Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota rampas semula gelaran pengeluar kereta paling laris di dunia dari Volkswagen Group selepas 5 tahun

    Toyota rampas semula gelaran pengeluar kereta paling laris di dunia dari Volkswagen Group selepas 5 tahun

    Akhirnya, selepas lima tahun dipintas oleh Volkswagen Group, gergasi automotif Jepun iaitu Toyota kini disahkan merampas kembali gelaran pengeluar kenderaan paling laris di dunia. Khamis lalu Toyota mengumumkan bahawa mereka berjaya menjual sebanyak 9.53 juta kenderaan sepanjang 2020, dan angka tersebut turut mewakili jenama lain di bawah naungan penuhnya iaitu Daihatsu Motor Co dan Hino Motors Ltd.

    Ia jelas lebih tinggi dari angka yang diumumkan Volkswagen Group pada awal tahun ini di mana mereka berjaya menjual sebanyak 9.31 juta kenderaan tahun lalu.

    Toyota berjaya merampas semula takhta berkenaan ketika keseluruhan industri automotif terjejas kerana pandemik Covid-19 tahun lalu. Walaupun jualan dilihat kembali pulih pada penghujung tahun, permulaan pandemik tersebut yang menyebabkan banyak kilang dan pusat jualan terpaksa ditutup cukup untuk menjejaskan jualan dengan kejatuhan sebanyak 14% berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan IHS Markit.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa kadar kejatuhan satu-satu jenama berkenaan adalah ditentukan oleh tahap pendedahan mereka pada pasaran-pasaran yang teruk terjejas kerana wabak tersebut.

    Toyota rampas semula gelaran pengeluar kereta paling laris di dunia dari Volkswagen Group selepas 5 tahun

    Volkswagen misalnya, yang sememangnya kuat di benua asalnya iaitu di Eropah. Menurut Persatuan Pengeluar Automobil Eropah, benua berkenaan menunjukkan kemerosotan sehingga 24% dengan jualan tidak sampai 10 juta unit sepanjang 2020. Dengan itu, Volkswagen mencatatkan kejatuhan jualan sehingga 15%, atau jualan terburuk pernah dicatatkan dalam tempoh hampir satu dekad.

    Manakala Toyota pula kuat di Amerika Syarikat, di mana pasaran berkenaan menunjukkan kemerosotan jualan 15% sepanjang 2020. Walaupun negara Uncle Sam berkenaan kini mencatatkan jumlah pesakit Covid-19 dan bersama jumlah korban tertinggi di dunia, ia tidak menjalankan perintah berkurung yang teruk seperti di Eropah. Jadi jualan Toyota hanya jatuh 11% tahun lalu.

    “Secara semula jadi angka jualan adalah lebih rendah dari tahun sebelumnya kerana penularan wabak coronavirus. Tetapi kerana Toyota dan rakan kerjasamanya mampu untuk mengimplementasikan langkah-langkah pemulihan bagi mengatasi penularan virus tersebut, kami mampu untuk meneruskan aktiviti korporat kami dan memastikan kejatuhan sepanjang tahun lalu hanya berada pada tahap tersebut,” kata jurucakap Toyota, Chisato Yoshifuji semalam.

    Menurut analisa yang disiarkan oleh Bloomberg pula, apabila VW menewaskan Toyota dari 2015 hingga 2019, kebangkitan semula jenama Jepun tersebut pada 2020 mungkin adalah permulaan untuk trend yang lebih lama. IHS Markit menjangkakan VW akan mengatasi Toyota buat sementara waktu pada 2021 kerana telah mula melancarkan model-model elektrik baharu, dan menjangkakan Toyota akan menjadi peneraju semula setiap tahun bermula 2025.

    Penganalisa IHS Markit, Yoshiaki Kawano berkata Toyota akan kembali menikmati jualan yang tinggi di pasaran-pasaran utamanya di Amerika dan Jepun. Pada pasaran automotif terbesar dunia iaitu China, Toyota mungkin akan “berlawan sehabis baik” dengan menjual lebih banyak kereta elektrik dan SUV bagi memenuhi permintaan tempatan.

    Secara keseluruhan, walaupun industri automotif kini masih terjejas dengan Covid-19 dan juga masalah kekurangan bekalan mikrocip baru-baru ini, IHS Markit menjangkakan jualan akan naik sehingga 84.4 juta unit berbanding 76.8 juta pada 2020.

     
     
  • BMW M440d xDrive 2021 – 3.0L diesel, 340 hp, 700 Nm!

    BMW M440d xDrive 2021 – 3.0L diesel, 340 hp, 700 Nm!

    Di samping pelancaran model baharu M5 CS dan model asas bagi plug-in hybrid 3 Series, BMW dalam diam turut memperkenalkan M440d xDrive G22. Varian diesel bagi M Performance baharu ini bakal berada di pasaran mulai Mac 2021.

    Dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris turbodiesel, model ini boleh menghamburkan kuasa hingga 340 hp dan tork cecah 700 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke semua roda, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.6 saat. Ia juga ditawarkan dengan M sports differential dan pakej M sports package. Penggunaan bahan api kombinasi untuk M440d xDrive adalah sekitar 6.3 hingga 5.7 litre per 100 km (WLTP).

    430d xDrive juga diperkenalkan dengan unit penjana kuasa 3.0 liter enam-silinder sebaris. Kuasa yang dihasilkan rendah sedikit iaitu pada 286 hp dan 650 Nm, dan pecutan 0-100 km/j dalam 5.1 saat. Kedua-dua enjin diesel tersebut turut dilengkapi dengan sistem mild-hybrid 48-voltan, yang menawarkan bantuan untuk boost ketika dalam pecutan hasil starter generator berkuasa 8 kW (11 hp).

