Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Aston Martin Kuala Lumpur kembali; perkenalkan model DB11 dan bilik pameran baharu di Jalan Pinang

    astonmartinkl-1

    Jenama automotif mewah British, Aston Martin kini kembali ke Malaysia dengan kerjasama pengedar baharu, Wearnes. Sebagai menandakan perkembangan terkini berkenaan, Aston Martin Kuala Lumpur membuka bilik pameran terbaharu di pusat bandar, bertempat di bangunan Etiqa Twins, Jalan Pinang.

    Turut diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia ialah Aston Martin DB11, yang membuat penampilan global sulung Mac lalu di Pameran Permotoran Geneva. Jentera ini dilengkapi enjin V12 Twin-Turbocharge 5.2 liter baharu yang mampu membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 322 km/j dan bacaan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat sahaja.

    DB11 merupakan model paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh Aston Martin. Sejak pengenalan DB9 pada 2003, versi terbaharu jentera DB ini juga kini lebih jimatkan bahan api serta bertambah dinamik, sepanjang sejarah penubuhan dan pengeluaran kenderaan syarikat itu.

    “Malaysia merupakan pasaran yang penting bagi kami di rantau ini. Pelaburan terbaharu oleh Wearnes di Kuala Lumpur menjadi petunjuk kepada kepada perkembangan dan kedudukan kukuh jenama ini di Asia,” jelas Presiden, Aston Martin Asia Pacific, Patrick Nilsson.

    Aston Martin DB11 menjana sejumlah 600 hp kuasa dan 700 Nm tork melalui enjinnya. Mod pemanduan yang tersedia pula adalah terdiri daripada GT, Sport dan Sport Plus. Sistem transmisi yang menyalurkan kuasanya ialah transmisi lapan-kelajuan buatan ZF.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class Cabriolet dilancar di Malaysia dalam tiga varian, harga bermula daripada RM358,888

    mercedes-benz-c-class-cabriolet-bm-1

    Mercedes-Benz C-Class kini boleh didapati di Malaysia dalam variasi bumbung boleh buka apabila Mercedes-Benz Malaysia melancarkan C-Class Cabriolet dalam tiga varian iaitu C 200 Cabriolet, C 250 Cabriolet dan C 300 Cabriolet. Harganya masing-masing adalah RM358,888, RM388,888 dan RM443,888 (termasuk GST, tanpa insurans). Jaminan yang diberikan adalah selama empat tahun tanpa had batuan.

    Kesemuanya menggunakan enjin empat silinder 1,991cc petrol tetapi mempunyai kuasa yang berlainan iaitu 184hp bagi C 200 Cabriolet, 211hp bagi C 250 Cabriolet dan 245hp bagi C 300 Cabriolet. Transmisi yang dipadankan pada semua enjin ini adalah unit automatik 9G-TRONIC.

    Selain itu, bagi C-Class Cabriolet untuk pasaran Malaysia ini, Mercedes-Benz Malaysia juga menyiapkannya dengan pakej AMG Line yang lebih agresif pada bahagian hadapan, belakang, sisi dan juga gril ‘diamond’.

    Bumbung yang digunakan pada C-Class Cabriolet adalah daripada bahan fabrik dan ia boleh dibuka sepenuhnya secara elektronik dalam 20 saat dan pada kelajuan sehingga 50km/j. Sebaik dibuka, ia akan terlipat masuk ke bahagian dalam but belakang namun masih mempunyai ruang simpanan sebanyak 285 liter (360 liter jika bumbung tertutup).

    Jika dibandingkan dengan C-Class sedan, versi cabriolet ini mempunyai suspensi 15mm lebih rendah – dengan sistem penyerapan boleh pilih dan spring besi bagi C 200 Cabriolet manakala C 250 Cabriolet dan C 300 Cabriolet pula boleh didapati dengan spring dan penyerapan lebih keras, bersama sistem Sports Direct-Steer untuk kawalan lebih tangkas. Melalui suspensi ini, pemandu boleh memilih sama ada sporty, selesa atau cekap bahan api (Dynamic Select).

    Semua C-Class Cabriolet juga dilengkapi dengan Active Park Assist, Agility Control suspension, Dynamic Select system, Pre-Safe dan Active Brake Assist.

    Pada C 200, ia dilengkapi dengan lampu utama LED High Performance, rim aloi AMG 18 inci, kemasan kulit sintetik Artico, kemasan dalam berwarna hitam, lampu suasana, plet tepi pintu berlampu, tempat duduk berkuasa elektrik bersama simpanan memori, sistem informasi dan hiburan 20 CD, navigasi Garmin Map Pilot dan kamera undur.

    Pada C 300 pula, ia mempunyai perubahan dengan rim aloi AMG 19 inci, kemasan kayu hitam, jam analog, sistem pewangi Air Balance, sistem navigasi COMAND Online dan sistem bunyi Burmester.

    Layari berkenaan spesifikasi dan kelengkapan Mercedes-Benz C 250 Cabriolet di www.carbase.my.

    Mercedes-Benz C 250 Cabriolet


    Mercedes-Benz C 300 Cabriolet


     
     
  • Renault umum ZOE EV bakal dilengkapi bateri Z.E 40, mampu dipandu dalam jarak 400 km dengan sekali cas

    renault-zoe

    Pada Paris Motor Show 2016 yang sudah pun di buka untuk media, Pengerusi dan CEO Groupe Renault Carlos Ghosn mengumumkan kenderaan elektrik sepenuhnya Renault Zoe bakal dilengkapi dengan bateri baharu Z.E 40 dan model dipertingkat berkenaan akan mula dijual dalam masa terdekat.

