Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Vios HEV dilancarkan di Thailand – hybrid 1.5L 111 PS, varian Premium dan GR Sport, bermula RM93k

    Toyota Vios HEV dilancarkan di Thailand – hybrid 1.5L 111 PS, varian Premium dan GR Sport, bermula RM93k

    Toyota Yaris Ativ HEV GR Sport

    Seperti yang diumum tempoh hari, hari ini secara rasmi Toyota Vios Hybrid membuat penampilan sulung globalnya di Thailand. Model yang dikenali sebagai Yaris Ativ di Thailand ini ditawarkan dalam dua varian di sana iaitu varian hibrid asas Yaris Ativ HEV Premium dan juga varian lebih sporty Yaris Ativ HEV GR Sport.

    Seperti yang dijangka, Yaris Ativ hibrid ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan Yaris Cross Hybrid di mana kedua-dua model ini diasaskan dari platform sama iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Jadi kedua-dua varian Yaris Ativ hibrid ini menerima enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

    Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWj. Tiga mod pemanduan disediakan untuk unit rangkaian kuasa ini iaitu Eco, Normal dan Power.

    Toyota Vios HEV dilancarkan di Thailand – hybrid 1.5L 111 PS, varian Premium dan GR Sport, bermula RM93k

    Toyota Yaris Ativ HEV GR Sport

    Gandingan semua ini membolehkan Yaris Ativ HEV tersebut mencapai penggunaan bahan api 27.8 hingga 29.4 km/l (23.2 km/l pada model biasa), serta emisi CO2 sekitar 77 hingga 82 g/km berbanding 100 g/km pada model bukan hibrid.

    Jadi ia bukan sahaja lebih jimat bahan api dan lebih mesra alam, malah lebih berkuasa dari Yaris Ativ biasa kerana model petrol penuh pasaran Thailand hanya dibekalkan dengan enjin 1.2 liter NA Dual VVT-i berkuasa 94 PS pada takat 9,000 rpm dam tork maksima 110 Nm pada takat 4,400 rpm.

    Toyota Yaris Ativ HEV pasaran Thailand ini juga lebih berkuasa dari Vios dengan enjin 1.5 liter termasuk yang dipasarkan di Malaysia, di mana versi tersebut menerima enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Toyota Vios HEV dilancarkan di Thailand – hybrid 1.5L 111 PS, varian Premium dan GR Sport, bermula RM93k

    Toyota Yaris Ativ HEV Premium

    Selain dari unit rangkaian kuasa, Yaris Ativ hibrid ini juga dipadankan dengan sistem brek serta hab roda berbeza, di mana ia menggunakan konfigurasi lima stud bagi mengenakan rim lima lubang dengan PCD 100×5, berbanding hanya empat lubang dengan PCD 100×4 pada model petrol biasa. Tangki petrol juga dikecilkan dari 40 liter kepada hanya 36 liter untuk model penggunaan bahan api lebih rendah ini.

    Antara tingkat taraf lain yang diterima untuk kedua-dua varian Yaris Ativ HEV ini termasuk tempat duduk yang menerima span yang lebih selesa, diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar serta skrin infotainmen 10.1-inci baharu dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

    Bagi varian HEV Premium, ia menampilkan rupa yang sama seperti model Yaris Ativ petrol penuh biasa, kecuali diberikan lencana HEV pada penutup but belakang dan juga rim aloi rekaan baharu bersaiz 16-inci dengan tayar 195/60R16.

    Toyota Vios HEV dilancarkan di Thailand – hybrid 1.5L 111 PS, varian Premium dan GR Sport, bermula RM93k

    Toyota Yaris Ativ HEV GR Sport

    Perincian standard lain yang turut diberikan pada Yaris Ativ HEV Premium ini termasuk lampu hadapan bersama lampu isyarat membelok LED, lampu nyalaan siang LED, sistem lampu Follow-me-home, lampu tinggi automatik, kemasan krom pada jalur atas gril dengan elemen gril berwarna hitam berkilat dan juga lampu belakang LED dengan lampu isyarat membelok jenis sequential.

    Pada sebelah dalam kabin pula, Yaris Ativ HEV Premium ini diberikan upholsteri kulit sintetik berwarna hitam, sistem audio dengan enam-pembesar suara, pendingin hawa automatik dengan liang penghembus kabin belakang serta penapis udara PM2.5, serta brek parkir elektrik dengan fungsi auto hold.

    Untuk varian HEV GR Sport pula ia tampil dengan penggayaan lebih garang termasuk diberikan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50 R17, bampar hadapan dengan rekaan seperti GR Yaris menampilkan gril sarang lebah dan juga liang udara sisi lebih besar, serta kit badan lain merangkumi skirt sisi, dan juga bampar belakang dengan rekaan diffuser agresif.

    Toyota Yaris Ativ HEV GR Sport

    Selain itu Yaris Ativ HEV GR Sport ini turut diberikan kemasan hitam berkilat pada bumbung, cermin sisi dan juga spoiler but belakang, bersama lencana GR yang dilekat pada bahagian hadapan dan belakang kereta.

    Bukan hanya rupa yang lebih garang, varian GR Sport ini juga diberikan talaan lebih sporty pada suspensi di mana ia menerima bar anti-oleng khas hadapan dan belakang, penyerap hentak yang 10% lebih besar, spring hadapan 12% lebih keras, spring belakang 9% lebih keras – semua ini adalah untuk memberikan cengkaman tayar lebih baik. Sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) juga ditala semula bagi memberikan rasa stereng lebih jitu.

    Manakala pada sebelah dalam kabin, Yaris Ativ GR Sport ini diberikan upholsteri kulit sintetik berwarna hitam dengan sulaman logo GR pada perehat kepala, jalur merah pada papan pemuka, roda stereng dengan kemasan perak gelap dan juga logo GR, serta sistem audio dengan enam pembesar suara keluaran Pioneer.

    Untuk keselamatan, kedua-dua varian Yaris Ativ HEV ini diberikan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang menampilkan fungsi termasuk kawalan kekal lorong yang berfungsi bersama cruise control adaptif kelajuan penuh, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

    Toyota Yaris Ativ HEV Premium

    Kedua-duanya juga diberikan kamera pemantau panaromik, perekod video digital (dashcam), dua penderia parkir hadapan, empat pemderia parkir belakang dan juga enam-beg udara.

