Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Promosi Honda City khas untuk penjawat awam – diskaun hingga RM8k, hadiah percuma; hingga 30 Nov

    Promosi Honda City khas untuk penjawat awam – diskaun hingga RM8k, hadiah percuma; hingga 30 Nov

    Honda City memang termasuk dalam promosi jualan besar-besaran hujung tahun oleh Honda Malaysia, dan khas untuk penjawat awam, ada promosi khas ditambahkan untuk anda. Di mana ia hanya untuk kakitangan sektor awam sahaja.

    Promosi ini hanya melibatkan varian City E dan V, yangb ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM1,800. Dan jika ditambah dengan promosi yang ditawarkan sepanjang November 2023, tambahan RM4,000 untuk City E dan V, berserta dengan pakej lapisan filem cermin ecotint bernilai RM2,200 untuk kedua-dua varian, yang keseluruhannya mencecah RM8,000.

    Memang cukup besar juga diskaun yang ditawarkan untuk model segmen-B ini, rasanya tidak pernah insentif sebegini diberikan untuk Honda City. Kalau ada penjawat awam yang berminat untuk menjadi ‘Bangsa H’, promosi ini akan berakhir pada 30 November 2023.

    senarai promosi Honda Malaysia untuk November 2023 – klik untuk besarkan

    Jika mahukan varian City S dan RS, varian asas dan yang tertinggi ini menerima diskaun sebanyak RM2,000 uhtuk sepanjang bulan ini.

    Selain City, promosi sepanjang November ini turut melibatkan model Civic, HR-V dan WR-V, anda boleh semak senarai di atas untuk mengetahui model yang terlibat. SUV CR-V generasi-keempat pula sudah dibuka tempahan dan bakal dilancarkan bulan hadapan.

     
     
  • KTM 990 Duke diperkenal – kerangka serba baru, enjin LC8C dua silinder 947 cc 123 hp, TFT lima inci

    KTM 990 Duke diperkenal – kerangka serba baru, enjin LC8C dua silinder 947 cc 123 hp, TFT lima inci

    KTM telah memperkenalkan 990 Duke, yang mereka panggil sebagai motosikal naked kelas pertengahan paling ringan, tepat dan berprestasi, yang pernah menggunakan nama Duke. Mereka yang mencari tunggangan agresif dan lincah, inilah dia motosikalnya.

    Model ini menggunakan banyak bahagian baru, bermula dari kerangka, yang terdiri daripada binaan besi di hadapan dan alumninium tempa untuk bahagian belakang. Kemudiannya, ia disambung kepada lengan ayun aluminium yang dikatakan mempunyai kadar lentur sempurna untuk berhadapan dengan tunggangan mencabar.

    Seperti biasa bagi sebuah Duke, model 990 ini menggunakan rekaan tajam, yang sudah tentunya adalah baru, tetapi masih mengekalkan rupa agresifnya. Menjadi perhatian adalah unit baru lampu hadapannya, yang mempunyai DRL dengan keterangan boleh laras secara sendiri di bahagian tepi, dan lampu utama LED di bahagian tengah.

    Penggerak 990 Duke ini adalah enjin LC8c dua silinder selari 947 cc sama seperti 890 Duke R, tetapi ia telah menerima banyak peningkatan termasuk pada piston, crankshaft dan conrod baru bagi meningkatkan kuasa menjadi 123 hp dan tork 103 Nm. Melengkapkan naik taraf ini adalah profail camshaft lebih agresif, radiator lebih lebar serta sistem ekzos serba baru. Transmisi adalah unit enam kelajuan.

    Bagi memastikan penunggang dapat menikmati kuasa ini dengan motosikal yang mudah dikendalikan, suspensinya dipasang dengan fork WP Apex 43 mm dengan pelarasan mampatan dan pra beban di hadapan dan monoshock WP Apex Monotube dengan pelarasan lantunan dan pra beban di belakang, manakala brek pula terdiri daripada set cakera 300 mm dan angkup empat piston berkembar di hadapan dan cakera 240 mm dengan angkup dua piston di belakang.

    Di hadapan penunggang terdapat panel skrin TFT lima inci berwarna untuk memaparkan segala informasi penting, dan ia juga boleh disambungkan kepada aplikasi KTMConnect di telefon pintar (pilihan tambahan). Turut diberi adalah soket pengecas USB-C.

    KTM 990 Duke diperkenal – kerangka serba baru, enjin LC8C dua silinder 947 cc 123 hp, TFT lima inci

    Pada bahagian elektronik, 990 Duke menyediakan tiga mod tunggangan dalam keadaan standard (Street, Sport dan Rain), tetapi boleh ditambah dengan dua lagi mod iaitu Performance dan Track yang memberikan pelarasan sendiri kuasa, kawalan cengkaman, angkatan tayar hadapan dan maklum balas kuasa kepada penunggang.

