Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tesla Wall Connector hanya boleh diguna untuk Tesla — guna untuk EV lain, jaminan akan terbatal

    Tesla Wall Connector hanya boleh diguna untuk Tesla — guna untuk EV lain, jaminan akan terbatal

    Pemilik Tesla Wall Connector hanya boleh menggunakan pengecas di rumah itu untuk kenderaan Tesla, memandangkan jaminan 12-bulan akan terbatal sekiranya ia digunakan untuk mengecas kenderaan elektrik lain. Ini merupakan mesej yang diterima oleh Badrul Hisham, seorang ahli Malaysian Electric Vehicles Owners Club (MyEVOC) yang berkongsi perbualannya dengan seorang Tesla Approved Installer di laman Facebook MyEVOC.

    Tesla Approved Installer berkenaan menjelaskan kepada Badrul bahawa di bawah seksyen “Syarat Lain” bagi Home Charging Programme (HCP) Tesla, syarat nombor tiga menjelaskan yang “pelanggan tidak boleh mengubahsuai mana-mana bahagian pemasangan atau tetapan wall connector berkenaan; sebarang ubahsuai akan membatalkan jaminan.”

    Turut di maklumkan ialah Tesla Wall Connector yang dipasang hanya untuk kegunaan kenderaan Tesla sahaja, dan difahamkan jika menukar tetapan sedia ada agar pengecas berkenaan boleh digunakan untuk EV lain, itu adalah satu kesalahan yang melanggar syarat HCP, yang membawa kepada pembatalan jaminan.

    Tesla Wall Connector hanya boleh diguna untuk Tesla — guna untuk EV lain, jaminan akan terbatal

    Sebahagian ahli MyEVOC pula mencadangkan pengguna boleh sahaja mengekalkan tetapan untuk kegunaan Tesla itu selama setahun sehingga tempoh jaminan Tesla Wall Connector berakhir, dan selepas itu boleh disesuaikan untuk kegunaan EV lain.

    Tesla Wall Connector bernilai RM2,880 di Malaysia dan ditawarkan secara percuma dengan tempahan mana-mana kenderaan Tesla sebelum 31 Oktober 2023. Pelanggan bagaimanapun masih perlu menanggung kos pemasangan sebanyak RM2,200 (RM2,500 bagi Sabah dan Sarawak).

    Ini adalah termasuk dengan kelengkapan seperti suis, pemutus litar, RCD, kotak pengagih serta kos bagi setiap meter kabel (RM36 semeter) bagi pengkabelan standard, atau RM60 per meter bagi kabel dengan pelindungan.

     
     
  • Proton X70 facelift dilihat sedang diuji ‘panjat Genting Highland’ – gril songket, lampu hadapan lebih nipis

    Proton X70 <em>facelift</em> dilihat sedang diuji ‘panjat Genting Highland’ – gril songket, lampu hadapan lebih nipis

    Selepas dilihat berlegar di Lebuhraya Kesas bulan lalu, kami sekali lagi menerima set gambar Proton X70 facelift yang diuji di jalan raya awam – kali ini disumbangkan oleh pembaca paultan.org Putra Kamrin Azran yang terserempak dengan unit prototaip ujian berkenaan yang sedang ‘memanjat’ Genting Highland.

    Sejak diperkenalkan kali pertama pada Disember 2018, Proton X70 telah diberikan beberapa peningkatan, dan kali terakhir kemaskininya adalah pada model MC2 2022 tahun lalu. Walau bagaimanapun, kemaskini-kemaskini berkenaan kebanyakkannya dari segi penawaran rangkaian kuasa, tetapi sebahagian besar rupanya masih tidak berubah.

    Bagi perubahan terbaharu ini, SUV segmen-C tersebut nampaknya diberikan penyegaran rupa yang lebih serius dengan mengenakan muka Geely Boyue facelift 2022. Perubahan tersebut termasuk lampu hadapan yang lebih nipis dan bersegi, fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan lampu baharu, bonet hadapan yang lebih berotot dan juga bampar dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar.

    Malah unit ujian ini juga dilihat sudah mengenakan gril bercorak pin krom seperti elemen rekaan pada SUV segmen-D Proton X90 yang dilancarkan Mei lalu. Menurut Proton, rekaan pin krom seperti pada model-model Mercedes-Benz tersebut sebenarnya diinspirasikan dari corak kain songket warisan melayu. Sebelum ini X70 menerima gril dengan rekaan infinite weave yang diilhamkan dari corak ukiran rumah tradisional melayu.

    Di belakang, ia masih menggunakan unit lampu kombinasi yang sama. Perubahan dijangka dibuat pada bampar menampilkan kemasan diffuser baharu kerana bahagian berkenaan telah ditutup sepenuhnya dengan pelekat penyamaran. Unit ujian prototaip yang dijumpai ini juga dilihat menggunakan unit rim yang sama seperti Boyue facelift 2022 di China.

    Penawaran unit rangkaian kuasa mungkin sama dengan versi MC2 2022 di mana varian Standard, Executive dan Premium 2WD dijana dengan enjin 1.5 liter tiga-silider turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 177 PS/255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

    Unit ujian yang dijumpai oleh Adam Johnston dan dimuat naik di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter)

    Satu-satunya varian yang pacuan semua roda adalah varian 1.5 T-GDi Executive AWD, manakala varian tertinggi 1.8 Premium 2WD pula menerima enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 184 PS/300 Nm, diganding dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan.

