Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nissan GT-R Nismo GT500 2017 guna enjin 2.0L 600 hp

    2017_nissan_gt_r_nismo_gt500_02-e1479455573247-850x630-bm

    Kehangatan perlumbaan SuperGT untuk tahun 2017 sudah bermula apabila semakin banyak pengeluar yang menunjukkan kenderaan mereka untuk musim baru. Nissan adalah yang terkini dengan jentera GT-R Nismo GT500 2017 mereka. Sudah tentu, kenderaan baru ini dipersiap supaya menepati peraturan baru yang ditetapkan.

    Ini termasuk saya belakang baru, yang jika dilihat dari tepi, melebihi keseluruhan bahagian belakang. Lengkuk roda juga lebih besar, dengan pelbagai lagi ‘pembelah angin’ pada bahagian bonet, bampar hadapan dan tepi.

    Walaupun kelihatan begitu, sebenarnya peraturan baru menyebabkan 25 peratus kurang daya tolakan ke bawah (downforce). Tetapi Nissan telah mengimbangi perkara tersebut dengan kelebihan kuasa, yang mana berbunyi seperti lebih kemampuan daripada enjin empat silinder 2.0 liternya. Walaupun enjin yang digunakan adalah sekadar 2.0 liter, ia sebenarnya mampu mengeluarkan sehingga 600 hp.

    Kenderaan ini juga diihat mempunyai titik graviti lebih rendah, bersama dengan pembahagian berat yang lebih optimum. Ini sepatutnya dapat membantu GT-R Nismo mendapat kembali kejayaan dalam kategori GT500, yang mana pada tahun 2014 dan 2015 mereka dapat mengaut gelaran juara bagi pemandu dan pengeluar, tetapi tewas pada tahun 2016 kepada Lexus. Bagi musim 2017, GT-R Nismo akan bersaing dengan LC GT500 dan NSX-GT.

    Dengan berat yang hanya lebih sedikit daripada 1,000 kg, Nissan GT-R Nismo GT500 2017 adalah hampir setengah tan lebih ringan berbanding GT-R versi produksi biasa. Nissan juga memberitahu lebih lagi peningkatan akan dilakukan sebaik ia diuji dan mula berlumba nanti.

     
     
  • BAC Mono 2017 – berat 580 kg, kuasa 305 hp, 308 Nm

    bac-mono-2016_06-bm

    Pengeluar kenderaan yang beroperasi di United Kingdom, Briggs Automotive Company (BAC) membawa kenderaan satu tempat duduk terkenalnya, dipanggil Mono ke Los Angeles Motor Show. Model tahun 2017 ini menggunakan enjin 2.5 liter N/A dan mempunyai kuasa maksimum sebayak 305 hp dan tork 308 Nm. Jumlah ini mungkin tidak seberapa, tetapi disebabkan badan yang ringan – 580 kg, nisbah kuasa dan beratnya boleh jadi menakjubkan iaitu 525 hp bagi setiap tan.

    Dengan tetapan seperti ini, BAC Mono 2017 boleh mencapai kelajuan maksimum 273 km/j dan boleh memecut dari 0-60 bsj dalam masa 2.8 saat. Prestasi ini juga dibantu dengan penggunaan kotak gear sequential enam kelajuan daripada Hewland FTR. Bahagian gandar pula dilengkapi dilengkapi dengan LSD.

    Naik taraf lain yang diberi bagi model 2017 ini adalah kawalan cengkaman lima tahap, intelligent launch control dan fungsi penukaran gear ke atas secara automatik yang juga boleh ditutup dengan butang yang ada pada sterengnya. Selain itu, rak stereng kenderaan ini juga boleh dipusing dengan lebih pantas dan hanya memerlukan pusingan sebanyak 1.7 kali dari satu hujung ke hujung yang lain.

    BAC Mono sudah diimport ke lebih 28 negara dan Amerika Syarikat adalah antara negara yang semakin menunjukkan minat terhadap kenderaan satu tempat duduk unik ini. Oleh sebab itu, BAC kini sedang berusaha untuk meningkatkan servis serta penawaran produk mereka di negara tersebut dengan melantik lebih banyak pengedar. Bagi model semasa, BAC Mono dijual pada harga 74,950 pound (RM409,714).

