Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Renault pamer model replika Renault R.S. 16 Formula One 2016 dalam siri jelajahnya sehingga 28 Ogos ini

    2016 Renault R.S. 16 Formula One model car_2

    Para peminat tegar F1 dan kereta boleh melihat secara dekat model Renault R.S. 16 Formula One 2016 yang dipamerkan di beberapa bilik pameran terpilih Renault serta lokasi siri jelajah mulai sekarang hingga 28 Ogos 2016.

    Tampil menyerlah dan berani, model replika tersebut hadir dengan pelekat berwarna kuning dan hitam seperti jentera Renault R.S. 16 Formula One 2016. Ia akan dipamerkan sepanjang minggu di setiap bilik pameran yang mengambil bahagian dan lokasi siri jelajah.

    Jadual siri jelajah jentera Renault R.S. 16 Formula One 2016 adalah seperti berikut:

    Screen Shot 2016-07-25 at 6.17.06 PM

    Sepanjang pameran itu juga, turut dianjurkan pelbagai aktiviti sepanjang hujung minggu yang terbuka kepada orang ramai. Orang ramai juga boleh mengetahui dengan lebih lanjut dan memandu uji rangkaian penuh kereta Renault yang bergaya serta kontemporari. Ini termasuklah crossover urban Captur yang versatil, sedan elegan Fluence dan Clio GT Line yang sporty.

    Pelanggan yang menyertai sesi pandu uji akan menerima hadia serta-merta. Mereka juga layak menjadi salah seorang daripada 10 orang pemenang bulanan bertuah untuk membawa pulang Model Kenderaan Renault Sport yang eksklusif.

    Siri jelajah jentera Renault R.S. 16 Formula One 2016 anjuran pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars (TCEC) merupakan sebahagian daripada kempen ‘Renault – Motorsports Is in Our DNA’.

    Sah sehingga 31 Ogos 2016, kempen promosi ini turut menyediakan banyak tawaran menarik melibatkan kenderaan Renault yang terpilih. Di samping peluang untuk memenangi hadiah eksklusif Pasukan Renault Sport Formula One™ seperti tiket-tiket Grandstand dan satu Lawatan Garaj Renault pada acara Malaysian Grand Prix 2016.

     
     
  • PLUS naik taraf R&R Rawang (arah utara), ditutup mulai 27 Jun ini sehingga 19 Jun 2017

    R&R

    PLUS Malaysia Berhad telah mengeluarkan kenyataan media berhubung dengan penutupan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang (arah utara) mulai 27 Julai ini. Penutupan ini bagi membolehkan pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf R&R tersebut yang berlangsung selama setahun. Ia dijangka akan dibuka semula untuk kegunaan orang ramai pada 19 Jun 2017.

    Sehubungan itu, kemudahan awam seperti medan selera, gerai makanan dan minuman, surau, tandas awam, serta kawasan meletak kenderaan ringan di R&R terbabit ditutup kepada orang ramai bagi membolehkan kerja-kerja menaiktaraf tersebut dijalankan.

    Walau bagaimanapun, kemudahan lain seperti stesen minyak, motel dan cawangan Sate Kajang masih dibuka dan beroperasi seperti biasa.

     
     
  • Pikap Konsep Proton – ‘render’ oleh Theophilus Chin

    proton-pick-up-theo-render_BM

    Proton telah mendedahkan model konsep trak pikap mereka buat pertama kali pada Karnival Alami Proton tahun lalu, dan kini ia telah mendapat sentuhan dari pakar rendering, Theophilus Chin. Imej yang menerima sentuhan Theo ini menggambarkan bagaimana rupa trak pikap berkenaan sekiranya ia benar-benar dihasilkan untuk produksi, dan dia juga “berminat untuk menjadikannya lebih berbentuk seperti sebuah trak.”

    Oleh itu, Theo telah mengadaptasi beberapa ciri pada rekaan konsep asli dari Proton berkenaan dengan cermin hadapan yang lebih tegak, cermin ‘quater window’ di belakang tiang-A ditiadakan, tiang-C yang lebih tebal yang akan turut memanjangkan jarak roda trak ini, dan juga bumbung yang lebih tinggi untuk mendapatkan ruang kelegaan kepala yang lebih selesa serta jarak dari papan pemuka ke gandar.


    Imej render dari Theophilus Chin (kiri), dan konsep asli Proton (kanan)

    Saiz hud enjin juga dibesarkan, gril hadapan dikecilkan, bampar hadapan dikedalamkan lagi, garisan badan pada pintu telah disambungkan ke dapra hadapan, serta lampu telah ditukar kepada lampu yang lebih menyerupai lampu kenderaan produksi.

