Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Malaysia panggil balik Golf, Polo, Jetta, Passat, CC, Beetle, Cross Touran, Scirocco 2011-2015

    Volkswagen Malaysia panggil balik Golf, Polo, Jetta, Passat, CC, Beetle, Cross Touran, Scirocco 2011-2015

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan kempen panggil balik untuk modelnya yang dilengkapi dengan transmisi dwi-klac DSG tujuh-kelajuan, buatan tahun 2011-2015. Kenderaan yang terlibat termasuklah Golf MK6 dan MK7, Polo (varian 1.2 TSI import sepenuhnya), Jetta, Passat, CC, Beetle, Cross Touran dan Scirocco.

    Syarikat berkenaan berkata, kempen panggil balik ini adalah untuk membaiki akumulator tekanan hidraulik di dalam kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan yang rosak di peringkat pengeluaran. Sebanyak 12,732 kenderaan Volkswagen dikenal pasti perlu menjalani pemeriksaan di bawah kempen panggilan semula ini.

    Dalam beberapa kes tertentu, kegagalan komponen tersebut boleh menyebabkan tekanan hilang, sekali gus mengganggu pengalihan kuasa di antara enjin dan kotak gear.

    Kempen di seluruh negara ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk menguruskan kes-kes terbabit. Notifikasi untuk para pemilik akan dilaksanakan menerusi mel berkuat-kuasa serta-merta.

    Selain itu, para pemilik digalakkan untuk melayari laman web Volkswagen untuk memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat. Mereka juga boleh menghubungi khidmat pelanggan Volkswagen di talian 1800-18-8947 untuk maklumat lanjut.

    Volkswagen Malaysia panggil balik Golf, Polo, Jetta, Passat, CC, Beetle, Cross Touran, Scirocco 2011-2015

    Dalam masa yang sama, pemilik boleh menghubungi mana-mana pusat servis Volkswagen untuk temu janji untuk kenderaan diperiksa dan alat ganti ditukar sekiranya perlu. VPCM telah mengambil langkah sewajarnya dengan rakan pengedar bagi memastikan kebolehdapatan alat ganti, seterusnya membolehkan proses ini dijalankan dengan lancar dan efektif. Semua kos buruh dan penggantian alat ganti tidak akan dikenakan ke atas pemilik.

    Sebagai tambahan, para pemilik akan menerima kad keahlian VCP secara percuma sebagai tanda penghargaan daripada Volkswagen. VCP merupakan program eksklusif untuk pemilik yang mempunyai kereta berusia lima tahun dan ke atas. Kelebihan lain yang dapat dinikmati oleh ahli termasuklah tiga baucar diskaun servis sebanyak 20%, Bantuan Tepi Jalan percuma selama dua tahun dan sokongan bateri di lokasi 24 jam (tertakluk kepada terma dan syarat).

    Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter memohon maaf ke atas kesulitan yang terpaksa dilalui oleh pemilik. “Sebagai pengeluar kenderaan yang bertanggungjawab, keyakinan dan ketenangan minda pelanggan adalah sangat penting buat kami. Kami harap para pelanggan faham bahawa kempen ini penting untuk memastikan mereka kekal yakin dengan prestasi kenderaan masing-masing.

    “Walaupun kami telah mengenal pasti jumlah kenderaan yang terlibat dalam panggilan semula ini, bukan semua alat gantinya perlu ditukar. Ini merupakan satu langkah yang signifikan buat kami dan kami mahu memastikan semua kenderaan terlibat diperiksa. Kempen ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Volkswagen Cares dan kami komited terhadap aspek keselamatan, perkhidmatan dan kepuasan pelanggan,” katanya.

     
     
  • Porsche Taycan dinobat kereta paling inovatif di dunia

    Porsche Taycan dinobat kereta paling inovatif di dunia

    Para saintis dari Centre of Automotive Management (CAM) di Jerman telah mengisytiharkan Porsche Taycan sebagai pemacu inovasi paling penting dalam pasaran automotif sedunia. Kereta elektrik prestasi tersebut menampilkan 27 pembangunan baru dengan 13 daripadanya adalah pertama di dunia.

    Institut saintifik bebas itu antaranya memberi pengiktirafan kepada inovasi seperti tetapan 800 volt, transmisi dua kelajuan pada gandar belakang, penjanaan semula kuasa berjumlah tinggi sehingga 265 kW dan kadar rintangan angin terbaik dalam segmennya.

