Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Google Maps untuk motosikal diperkenalkan di M’sia

    Google Maps untuk motosikal diperkenalkan di M’sia

    Selepas tiga bulan dilaksanakan di Indonesia, Google kini memperkenalkan mod motosikal di Malaysia – mod navigasi baharu yang kini boleh didapati pada versi terkini Google Maps, bersama dengan mod pengangkutan lain yang ditawarkan oleh perkhidmatan pemetaan web tersebut.

    Mod ini dikhususkan untuk pengguna motosikal yang menggunakan Google Map untuk ke destinasi yang dituju. Bukan itu saja, ia juga memudahkan penetapan waktu perjalanan yang lebih tepat – sebelum ini Maps akan menganggarkan perjalanan dan masa ketibaan penunggang motosikal berdasarkan gabungan waktu berjalan dan memandu.

    Ciri mod motosikal ini akan memberikan masa perjalanan yang lebih tepat berdasarkan kelajuan tunggangan. Disebabkan lorong motosikal dipisahkan dari lorong utama, motosikal kini boleh bergerak dengan kelajuan berbeza, seperti biasa, pastinya lebih pantas berbanding kenderaan empat roda, dalam kesesakan trafik. Motosikal juga mempunyai perbezaan yang spesifik – ada segmen jalan yang motosikal tidak dibenarkan menggunakannya.

    Google Maps untuk motosikal diperkenalkan di M’sia

    Sama seperti mod memandu, ketepatan masa mod motosikal dan anggaran perjalanan meningkatkan lebih banyak orang menggunakannya. Fungsi navigasi berasaskan mercu tanda yang menawarkan arah dengan mercu tanda penting turut disertakan. Ini dapat membantu penunggang untuk menunjukkan arah dan mengingati laluan mereka dengan cara yang lebih baik sebelum memulakan perjalanan.

    Mod motosikal ini pertama kali dilancarkan di India pada hujung tahun lepas, dan ia adalah peningkatan terbaru yang diperkenalkan pada aplikasi Maps, diikuti pengenalan tambahan beberapa ciri kecil yang lain pada awal bulan ini.

     
     
  • Kerajaan mungkin perkenalkan sijil pembatalan pendaftaran untuk tangani masalah kenderaan terbiar

    Kerajaan mungkin perkenalkan sijil pembatalan pendaftaran untuk tangani masalah kenderaan terbiar

    Kementerian pengangkutan sedang mencari penyelesaian terbaik untuk menangani masalah kenderaan usang dan terbiar, yang buat masa ini tidak ada peruntukan dalam undang-undang untuk menghapus dan melupuskannya. Justeru, kerajaan mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan sijil pembatalan pendaftaran bagi kenderaan terabai yang berdaftar ini, laporan Malay Mail.

    “Oleh itu, saya telah meminta agar JPJ mengemukakan cadangan untuk melaksanakan mekanisme pembaharuan perakuan. Dengan mekanisme sijil pembaharuan pendaftaran ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meneruskan pelaksanaan melupuskan kederaan sebegini bagi menyelesaikan masalah yang sedang berlaku di kawasan padat penduduk,” ujar menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Loke berkatalangkah ini perlu diambil memandangkan aduan dari orang awam banyak diterima oleh PBT, terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor. “Kebanyakan kenderaan sebegeini, yang masih didaftarkan, hanya dibiarkan begitu sahaja di kawasan perumahan, yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan akibat logam yang berkarat,” ujarnya.

    Tahun lalu, dilaporkan sebanyak lebih lapan juta kenderaan usang yang terbiar di seluruh negara, dan menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, pihaknya merancang untuk mengkaji semula undang-undang bagi memberi kuasa kepada PBT bagi melupuskan kenderaan tersebut. Pelan yang dicadangkan ialah membuang kenderaan terbabit dan menempatkannya di kawasan yang diwartakan.

