Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tiada lagi ‘Gadis Grid’ bermula Formula 1 musim 2018

    Tiada lagi ‘Gadis Grid’ bermula Formula 1 musim  2018

    Menerusi pentadbiran Formula 1 baharu yang diuruskan Liberty Media tahun ini, ketua komersial perlumbaan berkenaan, Sean Bratches mengatakan bahawa bermula musim 2018 tiada lagi ‘Gadis Grid’ yang akan tampil kerana ia tidak lagi sesuai dengan imej jenama baharu yang dibangunkan oleh Liberty, menurut laporan motorsport.com.

    “Sepanjang tahun lalu kami telah memantau berberapa perkara yang kami rasa perlu dikemaskini bagi memastikan ia lebih sesuai dengan visi kami terhadap sukan hebat ini,” katanya dan menambah “sementara amalan menggunakan gadis grid telah sebati dengan grand prix Formula 1 untuk berberapa dekad, kami rasa langkah ini tidak selari dengan nilai jenama dan ia jelas janggal dengan norma masyarakat moden.”

    “Kami tidak percaya amalan tersebut diperlukan atau relevan kepada Formula 1 dan peminatnya, lama dan baharu, di seluruh dunia,” tegas Bratches.

    Menurut portal sukan bermotor berkenaan lagi, F1 bukan satu-satunya sukan yang mula menolak untuk menggunakan wanita dengan cara sedemikian. Di UK minggu lalu, Professional Darts Corporation (PDC) telah mencetuskan kontroversi setelah menggugurkan penampilan gadis-gadis dalam kejohanan-kejohanan kendalian mereka.

     
     
  • Harga bahan api 1-7 Feb 2017 – semua naik balik

    Harga bahan api 1-7 Feb 2017 – semua naik balik

    Setelah turun hanya 1 sen minggu lalu, nampaknya untuk minggu ini harga untuk semua jenis petrol naik sebanyak 2 sen seliter dan diesel pula naik 3 sen seliter. Bermula tengah malam ini hingga 7 Februari nanti, petrol RON 95 akan dijual pada harga RM2.31 seliter dan RON 97 pula berharga RM2.58 sen seliter. Untuk Diesel pula, Euro 2M akan dijual pada harga RM2.34 seliter dan Euro 5 pula RM2.44 seliter.

    Berbanding minggu lalu, petrol RON 95 dijual pada harga RM2.29 seliter dan RON 97 pula dijual dengan harga RM2.56 seliter. Manakala untuk diesel pula, minggu lalu Euro 2M dijual pada harga RM2.31 seliter dan Euro 5 dijual pada harga RM2.41 seliter.

     
     
  • Vendor Proton perlu kurangkan harga sehingga 30% bagi membolehkan ia lebih berdaya saing – Menteri

    Vendor Proton perlu kurangkan harga sehingga 30% bagi membolehkan ia lebih berdaya saing – Menteri

    Menurut menteri perdagangan antarabangsa dan industri kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan, vendor-vendor Proton perlu mengurangkan harga mereka sehingga 30%. Beliau menyatakan bahawa CEO Proton Dr Li Chunrong telah mengeluarkan kenyataan kepada pembekal-pembekal komponennnya berkenaan hal ini, dan jika mereka gagal berbuat demikian, pengeluar automotif nasional tersebut akan mula mencari pembekal lain.

    Laporan oleh portal The Edge ini memetik Nanyang Siang Pau melaporkan bahawa, Ong mengatakan Proton kini membeli komponen automotif dengan harga 30% lebih mahal dari harga pasaran, dan kos berkenaan diserap oleh konsumer. “Dengan meminta pembekal untuk mengurangkan harga boleh mengurangkan kos operasi Proton, yang membolehkan konsumer mendapat harga yang lebih mampu milik,” katanya.

    Beliau turut menambah bahawa setelah perubahan yang perlu telah dilakukan, Proton mampu dipulihkan dengan betul dan akan menawarkan model mampu milik dengan kualiti yang baik. Ong turut berharap Proton akan lebih menyerlah di pasaran antarabangsa.

    Vendor Proton perlu kurangkan harga sehingga 30% bagi membolehkan ia lebih berdaya saing – Menteri

    “Produksi Proton telah jatuh dari setinggi 200,00 unit kepada hanya 70,000 unit tahun lalu; syarikat berkenaan lemah dari segi strategi eksport dan hanya berharap kepada jualan domestik, jadi ia tidak mampu untuk meneroka pasaran luar,” jelas Ong.

    Menteri berkenaan turut mendedahkan kilang Proton di Shah Alam akan ditutup secara berperingkat, dan hanya akan pindah secara keseluruhan ke Tanjung Malim menjelang 2019. Sasaran produksi akan ditetapkan pada 200,000 kenderaan dalam masa lima tahun pertama dan 400,000 unit dalam masa 10 tahun, dan separuh dari jumlah berkenaan akan dijual pada pasaran luar.