    Pengarah CAM, Professor Stefan Bratzel, bersama pasukan beliau telah menganalisa inovasi penting dalam bidang automotif global sejak tahun 2005. Ia juga bekerjasama dengan PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk acara anugerah AutomotiveINNOVATIONS yang memberikan pengiktirafan kepada inovasi yang cemerlang dalam industri automotif. Pada tahun 2019/2020, sekitar 250 buah kenderaan telah dinilai.

    Porsche Taycan dinobat kereta paling inovatif di dunia

    “Kami berbesar hati kereta sports elektrik penuh pertama kami dengan cepatnya telah berjaya mendapat tempat paling atas dalam anugerah AutomotiveINNOVATIONS. Ini adalah satu pengesahan yang hebat berkenaan kekuatan inovasi syarikat kami dan semangat peneraju yang boleh ditemui dalam Porsche,” kata CEO Porsche, Oliver Blume.

    “Kami telah membangunkan sebuah kereta baru, dengan pasukan baru dan membina sebuah kilang baru yang bebas karbon. Inovasi teknikal seperti tetapan 800 volt, yang diiktiraf dalam anugerah ini, membenarkan waktu mengecas yang lebih pendek. Transmisi dua kelajuan pada gandar belakang pula memberikan pemanduan yang unik. Maklum balas yang diterima juga sangat positif,” tambah beliau.

    Sejak diperkenalkan pada September 2019, Taycan telah mengutip lebih 40 anugerah antarabangsa, termasuk World Car of the Year 2020 (kedua-dua untuk kereta prestasi dan kereta mewah), China Green Car of the Year, German Car of the Year dan Game Changer of the Year oleh BBC TopGear Magazine.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Futuron masuk produksi sebagai EV

    SPYSHOT: Kia Futuron masuk produksi sebagai EV

    Hyundai sekarang sedang bekerja keras untuk membawa model konsep mereka ke fasa pengeluaran di mana antara contohnya adalah seperti model 45 dan Prophecy. Kia juga tidak ketinggalan. Model konsep Futuron yang pertama kali didedah hujung tahun lepas sudah dapat dilihat diuji atas jalan raya.

    Walaupun besar kemungkinan Futuron ini akan diperkenalkan kepada pasaran sebagai sebuah SUV elektrik, sama sepeti 45, ia bagaimanapun mempunyai kedudukan yang rendah seperti kereta biasa. Kedua-dua cermin depan dan belakang agak condong, menghasilkan bentuk bumbung yang lebih rendah.

    Pada bahagian hadapan, di sebalik kain yang menutupinya, kita dapat melihat lampu yang nipis, dan seperti bersambung dengan gril “tiger nose” yang lebih lebar. Bukaan udara di bahagian bawah bampar pula terdiri daripada beberapa jalur melintang.

    SPYSHOT: Kia Futuron masuk produksi sebagai EV

    Garis badan yang bermula dari hadapan, dan menaik di belakang melihatkan persamaan dengan model konsep yang didedahkan sebelum ini sementara rim pula menggunakan rekaan seperti turbin dengan warna dua tona. Bentuk tingkap kereta ini pula nampak seperti Hyundai Veloster.

    Dijangka menggunakan platform Electric Global Modular Platform (E-GMP) sama seperti 45, Futuron versi produksi ini dilaporkan bakal menyediakan jarak gerak seingga 500 km dan boleh dicas secara pantas dalam masa cuma 20 minit. Ia akan dilancarkan pada tahun hadapan dan menjadi model pertama dalam barisan kenderaan elektrik baru Kia.

     
     
  • Petronas Yamaha SRT dapat tempat pertama dalam MotoGP buat kali pertama melalui Fabio Quartararo

    Petronas Yamaha SRT dapat tempat pertama dalam MotoGP buat kali pertama melalui Fabio Quartararo

    Musim MotoGP yang bermula agak lambat tahun ini disebabkan pandemik Covid 19 menyaksikan perlumbaan pertama berlangsung hujung minggu lalu di Jerez, Sepanyol. Kerinduan peminat untuk menyaksikan perlumbaan ini bukan sahaja diubati, malah disajikan lagi dengan pelbagai aksi mengujakan.

    Maverick Vinales berada antara yang di hadapan perlumbaan dari awal, Marc Marquez terbabas di pusingan kelima sehingga turun ke tempat ke-16 tetapi mengejar semula sehingga ke kedudukan ketiga tetapi akhirnya jatuh dengan mengalami kecederaan manakala Valentino Rossi pula terpaksa menarik diri kerana masalah teknikal.

    Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo memulakan perlumbaan di tempat pertama tetapi sebaik bermula, beliau kehilangan beberapa tempat. Namun, semakin perlumbaan berlanjutan, Vinales dilihat semakin bergelut dengan pilihan tayar yang dibuat sekaligus memberikan peluang kepada Quartararo serta Jack Miller untuk mencabar.

