Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Aveta Ranger Max 130 dipertonton di Malaysia – bakal dilancar tengah tahun ini, enjin 130 cc, sekitar RM6k

    Aveta Ranger Max 130 dipertonton di Malaysia – bakal dilancar tengah tahun ini, enjin 130 cc, sekitar RM6k

    Semasa acara Malaysia Autoshow 2023 hujung minggu lalu, pengeluar motosikal tempatan, Aveta telah membuat pra tonton sebuah model baru yang dipanggil sebagai Aveta Ranger Max 130. Ia dijangka dapat dilancarkan untuk jualan sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini

    Jika dibandingkan dengan Ranger 110 yang ditawarkan sebelum ini, Ranger 130 Max ini boleh dikatakan cuma berkongsi konsep sama, sementara motosikal itu sendiri menerima pelbagai peningkatan termasuk pada badan dan juga enjinnya.

    Spesifikasi penuh Ranger 130 Max masih belum didedahkan tetapi ia akan dipacu oleh enjin satu silinder 130 cc suntikan bahan api, bersama transmisi lima gear tanpa tuil klac tangan. Enjin ini boleh dihidupkan dengan butang elektrik ataupun penendang kaki.

    Seperti yang boleh anda lihat di dalam gambar, tiga Ranger Max 130 yang dibawa untuk pameran menggunakan pelbagai aksesori seperti kotak barangan, beg tepi atau hadapan, rak barangan, tong bahan api tambahan serta pelindung enjin. Walaupun begitu, Aveta Malaysia memberitahu, mereka masih belum membuat keputusan barangan apa yang akan diberi sebagai pakej bersama motosikal yang akan dijual pada harga sekitar RM6-7k.

    Dalam keadaan standard, Ranger Max 130 datang dengan tetapan brek cakera di hadapan dan dram di belakang, rim 18 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak dengan tabung gas di belakang, lampu hadapan LED serta meter digital berwarna.

     
     
  • Tindakan tetap diambil terhadap pemegang lesen 10 tahun yang lakukan kesalahan trafik – Menteri MOT

    Tindakan tetap diambil terhadap pemegang lesen 10 tahun yang lakukan kesalahan trafik – Menteri MOT

    Walaupun anda memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun, tindakan penguatkuasaan tetap akan diambil sekiranya melakukan sebarang kesalahan trafik.

    Itulah yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai sistem yang mampu mengesan pesalah dan tindakan seperti penggantungan lesen atau menarik lesen bagi kesalahan tertentu tetap dilakukan, laporan Bernama.

    “Walaupun ada pihak mendakwa dengan cara ini orang tidak bayar saman dan sebagainya, kami ada cara lain iaitu digital. Kalau mereka ada kesalahan seperti kes kemalangan, hukuman gantung lesen mereka tetap dilakukan, bukan bermaksud pemegang lesen itu sudah bayar (lesen) tidak akan digantung,” katanya.

    Berkenaan dengan dasar baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu membenarkan pemegang lesen memandu bagi semua kategori mendapat diskaun 10% sekiranya memperbaharui tempoh 10 tahun, beliau berkata, “Cuma bayar RM270 berbanding RM300. Itu adalah dasar baharu yang kami perkenalkan untuk memudahkan orang ramai. Saya banyak mendapat maklum balas dan permintaan daripada orang ramai tempoh untuk memperbaharui lesen memandu dipanjangkan.”

     
     
  • Proton akan lancar satu model NEV baharu setiap tahun, latih 5,000 bakat tempatan bersama Geely

    Proton akan lancar satu model NEV baharu setiap tahun, latih 5,000 bakat tempatan bersama Geely

    Ketika pelancaran Proton X90 semalam, pengerusi Geely Holding Group, Li Shufu mendedahkan Proton bakal melancarkan sekurang-kurangnya satu model kenderaan tenaga baharu (NEV) setiap tahun dengan bantuan pemindahan teknologi dari Geely.

    Menurutnya, kerjasama yang akan diberikan kepada Proton ini bakal memastikan jenama automotif Malaysia itu memenuhi kehendak pasaran automotif akan datang yang mahukan kenderaan yang lebih cekap penggunaan bahan api serta polisi kerajaan yang mahu mengurangkan pencemaran karbon dalam negara.

    Proton X90 merupakan NEV pertama yang dilancarkan oleh Proton. SUV dengan tiga baris tempat duduk berkenaan dijana dengan sistem elektrifikasi hibrid ringkas (MHEV) 48-Volt menggabungkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus (TGDi) dan juga unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG).

    Proton akan lancar satu model NEV baharu setiap tahun, latih 5,000 bakat tempatan bersama Geely

    Dengan sistem hibrid ringkas tersebut, X90 dapat menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, berbanding X50 Flagship dan X70 1.5T yang menggunakan enjin sama menghasilkan hanya 177 PS/255 Nm, serta didakwa mencapai penggunaan bahan api 15% lebih jimat.

    Terma NEV ini juga tidak terhad pada satu jenis sistem hibrid ini sahaja. Ia merangkumi pelbagai lagi teknologi lain seperti sistem hibrid penuh, hibrid plug-in (PHEV), elektrik penuh (EV), sel bahan api hidrogen (FCEV) dan sebagainya.

    Li Shufu turut menyatakan dengan pemindahan teknologi NEV dari Geely kepada Proton ini, ia akan turut seiring untuk melatih sekitar 5,000 bakat tempatan yang berkaitan dengan teknologi berkenaan dalam masa lima-tahun akan datang. Rancangan tersebut akan menggunakan sepenuhnya fasiliti Proton di Tanjong Malim, Perak di mana satu jaringan dan sistem ekologi lengkap untuk NEV tempatan akan diwujudkan di sana.