    Untuk pilihan warna pula, Yaris Ativ HEV Premium diberikan ditawarkan dengan warna badan Metal Stream Metallic, Urban Metal, Attitude Black Mica, Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic. Manakala versi GR Sport pula datang dengan bumbung hitam berkilat yang digandingkan dengan warna badan Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic, serta satu-satunya pilihan warna tona tunggal iaitu Attitude Black Mica.

    Toyota Yaris Ativ HEV ini dijual pada harga bermula 719,000 baht (RM93,175) untuk varian Premium, hingga 769,000 baht (RM99,653) untuk varian GR Sport. Toyota Thailand juga menawarkan dua pek aksesori asli yang boleh dipilih dengan tambahan bayaran iaitu pek Charismo Drift yang dijual pada harga 19,990 baht (RM2,590) dan juga pek aksesori GR dijual pada harga 28,990 baht (RM3,755).

    Kedua-dua pek aksesori ini menampilkan kit aero yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser bawah bampar dan juga spoiler but, kedua-duanya menampilkan rekaan berbeza.

    GALERI: Toyota Yaris Ativ HEV GR Sport

    GALERI: Toyota Yaris Ativ HEV Premium

     
     
  • Zeekr Space Bangsar dilancar – bilik pameran pertama oleh Carro Malaysia; cawangan di Penang menyusul

    Zeekr Space Bangsar dilancar – bilik pameran pertama oleh Carro Malaysia; cawangan di Penang menyusul

    Selepas rasmi menjadi pengedar Zeekr Malaysia pada Jun lalu, Carro Malaysia melangkah lebih agresif dengan membuka Zeekr Space Bangsar. Merupakan bilik pameran pertama kendaliannya, Zeekr Space Bangsar ini terletak di No 79, Jalan Maarof, Bangsar. Carro Malaysia juga bakal membuka Zeekr House Juru Autocity di Pulau Pinang dan diikuti dengan dua lagi cawangan di lokasi berlainan.

    Zeekr Space Bangsar berkeluasan 5,000 kaki persegi dan buat masa ini menempatkan tiga model keluaran Zeekr iaitu MPV 009 serta SUV kompak X dan 7X yang akan dilancarkan esok.

    Dalam majlis persefahaman yang ditandatangani pada Jun lalu, Carro Malaysia mengesahkan pihaknya akan membuka bilik pameran Zeekr di Bangsar, Mutiara Damansara, Juru Autocity di Pulau Pinang dan juga Seremban, serta tiga lagi bengkel Carro Care untuk menyokong perkhidmatan jualan dan penyelenggaraan.

    Pemilihan Carro sebagai pengedar terbaharu Zeekr antara lain didorong oleh ekosistem lengkap yang disediakan syarikat itu, termasuk pembiayaan, insurans, badan & cat dan servis penyelenggaraan yang disifatkan mampu memberi sokongan menyeluruh kepada pemilik.

     
     
  • Yadea RS20 dilancarkan di Malaysia – skuter elektrik dengan jarak gerak 105 km, harga RM4,998

    Yadea RS20 dilancarkan di Malaysia – skuter elektrik dengan jarak gerak 105 km, harga RM4,998

    Satu lagi skuter elektrik daripada Yadea, iaitu RS20 kini memasuki pasaran Malaysia dengan dijual pada harga RM4,998 tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Tiga pilihan warna ditawarkan dan ia datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

    Menggerakkan RS20 ini adalah motor elektrik 2.45 kW, yang mendapat kuasa daripada bateri graphene 72 V 22 Ah, mampu memberikan jarak gerak maksimum 105 km, laju maksimum 51 km/j dan tork maksimum 107 Nm. Bateri ini boleh dicas 0-80% dalam masa enam jam.

    Bentuk RS20 ini nampak seperti skuter biasa dengan rim 12 incinya dipegang oleh fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Brek hadapan menggunakan unit cakera tunggal, sementara di belakang terdapat brek dram.

    Selain menggunakan kunci fizikal dan alat kawalan jauh, RS20 juga boleh dihidupkan menggunakan telefon pintar, setelah pengguna mengaktifkan fungsinya di dalam aplikasi. Paparan meter menggunakan unit digital yang boleh memaparkan tahap bateri, jarak gerak, kelajuan dan pelbagai lagi.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada RS20 adalah termasuk semua lampu jenis LED, soket pengecas USB-A, fungsi undur, dua mod tunggangan, ruang simpanan bawah tempat duduk dan bawah pemegang serta platform kaki luas.

     
     
  • Omoda C9 PHEV ditunjuk sebelum dilancar di Malaysia – anggaran RM220k, 605 PS/915 Nm, 0-100 km/j 4.9s!

    Omoda C9 PHEV ditunjuk sebelum dilancar di Malaysia – anggaran RM220k, 605 PS/915 Nm, 0-100 km/j 4.9s!

    Selain dari Jaecoo J5, Omoda Jaecoo Malaysia turut menayangkan Omoda C9 PHEV ketika berlangsungnya Omoda | Jaecoo Carnival di Desa Park City yang bermula hari ini. Seperti namanya, ini adalah versi plug-in hybrid untuk SUV segmen-D Omoda C9 yang telah pun dilancarkan di Malaysia pada Disember tahun lalu.

    Rupa luaran bagi C9 PHEV ini adalah hampir sama sepenuhnya dengan varian yang dijana oleh enjin petrol penuh. Perbezaan yang boleh dilihat hanyalah ada empat kemasan empat segi yang kecil pada pembahagi kemasan tengah gril bawah bampar hadapan, emblem PHEV serta lencana ‘C9’ berwarna biru pada pintu tailgate belakang, dan ada satu penutup pada bahagian kiri belakang seperti penutup pengisi minyak yang menyimpan port pengecas bateri SUV hibrid elektrik ini.

    Bahagian kabin varian PHEV ini juga menampilkan rupa yang sama seperti C9 dengan enjin petrol penuh. Apa yang berbeza adalah suis putar untuk memilih mod pemanduan di bahagian tengah papan pemuka model petrol penuh diubah kepada fungsi pemilih mod hibrid atau elektrik penuh pada varian PHEV ini.

    C9 PHEV ini juga mempunyai perincian seperti model EV sebenar kerana tidak mempunyai butang penghidup enjin pada papan pemuka, dan kereta ini boleh dihidupkan dan dipandu sebaik sahaja ia mengesan kunci kereta berada pada tempat duduk pemandu.