    Sehingga kini, tiada lagi apa-apa pengesahan untuk memproduksi trak pikap ini dari Proton. Mengapa Proton membina model konsep trak pikap ini? “Mudah, lihat bagaimana berjayanya Proton Jumbuck (Arena untuk pasaran Australia), tiada sebab bagi kami untuk tidak melihat segmen yang telah memberikan keuntungan kepada kami satu ketika dahulu,” kata Ketua Pereka Proton Azlan Othman.

    Bagaimana pula pandangan anda terhadap imej yang menerima sentuhan Theophilus ini? Kongsikan bersama kami pada ruang komen di bawah.

    GALERI: Model konsep Proton Pikap berasaskan Proton Exora

     
     
  • Toyota Alphard dan Vellfire – model spesifikasi Malaysia telah dipamerkan di Mitsui Outlet Park

    MOP-Toyota-alphard-ext-12

    Generasi ketiga Toyota Alphard dan adik-beradiknya Toyota Vellfire masih belum dilancarkan di Malaysia, tetapi kita telah mengetahui spesifikasi dan harga seperti mana yang telah didedahkan oleh UMW Toyota.

    Menjelang pelancarannya, UMW Toyota juga telah mempamerkan Toyota Alphard 3.5 dan Toyota Vellfire spesifikasi Malaysia, di bilik pameran Toyota di Mitsui Outlet Park pada hujung minggu lalu.

    Namun varian Alphard 3.5 Executive Lounge tiada di sini.

    Toyota Alphard 3.5

    Bagi Toyota Alphard spesifikasi Malaysia, ia dijual pada harga atas jalan RM419,900 termasuk GST dan insurans. Kita mendapat Alphard bagi kerangka tanpa-Aero, tetapi dilengkapi dengan roda Aero iaitu bersaiz 18 inci (tayar 235/50R18), iaitu lebih besar berbanding roda tanpa-Aero untuk model JDM.

    Untuk bahagian luarannya, Alphard turut menerima lampu utama LED larasan auto (dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED), spoiler belakang yang disambung dengan LED, lampu kabus (hadapan dan belakang), bumbung matahari dan moonroof kabin belakang.

    Dalam kabinnya, dengan bentangan warna kuning cair (beige), ia turut ditampilkan dengan tujuh tempat duduk bersama konfigurasi 2-2-3, dengan barisan kedua turut menampilkan tempat duduk ‘captain’ bersama perehat kaki Ottoman. Bagi barisan pertama tempat duduk turut menerima perehat kaki Ottoman juga. Kedua-dua pintu gelangsar berkuasa, begitu juga dengan but.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem infotaimen bersama skrin sentuh DVD-AVN tujuh-inci, navigasi dan lapan-speaker, roda stereng pelbagai-fungsi, kekemasan kayuan berwarna coklat, skrin hiburan 10.2-inci di belakang, corong dan kawalan penghawa dingin di belakang dan teknologi nanoe Panasonic.

    Alphard serba baharu ini dijanakan oleh enjin 3.5 liter V6 DOHC dengan Dual VVT-i yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 271 PS pada 6,200 rpm dan tork 340 Nm pada 4,700 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan sequential shifter.

    Toyota Vellfire 2.5

    Vellfire pula dilengkapi enjin 2.5 liter 16V DOHC dengan Dual VVT-i bersama padanan transmisi CVT. Ia berkeupaya menghasilkan kuasa sehingga 180 PS pada 6,000 rpm dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM355,000 dengan insurans.

    Sama seperti Alphard, ia turut didatangkan dengan kerangka tanpa-Aero tetapi rodanya telah dipertingkatkan ke 18-inci dengan roda Aero, berbanding spesifikasi JDM. Kit luaran sama seperti Alphard – lampu utama LED larasan auto (dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED), spoiler belakang yang disambung dengan LED, lampu kabus (hadapan dan belakang), bumbung matahari dan moonroof kabin belakang.

    Bahagian dalamnya juga sama dengan Alphard, tetapi Vellfire menerima kekemasan hitam dan kayuan berwarna hitam juga.

    Manakala Alphard 3.5 Executive Lounge (RM519,900 OTR dengan insurans) yang fotonya tidak dipaparkan dalam artikel ini, menerima tempat duduk balutan kulit semi-aniline dengan pilihan warna kuning cair atau hitam buat Alphard 3.5 Executive Lounge. Malah turut didatangkan dengan tempat duduk VIP untuk barisan kedua dengan Ottoman serta penghawa dingin.

    Executive Lounge juga menampillan beberapa elemen yang dipertingkatkan termasuk unit huburan DVD-AVN lapan-inci dengan sistem audio JBL 17-speaker dan paparan electro multi-vision dan roda stereng VIP.

