Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tata tunjuk kemampuan autonomous guna model Hexa

    Tata tunjuk kemampuan autonomous guna model Hexa

    Sebagai sebuah syarikat pengeluar kenderaan yang besar, Tata tidak mahu ketinggalan dalam pembangunan kereta pintar dan telah menunjukkan hasil satu projek yang telah dijalankan selama tiga tahun bersama Pusat Teknikal Tata Motors di Eropah (TMETC).

    Melalui video yang telah disiarkan, anda boleh melihat Tata menggunakan model SUV Hexa sebagai asas dan kenderaan prototaip tersebut diuji atas jalan awam termasuk dalam bandar dengan mendapat keluusan daripada pihak berkuasa UK yang sudah mempunyai peraturan tertentu untuk menguji kenderaan autonomous secara selamat.

    Antara teknologi yang ditunjukkan melalui kenderaan ini adalah Petunjuk Kelajuan Optima Lampu Hijau (GLOSA) dan Lampu Brek Kecemasan Elektronik (EEBL). Selain daripada itu, anda juga boleh melihat kenderaan ini mampu mengesan pejalan kaki dan kenderaan apabila berada di simpang dan membrek secara sendiri.

    Menurut Tata, ujian atas jalan sebenar ini membenarkan mereka memperolehi pelbagai data untuk memperelok sistem yang sudah dibangunkan dan melalui video itu juga mereka dapat menunjukkan kemampuan kenderaan tersebut untuk berkomunikasi dengan infrastruktur lain.

    “Projek ini memang cukup mencabar tetapi telah membenarkan kami untuk menguji teknologi yang kami ada atas jalan awam dalam keadaan sebenar. Kami perlu memahami corak penggunaan jalan yang mencabar di India dan menerapkan pengetahuan tersebut dalam projek ini,” kata ketua bahagian daya gerak TMETC, David Hudson.

     
     
  • Mitsubishi Triton terbaru dilihat sebelum pelancaran

    Mitsubishi Triton terbaru dilihat sebelum pelancaran

    Sebelum ini, Mitsubishi sudah pun mengumumkan, pengenalan model Triton terbaru akan dilakukan pada 9 November ini. Kami juga pernah membuat laporan berkaitan teaser kepada model trak pikap yang sama. Kini, ahli dari Facebook New Triton Club Thailand berjaya tangkap gambar yang menunjukkan model berkenaan sebelum pelancaran rasminya.

    Umum telah mengetahui bahawa Triton baru ini nanti akan menggunakan sentuhan rekaan Dynamic Shield baru di bahagian depan. Tetapi bahagian belakangnya masih lagi tidak diketahui, sehinggalah gambar ini memberikan sedikit idea tentang perkara itu – nampaknya ada iras-iras model konsep GR-HEV yang dipertontonkan pada 2013 di Bangkok Motorshow.

    Seperti yang dapat dilihat dalam gambar ini, lampu belakang yang besar pada Triton sebelum ini tidak lagi digunakan, diganti dengan lampu yang lebih kurus dengan rekaan daripada model konsep yang dinyatakan tadi. Bahagian bucu bamparnya juga nanti lebih bersegi berbanding rekaan bulat pada model ketika ini.

    Buat masa sekarang, Mitsubishi belum lagi mendedahkan sebarang perincian berkaitan spesifikasi trak pikap ini; sama ada ia masih akan mengekalkan enjin 4N15 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang mengasilkan 181 PS/430 Nm atau sebaliknya.

     
     
  • Lynk & Co dan Cyan Racing bina kereta lumba TCR 03 untuk WTCC 2019, bersama versi jalan raya 500 hp

    Lynk & Co dan Cyan Racing bina kereta lumba TCR 03 untuk WTCC 2019, bersama versi jalan raya 500 hp

    Tahun lalu, jenama penala Volvo iaitu Polestar telah dipisahkan dan mereka dikenali sebagai jenama bebas yang membina kereta sport, dibuktikan dengan pendedahan Polestar 1 selepas itu. Tapi apa sudah jadi dengan kerjasama Polestar dan Cyan Racing yang berlumba dalam FIA World Touring Car Championship (WTCC)? Ini jawapannya – Cyan Racing kini bekerjasama satu lagi jenama di bawah payung Zhejiang Geely Holding Group iaitu divisi mewah Lynk & Co.

    Untuk itu, Cyan Racing telah mendedahkan jentera perlumbaan untuk siri perlumbaan FIA World Touring Car Cup (yang menggantikan siri WTCC, serta menggunakan undang-undang TCR) musim 2019, iaitu kereta lumba Lynk & Co 03 TCR yang akan bersaing dengan tujuh lagi pengeluar global iaitu Audi, Alfa Romeo, Honda, Hyundai, Peugeot, SEAT dan Volkswagen. Bukan itu sahaja, malah Cyan Racing turut akan menghasilkan model konsep untuk jalan raya diinspirasikan dari jentera perlumbaan sebenar tersebut, digelar Lynk & Co 03 Cyan berkuasa 500 hp.

