Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS tutup semua lorong tambah nilai di plaza tol dari 12 hingga 24 Jun ini bagi kurangkan kesesakan trafik

    PLUS tutup semua lorong tambah nilai di plaza tol dari 12 hingga 24 Jun ini bagi kurangkan kesesakan trafik

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan bakal menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol bagi membantu melancarkan lagi pergerakan trafik pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri ini. Di mana kesemua 118 Lorong Tambah Nilai di plaza tol di lebuh raya PLUS akan ditutup kepada orang ramai mulai 12 Jun hingga 24 Jun ini

    Langkah ini juga bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh orang ramai beratur di lorong tambah nilai di plaza tol.

    Justeru, PLUS mengingatkan orang ramai supaya memastikan kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi menjelang cuti perayaan Aidilfitri yang akan datang.

    PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya menambah nilai kad masing-masing di kira-kira 10,000 lokasi tambah nilai lain di seluruh negara. Ia termasuklah di mesin ATM, kedai serbaneka 24-jam, stesen-stesen minyak dan lain-lain lagi.

    Selain itu, orang ramai juga boleh menambah nilai kad mereka di 70 lokasi Kiosk Layan Diri (Self-Service Kiosk) yang disediakan di plaza tol dan R&R terpilih. Pengguna boleh menyemak lokasi Kiosk Layan Diri menerusi Aplikasi PLUS Mobile atau portal Touch ‘n Go. Orang ramai juga boleh menambah nilai kad mereka di stesen-stesen minyak yang beroperasi di kawasan-kawasan rehat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

    Selain daripada itu, pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS akan dibuka di antara jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari (termasuk Sabtu, Ahad dan Cuti Umum) untuk membolehkan orang ramai membuat urusan tambah nilai di plaza-plaza tol terpilih.

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid C27 catat tempahan 2,500 unit

    Nissan Serena S-Hybrid C27 catat tempahan 2,500 unit

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan, setakat 8 Jun 2018, sebanyak 2,500 tempahan telah diterima bagi model Nissan Serena S-Hybrid C27. Daripada jumlah itu, 757 unit telahpun didaftarkan dalam hanya dalam tempoh empat minggu selepas dilancarkan.

    “Jumlah tempahan ini menunjukkan bahawa penerima terhadap model MPV ini sangat baik daripada pelanggan dan kami berterima kasih kepada mereka di atas sokongan yang diberikan. Kami akan sedaya upaya menawarkan produk terbaik, serta memastikan semua tempahan yang diterima ini diserahkan mengikut masa yang ditetapkan,” jelas pengarah pemasaran ETCM, Christopher Tan.

    Terdapat dua varian ditawarkan bagi Serena S-Hybrid ini, iaitu Highway Star dan Premium Highway Star. Masing-masing dijual pada harga terkini tanpa GST RM127,874 dan RM139,195 – harga atas jalan tanpa insurans. Jika anda ingin mengetahui lanjut tentang perincian MPV keluarga ini, ikuti laporan pelancarannya dan juga pandu uji yang pernah kami sediakan sebelum ini.

    Nissan Serena S-Hybrid C27 catat tempahan 2,500 unit

    Sistem janaan kuasa MPV ini menggunakan enjin yang sama seperti C26 Serena, iaitu enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol yang menawarkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

    Unit ini turut dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT, yang ditambah dengan motor ECO (1.9 kW) untuk mengawal ciri Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyah-pecutan. Ia juga mempunyai 48 Nm tork tambahan.

    Kelengkapan keselamatan yang tersedia pula termasuklah kawalan dinamik kenderaan (VDC), ABS dan EBD, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman (TCS) enam beg udara dan dua cagak Isofix. Nissan Serena 2.0L terbaru ini datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Kempen keselamatan Yamaha Balik Kampung kembali

    Kempen keselamatan Yamaha Balik Kampung kembali

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) telah meneruskan kempen keselamatan Balik Kampung pada tahun ini di Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan. Ini juga adalah satu pencapaian baru bagi HLYM kerana ia sudah dianjurkan selama 20 tahun.

    Bagi tahun ini, temanya adalah “20 years – Empowering Road Safety, Together” dan ia telah dilancarkan oleh menteri pengangkutan yang baru, Loke Siew Fook bersama pengerusi MMSDA, Wee Hong.