    “Thailand kini memproduksi 1.2 juta kenderaan setiap tahun; apabila Proton menerima teknologi automotif termaju, dan juga harga mampu milik, saya percaya untuk memproduksi 500,000 unit bukan lagi satu masalah pada masa hadapan”, katanya lagi.

     
     
  • BluSnap – sistem pendingin untuk dalam topi keledar

    BluSnap – sistem pendingin untuk dalam topi keledar

    Sekarang ini, banyak saja barang-barang inovasi baru yang boleh didapati melalui internet dan satu yang kami jumpa adalah ini – sistem penyejuk di dalam topi keledar penunggang motosikal. Ia dihasilkan oleh satu syarikat baru di India bernama BluArmor dan dijual ke seluruh dunia secara atas talian pada harga Rs1,609 (RM98).

    Produk ini dinamakan sebagai BluSnap, dan konsepnya adalah mudah. Ia dilekatkan di bahagian luar topi keledar fullface menggunakan tali getah anti gelincir seperti goggle motocross, dan di hadapannya terdapat satu takung air yang juga mempunyai kipas di depannya.

    Untuk menggerakkan kipas tersebut, alat ini perlu dikuasakan oleh bateri, yang boleh bertahan selama 10 jam sekali cas, manakala untuk satu tangki air di dalamnya, ia boleh bertahan selama dua jam sebelum perlu diisi semula. Di dalam alat ini juga terdapat penapis anti bakteria yang boleh ditukar untuk kebersihan.

    BluArmor mendakwa melalui penggunaan BluSnap, penunggang dapat menikmati suhu enam hingga 15 darjah lebih rendah daripada biasa, bergantung kepada keadaan sekitar. Pengguna juga boleh memilih pelbagai rekaan tali getah pada alat ini supaya bersesuaian dengan gaya dan rekaan topi keledar.

     
     
  • Proton Preve 2018 akan ada lebih banyak peningkatan

    Proton Preve 2018 akan ada lebih banyak peningkatan

    Nampaknya dah sampai masa untuk Proton memperkenalkan model Preve yang diperbaharui tak lama lagi. Gambar rajah yang bocor ini menunjukkan beberapa penambahbaikan yang dilakukan terhadap sedan segmen C itu. Antara yang paling utama ialah untuk mempertingkat tahap NVH (noise, vibration dan harshness).

    Untuk mencapai perkara ini, Proton menaiktaraf mount bagi enjin dan transmisi (sama seperti Iriz). A-pillar juga diperkemas, dan untuk melengkapi faktor penebat kebisingan, pemasangan bahagian lantai dengan karpet baru dan penggunaan penebat getah yang lebih banyak untuk mengurangkan bunyi bising angin pada kelajuan tinggi.

    Di bahagian dalam, bunyi bising yang disebabkan oleh sistem pendingin hawa telah dibetulkan, dan sistem infotainmen dipertingkat kepada yang lebih baik. Tombol gear juga menerima kemasan terbaru, serta karpet baru adalah dari jenis yang baru.

    Proton Preve 2018 akan ada lebih banyak peningkatan

    Dari segi rekaan, ini kali pertama wajah depannya dapat dilihat. Selain daripada logo 3D seperti yang ada pada Perdana, rekaannya nampak sama sahaja. Ia bagaimanapun diberikan sentuhan baru – bumbung, perumah cermin sisi dan kemasan bahagian belakang berwarna hitam.

    Seperti yang pernah kami laporkan, Preve yang dipertingkatkan ini, yang ketika itu dilihat di Lebuhraya KL-Seremban, juga akan menerima warna baru, Ruby Red. Dari segi mekanikal, Preve mungkin akan kekal dengan enjin 1.6 liter turbo CFE. Apa yang anda fikir tentang peningkatan ini? Kalau ada, maklumkan diruang komen.

     
     
  • Triumph Speed Triple 2018 – teaser kedua banyak aksi

    Minggu lepas, Triumph telah mengeluarkan satu video teaser model naked baru. Walaupun bentuk motosikal tersebut hanya ditunjuk samar-samar dan namanya tidak diberitahu, mereka yang sudah biasa dengan model Triumph pasti mengenalinya, iaitu Speed Triple. Minggu ini, satu lagi video teaser disiarkan di laman Youtube.

    Memang benar ia adalah Speed Triple, iaitu sebuah model naked yang menggunakan enjin 1,050 cc, dan kali ini keseluruhan rupa motosikal dapat dilihat, menyaksikan ia kini nampak lebih moden, seperti ‘adiknya’ iaitu Street Triple 765.

    Bukan setakat itu, Triumph juga menggunakan khidmat dua pelumba hebat, iaitu juara dunia tujuh kali, Carl Fogarty, dan juara Isle of Man TT dua kali, Gary Johnson untuk melakukan pelbagai aksi menggunakan Speed Triple baru ini sepanjang video selama hampir dua minit ini.