    Klik untuk besarkan imej

    Semua varian Alphard dan Vellfire menerima tujuh beg udara (hadapan, sisi hadapan, tirai dan lutut pemandu), VSC, kawalan cengkaman, ABS, bantuan mula mendaki dan pengesan parkir (hadapan dan belakang). Bagi pilihan warna luaran, Putih Mutiara Mewah, Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam untuk Alphard, manakala Vellfire pula menerima Burning Black (deep purple), Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam.

    Pembelian model-model ini turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun dan tanpa perbatuan terhad.

    Lihat video yang dipaparkan menerusi laman Facebook UMW Toyota ini untuk lebih lanjut mengenai kedua-dua model berkenaan.

    GALERI: Toyota Alphard 3.5

    GALERI: Toyota Vellfire 2.5

     
     
  • VIDEO: Mandat biodiesel B10 semakin hampir

    Implementasi penjualan biodiesel B10 (diesel dengan campuran minyak kelapa sawit dengan nisbah 90:10) di Malaysia sebelum ini telah menimbulkan pelbagai kontroversi berhubung kesesuaian penggunaannya pada enjin diesel moden, khususnya enjin yang direka untuk menggunakan diesel bersulfur rendah seperti Euro 5.

    Penjualan diesel B10 sepatutnya bermula pada Jun lalu, tetapi ia telah ditangguhkan sehingga diberitahu. Pada sesi taklimat Persatuan Automotif Malaysia (MAA) minggu lalu, Presidennya Datuk Aishah Ahmad berkata tiada tarikh yang ditetapkan lagi untuk implementasi rasmi program berkenaan, kerana kerajaan masih mendengar aduan dari pihak-pihak yang terlibat.

    Namun, disebalik penangguhan berkenaan, rancangan untuk memperkenalkan B10 kini sedang dalam langkah untuk mencapai jalan penyelesaian, menurut CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Madani Sahari. Dalam video temubualnya bersama Bloomberg TV Malaysia, beliau berkata perbincangan masih dibuat dengan semua pihak yang terlibat dan diharap akan menyelesaikan isu berkenaan.

    Jun lalu, MAA menghantar surat ke Kementerian Perdangangan dan Industri (MITI), mendakwa penggunaan biodiesel dengan gred lebih tinggi dari B7 akan menyebabkan asid tebal metil ester (FAME) bercampur dengan minyak enjin, menyebabkan minyak berkenaan menipis dan boleh menyebabkan terjadinya enapan di dalam enjin. Dinyatakan majoriti ahlinya telah dinasihatkan oleh prinsipal mereka bahawa waranti enjin akan terbatal sekiranya enjin-enjin mereka beroperasi menggunakan biodiesel bergred lebih tinggi dari B7, poin yang dibangkitkan sekali lagi semasa taklimat minggu lalu.

     
     
  • Kia Picanto facelift baharu tembusi pasaran Malaysia secara senyap-senyap, tanpa pelancaran rasmi

    Kia-Picanto-FL-01_BM

    Kia Picanto versi facelit terbaharu telah pun tiba ke pasaran Malaysia, secara senyap-senyap. Picanto generasi kedua yang diberikan nafas baharu ini boleh dijumpai di beberapa pengedar Kia dalam negara – gambar yang disiarkan ini adalah sumber dari Aaron Ong, yang menyiarkannya di laman Facebook Kia Picanto Owners Club Malaysia. Dikhabarkan tiada pelancaran akan dibuat untuk model facelift ini, tetapi harga hatchback kompak ini dilaporkan sama seperti model pre-facelift, iaitu bermula dari harga atas jalan tanpa insuran RM61,888.

    Model versi dikemaskini ini telahpun didedahkan pada Januari tahun lalu sebelum membuat kemunculan sulung di Geneva Motor Show tahun yang sama. Untuk pasaran ASEAN pula, hatchback segmen-A ini mula menembusi pasaran Indonesia Ogos tahun lalu. Tiada perubahan besar disaksikan, dengan sedikit perubahan dilakukan pada bahagian luar – terutamanya pada bahagian muka depan dan bahagian belakang.

    Rekaan bampar hadapan kini lebih bulat, dan gril hadapan yang sebelum ini sememangnya besar, diperbesarkan lagi. Gril “hidung harimau” bahagian atas pula kini telah direka semula. Picanto kini menerima lampu hadapan halogen dengan lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus projektor baharu ditempatkan pada perumah yang mendapat sentuhan semula.

    Bahagian belakang hatchback ini kini menerima lampu kombinasi LED, manakala rekaan bampar pula kini tampak lebih berpetak, dilengkapi lampu kabus dan lampu undur yang direka seiring dengan rekaan baharu. Picanto facelift turut menerima roda aloi dua ton berdiameter 14-inci baharu.

