Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua naikkan sasaran pengeluaran sebanyak 338k unit dan jualan pula 325k unit menjelang akhir 2023

    Perodua naikkan sasaran pengeluaran sebanyak 338k unit dan jualan pula 325k unit menjelang akhir 2023

    Perodua telah mengumumkan keputusan untuk menaikkan sasaran pengeluarannya tahun ini kepada 338,000 unit dan menetapkan sasaran jualan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 325,000 unit kenderaan menjelang akhir tahun ini. Menurutnya, keputusan tersebut didorong oleh bekalan komponen yang bertambah baik daripada vendor automotif serta permintaan yang sihat bagi model keluarannya.

    “Bulan ini menyaksikan Perodua mencatatkan prestasi pengeluaran dan jualan tertinggi, masing-masing 35,111 unit dan 33,836 unit dalam hanya tempoh sebulan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

    Tambah beliau, peningkatan dalam pengeluaran dapat dicapai dengan sumber yang tersedia dalam ekosistem automotif semasa, dan perkembangan itu memberi petunjuk kepada potensi pertumbuhan bagi kedua-dua sisi permintaan dan bekalan dalam industri berkenaan.

    “Walaupun terdapat beberapa isu seperti ketersediaan bekalan cip semikonduktor dalam jangka panjang masih berlaku, namun kami sudah mempunyai bekalan yang cukup. Justeru, prestasi suku keempat Perodua dijangka menjadi yang terbaik dalam sejarah,” katanya lagi.

    Bagi aspek jualan dari Januari hingga Oktober 2023, sebanyak 267,063 unit telah didaftarkan, dengan kenaikan sebanyak 20.2% daripada 222,203 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

    Perodua naikkan sasaran pengeluaran sebanyak 338k unit dan jualan pula 325k unit menjelang akhir 2023

    Manakala bagi asas tahun ke tahun, Perodua telah mengeluarkan 280,452 unit kenderaan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, dengan kenaikan sebanyak 22% berbanding 229,811 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

    “Jika momentum ini berterusan, industri automotif berpeluang untuk terus berkembang pada tahun 2024 dan ia akan membantu melonjakkan sentimen pengguna walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi tahun hadapan.

    “Pada masa ini, fokus kami adalah untuk memaksimumkan potensi syarikat dalam aspek pengeluaran dan jualan bagi membolehkan para pelanggan kami menerima kenderaan Perodua mereka dengan lebih pantas,” tambahnya.

    Pada Januari 2023, Perodua mengumumkan sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 unit dan sasaran jualan sebanyak 314,000 kenderaan berdasarkan momentum jualan yang diterima berhubung lanjutan penghantaran bagi kenderaan yang mendapat pengecualian cukai jualan pada tahun 2021 di samping permintaan yang baik terhadap model Axia.

     
     
  • Proton X50 facelift 2024 dilihat sedang diuji – guna rekaan dari Geely Binyue facelift yang lebih agresif

    Proton X50 facelift 2024 dilihat sedang diuji – guna rekaan dari Geely Binyue facelift yang lebih agresif

    Nampaknya tahun depan Proton bukan hanya akan melancarkan versi facelift untuk SUV segmen-C X70, dan ia akan disertai oleh adiknya yang kini sudah berada tiga tahun dalam pasaran iaitu Proton X50. Ini dia unit ujian untuk SUV segmen-B berkenaan yang sudah dilihat diuji di atas jalan raya awam.

    Imej berkenaan dikongsikan oleh Zany Muhammad di laman Facebook Proton X50 Community Malaysia (PX50CM). Dapat dilihat bahagian belakang badan SUV tersebut menerima pelekat penyamaran pada pintu tailgate, bampar dan set rim menandakan bahagian yang dijangka akan menerima perubahan dari versi sedia ada.

    Dan dapat dilihat unit ujian ini turut menerima spoiler belakang yang jauh lebih besar dan juga rekaan baharu pada lampu belakang. Jika dilihat dengan lebih teliti, rekaan-rekaan tersebut adalah mirip dengan kembarnya untuk pasaran China iaitu Geely Binyue facelift yang telah pun diperkenalkan tahun lalu.

    Binyue facelift di China menerima rekaan yang lebih agresif serta perubahan agak besar pada bahagian hadapan dan belakang. Untuk muka, ia diberikan lampu utama baharu yang lebih nipis dan tajam, bersama gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus.

    Geely Binyue facelift 2022 pasaran China

    Manakala di belakang, lampu SUV kompak ini menampilkan rekaan yang lebih nipis, dan ia kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan perumah nombor pendaftaran telah dialihkan ke bawah. Bampar juga direka semula dengan lebih garang, menampilkan reflektor yang kini diposisikan menegak dan lebih tinggi pada perumah berbentuk seperti liang ambilan udara.

    Empat tip ekzos pada bampar masih lagi dikekalkan, dengan diffuser yang direka semula untuk disesuaikan dengan imej baharu ini.

