BMW Z4 Concept akhirnya dipertontonkan secara rasmi buat pertama kali di acara Concours d’Elegance di Pebble Beach, dan ia memberi gambaran kepada rupa model Z4 generasi seterusnya. Sekiranya benar penggayaan model konsep ini akan digunakan pada Z4 baru – prototaipnya sudah dijumpai waktu ujian – ia pasti akan menjadi sebuah kereta yang cukup menarik.
Bagi model konsep ini, ia membawa rekaan klasik sebuah roadster, dengan jarak roda yang panjang dan garisan badan yang menghasilkan visual sebuah kereta yang rendah, tetapi turut membawa gaya rekaan baru seperti yang pernah dilihat pada 8 Series Concept.
Rim yang digunakan pula adalah bersaiz 20 inci, dengan rekaan lima cabang, manakala badannya dicat dengan warna Energetic Orange, yang dikatakan oleh BMW sebagai membantu banyak untuk menonjolkan garis badan kenderaan ini secara tiga dimensi. Bahagian dalam pula menggunakan rekaan yang fokus kepada pemandu, dengan panel instrumen dan paparan informasi tengah diletakkan berhampiran sehingga menampakkan ia seperti satu unit yang bersepadu.
Satu perkara unik pada model konsep ini adalah kemasan bahagian dalamnya dibahagikan kepada dua warna utama. Bahagian Sekeliling bahagian pemandu kebanyakannya menggunakan warna hitam, manakala bahagian penumpang pula berwarna coklat. Perbezaan warna ini dilakukan termasuk pada bahagian tempat duduk dan panel pintu.
Seperti yang pernah dilaporkan, Z4 generasi seterusnya sedang dibangunkan oleh BMW bersama Toyota, dan pengeluar Jepun berkenaan akan menggunakan asas kereta yang sama untuk model Supra. Laporan sebelum ini menyatakan platform dan bahagian utamanya adalah sama, tetapi enjin dan sistem pacuannya boleh jadi berbeza. Turut dinyatakan, BMW mahu ia mempunyai bumbung yang boleh dibuka manakala Toyota mahu menjadikannya sebuah coupe.
Masih belum ada kenyataan rasmi menyatakan enjin yang akan diguna tetapi jangkaannya adalah unit turbo empat dan enam silinder, dan akan diikuti dengan varian tertinggi hibrid. Z4 generasi baru ini dijangka masuk ke pasaran pada tahun hadapan.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyarankan agar pesalah trafik membayar saman Sistem Penguatkuasaan Automotik (AES) yang diterima selepas 15 April 2017 secepat mungkin, atau dikenakan tindakan mahkamah. Di mana pemandu yang menerima saman AES sebelum 15 April, adalah sebelum pelaksanaan Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara), yang akan dikenakan levi.
Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron, pemandu yang gagal menyelesaikan saman AES sebanyak RM150 boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000 jika kes mereka dibawa ke mahkamah, laporan News Strait Times.
“Levi yang dikenakan kerajaan (tanpa diambil tindakan mahkamah) hanya boleh digunakan oleh mereka yang menerima saman AES sebelum 15 April tahun ini. Justeru, mereka yang menerima saman selepas tarikh itu perlu membayarnya secepat mungkin. Kami tidak akan teragak-agak untuk membawa mereka ke mahkamah jika gagal berbuat demikian,” ujar Nadzri memberitahu pemberita hari ini.
AWAS dan Kejara yang mula dilaksanakan sejak 15 April lalu adalah bagi mengurangkan kemalangan jalan raya yang disebabkan pengguna yang memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah.
Buat masa ini, sebanyak 21 kamera AES telah ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negara dan lebih banyak kamera lagi akan dipasang di tempat berisiko kemalangan, ujar Nazdri.
Walau bagaimana pun, beliau enggan mengulas lebih lanjut pertambahan kamera had laju itu.
“Tujuan kami adalah untuk mendidik orang ramai agar pentingnya etika pemanduan yang berhemah,” katanya yang menolak dakwaan yang disebarkan menerusi media sosial bahawa JPJ menggunakan AES untuk “membuat duit”.
Sambungnya lagi, “Dan dakwaan kami memasang kamera AES di plaza tol juga adalah tidak benar sama sekali. Kamera AES hanya dipasang di kawasan ‘hotspot’. Imej yang dirakam sama ada bahagian hadapan atau belakang kenderaan anda. Kami hanya mahu melihat nombor pendaftaran kereta anda.”
Pada masa yang sama, Nadzri menasihati orang ramai agar sentiasa peka dengan papan tanda AES, yang ditempatkan di antara 50 hingga 500 meter dari lokasi kamera.