    BMW M440d xDrive 2021 – 3.0L diesel, 340 hp, 700 Nm!

    Lain-lain ciri yang diberikan untuk 4 Series Coupé dan Convertible ini termasuklah warna luaran baharu, seperti BMW Individual Brilliant White metallic, BMW Individual Frozen Portimao Blue metallic dan BMW Individual Frozen Deep Grey metallic.

    M440d xDrive juga boleh didatangkan dengan bumbung karbon M, dengan padanan kemasan dalaman gentian karbon yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Buat setakat ini, 4 Series ini menerima upholstery kulit BMW Individual Merino dengan enam pilihan warna. Maklumat yang lebih terperinci bagi model ini akan diumumkan tidak lama lagi.

     
     
  • Mazda CX-5 2021 dilancar di UK – pilihan enjin 2.5L SkyActiv-G, sistem nyahaktif silinder, Kuro Edition

    Mazda CX-5 2021 dilancar di UK – pilihan enjin 2.5L SkyActiv-G, sistem nyahaktif silinder, Kuro Edition

    Mazda CX-5 2021 secara rasminya telah diperkenalkan di UK. Model kemaskini berkenaan menerima pelbagai ciri baharu termasuk penawaran enjin SkyActiv-G 2.5 liter buat pertama kali, serta turut ditawarkan dalam versi edisi istimewa CX-5 Kuro.

    Kesemua 18 varian CX-5 pasaran UK tersebut kini menampilkan skrin paparan infotainmen lebar bersaiz 10.25-inci. Ia adalah ciri yang sama dengan CX-5 yang dikemaskini pada pasaran Amerika Syarikat Ogos tahun lalu. Skrin tersebut dibekalkan dengan pemproses yang lebih pantas, bersama fungsi Android Auto dan Apple CarPlay, serta servis-servis terhubung lain yang dioperasikan oleh Mazda Connect Commander, menampilkan penggunaan yang lebih mudah.

    Skrin paparan baharu tersebut turut membolehkan aplikasi MyMazda App digunakan pada Mazda CX-5 2021 ini. Aplikasi berkenaan menawarkan fungsi seperti kunci jarak jauh, pencari kenderaan, pra-program jarak jauh untuk navigasi GPS, permintaan untuk menempah slot servis dan juga amaran keselamatan.

    Mazda CX-5 2021 dilancar di UK – pilihan enjin 2.5L SkyActiv-G, sistem nyahaktif silinder, Kuro Edition

    Model kemaskini baharu tersebut masih ditawarkan dengan pilihan enjin petrol atau diesel, dan juga pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau automatik. Dan buat pertama kali, model pasaran UK ini tampil dengan enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G berkuasa 194 PS sama seperti Mazda 6 yang diperkenalkan tahun lalu di sana.

    Selain menghasilkan kuasa yang lebih besar, enjin ini juga menampilkan fungsi nyahaktif silinder sama seperti yang dipadankan pada enjin 2.0L SkyActiv-G versi manual. Menurut Mazda lagi, kalibrasi pada pedal pendikit telah dibuat semula untuk semua enjin, bagi memberikan respon dan kawalan yang lebih baik, seterusnya memperbaiki respon pada kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Bagi model istimewa Kuro Edition pula, ia hanya dihasilkan sebanyak 750 unit di mana kesemua dalam versi 2.0L SkyActiv-G, serta hanya hadir dalam warna Soul Red Crystal dan Polymetal Grey Metallic. Perincian khas diberikan pada model ini adalah rim 19-inci dan juga penutup cermin sisi dalam kemasan hitam.

    Mazda CX-5 2021 dilancar di UK – pilihan enjin 2.5L SkyActiv-G, sistem nyahaktif silinder, Kuro Edition

    Pada bahagian dalaman, ia diberikan ciri standard seperti tempat duduk pemandu larasan berkuasa, pemanas tempat duduk hadapan, upholsteri kulit sintetik/sued berwarna hitam yang lebih sporty, serta serlahan jahitan benang merah pada papan pemuka, roda stereng, pad lutut, sekeliling penukar gear, perehat tangan dan juga sekeliling panel pintu.

    “Sejak pelancaran pertama CX-5 generasi baharu pada 2012, SUV ini telah menjadi model yang penting untuk pasaran UK. Ia sentiasa menjadi kereta yang sangat popular digemari kerana gaya, praktikaliti dan rupa yang dinamik, model generasi kedua hanya menambahbaik semua aspek tersebut dan terima kasih kepada kemaskini dan penghalusan yang berjaya, ia kekal berada di atas kelasnya,” kata pengarah urusan Mazda Motors UK, Jeremy Thomson.

    “Sehingga kini, 490,849 unit telah dijual di Eropah dan lebih dari 3.1 juta secara global, menjadikan ia sebagai model paling laris Mazda. Di UK, CX-5 mewakili 26% jualan kereta baharu kami dan ia juga kereta yang menampilkan prestasi yang sangat konsisten dalam pasaran kereta terpakai,” tambahnya lagi.

    GALERI: Mazda CX-5 Kuro Edition 2021

    GALERI: Mazda CX-5 2021 pasaran UK

     
     
  • KTM 1290 Super Adventure S 2021 diperkenal – ciri Adaptive Cruise Control diberikan standard, 160 hp

    KTM 1290 Super Adventure S 2021 diperkenal – ciri Adaptive Cruise Control diberikan standard, 160 hp

    Memasuki tahun 2021 ini, KTM telah mengambil langkah memperbaharui model 1290 Super Adventure pada dua bahagian utama iaitu ergonomik dan komponen elektronik. Menurut pengeluar dari Austria itu, 1290 Super Adventure S 2021 kini adalah model adventure paling canggih pernah mereka keluarkan.