    Dan sudah tentu, perbezaan paling besar adalah dari segi unit rangkaian kuasa di mana C9 PHEV ini digerakkan oleh Super Hybrid System (SHS) Omoda Jaecoo. Ia menampilkan enjin petrol 1.5 liter empat-silinder turbo kitaran Miller yang menghasilkan 143 PS dan tork maksima 215 Nm, digandingkan dengan transmisi khas hibrid (DHT) tiga kelajuan yang dipek bersama dua motor elektrik masing-masing berkuasa 102 PS/170 Nm dan 122 PS/220 Nm bagi memacu roda hadapan.

    Tidak cukup dengan itu gandar belakang turut dipacu oleh satu lagi motor elektrik berkuasa 283 PS/310 Nm. Ini bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda pada SUV ini, malah menawarkan kuasa gandingan keseluruhan 605 PS dan tork maksima 915 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat!

    Omoda C9 PHEV ditunjuk sebelum dilancar di Malaysia – anggaran RM220k, 605 PS/915 Nm, 0-100 km/j 4.9s!

    Sebagai perbandingan, C9 dalam varian enjin pembakaran dalaman pasaran Malaysia dibekalkan dengan enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder sebaris dengan sistem suntikan bahan api terus menghasilkan kuasa 261 PS dan tork maksima 400 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Semua motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 34.46-kWj. Bateri yang agak besar untuk sebuah model hibrid ini mampu memberikan jarak gerak elektrik penuh tanpa enjin dihidupkan sejauh 150 km menurut kitran ujian WLTP. Manakala dengan satu tangki petrol penuh, ia boleh bergerak sekitar 1,100 km dengan menggunakan mod Hybrid.

    Bateri berkenaan boleh di cas seperti EV sebenar, di mana C9 PHEV ini boleh menerima cas pantas DC sehingga 70 kW bagi memenuhkan bateri dari 30 hingga 80% dalam masa 25 minit. Ia juga menyokong sistem cas AC sehingga 6.6 kW, memmbolehkan kuasa elektrik diisi dari 30 hingga 100% dalam masa lima jam setengah.

    Omoda C9 PHEV ditunjuk sebelum dilancar di Malaysia – anggaran RM220k, 605 PS/915 Nm, 0-100 km/j 4.9s!

    Perincian-perincian mekanikal lain masih lagi sama seperti varian dengan enjin pembakaran dalaman, termasuk sistem suspensi topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang, serta penyerap hentak adaptif menerusi sistem Continuous Damping Control (CDC) yang kini turut telah diberikan pada varian AWD pada model dengan enjin petrol penuh.

    Harga sebenarnya masih belum diumum namun Omoda Jaecoo Malaysia memberikan anggaran bahawa ia akan dijual pada harga sekitar RM220,000. Jadi kami jangkakan model ini mungkin akan menerima kelengkapan standard yang sama seperti varian petrol penuh di mana buat masa sekarang varian asas C9 2WD dijual pada harga RM168,800 dan C9 AWD dijual pada harga RM188,800.

    Lebih perincian berkenaan Omoda C9 PHEV ini akan diumum ketika pelancarannya nanti. Omoda Jaecoo Malaysia belum mengumumkan tarikh pelancaran sebenarnya, tetapi hanya memberikan bayangan bahawa ia akan dilancarkan pada ‘lewat tahun ini’. Jika anda berminat nak melihat model ini dengan lebih dekat, boleh kunjungi Omoda Jaecoo Carnival yang berlangsung dari hari ini, 21 Ogos hingga 24 Ogos nanti.

     
     
  • Program latihan Proton Young Talent bimbing bakat muda dalam pelbagai bidang sejak tahun 2018

    Program latihan Proton Young Talent bimbing bakat muda dalam pelbagai bidang sejak tahun 2018

    Sebagai syarikat automotif pertama negara, Proton bukan sahaja ditubuhkan untuk membangunkan dan menghasilkan kereta nasional demi memperluas mobiliti kepada rakyat, tetapi juga berperanan penting dalam usaha menjadikan Malaysia daripada sebuah ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi berasaskan pembuatan.

    Selain menghasilkan kenderaan, Proton juga berfungsi sebagai platform latihan dan pembangunan bakat muda dalam industri automotif. Sejak tahun 2018, syarikat ini telah melaksanakan program latihan pengurusan dikenali sebagai Proton Young Talent (PYT). Setakat ini, 311 belia daripada 27 kumpulan telah diserap untuk pelbagai peranan di dalam syarikat.

    Menurut Proton, program ini memberi pendedahan menyeluruh kepada semua aspek utama industri automotif, merangkumi bidang pembuatan, jualan strategik dan operasi. Selari dengan perkembangan semasa industri, peserta juga didedahkan kepada teknologi kenderaan elektrik (EV) dan sistem pembuatan moden — satu keperluan penting bagi masa depan automotif.

    Program latihan Proton Young Talent bimbing bakat muda dalam pelbagai bidang sejak tahun 2018

    Proton turut bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Kerjasama ini bertujuan menangani jurang kemahiran negara melalui pembangunan modul latihan yang relevan dengan keperluan industri, peluang latihan praktikal serta penempatan kerja bagi membantu pembangunan bakat tempatan.

    Antara bakat muda yang menyertai program ini datang daripada pelbagai bahagian seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), komunikasi korporat dan juga bahagian kenderaan elektrik (EV). Salah seorang peserta, Umaibala Rajendiran, 24, lulusan kejuruteraan mekanikal, telah dihantar ke China selama enam bulan untuk tugasan bersama pasukan R&D Proton dan Geely. Beliau merupakan antara lapan peserta PYT yang terpilih untuk tugasan di peringkat antarabangsa.

    Menurut Umaibala, pengalaman di China bukan sahaja memperlihatkan kecekapan industri automotif yang pantas, tetapi juga sokongan luar biasa daripada warga tempatan. Beliau turut mendapat bimbingan daripada jurutera kanan Malaysia dan mentor dari Geely, serta belajar bahasa tempatan dengan bantuan komuniti setempat.

    Program latihan Proton Young Talent bimbing bakat muda dalam pelbagai bidang sejak tahun 2018

    Proton juga mengiktiraf kepelbagaian latar belakang peserta, termasuk mereka yang bukan daripada bidang teknikal. Halisha Halim, graduan perakaunan, pada awalnya bercita-cita untuk menjadi penganalisis kewangan, namun melalui program PYT, beliau ditempatkan di bahagian komunikasi korporat.

    “Ramai yang beranggapan perlu menjadi jurutera untuk bekerja di Proton, tetapi sebenarnya terdapat pelbagai jabatan di mana pelbagai kemahiran adalah penting. Di sini, saya menulis siaran akhbar rasmi dan menguruskan libat urus media penting yang secara langsung mempengaruhi bagaimana Proton dilihat oleh mata awam,” jelas Halisha.

