Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis Kelantan percaya kereta yang meletup semalam kerana mangsa merokok, bawa banyak muatan mercun

    Susulan dari kejadian sebuah kereta yang meletup hingga terputus dua semalam, Polis Kelantan hari ini menyatakan bahawa kejadian tersebut dipercayai kerana mangsa merokok dan pada masa sama dalam kenderaan itu mempunyai mercun bola dalam jumlah banyak, lapor Harian Metro.

    Menurut akhbar berkenaan, kejadian tersebut berlaku pada 5.38 petang di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kelantan menyebabkan seorang mangsa, Wan Hassan Wan Ali, 49, maut, manakala empat kenderaan lain turut terbakar. Dengan letupan yang agak kuat, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat menyatakan bahawa ia telah menyebabkan kemusnahan besar dan memberi kesan dalam jarak 100 meter termasuk kepada kenderaan berdekatan, masjid, rumah penduduk dan tadika.

    “Kejadian ini pertama kali berlaku di negeri ini dan polis Kelantan memohon bantuan daripada Unit Forensik dan Unit Bom Bukit Aman untuk membuat analisis kejadian dan mereka dalam perjalanan ke negeri ini, hari ini. Hasil analisis termasuk punca kejadian dijangka akan diperoleh tidak lama lagi,” katanya pada sidang media siang tadi.

    Mengulas lebih lanjut, Shafien berkata kejadian letupan itu berlaku ketika kereta sedang berhenti di lampu isyarat, dan ada saksi yang mengatakan bahawa ketika kejadian mangsa merokok dan membuka tingkap sedikit sebelum letupan berlaku.

    “Letupan itu menyebabkan empat kenderaan rosak dan empat mangsa lain cedera termasuk seorang cedera parah. Semua mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dalam keadaan stabil,” katanya.

    Beliau menjelaskan bahawa jumlah kemusnahan dalam kejadian itu belum diketahui memandangkan mangsa lain termasuk penduduk di lokasi terkesan dengan kejadian belum membuat laporan polis. Shafien juga agar meminta semua mangsa tampil membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan termasuk jumlah kerugian.

    “Kami masih menyiasat sama ada mangsa terbabit dengan penyeludupan mercun atau tidak dan mangsa mempunyai dua rekod lampau termasuk berkaitan dadah serta pecah rumah.

    “Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti penyeludupan barang terlarang kerana ia adalah salah di sisi undang-undang dan boleh membawa padah kepada diri,” katanya.

     
     
  • PKP 3.0: Tiada lockdown penuh, operasi perniagaan dihad 8 pagi-8 mlm, kapasiti pengangkutan awam 50%

    PKP 3.0: Tiada <em>lockdown</em> penuh, operasi perniagaan dihad 8 pagi-8 mlm, kapasiti pengangkutan awam 50%

    Kerajaan hari ini mengumumkan kemaskini prosedur operasi standard (SOP) untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih diperketat selepas negara mencatatkan angka jangkitan harian virus Covid-19 yang melebihi 6,000 kes selama berberapa hari. Walau bagaimanapun, masih lagi tiada ‘lockdown’ penuh diumumkan seperti yang dibuat pada PKP 1.0 ketika gelombang pertama jangkitan wabak tersebut tahun lalu.

    Menurut Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya hari ini, kerajaan menggunakan dua strategi untuk mengurangkan pergerakan rakyat kali ini iaitu dengan mengurangkan pekerja di pejabat (termasuk 80% kakitangan kerajaan) serta mengehadkan masa operasi sektor ekonomi.

    Untuk itu, lebih banyak sekatan jalan raya (SJR) yang akan dibuat selepas ini. Manakala untuk pengangkutan awam (LRT/MRT dan bas) pula, masa operasinya yang kini dari 6 pagi hingga tengah malam akan diubah selepas ini, serta kapasiti penumpang juga hanya dibenarkan pada 50% dari kadar maksimum.

    Bagi operasi premis berkaitan makanan seperti restoran, medan selera, kiosk, gerai dan juga penjaja tepi jalan serta trak makanan, bermula 25 Mei ini ia hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 petang sepanjang tempoh PKP ini.

    Begitu juga dengan pasaraya, kedai runcit dan kedai serbanika, ia turut hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam. Manakala untuk pasar malam, ia dibenarkan beroperasi dari pukul 4 petang hingga 8 malam.

    Bagi stesen minyak pula, ia dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam, tetapi untuk stesen di lebuhraya ia masih dibenarkan beroperasi selama 24-jam.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada April 2021 turun 12.3%

    Jualan kenderaan di M’sia pada April 2021 turun 12.3%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan jualan kenderaan di Malaysia untuk bulan April 2021 turun sebanyak 12.3% berbanding rekod yang dicatatkan pada Mac. Di mana pada Mac, sebanyak 63,878 unit kenderaan telah dihantar pada bulan lalu, iaitu lebih 21,094 unit (atau 49.3%) berbanding 42,784 unit yang dicatatkan pada Februari 2021.

    Namun nasib tidak menyebelahi April apabila hanya sekitar 57,912 kenderaan yang dihantar kepada para pelanggan – 52,628 kenderaan penumpang dan 5,284 kenderaan komersil. MAA berkata, rekod yang kurang memberangsangkan tersebut disebabkan Perintah Kawalah Pergerakan (PKP) 3 yang dilaksanakan serta masalah bekalan cip yang berkurangan di peringkat global sehingga menjejaskan pengeluaran kenderaan.