    Bahagian dalaman juga tidak menerima apa-apa perubahan besar. Paparan instrumen menampilkan grafik meter baharu dan kemasan berwarna perak, manakala komputer trip dan butang reset telah dialihkan ke roda stereng, yang juga menampatkan suis kawalan audio yang direka semula. Unit pemain audio utama kini menampilkan rekaan yang lebih mudah, dengan pengurangan pada suis kawalan. Liang penghawa dingin juga dikelilingi dengan kemasan berwarna perak, bersama sarung tuil gear baharu untuk kotak gear empat kelajuan automatik.

    Tiada perubahan mekanikal ditampilkan, di mana Picanto masih dikuasakan dengan enjin 1.25 liter empat silinder Kappa II Dual CVVT berkuasa 87 PS/120 Nm. Sebelum ini, Picanto ditawarkan dengan dua pilihan transmisi iaitu empat kelajuan automatik dan lima kelajuan manual, tetapi dikhabarkan varian manual akan digugurkan untuk versi facelift ini.

    GALERI: Kia Picanto facelift di IIMS 2015

     
     
  • Mitsubishi Lancer menerima wajah baharu di China?

    2017-lancer-5-1_BM

    Mitsubishi dilihat sedang membuat facelift yang agak drastik kepada model Lancer generasi sedia ada. Rekaan berkenaan mengadaptasi rekaan ‘Dynamic Shield’ Mitsubishi terkini seperti yang diserlahkan menerusi model-model Mitsubishi terkini seperti Outlander. Bahagian profil sisi walau bagaimanapun, menyerlahkan ia masih dibina berdasarkan platform Lancer GS sedia ada.

    Bahagian dalaman turut menerima beberapa perubahan kecil, tetapi boleh dikatakan ia masih kelihatan seiras dengan bahagian dalam Lancer sedia ada. Maklumat yang kami terima, facelift baharu ini dibuat oleh rakan kongsi Mitsubishi di China eksklusif untuk pasaran berkenaan sahaja, dan tidak akan menembusi pasaran lain termasuk Malaysia.

    Sebelum ini, Lancer versi facelift untuk pasaran global telah diperkenalkan di Amerika Syarikat pada Oktober 2015, manakala versi pemanduan sebelah kanan mula diperkenalkan di Australia pada Disember 2015.

    Lancer generasi berikutnya berkemungkinan besar akan dibina berdasarkan platform segmen-C dari Nissan. Pembangunan berkenaan telah diumumkan pada lewat 2014, walau bagaimanapun pada pertengahan 2015, Mitsubishi mendakwa projek berkenaan masih lagi pada peringkat permulaan dan mereka mungkin akan membangunkan model baharu secara sendiri jika tiada perkembangan pada projek tersebut. Projek ini sudahpun diumumkan sebelum Nissan mengambil keputusan untuk mengambil alih Mitsubishi awal tahun ini

     
     
  • Nissan Teana dinaiktaraf untuk pasaran China; menampilkan Apple CarPlay, lampu utama LED

    China-Nissan-Teana-1

    Nissan telah menyebarkan beberapa foto model facelift bagi Teana untuk pasaran China, di mana ia bakal dilancarkan tidak lama lagi. Model semasa bagi Nissan Teana L33 telah pun dilancarkan di Malaysia pada tahun 2014.

    Bagi rekaan luaran, model facelift Teana ini menampilkan bahagian hadapan dan lampu utama yang direka semula, dengan LED digunakan pada lampu utama dan juga lampu nyalaan siang LED. Malah lingkaran gelap pada lampu utama turut menyerlahkan lagi gaya dinamiknya.

    Untuk kekemasan dalamannya, tiada perubahan, namun konsol tengahnya kini dilengkapi dengan unit infotainmen yang dipertingkatkan termasuk menampilkan Apple CarPlay bagi telefon, muzik dan navigasi.

    Bagi penjana kuasanya, Teana pasaran China ini masih menggunakan enjin 2.0 liter dan 2.5 liter, yang mampu menghambur 150 hp, meningkat 9 hp berbanding sebelum ini, manakala unit 2.5 liter pula 186 hp. Kuasa bagi kedua-dua varian disalurkan menerusi transmisi boleh laras berterusan.

     
     
  • GALERI: Lexus ES 250 Luxury edisi terhad – dua warna eksklusif, kekemasan dalaman Bamboo, 50 unit

    Lexus_ES250_Ext-5

    Lexus Malaysia telah memperkenalkan Lexus ES 250 Luxury dengan dua warna edisi terhad pada Jun lalu. Model edisi terhad ini hanya ditawarkan sebanyak 50 unit bagi setiap satu warna iaitu – Deep Blue Mica (biru gelap) dan Sleek Ecru Metallic (champagne).

    Bagi dalaman, model edisi terhad ini juga menampilkan kekemasan eksklusif Bamboo, yang ditambah baik dari Birdseye Maple yang dipadankan pada ES biasa. Kekemasan Bamboo ini dipadankan dengan skim warna dalaman Topaz Brown.

