Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subaru Exiga Crossover7 dapat versi X-Break ranggi

    Subaru Exiga Crossover7 dapat versi X-Break ranggi

    Subaru telah menambah variasi X-Break untuk Exiga Crossover7, direka untuk menjadikan wagon tinggi tujuh tempat duduk ini lebih ranggi dan bergaya. Pada varian baru ini, kenderaan tersebut mendapat beberapa perubahan luar dan dalam, serta kelengkapan yang lebih tahan lasak.

    Antara perkara yang membezakan X-Break dengan model standard adalah kemasan bawah pintu plastik berwarna hitam, cermin sisi hitam, rim 17 inci kelabu gelap baru dan lencana X-Break ada bahagian tepi dan belakang.

    Di dalam pula, terdapat hiasan kulit berwarna hitam dan coklat pada papan pemuka, bahagian penumpang, bersama tempat duduk yang dibalut dengan fabrik kalis air dan kulit sintetik. terdapat juga lapik lantai yang boleh diterbalikkan dan disiram air, sekaligus menjadikannya lebih mudah dicuci, sebagai contoh apabila terkena lumpur atau membawa barang yang basah.

    Bagi yang kurang kenal, Crossover7 adalah satu model berorientasikan offroad bagi Exiga yang sudah dijual sejak tahun 2007. Perubahan yang diberi berbanding model standard adalah termasuk kemasan plastik pada keliling kereta, skid plate di hadapan dan belakang, gril lebih besar, lampu penanda LED dan rim aloi 17 inci.

    Bahagian dalam juga mempunyai peningkatan, seperti jahitan biru-hijau pada kulit yang digunakan serta panel hiasan hitam-perak. Penggunaan suede dan kulit sebenar pada tempat duduk dan beberapa bahagian lain juga disediakan sebagai pilihan. Tempat duduknya didatangkan secara standard dengan pelarasan elektronik lapan arah, bersama ciri pemanas. Untuk aspek keselamatan, Crossover7 mendapat enam beg udara dan sistem bantuan pemandu Eyesight versi kedua secara standard.

    Kuasa kenderaan ini datang daripada enjin empat silinder 2.5 liter N/A yang berkemampuan 173 PS dan 235 Nm, dipadankan bersama transmisi CVT Lineartronic dan sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive Subaru. Penggunaan bahan api berada pada tahap 13.2 km/l berdasarkan kitaran JC08. Bahagian suspensi kenderaan ini turut dinaikkan sebanyak 20 mm untuk memberikan kelegaan dari tanah 170 mm.

     
     
  • Toyota GT86 ‘Tiger’ – hanya ada 30 unit untuk Jerman

    Toyota GT86 ‘Tiger’ – hanya ada 30 unit untuk Jerman

    Awal minggu ini, model khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, Toyota 86 860 Special Edition diumumkan. Terbaru, khusus untuk pasaran Jerman pula, Toyota GT86 ‘Tiger’ pula diperkenalkan.

    Tiada perubahan mekanikal, jadi prestasi yang dijana oleh versi ini tidak ada apa-apa pertambahan berbanding model biasanya. Bagaimanapun, rupanya lebih garang, dengan warna ‘Tiger Orange’ dengan kemasan pelekat hitam sebagai membangkitkan kontrasnya. Spoiler belakang juga dalam warna hitam, manakala rim 17 inci juga mengikut tema yang sama. Ia menggunakan penyerap hentak oleh Sachs.

    Di dalam, versi ini menggunakan pembalut kerusi dari material Alcantara dan suede pada bahagian pintu dan papan pemuka. Seperti dijangkakan, jahitan warna oren turut digunakan sebagai padanan terhadap imej keseluruhannya. Lambang “GT86 Tiger” juga ada sebagai tanda versi ini berbeza berbanding yang biasa, ditawarkan hanya dalam jumlah terhad – hanya 30 unit akan dibuat.

     
     
  • VIDEO: Volkswagen Arteon – sporty dan menawan

    Selepas diperkenalkan ketika pameran permotoran Geneva minggu lalu, Volkswagen di dalam sebuah video terbaru kini menampilkan model Arteon di atas jalan dengan tumpuan diberikan terhadap kelengkapan ciri-ciri menariknya.