    Geely Binyue facelift 2022 di China kini sudahpun menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 181 hp. Namun untuk Proton X50 facelift 2024 kelak boleh dijangka ia akan masih dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo berkuasa 177 PS/255 Nm.

    Ini kerana Proton baru sahaja melabur sejumlah RM1.8 bilion untuk kilang enjinnya di Tanjung Malim, Perak bagi memproduksi enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder tersebut bermula tahun lalu, dan menyatakan bahawa ia akan menjadi enjin utama bagi model-model baharunya selepas ini.

     
     
  • Mercedes-AMG GLE53 Coupe facelift tiba di Malaysia – 3.0L turbo 435 PS, sembilan kelajuan, RM874k

    Mercedes-AMG GLE53 Coupe facelift tiba di Malaysia – 3.0L turbo 435 PS, sembilan kelajuan, RM874k

    Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe generasi kedua C254 bukanlah satu-satunya model yang dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia hari ini, tetapi GLE Coupe facelift juga turut diperkenalkan.

    Model C167 yang disegarkan kembali ini didedahkan kepada dunia Februari lalu, dan tiba di Malaysia dalam versi Mercedes-AMG GLE 53 4Matic+ Coupe, dengan sistem hibrid ringkas dan dijual pada harga RM873,888 tidak termasuk insurans.

    Perubahan yang dibuat pada bahagian luar adalah sedikit sahaja, dengan yang paling utama adalah lampu hadapan Mutlibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, dengan pencahayaan DRL baru. Bahagian bawah bampar turut diubah, dengan rekaan bukaan udara di tepi seperti sayap jet, gril radiator AMG dan lencana AMG pada bonet.

    Bahagian belakang pula menampilkan lampu LED yang diperkemas serta dua muncung ekzos, dan dijadikan lengkap dengan tambahan spoiler nipis di atas pintu but. Bagi roda, GLE 53 Malaysia datang dengan rim AMG 22 inci, kemasan bawah pintu dengan bintik getah serta berlampu, dan bumbung panoramik.

    Selain elemen penggayaan badan AMG, SUV prestasi ini turut datang dengan pakej AMG Night, yang memberikan kemasan berwarna hitam kilat, termasuk pada splitter hadapan, bahagian bawah bampar hadapan dan belakang, keliling tingkap serta belakang cermin sisi.

    Sama seperti bahagian luar, kabin GLE Coupe juga cuma melibatkan sedikit perubahan, dengan antaranya kemasan keliling corong pendingin hawa yang berwarna krom (sebelum ini hitam). Barangan lain yang diberikan terus adalah termasuk stereng AMG Performance yang dibalut kulit Nappa, kemasan gentian karbon, alas kaki AMG serta pakej dalaman krom.

    Mercedes-AMG GLE53 Coupe facelift tiba di Malaysia – 3.0L turbo 435 PS, sembilan kelajuan, RM874k

    Pada bahagian lain, papan pemuka serta tepi pintu dibalut dengan kulit tiruan Artico, dan pelbagai lagi kelengkapan seperti pakej Keyless-Go Comfort, pengecas tanpa wayar serta pakej Energising/Air Balance.

    Untuk skrin digital, model masih menggunakan dua unit 123 inci, tetapi sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) telah dikemas kini kepada generasi kedua, yang memberikan pengenalan suara serta sokongan kepada Android Auto dan Apple CarPlay yang lebih baik. Pembesar suara menggunakan unit Burmester.

    Penggerak GLE 53 adalah enjin enam silinder sebaris 3.0L turbo, yang mampu menghasilkan 435 PS (429 hp atau 320 kW) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 560 Nm dari 2,200 hingga 5,000 rpm. Tork model facelift ini naik 40 Nm hasil daripada pengecas turbo yang lebih besar serta pelarasan perisian untuknya.

    Sama seperti GLC 300 4Matic Coupe, GLE 53 4Matic+ Coupe ini juga datang dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, yang menggunakan starter-generator bersepadu (ISG) generasi kedua. ISG ini membolehkan fungsi meluncur dan start/stop enjin yang lebih lancar dan memberikan tambahan kuasa 23 PS (20 hp atau 15 kW) dan tork 200 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa lima saat dan laju maksimum adalah 250 km/j.

    Spesifikasi AMG membawa maksud model ini datang dengan transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ dengan pengagihan kuasa boleh ubah serta suspensi udara AMG Ride Control+ dengan penyerap boleh laras adaptif. GLE 53 Coupe pasaran Malaysia juga datang dengan AMG Active Ride Control secara standard.

    Sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang diberi antaranya termasuk Driving Assistance Package Plus, Distronic Active Distance Assist, beg udara bidai, tepi dan kaki, Pre-Safe Impulse Side serta Parking Package dengan kamera 360 darjah Parktronic.

