TuneBoss telahpun membuat pengenalan awal bagi produk quickshifter mandiri ShiftBoss untuk kegunaan motosikal silinder tunggal atau dua-silinder di pasaran Malaysia. Sebagai quickfshiter sehala ke atas sahaja, ShiftBoss dijual pada harga RM399 bagi model motosikal silinder tunggal, dan RM599 bagi versi dua-silinder.
Sebagai produk plug-and-play yang mudah dipasang, ShiftBoss memanfaatkan sensor tanpa sentuhan yang dipasang pada tuil penukar, memberikan isyarat kepada modul kawalan. Modul berkenaan kemudiannya menghantar isyarat kepada modul penghidup untuk mematikan ignition ketika menaikkan gear.
Produk ini boleh dipasang untuk semua motosikal berklac tanpa sebarang modifikasi. “Dengan sensor tanpa sentuhan ini, peranti ini menjadi lebih boleh diharap kerana tertutup sepenuhnya. Dan tiada bahagian yang akan haus disebabkan geseran dan sebagainya,” jelas CEO FSR Technology, Farhan Ali, yang juga pereka dan pengeluar ECU Tuneboss dan Shiftless sebagai produk Malaysia 100%.
Sistem pendakap modular membolehkan pemasangan ShiftBoss ke atas pelbagai jenis motosikal dan tidak memerlukan sambungan kepada TuneBoss motorcycle ECU, tidak seperti ShiftBoss 2.0, atau ECU motosikal lainnya. Ini termasuklah untuk motosikal FZ150i, Y15ZR, Y16, MT15, R15, R25, Honda RS150 and CBR150 dan SYM VF3i.
Produk ini juga boleh dipasang untuk Yamaha MT-07, Suzuki Raider R150, GSX-S150 dan R150, SV650, V-Strom 650, KTM RC690, Duke 390, Modenas Pulsar 200 dan Kawasaki Versys. Dan, jika anda ada motosikal yang disenaraikan ini serta berminat untuk ikut serta sebagai penguji cuba produk berkenaan, hubungi FSR Technology atau pengedar sah mereka.
SUV EV tersebut mendapat sambutan yang agak menggalakan dengan tempahan yang mencecah 1,000 unit hanya dalam 10-hari selepas dilancarkan. Jenama dari China ini dibawa ke Malaysia oleh BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, satu lagi cabang Sime Darby Motors), ditawarkan dalam dua varian iaitu Atto 3 Standard Range (SR) dijual pada harga RM149,800, dan juga Atto 3 Extended Range (ER) dijual pada harga RM167,800.
Bagi model Atto 3 SR, ia datang dengan bateri berkapasiti 49.92 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 410 km dalam kitaran NEDC (345 km kitaran WLTP) untuk satu cas penuh. Manakala Atto 3 ER pula menerima bateri berkapasiti 60.48 kWj membolehkan ia dipandu sejauh 480 km dalam kitaran NEDC (420 km kitaran WLTP) dengan satu cas penuh.
Atto 3 menerima unit bateri Blade yang dibangunkan sendiri oleh BYD, dan ia turut dibekalkan kepada pengeluar EV lain termasuk Tesla dan Toyota.
Kedua-dua varian pasaran Malaysia ini menerima konfigurasi motor elektrik yang sama iaitu motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm, diletakkan pada bahagian hadapan untuk memacu hanya roda hadapan. Ini membolehkan kedua-dua varian ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.
Model ini diasaskan dari e-Platform 3.0 juga dibangunkan sendiri oleh BYD menggunakan seni bina elektrikal 400V. Ia menyokong pengecas AC sehingga 7 kW dengan penyambung Type 2, serta pengecas pantas DC dengan kadar 70 kW (SR) dan 80 kW (ER) menggunakan penyambung CCS2, membolehkan kadar cas 0-80% dipenuhkan dalam masa 45 minit. Atto turut mampu untuk membekalkan kuasa elektrik bagi kegunaan luar menerusi fungsi V2L.