    Selain daripada itu, 990 Duke turut dilengkapi dengan Launch Control serta ABS dengan mod Supermoto. Rim menggunakan unit 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang. Berat keseluruhan 990 Duke adalah 179 kg (tanpa minyak) dan ia datang dengan tangki bahan api 14.8 liter.

     
     
  • Separuh hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa akan dikembalikan kepada kementerian – Loke

    Separuh hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa akan dikembalikan kepada kementerian – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan separuh daripada hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa kenderaan akan dikembalikan kepada kementerian agar pihaknya dapat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.

    Jelasnya, perkara itu mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan dan ia akan dimulakan pada tahun depan, laporan Harian Metro.

    “Kementerian Kewangan telah bersetuju apa saja inisiatif kita, penjualan nombor pendaftaran istimewa ini 50% daripada hasil itu akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk kita laksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.

    “Umpamanya kita nak tambah bilangan untuk mendapatkan lesen memandu B2. Ramai Ahli Parlimen minta di kawasan mereka supaya ditambah latihan. Itu diberi kepada B40, supaya dapat lesen secara percuma. Kita akan tambah tapi peruntukan itu perlu datang daripada hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa ini yang kita akan buat dalam kadar segera tahun baru akan datang,” katanya.

    Perkara ini dinyatakan sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat semalam.

     
     
  • 44 laluan di Taiping ditutup, dilencongkan pada 19 Nov sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah

    44 laluan di Taiping ditutup, dilencongkan pada 19 Nov sempena Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah

    Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid telah memaklumkan sebanyak 44 laluan di Taiping akan ditutup dan dilencongkan bagi menjayakan acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2023 pada Ahad ini, 19 November 2023.

    “Penutupan dan lencongan itu akan dilaksanakan bermula 5.15 pagi Ahad sehingga program berkenaan selesai.

    “Larian itu akan bermula di Dataran Warisan Taiping dan laluan terlibat ialah Jalan Alang Ahmad/Public Bank, Jalan Manecksha, Jalan Alang Ahmad/Jalan Kota (Nafis Kitchen), Jalan Pasar/Jalan Alang Ahmad (7Eleven) dan Jalan Tamingsari (menghala ke Dataran Warisan dan IPD Taiping),” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, laluan lain yang turut terlibat termasuklah Jalan Ong Saik/Jalan Barrack (menghala ke pejabat pos), Jalan Lim Tee Hooi, Jalan Lim Teong Chye, Jalan Panglima Ah Chong, Jalan Chun Thye Ping, Lorong Arasarathnam (hadapan Hong Leong Bank), Jalan Yusof (sebelah Hong Leong Bank), Jalan Abdul Jalil (tepi Hospital Taiping), pintu belakang Hospital Taiping (dibuka untuk ambulans sahaja) dan lampu isyarat Jalan Stesyen/Assam Kumbang (tutup hala ke Taiping).

    Ia juga membabitkan susur dari stesen minyak BHP Taman Happy Park menghala ke pasar raya Lotus, simpang Taman Zenith, Jalan Anak Bukit, lampu isyarat Hotel Sense (kenderaan dari hotel hala ke Kamunting), simpang ke Hospital Columbia Asia, Jalan Kelab Lama (Dewan Serbaguna IPD Taiping), simpang Jalan Muzium/Jalan Temenggung (TMGS), lorong Kuarters Penjara (belakang Muzium Taiping) dan lorong Kuarters Penjara sepanjang Jalan Taming Sari.

    Selain itu, lampu isyarat Penjara Taiping (menghala ke Jalan Kamunting Lama sahaja), Jalan Lumba Kuda (SK(P) Treachers Methodist), Lorong SP/2, Simpang 3 Hotel Grand Baron, Simpang 3 Taman Botani dan Simpang 3 Jalan Padang Tembak juga ditutup dan dilencongkan.

    Laluan lain yang terlibat juga termasuk di lampu isyarat Masjid Kamunting, lampu isyarat Hotel SSL (menghala ke Penjara Taiping), simpang masuk dan keluar kedai ECO Kamunting, lampu isyarat Bukit Mas, simpang masuk dan keluar Taman Dato Seri Razak dan simpang Jalan Kamunting Lama/Taman Lake View.