Beliau turut berkata JPJ akan melancarkan aplikasi dalam talian tidak lama lagi, jadi orang ramai boleh menyemak status saman mereka dengan lebih mudah.
Setelah dilancarkan pada bulan lalu, unit pertama Honda City Sport Hybrid i-DCD yang dipasang di Kilang Honda Melaka kini telahpun dihantar ke pelanggan pertama. Unit berkenaan diterima oleh Encik Wilson Wong dan penyerahan tersebut diraikan oleh Honda Malaysia di pengedarnya, Tenaga Setia Resources, Petaling Jaya.
Sebagai penerima pertama City Hybrid berkenaan, En. Wong turut menerima pakej aksesori Modulo untuk keretanya yang bernilai RM5,070 serta tiket masuk ke Litar Antarabangsa Sepang untuk perlumbaan Formula 1 Petronas Malaysian Grand Prix 2017 yang akan berlangsung Oktober nanti.
“Saya mencari kereta yang mesra-keluarga dalam masa yang sama menawarkan prestasi pemanduan yang sporty. Saya sangat teruja apabila mendapat tahu Honda Malaysia memperkenalkan City Hybrid baharu di Malaysia dan model ini sesuai dengan keperluan saya iaitu model dengan ruang yang luas bersama sistem keselamatan yang baik, dan cekap bahan api serta sesuai untuk kegunaan harian. Selepas memandu uji, saya lebih kagum dengan teknologi terkini pada model ini dan ia turut memberikan prestasi bertenaga dan pemanduan yang sporty. Saya sangat gembira dengan kereta baharu saya dan servis yang diberikan oleh pengedar,” kata Wilson Wong.
Sama seperti Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD, Malaysia merupakan satu-satunya pasaran di dunia yang menerima City Hybrid ini selain Jepun (dikenali sebagai Grace Hybrid untuk versi JDM).
Model ini dijual pada harga RM89,200 dan diberikan kelengkapan setara dengan City versi petrol varian pertengahan iaitu gred E. Ini meletakkan versi hibrid tersebut dijual pada harga RM4,600 lebih mahal dari City E (RM84,600) tetapi RM2,800 lebih murah berbanding varian tertinggi City V (RM92,000).
City Hybrid ini dikuasakan unit janakuasa yang sama dengan Jazz Hybrid iaitu dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan kuasa akhir 137 PS/170 Nm. Menurut Honda, sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) ini menghasilkan prestasi sama seperti enjin 1.8 liter NA biasa (Civic 1.8 hanya menghasilkan lebih 4 PS/4 Nm), dan menggunakan kurang bahan api – 4.0 liter bagi setiap 100 km untuk Jazz Hybrid dan 3.9 liter setiap 100 km untuk City Hybrid.
Selain itu, Honda Malaysia kini turut menjalankan kempen “T3ST DRIV3 R3WARDS” yang bermula 18 hingga 31 Ogos ini sebagai meraikan pelancaran Honda CR-V generasi baharu serta penghantaran City dan Jazz Hybrid pada pasaran Malaysia. Menerusi kempen ini, anda berpeluang untuk merebut hadiah cabutan bertuah berupa baucar tunai bernilai RM300 setiap satu yang disediakan untuk 300 orang pemenang. Kunjungi mana-mana 91 pengedar Honda anda yang terdekat untuk maklumat lanjut.
Imejnya kelihatan seperti kereta konsep, tapi hakikatnya inilah gaya yang serba futuristik dan sofistikated yang ditampilkan pada Lexus LC 500 yang dilancarkan di Malaysia pada akhir Julai lalu. Harganya memang cukup tinggi iaitu bermula RM940,000, namun pasti ada yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkannya.
Peluang terbuka khas untuk anda yang ingin mendekatinya, bermula hujung minggu ini, Lexus Malaysia bakal membawa LC 500 ini menjelajah ke seluruh Malaysia dan bakal berkunjung ke lima bilik pameran terpilih. Senarai lokasi dan tarikhnya adalah seperti berikut:
Lexus Johor Bahru – 20 Ogos
Lexus Melaka – 26-27 Ogos
Lexus Ipoh – 3 September
Lexus Penang – 10 September
Lexus Kuching – 1 Oktober
Didedahkan buat pertama kali dalam pertunjukan automotif Detroit pada tahun lalu, LC 500 ini adalah coupe mewah bagi versi produksi yang mengikut model konsep LF-LC yang menampilkan imej penuh futuristik.
LC 500 ditampilkan dengan enjin 2UR-625 V8 5.0 liter, bersama hamburan kuasa 471 hp dan 540 Nm yang disalurkan kepada roda belakang melalui kotak gear automatik Direct Shift 10-kelajuan. Melalui padanan ini, LC 500 boleh memecut dari keadaan pegun ke 100 km/j di bawah 4.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 270 km/j.
Merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari kilang pemasangan Lexus di Motomachi, Jepun, Lexus LC 500 turut dilengkapi ciri keselamatan standard, termasuk Lexus Safety System+ serba lengkap, Sistem Pra-perlanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki, Bantuan Brek Pra-Pelanggaran, Kawalan Kelajuan Radar Dinamik Semua-Kelajuan, Kepekaan Ketibaan Lorong dengan Bantuan Stereng dan Lampu Tinggi Pintar.
Bagi mereka yang mengikuti perlumbaan Formula 1 pada era akhir 90’an dan awal era Y2k, perseteruan antara Scuderia Ferrari Marlboro dan West McLaren Mercedes tentunya masih lagi diingati, khususnya pertembungan epik antara dua pemandu utama mereka iaitu Micheal Schumacher dan Mika Hakkinen.
Tetapi subjek hari ini bukan berkenaan nama-nama yang disebutkan tadi, tetapi side-kick yang membolehkan Schumacher bergelar juara dunia dan Ferrari dinobatkan juara pengeluar lima tahun berturut-turut (2000-2004) iaitu Rubens Barrichello.
Barrichello masih lagi berlumba buat masa ini tetapi bukan lagi dalam dunia single-seater, sebaliknya beliau kini memandu dalam perlumbaan bercorak Touring Car iaitu Brazilian V8 Stock Car. Dalam video berbahasa Brazil di atas, Barrichello mendemonstrasikan jentera yang dipandunya pada perlumbaan berkenaan – Chevrolet Cruze V8 Stock Car dengan enjin V8 6.8L berkuasa 435 hp/530 Nm – di litar Velo Cittá, Sau Paulo, Brazil.
Selepas dirinya membuat catatan lap terpantas, anak lelakinya iaitu Eduardo Barrichello yang baharu sahaja berusia 15 tahun turut memandu jentera tersebut. Eduardo kemudiannya membawa bapanya di tempat duduk penumpang dan ‘membelasah’ semula kereta berkenaan di litar – di sini babak sebak bermula.
Walaupun tidak faham apa yang dituturkan, melihat Rubinho menangis kerana bangga dengan kebolehan anaknya memandu disulami bunyi V8 mengaum bersama desiran kotak gear dog-box sequential pasti memberikan emosi kepada penonton – silap-silap mata tiba-tiba boleh masuk habuk.
Rubens Barrichello bersara dari Formula 1 pada tahun 2011. Sepanjang kariernya di dalam F1, beliau dinamakan sebagai pelumba paling berpengalaman sepanjang zaman dengan perlumbaan GP terbanyak iaitu 322 perlumbaan. Ketika di Ferrari, beliau menjalankan tugas sebagai pelumba kedua dengan baik – menjayakan pelbagai strategi licik pasukan membawa kepada kejayaan Schumacher dan Ferrari, dan beliau sendiri mendapat naib juara untuk musim 2002 dan 2004, serta tempat ketiga pada 2001.
BMW Z4 Concept direncanakan untuk membuat penampilan sulung ketika acara Concours d’Elegance di Pebble Beach, tetapi gambar penuh rasmi roadster berkenaan terlebih dahulu bocor diinternet, melalui laman Bimmerfile.
Kereta berkenaan menampilkan unsur rekaan baru yang pernah ditunjukkan pada kajian bagi Concept 8 Series, dengan garis luaran dalam bentuk yang hampir serupa. Antara unsur yang dipinjam ialah bonet yang lebih pendek, meletakkan pemandu lebih dekat dibahagian tengah kenderaan berbanding pada Z4 versi E85 dan E89 sebelum ini.
Model konsep ini, yang menggunakan rim 20-inci lima jejari, dipadankan dengan warna luaran Energetic Orange yang dibuat khas untuk menyerlahkan lagi garis serta potongan badannya. Ia dengan jelas merupakan semacam pra-tonton bagi Z4 generasi seterusnya, yang dibangunkan kini bersama Toyota. Syarikat Jepun itu juga akan memiliki kereta sendiri hasil daripada kerjasama ini – model Supra baru.
Laporan menyatakan kedua-dua kereta itu nanti akan menggunakan platform yang sama, begitu juga dengan elemen lain seperti kedudukan suspensi, tetapi akan menggunakan sistem janaan dari pengeluar masing-masing. Ura-ura juga menyatakan bagi model BWM itu, ia hanya akan ditawarkan dalam versi bumbung boleh diturunkan, sementara bagi Toyota pula sebuah model coupe. Versi produksi model pengganti bagi E89 dijangka mula dijual tahun depan.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan waktu perkhidmatan tren komuter akan dilanjutkan sempena berlangsungnya acara perasmian dan penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017 pada Sabtu ini dan 30 Ogos di Stadium Nasional Bukit Jalil, laporan Bernama.