Kedua-dua varian Atto 3 pasaran Malaysia ini menerima kit kelengkapan standard seperti bumbung panaromik, cermin sisi dengan pemanas, paparan instrumen digital dengan skrin 5.0-inci, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala (empat hala untuk tempat duduk penumpang hadapan), kamera 360-darjah, pemantau tekanan tayar, brek parkir elektrik dengan fungsi auto hold, lampu hadapan LED adaptif dan lampu belakang LED.
Atto 3 ER dan SR ini juga menerima skrin sesentuh 12.8-inci yang boleh diputar untuk kedudukan landscape atau potret, enam pembesar suara, sistem pendingin hawa automatik, dashcam bina-dalam dan juga kad kunci NFC. Aplikasi Spotify juga sudah tersedia, manakala sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar bakal diterima dengan kemaskini perisian pada suku kedua 2023 nanti.
Selain jarak gerak yang lebih jauh, varian ER turut menerima kit tambahan seperti pintu tailgate belakang bantuan kuasa, lampu suasana kabin dengan pelbagai warna dan mengikut irama pada pintu (hanya satu warna pada SR), lapan pembesar suara dengan sistem bunyi “Dirac HD”, penuras udara kabin PM2.5 dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar.
Model ER ini juga menerima rim 18-inci dengan tayar 215/55R18, berbanding Atto 3 SR yang hanya diberikan set rim 17-inci dengan tayar 215/60R17.
Untuk keselamatan, Atto 3 pasaran Malaysia menerima tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, brek ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.
Kedua-dua varian SR dan ER menerima senarai kelengkapan keselamatan yang sama, dan BYD Atto 3 sudahpun menerima penarafan keselamatan lima-bintang dari Euro NCAP.
BYD Atto 3 ini juga datang dengan waranti lengkap terdiri dari waranti pengeluar selama enam-tahun atau 150,000 km, waranti bateri EV Blade selama lapan-tahun atau 160,000 km, waranti untuk unit pacuan (motor elektrik, pengawal motor elektrik, pemasangan DC dan pemasangan kawalan elektrik) selama lapan-tahun atau 150,000 km.
Sejak kad Touch n Go NFC diperkenalkan, boleh dikatakan ia laris di pasaran. Malah ada yang menjual semula kad ini dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga sebenarnya. Terkini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengeluarkan siri kad Touch n Go NFC edisi khas yang menampilkan bintang badminton kebanggaan kita.
Menerusi entri di Twitter, BAM menunjukkan empat rekaan kad yang menampilkan wajah pemain yang bernaung di bawah persatuan terbabit. Ini termasuklah pasangan bergu Nur Izzuddin Rumsani & Goh Sze Fei, Ng Tze Yong, Pearly Tan & M.Thinaah, dan Aaron Chia & Soh Wooi Yik. Kad ini juga memaparkan tandatangan setiap pemain dan juga logo BAM.
Jika anda berminat untuk mendapatkan kad ini, jualannnya akan dilaksanakan di Petronas Malaysia Open 2023, yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil. Di mana gerai penjualan kad ini hanya dibuka pada 14-15 Januari ini sahaja.
????Guys! Ada announcement!????
We’re teaming up with @MyTouchnGo to produce these awesome limited edition cards for all BL????
Kad ini juga boleh dianggap sebagai cenderahati bagi peminat sukan badminton terutamanya yang menghadiri kejohanan berkenaan. Tapi percayalah, pasti ada individu yang akan menjual semula kad ini dengan harga yang lebih tinggi.
Jika anda tertanya-tanya mengapa kad ini tidak menampilkan pemain perseorangan Lee Zi Jia atau si cantik manis Goh Liu Ying, untuk pengetahuan anda, mereka berdua ini adalah pemain persendirian, dan bukan bernaung di bawah pengurusan BAM.
Apa pun, teruskan sokongan anda kepada semua pemain yang mewakili Malaysia, waima dari persatuan mana sekali pun. Malaysia Boleh!
Sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal disambut hujung minggu hadapan, Puspakom telah mengumumkan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (VVI) secara percuma untuk kenderaan persendirian. Perkhidmatan VVI percuma ini sedang berlangsung sehingga 20 Januari 2023, dari jam 8 pagi hingga 5 petang di semua cawangan Puspakom seluruh negara kecuali Taman Bukit Maluri (Kepong), Shah Alam dan Pasir Gudang.
Untuk mendapatkan perkhidmatan VVI percuma, anda perlu membuat temujanji secara dalam talian menerusi MyPuspakom. Namun tiada temujanji diperlukan bagi unit pemeriksaan bergerak Puspakom yang bakal berkunjung ke beberapa lokasi terpilih dari 12-19 Januari. Lokasi tersebut ialah UKM Bangi, Lotus Kepong, Wisma DRB-Hicom (Glenmarie), UIA Gombak dan Ayer Keroh di Melaka. Waktu operasi unit bergerak ini adalah dari 9 pagi hingga 4 petang, dan mereka juga menerima pemeriksaan untuk motosikal di beberapa lokasi terpilih, perincian penuh menerusi imej di bawah.
Selain menawarkan pemeriksan secara percuma, Puspakom turut menyediakan beberapa hadiah menarik untuk pelanggan memenanginya. Antara hadiah yang bakal diberikan termasuklah tablet Huawei, telefon pintar Huawei dan pengesan Fitbit, selain kad Starbucks.
Klik untuk besarkan
“Kempen VVI percuma ini adalah untuk membantu orang ramai mendapatkan maklumat mengenai keadaan kenderaan mereka, melalui pemeriksaan menggunakan peralatan berkomputer. Ini supaya mereka dapat melakukan penyelenggaraan yang sewajarnya sebelum balik kampung pada Tahun Baharu Cina ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mohammed Shukor Ismail, yang menambah bahawa inisiatif itu adalah tanggungjawab korporat sebagai badan pemeriksaan kenderaan yang dilantik kerajaan.
Tambah beliau, VVI akan melibatkan 25 bahagian termasuk menguji brek, suspensi, pelepasan asap, pencahayaan, tayar, ketelusan cahaya cermin dan ujian gelincir sisi. “Berbeza dengan pemeriksaan kenderaan yang ditawarkan oleh sesetengah syarikat, VVI Puspakom menggunakan peralatan berkomputer yang ditentu ukur mengikut piawaian yang sama seperti digunakan di negara maju seperti Perancis, Belgium dan Sepanyol, yang mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.
Kempen sebegini memang peluang terbaik untuk anda sertai kerana ia memberikan laporan kondisi kenderaan anda. Bukan setakat pemeriksaan percuma, anda juga berpeluang memenangi hadiah menarik dari Puspakom.
Sehari sebelum masuk tahun baru 2023 lebih seminggu lalu, berlaku lagi kejadian sebuah kereta memasuki lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan. Perkara ini dikongsi melalui laman Facebook YDLAA oleh seorang pengguna, Fairuz Mode.
Dalam tiga gambar yang dimuat naik, sebuah Honda Civic kelabu dilihat berada dan memandu dalam arah bertentangan di lorong motosikal berkenaan. Ini boleh dilihat jelas, termasuk daripada aliran trafik di laluan utama kereta di sebelah kanan dan juga arah pergerakan penunggang motosikal yang terakam.
Dalam status pendek beliau, Fairuz menulis “Langgar terus lari. Takde kecederaan serius, gear je bengkok… Di Federal Highway.” Ini memberi gambaran yang kereta terbabit berlanggar dengan sebuah motosikal, atau penunggang mungkin terjatuh kerana mengelak kereta terbabit dalam kejadian tersebut.
Gambar terakhir yang disertakan pula menunjukkan pemijak gear motosikal yang sudah bengkok, dipercayai disebabkan kejadian itu. Perincian lain tentang kejadian itu tidak dinyatakan.
Ini bukanlah kali pertama kejadian seperti ini berlaku, dan apa yang bermain dalam fikiran pemandu kereta tersebut tidaklah dapat diberi sebarang justifikasi. Mungkin mabuk, atau mungkin panik selepas tersedar yang keretanya berada di tempat yang salah, dan meneruskan juga pemanduan yang membahayakan orang lain.