    Sebuah kereta sedan yang lebih mirip ke arah rekaan coupe, yang diposisikan di antara Passat B8 dan Phideon (hanya di China) menampilkan penggayaan yang diambil kebanyakannya daripada Sport Coupe Concept GTE yang dipertontonkan dua tahun lalu.

    Ketika pengenalannya, Arteon akan ditawarkan dalam tiga pilihan kemasan; baseline, Elegance dan R-Line. Bagi enjin pula, pilihan dari dua enjin petrol dan satu enjin diesel dengan output berbeza. Ini menjadikan jumlah varian keseluruhannya ada enam pilihan.

    Enjin petrol pertama, 1.5 liter TSI Evo dengan janaan 150 PS turut ada digunakan bagi model Golf Mk 7 facelift, diikuti oleh enjin 2.0 liter TSI dengan dua janaan output; 190 PS dan 280 PS. Enjin 2.0 liter TDI pula dalam pilihan janaan kuasa 150 PS, 190 PS dan 240 PS. Bagi transmisi, baseline dilengkapi kotak gear manual enam-kelajuan, manakala varian yang lebih tinggi datang dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan.

    Dengan rekaan seperti ini, tidak hairan jika Volkswagen akan memasarkannya disemua pasaran yang relevan dengan segmen berkenaan. Arteon, yang akan dipasang di kilang pengeluarnya di Emden, akan mula dijual di Jerman Jun ini.

     
     
  • VIDEO: Hyundai i30 N – kereta prestasi pertama Hyundai diuji atas salji oleh Thierry Neuville; dipuji

    VIDEO: Hyundai i30 N – kereta prestasi pertama Hyundai diuji atas salji oleh Thierry Neuville; dipuji

    Dalam tahun ini, Hyundai akan mengeluarkan model prestasi mereka yang pertama, digelar sebagai i30 N, dan ia adalah ahli ketiga dalam barisan kenderaan model i30 (selepas i30 lima pintu dan i30 Wagon). Model ini sudah dilihat diuji di atas jalan raya biasa, namun dalam video terbaru yang dikeluarkan sendiri oleh Hyundai, ia diuji atas salji oleh pelumba rali WRC, Thierry Neuville.

    Di dalam video tersebut, aksi menggelungsur i30 N boleh dilihat sambil mengeluarkan bunyi yang menggiurkan manakala Neuville memuji kerja jurutera Hyundai dalam menghasilkan kenderaan prestasi yang mudah dikawal dan dapat memberi rasa sebenar kereta lumba kepada orang ramai.

    Ujian ini dilakukan di Arjeplog, Sweden, di mana selain itu, Hyundai juga ingin memperelok dan membuat talaan terhadap ciri dinamik kenderaan itu. Bahagian lain seperti Electronic Stability Control, Limited Slip Differential, stereng, penyerap hentakan, suspensi dan tayar juga semuanya diuji dalam keadaan cuaca ekstrem, dengan suhu boleh mencecah -30 darjah celsius.

    VIDEO: Hyundai i30 N – kereta prestasi pertama Hyundai diuji atas salji oleh Thierry Neuville; dipuji

    Informasi yang didapati sebelum ini menjangka i30 N akan dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 turbo, dan akan ditawarkan dalam dua varian – standard 250 hp dan dilengkapi dengan pakej prestasi, 275 hp. Selaku sebuah hatchback prestasi, i30 N akan memberi saingan terus kepada model seperti Volkswagen Golf GTi, Ford Focus ST dan Peugeot 308 GTI.

    Selain itu, i30 N juga akan dibekalkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan kemudiannya turut ditawarkan dengan transmisi klac berkembar lapan-kelajuan jenis klac basah.Apa yang menarik lagi, i30 N bakal dilengkapkan dengan LSD mekanikal pintar kawalan elektronik digelar E-LSD, pertama seumpamanya dari Hyundai.