    Kereta lumba dan model berprestasi tinggi berasaskan model sedan Lynk & Co 03 berkenaan menampilkan identiti seperti kereta lumba Volvo S60 Cyan Racing dengan warna biru dan serlahan-serlahan kuning seakan bendera Sweden. Ia turut diberikan rupa lebih garang dengan liang agresif pada bonet hadapan, fender lebih lebar dengan laluan aliran udara bersama rim, tayar dan brek lebih besar, apron belakang dengan diffuser dan dua tip akzos, serta GT-Wing yang besar pada bahagian belakang.

    Lynk & Co dan Cyan Racing bina kereta lumba TCR 03 untuk WTCC 2019, bersama versi jalan raya 500 hp

    Pengenalan model jalan raya berasaskan kereta lumba tersebut akan menjadi langkah pertama jenama dari China berkenaan kearah penawaran prestasi tinggi. Lynx & Co akan menggunakan pengalaman 20 tahun Cyan Racing bersama Volvo bukan sahaja dalam perlumbaan, malah dalam penghasilan model istimewa seperti Volvo C30 Concept dan juga Volvo S60 Concept.

    “Gabungan antara Lynk & Co dan Cyan Racing akan membentuk ‘mata serampang’ untuk penampilan pertama kami dalam dunia pretasi tinggi automotif. Kombinasi cabaran Lynk & Co dalam konvensyen industri automotif dan pengalaman luas Cyan Racing dalam sukan bermotor dan prestasi tinggi adalah dua elemen utama dalam kerjasama unik ini,” kata Victor Yang, naib presiden komunikasi Zhejiang Geely Holding Group.

    Untuk musim WTCC 2017, Volvo Cyan Racing ditabalkan sebagai juara kategori pengeluar, manakala pemandu utamanya, Thed Björk yang memandu Volvo S60 merangkul gelaran juara kategori pemandu. Pasukan tersebut tidak membina jentera TCR untuk musim tahun ini, dan kerjasama dengan Lynk & Co berkenaan akan meneruskan perjuangan Cyan Racing untuk musim hadapan.

    Lynk & Co dan Cyan Racing bina kereta lumba TCR 03 untuk WTCC 2019, bersama versi jalan raya 500 hp

    “Sasaran kami sebagai pasukan lumba adalah untuk merampas kembali Gelaran Dunia dan meneroka dunia prestasi automotif dengan gaya baharu bersama Lynk & Co. Kami akan menggunakan pengalaman kami dari projek-projek kereta prestasi tinggi untuk jalan raya biasa sebelum ini dengan data yang banyak yang kami dapat dari program perlumbaan menerusi beratus-ratus lap di litar lumba di seluruh dunia dalam keadaan yang ekstrem,” kata CEO Cyan Racing, Christian Dahl.

    Thed Björk sendiri telah mendedahkan kereta lumba Lynk & Co 03 TCR yang dibina oleh Geely Group Motorsport di majlis eksklusif diadakan di litar Fuji Raceway, Jepun. Beliau turut akan memandu kereta lumba tersebut untuk Cyan Racing bagi musim 2019.

    “Untuk sekali lagi mensasarkan gelaran dunia apabila memulakan musim ketujuh saya bersama Cyan Racing adalah impian yang menjadi kenyataan. Terutamanya dengan gabungan kerjasama dengan Lynk & Co yang akan termasuk pembangunan kereta konsep berprestasi tinggi untuk jalan raya biasa adalah sangat menakjubkan,” kata Björk.


     
     
  • Hanya 50 pemilik ‘lesen terbang’ yang serah diri – JPJ

    Hanya 50 pemilik ‘lesen terbang’ yang serah diri – JPJ

    Pada bulan lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memberikan amaran supaya seramai 14,000 pemegang ‘lesen terbang’ untuk menyerahkannya kepada Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) jika tidak mahu tindakan tegas diambil. Walau bagaimana pun, tempoh masa sebulan yang diberikan telah pun berakhir dan hanya 50 individu yang tampil dan menyerahkan lesan mereka kepada unit berkenaan.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, mereka ini terdiri daripada 25 individu warganegara manakala selebihnya bukan warganegara Malaysia, laporan Bernama.

    Kamarudin berkata selain kementeriannya dan JPJ, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat menjalankan siasatan kes itu.

    “Siasatan SPRM memberi fokus kepada prosedur yang terlibat dalam permohonan pertukaran memandu iaitu ‘convert license’ pemandu negara asing kepada pemandu Malaysia,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC L hadir dengan jarak roda yang lebih panjang – diproduksi untuk pasaran China

    Mercedes-Benz GLC L hadir dengan jarak roda yang lebih panjang – diproduksi untuk pasaran China

    Mercedes-Benz GLC yang popular di pasaran Eropah, turut menikmati landasan yang sama di China – tapi dengan jarak roda yang lebih panjang. SUV saiz sederhana ini telah pun menembusi pasaran auto terbesar di dunia, dengan varian GLC L.