     
     
  • Toyota Veloz X-Urban diperkenalkan di Thailand – kit badan lasak ala-SUV, harga tambahan RM5.2k

    Toyota Veloz X-Urban diperkenalkan di Thailand – kit badan lasak ala-SUV, harga tambahan RM5.2k

    Toyota Thailand telah memperkenalkan pakej aksesori X-Urban untuk Toyota Veloz, iaitu pakej penggayaan yang akan membuatkan MPV tujuh-tempat duduk berkenaan nampak lebih lasak seperti SUV.

    Komponen utama untuk pakej aksesori X-Urban ini adalah kit badan tambahan yang terdiri dari kemasan ala-skid plate pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang, kemasan-kemasan pelindung plastik pada sekeliling ruang roda dan bawah pintu, serta emblem Urban-X yang dilekat pada pintu tailgate belakang.

    Pakej ini juga datang sekali dengan rim 17-inci dua-tona dengan rekaan jejari berbeza dari rim 17-inci Veloz biasa, lengkap dengan penutup tengah dengan logo ‘X’. Menurut Toyota Thailand, sekiranya pelanggan memilih rim baharu ini, rim standard pada Veloz tidak boleh dipulangkan.

    Toyota Veloz X-Urban diperkenalkan di Thailand – kit badan lasak ala-SUV, harga tambahan RM5.2k

    Kit ini boleh dipadankan pada kedua-dua varian Veloz pasaran Thailand iaitu Smart dan Premium, dan dijual pada harga 39,900 baht (RM5.2k). Veloz pasaran Thailand ini dijual pada harga 795,000 baht (RM105k) untuk varian asas Smart, sehingga 875,000 baht (RM115k) untuk varian Premium.

    Untuk perincian lebih lengkap berkenaan spesifikasi Veloz pasaran Thailand, anda boleh baca pada PAUTAN INI. Pembelian aksesori asli X-Urban ini akan diberikan waranti pengeluar selama tiga-tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

    Toyota Veloz juga sudahpun dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu, ditawarkan dalam satu varian tunggal berharga RM95,000. UMW Toyota turut menawarkan kit badan asli untuk Veloz ini yang nampak lebih elegen, dijual pada harga RM3,300.


     
     
  • Mercedes-Benz GLC300 4Matic Coupé 2024 di Malaysia – 2.0T hibrid ringkas, AMG Line; RM469,888

    Mercedes-Benz GLC300 4Matic Coupé 2024 di Malaysia – 2.0T hibrid ringkas, AMG Line; RM469,888

    Selepas dua bulan SUV Mercedes-Benz GLC300 4Matic pemasangan tempatan (CKD) diperkenalkan di pasaran Malaysia, kini tibalah pula versi coupe dilancarkan. Model import sepenuhnya (CBU) ini ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM469,888 tanpa insurans.

    Sama seperti versi SUV, GLC 300 4Matic Coupé 2024 ini turut menerima unit 2.0 liter turbo empat silinder petrol bersama sistem hibrid ringkas 48-voltan, sekaligus mampu menghasilkan 258 hp pada 5,800 rpm dan tork 400 Nm dari 2,000 rpm hingga 3,200 rpm. Versi Coupe ini turut dipadankan bersama transmisi automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai cecah 246 km/j.

    Gandingan hibrid ringkas 48-voltan yang turut menampilkan Integrated Starter Generator Generation 2 , dengan kuasa 23 PS (23 hp atau 17 kW) dan tork 205 Nm memberikan rangsangan kuasa tambahan dan pemulihan tenaga yang lebih efisien. Pengendaliannya pula menerima gandingan suspensi Sport, dan sistem brek dengan cakera brek lebih besar pada gandar hadapan.

    Mercedes-Benz GLC300 4Matic Coupé 2024 di Malaysia – 2.0T hibrid ringkas, AMG Line; RM469,888

    GLC 300 4Matic Coupé 2024 ini memiliki dimensi yang lebih besar iaitu berukuran 4,763 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,699 mm tinggi, menjadikannya 31 mm lebih panjang dan lima mm lebih tinggi berbanding model sebelumnya, manakala ukuran lebarnya dikekalkan. Manakala jarak rodanya juga dipertingkat, dengan enam mm untuk hadapan (kini 1,627 mm) dan 23 mm di belakang (kini 1,640 mm).

    Dimensi yang lebih panjang ini membolehkannya mendapat ruang but yang sedikit besar. Pertambahan sebanyak 45 liter menjadikan ruang but kini menjadi 545 liter dan sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan, kapasitinya dipertingkatkan kepada 1,490 liter.

    Untuk bahagian luarannya, GLC 300 4Matic Coupé 2024 diberikan kemasan AMG Line dengan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, rim aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 20-inci, pemijak kaki sisi, pencahayaan suasana dengan pantulan logo jenama, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan serta pakej cermin.

    Mercedes-Benz GLC300 4Matic Coupé 2024 di Malaysia – 2.0T hibrid ringkas, AMG Line; RM469,888

    Selain itu, ia ditambah dengan Handsfree Access, iaitu pintu but automatik yang boleh dibuka dengan hanya menghayunkan kaki di bawah bampar, serta bumbung suria gelangsar panoramik yang boleh dibuka.