    Menurut ketua bahagian ujian dan pembangunan kenderaan prestasi di pusat teknikal Hyundai Motor Europe iaitu Alexander Eichler, objektif i30 N adalah seperti berikut: “Sasaran utama kami adalah untuk menjamin kepuasan memandu. Logo ‘N’ yang membawa simbol chicane selekoh itu juga menjurus kepada aspek itu – sebuah kenderaan yang lincah dan seronok untuk dipandu.

     
     
  • DBKL wujudkan zon khas motosikal di lampu isyarat

    DBKL wujudkan zon khas motosikal di lampu isyarat

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan akan melaksanakan penstrukturan trafik yang baharu di ibu kota dengan mewujudkan zon keutamaan motosikal di beberapa lokasi lampu isyarat, laporan Bernama.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, zon tersebut yang dicat warna merah dan putih akan menjadi penanda kepada setiap penunggang motosikal untuk berhenti di dalam petak khas sementara menunggu lampu isyarat dan tidak lagi dibenarkan memberhenti kenderaan di luar petak tersebut.

    Manakala kenderaan lain perlu memberhentikan kenderaan masing-masing di belakang petak itu. Setakat ini DBKL menyediakan zon motosikal di tiga lokasi merangkumi Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak.

    Malah pihaknya juga mengenal pasti beberapa lokasi lain untuk mewujudkan kemudahan itu antaranya di Jalan Tunku Abdul Rahman.

    Katanya lagi, penstrukturan trafik ini adalah bagi menjamin keselamatan pejalan kaki untuk melintas dan memberi kemudahan kepada pengguna motosikal berhenti dalam keadaan selamat.

    “Dalam usaha ini, saya harap agar ia dapat mengurangkan kes jenayah yang sering berlaku di jalan raya seperti masalah ragut dan pecah cermin kereta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Menurut Mhd Amin lagi, satu zon motosikal akan diwujudkan pada setiap bulan di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna motosikal, setiap zon yang berkeluasan 6.096 meter mampu memuatkan lebih 20 motosikal dalam satu-satu masa.

    Walau bagaimana pun, pada peringkat awal ini, DBKL akan memberi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula bulan ini kepada pengguna jalan raya untuk membiasakan diri kepada penstrukturan trafik yang baharu itu.

    Selepas tempoh percubaan itu, Mhd Amin Nordin berkata pengguna jalan raya yang gagal mematuhi arahan itu akan dikenakan kompaun antara RM50 hingga RM100.

     
     
  • Penutupan Terowong Genting Sempah dilanjutkan sehingga akhir Mei ini – laluan kontra dibuka

    Penutupan Terowong Genting Sempah dilanjutkan sehingga akhir Mei ini – laluan kontra dibuka

    Fasa kedua kerja-krja penyelenggaraan Terowong Genting Sempah bakal bermula akhir Mac ini sehingga hujung bulan Mei depan. Naib Presiden Kanan dan Ketua Pengurusan Aset ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata ia akan melibatkan penutupan terowong tersebut dan dilanjutkan dari fasa pertama yang sepatutnya berakhir 22 Mac ini.

    Katanya lagi, penutupan untuk fasa dua dijangka mengambil masa enam minggu bermula akhir Mac ini sehingga akhir Mei depan. Walau bagaimana pun, laluan kontra akan diaktifkan di terowong berkenaan sama seperti semasa penutupan fasa pertama, laporan Bernama.

    “Untuk fasa pertama, penutupan jalan dibuat dari hari Isnin sehingga Khamis dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang, dan untuk fasa dua pula penutupan masih dilakukan bermula Isnin sehingga Khamis dan dibuka Jumaat, Sabtu serta Ahad, katanya.

    Menurutnya kerja penyelenggaraan akan dihentikan pada cuti umum Hari Pekerja dan Hari Wesak bagi melicinkan aliran trafik dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur dan sebaliknya.

    “Pengguna lebuh raya ini tidak perlu bimbang kerana penutupan ini dijangka tidak akan menimbulkan masalah kesesakan trafik dan petugas ANIH Berhad sentiasa memastikan aliran trafik di terowong berkenaan berjalan lancar,” katanya.