    Dengan perkembangan pesat dalam segmen kenderaan elektrik, Proton menyedari keperluan tenaga kerja baru untuk menyokong peralihan ini. Lan Sue Sim, graduan sains komputer dan kecerdasan buatan, kini bertugas di Pro-Net untuk memahami dan mempengaruhi pertumbuhan pasaran EV. Antara dapatan Pro-Net ialah kebimbangan pengguna Malaysia terhadap jangka hayat bateri, ketersediaan tempat pengecasan serta isu “range anxiety” yang menjadi penghalang kepada penggunaan EV secara meluas.

    Program latihan Proton Young Talent bimbing bakat muda dalam pelbagai bidang sejak tahun 2018

    “EV masih baru, jadi keraguan itu normal. Namun, perubahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan selalunya mencabar. EV direka dengan pek bateri tertutup dan standard keselamatan yang tinggi, serupa dengan model ICE di zon berisiko,” kata Lan.

    Ketua Bahagian Pembelajaran dan Pengurusan Bakat Proton, Shafinaz Jamaludin menegaskan bahawa kejayaan dalam industri automotif masa hadapan sangat bergantung kepada bakat yang luar biasa.

    “Visi proaktif kami adalah untuk memupuk persekitaran yang pelbagai, dinamik dan memperkasakan belia
    dengan tanggungjawab penting dan wawasan yang luar tandingan melangkaui bidang pembuatan. Ini memastikan
    bahawa setiap bakat PROTON bukan sahaja bersedia untuk masa depan tetapi secara aktif membentuknya di peringkat automotif di Malaysia,” kata Shafinaz.

     
     
  • Malaysia tak perlu anjurkan semula F1 — ahli ekonomi

    Malaysia tak perlu anjurkan semula F1 — ahli ekonomi

    Kebarangkalian untuk menganjurkan semula perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini mula kedengaran semula. Namun, bukan semua pihak teruja dengan idea ini, sebahagiannya kerana kos yang terlibat terlalu tinggi.

    Sebilangan pihak sangat prihatin dengan kos jutaan ringgit yang diperlukan untuk membawa penganjuran perlumbaan itu kembali ke Malaysia. Wang berkenaan sebetulnya boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang lebih penting dalam situasi ekonomi dan sosial semasa dalam negara, lapor The Sun.

    Ahli ekonomi, Geoffrey Williams berkata, kerajaan tidak sepatutnya menjadi pihak yang menanggung kos tersebut menggunakan dana awam. “Jika penganjuran F1 mampu dilakukan dari sudut pandang ekonomi dan perniagaan, maka ia perlu didanai oleh sektor swasta. Dan sekiranya ia tidak boleh dilakukan dari sudut pandang pelaburan swasta, maka pelaburan daripada kerajaan juga sama sekali tidak masuk akal,” ujarnya.

    Malaysia tak perlu anjurkan semula F1 — ahli ekonomi

    Beliau menambah, sepanjang perjalanan penganjuran F1 di Malaysia selama 19 tahun dari 1999 hingga 2017 sepatutnya sudah banyak memberi pengajaran. “Ia tidak cekap secara kos dan tidak memberikan kesan ganda bagi ekonomi dan sosial seperti yang digambarkan ketika ingin menarik penglibatan kerajaan di dalamnya. Sekiranya ia memberikan manfaat, tentulah ia akan diteruskan. Tetapi hakikatnya tidak, dan disebabkan itu ia dihentikan,” tambahnya.

    Akhbar berkenaan juga turut memetik seorang lagi sumber yang dirahsiakan identitinya, yang memberi pandangan hampir sama dengan menyatakan bahawa kos yang terlibat adalah di luar kemampuan, dan akan memberi kesan yang tersasar jauh daripada keutamaan kewangan negara.

    “Untuk membelanjakan US$70 juta (sekitar RM295 juta) bagi satu perlumbaan F1 adalah sangat tidak perlu. Selepas semua kos lain diambil kira, Malaysia perlu membayar lebih daripada RM300 juta hanya untuk satu acara,” jelasnya.

    Malaysia tak perlu anjurkan semula F1 — ahli ekonomi

    Sumber berkenaan mencadangkan dana itu lebih baik digunakan untuk membantu warga Malaysia yang memerlukan. “RM300 juta itu boleh dijadikan subsidi kepada 20,000 keluarga B40 dengan nilai RM15,000 setiap keluarga, yang akan membantu mereka secara kewangan untuk membolehkan mereka memiliki rumah sendiri. Membantu 20,0000 keluarga akan secara langsung memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 100,000 warga negara Malaysia,” ujarnya.

    Beliau mempersoalkan keperluan untuk menganjurkan semula F1. “Kita sudah menganjurkan F1 selama 19 tahun berturut-turut. Itu masih belum cukup? Dengan lebih banyak negara yang mahu menganjurkannya, kos dan yuran juga akan semakin tinggi. Pemilik F1 adalah orang berniaga dan ingin mengaut untung, bukannya pemurah. Pendekatan lain adalah untuk untuk kita menggunakan wang tersebut untuk memperbaiki kehidupan warga Malaysia berbanding untuk bersaing mendapatkan prestij,” jelasnya.

    Cakap-cakap berkenaan kemungkinan kembalinya F1 ke Sepang adalah selepas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif awal minggu ini berkata bahawa adalah satu kesilapan bagi Malaysia untuk menghentikan penganjuran F1, dan memberi bayangan bahawa perbincangan untuk itu akan dimulakan lagi.

     
     
  • Jaecoo J5 didedah di Malaysia sebelum dilancar – SUV segmen-B 1.5T 147 PS/210 Nm, CVT, dianggar RM120k

    Jaecoo J5 didedah di Malaysia sebelum dilancar – SUV segmen-B 1.5T 147 PS/210 Nm, CVT, dianggar RM120k

    Omoda Jaecoo Malaysia hari ini mendedahkan satu lagi model yang bakal dilancarkan tidak lama lagi iaitu SUV segmen-B Jaecoo J5 ketika berlangsungnya Omoda Jaecoo Carnival di Desa Park City, Kuala Lumpur. SUV yang bakal berentap dengan model seperti Honda HR-V dan Proton X50 ini diumum bakal dijual pada harga anggaran RM120,000.

