Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VinFast VF31, VF32, VF33 didedahkan – SUV elektrik dari Vietnam, pemanduan autonomi hingga tahap 4

    VinFast VF31, VF32, VF33 didedahkan – SUV elektrik dari Vietnam, pemanduan autonomi hingga tahap 4

    Ingat lagi jenama Vinfast dari Vietnam yang telah memperkenalkan model sedan dan SUV mewah mereka sebelum ini? Nah, hanya selepas tiga tahun dalam pasaran, sekarang VinFast telah pun mendedahkan pula model SUV yang dijana elektrik sepenuhnya!

    Malah, bukan hanya satu model, tetapi tiga model untuk tiga segmen diperkenalkan serentak; Vinfast VF32 untuk segmen-B, Vinfast VF32 untuk segmen-D dan VF33 untuk segmen eksekutif. Satu lagi fakta yang agak menakjubkan, ketiga-tiga model ini dihasilkan dengan platform mereka sendiri berbanding model-model sebelum ini yang diasaskan dari platform BMW (sedan VinFast LUX A2.0 dan SUV LUX SA2.0) dan General Motors (VinFast Fadil).

    Manakala untuk penampilan, ia masih meneruskan rekaan signatur sebelum ini dengan lampu nyalaan siang LED nipis diletakkan sebelah atas bersambung dengan gril bermotif ‘V’, bersama elemen yang serupa pada bahagian belakang.

    Kita mulakan dari model yang paling kecil iaitu VF31. Crossover kompak ini dihasilkan dengan dimensi 4,300 mm panjang bersama jarak roda 2,611 mm. Di Vietnam, VinFast mendakwa bahawa VF31 ini adalah model segmen-C, namun hakikatnya dimensi pada model ini adalah lebih kurang sama dengan Honda HR-V.

    Antara berberapa perincian yang telah disahkan pada VF31 ini termasuk skrin sesentuh potret untuk sistem infotainmen bersaiz 12.8-inci, sistem penyegar udara dengan penapis udara kabin karbon, serta pemanas pada roda stereng dan tempat duduk berliang untuk versi premium.

    Untuk sistem janaan, versi premium berkenaan digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 150 kW (201 hp) dan tork maksima 320 Nm, manakala model standard pula menerima motor elektrik berkuasa 85 kW (114 hp) dan tork maksima 190 Nm. Bateri berkapasiti 42 kWj membolehkan SUV kecil ini bergerak sejauh 300 km dengan satu caj penuh, namun angka ini dianggarkan untuk varian standard.

    VinFast mensasarkan untuk mencapai keputusan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Euro NCAP bagi model premium, manakala untuk model standard pula hanya disasarkan untuk mencapai keputusan empat-bintang dalam ujian berkenaan.

    Beralih ke VF32, model lebih besar ini dihasilkan dengan dimensi 4,780 mm panjang, atau lebih kurang sama dengan saiz Kia Sorento generasi sebelum ini, namun jarak rodanya pula adalah 2,950 mm; lebih jauh dari jarak roda Kia Sorento sedia ada sekaligus boleh mengandaikan SUV Vietnam ini mempunyai ruang kaki kabin belakang yang lebih baik.

    VinFast menyebut bahawa SUV segmen-D elektrik sepenuhnya ini dilengkapi dengan skrin infotainmen gergasi bersaiz 15.4-inci, serta turut hadir dengan lampu suasana kabin LED dengan warna yang boleh dilaras.

    VF32 turut akan ditawarkan dalam dua varian, di mana versi asas standard digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 201 hp/320 Nm sama seperti VinFast VF31. Manakala untuk VF32 premium pula akan menerima motor elektrik yang lebih bertenaga menghasilkan 300 kW (402 hp) dan tork maksima 640 Nm bersama sistem pacuan semua roda. Model ini juga akan menerima bateri 90 kWj, namun perinciannya masih belum diumumkan.

    Bagi model paling besar VF33, SUV elektrik mewah ini dihasilkan dengan saiz 5,120 mm panjang dan jarak roda 3,150 mm; boleh bertanding terus dalam liga yang sama dengan BMW X7. Model ini ditawarkan dengan pilihan konfigurasi tiga-baris tempat duduk, bersama lampu hadapan LED dan bumbung panaromik pantulan-UV.

    Model paling mewah ini digerakkan dengan sistem dua motor AWD seperti VF32, dengan suapan kuasa dari bateri 106 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 550 km dengan satu caj penuh. VinFast mensasarkan VF33 ini mencapai keputusan lima-bintang dalam ujian keselamatan pelanggaran Euro NCAP dan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat kerana model akan dijual di kedua-dua pasaran berkenaan.

    Menurut VinFast, model VF31 akan diberikan sistem bantuan pemanduan seperti amaran keluar lorong, pemantau titik buta dan kamera 360-darjah. Manakala VF32 dan VF33 pula bakal dibekalkan dengan sistem pemanduan berautonomi tahap 2 dan tahap 3, dibekalkan dengan kawalan kelajuan dan kedudukan dalam lorong, amaran dan pengelak pelanggaran, bantuan parkir dan pemantau tumpuan pemandu.

    Jenama Vietnam tersebut turut membuat dakwaan ketiga-tiga model ini mampu untuk mencapai pemanduan berautonomi tahap 4 dengan kelengkapan seperti penderia lidar, 14 kamera, serta 19 penderia lain yang membolehkan ia memberikan fungsi seperti peta persekitaran 3D, pengesan parkir automatik dan pergerakan, serta sistem yang membolehkan ia datang sendiri kepada tuannya seperti Tesla.