    Mercedes-Benz GLC L ini adalah SUV yang sama dengan yang kita pernah lihat di kebanyakan pasaran termasuk di Malaysia, namun jarak roda keseluruhannya mencecah 4,765 mm, 109 mm lebih panjang berbanding GLC biasa. Disebabkan penambahan itu, 100 mm dikurang untuk untuk jarak antara roda – jarak rodanya kini 2,973 mm berbanding standard 2,873 mm.

    Awal tahun ini, Audi telah memperkenalkan versi LWB bagi Q5 di China. Di mana jarak roda Q5L ditambah 88 mm berbanding model asal SUV tersebut pada 2.82 mm, memberikan peningkatan pada ruang lutut di tempat duduk belakang sebanyak 110 mm. Q5L berukuran 4.77 mm, sama saiz dengan GLC L. Walau bagaimana pun, Merc tidak merungkai lebih lanjut mengenai penambahan ruang belakang, namun menerusi foto yang disiarkan, ia mungkin dilakukan. Malah kelihatan vanity mirror di antara seksyen hadapan dan belakang bumbung berkaca itu.

    Dibuat oleh Daimler dengan hasil kerjasama BAIC, GLC L berkongsi enjin yang sama dengan GLC. Tiga enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 184 PS pada 200, 211 PS pada 250 dan 245 PS untuk GLC 300 L 4Matic. AWD didatangkan secara standard bagi semua varian. GLC L ini akan dijual di China dengan anggaran harga bermula RMB10,000 (RM5,997).

    GALERI: Mercedes-Benz GLC 200

     
     
  • Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand 29 Okt ini

    Toyota Camry 2018 dilancar di Thailand 29 Okt ini

    Toyota Thailand telah mendedahkan model Camry generasi kelapan (XV70) serba baharu akan dilancarkan di negara berkenaan pada 29 Oktober ini. Ia selepas beberapa bulan sedan segmen-D itu dikesan ketika sedang diuji di sana.

    Teaser yang dipaparkan menerusi laman web dan Facebook rasmi syarikat berkenaan tidak banyak memberikan perincian, kecuali dikhabarkan ia menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) sama seperti Prius dan C-HR.

    Setakat ini, informasi di bawah hudnya masih kekal dirahsiakan. Kemungkinan ia dipadankan dengan enjin 2.5 liter empat-silinder (A25A-FKS) dari Toyota Dynamic Force Engine, dengan hamburan kuasa 208 PS dan tork 252 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Penjana kuasa hibrid juga didatangkan untuk Camry, juga dengan Dynamic Force Engine (A25A-FXS) dengan 178 PS dan 221 Nm, bersama motor elektrik 120 PS/202 Nm, sekaligus menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 211 PS. E-motor tersebut dikuasakan oleh bateri lithium-ion/nickel-metal hydride yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang berbanding di but untuk pusat graviti yang lebih rendah.

    Lain pilihan enjin yang ditawarkan termasuklah 2.0 liter 6AR-FSE (167 PS/199) dan 2.5 liter 2AR-FXE (160 PS/213 Nm(, yang kedua-dua enjin empat-silinder itu turut ditawarkan pada model Camry yang masih dalam pasaran di Malaysia. Selain itu, enjin 2GR-FKS 3.5 liter V6 dengan 305 PS dan 362 Nm yang boleh didapati dipasaran lain seperti Australia dan Amerika Syarikat, mungkin tidak ditawarkan di Thailand.

    Sementara barisan enjin belum disahkan, Camry baharu ini didatangkan dengan gaya yang lebih menyerlah dengan bahagian hadapan yang lebih segar serta ruang dalaman yang juga disemak semula. Malahan, ia juga mendatangkan lebih banyak teknologi yang signifikan, termasuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dan banyak lagi.

    Kita akan tahu perincian lebih lanjut mengenai Camry ini apabila ia dilancarkan di Thailand dalam masa beberapa hari lagi. Adakah ciri ini juga akan didatangkan ke Malaysia? Mana satu pilihan anda, adakah Camry baharu ini atau pesaing terdekatnya iaitu Honda Accord?

    GALERI: Toyota Camry SX 2018 spesifikasi Australia

     
     
  • Genesis G70 2019 terima paparan 3D pertama di dunia

    Genesis G70 2019 terima paparan 3D pertama di dunia

    Genesis G70, sebuah kereta eksekutif kompak yang dipertontonkan buat pertama kali tahun lalu untuk pasaran Korea kini menerima naiktaraf bagi model tahun 2019 – 13 bulan selepas ia masuk pasaran di sana.

