Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton umum pelan hala tuju EV – dimulakan dengan MHEV, BEV dan PHEV; sasar M’sia jadi hab RHD EV

    Proton umum pelan hala tuju EV – dimulakan dengan MHEV, BEV dan PHEV; sasar M’sia jadi hab RHD EV

    Proton acapkali diajukan pertanyaan bilakah syarikat pengeluar kereta nasional ini bakal memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) memandangkan ia semakin mendapat tempat di dalam pasaran tempatan. Dari masa ke masa semakin banyak syarikat pengeluar kereta global membawa masuk model EV ke pasaran Malaysia.

    Enggan ketinggalan dalam memperkenalkan EV, pada tahun 2021, pertama kali Proton mendedahkan pelan hala tuju elektrifikasi yang melibatkan model hibrid, plug-in hybrid dan pacuan elektrik sepenuhnya. Namun ketika itu, Proton berkata, ia akan dimulakan pada masa yang bersesuaian.

    Pada Mei 2022, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Li Chunrong mendedahkan syarikat ini akan memperkenalkan model EV untuk pasaran Malaysia yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini. Model berkenaan ialah smart #1 iaitu crossover elektrik penuh dengan penggayaan Mercedes-Benz dan dibangunkan oleh Geely. Walau ia bukanlah dikeluarkan oleh Proton namun Proton Edar telah dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand, dan #1 akan menjadi model pertama yang mewakili kemunculan semulanya di pasaran automotif ASEAN.

    Proton umum pelan hala tuju EV – dimulakan dengan MHEV, BEV dan PHEV; sasar M’sia jadi hab RHD EV

    Dalam masa yang sama, CEO Proton itu turut memaklumkan pihaknya bersedia untuk mengeluarkan model EV menjelang tahun 2027. Pendedahan ini diperkukuhkan dengan pembentangan hala tuju bagi EV yang diumumkan oleh Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah, dalam majlis makan malam dengan pihak media sempena Tahun Baharu Cina semalam.

    Menurut Roslan, pelan hala tuju bagi pengeluaran EV akan dilakukan mengikut fasa, didahului dengan teknologi hibrid ringkas (MHEV), berserta dengan pelancaran smart #1. Ini akan diikuti dengan model BEV (EV janaan bateri) dan PHEV. Walau bagaimana pun Proton mengesahkan model BEV akan menjadi produk terasnya.

    Tidak mendedahkan sebarang garis masa secara spesifik, Roslan berkata, “Pelan hala tuju ini dijalankan dengan tiga fasa pelaksanaan. Fasa pertama melibatkan perintis EV yang bertujuan untuk menembusi pasaran EV, keupayaan membangunkan dan meningkatkan kesedaran pasaran.

    Proton umum pelan hala tuju EV – dimulakan dengan MHEV, BEV dan PHEV; sasar M’sia jadi hab RHD EV

    “Manakala fasa kedua pula melibatkan perkembangan EV dengan objektif mengeluarkan model EV secara pemasangan tempatan (CKD), pembangunan eko-sistem dan memacu pengeluaran EV. Untuk fasa ketiga pula ialah menjadikan Proton sebagai hab pengeluaran EV pemanduan sebelah kanan (RHD) yang bukan setakat untuk pasaran tempatan tetapi melibatkan pasaran eksport.”

    Selain smart #1, Proton juga dijangka akan memperkenalkan model SUV tujuh-tempat duduk X90 seperti mana yang telah pun dilancarkan di Filipina dan dikenali sebagai Geely Okavango. SUV ini diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan. Unit enjin 1.5 liter turbo ini juga dipamerkan di Pusat Kecemerlangan Proton.

    “Bagi memacu langkah ke hadapan, rangkaian produk akan diperkembangkan dengan pengenalan lebih banyak model BEV dan PHEV. Dan jika anda melihat pada slaid pembentangan ini, juga terdapat rancangan untuk mensinergikan perindustrian EV kami termasuk dengan jenama lain dalam kumpulan Geely. Walaupun saya tidak menjanjikan apa-apa, anda mungkin dapat melihat beberapa tawaran EV yang menarik di Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.

     
     
  • KTM 390 Adventure 2023 dapat versi rim spoked

    KTM 390 Adventure 2023 dapat versi rim spoked

    Selain memberikan penampilan yang lebih segar bagi 390 Adventure tahun 2023, KTM juga telah menambah satu lagi versi bagi model tersebut, yang dipanggil sebagai 390 Adventure SW. Kelebihan versi ini adalah ia dilengkapi dengan rim spoked yang diperbuat daripada aluminium.