    Tidak seperti unit prototaip Proton X50 facelift yang masih dilihat dalam versi pemanduan sebelah kiri, unit ujian untuk X70 facelift ini sudah pun kelihatan hampir lengkap dalam versi pemanduan sebelah kanan. Mungkin ia akan dilancarkan sekitar suku kedua atau ketiga tahun hadapan?

     
     
  • Honda CB750 Hornet, CB350RS dipamer di Sepang

    Honda CB750 Hornet, CB350RS dipamer di Sepang

    Di kawasan pameran Honda di Litar Sepang sempena MotoGP hujung minggu lalu, mereka menyediakan kawasan khas untuk siri motosikal naked CB. Tiga model berada di kawasan itu, dan dua daripadanya masih belum dilancarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu CB750 Hornet dan CB350RS.

    CB750 Hornet adalah sebuah model serba baru yang diperkenalkan di Eropah Oktober tahun lepas, dan ia dipacu oleh enjin dua silinder selari penyejukan cecair, OHC 755 cc yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan klac assist & slipper, mampu menghasilkan 90 hp pada 9,500 rpm dan 74.4 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Empat mod tunggangan disediakan pada CB750 Hornet, dan ia juga datang dengan sistem elektronik lain seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Wheelie Control, manakala informasi penting dipaparkan pada skrin TFT warna penuh lima inci. Penunggang juga boleh melaras tahap kuasa enjin dan engine braking pada motosikal ini.

    Honda CB750 Hornet, CB350RS dipamer di Sepang

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 15.2 liter, ABS dual-channel, suspensi daripada Showa, yang terdiri daripada fork SFF-BP USD 41 mm di hadapan, dan monoshock berserta sambungan lengan ayun Pro-Link di belakang, brek cakera berkembar 296 mm dengan angkup Nissin empat piston di hadapan, dan cakera 240 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang, serta rim 17 inci.

    Melihat kepada model yang lebih kecil, iaitu CB350RS, ia sudah diperkenalkan kepada dunia sejak tahun 2021 lagi, bermula antaranya di India, dengan membawa rekaan klasik yang diterapkan dengan konsep scrambler. Enjinnya adalah unit satu silinder 350 cc dengan suntikan bahan api dan kuasa 20.8 hp/30 Nm tork.

    Walaupun nampak ringkas, CB350RS ini datang dengan kelengkapan moden termasuk brek cakera depan dan belakang yang dilengkapi sistem ABS two-channel, kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC), rim 19 inci di hadapan, 18 inci di belakang, transmisi lima kelajuan serta sambungan Bluetooth.

    GALERI: Honda CB750 Hornet

    GALERI: Honda CB350RS

     
     
  • KTM Komuter terima pembayaran guna kad MyDebit

    Untuk pengguna perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan laluan Utara, kini satu lagi mod pembayaran telah diperkenalkan iaitu menggunakan kad MyDebit sama ada di gantri masuk, kaunter tiket mahu pun kios tiket.

    Untuk menggunakan kad MyDebit ini, pertama, anda perlu mengaktifkan fungsi PayWave terlebih dahulu. Ia hanya perlu dilakukan sekali sahaja, dan selepas itu, anda boleh terus menggunakan kad MyDebit untuk membuat transaksi pembayaran. Sama seperti kad Touch ‘n Go, anda hanya perlu sentuh (tap) kad debit anda pada alat pengimbas di gantri sehingga bunyi ‘beep’ keluar.

    Seperti pembayaran menggunakan kad debit termasuk di stesen minyak, nilai pegangan sementara (pre-auth) bernilai RM30 akan ‘dipegang’ setelah kad debit terbabit diimbas di Pintu Kawalan Automatik (ACG) berjaya mendapat pengesahan daripada bank pengeluar kad debit tersebut. Walau bagaimana pun jangan risau kerana baki pemulangan akan dikreditkan semula dalam masa satu hingga tiga hari tertakluk kepada bank pengeluar kad MyDebit.

    KTM Komuter terima pembayaran guna kad MyDebit

    KTMB berkata, jika nilai ‘pre-auth’ tidak dibuat, kad debit akan disenaraihitamkan dan penumpang perlu membuat pembayaran tunai di kaunter tiket stesen terbabit. Untuk makluman, ‘senarai hitam’ ini adalah oleh KTM sahaja dan kad anda masih boleh digunakan di tempat lain.

    Pada akhir Oktober lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, mulai pertengahan November 2023, pengguna KTMB dapat menikmati kemudahan baru di kesemua 57 stesen KTMB Komuter di Lembah Klang. Semua stesen itu akan dilengkapi dengan alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka termasuk kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go dan Kod QR melalui KITS. Jumlah kos projek adalah sebanyak RM29 juta.

    Sebelum itu, KTMB turut mengumumkan kad Komuter Link tidak lagi boleh digunakan untuk sistem pembelian tiket. Di mana kad Komuter Link baharu akan diperkenalkan pada masa hadapan, namun buat sementara waktu, pengguna perlu menggunakan aplikasi KTMB Mobile (KITS) menerusi telefon pintar untuk urusan ‘tap in and out‘ di gantri automatik stesen KTM.

     
     
  • Motosikal jenama Kove dan Moda akan masuk pasaran Malaysia awal tahun hadapan – harga “mampu milik”

    Motosikal jenama Kove dan Moda akan masuk pasaran Malaysia awal tahun hadapan – harga “mampu milik”

    Memasuki kawasan pameran AFY Mobility Industries (AMI) Sdn Bhd di Litar Sepang sempena MotoGP hujung minggu lalu bukan sahaja menampakkan barisan model terkini Suzuki, tetapi juga penampilan dua jenama baru iaitu Kove dan Moda. Lima model Kove dan satu model Moda dipertonton kepada orang ramai.

