Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • AOS 2019: Yamaha Y15ZR GTB superbike – kos terkini cecah RM35k, dapat ‘cop mohor’ Valentino Rossi

    AOS 2019: Yamaha Y15ZR GTB superbike – kos terkini cecah RM35k, dapat ‘cop mohor’ Valentino Rossi

    Bagi kaki-kaki YSuku yang selalu mengikuti perkembangan kolompok yang dikenali sebagai Geng Tayar Besar (GTB), motosikal ini agaknya tidak memerlukan pengenalan panjang. Ini mungkin motosikal “paling popular” dari kelompok berkenaan, dan kerap menjadi tumpuan orang-ramai serta dijadikan rujukan peminat-peminatnya.

    Ketika dipamerkan hujung minggu lalu di acara Art of Speed 2019, pemiliknya, Rudy Norman, 37, sempat berkongsi sedikit sebanyak cerita tentang motosikal ini. “Apa yang saya cuba buat dengan motosikal ni, antaranya ialah guna komponen superbike. Contohnya, swingarm yang diambil dari Kawasaki ZX-6,” jelas Rudy.

    “Fork depan pula saya dapatkan dari aftermarket, tapi kena buat modifikasi bahagian “T” yang diambil dari Yamaha R25. Rim depan ini pun pelik sikit, saya guna saiz 16-inci sebab nak muatkan tayar gemuk saiz 120 yang kena special order. Belakang pula guna rim dari motosikal Aprilia 250 cc dengan tayar saiz 180,” tambah Rudy.

    AOS 2019: Yamaha Y15ZR GTB superbike – kos terkini cecah RM35k, dapat ‘cop mohor’ Valentino Rossi

    Menurut beliau lagi, perkara yang paling sukar dilakukan ialah untuk pasang swingarm superbike ke badan kapcai. “Antaranya saya kena potong dan kimpal balik untuk buat tapak bagi suspensi monoshock yang digunakan,” tambahnya. Sebuah fuel regulator pula jelas kelihatan tak jauh dari pelana. Rudy menambah; “Sebabnya, sekarang saya guna dua penyuntik bahan api, satu yang biasa dan satu lagi ketika rpm tinggi, dan regulator yang ada ini untuk saya pantau tekanannya.”

    Sejak dua tahun lalu membeli dan mula mengubahsuai motosikal ini, ia telah berubah daripada sebuah motosikal yang harga asalnya sekitar RM8,000 kepada sebuah “Monster” yang setakat ini telah menelan belanja sekitar RM35,600 untuk segala modifikasi yang telah dilakukan ini.

    “Seminggu selepas beli dulu, saya dah mula ubahsuai. Waktu itu, banyak kekalkan komponen asal. Tapi, bila nak dapatkan lebih prestasi, banyak bendalah nak kena tukar,” jelas Rudy. Ubahsuai terbaru yang dilakukan terhadap “kapcai-superbike” ini ialah dengan melibatkan penukaran dry clutch yang menelan kos sekitar RM2,000 serta sistem ekzos carbon fibre dengan belanja sekitar RM3,600.

    Apa yang membuatkan Rudy tergerak untuk membuat ubahsuai yang menelan kos tinggi ini? “Senang cerita, kiranya saya terjebak dan tersangkutlah dengan modifikasi YSuku ini,” jelasnya sambil diiringi ketawa. Tetapi, seperti kebiasaan mereka yang terjebak sama dalam hobi seperti ini, kepuasan adalah balasannya, walaupun susah untuk dijelaskan kepada orang lain.

    Namun, bagi Rudi, ada satu lagi perkara yang sukar digambarkan dengan kata-kata berlaku ke atas motosikalnya. “Saya sempat bawa motosikal ini untuk berjumpa Valentino Rossi, dan beliau ada turunkan tandatangan pada motosikal ini,” ujarnya, menunjuk pada satu bahagian pada coverset depan, sedikit di bawah lampu utama.

    “Sekali dah mula, susah nak berhenti. Tapi rasanya lepas ini macam dah tak ada apa lagi yang nak dibuat. Rasa nak berhenti pun ada, sebab dah banyak sangat belanjakan duit,” katanya lagi sambil ketawa besar. Tetapi, disebabkan minat ini juga, beliau turut menawarkan khidmat ubahsuai secara kecil-kecilan kepada mereka yang berminat untuk melalukan ubahsuai yang sama terhadap motosikal. Anda sanggup berhabis duit untuk buat modifikasi motosikal seperti ini?