    Penawaran 390 Adventure SW ini dibuat bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih lasak, dan rim spoked tersebut datang dalam saiz 19 inci di hadapan, dan 17 inci di belakang, dibalut dengan tayar Continental TKC70 (saiz dan tayar yang sama seperti versi yang menggunakan rim aluminium biasa).

    Bahagian lain tidak diubah, termasuk enjin yang masih menggunakan unit satu silinder 373 cc berkuasa 43 hp dan 37 Nm tork, bersama padanan transmisi enam kelajuan dan klac jenis slipper. Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT lima inci.

    Meskipun merupakan antara model Adventure paling kecil KTM, 390 Adventure masih dilengkapi sistem elektronik seperti brek ABS, kawalan cengkaman dengan pilihan dua mod, pendikit jenis ride-by-wire, mod tunggangan Road dan Offroad serta lampu jenis LED.

    Brek terdiri daripada cakera 320 mm dengan angkup Bybre empat piston di hadapan dan cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork WP-Apex 43 mm dan monoshock WP Apex di belakang. Tangki bahan api model ini berkapasiti 14.5 liter dan berat keseluruhannya (kering) adalah 161 kg).

     
     
  • Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    Kita sudah tahu sikit lebih kurang bila Perodua akan memperkenalkan model hibrid mereka, dan model mana yang akan menerima teknologi berkenaan. Namun bagaimana dengan model elektrik penuh (EV)? Adakah ia ada dalam perancangan Perodua?

    Dalam majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad masih berpegang dengan pendirian Perodua sebelum ini iaitu EV bukanlah penyelesian sebenar untuk meneutralkan karbon selagi punca utama elektrik dalam negara masih dijana menggunakan arang batu.

    Namun bagi mengelakkan Perodua ketinggalan dalam penghasilan EV, syarikatnya masih perlu bergerak ke arah elektrifikasi penuh, dan usaha paling penting serta terlebih dahulu yang perlu dilakukan adalah untuk membangunkan vendor tempatan.

    Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    “Isunya adalah pembekal kami kurang pendedahan dalam pembangunan komponen untuk HEV (hibrid elektrik) atau BEV (EV bateri) dan juga komponen-komponen termaju lain. Walaupun Perodua masih belum bersaing dalam segmen EV, industri automotif Malaysia berada dalam bahaya dengan ketinggalan apabila BEV menjadi teknologi arus perdana.

    “Bagi mengatasi masalah ini, kami kini berkerjasama dengan rakan kami, Daihatsu Motor Co. (DMC) di Jepun untuk mengenalpasti syarikat-syarikat dengan kepakaran elektrifikasi dan mempunyai akses kepada teknologi termaju. Dari situ, kami akan menerokai potensi bagi kerjasama strategik dengan pembekal dan vendor tempatan kami, dan dari situ kami akan memacu vendor-vendor ini kearah elektrifikasi dan teknologi termaju,” kata Zainal.

    Menurut bos Perodua itu lagi, ada tiga komponen utama pada EV iaitu bateri, motor elektrik dan unit inverter, dan salah satu dari komponen ini haruslah dihasilkan oleh vendor tempatan sekiranya Perodua memperkenalkan EV dalam pasaran kelak.

    Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    “Ini kerana kami adalah Perodua, dan kami mahu membangunkan industri tempatan,” kata Zainal untuk menegaskan mengapa sekurang-kurangnya salah satu dari komponen berkenaan perlu dihasilkan oleh vendor tempatan di Malaysia untuk model EV pertamanya nanti.

    Zainal turut menyatakan proses pembangaunan vendor untuk model EV berkenaan akan bermula tahun ini, namun bila model EV pertama tersebut akan dilancarkan belum dimuktamadkan kerana setelah vendor-vendor itu mempunyai kebolehan dan kapasiti, barulah produk tersebut boleh dirancang.

    Ketika ditanya antara tiga komponen berkenaan, yang mana menjadi keutamaan Perodua untuk dihasilkan oleh vendor tempatan, Zainal menyatakan bahawa pihaknya lebih berharap agar ada vendor tempatan yang sanggup untuk menghasilkan bateri terlebih dahulu di Malaysia.

    Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    Ini kerana untuk model EV pertama Perodua kelak, ia bekemungkinan besar adalah model yang diubah dari versi petrol untuk ditransformasikan kepada sebuah EV, dan ini adalah lebih mencabar untuk mencari ruang di mana bateri boleh diletakkan pada platform tersebut.

    Jadi sekiranya vendor untuk bateri tersebut berada di Malaysia, proses pembangunan untuk bateri berkenaan akan menjadi lebih mudah.