    Namun demikian, jumlah tersebut jauh daripada apa yang direkodkan pada bulan yang sama pada tahun lalu, apabila pertama kali PKP dilaksanakan sepenuhnya. Di mana hanya sejumlah 141 unit kenderaan tetap direkod sempat didaftarkan sepanjang bulan April 2020. Walau bagaimana pun, untuk separuh pertama 2021, buat masa ini, angka dari tahun hingga ke tarikh berkenaan meningkat sebanyak 86% iaitu cecah 179,096 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu hanya sekitar 95,876 unit.

    Untuk jualan bulan Mei pula, MAA meramalkan ia juga bakal menyusut disebabkan PKP yang lebih diperketatkan bakal dilaksanakan di seluruh Malaysia (dengar cerita dengan protokol yang lebih tegas) dan juga tempoh waktu bekerja yang lebih singkat disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

     
     
  • Bugatti Chiron Sport Les Légendes du Ciel ‘bertempur’ dalam lumba drag dengan pesawat Dassault Rafale

    Ingat lagi perlumbaan antara Bugatti Veyron yang dipandu Richard Hammond dan juga jet pejuang Eurofighter Typhoon dalam salah satu episod Top Gear lebih sedekad lalu? Nah, ini dia, pembuat hypercar dari Perancis berkenaan sekali lagi melakukan perkara yang sama, tetapi kali ini dengan model generasi baharu mereka iaitu Bugatti Chiron, menentang jet pejuang milik tentera laut Perancis.

    Chiron adalah model pengganti Veyron, yang muncul pada tahun 2016. Model yang digunakan untuk perlumbaan kali ini adalah dari versi edisi khas iaitu Chiron Sport Les Légendes du Ciel, dihasilkan bagi meraikan penglibatan pengasas jenama tersebut, Ettore Bugatti dalam penerbangan Perancis.

    Namun, model ini masih dijana oleh enjin W16 8.0 liter turbo menghasilkan 1,500 PS (1,479 hp). Walaupun hanya dibezakan dengan perincian astetik, model tersebut dijual pada harga 2.88 juta euro (sekitar RM14.6 juta), dan dihasilkan hanya 20 unit.

    Bugatti Chiron Sport Les Légendes du Ciel ‘bertempur’ dalam lumba drag dengan pesawat Dassault Rafale

    Manakala tentera laut Perancis pula menampilkan jet pejuang Dassault Rafale buatan tempatan yang turut digunakan oleh tentera udara negara tersebut. Ia dilengkapkan dengan enjin jet Snecma M88 yang mampu menghasilkan tujahan 58,550 newton, atau 5,727 PS (5,649 hp).

    Jadi siapa menang dalam perlumbaan ini? Ia dimulakan dengan Chiron Sport terlebih dahulu meluru ke hadapan ketika bermula, tetapi kemudian dipotong semula apabila enjin jet tersebut memberikan tujahan sepenuhnya – sama dengan situasi perlumbaan antara Hammond dengan Eurofighter dahulu.

    Pesawat tetap pesawat, dan kereta masih lagi kereta. Rafale turut menang dari segi kelajuan maksima dengan kemampuan mencapai 1.6 Mach atau sekitar 1,975 km/j, manakala Chiron Sport pula merekodkan kelajuan tertinggi 420 km/j.

     
     
  • Ford Ranger Raptor SE dalam teaser, akan ke Eropah

    Ford Ranger Raptor SE dalam <em>teaser</em>, akan ke Eropah

    Satu varian terbaru Ford Ranger Raptor bakal memasuki pasaran Eropah, dikenali sebagai Ranger Raptor SE, seperti yang dicadangkan oleh iklan teaser ala poster filem yang muncul ini.

    Dengan tajuk “The Good, The Bad and the Bad-RSE”, yang mungkin menjadi singkatan kepada nama Raptor Special Edition, trak terbaru ini bagaimanapun tidak ditunjukkan muka depannya. Sebalilnya, hanya bahagian belakang yang didedahkan dalam iklan ala poster ini, yang dikeluarkan oleh Ford sendiri.

    Beberapa perbezaan dapat dilihat pada Ranger Raptor SE ini jika dibandingkan dengan Ranger Raptor standard dan Ranger Raptor X Special Edition. Varian baru bagi Eropah itu kelihatan datang dengan sports bar dan lampu brek yang lebih tirus dari Wildtrak. Varian ini mungkin akan menampilkan penutup gulung ruang belakangnya juga, dihiasi dua jalur lumba.

    Belum ada pengumuman rasmi dibuat berkaitan mekanikalnya setakat ini, walaupun ini boleh dijangkakan kekal sama seperti sebelumnya; iaitu enjin 2.0 liter biturbo empat-silinder diesel dengan janaan 213 PS dan 500 Nm tork pada Ranger Raptor dan Wildtrak. Ini datang bersama transmisi automatik 10-kelajuan dan paddle shifter.