     
     
  • Aston Martin DBS Superleggera tampil dengan 715 hp

    Aston Martin DBS Superleggera tampil dengan 715 hp

    Ini dia pengganti bagi model paling tinggi dalam barisan kenderaan Aston Martin; sebelum ini Vanquish menjadi taruhan, tetapi kini model baru DBS Superleggera akan mengambil alih peranan itu. Melalui model ini, Aston Martin menggabungkan dua nama yang cukup dikenali – DBS miliknya serta Superleggera dari Itali (yang bermaksud “super lightweight”).

    DBS Superleggera ini terus menggunakan enjin V12 5.2 liter turbocas berkembar, tetapi dengan output kuasa pada tahap 715 hp pada 6,500 rpm dan 900 Nm tork antara 1,800 rpm hingga 5,000 rpm. Ini merupakan pertambahan sebanyak 85 hp dan 200 Nm tork berbanding model DB11 AMR.

    Menyalurkan kuasa itu ke roda belakang ialah transmisi ZF lapan-kelajuan. Lain-lain angka prestasi yang akan membuatkan keterujaan ialah pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.4 saat, sementara pecutan maksimum mencapai tahap 340 km/j.

    Aston Martin DBS Superleggera tampil dengan 715 hp

    Kerangkanya menggunakan struktur aluminium ringan yang diperkemas dari DB11, dengan sistem suspensi double wishbone di depan serta jenis multilink di belakang. Ciri penyerap hentak adaptif, limited-slip differential mekanikal dan torque vectoring dengan cara membrek menyumbang kepada kemantapan pengendaliannya. Ia menggunakan brek karbon seramik dan tayar Pirelli khusus pada rim 21-inci yang digunakan.

    Bahagian luaran kereta menggunakan gentian karbon sepenuhnya. Rekaan yang ditampilkan juga sarat dengan imej sporty yang garang; gril besar, lampu utama LED yang lebih tirus serta alur dan ruang udara pada bonet depan membentuk imejnya yang tersendiri.

    Aston Martin DBS Superleggera tampil dengan 715 hp

    Liang udara pada bahagian splitter depan berfungsi untuk mengalirkan udara ke bawah kenderaan dan menyejukkan brek. Begitu juga bahagian masukan udara pada bahagian lengkok tayar (wheel arch), ia bertujuan untuk memberikan kestabilan ketika dalam kelajuan tinggi. Rekaan aeroblade dan diffuser berkembar gaya F1 yang terletak di belakang juga menyumbang kepada daya downforce yang lebih baik.

    Ruang dalaman juga menampilkan rekaan dan kemasan yang padu. Material kulit Alcantara digunakan pada tempat duduk. Diikuti juga oleh stereng Sport Plus dengan bahagian atas dan bawah yang rata. Tidak ketinggalan ialah sistem infotainmen yang datang dari Mercedes-Benz yang boleh dikawal melalui tombol serta skrin di tengah. Ciri seperti keyless entry, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera 360-darjah dan Park Assit juga di datangkan sebagai standard. Harganya? Sekitar £225,000 (RM1.2 juta).

     
     
  • SPYSHOT: Bahagian dalam Range Rover Evoque generasi baru terdedah, ada kelengkapan seperti Velar

    SPYSHOT: Bahagian dalam Range Rover Evoque generasi baru terdedah, ada kelengkapan seperti Velar

    Range Rover Evoque mungkin adalah model paling popular keluaran Land Rover dalam tahun terdekat ini, terutama sekali selepas dijual lebih 600,000 unit sepanjang enam tahun ia berada dalam pasaran (sehingga Mei 2017). Berita yang tersebar model generasi kedua akan muncul tahun depan, dan di sini kami ada set gambar bahagian dalamnya yang belum pernah dilihat sebelum ini.

    Sementara kita sudah tahu Evoque akan menerima penggayaan yang hampir seperti Velar, bahagian dalamnya pula masih tidak jelas. Dalam gambar ini, beberapa bahagian utama boleh dilihat, tetapi masih dihalang sedikit oleh pemandu yang sedang mengujinya.