     
     
  • Grab akan bayar balik lebihan komisen yang diambil

    Grab akan bayar balik lebihan komisen yang diambil

    Grab memaklumkan syarikat itu akan membuat bayaran balik kepada pemandu-pemandunya bagi mana-mana lebihan komisen yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini. Sebilangan pemandu Grab memprotes dan menyatakan bahawa syarikat itu sebelum ini telah mengambil lebih daripada 20% komisen daripada mereka, yang merupakan angka maksimum potongan tambang yang boleh diambil oleh Grab, lapor The Star.

    Sejumlah lebihan bayaran sekitar 5% dikenakan – selain peratusan komisen maksimum berkenaan – kepada pemandu yang menerima tempahan perjalanan secara manual. Di dalam satu memo yang dikeluarkan syarikat itu, bayaran balik berkenaan akan dibuat pada 5 Ogos nanti. “Bagi menepati peraturan, kami akan membayar balik jumlah 5% bagi tempahan secara manual berkenaan bagi setiap tugasan bukan secara automatik yang dilakukan selepas 11 Julai lalu. Kami akan menjelaskan bayaran ini pada 5 Ogos,” jelas memo berkenaan.

    Grab menjelaskan, alasan mereka mengenakan caj tambahan 5% kepada pemandu adalah kerana “hampir 20% pemandu memilih untuk menerima tugasan/perjalanan secara manual. Untuk itu, caj 5% berkenaan diperkenalkan untuk mengimbangi pemandu lain setiap kali sesebuah tugasan diabai atau dibatalkan. Ia penting untuk mengurangkan situasi di luar jangka dan mengekalkan jumlah antara penawaran dan permintaan yang stabil dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.”

    Menurut Grab lagi, pihaknya akan membayar balik 5% yang terlibat kepada semua pemandu yang membuat pilihan penerimaan tempahan secara manual melalui aplikasi berkenaan selepas tarikh 11 Julai. “Ini bermakna, semua pemandu selepas ini akan diwajibkan untuk menerima tempahan tugasan secara automatik,” jelas jurucakap Grab.

     
     
  • Pusat 2S Toyota di Pandamaran, Klang mula dibuka

    Pusat 2S Toyota di Pandamaran, Klang mula dibuka

    UMW Toyota Motor dan PS Otomobil telah membuka pusat 2S yang baru dipertingkatkan terkini, bertempat di Pandamaran, Klang. Kemudahan berkenaan merangkumi 19 ruang servis yang lengkap dengan peralatan diagnostik dan “Special Service Tools”.

    Pusat servis berkenaan, yang bertujuan untuk menampung keperluan pelanggan di sekitar Pandamaran, Bukit Tinggi, Bandar Botanik dan lain-lainnya, turut menyediakan ruang menunggu berhawa dingin yang selesa. Premis berkenaan terletak di PT 7420 Jalan Kim Chuan, Pandamaran, 42000 Klang, Selangor.

    Presiden Toyota Motor, Ravindran K. berkeata; “PS Otomobil telah menjadi rakan niaga kami sejak 2015 dan sejak itu telah menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan. Kami berbesar hati melihat perkembangan perniagaan mereka dengan naik taraf dan peningkatan terkini yang dicapai untuk memperkayakan lagi khidmat lepas jualan di sini. Ini mencerminkan falsafah Pelanggan Didahulukan yang dipegang oleh Toyota supaya pelanggan lebih selesa.”

     
     
  • GALERI: Yamaha Y15ZR, R25 dan R6 Petronas Sprinta

    Ketiga-tiga motosikal Yamaha-Petronas Sprinta edisi khas yang anda lihat ini sebenarnya ialah hadiah yang ditawarkan untuk pertandingan Petronas Sprinta Bonanza 2019. Habuan bulanan kepada pemenang bertuah ialah sebuah Yamaha Y15ZR, seperti yang telah diserahkan April lalu kepada pemenangnya.

    Tetapi, jangan bersedih. Rasanya belum terlambat kalau masih ada yang nak mencuba nasib, kerana pertandingan itu akan berlangsung sehingga 30 September nanti. Selain daripada enam buah Y15ZR yang ditawarkan itu, ada juga dua lagi hadiah utama untuk direbut; Yamaha R25 dan juga R6 seperti yang anda lihat di dalam galeri ini.

    Info lanjut berkaitan penyertaan pertandingan in bolehlah dirujuk di web mymesra.com.my. Sementara itu, boleh belek galeri ketiga-tiga motosikal ini untuk melihat ketelitian dan perincian kerja cat serta kelainan yang ditampilkan khas untuk sesiapa saja yang berminat. Teringin nak dapat sebuah?