     
     
  • BMW X5 xDrive45e G05 dengan kelengkapan M Performance – harga RM469k, terhad 30 unit sahaja

    BMW X5 xDrive45e G05 dengan kelengkapan M Performance – harga RM469k, terhad 30 unit sahaja

    Selepas ditunjukkan sebagai teaser minggu lalu, kini Auto Bavaria mendedahkan sepenuhnya BMW X5 xDrive45e G05 dengan kelengkapan M Parts yang akan dijual cuma sebanyak 30 unit sahaja di Malaysia. Model ini telah diubah suai khas oleh Auto Bavaria dengan pelbagai kelengkapan berwarna hitam untuk menjadikannya lebih garang dan sporty.

    Antaranya adalah seperti gril hadapan hitam berkilat, pelindung cermin sisi gentian carbon dan rim M Star Spoke Style 748 20 inci warna hitam, menggantikan rim Style 740 M dua tona yang digunakan pada varian biasa X5.

    Selain daripada itu, tiada perubahan mekanikal, enjinnya masih lagi menggunakan unit enam silinder 3.0 liter B58 bersama gabungan motor elektrik, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 394 PS dan 600 Nm tork. Untuk menyampaikan kuasa ke atas jalan, ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda xDrive.

    Kelengkapan lain juga adalah sama seperti varian biasa. Ini termasuklah lampu jenis LED adaptif, brek M Sport dengan angkup berwarna biru, sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional dengan 14 pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 464 watt, suspensi udara dan pakej BMW Driving Assistant.

    Harga jualan X5 xDrive 45e dengan kelengkapan M Performance ini adalah RM468,800 tidak termasuk insurans, dan ia didatangkan bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan dan program servis berkala percuma. Walaupun harga ini agak tinggi, Auto Bavaria juga menawarkan hadiah percuma bernilai lebih RM22,000, yang termasuk pengecas i-Wallbox BMW dan perakam video Advance Car Eye.

     
     
  • MV Agusta Rush 1000 2021 – terhad 300 unit sahaja

    MV Agusta Rush 1000 2021 – terhad 300 unit sahaja

    MV Agusta sekali lagi memperkenalkan model keluaran terhad, kali ini dinamakan sebagai Rush 1000. Model ini sebenarnya menggunakan asas daripada Brutale 1000, tetapi keseluruhan panel badannya ditukar untuk menjadi lebih garang dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 300 unit untuk seluruh dunia.

    Rekaan berkonsepkan industri/jentera perang/komik manga ini dicat dengan kebanyakan berwarna hitam, berserta jalur kuning di beberapa bahagian. Kemudiannya, ia diserikan lagi dengan gentian karbon pada pelindung enjin, pelindung ekzos, penutup bawah tempat duduk, pelindung rangka dan rim, serta penutup kotak udara.

    Dalam keadaan standard, enjin empat silinder 988 cc pada hypernaked ini boleh menghasilkan kuasa 208 hp pada 13,000 rpm dan 116.5 Nm tork (sama seperti Brutale 1000RR, tetapi jika dipasang dengan kit lumba Rush, ia boleh meningkat menjadi 212 hp pada 13,800 rpm.

    Kit lumba ini sebenarnya diberikan terus kepada pembeli Rush 1000, diletakkan dalam satu kotak khas, dan di dalamnya mempunyai set ekzos SC Project, ECU khas, penutup untuk tempat duduk belakang, ekzos dan panel instrumen, penutup tempat isi minyak CNC, tuil brek dan klac CNC, kain penutup motosikal, cakera brek khas serta helmet AGV Pista GP.

    Kelengkapan lain adalah sama sahaja seperti Brutale 1000RR termasuklah transmisi enam kelajuan dengan pam Brembo dan quickshifter, tetapan cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo Stylema empat piston di hadapan, suspensi Ohlins yang boleh dilaras depan dan belakang (NIX EC 43 mm dan monoshock EC TTX), damper elektronik Ohlins dan panel instrumen TFT yang boleh disambungkan kepada aplikasi pintar untuk pelbagai fungsi.

    GALERI: MV Agusta Rush 1000 dengan kit lumba

     
     
  • Ford F-150 Lightning trak pikap elektrik didedahkan — 563 hp, 1,051 Nm sehingga 480 km jarak, tiba 2022

    Ford F-150 Lightning trak pikap elektrik didedahkan — 563 hp, 1,051 Nm sehingga 480 km jarak, tiba 2022

    Setelah lama menanti, Ford akhirnya memperkenalkan trak pikap elektrik saiz penuh dikenali sebagai F-150 Lightning. Dan ia nampak meyakinkan dari aspek prestasi, teknologi dan kemampuan mengangkut.

    Menggunakan asas trak F-150 generasi ke-14 yang diperkenalkan tahun lalu, dengan badan aluminium aloi yang sama tetapi kerangka yang diperkukuh, Ford mendakwa ia keluli paling kukuh pernah digunakan sebagai kerangka F-150. Ia juga menempatkan bateri lithium-ion yang menjadi sumber tenaga bagi motor depan dan belakang.

    Motor yang ada memberi kemampuan prestasi pacuan semua roda bagi Lightning, dengan janaan 563 hp dan 1,051 Nm tork — angka paling tinggi dihasilkan oleh mana-mana versi F-150 setakat ini. Ini membolehkannya mencapai pecutan 0-97 km/j dalam masa di bawah lima saat.

    Bagi jarak perjalanan, ia didakwa mampu memberikan jarak 370 km bagi versi standard atau 480 km bagi versi kapasiti bateri lebih besar, berdasarkan dari United States Environmental Protection Agency (EPA). Ford belum mengeluarkan sebarang perincian kapasiti bateri, tetapi bayangannya Lightning ini mampu menyediakan kuasa selama tiga hari bagi rumah dengan penggunaan 30kWh sehari, model extended-range pula sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya 90 kWh.