    Sepanjang acara berlangsung, HLYM akan cuba menyemat pembelajaran mengenai keselamatan jalan raya melalui aktiviti seperti Yamaha Safety Riding Science (YSRS), YSRS KIDS, maklumat tayar oleh FKR, pemeriksaan keselamatan 15 bahagian untuk apa saja motosikal dan pemeriksaan palam pencucuh.

     
     
  • Ketua Polis Negara dedah 3 tabiat utama punca kemalangan; Ops Selamat 13 bermula hari ini

    Ketua Polis Negara dedah 3 tabiat utama punca kemalangan; Ops Selamat 13 bermula hari ini

    Ketua Polis Negara Tan Sri Moha­mad Fuzi Harun mendedahkan bahawa kepenatan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sikap yang tidak baik merupakan tiga punca utama kemalangan di Malaysia, lapor The Star.

    “Kami akan tumpu untuk membasmi kesalahan trafik, terutamanya memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan melanggar lampu isyarat merah,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Ops Selamat 13/2018 semalam sempena musim cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    Beliau juga menjelaskan bahawa jumlah kemalangan umumnya akan meningkat kerana jumlah kenderaan yang semakin banyak setiap tahun. Bagi menangani masalah ini, sejumlah 80% cuti anggota akan dibekukan sepanjang Hari Raya. “Ini bermaksud 93,600 kakitangan, termasuk 6,400 polis trafik PLUS, akan bertugas,” katanya.

    Pasukan polis juga diberikan sebanyak 29 buah kereta bagi menjalankan operasi sepanjang Raya tahun ini, yang terdiri dari Mitsubishi Outlander, Mitsubishi ASX dan Proton Preve. Ops Selamat 13/2018 akan bermula hari ini dan berakhir 22 Jun 2018 nanti.

     
     
  • Proton lancar pusat 4S pertama yang telah dinaiktaraf

    Proton lancar pusat 4S pertama yang telah dinaiktaraf

    Proton telah melancarkan cawangan 4S pertamanya yang dinaiktaraf, yang dikendalikan oleh Setia Gemilang Auto Sdn Bhd, dengan memaparkan wajah baharu yang lebih segar dan terkini. Terletak di Lot 7959, Jalan Batu Tiga (Off Jln Subang), Subang, Shah Alam, cawangan 4S Setia Gemilang ini menandakan satu standard baharu bagi memastikan platform jualan dan perkhidmatan selari dengan model perniagaan syarikat. Malahan ia adalah bagi memberikan pengalaman baharu yang dipertingkatkan kepada para pelanggannya.

    Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh CEO Proton Dr Li Churong, yang diiringi oleh Timbalan CEO Dato’ Radzaif Mohamed, dan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Abdul Rashid Musa serta Pengarah Setia Gemilang Sdn Bhd Andrew Quek Tze Kean.

    “Saya berasa gembira dengan aktiviti penambahbaikan cawangan 4S dan 3S baharu yang sedang dijalankan dengan lancar terutamanya dengan hasil usaha sama yang sangat baik yang diberikan oleh para pengedar bersama pasukan dari Proton. Dengan bahagian luar dan dalam yang diperbaharui serta lebih ceria, pastinya dapat memberikan pengalaman yang lebih menyenangkan buat para pelanggan. Yang paling penting, kami ingin menyampaikan mesej mengenai Proton yang baharu,” ujar Dr Li.


    Terletak di kawasan seluas dua ekar, cawangan 4S Setia Gemilang ini dilengkapi dengan ruang pameran yang mampu menempatkan 11 buah kereta, 50 petak tempat letak kereta pelanggan, 15 petak penyelenggaran bersama 14 servis pengangkat, 12 ruang ketuk dan cat, ruang menunggu untuk pelanggan yang mampu memuatkan 30 orang dalam satu masa serta kemudahan WiFi secara percuma.

    Menurut Andrew Quek Tze Kean pula, “Cawangan Setia Gemilang telah berjaya dinaiktaraf untuk memenuhi keperluan taraf baharu bagi sebuah cawangan 4S Proton. Dengan gandingan kerjasama, kami mempunyai pasukan utuh dan berpengalaman yang akan memantau operasi harian jualan, servis serta kerja-kerja mengetuk dan cat untuk memastikan pengalaman pelanggan yang optimum. Dengan peningkatan cawangan 4S ini, kami dapat memberikan keperluan yang diingini oleh para pelanggan di sekitar kawasan ini dari segi jualan, penyelenggaran, alat ganti dan juga maklumbalas daripada pelanggan.”