    Ergonomik yang dimaksudkan bukan sahaja memberi fokus kepada keselesaan, tetapi juga pengendalian motosikal. Pembahagian berat diperbaiki, tapak stereng ditarik ke belakang 15 mm, bahagian depan enjin dilaras, lengan ayun lebih panjang dan subframe dibentuk semula supaya tempat duduk lebih rendah.

    Setiap panel badan diukur supaya tidak mengganggu sensasi tunggangan dan kini ia dilengkapi dengan tangki bahan api 23 liter. Tempat duduk serta penghadang angin boleh dilaras pada beberapa kedudukan dan bahagian kokpit dijadikan lengkap dengan panel instrumen TFT 7.0 inci serba baru.

    Untuk bahagian elektronik, tetapan kawalan cengkaman dalam setiap mod iaitu Rain, Street, Sport, Offroad dan Rally (pilihan tambahan) dilaras kembali supaya tidak terlalu agresif. Suis kawalan pada bahagian pemegang juga adalah baru.

    Satu teknologi baru yang diletakkan pada 1290 Super Adventure S 2021 adalah Adaptive Cruise Control, yang dibangunkan bersama Bosch. Sistem ini menggunakan radar yang terletak di hadapan motosikal dan penunggang boleh memilih lima tetapan jarak di antara kenderaan hadapan waktu meluncur sendiri atas lebuh raya.

    Enjin masih lagi menggunakan unit v-twin 1,301 cc berkuasa 160 hp dan 138 Nm tork, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, tetapi ia dijadikan lebih ringan (-1.6 kg) hasil penggunaan casing lebih nipis dan kini menepati tahap emisi Euro 5. Melengkapkan naik taraf pada bahagian enjin adalah piston baru yang lebih tahan serta radiator dan saluran air baru.

    KTM 1290 Super Adventure S 2021 diperkenal – ciri Adaptive Cruise Control diberikan standard, 160 hp

    Kelengkapan lain pada 1290 Super Adventure S 2021 adalah termasuk suspensi semi aktif WP SAT, steering damper WP, cakera brek berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 267 mm di belakang, tayar Mitas Terra Force-R serta klac slipper PASC.

    Pada bahagian elektronik, ia dilengkapi dengan Motorcycle Traction Control, Cornering ABS, Offroad ABS, pemerhati tekanan angin tayar (TPMS), penunjuk arah automatik dan sambungan KTM MyRide (pilihan tambahan).

     
     
  • PKP bantu turunkan 26.3% kadar kemalangan jalan raya tahun lalu, saman cecah RM395.3j – PDRM

    PKP bantu turunkan 26.3%  kadar kemalangan jalan raya tahun lalu,  saman cecah RM395.3j – PDRM

    Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk larangan rentas negeri pada tahun lalu turut memberikan impak terhadap kadar kemalangan jalan raya di negara ini. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias, sebanyak 418,237 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara tahun lepas, turun 26.3% berbanding 567,516 kes pada tahun 2019.

    “Selain itu, pada tahun lepas jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang dicatat adalah 4,634 kes berbanding 6,167 kes pada tahun 2019. Pelaksanaan PKP pada tahun lepas banyak membantu dalam mengurangkan jumlah kes kemalangan di jalan raya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau menambah, daripada jumlah kemalangan yang dilapor tahun lepas, penunggang motosikal merekodkan kes paling tinggi iaitu membabitkan 3,118 kematian, berbanding kenderaan lain. Di mana jumlah itu juga berkurangan berbanding 3,959 kematian akibat kemalangan membabitkan motosikal pada tahun 2019.

    PKP bantu turunkan 26.3%  kadar kemalangan jalan raya tahun lalu,  saman cecah RM395.3j – PDRM

    Manakala sejumlah 7,655 individu ditahan atas pelbagai kesalahan tahun lepas iaitu 3,394 orang kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, 2,624 samseng jalanan dan 1,637 bagi kesalahan lain, ujarnya lagi.

    Selain itu, polis turut merekodkan kutipan saman berjumlah RM395.3 juta tahun lepas berbanding RM305.9 juta pada 2019 iaitu meningkat kira-kira RM89 juta atau 29.2%. Beliau berkata polis kini berada pada peringkat terakhir dalam membangunkan aplikasi membayar saman secara dalam talian khususnya untuk orang awam.

    “Sistem dalam talian itu akan dibangunkan di portal dan aplikasi di telefon pintar. Aplikasi itu akan dilancarkan dalam masa terdekat, mungkin sebulan atau dua bulan lagi,” katanya.

     
     
  • BMW M5 CS — 635 hp/750 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

    BMW M5 CS — 635 hp/750 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

    BMW M5 CS akhirnya didedahkan secara rasmi. Sama seperti mdoel M yang hadir dengan lencana CS, versi sedan M ini menerima lebih banyak kuasa, kurang berat dan penggayaan agresif yang mengambil ilham daripada sukan perlumbaan.

    CS kini menjadi varian M5 yang paling tinggi, yang turut melibatkan model “biasa”nya serta M5 Competition dengan 616 hp. Varian CS boleh dibezakan daripada kemasan Gold Bronze yang digunakan padanya, terutama pada sekitar bentuk “kidney grille” serta pada rim 20-inci M diperkukuh dengan kelebaran 9.5J dan 10.5J yang dipasang dengan tayar bersaiz 275/35 (depan) dan 285/35 (belakang).