    Ford F-150 Lightning trak pikap elektrik didedahkan — 563 hp, 1,051 Nm sehingga 480 km jarak, tiba 2022

    Kemampuan untuk membekalkan kuasa kepada rumah ini dipanggil Intelligent Backup Power yang akan menghantar elektrik kembali melalui sama ada dua port pengecasnya pada kadar 9.6 kW, dibantu melalui Ford Charge Station Pro 80-amp dan sistem pengurusan rumah. Fungsi Ford Intelligent Power akan datang juga akan membolehkan trak ini membekalkan kuasa kepada rumah ketika waktu kemuncak dengan kos tinggi dan boleh dicas semalaman pada kadar lebih rendah.

    Kuasa baterinya boleh digunakan untuk tujuan lain juga. Fungsi Pro Power Onboard membolehkan penggunaan peralatan kuasa dan peranti rumah secara langsung dari soket di depan trak pada kadar 2.4 kW. Varian lebih tinggi Lariat dan Platinum juga ada soket dalam kabin dan ruang barangan belakang dengan output keseluruhan 7.2 kW.

    Untuk mengecas model extended-range dari 15% hingga 100% memerlukan lapan jam menerusi pengecas 80-amp tersebut, dengan tambahan 48 km bagi setiap jam. Selain itu, pengguna juga boleh memanfaatkan pengecas pantas DC dengan kadar sehingga 150 kW, menyalurkan kuasa dari 15% hingga 80% dalam masa 41% dan menambah 87 km dalam masa 10 minit.

    Membezakan Lightning daripada model F-150 lainnya ialah rekaan depan dan belakang unik yang lebih bersegi, dengan lampu utama depan dan belakang tampil futuristik serta bahagian gril tertutup yang ditawarkan dalam tiga rekaan. Port pengecasan pula boleh diperoleh di kedua-dua sisi fender depan lengkap dengan lencana F-150 di atasnya.

    Ford F-150 Lightning trak pikap elektrik didedahkan — 563 hp, 1,051 Nm sehingga 480 km jarak, tiba 2022

    Di dalam, varian Lariat dan Premium menerima sistem infotainmen terkini Sync 4A dengan ciri skrin sentuh potret 15.5-inci dari elektrik SUV Mustang Mach-E. Sistem ini datang dengan kawalan suara, navigasa berasaskan teknologi cloud, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kesepaduan Amazon Alexa, aplikasi Sync AppLink dan kemaskini perisian OTA.

    Turut ada ialah paparan panel instrumen 12-inci. Lightning akan turut memiliki ciri yang diperkenalkan pada F-150 2021, termasuk Zone Lighting 36-darjah serta tempat duduk Max Recline yang boleh direbahkan sepenuhnya.

    Trak ini juga akan didatangkan dengan sistem BlueCruise terbaru dari Ford, yang merupakan fungsi pemanduan semi-autonomous Tahap 2 yang membolehkan pemanduan tanpa kendalian tangan di lebih 160,000 km lebuh raya di AS dan Kanada. Ia hadir sebagai sebahagian daripada sistem keselamatan pilihan Ford Co-Pilot360.

    Ford F-150 Lightning trak pikap elektrik didedahkan — 563 hp, 1,051 Nm sehingga 480 km jarak, tiba 2022

    Kapasiti beban yang boleh ditampung ialah 900 kg. Jika memerlukan ruang barangan tambahan, bahagian Mega Power Frunk boleh memberikan tambahan 400 liter lagi ruang di depan, dengan beban tampungan 180 kg. Model Lariat dan XLT juga mempunyai kapasiti menunda 4,500 kg dengan bateri lebih besar dan pakej Max Trailer Tow.

    Trak ini juga ada kemampuan off-road, menampilkan empat pilihan mod pemanduan (Normal, Sport, Off Road dan Tow/Haul) bagi sistem AWD. Bateri juga ditempatkan dalam perumah kalis air dan dikelilingi pelindung daripada hentaman, sementara skid plate logam turut melindungi bateri dan motornya.

    Dibina di Pusat Kenderaan Elektrik Rouge di Dearborn, Michigan, Lightning akan mula di jual di pasaran AS pada musim bunga nanti, dengan harga yang hampir sama dengan F-150 petrol/diesel, bermula dari US$39,974 (RM165,500) — sebelum cukai.

     
     
  • JPJ beri lanjutan tempoh Lesen Belajar Memandu selama 9 bulan hingga 11 November ini – Menteri

    JPJ beri lanjutan tempoh Lesen Belajar Memandu selama 9 bulan hingga 11 November ini – Menteri

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan lanjutan tempoh sembilan bulan bagi Lesen Belajar Memandu (LDL) mulai 11 Februari sehingga 11 November ini.

    Katanya, pemilik LDL layak mendapat tempoh lanjutan itu dengan membuat salinan LDL bersama bayaran RM10 sekiranya LDL tamat tempoh melebihi dua tahun atau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), laporan. Berita Harian.

    “Tarikh yang akan dicetak pada LDL adalah tarikh transaksi dilakukan dan tamat pada 11 November ini (melebihi tempoh tiga atau enam bulan). Jika tarikh tamat lesen LDL lebih dua tahun (sebelum 13 Januari atau selepas 11 November ini), pemilik tidak layak menerima penyelarasan baharu PKP dan perlu membuat permohonan baharu LDL.