    Di akhir video ini, Triumph menyatakan motosikal ini akan didedahkan pada 5 Februari, namun pembaharuannya masih belum diberitahu. Jangkaannya, bahagian enjin semestinya akan dikemas kini, manakala bahagian lain mungkin juga diperelok.

     
     
  • Enjin SkyActiv-3 oleh Mazda akan bersih seperti EV?

    Enjin SkyActiv-3 oleh Mazda akan bersih seperti EV?

    Kalau sebelum ini Mazda pernah dedahkan tentang teknologi pada enjin SkyActiv-X yang belum pun diproduksi, kini ada satu lagi perkara yang syarikat rancang – menghasilkan satu enjin petrol yang didakwa mampu menjadi sebersih kenderaan elektrik (sekurang-kurangnya dari sudut janaan tenaga).

    Menurut Automotive News, ketua bagi pembangunan sistem janaan Mazda mendedahkan rancangan itu di satu persidangan teknikal automotif di Tokyo, dan merancang untuk menggelarnya SkyActiv-3. Dari namanya, ia merupakan petunjuk bahawa ia merupakan pembangunan enjin mampatan tinggi SkyActiv generasi ketiga.

    Enjin SkyActiv-G membuat penampilan sulung pada 2011, dan generasi keduanya, SkyActiv-X akan hanya berada dalam pasaran mungkin pada hujung Mac 2019. Selepas itu, Mazda akan memberi keutamaan untuk meningkatkan kecekapan suhu pada enjin-enjinnya, jelas Mitsuo Hitomi, pegawai pengurusan eksekutif bahagian sistem janaan kuasa Mazda. Dengan melakukan itu, ia mengurangkan kehilangan tenaga kepada haba dan dalam masa sama meningkatkan jumlah yang disalurkan untuk dimanfaatkan oleh pacuan roda.

    Jika Mazda boleh meningkatkan kecekapan suhu bagi enjin SkyActiv-3 katakan sebanyak 27% hingga 56%, maka pembebasan sisa pembakarannya akan setanding kenderaan EV, jelas Hitomi. Sebagai rujukan, Dynamic Force Engines oleh Toyota melonjakkan kecekapan suhu sehingga 40% ketika digunakan pada kenderaan janaan petrol dan 41% ketika digunakan pada kenderaan hibrid.

    Enjin SkyActiv-3 oleh Mazda akan bersih seperti EV?

    Dengan SkyActiv-3, Mazda membandingkan pembebasan emisi pada enjin-enjin akan datangnya dengan EV, di mana pengiraan turut mengambil kira karbon dioksida yang dibebaskan daripada penghasilan elektrik yang menguasakan EV. Bagi kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman, ia mengira pembebasan sisa berkenaan daripada ektrak minyak dan mempertingkat kualiti petrol.

    Malah, pengiraan oleh Mazda menunjukkan sebaik sahaja semua aktiviti (termasuk penjanaan tenaga) diambil kira, sestengah EV adalah lebih “kotor” berbanding kenderaan enjin petrol yang cekap. Mazda percaya mereka boleh mengurangkan pembebasan C)2 sebanyak 25% – dan ini didakwa akan dapat menjadikan enjin petrol Mazda setanding dengan EV yang memperoleh tenaga elektrik daripada pembekaran cecair gas asli, tambah Hitomi.

    Walaupun beliau tidak meletakkan sebarang jangka masa bagi teknologi SkyActiv-3, beliau menyatakan hal ini boleh memperpanjang jangka hayat enjin pembakaran dalaman pada era kenderaan elektrik seperti ketika ini. Apa pandangan anda?

     
     
  • Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

    Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

    Jika kita memperkatakan berkenaan kereta ikonik, tentu ramai yang mengatakan Myvi merupakan model yang menerima gelaran berkenaan untuk mewakili Malaysia kerana hatchback tersebut membanjiri jalan raya tempatan dengan jualan paling laris selama sembilan tahun berturut-turut. Namun jika diukur dari segi nilai sejarah, tentunya gelaran ini perlu diberikan pada kereta nasional pertama negara iaitu Proton Saga.

    Tidak boleh dinafikan, Proton Saga merupakan antara model yang merubah corak mobiliti rakyat Malaysia ketika mula diperkenalkan pada tahun 1985 dahulu. Dijual pada harga sekitar RM15k, keluarga dari kelompok golongan pertengahan yang hanya memiliki motosikal untuk bergerak, kemudiannya mula mampu untuk memiliki sedan empat pintu dengan adanya Saga.

    Setelah 33 tahun sejak dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, masih lagi mudah untuk kita menemui Saga generasi pertama yang berkeliaran di atas jalan raya. Bukan sahaja sebagai pengangkutan dari titik A ke titik B, malah Saga turut mewarnai budaya automotif tempatan.

    Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

    Sebutkan scene mana yang tidak melibatkan Saga – dari ubahsuai ala-autoshow, perlumbaan litar, drag dengan enjin sebesar 2.0 liter turbo dari Galant VR-4, rali, ‘acah-acah’ rali, musim ‘tonggek’ (tayar dengan profil lagi tebal dibelakang), sehinggakan sukan drift juga ada yang menggunakan Saga dijana enjin Toyota 1G-GZE memacu roda belakang.

    Bagi Saga yang anda lihat pada paparan kali ini pula, ia telah diubahsuai dengan tema ‘Stance’ atau nama popular lainnya ‘Hellaflush’. Bagi mereka yang belum mengetahui, budaya stance ini antara budaya baharu dalam dunia automotif, dipercayai dimulakan pada awal era 2000 dan mula merebak ke seluruh dunia sekitar tahun 2010.

    Namun dek kerana modifikasi ini mengutamakan rupa dan dari fungsi, ramai pengikut-pengikutnya kini sudah ‘tewas’ dan yang masih setia dengan gaya berkenaan sehingga kini adalah mereka-mereka dari kategori ‘true’ dan ‘hardcore’. Pemilik Saga ini, Khairul Azran (lebih dikenali dengan nama samaran ‘Cokelat Angin’) dari Pulau Pinang antara mereka yang tergolong dalam dua kategori berkenaan.

    Anda nampak macam ‘seksa’ nak memandu kereta yang rendah hampir menyeret tar ini bukan? Tetapi Khairul Azran tidak mempunyai masalah untuk memandunya dari utara hingga ke selatan tanah air. “Dah minat bang, nak buat macam mana” katanya sambil tersengih-sengih.

    Pasti ada tergaru-garu kepala, ini Saga atau Iswara? Dalam geran, sah kereta ini adalah Saga, malah merupakan model asal 1985 yang dijana enjin 4G15 1.5 liter Orion. Perkara pertama yang dilakukan Azran terhadap Saga ini ialah menyalin keseluruhan muka dan belakang kereta ini bagi ditransformasikan kepada sebuah Iswara.

    Azran yang juga mempunyai bengkel membaik pulih badan kenderaan (Four Two Zero Bodywork) kemudiannya memberikan sentuhan peribadinya terhadap Saga berkenaan iaitu kit badan lebih lebar dengan jenamanya sendiri, digelar ‘Lightning Bunny’. Seperti yang anda boleh lihat, rekaan tersebut diinspirasikan dari kit ‘Rocket Bunny’ rekaan Kei Miura dari Jepunm yang terdiri dari fender hadapan dan belakang yang lebih lebar serta diberikan spoiler belakang ekor itik.

    Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

    Apa yang menarik, Azran tidak menggunakan gentian kaca (fiber glass) untuk projeknya ini, sebaliknya hasil seni tangannya tersebut dilempiaskan pada kepingan logam sebenar. Selain itu, Saga ini turut diberikan spoiler pada bampar hadapan, skirt sisi, bampar belakang yang telah dipotong pada bahagian bawah, lampu belakang dengan lense putih keseluruhan (albino) dan juga bumbung suria dari Mazda yang tidak diketahui model sebenarnya.

    Seterusnya ialah antara aspek paling penting dalam modifikasi hellaflush ini iaitu rim, tayar dan suspensi. Azran memilih untuk memadankan rim replika Work Meister L1 dengan kemasan emas krom, berdiameter 17 inci dengan lebar 10jj dan offset +10. Rim-rim berkenaan dibaluti tayar Roadstone dengan saiz 205/40R17.

    Penyerap hentak asal kemudiannya ditukar kepada unit boleh laras dari GAB, dan ditala bagi mendapatkan kerendahan yang paling maksima. Azran juga telah melakukan ubahsuai pada torsion beam bahagian belakang yang bukan sahaja membolehkan sudut camber dilaras dengan kedudukan negatif, malah spring juga diolah semula bagi mendapatkan strok suspensi yang lebih selesa dan tidak menggangu badan walaupun kereta berkenaan jauh lebih rendah dari sebelum ini.

    Provokasi dari segi rupa diteruskan pada bahagian dalaman. Paling menonjol tentulah roll cage binaan khas yang berselirat dalam kabin Saga ini. Tidak cukup dengan itu, sebiji lagi rim Work Meister tersebut diletakkan dalam kabin kereta ini.

    Untuk melengkap kabin tersebut, Azran turut memadankan tempat duduk pemandu Bride Low Max bersama tali pinggang keselamatan perlumbaan Takata, papan pemuka dari kembar Saga dari Jepun iaitu Mitsubishi Fiore, meter tambahan (vakum, takometer dan volt) dari Defi dan juga stereng Sparco dengan bosskit jenis quick relase.