    ES 250 Luzury dijanakan oleh enjin 2.5 liter 2AR-FE Dual VVT-i yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 181 hp dan tork 235 Nm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Selain warna yang unik ini, semua elemen lain masih sama dengan ES 250 Luxury biasa.

    Dengan harga atas jalan yang sama iaitu RM293,900 tanpa insurans, varian dalam barisan ES ini terletak di antara pertengahan ES 250 Premium (RM275k) dan ES 300h (RM371k).

    Lexus_ES250_Int-30

    ES 250 Luxury memiliki beberapa perbezaan elemen berbanding Premium, termasuk lampu tinggi dan rendah bagi lampu utama LED, but berkuasa, pencahayaan ambien, navigasi, skrin tengah “Electro Multi-Vision” spesifikasi tertinggi dengan Remote Touch Controller, tirai matahari manual bagi pintu (standard tirai matahari belakang berkuasa bagi semua), Lexus Premium Audio, kulit semi-aniline, pelaras ketinggian kusyen pemandu, butang pelaras bahagian bahu tempat duduk penumpang dan tempat duduk dengan memori untuk tempat duduk penumpang hadapan (Premium : hanya pemandu).

    Bagi aspek keselamatan, ES didatangkan dengan 10 beg udara, ABS/EBD, VSC, Bantuan Mula Mendaki dan sistem amaran tekanan tayar sebagai standard, tetapi Luxury turut ditambah dengan Pemantauan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Lintasan belakang.

     
     
  • MINI JCW Pro Edition diperkenalkan – model paling berkuasa, terhad 20 unit eksklusif untuk pasaran M’sia

    MINI JCW Pro Edition (2)

    MINI Malaysia hari ini memperkenalkan MINI JCW Pro Edition baharu. Hanya ditawarkan secara eksklusif terhad kepada 20 unit sahaja untuk pasaran Malaysia, MINI JCW Pro Edition diasaskan dari MINI 5-Pintu dan merupakan model paling laju dan berkuasa pernah dibangunkan dalam barisan tersebut.

    MINI JCW Pro Edition baharu dijual dengan harga atas jalan tidak termasuk insuran RM 255,888.00 dan hadir bersama waranti perbatuan tanpa had dengan servis berjadual percuma selama empat tahun.

    Bahagian luaran model edisi terhad JCW Pro Edition baharu dapat dibezakan dari model 5 pintu biasa menerusi kit aerodinamik MINI JCW Pro. Kit berkenaan terdiri daripada splitter pada bahagian hadapan, skirting sisi, bampar belakang dan spoiler belakang. Kit ini bukan sahaja berperanan sebagai menaikkan aspek astetika semata-mata, MINI mendakwa ia turut meningkatkan aspek aerodinamik kereta ini.

    Model ini juga hanya hadir dengan pilihan warna badan tunggal Midnight Black Metallic. Bahagian bumbung diberikan MINI JCW Pro Roof Décoriaitu grafik petak-petak berwarna merah dan hitam. Ciri luaran lain yang turut dipadankan adalah perumah cermin sisi MINI JCW Pro Wing Mirror Caps dan MINI JCW Pro Side Scuttles (ketutup sisi) yang sepadan dengan panel tepinya.

    MINI JCW Pro Edition (5)

    MINI JCW Pro Edition baharu juga dilengkapi dengan rim aloi ringan MINI JCW Pro jejari bersilang berdiameter 18-inci dengan kemasan hitam. Rim berkenaan dibaluti dengan tayar run flat yang boleh bergerak sejauh 80km pada kelajuan 80km/j walaupun dalam keadaan tayar pancit.

    Model edisi terhad ini masih dikuasakan dengan enjin B48 2.0 liter turbo empat silinder tetapi ditala semula dengan Kit Talaan Semula MINI JCW Pro untuk mengekstrak kuasa tambahan dari enjin. Kit berkenaan turut disertakan dengan peredam injap yang ditala semula untuk memberikan respon enjin yang lebih baik. Gabungan ini menjadikan kuasa standard 192hp asal meningkat kepada 211hp manakala tork asal 280 Nm meningkat kepada 300Nm.

    MINI JCW Pro Edition baharu juga didatangkan dengan MINI JCW Pro Valve Silencer bersama kemasan paip ekzos karbon. Sistem peredam ekzos berkenaan hadir dengan dua mod iaitu “Sport” untuk bunyi penuh semasa pemanduan harian dan “Track” yang lebih kuat, untuk pemanduan dalam litar lumba. Flap ekzos berkenaan mampu menghasilkan bunyi letusan api, dioperasikan secara tanpa wayar menerusi dua klik pada butang kawalan Bluetooth 4.0.