    Dari segi saiz, Jaecoo J5 menampilkan panjang 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm, dan juga jarak roda 2,620 mm. Jadi ia menampilkan panjang yang sama seperti X50, tetapi 65 mm lebih lebar, 41 mm lebih tinggi serta jarak roda 20 mm lebih jauh berbanding SUV segmen-B dari Proton tersebut.

    Dari segi rupa, J5 masih nampak seperti abangnya iaitu SUV segmen-C Jaecoo J7 tetapi dalam skala yang lebih kecil. Ia termasuk menampilkan gril hadapan ‘jailbar’ besar serta diberikan lampu hadapan LED nipis dengan jalur LED lampu nyalaan siang bina dalam, bentuk bayang badan dan cermin tingkap dan juga lampu LED belakang nipis yang diinspirasikan dari rekaan SUV British iaitu Range Rover.

    Jaecoo J5 didedah di Malaysia sebelum dilancar – SUV segmen-B 1.5T 147 PS/210 Nm, CVT, dianggar RM120k

    Namun J5 diberikan pembuka pintu konvensional, berbanding jenis tenggelam yang diberikan pda J7. Model pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan set rim aloi berdiameter 18-inci, dibalut dengan tayar bersaiz 235/55R18.

    Berbanding pasaran Thailand yang menerima J5 ini dalam versi elektrik penuh (EV) dan telah dilancarkan di sana baru-baru ini, Jaecoo J5 untuk pasaran Malaysia disahkan menerima enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork maksima 210, angka yang sama dicatatkan pada enjin ‘sepupunya’ iaitu Chery Tiggo Cross 1.5T.

    Namun berbanding Tiggo Cross yang diberikan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, Jaecoo J5 ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik bagi memacu roda hadapan. Gandingan ini membolehkan J5 pasaran Malaysia ini mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk perjalanan 100 km menerusi kitaran ujian ketat WLTC.

    Jaecoo J5 didedah di Malaysia sebelum dilancar – SUV segmen-B 1.5T 147 PS/210 Nm, CVT, dianggar RM120k

    Untuk pasaran lain seperti pasaran UK misalnya, J5 dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya turut ditawarkan dengan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 147 PS/275 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan memacu hanya roda hadapan.

    Tidak seperti kebanyakkan SUV segmen-B yang menampilkan suspensi jenis torsion beam yang lebih ringkas di belakang, Jaecoo J5 ini menerima suspensi bebas multilink yang lebih jitu.

    Pada sebelah dalam, J5 menampilkan papan pemuka yang direka minimalis menampilkan hanya berapa butang kawalan fizikal. Papan pemuka berkenaan diberikan satu panel hitam berkilat mendatar yang ‘menyembunyikan’ liang penghembus udara dan juga skrin LCD 8-inci untuk paparan instrumen digital sekiranya ia tidak dihidupkan.

    Jaecoo J5 didedah di Malaysia sebelum dilancar – SUV segmen-B 1.5T 147 PS/210 Nm, CVT, dianggar RM120k

    Ia juga diberikan skrin sesentuh 2K untuk sistem infotainmen bersaiz 13.2-inci yang diletakkan secara menegak bersama WiFi bina-dalam, dihubungkan kepada sistem audio dengan lapan-pembesar suara. Model pasaran Malaysia ini juga disahkan menerima bumbung kaca panaromik sebesar 1.45 ㎡ didakwa terbesar dalam kelasnya, serta merangkumi hampir sepenuhnya bahagian bumbung SUV ini.

    Selain itu, kabin J5 pasaran Malaysia ini akan menerima upholsteri kulit tiruan berwarna hitam yang didakwa ‘mesra haiwan peliharaan’. Manakala untuk but, ia menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 480 liter, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,180 liter jika tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisah dengan nisbah 60/40) sepenuhhnya.

    Bagi sistem keselamatan, Omoda Jaecoo Malaysia cuma mengesahkan bahawa J5 pasaran tempatan ini bakal dilengkapi dengan sistem kamera pemantau 540-darjah serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) 2.5 – jadi boleh dijangka ia akan menerima fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal lorong dan lain-lain.

    Lebih perincian berkenaan Jaecoo J5 ini akan diumum ketika pelancarannya nanti. Omoda Jaecoo Malaysia belum mengumumkan tarikh pelancaran sebenarnya, tetapi hanya memberikan bayangan bahawa ia akan dilancarkan pada ‘lewat tahun ini’. Jika anda berminat nak melihat model ini dengan lebih dekat, boleh kunjungi Omoda Jaecoo Carnival yang berlangsung dari hari ini, 21 Ogos hingga 24 Ogos nanti. Pendaftaran minat juga sudah dibuka.

     
     
  • Beberapa jalan utama di Putrajaya ditutup untuk raptai Hari Merdeka pada 26-29 Ogos, perarakan 31 Ogos

    Beberapa jalan utama di Putrajaya ditutup untuk raptai Hari Merdeka pada 26-29 Ogos, perarakan 31 Ogos

    Polis KL telah mengumumkan bahawa beberapa jalan utama di sekitar Putrajaya akan ditutup pada minggu hadapan sempena dengan raptai Hari Merdeka ke-68. Sebanyak 14 jalan utama terlibat dengan penutupan pada 26 hingga 29 Ogos, dari jam 6 pagi hingga 12 tengahari, menurut Ketua Polis KL CP Datuk Fadil Haji Marsus.

    Jalan yang terlibat dengan penutupan pada tarikh yang dinyatakan ialah:

    • Lebuh Wawasan / Persiaran Perdana
    • Jalan Tun Razak / Lebuh Bestari
    • Jalan Tun Razak / Jalan P2K
    • Jalan Tun Razak / Jalan Pembangunan
    • Jalan Tun Razak / Jalan P3C
    • Jalan Tun Razak / Jalan P3F
    • Jalan Tun Razak / Jalan Kemerdekaan
    • Lebuh Setia / Jalan Perpaduan
    • Lebuh Saujana / Persiaran Perdana
    • Lebuh Setia / Jalan Tun Hussein
    • Jalan Kemerdekaan / Jalan Tun Hussein
    • Jalan Pembangunan / Jalan Tun Hussein
    • Lebuh Bestari / Jalan Tun Hussein
    • Dataran Putra / Persiaran Perdana

    Beberapa jalan utama di Putrajaya ditutup untuk raptai Hari Merdeka pada 26-29 Ogos, perarakan 31 Ogos

    Bagi perarakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos pula, jalan berikut akan terlibat dengan penutupan:

    • Lingkaran Putrajaya / Jambatan Saujana
    • Lebuh Sentosa / Lebuh Wawasan
    • Lampu isyarat Lebuh Wawasan / Jambatan Wawasan
    • Lebuh Sentosa / Lebuh Wawasan
    • Lampu isyarat Lebuh Wawasan / Jalan P8H
    • Bulatan Salahuddin / Dataran Perdana
    • Lampu isyarat Lebuh Bestari / Jalan Tun Hussein
    • Lampu isyarat Jalan Pembangunan / Jalan Tun Hussein
    • Lampu isyarat Jalan Kemerdekaan / Jalan Tun Hussein
    • Lampu isyarat Lebuh Setia/ Jalan Tun Hussein
    • Lampu isyarat Lebuh Saujana / Jalan Tun Hussein
    • Lampu isyarat Lingkaran Gemilang Satu / Persiaran Perdana
    • Lampu isyarat Lebuh Gemilang / Persiaran Perdana–Jambatan Gemilang
    • Lebuh Sentosa / Jambatan Saujana

    “Kawalan keselamatan dan kawalan trafik akan melibatkan seramai 2,708 orang pegawai dan anggota PDRM yang akan bertugas bagi sambutan Hari Kemerdekaan yang akan diadakan di Putrajaya dengan jangkaan kehadiran orang ramai mencecah 100,000 orang pengunjung,” kata Ketua Polis KL.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia pada Ogos dijangka lebih baik berbanding Julai – promosi Merdeka dll

    Jualan kenderaan di Malaysia pada Ogos dijangka lebih baik berbanding Julai – promosi Merdeka dll

    Baru-baru ini Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan sebanyak 70,057 kereta baharu telah pun dihantar kepada pelanggan di negara ini pada Julai (naik 28% berbanding Jun) lalu. MBSB Investment Bank pula percaya jualan kenderaan pada bulan Ogos ini lebih baik memandangkan banyak syarikat kereta mengadakan promosi Merdeka dan juga ketersediaan stok yang dipertingkatkan, laporan Bernama.

    “Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi kenderaan penumpang dijangka menerima sedikit sokongan daripada pelancaran model baharu pada separuh kedua tahun 2025, manakala pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini mungkin dapat membantu meningkatkan sentimen pembelian,” menurut nota kajian itu semalam.

    Menurut Kenanga Investment Bank pula, susulan permintaan berterusan dalam segmen mampu milik, pelancaran baharu yang menarik serta down-trading trend dalam kalangan pembeli pasaran pertengahan, pengeluar kereta nasional (terutamanya Perodua) terus merampas bahagian pasaran daripada pengeluar bukan nasional, dengan Mazda paling terjejas akibat persaingan sengit dari China dan kelewatan pelancaran model baharu.

    “Untuk Julai 2025, Chery berada di tempat ketiga manakala BYD jatuh ke tempat keempat, di mana kami percaya ia berpunca daripada pengurangan bahagian pasaran kenderaan elektrik (EV) apabila lebih banyak jenama EV memasuki pasaran,” katanya.

    Jualan kenderaan di Malaysia pada Ogos dijangka lebih baik berbanding Julai – promosi Merdeka dll

    Bank itu menambah bahawa ia mengekalkan unjuran TIV sebanyak 805,000 unit bagi tahun 2025, dipacu oleh minat pembelian awal susulan penangguhan peraturan duti eksais baharu sehingga akhir 2025.

    Kenanga Investment Bank menjangkakan Perodua akan mendapat manfaat paling besar dengan penguasaan pasaran sebanyak 44%, disokong oleh kadar lokalisasi tertinggi, pelancaran model baharu yang menarik, peningkatan pendapatan isi rumah, kenaikan gaji minimum bermula Februari, serta pasaran buruh yang stabil.

    Namun, bank itu menyatakan bahawa segmen premium mungkin berdepan cabaran apabila pelanggan sasarannya berkemungkinan menangguhkan pembelian baharu, beralih kepada model lebih kecil atau menukar kepada hibrid dan EV selepas subsidi petrol RON95 bersasar diperkenalkan.

    Ia menambah bahawa belanjawan isi rumah dijangka tertekan akibat kos bahan api yang lebih tinggi serta kenaikan tarif asas sebanyak 14% bagi penggunaan tinggi, yang boleh mendorong mereka yang telah memasang panel solar untuk beralih kepada EV.

     
     
  • KTM 690 SMC R, 690 Enduro R 2026 diperkenal – meter kini guna skrin TFT, enjin LC4 ditambah baik, 79 PS

    KTM 690 SMC R, 690 Enduro R 2026 diperkenal – meter kini guna skrin TFT, enjin LC4 ditambah baik, 79 PS

    Berita baik selepas KTM berjaya mendapatkan Bajaj sebagai pelabur utama, produksi dua model mereka, iaitu 690 Enduro R dan 690 SMC R diteruskan dengan model tahun 2026 diperkenalkan dengan beberapa peningkatan.

    Pertama sekali sudah tentu, penampilan disegarkan semula dengan bukan sahaja warna baru, tapi juga panel badan yang lebih agresif. Namun, yang lebih penting adalah di bahagian enjin, bagi model yang sudah berusia belasan tahun ini.

    Unit satu silinder 693 cc LC4 masih lagi digunakan, tetapi beberapa bahagian diubah termasuk crankcase, penutup tepi magnet dan klac, serta sistem aliran minyak bagi meningkatkan ketahanan serta prestasinya. Bersama padanan transmisi enam kelajuan, kuasa maksimum yang mampu dihasilkan oleh kedua-dua model ini adalah 79 PS dan tork 73 Nm.

    Peningkatan seterusnya adalah di bahagian meter, di mana 690 Enduro R dan 690 SMC R 2026 kini didatangkan dengan skrin TFT 4.2 inci berwarna yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi KTM Connect (pilihan tambahan), bersama butang kawalan yang direka semula.

    Khas untuk 690 Enduro R, terdapat satu fungsi baru yang dipanggil sebagai Dynamic Slip Adjust (dalam mod Rally yang disediakan sebagai pilihan tambahan), yang boleh melaras sistem kawalan cengkaman secara sendiri bergantung kepada keadaan jalan. Turut ditambah untuk model tahun 2026 ini adalah soket USB, lampu utama LED, Cornering ABS serta Cornering MTC (kawalan cengkaman).

    Bahagian suspensi juga diberitahu dilaras semula, dengan perkakasan yang terdiri daripada fork WP-Xplor USD 48 mm dan monoshock WP Xplor pada Enduro R, dan fork WP-Apex 48 serta monoshock WP-Apex untuk SMC R. Kesemuanya boleh dilaras secara penuh.