    Dalam perkembangan sama, sebelum ini Proton telahpun mengumumkan halatujunya dalam teknologi NEV ini. Selain dari MHEV, model-model dengan unit rangkaian kuasa PHEV dan juga EV sememangnya sudah ada dalam rancangan tersebut, namun garis masanya pengenalannya masih belum didedahkan.

    Proton akan lancar satu model NEV baharu setiap tahun, latih 5,000 bakat tempatan bersama Geely

    Proton sebelum ini sudahpun memeterai perjanjian dengan satu lagi jenama di bawah Geely Holding iaitu smart untuk menjadi pengedar EV jenama tersebut di Malaysia dan Thailand yang akan bermula tahun ini menerusi anak syarikatnya, Proton New Energy Technology (Pro-Net).

    Ini adalah antara sebahagian persediaan Proton bagi menghasilkan EV dengan jenamanya sendiri, dengan belajar untuk memasarkan EV dan menyediankan servis selepas jualan, serta menyediakan jaringan pengecas EVnya sendiri kelak. Buat masa sekarang Proton telahpun menghantar kumpulan pertama kakitangannya ke Hangzhou, China pada Disember lalu.

    Kesemua mereka ditempatkan di Institut Penyelidikan Geely di Ningbo bagi dilatih dalam pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan, penyepaduan, pembuatan, dan jualan serta perkhidmatan untuk kenderaan generasi baharu termasuk EV yang bakal diperkenalkan secara beransur-ansur oleh Proton selepas ini.

    Proton akan lancar satu model NEV baharu setiap tahun, latih 5,000 bakat tempatan bersama Geely

    Sasaran awal Proton adalah untuk melancarkan model EV pertamanya pada 2027, dengan sela masa berkenaan diambil bagi membolehkan ia menghasilkan sebuah model EV dengan teknologi yang paling boleh diterima, mudah diselenggara, dan mampu dimiliki oleh penggunanya. Namun dengan gesaan kerajaan, baru-baru ini Proton mengumumkan bahawa rancangan ini akan dipercepatkan menjelang 2025.

    Walau bagaimanapun, masih tiada petunjuk model NEV kedua yang akan dilancarkan oleh Proton tahun hadapan. Untuk tahun ini, selain X90, Proton dijangka akan melancarkan satu lagi model serba baharu menjelang akhir tahun iaitu sedan segmen-C pengganti Proton Preve.

    Model yang dikhabarkan akan digelar sebagai Proton S50 berkenaan akan diasaskan dari Geely Emgrand, namun Proton akan menghasilkan versi lebih berkuasa dengan dijana oleh enjin 1.5 liter turbo dipadankan dengan kotak gear 7DCT, berbanding model pasaran China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA digandingkan bersama kotak gear CVT.

     
     
  • UMW Toyota jual 6,767 unit bagi April, YTD naik 9%

    UMW Toyota jual 6,767 unit bagi April, YTD naik 9%

    Sepanjang April 2023, UMW Toyota Motor telah menjual sebanyak 6,681 unit kenderaan Toyota dan 86 unit kenderaan Lexus di Malaysia. Ini mewakili penurunan 3% berbanding tempoh sama tahun lalu. Bagaimanapun jualan semasa tahunannya adalah 9% lebih tinggi; syarikat itu juga yakin sedang berada dalam landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertengahan tahun, walaupun tempoh operasi lebih pendek sepanjang April kerana Hari Raya Aidilfitri.

    “Kami kekal yakin dengan kemampunan untuk mencapai pertumbuhan kukuh tahun ini. Kami juga telah menerima maklum balas meyakinkan terhadap model yang baru dilancarkan pada suku pertama 2023, terutamanya Toyota Vios serba baru, dan kami jangkakan ini akan menyumbang kepada pertumbuhan sepanjang tahun,” ujar Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    Vios serba baru merupakan model terkini Toyota di Malaysia, dan UMWT menegaskan bahawa kualiti dan keselamatannya terjamin dan tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan.

    “Kami ingin menegaskan bahawa Toyota Vios serba baru mematuhi semua peraturan keselamatan dan tiada sebarang kompromi terhadap kualitinya. Keselamatan pelanggan dan kenderaan kami sentiasa menjadi keutamaan,” jelas Ravindran, merujuk kepada kes salah laku Daihatsu dalam ujian keselamatan.

    Dalam perkembangan lain, komitmen syarikat terhadap GR dan perlumbaan juga diteruskan, dengan Toyota Gazoo Racing Festival kini memasuki Musim 6. Perlumbaan 2 bagi Vios Challenge akan berlangsung pada hujung minggu pertama Jun. Untuk e-sukan, Toyota Gazoo Racing GT Cup kini memasuki tahun ke-enam. Menjelang kejuarannya bagi tahun 2023, UMWT akan memperkenalkan GR GT Cup Campus Tour untuk pelajar pula.

     
     
  • Proton sambut ulang tahun ke-40 pada 7 Mei — model lama iringi pengenalan X90, ada model edisi khas?

    Proton sambut ulang tahun ke-40 pada 7 Mei — model lama iringi pengenalan X90, ada model edisi khas?

    Ada sebab kenapa pelancaran Proton X90 diadakan semalam, Ahad, 7 Mei — kerana pada tarikh itulah Proton menjangkau usia 40 tahun sebagai sebuah syarikat automotif negara. Perusahaan Otomobil Nasional ditubuhkan pada 7 Mei 1983, dan pada 9 Julai 1985 pula Proton Saga dilancarkan.