Menurut kenyataan KTMB, perkhidmatan tren tambahan itu bagi menampung keperluan selepas tengah malam membabitkan empat laluan dengan bertujuan memudahkan orang ramai hadir menyaksikan acara itu.
Empat laluan itu bakal bermula di Bandar Tasik Selatan melalui Serdang sehingga Batu Caves melibatkan tren tambahan pada pukul 12.37 pagi, Bandar Tasik Selatan laluan Putra-Seremban (1.20 pagi), KL Sentral laluan KL Sentral-Rawang (1.30 pagi) dan KL Sentral laluan Putra-Pelabuhan Klang(1.44 pagi).
Tren tambahan akan disediakan ke empat laluan, dengan satu perkhidmatan tren untuk setiap laluan selepas jadual waktu akhir tamat. Manakala, enam buah stesen sahaja yang beroperasi untuk penjualan token perjalanan iaitu di stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Sungai Buloh dan Subang Jaya.
KTMB juga meminta orang ramai yang menggunakan perkhidmatan komuter untuk berkunjung ke stadium, membuat pertukaran tren di stesen KTM Bandar Tasik Selatan sebelum menyambung perjalanan dengan menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).
Menurut KTMB lagi, bagi memastikan kelancaran serta menggelakkan kaunter tiket sesak, orang ramai juga digalakkan supaya menggunakan kad Komuter Link atau Touch ‘n Go.
Selain itu, KTMB juga memaklumkan bahawa bermula semalam hingga 16 September ini, orang ramai boleh mendapatkan kad Komuter Link secara percuma dan hanya perlu membuat tambah nilai bermula RM5 untuk mengaktifkan kad di semua kaunter tiket perkhidmatan KTM Komuter.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-22671200 atau melayari sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau twitter @ktm_berhad.
Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) kini telah memperkenalkan protokol baharu untuk ujian keselamatannya yang akan digunakan bermula tahun ini hingga 2020. Protokol baharu berkenaan kini lebih ketat dan menggunakan skema penarafan tunggal, berbanding protokol yang digunakan dari 2012 hingga 2016 yang menggunakan dua penarafan berbeza iaitu perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan juga perlindungan kanak-kanak (COP). Ujian pertama protokol baharu ini dimulakan dengan Honda CR-V 2017, dan SUV berkenaan berjaya memperolehi penarafan penuh lima-bintang.
Ujian pertama ini dilakukan pada Julai lalu di makmal ujian Institut Penyelidikan Automobil Jepun (JARI) – berat CR-V baharu ini bersama patung-patung ujian hampir kepada dua tan, tidak sesuai untuk menggunakan makmal tempatan. Selain dari AOP (mewakili 50%) dan COP (mewakili 25%), ujian baharu ini turut mengambil kira Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT) yang mewakili 25% markah bagi dijumlahkan sebagai markah akhir keseluruhan dan menentukan jumlah bintang yang akan diperolehi.
Bagi ujian yang dijalankan pada CR-V ini, ia menerima 47.25 markah untuk AOP, 22.84 markah untuk COP, manakala SAT pula diberikan 18.71 markah membolehkan ia menerima markah akhir 88.80 sekaligus layak menerima penarafan lima-bintang.
Perincian markah untuk setiap aspek adalah seperti berikut; Bagi AOP, CR-V menerima markah pelanggaran hadapan 14.76 dari 16 markah penuh, manakala untuk perlindungan sisi pula SUV ini berjaya meraih 16 markah penuh. Dengan perlindungan yang diberikan oleh beg udara tirai, Honda CR-V turut menerima markah 3.26 markah dari 4 markah penuh untuk Teknologi Perlindungan Kepala (HPT). Jumlah keseluruhan adalah 34.02 markah dari 36 markah penuh, mewakili 47.25% dari 50% keseluruhan.
Untuk COP pula, CR-V menerima 15.65 markah dari 16 markah penuh untuk pelanggaran hadapan, 8 markah penuh untuk pelanggaran sisi, 11.11 markah dari 12 markah penuh untuk aspek kemudahan memasang tempat duduk kanak-kanak, dan 10 markah dari 13 markah penuh untuk penilaian asas kenderaan bagi pemasangan. Jumlah keseluruhan markah adalah 44.78 dari 49 markah penuh, mewakili 22.84% dari 25% keseluruhan.