    JPJ beri lanjutan tempoh Lesen Belajar Memandu selama 9 bulan hingga 11 November ini – Menteri

    “Mereka juga perlu mengulangi semula Latihan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) 01, 02 dan 03 serta menduduki kesemua Ujian Bahagian I, II dan III. Pemilik LDL B2 Tunggal dibenarkan untuk transaksi memperbaharui lesen dengan bayaran RM2 bagi tempoh tiga bulan jika LDL berbaki dua tahun,” katanya.

    Tambah beliau, lanjutan itu susulan pelaksanaan PKP bermula 13 Januari lalu yang melarang pengoperasian Pusat Latihan Memandu atau Institut Memandu (IM), E-hailing Operator (EHO) dan Pusat Ujian Komputer (e-Khidmat) membabitkan aktiviti latihan dan ujian.

    Pada 11 Februari lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan sekolah memandu boleh beroperasi semula , namun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

     
     
  • Brabus 800 diperkenal – Mercedes-AMG GLS63 dengan 800 hp/1,000 Nm; 0-100 dalam 3.8s, roda 24″!

    Brabus 800 diperkenal – Mercedes-AMG GLS63 dengan 800 hp/1,000 Nm; 0-100 dalam 3.8s, roda 24″!

    Brabus 800 telah diperkenalkan, di mana SUV prestasi ini diasaskan dari model Mercedes-AMG GLS 63 4Matic+. Kalau GLS 63 yang ditampilkan dengan enjin 4.0 liter pengecas turbo berkembar V8 dengan 604 hp dan 850, tapi kit Brabus PowerXtra B40 S-800 menerima tujahan kuasa yang lebih melimpah ruah iaitu mencecah 800 hp dan tork 1,000 Nm!

    Kuasa terbabit ditambah dengan padanan dua pengecas turbo besar, yang menampilkan kompresor lebih besar dan modifikasi pemasangan utama dengan axial bearing. Ia kini mampu memproduksi boost pressure secara maksimum pada tahap 1.6 bar. Kawalan electronic boost pressure turut diberikan pemetaan semula, sebelum ditempatkan pada unit kawalan enjin menerusi modul Brabus PowerXtra.

    Sekaligus membolehkan jentera dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, berbanding GLS 63, walau bagaimana pun ia ditampilkan dengan pengehad elektronik untuk kelajuan maksimum yang mencecah 280 km/j. SUV seberat 2,600 kg ini turut didatangkan dengan waranti tiga-tahun atau 100,000 km.

    Talaan khas ini juga telah menawarkan beberapa lagi pembaharuan ciri, termasuk dua ekzos prestasi tinggi dengan keluli tahan karat Brabus dengan active flap. Selain itu, suspensi Airmatic juga telah dipertingkatkan, jadi Brabus 800 lebih rendah sebanyak 25 mm berbanding model GLS 63. Paling menarik, ia turut diberikan roda tempaan Brabus Monoblock M “Platinum Edition” bersaiz 24-inci, dengan dibaluti tayar 295/35.

    Bagi rekaannya, serlahan hitam menutupi lip hadapan turut bertindak mengurangkan gandar hadapan terangkat ketika jentera dipacu dalam kelajuan yang tinggi, menjadikannya lebih stabil sewaktu melalui selekoh. Selain itu, beberapa ciri dengan sentuhan gentian karbon turut diberikan untuk air deflector untuk bampar hadapan, serta gril radiator dengan jaluran merah bersama lencana Brabus. Manakala komponen CF pula kini ditawarkan sama ada dengan kemasan glossy atau matte.

    Di dalamnya, SUV ini turut menerima ciri yang diperrtingkatkan termasuklah upholstery kulit hitam “breathable” Brabus dengan jahitan kontras kelabu dan piping rona merah. Permukaan panel pintu dan tempat duduk pula menampilkan quilt Arrow Wave, dan enam daripada tujuh perehat kepala bagi tempat duduk diberikan logo Brabus yang disulam kemas. Manakala roda stereng (dengan pedal penukar gear aluminium yang dipertingkatkan) turut diberikan serlahan merah.

     
     
  • VIDEO: Perodua Aruz 2021 – dapat warna baharu Passion Red, pemijak sisi, pengunci pintu automatik

    Perodua secara rasminya telah pun melancarkan model Aruz 2021 awal bulan ini. Ia diberikan beberapa peningkatan dan pembaharuan termasuklah warna baharu, namun harganya masih dikekalkan. Dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun ini, Aruz X ditawarkan pada harga atas jalan RM68,526 tanpa insurans, sementara varian AV pula berharga RM73,226.

    Warna baharu yang diperkenalkan pula ialah Passion Red, eksklusif untuk varian AV sahaja. Empat warna lain yang telah diperkenalkan terlebih dahulu termasuklah Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver dan Ivory White. Manakala warna Amazon Green yang dianggap sebagai ‘hero color’ sebelum ini telah pun dihentikan pada akhir tahun lalu.

    Manakala kit baharu yang diberikan adalah untuk bahagian luaran, dan ada yang tidak kelihatan. Ciri baharu yang jelas ialah pemijak sisi, yang didatangkan secara standard untuk semua varian. Kemasan hitam digabungkan dengan lapisan badan Aruz, manakala lencana model ini dipaparkan di seksyen belakang.