    Tiada perubahan dilakukan pada sistem transmisi, di mana kuasa dari enjin dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear Sports automatik enam-kelajuan.

    MINI JCW Pro Edition (1)

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Han Sang Yun ketika memperkenalkan MINI baharu berkata, “John Cooper Works memang terkenal kerana tampil bergaya dan memiliki keghairahan sebenar terhadap kehidupan. MINI JCW Pro Edition mampu mengekspresikannya – sama ada ketika mengambil selekoh tajam apabila memandu ke seluruh negara atau menawarkan prestasi garang di atas litar lumba, jentera ini menyerlahkan kualiti pengendalian seperti sebuah go-kart yang cukup sinonim dengan MINI. Namun, ia juga sebuah kereta yang praktikal untuk kegunaan harian.”

    “Dari litar lumba ke jalan biasa, ia dapat menerangkan tentang MINI JCW Pro Edition dengan sempurna. Kereta ini membawa bersama warisan sukan bermotor sejak zaman kegemilangannya memenangi perlumbaan Monte Carlo sehinggalah ke podium-podium Rali Paris-Dakar dengan penuh rasa bangga,” kata Han.

    Aksesori MINI JCW Pro turut boleh dibeli berasingan dengan harga tidak termasuk pemasangan seperti berikut:

    MINI JCW Pro Aerodynamic Kit – RM 16,283.43
    MINI JCW Pro Tuning Kit with Valve Silencer System – RM 10,000.00
    MINI JCW Pro Carbon Tailpipe Trim – RM 3,000.00
    MINI JCW 18” Cross-Spoke Light Alloy Wheels in Jet Black – RM 14,858.00
    MINI JCW Pro Roof Décor – RM 650.00
    MINI JCW Pro Wing Mirror Caps – RM 690.00
    MINI JCW Pro Side Scuttles – RM 690.00

     
     
  • Cadangan untuk merombak Teksi 1Malaysia diusul

    innova-teks1m-02

    SuruhanJaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengusulkan rombakan terhadap Teksi 1Malaysia (TEKS1M) kepada Kabinet agar semua pemandu teksi diberi peluang untuk memiliki permit teksi individu di bawah proses liberalisasi permit teksi menjelang hujung tahun ini, lapor The Sun Daily.

    Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah memberitahu akhbar berkenaan bahawa cadangan pada rombakan tersebut adalah untuk memohon agar permit teksi individu diberikan kepada pemandu teksi yang mempunyai rekod bersih dan baik, untuk membantu mereka keluar dari model ‘pajak’ dan menuju kearah keusahawanan. Pemandu yang layak untuk diberikan permit individu perlu diberikan dana untuk membeli kenderaan baharu.

    Usaha ini juga merupakan pelan yang dibuat untuk menyelesaikan isu sistem pajak yang telah membelenggu industri sejak sekian lama, pemandu yang terpilih akan menikmati dana khas untuk mereka membeli sedan baharu dan dijenamakan semula di bawah TEKS1M.

    Difahamkan bahawa model sedan dan hatchback baharu seperti Perodua Myvi, Axia, Bezza dan Proton Iriz akan termasuk dalam skim TEKS1M tetapi masih tertakluk dalam larangan kereta kompak untuk mengambil atau menghantar penumpang di lapangan terbang. Ini merupakan antara 11 inisiatif untuk transformasi perkhidmatan teksi dan implementasi servis e-hailing untuk dipertimbangkan oleh Kabinet minggu ini.

    Permit teksi individu terakhir dikeluarkan SPAD adalah pada 2013 apabila hampir 2,000 permit diberikan di bawah fasa pertama TEKS1M. Ia dilakukan menerusi penukaran permit tidak aktif berbanding mengeluarkan permit baharu. Setakat ini, sekitar 77,000 pemandu teksi di seluruh negara yang terdiri dari pemandu teksi bermeter dan kereta sewa dengan 40% daripada mereka memegang permit individu.

    easy-taxi-super-easy-taxi 259

    SPAD turut mempertimbangkan untuk mewujudkan servis kontrak bagi syarikat teksi yang akan mengandungi KPI jangka masa panjang serta faedah kepada pemandu teksi.

    “Ini akan mewujudkan hubungan pekerja-majikan dan syarikat teksi akan menjadikan pemandu teksi berminat untuk terus kekal bersama,” kata Azharuddin.

    Setakat ini, sekurang-kurangnya enam syarikat teksi sedang dalam perbincangan untuk bergabung dan bersedia untuk lanskap baharu industri teksi.

    Di bawah cadangan berkenaan, sumber rasmi dari Kementerian Pengangkutan mengatakan, permit juga turut di buka untuk pendaftaran individu oleh pengendali jaringan pengangkutan berasaskan aplikasi (TNO) seperti Grab dan Uber.