    Model dari era tersebut menjadi antara yang dipamerkan ketika pelancaran X90, disertai oleh beberapa lagi model seperti Waja, Persona dan Perdana. Tidak lupa model kegemaran ramai, Satria GTi yang turut membuat penampilannya, disamping model generasi terbaru Proton seperti X50 dan X70.

    Ini tentulah hanya sebahagian saja daripada barisan lengkap model Proton yang pernah dikeluarkan. Senarai penuhnya mungkin kelihatan seperti ini: Saga (3 generasi), Wira, Satria (2 generasi), Putra, Arena, Perdana (2 generasi), Tiara, Juara, Waja, Chancellor, Gen 2, Persona (2 generasi), Savvy, Exora, Iriz, Preve, Suprima S, Inspira, Ertiga, X70, X50 dan yang terbaru, X90.

    Senarai model berkenaan juga mewakili era yang berbeza, mengikut usaha sama dengan pengeluar lain yang pernah dijalinkan oleh Proton. Jika ada yang sudah terlupa, ini senarai jenama yang dimaksudkan — Mitsubishi, Renault, Citroen, Suzuki dan bahkan Honda. Bagi model dari keluarga X yang terkini pula, seperti kita semua tahun, Proton menjalinkan kerjasama strategik dengan Geely.

    “Sambutan ulang tahun ke-40 merupakan penanda aras penting untuk Proton dan adalah peluang untuk belajar daripada perjalanan itu untuk ke hadapan. Selepas empat dekad, sumbangan Proton boleh dinilai tidak hanya daripada jumlah jualannya, tetapi juga jumlah jurutera dan profesional tempatan yang dilahirkan, peluang kerja yang disediakan untuk ekosistem tempatan dalam bentuk pembelian setempat, dan sumbangan terhadap ekonomi lainnya yang menerima manfaat daripada aktiviti perniagaannya,” jelas Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal.

    “Bergerak ke hadapan, misi kami adalah untuk menyediakan penyelesaian mobiliti kepada pelanggan dan dalam masa yang sama membantu membangunkan industri automotif negara. Kami akan meneroka segmen baru yang selari dengan aspirasi kerajaan dan perubahan permintaan pelanggan yang lebih ke arah kenderaan tenaga baru (NEV) kini. Proton X90 adalah langkah pertama kami ke arah itu, dan akan ada banyak lagi produk dalam perancangan untuk Proton berkembang dan memperkukuh kedudukannya dalam pasaran,” tambahnya.

    Ketika acara itu, Proton turut memperkenalkan logo ulangtahun ke-40 itu, yang menggabungkan logo harimau dengan slogan “40 tahun tumbuh bersama”. Setakat ini, Proton telah mengeluarkan hampir lima juta kenderaan, dengan sumbangan kepada cukai terhadap kerajaan Malaysia bernilai RM25 bilion.

    Adakah kita boleh jangka akan ada model edisi khas sempena 40 Tahun ini daripada Proton?

     
     
  • Honda Brio facelift 2023 muncul di Indonesia – RM50k-RM74k, masih 2-beg udara & tiada VSA, 1.2L i-VTEC

    Honda Brio facelift 2023 muncul di Indonesia – RM50k-RM74k, masih 2-beg udara & tiada VSA, 1.2L i-VTEC

    Selepas muncul buat pertama kali di Indonesia pada 2018, kini model generasi kedua Honda Brio diperkenalkan pula dalam versi facelift, dan ia turut membuat kemunculan sulung globalnya di republik berkenaan. Brio facelift 2023 ini diberikan beberapa penggayaan baharu dan juga tingkat taraf kecil pada perinciannya.

    Lima varian Brio facelift ditawarkan di Indonesia bermula dari varian paling asas Brio Satya S MT berharga Rp 165,900,000 (RM50k), varian pertengahan Brio Satya E MT berharga Rp 180,600,000 (RM55k) dan Brio Satya E CVT berharga Rp 191,900,000 (RM58k), serta versi paling sporty Brio RS MT berharga Rp 233,900,000 (RM71k) dan Brio RS CVT berharga Rp 243,900,000 (RM74k).

    Pada bahagian luaran, penyegaran yang dibuat melibatkan pemadanan lampu hadapan baharu menampilkan, jalur krom pada bahagian atas gril hadapan yang nampak seperti menghubungkan lampu nyalaan siang yang dialih dari bahagian bawah ke bahagian ‘kening’.

    Gril berkenaan kini turut bersaiz lebih besar dengan bahagian bawah yang dilabuhkan – model-model Satya menerima elemen gril sarang lebah, manakala model RS datang dengan elemen pin hitam berkilat. Jadi gril bawah kini lebih kecil dan bersambung dengan liang udara sisi/perumah lampu kabus yang direka seperti sayap.

    Tiada perubahan besar dilihat pada profil sisi. Begitu juga di belakang di mana ia masih nampak sama dengan model sebelum ini, kecuali pada lampu yang kini sedikit digelapkan serta bahagian kemasan diffuser bawah bampar diberikan rekaan berbeza untuk varian RS.

    Untuk pecahan perincian bahagian luaran mengikut varian, model asas Brio Satya S diberikan lampu hadapan halogen dengan rim besi 14-inci. Varian Brio Satya E pula diberi penambahan lampu hadapan halogen dengan lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin belakang dan juga rim aloi 14-inci kemasan dua tona.

