Honda Civic Type R FK8 menjadi jentera terkini yang menyertai pasukan polis Australia, hasil tajaan selama 12 bulan dengan Honda Australia. Hot hatch ini akan digunakan untuk inisiatif media sosial Eyewatch, yang menggalakkan orang ramai untuk menjadi peserta aktif dalam menjadikan komuniti mereka lebih selamat.
Seperti “kereta sewa” yang polis Australia terima sebelum ini, Civic Type R tidak akan digunakan sebagai jentera untuk mengejar penjenayah. Bahkan, ia tidak dilengkapi lampu rasmi, siren mahu pun radio polis, sebaliknya hanya diaplikasikan beberapa elemen untuk menarik perhatian.
Jadi, penjenayah terbebaslah dari dikejar jentera dengan enjin 2.0 liter DOHC VTEC Turbo dengan kuasa 310 PS dan tork 400 Nm ini. Walau bagaimana pun, kalau dalam keadaan terdesak, mungkin polis sana boleh saja gunakan jentera ini untuk ambil tindakan.
“Civic Type R dibangunkan sebagai jentera yang mampu memberikan pengalaman pemanduan yang cukup memuaskan dalam segmen hot hatch. Ia terbukti popular di kalangan pelanggan, peminat dan media permotoran, jadi kami sangat positif apabila polis Australia memilihnya terlibat dengan komuniti ini,” ujar pengarah Honda Australia, Stephen Collins.
“Honda Australia berbesar hati untuk menaja kereta ini selama 12 tahun, maka ia pastinya memberikan manfaat tidak dikenakan kos kepada pembayar cukai,” tambah assistant commissioner Joe Cassar APM, komander bagi NSW Police Force Capability, Performance and Youth Command.
Tambahnya lagi, “Rekaan yang menarik perhatian ini dilihat mampu menjadi permulaan yang bagus untuk berhubung secara lebih erat dengan orang ramai terutamanya golongan muda, yang pastinya mahukan pendekatan yang lebih selesa dengan polis tempatan.”
Bulan lalu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga dikhabarkan sedang menilai Civic Type R untuk dijadikan kenderaan “Helang Lebuhraya” sebagai pengganti kepada Mitsubishi Evo. Nampak gayanya memang tepat pilihan polis untuk menjadikannya sebagai salah satu jentera yang bakal digunakan, bukan setakat ia bergaya, paling penting, tangkas di jalan raya.
Sidang kabinet kerajaan Thailand telah meluluskan cadangan daripada Menteri Kewangannya untuk memansuhkan cukai eksais bagi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) bagi tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2022. Langkah itu bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran kenderaan EV di negara itu, serta untuk mengurangkan pencemaran, lapor Bangkok Post.
Ketika ini, kadar cukai eksais di Thailand untuk EV dengan insentif BOI ialah 2%, manakala yang tiada pula dikenakan antara 8-10% cukai eksais. Bagaimanapun, hanya syarikat yang telah memperoleh keistimewaan promosi dari Board of Investment (BOI) Thailand akan menikmati tempoh bebas cukai itu. Daripada 13 pengeluar yang telah menerima kelulusan BOI itu termasuk Honda dan Nissan.
Nissan menerima kelulusan berkenaan bagi projek pengeluaran kenderaan elektrik hibrid pada 25 Julai 2018. Di bawah projek itu, pengeluar Jepun itu akan melabur sebanyak 10.96 bilion baht untuk pengeluaran kenderaan elektrik hibrid dan bateri, begitu juga dengan model-model e-Power lain dikemudahan yang terletak di Bang Saothong, daerah Samut Prakarn.
Nissan juga telah mula menawarkan model Leaf generasi kedua di Thailand, walaupun dengan tanda harga yang agak tinggi, 1.99 juta baht kerana diimport terus dari Jepun. Semua EV yang masuk ke Thailand akan dikenakan duti import 80% berdasarkan kos, insurans dan pengangkutan. Dengan pengeluaran tempatan, harga Lead akan menjadi jauh lebih rendah.
Honda pula akan melabur sebanyak 5.82 juta baht dan menggunakan kandungan tempatan bernilai 2.77 juta baht untuk memulakan pengeluaran kenderaan hibrid elektrik dan bateri di kilang yang terletak di Rojana Indsutrial Parks, daerah Ayutthaya dan Prachinburi.
Dalam perkembangan berkaitan, Thailand juga sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan cukai eksais 8% yang dikenakan ke atas bateri EV untuk mendorong kepada pengeluaran tempatan bagi bateri berkenaan. Skala bagi cadangan pengurangan cukai tersebut bagaimanapun masih belum diketahui. Bateri yang telah dipasang pada kenderaan dikecualikan daripada cukai eksais 8% berkenaan, disebabkan caj cukai adalah berdasarkan nilai kenderaan, dan akan turut digunapakai untuk EV.