    Ciri baharu yang tidak kelihayan ialah pengunci pintu automatik, yang turut boleh berfungsi di atas kelajuan 20/kj. Mengenai pengunci pintu automatik ini, sistem tersebut turut mempunyai fungsi pembuka kunci automatik sekiranya berlaku kemalangan, dan ia didatangkan untuk kedua-dua varian X dan AV. Anda boleh lihat bagaimana ia berfungsi menerusi video di atas.

    Enjin kekal sama menggunakan unit 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS pada 6,000 rpm dan 133 Nm tork pada 4,200 rpm. Enjin Dual VVT-i ini menghantar kuasanya melalui transmisi automatik empat-kelajuan dan memberikan bacaan penggunaan minyak 15.6 km/l (6.4 l/100 km) dengan sistem Eco Idle.

    Pada Mac lalu, Perodua telah melancarkan SUV Ativa, di mana cirinya lebih berteknologi tinggi berbanding Aruz, namun saiznya sedikit kecil berbanding MPV tujuh-tempat duduk itu. Walau pun harganya tidak jauh beza, namun kedua-duanya pasti memiliki kelebihan yang tersendiri yang tidak perlu dibandingkan antara satu sama lain.

    Jika anda tida memerlukan ruang, Ativa antara pilihan terbaik. Tetapi jika anda memerlukan ruang atau tempat duduk tambahan, mahu pun ruang kargo yang lebih luas apabila tempat duduk belakangnya dibaringkan, bolehlah memilih Aruz. Terpulanglah mengikut keperluan dan kehendak anda sendiri.

     
     
  • Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

    Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

    Malaysia kini sudah bersedia untuk menawarkan insentif cukai menarik bagi memacu agenda kenderaan elektrik (EV) dalam negara. Menurut CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, selain insentif tetap yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pengguna dan industri, kerajaan juga bercadang memberi tambahan insentif khas lain untuk pengeluar berdasarkan tahap komitmen mereka.

    Semasa sesi webinar bertajuk Permulaan Baru bagi EV di Malaysia yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Sektor Automotif Malaysia Eurocham, Madani memberitahu bahawa polisi EV baru ini akan melibatkan insentif tetap dan khas, tidak seperti sekarang di mana insentif diubah suai mengikut Polisi Automotif Negara (NAP) 2020.

    “Sekarang ini kami melaksanakan insentif khas, bergantung kepada manfaat ekonomi. Walaubagaimanapun di bawah polisi pemacu EV baru ini, akan ada insentif tetap. Satu bahagian daripada insentif tetap ini adalah berkaitan dengan duti eksais, duti import dan cukai jualan,” kata beliau.

    “Tapi sebagai tambahan, jika anda membawa sesuatu yang luar biasa ke Malaysia, kami bersedia untuk mempertimbangkan insentif lebih tinggi, yang diubah suai mengikut tahap yang anda bawa ke dalam negara,” jelas Madani. Inisiatif ini bukan sahaja untuk pengeluar kenderaan, tetapi juga pengeluar komponen EV.

    Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

    Bagi pembeli pula, insentif cukai sedang dibuat untuk polisi ini, dan kerajaan melihat kepada menyediakan pelbagai manfaat untuk pengguna EV – lapor Bernama. Madani berkata, pengguna secara umumnya akan dapat menikmati insentif terus seperti cukai jalan lebih rendah, skema letak kenderaan kenderaan mesra alam, rebat tol serta rebat pemasangan pengecas di rumah.

    Bulan lepas, Madani memberitahu satu perbincangan berkaitan insentif pembeli juga dimasukkan ke dalam kemungkinan rebat diberikan untuk naik taraf sistem pendawaian (dari single phase ke three phase) untuk pengecas di rumah.

    “Mekanisme ini sedang dalam tahap kelulusan akhir oleh kerajaan, tetapi selain daripada itu, untuk industri, secara prinsipnya, kita akan mendapat pengecualian cukai yang agak menarik, dalam bentuk pengurangan cukai yang besar bagi duti eksais, duti import dan cukai jualan EV,” kata Madani.

    Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

    Berapa jumlah sebenar pengurangan ini masih belum diketahui memandangkan sekarang ini duti eksais bagi EV import sepenuhnya ditetapkan pada 10%, tidak mengira jenama. Berapa banyak unit dan berapa lama tempoh yang diperlukan untuk mendapat insentif ini juga masih belum diketahui.

    Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC, atau sebelum ini dikenali sebagai GreenTech) bulan lalu ada mencadangkan beberapa nombor. Dalam Rangka Tindakan Jejak Karbon Rendah, telah didedahkan bahawa pengecualian cukai penuh akan disediakan untuk 10,000 unit kenderaan EV yang diimport sepenuhnya, sehingga tahun 2022. Dari Tahun 2023 hingga 2025, EV CBU akan diberikan pengecualian duti eksais dan import 50%, sebelum pasaran boleh menerima BEV pemasangan tempatan.

    Menurut dokumen itu, insentif ini juga akan dirangka dengan mengambil kira model plug-in hybrid (PHEV). Ini termasuklah pengecualian cukai untuk model CKD yang layak, dengan pengecualian 100% diberikan sehingga tahun 2022, 75% dari 2023 hingga 2025 dan 50% dari 2026 ingga 2030.