    Proton berkata buat masa ini, 82 cawangan telah bersedia dinaiktaraf menjadi pusat 3S atau 4S, setakat 31 Mei tahun ini. Pengeluar kereta nasional ini mensasarkan sebanyak 109 cawangan akan mengambil bahagian dalam program menaiktaraf ini, dengan angka terkini telah mencapai 75%, di mana ia telah berjaya dicapai dalam tempoh lima bulan, iaitu dua bulan awal dari tarikh yang dijangka.


     
     
  • Nissan rancang hentikan pembangunan enjin diesel

    Nissan rancang hentikan pembangunan enjin diesel

    Nampaknya, semakin banyak pengeluar kenderaan global yang mengalihkan perhatian mereka untuk menghentikan pembangunan enjin diesel dan memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik. Dalam perkembangan terbaru, Nissan juga mengumumkan perkara yang sama. Menurut sebuah laporan Nikkei, keputusan itu diambil disebabkan “penurunan ketara jumlah penerimaan enjin diesel dalam pasaran”.

    Tambahan pula, pihak berkuasa di beberapa kota utama seperti Britain, Perancis, Hamburg, China dan banyak lagi negara semakin mengetatkan jualan kenderaan diesel ataupun mengharamkannya sama sekali, atas alasan untuk menepati piawaian alam sekitar yang lebih ketat. Pengeluaran enjin diesel oleh Nissan dijangka berakhir pada 2020, bergantung kepada permintaan.

    Bagi pasaran utama, Nissan telah menghentikan penjualan kenderaan penumpang yang menggunakan enjin diesel, termasuk di Jepun dan Amerika Syarikat. Bagi awal 2020an nanti pula, jualan di Eropah akan mengikut jejak yang sama, dengan model sedia ada yang menggunakan enjin diesel akan ditukar kepada pilihan model kenderaan petrol-elektrik.

    Selepas tempoh itu, syarikat berkenaan akan terus menjualan kenderaan perdagangan dengan enjin diesel, tetapi enjin berkenaan bukan dari pembangunan sendiri. Rakan niaga Nissan, Renault juga mempertimbangkan rancangan yang sama bagi pembagunan enjin-enjin barunya.

    Adakah ini pengakhiran teknologi enjin diesel diperingkat global? Mungkin tidak, tetapi corak keputusan yang diambil oleh sebahagian pengeluar – seperti Volvo – untuk memberi lebih banyak tumpuan kepada teknologi enjin elektrik sedikit sebanyak akan memberi kesan.

     
     
  • Ops Bersepadu Aidilfitri 2018 : Bas dan pemandu yang miliki saman tertunggak tidak boleh teruskan operasi

    Ops Bersepadu Aidilfitri 2018 : Bas dan pemandu yang miliki saman tertunggak tidak boleh teruskan operasi

    Kementerian Pengangkutan mengarahkan syarikat pengendali bas ekspres supaya memastikan semua kenderaan dan pemandu mereka bebas daripada masalah termasuk saman tertunggak sebelum dibenarkan membawa penumpang.

    Menurut menterinya, Anthony Loke Siew Fook, pemandu dan bas ekspres yang dikesan mempunyai saman tertunggak tidak dibenarkan meneruskan perjalanan walaupun membawa ramai penumpang untuk pulang menyambut Aidilfitri bermula esok sehingga 22 Jun depan, laporan Berita Harian.

    Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan menerusi Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Sempena Perayaan Aidilfitri yang dilancarkan hari ini.

    “Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat pemeriksaan di semua stesen dan terminal bas utama di seluruh negara dan semua rekod bas serta pemandu akan diperiksa. Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menjalankan ujian saringan dadah terhadap pemandu bas.

    “Tindakan tegas ini diambil supaya syarikat bas memandang serius isu keselamatan penumpang selain memastikan pemandu lebih berhati-hati di jalan raya,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen dan operasi itu di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan pagi tadi.