     
     
  • Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

    Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

    Honda CR-V 2017 direncanakan bakal dilancar secara rasmi di Thailand pada 24 Mac ini. Tetapi, belum pun tiba ke tarikh itu, wakil media Thailand diberikan peluang awal untuk mendekati model berkenaan dalam satu sesi pandu uji di litar Buriram.

    Portal automotif di sana, Headlight Magazine telah pun menerbitkan pengalaman awal pandu uji bagi model Honda CR-V 1.6 i-DTEC Diesel Turbo 9AT. Laporan berkenaan antara lain mendedahkan beberapa perincian lain pada model SUV generasi kelima itu.

    Sekali pandang, ia hampir serupa dengan model yang diperkenalkan untuk pasaran Amerika Syarikat. Antarnya, pilihan lampu utama LED, yang dipadankan sekali dengan rekaan Solid Wing Face oleh Honda. Selain itu, lengkung tayar yang menonjol, D-pillar dengan tingkap kecil serta lampu LED di belakang dengan rekaan bentuk L. Rim 18 inci sama juga kelihatan; model lebih rendah datang dengan rim 17 inci.

    Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

    Perbezaan yang lebih ketara dapat dilihat pada bahagian dalam. Senireka umumnya kekal sama, dengan bahagian tengah yang “terapung”, paparan skrin TFT LCD dan stereng tiga-jejari seperti Civic antara yang mirip dengan model pasaran US.

    Kelainan paling utama tentunya kerusi barisan ketiga, menjadikannya hadir dengan tujuh-tempat duduk. Baris kedua dan ketiga boleh diturunkan; barisan kedua juga turut boleh dianjakkan ke depan dan belakang seperti biasa. Corong pendingin hawa sendiri juga ada untuk barisan kedua dan pada bahagian bumbung untuk barisan ketiga.

    Untuk pasaran Thailand, dua pilihan enjin ditawarkan. Varian paling rendah menggunakan enjin 2.4 liter K24 DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan 175 hp pada 6,200 rpm dan 225 Nm pada 4,000 rpm. Transmisi pula dari jenis CVT Earth Dreams.

    Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

    Varian paling tinggi pula dilengkapi enjin 1.6 liter N16 DOHC i-DTEC turbodiesel, dengan janaan kuasa 160 hp pada 4,000 rpm dan 350 Nm pada 2,000 rpm. Menariknya, varian ini menggunakan padanan transmisi sembilan-kelajuan automatik dari ZF. Sistem pacuan 4WD pula turut ditawarkan bagi kedua-dua varian.

    Keseluruhannya, CR-V 2017 di sana merangkumi empat model; 2.4 E 2WD, 1.6 Turbo E 2WD, 2.4 EL 4WD dan 1.6 Turbo EL 4WD. Ia turut disertakan antaranya dengan lampu kabus LED, masukan tanpa kunci dengan ciri Walk Away Auto Lock, butang Push Start, kemasan kayu, kemasan kulit bagi tempat duduk serta kawalan pendingin dual-zon. Ia turut disertakan dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi ciri keselmatan, ia antaranya hadir bersama ABS dengan EBD, brake assist, kawalan kestabilan (VSA) dan Agile Handling Assist (AHA). Warna yang ditawarkan termasuk Dark Olive Metallic, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Orchid White Pearl dan Crystal Black Pearl. Perincian lanjut mungkin akan diketahui pada hari pelancarannya kelak.

     
     
  • Volvo bangunkan model elektrik dengan jarak 400 km

    Volvo bangunkan model elektrik dengan jarak 400 km

    Model kenderaan elektrik sepenuhnya yang pertama oleh Volvo akan menawarkan jarak perjalanan 400 km ketika ia tiba untuk pasaran Amerika Syarikat pada 2019 nanti. Ia akan dijual pada harga sekitar US$35,000-$40,000 (RM155,786-RM178,042), dan memang direka sedemikian untuk membolehkannya bersaing dalam pasaran itu. Ini antara perkara yang dimaklumkan oleh CEO Volvo Car USA, Lex Kerssemakers seperti dilaporkan Automotive News.