    Ia turut membabitkan Simpang Jalan Kamunting Lama/Taiping Vista Hill, simpang New Club (Mess Pegawai Tentera), Dataran Kedamaian, simpang Tasik Lestari/Taman Aun Say (menghala ke Zoo Taiping), Simpang 3 Kamal Bina/Jalan Samanea Saman, hadapan Dewan Persatuan Tiong Hua (Jalan Taman Tasik), simpang keluar dan masuk KFC Jalan Taman Tasik dan Taman Tasik (belakang Nasi Kandar Beratur) juga terlibat dengan acara itu.

    “Pihak polis menasihati orang ramai supaya menggunakan laluan lain sebagai jalan alternatif dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.

    “Pengguna yang hendak melalui jalan-jalan berkenaan juga dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memberi kerjasama bagi mengelak sebarang kesulitan, selain memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan itu,” katanya lagi.

     
     
  • UMW Toyota Motor capai jualan bulanan tertinggi dalam lima tahun pada Oktober 2023 — naik 9.1%

    UMW Toyota Motor capai jualan bulanan tertinggi dalam lima tahun pada Oktober 2023 — naik 9.1%

    Angka jualan UMW Toyota Motor (UMWT) bagi Oktober 2023 cukup memberangsangkan. Dengan mencatat 10,931 unit termasuk 222 unit kenderaan Lexus, menjadikannya angka jualan bulanan tertinggi bagi tempoh lima tahun terakhir untuk syarikat tersebut.

    Bulan lalu, Toyota memperkenalkan model Alphard dan Vellfire generasi keempat serba baru. Menurut Toyota, MPV mewah tersebut mencatatkan penanda aras baru bagi ciri canggih dan mewah yang ada di dalam sesebuah kenderaan. Dua varian ditawarkan, iaitu Alphard 2.4T Executive Lounge dengan harga RM538k dan Vellfire 2.5L dengan harga RM438,000.

    “Dalam landskap automotif yang selalu berubah, Toyota Alphard dan Vellfire berada di depan dalam penawaran inovasi dan kecanggihan. Ia menetapkan standard baru untk kemewahan dan prestasi dalam segmen MPV, mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kenderaan yang melangkau jangkaan,” ujar Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    UMWT dalam usaha untuk mengakhiri tahun ini dengan jualan yang kukuh, dan akan memperkenalkan promosi khusus tahun ini di bawah Celebrate the Symphony of Lights. Pelanggan boleh menikmati pembiayaan 100% untuk model terpilih, dengan manfaat promosi sehingga RM15,000. Juga, program Toyota Service Savers menawarkan ansuran bulanan mudah bermula serendah RM18.

     
     
  • JPJ bimbang jumlah pemandu kenderaan komersil warga asing (PEWA) tanpa lesen kini semakin ramai

    JPJ bimbang jumlah pemandu kenderaan komersil warga asing (PEWA) tanpa lesen kini semakin ramai

    Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan melahirkan rasa bimbang berikutan jumlah pemandu warga asing (Pewa) yang memandu kenderaan komersial tanpa lesen kini semakin meningkat.

    Menurutnya dalam laporan Sinar Harian, perkara ini boleh memberi kesan sangat buruk kepada pengguna jalan raya lain.

    “Kita melihat tindakan Pewa membawa kenderaan persendirian atau komersial tanpa lesen merupakan satu kesalahan besar serta sangat serius.

    “Ini kerana mereka tidak pernah dilatih menggunakan atau mengendalikan kenderaan di atas jalan raya. Tindakan seumpama ini boleh mengundang risiko besar kepada banyak pihak yang sama-sama menggunakan jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam oleh JPJ bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

    Operasi bersepadu itu dibuat bermula dari jam 3 pagi sehingga 9 pagi di sekitar Laluan Masuk melalui arah Kajang-Puchong ke Putrajaya, melibatkan seramai 40 pegawai dan anggota JPJ dan 150 petugas JIM. Dalam operasi ini sahaja seramai empat Pewa berjaya ditahan.

    Menurut Lokman sebanyak 2,665 notis kesalahan dikenakan sepanjang tempoh 13 hari operasi bersepadu dilaksanakan bermula 1 November. Beliau menyatakan tindakan Pewa melakukan kesalahan jalan raya ini dilihat sangat serius dan membimbangkan.

    Lokman turut memaklumkan sebanyak 224,616 kenderaan diperiksa menerusi Ops Patuh Bersepadu bermula 1 hingga 13 November, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 21,327 dikenakan tindakan notis saman JPJ (P) 22 di atas pelbagai kesalahan, manakala sejumlah 717 kenderaan disita.