     
     
  • FIA dedah standard helmet F1 baru – wajib mula 2019

    FIA dedah standard helmet F1 baru – wajib mula 2019

    Bermula tahun 2019, semua pelumba pasukan F1 wajib menggunakan helmet yang mematuhi standard baru, dan contohnya telah ditunjukkan oleh Fédération Internationale de l’Automobile (FIA) sewaktu perjumpaan Pasay City, Filipina. Kemudiannya, ia akan diwajibkan pula dalam perlumbaan lain.

    Walaupun contoh yang ditunjukkan ini adalah daripada Bell, sebenarnya standard tersebut telah didapati oleh FIA hasil penyelidikan bersama beberapa pengeluar lain seperti Stilo, Schuberth dan Arai selama beberapa tahun. Kini, semua pengeluar tersebut boleh menghasilkan helmet sendiri yang akan digunakan, dan ia mestilah mematuhi standard baru tersebut yang dipanggil sebagai FIA 8860-2018.

    Secara fizikal, perubahan yang dilakukan antaranya adalah visor yang direndahkan 10 mm bagi memberikan lebih perlindungan balistik, tambahan bahagian perlindungan di tepi supaya bersesuaian dengan kereta lumba yang digunakan sekarang serta penggunaan bahan komposit maju yang bukan sahaja kuat, tetapi juga tahan remuk dan penembusan.

    Kemudiannya, semua helmet yang mahu melepasi tahap baru ini juga perlu menjalani ujian ketahanan. Untuk ujian impak, ujian dilakukan hingga impak 9.5 m/s dan tahap nyahpecut (deceleration) kepala pemandu tidak boleh melebihi 275 G; untuk perlindungan balistik, objek besi 225 g ditembak pada kelajuan 250 km/j dan nyahpecut tidak boleh melebihi 275 G; manakala untuk ujian remuk, objek 10 kg dijatuhkan dari tinggi 5.1 m dan penyebaran tenaga tidak boleh melebihi 10 kN.

    Ujian lain yang dilakukan adalah: pemampat 4 kg dijatuhkan atas helmet pada kelajuan 7.7 m/s, palet 1.2 g ditembak ke visor dan ia tidak boleh tembus, ujian bagi tali pengikat helmet, dan didedahkan kepada penyala api 790 celsius. Apabila penyala itu ditarik, api mesti boleh padam sendiri.

     
     
  • Ops Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 8 Jun ini – bertemakan ‘pandu cermat, sampai selamat’

    Ops Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 8 Jun ini – bertemakan ‘pandu cermat, sampai selamat’

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah pun melancarkan kempen dan operasi bagi Ops Bersepadu sempena perayaan Aidilfitri dalam satu majlis yang dilangsungkan di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan, pagi tadi.

    Kempen dan operasi bertemakan `pandu cermat, sampai selamat’ yang berlangsung serentak dengan Ops Selamat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, antara lain turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), Angkatan Pertahanan Awam, bomba, Kementerian Kesihatan, MIROS dan syarikat konsensi lebuh raya.

    Menurut Anthony, matlamat utama pelaksanaan kempen dan operasi itu adalah bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan kadar kematian yang disifatkannya amat serius dan membimbangkan, laporan Berita Harian.

    “Jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya pada tahun lalu meningkat sebanyak 2.4% iaitu 533,875 kes berbanding 521,446 kes pada 2016. Keberkesanan Ops Bersepadu ini dapat dilihat berdasarkan penurunan kadar kematian sebanyak 5.76% sepanjang tempoh kempen dan operasi pada Aidilfitri tahun lalu iaitu 6,740 berbanding 7,152 (2016),” katanya.

    Sepanjang Ops Bersepadu ini juga, had laju di jalan persekutuan akan direndahkan dari 90 km/j menjadi 80 km/j, manakala untuk jalan negeri pula had laju 80 km/j akan dikurang kepada 70 km/j. Kadar had laju ini berkuatkuasa sehingga 22 Jun dan akan dipantau menerusi operasi yang dijalankan.

     
     
  • RON 95 tanpa subsidi sepatutnya dijual RM2.53 – LGE

    RON 95 tanpa subsidi sepatutnya dijual RM2.53 – LGE

    Berikutan harga baru bagi bahan api RON 97 yang diumumkan oleh KPDNKK hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di dalam satu kenyataan hari ini sekali lagi menekankan bahawa harga bagi bahan api RON 95 dan diesel akan kekal seperti sebelum ini.