    Pesaing secara langsung bagi BMW 3 Series, Mercedes-benz C-Class dan Audi A4 ini dilengkapi dengan paparan instrumen digital 12.3-inci yang menggantikan gauge analog yang diperkenalkan sebelum ini. Bagaimanapun, ia bukanlah paparan biasa; Genesis yang dikemaskini itu hadir bersama teknologi paparan 3D yang pertama seumpamanya di dunia.

    Ia merupakan sistem yang menarik, memberikan kedalaman kepada skirn mendatar yang ada tanpa memerlukan kaca mata 3D. Sistem ini menggunakan kamera untuk mengesan dan mengikuti gerak mata pemandu. Ada tiga tema tersedia – Modern, Space dan Edge – dan ciri 3D berkenaan boleh dinyah-aktif sekiranya mahu.

    Genesis G70 2019 terima paparan 3D pertama di dunia

    Lain-lain perubahan termasuk bukaan ruang barangan tanpa operasi tangan, penulen udara dan siaran media digital definisi tinggi (DBM, sistem siaran TV mudah alih Korea) dan juga fungsi Auto Hold bagi brek parkir elektronik yang datang sebagai ciri standard.

    Selain itu, ciri penjimatan bagi transmisi lapan-kelajuan juga kini standard, terdahulu hanya ada pada model 3.3T Sport serta rim 19-inci. Sistem pacuan Dynamic All-Wheel Drive dengan LSD mekanikal juga menjadi tambahan terbaru.

    Selebihnya Genesis G70 kekal sama seperti sebelumnya – dengan pilihan enjin 2.0 liter Theta II empat-silinder yang menjana 252 PS/353 Nm; 2.2 R VGT turbodiesel dengan 202 PS/441 Nm; atau yang paling tinggi, enjin 3.3 liter turbo berkembar V6 dengan 370 PS/510 Nm.

     
     
  • E-hailing ambil masa setahun untuk dilaksana – Loke

    E-hailing ambil masa setahun untuk dilaksana – Loke

    Walau pun peraturan e-hailing telah pun digazetkan mulai Julai lalu melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial (Pindaan) 2017, namun ia mengambil masa selama setahun sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya, ujar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

    Katanya, ia mengambil masa yang lama bagi mendaftarkan syarikat dan kira-kira 100,000 pemandu e-hailing di seluruh negara, laporan Bernama.

    “Memang kita telah laksanakan peraturan terhadap e-hailing selepas kerajaan menetapkan dasar bahawa kita membenarkan perkhidmatan itu di negara ini. Apabila dilaksanakan sepenuhnya kelak, ia akan meletakkan industri e-hailing dan teksi dalam kedudukan yang sama,” katanya kepada pemberita semalam.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkata, persaingan tidak seimbang antara e-hailing dan teksi sudah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet tetapi tidak ada kemajuan sehingga kini.

    Menurut Anthony, kerajaan juga tidak akan melayan tuntutan pemandu teksi supaya mengharamkan syarikat e-hailing yang menggunakan kereta persendirian.

     
     
  • Pemandu teksi, perkhidmatan e-hailing wajib daftar SOCSO bermula 1 Nov – caruman dari RM157 setahun

    Pemandu teksi, perkhidmatan <em>e-hailing</em> wajib daftar SOCSO bermula 1 Nov – caruman dari RM157 setahun

    Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menegaskan, semua pemandu teksi dan juga pemandu perkhidmatan e-hailing lainnya wajib mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Bekerja Sendiri di bawah Persatuan Keselamatan Sosial (SOCSO) bermula 1 November ini.

    Skim yang mula diperkenalkan pada 1 Jun 2017 menyaksikan masih ramai lagi pemandu-pemandu yang belum berbuat demikian. Kulasegaran berkata, SOCSO dan Kementerian Pengangkutan telah berbingcang tentang langkah yang akan diambil sekiranya para pemandu teksi dan e-hailing gagal untuk berbuat demikian, lapor Bernama.

    “Ketika ini, kami dalam proses untuk mendapatkan kebenaran dari Kementerian Pengangkutan berkaitan kaedah untuk melaksanakan perkara ini. Satu daripadanya ialah pemandu perlu menunjukkan bukti bahawa mereka sudah berdaftar dengan SOCSO sebelum lesen mereka boleh diperbaharui.

    Pemandu teksi, perkhidmatan <em>e-hailing</em> wajib daftar SOCSO bermula 1 Nov – caruman dari RM157 setahun

    “Kami sedang mempertimbangkan kaedah-kaedah yang wajar dan dalam masa yang sama mengadakan perbincangan dengan persatuan teksi dan pemandu e-hailing sebelum Kementerian Pengangkutan membuat pengumuman rasmi,” jelas beliau.