Berbeza pada protokol terdahulu, ASEAN NCAP menetapkan sistem kawalan kestabilan elektronik dan amaran pemakaian tali pinggang hadapan wajib untuk sesebuah kenderaan itu mendapat penarafan lima-bintang. Untuk protokol baharu ini, kedua-dua syarat berkenaan diletakkan di bawah SAT dengan lebih banyak lagi kriteria ditetapkan untuk mendapatkan markah tinggi, dan ia akan menjejaskan markah keseluruhan jika bahagian ini dipandang enteng.
ASEAN NCAP juga menjadi NCAP rantau pertama yang mementingkan sistem Pemantau Titik Buta (BLIS) sebagai kriteria penting bagi mendapatkan markah tinggi dalam ujian, memandangkan jalan raya di ASEAN mempunyai jumlah motosikal (terutamanya kapcai dan skuter yang bersaiz kecil) yang seringkali terlibat dalam kemalangan kerana kehadiran mereka tidak disedari pemandu kenderaan yang lebih besar.
Jadi untuk bahagian SAT ini, CR-V meraih 13.47 markah dari 18 markah penuh mewakili 18.71% dari 25% jumlah keseluruhan. Markah berkenaan diperolehi dari lapan markah penuh untuk aspek Keberkesanan Brek dan Pengelakkan (EBA) menerusi teknologi ABS dan VSC (Honda menawarkan sistem ini untuk semua varian di seluruh rantau ASEAN) dan juga tiga markah dari enam markah penuh dengan pemadanan amaran pemakaian tali keledar yang hanya diberikan pada tempat-tempat duduk hadapan.
CR-V turut menerima dua markah penuh dalam aspek SAT terkini kerana ia dipadankan dengan fungsi-fungsi dari Honda Sensing seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, bantuan kekal lorong dan pemantau perhatian pemandu. Markah 0.47 markah selebihnya diterima dari sistem Pemantau Titik Buta yang mana aspek ini mewakili dua markah penuh – sistem LaneWatch CR-V ini hanya memantau titik buta sebelah kiri manakala piawaian dari ASEAN NCAP menetapkan pemantauan untuk kedua-dua sisi perlu untuk mendapatkan markah tinggi.
Ujian yang dijalankan berkenaan menggunakan model 2.4 EL dari pasaran Thailand. Relevannya model berkenaan pada pasaran Malaysia ialah ia menggunakan kerangka badan dengan struktur yang sama dan kesemua varian menerima kelengkapan standard dengan enam-beg udara, ABS, VSC serta pra-tegang dan amaran pemakaian pada tali keledar hadapan.
Bonus untuk pasaran Malaysia, CR-V varian tertinggi 1.5 Turbo Premium 2WD yang dipasang di Melaka turut menerima sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari sistem keselamatan Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM) serta sistem cruise control adaptif bersama Low Speed Follow (LSF).
“Kami gembira dengan keputusan terbaharu ASEAN NCAP menggunakan penarafan baharu yang dikeluarkan untuk Honda CR-V menerima keputusan lima-bintang dalam markah keseluruhan. Ini menunjukkan bahawa pengeluar-pengeluar berdedikasi dalam menghasilkan kereta yang lebih selamat untuk rantau ASEAN setara dengan protokol keselamatan baharu kami. Tambahan lagi, keputusan Honda CR-V ini akan menjadi pemangkin untuk jenama lain bagi menghasilkan kereta lain yang lebih selamat untuk rantau ini. Walaupun Honda Sensing setakat ini hanya ditawarkan kepada varian tertinggi, kami memandang kehadapan untuk melihat ia akan ditawarkan secara standard untuk semua varian pada masa hadapan,” kata pengerusi ASEAN NCAP, Prof. Dr. Wong Shaw Voon.
Setiausaha agung ASEAN NCAP, Dr. Khairil Anwar Abu Kasim pula berkata, “tahap keselamatan Honda CR-V adalah konsisten dengan model yang dihasilkan untuk rantau lain. Ia jelas setelah kami membuat perbandingan dengan ujian NCAP lain, contohnya Euro NCAP dan Australasian NCAP. Dengan penarafan lima-bintang CR-V baharu, Honda benar-benar komited terhadap konsep keselamatan globalnya iaitu ‘Keselamatan untuk Semua'”.
Kebanyakan pengeluar kenderaan kini nampaknya menumpukan perhatian untuk membangunkan teknologi elektrik sebagai persediaan menghadapi pasaran di masa akan datang. Ini termasuk Toyota, sebuah syarikat yang sebelum ini fokus terhadap teknologi hibrid serta teknologi bahan api hidrogen untuk masa depan turut mengalih perhatian terhadap teknologi elektrik.
