Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Menteri MoT mohon peruntukan RM10j pada 2024 bagi perluaskan program MyLesen B2 – sasar 30k peserta

    Menteri MoT mohon peruntukan RM10j pada 2024 bagi perluaskan program MyLesen B2 – sasar 30k peserta

    Kementerian Pengangkutan (MoT) akan memohon peruntukan sebanyak RM10 juta dari Kementerian Kewangan (MoF) tahun hadapan bagi membolehkan lebih ramai individu dari golongan B40 memperoleh lesen motosikal menerusi program MyLesen B2.

    Menteri MoT Anthony Loke berkata, peruntukan tersebut dapat memberikan manfaat buat lebih 30,000 individu yang layak menyertai program tersebut, berbanding 9,000 individu setahun seperti sebelum ini, laporan Bernama.

    “Kami bercadang untuk memohon lebih banyak peruntukan tahun depan iaitu dua kali ganda atau tiga kali ganda (daripada peruntukan tahun ini sebanyak RM2.7 juta), mungkin RM10 juta. Inisiatif ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mendidik orang ramai tentang kesedaran pematuhan peraturan jalan raya dan budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan belia,” kata Loke.

    FAQ tentang MyLesen B2. Klik untuk besarkan

    Tambah beliau, program MyLesen B2 merupakan komitmen dan usaha kerajaan untuk membantu golongan B40 meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang dalam sektor ekonomi gig dan banyak lagi.

    “Usaha itu juga didorong oleh hasrat kerajaan untuk sentiasa mempergiatkan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang 2030,” katanya.

    Merujuk kepada FAQ rasmi seperti di atas, program ini menawarkan lesen motosikal kelas B2 (motosikal tidak melebihi 250 cc) kepada mereka yang memenuhi keperluan. Mereka yang layak tidak akan dikenakan bayaran kerana kos latihan dan peperiksaan (termasuk ulangan) akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

     
     
  • Perodua Bezza 2024 dibayangkan — Axia sedan baru!

    Perodua Bezza 2024 dibayangkan — Axia sedan baru!

    Dalam hasil imej render digital terbarunya, Theophilus Chin memberi tumpuannya untuk membayangkan Perodua Bezza generasi baru, yang sebelum ini juga pernah dilakukannya dengan menggunakan asas dari Honda Amaze facelift, Mac lalu juga ada satu lagi versi dihasilkannya. Dan ini, satu lagi imej dibayangkan dengan menggunakan bahagian belakang dari Bezza generasi pertama.

    Ini menggunakan asas dari Perodua Bezza 2020 facelift, dari varian AV seperti yang dapat dilihat dari perincian dan rekaan bampar belakangnya. Ini sedikit sebanyak memberi petunjuk kemungkinan bagaimana penampilan Bezza bagi generasi kedua sekiranya ia hadir menggunakan bahagian belakang sedan segmen A itu ketika ini, dan digabungkan dengan keseimbangan bentuk dari Axia semasa.

    Perodua Bezza 2024 dibayangkan — Axia sedan baru!

    Bezza generasi baru ini belum akan diperkenalkan lagi dalam masa terdekat, bahkan bukan tahun hadapan. Perancangan dan rekaan semula Bezza kemungkinan besar akan dimulakan kini dengan model baru sepenuhnya boleh dijangka akan siap dalam dua atau tiga tahun lagi, seperti yang dikongsikan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Dengan model Axia yang sudah beralih kepada platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), Bezza generasi seterusnya juga dijangka akan mengikut langkah yang sama. Maka, banyak persamaan antara kedua-dua model segmen A Perodua itu akan menjadi lebih banyak dan menyeluruh.

    Perodua Bezza 2024 dibayangkan — Axia sedan baru!

    Axia 2023 mempunyai saiz yang lebih besar dengan 3,760 mm panjang dan 1,665 mm lebar, menjadikannya 115 mm lebih panjang dan 45 mm lebih lebar berbanding yang lama. Jarak antara roda juga 70 mm lebih panjang. Ia bagaimanapun 15 mm lebih rendah, dengan jarak kelegaan tanah juga kurang 15 mm menjadi 150 mm.

    Untuk enjin, Axia menggunakan unit 1.0 liter yang dipadankan dengan CVT dan bukan lagi automatik empat-kelajuan, sekaligus menjimatkan lagi bahan api. Perincian lanjut tentang pembaharuan dan kelengkapan Axia 2023 ada di sini.

    Jadi, mungkinkan Bezza generasi kedua nanti akan ada mirip rekaan yang kita lihat ini?