    Paling jelas adalah bahagian tengah papan pemuka yang kini mempunyai skrin sesentuh infotainmen yang juga hampir seperti Velar. Skrin ini mungkin memberikan akses kepada pelbagai fungsi multimedia dan juga navigasi GPS. Di bawahnya, terdapat satu lagi panel sesentuh (banyak kesan cap jari dalam gambar ini) dengan dua tombol untuk mengawal pendingin hawa.

    Land Rover juga nampaknya seperti sudah tidak menggunakan tombol untuk memilih gear seperti pada model sebelum ini, dan pada model yang diuji ini ia menggunakan tombol panjang seperti biasa. Walaubagaimanapun, kelilingnya ada panel plastik yang ringkas dan kita tidak mengetahui mungkin nanti ia akan ditukar bagi model produksi.

    SPYSHOT: Bahagian dalam Range Rover Evoque generasi baru terdedah, ada kelengkapan seperti Velar

    Pada bahagian stereng, unit ujian ini dipasang dengan stereng yang lengkap bersama dua pod kawalan – bahagian kiri untuk mengawal fungsi bebas tangan dan tahap bunyi manakala bahagian kanan untuk kawalan adaptive cruise control dan lane keeping assist.

    Evoque generasi baru ini, yang menggunakan nama kod L551 dikhabarkan bakal menerima banyak perubahan termasuk platform sama seperti Discovery Sport dan Jaguar E-Pace. Jika benar, ia mungkin mempunyai saiz lebih besar berbanding Evoque L538 sekarang.

    Model permulaan bagi Evoque generasi baru ini mungkin hanya menggunakan pacuan dua roda, manakala varian lebih tinggi menggunakan sistem pacuan empat roda. Ia juga mungkin ditawarkan dalam variasi enjin 2.0 liter petrol dan diesel, bersama padanan kotak gear automatik sembilan kelajuan ZF.

     
     
  • Op Selamat 13/2018 – Kes kemalangan jalan raya meningkat, tetapi jumlah yang maut menurun 1.7%

    Op Selamat 13/2018 – Kes kemalangan jalan raya meningkat, tetapi jumlah yang maut menurun 1.7%

    Op Selamat 13/2018 yang berakhir pada hujung minggu lalu, sejumlah 22,411 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan, menyaksikan sedikit peningkatan sebanyak sembilan kes, berbanding 22,402 kes pada musim yang sama tahun lalu.

    Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, bagaimana pun, kemalangan maut yang direkodkan sepanjang Ops Selamat 13/2018 ini menunjukkan penurunan sebanyak empat kes atau 1.7% berbanding Op Selamat 11/2017 yang mencatatkan 257 kes, laporan Harian Metro.

    “Analisis terhadap Op Selamat 13 menunjukkan faktor terbabas sendiri menjadi punca utama kemalangan maut, dengan catatan sebanyak 142 kes. Faktor lain yang menjadi penyumbang kemalangan maut adalah melawan aliran trafik, cuba memotong kenderaan, cuai ketika keluar atau masuk simpang, mengekori terlalu rapat dan membuat pusingan U,” katanya kepada pemberita pagi ini.

    Beliau turut berkata, pengguna motosikal menjadi penyumbang utama bagi kes kematian Op Selamat kali ini yang mencatatkan 148 kes, diikuti pengguna kereta, pejalan kaki, pengguna lori dan pengguna van.

    Katanya lagi, sebanyak 343,863 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang Op Selamat 13 yang merangkumi 241,791 saman Pol 170A dan 102,072 saman Pol 257.

     
     
  • Ducati Monster 1200 25° Anniversario – terhad 500 unit

    Ducati Monster 1200 25° Anniversario – terhad 500 unit

    Monster adalah satu model penting bagi Ducati. Ia mencatat jualan antara yang terbanyak bagi model keluarannya dan model pertama dikeluarkan pada tahun 1992. Kini, selepas 25 tahun Monster berada dalam pasaran, pengeluar motosikal dari Itali itu mengeluarkan Monster edisi khas sambutan ulang tahun yang terhad hanya sebanyak 500 unit dan dinamakan sebagai Monster 1200 25° Anniversario.