    Untuk satu lagi jenama nasional iaitu Proton, model EV pertamanya dijangka akan muncul pada 2027, di mana pasukan juruteranya telah mula dihantar ke China bagi mempelajari pelbagai aspek berkenaan EV termasuk R&D, jualan, servis selepas jualan dan sebagainya, dan syarikat itu juga sedang mengenalpasti teknologi EV yang mampu milik dan mudah diselenggara, sesuai dengan pasaran Malaysia.

    Mungkin kedua-dua jenama ini akan hadir dengan model EV pertama masing-masing dalam tempoh masa yang hampir sama?

     
     
  • Rancangan 10-tahun Proton-Geely di landasan betul – sasar tempat pertama di M’sia, tiga teratas di ASEAN

    Rancangan 10-tahun Proton-Geely di landasan betul – sasar tempat pertama di M’sia, tiga teratas di ASEAN

    Rancangan 10-tahun Proton dan Geely kini sudah memasuki separuh daripada perjalanannya dan menurut syarikat itu, segalanya berada di landasan yang betul. Perkara ini diberitahu bersama pembentangan hala tuju syarikat di Kuala Lumpur semalam.

    Bagi separuh pertama rancangan ini, iaitu dari tahun 2018 hingga 2022, Proton berjaya mencatat beberapa pencapaian besar antaranya kembali menghasilkan keuntungan serta mencatat jualan tahunan melebihi 100,000.

    Turut dianggap penting adalah beberapa langkah lain seperti peningkatan kepada model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga), penawaran teknologi canggih pada X70, pemasangan tempatan X70 serta naik taraf kepada kilang di Tanjung Malim.

    Rancangan 10-tahun Proton-Geely di landasan betul – sasar tempat pertama di M’sia, tiga teratas di ASEAN

    Bergerak ke hadapan bagi rancangan tahun 2022-2027, Proton meletakkan sasaran untuk menjadi pendahulu dalam pasaran Malaysia dan sekurang-kurangnya berada di tempat ketiga teratas dalam ASEAN.

    Untuk itu, syarikat akan terus kompetitif dalam segmen yang besar dan mampu milik, melancarkan model baru dengan teknologi canggih, menyertai solusi tenaga baru, perletakan penggerak baru pada model kenderaan Proton, serta memasukkan program pembangunan tempatan yang bergerak selari dengan hala tuju teknologi Geely.

     
     
  • Op Selamat 19 sempena TBC catat 15,999 kes kemalangan, naik 41%; 160,375 saman dikeluarkan

    Op Selamat 19 sempena TBC catat 15,999 kes kemalangan, naik 41%; 160,375 saman dikeluarkan

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 15,999 kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 19 yang dilaksanakan sempena Tahun Baharu Cina (TBC), sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 41% berbanding 11,325 kes pada tahun 2022.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain, kes kemalangan meningkat sebanyak 4,674 kes dengan 121 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh sama dengan melibatkan sebanyak 134 kematian berbanding 119 kematian pada tahun lalu laporan Harian Metro.

    “Penunggang dan pembonceng motosikal kekal angka korban tertinggi iaitu 81 kematian sepanjang Op Selamat 19. Bagaimanapun, tiada kemalangan maut membabitkan 30 lokasi panas di Lebuhraya Utara-Selatan selain 234 ‘blackspot’ dikenal pasti di jalan raya seluruh negara,” katanya pada Majlis Penutup Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023 semalam.

    Tambah beliau, untuk tempoh operasi yang sama, sebanyak 160,375 saman dikeluarkan di seluruh negara. Katanya, “Jumlah ini menurun berbanding tahun lalu iaitu 308,726 saman. Saman yang dikeluarkan adalah bersifat mendidik dengan memberi fokus enam kesalahan utama.”

    Dalam majlis sama, Kontinjen Kuala Lumpur menerima Anugerah Kontinjen Terbaik, manakala Daerah Terbaik dimenangi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Selatan.

     
     
  • Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

    Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

    Tahun lalu Perodua telah melancarkan Ativa Hybrid – seperti yang diketahui, ‘Ativa’ berkenaan sebenarnya Daihatsu Rocky hybrid yang diimport sepenuhnya dari Jepun dan ditampal dengan logo Perodua, serta ianya hanya dibawa sebanyak 300 unit, kesemuanya tidak dijual tetapi hanya ditawarkan dalam pakej langganan di mana pelanggan perlu memulangkannya semula kepada Perodua selepas lima-tahun.

    Untuk model hibrid sebenar dari Perodua, satu laporan yang pernah dikeluarkan oleh RHB Investment Bank sebelum ini menyatakan ia akan muncul pada tahun 2024. Dan pada majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad ada berkongsi hint berkenaan model tersebut.

    Menurut Zainal, model hibrid sebenar dari Perodua nanti bukanlah dari model-model generasi sedia ada, tetapi ia akan hadir sebagai varian untuk model baharu sepenuhnya (Full Model Change/FMC). Jadi jelas, model hibrid pertama dari Perodua kelak bukanlah Ativa Hybrid.

