dengan rekaan yang lebih bersegi dengan garis lurus, nampak lebih tinggi dan ranggi berbanding yang lama.

    Bahagian hud lebih rata dan panjang, menjadikan “hidung”nya lebih menonjol. Pandangan sisinya juga lebih rata dan ringkas. Di depan, tiada lagi rekaan Solid Wing dengan gril lama, dan kini diberikan perincian “denyutan” pada bahagian gril bawah RS. Di belakang, lampu LED dengan kelebaran penuh menyuntik imej premium untuk SUV ini.

    HR-V baru ini nampak lebih besar berbanding yang lama. Dengan 4,385 mm panjang (varian S tanpa bampar sporty ialah 4,330 mm panjang), HR-V baru ini hanya 39 mm lebih panjang daripada RS sebelum ini. Lebar 1,790 mm dan jarak antara roda 2,610 mm pula tidak berubah. Mungkin jarak kelegaan tanahnya — 196 mm, 26 mm lebih tinggi — yang memberikan kesan.

    Di dalam juga lebih luas, dengan Honda mendakwa +35 mm ruang kaki dan lutut untuk penumpang belakang, yang juga menikmati penyandar kerusi yang dua-darjah lebih condong untuk lebih keselesaan. Di depan, tahap penglihatan pemandu kini 10 mm lebih tinggi berbanding dahulu. Rekaan baru papan pemukanya tiada lagi pendekatan sporty dengan rasa kokpit yang “menyelubungi”; kini rasanya lebih terbuka dengan elemen mendatar.

    HR-V ini juga menjadi yang pertama datang dengan sistem sebaran udara dengan adanya corong di bahagian sisi. Apa yang dilakukan adalah, sekiranya pengguna tidak mahu udara ke arah mereka secara terus, tetapi masih mahukan sedikit pengudaraan, pulas tombol berkenaan dan udara akan dialirkan dari bukaan kecil bentuk L terbalik di bucu.

    Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

    Kelengkapan lain, paling utama adalah tentang Honda Sensing; ia kini ditawarkan sebagai standard untuk semua varian. Enam beg udara dari varian E ke atas, LaneWatch dari V ke atas dan RS menerima kit eksklusif seperti pintu barangan berkuasa, pengilap automatik dan kawalan pendingin automatik dua-zon. RS dibezakan secara visual dengan perincian hitam berkilat pada bahagian bawah badannya serta gril kemasan krom.

    Lima pilihan warna yang sama akan ditawarkan — Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic dan Crystal Black Pearl. Setakat pelancarannya, Honda Malaysia sudah menerima sekitar 20,000 tempahan, dan tempoh menunggu bagi pelanggan untuk mendapatkan kenderaan mereka ialah dalam tempoh 12 bulan. Apa pandangan anda tentang SUV terbaru Honda ini?

    Perincian spesifikasi bagi setiap varian adalah seperti berikut:

    Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

    Honda HR-V 1.5 S 2022
    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 litre DOHC i-VTEC
    • 1,498 cc NA empat-silinder petrol
    • 121 PS pada 6,600 rpm, 145 Nm pada 4,300 rpm
    • Continuously variable transmission (CVT)
    • Pacuan roda depan
    • Mod pemanduan Econ dan Normal
    • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold
    • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
    • Cakera brek berliang (depan), cakera tertutup (belakang)

    Luaran

    • Lampu reflektor LED automatic
    • Lampu belakang kombinasi LED
    • Gril palang hitam berkilat
    • Pelindung badan plastik tanpa cat
    • Kemasan bawah hitam berkilat
    • Rim 17-inci enam-jejari dua tona
    • Muncung ekzos tunggal dan terselindung
    • Cermin sisi lipatan berkuasa
    • Sistem tanpa kunci dengan ciri kunci automatik ketika jauh