Selain kenderaan EV, kerajaan Thailand juga bersetuju untuk mengurangkan cukai eksais bagi trak pikap penumpang dengan kadar pembebasan CO2 kurang daripada 200 g/km dan lebih rendah daripada PM 0.005 kepada 2% berbanding kadar 2.5% ketika ini.
Bagi trak dengan kadar melebihi 200 g/km, mereka akan dienakan cukai antara 3% hingga 4%. Trak pikap double cab juga terkesan dengan kadar baru ini, dengan kadar 9% dari 10%, dan juga 12% dari 13% sebelumnya. Kerajaan Thai memaklumkan, mereka akan hilang pendapatan sehingga 1.5 bilion baht setahun melalui potongan cukai ini, tetapi melihatnya sebagai satu langkah untuk mengurangkan pencemaran.
CEO Proton, Dr Li Chunrong bekerja 12 jam sehari, enam hari seminggu bagi tempoh 17 bulan yang lalu dalam usaha untuk memulihkan keadaan syarikat itu supaya menjadi lebih baik dalam masa yang ditetapkan, lapor The Star.
Tempoh kerja yang panjang itu mungkin menjadi beban kepada kebanyakan orang, tetapi bagi lelaki berusia 56 tahun yang dilantik untuk memimpin Proton keluar daripada masalah yang membelenggu sekian lama itu, ia sesuatu yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat berkenaan.
Li tidak mempunyai banyak pilihan selepas dilantik sebagai CEO Proton, kerana jangkaan terhadapnya untuk menjadikan Proton sebuah syarikat yang berjaya meraih keuntungan semula adalah sangat tinggi. Misinya untuk membangkitkan semula nama dan imej Proton kepada kedudukan yang lebih tinggi adalah sebahagian daripada perancangan 10-tahun yang telah digariskan.
Presiden Persatuan Usahawan China di Malaysia, Datuk Keith Li Zhongping berkata; “Ini bukan sekadar misi peribadi beliau, tetapi turut merupakan impian China.” Laporan itu menyebut juga, Proton yakin untuk dapat menjana keuntungan pada 2019 dan 2020, dan banyak pihak yang gembira dengan perkara tersebut.
Seorang perunding pelaburan perniagaan dari China di sini, Ian Yoong pula berkata: “Menjadikan Geely sebagai rakan strategik untuk Proton adalah langkah terbaik yang diambil oleh kerajaan. Dan, melantik Li sebagai CEO juga satu langkah bijak. Kita sedang menyaksikan kelahiran semula Proton.”
Kelayakan Li sangat mengkagumkan. Dari segi akademik, beliau menamatkan pengajian dari Universiti Sains dan Teknologi Hangzhou dengan ijazah sarjana muda Automasi Elektrikal, disusuli pula dengan ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Industrial dan Pengurusan. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ijazah sarjana kedua dalam bidang perniagaan di Institut Teknologi Massachusetts di Amerika Syarikat sebelum kembali ke University Hangzhou untuk menyelesaikan PhD dalam Pengurusan Kejuruteraan.
Dr Li kemudiannya memulakan kerjayanya bersama Dongfeng Motor Corporation pada 1987, dan terlibat secara langsung dalam usahasama Dongfeng dengan Peugeot, Honda, Nissan, Kia dan Cummins. Pada 2007, beliau mendirikan Dongfeng Passenger Vehicle Company, usahanya untuk menghasilkan rekaan, penjenamaan dan sistem pengeluaran telah mendorong kepada kejayaan syarikat itu.
Ketika bertugas selaku Naib Presiden Eksekutif Dongfeng Honda Engine Company, beliau dipilih oleh Geely untuk memimpin rombakan pembaharuan di Proton. Pada 29 September 2017, Li memulakan tanggungjawabnya selaku CEO Proton daripada Datuk Fuaad Kenali. Dr Li ketika itu mengumumkan; “Tugas saya bukan untuk melihat kepada perkara yang telah berlalu. Saya akan bekerja siang dan malam untuk memastikan Proton kembali kuat dan berjaya.”
Proton yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir pada 1983 telah menjalani banyak situasi “diselamatkan” dengan jumlah keseluruhan lebih daripada RM15 bilion. Walaupun begitu, Proton masih bermasalah, dan hutang semakin menimbun. Dalam usaha untuk mengakhiri semua itu, rakan strategik dicari dan Geely dipilih secara rasmi, dengan mengambil alih pegangan 49.9% dalam Proton daripada DRB-Hicom, dan 51% pegangan majoriti dalam Lotus Cars.