    Ini bermaksud, RON 95 masih akan dijual pada harga RM2.20 seliter, manakala diesel pula pada harga RM2.18 seliter. Bagaimanapun, bermula hari ini, petrol RON 97 telah dijual mengikut harga apungan semasa – dan akan dikemaskini seminggu sekali – menjadi RM2.66 seliter hingga 13 Jun nanti, naik 19 sen berbanding sebelum ini (yang dijual pada harga RM2.47 seliter).

    Dalam perkembangan yang sama juga, Lim menjelaskan bahawa kerajaan akan menanggung subsidi bagi RON 95 ketika ini. “Kerajaan persekutuan akan menanggung subsidi sebanyak 33 sen bagi harga runcit RON 95 dan diesel untuk minggu ini. Tanpa subsidi, harga RON 95 sebenar ialah RM2.53 seliter, manakala diesel pula RM2.51 seliter,” jelas Lim seperti dilaporkan oleh akhbar The Star.

    Memetik laporan itu lagi, Lim menjelaskan harga minyak mentah dunia kini telah mencecah US$76 (RM302) setong sementara produk petrol dan diesel yang telah ditapis kini dijual antara US$87 (RM346) dan US$88 (RM350) setong.

    Lim juga memaklumkan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3 bilion sehingga hujung tahun ini untuk membiayai kos subsidi bagi RON 95 dan diesel berkenaan.

     
     
  • Feng Qingfeng kini dilantik sebagai CEO baharu Lotus, menggantikan Jean-Marc Gales yang meletak jawatan

    Feng Qingfeng kini dilantik sebagai CEO baharu Lotus, menggantikan Jean-Marc Gales yang meletak jawatan

    Geely telah mengumumkan bahawa Feng Qingfeng akan menggantikan Jean-Marc Gales sebagai CEO untuk Group Lotus. Feng yang juga naib presiden dan ketua pegawai teknikal di Geely Auto Group dilantik ke jawatan berkenaan setelah Gales meletak jawatan untuk meneruskan kerjayanya di syarikat pakar kereta klasik, JD Classics juga sebagai CEO.

    “Ia merupakan hari yang begitu beremosi” dan ini merupakan “masa untuk berpindah”, kata Gales dalam laporan Autocar, serta turut menyatakan bahawa “Lotus berada dalam hati saya selama 50 tahun.” Gales yang sebelum ini merupakan ahli lembaga PSA Group menyertai Lotus pada tahun 2014, bagi membawa Lotus keluar dari era kerugian.

    Ketua pegawai kewangan Geely dan Pengerusi Lotus Cars, Daniel Donghui Li pula berkata, “Jean-Marc telah menstabilkan dan mengubah Lotus untuk menjana keuntungan buat pertama kali dalam sejarah jenama ikonik ini, dengan produk peneraju industri baharu dan model perniagaan unik sejak menyertai syarikat ini pada 2014.

    “Lotus bersedia untuk fasa pertumbuhan seterusnya di bawah kepimpinan Feng Qingfeng, di mana kepakaran dalam material ringan dan kejuruteraan kereta sport akan menjadi sebahagian dari pengembangan portfolio automotif Geely. Dalam masa yang sama saya mengalu-alukan Jean Marc sebagai ketua penasihat strategik kepada saya dan ahli-ahli lembaga pengarah,” tambahnya.

    Feng Qingfeng kini dilantik sebagai CEO baharu Lotus, menggantikan Jean-Marc Gales yang meletak jawatan

    Feng yang mula menyertai ahli lembaga Lotus apabila Geely berjaya mendapatkan kepentingan 51% saham dalam pengeluar kereta sport dari Norfolk, England itu berkata, “saya berbangga kerana dilantik untuk mengetuai kumpulan jenama kereta sports ikonik British ini. Dengan sinergi global Geely dan sokongan penuh, saya yakin bahawa Lotus mempunyai peluang yang mengujakan untuk mencapai potensi penuh sebagai jenama sports mewah, berdasarkan legasi kejuruteraannya dan penghasilan produk masa hadapannya.”