    Yamaha Y15ZR Petronas Sprinta

    Yamaha R25 Petronas Sprinta

    Yamaha R6 Petronas Sprinta

     
     
  • Harley-Davidson lancar model FXDR 114 – RM122,500

    Harley-Davidson lancar model FXDR 114 – RM122,500

    Harley-Davidson Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model cruiser prestasi terbaru, FXDR 114. Ini merupakan pertambahan terbaru bagi barisan model Harley-Davidson Softail di Malaysia. Model ini dijual pada harga bermula dari RM122,500. Bagi unit yang didaftarkan sebelum 30 November 2019, pelanggan layak menerima muffler Screamin’ Eagle Titanium serta baucar alatan menunggang bernilai RM4,200.

    FXDR 114 menjadi model kesepuluh keluaran Harley-Davidson yang menggunakan platform softail yang pertama kali diperkenalkan pada 2018. Menjadi kelebihan model ini ialah tumpuan yang diberikan terhadap menghasilkan motosikal yang lebih ringan.

    FXDR menggabungkan penggunaan enjin Milwaukee-Eight 114 V-Twin 1,868 cc dengan komponen aluminium dan komposit untuk mencapai tujuan itu. Enjin berkenaan menghasilkan tork sebanyak 158 Nm pada 3,500 rpm dengan talaan ekzos 2-kepada-1 baru. Sebagai contoh, bahagian swingarm memberikan pengurangan berat sebanyak 4.62 kg (atau 43% lebih ringan) berbanding komponen sama yang diperbuat daripada besi pada model Softail lain.

    Harley-Davidson lancar model FXDR 114 – RM122,500

    Tangki minyak dengan kapasiti 16.7 liter yang dipanjangkan untuk disesuaikan dengan profil rekaannya, diikuti dengan kedudukan pelana untuk penunggang tunggal. Ia menampilkan penggunaan suspensi belakang monoshock dengan teknologi omboh-bebas dalaman serta ciri gegelung tunggal – dengan tombol talaan hidraulik pra-bebanan.

    Fork depan terbalik dengan diameter 43 mm bertindak untuk “mengeraskan” lagi kendalian bahagian depan bagi memberikan respon lebih jitu kepada penunggang. Sistem brek depan pula menggunakan cakera 300 mm, serta turut dilengkapi ciri ABS sebagai standard. Tayar pula menggunakan unit Michlein Scorcher 11 di depan (120 mm) dan belakang (240 mm). Paparan maklumat tunggangan pula adalah melalui skrin digital.

    Harley-Davidson lancar model FXDR 114 – RM122,500

    Selain itu, motosikal ini juga didatangkan dengan sistem lampu LED sepenuhnya, termasuk lampu depan Daymaker LED dengan lampu halo LED. Sistem tanpa kunci Harley-Davidson Smart Security System dan slot pengecas USB ditawarkan sebagai ciri standard.

    FXDR ditawarkan dalam enam pilihan warna; Vivid Black, Black Denim, Indsutrial Grey Denim, Wicked Red Denim, Bonneville Salt Denim dan Rawhide Denim dan boleh didapati dikeempat-empat bilik pameran pengedar Harley-Davidson Malaysia bermula hari ini.

     
     
  • AOS 2019: Hot Wheels Japan Historic 3 buat kemunculan sulung global di M’sia – 5 model baru

    AOS 2019: Hot Wheels Japan Historic 3 buat kemunculan sulung global di M’sia – 5 model baru

    Seperti yang diumumkan semalam, pembuat kereta die-cast 3-inci dari Amerika Syarikat, Hotwheels mendedahkan siri koleksi antara yang menjadi rebutan di seluruh dunia – Japan Historic – yang terbaharu iaitu Japan Historic 3 (JH3) buat pertama kali untuk peringkat dunia di acara Art of Speed 2019 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

    Lima model lagenda JDM yang membarisi koleksi Japan Historic 3 ini adalah trak pikap Datsun Sunny GB120 “Sanitora”, Honda City Turbo II “Bulldog” 1985, model sport wankel rotary dari Mazda iaitu Mazda Cosmo Sport 1968, Nissan Skyline RS R30 dan Nissan Silvia generasi pertama dengan kod casis CSP311 yang diperkenalkan pada tahun 1965.

    Walaupun ada casting yang pernah dihasilkan sebagai model mainline seperti Honda City Turbo II dan Nissan Skyline RS R30, keseluruhan barisan koleksi JH3 ini adalah baharu sepenuhnya. Walau bagaimanapun, koleksi Japan Historic 3 ini hanya akan dijual bermula tahun hadapan, dan harga pun masih belum diumumkan.

    Seperti yang anda boleh lihat, hanya dua buah kereta yang nampaknya sudah menghampiri rupa lengkap – Nissan Silvia dan Nissan Skyline – dengan bahagian dalaman yang sudah diwarnakan dan dilengkapi dengan tayar-tayar getah ‘Real Rides’ istimewa Hotwheels yang kelihatan lebih realistik. Pakej kad istimewa untuk siri ini juga masih belum didedahkan.