Menurut Dr Li, beliau yakin dengan masa depan Proton, disokong dengan perancangan terperinci, pembaharuan, penyelesaian masalah serta menunjukkan kepimpinan melalui tauladan. Kejayaan bagi beliau datang dengan cabaran yang getir, antaranya disebabkan kerana pada awalnya kurang memahami kecenderungan pasaran Malaysia yang terkesan daripada kelompok masyarakat pelbagai kaum yang berbeza dan rumit.
Tahun lalu, ketika Dr Li mengumumkan perubahan untuk menaik taraf pusat servis Proton seluruh negara, pengurusan Proton di bawah pimpinannya dikritik keras dan dituduh mengabaikan kepentingan kelompok bumiputra. Tetapi semua itu perlu didepani untuk mencapai matlamat yang lebih besar; pusat 3S dan 4S Proton ketika ini menikmati kadar perniagaan dan keuntungan lebih tinggi daripada sebelumnya.
Kesan daripada itu, penganalisis menjangkakan pengukuhan kewangan dalam DRB-Hicom. “Saya sangat gembira sekarang. Semuanya berjalan seperti yang dirancang. Bermula dari 60,000 unit, sasaran saya seterusnya untuk Proton ialah 100,000 unit, diikuti dengan 150,000 unit dan 200,000 unit. Saya kini menerima sokongan daripada semua pihak,” jelas Dr Li.
Ketika ini, anda mungkin sudah mengetahui pembaharuan yang dilakukan terhadap Nissan X-Trail facelift 2019 untuk pasaran Malaysia yang kini telahpun dibuka untuk tempahan dan akan dilancarkan April nanti.
Untuk memudahkan lagi anda membandingkan sendiri perubahan yang ada secara visual, ini kami sediakan galeri khas dengan kedua-dua versi lama dan baru SUV tujuh-tempat duduk Nissan ini yang ditampilkan sebelah-menyebelah.
Ada empat varian akan ditawarkan; bermula dengan X-Trail 2.0L 2WD (RM139,900), X-Trail 2.0L 2WD Mid (RM149,900), X-Trail 2.5L 4WD (RM159,900), dan spesifikasi paling tinggi, X-Trail 2.0L Hybrid (RM169,900). Semua harga yang dinyatakan ini adalah anggaran, dan Edaran Tan Chong Motor memaklumkan harga sebenar nanti mungkin lebih rendah.
TERKINI: ETCM baru sahaja mengumumkan “harga rasmi sementara” untuk X-Trail facelift dan ia lebih rendah daripada anggaran sebelum ini: RM133,888 untuk 2.0L 2WD, RM145,888 untuk 2.0L 2WD Mid, RM153,888 untuk 2.5L 4WD dan RM159,888 untuk Hybrid (tidak termasuk insurans).
Rekaan luaran banyak perbezaan yang terlibat. Misalnya gril radiator V-Motion bagi versi terbaru kini lebih besar dan jelas kelihatan. Lampu utama juga baru, dengan lampu DRL LED sekali. Varian paling asas 2.0L 2WD sahaja yang menggunakan lampu utama halogen – varian lain dilengkapi lampu utama projektor LED.
Bahagian bampar juga baru sepenuhnya, dengan lampu kabus kini tampil lebih tirus. Diffuser juga lebih jelas kelihatan. Model ini masih menggunakan rim bersaiz 17-inci, tetapi dengan rekaan jejari yang baru. Hanya bagi varian 2.5L 4WD dan 2.0L Hybrid menerima kemasan rim warna titanium gelap.
Di belakang, lampunya kini menggunakan perumah yang lebih gelap. Turut hadir sama ialah antena “sirip jerung” yang menggantikan versi lama, serta bampar dan diffuser rekaan baru. Bukaan pintu barangan belakang juga boleh dilakukan dengan gerak kaki bagi semua varian kecuali yang paling asas.
Di dalam, stereng balutan kulit yang bawahnya rata menggantikan yang lama. Paparan digital Advanced Drive Assist pada panel instrumen, kemasan hitam pada corong udara, kemasan kulit pada sebahagian panel yang ada serta tuil gear baru.
Sistem infotainmen kini menyokong ciri Android Auto dan Apple CarPlay. Selain itu, suis brek parkir elektrik-mekanikal juga telah menggantikan brek parkir kaki pada model lama. Perlu juga dinyatakan, bahawa varian hibrid kini hanya tinggal lima-tempat duduk (bukan lagi 5+2) untuk memberi ruang kepada tempat meletak bateri sistem berkenaan di bawah lantai ruang barangan belakang.