    “Itu apa yang saya tetapkan sebagai syarat untuk pasaran Amerika Syarikat. Jika (Volvo) ingin membuktikan sesuati, dan jika model itu ingin dijual dalam jumlah yang banyak, itu perkara yang saya yakini perlu dilakukan,” tambah Kerssemakers.

    Volvo bangunkan model elektrik dengan jarak 400 km

    Masih belum ada pengesahan rasmi terhadap model-model masa depan yang akan menerima sistem EV sepenuhnya bagi jenama itu. Bagaimanapun, teknologi berkenaan akan dibangunkan dalam bentuk pek bateri modular, yang boleh digunakan bagi mana-mana model yang dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) dan Scalable Product Architecture (SPA) oleh Volvo sendiri.

    Platform CMA akan digunakan bagi model seperti XC40, yang direncanakan keluar tahun ini. Sementara platform SPA pula adalah asas bagi model-model seperti XC90, S90/V90 dan XC60 yang baru dilancarkan. Untuk mendapatkan jarak yang lebih jauh berbanding apa yang diperlukan pengguna, bateri 100 kWh akan melengkapi model elektrik itu nanti.

     
     
  • VIDEO: Nissan mahu guna formula Desert Camel Power untuk ukur kuasa kenderaan di padang pasir

    VIDEO: Nissan mahu guna formula Desert Camel Power untuk ukur kuasa kenderaan di padang pasir

    Kita sudah biasa dengan penggunaan kiraan kuasa kuda (horsepower) dan tork untuk mengetahui secara terus kemampuan sesebuah kenderaan. Walaubagaimanapun, bagi Nissan Middle East, ini tidak mencukupi dan dirasakan tidak sesuai bagi mengukur kemampuan kenderaan di atas padang pasir. Oleh itu, mereka membangunkan kiraan ‘Desert Camel Power.’

    Ia adalah satu formula perkiraan yang terbukti secara saintifik dan dibangunkan bersama beberapa pakar sains dalam bidang metrologi (bahagian kajian santifik pengukuran) selama dua tahun. Ia boleh digunakan untuk apa sahaja kenderaan off-road di dunia yang dikategorikan sebagai ‘berkebolehan di padang pasir.’

    Dalam formula yang dihasilkan, untuk mendapatkan jumlah Desert Camel Power (CP), anda perlu menggunakan halaju, kali berat, dan kali sin trajektori (CP = velocity x weight x sin). Nissan juga yakin formula ini akan diterima pakai secara meluas oleh komuniti off-road yang sentiasa mempunyai percanggahan dalam menentukan kuasa sesuatu kenderaan di padang pasir.

    Keputusan saintifik hasil daripada kerjasama ini, dan juga formula Desert Camel Power itu sendiri akan dibawa oleh Nissan kepada Emirates Authority for Standardization and Metrology (ESMA) untuk didaftarkan. ESMA juga bersedia untuk melakukan ujian lanjut bagi membantu mendapatkan standard bagi unit kiraan baru ini – pertama di benua itu, dan akhirnya akan menjadi yang pertama di dunia.

     
     
  • Kerajaan memperuntukkan RM284j bagi membina, menyelenggara dan menaik taraf jalan luar bandar

    Kerajaan memperuntukkan RM284j bagi membina, menyelenggara dan menaik taraf jalan luar bandar

    Bagi membina, menyelenggara dan menaik taraf jalan luar bandar di seluruh negara, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM284 juta bagi 2017 untuk tujuan tersebut.

    Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Alexander Nata Linggi, sebanyak RM25 juta diperuntukkan khusus untuk membina jalan-jalan ladang dan pertanian di seluruh negara bagi memudahkan pekebun mengangkut hasil pertanian mereka, laporan Bernama.

    “Manakala jumlah keseluruhan untuk membina, menyelenggara dan menaik taraf jalan kampung dan luar bandar di bawah Projek Jalan Kampung (PJK) mencecah RM284 juta,” ujarnya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

    Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hassan (BN-Parit) yang meminta kementerian memberi keutamaan kepada pembinaan jalan kampung dan jalan ladang bagi membolehkan rakyat luar bandar memasarkan barangan keluaran mereka ke bandar.