    Apa yang menarik, Hotwheels Malaysia turut membawa dua buah kereta sebenar dari koleksi terbaharu ini, yang menampilkan rupa yang sama dengan model JH3 iaitu Nissan Skyline RS dan juga Honda City Turbo II.

    Tetapi jika anda perasan, Skyline yang ditampilkan ini bukanlah dari model R30, sebaliknya model lebih baharu R31. Kereta tersebut juga sebenarnya diterbangkan khas dari Brunei semata-mata untuk pelancaran ini. Manakala City Turbo II, ia menampilkan rupa sebenar model yang akan tampil pada JH3 nanti.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Persona 2019 lebih mempersona – harga lebih murah, tapi berbaloikah penawarannya?

    PANDU UJI: Proton Persona 2019 lebih mempersona – harga lebih murah, tapi berbaloikah penawarannya?

    Seperti ramai sedia maklum, sejak Proton memilih Geely sebagai rakan strategik, pengeluar kereta nasional ini ternyata makin gigih mengatur pelbagai langkah dan strategi demi memastikan produk keluarannya mampu berdaya saing dalam pasaran. Lihat saja kemunculan X70, memang boom! dan kini memonopoli pasaran bagi segmen SUV di Malaysia.

    Walau bagaimana pun, pengenalan terhadap model facelift Iriz dan Persona tidak dipandang enteng atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Proton mahu memastikan, pengeluaran bagi kedua-dua model facelift berkenaan menepati kehendak dan citarasa pelanggan, sekaligus membantu memperkukuhkan kedudukannya di pasaran automotif tempatan.

    Sebelum ini, kami pernah mengulas mengenai sesi pandu uji Iriz 2019, jadi tak adillah rasanya kalau kami tidak berbuat demikian untuk Persona 2019. Untuk anda yang mungkin mahu membeli kereta dengan bajet yang sederhana, ulasan ini mungkin boleh dijadikan panduan dalam membuat pilihan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Blaupunkt perkenal semula radio retro Bremen SQR 46 DAB dengan teknologi digital, Bluetooth, USB dan SD

    Blaupunkt perkenal semula radio retro Bremen SQR 46 DAB dengan teknologi digital, Bluetooth, USB dan SD

    Radio adalah salah satu ciri yang kadang kala agak ‘gagal’ untuk seorang peminat kereta lama bagi mengekalkan imej retro dalam kabin kereta mereka. Ramai yang saya sendiri jumpa, mereka hanya memasang radio lama di tempat asal sebagai dummy, manakala pemain yang lebih moden disembunyikan di dalam glove box bagi mendapatkan bunyi yang lebih sedap.

    Produk baharu dari Blaupunkt ini mungkin akan menyelesaikan masalah abang-abang old school di luar sana – ini adalah pemain single-DIN Bremen SQR 46 DAB, yang dihasilkan dengan bentuk seakan pemain kaset Blaupunkt Breman SQR 46 yang popular ketika era 80’an.

    Blaupunkt Bremen SQR 46 DAB ini menampilkan semua suis dan butang sama seperti pemain retro sebenar, malah ia turut mempunyai slot seakan boleh dimasukkan kaset (ingat lagi tak bentuk kaset macam mana?).

    Namun disebaliknya, Bremen SQR 46 DAB ini sebenarnya menggunakan teknologi yang sama seperti pemain-pemain audio terkini. Pemain berkuasa 50-watt ini diberikan fungsi Bluetooth yang boleh dihubungkan ke telefon pintar bersama sistem radio digital DAB+.

    Blaupunkt perkenal semula radio retro Bremen SQR 46 DAB dengan teknologi digital, Bluetooth, USB dan SD

    Manakala ‘slot kaset’ pada mukanya pula bukanlah untuk anda memainkan kaset kumpulan Iklim ataupun kompilasi Fresh Giler, ia sebenarnya menyembunyikan port USB, port aux 3.5 mm dan juga slot kad SD bagi membolehkan anda memainkan muzik dari sumber-sumber lebih moden seperti MP3 dan WMA.

    Paparan yang diberikan kini membolehkan pemilik memilih sendiri warna yang dimahukan pada skrin dan juga pencahayaan pada setiap butang dan suis. Unit kawalan jauh turut diberikan bersama mikrofon tambahan untuk membolehkan pemandu menjawab panggilan telefon dengan lebih jelas, dan ia turut menyokong fungsi suis kawalan pada roda stereng.

    Walaupun rupa pemain Bremen SQR 46 DAB ini tidak secanggih pemain moden dengan skrin sesentuh, ia bakal dijual dengan harga yang tidak murah – €449 atau sekitar RM2,060 – akan mula masuk ke pasaran bermula bulan hadapan.