Sebuah lagi syarikat dengan tumpuan terhadap teknologi fuel-cell, Hyundai, kini juga mengikut langkah yang sama – syarikat itu juga beralih tumpuan untuk membangunkan kenderaan EV. Bagi menjawab keprihatinan pelabur tentang kekurangan persaingan dalam konteks itu yang ditunjukkan, Hyundai memaklumkan bakal memperkenal model EV dengan jarak elektrik sepenuhnya 500 km sekali cas sekitar tahun 2021 kelak, lapor Reuters.
Hyundai bersama-sama Kia juga merancang untuk memperkenalkan 31 buah model mesra alam menjelang 2020. Antara model baru yang terlubat ialah tiga model kenderaan plug-in hybrid, lapan model EV sepenuhnya serta dua kenderaan fuel-cell.
Namun, usaha yang telah diletakkan untuk pembangunan kenderaan fuel-cell hidrogen elektriknya tidak sia-sia. Hyundai telah mempamerkan versi yang hampir lengkap SUV FCEV sifar pembebasan asap dengan jarak perjalanan lebih daripada 800 km setiap cas penuh.
Selain itu, SUV kompak Kona versi EV juga akan diperkenalkan pada separuh pertama 2018, dengan keupayaan jarak mod elektrik 380 km. Ini jauh lebih baik daripada model kuasa bateri pertama untuk pasaran meluas syarikat itu, Hyundai Ioniq Electric yang hadir dengan jarak 169 km sahaja.
Bagi model baru EV itu nanti, Hyundai juga mengesahkan akan membangunkan sebuah platform khas bagi kenderaan elektrik, yang akan membenarkan syarikat itu mengeluarkan beberapa model dengan jarak pemanduan yang lebih jauh bagi setiap cas penuh.
Awal minggu ini, dilaporkan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) akan dibeli oleh pengeluar automotif terkemuka China, Geely. Walau bagaimana pun, pengarah eksekutif Geely Gui Shengyue memberitahu Reuters bahawa Geely “tidak mempunyai sebarang perancangan untuk itu buat masa ini,” bagi menangkis segala spekulasi.
Seperti yang diketahui, Geely yang baru-baru ini telah menandatangani perjanjian sebagai rakan strategik asing Proton, ingin memberikan tumpuan memgembalikan keuntungan. Sementara bagi Lotus, Geely menyasarkan untuk meluaskan lagi pengeluaran model tersebut menjangkau ke seluruh pasaran global.
Walau bagaimana pun, Geely tidak sepenuhnya menolak idea bagi pembelian FCA, namun begitu, “adalah menjadi satu langkah yang lebih baik bagi pengeluar kenderaan lain untuk lebih pantas dalam pembangunan mereka,” ujar Gui Shengyue. Great Wall Motors dan Guangzhou Automobile Group antara yang mempertimbangkan untuk membeli FCA, tetapi tidak dipastikan adalah pembelian secara penuh atau sebahagian daripada asetnya sahaja.
Sebelum ini, CEO FCA Sergio Marchionne dikatakan mencari rakan kerjasama atau pembeli yang membolehkan syarikat tersebut menguruskan kos yang meningkat bagi pematuhan pengeluaran emisi, dan membangunkan pacuan elektrik serta teknologi pemanduan sendiri.
Continental terus mengembangkan portfolio mereka dalam industri kenderaan elektrik apabila memperkenalkan teknologi baru dalam bentuk roda dan brek untuk kenderaan jenis tersebut. Rim ini dibina daripada dua bahagian aluminium (AI) – satu pada bahagian dalam bersama cakera brek dan satu lagi bahagian bibir yang melekap pada tayar.
Berbeza dengan brek serta rim kenderaan biasa, teknologi baru yang digunakan oleh Continental ini melibatkan angkup yang ‘menggigit’ cakera dari dalam sekaligus membenarkan penggunaan cakera yang lebih besar. Cakera tersebut kemudiannya diskru pada bahagian tengah rim, yang boleh dicabut daripada bibirnya.
Hasil daripada penggunaan bahan aluminium serba ringan dan kuat, konsep roda baru ini juga dapat mengurangkan berat rim dan brek pada kenderaan elektrik. Selain itu, ia juga membenarkan penukaran pad brek serta rim yang lebih mudah, kerana cakera tersebut tidak akan terjejas akibat penggunaan. Perkara ini dapat dibuktikan oleh Continental sewaktu ujian dan cengkaman brek hanya memberi kesan pengurangan kepada pad brek.
“Pemandu mahukan kesan brek konsisten yang boleh dipercayai – dan karat yang terlalu banyak pada cakera brek biasa boleh menjadikan perkara ini sukar. Cakera baru kami ini adalah berbeza,” kata ketua bahagian pra pembangunan brek di unit casis dan keselamatan Continental, Paul Linhoff.