     
     
  • Karnival sambutan ulangtahun ke-38 Proton Saga – tiga generasi berhimpun di Ibu pejabat Proton!

    Karnival sambutan ulangtahun ke-38 Proton Saga – tiga generasi berhimpun di Ibu pejabat Proton!

    Semalam, 9 Julai 2023 genap Proton Saga berumur 38 tahun selepas unit pertama Saga generasi pertama keluar dari kilangnya di Shah Alam pada 9 Julai 1985. Oleh itu Proton berbesar hati mengadakan karnival istimewa untuk menyambut ulangtahun berkenaan bertempat di Ibu Pejabatnya iaitu Pusat Kecermelangan Proton (CoE) yang terletak bersebelahan dengan kilang asalnya di Hicom Shah Alam.

    Acara ini bermula pada pukul 9 pagi dan tamat pada pukul 7 malam. Acara utama untuk karnival ini adalah perhimpunan pemilik-pemilik Saga dari generasi pertama sehingga generasi terkini yang berlangsung dari bermula ia dibuka sehingga penutup.

    Pelbagai model Saga dan varian muncul dalam perhimpunan kali ini, dengan pelbagai tema restorasi dan ubahsuai yang ditampilkan. Antara varian-varian menarik yang datang termasuk Proton Saga Knight 1989, Proton Saga Limosin, dan pelbagai lagi.

    Pelbagai Saga ‘viral’ juga dilihat hadir ke perhimpunan berkenaan antaranya ‘Saga Pekak’ berwarna yang menerima restorasi penuh seperti baru, replika kereta rali Saga Iswara Group S yang pernah dipandu oleh Karamjit Singh, Saga milik pempengaruh media sosial ‘Kakak Saga’, dan banyak lagi.

    Kereta-kereta lumba sebenar Proton Saga juga tampil pada karnival ini, antaranya Proton Saga milik pasukan Proton R3 yang bertanding di perlumbaan Sepang 1000KM, dan beberapa Proton Saga generasi pertama milik pasukan-pasukan persendirian yang bertanding dalam Saga Cup Malaysia Speed Festival (MSF).

    Pasukan lumba Proton R3 sendiri juga membuat penampilan pada karnival ini dengan memberikan peluang kepada pengunjung yang hadir merasai sesi ‘Taxi Ride’ menggunakan Proton Saga pada litar ‘gymkhana’ kecil, dipandu oleh dua orang pemandu profesionalnya iaitu James Veerapan dan Farique Hairuman.

    Selain itu, pelbagai gerai jualan juga dibuka bukan sahaja menjual pelbagai juadah, malah ada yang menjual cenderamata, permainan, pakaian dan sebagainya bagi memastikan seisi keluarga dapat berseronok di karnival berkenaan. Malah gerai-gerai rasmi dari Proton juga dibuka bagi menjual cenderamata, barangan dan minyak enjin oleh Proton R3 dan juga pelbagai komponen alat ganti yang dijual oleh Pusat Alatganti Proton.

    Pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah yang disediakan dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti bersama keluarga yang disediakan.

    Sehingga tahun lalu, sebanyak 1.9 juta Saga telah berjaya dijual oleh Proton. Ia adalah sedan dengan harga mesra rakyat yang cukup baik dalam memberikan keselesaan dan keselamatan untuk pengangkutan harian. Tidak hairanlah jika hampir setiap rakyat Malaysia pasti ada cerita mereka tentang Saga bukan? Di harap karnival seperti ini dapat dibuat setiap tahun untuk lebih mendekatkan rakyat Malaysia dengan Proton.

     
     
  • Lebuhraya NKVE tutup lorong dan aktifkan laluan kontra antara Shah Alam-Subang hingga 12 Julai

    Lebuhraya NKVE tutup lorong dan aktifkan laluan kontra antara Shah Alam-Subang hingga 12 Julai

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan lorong dan pengaktifan laluan kontra di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) iaitu di antara Shah Alam–Subang dari KM9.5 hingga KM11.7, arah utara. Ia dilaksanakan setiap malam dari jam 10 malam hingga 5 pagi keesokan harinya, sehingga 12 Julai.

    Ia adalah bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf Jambatan KTMB di KM11.25 (arah utara) yang merentangi laluan terbabit di NKVE.

    Justeru, pengguna lebuh raya dari Shah Alam menghala ke Subang atau utara dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh tersebut.

    “Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.

    Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000, Chatbot PUTRI atau menerusi Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

     
     
  • PAS Terengganu tawar pinjaman tanpa faedah untuk pembelian motosikal dalam manifesto PRN

    PAS Terengganu tawar pinjaman tanpa faedah untuk pembelian motosikal dalam manifesto PRN

    Sebagai sebahagian daripada manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, PAS Terengganu
    menawarkan kemudahan pinjaman tanpa faedah untuk membeli motosikal bagi individu bekerja berpendapatan maksimum RM4,000 sebulan.

    Menurut Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, tawaran ini antara janji kerajaan PAS yang akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk memerintah, laporan Sinar Harian.

    “Pada PRU14, PAS Terengganu menunaikan semua 20 manifesto yang dijanjikan sepanjang pemerintahan malah ada lagi yang sedang berjalan.

    “Tawaran seterusnya ialah membina ‘township mosque’ sebagai masjid yang baharu dan lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan,” katanya yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos 2023 sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN). Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANC kini dibuka untuk dibida

    JPJ eBid: Siri ANC kini dibuka untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia sudah pun boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, ANC, telah pun dibuka bidaan sejak 9 Julai 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 13 Julai ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 14 Julai 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Presiden baharu Gazoo Racing idam hasilkan semula Toyota Starlet – pocket-rocket ringan, nakal di selekoh!

    Presiden baharu Gazoo Racing idam hasilkan semula Toyota Starlet – <em>pocket-rocket</em> ringan, nakal di selekoh!

    Selepas cucu pengasas Toyota Motor Corporation (TMC), Akio Toyoda melepaskan jawatan presiden dan hanya duduk sebagai pengerusi TMC, pelbagai rombakan jawatan dibuat dalam syarikat tersebut. Jawatan presiden kini dipegang oleh bekas presiden Lexus dan Gazoo Racing (GR) iaitu Koji Sato, manakala jawatan presiden Gazoo Racing yang ditinggalkan Sato kini diisi oleh Tomoya Takahashi yang kini baru berusia 45 tahun.

    Seperti biasa, Akio Toyoda tidak akan menyerahkan tugas sebagai presiden sayap perlumbaan syarikat warisannya itu kepada orang ‘biasa-biasa’, dan ia perlu dipikul oleh individu yang benar-benar berminat dengan dunia perlumbaan seperti dirinya. Ini kerana Gazoo Racing ditubuhkan sendiri oleh Akio Toyoda sejak beliau bermula dari bawah.

    Menurut Tomoya Takahashi dalam wawancara bersama laman BestCar, ketika menerima surat lantikan sebagai presiden Gazoo Racing, Akio Toyoda sempat berpesan kepadanya, “tolong buat kereta yang akan membuatkan saya tersenyum”. Untuk Takahashi, prinsip beliau dalam menghasilkan kereta lumba atau kereta sport, yang paling utama adalah untuk menghasilkan sebuah kereta yang ringan bagi membolehkan ia mengambil selekoh dengan laju.

    Presiden baharu Gazoo Racing idam hasilkan semula Toyota Starlet – <em>pocket-rocket</em> ringan, nakal di selekoh!

    “Jika anda mahukan kereta yang laju digaris lurus, anda boleh letak enjin yang besar dalamnya, tapi ia akan menjadikan ia berat. Kereta yang berat dan tak boleh ambil selekoh menjadikan ia tak seronok,” kata Takahashi.

    “Kereta yang ringan adalah yang paling bagus, jadi kami akan tekankan kepentingan untuk menghasilkan kereta yang ringan. Walaupun agak sukar untuk menghasilkan kereta yang ringan pada masa sekarang kerana faktor seperti keselamatan ketika pelanggaran dan sebagainya, kami sebagai pembuat kereta percaya menghasilkan kereta yang ringan merupakan jalan terbaik untuk menunjukkan kemahiran kami,” tambahnya.

    Oleh itu, Takahashi mengimpikan untuk menghidupkan semula pocket-rocket Toyota yang popular pada era 80’an dan 90’an iaitu Toyota Starlet. Malah Takahashi juga menjelaskan bahawa dia sendiri mula berlumba dengan Starlet GT!

    Takahashi berasal dari utara Jepun iaitu di Sapporo, Hokkaido. Beliau mula melibatkan diri dalam kereta dan perlumbaan sejak zaman universiti, bermula dengan memiliki Toyota Starlet GT EP82, kemudian beralih kepada Starlet GT EP82 versi facelift, dan selepas itu ke model generasi terakhir Starlet iaitu Glanza V EP91.