    Untuk bahagian kabinnya, sama seperti versi SUV, GLC 300 4Matic Coupé 2024 mengekalkan pakej AMG Line, yang menampilkan stereng sports pelbagai fungsi dibalut kulit Nappa, serta balutan kulit sintetik Artico pada bahagian lain termasuk tempat duduk. Malahan tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori turut diberikan.

    Turut diberikan alas kaki AMG, lapik bumbung hitam, kemasan besi, lampu pada bahagian tepi pintu, pakej Keyless Go, pakej Boot Comfort, kawalan suhu automatik THERMATIC, lampu suasana, roller sunblind untuk pintu belakang kiri dan kanan, cermin pandang belakang auto-kelam, cermin akustik serta soket 12V di bahagian ruang barangan.

    Klik untuk besarkan

    Sistem infotainmen terus menggunakan kit multimedia dan navigasi MBUX, skrin instrumen digital resolusi tinggi 12.3-inci di hadapan dan skrin sesentuh 11.9-inci di bahagian tengah yang beroperasi dengan sistem infotainmen MBUX terkini, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Turut dikekalkan adalah sistem pengecas tanpa wayar di hadapan, sistem bunyi 15-pembesar suara Burmester 3D serta pakej USB.

    Aspekkeselamatan dan bantuan pemandu pula terdiri daripada Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, kamera 360 darjah serta Active Parking Assist. Turut diberi adalah sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz, perlindungan kenderaan Guard 360, penggera anti kecurian, pemantauan tekanan angin tayar Pre-Safe, Tirefit dan pengimbas cap jari.

    Sekali lagi,GLC 300 4Matic Coupé 2024 telah pun tiba di Malaysia dan ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM469,888 dengan cukai jualan 10% (untuk Semenanjung Malaysia) dan tanpa insurans.

     
     
  • Kerajaan sedang bincang tol percuma Deepavali 2023

    Kerajaan sedang bincang tol percuma Deepavali 2023

    Rakyat Malaysia telah pun menikmati tol percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina tahun ini. Manakala untuk sambutan Deepavali yang akan disambut hujung minggu ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa perkara itu masih dalam perbincangan.

    Ia disebut oleh Ahmad dalam persidangan Dewan Rakyat semalam dan menambah antara perkara yang perlu diteliti adalah aspek perkongsian kos dengan syarikat pengendali lebuh raya, lapor Bernama.

    “Kita tahu tentang cadangan pengecualian bayaran tol yang banyak kali disentuh ahli yang berhormat termasuk oleh Ahli Parlimen Bagan (Lim Guan Eng).

    “Untuk makluman, tol percuma dalam perbincangan. Insya-Allah ada berita baik, tunggulah dalam masa dua tiga hari lagi, kerajaan akan umumkan,” katanya.

    Terdahulu, Ahli Parlimen PH-Jelutong RSN Rayer telah meminta Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk memberikan sebarang pelepasan tol sempena Deepavali pada sesi pertanyaan lisan.

    Namun menurut Abdul Rahman sebarang pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

     
     
  • Stellantis sedang pertimbang buka hab pengeluaran EV ASEAN di Malaysia menerusi kilangnya di Gurun

    Stellantis sedang pertimbang buka hab pengeluaran EV ASEAN di Malaysia menerusi kilangnya di Gurun

    Kumpulan automotif Stellantis kini sedang membuat penilaian terhadap kilang pengeluaran miliknya di Gurun, Kedah bagi melihat potensi fasiliti tersebut untuk dijadikan hab produksi serantau kenderaan-kenderaan elektrik bateri (BEV) yang akan dijual di pasaran domestik dan eksport.

    Kilang berkenaan diambil alih sepenuhnya oleh Stellantis dari Naza Automotive Manufacturing (NAM) pada November 2021, yang kini memproduksi model-model seperti Peugeot 2008, 3008 dan 5008 bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah turut dieksport ke Filipina, Thailand dan Kemboja.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Stellantis “mensasarkan untuk membawa platfom STLA Medium ke rantau ASEAN” bagi membolehkannya memasang kenderaan pelbagai-tenaga (enjin pembakaran dalaman, hibrid ringkas dan BEV) ke pasaran ASEAN bagi pasaran ASEAN, yang boleh menghasilkan peluang sumber tempatan untuk pembekal dan pengilang tempatan melebihi RM5 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa pelaburannya dalam pasaran ASEAN untuk elektrifikasi “boleh menambah pertumbuhan disebabkan ekosistem elektrifikasi tempatan, termasuk pemasangan pek bateri tempatan dan peluang pekerjaan baharu yang berkaitan,” dan dengan itu membuka peluang baharu melangkaui pembuatan kenderaan.