    Jadi ‘calon’ untuk model pertama hibrid Perodua berkenaan boleh dijangka antara dua model iaitu Bezza generasi kedua atau Myvi generasi keempat.

    Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

    Baru-baru ini ada laporan menyatakan bahawa sedan Perodua Bezza generasi kedua mungkin akan dilancarkan pada tahun ini, dan ia mungkin dilihat logik memandangkan Bezza sedia ada sudah berada enam tahun dalam pasaran dan telah diberikan satu fasa facelift.

    Namun perkara ini disangkal sendiri oleh Zainal semalam dengan menyatakan kemampuan Perodua kekal hanya boleh melancarkan satu model FMC dan dua model facelift (Minor Change/MC) setiap tahun, dan Perodua Axia generasi kedua sudah pun disahkan akan dilancarkan tahun ini selepas tempahannya secara rasmi telah dibuka.

    Dengan itu, model generasi baharu untuk Bezza ini dijangka akan dilancarkan tahun hadapan, sekali dengan varian hibrid.

    Tetapi ada kemungkinan juga model hibrid berkenaan akan diperkenalkan dahulu pada Myvi generasi keempat. Myvi untuk generasi ketiga sedia ada mula dilancarkan 2017, kemudian diberikan facelift pada 2021. Jadi tahun hadapan Myvi G3 sudahpun berusia enam tahun dalam produksi, dan cukup masa untuk digantikan dengan model generasi keempat.

    Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

    Buat masa sekarang, program langganan yang dijalankan pada Ativa Hybrid adalah untuk kajian dan penilaian pemanduan pemilik-pemilik yang berminat dengan teknologi hibrid di Malaysia, dan ia akan digunakan untuk penambahbaikkan oleh Perodua untuk model hibrid sebenar mereka nanti.

    Model-model baharu dari Perodua selepas ini akan terus menggunakan platform modular Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform yang telah diguna pada Ativa dan Alza 2022, serta Axia D74A yang akan dilancarkan bulan ini. Jadi tidak mustahil Perodua turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa e:Smart Hybrid sama seperti Ativa/Rocky Hybrid untuk model hibrid pertamanya kelak.

    Sistem e:Smart Hybrid tersebut adalah berlainan dari sistem-sistem hibrid biasa yang ditawarkan dalam pasaran khususnya di Malaysia. Ia diberikan enjin petrol WA-VEX 1.2 liter tiga-silinder kitaran Atkinson yang menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 105 Nm.

    Namun enjin berkenaan langsung tidak memacu roda SUV tersebut kerana ia bertugas semata-mata sebagai enjin penambah jarak (range extender) yang berfungsi hanya untuk mengecas bateri lithium-ion. Sementara roda hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 106 PS dan tork maksima 170 Nm seperti kereta elektrik sebenar.

     
     
  • Malaguti Spectre GP125 sedia masuk pasaran Eropah

    Malaguti Spectre GP125 sedia masuk pasaran Eropah

    Sementara kita yang berada di Asia sudah biasa dengan motosikal kapcai yang menjadi pilihan ramai untuk kegunaan harian, pasaran Eropah pula adalah sebaliknya. Meskipun masih ada motosikal kapasiti rendah di sana, kebanyakannya adalah berbentuk skuter atau yang mempunyai tangki di atas, sementara kapcai (tangki di bawah tempat duduk) masih lagi asing.

    Kini, pengeluar dari Itali, Malaguti bersedia untuk memperkenalkan sebuah kapcai baru untuk pasaran benua itu. Ia dipanggil sebagai Spectre GP125 dan bagi kita ia mungkin nampak familiar kerana mempunyai ciri rekaan seperti Yamaha 135LC, Y15ZR dan Honda RS150.

    Spectre GP125 digerakkan oleh enjin empat strok satu silinder 125 cc dengan sistem penyejukan udara dan suntikan bahan api elektronik, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan dengan klac tangan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 9.7 hp pada 8,500 rpm dan tork 9.6 Nm pada 6,500 rpm.

    Penampilan Spectre GP125 nampak tegap dengan rim 17 inci yang dibalut tayar tebal 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, bersama cakera brek hadapan yang besar serta angkup dua piston. Brek belakang juga menggunakan tetapan cakera, dan motosikal ini dilihat mempunyai klac tangan di sebelah kiri pemegang.

    Kelengkapan lain Spectre GP125 adalah biasa sahaja dengan fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang serta meter gabungan analog dan LCD digital. Tangki bahan api berkapasiti lima liter dan berat keseluruhannya adalah 123 kg.