    Presiden baharu Gazoo Racing idam hasilkan semula Toyota Starlet – <em>pocket-rocket</em> ringan, nakal di selekoh!

    Menurutnya, ketika itu dia suka memandu Starlet berkenaan di jalan yang bersalji dan juga litar-litar kecil di Sapporo. Namun ketika Honda memperkenalkan Civic Type R EK9 pada tahun 1997, dia terkejut betapa bagusnya kereta tersebut.

    Takahashi kemudian diterima berkerja di Toyota pada tahun 2002, dan sejak itu beliau berazam untuk menghasilkan sebuah hot-hatch dengan logo Toyota yang lebih baik dari Civic Type R EK9. Impian Takahashi itu dilihat semakin hampir apabila dipindahkan ke Jabatan Pengurusan Kereta Sport Toyota pada 2016.

    Beliau dilantik sebagai pengurus besar Jabatan Promosi Projek GR pada 2021, dan kemudian menjadi pengurus besar Jabatan Pembangunan Kenderaan GR sebelum bergelar presiden Toyota Gazoo Racing tahun ini.

    Nama Starlet bermula pada tahun 1973 sebagai varian lebih tinggi untuk Toyota Publica, digelar sebagai Publica Starlet (kod casis KP40), dihasilkan dalam versi sedan dan coupe. Namun untuk generasi seterusnya bermula 1978, ia terus digelar sebagai Toyota Starlet (KP60/KP61) dan dihasilkan dalam bentuk hatchback lima- dan tiga-pintu.

    Presiden baharu Gazoo Racing idam hasilkan semula Toyota Starlet – <em>pocket-rocket</em> ringan, nakal di selekoh!

    Ia bukanlah dihasilkan sebagai sebuah hot-hatch sebenar oleh Toyota ketika itu. Namun dengan badan yang ringan serta datang dalam konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang, Starlet dengan enjin 4K 1.3 liter dan 5K 1.5 liter menjadi pilihan ramai untuk diubahsuai sebagai kereta lumba.

    Starlet kemudiannya berubah menjadi hatchback pacuan hadapan bermula model generasi ketiga (EP70/EP71), namun Toyota telah menghasilkan hot-hatch sebenar menerusi generasi ini dengan memperkenalkan model Starlet Turbo, dijana enjin 1,295 cc 12-injap dengan pengecas turbo menghasilkan 105 PS/150 Nm.

    Ia diteruskan dengan model Starlet GT Turbo EP82 pada generasi kelima dengan enjin 1,331 cc 16-injap 4E-FTE berkuasa 135 PS/157 Nm pada 1990, diikuti model generasi kelima Starlet Glanza V juga dengan enjin 4E-FTE tetapi dengan kuasa meningkat kepada 140 PS.

    Produksi Starlet tamat pada 1999, dan selepas itu hatchback kompak Toyota digantikan dengan Vitz/Yaris. Namun pada 2020, nama Starlet telah digunakan semula oleh Toyota – walau bagaimanapun, ia hanyalah model rebadge dari Suzuki Baleno yang hanya dijual di pasaran Afrika Selatan dengan spesifikasi sama seperti Toyota Glanza pasaran India.

     
     
  • Diskaun 50% untuk penumpang ETS sepanjang Julai; rebat tambahan RM5 buat warga emas hingga Dis 2023

    Diskaun 50% untuk penumpang ETS sepanjang Julai; rebat tambahan RM5 buat warga emas hingga Dis 2023

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penawaran diskaun sebanyak 50% untuk penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) sepanjang Julai 2023. Semua diskaun ini khas untuk warga Malaysia sahaja.

    Menurut KTMB, tawaran promosi ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menjimatkan perbelanjaan ketika melancong dengan menaiki keretapi.

    “Tawaran istimewa tersebut boleh digunakan untuk semua laluan ETS dari Padang Besar hingga Gemas pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis.

    “Pemberian diskaun melibatkan tarikh-tarikh tertentu dengan menggunakan kod promo yang dinyatakan dan dikhususkan bagi kategori tiket dewasa sahaja. Para penumpang boleh membuat pilihan pembelian tiket perjalanan sama ada sehala atau dua hala ke mana-mana laluan ETS,”kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Diskaun 50% untuk penumpang ETS sepanjang Julai; rebat tambahan RM5 buat warga emas hingga Dis 2023

    Selain itu, sebagai menghargai penumpang warga emas, KTMB turut memberikan diskaun tambahan sebanyak RM5 daripada jumlah tambang perjalanan bagi semua perkhidmatan ETS termasuk kelas perniagaan.