    Dalaman

    • Butang Push Start
    • Papan pemuka material sentuhan lembut
    • Stereng multifungsi Urethane
    • Larasan stereng tinggi/rendah dan rapat/jauh
    • Kluster instrumen analogue dengan paparan multi-info
    • Tingkap kuasa untuk pemandu dengan Auto naik/turun
    • Tombol gear Urethane
    • Kerusi balutan fabrik hitam
    • Kerusi depan larasan manual
    • Kerusi belakang Ultra Seat dengan nisbah lipatan 60:40
    • Kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang
    • Head unit 2-DIN lapan-inci skrin sentuh dengan Apple CarPlay dan Android Auto
    • Empat pembesar suara
    • Dua slot USB di depan
    • Empat sensor parkir
    • Kamera undur
    • Penutup ruang barangan boleh lipat
    • Tayar ganti saiz penuh

    Keselamatan

    • Empat beg udara (depan dan sisi)
    • ISOFIX belakang dengan cagak atas
    • Bantuan pemandu Honda Sensing
    • AEB
    • Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
    • Bantuan ke tengah lorong
    • Bantuan mengekalkan lorong
    • Lampu tinggi automatik
    • ABS dengan EBD dan bantuan brek
    • Kawalan kestabilan
    • Agile Handling Assist (AHA)
    • Bantuan mula mendaki
    • Kawalan menuruni bukit
    • Lampu isyarat berhenti kecemasan
    • Peringatan tali keledar untuk semua kerusi
    • Peringatan kerusi belakang

    Honda HR-V 1.5 Turbo E 2022
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo
    • 1,498 cc turbocas empat-silinder petrol
    • 181 PS pada 6,600 rpm, 240 Nm dari 1,700 dan 4,500 rpm
    • Pedal penukar gear di stereng
    • Mod pemanduan Econ, Normal dan Sport

    Luaran

    • Lampu kabus depan LED
    • Gril petak hitam berkilat
    • Bodykit depan dan belakang
    • Grafik “denyutan” depan warna perak
    • Rim aloi 17-inci enam jejari kelabu
    • Muncung ekzos berkembar
    • Penghidup enjin jarak jauh

    Dalaman

    • Kemasan papan pemuka warna perak
    • Kluster instrumen separa digital dengan paparan tujuh-inci
    • Perehat lengan belakang
    • Dua slot USB di belakang

    Keselamatan

    • Enam beg udara

    Honda HR-V 1.5 Turbo V 2022
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Stereng nisbah boleh ubah

    Luaran

    • Lampu isyarat depan LED
    • Rim 18-inci sepuluh jejari aloi kelabu

    Dalaman

    • Bahagian pintu permukaan lembut
    • Keliling suis tingkap hitam berkilat
    • Stereng balutan kulit
    • Tombol gear balutan kulit
    • Kerusi balutan kulit hitam
    • Kerusi pemandu larasan kuasa lapan-arah
    • Dua cermin hias dengan lampu
    • Lapan pembesar suara
    • Servis Honda Connect

    Keselamatan

    • Kamera titik buta LaneWatch

    Honda HR-V 1.5 RS 2022
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Motor elektrik di depan
    • 131 PS, 253 Nm
    • Enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC
    • 1,498 cc NA kitaran Atkinson empat-silinder petrol
    • 105 PS dari 6,000 hingga 6,400 rpm, 127 Nm dari 4,500 hingga 5,000 rpm
    • Transmisi kelajuan tunggal dengan klac pengunci

    Luaran

    • Gril petak krom
    • Pelindung badan hitam berkilat
    • Grafik “denyutan” merah
    • Kemasan krom di bawah
    • Muncung ekzos tunggal terselindung

    Interior

    • Pengilap automatik
    • Kawalan pendingin automatik dua zon
    • Kit baik pulih tayar
    • Pintu ruang belakang bebas kendalian tangan

    Honda HR-V Turbo E 2022

    Honda HR-V Turbo V 2022

    Honda HR-V RS 2022

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 – imej bocor sebelum dilancarkan secara rasmi pada 21 Julai nanti!