    Stellantis sedang pertimbang buka hab pengeluaran EV ASEAN di Malaysia menerusi kilangnya di Gurun

    Platform STLA Medium merupakan salah satu dari tiga platform unibody milik Stellantis yang dihasilkan untuk kenderaan kompak menggunakan pek bateri berkapasiti antara 87 hingga 104 kWj untuk jarak gerak sehingga 700 km. Selain itu Stellantis turut mempunyai platform STLA Frame untuk model-model badan yang boleh dipisahkan dari casis seperti trak pikap besar serta kenderaan-kenderaan komersil.

    Selain dari kilangnya di Gurun, Stellantis turut bekerjasama dengan kerajaan Indonesia dan pemegang-pemegang taruh lain di negara berkenaan sebagai salah satu rancangannnya untuk pelaburan lokalisasi serta meningkat sumber material bateri.

    Menerusi perjanjian dengan Indomobil Group, Stellantis bakal memulakan pemasangan model-model Citroën di Indonesia bermula 2024.

     
     
  • Subsidi bersasar petrol, diesel dilaksana dalam 3 kaedah, mekanisme dimuktamadkan bulan ini – Rafizi

    Subsidi bersasar petrol, diesel dilaksana dalam 3 kaedah, mekanisme dimuktamadkan bulan ini – Rafizi

    Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengesahkan mekanisme bagi pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol dan diesel akan dikemukakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada bulan ini atau selewat-lewatnya Disember, dan dijangka dilaksanakan selepas Mac 2024.

    Beliau berkata setakat ini, tiga kaedah dipertimbangkan bagi pemberian subsidi bersasar iaitu mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih kepada individu menerusi pendekatan perlindungan sosial, isi rumah melalui pendekatan hibrid iaitu perlindungan sosial dan bantuan sosial serta isi rumah dan individu menggunakan kaedah kad subsidi.

    Tambahnya, pelaksanaan subsidi bersasar itu hanya dapat dilakukan selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dibuka kepada rakyat bagi membolehkan semakan maklumat serta verifikasi kelayakan setiap isi rumah dijalankan, laporan Bernama.

    “Mengikut keputusan sekarang, PADU akan hanya dibuka pada Januari 2024 dan tempoh masa untuk rakyat mengemaskini serta mengesahkan maklumat dalam PADU adalah selama tiga bulan,” katanya bagi menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai mekanisme subsidi bersasar berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

    Subsidi bersasar petrol, diesel dilaksana dalam 3 kaedah, mekanisme dimuktamadkan bulan ini – Rafizi

    Menurutnya, sejak 2015 sehingga 2023, jumlah subsidi dan bantuan sosial yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM294.5 bilion atau 10.9% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh yang sama.

    Walau bagaimana pun, katanya, Belanjawan 2024 memperuntukkan RM58.1 bilion untuk membiayai pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kepada rakyat.

    “Kerajaan mengenal pasti penyasaran semula subsidi sebagai inisiatif utama bagi memastikan keberkesanan pemberian bantuan serta menambah baik kedudukan fiskal kerajaan…perbincangan mengenai kaedah pelaksanaan program subsidi petrol dan diesel dilakukan di Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Mei, Jun, Julai dan September,” katanya lagi menurut laporan Berita Harian.

    Rafizi berkata, mengikut pelan pelaksanaan dan garis masa yang ditetapkan untuk mengimbangi risiko inflasi yang bersifat spekulatif, kerajaan tidak mengumumkan bentuk dan kaedah penyasaran semula subsidi diesel dan petrol secara terperinci buat masa ini.

     
     
  • Honda Civic Type R-GT Concept – prebiu jentera GT500 ganti NSX-GT dalam Super GT musim 2024

    Honda Civic Type R-GT Concept – prebiu jentera GT500 ganti NSX-GT dalam Super GT musim 2024

    Honda sekali lagi menayangkan kereta lumba konsep Honda Civic Type R-GT di Japan Mobility Show 2023 selepas ia didedahkan buat pertama kali di Tokyo Auto Salon pada Januari lalu. Kereta ini merupakan bayangan kepada jentera lumba Civic Type R FL5 yang akan menggantikan Honda NSX GT dalam perlumbaan Super GT untuk kelas GT500 yang akan direhatkan pada penghujung musim ini.

    Jentera lumba sebenar Honda Civic Type R-GT ini sebenarnya sudahpun didedahkan pada Julai lalu dan ia sudahpun melengkapkan sesi ujian awalan. Civic menggantikan NSX dalam perlumbaan berkenaan kerana NSX generasi kedua tersebut sudah tidak lagi dijual dalam pasaran selepas produksinya dihentikan pada penghujung 2021.

    Peralihan dari NSX ke Civic Type R ini juga dilihat lebih relevan kerana jentera-jentera GT500 kini sudahpun menggunakan undang-undang FIA Class 1 yang sama seperti perlumbaan DTM di Jerman. Menurut spesifikasi tersebut, semua dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris yang diletak pada bahagian hadapan kereta.

    Honda Civic Type R-GT Concept – prebiu jentera GT500 ganti NSX-GT dalam Super GT musim 2024

    Walau bagaimanapun ia tidak menggunakan kerangka asal Civic Type R FL yang dijual di bilik pameran, sebaliknya menggunakan casis monocoque karbon, dan kuasa dari enjin perlu memacu roda belakang.