     
     
  • Harga minyak 27 Julai-2 Ogos – RON 97 turun 11 sen

    Harga minyak 27 Julai-2 Ogos – RON 97 turun 11 sen

    Minggu lalu harga RON 97 naik 10 sen. Untuk tempoh seminggu ke hadapan, harga runcit bahan api berkenaan akan lebih rendah, kali ini turun 11 sen seliter. Ini menjadikan harga jualan bagi RON 97 turun daripada RM2.67 seliter kepada RM2.56 seliter, bermula tengah malam ini.

    Dan, bagi petrol RON 95, seperti biasa ia masih dikekalkan dengan harga subsidi yang sama, iaitu RM2.08 seliter. Begitu juga dengan diesel yang harganya kekal seperti sebelum ini, dijual pada harga RM2.18 seliter bagi diesel Euro 2M. Sementara diesel Euro 5 pula lebih mahal 10 sen berbanding harga berkenaan iaitu RM2.28 seliter.

    Harga minyak 27 Julai-2 Ogos – RON 97 turun 11 sen

    Menurut kenyataan oleh Kementerian Kewangan, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON 95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing sebanyak RM2.26 seliter dan RM2.31 seliter.

    Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu, di mana harga runcit produk petrol RON 95 berada pada paras RM2.37 seliter dan diesel pada RM2.37 seliter. Untuk itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 27 Julai 2019 hingga 2 Ogos 2019 ialah berjumlah RM90.48 juta.

     
     
  • Hyundai, Kia akan bikin trak pikap baru – lawan Hilux

    Hyundai, Kia akan bikin trak pikap baru – lawan Hilux

    Kia khabarnya sudah memulakan pembangunan sebuah trak pikap yang baru, bertujuan untuk menyaingi model-model popular seperti Toyota Hilux, Ford Ranger dan Mitsubishi Triton, seperti dilaporkan oleh CarAdvice. Trak pikap buatan jenama Korea itu dikatakan bakal berkongsi platform dengan trak pikap Hyundai, dan akan masuk pasaran paling lewat pada 2022.

    Jika khabar angin ini benar, trak pikap berkenaan akan menjadi pelengkap dan merapatkan jurang barisan kenderaan yang ditawarkan oleh Kia dalam pasaran ketika ini. Berdasarkan laporan yang sama, pegangan pasaran bagi trak pikap di Australia ialah 20% – bermakna sebelum ini Kia dan Hyundai tidak dapat merebut jualan dalam pasaran berkenaan yang mungkin boleh memberikan nilai keuntungan yang banyak setiap tahun kerena kedua-duanya tidak mempunyai model trak pikap.

    Di Australia, jualan Kia terus berkembang walaupun keadaan pasaran perlahan, menduduki tangga keenam keseluruhan di dibelakang Ford. Tambahan model trak pikap sudah tentu akan membantu jenama ini meningkatkan lagi kedudukannya. Ketika ini, hanya SsangYong Musso sahaja model keluaran Korea yang ditawarkan di sana.

    Hyundai, Kia akan bikin trak pikap baru – lawan Hilux

    Ketua Kia Australia, Damien Meredith berkata; “Menariknya, memang ada perbualan tentang ini (dengan KMC). Masih terlalu awal untuk mengulasnya, tetapi dalam jangka masa yang tidak terlalu lama ke depan, jenama ini akan memiliki sebuah trak ringan di Australia.”

    Meredith juga telah membuat permintaan untuk mendapatkan trak single-cab dan double-cab sekaligus untuk pasaran di sana, begitu juga dengan enjin diesel dan petrol, serta pacuan roda belakang atau empat-roda. Model itu dijangka akan menerima talaan suspensi yang spesifik untuk pasaran di sana, dengan ujian turut akan melibatkan cuaca panas yang panjang.

    Kia Australia mensasarkan antara lapan hingga 10% pegangan pasaran, berdasarkan jualan kenderaan 4×2 dan 4×4 yang dijual tahun lalu, bersamaan sekitar 20,000 unit. Ini akan menjadi lonjakan yang besar untuk jumlah keseluruhan jualannya; tahun lalu, jenama itu menjual sebanyak 59,000 unit kenderaan penumpang dan SUV.

     
     
  • AOS 2019: Koleksi Hotwheels Japan Historic 3 akan didedahkan di MAEPS esok untuk peringkat global

    AOS 2019: Koleksi Hotwheels Japan Historic 3 akan didedahkan di MAEPS esok untuk peringkat global

    Malaysia menerusi acara Art of Speed (AOS) telah diberi penghormatan oleh Hotwheels untuk mendedahkan siri koleksi antara yang menjadi rebutan di seluruh dunia – Japan Historic – yang terbaharu iaitu Japan Historic 3 (JH3) ketika berlangsungnya AOS 2019 di MAEPS, Serdang esok.