    “Bulan ini angka jualan kenderaan elektrik Renault telah melangkaui 100,000 dan kini ZOE mampu berjalan sehingga 400 km tanpa di cas semula. Kami akan terus memacu lapangan dimana hal innovasi menjadi keutamaan untuk pelanggan Renault. Membolehkan mereka mudah untuk memilih (kenderaan) elektrik, dengan servis perhubungan baharu untuk menambahbaik pengalaman memandu mereka, merupakan keutamaan kami dan pelanggan ZOE.” kata Ghosn.

    Dengan bateri Z.E 40 berkenaan, Renault ZOE mampu bergerak sejauh 400 km dalam kitaran ujian NEDC Eropah (bersamaan 300 km untuk perjalan dalam bandar atau kawasan pinggir bandar dalam dunia sebenar) dengan hanya satu cas penuh. Jarak tersebut juga telah meningkat sebanyak sekali ganda dari jarak perjalanan model ZOE asal yang boleh dipandu sejauh 210 km dengan satu cas penuh. Model dipertingkat ini masih lagi akan diproduksi di Kilang Renault Flins, Perancis.

    Selain itu, ZOE untuk pasaran Eropah turut diberikan peningkatan dari segi perkhidmatan perhubungan. Sistem infotainmen R-LINK pada kereta ini akan dilengkapi dengan fungsi Z.E Trip yang memberikan maklumat kedudukan semua stesen mengecas terdekat.

    Sistem Z.E Pass pula akan memberi kebenaran untuk mengecas pada kebanyakkan stesen mengecas tanpa mengira operator serta memudahkan pembayaran menggunakan telefon pintar. Aplikasi telefon pintar Z.E juga akan ditawarkan pada awal 2017 nanti, memberikan perkhidmatan navigasi dari pintu-ke-pintu.

    ZOE turut diberikan peningkatan pada ciri lain dan juga lebih pilihan untuk pelanggan. Model edisi terhad ZOE Edition One untuk pasaran Perancis dan model yang diberikan kelengkapan Bose pada pasaran Eropah lain akan menerima upholsteri kulit premium, sistem audio Bose serta warna badan eksklusif.

    Ciri-ciri baharu lain yang turut ditawarkan pada varian lain termasuk dua warna badan tambahan, tema bahagian dalaman baharu untuk versi Zen, cermin sisi boleh lipat berkuasa elektrik, rim baharu serta kemasan baharu untuk versi Intens.

    Tiada perincian lain didedahkan, tetapi jika mengikut spesifikasi ZOE sedia ada, ia menampilkan unit janakuasa elektrik sepenuhnya dengan motor elektrik tunggal berkuasa 87 hp pada takat 3,000 hingga 11,300 rpm dan tork 220 Nm bermula seawal 250 hingga 2,500 rpm. Ini membolehkan Zoe mencapai 48 km/j dari kedudukan pegun dalam masa empat saat dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 13.5 saat. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksima 135 km/j.

    Sebelum ini, pengedar Renault di Malaysia iaitu TC Euro Cars telah membawa hatchback segmen-B elektrik sepenuhnya berkenaan ke pasaran tempatan dan dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM145,888.

    GALERI: Renault ZOE di Malaysia

     
     
  • Ferrari GTC4Lusso T diperkenalkan di Malaysia – 3.9L V8 Turbo, 601 hp/760 Nm, harga asas bermula RM1.09j

    ferrari_gtc4lussot_ext-1

    NAZA Italia, pengedar utama Ferrari di Malaysia, telah pun melancarkan Ferrari GTC4Lusso T petang ini. Mengetengahkan konfigurasi empat tempat duduk, GTC4Lusso juga menampilkan pacuan semua roda dan bentuk badan jenis shooting brake sama seperti FF. Ia disasarkan untuk memenuhi kehendak pemandu yang mahukan Grand Tourer selesa tanpa mengorbankan prestasi sebuah Ferrari sebenar.

    Buat pertama kalinya, Ferrari memadankan penjana kuasa 3.9 litre V8 turbo lapan-silinder dari keluarga enjin F154 untuk jenteranya bagi menggantikan unit 6.3 liter F140 V12. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 601 hp (atau 610 cheval vapeur) pada 7,500 rpm dan tork puncak 760 Nm dari 3,000 hingga 5,250 rpm. Berbanding 680 hp pada 8,000 rpm dan tork 697 Nm pada 5,750 rpm pada F140 V12, menjadikan GTC4Lusso lebih berkuasa, tetapi kurang tork.

    ferrari_gtc4lussot_ext-3

    Ferrari berkata, karakteristik V8 Turbo adalah bersesuaian dengan pemanduan setiap hari termasuk memandunya di kawasan urban. Malah enjin ini juga pernah mendapat pencalonan bagi Enjin Antarabangsa Tahunan Terbaik tahun 2016.

    Ia juga dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan F1 DCT, membolehkan GTC4Lusso T memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 320 km/j. Dengan berat keseluruhan 1,920 kg, kereta sport ini menggunakan 15 liter petrol untuk setiap 100 km perjalanan.

    Sistem pacuan empat-roda 4RM turut dirombak semula. Kini dikenali sebagai 4RM-S di mana ia turut dilengkapi dengan sistem stereng semua-roda.

    Bukan itu sahaja, GTC4Lusso T turut dilengkapi dengan sistem Side Slip Angle Control, yang membolehkan pecutan lebih awal dilakukan semasa keluar dari selekoh di mana sistem tersebut menggabungkan kawalan dari unit differential elektronik (E-Diff) dan penyerap hentak aktif SCM-E.

    Ferrari GTC4Lusso T memiliki ukuran dimensi 4,922 mm panjang, 1,980 mm lebar dan bertinggian 1,383 mm.