Selain semua ini, penggunaan cakera yang lebih besar pada rekaan baru ini juga hanya memerlukan tenaga mengepit yang sedikit sahaja untuk menghasilkan kuasa henti yang lebih cekap dan berprestasi – memandangkan aluminium adalah bahan konduktor haba yang bagus, haba yang terhasil sewaktu membrek pada cakera juga dapat dihilangkan dengan cepat.
Walau pun tidak semua yang dapat menerima kemudahan pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Massa (MRT) yang dilancarkan laluan fasa keduanya baru-baru ini atas beberapa alasan yang tersendiri, namun bagi orang awam yang menghargainya rata-rata berpendapatan MRT memberikan kemudahan pengangkutan yang lebih efisien, malah mampu memberikan penjimatan kos seharian.
Inilah yang didedahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang berkata, MRT mampu mengurangkan kos hidup dalam kalangan rakyat, laporan Bernama.
“Konsep pengangkutan ini setanding dengan yang ada di luar negara dan pelancong yang berminat untuk sekadar bersiar-siar juga boleh melakukannya dengan mudah menerusi MRT,” katanya kepada pemberita hari ini.
Malah beliau yang sempat menaiki MRT menerusi progran ‘Jom Naik MRT’ anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang berlangsung hari ini.
Hamzah berkata dalam perjalanannya itu, beliau berpeluang bertemu dengan sebahagian penumpang dengan kebanyakannya memberi maklum balas positif termasuk berpendapat MRT dapat mengurangkan kos pengangkutan harian mereka.
Hyundai akhirnya mendedahkan kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV) generasi seterusnya di Seoul hari ini. Kenderaan yang berbentuk SUV tersebut dirancang untuk memasuki pasaran awal tahun depan, dan merupakan salah satu rancangan syarikat dari Korea tersebut untuk meningkatkan lagi jumlah kenderaan mesra alam mereka dari 14 menjadi 31 menjelang tahun 2020.
Sumber kuasa pada kenderaan ini menampilkan peningkatan yang jelas, berbanding unit yang digunakan pada Tucson FCEV daripada aspek kecekapan, prestasi, ketahanan serta penyimpanan sistem sel bahan api hidrogen tersebut. Pertamanya, kecekapan sistem tersebut meningkat 60% hasil daripada peningkatan prestasi serta kadar penggunaan hidrogen pada sel bahan api tersebut. Dengan itu, Hyundai mensasarkan jarak pergerakan 580 km dengan kenderaan ini.
Sementara itu, teknologi kawalan tekanan boleh ubah pula membenarkan penghasilan kuasa maksimum sebanyak 163 PS, dan jumlah ini adalah 20% lebih tinggi berbanding sebelum ini. Komponen penting dalam sistem sel bahan api hidrogen, iaitu teknologi pengasingan besi dan pengumpulan elektrod membrane juga disertakan, manakala sistem pengeluaran FCEV dioptimakan, seterusnya mengurangkan kos.
Satu perkara yang cuba diatasi oleh Hyundai pada FCEV adalah memulakan enjin waktu sejuk – model baru ini boleh dihidupkan tanpa masalah pada suhu sehingga -30 darjah Celsius. Hyundai juga berjaya mencapai tahap ketumpatan simpanan hidrogen paling tinggi di dunia dengan mengoptimakan tangki hidrogen, dan mendakwa sel bahan api mereka boleh bertahan untuk lebih 160,000 km dalam masa 10 tahun – sama seperti enjin biasa.
Rekaan kenderaan FCEV baru ini ternyata adalah istimewa dengan adanya lampu hadapan dua tingkat, sama seperti SUV segmen B Kona. Di bahagian atas terdapat lampu siang LED yang disambungkan dengan palang krom, dan dikata mendapat inspirasi daripada garis ufuk. Di tengah pula terdapat gril ‘Cascading’ yang sudah menjadi tanda unik jenama itu.
Bahagian dalam juga mempunyai papan pemuka yang mendatar, manakala konsol tengah diletakkan tinggi bagi menggunakan sepenuhnya ruang yang ada. Untuk paparan informasi dan hiburan, dua skrin rata digunakan dan ia seperti mengingatkan kepada model Mercedes-Benz E- dan C-Class.
Selain kenderaan hidrogen baru ini, Hyundai turut mempunyai perancangan untuk melancarkan 10 model hibrid, 11 model plug-in hybrid dan lapan kenderaan elektrik. Ini termasuk SUV saiz sederhana dan penuh, kereta elektrik berasaskan Kona dengan jarak pergerakan 390 km dan kereta elektrik yang boleh bergerak sehingga 500 km dengan sekali cas. Kenderaan elektrik berasaskan Genesis pula akan didedahkan pada tahun 2021.