    Honda Brio facelift 2023 muncul di Indonesia – RM50k-RM74k, masih 2-beg udara & tiada VSA, 1.2L i-VTEC

    Manakala bagi Brio RS, ia diberikan lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED, cermin sisi lipatan elektrik dalam kemasan hitam berkilat bersama lampu isyarat membelok, rim aloi 15-inci dalam kemasan hitam berkilat, serta emblem RS pada gril dan pintu hatch belakang.

    Dalam kabin, sebahagian besar rupa Brio sebelumnya terus dibawa ke versi facelift ini termasuk rekaan papan pemuka, roda stereng dan lain-lain. Perubahan-perubahan kecil yang boleh dilihat adalah corak rekaan pada panel-panel kemasan dan tempat duduk.

    Brio Satya S diberikan kelengkapan standard seperti pemain audio 2DIN dengan hubungan Bluetooh dan AUX, dua-pembesar suara, sistem pendingin hawa manual dengan suis kawalan digital, serta tempat duduk hadapan dengan perehat kepala yang tidak boleh dilaras.

    Tingkap kuasa juga adalah perincian standard, dan buat pertama kali bahagian pemandu menerima sistem turun/naik auto dengan fungsi keselamatan anti-pinch. Brio Satya E pula menerima tambahan butang audio pada roda stereng dan juga sistem penggera bersama fungsi kunci automatik berdasarkan kelajuan.

    Manakala pada Brio RS, ia hadir dengan skrin LCD paparan pelbagai informasi pada papan meter, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci, sokongan Android Auto dan Apple Carplay (untuk model CVT sahaja), tambahan tweeter untuk pembesar suara, tempat duduk hadapan dengan perehat kepala boleh dilaras, serta serlahan-serlahan merah.

    Buat pertama kali juga Brio menerima sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin menerusi varian Brio RS pada model facelift 2023 ini.

    Tiada perubahan pada aspek mekanikal di mana Brio masih dijana oleh enjin paling berkuasa dalam kelasnya iaitu unit 1.2 liter i-VTEC yang menghasilkan 90 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 110 Nm pada takat 4,800 rpm. Kuasa disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear sama ada CVT automatik atau manual lima-kelajuan.

    Seperti yang anda boleh lihat pada pilihan varian, Brio Satya S hanya datang dengan pilihan transmisi manual, manakala varian pertengahan Satya E dan versi paling sporty Brio RS boleh dipilih dalam versi CVT dan manual.

    Bagi perincian keselamatan pula, semua varian Brio facelift 2023 ini dilengkapi sistem brek ABS dan EBD serta hanya dua beg udara. Tiada sebarang sistem ADAS ditawarkan, malah semua varian masih tidak disertakan dengan sistem kestabilan elektronik.

    Honda Brio facelift 2023 muncul di Indonesia – RM50k-RM74k, masih 2-beg udara & tiada VSA, 1.2L i-VTEC

    PT Honda Prospect Motor menawarkan dua pilihan warna badan baharu iaitu Stellar Diamond Pearl untuk Brio RS dan Meteoroid Gray Metallic untuk semua varian. Pilihan warna badan lain yang turut ditawarkan termasuk Phoenix Orange Pearl dengan pilihan tema dua tona (hanya untuk RS dengan tambahan Rp 2.500.000), Crystal Black Pearl, serta dua warna khas hanya untuk Brio Satya iaitu Rallye Red dan Taffeta White.

    Brio merupakan ‘Mobil Sejuta Umat’ bagi Honda untuk pasaran Indonesia buat masa sekarang. Ia mencatatkan rekod sebagai model paling laris di negara berkenaan untuk tahun 2020, 2022 dan juga suku pertama 2023. Secara keseluruhan, lebih 500,000 unit Brio telah terjual di Indonesia sejak model generasi pertama diperkenalkan pada 2012.

    Hatchback segmen-A Honda yang diproduksi di Indonesia ini juga telah dieksport keluar sebanyak lebih dari 25,000 unit sejak 2019 ke pelbagai pasaran lain. Walau bagaimanapun, Brio tidak pernah dilihat berpotensi untuk di bawa masuk ke sini oleh Honda Malaysia.

    Namun melihat kepada kelengkapan yang diberikan serta harga yang ditawarkan, adakah anda rasa Brio mampu menggugat ‘Raja’ hatchback segmen-A di Malaysia iaitu Perodua Axia sekiranya ia dibawa ke sini?

     
     
  • Yamaha Y16ZR Doxou dilancar di Malaysia – terhad 5,000 unit, penampilan lebih menyerlah, harga RM11.8k

    Yamaha Y16ZR Doxou dilancar di Malaysia – terhad 5,000 unit, penampilan lebih menyerlah, harga RM11.8k

    Satu lagi model edisi Doxou untuk Y16ZR dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor, dengan ia diberitahu datang dalam jumlah terhad 5,000 unit sahaja, dan dijual pada harga RM11,818 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Sementara Y16ZR Doxou yang dilancarkan pada 2021 mempunyai penampilan lebih gelap dan rim warna berbeza, model yang baru ini pula menggunakan panel badan warna ungu berkilat yang lebih menyerlah, serta rim warna cyan hadapan dan belakang.

    Selain dapat menikmati penampilan yang lebih unik, pembeli Y16ZR Doxou juga akan menerima aksesori tambahan yang dipanggil sebagai Y16ZR Sports Fender, lencana khas Y16ZR dengan cetakan nombor keluaran serta sijil tanda terima kasih atas pembeliannya.