    Pada bahagian luaran, ia menampilkan lampu hadapan baharu yang direka hampir seiras dengan lampu hadapan 488 GTB. Gril hadapan baharu dengan liang kemasukan bersepadu mampu untuk meningkatkan kecekapan pada unit radiator. Begitu juga dengan liang udara pada kedua-dua fender hadapan yang diinpirasikan dari rekaan pada 330 GTC. GTC4Lusso T dilengkapi dengan roda 20-inci, dibalut dengan tayar berukuran 245/35R20 di hadapan dan 295/35R20 pada bahagian belakang.

    Manakala bahagian belakang GTC4Lusso dilengkapi dengan spoiler belakang baharu, diffuser tiga bahagian baharu, dan juga sepasang lampu belakang berkembar yang lebih segar. Rekaan semula ini memberikan rupa baharu untuk GTC4Lusso T yang lebih menarik dan dinamik.

    ferrari_gtc4lussot_int-2

    Menjengah bahagian dalaman GT empat-tempat duduk ini, ternyata ia masih kekal dengan konsep mewah. Material dan kemasan yang digunakan juga adalah lebih premium dan lebih diperhalusi. Ia mengetengahkan rekaan binaan dual-cockpit selain turut menampilkan skrin sentuhan HD bersaiz 10-25-inci bagi melengkapkan lagi sistem infotainmen.

    Sistem infotaimen juga diperbaharui dengan skrin sesentuh bersaiz 10.25-inci, manakala susunan suis-suis kawalan utama pada papan pemuka juga direka semula agar ia lebih mudah untuk digunakan. GTC4Lusso turut menampilkan roda stereng yang lebih kecil, seiring dengan pemadanan beg udara yang turut dikecilkan.

    Untuk pasaran Malaysia, GTC4Lusso T dijual pada harga asas bermula RM1,088,000.00 (tidak termasuk cukai eksais, insurans).

     
     
  • BHPetrol sahkan Diesel Infinity Euro 5 kekal dengan adunan B7 jika mandat biodiesel B10 dilaksanakan

    biodiesel1

    Semasa pelancaran Diesel Infiniti Euro 5 dan Euro 2M yang dipertingkatkan oleh BHPetrol pagi tadi, kami sempat bertanya kepada pihak pentadbiran tertinggi syarikat berkenaan berhubung perkembangan implementasi biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) di Malaysia, yang terpaksa ditangguhkan kerana mendapat bantahan dari berberapa pihak.

    Menurut Pengarah Urusan BHPetrol KT Tan, perbincangan isu berkenaan masih berlangsung antara kerajaan, pembekal bahan api serta pelbagai pihak lain yang berkaitan.

    Walau bagaimanapun beliau mengesahkan, sekiranya polisi biodiesel B10 berkenaan diimplementasi, ia tidak akan melibatkan diesel bergred Euro 5 dimana diesel bersulfur rendah berkenaan akan terus dijual dengan adunan biodiesel B7 (7% minyak kelapa sawit metil ester dengan 93% diesel petroleum).

    Implementasi biodiesel mendapat pelbagai reaksi dari pelbagai pihak dalam industri. Berberapa pengeluar menerusi Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan kesan sampingan bahan bakar berkenaan dan dikhuatiri kerosakan tidak akan dilindungi oleh waranti, manakala Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) menyangkal dakwaan tersebut.

    Biodiesel B10 sepatutnya mula dijual pada 1 Jun lalu tetapi telah ditangguhkan atas sebab perkara-perkara yang dibangkit tadi.

    Sebelum ini, CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Madani Sahari dalam video temubualnya bersama Bloomberg TV Malaysia berkata, perbincangan masih dibuat dengan semua pihak yang terlibat dan diharap akan menyelesaikan isu berkenaan. Pemerhati industri pula percaya bahawa pelaksanaan penggunaan biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan akan dimulakan pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • Mazda3 Hatchback MS MazdaSport diperkenal untuk pasaran Malaysia – tambahan RM9,880, lebih bergaya

    mazda3-mazdasports-bm-22

    Bermula 28 September 2016 hingga 3 Oktober 2016, Mazda Malaysia mengadakan Jelajah Jualan Mega di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya. Selain promosi jualan dan pelbagai aktiviti lain, Mazda juga ada memperkenalkan sebuah model khas yang lebih sporty iaitu Mazda3 Hatchback MS MazdaSport.

    Ia dijual pada harga tambahan RM9,880 daripada harga asal RM124,754.39 (atas jalan dengan insurans) bagi Mazda3 Skyactiv 2.0L Hatchback dan ditambah dengan kelengkapan yang menjadikannya lebih sporty. Enjin pula masih sama iaitu unit Skyactiv 2.0L dan transmisi automatik Skyactiv Drive enam kelajuan, berkemampuan 162hp dan 210Nm tork.

    Pada bahagian luar, Mazda3 Hatchback MS MazdaSport ditambah dengan kit badan menyeluruh – hadapan, sisi dan belakang, bersama penghadang angin di atas pintu but belakangnya. Kit badan ini berwarna hitam dan mempunyai garisan merah. Cermin sisi pula diwarnakan dengan warna merah. Selain itu, dua muncung ekzos yang terdapat pada kenderaan ini juga diperkemas dengan unit berjenama MS dan rimnya kini berwarna metalik lebih gelap.

    Bahagian dalam juga lebih sporty, di mana tempat duduknya dibalut dengan kulit serta kemasan suede, bersama jahitan benang berwarna merah. Konsep sama turut digunakan pada trim pintu, stereng, tombol gear dan penarik brek tangan.

    Menurut wakil Mazda yang berada di acara Jelajah Jualan Mega itu, Mazda3 Hatchback MS MazdaSport akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad dan setakat ini ia hanya boleh didapati bagi varian Mazda3 Hatchback berwarna putih sahaja.