    Kove adalah satu jenama daripada China, tetapi ia lebih banyak memberi fokus kepada pasaran luar seperti Eropah. Oleh kerana itu, motosikal mereka dilihat datang dengan kelengkapan berjenama dan tetapan yang menjurus ke arah prestasi.

    Model Kove yang dipamerkan adalah termasuk 450 Rally Factory Edition, Cobra 321 R (naked), 450RR (sports), 321RR S-Edition (sports) dan 500X (adventure). Melalui galeri gambar di bawah, anda boleh melihat kelengkapan antaranya seperti lengan ayun single sided, brek empat piston, lampu LED, skrin TFT, fork boleh laras dan pelbagai lagi.

    Moda yang merupakan satu jenama baru pula hanya diwakili oleh satu model, dan ia dilihat sama seperti Dayang Vorei ADV 350 di China. Skuter ini datang dengan pelbagai kelengkapan canggih termasuk skrin TFT tujuh inci, sistem kunci pintar, penghadang angin boleh laras secara elektrik, pemerhati tekanan angin tayar, lampu LED serta perakam video hadapan dan belakang.

    Menurut pengarah urusan kumpulan AMI, Datuk Jeffrey Lim Chee Sing, syarikat sedang berusaha keras untuk melancarkan produk jenama Kove dan Moda ini di pasaran Malaysia, dan sasarannya diletakkan pada awal tahun hadapan, dengan harga yang dikatakan ‘mampu milik’ untuk pengguna.

    GALERI: Moda Shifter 400X

    GALERI: Kove 450 Rally Factory Edition

    GALERI: Kove Cobra 321R

     
     
  • UMW Toyota jual 10,931 unit kenderaan pada Okt 2023

    UMW Toyota jual 10,931 unit kenderaan pada Okt 2023

    UMW Toyota Motor Malaysia (UMWT) mencatatkan jualan sebanyak 10,931 unit pada bulan Oktober 2023, sekaligus merekodkan jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

    Dalam kenyataan yang dihantar, UMWT berkata, jumlah berkenaan merangkumi sebanyak 10,709 unit Toyota dan 222 unit Lexus. Bagi jumlah jualan setakat ini, untuk 10 bulan tahun 2023, sejumlah 87,422 unit telah berjaya dirakodkan, berbanding 80,153 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Menunjukkan peningkatan sebanyak 9.1% tahun ke tahun dalam tempoh tersebut.

    Bagi fasiliti pengeluarannya di Bukit Raja dan Shah Alam, menurut UMWT, ia akan dipertingkatkan bagi membuktikan komitmen UMWT untuk menambah baik proses pengeluaran model pemasangan tempatan (CKD), sekaligus memperkemaskan operasi dan meningkatkan kapasitinya.

    Selain itu, UMWT berkata, pengintegrasian teknologi termaju dan amalan mampan di kedua-dua kemudahan, menunjukkan komitmen dan dedikasi syarikat ini terhadap kaedah pengeluaran yang bertanggungjawab dan efisien, menetapkan standard baharu dalam industri automotif.

    Mengenai potensi segmen kenderaan serba guna (MPV), Toyota Alphard dan Vellfire 2023, Presiden UMWT Datuk Ravindran Kurusamy berkata kedua-dua MPV mewah ini adalah lambang inovasi dan kecanggihan dalam landskap automotif yang sentiasa berkembang.

    “Kedua-dua MPV mewah ini menetapkan standard baharu bagi kemewahan dan prestasi dalam segmen MPV, mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan kenderaan istimewa yang melebihi jangkaan,” katanya.

    MPV mewah tujuh-tempat duduk Vellfire 2.5L 2024 ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM438,000 tanpa insurans, menjadikannya RM100k lebih murah berbanding ‘kembarnya’, Alphard 2.4T 2024 yang berharga bermula RM538,000 tanpa insurans.

    Mengenai promosi untuk bulan November, UMWT turut menawarkan pembiayaan 100% bagi model terpilih dengan manfaat sehingga RM15,000 disediakan untuk pelbagai model Toyota termasuk Vios dan Yaris.

     
     
  • Volvo EM90 2024 – MPV pertama Volvo berasaskan EV Zeekr 009, 268 hp/343 Nm, jarak gerak 738 km CLTC

    Volvo EM90 2024 – MPV pertama Volvo berasaskan EV Zeekr 009, 268 hp/343 Nm, jarak gerak 738 km CLTC

    Volvo EM90 PR Images

    Selepas beberapa teaser disiarkan dan gambar awalannya tertiris di internet, ini dia MPV pertama Volvo diperkenalkan secara rasmi dan diberi nama sebagai Volvo EM90. Ia bukan sahaja MPV pertama dari jenama automotif Sweden berkenaan, malah ia terus hadir dalam versi elektrik penuh (EV) tanpa pilihan unit rangkaian kuasa bahan api fosil.

    Model ini muncul dan akan dijual di China terlebih dahulu. Menurut Volvo ini membuktikan bahawa ia mampu menghasilkan model-model yang memenuhi permintaan pasaran-pasaran tertentu, dan MPV merupakan segmen yang popular di Asia beberapa tahun kebelakangan ini. EM90 juga didakwa direka sebagai sebuah “ruang tamu bergerak yang selesa”.