Pilihan enjin pula terdiri daripada MR20DD 2.0 liter empat-silinder dengan janaan 144 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm. Pilihan kedua pula hadir dengan unit QR25DE 2.5 liter dengan kuasa 171 PS pada 6,000 rpm dan 233 Nm pada 4,400 rpm.
Bagi versi hibrid, ia berkongsi enjin 2.0 liter yang sama, tetapi digandingkan dengan motor elektrik dengan janaan tambahan 41 PS dan 160 Nm – yang menerima kuasanya dari bateri lithium-ion 0.9 kWh yang diletak pada bahagian barangan di belakang.
Model hibrid ini dilengkapi juga dengan ciri Intelligent Dual Clutch Control – satu motor dengan sistem hibrid selari dua-klac. Dua klac di sini merujuk kepada klac antara enjin dan motor elektrik, serta klac di antara motor elektrik dan Xtronic CVT. Dengan enjin dalam keadaan tidak aktif, SUV ini boleh meluncur dengan kelajuan sehingga 120 km/j.
Dari aspek keselamatan, ciri Nissan Intelligent Mobility kini hadir untuk semua varian. Ini termasuk ciri seperti Around View Monitor dengan Intelligent Moving Object Detection, Intelligent Ride Control, Intelligent Engine Brake dan Intelligent Trace Control.
Varian 2.0L Mid turut menerima ciri Lane Departure Warning, Blind Spot Warning, Motion Activated Power Tailgate dan Rear Cross Traffic Alert. Hanya varian 2.5L 4WD dan 2.0L Hybrid dilengkapi Intelligent Cruise Control, High Beam Assist dan Intelligent Forward Collision Warning dengan Intelligent Forward Emergency Braking (AEB).
Jumlah beg udara untuk tiga varian teratas juga dinaikkan kepada enam semuanya sebagai standard. Varian paling asas hanya menerima empat beg udara. Lain-lain ciri keselamatan yang ada termasuklah Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), ABS dengan EBD, Brake Assist, Hill Start Assist (HSA) dan dua cagak Isofix.
Nissan X-Trail facelift ini datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Bagi model hibrid, ia juga termasuk sekali dengan jaminan alat ganti dan bateri untuk sistem hibrid yang ada. Sempena kempen pra-pelancarannya, pelanggan juga layak menikmati servis penyelenggaraan berjadual selama dua tahun atau 40,000 km, yang mana dahulu. 500 pelanggan pertama yang mendaftarkan kenderaan mereka juga akan menerima hadiah misteri bernilai RM488.
Pelaksanaan Dasar Baharu Lesen Import (AP) Terbuka oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak 1 Januari lalu dijangka akan merancakkan lagi industri automotif di kalangan usahawan Bumiputera. Berpandukan dasar baharu ini, AP yang dikeluarkan kementerian tidak akan dihadkan untuk diluluskan sepanjang tahun manakala semua syarikat sama ada sedia ada atau baharu boleh memohon AP tambahan berdasarkan prestasi jualan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MITI, “Pelaksanaan dasar ini sejajar dengan keputusan kerajaan pada 23 Disember 2015 untuk meneruskan dasar berkenaan dengan beberapa penambahbaikan termasuk menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menyertai industri berkenaan.
“Objektif dasar baharu ini adalah untuk menggalakkan pembangunan usahawan baharu Bumiputera dalam industri automotif serta memastikan dasar ini terus menyumbang kepada matlamat sosio ekonomi negara. Selain itu, ia juga bertujuan mewujudkan daya saing pasaran yang akan memberi manfaat kepada pengguna terutamanya dari segi harga dan perkhidmatan.”
Kenyataan yang disiarkan oleh Berita Harian itu turut menyebut pada masa ini kebanyakan syarikat baharu masih belum beroperasi sepenuhnya kerana perlu memenuhi beberapa keperluan teknikal dan sedang membuat persiapan pengendalian operasi.
Kementerian itu berkata, ketika tawaran permohonan dibuka pada 23 Mei 2016 hingga 21 Jun 2016, MITI menerima hampir 300 permohonan untuk menjadi syarikat AP terbuka. Di mana selepas penilaian dibuat yang turut membabitkan kerja pengauditan oleh sebuah syarikat juruaudit bebas bertauliah, bilangan syarikat yang layak adalah sebanyak 164 syarikat iaitu 128 syarikat sedia ada dan 36 syarikat baharu.
Bagaimanapun, mengikut dasar baharu ini, jika berlaku pelanggaran terhadap mana-mana syarat AP terbuka yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat berkenaan.
“Ia termasuk menarik balik atau membekukan AP yang diperuntukkan dan diluluskan, menyenarai hitam syarikat termasuk setiap pemegang saham dan ahli lembaga pengarah syarikat daripada mengemukakan permohonan memperoleh AP terbuka pada masa depan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat. Tahun lalu, sembilan syarikat sedia ada disenarai hitam kerana tidak mematuhi syarat AP terbuka yang ditetapkan,” katanya.