     
     
  • BHPetrol lancar Diesel Infiniti Euro 5 dan Euro 2M dipertingkat dengan aditif generasi baharu

    bhpetrol-improved-infiniti-diesel-1_bm

    BHPetrol boleh dikatakan sebagai syarikat perintis yang membawa diesel bergred Euro 5 dalam pasaran tempatan di mana mereka telah memperkenalkan diesel dengan kandungan sulfur rendah berkenaan di Malaysia pada November 2014. Dengan kehadiran diesel ini, pengeluar automotif dalam negara kini lebih berani untuk menawarkan lebih banyak model yang dijana oleh enjin ‘clean diesel‘ moden seperti Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D dan Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC Turbodiesel, yang masing-masing menggunakan enjin diesel dengan blok aluminium.

    Hari ini, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd telah melancarkan Diesel Infiniti Euro 5 dan Euro 2M yang dipertingkatkan dengan aditif generasi baharu. Enjin clean diesel generasi baharu seperti yang digunakan pada dua model yang disebutkan tadi menggunakan sistem commonrail diesel dilengkapi nozel bahan api dengan lubang sehalus 0.090 mm (anda perlu menggunakan mikroskop untuk melihat lubang ini secara jelas) dan pam pengagih bahan api dengan tekanan sehingga 2,500 bar.

    Ini membolehkan suntikan yang diberikan nozel tersebut menjadi sangat halus, seterusnya memberikan pembakaran yang sempurna untuk menghasilkan kuasa yang optimum serta lebih mesra alam. Diesel yang berada dalam pasaran sekarang, walaupun dengan gred Euro 5, diadun dengan aditif lama yang tidak dapat membersihkan deposit karbon dihasilkan semasa pembakaran dan deposit karbon yang telah pun melekat pada nozel bahan api, walaupun dengan kadar rawatan adunan aditif diletakkan pada tahap maksimum.

    Aditif lama berkenaan tidak lagi berkesan kerana enjin dengan sistem suntikan bahan api terus masa kini menghasilkan tekanan dalam kebuk pembakaran yang lebih tinggi dari enjin diesel lama yang dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api tidak terus (diesel disuntik di kebuk pra-pembakaran), justeru menghasilkan suhu yang lebih tinggi.

    bhpetrol-improved-infiniti-diesel-2_bm

    Dengan pencemaran karbon deposit yang berlaku pada nozel penyuntik bahan api, lubang-lubang halus pada nozel berkenaan akan menyebabkan ia tersumbat. Apabila lubang-lubang pada nozel bahan api tersumbat, corak semburan bahan api ke dalam kebuk pembakaran akan ditala semula oleh kotak komputer, seperti yang telah dilaras oleh pengeluaran peralatan OEM atau pengeluar berkenaan sendiri. Ini akan menyebabkan enjin mengalami kekurangan kuasa dan penggunaan bahan api yang tidak ekonomi serta masalah lain seperti enjin sukar dihidupkan, kelajuan melahu yang tidak betul, asap hitam berlebihan dan mungkin kerosakan pada enjin.

    Aditif baharu yang diadun pada Infiniti Diesel Euro 5 dan Euro 2M bertindak dengan lebih efisien yang bukan sahaja mampu membersihkan deposit karbon yang terhasil semasa pembakaran, malah turut menyingkirkan karbon deposit yang sedia ada pada nozel berkenaan.

    Spesifikasi dari pengeluar OEM menyatakan kekurangan kuasa pada enjin diesel moden perlulah kurang dari 2%. Ini dapat dicapai dengan hanya mengadun aditif generasi baharu ini kepada Infiniti Diesel Euro 5 pada kadar rawatan minima yang disarankan oleh pengeluar dari Jerman. Walau bagaimanapun, BHP mengadun aditif baharu ini kedalam diesel keluaran mereka pada kadar rawatan maksimum, iaitu 2.5 kali lebih tinggi dari kadar rawatan minima, membolehkan diesel yang dipertingkatkan berkenaan memulihkan sepenuhnya kehilangan kuasa yang terjadi.

    Keberkesanan aditif baharu ini telah dibuktikan dalam ujian standard industri yang dijalankan berdasarkan prosedur ujian diformulasikan oleh Coordinating European Council (CEC) menerusi ujian XUD 9 CEC 23-01 (untuk enjin diesel lama dengan sistem kebuk pra-pembakaran) dan ujian DW 10 CEC F 98-08 (untuk enjin diesel baharu dengan sistem suntikan bahan api terus).

    Infiniti Diesel baharu ini kini boleh didapati di lebih 105 stesen servis BHP seluruh negara dan dijual pada harga pasaran yang sama seperti ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

     
     
  • Statistik jualan kenderaan bagi Ogos 2016; pasaran positif – Perodua catat jumlah tertinggi, naik 40.5%

    Perodua_Bezza_Ext-4

    Setelah suasana pasaran automotif tempatan mencatatkan prestasi jualan yang suram Julai lalu, situasinya agak berbeza bagi bulan Ogos 2016. Perkembangan pasaran nampak positif; kebanyakan jenama utama juga mencatatkan peningkatan angka jualan yang memberangsangkan.

    Paling senang hati tentunya Perodua. Syarikat kenderaan nasional itu mencatatkan jumlah jualan tertinggi berbanding jenama-jenama lain dengan 21,251 unit kenderaan pada Ogos, mengatasi angka jualan pada Julai lalu, iaitu 15,121 unit. Ini melibatkan peningkatan sebanyak 40.5% jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya. Ini sudah pasti disumbangkan oleh model Bezza yang dilancarkan pada Julai.

    Honda berada dikedudukan kedua, dengan mencatat 8,283 unit jualan, berbanding 7,827 unit pada Julai. Ini memberikan peningkatan sebanyak 5.8%. Baki kedudukan lima teratas bagi Ogos seterusnya diikuti oleh Toyota yang mencatatkan jualan 6,563 unit (peningkatan 30.5%), Proton dengan jualan 4,436 unit (peningkatan 14.6%) dan Nissan denga jualan 3,133 unit (peningkatan 2.1%).