    VinFast juga mengumumkan bahawa VF31 boleh ditempah mulai bulan Mei ini dan penghantarannya akan bermula pada November nanti. Manakala VF32 dan VF33, tempahannya akan dibuka pada September nanti dan pelanggan pertama akan menerimanya pada Februari 2022. Bagi pasaran Eropah, Amerika dan Kanada, tempahan akan dibuka pada November 2021, dan penghantarannya akan bermula pada Jun 2022.

    GALERI: VinFast VF31

    GALERI: VinFast VF32

    GALERI: VinFast VF33

     
     
  • Ford diarahkan panggil balik 3 juta unit keretanya di seluruh dunia kerana masalah beg udara Takata

    Ford diarahkan panggil balik 3 juta unit keretanya di seluruh dunia kerana masalah beg udara Takata

    Selepas US National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) mengarahkan Ford untuk memanggil balik kesemua keretanya yang terjejas akibat masalah inflator beg udara bahagian pemandu buatan Takata, pada Selasa lepas, membuatkan pengeluar kereta berkenaan akur dengan arahan tersebut.

    Ia melibatkan sejumlah tiga juta unit keretanya di seluruh dunia yang mungkin terkesan dengan masalah tersebut, di mana beg udara tersebut boleh pecah dan mungkin mampu menyebabkan kecederaan mahu pun kematian. Panggilan balik tersebut membabitkan sejumlah 2.7 juta kenderaan di USA, bakal membuatkan Ford harus menanggung kos sejumlah US$610 juta (RM2.47 bilion).

    Model yang terlibat termasuklah model buatan tahun 2006-2012 bagi Ford Ranger, Ford Fusion, Ford Edge, Lincoln Zephyr/MKZ, Mercury Milan dan Lincoln MKX. NHTSA turut mengarahkan Mazda untuk memanggil balik 5,800 unit bagi trak pikap B-Series buatan tahun 2007-2009, di mana ia dibangunkan berasaskan model Ford Ranger.

    Ford menjelaskan bahawa kereta yang terlibat sebelum ini telah dipanggil untuk menggantikan inflator beg udara bahagian pemandu. “Kami hormati keputusan NHTSA dan akan mengeluarkan panggilan balik ini.”

    Ford diarahkan panggil balik 3 juta unit keretanya di seluruh dunia kerana masalah beg udara Takata

    Walau pun jarang terjadi, namun inflator beg udara berpotensi bermasalah apabila terdedah lama dalam kelembapan yang tinggi, ia mungkin boleh pecah dan menghamburkan serpihan logam. Menurut Reuters, inflator Takata telah menyebabkan sekurang-kurangnya 27 kematian di seluruh dunia (termasuk Malaysia) dan 18 di USA dan lebih 400 individu dilaporkan pernah mengalami kecederaan akibatnya. Dua kematian pula berlaku membabitkan Ford Ranger 2006 yang pernah terlibat dengan panggilan balik sebelum ini.

    Masalah beg udara Takata ini telah berlarutan selama beberapa tahun dan setakat ini telah membabitkan 67 juta kenderaan di USA. Jika di seluruh dunia, terdapat lebih 100 juta inflator yang dipasang oleh 19 pengeluar kereta yang juga pernah terlibat dengan panggilan balik sebegini. Pihak berkuasa mengesahkan “buktinya adalah jelas bahawa inflator ini mampu mengundang risiko keselamatan”.

    Awal tahun ini, terdapat sekurang-kurangnya 17 juta kenderaan yang terjejas dengan beg udara bermasalah ini tetapi masih belum diperbaiki. Malah ia turut terjadi di Malaysia, di mana terdapat beg udara yang masih belum diganti – jika kereta anda terlibat dengan panggilan balik sebegini, jangan berlengah lagi untuk terus menukar komponen berkenaan kerana ia boleh mengundang risiko.

     
     
  • Subaru beli 0.3% saham Toyota – lengkapi kerjasama, lebih banyak pembangunan bersama selepas ini

    Subaru beli 0.3% saham Toyota – lengkapi kerjasama, lebih banyak pembangunan bersama selepas ini

    Subaru mengumumkan bahawa mereka telah melengkapkan proses pembelian kepentingan dalam Toyota Motor Corporation bagi memenuhi syarat perjanjian kerjasama perniagaan dan permodalan yang telah diumumkan pada September 2019.

    Transaksi luar pasaran berkenaan dibuat bermula November tahun lalu sehingga 15 Januari 2021 tersebut melibatkan sejumlah 8,973,700 pegangan saham yang bernilai sekitar 70 bilion yen (RM2.7 bilion). Menurut Kyodo, jumlah tersebut hanyalah pada kadar 0.3% dari keseluruhan kepentingan Toyota. Subaru menyatakan bahawa langkah ini tidak akan memberikan sebarang kesan kepada prestasi kewangan mereka untuk tahun fiskal yang berakhir pada 31 Mac nanti.

    “Subaru akan meneruskan usaha untuk terus mara dan memperkuatkan kerjasama jangkamasa panjang antara dua syarikat,” jelas jenama berkenaan dalam satu kenyataan. Laporan Kyodo menyatakan bahawa Toyota telah melakukan proses ini pada Februari 2020, apabila mereka meningkatkan pegangan saham dalam Subaru dari 16.8% kepada 20%. Sejak itu, keuntungan Subaru telah pun diambilkira ke dalam penyata kewangan gabungan Toyota.

    Kerjasama Toyota dan Subaru ini telah bermula sejak 2005, di mana kedua-duanya memulakan produksi kontrak (kenderaan Toyota dibuat oleh Subaru) dan pembekalan model kepada Subaru oleh Toyota. Kemudian, Toyota dan Subaru bersama-sama menghasilkan kereta sport pacuan belakang Toyota 86/Subaru BRZ yang didedahkan pada 2012.