    Volvo turut mendakwa bahawa walaupun EM90 ini adalah MPV pertamanya, namun ia bukan perkara asing bagi jenama berkenaan untuk menghasilkan sebuah kenderaan yang memberikan ruang luas dan versatil kerana model wagon pertama Volvo iaitu Volvo Duett pada 1953 dihasilkan dengan falsafah sama.

    Volvo EM90 2024 – MPV pertama Volvo berasaskan EV Zeekr 009, 268 hp/343 Nm, jarak gerak 738 km CLTC

    Volvo EM90 PR Images

    Walau bagaimanapun, Volvo EM90 ini sebenarnya model rebadge yang diasaskan dari satu lagi jenama EV premium di bawah Geely iaitu Zeekr 009, di bina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) kumpulan automotif itu. Oleh itu saiz kedua-dua MPV ini juga adalah hampir sama sepenuhnya dengan dimensi panjang 5,206 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,859 mm, jarak roda sejauh 3,205 mm serta kapisit kargo maksimum 1.826 liter.

    Tidak banyak perincian teknikal didedahkan oleh Volvo untuk EM90 ini. MPV ini disahkan menerima hanya satu motor elektrik pada gandar belakang berkuasa 200 kW (268 hp) dan tork maksima 343 Nm, yang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.3 saat. Berbeza dengan Zeekr yang diberikan dua motor elektrik untuk semua varian (AWD), dengan versi paling berkuasa menjana 544 hp/686 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 4.5 saat.

    Motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri litium-nikel-mangan kobalt (NMC) berkapasiti 116 kWj, bagi membolehkan ia bergerak sejauh 738 km dengan satu cas penuh. Volvo mendakwa cas bateri itu boleh dipenuhkan dari 10 hingga 80% dalam masa anggaran 30 minit, namun tidak memperincikan sistem dan kapasiti pengecasan yang digunakan.

    Volvo EM90 2024 – MPV pertama Volvo berasaskan EV Zeekr 009, 268 hp/343 Nm, jarak gerak 738 km CLTC

    Volvo EM90 Concept World Stills

    Pada sebelah luar, Volvo EM90 ini menampilkan profil sisi serta rekaan pintu dan tingkap yang sama seperti Zeekr 009, namun ia diberikan muka dan bahagian belakang yang lebih unik. Pada bahagian hadapan, MPV ini menerima rekaan lampu utama yang direka tirus bersama lampu nyalaan siang bina dalam ‘tukul Thor’ signatur Volvo.

    Sebagai sebuah EV, gril hadapan dihasilkan tanpa liang namun masih diberikan elemen rekaan pin krom dan disudahkan dengan palang ‘Iron Mark’ bernyala dan juga logo Volvo di tengahnya. Volvo menyatakan bahawa rekaan muka EM90 ini adalah diinspirasikan dari “bangunan pencakar langit dan juga hasil seni yang mempersonakan”.

    Di belakang, lampu MPV ini menampilkan jalur grafik berbentuk-T, dengan tulisan ‘Volvo’ diletakkan pada bahagian tengah bar kemasan yang merentangi sepenuhnya pintu hatch. Menurut Volvo rekaan belakang MPV ini pula diinspirasikan dari latar langit bandar moden.

    Volvo EM90 ini akan ditawarkan dengan empat warna badan “tona hangat yang diilhamkan oleh interaksi antara alam semula jadi dan cahaya” (masih belum diperincikan setiap satunya) dan juga pilihan rim aloi bersaiz 19- hingga 20-inci.

    Konfigurasi tempat duduk Volvo EM90 ini juga belum diumumkan secara terperinci. Namun menerusi imej yang didedahkan, ia menerima aturan tempat duduk 2-2-2 (menjadikan enam-tempat duduk secara keseluruhan) dengan sepasang kerusi lounge yang sangat mewah diletakkan pada baris kedua.

    Ia turut dilihat mempunyai bumbung panaromik besar merangkumi keseluruhan kabin belakang, panel kawalan sistem pendingin hawa digital pada pintu gelangsar, dan juga meja yang boleh dilipat pada tempat duduk lounge tersebut. Menurut Volvo, kabin EM90 ini diberikan penebat bunyi dan teknologi penyenyap bunyi jalan terbaik serta suspensi udara dengan dua kebuk dan juga tayar yang senyap bagi memberikan pengalaman paling selesa untuk setiap penumpang MPV tersebut.

    Ia juga dibekalkan dengan sistem bunyi Bowers & Wilkins yang menampilkan 21-pembesar suara bagi menjadikan kabin belakang EM90 ini sebagai “dewan konsert peribadi bergerak”. Pengalaman digital penumpang juga diperhebat dengan Snapdragon Cockpit Platforms dari Qualcomm Technologies dengan hubungan 5G yang dibekalkan secara standard.

    Kabin hadapan menerima skrin infotainmen 15.4-inci yang diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka, manakala kabin belakang pula menerima skrin lebih besar bersaiz 15.6-inci dengan paparan HD yang boleh dilipat. Skrin berkenaan bukan sahaja boleh memainkan pelbagai media dari telefon pintar, malah ia juga boleh digunakan untuk perbualan video dan sidang mensyuarat atas talian.

    Volvo turut menyatakan dengan hanya menekan suis atau menggunakan arahan suara, ruang kabin belakang ini boleh berubah menjadi pawagam, bilik mensyuarat atau bilik tidur, di mana ia bukan sahaja merubah kedudukan tempat duduk, malah larasan lain seperti skrin, sistem penghawa dingin, lampu suasana dan sebagainya secara automatik.