     
     
  • Vespa Edisi Ulang Tahun ke-70 – dari RM18,440

    2017-vespa-primavera-70th-anniversary-19-850x708-bm

    Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 70 Vespa, Naza Premira mengeluarkan tiga model istimewa yang terdiri daripada Primavera 150, GTS 150 dan PX 150. Harga untuk setiap model edisi khas ini masing-masing adalah RM18,440, RM20,627 dan RM28,780.

    Semua model edisi ulang tahun ke 70 ini datang dalam warna biru muda berkilat yang dipanggil Azzurro 70, dan dilengkapi pakej aksesori termasuk rak belakang berserta beg buatan Itali. Barangan lain yang membezakan model edisi khas ini dengan model standard adalah tempat duduk berwarna coklat siap dengan logo Vespa Settantesimo 70th Anniversary, pelekat di bahagian sisi dan lencana edisi khas di bahagian depan.

    Model Primavera dan GTS 150 menggunakan enjin 154.8 cc satu silinder, empat strok EFI yang sama dan masing-masing mampu menghasilkan 12.7 hp dan 11.6 hp. Bagi model PX150 pula, ia menggunakan enjin dua strok 150 cc berpenyejukan udara satu silinder bersama sistem minyak karburator. Ini menghasilkan bunyi unik sebuah Vespa seperti waktu dahulu dan masih boleh menghasilkan 8.85 hp.

    Primavera dan GTS 150 menggunakan kotak gear CVT automatik manakala PX 150 pula dilengkapi kotak gear empat kelajuan dan penukaran gear dilakukan dengan memulas bahagian kiri pemegang. Ketiga-tiga model edisi khas ini ada dipamerkan di pusat pameran Naza Premira dan kuantiti yang dibuka untuk jualan adalah terhad.

     
     
  • Mazda rancang perkenal model EV menjelang 2019

    mazda-future-ev-2019-1

    Menurut laporan yang disiarkan oleh CarAdvice, Mazda bakal memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) menjelang 2019, di mana ia disasarkan bakal menyumbang sebanyak 10% bagi jualan kenderaannya pada tahun 2020.

    “Kemungkinan pada tahun 2020, antara 5 hingga 10% (bagi jualan kenderaan) adalah disumbangkan oleh EV, manakala selebihnya iaitu 90 hingg 90% oleh enjin pembakaran dalaman (ICE). Oleh demikian ICE masih menjadi teknologi paling penting di seluruh dunia,” ujar Kiyoshi Fujiwara, ketua pembangunan dan penyelidikan Mazda.

    Tambahnya lagi, “Memang kita memerlukan EV. Seperti apa yang diketahui, di Norway misalnya, sumber tenaga sepenuhnya ialah air, jadi EV adalah lebih baik untuk CO2 di sana. Tetapi tidak di Amerika Syarikat atau China. Oleh demikian, kita masih fokus dengan ICE, tetapi untuk sesetengah rantau kita memerlukan EV, jadi pada 2019 (atau) dalam lingkungan tersebut, kita akan memperkenalkan EV di mana-mana yang diperlukan dalam dunia ini.”

    Bagi EV buatan Mazda, mungkin ia akan meneripa input daripada Toyota, di mana kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian sefahaman yang diumumkan pada tahun lalu. Kebarangkalian Toyota akan menyalurkan teknologi sel bahan api dan hibrid kepada Mazda, sementara Mazda pula akan berkongsikan teknologi enjin petrol dan dan diesel SkyActiv yang menjimatkan sebagai imbalan.

    mazda-future-ev-2019-2

    Perincian bagi model masa depan ini masih disimpan terlebih dahulu, namun Fujiwara berkata EV ini mungkin akan menggunakan platform yang sesuai dengan ICE sedia ada, berbanding platform EV asli memandangkan pek bateri berkapasiti kecil yang akan dipasang.

    “Jika menggunakan volume bateri yang besar, ya (kita memerlukan platform baharu), tetapi jika tidak, platform unik tidak diperlukan. Untuk pengetahuan, kita telah pun memiliki unit penyambung yang disalurkan oleh enjin rotary, dan sistem ini mampu membantu untuk sesetengah jarak. Jadi, kita akan mempunyai dua sistem,” jelasnya lagi.

    Model yang dinyatakan ini merujuk pada Mazda 2 generasi ketiga (atau Demio) yang dipadankan dengan enjin rotary dan unit kuasa tambahan. Malahan mereka juga sudah memiliki Demio elektrik-sepenuhnya yang didedahkan pada tahun 2012 yang mampu dipacu sehingga jarak 200 km.