     
     
  • Honda Elevate dari India dilancar di Jepun dengan nama WR-V; harga bermula RM62k, 1.5L NA, CVT

    Honda Elevate dari India dilancar di Jepun dengan nama WR-V; harga bermula RM62k, 1.5L NA, CVT

    Jun lalu Honda telah melancarkan SUV dengan nama Honda Elevate di India – ia adalah model istimewa untuk pasaran tersebut selepas CR-V dan BR-V dihentikan jualannya di negara berkenaan. Nampaknya selepas India, Elevate di bawa pula ke pasaran Jepun, dan ia dikenali dengan nama WR-V di sana.

    Ya, WR-V merupakan nama SUV segmen-A Honda untuk pasaran ASEAN termasuk Malaysia, namun WR-V di Jepun ini merupakan SUV segmen-B yang sedikit kecil berbanding Honda BR-V dan hampir sama seperti saiz HR-V. Ia bakal dijual di bilik-bilik pameran Honda di Jepun bermula musim bunga 2024 dalam tiga varian (X, Z dan Z+) dengan harga bermula dua juta yen (RM62,084).

    Untuk lebih spesifik, Honda WR-V pasaran Jepun ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,312 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,650 mm, jarak roda 2,650 mm, dan ruang but pula adalah seluas 458 liter. Manakala WR-V pasaran Malaysia pula adalah berukuran 4,060 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,576 mm tinggi, jarak roda sejauh 2,485 mm dan ruang but hanya 380 liter.

    Honda Elevate dari India dilancar di Jepun dengan nama WR-V; harga bermula RM62k, 1.5L NA, CVT

    Buat masa sekarang Honda hanya menyiarkan beberapa perincian awalan bagi WR-V pasaran Jepun ini. Antara yang disahkan adalah unit rangkaian kuasa di mana ia masih menggunakan spesifikasi yang sama seperti Elevate di India iaitu enjin petrol 1.5 liter empat-silinder NA i-VTEC dan juga kotak gear CVT automatik bagi memacu hanya roda hadapan.

    Angka kuasa bagi enjin berkenaan masih belum diumum, tetapi bagi Elevate pasaran India ia menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm. Malah untuk pasaran India, Elevate turut hadir dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Honda juga mengesahkan WR-V pasaran Jepun ini dilengkapi dengan sistem telematik Honda Connect dan juga sistem bantuan pemanduan Honda Sensing. Bagi Honda Sensing, fungsi yang diberikan adalah termasuk brek kecemasan automatik, pengelak salah gerak (hadapan dan belakang), bantuan dan sokongan kekal lorong, cruise control adaptif, pengenal tanda trafik, lampu tinggi automatik dan lain-lain.

    Honda Elevate dari India dilancar di Jepun dengan nama WR-V; harga bermula RM62k, 1.5L NA, CVT

    Berdasarkan imej yang disiarkan di laman sesawang rasmi Honda Jepun, WR-V JDM berkenaan menampilkan rupa dan spesifikasi yang hampir sama dengan Honda Elevate di India. Antaranya ia dilengkapi dengan skrin sesentuh untuk pemain utama, pendingin hawa automatik dengan liang udara kabin belakang, upholsteru fabrik dan juga paparan instrumen tujuh-inci.

    Dengan harga yang diumumkan, WR-V bukanlah model paling murah yang ditawarkan oleh Honda di Jepun. Ia masih lebih mahal dari pelbagai model kei-car dan juga hatchback segmen-B Honda Fit (turut dikenali sebagai Jazz pada pasaran lain). Namun ia masih lebih murah berbanding model seperti MPV Honda Freed dan juga Vezel (atau HR-V di Malaysia).

    Lima warna badan ditawarkan untuk Honda WR-V pasaran Jepun ini, dan ia akan hadir dengan pelbagai pilihan aksesori asli dari Honda Access.

     
     
  • Toyota IMV 0 – model produksi mungkin dijual bermula RM47k di Thai pada 2025; diberi nama Hilux Champ?

    Toyota IMV 0 – model produksi mungkin dijual bermula RM47k di Thai pada 2025; diberi nama Hilux Champ?

    Tahun lalu Toyota telah mendedahkan model konsep IMV 0 ketika sambutan ke-60 tahun Toyota Motor Thailand’s (TMT) pada Disember tahun lalu dan ia didedahkan sendiri oleh presidennya ketika itu iaitu Akio Toyoda. Trak pikap konsep modular pelbagai guna itu disahkan bakal muncul dalam versi produksi sebenar, dijangka akan dilancarkan untuk pasaran ASEAN menjelang 2024 atau 2025.