Kementerian itu menjelaskan, antara syarat yang perlu dipenuhi ialah syarikat mesti dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera, termasuk jawatan penting di peringkat pengurusan, mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun dalam bidang penjualan dan pengedaran kenderaan serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
Walau bagaimana pun, MITI masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan kerajaan telah meluluskan 38 AP baharu seperti yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari ini.
Edaran Tan Chong Motor telahpun mendedahkan model Nissan X-Trail facelift terbaru yang akan dilancarkan untuk pasaran tempatan April nanti. Semua sekali ada empat varian; bermula dengan X-Trail 2.0L 2WD (RM139,900), X-Trail 2.0L 2WD Mid (RM149,900), X-Trail 2.5L 4WD (RM159,900), dan spesifikasi paling tinggi, X-Trail 2.0L Hybrid (RM169,900).
TERKINI: ETCM baru sahaja mengumumkan “harga rasmi sementara” untuk X-Trail facelift dan ia lebih rendah daripada anggaran sebelum ini: RM133,888 untuk 2.0L 2WD, RM145,888 untuk 2.0L 2WD Mid, RM153,888 untuk 2.5L 4WD dan RM159,888 untuk Hybrid (tidak termasuk insurans).
Varian dengan spesifikasi paling rendah menggunakan enjin MR20DD 2.0 liter empat-silinder dengan janaan 144 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm. Pilihan enjin kedua pula hadir dengan unit QR25DE 2.5 liter dengan kuasa 171 PS pada 6,000 rpm dan 233 Nm pada 4,400 rpm.
Bagi versi hibrid, ia berkongsi enjin 2.0 liter yang sama, digandingkan bersama motor elektrik dengan janaan tambahan 41 PS dan 160 Nm – yang menerima kuasanya dari bateri lithium-ion 0.9 kWh yang diletak pada bahagian barangan di belakang.
Model hibrid ini dilengkapi juga dengan ciri Intelligent Dual Clutch Control – satu motor dengan sistem hibrid selari dua-klac. Dua klac di sini merujuk kepada klac antara enjin dan motor elektrik, serta klac di antara motor elektrik dan Xtronic CVT.
Dengan enjin dalam keadaan tidak aktif, SUV ini boleh meluncur dengan kelajuan sehingga 120 km/j. Disebabkan tambahan bateri untuk sistem hibrid, model berkenaan hanya datang dengan lima-tempat duduk, dan bukannya 5+2 seperti varian lain.
Apa lagi yang baru dengan Nissan X-Trail? Untuk tahu lebih lanjut, tonton video yang kami sediakan ini. Ada kupasan ringkas dan padat, dengan tumpuan khusus kepada varian terbaru, 2.0L Hybrid 2WD dengan penawaran spesifikasi paling lengkap bagi model berkenaan.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengeluarkan kenyataan berhubung harga untuk penggantian bateri bagi model hibridnya E 300 BlueTEC dan S 400. Ini susulan daripada foto invois yang tular di laman media sosial yang mendakwa kos untuk menukar bateri tersebut melebihi RM120,000.
Syarikat ini telah mengumumkan harga runcit baharu yang disarankan ialah RM50,000 untuk penukaran bateri E 300 BlueTEC dan RM65,000 bagi S 400. Dengan pengumuman ini, bermakna program Waranti Lanjutan Bateri Hibrid yang diperkenalkan sebelum ini ditawarkan dengan tambahan empat tahun untuk lanjutan liputannya, yang dikenakan kos tambahan sebanyak RM2,688 untuk memastikan unit terbabit mendapat liputan ekstra.
Pada September 2018, MBM telah memperkenalkan program waranti lanjutan untuk pemilik E 300 BlueTEC Hybrid (dan kemudian turut ditawarkan kepada pemilik S 400 h), dengan menambah kepada liputan secara standard empat tahun (atau 2+2 tahun), membawakannya sehingga lapan tahun atau 180,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.
Apabila pengumuman ini pertama kali dilakukan tahun lalu, Waranti Lanjutan Bateri Hibrid meliputi 100% untuk tahun ke lima dan ke-enam untuk pendaftaran kenderaan, dan 75% liputan apabila memasuki tahun ke-tujuh, dan liputan 50% bagi tahun ke-lapan untuk membaiki atau mengganti bateri hibrid.
Namun program tersebut kini telah dipertingkatkan dengan menawarkan 100% liputan untuk membaiki atau menggantikan bateri hibrid tersebut untuk durasi lapan-tahun/180,000 km.