    Antara jenama lain yang turut mencatatkan prestasi jualan yang meningkat jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya ialah Mazda dengan 1,032 unit (peningkatan 50.4%), Volkswagen dengan 316 unit (peningkatan 35%) serta peratusan peningkatan paling tinggi oleh Renault, dengan 107 unit (naik 118.4% berbanding Julai 2016).

    Namun begitu, beberapa jenama lain turut mencatatkan prestasi menurun ada Ogos, walaupun pada kadar yang sangat kecil. Ataranya ialah Subaru (379 unit berbanding 591 unit, turun 35.9%) , Audi (40 unit berbanding 51 unit, turun 21.6%), Kia (433 berbanding 468 unit, turun 7.5%), Peugeot (126 berbanding 130 unit, turun 3%), Hyundai (430 unit berbanding 453 unit, turun 5%) dan Chevrolet (56 unit berbanding 66 unit, turun 15.1%).

    august-2016-car-sales-data-by-brand-bm

     
     
  • SPAD rekod 4,876 kesalahan sehingga Ogos tahun ini

    LORRY_PT_BM

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memaklumkan bahawa sebanyak 4,876 kes pelanggaran undang-undang melibatkan pelbagai kesalahan di jalan raya dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas di seluruh Semenanjung.

    Menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, daripada jumlah tersebut, lori dan trak mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 2,326 kes, diikuti bas (1,267 kes), teksi (1,133 kes) dan selebihnya melibatkan lain-lain kesalahan, laporan Bernama.

    “Antara kesalahan yang melibatkan lori termasuklah melebihi panel, tayar botak, muatan tidak diikat dengan kemas,” katanya kepada pihak media semalam.

    Kesalahan melibatkan teksi pula antaranya tidak memiliki kad memandu iaitu 472 kes dan gagal menggunakan meter sebanyak 290 kes.

    Bagi bas pula, kesalahan paling kerap dilakukan ialah mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan iaitu 369 kes.

     
     
  • Honda Civic Type R Prototype tidak sabar ke Paris

    honda-civic-type-r-prototype-1-bm

    Honda bakal mempertontonkan model Civic Type R Prototype di Paris Motor Show 2016 yang bakal berlangsung beberapa hari lagi.

    Jika model biasa Civic hatch juga memang kelihatan agresif, Type R ini lebih daripada itu. Ia menampilkan splitter hadapan yang besar, corong tambahan pada sudut bampar hadapan dan belakang serta di belakang roda hadapan, bonnet scoop dan dapra hadapan dan belakang yang menempatkan roda aloi yang besar dan terletaknya brek Brembo tersembunyi di situ.

    honda-civic-type-r-prototype-3-bm

    Selain itu, ambang sisinya kelihatan dalam, aero strakes pada bahagian bumbung dan peresap belakang yang besar dengan tiga paip ekzos di tengah. Bukan itu sahaja, wing belakangnya juga kelihatan sungguh garang, dengan lencana Type, membuatkan mata tidak terlepas dari ralit memerhatikannya.

    Setakat ini, tiada perincian teknikal yang dimaklumkan. Cuma hot hatch baharu ini sepatutnya memanfaatkan enjin 2.0 liter VTEC Turbo dari model FK2 Civic Type R. Di mana ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 306 hp pada 6,500 rpm dan tork 400 Nm antara 2,500 hingga 4,500 rpm, dengan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi manual enam-kelajuan. Namun dijangkakan output kuasanya akan dipertingkatkan bagi bersaing dengan model terdekatnya seperti Ford Focus RS.

     
     
  • Toyota C-HR – spesifikasi awal untuk Jepun didedah

    toyota-c-hr-1-bm

    Toyota C-HR yang diperkenalkan pada Mac, setelah didedahkan spesifikasi umumnya bagi pasaran United Kingdom dan Australia. Kini tiba gilirannya diperkenalkan di pasaran Jepun pula. Menurut Toyota, tempahan menerusi dalam talian bagi SUV segmen-B ini bakal bermula awal November, dan dijangka akan dilancarkan akhir tahun ini juga.

    Di Jepun, C-HR ditawarkan dengan empat varian iaitu G dan S bagi sistem hibrid 1.8L serta G-T dan S-T dengan penjana kuasa 1.2L turbo. Walau bagaimana pun, syarikat ini tidak mendedahkan lagi hamburan kuasa bagi kedua-dua penjana kuasa berkenaan.

    C-HR yang dibina berasaskan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) diukur dengan dimensi 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Untuk membayangkan saiznya, ia 56 mm lebih panjang dan 23 mm lebih lebar dari Honda HR-V, tetapi 55 mm lebih rendah. Jarak roda CH-R juga 30 mm lebih panjang.

    Untuk pasaran Jepun, Toyota Safety Sense P akan ditawarkan secara standard bagi semua varian. Manakala pakej bantuan elak pelanggaran termasuk sistem pra-pelanggaran, yang boleh mengesan kehadiran pejalan kaki, kawalan kelajuan radar dengan pengesan semua-kelajuan, Lane Departure Alert (dengan kawalan stereng) dan Automatic High Beam (AHB) turut ditawarkan. Selain, Paparan Tititk Buda dan Kepekaan Lintasan Trafik Belakang.

    Sebanyak lapan warna pilihan bagi C-HR termasuk Radiant Green Metallic dan Metal Stream Metallic dengan roda aloi 18-inci. Bagi warna di dalam kabin, pembeli diberikan dua pilihan iaitu hitam dan coklat perang.