    Di dalam laman web Malaguti, harga Spectre GP125 masih belum didedahkan tetapi motociclismo.it ada melaporkan bahawa ia akan dijual pada harga 2,499 euro, bersamaan RM11,544.

     
     
  • CEO Perodua sahkan Bezza generasi baharu tidak akan dilancarkan tahun ini, hanya Axia D74A

    CEO Perodua sahkan Bezza generasi baharu tidak akan dilancarkan tahun ini, hanya Axia D74A

    Baru-baru ini ada laporan menyatakan bahawa Perodua bakal melancarkan sedan baharu tahun ini, iaitu model gantian untuk Bezza sedia ada. Laporan berkenaan adalah berdasarkan penyelidikan yang dibuat oleh penganalisis RHB Investment Bank, Jim Lim Khai Xhiang.

    Walau bagaimanapun apa yang dinyatakan oleh Jim Lim berkenaan disangkal oleh kenyataan Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur pagi tadi.

    Ketika ditanya adakah Perodua masih mempunyai keupayaan untuk memperkenalkan satu model baharu sepenuhnya (Full Model Change/FMC) dan dua model facelift (Minor Change/MC) setiap tahun, Zainal mengesahkan bahawa syarikatnya hanya mempunyai keupayaan sedemikian untuk tahun ini.

    CEO Perodua sahkan Bezza generasi baharu tidak akan dilancarkan tahun ini, hanya Axia D74A

    “Masih lagi terpakai. Kemampuan kami buat masa sekarang adalah satu model FMC dan dua model MC (setiap tahun). Disebabkan Covid-19 – 2019, 2020, 2021 – ia telah terganggu. Tahun lalu merupakan tahun pemulihan kami, tahun ini kami akan kembali ke tahap sebelum-pandemik dari segi kapasiti,” katanya.

    Jadi ini bermaksud satu-satunya model generasi baharu yang akan dilancarkan oleh Perodua tahun ini adalah hatchback segmen-A Perodua Axia 2023 (D74A), di mana tempahannya sudah pun dibuka secara rasmi pagi ini. Namun disebabkan Bezza merupakan versi sedan dari Axia, mungkin model generasi baharu Bezza akan dilancarkan tahun hadapan.

     
     
  • Perodua Axia 2023 lebih mahal sebab besar, canggih

    Perodua Axia 2023 lebih mahal sebab besar, canggih

    Perodua hari ini mula mengambil tempahan bagi model serba baru Axia D74A 2023, yang ditawarkan dalam empat varian. Selain perincian awal berkaitan spesifikasinya, Perodua juga mengumumkan harga anggaran bagi model kompak berkenaan.

    Bermula dengan varian G pada harga anggaran RM38,600 atas jalan tidak termasuk insuran, ia diikuti oleh varian X pada harga anggaran RM40,000, SE dengan harga RM44,000 dan varian paling tinggi AV dengan RM49,500. Semua varian menggunakan enjin 1.0 liter yang digandingkan dengan D-CVT, menggantikan kotak gear automatik empat-kelajuan sebelum ini.

    Berbanding dengan model semasa, Axia serba baru ini lebih mahal harganya. Sebagai contoh, model sebelum ini yang diberikan facelift pada 2019 ditawarkan dalam enam varian dengan harga seperti berikut: varian “sekolah memandu” 1.0 E MT (RM24,090); 1.0 G AT (RM33,490); 1.0 GXtra AT (RM34,990); 1.0 Style AT (RM38,890); 1.0 SE AT (RM38,890) dan yang paling tinggi AV (RM43,190).

    Perodua Axia 2023 lebih mahal sebab besar, canggih

    Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, peningkatan harga bagi Axia serba baru 2023 itu adalah disebabkan ia sebuah kereta yang lebih besar dan lengkap dengan ciri yang lebih maju berbanding model yang bakal digantikannya itu.

    “Dari segi harga, Axia baru ini memang libatkan sedikit kenaikan. Ini kerana ciri yang ada juga berbeza. Sebelum ini, Axia adalah model asas dan tiada ASA bahkan. Model barunya bagaimanapun datang dengan enam beg udara, termasuk bahagian tingkap. Keselamatan sangat penting. Kami ingin pastikan seiring dengan perkembangan, kami sertakan sekali ciri keselamatan maju dalam barisan penawaran Axia,” ujarnya.

    “Jadi, dengan peningkatan penawaran spesifikasi, peningkatan aspek keselamatan, maka harganya juga akan berbeza. Kami naikkan harga bukan kerana inflasi atau kos material, sebaliknya kerana kelengkapan tambahan yang diberikan untuk Axia 2023 ini,” tambah Zainal.