    Bahagian mekanikal motosikal ini sama sahaja seperti Y16ZR biasa, termasuk enjin di mana ia digerakkan oleh unit satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan VVA, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Kelengkapan lain pada Y16ZR adalah termasuk sistem kunci pintar, butang kill switch, lampu memotong (pass light), meter digital LCD, brek cakera hadapan dan belakang (angkup dua piston pada roda hadapan), tangki bahan api 5.4 liter, tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang serta soket pengecas 12V.

     
     
  • Sebanyak 1.3 juta saman trafik sudah dijelaskan menerusi Kadar khas Saman RM50 setakat ini – JSPT

    Sebanyak 1.3 juta saman trafik sudah dijelaskan menerusi Kadar khas Saman RM50 setakat ini – JSPT

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengesahkan sebanyak 1.3 juta saman trafik sudah dijelaskan oleh pengguna jalan raya setakat ini menerusi kadar khas bayaran saman yang bermula pada 21 April sehingga 21 Mei 2023.

    “Sasaran JSPT adalah bagi memastikan orang ramai mengambil peluang ini kerana kebanyakan saman yang tertunggak pada tahun 2022 dan sebelumnya layak diberikan kadar khas. Kadar khas ini akan berakhir pada 21 Mei ini.

    “Orang ramai boleh membuat pembayaran saman trafik menerusi beberapa platform dalam talian, aplikasi myBayar PDRM, semua kaunter trafik JSPT dan Pejabat Pos,” kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim seperti yang dilaporkan Harian Metro.

    Sebanyak 1.3 juta saman trafik sudah dijelaskan menerusi Kadar khas Saman RM50 setakat ini – JSPT

    “Selain itu, penyelesaian saman juga boleh dibuat menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank. Potongan hampir 85 hingga 86% itu untuk menzahirkan hasrat kerajaan menyumbang dari segi memberi kemudahan kepada rakyat dengan mengurangkan bebanan dihadapi masyarakat,” katanya.

    Pada 18 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan kadar khas bayaran saman RM50 mulai 21 April 2023 selama sebulan. Ia adalah bagi semua saman trafik PDRM yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan sebelumnya.

     
     
  • Susur keluar Nilai Impian di KM1.3 dari Lebuhraya PLUS ditutup sementara 9 Mei untuk kerja baiki jalan

    Susur keluar Nilai Impian di KM1.3 dari Lebuhraya PLUS ditutup sementara 9 Mei untuk kerja baiki jalan

    Ini ada makluman buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang menggunakan susur keluar Nilai Impian dari lebuhraya berkenaan. Difahamkan bahawa susur berkenaan di Plaza Tol Nilai iaitu di KM1.3 akan ditutup seharian esok, 9 Mei 2023 bagi kerja-kerja pembaikan jalan selepas pemasangan paip air di bulatan Nilai Impian berdekatan dengan Sales Gallery Sime Darby Nilai.

    Sepanjang tempoh tersebut, pengguna jalan raya perlu menggunakan susur keluar Nilai Impian kedua untuk memasuki Nilai Impian. Selain itu, di kawasan bulatan Nilai, aliran trafik akan dikawal oleh pegawai trafik untuk membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan terbabit.

    Pengguna dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan ketika melalui kawasan kerja terbabit.

    Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VKW dan PQV dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Kuala Lumpur, VKW, telah pun dibuka bidaan sejak 5 Mei lalu dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 9 Mei. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 10 Mei 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang pula, PQV, bidaannya bakal dibuka bermula 19 Mei 2023 selama tujuh hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 23 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 24 Mei ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V mild-hybrid, 6&7-tempat duduk

    Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V <em>mild-hybrid</em>, 6&7-tempat duduk

    Setelah beberapa siri pra-tonton dibuat sebelum ini, hari ini secara rasmi Proton X90 telah pun dilancarkan ke pasaran tempatan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Seperti yang diumum sebelum ini, X90 ditawarkan dalam empat varian berbeza, dan hari ini harganya diumumkan – dijual bermula RM123,800 untuk varian 1.5 TGDi BSG Standard, RM130,800 untuk BSG Executive, RM144,800 BSG Premium dan RM152,800 untuk varian tertinggi BSG Flagship.

    Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian dilindungi waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Bateri lithium-ion untuk sistem hibrid 48V pada model ini juga menerima perlindungan waranti selama lima-tahun.

    Selain itu, semua pembeli Proton X90 ini juga menerima pakej data 1GB sebulan selama lima-tahun dan kos buruh untuk servis sebanyak enam-kali secara percuma. Dan khas untuk 4,000 pelanggan terawal pula akan menerima pakej data 4GB sebulan selama lima-tahun, jam tangan pintar Proton X-Watch bernilai RM1,499, pakej aksesori bernilai RM799 dan pakej insuran tingkat taraf – kesemuanya secara percuma.

    Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V <em>mild-hybrid</em>, 6&7-tempat duduk

    Proton X90 merupakan SUV yang lebih besar berbanding X70, menampilkan tiga baris tempat duduk. Varian Standard hingga Premium datang dengan tujuh-tempat duduk, manakala varian Flagship pula hadir dengan konfigurasi enam-tempat duduk yang lebih mewah.

    Kesemua varian X90 ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV), menjadikan ia model pertama Proton yang menerima sistem hibrid. Unit rangkaian kuasa tersebut tidak ditawarkan pada asas X90 pasaran China iaitu Geely Haoyue yang digerakkan oleh enjin petrol 1.8 liter T-GDi, namun ia adalah sistem yang sama dibekalkan pada kembarnya pada pasaran Filipina iaitu Geely Okavango.