    Ia selepas itu muncul lagi dipamerkan di beberapa negara, dikenali dengan pelbagai nama. Ia tampil di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 pada Ogos lalu dengan nama Rangga Concept, kemudian didedahkan pula ketika sambutan ulang tahun ke-35 Toyota Motor Philippines dengan nama Tamaraw Concept.

    Dan yang terakhir, model konsep IMV 0 ini turut dibawa ke Japan Mobility Show di Tokyo bulan lalu, di mana presiden dan CEO baharu Toyota, Koji Sato mengumumkan bahawa trak pikap itu akan dilancarkan pada pasaran Asia tidak lama lagi.

    Toyota IMV 0 – model produksi mungkin dijual bermula RM47k di Thai pada 2025; diberi nama Hilux Champ?

    Menurut laporan Motortrend dan Road & Track yang sudahpun berpeluang mencuba trak pikap tersebut, model produksi IMV 0 ini mungkin akan digelar sebagai Hilux Champ, dan bakal dilancarkan terlebih dahulu di Thailand, iaitu tempat ia dibangunkan.

    Laporan-laporan itu turut menyebut model ini akan dijual lebih murah dari Toyota Hilux iaitu sekitar USD10,000 (RM47,000) sebagai sebuah trak pikap mampu milik untuk pelbagai kegunaan.

    IMV 0 ini menampilkan jarak roda yang sama dengan Hilux, berkemungkinan ia menggunakan kerangka ladder frame yang sama. Namun dengan dimensi panjang 5,300 mm, lebar 1,785 mm dan tinggi 1,740 mm, ia adalah 25 mm lebih pendek, sekitar 235-270 mm lebih lebar dan sekitar 50-75 mm lebih rendah berbanding Hilux.

    Trak pikap lebih murah ini juga kelak hanya akan hadir dalam versi single cab, tanpa pilihan versi double-cab. Namun apa yang isitmewa, bahagian belakangnya direka dengan flatbed yang sangat modular, membolehkan ia diubahsuai menjadi pelbagai jenis tugas.

    Toyota telah mendemonstasikan aspek berkenaan dengan menghasilkan pelbagai bed belakang untuk IMV 0 ini, antaranya sebagai kenderaan kargo, kenderaan servis kecemasan, camper dan overlander, trak makanan dan kafe bergerak, kenderaan sokongan perlumbaan dan kenderaan pengecas EV bergerak.

    Menurut laporan Motortrend, bagi membolehkan IMV 0/Hilux Champ ini dijual pada harga yang rendah, secara standard ia akan dijual dengan flatbed belakang tanpa penghadang sisi, tiada brek ABS dan beg udara, namun ia akan ditawarkan sebagai opsyen kepada pelanggan.

    Kemasan bahagian kabin pula akan menggunakan material-material seperti plastik dan getah, dan ia turut akan menampilkan tangkai pusing bagi membuka dan menutup cermin tingkap secara manual tanpa bantuan motor elektrik.

    Pada bahagian mekanikal pula, IMV 0 ini akan menerima komponen seperti lengan kawalan, spring gegelung hadapan dan spring dedaun di belakang dari Hilux, dan ia boleh diubahsuai untuk mendapatkan kadar berat dengan muatan yang lebih tinggi.

    Versi produksi Toyota IMV 0 ini dijangka akan menerima pilihan unit rangkaian kuasa petrol dan diesel yang juga dikongsi dari Hilux. Jadi bagi versi petrol ia mungkin dijana oleh enjin 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 141 PS dan tork maksima 185 Nm, digandingkan dengan kotak gear lima-kelajuan manual.

    Bagi versi diesel pula, ia mungkin akan menerima enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat silinder berkuasa 150 PS/400 Nm, bersama pilihan sistem pacuan empat roda.

    Trak pikap moden buat masa sekarang semakin mahal memandangkan ia kini dipadankan dengan pelbagai perincian keselamatan dan keselesaan yang semakin baik. Jadi dengan penawaran trak pikap asas yang dihasilkan dengan tujuan utama untuk kegunaan kerja seperti IMV 0 ini mungkin akan memenuhi satu kehendak pasaran yang kini sudah lompong. Apa pendapat anda? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

    GALERI: Toyota IMV 0 di Japan Mobility Show 2023

    GALERI: Toyota Rangga Concept di Indonesia

    GALERI: Toyota Tawaraw Concept di Filipina Concept

     
     
  • Suzuki GSX-S1000GX diperkenal – enjin empat silinder 999 cc, 152 PS, beri cabaran kepada BMW S1000XR

    Suzuki GSX-S1000GX diperkenal – enjin empat silinder 999 cc, 152 PS, beri cabaran kepada BMW S1000XR

    Selain GSX-8R, Suzuki juga telah memperkenalkan sebuah lagi model baru yang dipanggil sebagai “crossover tourer“, iaitu GSX-1000GX. Ia akan memberi saingan kepada model seperti BMW S100XR, Kawasaki Versys 1000 atau Tracer 9 GT dalam pasaran.