    MPV ini turut dibekalkan dengan kunci digital dan fungsi kawalan jarak jauh menerusi aplikasi Volvo Cars, dan pelbagai perincian lain akan ditingkat taraf dari semasa ke semasa menerusi perisian yang boleh dikemaskini secara over-the-air (OTA).

    Pra-tempahan bagi Volvo EM90 ini sudahpun di buka di China dengan penghantaran pertama akan bermula pada bulan Mac 2024, dan dijual pada harga bermula 818,000 yuan (RM528,524). Ini menjadikan EM90 ini lebih mahal dari 009 di mana MPV dengan lencana Zeekr tersebut dijual pada harga bermula 499,000 yuan (RM322,386) untuk model dengan bateri 116 kWj sehingga 588,000 yuan (RM379,839) untuk model dengan bateri 140 kWj.

    Seperti yang disebut oleh Volvo, EM90 ini dihasilkan berdasarkan permintaan pasaran Asia yang mahukan MPV mewah seperti Toyota Alphard dan Vellfire serta versi lebih mewahnya iaitu Lexus LM. Dengan ketiga-tiga model tersebut sememangnya ada di jual di Malaysia, mungkin EM90 ini juga bakal di bawa ke pasaran tempatan?

     
     
  • Lorong bas di Jalan Genting Klang beroperasi mulai 15 Nov; Wangsa Maju, Setapak ke Pusat Bandar KL

    Lorong bas di Jalan Genting Klang beroperasi mulai 15 Nov;  Wangsa Maju, Setapak ke Pusat Bandar KL

    Rapid KL telah mengumumkan lorong bas di Jalan Genting Klang bakal beroperasi mulai 15 November ini. Ia melibatkan bas Rapid KL untuk laluan 200, 202, 250, 251 dan 254 iaitu melalui Wangsa Maju dan Setapak menuju ke Pusat Bandar KL.

    Walaupun Rapid KL tidak mendedahkan waktu operasi lorong bas berkenaan, namun dipercayai ia beroperasi untuk waktu puncak pagi dan petang, iaitu antara jam 6 pagi hingga 9 pagi dan 4.30 petang hingga 7 malam, seperti mana yang dilaksanakan bagi lorong bas Jalan Ampang.

    Sebelum ini, aliran kontra untuk bas Rapid KL di Koridor Ampang dilaksanakan, yang melibatkan laluan yang melalui Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak. Buat pertama kalinya konsep ini diperkenalkan di Malaysia dan dimulakan pada 3 Januari lalu.

    Ia merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengurangkan kesesakan trafik di tengah ibu kota KL khususnya pada waktu puncak pagi dan petang.

     
     
  • Proton S70 sedan — varian Executive, Premium, Flagship dan Flagship X diperinci; tujuh pilihan warna

    Proton S70 sedan — varian Executive, Premium, Flagship dan Flagship X diperinci; tujuh pilihan warna

    Pengenalan Proton S70 sedah sudah semakin hampir. Risalah rasmi bagi model sedan SS11 juga sudah muncul di media sosial, dengan memperincikan empat varian yang ada — Executive, Premium, Flagship dan Flagship X — serta tujuh pilihan warna yang ditawarkan.

    Pecahan bagi setiap varian adalah sama dengan jadual yang pernah bocor sebelum ini, tetapi dengan pengesahan penggunaan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbocas untuk semua varian, yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan. Gandingan ini adalah yang sama digunakan pada X50, tetapi S70 hadir dengan enjin 1.5T MPI (150 PS dan 226 Nm untuk SUV berkenaan; dan untuk sedan akan dimaklumkan kelak) dan bukannya enjin yang digunakan untuk X50 Flagship 1.5T TGDi (177 PS dan 255 Nm).

    Selain itu, varian Executive (nama varian Standard tidak lagi digunakan) akan menerima enam beg udara, bantuan menukar lorong, brek parkir elektrik, rim aloi 16-inci, kerusi balutan fabrik dan head unit infotainmen 8.0-inci. Premium pula menerima tambahan lampu LED, jalur lampu belakang, kerusi balutan kulit buatan, pendingin automatik dan kameran undur.

    Proton S70 sedan — varian Executive, Premium, Flagship dan Flagship X diperinci; tujuh pilihan warna

    Bagi varian Flagship pula, ia melibatkan pertambahan kelengkapan seperti ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) penuh, sistem peninjau tekanan tayar, rim aloi 17-inci, meter gabungan LCD 10.3-inci, pengecas kerusi elektrik untuk pemandu, head unit infotainmen 12.3-inci, pengecas tanpa wayar dan kameran 360-darjah dengan paparan 3D. Varian paling tinggi, Flagship X, pula libatkan pertambahan sunroof.

    Risalah yang ada ini juga memperincikan tujuh pilihan warna yang ada — Snow White, Armour Silver, Space Grey, Passion Red, Marine Blue, Teal Bayou Green dan Quartz Black. Warna hijau berkenaan adalah baru untuk Proton, dan ada juga penawaran warna hitam (sebelum ini hanya untuk kenderaan kerajaan, selain beberapa versi edisi terhad).

    Tarikh pelancaran Proton S70 sudah tidak lama lagi. Terus perhatikan ruang ini untuk perkembangan selanjutnya kelak.