    “Promosi ini bermula sejak 1 Julai lalu dan berlangsung sehingga Disember 2023. Ketika ini, KTMB turut menawarkan diskaun tiket sebanyak 50% daripada harga asal kepada semua golongan warga emas warganegara Malaysia yang membuat pendaftaran melalui aplikasi KTMB Mobile bagi semua perjalanan menggunakan perkhidmatan KTMB.

    “Bagi menikmati tawaran istimewa ini, warga emas yang telah mendaftar konsesi perlu menggunakan kod promo PRIHATINEMAS semasa membuat pembelian tiket. Tawaran istimewa ini juga boleh digunakan untuk semua laluan ETS dari Padang Besar hingga Gemas pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis,” sambung KTMB lagi.

     
     
  • Honda CR-V generasi keenam 2023 dilihat sekali lagi

    Honda CR-V generasi keenam 2023 dilihat sekali lagi

    Honda CR-V generasi keenam muncul di peringkat global setahun lalu, dan telah juga dilancarkan di Thailand pada Mac lalu ketika Bangkok International Motor Show 2023. Nampaknya SUV berkenaan juga sedang dipersiapkan untuk pasaran Malaysia, dan sekali lagi dilihat sedang diuji di Gemencheh, Negeri Sembilan.

    Mac lalu, Honda Malaysia umumkan yang syarikat itu akan melancarkan empat model baru tahun ini di sini, dan CR-V serba baru ini satu daripadanya. Ia lebih besar daripada model generasi kelima yang akan digantikan, dengan dimensi 4,694 mm panjang (+71 mm) dan 1,865 mm lebar (+10 mm).

    Ruang dalamannya juga lebih besar, dengan ruang kaki di belakang mendapat tambahan 15 mm jarak. Rekaan dan binaan papan pemukanya pula meminjam ciri yang sama dengan yang ada untuk Civic, dengan konsol tengah yang menempatkan tuil gear dan pemilik mod pemanduan yang diletakkan sebelah-menyebelah.

    Honda CR-V generasi keenam 2023 dilihat sekali lagi

    Kelengkapan keselamatan untuk pasaran AS termasuk peninjau titik buta (BSI), sementara ACC dengan Low-Speed Follow dan Lane Keeping Assist (LKAS) kini dengan respon lebih bersahaja. Fungsi tambahan lain termasuk Traffic Jam Assist, Low-Speed Braking Control dan Traffic Sign Recognition.

    Di Thailand, CR-V generasi keenam dijual dengan dua pilihan enjin. Satu unit 1.5L turbo petrol unit yang menghasilkan 190 hp pada 6,000 rpm dan 242 Nm tork dari 1,700 rpm hingga 5,000 rpm, dan dipadankan dengan CVT. Kedua, unit 2.0L kitaran Atkinson empat-silinder dengan e-CVT yang disertai dua motor elektrik untuk menghasilkan 207 PS dan 371 Nm dari 0-2,000 rpm.

    Honda CR-V generasi kelima dilancarkan di Malaysia pada Julai 2017, dengan facelift pertama tiba pada November 2020. Ia kini dijual pada harga RM146,900 untuk versi 2.0L 2WD, dan yang paling lengkap dari empat variannya ialah 1.5L TC-P 4WD pada harga RM171,400.

     
     
  • smart #1 bakal datang dengan pengecas dalaman 22 kW di Malaysia? Tiba tahun ini, jarak hingga 440 km

    smart #1 bakal datang dengan pengecas dalaman 22 kW di Malaysia? Tiba tahun ini, jarak hingga 440 km

    smart #1 mungkin akan disertakan dengan pengecas AC dalaman dengan kadar sehingga 22 kW ketika dilancarkan di Malaysia nanti. Ini berdasarkan sebuah hantar oleh smart Malaysia di laman Facebook rasminya yang memberi tumpuan kepada ciri berkenaan.

    Ini juga mungkin mencadangkan yang varian lebih tinggi akan disediakan dengan pengecas AC 22 kW, dan varian lain mungkin pada kadar berbeza. Pengedarnya, Proton New Energy Technology (Pro-Net) setakat ini masih belum mendedahkan varian yang akan ditawarkan. Secara standard, smart #1 lengkap dengan pengecas AC 7.4 kW, dengan sistem 22 kW sebagai pilihan.