    Bahagian depannya menggunakan DRL kuning di dalam unit BMW Laserlight, sama seperti kereta lumba GT jenama itu. Bonet pula menggunakan bahan carbon-fibre reinforced plastic (CFRP), sama juga pada bahagian lain seperti splitter depan, perumah cermin sisi, spoiler belakang dan diffuser, pelindung ruang enjin serta intake silencer.

    BMW M5 CS — 635 hp/750 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

    Dalam teaser sebelum ini, CEO BMW M, Markus Flasch menededahkan yang M5 CS adalah 70 kg lebih ringan berbanding M5 Competition. Turut menjadi kelainan CS ialah sistem ekzos stainless-steel dan brek karbon-seramik M – boleh dipilih antara angkup merah biasa atau angkup pilihan warna emas.

    Di dalam, lebih banyak ilham daripada sukan permotoran dikenakan. Kerusi depan adalah dari jenis M Carbon, dan di belakang pula penumpang menerima kerusi individu sendiri, menjadikan kereta ini hanya untuk empat orang. Kerusinya dibalut oleh kulit Merino hitam, dengan kontras jahitan Mugello Red. Perehat kepala diberikan garis hiasan litar Nürburgring, dan kerusi depan lengkap dengan logo M5 dengan iluminasi.

    Lain-lain kemasan uniknya termasuk stereng balutan kulit Alcantara dengan penanda tengah warna merah, tuil paddle shifter carbon serta jejari stereng warna krom hitam. Penutup perehat lengan standard M5 digantikan dengan jenis lebih ringan.

    M5 CS dibangun menggunakan M5 generasi F90 versi facelift dan diberikan tambahan 19 hp lagi kuasa puncak berbanding M5 Competition yang mempunyai 635 hp pada 6,000 rpm, serta 750 Nm tork antara 1,800 rpm hingga 5,950 rpm; semua ini dari enjin 4.4 liter biturbo V8 yang menghantar kuasa ke semua roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan Steptronic M.

    Sistem pacuannya kekal menggunakan sistem M xDrive AWD yang boleh mencapai 100& pacuan ke gandar belakang untuk AWD sebenar, dan turut dilengkapi dengan differential Active M boleh ubah sepenuhnya dengan kesan kunci 0-100%. CS ini boleh memecut antara 0-100 km/j dalam masa 3.0 saat, 0-200 km/j dalam masa 10.3 saat dengan laju maksimum 305 km/j.

    Datang dengan pilihan warna Brands Hatch Grey metalik, Frozen Brands Hatch Grey metalik dan Frozen Deep Green metalik (gambar), BMW M5 CS dijual pada harga 180,400 Euro (RM887,096).

     
     
  • Kawasaki KLR 650 2021 – beberapa bahagian terima peningkatan, ciri lasak yang digemari dikekalkan

    Kawasaki KLR 650 2021 – beberapa bahagian terima peningkatan, ciri lasak yang digemari dikekalkan

    Dalam barisan modelnya, Kawasaki mempunyai sebuah model dual sport yang cukup popular iaitu KLR 650. Model ini sudah wujud sejak tahun 1987 dan mengalami beberapa peningkatan sebelum pengeluarannya dihentikan pada tahun 2018. Kini, pengeluar dari Jepun itu menghidupkan kembali KLR 650, dengan pengenalan model baru tahun 2021.

    Model ini digemari kerana ia ringkas dan tahan untuk dibelasah. Disebabkan itu, peningkatan yang diberi oleh Kawasaki tidaklah setanding dengan banyak motosikal moden sekarang, dan mahu mengekalkan ciri yang menjadi kegemaran penggemar model ini.

    Bahagian enjin contohnya, masih lagi unit satu silinder DOHC 652 cc yang sama, tetapi kini dinaik taraf dengan sistem suntikan bahan api. Jumlah kuasa maksimum cuma diberitahu meningkat, tetapi tidak didedahkan, sementara untuk tork, ia boleh menghasilkan sehingga 53 Nm pada 4,500 rpm. Kotak gear lima kelajuan sama masih dikekalkan, tetapi dipertingkat untuk menghasilkan penukaran lebih lancar.

    Peningkatan lain yang diberikan pada model baru ini adalah termasuk lampu hadapan jenis LED, penghadang angin hadapan lebih tinggi dan boleh dilaras dalam dua kedudukan, panel badan baru bersama tangki bahan api 23 liter, jarak roda lebih panjang serta geometri hadapan baru untuk lebih stabiliti, ergonomik yang diperbaiki serta kerangka belakang yang lebih tegap.

    Rim masih lagi jenis spoked dengan tiub di dalam, bersaiz 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, tetapi ia telah diperkuat untuk menjadikannya lebih tahan. Suspensi terdiri daripada fork teleksopik 41 mm tanpa pelarasan di hadapan dan monoshock yang boleh dilaras pra beban serta serapan di belakang.

    Cakera brek hadapan juga kini lebih besar, bersaiz 300 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 240 mm bersama angkup satu piston di belakang. Menariknya untuk bahagian brek, pemilik boleh memilih sama ada mahu mendapatkan sistem ABS ataupun tidak. Bagi yang datang dengan ABS, ia adalah sistem yang dioptimakan untuk tunggangan offroad, tetapi tidak boleh ditutup sepenuhnya.