Walau bagaimana pun, ia turut mempunyai terma dan syarat yang spesifik yang perlu ditepati untuk menerima liputan berkenaan sejurus perjanjian waranti lanjutan ini ditandatangani, dengan salah satunya, “kenderaan terbabit perlu terus diselenggara oleh pengedar/pusat servis Mercedes-Benz yang bertauliah bagi menepati spesifikasi pengeluar sepanjang tempoh waranti lanjutan.”
Sebagai tambahan, waranti lanjutan ini hanya boleh digunapakai untuk membaiki atau mengganti bateri hibrid yang didapati gagal disebabkan kerosakan termasuk kerosakan pada material atau mutu kerja. Pengurangan kapasiti bateri tidak dilindungi di bawah waranti ini.
Terma-terma dan syarat-syarat ini juga menyatakan bahawa “sekiranya berlaku pembaikan atau penggantian, Mercedes-Benz Malaysia boleh, mengikut budi bicaranya sendiri, sama ada menggantikan atau membaiki bahagian yang rosak,” dan tidak bertanggungjawab untuk membayar pampasan kepada pemilik atas kehilangan penggunaan dari kenderaan, kos pengangkutan ketika kenderaan sedang diperbaiki.
Untuk pengetahuan, model plug-in hybrid seperti C 350 e dan E 350 e tidak ditawarkan di bawah program ini, dan ia masih kekal dengan waranti berasingan enam-tahun/100,000 km untuk bateri.
Lebih kurang seminggu selepas Proton mendedahkan Iriz facelift 2019, kami sekali lagi di jemput ke Pusat Kecermelangan Proton (CoE) Shah Alam bagi melihat sendiri versi sedannya yang turut telah dikemaskini iaitu Persona facelift 2019. Seperti biasa pada acara pra-tonton kepada media sebegini, kami turut diberi peluang untuk memandu uji model berkenaan di litar ujian Proton.
Persona facelift ini disahkan akan dilancarkan pada bulan ini, dan anda sudahpun boleh menempahnya dengan yuran tempahan hanya RM9.99 (sehingga 22 Mac ini sahaja). Seperti model sedia ada, ia akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 1.6 MT, Standard 1.6 CVT, Executive 1.6 dan 1.6 Premium.
Sebelum itu, kita berkenalan dahulu dengan kereta ini. Ya, seperti anda lihat dan seperti juga status facelift, rupa asas Persona ini masih lagi kelihatan seperti Persona – sedan dengan rupa sedikit pelik. Seperti yang diketahui, Persona dihasilkan dari platform yang sama dengan Iriz, tetapi kenapa rupanya tidak boleh jadi seperti sedan sebenar seperti Honda City yang dihasilkan dari hatchback Honda Jazz? Adakah ini salah pereka?
Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan cawangannya Johor Bahru akan beroperasi tujuh hari seminggu, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, mulai 15 Mac ini, dan cawangan Wangsa Maju pula menuruti langkah yang sama bermula 16 Mac. Ia adalah sejajar usaha meningkatkan kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan.
“Puspakom sentiasa mengambil berat terhadap keperluan pelanggan dan berusaha membuat penambahbaikan selaras dengan kehendak mereka. Ini juga antara inisiatif Puspakom dalam menangani kesesakan di sesetengah cawangan yang menerima jumlah kehadiran kenderaan yang tinggi pada waktu-waktu atau hari-hari tertentu,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail.
Pelaksanaan lanjutan waktu operasi ini dijangka akan diperluaskan secara berperingkat ke beberapa cawangan lain yang menerima jumlah kenderaan yang tinggi untuk kemudahan dan keselesaan pelanggan. Namun, Puspakom akan mengkaji semula initiatif dan waktu operasi tersebut dari semasa ke semasa, bagi memastikan ia dimanfaatkan sebaiknya dan dapat mencapai kos secara efisyen tanpa pembaziran waktu dan tenaga.
Sehubungan itu, Puspakom juga menggalakkan pelanggan untuk membuat temujanji dalam talian MyPUSPAKOM terlebih dahulu agar dapat menguruskan masa dengan lebih baik. Ia juga dapat mengawal jumlah kehadiran kenderaan pada satu-satu masa di cawangan-cawangan Puspakom di bandar-bandar utama. Namun begitu, kehadiran pelanggan secara walk-in masih diterima.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Puspakom di 1-800-88-6927 atau emel customerservice@puspakom. com.my atau layari laman Facebook rasmi PUSPAKOM Sdn Bhd atau laman sesawang www.puspakom.com.my untuk mendapatkan perkembangan terkini Puspakom.