    Subaru beli 0.3% saham Toyota – lengkapi kerjasama, lebih banyak pembangunan bersama selepas ini

    Pada perjanjian kerjasama modal 2019, Toyota dan Subaru sekali lagi bersetuju untuk menghasilkan model generasi seterusnya untuk kereta sport tersebut (BRZ generasi kedua telah pun didedahkan pada November tahun lalu), serta membangunkan model-model dengan sistem pacuan semua roda menggunakan kepakaran Subaru.

    Kedua-dua jenama ini juga bersetuju untuk bekerjasama dalam CASE, iaitu sistem kenderaan terhubung, pemanduan terbantu dan berautonomi, mobiliti baharu atau perkongsian kenderaan, dan juga sistem janaan dan komponen dengan teknologi elektrifikasi.

    “Ketika tempoh transformasi mendalam sekali-dalam-satu abad ini, walaupun CASE merubah peranan kereta, keseronokan memandu akan sentiasa menjadi perkara penting dalam automobil dan ia sesuatu yang saya rasa perlu terus kuat dipertahankan. Saya sendiri adalah pemandu rali, dan, menerusi pengalaman saya berlatih dengan gigih menggunakan (Subaru) Impreza, saya dapat rasa keajaiban teknologi AWD Subaru dalam saraf saya,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda ketika pengumuman kerjasama ini pada 2019. Jadi boleh dijangka Toyota mungkin akan menghasilkan jentera pacuan semua roda yang lebih mengujakan dengan mengambil kepakaran dari Subaru.

     
     
  • PKP 2.0: Pembuka tirai Toyota Gazoo Racing musim ke-empat ditunda; tarikh baharu belum ditetapkan

    PKP 2.0: Pembuka tirai Toyota Gazoo Racing musim ke-empat ditunda; tarikh baharu belum ditetapkan

    Lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) di seluruh negara (kecuali Sarawak) memang banyak memberikan kesan terhadap penganjuran majlis, termasuklah sukan permotoran. Namun demi kepentingan sejagat, pembatalan atau menunda acara yang dirancang haruslah dilakukan apatah lagi negara sedang bertungkus lumus dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

    UMW Toyota Motor turut mengumumkan penganjuran pusingan pertama bagi perlumbaan Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) Musim ke-empat, yang sepatutnya dijadualkan berlangsung dari 28-30 Januari ini, terpaksa ditunda.

    Walau bagaimana pun, tarikh baharu bagi acara berkenaan masih belum diputuskan, memandangkan kes harian positif COVID-19 meningkat dan kemungkinan besar PKP 2.0 akan dilanjutkan lagi. Syarikat ini menambah, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan agensi kerajaan dan memantau keadaan tersebut sebelum mencari masa yang sesuai untuk memulakan pusingan pertama bagi musim ini.

    “Dalam usaha kita untuk bersama-sama meratakan lengkung penyebaran pandemik Covid-19, kami menyedari kesannya terhadap negara seperti yang sedang kita depani ketika ini. Perlumbaan tersebut perlu dan akan diteruskan, tetapi tidak sehingga kita bersama-sama berhasil membendung ancaman Covid-19 agar keselamatan semua orang termasuk pelumba, ahli pasukan, pegawai bertugas, penonton serta semua pihak berkepentingan yang lain terjamin,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor (M) Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

    PKP 2.0: Pembuka tirai Toyota Gazoo Racing musim ke-empat ditunda; tarikh baharu belum ditetapkan

    Selepas kejayaan tiga musim perlumbaan, Musim 4 Festival Toyota Gazoo Racing menjanjikan aksi dan penganjuran yang lebih menarik dengan pengenalan tiga siri perlumbaan berasingan (Toyota Vios Challenge, Gazoo Racing Vios Sprint dan Gazoo Racing Enduro Cup) dengan keseluruhannya melibatkan 11 perlumbaan.

    Peningkatan penyertaan oleh pelumba muda dalam siri ini sepanjang tiga musim lalu juga telah mendorong syarikat untuk memperkenalkan Gazoo Racing School serta pengenalan Rookie Class di dalam Toyota Vios Challenge bagi pemandu berumur 14 hingga 20 tahun.

    Ini bukanlah kali pertama penganjuran TGR ini terganggu disebabkan pandemik. Tahun lalu, UMW Toyota juga telah membatalkan pusingan terakhir bagi Musim 3 disebabkan PKP yang pertama dilaksanakan.

     
     
  • Harga minyak 23-29 Jan 2021 – Petrol naik sebanyak satu sen seliter, diesel juga naik empat sen seliter

    Harga minyak 23-29 Jan 2021 – Petrol naik sebanyak satu sen seliter, diesel juga naik empat sen seliter

    Untuk minggu bertarikh 23 hingga 29 Januari 2021, Kementerian Kewangan telah memaklumkan bahan api utama di negara ini masih mengalami peningkatan harga seperti minggu-minggu sebelumnya. Di mana harga bagi petrol naik sebanyak satu sen seliter, manakala diesel pula mengalami kenaikan harga sehingga empat sen seliter.

    Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 akan menjadi RM2.20 seliter berbanding RM2.19 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.89 seliter, bakal menjadi RM1.90 seliter.

    Bagi diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM2.09 seliter dan Euro 5 pula berharga RM2.19 seliter. Kesemua harga baharu ini akan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 29 Januari 2021.

     
     
  • Johor uji Automated Rapid Transit di Iskandar M’sia

    Johor uji Automated Rapid Transit di Iskandar M’sia

    Sistem Automated Rapid Transit (ART) kini sudah pun tiba di Johor untuk program ujian pertamanya, yang akan dibuat di bandar Iskandar Malaysia bermula suku pertama tahun ini, lapor The Edge Market. Projek ini akan diuruskan oleh Mobilus, iaitu syarikat kerjasama dengan pegangan 51:49 antara Ireka Corporation dan CRRC Urban Traffic (syarikat di bawah CRRC Group).