    Dengan rupa seakan jentera litar, tak lengkap sekiranya enjin kereta ini tidak disentuh semula. Azran menggantikan enjin Orion asal dengan enjin 4G15 yang lebih moden, diambil dari Proton Wira. Walaupun berkongsi kod yang sama, enjin baharu ini datang dengan kepala silinder 12 injap, dan juga sistem suntikan bahan api elektronik (hanya lapan injap dan sistem karburator pada enjin Orion).

    Proton Saga Orion 1985 – Rocket Bunny dari Utagha

    Enjin baharu ini juga tidak dibiar standard, di mana Azran telah memberikan aci sesondol dengan durasi 288 darjah – nyata lebih tinggi dari asal yang membolehkan injap dibuka lebih lama bagi mendapatkan kemasukan campuran udara-bahan api yang lebih banyak ke kebuk pembakaran. Sistem kemasukan juga dikemaskini dengan penuras udara HKS manakala tekanan petrol kini boleh dilaras dengan fuel regulator dari Apexi.

    Ekzos juga diberi perhatian di mana header asal kini ditukar kepada unit custom 4-2-1 dan diakhiri dengan muffler dari Apexi. Bagi memastikan enjin ini kekal berfungsi pada suhu berkerja yang optimum, radiator logam asal telah ditukar kepada unit aftermarket yang diperbuat dari aluminium.

    Untuk sistem transmisi pula, kuasa dari enjin masih lagi dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear manual lima kelajuan. Cuma bagi mendapatkan momentum dan juga respon yang lebih baik, set klac asal telah digantikan dengan set berdiameter lebih besar – 8.5-inci – yang diambil dari Proton Perdana.

    Dengan segala sistem mekanikal yang lebih segar berkenaan, tidak hairan mengapa Azran boleh mengembara dengan kereta buatan Malaysia yang berusia lebih dari 30 tahun ini. Kadang-kadang saya terfikir, dengan teknologi ringkas dari era 80’an yang terbukti boleh bertahan dalam tempoh masa yang cukup lama tersebut, agaknya berapa puluh tahun lagi untuk kita sukar melihat Proton Saga generasi pertama ini di atas jalan?

    Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

     
     
  • PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

    PANDU UJI: Subaru XV 2018 – adakah ia SUV yang mampu menepati keperluan dan kehendak?

    Sejak generasi pertamanya dilancarkan pada tahun 2012 lalu, ia bukanlah SUV crossover yang popular di Malaysia. Mungkin juga ada yang kurang berkeyakinan dengan kredibilitinya biar pun menampilkan sistem pacuan empat-roda. Bagi mereka, Subaru XV ini lebih sesuai untuk pemanduan urban, bukannya layak dilenjan di laluan off-road. Ini kerana imej luarannya kelihatan rugged dan stylo. Kurang sifat lasak. Itu kata sebahagian dari mereka.

    Walau pun kelibatnya di atas jalan raya tidaklah serancak model persaing terdekatnya iaitu Honda HR-V, namun XV tetap ada golongan penggemarnya yang tersendiri. Namun sejak dua menjak ini, XV kerap kelihatan di jalan raya, seakan mengatasi dua lagi model persaingnya iaitu Mitsubishi ASX dan Mazda CX-3. Mungkin kelebihannya sudah mula terbongkar dan makin mendapat perhatian.

    Justeru, pengedar rasminya di Malaysia, TC Subaru Sdn Bhd, tekad memperkenalkan model generasi kedua Subaru XV ke pasaran tempatan pada November tahun lalu. Apatah selepas memperlihatkan sambutan terhadap SUV crossover kian mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia. Dan selain faktor, XV sebagai killer model bagi Subaru di sini, selain abangnya, Forester.

    XV 2018 ini ditawarkan dengan dua varian, bermula dengan model asas 2.0i yang berharga sekitar RM119k, dan model spesifikasi penuh 2.0i-Premium dengan harga RM126k, iaitu RM9k lebih mahal berbanding varian tertinggi HR-V.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Vios 2018 mula dijual di Malaysia, dari RM75k-RM94k, diskaun RM2,512 dan ada ang pow CNY RM988

    Toyota Vios 2018 mula dijual di Malaysia, dari RM75k-RM94k, diskaun RM2,512 dan ada ang pow CNY RM988

    Toyota Vios versi tahun 2018 untuk pasaran tempatan yang diumumkan beberapa minggu lalu dan dibuka untuk tempahan kini sudah mula dijual secara rasmi. Lebih menarik, bermula dari sekarang hingga hujung Februari nanti, pelanggan yang membeli Vios terbaru ini boleh jimat RM2,512 dan menerima ang pow bernilai RM988 serta aksesori percuma. Tawaran ini hanya sah bagi varian terpilih sahaja, dan bergantung kepada stok.

    Sekadar makluman, terdapat enam varian ditawarkan, dengan harga masing-masing seperti berikut: Vios 1.5J (MT) – RM74,980; Vios 1.5J (AT) – RM77,980; Vios 1.5E (AT) – RM81,980; Vios 1.5G (AT) – RM87,980; Vios 1.5GX (AT) – RM90,980 dan Vios 1.5TRD (AT) – RM93,980.