    Untuk pengetahuan anda juga, NSX-GT sebelum ini sudah pun dijana oleh enjin 2.0 liter dengan kedudukan enjin dialih dari tengah ke bahagian hadapan bermula pada musim 2020 bagi disesuaikan dengan undang-undang FIA Class 1 tersebut.

    Honda tidak mengumumkan sebarang spesifikasi jentera ini, namun ia sepatutnya menggunakan enjin yang sama seperti NSX-GT sebelum ini yang menghasilkan sekitar 650 hp sama seperti jentera-jentara GT500 yang lain. Perlumbaan Super GT 2024 akan bermula pada April nanti dengan pusingan pertama akan berlangsung di Litar Antarabangsa Okayama.

     
     
  • smart Malaysia perluas rangkaian pengecas EV DC – 120 kW di Pulau Pinang, 60 kW di Ipoh dan Glenmarie

    smart Malaysia perluas rangkaian pengecas EV DC – 120 kW di Pulau Pinang, 60 kW di Ipoh dan Glenmarie

    Pengecas DC smart Pulau Pinang

    Sebelum smart #1 dilancarkan di Malaysia secara rasmi tidak lama lagi, smart Malaysia komited untuk memulakan jaringan pengecasan pantas DC terlebih dahulu – selepas stesen DC 100 kW dilancarkan Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) minggu lalu, smart mengumumkan tiga lagi stesen pengecas kini sudah bersedia untuk digunakan.

    Dua daripadanya adalah unit 60 kW yang terletak di smart Glenmarie (EON) dan smart Ipoh (GB Auto), sementara satu lagi adalah stesen 120 kW di smart Pulau Pinang (Eleganz Lifestyle) yang terletak hanya lima minit dari Georgetown.

    smart Malaysia turut menyatakan selepas ini jaringan pengecas DC berkenaan akan diperluaskan lagi ke empat lokasi dalam masa terdekat, dimulakan dengan pengecas DC 50 kW di smart Alor Setar (Lee Motors).

    Pengecas DC smart Glenmarie dan smart Ipoh

    Selepas itu ia akan dikuti dengan smart Setia Alam (Wheelcorp EV), smart Johor Bahru (Motor Future) dan smart Melaka (Sigma Energy EV) dengan kapasiti dari 60 kW hingga 120 kW menjelang akhir tahun ini. Sama seperti pengecas di CoE, semua pengecas ini turut boleh digunakan untuk semua EV tanpa mengira jenama.

    Bagi pengguna smart #1 kelak, mereka boleh mendapatkan informasi langsung berkenaan pengecas-pengecas DC ini termasuk status ketersediaan dan sebagainya menerusi aplikasi Hello smart. Menurut smart Malaysia buat masa sekarang sebanyak 70% stesen pengecas EV awam telah diintegrasikan dalam aplikasi tersebut, dan selepas ini ia turut boleh digunakan sebagai medium pembayaran.

     
     
  • Sistem MLFF laksana ujian percubaan tahun depan, gabungkan penggunaan ANPR dan RFID – KKR

    Sistem MLFF laksana ujian percubaan tahun depan, gabungkan penggunaan ANPR dan RFID – KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melaksanakan ujian percubaan bagi sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) untuk kutipan tol di lebuh raya tahun hadapan. Walau bagaimana pun, kementerian terbabit tidak memaklumkan bilakah jangkaan sebenar ia akan dilaksanakan.

    Menurut Timbalan Menteri KKR Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, MLFF akan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).

    Di mana dengan pelaksanaan MLFF, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol, sekali gus meningkatkan kelancaran perjalanan di lebuh raya melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisien, laporan Bernama.

    “Saranan ahli Yang Berhormat sebentar tadi, kita telah membuat kajian (melibatkan) banyak negara dan kita nak supaya yang terbaik, sebab itu dalam proses kajian.

    Sistem MLFF laksana ujian percubaan tahun depan, gabungkan penggunaan ANPR dan RFID – KKR

    “…dalam masa sama kita akan cuba pada 2024, penggunaan tersebut secara percubaan kita nak melihat keadaannya lebih sesuai digunakan… kita telah pergi melihat banyak negara menggunakan MLFF ini, penggunaannya sangat baik, jadi insya-Allah kita akan cuba sedaya upaya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sama ada kerajaan bercadang melaksanakan sistem kutipan tol tanpa plaza tol dan palang.

    Pada hujung Mac lalu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan pelaksanaan Proof of Concept bagi sistem MLFF dengan memilih Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) sebagai lokasi pertama selewat-lewatnya hujung Oktober lalu. Manakala Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pula akan menjadi lokasi kedua pelaksanaan POC bagi menilai sistem MLFF. Nampak gayanya ujian percubaan MLFF ini tertunda ke tahun hadapan pula bagi membolehkan lebuhraya terlibat benar-benar bersedia untuk melaksanakannya.