    Sistem berkenaan menggabungkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (sama dengan enjin X50 dan X70, kini turut telah dipasang oleh Proton di Tanjong Malim) dan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

    Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V <em>mild-hybrid</em>, 6&7-tempat duduk

    Enjin 1.5 liter T-GDI untuk unit rangkaian kuasa hibrid ini masih sama dengan enjin yang dipadankan pada Proton X50 Flagship dan juga varian-varian 1.5T Proton X70, menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala unit BSG bagi sistem hibrid ringkas ini pula memberikan tambahan kuasa dan tujahan tork segera 13 hp/45 Nm apabila diperlukan.

    Tidak seperti sistem hibrid konvensional di mana motor elektrik biasanya terletak antara enjin dan kotak gear, unit BSG ini yang dihubungkan ke aci engkol enjin menerusi tali sawat.

    BSG ini berfungsi bukan sahaja untuk menggantikan motor penghidup enjin, malah ia juga mampu mengecas semula bateri lithium-ion sistem hibrid 48-volt tersebut secara pemulihan tenaga brek, dan kemudian turut dapat memberikan bantuan kuasa dan tork segera tambahan kepada enjin pembakaran dalaman konvensional.

    Proton X90 2023 dilancarkan — harga dari RM124k-RM153k, 1.5T-GDi 48V <em>mild-hybrid</em>, 6&7-tempat duduk

    Sistem hibrid ringkas 48V ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia turut boleh ditemui pada model-model keluaran Mercedes-Benz. Proton menyatakan bahawa dengan sistem MHEV 48V ini ia bukan sahaja membekalkan kuasa elektifikasi tambahan, malah memberikan pemanduan lebih lancar serta penggunaan bahan api 15% lebih baik.

    Berbanding Geely Houyue yang hanya menerima suspensi jenis Torsion Beam yang ringkas di belakang, Proton X90 pula diberikan sistem gantungan bebas jenis multilink yang lebih jitu dan memberikan pemanduan lebih baik. Ini merupakan konfigurasi yang sama seperti Okavango, tetapi suspensi pada X90 ini ditala semula bagi disesuaikan untuk jalan raya di Malaysia menggunakan kepakaran Proton yang memang sudah dikenali dengan DNA Ride and Handling yang baik.

    Dari segi rekaan, Proton X90 kini tidak lagi menggunakan rekaan gril Infinite Weave seperti model-model baharu Proton yang lain, tetapi digantikan dengan rekaan seakan batu permata atau pin krom seperti rekaan gril Mercedes-Benz.

    Menurut Ketua Pereka Proton Azlan Othman, rekaan pin krom baharu ini sebenarnya diinspirasikan dari corak rekaan pada kain songket Malaysia. Bukan itu sahaja, rekaan busur panah juga masih digunakan pada X90 ini sebagai kemasan berwarna perak yang terletak di bahagian bawah gril berkenaan.

    Gril tersebut diapit oleh sepasang lampu hadapan LED yang juga menerima rekaan berbeza dari kembarnya di China dan Filipina iaitu Geely Haoyue/Okavango. Lampu X90 ini menampilkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang berbentuk-L yang diletakkan pada posisi lebih rendah berbanding jalur LED pada lampu Haoyue.

    Ini membolehkan kluster lampu berkenaan menerima empat unit LED yang disusun secara menegak yang agak sama seperti Honda CR-V. X90 ini juga menerima lampu isyarat membelok LED dengan corak pencahayaan jenis sequential.

    Untuk saiz, X90 ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,835 mm dan lebar 1,900 mm serta jarak roda sejauh 2,815 mm. Jika dibandingkan dengan X70, X90 adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar dan jarak roda 145 mm lebih jauh. Jadi X90 akan berhadapan terus dengan model-model SUV tiga baris tempat duduk yang lain seperti Mazda CX-8 dan juga Hyundai Santa Fe.

    Pada bahagian dalaman pula, X90 menerima bahagian dalaman termasuk papan pemuka yang seiras dengan Haoyue dan Geely Okavango tetapi dalam versi pemandu sebelah kanan. Menurut Proton, X90 menerima bahagian kabin yang direka praktikal untuk digunakan serta kemasan-kemasan yang diperbuat dari material lembut dan anjal.

    Antara tumpuan rekaan pada bahagian dalaman X90 ini adalah penggunaan fungsi-fungsi terhubung. Oleh itu ia diberikan skrin infotaimen berdiri sendiri yang sangat besar bersaiz 12.3-inci pada bahagian tengah, manakala pemandu pula menerima paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10-inci.

    Bagi skrin sistem infotainmen, ia menampilkan pemproses EO2, ram 6 GB dengan memori dalaman 64 GB serta resolusi paparan 1920 x720 piksel. Namun ia masih tidak menampilkan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, sebaliknya ia menggunakan ATLAS OS yang dibangunkan oleh ACO Tech.

    Konsol terowong juga dilihat sama seperti Haoyue/Okavango, hadir dengan tombol gear segi empat, butang pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold, serta butang-butang untuk sistem bantuan turun bukit dan penderia parkir hadapan.

    Untuk ruang kargo pula, kapasiti seluas 257 liter tersedia di but belakang dengan tempat duduk baris ketiga digunakan. Ia juga masih dibekalkan dengan tayar gantian, tetapi dalam versi space saver yang lebih kecil.

    Bagi pecahan kelengkapan mengikut varian, X90 Standard menerima perincian seperti lampu hadapan LED penuh, rim aloi 18-inci, upholsteri dalaman fabrik, skrin infotainmen bersaiz 12.3-inci dan juga kamera undur.