    Ujian berkenaan sepatutnya telah pun dimulakan pada tahun lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke tahun ini kerana pandemik Covid-19. Menurut pengarah urusan kumpulan Ireka Datuk Lai Voon Hon, program ujian perintis ini turut akan menampilkan tujuh pengeluar bas yang lain.

    “Ini akan menjadi salah satu laluan ujian untuk projek Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) yang lebih besar, sistem transit komprehensif untuk Iskandar Malaysia meliputi jaringan lebih dari 2,000 km pada Fasa 1,” kata beliau lagi dalam satu kenyataan.

    ART dikelaskan sebagai sistem transit dengan kapasiti-sederhana untuk pengangkutan penumpang urban, yang memberikan kapasiti penumpang lebih tinggi pada kos lebih rendah berbanding sistem rel aliran ringan, dan akan digerakkan dengan sumber tenaga bersih seperti elektrik atau hidrogen, menurut The Edge Markets.

    Kenderaan untuk sistem ini dibuat oleh China Railway Construction Corporation (CRCC) yang turut menghasilkan tren KTM Intercity sebelum ini. Ia didakwa dipadankan dengan bateri yang mampu bergerak sejauh 24 km dengan caj selama 10-minit.

    ‘Tren’ tanpa landasan sebenar ini dipadankan dengan penderia yang akan mengesean landasan maya, di buat di atas jalan raya. Ia akan bergerak berdasarkan input dari penderia berkenaan mengikut landasan maya yang dibuat secara berautonomi dengan kelajuan sehingga 70 km/j. Walau bagaimanapun, ia tetap akan diberikan pemandu untuk mengawasi operasinya bagi tujuan keselamatan.

    Johor uji Automated Rapid Transit di Iskandar M’sia

    Satu set ART berkenaan mampu membawa 300 orang pada satu-satu masa menggunkan tiga gerabak, dan ia boleh ditambah dengan dua lagi gerabak bagi membawa sekitar 500 orang, menurut laporan berkenaan.

    Lai turut menjelaskan bahawa implementasi projek perintis ART ini merupakan langkah penting kearah membantu menambah baik sistem pengangkutan awam di Iskandar Malaysia, dan juga sebagai promosi kepada pembangunan pantas ekonomi dan masyarakat di kawasan berkenaan.

    Selain dari program ujian perintis ini, kajian teknikal kebolehlaksanaan turut akan dijalankan oleh Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), iaitu institut di bawah Universiti Teknologi MARA, lapor The Edge Markets lagi.

    MITRANS akan menyediakan laporan kajian berkenaan terhadap adaptasi ART sebagai sistem pengangkutan urban baharu selepas program ujian perintis ini tamat di Johor, dengan merujuk kepada infrastruktur jalan raya dan persekitaran pengangkutan awam di Malaysia buat masa sekarang.

    Bandar terkini yang telah pun menggunakan sistem ART ini adalah bandar Yibin di Sichuan, China, dan laluan T1 di bandar berkenaan merupakan laluan pertama dari tujuh laluan lain yang dirasmikan pada Disember 2019 selepas habis tempoh percubaan.

    Laluan T1 di Yibin berkenaan dibuat sepanjang 17.7 km dan melalui kawasan perniagaan utama bandar tersebut, serta menghubungkan terminal rel berkelajuan tinggi.

    Bandar tersebut mempunyai populasi sekitar 4.5 juta orang dan laluan T1 tersebut dilaporkan digunakan oleh 25,000 orang setiap hari, membolehkan kesesakan jalan raya di Yibin berkurangan 20% sejak laluan tersebut dibuka, lapor The Edge Markets.

     
     
  • Moto Guzzi sambut ulang tahun ke-100 – keluarkan warna istimewa untuk model V7, V9 dan V85 TT

    Moto Guzzi sambut ulang tahun ke-100 – keluarkan warna istimewa untuk model V7, V9 dan V85 TT

    Moto Guzzi memulakan operasi sebagai pengeluar motosikal di Mandello del Lario, Itali pada tahun 1921, dan memasuki tahun 2021 ini, usia mereka sudah mencecah 100 tahun. Bagi meraikan ulang tahun ini, Moto Guzzi telah mengeluarkan tiga model siri terhad V7, V9 dan V85 TT yang menggunakan warna Centennial Livery.

    Tema warna istimewa ini mendapat inspirasi daripada jentera lumba yang digunakan oleh Otto Cilindri dalam kejuaraan 500 cc pada tahun 1955, dan cuma ditawarkan pada tahun ini sahaja. Ia menggunakan gabungan warna hijau matt serta perak pada panel besi sementara tempat duduk pula menggunakan kulit tiruan berwarna coklat gelap.

    Melengkapkan penampilan versi keluaran khas ini adalah logo Moto Guzzi berwarna emas yang diletakkan pada tangki serta beberapa lagi lencana serta pelekat ulang tahun ke-100 di beberapa bahagian lain. Untuk model tahun 2021, V7 menyediakan kuasa 65 hp dan 73 Nm tork daripada enjin v-twin 850 cc.

    Enjin yang sama turut digunakan pada V9, bersama jumlah kuasa yang juga sama. Model V85 TT pula menghasilkan kuasa 80 PS pada 7,750 rpm dan 80 Nm tork pada 5,000 rpm. Selain pengeluaran model istimewa ini, Moto Guzzi juga mempunyai rancangan sambutan ulang tahun melalui acara Giornate Mondiali Moto Guzzi pada 9 hingga 12 September nanti di Mandello del Lario.