    Apa model yang akan membarisi koleksi JH3 ini? Ia masih lagi belum diumumkan, namun apa yang kami tahu ia masih terdiri dari lima buah model lagenda JDM, dan tidak ada satu pun model dari JH1 dan JH2 di bawa ke siri terbaharu ini. Hotwheels Malaysia turut membayangkan antara kereta yang akan tampil dalam siri JH3 ini adalah “kereta pertama buatan Jepun yang dihasilkan untuk perlumbaan jalanan”, dan juga “kereta buatan tangan yang rare dari era 1960’an”.

    Untuk rekod, koleksi JH1 keluaran 2016 dibarisi oleh Datsun Bluebird 510 SSS Wagon, Nissan Skyline KPGC110 ‘Kenmeri’ GT-R, Nissan Skyline KGC10 ‘Hakosuka’ GT-X, Toyota 2000 GT dan Mazda RX-3. JH2 keluaran 2018 pula terdiri dari Datsun Bluebird 510 sedan, Mazda RX-3, Nissan Fairlady 240Z, Nissan Laurel 2000 SGX dan Nissan Skyline C210.

    Boleh dijangka, barisan model untuk siri JH3 ini akan hadir dengan pakej kad dengan grafik istimewa, warna dan ‘tampo’ badan khas serta dilengkapi dengan tayar getah ‘Real Rides’ Hotwheels.

    Kedua-dua Hotwheels JH1 dan JH2 mendapat sambutan hangat di seluruh dunia dan dimiliki bukan sahaja peminat Hotwheels, malah menjadi rebutan peminat-peminat model-model klasik JDM sebenar. Koleksi ini juga dilihat dijual semula dengan harga berkali ganda dari harga asal kerana permintaan yang sangat tinggi.

    Selain itu, gerai Hotwheels di AOS 2019 turut akan dihadiri oleh Ketua Pereka Hotwheels (segmen premium dan pengumpul) Steve “Van” Vandervate yang diterbangkan terus dari Amerika Syarikat.

    “Saya tak sabar untuk berjumpa dengan peminat Hotwheels kami di Malaysia, dan juga ahli Hotwheels Club Malaysia serta pengumpul setia,” kata Steve.

    GALERI: Hotwheels Japan Historic

    GALERI: Hotwheels Japan Historic 2

     
     
  • Jumlah keuntungan Nissan jatuh 98.5% – 12,500 pekerja terpaksa dihentikan, produksi dipotong 10%

    Jumlah keuntungan Nissan jatuh 98.5% – 12,500 pekerja terpaksa dihentikan, produksi dipotong 10%

    Kerana jumlah keuntungannya yang jatuh mendadak, pengeluar automotif dari Jepun, Nissan terpaksa memberhentikan 12,500 orang pekerjanya di seluruh dunia, lebih tinggi dari apa yang dijangka sebelum ini, lapor Reuters.

    Awal minggu ini, syarikat tersebut dilaporkan sedang bersedia untuk memberhentikan sekitar 10,000 orang tenaga kerjanya kerana masalah yang dihadapi. Dengan pengumuman baharu ini bermaksud Nissan selepas ini akan beroperasi dengan tenaga 139,000 orang atau berkurang 9% dari sebelumnya.

    Nissan mencatatkan kejatuhan sebanyak 98.5% kepada 1.6 bilion yen (RM60.5 juta) untuk suku pertama tahun ini. Ia dikatakan berpunca dari kenaikan harga bahan mentah, tukaran mata wang asing yang tidak menentu, dan juga usaha-usaha untuk menghasilkan produk bagi memenuhi undang-undang semasa yang memakan kos tinggi.

    Selain langkah untuk mengurangkan tenaga kerja ini, Nissan turut akan mengurangkan operasi produksi mereka terutamanya untuk kereta-kereta kompak serta jenama bajet mereka iaitu Datsun. Menurut CEO Nissan, Hiroko Saikawa, langkah ini akan menyaksikan barisan produk mereka berkurangan sekitar 10%, dan 14 dari keseluruhan fasiliti mereka seluruh dunia akan terkesan. Produksi turut akan dikurangkan sebanyak 10% sehingga 2023.

    Jumlah keuntungan Nissan jatuh 98.5% – 12,500 pekerja terpaksa dihentikan, produksi dipotong 10%

    “Kami kini sedang fokus di mana kami membuat pelaburan untuk menghasilkan kereta kompak di bawah rancangan Power 88,” kata Saikawa ketika membentangkan prestasi suku pertama 2019 syarikatnya. Rancangan Power 88 tersebut telah diumumkan pada 2011 dan ia bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan Nissan secara global dengan melebarkan segmen produk dan meningkatkan penampilan jenama dalam pasaran seperti Rusia dan India.