    Kawasaki KLR 650 2021 – beberapa bahagian terima peningkatan, ciri lasak yang digemari dikekalkan

    Satu lagi bahagian yang dinaik taraf adalah panel instrumen, di mana KLR 650 sekarang mendapat unit digital LCD bagi menggantikan tolok analog sebelum ini. Soket USB serta pemanas tangan pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Di Amerika Syarikat, KLR 650 ditawarkan dalam empat varian yang terdiri daripada model asas tanpa ABS, model asas dengan ABS, versi Traveler yang dilengkapi dengan beg barangan belakang serta Adventure yang paling lengkap dengan pelbagai aksesori. Harganya terletak antara USD6,699 (RM27,090) hingga USD7,999 (RM32,347).

     
     
  • MAA ramal TIV naik 8% pada 2021 — 570,000 unit

    MAA ramal TIV naik 8% pada 2021 — 570,000 unit

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) optimis bahawa pasaran automotif tempatan akan kembali berkembang tahun ini, dan dengan yakin meramalkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) akan tumbuh sehingga 8% berbanding tahun 2020, yang menyaksikan sejumlah 529,434 unit kenderaan terlibat.

    Didorong oleh prestasi pasaran dalam separuh kedua tahun 2020, yang memperlihatkan permintaan dan jualan yang kukuh telah memastikan TIV akhir melepasi angka 470,000 yang diramal sebelumnya, persatuan itu mensasarkan TIV bagi 2021 akan mencecah 570,000 unit. Kenderaan penumpang dijangka akan merangkumi 513,000 daripada keseluruhannya.

    Dalam menyatakan ramalan berani seperti itu, MAA memaklumkan beberapa faktor ekonomi dan persekitaran telah diambil kira, antaranya termasuk pengecualian cukai jualan (SST) bagi kenderaan yang dilanjutkan bagi kenderaan penumpang di bawah pakej rangsangan Penjana — yang kini akan berlangsung hingga 30 June 2021.

    MAA ramal TIV naik 8% pada 2021 — 570,000 unit

    Ini juga termasuk kempen promosi berterusan yang dilakukan oleh syarikat pengeluar untuk melonjakkan jualan masing-masing — bertujuan untuk mengekalkan perkongsian pasaran — serta menurunkan kadar faedah pinjaman sewa-beli akan terus merancakkan permintaan, jelas MAA.

    MAA turut meramalkan sehingga tahun 2025 nanti. Menjelang tahun 2022, persatuan itu menjangkakan jumlah tahunan akan kembali seperti yang dilihat pada 2019, di mana sejumlah 604,281 unit kenderaan terjual. Pada 2023, angka berkenaan akan meningkat kepada 622,300 unit, dan kira-kira 3% pertumbuhan diramalkan berterusan untuk tahun 2024, dengan TIV 641,600 unit dijangkakan untuk tahun itu. Menjelang 2025, angka ini diramal melonjak ke 662,100 unit, dan membolehkan TIV kembali ke tahap seperti pada tahun 2014-2015.

     
     
  • Beberapa jalan di daerah Gombak ditutup sehingga awal pagi 29 Jan ini sempena perarakan Thaipusam

    Beberapa jalan di daerah Gombak ditutup sehingga awal pagi 29 Jan ini sempena perarakan Thaipusam

    Biar pun negara masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0), namun Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan perarakan sempena sambutan Thaipusam yang berlangsung esok, diteruskan dengan bersyarat.

    Justeru, Polis Daerah Gombak telah mengumumkan beberapa jalan di daerah berkenaan ditutup mulai hari ini sehinggalah awal pagi 29 Januari 2021. Menurut ketua polis daerah berkenaan, ACP Arifai Tarawe, penutupan jalan ini adalah untuk perarakan membawa Arca Dewa Murugan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S Lee ke Kuil Seri Subramaniam, Batu Caves pada esok, laporan Bernama.

    “Laluan terbabit adalah susur ke Kuil Batu Caves dari arah Bulatan Batu Caves, susur MRR2 ke Jalan Perusahaan Batu Caves, simpang Jalan Perusahaan ke Bulatan Batu Caves, jalan ke tempat mandian utama, Sungai Batu Caves,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai tidak perlu hadir, kerana upacara sembahyang di kuil sempena Thaipusam kali ini tidak dibenarkan, dan semua pihak juga hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan.

    “Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP PKP (Thaipusam) yang telah ditetapkan MKN,” ujarnya.

     
     
  • Hyundai Tucson N Line 2021 diperkenalkan – 1.6 T-GDI elektrifikasi, PHEV 265 PS, penyerap hentak adaptif

    Hyundai Tucson N Line 2021 diperkenalkan – 1.6 T-GDI elektrifikasi, PHEV 265 PS, penyerap hentak adaptif

    Hyundai Tucson N Line 2021 telah pun diperkenalkan secara rasmi menjelang pelancarannya di benua Eropah. SUV segmen-C ini menampilkan prestasi yang lebih menguja, dengan elemen penggayaan yang eksklusif serta beberapa ciri kelengkapan baharu.

    Bagi aspek rekaan, bampar hadapan yang lebih berani ditampilkan bersama corong pengambilan udara yang dirombak semula, bersama ciri lain termasuk gril parametrik hitam berkilat dengan lencana N Line, lapisan warna badan, bingkai hitam untuk lampu utama dan perumah cermin sisi dengan rona hitam berkilat.

    Di belakangnya, ia digandingkan dengan spoiler aerodinamik yang lebih besar dengan fin, reflector band berwarna merah pada bahagian bawah bampar, diffuser dan corong ekzos berkembar. Tucson N Line juga dipadankan dengan roda 19-inci dengan paten parametrik secara standard.