    GALERI: Moto Guzzi V7 Stone 100th Anniversary 2021

    GALERI: Moto Guzzi V9 Bobber 100th Anniversary 2021

    GALERI: Moto Guzzi V85 TT 100th Anniversary 2021

     
     
  • Porsche Taycan varian permulaan 2WD akan tiba di Malaysia suku kedua tahun ini, harga dari RM585k

    Porsche Taycan varian permulaan 2WD akan tiba di Malaysia suku kedua tahun ini, harga dari RM585k

    Awal minggu lalu, Porsche telah mula mengeluarkan Taycan varian permulaan untuk pasaran Amerika Syarikat dan juga Eropah. Versi pacuan roda belakang (RWD) ini menyertai varian lain Taycan AWD seperti Taycan 4S, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S.

    Satu berita baik, Sime Darby Auto Performance telah mengumumkan bahawa Taycan varian permulaan ini juga akan tiba di Malaysia pada suku kedua tahun ini, dengan harga RM584,561 mengikut pengecualian cukai yang diberi sehingga 30 Jun. Taycan 4S dijual pada harga RM725,000, diikuti Taycan Turbo RM999,000 dan Taycan Turbo S RM1.195 juta.

    Taycan varian permulaan ini menggunakan bateri berkapasiti 79.2 kWh secara standard dan pemilik boleh menaik taraf kepada bateri 93.4 kWh, sekaligus menambahkan lagi jarak geraknya menjadi 484 km, dari 431 km. Pecutan dan laju bagi mana-mana pilihan bateri masih lagi sama iaitu 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat dan maksimum 230 km/j.

    Porsche Taycan varian permulaan 2WD akan tiba di Malaysia suku kedua tahun ini, harga dari RM585k

    Bateri standard ini boleh dicas dengan kapasiti sehingga 225 kW sementara bagi Performance Battery Plus pula, ia boleh menerima sehingga 270 kW. Ini bermakna, kedua-dua bateri boleh dicas dari tahap 5% ke 80% dalam 22.5 minit. Porsche memberitahu, dengan mengecas selama lima minit sahaja, pemandu sudah boleh pergi sehingga 100 km.

    Model ini juga menggunakan transmisi dua kelajuan dan inverter pada gandar belakang boleh beroperasi sehingga 600 amp. Menurut Porsche, kecekapan aerodinamik Taycan yang mencatat 0.22 Cd memberikan sumbangan yang besar kepada penjimatan kuasa serta jarak geraknya sementara tenaga yang boleh dihasilkan semula pula boleh mencecah 265 kW.

    Ciri unik pada Taycan RWD ini adalah rim Taycan Aero 19 inci serta angkup brek yang diwarnakan hitam. Bahagian lain seperti kemasan bawah bampar, side sill dan diffuser belakang adalah sama sahaja seperti Taycan 4S. Lampu jenis LED datang secara standard.

    Porsche Taycan varian permulaan 2WD akan tiba di Malaysia suku kedua tahun ini, harga dari RM585k

    Sebagai varian paling baru bagi model elektrik ini, Taycan RWD menerima segala pembaharuan yang diperkenalkan pada model terkini Taycan. Secara standard, ia datang dengan kemasan gabungan kulit di bahagian dalam serta tempat duduk yang boleh dilaras lapan arah secara elektrik. Dua ruang simpanan disediakan, iaitu 84 liter di hadapan dan 407 liter di belakang.

    Barangan lain adalah seperti skrin infotainmen 10.9 inci dan pilihan skrin tambahan di bahagian penumpang hadapan. Sama seperti varian lain, anda boleh mendapatkan head-up display berwarna dan pengecas on-board yang mempunyai kapasiti sehingga 22 kW sebagai tambahan.

    Suspensi standard Taycan boleh dinaik taraf kepada jenis udara, tetapi kedua-duanya masih lagi dilengkapi dengan sistem kawalan elektronik Porsche Active Suspension Management (PASM). Bagi suspensi udara, ia turut mempunyai fungsi Smartlift yang boleh diprogramkan dan melaras sendiri mengikut tempat, memberikan lebih kecekapan serta keselesaan.

     
     
  • Maruti Suzuki mula eksport Jimny dari kilang India

    Maruti Suzuki mula eksport Jimny dari kilang India

    Nampak gayanya Suzuki Jimny betul-betul merak di India. Selepas dilaporkan akan pasang model Jimny generasi keempat di India untuk pasaran eksport, kini hal itu sudah pun dijadikan kenyataan. Baru-baru ini diumumkan bahawasa kumpulan pertama 184 unit Jimny telah meninggalkan Pelabuhan Mundra di Gujarat untuk dipasarkan di Colombia dan Peru.

    Menurut Pengarah Urusan dan CEO Maruti Suzuki India, Kenichi Ayukawa, Jimny berkenaan dipasang di kilang Gurugram di Haryana oleh syarikat itu, dan berkongsi spesifikasi dengan model-model eksport yang dipasang di kilang Suzuki Motor di Kosai, Jepun. Suzuki dalam perancangan meluaskan eksport mereka ke pasaran Amerika Latin dan Timur Tengah serta Africa di masa akan datang.

    Model eksport mempunyai spesifikasi yang berbeza dengan unit JDM, kerana di Jepun, ia dibangun untuk memenuhi peraturan sebagai sebuah kei-car. Jimny di Jepun berukuran 3,395 mm panjang, 1,475 mm lebar dan 1,725 mm tinggi, dengan hanya satu pilihan enjin iaitu unit R06A 658 cc turbocas tiga-silinder, menghasilkan 64 PS dan 96 Nm tork. Sistem pacuan empat roda separuh masa adalah standard di Jepun, dengan pilihan transmisi lima-kelajuan manual atau automatik empat-kelajuan.