    Ini sama seperti yang ditawarkan di UK, dengan varian paling asas Pro+ memerlukan sekitar 7.5 jam untuk pengecasan 10-80% SoC dengan pengecas 7.4 kW AC. Sementara varian Premium dan Brabus pula datang dengan pengecas 22 kW AC yang hanya memerlukan tiga jam. Semua varian smart #1 menyokong pengecasan pantas DC dengan kadar maksimum 150 kW, dengan 10-80% Soc dalam masa 30 minit.

    Ketika ini, tidak banyak EV yang dijual di sini dengan pengecas 22 kW AC, yang membolehkan pengecasan lebih pantas menggunakan wallbox rumah atau pengecas awam yang mampu menampung kadar berkenaan. Sebagai contoh, kereta yang dilengkapi dengan pengecas ini ialah Audi Q8 e-tron 55 quattro, e-tron GT dan Porsche Taycan.

    Sementara itu, kebanyakan EV lain di sini hanya menggunakan pengecas 11 kW AC, termasuk Kia Niro EV; BMW i7, i4, iX1; Mercedes-Benz EQA, EQB, EQC, EQE, EQS; Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan MINI Electric. EV lain yang lebih murah seperti BYD Atto 3 dan Ora Good Cat datang dengan pengecas AC yang hanya boleh menampung 7 kW ke bawah.

    smart #1 bakal datang dengan pengecas dalaman 22 kW di Malaysia? Tiba tahun ini, jarak hingga 440 km

    smart #1 akan hadir dalam bentuk standard dan Brabus, dengan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66 kWh yang memberikan jarak WLTP sehingga 440 km (Standard) atau 400 km (Brabus).

    Perbezaan antara keduanya adalah janaan output, dengan Standard dengan sebuah motor elektrik menjana 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 343 Nm tork, manakala versi Brabus dilenglapi sebuah lagi motor elektrik di depan untuk menjadikannya pacuan semua roda dengan output keseluruhan sistem 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan 543 Nm.

    smart #1 Brabus

     
     
  • PM Anwar Ibrahim bakal bertemu Elon Musk minggu hadapan untuk bincang pelaburan Tesla di Malaysia

    PM Anwar Ibrahim bakal bertemu Elon Musk minggu hadapan untuk bincang pelaburan Tesla di Malaysia

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa beliau bakal mengadakan pertemuan dengan CEO Tesla Elon Musk pada minggu hadapan. Pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan soal berkaitan pelaburan Tesla di Malaysia.

    Beliau turut berkata Malaysia memerlukan lebih banyak pelaburan baharu untuk menambah pendapatan dan mengurangkan hutang negara yang telah mencecah RM1.5 trilion, laporan BFM News.

    Tesla mengesahkan bakal melancarkan jenamanya secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini. Kami menjangkakan Tesla Malaysia bakal menawarkan Model 3 dan Model Y yang merupakan model pemanduan sebelah-kanan, sama seperti pasaran ASEAN yang lain.

    Sebelum ini, berita terawal tentang pelancaran Tesla di Malaysia muncul apabila syarikat tempatan yang terlibat dinamakan semula pada Oktober 2022.

    Tesla Model Y dan Model 3 untuk pasaran Thailand

    Pada Mac 2023 pula, Menteri MITI Tengku Zafrul mengumumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.

    Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Tesla Malaysia perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC dengan kuasa pengecasan minimum 180 kW, dan sekurang-kurangnya 30% (15 unit) daripada pengecas ini perlu terbuka untuk kegunaan umum, termasuk EV dari jenama lain.

    Menjelang Mei 2023, komponen Tesla juga telah didaftarkan dengan SIRIM, dan Tesla Malaysia mengadakan hari pengambilan pekerja terbuka pada Jun lalu, dengan lebih 6,000 pemohon terlibat. Lima jawatan dibuka untuk diisi iaitu Penasihat jualan/Penasihat jualan dalaman, Penasihat jualan enterprise, Penasihat penghantaran, Pakar sokongan pelanggan dan Penasihat Servis.

     
     
  • 2,500 unit Perodua Axia E 2023 habis dijual, dihantar ke pelanggan dalam masa 48 jam selepas dilancar

    2,500 unit Perodua Axia E 2023 habis dijual, dihantar ke pelanggan dalam masa 48 jam selepas dilancar

    Dalam kenyataan pengumuman prestasi jualan untuk separa pertama 2023 yang dikeluarkan hari ini, Perodua turut memberitahu bahawa model Axia E MT generasi pertama yang dilancarkan semula bulan lalu menerima sambutan yang begitu menggalakkan.

    Menurut presiden dan CEO Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, sebanyak 2,500 unit awalan model berkenaan yang disediakan sewaktu hari pelancarannya habis dijual dalam masa dua hari, dan kesemua unit tersebut dapat dihantar kepada pelanggan dalam masa 48 jam!