    Asas motosikal ini masih sama seperti Monster 1200 yang diperkenalkan sebelum ini, iaitu menggunakan enjin Testastretta 11° DS dua silinder V 1,198 cc yang berkuasa 147 hp pada 9,250 rpm dan 124 Nm tork pada 7,750 rpm, tetapi diberikan ubah suai khas.

    Paling mudah dilihat adalah badan yang menampilkan tiga warna bendera Itali pada bahagian fairing hadapan, tangki dan penutup tempat duduk belakang yang mendapat inspirasi daripada Monster S4RS Testastretta Tricolore tahun 2008. Di tempat duduk pula, terdapat sulaman logo ulang tahun ke-25.

    Kemudiannya, bahagian kerangka trellis serta rim Marchesini yang diguna dicat dengan warna emas. Untuk tuil brek dan klac, Monster 1200 25° Anniversario ini menggunakan unit yang dibuat daripada aluminium, manakala penghadang lumpur, kemasan di tempat kunci serta lapik haba ekzos dibuat daripada gentian karbon. Turut diberi adalah kain penutup motosikal yang mempunyai logo serta nombor keluaran khas untuk motosikal ini.

    Untuk bahagian casis, Monster keluaran terhad ini menawarkan yang terbaik di mana lengan ayun tunggal aluminiumnya dipadankan bersama suspensi Ohlins yang boleh dilaras sepenuhnya manakala di hadapan juga terdapat fork Ohlins 48 mm dan steering damper Ohlins. Tugas membrek dijalankan oleh angkup Brembo M50 serta cakera berkembar 330 mm di hadapan, dan cakera 245 mm di belakang.

    Monster 1200 25° Anniversario akan mula dipasarkan di Eropah pada bulan September ini, diikuti bulan Oktober untuk Jepun, November untuk Amerika Syarikat dan Disember untuk Australia. Walaupun begitu, ia sudah boleh ditempah awal.

     
     
  • Perkhidmatan ride-hailing tidak akan dimansuhkan, sebaliknya perlu adil terhadap pemandu teksi – Loke

    Perkhidmatan <em>ride-hailing</em> tidak akan dimansuhkan, sebaliknya perlu adil terhadap pemandu teksi – Loke

    AppleMark

    Walaupun ada pihak-pihak seperti persatuan teksi yang menggesa agar perkhidmatan ride-hailing seperti Grab dimansuhkan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah menjelaskan bahawa perkara itu tidak akan berlaku. Sebaliknya beliau akan melihat bagaimana cara untuk mengawal selia perkhidmatan itu agar menjadi lebih adil terhadap pemandu teksi.

    Dalam satu laporan The Star, Loke menegaskan bahawa kerajaan komited untuk mewujudkan persaingan yang sama rata antara perkhidmatan teksi dan e-hailing. Untuk itu, undang-undang khusus berkaitannya akan diperkenalkan.

    “Dalam mesyuarat kabinet hari ini, Perdana Menteri meminta Kementerian Pengangkutan untuk memastikan bawa persaingan antara teksi dan perkhidmatan e-hailing adalah saksama. Saya akan bertemu dengan SPAD dan meminta mereka mengemukakan cadangan berkaitan hal ini,” tambah beliau.

    Loke turut menambah, pengumuman seterusnya berkaitan hal ini dapat dilakukan pertengahan Julai nanti. “Saya berharap pertubuhan teksi yang telah menyuarakan keresahan mereka terhadap perkhidmatan e-hailing ini dapat bersabar dan memberi ruang untuk pihak berkuasa menangani isu ini sebaik mungkin,” ujar beliau.

     
     
  • Sistem ‘Smart Selangor Parking’ bakal dilaksanakan oleh kesemua 12 PBT di bawah negeri ini mulai 2019

    Sistem ‘Smart Selangor Parking’ bakal dilaksanakan oleh kesemua 12 PBT di bawah negeri ini mulai 2019

    Mulai tahun 2019, kesemua 12 kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) selangor dijangka akan melaksanakan sistem ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) yang membolehkan orang ramai membuat bayaran parkir dan kompaun kenderaan atas talian menerusi aplikasi telefon pintar, laporan Bernama.