    Antara tambahan terbaru varian ini ialah sensor parkir, serta shark fin antenna dan plat pintu dengan pencahayaan yang kini turut diperkenalkan. Bagi ruang dalaman pula, varian GX terbaru akan mengenakan gandigan warna tempat duduk hitam-merah, dan bukan lagi warna hitam-coklat.

    Sistem hiburan DVD-AVX dengan ciri dipertingkat juga ditawarkan – berserta dengan paparan kamera undur – sebagai ciri standard bagi semua varian kecuali Vios J (MT) dan J (AT). Ciri lain yang ada sebelum ini seperti Panoramic View Monitor dan perakam video digital masih dikekalkan.

    Dari segi mekanikal, Vios tiada perubahan. Ia masih menggunakan 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm tork. Transmisi pula ia menggunakan jenis CVT dengan mod manual tujuh-kelajuan Sport Sequential Shiftmatic.

    Ciri-ciri keselamatan yang melengkapinya pula ialah dua beg udara, dengan ciri kawalan kestabilan kenderaan (VSC) ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian. Ini diikuti dengan ciri seperti ABS dengan EBD, Brake Assist dan tapak ISOFIX ditempat duduk belakang.

    Toyota Vios 1.5GX 2018

     
     
  • Honda Malaysia sahkan inflator beg udara Takata pecah dalam kemalangan maut pada 1 Januari lalu

    Honda Malaysia sahkan inflator beg udara Takata pecah dalam kemalangan maut pada 1 Januari lalu

    Selepas membuat semakan dengan PDRM, Honda Malaysia mengesahkan bahawa inflator beg udara Takata sebelah pemandu telah pecah di dalam satu kemalangan di Selangor pada 1 Januari 2018. Kemalangan itu melibatkan sebuah Honda City 2004, dan telah menyebabkan kehilangan nyawa pemadunya, walaupun sebab kematian masih lagi belum diumumkan puncanya.

    Menurut kenyataan rasmi syarikat itu, kenderaan terbabit tersenarai di dalam panggilan semula Honda yang dikeluarkan pada 21 Mei 2015. Panggilan semula itu melibatkan penggantian inflator beg udara pemandu dan penumpang depan buatan Takata dengan unit yang baru.

    Honda Malaysia juga menyatakan beberapa notis makluman yang meminta pemilik untuk menghantar kenderaan mereka bagi menggantikan alatan yang terlibat sudah diedarkan, berdasarkan maklumat dari pangkalan data mereka.

    Bagaimanapun, surat berkenaan tidak dihantar kepada pemilik terbaru berikutan pemindahan pemilikan kenderaan terbabit, dan menurut reka, kedua-dua penggantian inflator yang sepatutnya itu tidak pernah dilakukan.

    Honda Malaysia masih aktif dalam menyebarkan makluman panggilan semula berkaitan inflator beg udara Takata, melalui pelbagai pendekatan untuk sampai kepada pelanggan. Ini termasuk mengeluarkan kenyataan rasmi di media, iklan, siri jelajah, panggilan telefon (71,700 panggilan telah dibuat) dan SMS (2.76 juta telah dihantar) serta kiriman surat dan emel (2.9 juta surat dan 35,800 emel).

    Syarikat itu juga sudah memastikan kesediaan stok 100% bagi inflator depan bagi pemandu dan penumpang depan untuk diganti, serta pelbagai pendekatan telah dijalankan untuk melakukannya, seperti Hab Sentrak Servis, hab bergerak serta termasuk hab di stesen Petronas terpilih dan juga ketika siri jelajah Honda.

    Setakat 25 Januari 2018, Honda Malaysia telah menggantikan sebanyak 221,000 inflator beg udara Takata bahagian pemandu, bersamaan dengan 84% nisbah dari jumlah keseluruhan yang perlu diselesaikan. Sementara bagi bahagian penumpang depan pula, sebanyak 427,000 unit sudah diselesaikan, atau 76% daripada jumlah keseluruhan yang perlu dilakukan.

    Jika anda pemilik kenderaan Honda, semak status panggilan semula kenderaan anda di www.productrecall.honda.com.my atau www.honda.com.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020. Boleh juga berkunjung ke rangkaian pengedar sah Honda.

     
     
  • GALERI: Subaru XV 2.0i-P 2018 vs XV STI 2015 lama

    GALERI: Subaru XV 2.0i-P 2018 vs XV STI 2015 lama

    Bagi Subaru, model crossover dalam segmen B jenama itu, XV menjadi satu model yang sangat penting yang mengubah lanskap penerimaan dan angka jualannya di Malaysia. Ia juga menjadi pesaing rapat bagi model-model seperti Honda BR-V dan Mazda CX-3.