     
     
  • Jualan kenderaan Oktober 2016 mengikut jenama – Proton catat peningkatan 26%, Perodua kekal teratas

    proton-saga-premium-drive-6-bm

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, data jualan kenderaan bagi bulan Oktober 2016 yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan penurunan yang berterusan, jika dibandingkan dengan bulan Ogos dan September lalu. Melihat kepada pecahan jenama-jenama yang ada, walaupun di dalam suasana pasaran yang menguncup, tetapi ada beberapa jenama yang mencatatkan peningkatan.

    Sebagai contoh, Proton antara yang mencatatkan peningkatan dan dalam masa sama, mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, mengatasi Toyota. Pengeluar kenderaan nasional itu mencatatkan kenaikan 26% jumlah jualan, daripada 6,062 unit pada September kepada 7,640 unit bagi Oktober. Pengenalan model baharu Saga berkemungkinan besar menjadi faktor bagi perkembangan positif ini.

    Sementara itu, Perodua juga masih kekal di tempat teratas carta, walaupun mencatatkan penurunan jualan sebanyak 5.8%; jenama itu menjual 16,148 unit, 999 unit berkurangan jika dibandingkan dengan jualan September 2016. Angka terbaharu ini mencatatkan jumlah jualan keseluruhan Perodua setakat ini pada angka 167,037 unit bagi 2016.

    october-2016-malaysia-car-sales-data

    Bagi pengeluar kenderaan bukan nasional pula, Honda berjaya merekodkan peningkatan jualan sebanyak 9.4%, membantunya kekal ditangga kedua dengan 8,204 unit terjual pada Oktober. Jenama Jepun lain seperti Toyota, Nissan, Mitsubishi, Mazda dan Subaru semuanya mencatatkan penurunan; Subaru misalnya susut sehingga 25.3%.

    Mercedes-Benz pula beranjak ke kedudukan kelapan dari kedudukan keenam pada September lalu akibat penurunan jualan 20.5%; hanya 940 kereta dijual sepanjang Oktober berbanding 1,183 unit pada bulan sebelumnya.

    BMW dan Audi sebaliknya memperlihatkan peningkatan; 20 unit dan 10 unit masing-masing. Bagaimanapun, sebuah lagi jenama pengeluar Jerman, Volkswagen, mencatatkan penurunan jualan sehingga 50%; cuma 203 unit kenderaan dijual berbanding 406 unit pada September lalu.

    Dari segi jualan setakat ini bagi 2016, Perodua terus mendahului dengan 167,037 unit, diikuti Honda (71,466 unit), Proton (57,731 unit), Toyota (50,020 unit), Nissan (32,852 unit) dan Mazda dengan 11,088 unit.

     
     
  • VIDEO: Proton mula dedah teaser MPV Ertiga

    Proton dijangka bakal melancarkan model baharu keempatnya buat tahun ini, MPV yang sah diberi nama Proton Ertiga sebelum November 2016 berakhir. Malah video teaser Ertiga telah pun diluncurkan menerusi laman media sosial rasmi Proton sendiri.

    Menerusi teaser ini, pelakon yang membintangi video Ertiga adalah yang sama seperti video bagi model Persona dan Saga iaitu Fazura, Zul Arifin, Zahirah McWilson dan Aeril Zafril. Ternyata video Ertiga yang juga terbitan KRU Studio ini adalah sekuel terakhir bagi dua video Proton sebelum ini. Jadi hendak tahu apakah kesudahan jalan cerita misteri mereka, kena tunggu Ertiga dilancarkan.

    Seperti semua sedia maklum, Ertiga adalah hasil kerjasama Proton dan Suzuki, merupakan MPV enam-tempat duduk yang bakal memberikan persaingan buat Perodua Alza. Menerusi foto spyshot yang diperoleh sebelum ini, bahagian depan unit tersebut kelihatan menawarisi rupa dari model Ertiga dengan wajah baharu (facelift), yang dipamerkan tahun lalu ketika pameran GIIAS di Indonesia.

    Bagaimanapun, bahagian belakang unit ini kelihatan seperti model Ertiga sebelum versi facelift. Ini boleh menjadi satu lagi petunjuk bahawa Proton boleh memilih apa yang jenama itu mahu untuk diperkenalkan pada MPV ini kelak.