    Menurut Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) yang membangunkan sistem itu, Dr Fahmi Ngah, sebagai permulaan, SSP akan dilaksanakan di lima PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mulai 1 Julai ini.

    Katanya sistem itu memudahkan pembayaran caj dan kompaun parkir dengan mudah tanpa perlu mencari ejen jualan kupon parkir seiring dengan hasrat kerajaan negeri mahu menjadikan Selangor sebuah negeri ‘Smart State’.

    Sistem ‘Smart Selangor Parking’ bakal dilaksanakan oleh kesemua 12 PBT di bawah negeri ini mulai 2019

    Mulai tahun depan, sistem parkir berkupon sebegini dapat dikurangkan penggunaannya

    “Melalui sistem SSP, pengguna boleh tambah nilai ke dalam satu akaun atas talian menerusi aplikasi telefon pintar yang boleh digunakan untuk membayar caj letak kenderaan dan kompaun di petak letak kenderaan ‘on street’ di PBT terlibat. Pengguna boleh menambah kredit SSP mereka menggunakan kaedah perbankan atas talian seperti Maybank2u, CIMB Clicks, Ambank Online dan e-wallet ‘Boost’,” katanya.

    Beliau turut berkata, SSDU dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya menjalankan satu projek perintis bagi memastikan kelancaran operasi SSP terhadap pengguna dan PBT dari 1 Mei hingga 30 Jun ini di Dataran Sunway, PJU 5, Kota Damansara melibatkan 1,522 petak letak kenderaan ‘on-street’.

    Katanya kadar caj letak kenderaan dan kompaun yang dikenakan menerusi SSP adalah mengikut kadar sedia ada yang digunapakai PBT yang menyertai pelaksanaan sistem ini.

     
     
  • Bentley Bentayga catat rekod baru untuk SUV di Pikes Peak – versi istimewa akan ditawarkan kepada pasaran

    Bentley Bentayga catat rekod baru untuk SUV di Pikes Peak – versi istimewa akan ditawarkan kepada pasaran

    Tahun ini bermacam kereta mencatat rekod sewaktu perlumbaan mendaki bukit Pikes Peak dan tidak terlepas adalah daripada Bentley, apabila Bentayga mereka berjaya memecahkan rekod lama bagi SUV produksi dengan catatan masa 10 minit 49.9 saat.

    Semasa perlumbaan itu, Bentayga yang dipandu oleh Rhys Millen mencatat kelajuan purata 107 km/j sepanjang ia melalui 156 selekoh dan mendaki sehingga 4,720 kaki. Kata Millen, masa bawah 11 minit yang dapat dicatat dengan menggunakan SUV mewah yang diubah suai sedikit sahaja membuktikan Bentayga sememangnya berprestasi dan mempunyai tahap kejuruteraan yang tinggi.

    Antara modifikasi yang dibuat pada Bentayga ini adalah roll-cage, sistem pemadam kebakaran, tempat duduk lumba dan tayar Pirelli. SUV ini juga mendapat manfaat daripada pengurangan 300 kg berat daripada bahagian kemasan dalamnya, dan menggunakan sistem ekzos Akrapovic yang menjadikan bunyi daripada enjin 6.0 liter twin turbo (600 hp/900 Nm) padanya lebih garang.

    Bentley Bentayga catat rekod baru untuk SUV di Pikes Peak – versi istimewa akan ditawarkan kepada pasaran

    Kereta ini juga dicat dengan warna Radium Satin, dan dipasang dengan kit penggayaan Bentley Styling Specification yang menambah splitter hadapan, diffuser, side skirt dan spoiler belakang gentian karbon.