    Setakat ini, daripada kira-kira 100,000 pemandu teksi dan e-hailing, hanya 5,197 sahaja yang telah membuat potongan untuk skim berkenaan. “Matlamat kami bukanlah untuk menghukum dan berharap ia tidak perlu sampai ke tahap itu. Harapnya pemandu-pemandu akan memberikan kerjasama dan membuat sumbangan atau potongan untuk skim berkenaan, untuk kepentingan mereka sendiri juga,” tambah Kulasegaran.

    Sementara itu, CEO SOCSO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menyatakan, bayaran minimum untuk skim berkenaan ialah RM157.20 manakala kadar maksimum pula ialah RM592.80 bagi tempoh setahun. “Sekiranya berlaku sebarang kejadian, pencarum berpeluang untuk menerima manfaat bergantung kepada skala sumbangan mereka sendiri,” tambah beliau.

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga diyakini mampu memperkukuhkan sektor pembuatan negara – PM

    Projek kereta nasional ketiga diyakini mampu memperkukuhkan sektor pembuatan negara – PM

    Menerusi program ‘Malaysia Baharu Bersama Tun M’ yang disiarkan oleh Astro Awani baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyentuh mengenai projek kereta nasional ketiga.

    Ujar beliau, projek tersebut bukan sekadar untuk mewujudkan kereta tetapi matlamatnya lebih luas daripada itu, termasuk memperkukuhkan lagi sektor pembuatan negara. Di mana untuk mengeluarkan produk yang sama setaraf dengan barangan yang diimport, negara juga perlu melakukan sedikit pengorbanan, laporan Sinar Harian.

    “Saya lihat kereta Jepun ketika saya masih di universiti lagi, kereta itu dianggap sebagai yang kurang baik sekali, tak boleh dibeli kononnya (diperbuat) daripada tin minuman. Tapi sekarang ini, semua menganggap kereta Jepun adalah berkualiti tinggi. Begitu juga dengan Korea, pada mulanya mereka keluar kereta nak eksport tapi tak ada siapa nak beli. Tapi sekarang mereka boleh eksport sampai ke Amerika, bahkan sekarang boleh tubuh kilang di Amerika untuk buat keluarkan jenama mereka,” ujarnya menerusi wawancara tersebut.

    Tambahnya lagi, dengan apa yang kita lalui sekarang ini, ia merupakan proses sementara kita menguasai teknologi yang sering bertukar sepanjang masa. “Kalau kita tak buat apa-apa mustahil kita boleh keluar barangan sendiri. Apa juga yang kita buat, kalau kita buat berkali-kali mungkin mengambil masa yang lama tetap kualiti kita akan menjadi lebih baik,” sambungnya.

     
     
  • Beg Udara Takata – Menteri pengangkutan gesa lebih dari setengah juta pemilik terlibat segera bertindak

    Menurut posting terbaharu menteri pengangkutan Anthony Loke, lebih dari setengah juta kenderaan di Malaysia terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara Takata. Isu berkenaan sememangnya membimbangkan kerana kesemua beg udara tersebut bukan sahaja tidak boleh melindungi pemandu dan penumpang sekiranya berlaku kemalangan, malah ia mungkin menjadi penyebab kecederaan atau lebih teruk kematian akibat serpihan logam dari perumah inflator tersebut yang meletup ketika beg udara diaktifkan.

    Oleh itu, beliau telah menyiarkan satu video bagi menggesa kesemua pemilik yang terlibat dengan panggilan semula ini agar segera bertindak untuk berhubung dengan pengeluar masing-masing dan menukar beg udara berkenaan secepat mungkin. Sebelum ini, Loke telah mengumumkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang berkerjasama rapat dengan pengeluar-pengeluar automotif bagi mengesan pemilik-pemilik terlibat untuk mengingatkan serta menggesa mereka untuk menukar komponen tersebut.

    Antara usaha JPJ bagi ‘memaksa’ kesemua pemilik berkenaan untuk bertindak adalah mengenakan saman RM300 sekiranya dua peringatan yang dihantar tidak dipedulikan, serta cukai jalan mereka juga dihalang untuk diperbaharui. Menurut Loke, ini dilakukan demi keselamatan mereka yang terlibat dan bukan untuk menghukum sesiapa.

    Beg Udara Takata – Menteri pengangkutan gesa lebih dari setengah juta pemilik terlibat segera bertindak

    Panggilan semula beg udara keluaran Takata ini bukan sahaja melibatkan Malaysia dan ia sebenarnya dilakukan diseluruh dunia. Ia adalah disebabkan propelan di dalam inflator berkenaan yang terjejas kerana terdedah kepada kelembapan dan suhu tinggi pada masa yang lama. Inflator tersebut mengandungi propelan ammonium nitrat dalam keadaan stabil yang lembab, dan jika ia merosot dalam tempoh masa lama, berpotensi untuk meletup terlalu pantas ketika beg udara diaktifkan.