    Honda Civic Type R 2023 – imej bocor sebelum dilancarkan secara rasmi pada 21 Julai nanti!

    Pelbagai teaser telah disiarkan sebelum ini bagi menghangatkan suasana sebelum Honda Civic Type R generasi baharu didedahkan secara rasmi. Honda telah mendedahkan imej awalan hot-hatch berkenaan, dan pelbagai video ujian serta time attack di litar Suzuka dan Nürburgring, namun kesemua imej unit prototaip tersebut masih dilindungi pelekat penyamaran.

    Minggu ini Honda telah membuat pengumuman rasmi bahawa Civic Type R 2023 berkenaan akan membuat kemunculan sulung global pada 21 Julai nanti. Namun sebelum pendedahan rasmi tersebut, imej sebenar model berkenaan nampaknya telah bocor di internet!

    Imej ini dijumpai oleh seorang ahli Civic11Forum dengan nama Palmer8 – gambar Civic Type R tersebut disiarkan bersama beberapa model lain yang akan ditayangkan di laman web pelawat Honda (Honda Welcome Plaza Aoyama). Namun hanya satu gambar yang disiarkan iaitu imej berdefinisi rendah menayangkan bahagian suku hadapan Civic Type R tersebut.

    Model generasi baharu ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback – berdasarkan apa yang dibuat pada model generasi FK8 sebelum ini, rupa untuk model 2023 ini sememangnya sudah boleh diagak. Gambar yang bocor ini jelas menunjukkan bahawa ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.

    Berbanding FK8 yang menampilkan liang udara bonet yang direka sebagai skup udara, liang pada bonet model 2023 ini nampaknya berada di kedudukan lebih hadapan, dan ia tenggelam seakan untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin keluar. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, dengan skirt sisi seakan direka sebagai splitter udara, serta spoiler belakang bersaiz besar kini direka ala GT-Wing.

    Unit “hero” untuk Civic Type R ini masih menerima warna tradisi Championship White. Manakala kesemua fender yang lebar berkenaan melindungi set roda dengan rim kemasan hitam dan tayar yang lebar dan besar (mungkin sama dengan FK8 dengan saiz 245/30R20), bersama angkup brek berwarna merah yang juga lebih besar dari biasa.

    Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf.

    Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan. Boleh diagak model generasi baharu ini masih tetap akan ditawarkan dengan kotak gear manual.

    Walaupun masih belum diperkenalkan secara rasmi, Honda Civic Type R ini sudahpun memecahkan rekod lap kereta pacuan roda hadapan terpantas di Litar Suzuka dengan catatan masa 2 minit 23.120 saat. Masa yang dicatatkan ini cukup untuk memecahkan rekod yang dibuat oleh versi paling hardcore dan paling ringan untuk FK8 iaitu Type R Limited Edition yang mencatatkan masa 2 minit 23.993 saat – hampir satu saat lebih perlahan! – pada tahun 2020.



    GALERI: Honda Civic Type R 2023 Prototype

     
     
  • JPJ Penang keluarkan 1,005 saman dalam Op Khas Motosikal – ada yang rela disaman dari ambil lesen

    JPJ Penang keluarkan 1,005 saman dalam Op Khas Motosikal – ada yang rela disaman dari ambil lesen

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengeluarkan sebanyak 1,005 saman dalam Op Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha yang dilaksanakan selama empat hari dan berakhir malam tadi.

    Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata pihaknya mengeluarkan 1,005 saman tersebut atas pelbagai kesalahan antaranya membabitkan tiada lesen memandu, cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh.

    “Kami turut menyaman dua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menunggang kenderaan itu tanpa lesen. Kami berasa kecewa dengan tindakan dua penunggang motosikal berkenaan yang seperti tiada perasaan bersalah apabila menunggang tanpa lesen padahal mampu membeli kenderaan itu yang berharga puluhan ribu ringgit.