    Untuk meraikan perkara ini, Bentley telah memperkenalkan Pikes Peak Bentayga edisi terhad yang akan dikeluarkan cuma sepuluh unit sahaja. Ia akan dibuat oleh cabang ubah suai khas Bentley iaitu Mulliner dan boleh didapati dalam warna hitam Beluga atau Radium dengan rim 22 inci dua tona.

    Turut disediakan adalah Black Specification, di mana semua bahagian krom di luarnya diganti dengan warna hitam dan splitter, side skirt, diffuser serta spoiler belakang gentian karbon. Di fender pula terdapat grafik Pikes Peak. Pada bahagian dalam, banyak bahagian yang dibalut dengan kulit Alcantara dan terdapat plak nombor khas edisi Pikes Peak.

     
     
  • 2.5 juta saman trafik masih belum dijelaskan – DBKL

    2.5 juta saman trafik masih belum dijelaskan – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 2.5 juta notis kompaun kesalahan trafik masih belum dijelaskan orang awam.

    Menurut Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Fadzilah Abd. Rashid berkata, bagi mengelakkan pesalah dibawa ke mahkamah dan disenarai hitam, mereka dinasihatkan membuat bayaran sebelum 30 Jun ini, laporan Bernama.

    “Urusan pembayaran boleh dilakukan melalui kaunter bayaran DBKL, kaunter pejabat cawangan DBKL, kiosk pembayaran di Menara DBKL 1 Jalan Raja Laut, Menara DBKL 3 (Wawasan), Pejabat Cawangan Seputeh dan Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang,” katanya.

    Selain itu, pembayaran juga boleh dilakukan di semua kaunter pejabat Pos Malaysia atau secara dalam talian di laman web, www.myeg.com.my atau aplikasi Mobis yang boleh dimuat turun melalui Play Store (android) atau App Store (iOS).

    Tambahnya, orang ramai diminta mengambil peluang untuk membuat bayaran sebelum tempoh kadar khas kompaun berakhir.

    Pada Februari lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz mengumumkan, DBKL melanjutkan tempoh diskaun bayaran kompaun kepada pesalah trafik sehingga 30 Jun ini.

    Katanya, diskaun kompaun lalu lintas yang diberikan adalah RM20 bagi motosikal, RM30 (kereta) dan RM50 untuk kenderaan berat.

     
     
  • Siri nombor plat ‘Malaysia’ – bidaan dibuka 1 Ogos

    Siri nombor plat ‘Malaysia’ – bidaan dibuka 1 Ogos

    Menteri pengangkutan telah mengumumkan siri plat nombor istimewa ‘Malaysia’ akan mula dibuka bidaannya di semua cawangan JPJ pada 1 Ogos ini. Pada mulanya bidaan dijadualkan bermula dari 2 hingga 16 Julai seperti yang diumumkan awal bulan ini, walau bagaimana pun tarikhnya telah ditukarkan ke 1-16 Ogos. Walau bagaimana pun tidak disebut adakah tarikh keputusan bidaan akan diubah dari tarikh asal iaitu 23 Ogos.

    Menurut Loke sebelum ini, siri plat nombor khas ini turut berobjektif bagi memupuk semangat kecintaan kepada negara selaras dengan tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu ‘ Sayangi Malaysiaku’ seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tawaran bidaan nombor pendaftaran khas ini melibatkan 10,000 siri bermula dari Malaysia 1 sehingga Malaysia 9999. Loke turut menjangkakan siri plat nombor khas ini mampu menjana keuntungan melebihi RM22 juta bagi mengisi tabung kerajaan.

    Dalam masa yang sama, projek perintis bagi sistem e-bidaan juga akan diperkenalkan, laporan New Straits Times. Menurut Anthony, syarikat tempatan telah menawarkan diri untuk membangunkan sistem e-bidaan untuk kegunaan kementerian tanpa kos.

    Siri nombor plat ‘Malaysia’ – bidaan dibuka 1 Ogos

    “Kami telah bersetuju (untuk sistem tersebut), namun masih menanti kelulusan daripada kementerian,” ujarnya, sambil menambah jika ia berjaya, kementerian juga akan menggunakan sistem e-bidaan tersebut untuk plat nombor pendaftaran kenderaan biasa. Katanya lagi, kerajaan mensasarkan untuk memulakan sistem e-bidaan itu pada Januari tahun hadapan.