    Ini akan menyebabkan perumah inflator itu sendiri yang diperbuat dari logam meletup sebelum mengembangkan beg udara, yang akan menyebabkan serpihan logam berkenaan ‘menembak’ ke setiap arah ke dalam kabin, dan berpotensi mencederakan atau lebih teruk menyebabkan kematian penumpang atau pemandu kenderaan itu sendiri.

    Saman atau tak boleh memperbaharui cukai jalan itu perkara nombor dua, apa yang paling penting sebenarnya adalah keselamatan anda dan keluarga. Jadi usaha untuk mendesak ini sepatutnya bukan dari kerajaan sahaja, jika anda tahu ada dikalangan ahli keluarga anda yang menerima surat peringatan, seharusnya anda juga perlu bertindak untuk mendesak mereka untuk bertindak demi keselamatan orang yang tersayang.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – hari terakhir yang penuh kejutan

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – hari terakhir yang penuh kejutan

    Hari terakhir Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang memang mengundang pelbagai kejutan termasuk aksi daripada para pelumba yang saling mencabar antara satu sama lain. Dari awal perlumbaan sehinggalah ke akhir, para pelumba ketiga-tiga kategori cukup tidak memberikan peluang kepada pencabar, masing-masing berebut mahu menduduki podium.

    Litar buatan khas sepanjang 1.99 km cukup memberikan cabaran kepada para pelumba, malahan setiap selekoh dan laluan memberikan pengalaman yang cukup bermakna khususnya buat pelumba yang pertama kali menyertai perlumbaan sebegini. Namun ini ternyata tidak memudarkan semangat untuk ledakan adrenalin pada tahap maksimum, justeru masing-masing saling mencabar.

    Bagi kelas Promotional, jika semalam Nabil Ahmad menguasai litar, namun tuah tidak menyebelahi dirinya apabila takhtanya dirampas oleh penyanyi muda, Aiman Tino, yang mempamerkan aksi mengejutkan. Jentera No.77 yang dipandu Aiman cukup konsisten dari pusingan pertama dan dia hanya mengambil masa selama 25 minit 44 saat untuk ke garisan penamat. Pencabar terdekatnya, Akim Ahmad, memang mengekorinya rapat bampar ke bampar, yang hanya ketinggalan 0.5 saat dan hanya berpuas hati di tempat kedua.

    Manakala Diana Danielle kekal sebagai pelumba wanita yang dibanggakan kerana berjaya menduduki podium di tempat ketiga. Diikuti oleh Janna Nick, Wany Hasrita, Nabil, Nabila Razali dan Khai Bahar, cuma malang bagi timbalan pengerusi UMW Toyoya Motor, Akio Takeyama yang gagal meneruskan perlumbaan dan terkandas di pusingan ke-enam. Malah beliau turut dikenakan penalti 10-saat pada awal perlumbaan dan kemudian berlanggar pula dengan Nabil hingga jentera yang dipandunya terlanggar penghadang konkrit.

    Kelas Sporting pula diungguli oleh Patrick Tam dari pasukan Nanoplus, yang dicabar rapat oleh Clement Yeo (Distinctive Model) di tangga kedua dan Eric Yong (ST Wangan Racing Team) pula di tangga ketiga. Malang bagi pelumba berusia 14 tahun, Hayden Haikal, yang semalam beraksi cemerlang, tapi hari ini nasib tidak menyebelahinya kerana terkeluar di pusingan ke-enam selepas jenteranya terlanggar jentera yang dipandu oleh Clement Yeo.

    Malahan pelumba jentera No.2, Adzeem Aqwan Adnan juga terlibat dengan kemalangan di pusingan enam, memberikan peluang kepada pemandu lain termasuk Dannies Ng, Brendon Lim dan Syukri Yahya memintasnya, sekaligus menduduki tangga enam teratas.

    Kategori yang paling profesional pula, Super Sporting, menyaksikan kemaraan Kenny Lee dari pasukan Kegani Racing menjadi juara walau pun dicabar rapat oleh Brendan Paul Anthony (Dream Chaser) di tangga kedua dan Boy Wong di tangga ketiga. Biar pun perlumbaan terhenti seketika selepas dua selekoh pertama kerana jentera yang dipandu oleh William Ho terbalik selepas terlanggar sedikit dengan Freddie Ng. Mujur tiada sebarang kecederaan biar pun ini memaksa William tidak dapat meneruskan perlumbaan.

    Drama makin menjadi-jadi dengan aksi kejar-mengejar antara pelumba dan juga insiden yang melibatkan Ng yang terlanggar penghadang konkrit, sekaligus memberi peluang kepada pelumba di belakangnya untuk memintas sekaligus memburu tempat terbaik.

    Cuaca yang panas hari ini memang tidak menghalang kunjungan orang ramai khususnya peminat sukan permotoran untuk membanjiri perkarangan litar di MAEPS ini. Malah dengan pelbagai aktiviti yang menarik terutamanya model-model baharu Toyota yang dipamerkan di ruang khas, memberikan peluang untuk para pengunjung melihat secara lebih dekat jentera yang dipamerkan. Malah duta Toyota C-HR, Fattah Amin, turut meluangkan masa seketika di ruang pameran Toyota.