    Petronas Yamaha SRT dapat tempat pertama dalam MotoGP buat kali pertama melalui Fabio Quartararo

    Sehinggakan dalam pusingan akhir pun, cabaran sengit antara pelumba masih dapat disaksikan. Quartararo sudah selesa di tempat pertama, diikuti Vinales tetapi kedudukan podium ketiga telah dirampas daripada Miller oleh seorang lagi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso.

    Dengan semua aksi mendebarkan ini, pasukan Petronas Yamaha SRT melonjak gembira kerana ini adalah kali pertama mereka mendapat tempat pertama dalam perlumbaan MotoGP. Bukan Quartararo sahaja yang menunjukkan prestasi terbaik, malah pelumba kedua iaitu Franco Morbidelli juga cukup membanggakan dengan kedudukan kelima.

    “Inilah sebabnya kami bekerja keras sebelum ini dan saya senang hati kisah kami menuju ke arah yang lebih baik. Mari kita cuba lagi benda yang sama minggu hadapan!” kata ketua pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali.

     
     
  • Toyota GR Supra GT500 sapu bersih kedudukan 1-2-3-4-5 pusingan pertama Super GT 2020 di Fuji Speedway

    Toyota GR Supra GT500 sapu bersih kedudukan 1-2-3-4-5 pusingan pertama Super GT 2020 di Fuji Speedway

    Supra is back!” – ini amaran awal ketika mula-mula Toyota mengumumkan Toyota Supra akan kembali semula ke perlumbaan Super GT tahun lalu setelah 14 tahun menghilang. Dan amaran tersebut nyata menggegarkan Super GT musim ini setelah jentera GR Supra mendominasi perlumbaan pusingan pertama di Fuji Speedway hujung minggu lalu dengan menyapu bersih kedudukan 1-2-3-4 dan 5!

    Penguasaan GR Supra di Fuji Speedway tersebut diterajui oleh pasukan TOM’S menerusi jentera bernombor 37, KeePer TOM’S GR Supra dipandu oleh pasangan Ryo Hirakawa dan Nick Cassidy – menggunguli perlumbaan tersebut dari kedudukan pole tanpa disaing sengit oleh jentera lain.

    Ia diikuti oleh satu lagi jentera pasukan TOM’S iaitu TOM’S Au GR Supra bernombor 36 dipandu pasangan Yuhi Sekiguchi dan Sacha Fenestraz yang menamatkan perlumbaan 5.117 saat di belakang. WAKO’S 4CR GR Supra yang dipandu pasangan Kazuya Oshima dan Sho Tsuboi pula tiba ke garisan penamat lebih dua saat selepas itu bagi melengkapkan podium 1-2-3 GR Supra.

    Toyota GR Supra GT500 sapu bersih kedudukan 1-2-3-4-5 pusingan pertama Super GT 2020 di Fuji Speedway

    Kedudukan keempat menjadi milik Zent GT Supra dipandu Yuji Tachikawa dan Hiroaki Ishiura manakala kelima pula dibolot oleh Denso Kobelco Sard GR Supra dipandu Yuichi Nakayama bersama Kenta Yamashita.

    Jentera GT500 bukan Supra yang mencatatkan keputusan terbaik adalah jentera Honda Raybrig NSX-GT dipandu pasangan Naoki Yamamoto dan Tadasuke Makino berada ditempat ke-enam, diikuti jentera Nissan Craftsport Motul GT-R dipandu oleh Kohei Hirate dan Katsumasa Chiyo di tempat ke-tujuh.

    Tambah manis, kategori lebih rendah iaitu GT300 turut dijuarai oleh GR Supra dari pasukan Saitama Toyopet Green Brave Racing. Jentera ini juga agak unik dari pesaing-pesiangnya – ketika ini kebanyakkan pasukan yang berlumba dalam GT300 menggunakan kereta-kereta dengan spesifikasi FIA GT3 yang dijual oleh pengeluar dalam program-program perlumbaan pelanggan.

    Namun walaupun ada jalan ‘short cut‘, GR Supra yang digunakan oleh Saitama Toyopet Green Brave Racing ini dihasilkan oleh mereka sendiri dalam spesifikasi GT300 tulen, dijana enjin V8 5.0 liter 2UR-G! Jentera bernombor 52 ini dipandu oleh muka baharu dalam GT300 iaitu Kohta Kawaai yang bermula dari petak keempat, dan berjaya menjadi pendahulu perlumbaan pada lap ke-24.