    Loke berkata lagi, sistem e-bidaan ini akan membuatkan proses menjadi lebih mudah untuk para pembida. “Di bawah sistem konvensional (untuk bidaan nombor plat khas) sedia ada, pemohon perlu membayar 50% melalui draf bank. Jika pembida tidak memenangi bidaan tersebit, proses untuk mengembalikan deposit akan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.”

    Sistem baharu ini akan melibatkan pengeluaran sifar sehinggalah bidaan berjaya. “Dengan sistem ini, semua urusan secara dalam talian menerusi kad kredit. Jika pembida tidak berjaya, beliau tidak perlu membayar apa-apa,” jelasnya.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

    PANDU UJI: Mercedes-AMG C43 – model sedan sport wasatiyyah dengan status jentera AMG yang sebenar

    Kenapa sejak dari dulu Mercedes-Benz menjadi pilihan ‘taukeh-taukeh’ besar sebagai kenderaan harian mereka? Ramai yang beranggapan ia adalah faktor prestij jenama itu sendiri, tetapi bagi mereka yang pernah memandu Mercedes-Benz dan terkena ‘panahan asmara’, pasti faham kenapa Merc mempunyai tempat istimewa berbanding jenama mewah lain.

    Berbanding BMW yang lebih menumpukan pada aspek sheer driving pleasure, Mercedes-Benz sentiasa unggul dalam memberikan pengalaman premium di dalam kabin. Anda bukan sahaja akan berasa mewah dengan setiap pandangan dan sentuhan pada material komponen-komponen dalam ruang dalaman, malah enjin, kotak gear dan suspensi Mercedes-Benz memberikan keselesaan dalam kelas yang cukup tinggi.

    Mungkin ramai yang beranggapan Merc telah berubah setelah rekaan model-model terbaharunya mula dilihat kearah untuk menambat hati golongan lebih muda, namun sebenarnya karekter asas setiap model-model berkenaan masih kekal dengan DNA jenama tersebut. Anda mungkin melihat model E 300 Coupe sebagai sebuah model sport, namun bagi saya sendiri, penghantaran kuasa pada model seksi dua pintu tersebut masih lagi jinak dan tidak cukup agresif, walaupun hanya dibandingkan dengan sedan keluarga empat pintu Volvo S60 T6.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Harga RON 97 bagi 28 Jun hingga 4 Julai – turun 9 sen

    Harga RON 97 bagi 28 Jun hingga 4 Julai – turun 9 sen

    Bagi minggu pertama Julai, harga petrol RON 97 yang diapungkan akan dijual pada harga RM2.50 seliter. Harga ini mencatatkan penurunan sebanyak 9 sen berbanding minggu lalu.

    Seperti yang kita sedia maklum, harga yang bagi RON 95 pula dikekalkan pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M pula adalah RM2.18 seliter (diesel Euro 5 dijual lebih 10 sen daripada diesel Euro 2M seperti biasa).

    Menurut menteri kewangan, pada kadar ini, kerajaan menggunakan subsidi sebanyak 33 sen setiap liter bagi petrol RON 95 dan diesel berkenaan.

     
     
  • MITI naikkan minimum had umur AP kereta klasik ke 35 tahun – garis panduan baharu mulai 1 Julai 2018

    MITI naikkan minimum had umur AP kereta klasik ke 35 tahun – garis panduan baharu mulai 1 Julai 2018

    Kerajaan telah mengumumkan mulai 1 Julai 2018, garis panduan baharu bagi pemohonan yang melibatkan kenderaan klasik yag diimport ke negara ini akan dilaksanakan. Kenyataan yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi laman web rasminya, garis panduan ini dilihat telah meningkatkan keperluan usia kenderaan bagi lesen import (AP, atau approved permit) kereta klasik.