     
     
  • Yamaha MT-09 SP 2024 diperkenal – naik taraf mono Ohlins, brek Brembo Stylema, sistem elektronik

    Yamaha MT-09 SP 2024 diperkenal – naik taraf mono Ohlins, brek Brembo Stylema, sistem elektronik

    Selepas MT-09 2024 diperkenalkan beberapa hari lalu, Yamaha kini mendedahkan pula versi prestasi bagi model naked tersebut, iaitu MT-09 SP. Ia menerima beberapa peningkatan penting untuk menjadikannya lebih sesuai untuk tunggangan dalam litar, termasuk pada bahagian suspensi, brek dan juga sistem elektronik.

    Fork hadapan MT-09 SP menggunakan unit Kayaba 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya, dan diperkemas lagi dengan warna keemasan di bahagian luar, sementara monoshock belakang dinaik taraf dengan unit Ohlins dengan kadar spring lebih tinggi serta pelarasan penuh termasuk tombol untuk pra beban di bahagian tepi.

    Set cakera brek berkembar di bahagian hadapan MT-09 SP ini dinaik taraf dengan angkup Brembo Stylema, sementara di belakang masih menggunakan tetapan sama seperti model standard.

    Melalui model 2024 yang diperkenalkan beberapa hari lalu, MT-09 mendapat dua mod yang boleh dilaras sebagai tambahan kepada tiga mod (Sport, Street dan Rain) sedia ada. Semua ini masih ada pada MT-09 SP tetapi ia ditambah lagi dengan mod Track yang di bawahnya ada lagi empat mod yang boleh dilaras secara lebih terperinci.

    Secara keseluruhannya, MT-09 SP ini ada sembilan mod tunggangan dan pelbagai pelarasan boleh dibuat termasuk penyampaian kuasa, campur tangan sistem kawalan cengkaman, ABS, Engine Brake Management (EBM) serta Brake Control. Kawalan untuk semua fungsi pada motosikal dan skrin boleh dibuat melalui butang baru di sebelah kiri pemegang.

    Panel meter TFT pada MT-09 2024 telah dinaik taraf dengan unit lima inci baru, dan bagi MT-09 SP, ia disediakan dengan paparan “Track” khas yang boleh menunjukkan masa bagi setiap pusingan di dalam litar. Selain daripada itu, sistem meter ini juga boleh disambungkan kepada aplikasi MyRide di telefon bimbit untuk paparan fungsi notifikasi, panggilan, muzik dan navigasi.

    Yamaha MT-09 SP 2024 diperkenal – naik taraf mono Ohlins, brek Brembo Stylema, sistem elektronik

    MT-09 SP juga menjadi model naked Yamaha pertama yang menerima fungsi kunci pintar. Pemilik tidak perlu memasukkan kunci untuk menghidupkan motosikal, dan ia juga menyediakan butang kunci atau buka untuk tangki bahan api. Melengkapkan MT-09 SP adalah penampilan khas yang menggunakan tema warna inspirasi daripada superbike R1M.

    Bahagian lain adalah sama seperti MT-09 2024 yang diperkenalkan beberapa hari lalu dengan pelbagai peningkatan berbanding model sebelumnya, termasuk ergonomik lebih baik, tempat duduk penunggang dan penumpang yang berasingan, tambahan ciri Back Slip Regulator serta panel badan serba baru.

    Penggeraknya adalah enjin CP3 tiga silinder 889 cc, bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac A&S dan quickshifter, menghasilkan kuasa 119 hp pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. Turut disediakan adalah sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF) dan Brake Control System (BC).

     
     
  • Honda ADV 160 tiba dalam warna baharu – RM12,999

    Honda ADV 160 tiba dalam warna baharu – RM12,999

    Honda ADV 160 yang dilancarkan Januari lalu untuk pasaran Malaysia kini diperkenalkan dalam warna baru yang dipanggil sebagai Force Silver dan dijual pada harga RM12,999. Ia akan mula berada di wakil pengedar rasmi Boon Siew Honda pada 7 November 2023 dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    ADV 160 adalah sebuah skuter yang digerakkan oleh enjin sama seperti Vario 160, iaitu satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+, dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Jika dibandingkan dengan ADV 150 sebelumnya, semua panel badan serta casis ADV 160 sebenarnya adalah baru, termasuklah panel yang memegang lampu hadapan, tepi, bawah, pelindung ekzos, penghadang angin (lebih tinggi) dan penghadang lumpur hadapan. Dengan badan yang sudah ditukar ini, ruang simpanan di bawah tempat duduk juga bertambah besar menjadi 30 liter.

    Bahagian meter menggunakan unit LCD yang rata tanpa sebarang butang, dan semua informasi dipaparkan padanya, termasuklah lampu amaran yang sebelum ini diasingkan pada ADV 150, dan di bawahnya terdapat tiga butang kawalan.