    Selepas Kuala Terengganu pada Ogos lalu, dan pusingan kedua di MAEPS juga telah berakhir, nantikan pusingan ketiga yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Februari 2019.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – pertarungan sengit kian membara

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – pertarungan sengit kian membara

    Selepas Kuala Terengganu, Toyota Gazoo Racing 2018 diteruskan, kali ini litar buatan khas di MAEPS, Serdang kembali menjadi pilihan. Gegarannya bermula hari ini sehingga kemuncak acara yang bakal berlangsung esok, memberikan peluang kepada para peminat acara perlumbaan untuk menyaksikan secara lebih dekat aksi pelumba pro tempatan dan juga barisan selebriti yang berlumba dalam Toyota Vios Challenge.

    Seperti perlumbaan sebelum ini, Toyota Vios Challenge dibahagikan dengan tiga kelas iaitu Promotional, Sporting dan Super Sporting. Litar buatan khas di MAEPS sepanjang 1.99 km ini mempunyai 17 selekoh yang sangat mencabar termasuk laluan naik dan turun bukit.

    Untuk Race 1 yang berlangsung hari ini, kelas Promotional dimonopoli oleh Nabil Ahmad, yang baru-baru ini juga telah dinobatkan sebagai Pengacara Hiburan Terbaik Asia 2018. Walau pun ini merupakan pembabitan kali pertama buatnya dalam perlumbaan Toyota Vios Challenge, namun ramai pasti mengetahui Nabil memang cukup berminat dalam perlumbaan. Maka, peluang yang ada ini pasti dirembat, biarpun dikejar rapat oleh selebriti yang pernah beraksi dalam TGR musim lalu, Diana Danielle yang berjaya di tempat kedua.

    Nabil berjaya menghabiskan 18 pusingan dengan catatan masa 27 minit 13 saat, manakala Diana pula 27 minit 15 saat. Turut membuat kejutan apabila penyanyi remaja, Aiman Tino, berjaya menduduki tempat ketiga, meninggalkan pencabar terdekatnya, Akim Ahmad dan Akio Takeyama. Manakala Khai Bahar di tempat ke-enam, diikuti dengan Janna Nick dan Nabila Razali. Namun malang bagi Bintang Paling Popular ABPH 31, Wany Hasrita yang tersingkir di pusingan ke-tujuh selepas jentera yang dipandunya melanggar tembok.

    “Dari awal lagi saya mahu memastikan agar Diana tidak memotong saya, dan dia memang memberikan persaingan yang sengit. Sebenarnya, (perlumbaan hari ini) lebih kepada tuah kerana rim jentera saya patah tetapi mujur juga tayar tak pancit, jadi saya berpeluang mencabar diri saya hingga ke garisan penamat,” ujar Nabil.

    Bagi kelas Sporting, dari awal perlumbaan, Kenneth Koh yang memandu jentera No.28 bijak mencari peluang untuk mendapat tempat terbaik. Memulakan perlumbaan di petak kedua, Koh mengambil peluang memintas Brendon Lim yang agak perlahan pada awalnya yang hanya berpuas hati di tempat kedua. Menurut Lim, kesilapannya berpunca kerana terlupa untuk mematikan pendingin hawa hingga membuatkan jenteranya sedikit kehilangan kuasa.

    Manakala Dato’ Ken Foo pula di tempat ketiga dan selebriti yang turut mengambil bahagian ketika musim pertama lalu, Shukri Yahya pula menduduki tangga ke-empat walau pun diberikan persaingan sengit oleh pelumba muda, Hayden Haikal, yang baru berusia 14 tahun. Kedua-dua pelumba berkenaan saling memberikan aksi menarik, hinggakan Shukri berjaya memintas Hayden di pusingan terakhir sebelum perlumbaan tamat.

    Untuk kelas Super Sporting pula, pastinya menambahkan lagi kehangatan perlumbaan kerana melibatkan barisan pelumba profesional tempatan, yang saling memberikan aksi terbaik bagi merebut tempat teratas. Boy Wong yang memulakan perlumbaan secara konsisten hingga ke garisan penamat berjaya merebut tangga pertama. Walau pun begitu diberi persaingan sengit oleh William Ho yang rapat mengejarnya dari belakang dengan. perbezaan catatan masa yang hanya sedikit sahaja iaitu 0.7 saat.

    Manakala Brendon Paul Anthony hanya berpuas hati di tangga ketiga, diikuti dengan Ser Meng Hui dan Freddie Ang untuk mendapat tempat lima terbaik dalam kategori berkenaan.