    Buat masa ini, keperluan usia bagi kenderaan berkenaan adalah 25 tahun dan ke atas, tetapi ia telah ditingkatkan menjadi 35 tahun dan ke atas mulai bulan hadapan. Usia kenderaan tersebut adalah berdasarkan tahun pembuatannya, iaitu melibatkan kereta yang dibuat pada tahun 1983 dan sebelumnya.

    Garis panduan yang sedia ada untuk AP kenderaan vintaj, yang menyatakan bahawa kenderaan yang dimaksudkan harus berusia 50 tahun ke atas, tetap tidak berubah. Memandangkan sebelum ini, kenderaan mesti disahkan sebagai klasik atau vintaj oleh badan yang diiktiraf dari negara pengeksport, untuk mengelakkan penipuan.

    MITI naikkan minimum had umur AP kereta klasik ke 35 tahun – garis panduan baharu mulai 1 Julai 2018

    Peraturan baharu ini akan memberikan kesan terhadap pengimport dan pengumpul kereta klasik. Mesej-mesej dari pengimport telah bersebaran iaitu mengenai penambahan had usia ini, yang akan menghapuskan keseluruhan model ikonik JDM – untuk meletakkan 10 tahun tambahan ke dalam perspektif, contohnya Mazda MX-5 generasi pertama tidak layak untuk diimport menerusi AP kereta klasik dalam tempoh enam tahun akan datang.

    29 Jun adalah tarikh terakhir bagi MITI menerima permohonan bagi garis panduan lama. Semakan ini walau bagaimana pun tidak memberikan impak terhadap AP terbuka.

     
     
  • Audi A4 B9 facelift cuma tampilkan kelainan kosmetik

    Audi A4 B9 <em>facelift</em> cuma tampilkan kelainan kosmetik

    Static photo
    Colour: misano red

    Audi A4 B9 kini diberikan kemaskini atau facelift, tiga tahun selepas membuat penampilan pertamanya. Bagaimanapun, tidak seperti BMW 3 Series F30 dan Mercedes-Benz C-Class W205 yang menerima naik taraf teknologi dan sisten janaan kuasa sebelum ini, kemaskini pada pesaing dari Audi ini hanya diberi pembaharuan dari aspek kosmetik sahaja.

    Luarannya kini diberikan rekaan bampar depan baru dengan bahagian masukan udara kemasan krom hiasan. Varian S-Line pula hadir dengan rekaan lebih sporty pada bahagian yang sama ini. Gril bingkai tunggal yang ada juga adalah rekaan baru, dengan jalur lintang tiga dimensi pada varian S-Line.

    Di belakang, varian S-Line tidak lagi menggunakan ekzos berkembar bulat; ia kini digantikan dengan bukaan trapezoid yang disekalikan pada bahagian bampar. Turut ditawarkan ialah pakej “competition” bagi S-Line yang lengkap dengan bilah bampar depan dan kemasan sisi dalam warna Selenite Grey, logo hiasan pada pintu belakang serta spoiler RS yang lebih agresif pada versi wagon Avant. Rim pula direka semula dari 16-inci kepada 19-inci.

    Audi A4 B9 <em>facelift</em> cuma tampilkan kelainan kosmetik

    Static photo
    Colour: ascari blue

    Di ruang dalam, varian S-Line Competition menerima kemasan gentian karbon, stereng tiga jejari dengan butang pelbagai fungsi dan tempat duduk kulit hitam. Tempat duduk pagi varian S Sport pula boleh dipilih warnanya, seperti Magma Red. Ciri standard lain adalah seperti rim aloi Audi Sport 19-inci, brek kaliper merah, suspensi sport dan lampu utama LED.

    Tiada perubahan lain yang dinyatakan. Untuk itu, enjin yang digunakan adalah sama seperti sebelumnya – 1.4 dan 2.0 liter turbocas petrol serta 2.0 liter turbodiesel yang digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau transmisi klac berkembar S-tronic tujuh-kelajuan. Sistem pacuan semua roda Quattro juga dijangka akan terus ditawarkan sebagai pilihan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025