    Datang dengan padanan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang serta jarak gerak suspensi yang lebih panjang, 690 Enduro R mencatat tinggi tempat duduk 935 mm bersama kelegaan dari tanah 265 mm, manakala 690 SMC R yang menggunakan rim 17 inci depan dan belakang mencatat 899 mm/237 mm. Berat keseluruhan dan kapasiti tangki bahan api kedua-duanya adalah sama, iaitu 162 kg dan 13.3 liter.

    GALERI: KTM 690 Enduro R 2026


    GALERI: KTM 690 SMC R 2026

     
     
  • Harga minyak 21-27 Ogos – diesel untuk semenanjung diturunkan lima sen seliter, yang lain dikekalkan

    Harga minyak 21-27 Ogos – diesel untuk semenanjung diturunkan lima sen seliter, yang lain dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 Ogos 2025, harga runcit petrol RON97 dikekalkan pada paras RM3.13 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Walau bagaimana pun, diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak lima sen seliter, kini menjadi RM2.85 seliter, berbanding RM2.90 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak terus dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.

     
     
  • KKR sudah selesaikan lebih 95% aduan kerosakan jalan yang didapati melalui aplikasi MyJalan – Nanta

    KKR sudah selesaikan lebih 95% aduan kerosakan jalan yang didapati melalui aplikasi MyJalan – Nanta

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berjaya menyelesaikan 95.19% aduan kerosakan jalan raya yang diterima melalui aplikasi mudah alih MyJalan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Menurut beliau, daripada 12,459 aduan yang diterima, sebanyak 11,860 aduan telah berjaya ditangani, manakala baki 599 aduan (4.81%) masih dalam siasatan atau menunggu tindakan lanjut.

    Sejak dilancarkan pada Ogos 2023, aplikasi MyJalan telah menerima sebanyak 40,938 aduan daripada 54,330 pengguna. Daripada jumlah itu, sebanyak 28,479 aduan (69.57%) telah disalurkan kepada agensi lain menerusi dasar “No Wrong Door” kerana melibatkan jalan di luar bidang kuasa KKR.

    KKR sudah selesaikan lebih 95% aduan kerosakan jalan yang didapati melalui aplikasi MyJalan – Nanta

    Antara jenis jalan yang tidak berada di bawah seliaan KKR termasuk jalan perbandaran, kampung, pertanian, jalan negeri dan jalan milik persendirian yang dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KKDW) serta kerajaan negeri.

    Sebelum ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa semua aduan berkaitan jalan berlubang yang dilaporkan melalui aplikasi MyJalan perlu diperbaiki dalam tempoh 24 jam. Bagi aduan jenis kerosakan lain, tempoh penyelesaian ditetapkan dalam masa 15 hari. Arahan ini turut terpakai kepada agensi-agensi lain yang menerima aduan melalui aplikasi tersebut.

     
     
  • Blueshark dan EPMB mula produksi e-bike SoloEra Solo 1C; harga rebat RM599, sewa bateri RM59/bulan

    Blueshark dan EPMB mula produksi e-bike SoloEra Solo 1C; harga rebat RM599, sewa bateri RM59/bulan

    Pengeluar motosikal elektrik Blueshark, bersama dengan sayap pengilangannya, EP Manufacturing Berhad (EPMB) akan memulakan produksi bagi skuter elektrik SoloEra Solo 1C di kemudahan pemasangannya di Glenmarie, Shah Alam, Selangor. Harga promosi sebelum pelancaran rasmi bagi Solo 1C ialah RM599, yang dibolehkan melalui rebat MARiiCas bernilai RM2,500 dan sokongan tambahan daripada Blueshark.

    Sebagai kelayakan untuk menikmati harga promosi tersebut, pelanggan perlulah warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai lesen motosikal B2 yang sah, serta merupakan pemohon rebat MARiiCas. Ia bagaimanapun tertakluk kepada had kuota. Tempahan dengan bayaran RM278 yang tidak akan dipulangkan boleh dilakukan melalui laman web MyMesra dan aplikasi Settle, dan pengguna perlu bersetuju dengan perjanjian sewaan bateri selama lima-tahun dengan hanya RM59 sebulan, serta pek ketersambungan RM10 sebulan.

    Blueshark dan EPMB mula produksi e-bike SoloEra Solo 1C; harga rebat RM599, sewa bateri RM59/bulan

    Tanpa rebat MARiiCas, harga Solo 1C ialah RM2,999, sebagai tambahan kepada langganan sewaan bateri dan ketersambungan yang dinyatakan itu. Blueshark menjangkakan tempahan bagi Solo 1C ini akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan, dengan caj penghantaran akan dikenakan bersama yuran tambahan bagi Malaysia Timur.

    Solo 1C merupakan e-bike urban peringkat kemasukan, menjadi model pertama daripada tiga model dalam siri yang sama yang akan diperkenalkan oleh BlueShark. Dua lagi model ialah Solo 2 dan Solo 3, yang akan menampilkan kepelbagaian prestasi, jarak dan kuasa.

    Kuasa untuk Solo 1C dibekalkan oleh bateri mudah alih tunggal LFP 70.4-volt 28 Ah dan boleh dicas menggunakan soket di rumah dalam masa empat jam. Sebuah motor 2 kW yang dipasang di hub-nya akan memacu skuter ini hingga kelajuan maksimum 75 km/j dengan jarak maksimum 101 km NEDC.

    Blueshark dan EPMB mula produksi e-bike SoloEra Solo 1C; harga rebat RM599, sewa bateri RM59/bulan

    Ada empat mod tunggangan disediakan — One, Two, Three dan Reverse — serta beratnya ialah 84 kg. Sambungan Bluetooth ke telefon penunggang boleh mengunci dan membuka kunci skuter ini, dan aplikasi yang disediakan akan membunyikan penggera dan ada fungsi Find My Vehicle.

    Solo 1C ditawarkan dalam tiga warna pilihan — Lunar White, Nebula Green dan Nova Orange. Direka untuk mampu milik dan penggunaan ringkas, Solo 1C menggunakan teknologi penukaran bateri yang sama seperti motosikal elektrik lain oleh Blueshark, dan akan berkongsi kemudahan sokongan dan servis yang sama.