Agak aneh bagaimana pemandu kereta boleh tersilap memasuki lorong masuk ke laluan motosikal seperti ini, kerana bukaan jalannya jauh lebih kecil berbanding simpang atau susur keluar biasa yang ada di jalan utama.
Kita hanya perlu lebih peka dan berhati-hati. Dan, sekiranya tersilap jalan dan masuk ke lorong motosikal seperti ini, berhenti dan jangan teruskan pemanduan. Jangan panik, dan minta bantuan atau keluar semula dengan cara yang perlahan dan selamat.
Paling tidak, sebelum mengambil sebarang keputusan, berhenti dan nyalakan lampu isyarat kecemasan untuk memaklumkan pengguna jalan yang lain. Kita boleh hentikan kejadian seperti ini.
Laman web rasmi Audi Malaysia kini telah membuka pendaftaran minat (ROI) bagi kenderaan elektrik penuhnya iaitu barisan model EV e-tron. Pautan untuk borang ROI tersebut BOLEH DIDAPATI DI SINI.
Pada November lalu, pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia, PHS Automotive telah mendedahkan bahawa model Audi e-tron GT dan RS e-tron bakal tiba di negara ini, dijangkakan pada suku kedua 2023.
Sebagai tambahan bagi model sedan e-tron GT dan RS e-tron GT fastback, Audi Malaysia turut menyenaraikan beberapa model SUV elektrik menerusi borang ROI ini. Ini termasuklah Q8 e-tron (varian 50 dan 55), dan Q8 Sportback e-tron (juga varian 50 dan 55).
Model Q8 e-tron dan Q8 e-tron Sportback sebenarnya telah ditukarkan namanya dari model SUV elektrik e-tron yang asal, disebabkan barsan model elektrik yang diperluaskan yang kini turut memakai nama ‘e-tron’.
Bagi barisan Q8 e-tron, varian e-tron 50 menampilkan gandingan dua motor – setiap satunya pada setiap gandar – yang mampu menawarkan julat kuasa hingga 340 PS dan tork 664 Nm. Motor elektrik ini dijanakan oleh bateri lithium-ion 89 kWh, dengan jarak gerak maksimum 491 km bagi pengecaasan penuh untuk bentuk badan biasa, dan 505 km bagi versi Sportback.
Turut menyertai pengenalan ini ialah varian e-tron 55, yang dipadankan dengan bateri 106 kWh untuk larasan dua motor yang mampu memberikan kuasa 408 PS dan tork 664 Nm. Talaan bagi e-tron 55 ini dipertingkatkan berbanding e-tron 50, dengan Q8 e-tron 55 biasa menerima jarak gerak 582 km dan Q8 Sportback e-tron 55 dengan 600 km.
Seperti yang dimaklumkan model e-tron GT dan RS e-tron GT ini bakal tiba pada suku kedua tahun ini, sama seperti model Q8 e-tron dan Q8 Sportback e-tron, ia menampilkan penjana kuasa pacuan semua roda dan dua motor, masing-masing dijanakan oleh bateri lithium-ion 85 kWh, menawarkan jarak gerak hingga 487 km mengikut protokol ujian WLTP.
e-tron GT menghasilkan kuasa 476 PS (350 kW) dan tork 630 Nm dalam keadaan biasa, tetapi apabila menggunakan Launch Control, ia boleh meningkat menjadi 530 PS dan 640 Nm buat masa singkat 2.5 saat. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.1 saat, sebelum mencapai kelajuan 245 km/j.
Untuk RS e-tron GT pula, ia boleh menghasilkan 598 PS (440 kW) dan 830 Nm dalam keadaan biasa, dan meningkat menjadi 646 PS (475 kW) apabila menggunakan mod boost. Dengan kuasa ini, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Sekali lagi, Audi Malaysia telah membuka pendaftaran minat menerusi laman web rasminya; jika berminat, anda boleh mengisi borang ROI ini DI SINI.