    Proton juga dijangka akan mendedahkan perincian Ertiga sedikit masa lagi, iaitu sebelum ia dilancarkan kelak. Jadi kena nantikan perincian selanjutnya mengenai Ertiga ini, adakah terdapat banyak perubahan yang dilakukan oleh Proton bagi Ertiga versi Malaysia (dan versi Proton) berbanding model yang berada di pasaran negara jiran termasuk Thailand dan Indonesia sendiri.

    Menurut Suzuki Indomobil Sales (SIS) dalam kenyataannya pada Januari lalu, Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016.

    GALERI: Spyshot Proton Ertiga

    GALERI: Suzuki Ertiga Facelift di GIIAS 2015

     
     
  • MAZDA RT 24-P – kereta prototaip 600 hp yang akan diguna dalam perlumbaan di Amerika Syarikat

    mazda-rt24-p-bm-3

    Pada tahun 2017, Mazda Motor Sports akan membawa kereta yang dinamakan sebagai RT 24-P ini sebagai pesaing dalam perlumbaan khas kategori kenderaan prototaip di Amerika Syarikat (AS). Rekaan luar kenderaan ini masih lagi mengekalkan konsep KODO yang diterapkan pada semua kenderaan generasi baru Mazda, namun ia lebih agresif mengambil kira aerodinamik yang sangat penting.

    Di sebalik badan itu, terdapat casis Riley Mk.30 yang dibangunkan oleh Riley Technologies, sebuah syarikat yang cukup terkenal dalam dunia perlumbaan dan kejuruteraan di AS. Bagi memacu kenderaan ini, Mazda memilih menggunakan enjin 2.0 liter MZ-2.0T dengan pengecas turbo dan ia cukup mengujakan dengan jumlah kuasa maksimum yang mampu dihasilkan sebanyak 600 hp.

    Dalam ujian awal yang dijalankan untuk RT 24-P, ia terbukti bukan sahaja sangat laju tetapi juga tahan lasak, seterusnya memberi keyakinan kepada Mazda untuk memberikan prestasi cemerlang dalam perlumbaan yang akan bermula dengan saingan 24 jam di litar Daytona Januari 2017. Kemunculan kenderaan ini pastinya menarik lebih ramai penonton bagi perlumbaan kategori prototaip yang disertainya.

     
     
  • Toyota Camry 2016 dibuka tempahan; 7 beg udara dan VSC untuk semua, 2 varian hibrid turut ditawarkan

    toyota_camry_new_bm

    UMW Toyota Motor telah mengumumkan Toyota Camry 2016 sudah bersedia menerima tempahan. Terdapat empat varian yang ditawarkan, yang kesemuanya adalah hasil pemasangan tempatan (CKD) termasuklah varian terdahulu 2.0E. Bagi varian 2.0G, ia kini dikenali sebagai 2.0GX, manakala model 2.5 hybrid ditawarkan dengan model asas Premium dan spesifikasi tertinggi Luxury.

    Model yang diperbaharui telah diperkenalkan pada tahun lalu, jadi tiada perubahan daripada sudut mekanikal. Ia masih kekal dengan enjin petrol 6AR-FSE 2.0 liter empat-silinder dengan VVT-iW dan suntikan D-45 bagi varian 2.0E dan 2.0G yang menawarkan output 167 PS pada 6,500 rpm dan 199 Nm pada 4,600 rpm iaitu 17 PS dan 9 Nm lebih berbanding pra facelift. Penjana kuasa ini berkeupayaan menukar kitaran antara Otto (untuk kuasa) dan Atkinson (untuk penjimatan) – dipadankan dengan kotak gear Super ECT enam-kelajuan.

    Begitu juga dengan 2.5 hybrid. Dengan enjin petrol 2AR-FXE 2.5 liter VVT-i empat-silinder (160 PS pada 5,700 rpm dan 213 Nm pada 4,500 rpm), digabungkan dengan motor elektrik (143 PS/270 Nm) dengan padanan bateri hidrida logam nikel, jumlah keseluruhan kuasa yang mampu dijanakan mencecah 205 PS. Enjin ini juga dipadankan dengan transmisi e-CVT.