     
     
  • DRB-Hicom telah senarai pendek lima pembeli berpotensi untuk jualan kepentingan Proton; keputusan diumumkan separuh pertama 2017

    protonsaga_bm_premium_ext-3

    Dalam sidang media yang berlangsung selepas pelancaran Proton Saga 2016 semalam, CEO DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar telah mendedahkan pihaknya telah menyenarai pendek lima cadangan daripada syarikat asing yang mahu membeli kepentingan di dalam Proton.

    Menurut Syed Faisal, pihaknya sedang berada di peringkat memahami cadangan strategik yang diusulkan ini sebelum membuat keputusan jumlah pegangan yang boleh dilepaskan oleh DRB-Hicom.

    “Kami berharap untuk mengenal pasti rakan kongsi yang berpotensi menjelang tahun depan dan menyelesaikan langkah-langkah ini sekurang-kurangnya pada pertengahan tahun depan,” katanya.

    Proton yang menerima pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion daripada kerajaan perlu mencari rakan strategik asing, iaitu dalam salah satu syarat pinjaman.

    Syed Faisal berkata, terdapat tiga kategori utama yang akan diambil kira dalam membuat memilih rakan kongsi iaitu strategik, operasi dan budaya.

    Sambungnya lagi, “Bagaimanapun, kami akan berusaha untuk menyimpulkan perjanjian pada suku pertama 2017.”

     
     
  • GALERI: Proton Saga 2016 – perincian setiap varian

    protonsaga_bm_premium_ext-7

    Akhirnya, Proton Saga 2016 selamat dilancarkan petang semalam, melihatkan penawaran empat varian – 1.3L Standard MT, 1.3L Standard CVT, 1.3L Executive CVT dan 1.3L Premium CVT. Pilihan warna pula terdapat enam – hitam, merah, putih, kelabu (baharu), biru (baharu) dan perak.

    Beza di antara semua varian ini hanya kelengkapan dan pilihan transmisi, sementara asasnya adalah sama iaitu enjin seperti yang turut digunakan pada model Iriz – unit 1.3 liter VVT (menggantikan enjin lama IAFM+), dengan kemampuan 94 hp pada 5,750 rpm dan 120 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Jika dibandingkan dengan enjin sebelum ini (1.3 IAFM+), kuasa enjin 1.3 liter VVT pada Proton Saga 2016 mempunyai kuasa yang sama tetapi dikatakan lebih laju dan lebih jimat minyak. Versi manual kini boleh tiba di kelajuan 100 km/j dalam masa 12.2 saat (daripada 13.0 saat) dan menggunakan bahan api 5.4 l/100 km pada kelajuan 90 km/j (bertambah baik daripada 6.0 l/100km). Sementara itu, versi CVT mencatat 0-100km/j dalam 13.1 saat (daripada 14.5 saat) dan menggunakan bahan api 5.6 l/100 km pada kelajuan 90 km/j (bertambah baik daripada 6.3 l/100km).

    Proton Saga 2016 diasaskan daripada Saga model semasa – dengan jarak roda 2,465 mm yang sama tetapi dimensi yang berlainan – lebih panjang (+74mm), lebih lebar (+9mm), dan lebih rendah (-11mm) – serta perubahan visual luar dan dalam. Proton juga menjadikan casis Saga 2016 20 peratus lebih keras, serta memperkenalkan stereng yang lebih pantas (masih lagi menggunakan sistem hidraulik), penutupan pintu lebih ringan dan pakej pemanduan serta kawalan yang dipertingkat. Peningkatan yang dilakukan pada Persona (tapak enjin tiga punca untuk NVH lebih bagus dan ECU yang ditala semula untuk tindak balas lebih baik) turut dilakukan pada Saga.

    Semua varian mempunyai lampu hadapan halogen Reflector (dengan tulisan Proton), tempat duduk belakang boleh lipat, gril hadapan krom serta ruang but (simpanan belakang) 420 liter (tujuh liter lebih daripada sebelumnya), bersama tahap keselamatan perlanggaran ASEAN NCAP empat bintang.

    Saga Standard datang dengan pilihan transmisi manual ataupun CVT, dan ia dilengkapi dengan rim besi 13 inci (dengan penutup plastik), lampu kabus belakang, pengesan jarak hadapan dan belakang, dua beg udara, unit audio Single-DIN (dengan sambungan Bluetooth), tempat mengecas USB dan tapak cangkuk Isofix. Ia juga menggunakan cermin sisi, pemegang pintu dan hiasan belakang hitam tanpa cat serta tempat duduk fabrik dan kemasan dalam bertemakan warna hitam.

    Varian Executive yang terletak di pertengahan pula hanya didatangkan dengan pilihan transmisi CVT dan ia ditambah dengan unit audio Double-Din, cermin sisi (boleh dilaras secara elektronik), pemegang pintu dan hiasan belakang sama warna seperti badan, tiang B-pillar dicat hitam, lampu kabus hadapan dan penghadang angin pada but belakang. Penambahan lain adalah rim aloi 14 inci, kemasan kelabu berkilat pada corong luar pendingin hawa dan stereng serta tempat duduk fabrik bercorak mesh.

    Paling tinggi adalah varian Premium yang mempunyai kelebihan ciri Electronic Stability Control (ESC) dengan Hill-hold Assist, bersama rim aloi 15 inci dan hiasan belakang berwarna krom. Selain itu, pembeli Saga Premium juga akan menerima kamera undur yang paparannya keluar pada cermin pandang belakang (seperti pada model tinggi Exora), unit audio Double-DIN dengan butang kawalan di stereng, tempat duduk fabrik bercorak gelombang dan lebih lagi kemasan kelabu pada tombol gear.