    “Lebih mengecewakan mereka bukan sahaja tidak memiliki lesen kelas B bagi mengendalikan motosikal berkuasa tinggi, bahkan tidak mempunyai lesen kelas B2 dan D yang ini menunjukkan mereka tidak kisah langsung kepada undang-undang,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

    Tambah beliau, setiap kali operasi membabitkan motosikal, pihaknya kerap mengesan kesalahan menunggang tanpa lesen yang kebanyakan penunggang bergerak secara berkumpulan bagi mengaburi mata penguat kuasa.

    “Kita dapati penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen memandu akan bergerak secara konvoi (berkumpulan) untuk elak diri mereka ditahan. Mengapa susah sangat untuk buat lesen memandu hingga sanggup bayar saman sedangkan ia satu tindakan yang merugikan kerana membabitkan keselamatan diri?” katanya.

    Operasi itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar.

     
     
  • Geely FX11 Xingyao didedah di China – ganti Boyue, platform CMA; ini Proton X70 generasi kedua?

    Geely FX11 Xingyao didedah di China – ganti Boyue, platform CMA; ini Proton X70 generasi kedua?

    Geely telah mendedahkan SUV baharu diberi nama Xingyao di China. SUV yang sebelum ini dikenali dengan kod FX11 tersebut diasaskan dari platform Compact Modular Architecture (CMA) binaan bersama Geely dan Volvo, iaitu asas yang sama untuk model seperti Volvo XC40 dan Lynk & Co 01.

    Menurut CarNewsChina, Xingyao adalah SUV segmen-C dan bakal menggantikan Geely Boyue (asas untuk Proton X70) yang sudah pun berada enam tahun dalam pasaran. Model ini nampaknya telah menggunakan signatur rekaan baharu Geely yang sebelum ini ditunjukkan pada model konsep Vision Starburst Jun tahun lalu.

    Laporan Baoji High-Tech pula menyebut, FX11 ini diasaskan dari platform CMA yang ditambah baik, digelar sebagai CMA 1.5, yang diintegrasikan bersama seni bina elektrik GEEA 2.0 membolehkan ia dipadankan dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

    Untuk unit rangkaian kuasa, laman Autohome menyatakan bahawa Xingyao ini menerima enjin 1.5 liter bersama sistem hibrid elektrik dari keluarga Leishen Power yang telah didedahkan Geely sebelum ini, menampilkan enjin khas yang dibina untuk dipadankan dengan sistem hibrid, diberikan suapan supercharger dan sistem suntikan bahan api terus.

    Geely FX11 Xingyao didedah di China – ganti Boyue, platform CMA; ini Proton X70 generasi kedua?

    CarNewsChina mengatakan bahawa enjin tersebut akan menggantikan enjin 1.5 TD Geely sedia ada, dan ia mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 317 hp.

    FX11 ini juga akan dihasilkan dalam versi petrol sepenuhnya, dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 238 PS dan tork maksima 380 Nm yang sama seperti Xingyue L, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Aisin untuk memacu roda hadapan.

    Geely Xingyao FX11 ini bakal membuat kemunculan sulungnya di khalayak umum pada Chengdu Motor Show 2022 yang bakal bermula 26 Ogos nanti, dan dijangka akan mula dijual pada lewat tahun ini.

    Dengan posisinya yang bakal menggantikan Geely Boyue, tak mustahil FX11 ini turut akan di bawa ke Malaysia bagi dijelmakan sebagai Proton X70 generasi kedua. SUV pertama dari Proton berkenaan telah dilancarkan di pasaran tempatan pada akhir 2018, dan menerima versi kemaskini MC1 pada Jun lalu. Mungkin model generasi kedua untuk X70 ini akan muncul dalam masa dua tahun lagi?