    Pusingan kedua Super GT 2020 juga akan berlangsung di Fuji Speedway pada 8 hingga 9 Ogos nanti. Kejohanan tahun ini terpaksa ditunda lebih lewat dari jadual asal akibat pandemik Covid-19, dan perlumbaan pusingan pertama ini juga diadakan tanpa kehadiran penonton.

    Manakala pusingan yang akan diadakan di Asia Tenggara iaitu Sepang dan Burriram, Thailand sah telah dibatalkan. Sepang sepatutnya menjadi tuan rumah perlumbaan ini pada 16 hingga 19 Julai nanti sebagai pusingan kelima, dua minggu selepas selesai pusingan keempat di Thailand. Jika perlumbaan tersebut diteruskan, ia akan menjadi perlumbaan pertama di Malaysia selepas menarik diri tujuh tahun lalu, dan ia akan menjadi pusingan Super GT pertama dalam sejarah yang akan diadakan pada sebelah malam.

     
     
  • Kit Touch n’ Go RFID pasang sendiri — mudah sahaja?

    Sekarang, anda tak perlu bersusah payah untuk ke pusat pemasangan RFID seluruh negara untuk menampal jalur pelekat Touch n’ Go RFID pada kereta anda, walaupun pilihan untuk itu masih disediakan. Kenapa? Sebab, anda boleh beli sendiri kit berkenaan di Shopee atau Lazada, pada harga RM35, dan pasang sendiri.

    Susah ke nak buat sendiri? Tidak juga. Agak senang sebenarnya. Tetapi, sebelum anda mulakan, ada beberapa perkara yang perlu diketahui. Dan, itulah yang kami tunjukkan dalam video ini, sebagai panduan jika anda ingin memasangnya sendiri.

    Antara perkara utama yang perlu diketahui ialah, pelekat RFID berkenaan perlu dilekat pada sebelah kiri kenderaan anda. Sebab apa? Kerana, di gerbang tol, pengimbas untuk RFID ini terletak di sebelah kiri laluan. Jadi, jika anda lekat di sebelah kanan kenderaan, ada kemungkinan ia tidak akan dapat dibaca.

    Begitu juga pelekat berkenaan tidak boleh berada terlalu dekat dengan permukaan logam, terutamanya jika anda ingin lekatkannya pada bahagian sudut cermin utama. Bukan tak boleh, cuma kena pastikan ia berada sekurang-kurangnya 5 cm dari semua bingkai atau bahagian logam badan kenderaan. Dan, jangan lupa, ia perlu berada di luar “laluan” pengilap cermin anda, kalau tidak pelekat ini akan mudah rosak.

    Ini menjadikan lokasi paling ideal untuk menampal pelekat ini ialah pada bahagian lampu utama. Selepas itu, ketahui juga langkah-langkah untuk mengaktif dan mula menggunakannya. Luang masa sekejap untuk tonton video ini untuk perincian lanjut.

     
     
  • BBS failkan tuntutan muflis di Jerman buat kali ketiga

    BBS failkan tuntutan muflis di Jerman buat kali ketiga

    Syarikat pembuat rim ikonik dari Jerman, BBS telah dilaporkan memfailkan tuntutan muflis pada 16 Julai lalu, lapor motorillustrated. Ini sebenarnya tuntutan muflis kali ketiga yang difailkan oleh BBS dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini.

    BBS juga kini meminta perlindungan dari pemiutangnya pada tahun 2007 dan 2011. Buat masa sekarang, BBS dimiliki oleh NICE Holdings Co. dari Korea Selatan yang telah mengambil alihnya pada tahun 2015 bersama 1,200 pekerjanya termasuk di Amerika Syarikat – jenama tersebut mula membekal rim jenis nat tunggal untuk kereta-kereta lumba Nascar pada tahun ini.

    Dalam fail tuntutan tersebut, BBS menyatakan bahawa punca kejatuhan mereka kali ini adalah disebabkan permintaan terhadap komponen-komponen ubahsuai kenderaan yang menurun serta persekitaran peruncitan automotif yang sukar akibat pandemik Covid-19.

    Tambahan pula, BBS terpaksa memperlahankan produksi mereka juga kerana Covid-19 serta terjejas dengan masalah bekalan.

    Walau bagaimanapun, ini bukan bermaksud jenama berkenaan akan hilang terus. Dalam fail tuntutan tersebut, BBS memerlukan masa untuk menstrukturkan kembali perniagaannya. Syarikat tersebut mencatatkan pendapatan hampir 90 juta euro pada 2018, dalam masa yang sama rugi sekitar 11 juta euro. NICE Holding kini sedang mencari pembeli untuk mengambil alih BBS.