     
     
  • PLUS kongsi panduan tol percuma di Lebuhraya Utara-Selatan, LPT2 pada 11-12 Nov sempena Deepavali

    PLUS kongsi panduan tol percuma di Lebuhraya Utara-Selatan, LPT2 pada 11-12 Nov sempena Deepavali

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyambut baik keputusan Kerajaan berhubung pemberian tol percuma kepada rakyat yang menggunakan perkhidmatan rangkaian Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi semua kelas kenderaan yang bermula 12.01 pagi pada 11 November (Sabtu) hingga 11:59 malam pada 12 November (Ahad) bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pagi tadi.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, “Semasa pemberian tol percuma
    selama dua hari dilaksanakan, pengguna lebuh raya dapat menikmati faedah tersebut di 92 plaza tol sepanjang lebuh raya kendalian PLUS dan juga di 10 plaza tol di LPT2.

    “Walau bagaimanapun, pemberian tol percuma tidak ditawarkan di plaza tol lebuh raya di sempadan negara iaitu di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (di Tambak Johor) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura -Linkedua).”

    Sehubungan itu, PLUS berkongsikan panduan berkenaan pemberian tol percuma yang boleh dinikmati oleh semua kelas kenderaan di rangkaian Lebuhraya PLUS dan LPT2 pada tarikh yang diumumkan itu.

    Klik untuk besarkan

    Menurut PLUS, sekiranya pengguna lebuh raya memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) atau SmartTAG, mereka masih perlu menyentuh kad TnG atau menggunakannya bersama peranti SmartTAG mereka di lorong tol di plaza tol untuk rekod perjalanan. Namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad TnG tersebut.

    Malah pengguna kad TnG juga dinasihati supaya memeriksa status kad TnG sebelum perjalanan mereka dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd. Ini adalah bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol jika terdapat pengguna menggunakan kad TnG yang tidak aktif dan telah dinyahaktif.

    Begitu juga jika pengguna lebuh raya memilih untuk menggunakan RFID, mereka perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID yang disediakan. Sepertimana kad Touch ‘n Go dan SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet Touch ‘n Go mereka.

    Bagi pengguna lebuh raya di plaza tol sistem tertutup pula akan menikmati tol percuma ketika
    melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.

    Klik untuk besarkan

    “Kepada orang ramai yang ingin bergerak masa hari-hari puncak, terutamanya pada dua hari
    tersebut, PLUS menasihatkan orang ramai supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan oleh PLUS sebelum ini.

    “Rancang perjalanan anda dengan teliti untuk mengurangkan kesesakan, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mendapat rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan,” tambahnya lagi.

    Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara serta menyarankan penggunaan Aplikasi Waze atau Google Maps semasa pemanduan untuk mendapatkan status trafik terkini sepanjang musim perayaan ini.

     
     
  • Honda CB650R, CBR650R 2024 terima peningkatan – model pertama guna teknologi E-Clutch, skrin TFT

    Honda CB650R, CBR650R 2024 terima peningkatan – model pertama guna teknologi E-Clutch, skrin TFT

    Selepas menerima peningkatan besar pada tahun 2021, Honda CB650R dan CBR650R sekali lagi diberi naik taraf untuk model tahun 2024. Ini melibatkan bahagian penampilan, teknologi serta sistem suspensi.

    Sebagai permulaan, dua model yang menggunakan asas sama ini menerima lampu hadapan dan belakang, tempat duduk serta panel badan serba baru. Bagi CBR650R yang merupakan model sport, anda boleh melihat panel badan baru sehingga ke tepi dan bawah.

    Satu lagi peningkatan penting adalah di bahagian kokpit, di mana CB650R dan CBR650R menerima skrin TFT lima inci berwarna penuh, yang juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi RoadSync. Selain memaparkan informasi penting motosikal, skrin ini juga boleh menunjukkan arah navigasi dan notifikasi telefon.

    Untuk mengawal paparan serta pilihan lain yang disediakan pada skrin ini, penunggang boleh menggunakan butang baru di bahagian kiri pemegang, yang dijadikan lebih ringkas serta mempunyai lampu untuk memudahkan penggunaannya.

    Enjin dua model ini tidak diusik, dan ia masih menggunakan unit empat silinder DOHC 649 cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 94 hp pada 12,000 rpm dan 64 Nm tork pada 8,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan, tetapi Honda menyediakan dua pilihan untuk sistem klacnya.

    Selain klac manual bertuil biasa dengan sistem slip & assist, CB650R dan CBR650R juga datang dengan pilihan E-Clutch baru, di mana penunggang tidak perlu menarik tuil untuk memasukkan gear pada bila-bila masa sahaja. Walaupun begitu, tuil klac masih ada dan penunggang masih boleh menggunakannya jika mahu. Dua model ini adalah model pertama yang menggunakan sistem klac baru daripada Honda ini.

    Bahagian lain masih kekal sama seperti ini, termasuk suspensi, seperti yang dinaik taraf pada tahun 2021, iaitu fork USD Showa Separate Function Big Piston (SFF- BP) 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban 10 tahap di belakang. Brek pula terdiri daripada unit cakera 310 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera 240 mm dengan angkup satu piston di belakang – ABS dual-channel diberikan secara standard.

    CB650R dan CBR650R juga datang dengan sistem kawalan cengkaman HSTC, serta kelengkapan lain seperti pengecas USB, rim aluminium 17 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang serta tangki bahan api 15.4 liter. Berat keseluruhan CB650R adalah 205 kg (207 kg dengan E-Clutch), manakala CBR650R mencatat 209 kg (211 kg dengan E-Clutch).