    Hyundai Tucson N Line 2021 diperkenalkan – 1.6 T-GDI elektrifikasi, PHEV 265 PS, penyerap hentak adaptif

    Ia turut didatangkan dengan tujuh pilihan warna luaran – Shadow Grey (seperti dilihat di sini; eksklusif untuk N Line sahaja), Polar White, Engine Red, Sunset Red, Dark Knight, Shimmering Silver, dan Phantom Black. Kesemua warna kecuali dua yang terakhir itu didatangkan dengan ciri pilihan bumbung Phantom Black dengan imej dua-tona.

    Di dalamnya, kabin Tucson biasa masih mengekalkan ciri sedia ada termasuklah dwi skrin 10.25-inci – satu untuk instrumen dan satu lagi untuk sistem infotainmen. Ciri unik yang ditampilkan pula termasuklah tempat duduk sport jenama-N dengan suede hitam dan kulit, jahitan kontras merah, headliner hitam, roda stereng N dengan logo N, penukar gear N dan pedal kaki logam.

    Untuk pelancarannya, ia akan ditawarkan dengan empat varian bagi enjin 1.6 liter empat-silinder T-GDI. Pilihan asas merupakan varian tunggal yang tanpa elektrifikasi, menawarkan 150 PS. Selain itu, enjin bagi varian lain digandingkan dengan sistem mild-hybrid 48-voltan, dengan kuasa 150 PS atau 180 PS.

    Hyundai Tucson N Line 2021 diperkenalkan – 1.6 T-GDI elektrifikasi, PHEV 265 PS, penyerap hentak adaptif

    Tucson N Line Hybrid pula akan menerima larasan yang lebih berprestasi iaitu dengan lonjakan kuasa mencecah 230 PS, di mana model tertinggi bagi PHEV mampu meledak sehingga 265 PS. Setakat ini, Hyundai belum memberikan perincian penuh untuk penjana kuasa ini.

    Pengeluar kereta ini juga menawarkan sistem suspensi kawalan elektronik sebagai pilihan, yang dilengkapi dengan penyerap hentak adaptif. Menurut Hyundai, model yang dilengkapi dengan sistem ini akan menikmati pemanduan yang lebih selesa dan karakteristik lebih sporty.

    Untuk aspek keselamatam, Tucson N Line dilengkapi dengan sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi bantuan pemanduan di lebuhraya, bantuan pencegahan pelanggaran hadapan dengan pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, bantuan ikut lorong dan paparan titik buta secara standard. Selain itu, ia turut menampilkan bantuan lampu tinggi dan juga paparan pandangan sekeliling.

     
     
  • Hyundai siarkan teaser ala filem untuk EV Ioniq 5

    Selepas beberapa siri video pendek yang cuma memberi gambaran cirinya, kini Hyundai mengeluarkan satu lagi video teaser untuk Ioniq 5. Video terbaru ini adalah lebih panjang (44 saat) dan dipanggil sebagai trailer seperti filem. Jadi, kami menjangkakan waktu pengenalan rasmi Ioniq 5 ini nanti, filem penuh juga akan disiarkan.

    Selain mempunyai jalan cerita seperti filem aksi, video ini juga ada menunjukkan sedikit bahagian kereta seperti lampu DRL LED berbentuk U petak di hadapan, bintik-bintik lampu yang juga membentuk petak di belakang, bumbung serta pembuka pintu yang rata dengan badan. Bayangan muka hadapan dan belakang kereta ini sudah pernah didedahkan awal bulan lalu.

    Hyundai sekarang telah menjadikan Ioniq sebagai satu jenama sub untuk kenderaan elektrik mereka. Apabila diperkenalkan nanti, Ioniq 5 akan menjadi model Ioniq pertama yang menggunakan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) dan ia kemudiannya akan diikuti oleh Ioniq 6 dan Ioniq 7.

    Mengikut khabar, Ioniq 5 akan ditawarkan dalam konfigurasi pacuan dua roda dan empat roda, dengan kuasa sehingga 310 hp. Jarak gerak pula dikatakan boleh mencecah 510 km sekali cas, mengikut kitaran WLTP. Ada juga siri pembentangan pengedar yang bocor, dan ia menunjukkan kereta elektrik ini boleh digunakan dengan pengecas pantas DC sehingga 232 kW dan boleh mencecah tahap bateri 80% selepas dicas cuma 18 minit.

    Dalam teaser pendek yang dikeluarkan sebelum ini juga, kita diberi bayangan bahawa Ioniq 5 boleh bergerak lebih 100 km selepas dicas selama lima minit dan boleh memberi kuasa kepada alat elektrik lain sehingga 3.5 kW. Untuk dimensi pula, Ioniq 5 dikatakan mempunyau jarak roda tiga meter dan ruang barang sehingga 600 liter.

     
     
  • Brabus B45 dari Mercedes-AMG A 45 S – 450 hp dan tork maksima 550 Nm, 0-100 km/j hanya 3.7 saat!

    Brabus B45 dari Mercedes-AMG A 45 S – 450 hp dan tork maksima 550 Nm, 0-100 km/j hanya 3.7 saat!

    Mercedes-AMG A45 S W177 merupakan antara hot-hatch paling berkuasa dalam keadaan standard yang boleh anda beli buat masa sekarang. Tapi untuk mereka yang rasa masih tidak cukup, mahukan yang lebih bertenaga dan berbeza dari orang lain, dan sudah tentu mempunyai bajet yang lebih besar, mungkin anda boleh cuba model talaan terbaharu dari Brabus ini, di gelar Brabus B45.