     
     
  • MRT catat penurunan penumpang pada Jan-Jun 2020 – 80k orang sehari berbanding 200k orang sebelum ini

    MRT catat penurunan penumpang pada Jan-Jun 2020 – 80k orang sehari berbanding 200k orang sebelum ini

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu akibat wabak COVID-19 sehingga PKP Pemulihan pada masa ini, perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang yang dulunya merekodkan purata jumlah penumpang harian lebih 200,000 menurun kepada 80,000 orang untuk enam bulan pertama tahun ini.

    Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias, berkata sebelum ini MRT Laluan Kajang pernah mencecah 250,467 penumpang sehari yang direkodkan pada 31 Disember 2019 dan juga pernah merekodkan sejumlah 676,495 penumpang hanya dalam tempoh 15 hari pada 16 Disember 2016.

    “Malangnya, momentum ini terjejas pada tahun 2020 kerana penularan wabak COVID-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas. Malahan, sekarang pun, kita masih dalam tempoh PKP sehingga 31 Ogos. Tetapi, nyata, pola jumlah penumpang kami untuk MRT dan semua perkhidmatan-perkhidmatan lain semakin baik, walaupun masih jauh daripada angka-angka sebelum PKP,” katanya.

    Menyambut ulangtahun ketiga operasinya pada 17 Julai lalu, Nizam berkata, pihaknya berkeyakinan tinggi bahawa MRT Laluan Kajang bukan saja mampu bangkit daripada impak buruk penularan wabak COVID-19, tetapi terus meningkat popular dan menjadi penyumbang besar dalam merealisasikan sasaran Kerajaan untuk meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam.

    Tambahnya, berdasarkan pola jumlah penumpang rel urban sekarang, perkhidmatan MRT Laluan Kajang berpotensi besar untuk terus berkembang maju dan berkeupayaan untuk menggantikan LRT Laluan Kelana Jaya sebagai penyumbang terbesar dalam jumlah penumpang rel kendalian Prasarana.

    “MRT SBK, yang kini bergelar MRT Laluan Kajang, telah meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju dari segi kemudahan pengangkutan awam. Jumlah penumpang juga telah meningkat dengan baik dan semakin ramai mula melihat menaiki pengangkutan awam rel sebagai suatu yang amat memudahkan. Kami percaya dengan pertumbuhan bandar-bandar baru di jajaran berkenaan, jumlah penumpang akan terus meningkat,” katanya.

     
     
  • Projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya pada Feb 2024

    Projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya pada Feb 2024

    Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah memaklumkan projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Feb 2024.

    Menurutnya, setakat 30 Jun lalu, projek tersebut telah telah mencapai 33.12% keseluruhan projek. Di mana projek dengan jajaran sepanjang 37.8 kilometer itu, menghubungkan penumpang dari koridor barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur bakal dimanfaatkan lebih dua juta penduduk di kawasan berkenaan. Ia akan mengendalikan kira-kira 67,000 penumpang sehari pada peringkat permulaan, sebelum sistem rel urban ‘Greater Klang Valley’ siap sepenuhnya nanti.

    “Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur–Klang sekarang, penyambungan jajaran LRT3, yang berintegrasi dengan laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie, turut menjadi sandaran sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya pada Feb 2024

    Tambahnya lagi, projek LRT3 ini buat pertama kali menggunakan blok ‘U-trough girder’ iaitu, komponen pembinaan akan diprabina terlebih dahulu, di sebuah fasiliti di Bandar Saujana Putra sebelum dibawa ke tapak pelancaran.

    Jelasnya, kaedah pembinaan ini dipilih kerana kos yang lebih efisien, tempoh kerja pembinaan yang lebih cepat, selain improvisasi terhadap impak visual.

    “Secara keseluruhan, projek ini akan menggunakan sebanyak 2,060 unit ‘U-trough girder’ bagi melengkapkan jajaran berkenaan. Setakat ini, 158 unit sudah dibina dengan 24 unit telah dilancarkan dan dipasang,” katanya.

     
     
  • BMW F750GS, F850GS dan F850GS Adventure 2020 diperkenal – kelengkapan dipertingkat, warna baru

    BMW F750GS, F850GS dan F850GS Adventure 2020 diperkenal – kelengkapan dipertingkat, warna baru

    BMW Motorrad tahun ini menyambut ulang tahun model GS (Gelande Strasse) yang ke-40 dan untuk itu, mereka telah memperkenalkan pilihan warna “40 Years GS Edition” untuk jentera GS siri F dan melancarkan model versi tahun 2020 yang diberikan grafik baru serta beberapa peningkatan teknikal.