    “Untuk layak memiliki permit individu, seseorang itu perlulah tiada saman trafik tertunggak dan rekod jenayah,” kata beliau.

    Untuk masa 36 bulan akan datang, dianggarkan sekitar 150,000 pemegang permit baharu yang akan wujud sekali dalam pasaran. Ia akan terdiri dari muka baharu sebagai pemandu teksi konvensional, Uber, Grab, Cab 2Go dan pemandu berasaskan apilkasi online lain.

    Walau bagaimanapun, masih belum jelas sama ada industri teksi dan institusi kewangan telah bersetuju untuk membenarkan kereta persendirian untuk ditukar kepada teksi moden.

    “Kerajaan turut perlu menyelesaikan isu cukai dengan Uber (syarikat berkenaan) sebelum e-hailing bermula,” kata sumber dalaman kepada The Sun.

     
     
  • VEP belum sedia dilaksanakan- Liow

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Sebelum ini berita yang melaporkan, sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) mungkin akan dibatalkan. Namun perkara ini disangkal oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Beliau berkata, kerajaan tiada cadangan untuk membatalkan sistem ini, dan akan dilaksanakan sebaik sahaja ia sedia beroperasi, laporan Bernama.

    “Kerajaan akan laksanakan VEP, bukan sahaja di pintu masuk Singapura-Johor, tetapi juga di sempadan Thailand, Kalimantan dan Brunei,” ujarnya kepada pihak media.

    Beliau turut berkata, Kerajaan tidak bersikap diskriminasi, di semua sempadan akan ada VEP. Ia akan dimulakan dengan Singapura terlebih dahulu dan kemudian ke negara lain.

    Liow turut mengulas sama ada VEP mungkin dibatalkan selepas proses pelaksanaannya berdepan “masalah” dan telah terlepas beberapa ‘tarikh’ yang dikatakan sebagai tarikh bagi pelaksanaannya.

    “Akan mengambil masa untuk melaksanakannya kerana kami mahu memastikan tiada sebarang masalah timbul apabila kami memulakannya. Jika sekarang, ujian dijalankan selama 12 jam, kami mahu mengujinya selama 24 jam untuk sekurang-kurangnya satu atau dua bulan lagi,” katanya.

    VEP telah pun ditangguhkan beberapa kali. Terbaru, ia sepatutnya mula dilaksana pada 16 Julai 2016, namun ternyata ia masih belum bersedia untuk beroperasi.

     
     
  • Harley-Davidson KL lancar tiga model serentak – Sporter Roadster 1200CX, Softail FLS-Slim S, CVO Pro Street Breakout; harga dari RM110k hingga RM210k

    Harley_Davidson_2016

    Selepas melancarkan dua model, Iron 883 dan Forty Eight, pada Mac lalu, Harley Davidson Kuala Lumpur meneruskan langkah agresifnya dengan memperkenalkan tiga lagi model terbaharu hari ini. Menerusi pengedar utamanya di Malaysia, Naza Prestige Bikes Sdn Bhd, tiga model tersebut ialah Sporter Roadster 1200XC, Softail FLS-Slim S, CVO Pro Street Breakout.

    Bagi Sporter Roadster 1200XC, ia dijanakan oleh enjin berkapasiti 1200cc penyejuk-udara, Evolution dengan terjahan tork sehingga 3,750 rpm. Pakej prestasinya telah ditambah baik termasuk sepit udang (fork) hadapan 43 mm, brek hadapan dua-cakera yang lebih mantap, dan meter instrumen baharu. Ditawarkan pada harga atas jalan RM110,000 (tanpa insurans), model ini didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Velocity Red Sunglo, Billet Silver, Black Denim, dan Vivid Black.

    Manakala Softail FLS-Slim S dipadankan dengan enjin Screamin’ Eagle Twin Cam 110B berkapasiti 1801cc dengan tork sehingga 145 Nm pada 4,000 rpm. Ia memilih tema warna ketenteraan dengan menampilkan sentuhan tona olive green dan hitam termasuk pada gegelung lampu utamanya, penutup sepit udang, perumah cermin sisi dan pemijak brek. Ia dijual pada harga atas jalan RM160,000 (tanpa insurans).

    Paling macho tentunya menjadi miliki CVO Pro Street Breakout yang berharga RM210,000 (atas jalan, tanpa insurans). Ia menampilkan gaya serba gelap tetapi penuh agresif, malah kekemasannya terperinci termasuk pada bahagian antara dapra. Ia dijanakan oleh enjin Screamin’ Eagle Twin Cam 110B dengan kapasiti 1801 cc yang sama seperti Softail FLS-Slim S, tetapi memiliki tujahan tork yang lebih padu iaitu 151 Nm pada 3,500 rpm. Didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Starfire Black/Starfire Black dan White Gold Pearl/Starfire Black.