    Perodua Axia 2023 lebih mahal sebab besar, canggih

    Jika dilihat julat harga Axia sedia ada (RM24k hingga RM39k), bezanya agak ketara kerana model varian paling rendah ketika itu adalah versi manual, dan ia tidak akan diperkenalkan ketika pelancaran model Axia terbaru 2023 nanti. Ia bagaimanapun akan ditambah ke dalam barisan penawaran Perodua kelak.

    Jika dibandingkan varian G, atau lebih tepat GXtra yang dulu, beza harganya tidaklah terlalu ketara, melibatkan RM3,610. Hanya GXtra ke atas hadir dengan ciri Vehicle Stability Control (VSC) dan kawalan cengkaman, tetapi Axia baru ini akan lengkap dengan VSC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki sebagai ciri standard untuk semua varian.

    Maklumat lanjut tentang penawaran Axia 2023 ini akan kita ketahui sebaik sahaja ia dilancarkan nanti, yang dijangka akan diadakan pada Februari 2023.

     
     
  • Perodua akan perkenal imej standard baharu untuk bilik pameran dan pusat servis rasminya tahun ini

    Perodua akan perkenal imej standard baharu untuk bilik pameran dan pusat servis  rasminya tahun ini

    Perodua telah mencatatkan prestasi terbaiknya tahun lalu dengan jumlah jualan dan juga pengeluaran paling tinggi dalam sejarah pernah dicatatkan. Jadi untuk meneruskan momentum berkenaan, dalam majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur pagi tadi, syarikat tersebut turut berkongsi pelbagai strategi baharu untuk tahun ini dan ia turut melibatkan penukaran imej korporat pada pusat-pusat 3S dan 4Snya diseluruh negara.

    Dalam pembentangan yang dibuat oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, outlet-outlet Perodua bakal menerapkan Standard Outlet Baharu (NOS) bermula tahun ini yang akan menampilkan fasiliti bilik pameran dan pusat servis yang ‘ringkas dan kompak’.

    Bayangan imej baharu berkenaan turut didedahkan pada slaid pembentangan tersebut menyaksikan outlet-outlet berkenaan akan menerima rekaan fakad (muka bangunan) dan pilon baharu, serta tempat parkir yang lebih banyak akan disediakan untuk pelanggan.

    Dan perincian utama untuk NOS 2023 ini adalah setiap bangunan pusat 3S atau 4S berkenaan akan hanya menampilkan satu pintu utama dan juga kaunter penyambut tetamu yang dikongsi untuk bahagian jualan dan juga servis selepas jualan.

    Perodua akan perkenal imej standard baharu untuk bilik pameran dan pusat servis  rasminya tahun ini

    Menurut Zainal, langkah ini dibuat bagi menunjukkan sesebuah outlet 3S dan 4S itu beroperasi sebagai satu entiti bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

    “Ini bermaksud pelanggan boleh merujuk kepada pengurus yang sama untuk rujukan pemantauan mereka,” kata Zainal dan menambah bahawa NOS baharu ini juga akan menyaksikan ruang menunggu untuk pelanggan yang berurusan untuk membeli kereta baharu dan juga yang menghantar kereta mereka untuk diservis turut akan disatukan.

    Pendekatan ini amat jarang digunakan pada outlet-outlet 3S dan 4S tak kira apa jua jenama di Malaysia, dan ia biasanya akan menyebabkan pelanggan “ditendang” antara bahagian jualan dan juga servis selepas jualan sekiranya berlaku masalah berkaitan kereta mereka. Mungkin selepas ini apa yang dibuat oleh Perodua ini boleh dicontohi oleh pengeluar-pengeluar lain?

     
     
  • Perodua sasar jualan 314k unit bagi 2023 — 45% perkongsian pasaran, RM10b untuk pembekal lokal

    Perodua sasar jualan 314k unit bagi 2023 — 45% perkongsian pasaran, RM10b untuk pembekal lokal

    Bagi tahun 2023, Perodua mensasarkan jumlah jualannya kepada 314,000 unit kenderaan,sementara jumlah pengeluarannya pula sebanyak 330,000 unit. Menurut syarikat itu, angka ini boleh dicapai dengan mengambil kira tempahan tertunggak daripada tahun lalu yang melibatkan tempoh pembelian dengan sifar cukai SST sebelum ini. Setakat ini, lebih separuh daripada tempahan yang diterima tahun lalu masih belum diserahkan kepada pelanggan.

    Sasaran yang dinyatakan itu masing-masing lebih tinggi sebanyak 14.2% dan 11.3% berbanding prestasi jualan dan pengeluaran Perodua pada tahun 2022, yang masing-masing mencatatkan angka 289,054 unit dan 282,019 unit. Perkara ini dikongsikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad dalam satu taklimat media hari ini di Kuala Lumpur.