    Berbanding dengan model 2015, bagi Camry 2016 ini lebih banyak ditampilkan dengan kit tambahan dan paling utama, ia turut menambahkan lagi elemen keselamatannya. Sama seperti Corolla facelift, Camry 2016 ini memperkenalkan tujuh beg udara (termasuk untuk bahagian lutut pemandu), VSC, kawalan cengkaman, bantuan mendaki bukit dan isyarat berhenti kecemasan untuk semua varian.

    Sebelum ini, varian 2.0E hanya didatangkan dengan dua beg udara dan tidak mempunyai VSC, dan walau pun 2.0GX model terdahulu mempunyai senarai elemen di atas, namun masih didatangkan dengan dua beg udara. Jadi barisan baharu Camry ini telah melonjakkan lagi aspek keselamatan yang lebih optimum. Manakala varian 2.5 hybrid masih kekal seperti sebelum ini termasuk dengan Paparan Titik Buta dengan Kepekaan Lintasan Trafik Belakang.

    screen-shot-2016-11-17-at-3-16-38-pm

    Elemen standard bagi semua varian model facelift ini termasuklah kawalan suhu dwi-zon automatik dengan corong udara pada tempat duduk belakang, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, Isofix untuk tempat duduk belakang, pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Namun terdapat pertambahan elemen bagi 2.0GX termasuklah roda aloi 17-inci (16-inci bagi model terdahulu) dibaluti tayar 215/55, dua-DIN, unit utama skrin sesentuh tujuh-inci dengan sambungan WiFi. Tidak seperti sistem tujuh-inci pada model hibrid, bagi 2.0GX, ia tidak didatangkan dengan navigasi sebagai standard, dan hanya ditawarkan sebagai opsyen. Juga pengecas tanpa wayar Qi, sama seperti varian hibrid.

    Bagi 2.5 hybrid, untuk varian Premium, ia dipadankan dengan roda aloi 16-inci dan tayar 215/60 (17-inci dan 215/55 bagi Luxury) dan didatangkan secara standard sistem audio dan pemain CD (skrin sesentuh tujuh-inci sebagai kit opsyen) dan cermin pandang belakang asas siang/malam (electro-chromic untuk Luxury). Malah Premium juga tidak didatangkan dengan pengecas tanpa wayar, nanoe ioniser dan paparan Titik Buta, tidak seperti Luxury.

    UMW Toyota Motor turut mengumumkan harga bagi barisan baharu Camry ini iaitu 2.0E berharga RM152,900 (turun RM2k berbanding model semasa dengan RM154,900) dan 2.0GX pula kini RM159,900 (berbanding RM164,900 bagi model semasa).

    Manakala 2.5 Hybrid Premium pula berharga RM164,900, dan RM174,900 bagi 2.5 Hybrid Luxury. Kesemuanya adalah harga atas jalan, termasuk insurans dan GST.

     
     
  • Subaru Viziv-7 Concept muncul pertama kali di LA

    subaru-viziv-7-suv-concept-8-e1479433380475-850x453-bm

    Kenderaan jenis SUV besar memang popular di Amerika Syarikat dan Subaru ingin menarik ramai lagi pelanggan dalam segmen itu dengan sebuah SUV tujuh tempat duduk yang akan diperkenalkan di sana awal tahun 2018. Rupa awal kenderaan ini boleh dilihat melalui kenderaan konsep yang baru dipertontonkan oleh Subaru di Los Angeles Auto Show, bernama Viziv-7.

    Ia dilihat seperti satu versi Outback yang ditinggikan, dengan banyak gaya rekaan diambil daripada Viziv Concept yang pernah ditampilkan sebelum ini. Pada bahagian depan, terdapat gril besar dengan satu garisan krom yang menyambungkan kedua lampu utama LED dan lampu siang berbentuk C.

    Bahagian bawah bampar mempunyai sepasang lampu kabus heksagon, yang turut digunakan pada bahagian belakang. Begitu juga dengan penghadang lumpur. Pada bahagian belakang, lampu dengan pencahayaan berbentuk C juga bersambung di bahagian tengah.

    Pergi ke bahagian tepi, SUV ini menunjukkan profail lebih tegap dengan fender yang lebar, cermin sisi moden dan rim aloi 21 inci yang berkemungkinan besar tidak akan diguna pada model produksi. Dari sudut ini, Viziv-7 jelas nampak panjang dengan keseluruhannya mencatat 5,199 mm, tinggi 1,859 mm (1,829 mm tanpa rel bumbung). Lebarnya pula adalah 2,029 mm manakala jarak roda pula 2,990 mm.