    Polisi EV Malaysia akan tawarkan kereta tanpa cukai, rebat tol, insentif pengecas dan cukai jalan rendah

    Kelayakan tertentu juga akan dibuat untuk PHEV, berdasarkan jarak gerak elektrik sekali cas dan tiada pengecasan enjin. Aspek ini ditetapkan pada jarak permulaan 30 km (mengikut NEDC) bagi tahun ini, ditingkatkan kepada 55 km dari tahun 2022 hingga 2024 dan 75 km sekali cas dari 2025 hingga 2027, sebelum ditetapkan pada 100 km dari 2028 hingga 2030.

    Perincian selanjutnya hanya akan diketahui apabila polisi ini dibentangkan sepenuhnya. Madani memberitahu, harapnya polisi tersebut dapat dibawa kepada kabinet untuk kelulusan menjelang Jun, sebelum diumumkan pada bulan Julai. Asalnya, polisi tersebut sepatutnya diumumkan suku pertama tahun ini.

    “Skip polisi baru ini akan termasuk kenderaan penumpang, skuter, motosikal serta kenderaan komersial. Ia juga akan merangkumi pengeluar kelengkapan asli (OEM), pengeluar EV serta syarikat yang menggunakan EV sebagai satu servis seperti SoCar dan Grab,” kata Madani.

     
     
  • Mercedes-AMG SL R232 2022 – kerangka serba baru didedah, tempat duduk 2+2, binaan serba ringan

    Mercedes-AMG SL R232 2022 – kerangka serba baru didedah, tempat duduk 2+2, binaan serba ringan

    Sementara Mercedes-AMG SL generasi seterusnya sedang melalui proses ujian dan pembangunan, pengeluarnya telah mendedahkan gambar kerangka yang akan digunakan sebagai asas model tersebut. Menurut Mercedes-AMG, tidak ada satu bahagian pun yang diambil daripada SL generasi R231 atau AMG Roadster GT.

    “Kami telah dapat menyesuaikan permintaan pakej tinggi, sambil pada masa sama mencapai nilai ketegaran cemerlang dalam semua bidang sambil mengambil kira aspek berat, jadi dapat memberikan asas baik untuk pemanduan dinamik dan keselesaan terbaik,” kata ketua pegawai teknikal Mercedes-AMG, Jochen Hermann.

    Menurut Mercedes-AMG lagi, selain kembali menggunakan bumbung fabrik, Mercedes-AMG SL baru ini juga akan menampilkan tetapan tempat duduk 2+2, yang memberikan cabaran baru kepada pasukan pembangunan, pada aspek kerumitan. R232 dibangunkan dengan gabungan penggunaan bahan aluminium, besi, magnesium dan gentian komposit bagi memastikan ia mencapai tahap ketegaran yang tinggi dan berat yang rendah.

    Mercedes-AMG SL R232 2022 – kerangka serba baru didedah, tempat duduk 2+2, binaan serba ringan

    Perlindungan apabila terbalik adalah sangat penting bagi kenderaan bumbung terbuka, dan di sini, rangka cermin hadapan R232 SL dibuat daripada tiub besi kekuatan tinggi, dan dipadankan bersama struktur pop-up rollover di belakang tempat duduknya – ciri keselamatan yang sama seperti ditawarkan pada SL generasi sebelumnya.

    Titik utama sepanjang kerangka ini, di mana daya bertemu atau di mana daya kuat perlu dialih, menggunakan komponen cast aluminium, dan ia dipilih kerana mempunyai kelebihan menampung jumlah tenaga tertentu, kata Mercedes-AMG.

    Ketebalan dinding kemudiannya dapat diubah mengikut beban yang dihadapi, untuk ketegaran yang lebih di bahagian yang perlu seperti sambungan casis. Dinding komponen aluminium ini hanya dibuat menggunakan ketebalan yang perlu, seterusnya membantu penjimatan berat.

    Mercedes-AMG SL R232 2022 – kerangka serba baru didedah, tempat duduk 2+2, binaan serba ringan

    Jika dibandingkan dengan SL sekarang, kekuatan torsional dapat ditingkatkan sebanyak 18%, sementara ketegaran transverse meningkat 50% dan ketegaran longitudinal meningkat 40% berbanding AMG GT Roadster. Peningkatan ketegaran secara keseluruhan ini memberikan asas lebih baik untuk menawarkan kawalan lebih tepat dan lincah. Tanpa pintu, bonet, pintu but dan barangan lain, rangka ini mencatat berat sekitar 270 kg.

    Keseluruhan konsep kenderaan juga dibangunkan dengan mengambil kira titik graviti serendah mungkin, termasuklah bahagian sambungan utama kepada enjin dan pemacu. R232 SL ini berkemungkinan menggunakan transaxle seperti AMG GT sekarang.

    Memandangkan titik sambungan yang diberitahu tadi perlu dijadikan lebih tegar dan menggunakan lebih banyak bahan, bahagian yang lebih berat diletakkan lebih rendah. Contohnya, sambungan antara bahagian depan dan belakang, serta ruang selamat penumpang.

    Mercedes-AMG SL R232 2022 – kerangka serba baru didedah, tempat duduk 2+2, binaan serba ringan

    Tambah Mercedes-AMG, pada keseluruhan rangka R232 SL baru ini, antara teknik sambungan yang digunakan adalah termasuk kimpalan MIG, laser, punch riveting, blind riveting, pematerian MIG, sambungan gam dan flow hole. Ia juga menepati semua keperluan keselamatan yang ditetapkan syarikat.