    Dengan sasaran yang ditetapkan ini, Perodua juga menjangka akan mampu meningkatkan perkongsian pasarannya dari 39.1% pada tahun lalu kepada 44.5% untuk tahun 2023 — naik sebanyak 5.4%, dan berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 705,000 unit yang disasarkan.

    Dengan sasaran dan pertumbuhan pengeluaran itu, Perodua juga telah memperuntukkan sebanyak RM10 bilion untuk membeli alat ganti atau komponen berkaitan daripada pembekal tempatan. “Komitmen pembelian ini dijangka akan menggalakkan lagi ekosistem automotif Malaysia untuk menambah baik keupayaan pengeluaran dan standard kualitinya,” ujar beliau.

    Selain itu, RM1.15 bilion juga telah diperuntukkan untuk menambahbaik oeprasi keseluruhan kumpulannya. Ini termasuklah hal-hal berkaitan perluasan rangkaian operasi sedia ada, sebagai contoh untuk meluaskan lagi perniagaan kenderaan terpakainya (POV).

     
     
  • Kereta Thailand dikesan isi petrol bersubsidi RON95

    Kereta Thailand dikesan isi petrol bersubsidi RON95

    Menerusi Facebook USJ Community yang memuat naik foto seorang lelaki yang memandu BMW X1 dengan nombor plat pendaftaran Thailand dikesan mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen Shell yang dipercayai terletak di sekitar USJ Subang Jaya.

    Entri berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan pemandu BMW X1 berkenaan dan meminta agar perkara ini segera dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Individu yang memuat naik foto ini berkata, dia telah pun membuat aduan kepada pekerja stesen minyak terbabit tetapi tidak diendahkan. Menurutnya, pekerja stesen minyak berkenaan juga seorang warga asing dan kemungkinan besar tidak mahu mencetuskan sebarang masalah di situ.

    Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa orang ramai untuk terus melaporkan ke stesen minyak sekiranya mereka mengesan ada warga asing yang mengisi petrol RON 95 yang disubsidi. Presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata laporan yang dikemukakan oleh orang awam adalah lebih efektif bagi menangani isu ini berbanding hanya mengambil foto dan kemudian menularkannya di laman media sosial.

    Tambah beliau, sekiranya pihak berkuasa mendapati warga asing mengepam petrol RON 95, tindakan hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak. Mereka yang ditangkap kerana melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang mengawal Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, boleh berdepan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu, dan denda tidak melebihi RM2 juta untuk entiti atau syarikat.

    Sebenarnya ini bukanlah perkara baharu, malah telah acapkali berlaku sebelum ini. Umum mengetahui bahawa kenderaan dengan pendaftaran plat asing adalah tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON 95 di Malaysia. Peraturan ini telah termaktub sejak 1 Ogos 2010. Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON 95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja. Manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan untuk membeli petrol RON 97 atau RON 100 sahaja.

     
     
  • Perodua Axia 2023 dengan kotak gear manual akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini

    Perodua Axia 2023 dengan kotak gear manual akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini

    Hari ini Perodua telahpun membuat kejutan dengan secara rasmi membuka tempahan untuk model generasi kedua Axia yang dijangka akan dilancarkan pada pertengahan Februari. Seperti yang tular tempoh hari, Axia 2023 berkenaan akan ditawarkan dalam empat varian yang kesemuanya dipadankan hanya dengan kotak gear automatik D-CVT.

    Persoalannya, adakah model-model Perodua akan ‘pupus’ di sekolah-sekolah memandu selepas ini kerana tiada lagi model dengan kotak gear manual dipadankan? Dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan perkongsian halatuju Perodua yang berlangsung di Kuala Lumpur pagi tadi, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mendedahkan Axia manual masih akan ditawarkan tetapi ia akan hadir lambat sedikit berbanding varian-varian D-CVT.

    Bila model berkenaan akan dilancarkan tidak disebutkan secara spesifik, tetapi Zainal mengesahkan bahawa ia akan ditawarkan dalam pasaran selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Model tersebut akan dihasilkan dalam spesifikasi lebih baik dari Axia manual generasi sedia ada, dan selain untuk kegunaan sekolah memandu, model tersebut turut akan dijual kepada orang awam.

    “Kami masih akan terus hasilkan kereta [dengan kotak gear] manual khasnya untuk sekolah-sekolah memandu. Ini akan kami umumkan kemudian dan kami rasa sekolah-sekolah memandu akan suka sebab keretanya sama (Axia), spesifikasi [yang ditawarkan] bagus,” kata Zainal.

    Walau bagaimanapun bos besar Perodua berkenaan masih merahsiakan berapa julat harga untuk Axia 2023 dengan kotak gear manual berkenaan.