    GALERI: Honda CB650R 2024

    GALERI: Honda CBR650R 2024

     
     
  • Lebuhraya KLK, LPT1 dijangka dilalui 1 juta kenderaan pada 10-13 Nov sempena Deepavali – sila rujuk TTA

    Lebuhraya KLK, LPT1 dijangka dilalui 1 juta kenderaan pada 10-13 Nov sempena Deepavali – sila rujuk TTA

    ANIH Berhad menjangkakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sebanyak 692,000 kenderaan bakal menggunakan lebuhraya terbabit pada 10 hingga 13 November 2023 sempena cuti perayaan Deepavali yang bakal disambut Ahad ini (12 November). Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan peningkatan sebanyak 73% daripada purata trafik pada hari biasa.

    Manakala di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pula, syarikat konsesi tersebut menjangkakan kenaikan 58% jumlah trafik pada tarikh yang sama iaitu kira-kira 284,000 kenderaan.

    Justeru, syarikat pengendali kedua-dua lebuhraya terbabit telah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi tarikh berkenaan bagi membantu para penggunanya merancang perjalanan semasa cuti perayaan Deepavali ini.

    Lebuhraya KLK, LPT1 dijangka dilalui 1 juta kenderaan pada 10-13 Nov sempena Deepavali – sila rujuk TTA

    Bagi yang datang dari arah KL dan Selangor, dan memulakan perjalanan antara hari ini dan esok (10-11 Nov), anda diminta bergerak selepas 10 pagi atau selepas 8 malam jika ke Pahang, sebelum 10 pagi atau selepas 8 malam bagi yang ke Terengganu dan yang menuju ke Kelantan, dicadangkan bergerak sebelum 10 pagi atau selepas 5 petang.

    Untuk perjalanan kembali ke KL dan Selangor pada 13 November ini, anda disarankan bergerak selepas jam 10 pagi atau selepas jam 5 petang jika dari Pahang. Bagi yang datang dari arah Terengganu, disarankan mula bergerak selepas 11 pagi atau selepas 5 petang. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan bergerak selepas 3 petang atau selepas 10 malam.

    Waktu perjalanan bebas pula dari mana-mana destinasi adalah antara 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Untuk bas ekspres pula, untuk destinasi ke Pantai Timur, disarankan memasuki Plaza Tol Gombak antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari atau 9.30 malam hingga 12 tengahmalam. ANIH memaklumkan, kenderaan ringan tidak digalakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.

    Lebuhraya KLK, LPT1 dijangka dilalui 1 juta kenderaan pada 10-13 Nov sempena Deepavali – sila rujuk TTA

    Berkenaan dengan tol percuma pada 11 hingga 12 November 2023 yang diumumkan kerajaan sempena Deepavali, para pengguna Tounch ‘n Go diingatkan untuk tetap menyentuh kad pada mesin pengesan di lorong plaza tol.

    Selain itu, para pengguna diingatkan untuk memastikan baki semua mod pilihan pembayaran adalah mencukupi biar pun tol percuma untuk tarikh berkenaan. Dan untuk mendapatkan tol percuma, pengguna lebuhraya diingatkan supaya keluar lebuhraya pada hari dan tempoh waktu yang telah ditetapkan iaitu mulai 12.01 tengahmalam pada 11 November hingga 11.59 malam pada 12 November 2023.

     
     
  • Honda Prelude generasi baharu adalah model hibrid global, RHD dan LHD, coupe 2-pintu 4-tempat duduk

    Honda Prelude generasi baharu adalah model hibrid global, RHD dan LHD, coupe 2-pintu 4-tempat duduk

    Model konsep Honda Prelude yang muncul di Japan Mobility Show 2023 bulan lalu disahkan bakal direalisasikan dalam bentuk produksi pada masa akan datang. Menurut laporan dari portal automotif Australia Carsguide, Prelude generasi baharu tersebut akan dihasilkan sebagai model global dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan kanan, serta bakal dilancarkan pada 2025.

    “Ini merupakan prototaip dan kami masih lagi membangunkannya, jadi seperti yang presiden [Toshihiro] Mibe katakan, walaupun masa yang tepat tidak dapat dikongsi ketika ini, kami sasarkan untuk menawarkannya dalam pasaran sekitar pertengahan-2020’an,” kata ketua jurutera projek besar Honda Tomoyuki Yamagami, yang juga merupakan ketua pembangunan Honda Civic generasi ke-11.

    “Ya, ia akan diposisikan sebagai model global, jadi kami akan hasilkan dalam versi pemanduan sebelah kiri dan kanan,” tambahnya lagi. Buat masa sekarang Honda masih belum mendedahkan sebarang perincian teknikal berkenaan Prelude ini, namun ia sudah disahkan sebagai sebuah model hibrid, bukan janaan elektrik (EV) sepenuhnya.

    Honda Prelude generasi baharu adalah model hibrid global, RHD dan LHD, coupe 2-pintu 4-tempat duduk

    Yamagami turut menjelaskan bahawa Prelude ini bukanlah model yang fokus terhadap prestasi di litar seperti Honda Civic Type R mahupun Acura Integra Type S. “Ia bukanlah kereta yang paling sporty, paling lincah untuk di bawa ke litar, jadi ini satu perkara. Satu lagi ia bakal menjadi ‘prelude’ (pemula) bagi kenderaan elektrik yang akan dilancarkan oleh Honda,” katanya.