    Model Executive pula menerima tambahan dan tingkat taraf perincian termasuk pemadanan sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS), pintu tailgate bantuan kuasa, upholsteri kulit sintetik leatherette, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, liang untuk kedua-dua tempat duduk hadapan dan juga kamera 360 darjah bersama paparan 3D.

    Untuk model Premium, perinciannya dipertingkat dengan penawaran sistem ADAS, rim aloi 19-inci, upholsteri kulit Nappa, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hala, pengecas tanpa wayar, dan sistem bantuan parkir automatik.

    Untuk sistem ADAS yang diberikan termasuk Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang serta Informasi Tanda Trafik yang boleh membaca tanda-tanda trafik di jalan raya – Proton menyatakan bahawa X90 merupakan model pertamanya yang diberikan perincian tersebut.

    Manakala varian tertinggi Flagship pula merupakan satu-satunya model yang datang dengan bumbung suria, selain suis ‘bos’ pada tempat duduk penumpang hadapan serta tempat duduk kapten di baris kedua. Konfigurasi tempat duduk kapten pada baris kedua ini hanya ditawarkan pada X90, dan ia tidak ada pada Geely Haoyue dan Okavango.

    Enam warna badan ditawarkan untuk X90 ini di mana lima daripadanya iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown dan Ruby Red adalah sama dengan model-model Proton yang lain, manakala warna Marine Blue adalah pilihan baharu dan ia hanya untuk varian Premium dan Flagship.

    Sebelum dilancarkan, kami sudahpun diberi peluang untuk memandu uji SUV ini dalam satu sesi ringkas, di mana laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI. Untuk mengetahui lebih mendalam berkenan Proton X90 ini pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Proton X90 1.5L Flagship 2023

    Proton X90 1.5L Premium 2023

    Proton X90 1.5L Executive 2023

    Proton X90 1.5L Standard 2023

    Pilihan warna Proton X90 2023

     
     
  • Stesen BHPetrol Bandar Baharu Salak Tinggi dilancarkan – anak-anak yatim dari JHEV turut diraikan

    Stesen BHPetrol Bandar Baharu Salak Tinggi dilancarkan – anak-anak yatim dari JHEV turut diraikan

    BHPetrol telah melancarkan stesen minyak terbaharunya yang terletak di Bandar Baharu Salak Tinggi, Sepang, Selangor, pagi tadi. Ini merupakan stesen minyak BHPetrol yang ke-74 di Selangor dan baru sahaja beroperasi sejak 12 Januari lalu.

    Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Ir. Azizul Azily Ahmad selaku CEO BHPetrol.

    Dalam majlis yang sama, turut diadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri, dan BHPetrol turut mengundang anak-anak yatim dari Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) untuk memberi sumbangan kepada mereka. Majlis turut diserikan dengan persembahan khas dari artis terkenal, Aliff Satar dan juga band ATM sendiri.

    “Saya ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada pengusaha stesen ini, iaitu Mohamed Asri Bin Jaafar dan Muhammad Akmal Bin Mohamed Asri atas pembukaan stesen baru dan saya mendoakan agar perniagaan ini dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat. Saya juga berharap stesen ini boleh dikendalikan dengan baik dan mencapai objektif pembukaannya,” kata Ir. Azizul dalam majlis pelancaran ini.

    “Seperti yang kita tahu, BHPetrol ialah sebuah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera Darat (LTAT). Selama penubuhan BHPetrol, kami banyak bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) bagi membantu dalam memastikan kebajikan veteran ATM ini terjaga. Oleh itu, setiap tahun, kita mempunyai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dikenali sebagai Di Celah-Celah Kehidupan ataupun DCCK. Di mana kami menjejaki para veteran askar yang tidak berpencen tetapi masih gigih mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.

    “Seperti hari ini, kami tidak lupa menjemput anak-anak yatim daripada JHEV untuk bersama meraikan Hari Raya. Kami memandang serius tentang kelangsungan hidup para veteran memandangkan jasa yang telah ditabur kepada negara satu masa dahulu semasa dalam perkhidmatan mereka. Ia juga menjadi salah satu Agenda Kerajaan untuk membantu warga tentera sama ada yang masih dalam perkhidmatan atau sudah bersara bagi memastikan nasib mereka terbela,” tambahnya lagi.

    Stesen BHPetrol Bandar Baharu Salak Tinggi dilancarkan – anak-anak yatim dari JHEV turut diraikan

    Dalam ucapan perasmian majlis ini, Datuk Azman pula berkata, “Perasmian stesen minyak BHPetrol hari ini merupakan lonjakan yang baik buat BHPetrol bagi memperluas jenama ini kepada komuniti pengguna khususnya di kawasan persekitaran Salak Tinggi ini. BHPetrol sememangnya satu jenama yang mempunyai sumbangan besar kepada negara bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi negara daripada sektor minyak dan gas, malah mempunyai sumbangan besar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Saya berasa bangga kerana sumbangan kebajikan kepada persara dan veteran ATM juga turut menjadi keutamaan oleh BHPetrol melalui program tanggung jawab sosial korporat (CSR) mereka seperti program Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK) yang baru sahaja selesai ditayangkan pada bulan Ramadan yang lalu di TV1. Program ini telah dilaksanakan sejak tahun 2011 dan tahun ini masuk tahun ke-13 pelaksanaannya. Syabas diucapkan!”