    Model yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia ini, selain dilengkapi brek ABS single-channel, juga diberikan sekali dengan sistem kawalan cengkaman HSTC. Demi memberikan sedikit kepuasan kepada pengguna, sistem kawalan cengkaman ini boleh ditutup dengan menekan butang yang disediakan.

    Kelengkapan lain ADV 160 adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak Showa di belakang dengan tabung gas, rim 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80, rim 13 inci di belakang dengan tayar 130/70, sistem kunci pintar serta sistem start/stop enjin.

     
     
  • Ora Good Cat sambut ulang tahun pertama di Malaysia, raikannya dengan tawaran rebat RM20k

    Ora Good Cat sambut ulang tahun pertama di Malaysia, raikannya dengan tawaran rebat RM20k

    Ora Good Cat beersedia menyambut ulang tahunnya yang pertama dan bakal menganjurkan sambutan untuk meraikannya. Bertempat di Artbox, kawasan parkir terbuka Sunway Pyramid, majlis sambutan berkenaan akan diadakan pada dua hujung minggu berturut-turut iaitu 10-12 Nov dan 17-19 Nov, dari jam 3 petang hingga 11 malam. Para pengunjung yang mengambil bahagian bakal berpeluang memenangi cabutan bertuah baucar tunai bernilai RM2,000 dan cenderahati GMW.

    Paling menarik, Great Wall Motor (GWM) Malaysia turut menawarkan rebat sebanyak RM20,000 untuk pembelian EV ini dalam warna terpilih sepanjang November ini. Tempah dan daftar Ora Good Cat anda sebelum hujung tahun, dan anda juga berpeluang memenangi hadiah utama bernilai RM18,888 dan banyak hadiah lain yang menarik, termasuk telefon pintar Honor X9b dan Pakej Perkhemahan Lubar.

    “Dengan berbesar hati kami meraikan ulang tahun pertama GWM di Malaysia. Komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memberikan pengalaman pemanduan terbaik bagi rakyat Malaysia telah menjadi tunjang kejayaan kami,” kata Mike Cui, Pengarah Urusan GWM Malaysia.

    Ora Good Cat sambut ulang tahun pertama di Malaysia, raikannya dengan tawaran rebat RM20k

    Tambah beliau, “Kami teruja untuk berkongsi bahawa GWM Malaysia komited untuk memperkenalkan lebih banyak kenderaan baharu yang disesuaikan dengan keperluan dan keutamaan pasaran Malaysia pada tahun-tahun akan datang. Kami percaya bahawa inovasi dan kepuasan pelanggan akan terus memacu kami ke hadapan, dan kami menantikan perjalanan yang menarik di hadapan sambil kami berusaha untuk menyediakan masyarakat Malaysia dengan pelbagai jenis kenderaan yang mempamerkan kualiti, inovasi dan kemampanan.”

    Untuk pasaran Malaysia, dua varian Ora Good Cat ditawarkan iaitu 400 Pro dengan pek bateri LFP 47.8 kWh untuk jarak gerak 400 km (mengikut kitaran NEDC) dan 500 Ultra dengan bateri lithium 63.1 kWh untuk jarak gerak 500 km. Kedua-dua varian juga dijanakan oleh motor elektrik berkuasa 143 PS dan tork 210 Nm. Harga jualan bagi 400 Pro ialah RM139,800 dan RM169,800 untuk 500 Ultra.

     
     
  • KTMB buka jualan tiket tren ETS, Antarabandar bagi April 2024 – beli awal untuk beraya di kampung!

    KTM Berhad mengumumkan pihaknya telah memulakan jualan awal bagi perkhidmatan tren ETS dan Antarabandar untuk perjalanan bulan April 2024. Kebetulan pula Hari Raya Aidilfitri kemungkinan bakal jatuh pada 10 April, dan bagi anda yang merancang untuk balik ke kampung dengan menaiki tren, inilah masanya untuk menempah tiket perjalanan lebih awal.

    Jika anda tertanya-tanya mengapa jualan tiket dibuka seawal ini, untuk pengetahuan anda KTM telah pun mempunyai sistem jualan tiket baharu untuk perkhidmatan ETS dan Antarabansar. Di mana ia melaksanakan konsep jualan tiket enam bulan lebih awal. Setiap 30 haribulan, jualan tiket untuk perjalanan enam bulan ke hadapan akan bermula. Sistem baharu ini telah mula dilaksana sejak Julai lalu.

    Sementara itu, KTMB juga telah mengumumkan perkhidmatan tren ETS tambahan untuk musim cuti sekolah yang akan datang. Di mana terdapat satu perkhidmatan tambahan untuk perjalanan utara iaitu dari KL-Padang Besar-KL, dari 15 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024. Jualan tiket telah pun bermula sejak 1 November lalu.

    Menurut KTMB, tren nombor EP9286 akan bergerak dari KL Sentral pada jam 5.05 petang dan sampai di Padang Besar jam 10.34 malam, sementara EP9283 pula akan memulakan perjalanan dari Padang Besar jam 11 pagi, dan sampai di KL Sentral jam 4.46 oetang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025