Banyak negara dan kota besar dunia kini menunjukkan komitmen terhadap larangan penggunaan kenderaan diesel. Paris, Madrid dan Mexico City merancang untuk melakukannya menjelang 2025. Norway juga ikut serta, dalam jangka waktu yang juga hampir sama. Britain dan Perancis pula meletakkan sasaran tahun 2040 untuk berbuat demikian.
Kini, sebuah lagi negara di Eropah menyatakan minat yang sama; Jerman akan melarang kenderaan diesel, seperti yang dinyatakan oleh Canselor Angela Merkel dan dilaporkan oleh Autocar. Bagaimanapun, masih belum ada penetapan tempoh waktu untuk pelaksanaannya.
Merkel mengulas, langkah Britain untuk melarang penjualan kenderaan baru yang menggunakan enjin petrol dan diesel adalah “tepat”, ketika ditemuramah oleh sebuah majalah Jerman, Superille.
Dengan perkembangan itu, Merkel juga menyatakan adalah sama penting juga untuk mereka melindungi pekerjaan dalam sektor automotif Jerman – yang sebelum ini heboh dengan skandal Dieselgate – yang menggaji seramai 800,000 orang, dan merupakan eksport utama negara itu.
Tambah beliau lagi, menuju ke arah itu, sokongan kerajaan Jerman dalam mempromosi teknologi baru dan pembangunan infrastruktur adalah pemangkin utama bagi peralihan industri automotif kepada sistem janaan elektrik dan alternatif yang lain.
Geely Auto (HK 0175) telah mengeluarkan laporan kewangan separuh tahun pertama yang menunjukkan pertumbuhan hasil yang kukuh pada separuh tahun pertama 2017 dengan hasil mencecah RMB 39.424 bilion. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 118% dari tempoh yang sama pada tahun lalu dan keuntungan mencapai RMB 4.344 bilion, meningkat sebanyak 128% dari tempoh yang sama pada tahun lepas.
Manakala Margin Keuntungan Kasar bagi separuh tahun pertama 2017 adalah 19.2%, peningkatan 8% dari tempoh yang sama tahun lepas. Geely Auto telah menjual sebanyak 530,627 unit kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2017, meningkat 89% dari tempoh yang sama tahun lepas. Pendapatan sesaham (Diluted Earnings per Share, EPS) mencapai 47.68, peningkatan sebanyak 120% dari tempoh yang sama pada tahun lepas.
Kenderaan generasi ketiga Geely Auto (generasi 3.0) telah dilancarkan pada Disember 2014. Rangkaian produk terbaharu telah meningkatkan daya saing syarikat, pendapatan operasi, keuntungan, dan imej jenama. Merujuk kepada misi jenama mereka iaitu “Menghasilkan Kereta yang Diperhalusi untuk Semua”.
Geely Auto telah melancarkan 4 model baharu, Bo Yue SUV, Geely GC9, Emgrand GS, dan Emgrand GL, di mana kesemua model ini telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Antara kenderaan Generasi 3.0, rangkaian SUV milik Geely Auto telah menunjukkan pertumbuhan jualan yang luar biasa pada separuh tahun pertama 2017.
Bo Yue SUV, Emgrand GS, dan Vision SUV telah terjual sebanyak 233,482 unit. SUV terbesar pada masa ini yang dijual oleh Geely, Bo Yue SUV adalah kenderaan yang paling laris dengan jualan mencecah 116,932 unit, peningkatan sebanyak 509% dari tempoh yang sama pada tahun lepas.
Dalam pasaran sedan, Geely Auto telah menjual sebanyak 292,314 unit pada separuh pertama 2017, antaranya 117,718 adalah New Emgrand, 45,486 adalah segmen A+ Emgrand GL, dan 16,404 adalah Geely GC9. Dalam pasaran tenaga baharu pula, Emgrand EV telah terjual sebanyak 7,982 unit pada separuh pertama 2017, menjadikannya salah sebuah model EV paling laris di China. Geely Auto terus mengekalkan keseimbangan antara pembangunan segmen sedan dan SUV, meningkatkan pegangan Geely Auto di pasaran China kepada 5%.
Geely Auto kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan tahunan mereka yang diselaraskan kepada 1.1 juta unit dengan model-model baharu yang telah dilancarkan dan dirancang untuk dilancarkan pada separuh kedua tahun ini. Pada 1 Ogos, model Geely GC9 tahun 2017 telah diperkenalkan ke pasaran domestik China dan tidak lama lagi akan disusuli dengan peringkat kemasukan SUV crossover.
Pada suku keempat tahun 2017, Geely Auto akan melancarkan SUV serba baharu serta produk utama bagi model tahun 2018 seperti New Emgrand, New Vision dan Vision SUV.