    “Kenderaan konsep ini menyatakan nilai, keselamatan, kemampuan untuk aktiviti luar, aspek boleh harap serta pendirian melihat ke hadapan yang ada pada kenderaan jenama kami. Kami juga tahu pelanggan dalam segmen ini mahukan kenderaan saiz penuh, dan SUV tiga barisan tempat duduk terbaru Subaru ini adalah kenderaan Subaru paling besar pernah dihasilkan,” kata timbalan presiden eksekutif korporat Fuji Heavy Industries.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bulan Oktober susut – 13.9% berkurangan bagi tempoh sama berbanding tahun lalu

    maa-oct-2016-sales

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan jumlah pengeluaran dan jualan kenderaan bagi bulan Oktober 2016. Ia menyaksikan penyusutan jualan sebanyak 0.6% (312 unit) berbanding September lalu, yang ketika itu turut mencatatkan pengurangan 7.9% berbanding Ogos.

    Antara sebab yang dinyatakan menyumbang kepada penyusutan ini ialah sikap tunggu dan lihat oleh orang ramai sebagai reaksi terhadap Bajet 2017 yang diumumkan ketika itu sebagai faktor utama perlahannya kadar jualan kenderaan.

    Bagaimanapun, MAA menjangkakan jualan bagi bulan November akan menjadi sedikit lebih baik berbanding bulan lalu, disebabkan oleh aktiviti promosi dan jualan yang agresif oleh jenama pengeluar kenderaan yang ada.

    Selain itu, tidak banyak perbezaan bagi tempoh sama tahun lalu. Jualan hingga akhir Oktober yang dicatatkan ialah 466,208 unit, 13.9% lebih rendah berbanding bulan yang sama tahun lalu.

    Dengan kehadiran beberapa model baharu yang dilancarkan dalam pasaran (seperti Toyota Vios facelift, Isuzu D-Max facelift, Chevy Colorado facelift dan Volkswagen Passat B8), dan beberapa lagi model baharu seperti Proton Ertiga serta Hyundai Ioniq Hybrid yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat, mungkinkan 2016 akan melabuhkan tirainya dalam keadaan pasaran automotif yang lebih kukuh?

     
     
  • Proton senarai pendek 3 syarikat untuk diteliti sebagai rakan strategik asing, perjanjian dimeterai Mac 2017

    proton_perdana_persona_saga-17

    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan telah mengesahkan Proton kini sedang meneliti lebih lanjut tiga syarikat yang berada dalam senarai pendek sebagai rakan strategik asing.

    Di mana perjanjian perkongsian strategik antara Proton dengan syarikat pengeluar kelengkapan tulen (OEM) yang terpilih dijangka dapat dimeterai pada 31 Mac 2017, ujar Ahmad Maslan seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Katanya lagi, pemilihan rakan strategik itu dijalankan secara mendalam bagi memastikan Proton berjaya mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka.

    “Ini dapat membantu penyelidikan dan pembangunan (R&D), seterusnya menjadikan Proton syarikat yang berdaya maju dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) di Parlimen semalam.

    Che Rosli ingin tahu mengenai perkembangan terbaharu rakan strategik Proton selain jumlah pengeluaran dan pasaran Proton Persona baharu berbanding Perodua Bezza.

    Proton Perdana Test Drive 4

    Ahmad berkata proses mengenal pasti rakan strategik itu telah bermula sejak Jun lepas apabila Proton mengeluarkan pelawaan memberi cadangan (RFP) kepada 14 syarikat OEM.

    Pada awal Ogos lalu, DRB-Hicom telah menafikan mahu menjual kepentingannya di dalam Proton. Syarikat konglomerat itu berkata, mereka “komited untuk melakukan perubahan di samping mencari rakan strategik baharu” bagi Proton.

    Walau bagaimana pun, DRB-Hicom tetap menegaskan bahawa Proton perlu menjalani Request For Proposal (RFP) dalam mencari rakan kongsi tetap yang strategik, sesuai dengan operasi dan budaya, sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh kerajaan yang meluluskan pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion kepada Proton.

    Request For Proposal (RFP) ini dijangka selesai pada suku pertama 2017, dan implementasi ini dipantau oleh jawatankuasa pemantauan khas yang dilantik oleh kerajaan bagi memastikan progres perubahan Proton berjalan lancar. DRB-Hicom juga telah membuat pengumuman menerusi Bursa Saham Malaysia, sebagai syarat yang diperlukan.