    Pembangunan awal kerangka ini dibuat dalam masa tiga bulan, sementara waktu yang diambil untuk menghasilkan SL baru ini pula mengambil masa tiga tahun. Menurut pengeluar itu lagi, kenderaan pengesahan struktur yang digunakan mendapat tahap tertinggi dalam ujian perlanggaran yang dibuat.

    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG SL R232 lapan silinder


    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG SL R232 enam silinder

     
     
  • Opel Manta G Se ElektroMOD – model ikonik sentuhan restomod, dijana motor elektrik 147 PS/225 Nm

    Opel Manta G Se ElektroMOD – model ikonik sentuhan restomod, dijana motor elektrik 147 PS/225 Nm

    Opel Manta, antara coupe yang kacak diperkenalkan pada era 70’an dan antara model yang ikonik dari jenama Jerman berkenaan. Bagi meraikan ulang tahun ke-50 Opel, serta sebagai penanda bahawa mereka bakal beralih ke teknologi elektrifikasi, syarikat berkenaan menghasilkan sebuah Manta yang dijana kuasa elektrik sepenuhnya, diberi nama Manta GSe ElektroMOD.

    Kereta tersebut diasaskan dari rangka badan Manta klasik sebenar yang direstorasi, jadi Manta GSe ElektroMOD ini diklasifikasikan sebagai sebuah kereta restomod. Oleh itu, bentuk badan asas kereta ini masih kekal sama seperti Manta asli, namun perincian-perincian lain menerima komponen-komponen baharu yang jauh lebih moden.

    Enjin petrol asal empat silinder dari perut Manta ini sudah tidak lagi digunakan dan ia digantikan dengan motor elektrik 108 kW (147 PS) dan tork maksima 225 Nm. Apa yang menarik dan jarang orang buat, motor elektrik berkenaan digandingkan dengan kotak gear manual empat kelajuan asli dari Manta tersebut, kemudian memacu roda belakang

    Opel Manta G Se ElektroMOD – model ikonik sentuhan restomod, dijana motor elektrik 147 PS/225 Nm

    Konfigurasi berkenaan membolehkan pemandu menukar gear secara manual, namun ia juga boleh dipandu dengan gear empat sepanjang masa kerana kesemua 225 Nm tork yang dibekalkan pada motor elektrik tersebut telah pun tersedia walupun pada 0 rpm.

    Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri lithium-ion 31 kWj, tetapi Opel tidak menyatakan di mana bateri tersebut diletakkan. Dengan satu caj penuh, Manta elektrik ini boleh berjalan sejauh 200 km. Soket pengecaj pula diletakkan pada posisi biasa corong pengisi bahan api Manta berkuasa petrol.

    Dengan pengecaj onboard 9 kW, bateri tersebut boleh dipenuhkan dalam masa tidak sampai empat jam. Bateri itu juga dapat dicaj semula ketika dipandu menerusi sistem regenerative braking.

    Bagi rupa pula, lampu bulat berkembar asal bersama seluruh panel gril hadapan Manta berkenaan digantikan dengan panel paparan teknologi Pixel. Panel tersebut menampilkan lampu nyalaan siang LED serta membolehkan pemandu memancarkan mesej bertulis di bahagian hadapan.

    Di belakang, lampu bulat berkembar masih dikekalkan tetapi ia kini menggunakan teknologi LED tiga dimensi. Logo Opel diletakkan pada bahagian tengah panel hitam utama di belakang, manakala perkataan ‘Manta’ pula tertera pada penutup but belakang.

    Penampilan luaran Manta GSe ElektroMOD ini sebenarnya diinspirasikan dari model Manta GT/E – ia diberikan warna kuning bersama penutup bonet hadapan berwarna hitam yang sama seperti model varian paling berkuasa pada versi generasi pertama tersebut. Rupa tersebut dilengkapkan dengan rim Ronal 17-inci kemasan hitam-digilap, dibaluti tayar 195/40R17 di hadapan dan 205/40R17 di belakang.

    Opel Manta G Se ElektroMOD – model ikonik sentuhan restomod, dijana motor elektrik 147 PS/225 Nm

    Dalam kabin, Manta GSe ini menampilkan teknologi digital terkini dari jenama ‘adik-beradik’ Opel iaitu Vauxhall. Panel meter-meter analog bulat asal Manta ini telah digantikan dengan panel paparan digital Vauxhall Pure Panel dengan dua skrin menghadap pemandu masing-masing 12- dan 10-inci. Ia juga diberikan sistem bunyi dari Marshall.

    Tempat duduk hadapan pula diberikan unit ‘bucket’ moden yang dibalut dengan Alcantara dan kulit asli, manakala pemandu menerima roda stereng tiga jejari Petri yang dibalut semula. Secara keselruhan, kabin Manta elektrik ini menerima kemasan hitam, kelabu matte dan juga serlahan-serlahan kuning, serta pelbagai panel yang dibalut dengan Alcantara.

    Berbalik kepada pelan peralihan kepada teknologi elektrifikasi, Opel dan Vauxhall telahpun mengumumkan bahawa kesemua barisan model mereka akan diberikan varian yang dijana kuasa elektrik sepenuhnya menjelang 2024.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025