    Ketiga-tiga model ini turut didatangkan dengan dua tahun waranti pengeluar dan juga waranti lanjutan selama tiga tahun. Ia telah pun berada di bilik pameran Harley Davidson di Petaling Jaya.

     
     
  • Kit CKD ‘Proton Ertiga’ sedia dieksport ke Malaysia

    Proton-Ertiga-facelift-01

    Proton nampaknya semakin hampir dalam usaha mereka untuk memperkenalkan MPV kompak baharu mereka yang diasaskan dari Suzuki Ertiga. Seperti yang disahkan oleh CEO Proton Datuk Fuaad Kenali bulan lalu, MPV berkenaan dijangka akan diperkenalkan pada Oktober tahun ini, dan Proton dilihat sedang giat menjalankan ujian jalan raya terhadap model berkenaan.

    Perkembangan terbaharu, Suzuki Indomobil Sales (SIS) yang memproduksi Ertiga di Cikarang, Indonesia memberitahu mereka kini sudahpun bersedia untuk memenuhi permintaan Proton terhadap kit CKD, dan hanya menunggu untuk menerima tempahan dari Proton. Perkara berkenaan dijangka akan berlaku minggu hadapan, kata Timbalan Pengarah Urusan SIS Davy Jeffry Tuilan kepada KompasOtomotif selasa lalu.

    SIS menjangkakan akan menerima tempahan sebanyak 1,500 unit sebulan dari Proton. Syarikat berkenaan turut mengeksport Ertiga sebagai model CBU ke Filipina, Thailand dan Vietnam dalam jumlah sekitar 800 hingga 1000 unit sebulan, tetapi eksport ke Malaysia sebagai unit CKD ini merupakan yang pertama.

    SIS mendedahkan pada Januari lalu Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk CKD, bermula suku kedua tahun 2016, pada kadar 1,500 unit sebulan. Produksi kit berkenaan pula dijadualkan bermula dari Mei tahun ini. Proton secara rasminya mengumumkan pada Januari lalu model pertama kerjasama Proton-Suzuki akan memasuki produksi sebelum berakhirnya tahun 2016.

    Ertiga diperkenalkan buat pertama kali sejak 2012 dan versi faceliftnya muncul pada tahun lalu. Model yang diuji ini menampilkan bampar pre-facelift yang menempatkan lampu kabus dibahagian tengah serta bahagian diffuser yang telah direka semula. Roda berdiameter 15-inci dan dibaluti dengan tayar GT Radial juga adalah seiras dengan model facelift Ertiga. Imej terbaharu ini masih lagi tidak menampakkan bahagian hadapan. Jadi, sama ada MPV ini telah menerima rekaan muka baharu yang telah “diProtonkan” ataupun tidak masih tidak dapat dipastikan.

    Berdasarkan dimensi asal Ertiga, MPV tujuh-tempat duduk ini mempunyai jarak roda berukuran 2,740 mm (Perodua Alza 2,750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijana oleh enjin K14B 1.4 liter berkuasa 92 ps dan tork 130 Nm. Ia dipadankan dengan pilihan transmisi empat-kelajuan automatik atau lima kelajuan-manual. Varian Ertiga Dreza yang diberikan muka yang lebih unik dan juga beberapa ciri tambahan telah dipasarkan di Indonesia dan juga Thailand. Mazda juga turut menghasilkan model rebadge Ertiga untuk pasaran Indonesia yang digelar VX-1.

    GALERI: Imej render “Proton Ertiga”


    GALLERY: Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015

     
     
  • Yamaha anjur pameran skuter automatik hingga Ahad

    Yamaha Automatic Motorshow 3

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) turut menganjurkan pameran khas bagi skuter automatiknya, termasuk model-model konsep terkini serta model-model yang tidak dijual di Malaysia.

    Bertempat di Berjaya Times Square, pameran yang dikenali dengan nama Yamaha Automatic World Motorshow berkenaan dibuka kepada umum bermula hari ini dan akan berakhir Ahad nanti, 24 Julai 2016.

    Antara model-model jentera automatik yang dipamerkan ialah model konsep yang pertama kali dipertontonkan untuk peminat tempatan, iaitu 04GEN dan 03GEN, sementara model-model menarik lain yang tidak memasuki pasaran tempatan setakat ini ialah seperti Yamaha Grand Majesty, TMax bagi skuter berkuasa tinggi, manakala Fino dan Grand Filano bagi skuter dengan kuasa kecil dan sederhana.

    HYLM hari ini turut melancarkan model skuter terbaru syarikat itu untuk pasaran tempatan, Yamaha Ego Avantiz 125 cc yang dijual pada harga anggaran RM5,700. Model berkenaan disasarkan sebagai skuter peringkat kemasukan dan mengutamakan faktor mampu milik dengan penawaran ciri-ciri baru yang menarik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024