     
     
  • Perodua Bezza atasi jualan Proton Persona – menteri

    Proton Persona 2016 (kiri) & Perodua Bezza (kanan)

    Jualan bagi Perodua Bezza dilihat telah mengatasi angka jualan bagi Proton Persona baharu sebanyak tiga kali ganda, biar pun kedua-duanya dilancarkan selang sebulan.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, Perodua Bezza telah mencecah jualan sebanyak 22,799 unit sejak ia dilancarkan pada 21 Julai lalu, berbanding Proton Persona baharu yang terjual sebanyak 7,646 unit selepas pelancarannya pada 23 Ogos tahun ini, laporan The Star.

    Beliau turut berkata, jualan Bezza yang memberangsangkan itu disebabkan faktor penjimatan bahan api dan bukannya kualiti kereta.

    “Persepsi ini adalah berbeza daripada realiti. Alasan utama mengapa lebih ramai pengguna memilih Bezza adalah disebabkan ia kenderaan jimat tenaga (EEV),” ujarnya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) di Parlimen semalam.

    Dr Che Rosli berkata orang ramai merasakan Bezza adalah lebih baik daripada sudut kawalan kualitinya berbanding Persona yang dianggap masih mempunyai masalah cermin tingkap berkuasa.

    Ahmad Maslan turut menambah, Perodua penyumbang terbanyak dalam jumlah keseluruhan jualan kenderaan pada tahun lalu, iaitu mencecah 213,307 unit atau 36.7% daripada keseluruhan 591,298 unit kenderaan yang terjual.

    “Ini diikuti oleh Proton di tempat kedua dengan 102,175 unit kenderaan yang terjual atau 17.28%, disusuli oleh Honda dengan 94,904 unit atau 16.05% dan Toyota pula 65,295 unit atau 11.04%,” ujarnya.

     
     
  • Perodua nafi dakwaan isu stereng terkunci pada Axia

    Perodua_Axia_Ext-4

    Ingat lagikah anda mengenai isu ‘stereng terkunci’ yang berlaku pada Perodua Axia yang menjadi viral beberapa bulan lepas? Nampak gayanya isu ini masih diperkatakan lagi, malah kembali menjadi viral di laman media sosial. Ekoran itu, Perodua telah menyebarkan kenyataan media rasmi dari pengarah urusannya Datuk Dr. Zahari Husin. Berikut adalah kenyataan penuh dari Perodua:

    Perodua-Axia-stereng-lock

    Isu ini menjadi viral susulan satu kemalangan yang berlaku di Pulau Pinang pada Jun lalu. Menurut dakwaan pemandu terbabit, kemalangan tersebut berlaku ketika hujan dan dia hanya memandu sekitar 70 hingga 80 km/j di Jambatan Kedua Pulau Pinang. Namun secara tiba-tiba sterengnya “terkunci” dan tidak boleh dipusingkan. Dia terpaksa membrek namun ia tidak berfungsi, malahan beg udaranya juga tidak terkeluar selepas keretanya terlanggar penghadang jalan, dakwaannya.

    Walau bagaimana pun, Perodua telah menjalankan satu ujian terperinci telah pun dijalankan ke atas kereta terbabit. Hasil ujian tersebut mendapati sistem brek, beg udara dan stereng pada kereta itu berfungsi sepenuhnya. Malah berkata, telah lebih 200,000 unit Axia dijual sejak ia dilancarkan pada September 2014, dan pihaknya mengesahkan sehingga kini (ketika kejadian tersebut), tidak pernah menerima sebarang aduan mengenainya daripada pelanggan.

    Menurut Perodua lagi, hasil siasatan tersebut menunjukkan keempat-empat tayar pada kereta terbabit botak, dengan tiga daripadanya hanya tingga 1 mm kedalaman bunga. Alasan beg udara tidak berfungsi bagi kes ini pula disebabkan impak hadapan yang lemah atau impak akibat pelanggaran tersebut telah diserapkan oleh struktur badan kereta tersebut.

     
     
  • Norton V4 RR guna enjin 1,200 cc, kuasa 200 hp

    norton-v4-rr-08-bm

    Di negara kita, Norton mungkin lebih dikenali dengan model klasik. Tetapi sebenarnya, pengeluar dari United Kingdom ini mempunyai pelbagai lagi model lain termasuk superbike seperti SG1 dan digunakan dalam perlumbaan termasuk Isle of Man TT.