Harley-Davidson Malaysia telah mengumumkan harga model Sportster dan Softail akan diturunkan, hasil daripada pembukaan kilang pemasangan baru di Thailand. Walaubagaimanapun, perincian penuh harga tepat untuk setiap model masih belum diumumkan, dan hanya akan dilakukan semasa perasmian pusat pameran baru di Pulau Pinang hujung minggu ini.
Daripada maklumat yang kami terima setakat ini, model Sportster akan dijual pada harga bermula RM62,600, dan menurut jangkaan kami itu mungkin untuk model XL883L, yang sekarang dijual pada harga RM76,426, atau XL883N Iron Horse yang sekarang dijual pada harga RM86,072.
Bagi barisan model Softail pula, yang sekarang ini ada 17 model dan 34 varian, harganya akan menjadi bermula dari RM97,200, dan kami jangkakan ia mungkin untuk FXBB Street Bob yang sekarang dijual pada harga RM113,632, sementara model Softail paling mahal pula adalah FLFBS Fat Boy Anniversary, pada RM178,928.
Semasa Geneva Motor Show, Bugatti telah membawa dua model yang ditunjukkan kali pertama kepada awam. Pertama adalah Chiron Sport edisi khas sempena sambutan ulang tahun ke-100 syarikat, dan model kedua adalah lebih istimewa, dipanggil sebagai La Voiture Noire.
Menurut pengeluar dari Perancis ini, La Voiture Noire adalah sebuah coupe dengan keselesaan seperti limosin mewah dan kuasa kereta hyper sports, dan ia menunjukkan warisan syarikat yang sudah berusia lebih 110 tahun serta identiti negaranya, iaitu elegan melalui minimalis dan kehalusan melalui intensifikasi.
Rekaan model buatan khas ini banyak mendapat inspirasi daripada model Type 57 SC Atlantic tahun 30-an, di mana garis-garis yang ada dijadikan beralun kemas dan bersambung. Anda juga boleh melihat sendiri cermin hadapannya seakan bersambung dengan cermin di pintu tepi.
“Setiap komponen telah mendapat sentuhan tangan dan badan gentian karbonnya mempunyai warna hitam serta kemasan struktur gentian serba halus. Ini adalah bahan yang telah dikendalikan dengan sempurna. Kami bekerja keras untuk rekaan ini sehingga tiada apa lagi yang ditingkatkan lagi,” kata pereka Bugatti, Etienne Salomé
Untuk enjin, model ini menggunakan unit ikonik 16 silinder 8.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 1,500 PS dan 1,600 Nm tork. Enjin ini juga digunakan pada beberapa model Bugatti lain seperti Chiron Sport. Tiada perincian prestasi bagi model La Voiture Noire ini, tetapi pada Chiron Sport, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 2.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 420 km/j.
Walaupun baru pertama kali ditunjuk kepada umum, La Voiture Noire ini sebenarnya telah dijual kepada seorang peminat jenama itu dengan harga 11 juta Euro (RM50.8 juta), sekaligus menjadikannya sebagai kereta baru paling mahal di dunia.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen telah memaklumkan pihaknya bersama Kementerian Kewangan masih dalam proses pertimbangan dan penelitian segala cadangan mekanisme yang telah diterima, laporan Bernama.
“Kementerian Kewangan telah membuka tender bagi mana-mana pihak yang ingin mencadangkan mekanisme terbaik untuk melaksanakan program subsidi bersasar. Setakat ini belum ada satu mekanisme yang muktamad telah dibuat,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang mahukan penjelasan berkenaan keberkesanan mekanisme yang dicadangkan itu kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.
November tahun lalu, Saifuddin Nasution menyatakan beliau optimis pelaksanaan sistem kad khas dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar akan dimuktamadkan pada penghujung Februari. Beliau berkata demikian supaya kementeriannya dapat menggunakan tempoh sebulan pada bulan ini untuk menjalankan percubaan (dry run) sebelum ia dilaksanakan secara sepenuhnya pada April.
Walau bagaimana pun, pertengahan Februari lalu, Saifuddin Nasution memberitahu kementeriannya sudah berada dalam fasa terakhir melaksanakan subsidi petrol secara bersasar.
Proton minggu ini telah pun mendedahkan model Persona facelift 2019 kepada umum, 11 hari selepas pengenalan sama dilakukan terhadap model Iriz 2019. Kedua-dua model ini bakal dilancarkan secara rasmi dalam bulan ini juga, dan tampahan kilat atas talian juga telah dibuka dengan bayaran serendah RM9.99 yang akan berlangsung sehingga 22 Mac 2019.
Sama seperti Iriz, Persona juga menerima pembaharuan dari sudut rekaan wajah depan dan juga bahagian belakangnya. Tetapi, bukan sekadar habis di situ. Menurut Proton, ada 303 pembaharuan yang telah dilakukan terhadap Persona generasi kedua ini yang kini melalui facelift yang pertama. Persona generasi pertama diperkenalkan sejak tahun 2007 dahulu.