Watak Han lakonan Sung Kang dalam saga filem Fast & Furious sinonim dengan Mazda RX7 FD3S dengan kit badan lebar talaan Veilside yang dikenali sebagai Veilside Fortune RX-7. Untuk filem F&F seterusnya, Han sekali lagi bakal muncul dengan jentera talaan Veilside, kali ini diasaskan dari Nissan Z generasi baharu dan diberi nama Veilside FFZ400.
Kereta berkenaan sudah pun siap dan bakal dibawa untuk dipamerkan kepada orang awam di Tokyo Auto Salon 2023 yang akan berlangsung di Makuhari Messe bermula 13 hingga 15 Januari ini. Selain Veilside sendiri, Sung Kang turut memuat naik gambar FFZ400 ini di akaun Instagram rasminya dan menggelar kereta ini sebagai “Han’s 400Z”.
Tidak seperti Fortune RX-7 yang menenggelamkan terus rupa asal RX-7, FFZ400 ini masih mengekalkan rupa asal Nissan Z 2023. Namun ia masih lagi diberikan kit badan lebih lebar yang meliputi bampar hadapan, fender hadapan dan belakang, skirt sisi, bampar belakang dan juga spoiler belakang.
Bampar hadapan FFZ400 ini masih mengekalkan gril asal Nissan Z, tetapi ia bukan sahaja dilebarkan, malah turut ‘dilabuhkan’ bagi memberikan apron lebih agresif. Ia juga diberikan kemasan seperti pengalir udara pada setiap sisi. Bentuk-V pada bonet hadapan ditonjolkan lagi dengan kemasan sekeliling berwarna hitam ‘mengalir’ ke tiang-A, bersama grafik “Veilside” di tengahnya.
Fender hadapan yang dikembangkan turut diberikan liang udara pada bahagian atas, manakala fender belakang dicantum dengan menyerlahkan skru/rivet. Spoiler belakang direka seakan spoiler ‘ekor itik’ yang besar tetapi diberikan sirip sebagai penamat kedua-dua sisi.
Badan FFZ400 ini dilayangkan dengan warna oren-hitam sama seperti Fortune RX-7 dalam Fast & Furious:Tokyo Drift dan juga Toyota GR Supra dalam Fast 9 juga dipandu oleh Han. Rupa kereta ini dilengkapkan dengan pemadanan set rim Veilside Andrew Forged berdiameter 20-inci yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza. Badannya dirapatkan ke permukaan jalan menerusi pemadanan set suspensi udara.
Untuk bahagian kabin, Veilside hanya mendedahkan tempat duduk asal Nissan Z ini telah digantikan dengan sepasang tempat duduk bucket. Manakala di belakang boleh dilihat ia dipenuhi dengan tangki dan sistem paip untuk suspensi udara.
Veilside tidak memperincikan ubahsuai enjin yang dibuat terhadap FFZ400 ini, namun mengesahkan ia masih dijana oleh enjin asal VR30DDTT. Enjin 3.0 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar tersebut mampu menghasilkan 400 hp dan tork maksima 475 Nm dalam keadaan standard.
Menurut Veilside, FFZ400 ini akan muncul dalam filem Fast & Furious yang ditayangkan pada 2024. Memandangkan filem terbaharu F&F iaitu Fast X sebelum ini telah diumum bakal ditayangkan pada bulan Mei tahun ini, FFZ400 ini mungkin akan muncul dalam filem ke-11 yang juga filem terakhir dalam franchaise Fast & Furious.
Bagi yang belum mengetahui, Sung Kang juga merupakan peminat untuk model-model kereta sport Z Nissan, khususnya model generasi pertama Datsun 240Z. Setakat ini Sung Kang mempunyai dua buah projek 240Z yang dibuat sendiri iaitu Fugu Z dengan enjin RB26 dan juga Doc Z yang diinspirasikan dari jentera rali Datsun 240Z yang memenangi East African Safari Rally 1971.
Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Siri nombor pendaftaran terkini WP Kuala Lumpur, VKH, bakal dibuka bidaan bermula 13 Januari 2023, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 17 Januari. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 18 Januari 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perak pula, AMV, bidaannya bakal dibuka bermula 14 Januari 2023 dan akan berakhir jam 10 malam pada 18 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 19 Januari ini.
Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.
Kementerian Kewangan telah memaklumkan bahawa bagi minggu bertarikh 12 hingga 18 Januari 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu ketiga berturut-turut kesemua harga bahan api tersebut dikekalkan.
Di mana petrol RON 97 dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022.
Untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
MoF turut berkata, kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Pada pukul 3.15 PM tadi satu kemalangan telah terjadi di KM 195.6 arah Selatan Lebuhraya Utara Selatan (Bukit Merah-Taiping Utara) membabitkan sebuah lori yang separa terbalik merentangi kedua-dua arah lebuhraya berkenaan.
Tiada sebarang perincian berkenaan kemalangan tersebut, namun Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyatakan kesemua lorong arah Utara ditutup sepenuhnya, manakala untuk yang menghala ke selatan lorong kanan telah ditutup. Ini telah menyebabkan kesesakan trafik berlaku sepanjang 1 km ke arah Selatan dan 1.7 km ke arah utara.
Kemaskini pada pukul 4.15 petang tadi menunjukkan lorong-lorong yang sama masih ditutup, manakala trafik arah Utara dilencongkan ke RnR Gunung Semanggol. Trafik juga dilaporkan semakin sesak dengan kesesakan sepanjang 1.6 km ke arah Selatan dan 3 km ke arah Utara.
Jadi untuk mereka yang sedang merancang perjalanan dan perlu menempuh jalan ini, tangguh dahulu perjalanan anda atau gunakan jalan alternatif untuk ke destinasi.
Bagi yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke arah utara, PLUS Berhad memakkumkan stesen Petronas di kawasan R&R Simpang Pulai di Perak (arah utara, selepas Ipoh) sedang ditutup sehingga Khamis, 12 Januari 2023 untuk kerja penyelenggaran.
Penutupan ini hanya melibatkan stesen minyak Petronas sahaja dan tidak membabitkan keseluruhan kawasan R&R terbabit yang masih kekal beroperasi seperti biasa. Jika sudah terbiasa mengisi minyak di situ, apa kata anda ke stesen minyak arah utara yang terhampir iaitu di RTC Gopeng, di KM291.6, sebelum Simpang Pulai.
Apa pun, sila tingkatkan fokus pemanduan, terus berhati-hati di jalan raya dan berehat seketika di kawasan R&R berhampiran sekiranya keletihan atau mengantuk.
Semalam BMW Group Malaysia telah melancarkan barisan BMW 3 Series facelift untuk pasaran tempatan, dan kita menerima LCI G20 dalam varian 320i, 330i dan 330e, kesemuanya eksklusif dalam kemasan M Sport. Tiada model M Performance atau varian jarak roda panjang (LWB) diperkenalkan dalam majlis pelancaran,namun difahamkan ia bakal tiba di Malaysia pada Mac 2023.
Ini bermakna varian M304i dan 330Li akan berada di bilik pameran tidak lama lagi. Sebelum ini, varian M340i xDrive yang dijual di sini adalah dari barisan G20, sementara model M Performance yang bakal tiba pula diposisikan di bawah M3.
M340i merupakan satu-satunya varian dari 3 Series yang memiliki enjin 3.0 liter petrol enam-silinder dengan kuasa 374 PS dan tork 500 Nm dari 1,900 hingga 5,000 rpm. Seperti namanya, ia juga adalah xDrive AWD. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 4.4 saat menjadikannya sebagai sedan sport padu.
Unit enam-silinder tersebut disepadukan dengan sistem hibrid ringkas 48-voltan. Starter-generator berkeupayaan menyalurkan 11 PS, membantunya dengan penjanaan semula tenaga brek dan membekalkan sistem elektrikal 12-voltan.
Rupa M Sport standard cukup agresif, jadi ia tak banyak berbeza dengan M Performance. Kelihatan jejaring pada gril ‘kidney’, kemasan ekzos trapezoidal, spoiler belakang yang nipis dan perumah cermin sisi M dalam rona hitam berkilat yang merupakan ciri baharu bagi facelift ini. Selain itu, pakej “Pro” turut menambah kemasan luar yang lebih banyak hitam dan kaliper brek merah.