    Asas yang digunakan adalah daripada model sport tourer GSX-1000GT, bermakna ia menggunakan enjin sama, iaitu unit empat silinder 999 cc DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan quickshifter secara standard.

    Untuk menjadikan GSX-1000GX ini lebih tinggi, Suzuki bukan setakat menggunakan fork yang lebih panjang, tetapi juga menggunakan unit dengan sistem kawalan elektronik semi aktif yang dipanggil sebagai Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES).

    Suspensi yang datang daripada Showa ini boleh melaras secara automatik mengikut keadaan jalan untuk menjadikan tunggangan lebih lancar dan stabil. Selain daripada itu, tetapan suspensi ini juga akan berubah bergantung kepada mod tunggangan.

    Ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk Cruise Control, Traction Control, Wheelie Control, Roll Torque Control, Cornering ABS serta skrin TFT 6.5 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk pelbagai fungsi.

     
     
  • Rai ulang tahun pertama Great Wall Motor Malaysia dengan rebat sehingga RM20k untuk Ora Good Cat

    Rai ulang tahun pertama Great Wall Motor Malaysia dengan rebat sehingga RM20k untuk Ora Good Cat

    Ulang tahun sentiasa manis untuk diingati, dan untuk itu Great Wall Motor (GWM) akan meraikan sambutan ulang tahunnya yang pertama di pasaran Malaysia dengan menawarkan rebat segera sehingga RM20,000 bagi pembelian Ora Good Cat dalam warna terpilih, sepanjang bulan ini.

    Anda juga turut berpeluang untuk memenangi hadiah utama bernilai RM18,888 serta pelbagai lagi hadiah lain termasuk telefon pintar Honor X9b yang baru saja dilancarkan, serta pakej perkhemahan Lubar sebaik sahaja tempahan Ora Good Cat anda berjaya dilakukan dalam bulan November ini, dengan pendaftaran kenderaan pula sebelum 31 Disember 2023. Jangan lepaskan peluang ini!

    Great Wall Motor Malaysia akan berada di Artbox Malaysia yang berlangsung di medan kereta terbuka Sunway Pyramid (bertentangan Sunway Resort) hujung minggu ini, dari 17-19 November 2023. Ruang pameran GWM berkenaan akan menampilkan model seperti GWM Cannon, Haval H6 dan juga Ora Good Cat. Sesi pandu uji untuk semua model berkenaan juga disediakan; klik di sini untuk tahu lebih lanjut!

    Great Wall Motor Malaysia juga memperkukuhkan kedudukannya di sini dengan menandatangani MoU bersama EP Manufacturing Berhad untuk merintis jalan bagi kilang pemasangan tempatan (CKD) di Melaka, dengan menjangkakan lebih banyak barisan model SUV, trak pikap dan EV yang akan dikeluarkan dari sini.

    Rangkaian pengedar yang luas menjanjikan kelegaan fikiran, dan rancangan perluasan jenama ini juga menunjukkan ia bakal berkembang lebih pesat. Dengan tawaran masa terhad untuk Ora Good Cat, sekaranglah masanya untuk menikmati nilai terbaik EV bersama Great Wall Motor Malaysia. Jangan lupa untuk berkunjung ke lokasi hujung minggu ini. Klik di sini untuk maklumat lanjut!

     
     
  • Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh

    Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh

    Jenama EV premium di bawah kumpulan Geely, Zeekr sudahpun mendedahkan secara rasmi foto awalan satu lagi model baharunya, kali ini sebuah sedan EV yang digelar sebagai Zeekr 007. Beberapa gambar lain turut tertiris dan disiarkan di laman Weibo Lotus Road Car God sebelum pra-jualan model tersebut di buat di Guangzhou Auto Show akan datang.

    Zeekr 007 ini dibina menggunakan platform PMA2+ yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA), membolehkan ia menyokong asas sistem elektrikal 800-volt untuk beroperasi. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,865 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,450 mm , serta jarak roda sejauh 2,928 mm.

    Untuk peringkat awalan Zeekr 007 akan ditawarkan dalam versi motor tunggal berkuasa 204 PS dan tork maksima 350 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat. Selepas ini ia turut akan tampil dengan versi lebih berkuasa menampilkan dua motor elektrik.

    Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh

    Sedan 007 ini tidak menampilkan lampu nyalaan siang dengan elemen rekaan ‘cakaran’ seperti Shooting Brake 001 dan MPV 009 sebelum ini. Sebaliknya ia diberikan satu bar lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian muka yang digelar sebagai Zeekr Stargate, menampilkan fungsi interaktif dengan memaparkan tulisan atau imej. Manakala lampu nyalaan siang pula diletakkan di bawah bar lampu utama berkenaan.

    Selain itu bahagian luaran 007 ini turut menampilkan beberapa perincian unik yang lain, antaranya bumbung yang menjadi perumah bagi penderia lidar, pembuka pintu yang digantikan dengan butang terletak di tiang-B dan tiang-C dan juga cermin belakang yang bersambung terus dengan bumbung kaca.

    Dalam gambar yang didedahkan turut boleh dilihat sedan ini dipadankan dengan rim aloi 20-inci, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport EV tyres bersaiz 255/40 R20.

    Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh

    Pada bahagian kabin, sebuah skrin infotainmen besaiz gergasi diletakkan seakan tergantung pada bahagian tengah papan pemuka. Pemandu pula menerima paparan instrumen digital dengan skrin leper bersama paparan head-up yang di pancar ke cermin hadapan, roda stereng dua jejari dan juga tuil tukaran gear yang terletak di kolum stereng.

    Juga dapat dilihat pad pengecas untuk dua telefon pintar terletak di konsol tengah, bersambung dengan perehat tangan dan ruang storan bersaiz besar. Penumpang belakang turut menerima dua liang penghembus sistem pendingin hawa dan juga dua port USB.

    Menurut laporan CarNewsChina, Zeekr 007 ini dijangka akan dijual pada harga bermula 200,000 yuan (RM129,875) sehingga 250,000 yuan (RM162,332).

    GALERI: Gambar rasmi Zeekr 007

    GALERI: Gambar Zeekr 007 yang tetiris

     
     
  • Jalan sekitar MBPJ, PJ State tutup dari Jumaat malam hingga petang Ahad untuk Karnival Santai Budaya

    Untuk penduduk Petaling Jaya atau pun yang bekerja di sekitar PJ State, MBPJ telah mengumumkan penutupan beberapa jalan di sekitar Menara MBPJ, untuk menjayakan acara Karnival Santai Budaya hujung minggu ini.

    Penutupan laluan terbabit dari Jalan Tengah dan sebahagian Jalan 52/18 sehingga Restoran Ajmeer di Seksyen 52. Jalan terbabit akan ditutup dari jam 8 malam pada Jumaat (17 Nov) ini hingga 5 petang pada Ahad (20 Nov). Sila teliti peta di atas untuk rujukan.

    Bagi Karnival Santai Budaya pada 18 November ini, banyak aktiviti yang akan dianjurkan. Termasuklah pertandingan mewarna, bola jaring jalanan, tingkah tari, pakaian beragam, dan banyak lagi. Selain itu, banyak acara untuk kanak-kanak juga disediakan.

     
     
  • Suzuki GSX-8R diperkenal – fairing penuh, 776 cc

    Suzuki GSX-8R diperkenal – fairing penuh, 776 cc

    Seperti yang sudah dijangka, pengenalan Suzuki GSX-8S semasa pameran EICMA tahun lepas akhirnya membawa kepada pengenalan versi sport dengan fairing penuh pula. Pada EICMA 2023, Suzuki memperkenalkan GSX-8R, yang menggunakan binaan asas sama seperti versi naked GSX-8S, tetapi mempunyai panel badan penuh sebuah sportsbike.

    Walaupun dengan fairing penuh itu, anda boleh menyaksikan Suzuki masih mengekalkan konsep rekaan sama pada bahagian lampu, dengan menggunakan jenis LED yang bertingkat, sementara di tepinya terdapat bukaan udara. Bahagian tangki, tempat duduk dan lampu belakang semua kelihatan sama.

    Kuasa penggerak GSX-8R datang daripada enjin dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik, yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 82 hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, sementara untuk mod tunggangan, ada tiga pilihan disediakan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C yang lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap, bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter secara standard. Memegang rodanya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Dengan tambahan panel badan penuh, GSX-8R mencatat berat keseluruhan 205 kg (lebih 2 kg berbanding GSX-8S), manakala tinggi tempat duduk dan kapasiti tangki bahan api iaitu masing-masing 810 mm dan 14 liter masih adalah sama. Ia datang dalam pilihan warna Metallic Triton Blue, Pearl ignite Yellow, Metallic Mat Sword Silver dan Metallic Mat Black No 2.