    Proton Saga 2016 dijual pada harga berikut (atas jalan termasuk insurans) – 1.3L Standard MT RM36,800, 1.3L Standard CVT RM39,800, 1.3L Executive CVT 42,800 dan 1.3L Premium CVT RM45,800. Setiap pembelian didatangkan bersama jaminan 3 + 2 tahun atau 150,000km, yang mana dahulu (sebelum ini tiga tahun/100,000km).

    Semua model mendapat pembaharuan ini:

    Enjin 1.3 VVT (menggantikan IAFM+)
    Prestasi manual – 0-100km/j dalam 12.2 saat (daripada 13.0 saat)
    Penggunaan bahan api manual – 5.4 l/100 km pada 90 km/j (bertambah baik daripada 6.0 l/100km)
    Prestasi CVT – 0-100 km/j dalam 13.1 saat (daripada 14.5 saat)
    Penggunaan bahan api CVT – 5.6 l/100 km pada 90 km/j (bertambah baik daripada 6.3l/100km)
    Tapak enjin tiga punca untuk lebih kelancaran
    ECU yang ditala semula untuk tindak balas CVT lebih baik
    Tayar dengan rintangan golek lebih rendah, cengkaman atas jalan basah lebih baik (lebih senyap 2db)
    Pakej pemanduan dan kawalan dipertingkat
    Tahap keselamatan ASEAN NCAP empat bintang (daripada tiga bintang)
    Steering rack lebih tepat dan pantas (nisbah 16:1 daripada 20:1)
    Radius membelok lebih kecil (5.1 m berbanding 5.3 m)
    Penutupan pintu lebih ringan (15 kgf berbanding 25 kgf)
    Kuasa stereng lebih ringan (2.75 kgf berbanding 3.0 kgf)
    Lebih tahan daya kilas (12,000 Nm/deg berbanding 10,000 Nm/deg)

    Proton Saga 1.3L Standard manual/CVT 2016

    Enjin 1.3 litre VVT
    94 hp @ 5,750 rpm, 120 Nm @ 4,000 rpm
    Ecodrive Assist
    Lampu utama halogen Reflector
    Lampu kabus belakang
    Pengesan jarak hadapan dan belakang
    Rim besi 13 inci (dengan tayar Silverstone Synergy M3 saiz 175/70)
    Cermin sisi, pemegang pintu dan hiasan belakang hitam tanpa cat
    Cermin sisi larasan manual
    B-pillar warna badan
    Kemasan dalam hitam
    Stereng boleh dilaras ketinggiannya
    Unit audio Single-DIN dengan input Bluetooth, USB dan AUX
    Tempat mengecas USB
    Tempat duduk fabrik serba hitam
    Tempat duduk pemandu dengan ketinggian yang boleh dilaras
    Ruang but 420 liter dengan tayar simpanan jimat ruang
    Tempat duduk belakang boleh lipat
    Tapak cangkuk Isofix
    Dua beg udara
    Brek cakera hadapan dan brek dram belakang

    Proton Saga 1.3L Executive CVT 2016

    Tambahan:
    Brek ABS dengan EBD dan BA
    Lampu kabus hadapan
    Rim aloi 14 inci ‘snowflake’ (dengan tayar Silverstone Kruizer1 NS800 saiz 185/60)
    Cermin sisi, pemegang pintu dan kemasan belakang berwarna sama seperti badan
    Cermin sisi berkuasa elektrik
    B-pillar warna hitam
    Penghadang angin pada but belakang
    Kemasan kelabu berkilat pada corong luar pendingin hawa dan stereng
    Tempat duduk fabrik bercorak mesh
    Poket belakang pada tempat duduk hadapan

    Proton Saga 1.3L Premium CVT 2016

    Tambahan:
    Rim aloi 15 inci ‘turbine’ (dengan tayar Silverstone Kruizer1 NS800 saiz 185/55)
    Electronic Stability Control (ESC)
    Hill-hold Assist
    Unit audio Double-DIN dengan input Bluetooth, USB dan AUX
    Kemasan kelabu berkilat pada tombol gear dan sekeliling
    Tempat duduk fabrik bercorak gelombang
    Kamera undur (dengan paparan bersepadu pada cermin pandang belakang)
    Butang kawalan audio pada stereng

    GALERI: Proton Saga 1.3L Standard MT 2016

    GALERI: Proton Saga 1.3L Executive CVT 2016

    GALERI: Proton Saga 1.3L Premium CVT 2016

     
     
  • 2,470 pemandu bakal didakwa di mahkamah atas kesalahan menggunakan lorong kecemasan – JPJ

    jpj_photo2

    Walau pun pihak media sendiri kerap menyiarkan laporan mengenai salah guna lorong kecemasan, namun perkara ini masih dipandang enteng oleh segelintir pengguna jalan raya. Ada juga yang memberikan alasan, tidak mengetahui adalah menjadi satu kesalahan menggunakan lorong kecemasan. Malah ramai juga yang memberikan pelbagai alasan termasuk tidak tahan untuk membuang air setelah terperangkap dalam kesesakan trafik.

    Biar pun alasan demi alasan ‘tercipta’ namun salah tetap salah!

    Menurut Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk V. Valluvan, sehingga 26 September lalu, seramai 2,470 pemandu akan didakwa di mahkamah bermula bulan depan kerana melakukan kesalahan itu. Manakala 52 pesalah trafik telah pun dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan yang sama, sementara tujuh waran tangkap juga telah dikeluarkan.

    “Langkah orang awam menghantar aduan bergambar pemandu yang menggunakan lorong kecemasan telah banyak membantu JPJ mengesan dan mengambil tindakan terhadap pesalah jalan raya itu. Malah kerjasama ini dilihat telah memberikan hasil yang sangat efektif kepada JPJ untuk mengesan pemandu yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

    Katanya lagi, sebanyak 138 aduan bergambar telah diterima oleh JPJ dalam tempoh seminggu ketika cuti panjang Aidiladha dan Hari Malaysia baru-baru ini.