Apa pembaharuan yang dilakukan itu? Kalau dinilai dari sudut yang boleh dilihat dengan mata kasar, bahagian depannya kini lebih menarik. Dengan kemasan gril krom yang diilhamkan dari busur panah, serta elemen “Infinite Weave” yang lebih besar dan ketara serta penggunaan lampu DRL LED pada tempat lampu kabus dahulu, Persona dari depan tampil lebih meyakinkan.
Bahagian belakang juga sama, beberapa pembaharuan telah dilakukan; antaranya ia tidak lagi terlalu “labuh” dan nampak besar. Ada spoiler kecil diletakkan pada penutup ruang barangan, begitu juga dengan bahagian bawah bampar yang diberikan rekaan baru sepenuhnya, dengan kemasan krom dan visual ala diffuser.
Di bahagian dalam, suasana lebih cerah dengan penggunaan dua warna; bahagian bawah dan pelapik bumbung dalam warna cerah, melengkapi kemasan hitam lain yang digunakan. Dari aspek mekanikal, tidak banyak berubah; masih gunakan enjin 1.6L (107 hp/150 Nm) yang sama. Cuma, CVT yang ada menurut Proton telah diperkemaskan untuk memberi tiga atau empat peratus lebih penjimatan bahan api.
Selebihnya, kami huraikan sebanyak dan seringkas mungkin tentang pembaharuan yang dilakukan terhadap Persona 2019. Sila tonton dan kongsi pandangan anda.
GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Premium
GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Executive
Toyota Motor Corporation telah menandatangani satu perjanjian dengan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) untuk mempertimbangkan kemungkinan bekerjasama dalam penerokaan angkasa. Langkah pertama dalam perjanjian ini adalah meneruskan kerjasama dua pihak untuk membangunkan kenderaan elektrik fuel cell khas bagi kegunaan angkasawan.
Kenderaan ini dianggap perlu untuk aktiviti penerokaan manusia atas permukaan bulan dan setakat ini, apa yang sedang dibangunkan adalah sebuah kenderaan yang bersaiz 6.0 meter panjang, 5.2 meter lebar dan 3.8 meter tinggi, dengan bahagian dalam 13 meter padu dan boleh memuatkan dua orang (empat orang dalam waktu kecemasan).
Selain daripada itu, perkara yang diambil kira adalah kenderaan tersebut perlu mempunyai badan yang tertutup, tekanan udara di dalamnya boleh dikawal dan mempunyai saiz yang cukup untuk angkasawan bekerja dan tinggal di dalamnya untuk tempoh masa tertentu.
Untuk sumber penggerak pula, setakat ini apa yang sedang dibangunkan adalah menggunakan fuel cell, di mana menurut Toyota, ia adalah lebih bersih kerana hanya membebaskan air dan tambahan udara. Walaupun dengan sumber terhad yang boleh dibawa ke angkasa, kenderaan ini dikatakan dapat bergerak sehingga jarak lebih 10,000 km.
“Graviti lunar adalah 1/6 daripada bumi, sementara bulan pula mempunyai permukaan yang kompleks. Ia juga terdedah kepada radiasi dan suhu yang lebih teruk berbanding di bumi, serta persekitaran vakum yang sangat tinggi. Untuk penerokaan meluas manusia atas bulan, kenderaan seperti ini sangat diperlukan,” kata timbalan presiden JAXA, Koichi Wakata.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengumumkan pelantikan pelumba negara, Jazeman Jaafar sebagai Ahli Lembaga Pengarah Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Bernama melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan memaklumkan lantikan pelumba berusia 26 tahun itu sebagai satu perkembangan bersejarah membabitkan anak muda di negara ini.
“Seperti dijanjikan, akan ada banyak lagi pelantikan dalam kalangan generasi muda yang terbabit secara langsung dengan tadbir urus akan menyusul selepas ini. Pengalaman yang dimiliki beliau pastinya akan dimanfaatkan bagi menghadapi cabaran tersendiri industri sukan permotoran negara,” jelas Syed Saddiq.
Selain itu, Jazeman sudah terbabit dalam industri sukan permotoran sejak berusia enam tahun. Lebih membanggakan, beliau juga berjaya meraih kemenangan pertama di World Endurance Championship bersama pasukan negara tahun lalu menerusi kelas perlumbaan LMP2.
Berdasarkan pengalaman yang dimiliki, Jazeman akan dapat memberikan inspirasi dan ilham buat generasi muda untuk menceburi bidang sukan permotoran bukan hanya sekadar minat, tetap sebagai kerjaya.