    Pada 2017, Lotus berjaya menjual 1,600 buah kereta atau peningkatan sebanyak 10% berbanding 2016 secara tidak langsung membolehkan syarikat tersebut memperolehi keuntungan buat pertama kali dalam sejarah. Kesemua model yang dijual diproduksi di kilangnya yang terletak di Norfolk.

    Syarikat tersebut kini merancang untuk memperkenalkan dua lagi kereta sport menjelang 2020, di mana salah satu daripadanya merupakan model halo yang akan diletakkan lebih tinggi dari Evora. Lotus juga mungkin akan menggunakan enjin dari Volvo selepas ini untuk model-model tertentu, terutamanya untuk SUV pertamanya.

     
     
  • Tesla Model Y – bayangan ditunjuk, tampil tahun 2019

    Tesla Model Y – bayangan ditunjuk, tampil tahun 2019

    Walaupun sekarang ini Tesla berhadapan dengan pelbagai cabaran, syarikat itu masih terus maju ke hadapan dan mempunyai perancangan untuk lebih banyak model pada masa hadapan. Dalam satu pertemuan pemegang saham yang terbaru, Elon Musk telah memberikan lebih banyak informasi berkenaan Model Y, termasuk waktu ia akan diperkenalkan.

    Imej teaser ini adalah antara apa yang didedahkan semasa perjumpaan tersebut, dan ia memberikan kita sedikit idea bagaimana rupa crossover kompak ini nanti. Pada pandangan pertama, ia seperti berkongsi profail sama seperti Model X yang lebih besar, terutamanya pada bahagian cermin hadapan yang bersambung sehingga ke bumbung.

    Pada bahagian lain, kita dapat melihat garis badan yang bersambung sehingga ke lengkuk roda serta mengalir cantik. Pada bahagian bonet pula, garisannya turun dari atas mengecil di bawah, menghala ke ‘gril’ tengah.

    Tesla Model Y – bayangan ditunjuk, tampil tahun 2019

    Ada yang mendakwa Model Y adalah seperti Model X yang dikecilkan, dan diletak atas platform Model 3, dan dari gambar ini, ia menyokong pendapat tersebut. Pintu terbuka ke atas seperti Model X juga dikata akan diguna pada model ini, tapi kita masih perlu menunggu sama ada ia betul atau tidak.

    Menurut Musk, Model Y hanya akan ditunjuk pada Mac 2019, manakala pengeluaran pula akan bermula awal tahun 2020. Selain Model Y, beliau juga menyatakan perancangan untuk model Roadster dan trak semi masih lagi akan diteruskan dan berkemungkinan rekaannya akan dirujuk kembali.

     
     
  • Nissan dedah dua model Camper Van di Sepanyol – diasaskan dari NV300 dan van elektrik e-NV200

    Nissan dedah dua model Camper Van di Sepanyol – diasaskan dari NV300 dan van elektrik e-NV200

    NISSAN PRESENTA LA NUEVA GAMA CAMPER EN EL SALÓN DE MADRID

    Nissan telah memperkenalkan dua Camper Van baharu di Madrid Motor Show, Sepanyol yang diasaskan dari model NV300 dan e-NV200. Kedua-dua model tersebut menerima pengubahsuaian luaran dan dalaman yang menurut Nissan sebagai “membolehkan pemandu menikmati percutian ke luar bandar, ke pantai atau ke mana sahaja yang dibawa oleh imaginasi mereka”.

    Kedua-dua Camper Van ini menerima pengubahsuaian yang dilakukan termasuk bumbung yang boleh dinaikkan, pemadanan meja makan dan juga dapur yang lengkap untuk memasak, membolehkan empat orang mengembara dengan selesa. Ia juga turut diberikan dengan peti sejuk, sinki dan paip air serta pemasangan sistem gas memasak.

    Manakala menjelang malam, ruang berkenaan dapat diubah menjadi bilik tidur yang selesa lengkap dengan tingkap dan juga pemanas. Untuk NV300, konfigurasi tempat tidur berkembar kedua turut dapat ditempatkan pada bahagian bumbung yang ditinggikan.

    Bagi model e-NV200 pula, ia bersaiz sedikit kecil (lebih kurang sama dengan van NV200 di Malaysia), namun model ini lebih mesra alam kerana menggunakan janakuasa elektrik sepenuhnya, tanpa menggunakan enjin pembakaran dalam konvensional.