Manakala 330Li pula kini memiliki jarak roda yang lebih panjang sebanyak 110 mm (2,961 mm) dan ketinggiannya juga dipertingkatkan sebanyak 6 mm, kini 2,961 mm. Dengan jarak yang lebih panjang antara roda, bahagian penumpang belakang menerima penambahan sebanyak 42 mm bagi ruang kaki.
Model pre-facelift bagi 330Li yang dijual di sini adalah dalam bentuk M Sport, tetapi kini 3 Series dengan jarak roda standard ditampilkan dengan M Sport secara eksklusif. BMW Malaysia turut memberikan isyarat bahawa 330Li mungkin akan diberikan larasan yang lebih lembut dan selesa.
Buat masa ini, pasaran kita telah menerima barisan 3 Series facelift dalam bentuk 320i, 330i dan 330e PHEV, masing-masing ditawarkan pada harga RM283,800, RM317,800 dan RM298,800. Agak-agak berapa pula harga yang bakal ditawarkan buat M340i dan 330Li facelift 2023?
Hyundai Ioniq 5 akan dipasang di Singapura, bermula dengan Ioniq 5 First 100 edisi terhad bagi pasaran Singapura, dan akan dipertontonkan ketika Singapore Motor Show yang bakal berlangsung dari 12-15 Januari 2023.
Ini akan dilakukan di Hyundai Motor Group Innovation Centre (HMGICS) yang terletak di Jurong Innovation District (JID), yang mana Hyundai memaklumkan akan memasang sejumlah 30,000 kenderaan setahun.
Ioniq 5 First 100 akan dibezakan dengan perincian seperti penggunaan warna cat luaran Gravity Matte Gold, warna ruang dalaman Dark Pebble Grey, lencana “First 100”, kesan cetak “First 100” di kerusinya, serta nombor plat khas bagi 100 unit yang dipasang di Singapura ini.
Hyundai sedang menerima pendaftaran minat bagi EV edisi terhad ini untuk pasaran di sana, dan bidaannya akan dimulakan pada 2.30 pm esok.
Di Malaysia, Ioniq 5 dilancarkan pada Mac 2022 dan dijual dalam tiga varian dengan harga bermula RM207,808 untuk Lite; RM238,408 untuk Plus; dan RM270,408 untuk Max. Varian Lite dan Plus menggunakan bateri 58 kWh dan motor elektrik tunggal 170 PS/350 Nm yang memacu tayar belakang, sementara Max memanfaatkan bateri 72.6 kWh dan dwi-motor 305 PS/605 Nm pacuan semua roda.
Untuk pasaran di sini juga, kumpulan Ioniq 5 bagi model tahun 2023 telah dilihat dengan beberapa perbezaan perincian berbanding model tahun 2022, misalnya tiada lagi bumbung solar dan penambahan ciri head-up display (HUD) untuk pemandu.
Di Eropah pula, kemaskini terbaru Ioniq 5 diumumkan Februari lalu untuk model tahun 2023. Ini termasuklah bateri lebih besar, 77.4 kWh untuk varian tertinggi, dengan adanya tambahan dua modul bateri di dalam pek baterinya.
Kemaskini tersebut disertai juga oleh pilihan Digital Side Mirrors, atau kamera yang menggantikan cermin biasa, yang menyediakan paparan video pada bahagian dalaman pintu, serta pilihan untuk Digital Centre Mirror (DCM).
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 24,017 unit kenderaan dari Januari sehingga Disember 2022. Angka yang cukup memberangsangkan ini menunjukkan syarikat tersebut berjaya menjual kenderaan 37.3% lebih banyak berbanding tempoh sama pada 2021.
Malah rekod ini juga membolehkan Mitsubishi berada di tempat ketiga dalam carta jualan jenama bukan nasional di Malaysia untuk 2022, dengan pegangan pasaran sebanyak 3.3%.