    Kesemua model ini sekarang didatangkan terus secara standard dengan penunjuk arah LED, pengecas USB, ABS Pro serta Dynamic Traction Control, dan digerakkan oleh enjin dua silinder selari 853 cc namun dengan talaan kuasa yang berbeza iaitu 77 hp dan 83 Nm untuk F750GS dan 95 hp dan 92 Nm untuk F850GS dan F850GS Adventure.

    Bagi F750GS, versi 40 Years GS Edition menggunakan logo khas pada bahagian panel tepi, rim hitam matte, pelindung tangan warna perak, pelindung radiator galvanised, pelindung tangan warna kuning serta tempat duduk yang dibalut dengan kombinasi warna hitam dan kuning, bersama logo GS.

    Dua lagi warna baru untuk model ini adalah Light White yang berwarna putih dan Sports Style yang menggunakan warna biru metalik San Marino bersama penghadang angin gelap, rim kelabu metalik, pelindung tangan warna perak serta tempat duduk hitam.

    Model F850GS juga didatangkan dalam pilihan tiga warna. Warna Racing Red menggunakan tangki serta paruh merah, bersama bahagian lain yang kebanyakannya berwarna hitam manakala Rallye Style pula menggunakan warna Racing Blue bersama rim warna gangsa serta tempat duduk gabungan warna hitam dan merah.

    Versi 40 Years GS Edition bagi F850GS menggunakan warna hitam metalik Black Storm, bersama logo 40 tahun, pelindung tangan warna kuning, rim warna gangsa serta tempat duduk gabungan warna hitam dan kuning. Model ini juga didatangkan terus dengan penghadang angin boleh laras serta panel paparan TFT.

    Versi paling tinggi bagi GS siri F ini adalah F850GS Adventure. Ia sekarang ditawarkan dalam warna Ice Grey yang menggunakan tangki warna kelabu bersama kebanyakan bahagian lain yang berwarna hitam manakala Rallye Style pula datang dalam warna gangsa matte Kalamata bersama tiub fork warna emas dan rim warna gangsa. Tempat duduk menggunakan gabungan warna hitam dan kelabu manakala penghadang angin pula adalah jenis sport.

    Versi 40 Years GS Edition bagi F850 GS Adventure ini juga menggunakan tambahan kemasan khas seperti logo, warna hitam metalik dan jalur kuning, sementara fork pula menggunakan warna hitam, rim warna gangsa dan tempat duduk warna gabungan hitam dan kuning.

    GALERI: BMW F750GS 2020

    GALERI: BMW F850GS 2020

    GALERI: BMW F850GS Adventure 2020

     
     
  • Isu pemandu mabuk: Penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 sudah memadai – KPN

    Isu pemandu mabuk: Penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 sudah memadai – KPN

    Susulan cadangan kerajaan untuk menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes melibatkan pemandu mabuk, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkannya sebagai memadai.

    Menurut beliau, pihaknya pernah mencadangkan agar hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap kelompok berkenaan bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di negara ini.

    “Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu yang membabitkan peningkatan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara, saya amat mengalu-alukan,” katanya kepada Bernama.

    Isu pemandu mabuk: Penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 sudah memadai – KPN

    Pada 16 Julai lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah membentangkan di Dewan Rakyat mengenai usul pindaan berkaitan pemandu mabuk yang bakal berdepan hukuman lebih berat iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 jika pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    Menurut beliau lagi, mereka yang disabitkan dengan kesalahan juga boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun. Malah kadar denda juga dicadangkan agar dinaikkan iaitu maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM150,000.

    Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

     
     
  • Harga minyak 18-24 Julai: Semua harga kekal

    Harga minyak 18-24 Julai: Semua harga kekal

    Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan mengenai harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api di negara ini untuk minggu bertarikh 18 hingga 24 Julai 2020 adalah kekal seperti minggu sebelumnya.

    Ini bermakna, petrol RON 97 masih kekal berharga RM2.02 seliter, begitu juga dengan RON 95 yang berharga RM1.72 seliter.

    Manakala untuk diesel pula, harga bagi gred Euro 2M tetap RM1.87 seliter manakala Euro 5 pula RM1.97 seliter. Kesemua harga ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 24 Julai 2020.