     
     
  • Xiaomi SU7 terdedah – EV kuasa sehingga 664 hp

    Xiaomi SU7 terdedah – EV kuasa sehingga 664 hp

    Kita sudah tahu agak lama Xiaomi akan memasuki pasaran EV di China, dan ini adalah antara gambar terawal kereta pertama mereka, yang dinamakan sebagai Xiaomi SU7. Gambar dan spesifikasi ini didapati daripada Kementerian Industri dan Informasi Teknologi (MIIT) China, yang mengawal proses homologasi di sana, dan dikongsi oleh CarNewsChina.

    ‘Kereta Mi’ yang menggunakan nama kod MS11 ini adalah sebuah sedan, dan ia akan dikeluarkan secara kontrak oleh BAIC. Ia mempunyai ukuran panjang 4,997 mm, lebar 1,963 mm dan jarak roda 3,000 mm. Ini menjadikan ia lebih besar berbanding BYD Seal, yang mencatat panjang 4,800 mm, lebar 1,875 mm dan jarak roda 2,920 mm.

    Di sebalik panel badannya terdapat bateri daripada BYD (LFP) dan CATL (ternary NMC). Tetapan asas RWD mendapat motor 295 hp (220 kW), sementara versi AWD ditambah dengan satu lagi motor 369 hp (275 kW) di hadapan, menjadikan kuasa keseluruhannya 664 hp (495 kW). Berat untuk versi RWD adalah 1,980 kg dan boleh mencatat kelajuan maksimum 210 km/j manakala versi AWD mencatat 2,205 kg dan 265 km/j.

    Menurut dokumen yang dihantar kepada MIIT, terdapat tiga versi untuk Xiaomi SU7 ini iaitu SU7, SU7 Pro dan SU7 Max. Ada varian yang akan dilengkapi dengan sayap belakang aktif, dan rim disediakan dalam dua pilihan – 19 atau 20 inci. Terdapat kamera pada b-pillar kereta ini, memberi petunjuk kepada fungsi pengenalan muka, dan Xiaomi juga mendaftar kereta tersebut dengan sistem Lidar.

    Seperti yang boleh dijangka, sistem dalam kenderaan ini akan dikuasakan oleh Xiaomi HyperOS, yang dibangunkan sendiri oleh Xiaomi dan boleh digunakan untuk telefon pintar dan juga kereta. Turut disediakan adalah pembaca ETC untuk membayar tol

    Menurut CNC, operasi pengeluaran SU7 akan bermula pada bulan Disember, dan penghantaran akan dibuat bermula Februari 2024. Kilang BAIC di Beijing juga dikatakan sudah memulakan pengeluaran percubaan dengan beberapa unit telah pun siap.

     
     
  • Porsche Pre-Owned Cars Day di JB, Penang dari 18-19 Nov — baucar Porsche Lifestyle RM3,000

    Porsche Pre-Owned Cars Day di JB, Penang dari 18-19 Nov — baucar Porsche Lifestyle RM3,000

    Porsche Pre-Owned Cars Day kembali lagi ke wilayah utara dan selatan Semenanjung, dan bakal berlangsung di kedua-dua Porsche Centre Penang dan Porsche Centre Johor Bahru pada hujung minggu 18-19 November bermula 10 pagi hingga 5 petang.

    Dengan pelbagai barisan kenderaan daripada jenama kereta sport berprestasi tinggi Jerman, semuanya tersedia untuk anda dekati sempena Porsche Pre-Owned Cars Day ini. Sama ada model ikonik 911, Macan yang versatil, kereta sports untuk lima penumpang Cayenne atau model elektrik Taycan, kereta Porsche impian anda sedia menanti di kedua-dua Porsche Centre terlibat.

    Sudah menemui Porsche yang sesuai dengan gaya hidup anda? Buat tempahan untuk Porsche impian anda di acara ini dan nikmati ganjaran baucar Porsche Lifestyle bernilai RM3,000, atau pembesar suara 911.

    Ketika anda membuat tempahan dan ingin trade-in kenderaan anda, tidak kira jenama dan bukan hanya untuk model Porsche, anda juga akan menerima baucar Porsche Lifestyle bernilai RM1,000. Jadualkan temujanji untuk membuat pemeriksaan ke atas kenderaan anda pada hari tersebut melalui program penilaian dengan cara mendaftar di sini.

    Hanya dibawakan secara eksklusif sempena Porsche Pre-Owned Cars Day, nikmati semua kelebihan ini dengan mendaftar kehadiran anda bersama Porsche Centre Penang atau Porsche Centre Johor Bahru dan berkunjunglah ke sana pada 18-19 November untuk langkah pertama memiliki kereta Porsche impian anda.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025