    Perodua Axia E MT generasi pertama ini diproduksi semula oleh Perodua selepas mendapat permintaan dari pelanggan. Ini kerana model generasi kedua yang dilancarkan pada Februari lalu hanya ditawarkan dengan varian G sebagai varian paling asas serta tidak mempunyai versi dengan kotak gear manual.

    2,500 unit Perodua Axia E 2023 habis dijual, dihantar ke pelanggan dalam masa 48 jam selepas dilancar

    Ia diperkenalkan semula dengan harga baharu yang lebih murah iaitu harga atas jalan tanpa insuran RM22,000 (berbanding harga terakhirnya sekitar RM24,090 bagi model yang diperkenalkan pada 2019 dahulu), menjadikan ia kekal sebagai kereta baharu paling murah di Malaysia buat masa sekarang. Harga tersebut adalah RM16,600 lebih murah berbanding Axia G 2023 yang dijual pada harga RM38,600.

    Dengan harga yang begitu rendah tersebut, Axia E yang diperkenalkan semula ini datang dengan perincian seperti rim besi, dua beg udara dan juga enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga silinder NA berkuasa 68 PS/91 Nm yang digandingkan hanya dengan kotak gear manual, tanpa pilihan transmisi automatik.

    Ia juga tidak dipadankan dengan radio dan pembesar suara, tiada brek ABS dan tiada sistem kestabilan elektronik (ESC).

    Dari segi penampilan, tidak banyak yang berubah untuk Axia E terbaru ini dan ia hampir sama dengan rupa Axia E versi 2017 dan 2019. Sedikit perubahan yang dibuat cuma bahagian hadapan dilihat mengenakan imej ringkas yang sama dengan versi tahun 2017, manakala bahagian belakang dan spesifikasinya mengikut model E yang terakhir ditawarkan pada 2019

    GALERI: Perodua Axia E MT 2023

     
     
  • Thailand jadi antara pendahulu pasaran EV ASEAN, diikuti rapat oleh Indonesia – kajian BloombergNEF

    Thailand jadi antara pendahulu pasaran EV ASEAN, diikuti rapat oleh Indonesia – kajian BloombergNEF

    Laporan yang dikeluarkan oleh Bangkok Post menyatakan bahawa agensi kaji selidik BloombergNEF mendapati Thailand dan Indonesia kini menjadi antara pasaran utama bagi kenderaan elektrik (EV), di dalam negara ASEAN. Ini adalah hasil daripada sokongan negara tersebut terhadap industri EV dengan pelbagai insentif seperti pemotongan cukai dan subsidi, demi meningkatkan penggunaan serta pengeluaran EV, selain populasi yang tinggi.

    Pada masa ini, Thailand mendahulu dengan jualan 51,000 EV pada tahun 2022, berbanding Indonesia yang mencatat 10,000 unit. Jualan EV di Thailand dijangka mencecah sehingga 2.9 juta menjelang tahun 2040. Sementara itu di Malaysia, jualan EV tahun lepas hanyalah 2,631 unit, tetapi masih adalah peningkatan yang ketara berbanding tahun sebelumnya (naik 860%).

    “Thailand akan menjadi pemain utama bagi pasaran EV tetapi selepas tahun 2040, Indonesia akan mengambil tempat di hadapan, bagi segmen kenderaan penumpang disebabkan saiz pasaran mereka,” kata ketua penganalisis kanan pengangkutan Asia Pasifik BloombergNEF, Allen Tom Abraham.

    Agensi itu turut menyatakan bahawa pecahan EV dalam jumlah jualan keseluruhan kenderaan penumpang baru dijangka meningkat dari 14% pada tahun 2022 kepada 30% pada tahun 2026. Bagi pasaran utama seperti China, EV menyumbang 52% daripada jumlah jualan keseluruhan kenderaan penumpang, manakala di Eropah 42%. BloombergNEF juga percaya jualan global EV, terutamanya bagi segmen kenderaan penumpang akan meningkat sehingga 27 juta pada tahun 2026, berbanding 19.5 juta pada tahun 2022.

     
     
  • Triumph perkenal warna baru untuk Rocket 3, Speed Triple RS, Tiger 850, Tiger 660 dan Trident 2024

    Triumph perkenal warna baru untuk Rocket 3, Speed Triple RS, Tiger 850, Tiger 660 dan Trident 2024

    Bagi model tahun 2024, Triumph memperkenalkan beberapa warna baru untuk model Rocket 3 GT, Rocket 3 R, Speed Triple 1200 RS, Tiger Sport 850, Tiger Sport 660 dan Trident 660. Warna baru ini diberitahu sudah boleh ditempah oleh pelanggan.