    “Jadi inilah sebabnya, kerana ia akan menjadi salah satu model sedemikian yang terawal, kami rasa nama Prelude adalah sangat sesuai untuk model ini. Kami akan membangunkan model empat tempat duduk, jadi anda juga akan dapat lihat tempat duduk baris kedua turut disediakan,” jelas Yamagami lagi.

    Dengan perincian yang didedahkan oleh Yamagami ini, tak mustahil Prelude turut dihasilkan dengan platform yang sama dengan Civic generasi ke-11. Ini bukan perkara yang mustahil kerana Acura Integra dan Integra Type S pasaran Amerika Syarikat turut menggunakan platform dan unit rangkaian kuasa yang sama dengan Civic Si dan Civic Type R.

    Civic turut mempunyai varian hibrid elektrik e:HEV yang menghasilkan kuasa lebih besar dari enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada model biasa. Ia menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik.

    Enjin petrol tersebut tidak memacu terus roda, sebaliknya dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri. Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm.

    Namun ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol menerusi transmisi E-CVT. Jadi dengan unit rangkaian kuasa hibrid hampir sama seperti EV sebenar yang agak berkuasa, serta digandingkan dengan bentuk badan sporty dua pintu, Prelude mungkin diletakkan sebagai model seperti Honda CR-Z sebelum ini.

    Buat masa sekarang Civic di pasaran Amerika Syarikat tidak lagi ditawarkan dalam bentuk badan coupe dua pintu seperti model generasi kelima hingga ke-10, meninggalkan satu lompong dalam pilihan model-model yang ditawarkan oleh Honda. Dan dengan disahkan ia akan dijual dipasaran global, mungkin Malaysia turut akan menerima Honda Prelude yang dilahirkan semula ini?

    GALERI: Honda Prelude Concept di Japan Mobility Show 2023

     
     
  • Kawasaki Ninja 500 dan Z500 diperkenal – enjin dua silinder 451 cc, kuasa 45 hp, enam kelajuan, meter TFT

    Kawasaki Ninja 500 dan Z500 diperkenal – enjin dua silinder 451 cc, kuasa 45 hp, enam kelajuan, meter TFT

    Julai lalu Kawasaki telah menunjukkan mereka mempunyai enjin baru, yang diambil daripada model Ninja 400 dan Z400, tetapi dinaikkan kapasitinya menjadi 451 cc. Walaubagaimanapun, ia dipasang pada model cruiser Eliminator 450 dan bukannya Ninja atau Z.

    Sekarang ia akhirnya berlaku apabila pengeluar Jepun itu mendedahkan Ninja 500 dan Z500, yang menggunakan enjin dua silinder selari tersebut, dengan kuasa yang ditetapkan pada 45 hp dan tork 43 Nm bagi memastikan ia boleh digunakan oleh pemegang lesen A2 di Eropah dan United Kingdom. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac slip & assist.

    Binaan serta rekaan pula kedua-duanya tidak jauh dengan versi 400 dan 650 yang dijual di negara kita, dengan hanya beberapa perubahan kecil seperti kemasan lampu hadapan serta pilihan warna. Kemudiannya, Kawasaki juga memperkenalkan versi Special Edition (SE) untuk kedua-dua Ninja 500 dan Z500.

    Versi SE ini dijadikan berbeza dengan naik taraf kelengkapan termasuk skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar, soket pengecas USB-C (model biasa menggunakan skrin LCD), penghadang angin smoke, penutup tempat duduk belakang serta pelindung enjin. Khas untuk Ninja 500 SE, ia menerima grafik istimewa, serta sistem kunci pintar.

    Spesifikasi penuh Ninja 500 dan Z500 masih belum didedah, tetapi ia diberitahu akan ditawarkan dalam warna hitam bagi Z500 Standard dan pilihan merah/kelabu atau hijau/hitam untuk Z500 SE, dan hitam untuk Ninja 500 dan hijau atau hitam untuk Ninja 500 SE.

    GALERI: Kawasaki Z500 2024

    GALERI: Kawasaki Ninja 500 2024

     
     
  • Lorong bas Rapid KL di Jalan Ampang akan beroperasi pada waktu petang mulai 15 Nov 2023

    Lorong bas Rapid KL di Jalan Ampang akan beroperasi pada waktu petang mulai 15 Nov 2023

    Rapid KL telah mengumumkan lorong khas bas di Jalan Ampang juga akan beroperasi pada waktu petang bermula 15 November 2023. Ia akan melibatkan bas Rapid KL laluan 300 dan 303, iaitu perjalanan antara Jalan Ampang dan Pusat Bandar. Laluan bas ini akan beroperasi dari jam 4.30 petang hingga 7 malam.

    Menurut Rapid KL, kekerapan untuk kedua-dua laluan bas berkenaan adalah 10 minit, tetapi bergantung pada bilangan bas yang beroperasi dan keadaan aliran trafik semasa.

    Sebelum ini, laluan bas tersebut hanya beroperasi pada jam 6 pagi hingga 9 pagi. Dengan pengumuman Rapid KL, ini bermakna laluan bas tersebut akan beroperasi pada waktu puncak pagi dan petang, dari Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk cuti umum.

    Sebelum ini, ia adalah aliran kontra untuk bas Rapid KL di Koridor Ampang yang melibatkan laluan yang melalui Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak. Buat pertama kalinya konsep ini diperkenalkan di Malaysia dan dimulakan pada 3 Januari lalu.

    Ia merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengurangkan kesesakan trafik di tengah ibu kota KL khususnya pada waktu puncak pagi dan petang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025