    Terkini, Subaru XV 2018 pula baru diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Apa perbezaannya dengan model lama? Mula-mula sekali, harga. Model lama yang anda lihat ini, Subaru XV STI Performance Edition dijual pada harga RM143,800 tanpa insurans. Namun, Subaru XV 2.0i-P 2018 pula dijual pada harga RM126,868 – kurang hampir RM17,000!

    Dilihat dari penampilan umum, kedua-duanya nampak mirip. Wajah depan versi terbaru bagaimanapun diberi sentuhan lain untuk membezakannya. Kedua-dua model ini menggunakan rim 17-inci, tetapi model 2018 dipasangkan tayar lebih tebal – Continental ContiMax MC5 225/60. Profil tayar model lama pula ialah 225/55.

    GALERI: Subaru XV 2.0i-P 2018 vs XV STI 2015 lama

    Dari segi dimensi, XV baru sedikit lebih panjang (4,465 mm, +15 mm) dan lebar (1,800 mm, +20 mm). Jarak antara roda pula ditambah 30 mm lagi (2,665 mm) untuk kabin yang lebih luas. Ketinggian dan kelegaan tanah bagaimanapun kekal sama – masing-masing 1,615 mm dan 220 mm.

    Walaupun luaran nampak hampir sama, perbezaan bahagian dalamannya lebih ketara. Reka bentuk kabin pada XV 2018 melibatkan rekaan baru sepenuhnya. Kualiti juga bertambah baik, dengan penggunaan material palstik lembut serta butang/suis yang dirasa lebih berkualiti tinggi – sangat jauh bezanya pada ruang dalaman ini.

    Ruang pula tidak banyak perbezaan, melainkan penumpang belakang kini mempunyai lebih banyak ruang lutut. Malangnya, masih tiada corong pendingin hawa di belakang, sama juga dengan kebanyakan pesaing-pesaingnya yang lain.

    Ruang barangan masih kecil juga, dengan kapasiti 345 liter; hanya ditambah 5 liter dari model lama. Bukaan ruang kargo ini bagaimanapun telah ditambah 100 mm lagi, memudahkan pengguna untuk muat naik dan turunkan barangan.

    Mekanikalnya pula bertambah baik. Subaru Global Platform (yang akan digunakan pada model akan datang Subaru) kini lebih kukuh sebanyak 70%. Syarikat ini juga mendakwa aspek dinamik dan kadar NVH model baru ini kini lebih baik.

    Bagi enjin, ia masih kekal dengan enjin Boxer 2.0 liter empat-silinder yang menjana 156 PS dan 196 Nm tork. Ia diperbuat daripada aluminium, dan 80% daripada komponennya adalah baru. Enjin ini digandingkan dengan transmisi Lineartronic CVT dengan fungsi tujuh-peringkat.

    Kuasanya disalurkan kepada semua roda melalui sistem pacuan simetrikal yan sinonim dengan Subaru. Keseluruhan sistem janaan kuasa baru ini memberikan penguarangan sebanyak 20 kg berat. Jika berminat untuk tahu lebih lanjut tentang model ini dan spesifikasi lengkap, layari laman CarBase.my.

    Subaru XV 2.0i-P 2018

    Subaru XV STi

     
     
  • DBKL umum pemisah lorong basikal yang lebih selamat akan dipasang dalam tempoh dua minggu

    DBKL umum pemisah lorong basikal yang lebih selamat akan dipasang dalam tempoh dua minggu

    Selepas isu mengenai pemisah lorong basikal yang boleh mendatangkan risiko kemalangan terhadap penunggang motosikal di sekitar Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pihaknya akan mengaplikasikan material yang lebih selamat iaitu ‘flexi-post’ bagi menggantikan ‘rubber separator’ yang digunakan sebelum ini.

    Menurut Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Datuk Mahadi Che Ngah, pihaknya akan memasang semula pemisah lorong basikal baharu yang dikatakan lebih selamat secara berperingkat dalam tempoh dua minggu di beberapa kawasan terbabit yang melibatkan jarak 11.9 kilometer.

    “Pemisah laluan basikal ‘flexi-post’ itu mempunyai elemen keselamatan yang tinggi dan turut berfungsi sebagai pemantul cahaya pada waktu malam bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya tentang laluan basikal itu. Ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin terutamanya pada waktu malam serta memastikan kenderaan selain basikal tidak dibenarkan masuk ke lorong khas tersebut,” katanya menerusi laporanBernama.

    Katanya lagi, buat masa sekarang pemisah lorong basikal jenis ‘rubber separator’ yang dipasang sepanjang tiga kilometer itu telah ditanggalkan atas keselamatan pengguna jalan raya dan lorong itu hanya akan dibuka semula untuk penunggang basikal pada 1 Februari ini.

    Mengenai penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang menggunakan lorong basikal khas itu, Mahadi berkata pihaknya akan mengkaji semula mengenai perkara tersebut.