Angka jualan yang tinggi ini dipacu oleh MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander dengan jualan berjumlah 14,316 unit, naik 93.5% berbanding jumlah jualan pada 2021 dan mewakili 59.6% dari jualan keseluruhan MMM untuk 2022. Syarikat berkenaan turut mendakwa bahawa Xpander masih kekal antara crossover tujuh-tempat duduk Jepun paling laris di Malaysia.
Trak pikap Mitsubishi Triton juga masih memberikan jualan yang besar buat MMM dengan 9,697 unit berjaya dihantar ke pemilik baharu sepanjang 2022. Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 4.6% berbanding 2021 dan mewakili 40.4% dari jumlah jualan keseluruhan 2022. Angka tersebut cukup untuk menempatkan Triton di tempat kedua untuk trak pikap paling popular di Malaysia.
“MMM berbesar hati setelah mencapai rekod prestasi jualan tertinggi pada 2022, dan kami mengucapkan terima kasih kepada setiap pelanggan Mitsubishi di seluruh negara atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi. Salah satu pencapaian penting kami pada tahun ini ialah kami meraikan trak pikap Triton yang mencapai pencapaian jualan 100,000 unit di Malaysia sejak penubuhan MMM pada tahun 2005,” kata CEO MMM Shinya Ikeda.
“Kereta Rali Triton dibina berdasarkan Triton produksi jalan raya, dengan hanya sedikit pengubahsuaian pada berat badan dan peralatan keselamatan untuk pertandingan. Semua elemen seperti prestasi tinggi, ketahanan, keselesaan dan pengendalian yang baik telah diadaptasi ke produk asal di pasaran. Kini setiap pelanggan Mitsubishi Motors dapat merasakan DNA sukan permotoran dalam model mereka,” katanya lagi.
“Kami juga berterima kasih kepada rakan kongsi perniagaan kami atas sokongan padu mereka. Tahun lepas, 91% pengedar kami menaik taraf cawangan mereka dengan identiti visual (VI) baharu untuk pengalaman pelanggan yang lebih baik. Menjelang tahun 2023, Mitsubishi Motors sedang memulakan perubahan ke arah yang lebih baik, dan pengalaman pemilikan dengan standard tertinggi. Kami berharap untuk meneruskan trajektori menaik dan mencapai pertumbuhan masa depan bersama-sama,” tambah Ikeda.
Masuk ke era kenderaan elektrik penuh (EV), nampak motosikal kecil dari Honda iaitu Super Cub masih terus kekal dalam pasaran – memperkenalkan Honda Cub e: iaitu motosikal elektrik penuh yang diispirasikan dari moped Super Cub! Model ini diperkenalkan sekali dengan Honda DAX e: dan Zoomer e:, versi elektrik dengan dua lagi motosikal kompak ikonik Honda iaitu DAX dan Zoomer.
Walau bagaimanapun, Cub e:, DAX e: dan Zoomer e: ini buat masa sekarang dihasilkan khas untuk pasaran China. Honda masih belum mengumumkan sebarang spesifikasi berkenaan ketiga-tiga model ini, tetapi ia disahkan diklasifikasikan sebagai EB (Basikal Elektrik) di China yang dihasilkan dengan kelajuan maksimum di bawah 25 km/j.
Dengan mengambil inspirasi dari rekaan model-model funky dan ikonik sebelum ini yang digabungkan dengan perincian serta kelengkapan terkini, ketiga-tiga EB baharu Honda ini disasarkan untuk menawarkan nilai-nilai baharu serta lebih kejutan kepada pembeli-pembeli muda di China.
Honda Zoomer e: (kiri) dan DAX e: (kanan)
Tiga model baharu EB ini juga merupakan permulaan untuk rancangan Honda bagi memperkenalkan lebih dari 10 motosikal elektrik untuk pasaran global menjelang 2025. Ia juga merupakan sebahagian dari rancangan Honda untuk memperkenalkan lima model EB dan Motosikal Elektrik (EM) dari sekarang hingga 2024 ke pasaran Asia, Eropah, Jepun dan China.
Namun Honda turut mengesahkan bahawa tiga model EB baharu ini tidak akan dilancarkan ke pasaran Jepun.