    Menurut kementerian terbabit, harga runcit ketiga-tiga bahan api utama berkenaan adalah berdasarkan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Justeru, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • SEMA 2020 tak batal walaupun Covid-19 masih mengganas – 1,800 syarikat ambil bahagian

    SEMA 2020 tak batal walaupun Covid-19 masih mengganas – 1,800 syarikat ambil bahagian

    Pandemik Covid-19 membuatkan dunia seakan terhenti tahun ini. Untuk industri automotif, selain jualan kenderaan yang terjejas, coronavirus ini turut menyebabkan hampir semua acara motor show dibatalkan di seluruh dunia. Namun penganjur acara untuk dunia modifikasi terbesar di Amerika Syarikat, SEMA nampaknya ‘melawan’ situasi tersebut dan mengumumkan ia tidak akan dibatalkan tahun ini.

    Acara di Amerika Syarikat yang hampir sama dengan Tokyo Auto Salon (gambar yang kami gunakan ini adalah di TAS dan bukan SEMA) ini bakal berlangsung di Las Vegas pada 3 hingga 6 November 2020 nanti. Menurut penganjurnya, sebanyak 1,800 syarikat yang akan menyertai SEMA 2020 bagi memenuhi ruang pameran di Las Vegas Convention Center (LVCC).

    Walau bagaimanapun, penganjur SEMA turut akan membuat pelbagai langkah keselamatan dan pencegahan untuk acara tahun ini. Mereka turut menjalinkan kerjasama dengan pihak hotel, LVCC dan juga pihak berkuasa bandar dan negeri Nevada bagi “memastikan standard keselamatan yang tinggi dan juga pematuhan arahan dari kerajaan”.

    Antara langkah tersebut termasuk penggunaan topeng atau pelindung muka, kekerapan membasuh tangan dan juga penjarakan sosial. Mereka juga akan menyediakan laluan dan masuk khas bagi mengawal dan memeriksa pengunjung menggunakan kamera suhu tak-invasif. Aliran perjalanan dalam satu hala dan juga stesen cecair pembasmi kuman setiap 60 meter turut diwujudkan.

    SEMA 2020 tak batal walaupun Covid-19 masih mengganas – 1,800 syarikat ambil bahagian

    Penganjur juga akan membuat sanitasi pada kawasan yang kerap dilalui setiap jam pada bahagian-bahagian seperti lantai, pintu, lif dan juga tangga bergerak. Kerjasama bersama LVCC akan menyaksikan tempat tersebut menjadi antara tempat pertama di Amerika Syarikat yang memperoleh sijil untuk langkah keselamatan bertujuan untuk pencegahan wabak – bangunan berkenaan akan disanitasi setiap malam.

    Namun jika anda pernah pergi ke acara-acara sebegini, anda tentu tahu untuk mengawal pengunjung bukan sesuatu yang mudah. Penganjur-penganjur acara lain tentunya tertunggu-tunggu mahu melihat dan mahu belajar dari SEMA 2020 bagaimana untuk mengekalkan penjarakan sosial dan SOP lain dalam situasi tersebut.

    Sehingga sekarang, tiada tanda-tanda bahawa Amerika Syarikat akan pulih dari serangan Covid-19 ini. Negara tersebut kini mempunyai 3.53 juta kes Covid-19 yang disahkan, dengan 138k orang telah meninggal dunia. Di Nevada sendiri sebanyak 32,024 kes telah dicatakan dengan 627 kematian. Hampir 27,000 kes dari jumlah berkenaan adalah Las Vegas dengan 507 kematian dicatatkan.

    Angka yang dicatatkan oleh Nevada ini sebenarnya masih lagi tidak setinggi seperti di New York dan California (bersebelah Nevada). Amerika Syarikat juga buat masa sekarang masih negara tertinggi di dunia yang mencatatkan kes positif Covid-19, diikuti Brazil dan India.

     
     
  • Jaguar Land Rover telah hasilkan lebih 1.5 juta enjin Ingenium, konsep fuel-cell hidrogen akan datang

    Jaguar Land Rover telah hasilkan lebih 1.5 juta enjin Ingenium, konsep fuel-cell hidrogen akan datang

    Jaguar Land Rover tiba di satu penanda aras baru bagi barisan enjin Ingenium, dengan lebih daripada 1.5 juta unit telah dikeluarkan dari kilangnya di Wolverhampton, West Midlands, England.

    Enjin Ingenium yang pertama keluar dari fasiliti itu ialah pada 2015, versi empat-silinder diesel yang menjadi satu-satunya pilihan enjin berkenaan sebelum ia disertai oleh versi petrol empat-silinder pada 2016. Enjin mild-hybrid enam-silinder sebaris tiba pada 2019 melalui pengenalan sulung Range Rover Sport HST, yang menyaksikan enjin Ingenium padanya menghasilkan 400 PS dan 550 Nm tork.