    Dalam masa yang sama, Valluvan menyarankan orang ramai turut menghantar aduan bergambar bukan sahaja bagi kesalahan menggunakan lorong kecemasan tetapi bagi kesalahan jalan raya yang lain seperti memotong barisan.

    “JIka ada maklumat (termasuk bunti berganbar), sila laporkan terus kepada kami. Tindakan yang serius akan diambil terhadap pesalah trafik ini,” tegasnya.

    Orang awam yang ingin membuat aduan bergambar boleh salurkan kepada [email protected].

     
     
  • GALERI: Proton Saga dari tiga generasi

    Tidak boleh dinafikan, Proton Saga merupakan model yang mengubah lanskap industri automotif di Malaysia. Ia bukan sahaja model pertama buatan Malaysia, ia juga merupakan sebuah kereta yang mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia sebagai sebuah sedan lengkap serta mampu dimiliki.

    Saga generasi pertama telah dilancarkan pada tahun 1985 oleh Tun Mahathir Mohamed, dan model berkenaan diasaskan dari Mitsubishi Lancer Fiore 1982. Nama Saga hadir setelah Proton mengadakan pertandingan untuk menamakan sedan pertama nasional berkenaan.

    1990-proton-saga-megavalve-1

    Kebanyakkan dari kita tahu Saga merupakan nama biji yang keras berwarna merah, manakala dalam bahasa inggeris pula saga bermaksud hikayat yang mengandungi kisah kesaktian dan kegagahan wira yang luar biasa. Tetapi, nama Saga yang diletakkan pada kereta nasional pertama ini adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Agility (Ketangkasan).

    Pada hari pelancaran Proton Saga generasi ketiga di Pusat Konvensyen Setia Alam yang berlangsung petang tadi, Proton turut mempamerkan model Saga dari dua generasi sebelumnya. Namun, model yang dipamerkan hari ini bukanlah model sebenar generasi pertama keluaran 1985 dan generasi kedua keluaran 2008 (BLM).

    Saga generasi pertama model 1985 dikuasakan dengan enjin 4G13 Orion 1.3 liter dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan dan model dengan enjin 1.5 liter Magma hadir pada tahun 1987 bersama versi lima pintu yang digelar Saga Aeroback. Model tahun 1985 berkenaan dipadankan dengan gril hadapan dua bar mengapit logo bulan-bintang berbentuk perisai asal Proton, lampu isyarat membelok hadapan rata serta penutup rim yang hanya menutup bahagian nat rim.

    Model yang dipamerkan pada hari ini merupakan model terakhir Saga Megavalve (1990-1992), dikuasakan dengan pilihan enjin 4G13 1.3 liter dan 4G15 1.5 liter Megavalve. Enjin berkenaan menggunakan kepala enjin 12 injap (berbanding lapan injap pada Orion dan Magma) serta karburator SU yang lebih moden.

    Pada bahagian luaran, model facelift terakhir sebelum dijelmakan sebagai Iswara ini mempunyai sepasang liang yang lebih besar, lampu isyarat membelok hadapan lebih kecil tetapi lebih timbul serta penutup penuh pada rim besi standard.

    Model Saga generasi kedua muncul pada tahun 2008. Sedan ini diasaskan dari kerangka model hatchback Proton Savvy dan dikenali sebagai Saga BLM (Base Line Model). Ia hadir dengan enjin 1.3 liter Campro IAFM dipadankan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Model 1.6 liter Campro manual dikeluarkan khas untuk dijadikan teksi.

    Model facelift untuk model ini hadir pada tahun 2010. Model berkenaan menampilkan rupa luaran yang disegarkan semula bermula dengan lampu hadapan lebih panjang, bampar hadapan dan belakang baharu serta lampu belakang lebih kecil. Ia turut menerima sistem brek yang dilengkapi ABS dan EBD. Enjin Campro 1.3 liter masih dikekalkan, dan model 1.6L Executive hadir selepas itu.

    Model yang dipamerkan hari ini merupakan model facelift terakhir iaitu Saga FLX. ‘X’ bermaksud ekstra di mana untuk versi automatik, kotak gear empat kelajuan telah diganti dengan transmisi CVT. Enjin pada model ini juga menerima talaan yang diperhalusi dan digelar sebagai Campro IAFM+. Varian FLX SE turut hadir dalam barisan model sebagai varian tertinggi dijana gabungan enjin 1.6 liter Campro dan transmisi CVT serta dilengkapi dua beg udara, ABS dan EBD sebagai ciri standard.

    Proton Saga generasi ketiga dilancarkan hari ini. Model ini dibina berdasarkan platform Saga generasi kedua dengan sedikit perubahan pada dimensi manakala jarak rodanya kekal sama. Ia dijana enjin 1.3 liter VVT berkuasa 94 HP dan tork maksima 120 Nm. Hanya varian standard hadir dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT, manakala varian lebih tinggi hanya dilengkapi transmisi CVT.

    Banyak penambahbaikkan dilakukan pada model ini antaranya ialah talaan CVT yang lebih responsif, pengendalian yang lebih solid, stereng yang lebih cepat dan ringan serta pelbagai lagi. Ciri keselamatan turut dipertingkat dengan sistem ESC dan HHA untuk varian Premium serta agak ISOFIX untuk semua varian. Varian Premium juga menerima penarafan ASEAN NCAP empat-bintang, berbanding hanya tiga-bintang pada model generasi terdahulu. Anda boleh membaca ulasan pandu uji kami untuk model terbaharu ini di sini.

    GALERI: Proton Saga Megavalve

    GALERI: Proton Saga FLX

    GALERI: 2016 Proton Saga 1.3L Premium CVT

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024