    Menjawab soalan tambahan mengenai peraturan pembinaan jalan kampung yang hanya akan dibina menghala ke dua atau tiga buah rumah, beliau berkata setakat ini peraturan itu masih lagi sama.

    “Memang buat masa sekarang sebagai peraturan kita tidak benarkan jalan dibina menghala ke hanya sebuah rumah sahaja kerana kita mahu manfaat ini sampai kepada lebih ramai penerima projek kerajaan.

    “Namun kita mengalu-alukan jika ada cadangan untuk kita boleh bina jalan menghala ke sebuah rumah kerana kita mahu memesrakan rakyat,” katanya.

     
     
  • Go Auto lancar pelincir sintetik penuh SAE 5W-40 SN

    Go Auto, pengedar kenderaan jenama Haval di Malaysia kini memperkenalkan minyak pelincir sintetik penuh, Go Auto Fully Synthetic SAE 5W-40 SN. Ia disifatkan dirumus menggunakan teknologi hijau, dengan pertukaran bagi setiap 15,000 km.

    Dibangun menggunakan kepakaran Repsol, minyak pelincir ini sesuai digunakan untuk semua jenis enjin petrol. “Minyak pelincir Go Auto Fully Synthetic SAE 5W-40 SN sudahpun berada di semua pusat servis Haval Malaysia dan dijual pada harga runcit RM 258.00 sebotol. Go Auto turut membuka peluang kepada semua pengedar yang berminat untuk memasarkan produk ini,” jelas CEO Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman.

    Pada majlis sama, Go Auto turut mengadakan program kemahiran pemanduan teknikal di antara Haval Club dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC), di Ayer Keroh, Melaka.

     
     
  • Laporan keberkesanan teknologi bina jalan berasaskan turapan getah diketahui awal 2018

    Laporan keberkesanan teknologi bina jalan berasaskan turapan getah diketahui awal 2018

    Susulan mengenai Kementerian Kerja Raya yang akan melakukan kajian merangkumi aspek teknikal dan kos bagi menilai kesesuaian getah sebagai bahan untuk menurap jalan yag diumumkan pada akhir Januari lalu, menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, laporan keberkesanan penggunaan CMA (Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan) hanya akan diketuai awal tahun hadapan.

    Menurutnya lagi, laporan itu akan disediakan oleh pasukan penilai yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia berlandaskan tiga lokasi projek perintis iaitu di Tampin, Negeri Sembilan, Baling, Kedah dan Lanchang, Pahang, seperti mana yang disiarkan oleh Bernama.

    “Berdasarkan pemerhatian awal mendapati turapan jalan yang menggunakan CMA di lokasi perintis itu menunjukkan tanda-tanda yang positif. Antara kelebihan penggunaan CMA ialah dapat memberi rintangan lebih baik ke atas faktor-faktor yang boleh menyebabkan kerosakan jalan seperti retakan dan aluran.

    “Bagaimanapun, kos pembinaan jalan menggunakan CMA lebih tinggi iaitu RM53 per meter berbanding RM29 per meter jika menggunakan kaedah konvensional, namun kos penyelenggaraan jalan CMA lebih rendah berbanding jalan konvensional,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Laporan keberkesanan teknologi bina jalan berasaskan turapan getah diketahui awal 2018

    Beliau menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang meminta JKR menyatakan tentang faedah dan kaedah serta kos perbandingan pembuatan jalan raya yang diguna pakai sekarang dengan jalan raya berasaskan getah yang mahu dilaksanakan.

    Fadillah berkata untuk tempoh jangka panjang, pembinaan jalan menggunakan CMA mungkin lebih ekonomik memandangkan kos kitaran hayat jalan tersebut akan menjadi semakin murah.

    Laporan itu sepatutnya mengambil tempoh dua tahun, namun, pasukan penilai bersetuju memendekkan tempoh kajian kepada satu tahun sahaja.

    Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Muhd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai daya tahan terhadap iklim di negara ini, Fadillah berkata berdasarkan kajian makmal, penggunaan CMA lebih tahan lama dan boleh mencapai 10 tahun berbanding lima tahun kaedah konvensional.

     
     
  • Mercedes-Benz Mofaz Autohaus buka cawangan di Kelantan, Terengganu – sasar 160 unit jualan tahun ini

    Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM), dengan kerjasama pengedar bertauliah Mofaz Exotic Car Sdn Bhd telah memperkenalkan pusat 3S serba baharu Mercedes-Benz Mofaz Kota Bharu (Mercedes-Benz Mofaz KB Autohaus) di Kelantan, dan Mercedes-Benz Mofaz Kuala Terengganu (Mercedes-Benz Mofaz KT Autohaus) dan Terengganu.

    Terletak di Lot 422-425, Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Mercedes-Benz Mofaz KB Autohaus berkeluasan 5,372 kaki persegi, mempunyai empat buah bilik pameran dan tiga ruang penyelenggaran. Manakala Mercedes-Benz KT Autohaus yang terletak di No. 179, Jalan Sultan Mohamad, Gong Kapas, Kuala Terengganu, pula seluas 4,435 kaki persegi, mempunyai tiga buah bilik pameran dan tiga ruang penyelenggaran.

    “Kami sangat gembira untuk memperluaskan lagi jualan dan servis untuk bahagian Pantai Timur bagi kepuasan para pelanggan. Dengan kerjasama rakan kongsi, Mofaz Exotic Car Sdn Bhd, pelancaran Autohaus di Kota Bharu dan Kuala Terengganu dilihat sebagai bukti komitmen kami dalam memperluaskan lagi jualan dan perkhidmatan selepas jualan di sana,” ujar Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia (MBM) Dr Claus Weidner.

    Mercedes-Benz Mofaz Autohaus buka cawangan di Kelantan, Terengganu – sasar 160 unit jualan tahun ini

    Mofaz Exotic Car merupakan satu-satunya pengendali tunggal bagi Mercedes-Benz Autohaus di Kelantan dan Terengganu, memiliki 14 orang kakitangan bagi setiap satu pusat 3S tersebut termasuk bahagian jualan, servis teknikal dan alat ganti, serta mampu menyelenggara sehingga 131 unit kenderaan dalam sebulan.

    “Kami sebagai pengedar utama jenama ini turut mengembangkan kemudahan kepada pemilik dan pelanggan, selain memfokuskan perkhidmatan pusat servis kenderaan di beberapa cawangan Mofaz di Pantai Timur. Malah turut menyasar penjualan sebanyak 160 unit kereta mewah itu bagi pasaran Kelantan dan Terengganu pada tahun ini,” ujar Pengarah Eksekutif Mofaz Exotic Car Mohamed Frhan M Fauzy.

    Dengan jumlah perlaburan sebanyak RM600,000, kedua-dua Autohaus berkenaan turut mematuhi Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II), iaitu penanda aras bagi Autohaus di peringkat global untuk memenuhi keperluan para pelanggan, di samping lengkap dengan Identiti Korporat Mercedes-Benz (CI) yang baharu.

     
     
  • Citroen C5 Aircross – teaser untuk model produksi

    Citroen C5 Aircross – teaser untuk model produksi

    Citroën Aircross pernah muncul pada tahun 2015 sebagai model konsep, tetapi tahun ini, menurut Autocar, kenderaan versi produksi akan membuat penampilan di Shanghai Motor Show April ini. Nama yang akan digunakan untuk model ini adalah Citroën C5 Aircross, dan ketua pegawai eksekutif jenama Citroen, Linda Jackson turut mengeluarkan gambar teaser awal untuk SUV ini di Twitter.

    Setakat yang boleh diberitahu, model produksi ini akan mengekalkan banyak ciri seperti kereta pameran sebelum ini, termasuk lampu bertingkat, gril, tiga salur udara, kemasan keliling tingkap warna perak dan pelindung panel Airbump seperti sebuah lagi crossover Citroen iaitu C4 Cactus.