    Ketika mengumumkan Axia generasi kedua ini sudah boleh ditempah pagi tadi, Perodua turut sudahpun memperincikan sekali harga tentatif untuk semua varian yang ditawarkan. Ia bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 bagi Axia AV; semuanya harga atas jalan tidak termasuk insuran.

    Ini jelas lebih tinggi berbanding model generasi sebelumnya di mana model facelift 2019 Axia GXtra dengan VSC dijual pada harga RM34,990 , manakala varian tertinggi Axia AV dijual pada harga RM43,190. Ini bukan sahaja kerana Axia generasi kedua ini akan menampilkan badan yang lebih besar, malah ia juga akan hadir dengan perincian-perincian jauh lebih canggih yang dikongsi bersama model-model baharu Perodua yang lain seperti Myvi dan Alza.

    Untuk lebih perincian berkenaan Perodua Axia 2023 ini, anda boleh baca laporan yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

     
     
  • Honda Transalp XL750 2023 – harga jualan di Eropah terdedah, tidak jauh beza dengan Yamaha Tenere 700

    Honda Transalp XL750 2023 – harga jualan di Eropah terdedah, tidak jauh beza dengan Yamaha Tenere 700

    Semasa pameran EICMA hujung tahun lalu, Honda telah mendedahkan sebuah motosikal adventure kelas pertengahan baru yang dipanggil sebagai Transalp XL750. Ramai yang teruja dengannya, kerana memasuki segmen yang popular untuk bersaing antaranya dengan Yamaha Tenere 700 dan Suzuki V-Strom 800DE, dan membawa keunikan tersendiri.

    Dengan kelengkapan serta sistem yang lebih canggih berbanding Tenere 700, ramai yang tertunggu-tunggu harganya. Dalam laman web rasmi Honda ia masih belum didedahkan, tetapi melalui laman web motociclismo.it yang sudah mendapat maklumat awal, kita dapat mengetahui Honda meletakkannya pada harga bermula 10,940 euro (RM50,419) untuk jualan di Itali.

    Perbezaan harganya dengan Tenere 700 biasa di sana cuma 59 euro (RM271), di mana model Yamaha itu dijual pada harga 10,999 euro (RM50,691). Dibandingkan pula dengan salah satu model Honda sendiri, iaitu CB500X yang dijual pada harga 6,699 euro (RM30,873) di sana, Transalp XL750 adalah lebih mahal 4,249 euro (RM19,582).

    Walaupun harga Transalp XL750 ini sangat hampir dengan Tenere 700 yang lebih ringkas, ia menawarkan lebih ciri kepada pengguna, terutamanya pada bahagian elektronik termasuk lima mod tunggangan, empat tahap Engine Power, tiga tahap Engine Brake, lima tahap (juga boleh ditutup) Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta mod Offroad bagi ABS.

    Ia dipacu oleh enjin dua silinder selari SOHC 755 cc bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper sama seperti Hornet CB750, mampu menghasilkan kuasa sehingga 90.5 hp pada 9,500 rpm dan 75 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Suspensi Transalp XL750 menggunakan unit daripada Showa, dengan cuma pelarasan pra beban sahaja untuk kedua-dua fork hadapan dan penyerap belakang, sementara rim pula menggunakan unit spoked bertiub saiz 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 208 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 16.9 liter.

    GALERI: Honda Transalp XL750 2023

     
     
  • Stesen Petronas di R&R Sg Perak arah utara ditutup hingga 17 April 2023 untuk kerja naiktaraf – PLUS

    Stesen Petronas di R&R Sg Perak arah utara ditutup hingga 17 April 2023 untuk kerja naiktaraf – PLUS

    Makluman buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke utara tanahair, PLUS Berhad memaklumkan bahawa stesen Petronas di kawasan R&R Sungai Perak (arah utara) di KM249.4 ditutup mulai hari ini, 31 Januari sehingga 17 April 2023. Ia adalah untuk kelancaran kerja-kerja menaiktaraf stesen minyak berkenaan.

    Menurut PLUS lagi, penutupan ini hanya melibatkan stesen minyak Petronas sahaja dan tidak membabitkan keseluruhan kawasan R&R terbabit yang masih kekal beroperasi seperti biasa. Jika sudah terbiasa mengisi minyak di situ, apa kata anda ke Stesen Minyak Petronas di Hentian Sebelah Simpang Pulai KM290.90 (Arah Utara) di lebuhraya berkenana.

    Apa pun, sila tingkatkan fokus pemanduan, terus berhati-hati di jalan raya dan berehat seketika di kawasan R&R berhampiran sekiranya keletihan atau mengantuk.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025