    “Buat masa sekarang hanya warna biru dan tanda basikal yang ada pada lorong itu akan memberi peringatan kepada pengguna jalan raya seperti mana lorong bas yang ada di sekitar ibu kota,” katanya.

     
     
  • Rapid KL umum waktu operasi LRT di stesen Gombak dilanjutkan pada 31 Januari ini sempena Thaipusam

    Rapid KL umum waktu operasi LRT di stesen Gombak dilanjutkan pada 31 Januari ini sempena Thaipusam

    Rapid KL menerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah memaklumkan waktu operasi bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Gombak akan dilanjutkan pada 31 Januari ini sempena sambutan Thaipusam. Di samping perkhidmatan LRT bagi laluan Kelana Jaya akan membuka stesennya di Gombak hingga 2 pagi pada Rabu ini, perkhidmatan bas ulang alik khas juga akan disediakan Rapid KL bagi perjalanan antara Batu Caves dan Stesen LRT Gombak.

    Stesen LRT dan Transit Aliran Massa (MRT) serta monorel lain akan ditutup pada waktu seperti biasa. Ini bermakna penumpang boleh memasuki Stesen LRT Gombak pada bila-bila masa hingga 2 pagi dan keluar di mana-mana stesen LRT atau MRT.

    Manakala kekerapan tren ialah setiap 30 minit, yang berlepas dari Stesen Gombak selepas waktu perkhidmatan tren biasa. Tempoh perkhidamtan tren bagi Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang juga akan dilanjutkan bagi memenuhi keperluan perjalanan pada waktu tambahan itu.

    Di samping itu, tren akan menunggu hingga tibanya tren terakhir dari Gombak di stesen integrasi Masjid Jamek dan Pasar Seni, manakala perkhidmatan yang disediakan adalah pada kekerapan setiap 30 minit.

    Rapid KL umum waktu operasi LRT di stesen Gombak dilanjutkan pada 31 Januari ini sempena Thaipusam

    Bagaimanapun, tempoh operasi tidak dilanjutkan bagi perkhidmatan KL Monorel dan Laluan BRT-Sunway.

    Prasarana turut menambah, Rapid KL juga menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik antara Hab Bas Pasar Seni dan Batu Caves mulai esok dengan kekerapan antara 10 hingga 15 minit, bermula pada 4.30 petang dan berakhir pada 11 malam pada Rabu. Kadar tambang ialah RM2 bagi setiap perjalanan.

    Berikutan penutupan jalan di beberapa jalan utama pada hari tersebut, perubahan laluan perkhidmatan bas di sekitar Batu Caves dan Gombak juga akan dilaksanakan. Laluan terlibat ialah Laluan 173: Hab Taman Jasa Utama-Lebuh Ampang, Laluan 171: Hab Wira Damai-Lebuh Ampang, Laluan T204: Hab Greenwood-Kg Nakhoda dan Laluan MPS 01: Hab Selayang Mutiara-Stesen LRT Gombak.

    Justeru, Rapid KL menasihati agar para pengguna supaya sedia maklum mengenai perkara ini. Sebarang maklumat lanjut, sila layari www.myrapid.com.my, Facebook myrapid atau twitter @myrapid.

     
     
  • Zotye Traum MA501 – rekaan menyerupai Mazda CX-4

    Zotye Traum MA501 – rekaan menyerupai Mazda CX-4

    Mazda CX-4, yang kini hanya dijual di negara China sahaja menjadi mangsa terbaru kepada peniruan rekaan dalam dunia automotif. Syarikat pengeluar dari negara itu, iaitu Zotye dilihat sedang menguji sebuah kenderaan yang hampir sama seperti CX-4, dan diberikan nama kod MA501.

    Melihat kepada gambar yang dimuat naik oleh CarNewsChina ini, bentuk MA501 sememangnya menyerupai CX-4, tetapi diberikan sedikit perubahan seperti pada perumah lampu kabus yang mempunyai kemasan krom dan bentuk gril yang hanya sedikit sahaja berlainan.

    Gril pada Zotye Traum MA501 mempunyai lima jalur krom, manakala CX-4 cuma empat, manakala di bahagian dalam unit lampu utamanya, terdapat pencahayaan LED yang berbeza iaitu di bahagian bawah lampu tersebut. Kenderaan ini juga menggunakan kemasan plastik di sekitar lengkuk tayar dan bawah pintu seperti CX-4, tetapi mempunyai tambahan sedikit krom.

    Pada bahagian belakang, lampunya juga telah diubah sedikit, supaya nampak lebih besar berbanding CX-4, dan di bawah, terdapat dua muncung ekzos berpetak yang lebih besar. Sumber memberitahu bahawa model baru Traum ini akan dilancarkan pada separuh kedua tahun 2018, dan boleh didapati dengan enjin petrol turbo 1.5 liter berkuasa 150 hp.

    GALERI: Mazda CX-4 yang muncul di Beijing Motor Show 2016

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025