    Pelanggan di Sepanyol kini sudah pun boleh membuat tempahan Camper Van mereka di pengedar-pengedar Nissan di negara tersebut. Tempahan turut boleh dibuat dengan pengubahsuaian yang sesuai untuk kegunaan setiap individu berbeza.

     
     
  • VIDEO: KTM uji Adaptive Cruise Control, Blind Spot Detector pada motosikal, akan diguna menjelang 2021

    VIDEO: KTM uji <em>Adaptive Cruise Control, Blind Spot Detector</em> pada motosikal, akan diguna menjelang 2021

    Pengeluar motosikal dari Austria iaitu KTM terus komited untuk meningkatkan keselamatan penunggang dan kini sedang menguji sistem Adaptive Cruise Control (ACC) serta Blind Spot Detection (BSD) pada motosikal. Sistem ini walaubagaimanapun hanya akan ditawarkan kepada pengguna menjelang tahun 2021 nanti.

    Kedua-duanya adalah sistem yang menggunakan teknologi pengesan untuk mengesan kenderaan dan mengelakkan perlanggaran dari hadapan atau belakang. Bagi melakukan ujian, KTM telah memasang dua sistem ini pada model 1290 Super Adventure S.

    Untuk ACC, sistem yang digunakan oleh KTM hanya boleh digunakan pada kelajuan yang melebihi tahap tertentu, dan ia boleh mengesan kenderaan di hadapan yang mempunyai saiz bermula dari motosikal dan lebih besar daripada itu. Apabila diaktifkan, sistem ini akan mengekalkan jarak dua saat daripada kenderaan di hadapan dan mengurangkan kelajuan atau membrek secara lembut bila perlu.

    Anda boleh melihat bagaimana ia berfungsi dalam video di bawah, dan menurut KTM lagi, versi produksi nanti akan ditambah dengan kemampuan untuk penunggang melaras jarak dengan kenderaan di hadapan dan kelajuan yang diingini. Ia juga dikatakan dapat bertindak balas lebih pantas berbanding manusia.

    Untuk BSD pula, KTM menggunakan radar jarak pendek untuk mengesar sekiranya terdapat potensi perlanggaran dari belakang – seperti waktu menukar laluan – dengan memberi lampu amaran pada panel instrumen TFT motosikal dan penjuru cermin sisi, serta juga amaran bunyi.

    Objektif utama sistem ini adalah meningkatkan keselamatan dan menjadikan tunggangan lebih memuaskan. Sehingga kini, KTM sudah menawarkan pelbagai sistem keselamatan maju pada motosikal mereka yang antaranya termasuk Motorcycle Stability Control (MSC), Cornering ABS, Motor Slip Regulation (MSR), Traction Control, Hill Hold Control (HHC), Automatic Turn Indicator Reset (ATIR) dan Quickshifter+.

     
     
  • Had laju di jalan-jalan persekutuan dan negeri akan dikurangkan sepanjang musim cuti raya Aidilfitri ini

    Had laju di jalan-jalan persekutuan dan negeri akan dikurangkan sepanjang musim cuti raya Aidilfitri ini

    Perhatian kepada semua pengguna jalan raya, Kementerian Kerja Raya telah mengumumkan bahawa had laju pada jalan-jalan persekutuan dan juga negeri akan dikurangkan ketika kempen keselamatan jalan raya nasional berlangsung sempena musim cuti Hari Raya ini.

    Bermula Jumaat ini (8 Jun), had laju di jalan persekutuan akan direndahkan dari 90 km/j menjadi 80 km/j, manakala untuk jalan negeri pula had laju 80 km/j akan dikurang kepada 70 km/j. Kadar had laju ini akan berkuatkuasa sehingga 22 Jun dan akan dipantau menerusi Ops Bersepadu.

    “Kami akan mengeluarkan arahan kepada unit penyelenggaraan fasiliti jalan raya Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menukar papan tanda had laju sepanjang kedua-dua jenis jalan ini. Ini untuk mengelakkan kekeliruan dikalangan penggunna jalan raya yang akan menggunakan jalan-jalan persekutuan dan negeri sepanjang musim raya ini,” kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan kementerian tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025