    Model yang diasaskan dari AMG A45 S ini masih menggunakan enjin M133 2.0 liter turbo yang sama. Namun berbanding model asal yang menghasilkan 421 PS dan tork maksima 500 Nm, enjin pada perut Brabus B45 ini mampu untuk menjana 456 PS (450 hp) dan tork maksima 550 Nm!

    Bagi mengekstrak lebih kuasa tersebut, B45 diberikan kit tingkat taraf enjin yang merangkumi kotak komputer tambahan Barbus PowerXtra CPC dengan talaan istimewa bersama adapter Brabus BoostXtra, dan penala dari Jerman tersebut turut mendakwa bahawa enjin tersebut mampu untuk “menghasilkan bunyi blow-off yang sporty seperti kereta lumba.” Ia juga diberikan saluran udara istimewa untuk kotak udara.

    Brabus B45 dari Mercedes-AMG A 45 S – 450 hp dan tork maksima 550 Nm, 0-100 km/j hanya 3.7 saat!

    Walaupun menghasilkan kuasa yang lebih besar dari A 45 S standard, Brabus B45 ini masih melepasi ujian ketat TÜV Type Approval di Jerman, serta tidak mengabaikan aspek kelasakan dan ketahanan. Masih digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G bersama sistem pacuan semua roda 4Matic, Brabus B45 ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat, atau 0.2 saat lebih pantas dari A 45 S biasa. Walau bagaimanapun, kelajuan maksimanya masih dihadkan secara elektronik pada 270 km/j.

    Bagi menangani kuasa tambahan yang diberikan ini, Brabus turut memadankan spring sport dengan ketinggian yang boleh dilaras (antara 0 hingga 30 mm) pada B45 ini. Ia didakwa mampu memberikan pengendalian yang lebih lincah pada model istimewa tersebut dengan titik graviti yang lebih rendah.

    Pada bahagian luaran, B45 ini masih menampilkan rupa yang sama dengan Mercedes-AMG A 45 S di mana hanya logo ‘bintang tiga arah’ pada gril hadapan diganti dengan logo ‘B’ besar, serta emblem ‘AMG’ dan ‘A 45 S’ pada pintu tailgate belakang diganti dengan emblem ‘BRABUS’ dan ‘B45’.

    Brabus B45 ini juga dipadankan dengan set roda istimewa merangkumi rim Brabus Monoblock Z bersaiz 20 inci dengan lebar 8.5j, bersama tayar Continental Sport Contact 6 bersaiz 245/30ZR20.

    Sedikit sentuhan Brabus turut diberikan pada bahagian kabin B45 ini melibatkan pemadanan scuff plate logam tahan karat pada bendul pintu dengan logo Brabus yang boleh menyala bersama lampu suasana 64 warna, serta ciri opsyen pedal aluminium Brabus dan juga karpet lantai velour berkualiti tinggi juga dengan logo Brabus.

    Pelanggan juga boleh memilih untuk membalut semula upholsteri B45 ini mengikut selera masing-masing dengan apa jua rekaan dan pilihan kulit ekslusif Brabus, dan ia akan dihasilkan sendiri oleh divisi rekaan dalaman penala berkenaan.

     
     
  • Laluan kontra di KM307-KM309 di Plaza Tol Sg Besi-UPM diaktifkan hingga 2 Feb untuk projek MRT – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan jalan secara berperingkat dan pengaktifan laluan kontra di KM307-KM309 di laluan Plaza Tol Sungai Besi-Persimpangan UPM bermula 25 Jan lalu sehingga 2 Februari 2021. Penutupan jalan dan pengaktifan laluan kontra tersebut dilaksanakan setiap jam 10 malam hingga 5 pagi, selama lapan hari.

    Ia adalah bagi kelancaran kerja pembinaan jejambat pejalan kaki utuk projek MRT. Walau bagaimana pun, menurut PLUS, penutupan akan dilaksanakan secara berperingkat dan hanya satu penutupan akan dilaksanakan pada satu-satu masa.

    Justeru, pengguna lebuhraya yang menghala ke Seremban atau Kuala Lumpur dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan CCTV yang disediakan.

    Selain itu, anda juga boleh mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang SOS pada aplikasi tersebut. Dalam masa yang sama, anda juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan ketika melalui kawasan terbabit.

     
     
  • GALERI MEGA: Audi Q5 dan SQ5 Sportback 2021

    GALERI MEGA: Audi Q5 dan SQ5 Sportback 2021

    Beberapa bulan lalu, Audi telah pun memperkenalkan model Q5 dan SQ5 Sportback. Kedua-dua model berkenaan disasarkan untuk bersaing dengan BMW X4 dan Mercedes-Benz GLC Coupe, sekaligus menawarkan pilihan bagi Q5 yang lebih menarik buat para penggemar Audi.

    Formula bagi Q5 Sportback agak ringkas – ia menggunakan Q5 standard dan menambah garisan bumbung yang landai menghala ke bahagian belakang. Selain itu, kebanyakan ciri lain masih ‘dipinjam’ dari Q5 biasa. Ini termasuklah gril “bingkai tunggal” yang lebih lebar, lampu utama LED trapezoidal, dan lampu belakang baharu dengan teknologi pilihan LED, yang disambung ke palang krom.

    Bagi model yang lebih hot, SQ5 Sportback TDI, ia ditampilkan dengan kit badan yang lebih agresif, sepasang paip ekzos berkembar, roda 20-inci (boleh dipertingkatkan ke unit 21-inci) dan rotors berdiameter 375 mm yang lebih besar dengan enam-pot clamper. Malahan lencana S juga ditampal pada gril, tailgate dan di dalam kabin.