     
     
  • Suzuki V-Strom 1050DE tiba di Malaysia – RM88,800

    Suzuki V-Strom 1050DE tiba di Malaysia – RM88,800

    Suzuki Malaysia turut melancarkan sebuah model baru untuk pasaran Malaysia iaitu V-Strom 1050DE. Motosikal adventure/touring ini dijual pada harga RM88,800 tidak termasuk insurans, dan ditawarkan dalam dua warna iaitu Champion Yellow/Metallic Mat Sword Silver dan Glass Sparkle Black/Metallic Mat Black.

    Dipacu oleh enjin v-twin DOHC 1,037 cc bersama transmisi enam kelajuan, V-Strom 1050DE mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 105.5 hp dan tork 100 Nm pada 6,000 rpm. Untuk memadankan kuasa dengan cara tunggangan dan kawasan, penunggang boleh memilih tiga mod berbeza yang mengubah maklum balas pendikit serta penyampaian kuasa.

    Sebagai sebuah model yang lebih memberikan fokus kepada tunggangan lasak berbanding V-Strom 1050 biasa, model DE ini diberikan beberapa naik taraf termasuk rim jejari hadapan 21 inci yang menggunakan tiub (belakang masih 17 inci) bersama tayar Dunlop Trailmax Mixtour serta mod kawalan cengkaman Gravel sebagai tambahan kepada tiga mod sedia ada.

    Kedudukan motosikal ini juga lebih tinggi, dengan jarak dari tanah 190 mm (model biasa 165 mm), hasil daripada penggunaan suspensi lebih tinggi yang terdiri daripada fork Kayaba 43 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan, dan monoshock Kayaba dengan tombol larasan pra beban di belakang.

    V-Strom 1050DE juga datang dengan pelbagai sistem elektronik, yang termasuk dalam pakej Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.), seperti Suzuki Traction Control System (STCS), Motion Track Brake System, Cruise Control System, Hill Hold Control System, Load Dependent Control System, Slope Dependent Control System, Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist.

    Quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear diberikan secara standard pada V-Strom 1050DE, dan ia juga dilengkapi dengan besi pemegang yang lebih tebal, penghadang angin hadapan boleh laras smoked yang lebih pendek serta mod untuk menutup fungsi ABS pada roda belakang.

    Suzuki V-Strom 1050DE tiba di Malaysia – RM88,800

    Istimewa untuk negara kita, Suzuki Malaysia telah memilih spesifikasi tempat duduk yang lebih rendah untuk 1050DE, iaitu unit 850 mm (kurang 30 mm berbanding tempat duduk 1050DE pasaran luar). Tangki bahan api berkapasiti 20 liter.

    Dengan harga yang diberitahu tadi, V-Strom 1050DE tidak datang dengan aksesori lain seperti beg barangan, pemanas tangan dan lampu kabus, di mana ia dijual secara berasingan bersama pelbagai lagi barangan lain.

     
     
  • WMoto Gemma 125 masuk pasaran Malaysia – RM7k

    WMoto Gemma 125 masuk pasaran Malaysia – RM7k

    Sebuah lagi motosikal di bawah MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang dilancarkan sewaktu acara Malaysia Autoshow 2023 adalah WMoto Gemma 125. Ia adalah sebuah skuter, dan dijual pada harga RM6,988 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Didatangkan dengan enjin satu silinder empat strok penyejukan cecair 117.3 cc dan transmisi automatik tali sawat, Gemma 125 mampu menghasilkan kuasa sehingga 8.31 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.8 Nm pada 6,000 rpm. Enjin suntikan bahan api ini boleh dihidupkan melalui pemula elektrik dan tendang, dengan kunci tidak perlu dicucuk kepada motosikal (kunci pintar).

    Datang dengan rekaan moden, skuter ini dilengkapi semua lampu jenis LED serta panel meter TFT 3.5 inci yang boleh memaparkan informasi dengan terang. Di dalam poket barangan di bahagian bawah pemegang terdapat soket pengecas USB.

    Rim 12 inci dengan saiz tayar 100/90 di hadapan dan 110/90 di belakang pada skuter ini dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan satu penyerap hentak. Brek hadapan menggunakan tetapan cakera sementara belakang pula cuma dilengkapi brek dram. Tangki bahan api berkapasiti 4.5 liter.

    Pelanggan boleh memilih antara dua warna iaitu Refined Gray atau Special Purple, dan ia didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • CFMoto XO Papio dilancarkan di Malaysia – RM8,888

    CFMoto XO Papio dilancarkan di Malaysia – RM8,888

    CFMoto hari ini di acara Malaysia Autoshow 2023 telah melancarkan sebuah motosikal mini yang dinamakan sebagai XO Papio. Ia dijual pada harga RM8,888 tidak termasuk insurans, dan ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu Nebula White, Fiery Red dan Moss Green.

    XO Papio yang bersaiz seperti Honda MSX125/Grom dan Kawasaki KSR110 ini digerakkan oleh enjin satu silinder, suntikan bahan api, 126 cc, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,500 rpm dan tork 8.3 Nm pada 6,500 rpm.

    Rim 12 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang pada XO Papio ini disambungkan kepada badan motosikal melalui fork USD (jarak gerak 96 mm) di hadapan dan monoshock di belakang. Dengan tetapan ini, tinggi tempat duduknya menjadi 760 mm.

    Meskipun cuma merupakan sebuah motosikal mini, XO Papio datang dengan brek cakera hadapan dan belakang, terdiri daripada unit 210 mm dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 190 mm dengan angkup satu piston di belakang. Menjadikannya lebih baik, sistem ABS dual-channel diberikan secara standard.

    Perincian lain XO Papio adalah semua lampu jenis LED, tangki bahan api tujuh liter dan berat keseluruhan 114 kg. Motosikal ini didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025