    Sementara itu, Jimny yang dipasang di India pula berukuran 3,645 mm panjang, 1,645 mm lebar dan 1,720 mm tinggi, walaupun jarak antara rodanya sama saja 2,250 mm. Enjin pula menggunakan unit K15B 1.5 liter NA empat-silinder dengan sistem AWD serta pilihan transmisi yang sama seperti yang di Jepun.
    Buat masa ini, Jimny hanya direka dengan tiga-pintu untuk pasaran global, walaupun ada laporan dari India yang menyatakan bahawa model lima-pintu akan dilancarkan di sana tahun ini. Ada maklumat juga mengatakan yang model itu nanti akan lebih panjang daripada model eksport.

     
     
  • Toyota C-HR GR Sport 2021 kini di UK, dari RM174k

    Toyota C-HR GR Sport 2021 kini di UK, dari RM174k

    Tak lama selepas membuat penampilan sulung di Eropah, Toyota C-HR GR Sport kini mula dijual di UK. Ia ditawarkan dengan harga £31,395 (RM174k) bagi varian 1.8 liter yang paling asas, hinggalah £33,015 (RM183k) bagi model 2.0 liter.

    Versi Eropah kosmetiknya tidak sama dengan yang JDM, melibatkan pertambahan yang menarik. Antara ciri unik varian GR Sport ini ialah splitter depan dalam warna hitam berkilat, diffuser rekaaan baru, kemasan pintu warna hitam dan perumah lampu utama gelap dengan gril hitam. Ia menggunakan rim 19-inci, dan datang dengan lapan pilihan warna luaran, semua dengan bumbung hitam.

    Di dalam C-HR GR Sport ini dilengkapi dengan kerusi stereng balutan kulit berliang, animasi pemula GR pada paparan multi-info, plat GR Sport dan butang penghidup enjin, serta pilihan untuk kerusi balutan kulit Alcantara atau fabrik. Kedua-dua pilihan datang dengan jahitan benang merah dengan fungsi pemanas.

    Kelengkapan standard lainnya termasuk sistem tanpa kunci, lampu utama dan cermin sisi automatik. Sistem bunyi stereo premium JBL dengan sembilan pembesar suara juga ada sebagai pilihan, dengan semua model menerima paparan lapan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto sebagai standard.

    Toyota C-HR GR Sport 2021 kini di UK, dari RM174k

    Aspek pengendalian dan casis juga ada sedikit kemaskini. Ini termasuklah penyerap hentak dan gelungnya yang lebih keras, anti-roll bar yang lebih tebal dan sistem stereng yang dipertingkatkan. Menurut Toyota, semua ini akan membantu menghadkan olengan badan pada C-HR ketika pemanduan.

    Bagi enjin, kedua-dua unit itu hibrid, dengan keseluruhan sistemnya masing-masing menghasilkan output 122 hp dan 184 hp. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi CVT, dengan kadar penggunaan minyak 4.7 liter bagi setiap 100 km.

    Ciri Toyota Safety Sense juga datang standard, dengan model asas menerima paling kurang ciri kawalan melayar adaptif dengan pengesanan tanda trafik. Turut ada ialah ciri AEB dengan pengesan kenderaan depan, bantuan stereng kecemasan dan bantuan mengekalkan lorong. Pakej tambahan pula terdiri daripada ciri masukan pintar, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang.

     
     
  • PKP 2.0: Tiada larangan perkhidmatan teksi, kereta sewa, e-hailing rentas daerah dan negeri – Dr. Wee

    PKP 2.0: Tiada larangan perkhidmatan teksi, kereta sewa, e-hailing rentas daerah dan negeri – Dr. Wee

    Tiada larangan untuk perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing untuk perjalanan rentas daerah dan negeri ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ujar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Menurut beliau, kerajaan mensyaratkan perkhidmatan berkenaan perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. Tambahan pula, sepanjang tempoh PKP ini, pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing dibenarkan beroperasi sepenuhnya berdasarkan kepada perkhidmatan penting, laporan Berita Harian.

    “Pelaksanaan PKP adalah untuk mengawal pergerakan orang ramai termasuk individu yang menjadi penumpang. Justeru, semua pemandu perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing perlu memastikan penumpang mempunyai kelulusan dan keperluan bawah skop yang dibenarkan sebelum ke lokasi yang memerlukan rentas sempadan, daerah atau negeri,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, walau bagaimana pun, pemandu perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing juga perlu mendapatkan salinan dokumen kelulusan, sama ada menerusi salinan cetak atau salinan digital.

    “Salinan berkenaan sebagai bukti dan kegunaan pemandu selepas menghantar penumpang ke lokasi yang memerlukan mereka merentas sempadan, daerah atau negeri,” katanya sambil menjelaskan salinan itu bertujuan mengelakkan kebenaran beroperasi kepada perkhidmatan pengangkutan awam diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab dan ingkar arahan PKP.

    “Selain itu, kita tidak mahu pihak tidak bertanggungjawab itu merentas sempadan bagi tujuan yang tidak dibenarkan, yang secara tidak langsung akan menggagalkan usaha kerajaan menangani COVID-19,” katanya.

     
     
  • BMW 5 Series LCI G30 dijual di Thailand, dari RM404k

    BMW 5 Series LCI G30 dijual di Thailand, dari RM404k

    BMW 5 Series LCI G30 telah pun mula dijual di Thailand. Buat masa ini barisan model facelift tersebut menawarkan tiga varian iaitu 530e Elite berharga 2,999,000 baht (RM404k), 520d M Sport berharga 3,539,000 baht (RM477k), dan 530e M Sport pula ditawarkan dengan harga 3,739,000 baht (RM503k).