    Dalam Power 88, tidak kurang dari 51 model baharu dirancang untuk dilancarkan, yang turut membabitkan penawaran barisan model yang lebih luas untuk peringkat global, dihasilkan dari platform-V mereka.

    Pada Mei lalu, Nissan telah mengumumkan pengurangan produksi untuk lapan fasiliti mereka termasuk Sepanyol dan Indonesia di mana hatchback Nissan March dan model-model Datsun dihasilkan. Nissan turut memasang model-model kompak di Mexico, Rusia, Perancis dan Thailand, namun tiada pengumuman spesifik berkenaan lokasi atau skala pengurangan yang terlibat.

    Nissan kini sedang menghadapi masalah di berberapa pasaran pentingnya, terutama di Amerika Syarikat. Jualan global mereka jatuh 4.4% kepada 5.52 juta unit pada tahun fiskal 2018. Penurunan tersebut disumbangkan oleh kejatuhan 9.3% jualan di Amerika Syarikat dan penurunan 14.9% di Eropah.

    Atas skandal yang memalitkan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn sebelum ini, Nissan turut mempunyai masalah hubungan dalam rakan pakatannya iaitu Renault. Mereka juga gagal dalam usaha untuk bergabung dengan Fiat Chrysler Automobile.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

    Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

    Tempoh enam bulan pertama 2019 telah pun berlalu. Dan seperti biasa, adalah menarik untuk menilai prestasi industri automotif bagi tempoh berkenaan. Laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi bulan Jun 2019 yang telah dikeluarkan menjadi “pelengkap” bagi data untuk tempoh separuh pertama ini.

    Keseluruhannya, jumlah keseluruhan industri (TIV) telah meningkat kepada 296,334 unit, naik 2.29% daripada 289,714 unit yang dijual pada 2018. Ini sesuatu yang menggalakkan, memandangkan MAA mensasarkan untuk mencapai angka 600,000 unit bagi tempoh penuh setahun – walaupun suasana pasaran untuk separuh kedua juga masih samar-samar, terutamanya tempoh tiga bulan “cuti cukai” seperti tahun lalu.

    Mari kita lihat pecahan ikut jenama pula. Perodua terus berada di atas, dengan peningkatan 4% dari 117,098 unit kepada 121,782 unit, kemungkinan didorong oleh jualan SUV Aruz. Syarikat ini juga mencatatkan pegangan pasaran sebanyak 41.1%; naik sedikit daripada angka 40.4% pada 2018. Berbeza pula dengan Honda; angkanya menurun sehingga 13.81%, dari 51,354 unit ke 44,260 unit. Pegangan pasarannya juga berkurangan, dari 17.7% kepada 14.9%.

    Proton pula sedang menikmati perkembangan yang sangat positif; jumlah jualannya mencatatkan peningkatan tinggi sehingga 60.55%, dari 27,106 ke 43,518 unit bagi tempoh sama dengan tahun lalu. Ini membolehkan mereka memintas Toyota, dan menghampiri Honda yang berada dikedudukan kedua dengan perbezaan hanya 742 unit. Pegangan pasarannya juga meningkat dari 9.4% ke 14.7%.

    Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

    Toyota pula tidak banyak berubah, pengurangan hanya sebanyak 458 unit atau 1.44% dengan catatan 31,251 unit terjual. Ini menjadikan pegangan pasarannya sedikit menurun, dari 10.9% ke 10.5% ketika ini. Nissan juga mengikut jejak yang sama; jualan turun sebanyak 12.94% kepada 10,383 unit, dengan pegangan pasaran juga menguncup dari 4.1% ke 3.5%.

    Bagi segmen premium, Mercedes-Benz terus mengatasi BMW, tetapi tidak terlalu jauh – hanya 614 unit yang menjadi pemisah. Mercedes-Benz mencatatkan angka 5,649 unit, manakala BMW 5,035 unit. Bagaimanapun, kedua-dua jenama berkenaan menjual kurang kenderaan tahun ini. Cuma, Mercedes-Benz mencatatkan pengurangan yang lebih banyak, iaitu 18.72%. Pegangan pasaran masing-masing ialah 1.9% dan 1.7%.

    Sebaliknya, jenama lain yang mencatatkan pertumbuhan positif ialah seperti Volvo (+60.56% jualan), Renault (+41.59%) dan MINI (+4.36%). Tetapi lain ceritanya dengan Subaru (-42.41%), Lexus (-36%) dan Hyundai (-31.57%). Untuk perincian lanjut berkenaan prestasi separuh pertama 2019 dan perbezaannya dengan 2018 bagi setiap jenama, sila rujuk jadual di bawah.