    Pada bahagian belakang, lampu dengan empat petak nyalaan di dalamnya mengingatkan kepada model GLA oleh Mercedes-Benz, tetapi bahagian lain masih kekal tersendiri, dengan cermin jenis melengkung dan bahagian bawah bampar yang besar, bersama muncung ekzos. Walaupun roda kenderaan ini nampak besar dalam lukisan, model sebenar mungkin tidak akan menggunakan rim sebesar 22 inci seperti model konsep.

    Citroen C5 Aircross – teaser untuk model produksi

    Citroën C5 Aircross dibina atas platform EMP2, yang juga digunakan untuk DS7 Crossback, dan dijangka akan ditawarkan dengan pilihan enjin sama termasuk unit empat silinder petrol Prince 1.6 liter THP turbo, tiga silinder petrol 1.2 liter PureTech turbo dan turbodiesel 1.6 liter BlueHDi. Model plug-in hybrid juga mungkin menyusul. Pilihan transmisi sepatutnya akan termasuk manual enam kelajuan dan automatik lapan kelajuan baru.

    Pengeluaran C5 Aircross akan dilakukan di kilang PSA Group di Rennes, Perancis seawal tahun 2018. Dalam laporan Autocar lagi, kejayaan kereta baru ini di pasaran Asia adalah penting untuk menentukan prestasi jualan keseluruhan jenama ini, seterusnya menjelaskan lagi pengenalannya di China. Tahun lepas, sebuah model konsep lain iaitu CXperience dibawa untuk mendapatkan reaksi sebagai pengganti sedan untuk C5, tetapi nampaknya pengenalan ia akan ditangguh demi C5 Aircross.

    Citroën juga pernah memperkenalkan model lain yang membawa nama Aircross iaitu C-Aircross, yang mungkin juga apabila tiba waktu untuk produksi nanti, akan diperkenalkan sebagai C3 Aircross dan terletak di bawah C4 Cactus.

    GALERI: Citroën Aircross Concept

     
     
  • Volkswagen akan lancar jenama bajet di China

    Volkswagen akan lancar jenama bajet di China

    Tahun hadapan, Volkswagen akan melancarkan satu jenama bajet di China, dengan produk pertamanya adalah sebuah SUV, kata laporan daripada Autocar. Langkah ini disahkan sendiri oleh ahli lembaga Volkswagen yang bertanggungjawab untuk pasaran China, Jochem Heizmann, yang memberitahu Autocar bahawa produk pertama jenama itu akan dibina dengan kerjasama pengeluar kenderaan China, First Automobile Works (FAW), dan akan fokus kepada segmen SUV.

    Beliau juga menambah bahawa jenama yang akan datang ini masih belum mempunyai nama, tetapi tidak akan menggunakan lencana Volkswagen. Pada tahun 2011, pernah dilaporkan bahawa jenama kerjasama Volkswagen dan FAW untuk pasaran China akan dipanggil sebagai Kaili, dengan ia dikatakan bertanggungjawab untuk pembangunan kenderaan elektrik.

    Kenderaan daripada jenama baru ini juga dikata akan dijual di dalam pasaran China, tetapi pengeluarnya mungkin melihat kemungkinan untuk meluaskan pasarannya ke negara lain seperti America Latin, Eropah Timur, Afrika, India dan Baltic. Walaubagaimanapun, jangka masanya tidak diberikan lagi.

    Semasa pembentangan perolehan kewangan 2016 semalam, Volkswagen Group memberitahu bahawa surat tunjuk hasrat telah ditandatangani oleh FAW dan JAC di China. Pada tahun lepas, Volkswagen menjual 4 juta kenderaan di China (termasuk pasaran Hong Kong), dan ini adalah peningkatan sebanyak 12.2% berbanding tahun 2015.

    Sementara itu, pada awal minggu ini, Volkswagen juga telah mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Tata Motors untuk meneroka kerjasama strategik jangka masa panjang di India, dan pembangunan kenderaan akan diketuai oleh cabang Skoda.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025