    Esok akan berlangsung Race 2, dan penentu siapakah pelumba yang berjaya menduduki podium bagi kategori yang dipertandingkan. Jika anda ada kesempatan, jangan lupa untuk berkunjung ke Maeps, Serdang bersama keluarga mahu pun rakan-rakan. Bukan setakat berpeluang menyaksikan perlumbaan hebat ini, bahkan banyak juga aktiviti menarik menanti kunjungan anda.

     
     
  • Kerajaan komited akan siapkan Lebuhraya Pan Borneo

    Kerajaan komited akan siapkan Lebuhraya Pan Borneo

    Mei lalu, ada ura-ura menyatakan bahawa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo pada bahagian Sabah akan dihentikan. Terkini, kerajaan Malaysia mengesahkan bahawa bahagian berkenaan sah akan diteruskan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah bagi menyelesaikan masalah-masalah pembinaannya, termasuk isu pengambilalihan tanah, menurut laporan The Star.

    Menteri kerjaraya, Baru Bian, memberikan jaminan bahawa projek tersebut akan diteruskan, serta pekerja dan syarikat yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya tidak perlu risau.

    “Saya faham bahawa mereka agak resah terhadap semua perkara, termasuk arah tuju kerajaan berhubung Lebuhraya Pan Borneo di Sabah. Tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan pusat akan meneruskan projek tersebut. Ini merupakan projek kami dan kami mahu lihat ia disempurnakan agar semua orang gembira,” katanya.

    Masalah pengambilalihan tanah telah menjadi halangan utama untuk projek tersebut di Sabah, dan Ahli Parlimen Selangau berkata bahawa Kementerian Kerja Raya perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tersebut. “Proses pengambilalihan termasuk mengalihkan penduduk-penduduk di atas tanah tersebut, sama ada mereka duduk secara sah atau tidak sah,” katanya dan menambah bahawa proses pengosongan dan penilaian tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

    “Saya tahu bahawa Jabatan Tanah dan Ukur ada pasukan penguatkuasa yang bertanggungjawab dalam proses pengosongan,” kata Baru dalam laporan berkenaan, dan menambah kerajaan akan berbincang dengan kementerian kewangan bagaimana untuk menjalankan pakej-pakej yang tinggal walaupun dalam kekangan kewangan bagi mengelakkan kelewatan pembayaran dan memastikan kesemua pemegang kepentingan gembira.

    Projek Lebuhraya Pan Borneo bahagian Sabah ini dibahagikan kepada 35 pakej kerja yang bernilai RM12.8 bilion, dengan tujuh daripadanya telah diimplementasikan antara April 2016 dan Disember 2017, menurut The Star lagi. Konsultan bebas akan dilantik bagi melihat semula kos projek, dan mencari jalan sama ada boleh atau tidak perbincangan dilakukan dengan rakan projek bagi mengurangkan lagi harga, kata Baru.

     
     
  • Volkswagen tunjukkan sistem lampu interaktif baru

    Dalam satu acara Future Talk anjuran Volkswagen baru-baru ini, syarikat Jerman tersebut telah menunjukkan sedikit sistem lampu termaju mereka, yang mana beberapa daripadanya sudah pun disediakan sebagai pilihan tambahan untuk Touareg terkini. Sistem baru ini bukan sahaja memberikan kecekapan pancaran yang lebih baik, malah juga boleh berkomunikasi dan meningkatkan lagi keselamatan kenderaan.

    Pada bahagian hadapan, syarikat itu telah membangunkan sistem yang dipanggil ‘lampu utama IQ. Light Matrix LED’, yang menampilkan pancaran lampu utama HD micro-pixel dengan lebih 30,000 titik cahaya. Ini membolehkan informasi dipancarkan terus ke atas jalan, hampir seperti apa yang boleh dibuat oleh Mercedes-Benz S-Class.

    Teknologi ini bersambung dengan sistem bantuan baru iaitu Optical Lane Assist, di mana pancaran berbentuk seperti lorong ditembak ke hadapan supaya pemandu mudah mengagak lebar kenderaan serta jarak dengan penanda jalan lain seperti di jalan yang sedang mengalami proses pembaikan.

    Volkswagen juga telah membangunkan susunan lampu belakang matrix yang boleh disepadukan dengan fungsi amaran dan mesej di dalamnya. Dengan lampu belakang yang boleh diubah mengikut kemahuan serta komunikasi dengan kenderaan lain, kereta ini boleh mengurangkan situasi merbahaya dengan memberikan amaran awal kepada kenderaan di belakang.

    Sistem baru Optical Park Assist pula membantu pemandu supaya lebih mudah untuk memasukkan kenderaan dalam petak letak kenderaan dengan mamancarkan garis bantuan ke atas jalan. Selain daripada itu, sistem ini juga boleh memberi amaran kepada pejalan kaki semasa proses meletakkan kenderaan. Kombinasi sistem lampu depan dan belakang baru ini juga didakwa sebagai penting bagi kenderaan autonomous, untuk menunjukkan operasi kenderaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025