    Selain enjin pembakaran dalaman dan hibrid, kilang yang sama juga terlibat memasang unit pacuan elektrik untuk Jaguar I-Pace, yang diperkenalkan pada 2018. Kilang yang sama juga diadaptasikan untuk menampung keperluan pengeluaran enjin dengan elektrikfikasi.

    Jaguar Land Rover akan meneruskan pembangunan teknologi Ingenium, memajukan lagi teknologi elektrikfikasi terhadap model-modelnya serta terlibat di dalam menghasilkan penyelesaian menggunakan unit hidrogen fuel-cell. Menurut mereka, ekosistem elektrifikasi yang lebih luas sedang dibangunkan oleh syarikat di Hams Hall, Birmingham di mana pusat pemasangan bateri terbaru dibuka, mengeluarkan pek bateri untuk kenderaan elektrik sepenuhnya dan juga plug-in hybrid.

    Kumpulan syarikat pengeluar itu mempunyai dua lokasi rekaan dan kejuruteraan, tiga kilang pemasangan kenderaan dan dua kemudahan pemasangan sistem janaan kuasa di UK. Operasi di negara luar pula melibatkan China, Brazil, India, Austria dan Slovakia. Menurut Autocar, Jaguar Land Rover menghasilkan lebih daripada 557,000 kenderaan tahun lalu.

     
     
  • Industri automotif tempatan wujudkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja muda – MITI

    Industri automotif tempatan wujudkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja muda – MITI

    Peluang pekerjaan kepada tenaga kerja muda di Malaysia sebenarnya meluas termasuklah dalam industri automotif tempatan yang banyak menyediakan peluang pekerjaan.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong, kursus yang ditawarkan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bagi melatih dan kemahiran semula menawarkan peluang graduan tempatan mendapatkan pekerjaan dalam industri automotif selepas tamat kursus.

    “Terdapat 15 program kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran dalam kursus yang direka bagi membantu graduan mendapat pekerjaan dalam industri automotif,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Sebagai contoh, Akademi Teknologi MARii turut menyediakan pelbagai program bagiindustri berkaitan termasuk Persijilan Kejuruteraan Industri Automotif (AICE) bagi mereka yang memilih memulakan kerjaya lulusan kejuruteraan dalam industri automotif.

    Industri automotif tempatan wujudkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja muda – MITI

    Menerusi program itu, peserta akan menjalani kursus intensif selama lapan bulan, merangkumi latihan dalam kelas dan praktikal pekerjaan dalam industri. Kursus itu bertujuan untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran dalam reka bentuk produk dan proses, proses pembuatan serta sistem pengurusan kualiti.

    Ban Hong berkata, satu lagi program yang ditawarkan MARii ialah Persijilan Kejuruteraan Prototaip Digital Industri Automotif (AICE-DEP), yang mana dibangunkan berdasarkan AICE, dengan fokus dalam reka bentuk automotif.

    Katanya, dengan AICE-DEP, graduan akan menyertai kursus intensif selama enam bulan dengan pendedahan kepada pelbagai kemahiran dan pengetahuan dalam bahagian reka bentuk automotif termasuk penempatan langsung dengan syarikat automotif.

    “Apabila tamat pengajian, peserta akan berpeluang bekerja dengan beberapa syarikat automotif berdasarkan penilaian prestasi mereka sepanjang tempoh penempatan. Program ini juga tidak terhad kepada graduan, malah turut terbuka kepada pekerja industri automotif sedia ada, vendor, pemilik bengkel dan orang awam,” katanya sewaktu melawat akademi berkenaan kelmarin.

    Industri automotif tempatan wujudkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja muda – MITI

    Selain itu, MARii turut menawarkan Program Kepimpinan Perantis Industri, Program Persijilan Profesional Peneraju Industri (IPC), Program Transformasi Bengkel dan Program Kecemerlangan Pembekal Automotif (ASEP).

    Tahun lalu, MARii yang juga agensi di bawah MITI berjaya melatih hampir 6,000 peserta termasuk pelajar universiti, graduan dan pekerja industri sedia ada.

    Ban Hong berkata, MARii menyasarkan untuk melatih tambahan 9,780 peserta tahun ini.

    “Graduan dan pekerja industri automotif tempatan perlu memanfaatkan sepenuhnya program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran yang disediakan MARii bagi meningkatkan kemahiran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri automotif global.

    “Ia akan membantu Malaysia merealisasikan hasrat menjadi hab pekerja kemahiran tinggi dan ini adalah antara pemangkin untuk menarik pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025