    Kedua-dua model 530e plug-in hybrid dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol dengan output 184 PS pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm pada 1,350 hingga 4,000 rpm. Ia turut digandingkan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa dengan kuasa tambahan 109 PS/265 Nm, menjadikan keseluruhan output mencecah 252 PS dan 420 Nm.

    Ia turut menampilkan XtraBoost yang merangsang 40 PS kuasa tambahan (keseluruhan mencecah
    292 PS). Varian 530e seberat 1,770 kg ini mampu mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan kelajuan maksimum pula boleh mencapai 235 km/j. Di bawah lantainya, ditempatkan bateri 12 kWh, yang menawarkan jarak antara 62 dan 67 km dalam pengecasan penuh. Ia turut mengurangkan ruang but daripada 530 liter menjadi 410 liter sahaja.

    Manakala bagi 520d pula, ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa hingga 190 PS pada 4,000 rpm dan tork 400 Nm dari 1,750 hingga 2,500 rpm. Ia mampu memberikan pecutan dari 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 235 km/j. Semua model ini digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, yang menyalurkan pacuan ke roda-belakang. Tiada pacuan semua-roda xDrive ditawarkan.

    BMW 5 Series LCI G30 dijual di Thailand, dari RM404k

    Untuk ciri kelengkapannya, semua model diberikan lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi dan selekoh serta pintu berpenutupan-lembut secara standard. 520d M Sport dan 530e Elite turut ditampilkan dengan roda 18-inci, manakala 19-inci untuk 530e M Sport yang turut diberikan peredam adaptif dan juga integral active steering (stereng roda belakang).

    Di dalamnya, G30 mengekalkan hampir semua rekaan papan pemuka seperti sebelum ini, tetapi dengan sedikit perubahan iaitu bentangan kawalan baharu pada roda stereng, kawalan suhu dwi-zon standard, dan tempat duduk yang lebih selesa. Ia turut diberikan pilihan sama ada rona hitam atau pun cognac Dakota bagi kulit upholstery.

    Varian asas 530e Elite merupakan satu-satunya model yang menerima BMW Live Cockpit Plus – manakala bagi M Sport pula diberikan Live Cockpit Professional dengan kawalan pergerakan dan sistem bunyi Harman Kardon, namun BMW Connected Drive diberikan secara standard untuk semua varian.

    BMW 5 Series LCI G30 dijual di Thailand, dari RM404k

    Turut diberikan ialah BMW Intelligent Personal Assistant dan BMW Operating System 7.0 yang turut menawarkan antara muka baharu, ciri over-the-air yang dipertingkatkan serta fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Selain itu, 5 Series LCI turut diberikan BMW Driving Assistant dan Parking Assistant. Model asas turut menerima kawalan kelajuan dengan fungsi brek, dan hanya 530e M Sport sahaja diberikan kawalan kelajuan adaptof dengan fungsi stop and go. Tetapi agak menghairankan apabila pakej Driving Assistant Professional dengan brek kecemasan sendiri tidak ditawarkan sama sekali.

    Lain ciri yang ditampolkan termasuklah BMW Teleservices dengan Panggilan Kecemasan Pintar, bantuan perhatian, kawalan brek selekoh, dan kawalan cengkaman dinamik. Kamera pandangan sekeliling pula diberikan hanya untuk model tertinggi sahaja. Bergantung pada varian, terdapat lima warna yang ditawarkan – Alpine White, Bernina Grey Amber effect, Black Sapphire, Bluestone metallic, dan Phytonic Blue.

    GALERI: BMW 530e M Sport LCI G30

     
     
  • Isuzu D-Max 2021 trak pikap pertama dapat lima-bintang dalam ujian pelanggaran terkini Euro NCAP

    September tahun lalu, model generasi ketiga Isuzu D-Max telah pun menerima pengiktirafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) yang lebih ketat dari sebelum ini. Terkini, trak pikap berkenaan menerima satu lagi penganugerah lima-bintang, kali ini menerusi ujian Euro NCAP.

    Ini juga bermakna Isuzu D-Max 2021 tersebut menjadi trak-pikap pertama yang menerima lima-bintang penuh dalam ujian pelanggaran di benua berkenaan. Model yang diuji adalah dari versi Twin Cab pemanduan sebelah kiri (keputusan ini turut boleh digunakan untuk model 4×4 pemanduan sebelah kanan).

    Dalam ujian tersebut, D-Max menerima 32.2 markah (84%) dari 38 markah penuh untuk perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan 86% untuk perlindungan penumpang kanak-kanak (COP). Trak pikap Isuzu ini juga menampilkan perlindungan pada semua bahagian badan yang penting untuk kedua-dua patung ujian kanak-kanak dalam ujian berkenaan.

    Satu lagi aspek penting bagi membolehkan D-Max memperolehi markah yang tinggi adalah kerana ia dipadankan dengan sistem brek kecemasan automatik (AEB) secara standard. Ia adalah sistem berasaskan kamera yang berfungsi bermula dari 8 km/j. Menurut Euro NCAP, system berkenaan berfungsi dengan baik dalam mengesan dan ujian reaksi terhadap kehadiran kenderaan lain, membolehkan pelanggaran dielakkan dalam kebanyakkan kes.

    Isuzu D-Max 2021 trak pikap pertama dapat lima-bintang dalam ujian pelanggaran terkini Euro NCAP

    Isuzu D-Max baharu ini juga diberikan banyak sistem bantuan pemanduan yang lain seperti pemantau pemandu (mengesan kelesuan menerusi input stereng dan kamera), sistem bantuan kekal tengah lorong, dan juga sistem pengesan tanda trafik berasaskan kamera. Ini membolehkannya memperolehi markah 83% dalam penilaian Bantuan Keselamatan.