    Bermula dengan model yang diangkat sebagai model produksi dengan enjin berkapasiti paling tinggi di dunia, iaitu Rocket 3, warna baru Sapphire Black/Carnival Red/Silver Ice diperkenal untuk kedua-dua Rocket 3 R dan Rocket 3 GT, sebagai pilihan tambahan kepada warna Matt Silver Ice (R sahaja) dan Sapphire Black sedia ada.

    Speed Triple 1200 RS yang merupakan model naked paling berkuasa jenama ini mendapat warna baru yang lebih menyerlah, iaitu Carnival Red, sebagai tambahan kepada kepada warna Matt Silver Ice dan Sapphire Black sedia ada. Ia kemudiannya diserikan lagi dengan grafik Aluminium Silver RS.

    Turut mendapat pilihan warna baru adalah model jelajah/kembara yang lebih fokus kepada penggunaan atas jalan biasa, iaitu Tiger 850 Sport. Warna Graphite/Diablo Red sebelum ini masih ada, tetapi ia ditambah dengan pilihan Graphite/Jet Black. Model yang menggunakan enjin lebih kecil, Tiger Sport 660 mendapat pilihan warna baru Snowdonia White & Jet Black.

    Akhir sekali untuk model paling mampu milik daripada Triumph, iaitu Trident 660, ia mendapat pilihan warna baru Jet Black/Triumph Racing Yellow, sebagai tambahan kepada warna lain seperti Silver Ice/Diablo Red, Matt Jet Black/Silver Ice dan Sapphire Black.

     
     
  • Jualan Perodua naik 13.6% untuk separa pertama 2023; 144,690 unit terjual, Bezza model paling laris

    Jualan Perodua naik 13.6% untuk separa pertama 2023; 144,690 unit terjual, Bezza model paling laris

    Perodua mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 144,690 unit kenderaan untuk enam bulan pertama 2023. Angka berkenaan dilihat naik 13.6% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jualan sebanyak 127,343 unit kenderaan dari Januari sehingga Jun 2022.

    Angka jualan tersebut dicapai menerusi produksi kenderaan yang dihasilkan Perodua yang mencecah 153,813 unit pada separa pertama tahun ini, naik 17% berbanding 131,641 unit yang dihasilkan dalam tempoh sama pada 2022.

    Dari angka jualan keseluruhan berkenaan, Bezza menjadi model paling laris Perodua dengan jumlah 40,555 unit berjaya didaftarkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Ia diikuti Perodua Myvi sebanyak 32,319 unit dan Perodua Axia sebanyak 28,199 unit.

    “Prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

    Menurutnya Perodua kini berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 unit dan sasaran jualan sebanyak 314,000 unit yang telah ditetapkan untuk 2023 dengan kecekapan operasi yang bakal ditambah baik.

    “Antara penambahbaikan ketara yang kami lakukan termasuk catatan ‘tact time’ yang lebih pantas (masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah kenderaan) daripada 1.35 minit kepada 1.25 minit di kilang Perodua Global Manufacturing (PGMSB) kami,” kata Zainal.

    Jualan Perodua naik 13.6% untuk separa pertama 2023; 144,690 unit terjual, Bezza model paling laris

    Untuk suku kedua 2023, Perodua berjaya memprodukasi sebanyak 69,013 kenderaan, naik 1% berbanding 68,316 unit yang dihasilkan pada suku kedua 2022. Zainal menjelaskan bahawa peningkatan tersebut sebahagian besarnya disumbangkan oleh usaha syarikat berkenaan dalam memenuhi tempahan di bawah inisiatif Penjana.

    “Kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan kami pada masa akan datang terus meningkat berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh,” tambahnya lagi.

    Beliau turut menyatakan walaupun tempahan sedia ada amat menggalakkan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi, antaranya kos pembiayaan yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan yang mungkin berlaku secara berkala.

    “Walaupun begitu, kami masih teguh dengan sasaran kami, dan kami berterima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas sokongan dan kesabaran mereka. Keutamaan kami adalah untuk terus mengurangkan masa menunggu para pelanggan serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kami.

    “Kami juga berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia kerana mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3% kerana ini akan membantu mengurangkan kos pembiayaan para pelanggan kami yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” kata Zainal.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025