    Terbaru, Norton membuka jualan untuk model V4 RR dan ia juga membawa semangat lumba ke atas jalan biasa kerana diasaskan daripada model SG1. Enjin yang digunakan pada V4 RR ini adalah unit 1,200 cc V4 berkemampuan 200 hp/ 130 Nm dan mempunyai injap titanium.

    Komponen utama bagi bahagian casis terdiri daripada kerangka tiub berkembar ‘shotgun’ serta lengan ayun tunggal dengan tapak pivot yang boleh dilaras (sudut steering head juga boleh dilaras). Bagi bahagian fairing, tidak kira sama ada anda memilih kemasan warna biasa atau krom, dibina daripada gentian karbon.

    norton-v4-rr-09-bm

    Tugas menyerap hentakan dijalankan oleh fork Öhlins NIX30 di hadapan dan Öhlins TTXGP di belakang, manakala brek pula menggunakan cakera berkembar 330 mm serta angkup Brembo monobloc di hadapan dan cakera 245 mm serta angkup Brembo di belakang.

    Norton V4 RR juga diberikan pakej elektronik yang lengkap, dengan sistem seperti traction control, wheelie control, launch control dan cruise control. Ini kemudiannya ditambah lagi dengan six axis inertial measurement unit (IMU), skrin paparan LED 7 inci, kamera pandang ke belakang, quickshifter untuk naik dan turun gear serta pengumpul data.

    Norton V4 RR dijual pada harga 28,000 pound sterling (RM152,664) dan hanya akan ditawarkan kepada pasaran dalam jumpah terhad 250 unit. Sebelum ini, Norton ada mengeluarkan model ‘SS’ berspesifikasi lebih tinggi yang dijual pada harga 44,000 pound sterling (RM239,961) sebanyak 200 unit, dan itupun sudah habis dijual.

     
     
  • Volkswagen kekalkan strategi harga, hentikan tawaran diskaun tinggi – Tiguan CKD untuk M’sia pada 2017

    vw-tiguan-frankfurt-7

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengesahkan tidak ada perancangan untuk menaikkan harga sedia ada bagi barisan model Volkswagen di Malaysia biar pun Ringgit agak lemah dalam pertukaran mata wang asing.

    Malah syarikat ini akan terus menentukan harga akan datang yang terdekat, menurut Pengarah Urusan Florian Steiner. “Walau pun pasaran berhadapan dengan cabaran buat masa ini, namun keadaan ekonomi semasa dan kekukuhan Ringgit, Malaysia masih kekal sebagai antara pasaran utama kami,” ujarnya semalam dalan sidang media selepas pelancaran Passat B8 semalam. Malah semalam VPCM turut melancarkan model Beetle Dune 1.4 TSI.

    Beliau turut menambah sebelum ini kebanyakan pengedarnya telah menawarkan sejumlah diskaun yang tinggi. “Memang akan ada insentif sempena musim perayaan, namun kita tidak akan memberi diskaun RM30,000 hingga RM40,000 lagi,” tambahnya. Sebelum ini, kebanyakan kempen promosi melihatkan tawaran diskaun yang tinggi bagi harga jualan modelnya.

    Mengenai jenama ini, beliau menambah, ia tidak akan lagi memfokuskan jumlah jualan, sebaliknya akan menukar strategi dengan memberikan tawaran yang lebih baik untuk tarikan pembeli. Steiner turut mendedahkan, pihaknya sudah bersedia untuk memproduksikan model SUV Tiguan generasi-kedua secara pemasangan tempatan (CKD) pada tahun hadapan.

    Di bawah pimpinan pengurusan sebelum ini, syarikat ini telah mencatatkan jualan sebanyak 6,400 unit kenderaan pada tahun lalu. Steiner berkata, angka tersebut akan dikekalkan buat tahun ini.

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia sebelum ini dikenali sebagai Volkswagen Group Malaysia, dan sejak 1 September lalu, apabila Porsche Holding Salzburg (PHS) dilantik sebagai pengedar rasmi yang baharu, ia bertukar menjadi VPCM. Fokus utama VPCM melibatkan strategi jualan menerusi produk- produk pada masa depan. Di samping mengukuhkan rangkaian pengedar Volkswagen, servis dan kebolehdapatan alat ganti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025