    Prestasi jualan kenderaan bagi separuh pertama 2019 vs 2018 – jenama mana paling banyak menguncup?

     
     
  • Jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil bakal ditutup pada 27 Julai sempena perlawanan akhir Piala FA 2019

    Jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil bakal ditutup pada 27 Julai sempena perlawanan akhir Piala FA 2019

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim telah memaklumkan, terdapat beberapa jalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup atau dilencongkan esok, 27 Julai, bagi menjayakan perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah.

    Jalan-jalan yang bakal terlibat termasuklah Jalan Barat, Jalan Merah Chagar, Jalan Awan Kecil dan sekitar Technology Park Malaysia.

    Menurut Mazlan, dijangkakan seramai 85,000 penonton akan berada di stadium terbabit dan PDRM akan menempatkan 1,375 polis untuk menjaga keselamatan dan mengawal aliran trafik di jalan sekitarnya.

    “Bagi sesiapa yang bakal berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok, sila patuhi arahan trafik. Kalau boleh, datang awal dan gunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta,” ujarnya sambil menegaskan kenderaan yang diparkir di tepi jalan dan yang menghalang lalu lintas, bakal disaman atau kenderaan tersebut akan ditunda.

     
     
  • Toyota C-HR AP4 dari Cusco – enjin 8AR 2.0L turbo talaan TRD, bakal gegar Kejuaraan Rali Asia Pasifik

    Toyota C-HR AP4 dari Cusco – enjin 8AR 2.0L turbo talaan TRD, bakal gegar Kejuaraan Rali Asia Pasifik

    Pembuat peralatan berprestasi tinggi untuk sistem transmisi dan suspensi dari Jepun, Carrosser Co. Ltd atau lebih dikenali sebagai Cusco telah mengumumkan mereka kini dalam fasa akhir pembinaan kereta rali dengan spesifikasi AP4 diasaskan dari SUV segmen-B, Toyota C-HR.

    Jentera berkenaan agak unik kerana tidak banyak SUV digunakan untuk perlumbaan rali kategori tersebut (Mitsubishi Indonesia telah menghasilkan jentera rali Xpander AP4, tetapi masih dalam bentuk konsep), dan dipercayai jentera rali pertama diasaskan dari sebuah model yang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

    Menurut Cusco, kereta ini masih menggunakan enjin 8AR 2.0 liter dengan suapan pengecas turbo binaan Toyota Racing Development (TRD) dan kotak gear sequential lima-kelajuan dari Drenth, sama seperti jentera rali Yaris AP4 Cusco sebelum ini.

    Namun, kerangka C-HR ini telah dibina semula oleh Cusco, dilengkapkan dengan rollcage penuh serta peralatan perlumbaan lain yang memenuhi undang-undang AP4. Cusco turut memadankan sistem suspensi serta gandar belakang rekaan mereka sendiri kepada Toyota C-HR AP4 ini.

    Mungkin disebabkan ruang roda C-HR ini sememangnya sudah besar, tiada pengubahsuaian ekstrem dilakukan pada bahagian tersebut seperti hatchback biasa. Sistem suspensi dengan jarak pergerakan tinggi nampaknya diletakkan dengan selesa pada ruang roda yang nampak hampir standard tersebut – mungkin ini salah satu kelebihan untuk membina kereta rali berasaskan model crossover.

    Kereta ini bukan hanya dibina untuk digunakan oleh pasukan rasmi Cusco World Rally Team dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC), malah ia turut akan dijual kepada pasukan lain yang berminat. Sesi shakedown dan juga ujian terhadap C-HR AP4 berkenaan telahpun bermula bulan ini, dan harga sebuah kereta rali lengkap tersebut akan diumumkan kemudian.

    Sedikit pencerahan kategori AP4 ini – ia adalah kategori dengan tahap yang sama dengan kategori R5 dan dibuat khas hanya untuk APRC, tetapi tidak boleh bertanding dalam WRC. Walaupun spesifikasinya hampir sama dengan jentera R5, kereta-kereta AP4 ini tidak memerlukan homologasi yang ketat dari FIA seperti R5, membolehkan kos untuk menghasilkannya lebih murah dan ia boleh di bina oleh mana-mana bengkel.

    Secara asasnya, kereta-kereta kategori AP4 ini perlu dilengkapi dengan enjin 1.6L dengan unit restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm, serta berat minimun dibenarkan adalah 1,250 kg. Namun disebabkan C-HR ini menggunakan enjin 2.0L, ia perlu dipadankan dengan unit restrictor lebih kecil iaitu 33 mm untuk mengehadkan kuasanya, serta berat minimanya juga dinaikkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024