    GALERI MEGA: Audi Q5 dan SQ5 Sportback 2021

    Buat masa ini, Q5 Sportback ditampilkan dengan pilihan enjin petrol dan diesel 2.0 liter pengecas turbo, kedua-duanya mampu menghasilkan 204 PS dan dipadankan bersama transmisi dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan. Sementara SQ5 TDI menerima enjin 3,0 liter turbo-berkembar diesel V6 yang mampu menghamburkan kuasa hingga 341 PS dan tork 700 Nm pada 1,750 hingga 3,250 rpm. Ia juga digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke semua roda (quattro), membolehkan SUV ini dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 5.1 saat.

    Bagi model Q5 Sportback biasa turut menerima quattro AQD, dan ditawarkan dengan sistem mild hybrid. Sistem ini membolehkan kereta terus dipacu walau pun enjin dimatikan dan ia juga berfungsi dengan sistem start-stop apabila kelajuan berkurangan dari 22 km/j. Dua varian plug-in hybrid dengan hamburan kuasa yang berlainan pula akan ditawarkan kemudian. Selain itu, peredam adaptif dan suspensi udara ditawarkan sebagai pilihan, di mana ia membolehkan SUV ini dilaras ketinggiannya dalam lima peringkat sehingga 60 mm.

     
     
  • Triumph Speed Triple 1200 RS 2021 diperkenal – semua bahagian diperbaharui, enjin 1,160 cc 180 PS

    Triumph Speed Triple 1200 RS 2021 diperkenal – semua bahagian diperbaharui, enjin 1,160 cc 180 PS

    Sekarang ini, hampir semua pengeluar jenama terkenal mempunyai model naked berkuasa tinggi atau dipanggil sebagai streetfighter. Triumph juga tidak terkecuali, dengan model Speed Twin yang termasuk dalam kategori ini sudah wujud sejak tahun 1994. Kini, generasi terbarunya telah diperkenalkan dengan melibatkan peningkatan yang menyeluruh.

    Boleh dikatakan semua bahagian Speed Triple 1200 RS 2021 adalah serba baru dan ia dipanggil sebagai Speed Twin yang paling berkuasa, paling pantas, paling lincah, paling dinamik dan juga paling maju setakat ini. Beza dengan model generasi sebelumnya memang adalah banyak.

    Enjin 1,050 cc sebelum ini dibesarkan menjadi 1,160 cc, tetapi masih lagi mengekalkan tetapan tiga silinder. Walaupun kapasiti lebih besar, enjin ini lebih kompak dan lebih ringan (-7 kg) sementara kuasanya bertambah 30 PS dan 8 Nm menjadi 180 PS pada 10,750 rpm dan 125 Nm tork pada 9,000 rpm.

    Menggunakan casis serba baru, berat keseluruhan Speed Triple 1200 RS 2021 menjadi 189 kg, iaitu 10 kg lebih ringan berbanding sebelum ini, dan apabila digabungkan dengan kuasa yang lebih tinggi, nisbah berat kepada kuasanya menjadi 25% lebih baik berbanding model generasi sebelumnya. Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi enam kelajuan serta klac jenis slip and assist.

    Triumph telah mengambil keputusan meletakkan pelbagai barang prestasi kepada Speed Triple 1200 RS ini secara standard, dan ini termasuk quickshifter naik dan turun gear, suspensi Ohlins (fork NIX30 dan monoshock TTX36) yang boleh dilaras sepenuhnya, brek Brembo (angkup Stylema dan cakera berkembar 320 mm di hadapan, angkup dua piston di belakang), tuil brek Brembo MCS serta tayar Metzeler Racetec RR.

    Pada bahagian elektronik, ia dilengkapi dengan Optimised Cornering ABS, Optimised Cornering Traction Control (boleh ditutup), lima mod tunggangan (termasuk mod Track), Front-Wheel Lift Control, Cruise Control, lampu LED sepenuhnya dan sistem tanpa kunci. Segala fungsi sistem ini, serta maklumat penting lain boleh dilihat melalui skrin TFT 5.0 inci di hadapan penunggang dan sistem sambungan My Triumph Connectivity System diberikan secara standard.

    Triumph Speed Triple 1200 RS 2021 diperkenal – semua bahagian diperbaharui, enjin 1,160 cc 180 PS

    Pada bahagian ergonomik, ia diberikan pemegang yang lebih lebar 13 mm, sementara peletak kaki pula diubah lebih ke dalam untuk menjadikan jarak kelegaan apabila mengambil selekoh lebih baik. Tempat duduk dijadikan lebih selesa dan tingginya dalam keadaan standard adalah 830 mm.

    Walaupun boleh dianggap agak lengkap dalam keadaan asalnya, Triumph turut menyediakan pelbagai lagi pilihan aksesori untuk Speed Triple 1200 RS 2021 yang termasuk barangan seperti pemanas tangan, sistem pemerhati tekanan angin tayar, penggera keselamatan, pengesan kedudukan, pelindung fork, beg barangan dan pelbagai lagi.

    Di United Kingdom, harga yang ditetapkan untuk Speed Triple 1200 RS baru ini adalah 15,100 pound sterling sementara untuk Malaysia kita masih perlu menunggu pengumuman dari pengedar rasminya yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

    GALERI: Triumph Speed Triple 1200 RS 2021

    GALERI: Triumph Speed Triple 1200 RS 2021 dengan aksesori

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025