    Walau bagaimanapun, D-Max tidak mencapai markah yang cukup tinggi dalam ujian “Vulnerable Road User” dengan hanya memperolehi 69%, membolehkan ia hanya dikelaskan sebagai biasa dalam perlindungan pejalan kaki.

    Sistem AEB D-Max berkenaan menampilkan pengesan penunggang basikal dan pejalan kaki tetapi ia hanya berfungsi secara berhadapan. Namun dalam ujian yang dijalankan, sistem berkenaan mampu mengelakkan hampir semua kemungkinan kemalangan terhadap dua faktor tersebut.

     
     
  • Spesifikasi Ioniq 5 bocor sebelum pelancaran pada Feb ini – 310 hp, 510 km bagi jarak EV; RWD dan AWD

    Spesifikasi Ioniq 5 bocor sebelum pelancaran pada Feb ini – 310 hp, 510 km bagi jarak EV; RWD dan AWD

    Teaser bagi Ioniq 5 telah pun disiarkan pada awal bulan ini, dan baru ini spesifikasinya pula dibocorkan menjelang pelancarannya yang direncana bakal berlangsung pada bulan hadapan. Sebelum ini, dimaklumkan, Ioniq adalah nama bagi sub-jenama Hyundai, dengan Ioniq 5 bakal menjadi model pertama yang dibangunkan berasaskan Electric-Global Modular Platform (E-GMP), diikuti dengan Ioniq 6 dan 7.

    Malahan menerusi spesifikasi yang bocor hasil perbentangan daripada para pengedar yang dihantar kepada Motor1, penjana kuasa elektrik Ioniq 5 ini akan ditawarkan dengan konfigurasi pacuan semua-roda dan roda-belakang, dengan kuasa sehingga 310 hp. Buat masa ini jenis bateri yang akan memacukan motor elektrik masih tidak diketahui, tetapi dikatakan ia mampu memberikan jarak sehingga 510 km mengikut WLTP.

    Untuk pengecasan, Ioniq 5 menggunakan pengecasan pantas DC sehingga 232 kW, bermakna ia boleh dicas cecah 80% dalam tempoh 18 minit. Seperti yang kita sedia maklum, E-GMP menampilkan sistem pelbagai-pengecasan yang boleh menyalurkan sehingga 400-voltan dan 800-voltan bagi pengecasan DC, dengan operasi pengecasan AC yang paling perlahan iaitu 240-voltan.

    Spesifikasi Ioniq 5 bocor sebelum pelancaran pada Feb ini – 310 hp, 510 km bagi jarak EV; RWD dan AWD

    Selain itu, ada juga pengecasan dwi-arah dengan sokongan Vehicle to Load (V2L) hingga 3.5 kW, bermakna bateri boleh mencapai hingga kapasiti berkuasa tinggi seganda dengan power bank.

    Bagi aspek dimensi, EV ini memiliki jarak roda sehingga tiga meter dan ruang but pula cecah 600 liter. Di dalamnya, ia ditampilkan “tempat duduk yang boleh dibaringkan sepenuhnya dan konsol bergerak,” sementara ciri lain termasuklah paparan digital 12.3-inci dan “paparan utama 44-inci”. Sebagai EV moden, Ioniq 5 juga akan mempunyai teknologi pemanduan sendiri, yang dipertingkatkan ke Level 2.

    Untuk memastikan spsesifikasi yang bocor ini ‘betul-betul realiti’ buat Ioniq 5, kena nantikan pelancarannya kelak.

     
     
  • Volkswagen tamatkan produksi Golf untuk USA

    Volkswagen tamatkan produksi Golf untuk USA

    Volkswagen telah mengumumkan secara rasmi mengenai produksi model Golf untuk Amerika Syarikat (USA) telah pun berakhir minggu lalu. Syarikat ini menjangkakan unit terakhir bagi Golf untuk pasaran tersebut, yang dipasang di kilang Puebla milik VW di Mexico adalah cukup untuk mengekalkan jualan bagi model tahun 2021.

    “Lebih empat dekad, Golf telah memberikan nilai yang terbaik buat pemandu di Amerika. Ini
    menunjukkan apa yang terbaik dilakukan oleh Volkswagen — menggabungkan ciri-ciri pemanduan dinamik dengan kemasan yang berkualiti dan kualiti yang tidak dapat ditandingi.

    Walaupun Golf generasi ketujuh akan menjadi yang terakhir yang dijual di sini, namun GTI dan Golf R akan meneruskan legasinya ke hadapan”, ujar Hein Schafer, timbalan presiden kanan VW Amerika.

    Volkswagen tamatkan produksi Golf untuk USA

    Seperti apa yang Schafer katakan, Golf akan kekal di USA, sebagai model Mk8 yang akan dijual di pasaran berkenaan bermula model tahun 2022. Walau bagaimana pun, barisan berkenaan tidak akan menampilkan varian asas, sebaliknya varian yang memfokuskan prestasi iaitu GTI dan R yang akan ditawarkan.

    Bagi pelanggan yang masih mahukan Mk7 Folf pada tahun 2021 hanya memiliki satu pilihan iaitu dari kemasan TSI, yang menampilkan enjin 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder (147 hp dan 249 Nm), dengan pilihan sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau pun automatik lapan-kelajuan.

    Golf memasuki pasaran USA melebihi empat dekad, bermula dengan Mk1 (pertama kali diperkenalkan sebagai Rabbit) yang dijual dari tahun 1975 hingga 1984. Kemudian muncul pula Mk2 yang terus menggunakan nama tersebut sehinggalah Mk4 ditampilkan iaitu dari tahun 1985 hingga 2005. Dari tahun 2006 hingga 2009, Rabbit kembali dengan model Mk5, yang kemudiannya ditukar semula kepada nama Golf untuk Mk6 dan Mk7.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025