     
     
  • RM10.5j diperuntukkan untuk baikpulih kerosakan jalan di sepanjang laluan Kota Kinabalu-Sandakan

    RM10.5j diperuntukkan untuk baikpulih kerosakan jalan di  sepanjang laluan Kota Kinabalu-Sandakan

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memperuntukkan sejumlah RM10.5 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan segera kerosakan Jalan Persekutuan FT22 di sepanjang laluan Kota Kinabalu-Sandakan yang dikenal pasti mengalami kerosakan teruk.

    Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, peruntukan itu merangkumi RM5 juta peruntukan segera yang disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan RM5.5 juta lagi disalurkan menerusi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

    Beliau berkata, sebanyak lima lokasi dikenal pasti memerlukan pembaikan segera melalui peruntukan segera RM5 juta kepada JKR Sabah iaitu Seksyen 173-174, Seksyen 174-175, Seksyen 175-176, Seksyen 176-177 dan Seksyen 143-144, semuanya di daerah Telupid, laporan Bernama.

    RM10.5j diperuntukkan untuk baikpulih kerosakan jalan di  sepanjang laluan Kota Kinabalu-Sandakan

    “Surat arahan kebenaran belanja sudah dimajukan kepada JKR Sabah pada 22 Jun lalu dan kini kerja fizikal pembaikan yang termasuk penurapan berkala sudah bermula. Ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan sebagai antara langkah jangka pendek mengatasi ketidakselesaan pengguna jalan raya.

    “Susulan kerja bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan pengurusan atasan KKR sempena FT Roadpedia Negeri Sabah Mei lalu, satu pasukan petugas khas yang saya ketuai dibentuk bagi mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengatasi kesulitan pengguna jalan raya yang di laluan FT22 dari Sandakan ke Telupid,” katanya.

    Jelasnya lagi, mesyuarat pertama diadakan pada 7 Jun lalu yang mana hala tuju pasukan khas tersebut menumpu kepada aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk mencari kaedah penyelesaian bersama.

    Tambahnya, memandangkan jajaran Jalan Persekutuan FT22 itu adalah sebahagian laluan Projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu dalam Pakej Kerja 28, 29 dan 30, kaedah penyelesaian memerlukan pembabitan pasukan projek lebuh raya berkenaan yang terdiri daripada JKR Sabah selaku Pegawai Penguasa Projek, pihak perunding dan kontraktor serta syarikat konsesi yang menyelenggara Jalan Persekutuan.

    RM10.5j diperuntukkan untuk baikpulih kerosakan jalan di  sepanjang laluan Kota Kinabalu-Sandakan

    “Pada masa sama, sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan melalui Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Pakej Kerja 28, 29 dan 30 untuk melaksanakan kerja pembaikan di sepanjang laluan yang terbabit dengan pembinaan lebuh raya itu bermula dari Batu 32, Sandakan sehingga Sungai Baoto, Telupid.

    “Kerja sudah bermula awal bulan ini membabitkan lokasi yang kritikal terlebih dahulu dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan. Malah kerja mengenal pasti laluan yang berisiko akan terus dibuat oleh JKR Sabah dan pihak perunding dan akan dibentangkan pada mesyuarat pasukan petugas khas secara berperingkat,” katanya.

    Pada pertengahan Jun lalu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jalan yang menghubungkan Sandakan-Telupid tidak akan dibaikpulih dan meminta masyarakat di Sabah diminta bersabar dengan keadaan jalan yang daif dan banyak kerosakan di negeri itu, terutamanya yang menghubungkan laluan di daerah terbabit, jika mahu terus menggunakan jalan bebas tol.

    Malahan penduduk di sana meminta untuk dikecualikan bayaran cukai jalan sehingga lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya, memandangkan keadaan jalan raya yang rosak teruk. Namun perkara ini tidak dibenarkan oleh kerajaan pusat kerana kerajaan negeri memperoleh sebanyak RM3 bilion dari aliran pendapatan, menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025