     
     
  • Xiaomi pilih Eropah sebagai pasaran luar pertama

    Xiaomi pilih Eropah sebagai pasaran luar pertama

    Xiaomi secara rasmi mengesahkan bahawa Eropah akan menjadi pasaran luar negara pertama bagi kenderaan elektrik (EV) keluarannya bermula tahun 2027 – lapor CnEVPost. Perkara ini diumumkan oleh Presiden Xiaomi, Lu Weibing, dalam satu sesi laporan kewangan syarikat baru-baru ini. Beliau menyatakan bahawa syarikat kini sedang menjalankan kajian dan membuat persiapan rapi sebelum memasuki pasaran Eropah.

    Sebelum ini, Xiaomi pernah menyuarakan hasrat untuk menembusi pasaran antarabangsa menjelang 2027, namun tidak pernah menyebut secara spesifik negara atau rantau yang terlibat. Bagaimanapun, petunjuk awal telah muncul bulan lalu apabila Lu memuat naik gambar model SU7 Ultra yang menggunakan nombor pendaftaran Jerman, memberi bayangan awal bahawa Eropah bakal menjadi destinasi pertama.

    Dari segi prestasi kewangan, Xiaomi mencatatkan keputusan memberangsangkan pada suku kedua tahun ini apabila jumlah pendapatan meningkat sebanyak 30.5% berbanding tahun lalu, mencecah 116 bilion yuan (kira-kira RM68 bilion). Pendapatan daripada segmen perniagaan inovatif seperti EV, kecerdasan buatan (AI) dan inisiatif baru lain turut menyumbang 21.3 bilion yuan (RM12.5 bilion), meningkat sebanyak 233.9% berbanding tahun sebelumnya.

    Xiaomi pilih Eropah sebagai pasaran luar pertama

    Walaupun begitu, segmen ini masih mencatatkan kerugian operasi sebanyak 300 juta yuan (RM176 juta), namun ia merupakan penurunan berbanding kerugian 500 juta yuan (RM294 juta) yang direkodkan pada suku pertama.

    Untuk suku kedua tahun 2025, Xiaomi berjaya menyerahkan sebanyak 81,302 unit EV kepada pelanggan, meningkat berbanding 75,869 unit pada suku pertama. Sejak pelancaran EV pertamanya, SU7, pada 28 Mac 2024, syarikat ini mencatat pertumbuhan yang konsisten — bermula dengan 27,307 unit pada suku kedua 2024, 39,790 unit pada suku ketiga, dan 69,697 unit pada suku keempat tahun yang sama. Secara keseluruhan, jumlah penghantaran kini telah melebihi 300,000 unit.

    Xiaomi turut berkongsi pencapaian penting lain, termasuk kejayaan model SUV pertamanya, YU7, yang menerima 240,000 tempahan terjamin hanya dalam tempoh 18 jam selepas tempahan dibuka. Ketika ini, Xiaomi mempunyai 335 pusat jualan EV yang beroperasi di 92 bandar di seluruh China.

     
     
  • Mitsubishi Red Peak Challenge bakal di bawa ke Kuching pada 23 dan 24 Ogos – alami kebolehan Triton

    Mitsubishi Red Peak Challenge bakal di bawa ke Kuching pada 23 dan 24 Ogos – alami kebolehan Triton

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa ia akan membawa acara Red Peak Challenge ke Kuching pada 23 dan 24 Ogos ini. Acara yang akan menunjukkan kebolehan trak pikap Mitsubishi Triton berkenaan bakal berlangsung di Farley Mall, dibuka kepada orang awam bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.

    Pengunjung acara ini akan berpeluang untuk merasai memandu Triton mendaki tanjakan dengan sudut kecerunan 45-darjah dikenali sebagai Red Peak Climb dengan tunjuk ajar dari tenaga pengajar profesional. Cabaran ini akan memberikan peserta pengalaman untuk merasai kawalan cengkaman Triton pada laluan yang sangat curam serta mendemonstrasikan kuasa enjin MIVEC Turbodiesel trak pikap ini.

    Bukan itu sahaja, MMM turut akan membawa laluan halangan buatan yang lain bagi menunjukkan bahawa casis Triton ini boleh bertahan untuk dibawa meredah situasi sukar dalam dunia sebenar. Antaranya adalah Side Traverse Ramp iaitu tanjakan dengan sudut condong 35 darjah bagi menunjukkan kekuatan serta kestabilan Triton apabila salah satu tayarnya tidak mencecah permukaan jalan. Dalam situasi ini sistem pacuan empat-roda yang efektif akan membolehkan ia terus bergerak.

    Triton dibekalkan dengan sistem Super Select 4WD-II yang yang membolehkan ia meredah bentuk mukabumi yang sukar, dengan tujuh mod tersedia bagi disesuaikan dengan pelbagai situasi. Jadi acara ini turut akan menyediakan Roller Ramp untuk anda tempuh dengan Triton bagi mensimulasikan keadaan licin seperti ladang berlumpur atau tapak pembinaan. Anda akan dapat merasai fungsi mod 4HLc yang akan mengagihkan tork yang sama untuk semua roda, membolehkan trak pikap ini terus bergerak walaupun ada roda yang terperangkap pada permukaan licin.

    Dan yang terakhir, acara ini juga turut menanpilkan halangan Staircase Ramp yang mensimulasikan keadaan jalan raya yang tidak rata dan juga menurun cerun bukit. Menerusi halangan ini anda berpeluang menggunakan mod Rock pada Triton, serta merasai keselesaan kabin trak pikap tersebut walaupun melalui permukaan tidak rata, ditambah dengan tempat duduk yang memberikan sokongan badan yang baik.

    Peserta yang memandu uji sebuah Mitsubishi semasa acara ini akan menerima satu penyertaan untuk cabutan bertuah Red Peak Challenge yang diadakan pada pukul 5 petang setiap hari. Sekiranya anda turut membuat tempahan kereta baharu, peluang memenangi hadiah adalah lebih cerah kerana anda akan menerima dua penyertaan cabutan bertuah.

    Hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan termasuk gerabak perkhemahan Naturehike (RM500), kerusi Poler Mitsubishi (RM300), dan kipas mudah alih USB Mitsubishi (RM200). Acara ini juga akan menampilkan Monster Energy Triton Truck, yang akan mengagihkan minuman Monster Energy secara percuma.

    Bersempena dengan ulang tahun ke-20 MMM, terdapat juga pelbagai program eksklusif yang ditawarkan kepada pelanggan. Ini termasuk pakej Fantastic 5 dengan faedah bernilai sehingga RM30,000, Program SME Gear Up untuk pemilik perniagaan, dan program Triton Switch Up yang membolehkan pemilik sedia ada menaik taraf kepada model baharu tanpa bayaran pendahuluan dan kelebihan lain.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025